Artikel

Tokoh Pejuang Bahasa : Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid

oleh Helmi pada 07 Sep 2004

Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid merupakan seorang tokoh sejarawan negara. Beliau dilahirkan pada 14 Mei 1933 di Teluk Intan (dahulu Teluk Anson), Perak. Pendidikannya bermula di Sekolah Melayu Teluk Anson dan Sekolah Anglo-Chinese Teluk Anson (1946 -1951). Kemudian beliau menerima tawaran belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Setelah memperoleh ijazah sarjana dalam bidang sejarah dari University of Queensland, Australia (1953-1958), Zainal Abidin bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum berkhidmat di Kementerian Luar Negeri. Beliau pernah mengikuti kursus pasca sarjana dalam bidang hubungan antarabangsa selama setahun di London School of Economic, University of London (1958-1959).

Beliau menjadi pensyarah sejarah di Universiti Malaya pada tahun 1962. Apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan, beliau dilantik sebagai profesor dan Ketua Jabatan Sejarah (1970-1991). Beliau kemudian dilantik sebagai Pengarah Pusat Kajian Borneo, UKM (1991­1993). Zainal Abidin telah menyandang Kerusi Tun Abdul Razak di Ohio University selama dua penggal (1985-1986 dan 1986-1987).

Sumbangan Zainal Abidin terhadap penubuhan dan perkembangan Jabatan Sejarah UKM sepanjang lebih dua dekad merupakan pencapaian penting dalam kerjaya akademiknya. Para pelajar telah didedahkan kepada pengajian sejarah yang menitikberatkan pendekatan dan isi kandungan tempatan. Hal ini telah dimanifestasikan melalui penghasilan kajian tempatan yang berterusan, di samping kajian tentang sejarah daerah lain di dunia. Beliau juga aktif dalam persatuan sejarah, penerbitan jurnal, seminar, syarahan umum dan sebagai pakar rujuk oleh institusi dalam dan luar negara.

Zainal Abidin pernah dilantik sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Guru-Guru Sejarah Melayu (1964-1967); Pengerusi Jawatankuasa Istilah Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (1968-1985); Presiden International Association of Historian of Asia (1977-1980); Penyelaras Projek, UNESCO’S Project on Malay Sultanate and Malay Culture (1973-1982).

Antara karyan yang dihasilkan ialah Manusia dan Kemajuan (1961); History Teaching: Its Problems in Malaya (ed.) (1964) dan Glimpses of Malaysian History (ed.) (1970)

Zainal Abidin menerima anugerah darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk daripada kerajaan Sabah pada tahun 1975.

PERNYATAAN PERJUANGAN Bahasa jiwa Bangsa

Bahasa memainkan peranan yang berlainan dalam keadaan yang berbeza. Bagi Malaysia yang mempunyai penduduk yang berbilang keturunan, peranan bahasa menjadi lebih penting, malahan lebih mustahak.

Dari segi sejarah, bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi Kesultanan Melayu Melaka sejak kurun ke-15 lagi, kalaupun tidak lebih awal.

Sejarah Semenanjung Tanah Melayu menunjukkan bahawa bahasa Melayu, agama Islam, sistem pentadbiran Kesultanan Melayu dan Adat Istiadat Melayu mengandungi ciri-ciri kesinambungan dalam sejarah negara kita. Inilah asas keperibadian Melayu.

Seorang penulis, Jones menyatakan bahawa bahasa Melayu menjadi lingua franca di Asia pada tahun 1688. Francis Valentyne pada tahun 1726 pula menyatakan di dalam bukunya bahawa barang siapa tidak mengetahui bahasa Melayu dari Persia di sebelah Barat hingga ke Filipina di sebelah Timur, maka orang itu tidak dianggap berpelajaran.

Bahasa mempunyai nilainya yang tersendiri. Kemeresapan nilainya ke dalam penikiran seseorang berlaku, kadang kala tanpa disedari. Inilah salah satu sebabnya bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu atau bahasa pengantar utama

Untuk mengelakkan perselisihan, warganegara Malaysia terutamanya pernimpin mestilah menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024