Sempena bermulanya tahun 2012 Lembaga Pengarah PTS telah bersetuju menubuhkan sebuah jabatan baru, iaitu Jabatan Pemerdagangan Harta Intelek.
Fungsi utama jabatan ini adalah:
1. Menjadikan aktiviti pengurusan harta intelek karya penulis-penulis PTS sebagai sumber perolehan dan keuntungan tambahan bagi penulis dan syarikat.
2. Memasarkan pelesenan harta intelek penulis PTS kepada pihak ketiga di dalam dan luar negara.
3. Menguruskan pelesenan harta intelek dari luar untuk anak-anak syarikat PTS.
Pengurus jabatan ini adalah Puan Nor Hazizam Abd. Rahman (foto). Beliau sebelum ini pernah memikul tanggungjawab menguruskan dan memulakan bisnes PTS One Sdn Bhd, dan menerokai laut biru pasaran sastera kanak-kanak dan remaja dalam Bahasa Melayu. Kemudian beliau memikul tanggungjawab memulakan operasi Jabatan Pemasaran PTS.
Foto menunjukkan keadaan yang dapat dilihat setiap hari di hadapan pintu masuk gudang PTS. Ada buku-buku yang baru sampai dari kilang cetak. Ada buku-buku return dari kedai kerana tidak laku dijual.
Buku-buku yang baru sampai dari kilang cetak memerlukan ruang simpanan. Seluas 20% ruang yang ada digunakan bagi menyimpan buku return. Ruang itu lebih diperlukan bagi menyimpan stok buku baru-cetak.
Dalam bisnes, ruang adalah wang. Sekarang ini sewa 1 unit kilang berderet sudah naik kepada RM8k sebulan. Itulah kos menyimpan buku-buku return PTS. Ia menjadi beban kewangan kepada penerbit.
Ada 2 cara mengurangkan stok buku tak-laku. Pertama, adakan acara tahunan bagi menjual lelong buku-buku itu dengan diskaun sampai 90%. Kedua, buku-buku itu diam-diam dijual kepada lori kertas kitar semula.
Dari sudut bisnes, mengadakan majlis lelong buku adalah lebih baik daripada menjual buku-buku itu kepada lori kitar semula. Melelong buku dapat mengurangkan kerugian. Risikonya adalah reaksi negatif dari pihak penulis yang bukunya dilelong dengan harga terlalu rendah.