Membaca menambah ilmu pengetahuan

Abdul Hakim Khairuddin — 05 Apr 2012 3:22 PM

Walaupun masa berganti masa, zaman berubah mengikut zaman, golongan yang berilmu senantiasa menjadi insan yang dihormati dan disanjungi. Tanpa ilmu, seseorang itu tidak dapat membuat keputusan yang jauh lebih bijak berbanding dengan orang yang berilmu.

Dewasa ini, kita selalu didedahkan dengan kempen budaya membaca. Slogan kempen membaca seperti Rajin Membaca Pasti Berjaya dan Bangsa Membaca Bangsa Berjaya begitu dekat dihati masyarakat kerana ia mencerminkan kejayaan seseorang. Slogan ini juga boleh dilihat secara meluas di dada akhbar, iklan di televisyen mahupun di tempat-tempat awam.

Senario ini dilihat berjaya ‘memujuk’ masyarakat untuk mengamalkan cara baru dengan lebih kepada ke arah penambahan ilmu pengetahuan. Namun, ianya tidak akan tercapai sekiranya masyrakat hanya mengagungkan slogan semata-mata tanpa mengamalkan budaya membaca ini.

Keperihatinan kerajaan dalam pendidikan negara cukup terpuji. Dasar negara yang mahu melahirkan generasi ilmuan yang ramai, seharusnya membuatkan generasi muda menyahut cabaran ini seiring dengan perubahan global yang semakin mencabar.

Di PTS, kami menerapkan konsep ‘pembacaan’ kepada masyarakat dalam usaha melahirkan ilmuan dan cendekiawan negara. Selain menerbitkan buku-buku yang berkonsepkan sistem pendidikan negara, kami juga mendidik masyarakat agar lebih berilmu dan dekat dengan dunia buku.

Buku-buku terbitan PTS seperti Islamika, Darul Furqan, Litera Utama, Millennia, Profesional, Pop dan lain-lain banyak menerbitkan buku-buku yang sememangnya dapat memberikan kesan pembacaan kepada masyarakat. Diterapkan dengan konsep syariah sebagai teras utama, sudah pasti ianya mampu membuatkan pembaca menghayati serta memahami penggunaan bahasa yang sebenar.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Terjah di pasaran! Buku Pengantin Al-Quran terbitan PTS Darul Furqan yang baru menerjah pasaran ini menceritakan perihal seseorang itu sebelum memasuki alam rumah tangga. Di huraikan dengan terperinci maksud perkahwinan dalam Islam, ia di lihat dapat membantu pembaca memahami dengan lebih jelas.

Perasaan cinta yang diwujudkan oleh Allah begitu hebat jika manusia dapat memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Menurut pandangan Ibn Qayyim al-Jauziah, “Kerana cinta dan demi cinta langit dan bumi diciptakan, dan atas dasarnya makhluk diwujudkan, demi cinta seluruh planet beredar dan dengnnya juga semua pergerakan tiba di tujuannya serta bersambung awal dan akhirnya. Dengan cinta, semua jiwa meraih harapannya dan mendapat idamannya, serta terbebas daripada semua yang meresahkannya.” 

Perkahwinan merupakan fitrah kehidupan.  Setiap mahluk di muka bumi dijadikan berpasang-pasangan. Perkahwinan juga merupakan ibadah dan sunnah Rasulullah. Ini bertepatan dengan hadis yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim melalui Anas Bin Malik yang bermaksud, "Pernikahan adalah sunahku. Sesiapa yang tidak suka dengan cara hidupku, maka dia bukan daripadaku."

Buku karya Muhamad Quraish Shihab ini sesuai dijadikan panduan kepada pasangan yang sudah berkahwin dan mahu melangkah ke alam rumah tangga. Dipecahkan kepada beberapa tajuk yang berunsurkan nasihat, ianya dilihat mampu membina keluarga sakinah.

Sesuai dengan tajuknya, Pengantin Al-Quran, buku ini di garap dengan bahasa yang mudah difahami dan disertakan dengan nas-nas Al-Quran dan hadis. Klik imej buku di bawah bagi maklumat lanjut dan pembelian secara online. 

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Abdul Latip Talib, seorang penulis yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan novel. Karya beliau seperti Umar Abdul Aziz: Bayangan Khalifah al-Rasyidin, Imam Syafie: Pejuang Kebenaran, Sultan Muhammad Al-Fateh: Penakluk Konstantinopel dan banyak lagi mendapat tempat di kalangan pembaca. Plot ceritanya yang disusun teratur dan menarik, sudah pasti membuatkan pembaca dapat mengetahui dengan mendalam.

Buku siri novel Islami Mustafa Kamal Ataturk ini merupakan salah satu daripada beberapa novel Islami yang lain yang cuba merungkai sejarah latar belakang kehidupan seorang yang di gelar penegak agenda Yahudi ini. Sejarah telah membuktikan bahawa Mustafa yang dilahirkan pada 19 Mei 1881 ini merupakan individu yang bertanggungjawab dalam menghapuskan sistem pemerintahan Islam di Turki dan banyak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dalam Islam seperti menjadikan masjid sebagai muzium dan gudang, menukarkan azan ke dalam bahasa Turki, membiarkan maksiat berleluasa dan sebagainya.

Rentetan peristiwa ini, Mustafa menjadi sanjungan barat yang menganggap beliau penggerak dalam menghancurkan Islam. Dengan pelbagai aturan dan sistem di ubah, beliau menjadikan sistem khalifah yang menjadi teras dalam pentadbiran sebelum ini, hilang begitu sahaja.

Latar pendidikan Mustafa sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan beliau. Mendapat pendidikan Inggeris setelah berkeras mahu menyambung pengajian dalam aliran itu berbanding saranan ibunya yang mahu beliau menjadi seorang berilmu dalam agama, beliau seterusnya melanjutkan pengajian di dalam akademi tentera.

Bertitik tolak dari inilah, beliau dapat menempatkan diri ke dalam pemerintahan khalifah secara ‘perlahan-perlahan’ dalam usaha ingin menghapuskan institusi khalifah ini.

Dengan menggunakan kelicikan dalam mempengaruhi sesuatu keputusan, beliau juga terkenal dengan sikap tidak berputus asa dan sanggup melakukan apa sahaja walaupun bertentangan dengan prinsip hidup.

Memilih sistem presiden dalam pentadbiran, ianya dengan mudah meluaskan lagi cita-cita beliau yang ingin menjadi seorang ketua negara yang berkuasa mutlak walaupun tidak disukai oleh rakyat Turki.

Novel Islami yang sarat dengan kisah-kisah petualang yang khianat terhadap agama Islam ini,wajar dijadikan iktibar generasi muda. 

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Mush'ab Bin Umair ditugaskan memegang bendera tentera Islam dalam Perang Uhud. Dalam perang itu, beliau berlawan dengan seorang tentera Quraisy iaitu Ibnu Qami'ah. Mush'ab memegang bendera dengan tangan kanan dan senjatanya berada di tangan kiri. Dalam pertarungan yang sengit, tetak-menetak dan libas-melibas pedang, Ibnu Qami'ah dapat menetak tangan kanan Mush'ab sehingga putus. Mush'ab lantas mencampakkan pedang yang berada di tangan kirinya dan segera menyambut bendera tentera Islam yang hampir jatuh.

Ibnu Qami'ah menetak pula tangan kiri Mush'ab dan bendera itu jatuh ke tanah. Mush'ab merebahkan tubuhnya bagi melindungi bendera itu. Ibnu Qami'ah menikamnya dan Mush'ab syahid di medan Uhud. Ibnu Qami'ah menyangka Mush'ab adalah Rasulullah, kerana wajah Mush'ab seiras dengan Rasulullah. Dia lantas menjerit berulang-ulang kali, “Muhammad sudah aku bunuh.”

Apabila mendengar berita Rasulullah sudah terbunuh, tentera Islam menjadi keliru, kelam-kabut, dan kucar-kacir. Dalam suasana yang gawat dan genting itu, Rasulullah berteriak, “Marilah datang kepadaku. Aku adalah Rasulullah.”

Teriakan Rasulullah menaikkan kembali semangat tentera Islam, tetapi kedudukan Rasulullah juga terdedah kepada musuh. Tentera Quraisy meluru dan menyerbu untuk membunuh Rasulullah. Para sahabat bermati-matian mempertahankan Rasulullah. Dalam keadaan genting itu, sebatang anak panah meluru laju ke wajah Rasulullah. Panah itu menembusi pipi baginda hingga terkena gigi seri di bahagian bawah sebelah kanan. Bibir baginda juga terluka.

Baginda yang cedera terkena panah hanya dilindungi oleh Saad Bin Abi Waqqas. Dalam kekalutan perang, seorang tentera Quraisy dapat mendekati Rasulullah lalu memukul baginda. Pukulan itu kena pada dahi baginda. Kemudian, seorang lagi tentera Quraisy datang dan melibaskan pedangnya ke arah Rasulullah. Libasan itu kena pada baju besi Rasulullah. Libasan seterusnya dihalakan ke arah bahagian kepala Rasulullah. Bahagian atas pipi baginda terkena tetakan pedang itu. Perisai muka dan penutup kepala baginda pecah. Serpihan besi perisai itu menusuk pipi dan melekat di rahang Rasulullah.

Dalam Perang Uhud, tentera Islam mengalami kekalahan selepas menang dalam Perang Badar. Perang Uhud ini sangat mencemaskan sehingga Rasulullah sendiri cedera teruk diancam oleh tentera Quraisy. Rentetan daripada Perang Uhud, Perang Khandaq tercetus dan kemudian Perang Khaibar.

Rentetan peristiwa dan sejarah perang dirakamkan dengan baik sekali dalam buku Perang-Perang Yang Benar. Buku ini diterbitkan oleh PTS. Maklumat lanjut boleh didapati di www.pts.com.my

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Abdul Rahman Bin Auf meninggalkan segala harta kekayaannya semasa berhijrah ke Madinah. Di sana, Rasulullah mempersaudarakan beliau dengan Saad Bin Rabi, tokoh golongan Ansar yang kaya. Atas dasar persaudaraan Islam yang kukuh, Saad menawarkan separuh kekayaannya untuk diberikan kepada Abdul Rahman. Saad juga rela menceraikan salah seorang isterinya supaya dapat dikahwini oleh Abdul Rahman. Tawaran dan niat baik Saad ini ditolak lembut oleh Abdul Rahman dengan kata-kata yang masyhur ini,

Saudaraku, semoga Allah memberkati keluarga dan harta benda saudara. Jangan disusahkan tentang diri saya. Yang penting, saudara sudi menunjukkan jalan menuju ke pasar.”

Sahabat-sahabat Muhajirin yang lain juga dipersaudarakan dengan golongan Ansar. Dengan adanya ikatan persaudaraan ini, mereka sanggup memberikan harta benda bagi dijadikan modal bisnes sehingga akhirnya ekonomi Muhajirin dapat dipulihkan. Konsep persaudaraan ini adalah asas tertegaknya empayar pemerintahan Islam di Madinah. Persaudaraan ini juga menjadi asas pembinaan empayar bisnes Abdul Rahman yang berjaya memecahkan monopoli orang Yahudi di Madinah.

Islam tidak menganjurkan permusuhan dan persaingan. Islam menganjurkan bantu-membantu dan berlumba-lumba mengejar kurniaan Allah. Persaudaraan Islam yang kukuh adalah networking yang terhebat dalam dunia bisnes.

Abdul Rahman mendapat Saad sebagai saudara dan rakan kongsi bisnesnya. Namun, beliau langsung tidak mengambil kesempatan atau mempergunakan Saad untuk kepentingan diri. Dalam konsep kafilah dagang yang dijelaskan dalam siri kedua, persaudaraan juga menjadi asas kepada kejayaan bisnes kafilah dagang. Ahli kafilah dagang akan bekerjasama menghadapi cabaran di sepanjang perjalanan. Mereka juga bersatu hati mempertahankan kafilah dagang daripada serangan perompak padang pasir.

Keistimewaan dan isi kandungan buku Rahsia Jutawan Islam Abdul Rahman Bin Auf sudah dijelaskan dalam tiga siri ulasan sebelum ini. Daripada ribuan ayat dan puluhan rahsia kekayaan Abdul Rahman, hanya sebahagian yang dapat dikongsikan dalam ulasan yang ringkas ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak rahsia dan lebih kepuasan, tuan puan boleh mendapatkan buku Rahsia Jutawan Islam Abdul Rahman Bin Auf di kedai buku yang berhampiran. Untuk diskaun istimewa dan penghantaran terus ke rumah, tuan puan boleh melayari www.bookcafe.com.my untuk maklumat lanjut.

 

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Muhammad diberi pilihan untuk hidup kekal di dunia atau meninggal dunia seperti manusia biasa. Hal ini dijelaskan dalam dialog baginda dengan sahabatnya, Abu Muwaihibah semasa baginda dan Abu Muwaihibah menziarahi perkuburan Baqi'.

“Wahai Abu Muwaihibah. Aku diberi pilihan antara diserahkan kepadaku segala kekayaan dunia semuanya dan aku kekal di dunia kemudian aku masuk syurga. Ataupun aku bertemu dengan Tuhanku dan kemudian aku masuk syurga.”

Abu Muwaihibah berkata, “Wahai Muhammad. Pilihlah kami.”

Muhammad berkata, “Tidak, wahai Abu Muwaihibah. Aku memilih bertemu dengan Tuhanku dan syurga.” Kecintaan kepada Allah memenuhi hati Muhammad.

Tidak lama kemudian, Muhammad diserang sakit kepala yang amat sangat. Kesakitan para nabi adalah seperti kesakitan dua orang biasa.

Kemudian Muhammad diserang demam panas yang sangat kuat. Menurut Abu Said al-Khudri, sahabat yang meletakkan tangannya ke dahi Muhammad, “Aku tidak tahan meletakkan tanganku di atas dahi Muhammad kerana terlalu panas. Belum pernah aku melihat orang demam panas sampai begitu.”

Pada pagi 12 Rabiulawal, sakit Muhammad semakin kuat. Peluh keluar mencurah-curah dari kepala baginda. Aisyah menyapu muka baginda dengan air untuk meredakan kesakitan baginda. Muhammad berkata, “Wahai Aisyah. Sesungguhnya mati itu mempunyai sakarat (kesakitan).”

Pada saat kematiannya, Muhammad mengulang-ulang satu kata-kata, seolah-olah baginda diberi pilihan lagi untuk kali terakhir, sama ada memilih hidup kekal di dunia atau segera bertemu dengan Allah. Muhammad berkata, “Bahkan teman sejati di Syurga. Bahkan teman sejati di syurga.”

Aisyah berkata, “Ketika Muhammad mengulang-ulang kata-kata itu, kepalanya terlentok ke bahuku. Pandangannya mendongak ke langit. Roh Muhammad sudah keluar dari jasadnya untuk bertemu dengan Allah. Aku meletakkan kepada Muhammad ke bantal, lalu aku menangis. Semua ahli keluarga Muhammad yang perempuan juga menangis. Tangisan kami dapat didengari sehingga ke luar rumah.”

Apabila tiba detik Muhammad menghembuskan nafas terakhirnya, seluruh alam seolah-olah terpaku, masa terhenti, dan suasana menjadi hening. Saat kematian Muhammad ini diceritakan dengan lebih terperinci dalam buku Biografi Muhammad Bin Abdullah, buku sirah yang terbaik untuk mengenali Rasulullah.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Dua orang remaja Ansar menyertai Perang Badar. Mereka bersenjatakan pedang dan mencari-cari musuh Allah, iaitu Abu Jahal untuk dibunuh. Mereka adalah Muaz Bin Amr al-Jamuh, 14 tahun dan Muawwiz Bin Afra, 13 tahun. Mereka meminta Abdul Rahman Bin Auf menunjukkan kepada mereka di mana Abu Jahal berada.

“Ibu saya berpesan, jangan pulang ke rumah selagi kepala Abu Jahal tidak diceraikan dari badannya.” Muaz bersungguh-sungguh mahu membunuh Abu Jahal.

“Abu Jahal menghina dan menyakiti Rasulullah. Saya mahu membunuhnya.” Muawwiz menegaskan kemahuannya.

Tiba-tiba seorang tentera Quraisy menyerang Abdul Rahman Bin Auf dari belakang. Muaz dan Muawwiz melindunginya. Muaz menetak kaki tentera itu menyebabkan dia jatuh tersungkur. Muawwiz pula menikamnya sehingga mati. Abdul Rahman Bin Auf kagum dengan kehebatan dua remaja itu.

Sebaik sahaja Abdul Rahman Bin Auf melihat kelibat Abu Jahal yang berada di bawah sepohon kayu yang rendang, dia menunjukkannya kepada dua remaja itu. Muaz dan Muawwiz terus berlari pantas ke arah Abu Jahal. Abu Jahal berada di atas kudanya dan tidak sedar kedatangan dua remaja itu. Muaz memancung kaki kanan kuda menyebabkan kuda dan Abu Jahal jatuh tersungkur. Dia bertempik marah menahan kesakitan. Dia cuba bangun, tetapi Muaz segera menetak kaki kanan Abu Jahal sehingga terputus. Muawwiz pula menetak kepala Abu Jahal sehingga dia menggelupur kesakitan.

Abu Jahal cedera parah tetapi masih hidup. Anaknya Ikramah datang melindunginya. Ikramah menetak tangan kiri Muaz hingga terkulai hampir putus. Muawwiz pula syahid dibunuh oleh Ikramah. Kemudian, Rasulullah mengarahkan Abdullah Bin Mas'ud mencari Abu Jahal. Abu Jahal cedera parah tetapi masih hidup. Abdullah Bin Mas'ud memijak lehernya dan berkata, “Wahai musuh Allah dan musuh Rasul-Nya. Hari ini Allah menghina kamu.”

Abdullah Bin Mas'ud menghayunkan pedang lalu memenggal kepada Abu Jahal. Akhirnya, tumpaslah musuh Allah itu di tangan tentera Islam.

Babak-babak peperangan Badar ini diceritakan dengan lebih terperinci dalam buku Perang-Perang Yang Benar, catatan perang yang lengkap dan menyemarakkan semangat jihad.

Siri ulasan seterusnya akan memaparkan detik-detik cemas Rasulullah terkena panah dan ditetak dengan pedang oleh tentera Quraisy dalam Perang Uhud.

 

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Dalam keheningan kota Madinah, tiba-tiba kedengaran bunyi gerombolan unta memasuki kota. Abdul Rahman Bin Auf pulang dari Syam dengan kafilah dagang, 700 ekor unta yang sarat dengan barang dagangan.”

 - Anas Bin Malik

Sistem kafilah dagang atau rombongan bisnes dipraktikkan oleh masyarakat Arab, termasuklah Abdul Rahman Bin Auf. Menurut sejarah Islam, nilai bisnes kafilah dagang Arab mencecah jutaan ribu dinar setahun. Modus operandi sistem ini sama seperti aktiviti import dan eksport sekarang.

Ramai peniaga yang bergabung dalam satu kafilah dagang. Mereka bergerak bersama-sama untuk berurus niaga ke luar negara seperti Syam. Ahli dalam satu kafilah dagang boleh mencecah ratusan orang dan bilangan unta hampir 1000 ekor. Unta adalah pengangkutan utama dan berfungsi sebagai sistem kargo pada zaman itu.

Imam Malik berkata,

Sudah menjadi tradisi orang Madinah, orang membeli pakaian di sebuah kedai dan membawanya ke kota lain bagi dijual dengan tambahan untung yang disepakati.”

Konsep bisnes yang diamalkan dalam kafilah dagang ini adalah murabahah. Dengan cara murabahah, satu barang dijual dengan harga yang ditetapkan selepas dikira harga kos dan nilai keuntungan. Walaupun keuntungan adalah matlamat utama bisnes, Abdul Rahman lebih mengutamakan keberkatan. Kata-kata beliau yang terkenal adalah,

Aku merasa cukup dengan untung yang sedikit, tetapi diberkati Allah.

Bagi mengaplikasikan konsep kafilah dagang ini dengan keuntungan yang optimum, strategi bisnes Tao Zhugong boleh digunakan. Tao Zhugong adalah tokoh pengasas pemikiran bisnes Cina. Strateginya adalah,

Kenal pasaran dan lakukan jual beli pada waktu keemasan.”

Permintaan pelanggan dan trend pasaran sentiasa berubah-ubah mengikut perubahan masa, musim, dan cuaca. Bagi memanfaatkan maklumat pasaran, Tao Zhugong dan rombongannya berjalan jauh selama berbulan-bulan bagi mencari pasaran yang sesuai dan mengaut keuntungan yang lumayan.

Hasil gabung jalin antara konsep kafilah dagang dan strategi bisnes Tao Zhugong, kita akan dapat memantapkan aktiviti bisnes supaya keuntungan yang optimum dapat diperolehi.

Dalam siri ketiga, pembaca akan didedahkan dengan konsep persaudaraan Islam yang menjadi asas pembinaan empayar bisnes yang kukuh. 

 

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Sebelum Muhammad dilahirkan, ibu baginda iaitu Aminah mengalami satu mimpi yang ajaib. Aminah melihat dirinya melahirkan seorang anak lelaki. Bersama-sama anak lelaki itu, keluar satu cahaya yang menerangi seluruh bumi. Aminah juga melihat dirinya berdoa,

“Aku berlindung kepada Tuhan yang Esa supaya anak ini diselamatkan daripada semua orang yang dengki kepadanya.”

Semasa mengandungkan Muhammad, Aminah tidak merasa penat atau sakit. Muhammad dilahirkan dalam keadaan sujud dan sudah berkhatan. Muhammad lahir pada hari Isnin, 12 Rabiulawal Tahun Gajah. Mengikut ahli sejarah, kelahiran ini berlaku 50 hari selepas peristiwa Abrahah dan tentera bergajah dihancurkan oleh Allah dengan rejaman batu-batu yang panas daripada burung Ababil.

Banyak perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran Muhammad. Hasan Bin Thabit, penyair Rasulullah menceritakan,

“Pada hari itu, aku berada dalam majlis orang-orang Yahudi Madinah. Seorang ulama Yahudi memanjat bumbung rumahnya sambil menjerit kepada semua orang, 'Bintang Ahmad muncul di langit.'”

Bintang ini hanya muncul apabila Muhammad dilahirkan.

Apabila Muhammad dilahirkan, Iwan Kisra iaitu istana Raja Farsi bergegar. Gegaran itu meruntuhkan 14 anjung istana dan memadamkan api sembahan orang-orang Majusi yang tidak pernah padam sejak beribu-ribu tahun. Tasik Sawwah yang berhampiran istana Raja Farsi juga tertimbus disebabkan gegaran itu. Kejadian ini adalah petanda kepada kejatuhan Farsi, kerajaan yang terbesar pada masa itu.

Peristiwa ajaib yang berlaku ketika kelahiran Muhammad ini diceritakan dengan lebih terperinci dalam buku Biografi Muhammad Bin Abdullah, buku sirah yang terbaik untuk mengenali Rasulullah.

Dalam siri ketiga, detik-detik kematian Muhammad akan dikongsikan dengan para pembaca.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Dalam Islam, perang tidak dimulakan hanya kerana mahu menunjukkan kegagahan. Matlamat perang bukan untuk menguasai sesebuah negara dan mengaut kekayaan. Perang juga tidak dicetuskan hanya kerana mahu membalas dendam.

Peperangan tidak boleh dimulakan dengan sewenang-wenangnya. Tatkala mahu mempertahankan akidah, mahu menegakkan kalimah Allah, dan mahu mempertahankan diri, ketika itu barulah peperangan dibenarkan. Hanya dengan niat yang benar dan dengan cara yang benar dapat menjadikan perang itu satu perang yang benar. 

Novel ini menghimpunkan catatan lengkap empat peperangan yang benar dan masyhur dalam Islam iaitu Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq, dan Perang Khaibar. Keempat-empat peperangan ini dimulakan atas sebab-sebab yang benar, bukan berlandaskan nafsu dan sebab yang palsu.

Dengan gaya penceritaan yang menarik, imaginasi pembaca ditarik masuk ke dalam buku ini dan memasuki sebuah dunia yang berlatar belakangkan padang pasir yang luas. Babak demi babak dalam peperangan ini diceritakan secara terperinci, seolah-olah pembaca sedang menyaksikan peperangan itu dengan mata mereka sendiri. 

Setiap satu peperangan yang diceritakan dalam novel ini ada kisah dan kehebatannya yang tersendiri. Strategi demi strategi sudah dirangka, setiap kemungkinan sudah dijangka, dan muslihat musuh sudah diteka. Para pahlawan Islam melangkah gagah menuju ke medan perang. Mereka berperang kerana mahu mati, sedangkan musuh takutkan mati. Untungnya tentera Islam, kalah ataupun menang mereka tetap dijanjikan syurga. Menang ataupun syahid, syurga tetap menanti.

Inilah catatan perang yang membangkitkan semangat jihad kita semua. Apabila membaca kisah para sahabat dan Rasullah sendiri yang bertempur bermatian-matian di medan perang, jiwa kita bergelojak dan kecintaan kepada para pahlawan Islam semakin menyubur.

 

Dalam siri kedua, pembaca akan dipaparkan dengan babak-babak yang menarik dalam Perang Badar.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Dipetik daripada Universiti Terbuka PTS (UNIKA)

Permintaan untuk novel-novel cabul dalam apa-apa jua bahasa memang sentiasa ada, dan saiz pasaran itu besar. Kuasa duit sedang mendorong industri novel cabul membesar dengan rancaknya. Semakin banyak penulis novel cabul muncul dalam pasaran. Semakin banyak penerbit yang menceburi sektor novel cabul. Semakin banyak kedai buku menjual novel cabul.

Laporan risikan pasaran yang kita lakukan menunjukkan pada masa ini novel-novel cabul menguasai pasaran fiksyen dalam Bahasa Melayu. Angka jualan novel-novel cabul itu mengatasi jualan novel-novel cinta romantis.

Novel-novel itu dijual di semua kedai buku utama. Laporan yang kita terima daripada petugas sebuah cawangan kedai buku berangkaian menunjukkan jualan kategori novel cabul mengatasi jualan lain-lain kategori buku.

Kedai-kedai buku yang selama ini sangat dihormati sebagai kedai buku bermutu pun kini menjual novel-novel cabul, malah novel-novel cabul itu diiktiraf dalam senarai bestseller mereka, serta dinobatkan dengan diberi hadiah dan anugerah.

Ada suatu fenomena baru yang sedang berlaku dalam industri novel cabul hari ini.

Pada masa-masa yang lalu, penulis-penulis novel cabul adalah terdiri daripada penulis lelaki. Tetapi pada saat ini, penulis-penulis perempuan mendominasi pasaran buku cabul. Maklumat daripada pasaran mengatakan ada antara penulis-penulis novel cabul itu adalah perempuan-perempuan muda yang belum berkahwin.

 

Baca lanjut di Universiti Terbuka PTS (UNIKA)

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Dipetik dari Universiti Terbuka PTS (UNIKA PTS)

Menulis novel-novel cabul terbukti boleh membawa keuntungan yang banyak dan segera. Jualan novel-novel cabul sangat rancak sekarang ini. Kedai buku besar dan kecil, terkenal dan tidak terkenal, semuanya sedia menjadi agen jualan novel-novel cabul.

Semua perkara ada baik dan buruknya, ada untung dan ruginya, ada plus dan minusnya.

Risiko paling besar menjadi penulis novel cabul adalah dosa yang berpanjangan. Meskipun kita sudah berhenti menulis, malah sudah bertaubat, namun kesan buruk akibat daripada pembacaan novel-novel itu tetap berjalan terus ke atas mereka yang pernah membacanya.

Meskipun kita menggunakan nama-nama samaran, orang tetap akan tahu juga siapa kita yang berselindung di sebalik nama-nama samaran itu. Nama baik kita rosak sampai bila-bila. Masyarakat tidak akan memaafkan kita.

Risiko menjual novel-novel cabul pun begitu juga. Meskipun sudah berhenti menjualnya, kesan kerosakan daripada jualan novel-novel cabul itu yang lalu tetap berlaku terus. Tidak dapat dihapuskan.

Klik di Universiti Terbuka PTS bagi membaca lanjut artikel.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Ditulis oleh Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd di Universiti Terbuka PTS (UNIKA)

Pada masa ini dunia penerbitan buku dalam Bahasa Melayu berkembang dengan baik, sehingga kedai-kedai buku sangat bergantung kepada jualan judul-judul Melayu untuk survival mereka.

Sektor buku yang paling aktif berkembang adalah (i) buku agama dan (ii) sastera remaja. Semua penerbit buku Melayu memasuki kedua-dua sektor ini.

Sektor buku remaja sedang mengalami fenomena lambakan judul, suatu situasi yang menyebabkan kerugian kepada penerbit apabila banyak buku mereka dipulangkan oleh kedai-kedai buku.

Perkembangan sektor buku agama pula sangat luar biasa, kerana pasaran sedang menyaksikan bagaimana jualan buku-buku agama edisi premium menunjukkan jualan yang sangat baik, dan menghasilkan keuntungan besar kepada penerbit.

Penerbit buku-buku agama berani mengeluarkan modal besar bagi menerbitkan buku-buku yang tebal dan mahal-mahal kerana sambutan dari pasaran sangat menguntungkan. Keadaan ini menyebabkan berlakunya persaingan kuat di kalangan penerbit bagi mendapatkan pengarang-pengarang yang mempunyai nama baik dalam pasaran. Mereka dilamar oleh banyak penerbit, masing-masing memberikan umpan yang menarik.

Dalam keadaan begini, isu amalan etika bisnes penerbit menjadi faktor yang sangat mempengaruhi keputusan pengarang sewaktu memilih penerbit.

 

Baca lanjut di Universiti Terbuka PTS (UNIKA)

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Dipetik dari blog Prof. Muhd Kamil Ibrahim, penulis buku Travelog Haji.

Seorang profesor lama memberi nasihat, "saya tahu prof mempunyai bilik yang besar di Malaysia. Di sini – lihatlah – kesemua pensyarah sama. Kita berkongsi dengan enam rakan sejawat yang lain. Bersabarlah".

"Tidak mengapa, saya suka begini...."

Jawapan yang tidak dipercayai beliau. Saya langsung tidak memikirkan soal-soal tersebut. Saya bersyukur diterima ke Madinah. Pendapatan saya lebih baik untuk seisi keluarga, keperluan memberi kuliah 7.5 jam dan kadar wajib berada di ofis selama 17.5 jam seminggu sudah jauh lebih baik daripada bilik yang besar.

Malah, saya hanya perlu bekerja 4 hari seminggu.

Saya lebih memikirkan, "bagaimana aku mahu solat 5 waktu di Haram?". Selebihnya, saya mahu kehadiran saya dirasai oleh universiti. Peluang untuk saya menggerakkan penyelidikan terbuka luas. Tiada seorang staf pun yang terlibat secara langsung dengan kegiatan akademik ini.

Dan mereka bergantung kepada saya untuk memulakanya.

Bahasa Arab

"Prof Ibrahim, are you OK?," Dr Adnan – Dekan – bertanya tepat ke muka saya.

"Not OK, l am lost!"

Semua ahli mesyuarat ketawa. Kenapa tidak? 100 peratus mesyuarat dikendalikan dalam bahasa Arab. Sebenarnya saya OK-OK sahaja. Ia mesyuarat yang ceria.

Pertama, duduk sahaja di meja mesyuarat, kami dihidangkan dengan jus buah. Hidangan yang diminum serta merta belum pun tiba pengerusi majlis. Ia tidak berlaku di Malaysia.

Kedua, kami dihidang pula dengan manisan berkualiti. Coklat dan sejenis manisan Arab yang lain. Juga, selesai serta-merta. Di hadapan kami terdapat biskut Arab yang sedia ada dan selesai dimakan bersekali dengan makanan yang lain.

Kemudian, muncul Dekan dengan wajah yang sangat ceria. Semuanya dipeluk beliau.

Mesyuarat berlangsung hampir 1 1/2 jam. Tiada minit tercatat. Saya langsung tidak dapat memahami tutur kata mereka tanpa bantuan staf yang menterjemahkan isu-isu penting.

Bila tiba saya bercakap, saya mulakan dengan kata-kata, "Kaifa Halukun?, " disambut gelak ketawa hadirin. Rupa-rupanya, sayalah salah satu daripada tiga orang staf yang bukan datangnya dari dunia Arab.

"Itu sahaja yang saya tahu.... opps.... ada dua lagi... Ila liqa' and Maasalamah".

Biarlah begitu.... biar saya terkapai-kapai mencari makna yang tersirat di sebalik kata-kata tersebut. Saya perlu belajar dan ia harus pantas. Malah, e-mel rasmi juga dihantar menggunakan bahasa Arab.

Baca lanjut di muhdkamil.org/blog/2011/09/

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Dipetik daripada blog penulis buku Young Aisyah, Saridah Hamid di http://saridahamid-kuinginbicara.blogspot.com/

Hubungan persahabatan bukan terjalin secara spontan atau dibentuk dengan mudah. Ia berlaku bila ada kesesuaian antara dua individu yang bertemu dan terjalin hubungan yang penuh mesra dan kasih sayang. Hubungan yang baik boleh memecahkan dinding yang selama memisahkan diri kita dari dunia luar dan tidak mahu memulakan hubungan dengan orang lain.

Bermula dari individu yang begitu asing kepada kita kemudiannya dengan usaha dua individu itu, lalu antara satu sama merasa tertarik atau masing-masing ada daya tarikan yang tersendiri. Daya tarikan itu yang membuat individu lain mahukan hubungan lebih serius perlu dijalinkan. Ini berlaku apabila kita mula hendak berkongsi pengalaman hidup dengan individu yang baru kita temui itu.

Individu yang pemalu sering mencari alasan untuk tidak bertemu dengan orang lain. Sekiranya boleh, individu pemalu kalau keluar dari rumahnya tidak mahu bertembung dengan orang ramai yang berada di jalan raya, pasar raya, kedai, dan sebagainya. Individu pemalu ini mengambil masa untuk berkenalan dan beramah mesra dengan individu lain apatah lagi hendak berkongsi pengalaman. Tetapi mereka memilih individu yang boleh menarik perhatiannya dan memahami perangainya. Mereka ini walaupun pemalu tetapi masih perlu bersahabat!

Sesetengah individu pula menghadapi masalah hendak bercampur gaul dengan orang lain. Benarkah individu yang bermasalah sukar bergaul dengan individu lain sebagai sahabat? Oleh itu, kita harus menjalinkan hubungan dengan secara rasional dan bukan dipaksa-paksa. Biarlah apa yang ada dalam diri kita menjadi daya tarikan kepada individu lain yang boleh dijadikan satu titik permulaan. Mungkinkah cara bertegur, senyuman, bercakap, pakaian, imej diri atau lain-lain yang boleh dijadikan daya tarikan kepada individu lain sebagai satu permulaan jalinan persahabatan. Gunakan kaedah psikologi yang berkesan. Oleh itu, kita kenalah belajar ilmu psikologi yang asas supaya segalanya berjalan dengan lancar.

Siapa yang perlu memulakannya?

Sesiapa sahaja boleh memulakan perkenalan dan suai kenal antara dua individu yang berlainan. Salah seorang hendaklah berusaha membina dan membentuk hubungan dengan selesa dan mudah. Namun begitu, dalam menjalinkan hubungan di peringkat awal perlu berhadapan dengan risiko sementara. Risiko tidak dilayan, diejek, di pandang sepi atau di pandang pelik. Situasi ini mungkin dihadapi pada peringkat awal dan anggaplah itu sebagai mengajar kita supaya lebih matang dan berhati-hati. Sakit hati sekiranya kita sahaja yang bersungguh-sungguh hendak berkawan sedangkan individu yang lain buat tidak endah sahaja.

Adakalanya kita tidak boleh menjangka apakah pandangan orang lain terhadap diri kita yang ikhlas hendak menjalin hubungan. Kita mesti menanggung risiko dengan menunjukkan keyakinan kepada individu itu yang kita hendak bersahabat dengannya secara akrab dan ikhlas. Sebenarnya, memulakan persahabatan itu ada risikonya dan tidak semudah yang dibayangkan.

Adakah kita memerlukan sahabat?

Baca lanjut di http://saridahamid-kuinginbicara.blogspot.com/

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Petikan berita dari Berita Harian Online oleh oleh Hafizah Iszahani dan dipetik pada 19 September 2011

"Kami terima pengarang seadanya, tetapi berharap persefahaman membawa kebaikan kedua-dua pihak.
Lagipun jika pengarang menghasilkan tiga empat novel setahun dengan bermacam-macam nama dan pelbagai syarikat, tidak mustahil novelnya kurang sambutan. Kekerapan akan cenderung menyebabkan idea berkisar pada isu yang sama.

"Industri penerbitan berbahasa Melayu sangat kecil dan pembacanya terhad. Lama kelamaan identiti pengarang akan diketahui. Pengarang mungkin seronok bila karyanya banyak di pasaran, tetapi tidak bagi penerbit. Kalau novel pengarang itu laku dengan syarikat A, bila dia menulis dengan syarikat B, penerbit tidak berminat mempromosikan karya mereka," katanya.
Seorang pembaca, Ramji Rabi pula berpendapat, kesetiaan pembaca kepada pengarang yang diminati lebih penting daripada persoalan pengarang pujaan suka melompat penerbitan, selain mutu karya turut menjadi ukuran kepadanya ketika membeli.

"Saya tidak peduli siapa penerbit asalkan ia pengarang pilihan saya dan mutu karya turut mempengaruhi. Jika susun atur naskhah cacamerba, ditambah penyuntingan sambil lewa dan kesalahan ejaan bertaburan, saya tidak akan membeli. Saya akan membeli naskhah pengarang lain.

"Pengarang perlu banyak membaca dan menjadi lebih pandai daripada pembaca. Jika tulisannya terlalu rendah atau tidak mencapai piawaian yang diharapkan pembaca, lama-kelamaan karyanya sukar untuk dijual dan semakin ramai peminatnya lari," katanya.

Penolong Pengurus Perdagangan, Jabatan Bahasa Melayu, Bahagian Perdagangan Inggeris Popular Book (M) Sdn Bhd, Azrina Azmi, menafikan program Eksklusif Popular sebagai strategi memancing pengarang atau menggalakkan mereka melompat penerbitan.

Baginya tidak timbul persoalan 'mencuri' pengarang atau menggalakkan mereka melompat penerbitan kerana pembungkusan semula karya pengarang laris di pasaran dengan penambahan nilai pada kadar harga sama menerusi program Eksklusif Popular adalah strategi pemasaran menang-menang.

Popular yang banyak mengimport dan menjual buku berbahasa Mandarin memperkenalkan program Eksklusif Popular dengan matlamat membantu meningkatkan kadar jualan dan populariti penulis, serentak itu Popular memperoleh hak sebagai pengedar tunggal.

"Hak penerbitan masih pada syarikat asal. Cuma kita bantu aspek pengedaran. Pembaca dapat lebih pilihan. Misalnya penerbit asal mempromosi buku resipi pada harga RM19.90, kami beri tambah nilai dengan kompilasi beberapa buku resipi penulis sama, pada harga yang masih murah. Ini dapat membantu penulis dan penerbit.

"Istilah mencuri di sini tidak tepat memandangkan pengarang tidak dipaksa menyertai program terbabit, malahan berhak menolak. Dalam Eksklusif Popular, konsep kami jelas. Biasanya pengarang yang diberi tawaran adalah mereka yang sudah dikenali dan ada pengikut. Jadi, ia bukan soal curi, sebaliknya ia sebahagian daripada strategi pemasaran," katanya.

Azrina menegaskan, setiap pengarang perlu bijak memasarkan diri, namun, ada kalanya sifat kurang sabar segelintir mereka dengan bertukar-tukar penerbit dalam percubaan untuk menempatkan diri dalam barisan pengarang laris di pasaran.

"Ada penulis terpaksa keluar daripada penerbitan A kerana masalah tertentu, tetapi ada juga yang suka menerbitkan karya dengan syarikat A, B dan C dengan pelbagai nama. Ini masalah khususnya kepada pengarang baru. Nama untuk pengarang adalah jenama. Jika banyak nama dan pelbagai penerbit, pembaca tidak kenal. Buku sebaik mana pun susah laku," ujarnya.

Novelis, Salina Ibrahim yang menghasilkan enam novel laris di pasaran ketika bernaung di bawah Creative Enterprise sebelum beralih ke PTS Publications & Distributions Sdn Bhd (PTS) menerusi Bukan Yang Pertama (BYP) antara pengarang yang menerbitkan karya dengan dua penerbitan dalam satu masa.

"BYP asalnya adalah naskhah yang disiarkan secara bersiri. Apabila dikompilasikan ketebalannya mencecah 1,000 halaman dan tidak ramai penerbit bersedia mengambil risiko kerana harganya juga menjadi mahal, tetapi PTS bersedia sekalipun sedar novel itu bukan berkisar kepada cinta popular.

Kebetulan ketika itu, PTS sedang merintis novel bernuansa Islami dan turut menerbitkan chiklit sehingga karyanya dalam genre itu seperti Aina Aini, Diva Kampung dan Aina Aini, Model Terhangat, mendapat laluan dan menjadikan penghijrahan Salina ke PTS kena pada masanya.

 

Baca lanjut di Berita Harian Online

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Komik dan Patriotisme

Seperti biasa apabila menjelang musim kemerdekaan, semua jenis media memainkan peranan memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan perjuangan dan usaha mereka yang terdahulu membebaskan negara daripada cengkaman anasir asing. Para artis dan seniman juga berebut-rebut menghasilkan filem, drama, dokumentari, lagu serta pelbagai produk seni bagi meraikan hari bersejarah bangsa Malaysia. Segalanya dilakukan demi mengiktiraf dan menghargai harga kebebasan yang kita kecapi selama ini.

Sebagai sebahagian daripada golongan seniman, kartunis dan artis komik tanah air juga tidak ketinggalan membuktikan semangat patriotik yang wujud dalam jiwa mereka. Melalui medium majalah, akhbar, buku, blog dan sebagainya, karya berkaitan isu merdeka serta cintakan negara diketengahkan dalam bentuk satira, bersahaja dan menjentik minda. Isu jati diri, masalah sosial, politik, ekonomi, kebudayaan, perpaduan serta pelbagai isu masyarakat dijadikan bahan yang menarik bagi difikir dan direnungi bersama.

Sebelum merdeka lagi, wadah kartun digunakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan kemerdekaan serta mengkritik sikap negatif bangsa Melayu seperti malas, suka berhutang, lupa diri dan bertelagah sesama sendiri. Profesor Dr. Mulyadi Mahamood menyatakan dalam buku Dunia Kartun, kartunis-kartunis seperti Ali Senat, Abu Bakar Mohd Noh dan Abdul Manan berjuang memanfaatkan kartun dalam ruang akhbar seperti Utusan Zaman serta Warta Jenaka bagi mengupas isu membebaskan diri daripada cengkaman penjajah dan pengaruh budaya negatif mereka. Secara tidak langsung, golongan kartunis turut memberi sumbangan ke arah kemerdekaan negara.

Kini kartunis dan artis komik lebih berperanan mengisi ruang kemerdekaan dengan karya-karya segar yang orientasinya menjurus ke arah mengekalkan perpaduan, meningkatkan kemajuan serta memurnikan masalah sosial serta budaya yang melanda masyarakat. Perjuangan para kartunis dan artis komik tempatan terdahulu tidak disia-siakan malah disambung oleh generasi demi generasi sehingga hari ini.

Komik-M menerusi antologi komik 'Aku, Kau & Malaysia' menggabungkan karya komik patriotik artis-artis komik tempatan seperti Froggypapa, Azhar Abdullah, Bophairy, Xlid, Shahrul Akram, Tan Teck Hwa, Ard One, Jas dan Pac. Melalui komik antologi ini, para artis menyalurkan mesej kecintaan dan keprihatinan mereka kepada negara dalam pelbagai kisah lucu, nostalgik, sedih, cinta, fantasi, drama dan lain-lain.

Froggypapa yang menghasilkan komik bisu berjudul 'Bendera Aku & Kau' secara dramatik menceritakan kisah perjalanan sehelai bendera dalam kehidupan pelbagai lapisan masyarakat Malaysia. Menurut Froggypapa, medium komik mampu membantu melahirkan generasi-generasi yang lebih matang dan berjiwa besar. Namun beliau menegaskan, artis komik terlebih dahulu perlu mempunyai jati diri yang tulen bagi menghasilkan komik yang baik. Beliau juga bimbang sekiranya tersalah mendidik anak bangsa dengan karya-karya yang tiada nilai kemerdekaan.

Azhar Abdullah, Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia (PeKomik) yang prihatin dengan nasib industri komik tempatan meluahkan isi hati dan pandangannya dalam komik sepuluh muka berjudul Khalifah Merdeka. Beliau menyatakan kebimbangannya terhadap generasi muda yang terlalu mengagungkan budaya luar berbanding budaya sendiri sehingga hilang jati diri. Sebagai contoh, generasi baru kini lebih mengenali ninja dan samurai daripada pendekar bangsanya sendiri. Namun beliau tetap menaruh harapan supaya medium komik mampu membakar semangat jati diri anak bangsa Malaysia.

Bophairy yang terkenal dengan siri komik Ultra Qalif menampilkan komik pendek yang menarik berjudul 'Untuk Inikah Perjuangan Kita Dahulu?' di dalam antologi komik ini. Komik ini menceritakan kisah dua orang tua yang pernah berjuang menentang penjajahan tentera Jepun di Tanah Melayu. Selepas sekian lama tidak berjumpa, mereka berbual panjang sehingga menggamit kembali memori silam seperti ditindas dan melawan tentera Jepun. Apabila selesai berbual, mereka terkedu melihat muda mudi di jalanan yang semakin terhakis budaya ketimuran dan budi bahasa. Adakah ini hasil perjuangan mereka menentang penjajahan suatu masa dahulu?

Tan Teck Hwa, salah seorang artis komik berbangsa Cina turut menyumbangkan karya di dalam Aku, Kau & Malaysia. Komiknya yang berjudul 'Bunga Kebangsaan Bunga Kebanggaan' memaparkan kisah tulus seorang murid sekolah rendah yang mencintai bunga raya dan bersusah payah memelihara dan melindunginya. Secara simbolik, Tan Teck Hwa menerapkan semangat cintakan negara melalui kisah bunga raya ini. Menurut Tan, semangat cintakan negara dapat bermula daripada perkara asas seperti mengamalkan tabiat hidup yang menjaga imej negara. Walaupun sekadar perkara remeh seperti tidak membuang sampai merata-rata, ia sudah dikira sebagai cintakan negara.

Selain itu, antologi ini turut memuatkan komik-komik menarik yang lain daripada artis-artis Komik-M seperti Roh Negaraku oleh Shahrul Akram, Perang Kampung oleh Xlid, Dunia Didi oleh Ard One, Meon oleh Jas dan Prolog Twinx oleh Pac. Selain komik, temu bual eksklusif bersama para artis juga dimuatkan sebagai bonus. Komik yang mewakili hasrat hati para artis komik ini sangat wajar dimiliki oleh para pembaca. Anggaplah ia sebagai hadiah daripada artis-artis komik sempena Hari Malaysia. Majulah komik demi negara.

Penulis adalah Pengurus Penerbitan PTS Pop Sdn Bhd.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Ibnu Umar menyatakan yang ada beberapa orang sahabat nabi bermimpi Lailatul Qadar datang pada tujuh malam terakhir Ramadan. Rasulullah berkata, "Aku juga melihat tanda yang sama dengan kalian. Oleh sebab itu siapa yang menginginkan Lailatul Qadar, perolehinya pada tujuh malam terakhir."

Lailatul Qadar mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam. Malam itu diakui lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat termasuk Jibril turun bagi mengatur segala urusan. Malam itu penuh dengan kesejahteraan sehingga terbit fajar.

Sama seperti kematian, Lailatul Qadar juga dirahsiakan kehadirannya oleh Allah. Ini supaya manusia menggunakan seluruh waktunya beribadah dan mengingati Allah.

Rekod Muslim menyatakan Lailatul Qadar jatuh pada tujuh malam terakhir sedangkan rekod Bukhari menyatakan ia jatuh pada malam ketujuh dan ada yang mengatakan 10 malam terakhir.

Dalam hadis yang direkodkan Ali, Rasulullah berkata,

"Rebutlah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. Apabila kalian kehilangan hari-hari sebelumnya, jangan pula kalian terlepas malam-malam terakhir itu."

Ibnu Umar merekodkan Rasulullah berkata,

"Rebutlah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. Apabila kalian berasa lemah ataupun tidak mampu melaluinya, maka jangan pula kalian kehilangan tujuh malam terakhir."

Sebahagian ulama berpendapat Lailatul Qadar jatuh pada malam 22 dan terakhir jatuh pada malam ke 28. Ini berdasarkan hadis yang direkodkan Bukhari daripada Ibnu Abbas. Rasulullah berkata "Rebutlah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. Namun Lailatul Qadar itu jatuh pada malam dengan bilangan ganjil."

Daripada hadis yang berbeza, lahirlah pendapat ulama yang pelbagai. Direkodkan terdapat tidak kurang daripada 40 pendapat berbeza perihal tarikh Lailatul Qadar.

Apa pun, Lailatul Qadar mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak dapat kita kenali kecuali selepas malam itu berlalu. Salah satu keistimewaan itu adalah matahari terbit seperti biasa tetapi tidak memancarkan cahaya yang redup. Matahari tidak bersinar terang seperti biasa pada hari sesudah Lailatul Qadar.

Ini berdasarkan hadis daripada Zur Bin Hubaisy. Beliau berkata, saya mendengar Ubay bin Kaab menyatakan, "Orang yang bangun di tengah malam selama setahun, beliau menemui Lailatul Qadar." Ayahku berkata, "Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia. Lailatul Qadar itu terdapat pada bulan Ramadan.

Demi Tuhan, aku mengetahuinya. Malam manakah itu? Ia malam di mana Rasulullah memerintahkan kita bangun beribadah. Malam itu adalah malam ke 27, yang ditandai dengan terbitnya matahari berwarna putih bersih dan tidak bercahaya seperti biasa."

Direkodkan daripada Ibnu Khuzaimah,

"Sewaktu Lailatul Qadar meninggalkan kita, bumi tidak terasa dingin ataupun panas dan matahari terlihat berwarna merah pudar."

Ahmad merekodkan,

"Pada hari itu tidak terasa panas ataupun dingin, dunia sunyi dan rembulan bersinar."

Malam Lailatul Qadar bukanlah malam yang penuh dengan bintang yang bersinar sebagaimana disangka ramai orang. Namun Lailatur Qadar adalah malam yang mempunyai tempat khusus di sisi Allah. Setiap muslim dianjur mengisi malam itu dengan ibadah dan mendekatkan diri padanya.

Imam Tabari menyatakan, "Tersembunyi Lailatur Qadar adalah bukti pembohongan orang yang menyatakan dalam malam itu ada perkara yang tidak pernah kita lihat pada malam-malam lain sepanjang tahun. Oleh sebab kerahsiaannya, bukan semua orang beribadah sepanjang tahun mendapat Lailatul Qadar."

Ada yang menemui Lailatul Qadar hanya dengan beribadah tanpa melihat sebarang keganjilan. Ada pula sebahagian yang lain melihat keganjilan tanpa disertai ibadah. Dalam hal ini, sudah pasti orang beribadah walaupun tidak melihat sebarang keganjilan lebih utama kedudukannya di sisi Tuhan.

Sebahagian pendapat menyatakan salah satu ciri Lailatul Qadar adalah semua yang ada di bumi ini tunduk dan sujud kepada Tuhan. Sebahagian yang lain menyatakan pada malam itu, dunia terang benderang. Kita dapat melihat cahaya di mana-mana sahaja walaupun di tempat-tempat yang biasa gelap.

Ada yang menyatakan orang yang memperolehi Lailatul Qadar dapat mendengar salam dan percakapan malaikat. Ada pula yang menyatakan salah satu ciri Lailatul Qadar adalah doa orang yang diberikan petunjuk dikabulkan.

Artikel dipetik daripada Buku Keajaiban Ramadan tulisan Jaffar Siddiq terbitan PTS Millenia Sdn bhd.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Ada teori yang mengatakan manusia perlu tidur selama 6 hingga 8 jam sehari. Namun demikian, teori ini ditolak oleh para sainstis Barat seperti Dr Ray Meddis, seorang profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology. Beliau mengatakan, "Manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja."

Keperluan tidur hanyalah bagi merehatkan sistem dalam badan dan minda kerana sudah bekerja sebelum ini. Tidur yang banyak boleh melemahkan sistem itu bagi jangka masa panjang.

Mengikut kata-kata Ustaz Ismail bin Said, cucu Tok Guru Pulau Ubi, Allah mencipta udara khas yang diperlukan untuk sistem badan manusia. Udara ini hanya terdapat pada tiga perempat malam atau lebih kurang pukul 3.00 pagi sehingga terbit matahari. Beliau menyarankan supaya udara ini perlu disedut melalui hidung dan dihembuskan melalui mulut. Ia boleh dilakukan seberapa banyak kali yang mungkin. Sebaiknya, ia perlu dijadikan amalan supaya sistem dalam badan sentiasa sihat dan dapat menghindari daripada sebarang penyakit.

Pendapat ini disokong pula oleh Ustaz Sanusi bin Ismail, cicit Tok Guru Pulau Ubi. Namun demikian, beliau menambah supaya udara yang disedut melalui hidung itu, ditahan beberapa saat sebelum dihembuskan melalui mulut. Ia bertujuan supaya udara yang disedut itu dapat meresap ke dalam sistem badan.

Amalan ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang sentiasa bangun malam bagi menunaikan solat Tahajud dan sebagainya. Oleh itu, seharusnya kita mengubah minda dan persepsi sebelum ini yang bertapak dalam fikiran kita. Saranan ini bertepatan dengan ajaran Islam yang memerlukan umatnya bangun pada waktu malam bagi menunaikan solat Tahajud.

Artikel dipetik daripada buku Adab Ramadan dan ditulis oleh Absyar Fuad dan Suzana Ismail.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Artikel dipetik daripada Utusan Malaysia Online yang ditulis pada 7 Ogos 2011

Sebagai contoh, novel yang temanya cinta seorang gadis yang direbut beberapa orang lelaki atau seorang lelaki dan diminati oleh ramai perempuan. Bezanya cuma mereka ini diwatakkan memakai tudung dan kopiah, mungkin berjubah dan berjanggut dan belajar di Mesir atau mana-mana negara Arab. Konflik dan plot tetap pengulangan kepada novel cinta picisan, cuma gambaran aksi tidak patuh syariah seperti adegan peluk, cium, keluar makan berdua- duaan dengan bukan mahram ditiadakan.

Lembaran baru

Sebenarnya sastera di Indonesia juga disebut dan dikaitkan dengan kebangkitan apa yang dinama novel Islam itu. Ini tercetus selepas novel Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman El-Shirazy menjadi fenomena selepas difilemkan di Indonesia. Fenomena tersebut sampai ke Malaysia sekaligus membuka lembaran baru kepada penerbit novel khususnya PTS melalui anak syarikatnya PTS Litera Sdn. Bhd. yang pantas memainkan peranan di persada penerbitan negara.

Pada masa yang sama terbit novel Islam sulung PTS berjudul Salju Sakinah tulisan Zaid Akhtar, seorang graduan lepasan sebuah universiti di Jordan yang kisahnya juga berlatarkan Jordan. Sebenarnya Zaid telah lama menulis novel ini dan disiarkan secara bersiri dalam Utusan Malaysia, lama sebelum Ayat-Ayat Cinta menjadi fenomena.

Menurut SM Zakir yang melontarkan pandangan dalam dialog itu, Ayat-Ayat Cinta adalah suatu perancangan daripada golongan agamawan yang mahu menyekat suatu gelombang baru pasca kejatuhan Suharto. Gelombang tersebut adalah kebangkitan daripada sasterawan yang menggelarkan diri mereka sebagai sasterawan Utan Kayu. Mereka adalah sekolompok penulis yang merayakan kejatuhan Suharto dengan simbolik kepada kebebasan dalam berkarya. Ini kerana pada zaman Suharto tidak dibenarkan sebarang novel atau bahan bercetak memperinci dan mendedahkan tubuh badan dan unsur seksualiti sekalipun atas nama seni.

Justeru golongan ini dengan beraninya mula menunjukkan penentangan terhadap orde Suharto dengan menulis novel-novel berbaur seks, erotis dan ternyata dengan beraninya membogel dan bercerita dengan bebasnya mengenai perkara-perkara ini dalam novel mereka. Antara penulis dari Utan Kayu ini adalah Ayu Utami yang menulis novel Saman. Seorang wanita membicarakan seks secara terbuka dalam sebuah novel adalah satu perkara baru dan ia mendapat sambutan yang amat memberangsangkan di Indonesia.

Justeru, kelompok penulis yang dimulai oleh Habiburrahman El-Shirazy bangkit dan menerbitkan karya-karya yang berunsur Islam yang sangat kental, dimulakan dengan Ayat-Ayat Cinta sehinggalah ia difilemkan dan menjadi sangat sukses di Indonesia. Gelombang novel berunsur Islam ini kemudian dilihat sangat berjaya mengekang kebangkitan apa yang dinamakan dengan sastera wangi oleh para penulis Utan Kayu. Sebagai kesimpulan, SM Zakir menganggap gagasan novel Islam Habiburrahman El-Shirazy berjaya dalam dakwahnya di Indonesia.

Bersetuju

Saya kembali teringat kata-kata penulis Faisal Tehrani ketika saya mengajukan persoalan apakah karya-karya Habiburrahman El-Shirazy boleh dikelaskan sebagai sastera Islam. Faisal pada masa itu lebih bersetuju dengan kelas novel pop Islam. Antara alasannya adalah kerana budaya dan cuaca sosiologi di kedua-dua negara adalah berbeza.

Baca lanjut di Utusan Malaysia Online.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Oleh: NORHASLINDA BT ABDUL RAZAK. 

Novela didefinisikan oleh Kamus Dewan edisi keempat sebagai sejenis novel pendek. Novela adalah sejenis cerpen panjang yang mengutarakan konflik yang lebih ringan berbanding novel yang menampilkan pelbagai konflik dan perjalanan plot yang lebih panjang. Sekadar menyebut beberapa contoh seperti Dr. Jekyll and Mr. Hyde, The Time Machine, Breakfast at Tiffany's dan A Christmas Carol, ini semua adalah judul novela yang terkenal daripada Barat dan tidak asing lagi bagi kebanyakan kita, lebih-lebih lagi novela bertajuk Dr. Jekyl and Mr. Hyde yang dijadikan bacaan komponen sastera bahasa Inggeris yang wajib dihadam oleh para pelajar menengah rendah di Malaysia. Penulisan berbentuk novela yang telah lama bertapak di negara Eropah menyebabkan mereka mempunyai koleksi novela yang cukup banyak. Berbanding Malaysia, novela adalah genre sastera baru yang masih samar-samar dan belum diketahui ramai. Novela sendiri diambil daripada perkataan Itali iaitu novelo yang bermaksud 'baru'. Sesetengah pendapat menyatakan novela lazimnya terdiri daripada tujuh belas ribu perkataan dan adakalanya mencecah tujuh puluh ribu patah perkataan. Tidak seperti novel, penceritaan novela tidak dibahagi-bahagikan kepada bab atau bahagian kerana ia lebih kepada bacaan ringan dan nipis serta mampu dihabiskan pembaca dalam masa yang singkat.

         Melihat penulisan novela mampu melangkah jauh sehingga menghasilkan nama-nama besar seperti John Steinbeck dan Charles Dickens di negara Barat, PTS Litera Utama Sdn. Bhd yang juga anak syarikat PTS Publication & Distributors kini mengorak selangkah ke hadapan dengan memperkenalkan genre penulisan ini kepada khalayak pembaca di Malaysia. Novela sulung terbitan PTS Litera Utama karya Elisya mula diperkenalkan. Novela setebal 139 muka surat ini menjanjikan kepuasan bagi pembaca yang mencari bahan bacaan ringan dan santai dengan harga yang jauh lebih murah berbanding novel biasa. Jangan dilihat pada ketebalannya, tetapi lihatlah pada sisi positif yang ditampilkan sebagai pengajaran dalam novela ini. Novela bukan sekadar sesuai sebagai bacaan remaja, malah tidak rugi dicuba oleh pembaca dewasa yang mencari kelainan dalam bacaan. Melihat kepada kulit novela ini sahaja pembaca mungkin sudah dapat mengagak kisah yang terkandung di dalamnya. Sememangnya itulah yang ingin disampaikan oleh Elisya yang mempertaruhkan kisah gadis bernama Alyah yang serba sederhana hidupnya. Wajahnya sederhana, kepintarannya sederhana, pergaulannya sederhana, keluarganya sederhana sehinggakan adakalanya dia berasa hampa dengan hidupnya. Kemudiannya, datuknya meninggalkan pesan kepadanya sebelum meninggal dunia, menyatakan bahawa cucunya itu seorang yang sangat bertuah kerana hidupnya sudah dijadikan sederhana. Datuknya menyuruhnya menjadi orang yang sentiasa bersederhana. Walaupun dia kurang percaya nasihat datuknya, dia tetap memegang nasihat itu bagi menyedapkan hatinya sendiri.

    Oleh sebab keputusan peperiksaannya yang sederhana, dia tidak berjaya menyambung pelajarannya ke peringkat tertinggi. Jadi, dia memutuskan belajar di kolej swasta. Oleh sebab keluarganya yang sederhana, dia terpaksa bekerja di kedai runcit bagi mendapatkan pendapatan tambahan.

    Dia juga tinggal serumah dengan dua orang lagi rakan perempuan yang kedua-duanya sangat berbeza dan sangat esktrem dalam soal melihat hidup. Seorang sangat oportunis dan seorang lagi sangat negatif. Alyah yang serba-serbi sederhana inilah yang menjadi orang tengah kerana kedua-duanya sering bergaduh.

      Pada waktu itulah Alyah sedikit demi sedikit mula bersyukur kerana menjadi seorang yang sederhana, dalam masa yang sama, dia perlu melawan hasutan rakan-rakan serumahnya itu yang ekstrem dalam setiap perkara. Ikuti novela Si Gadis-Gadis First Class bagi mengetahui pengakhiran kisah kesederhaan Alyah dan keesktreman Intan Sara dan Siti Kalsom.

Penulis adalah editor di Unit Terjemahan, PTS Litera Utama Sdn. Bhd.







Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Artikel daripada myMetro Online dan dipetik pada 5 Ogos 2011.

Makanan segera sebenarnya mengandungi banyak bahan tambahan dan pengawet yang tidak diperlukan oleh tubuh badan manusia bahkan ia boleh membawa kepada kemudaratan.

Antara penyakit akibat ketidakseimbangan itu ialah masalah kegemukan (obesiti). Ia bermula daripada gejala ringan sehingga serius yang boleh membawa maut seperti masalah tahap kolesterol, tekanan darah tinggi, diabetes, gangguan sistem pencernaan, jantung, hati gangguan otot dan sendi, otak dan barah.

Dengan berpuasa kita bukan hanya menahan lapar dan dahaga tetapi puasa itu memiliki jiwa. Hasil kajian berkaitan puasa mendapati puasa adalah aktiviti yang membabitkan aspek fizikal, jiwa dan spiritual manusia.

Orang yang berpuasa selain menahan diri daripada makan dan minum mereka lebih banyak berkomunikasi dengan Allah. Maka di sini ia tidak sama antara puasa dengan amalan berdiet.

Lapar dan dahaga adalah kaedah bagi mencapai tujuan berpuasa, tetapi bukan tujuan utama sehingga menjadikan lapar serta dahaga sebagai matlamat kita berpuasa.

Puasa yang baik dan bermanfaat adalah puasa yang memperbaiki diri sendiri, orang lain, alam sekitar seterusnya meningkatkan amalan kepada Allah.

Apabila manusia mencapai hal berkenaan bermakna mereka kembali kepada fitrahnya sebagai insan kamil (sempurna). Antara tanda manusia sempurna ialah memiliki tubuh badan sihat, emosi tenang dan terkawal, berfikiran jelas, bijaksana, hati yang lembut dan peka dan tenang menghadapi segala persoalan hidup.

 

Baca lanjut di myMetro Online

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Bahan A

200 gram keledek oren

200 gram keledek kuning

1 cawan isi jagung

1 ½ cawan gula pasir

2 cawan air

1 tin susu cair

3 helai daun pandan [koyak dan simpulkan]

Garam secukupnya

 

Cara Membuat

1. Keledek dikupas dan potong dadu kasar. Basuh dan toskan.

2. Masukkan keledek, jagung, dan air dalam periuk. Masakkan sehingga keledek lembut.

3. Masukkan gula, garam, daun pandan dan biarkan mendidih dengan api perlahan.

4. Masukkan susu cair dan kacau rata. Masakkan lagi sambil kacau sehingga naik wap.

5. Tutup api dan masukkan dalam mangkuk.

6. Hidangkan.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Para sarjana Islam menerangkan maksud 'bau yang harum daripada mulut orang yang berpuasa di sisi Allah'. Apabila seseorang itu berpuasa, bau mulutnya menjadi busuk. Bau busuk itu menjadi kurang menyenangkan dan mengganggu urusannya sesama manusia. Maka bertambah ujian berat kepadanya. Oleh itu, Allah memberi kelebihan kepada orang berpuasa dengan menghiaskan mereka yang berpuasa dengan bau harum daripada mulutnya pada hari kiamat kelak.

Keadaan yang sama disebutkan di dalam hadis yang lain. Hadis yang lain menyebut darah orang yang terbunuh dalam perang membela agama Islam pada hari kiamat kelak menjadi bauan yang harum. Warnanya merah seperti darah tetapi baunya harum seperti kasturi. Ia termasuk dalam janji Allah yang benar dan pada masa yang sama ia menguji kepercayaan kita kepada Allah, hari akhirat dan perkara yang ghaib.

Sarjana Islam juga menegaskan maksud ini iaitu orang yang berpuasa sudah mendapat kelebihan sejak di dunia lagi. Ia juga menegaskan Allah begitu hampir dengan orang yang berpuasa walaupun bau mulut mereka tidak disukai kerana busuk. Walau bagaimanapun, Allah tetap menerima orang yang berpuasa itu dengan rahmat dan kasih sayang kerana ibadatnya kepada Allah. Sarjana Islam juga menghuraikan kelebihan bau kerana puasanya itu melebihi kelebihan yang dicapai oleh pemilik kasturi. Begitu juga orang yang berpuasa disanjung oleh para malaikat walaupun bau mulutnya berbau dengan sebab puasa. Malaikat itu adalah makluk yang terbaik dan mulia di sisi Allah kerana ketaatannya. Ada kalangan sarjana Islam menghuraikan maksud kelebihan bau mulut orang berpuasa di sisi Allah lebih daripada pahala sunat memakai bau-bauan semasa ibadah lain.

 

Artikel dipetik daripada buku Ramadan Tetamu yang Dirindui oleh Tuan Abdul Hadi Awang dan diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn Bhd.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Dipetik daripada Berita Harian Online pada 2 Ogos 2011 dan ditulis oleh Hajahfarhana Tarmudi.

"Selepas urusan memilih buku dan tempat untuk mewakafkannya, pihak PTS akan menghantar kepada institusi atau tempat yang dipilih oleh pewakaf itu sendiri," katanya.

Melalui cara mudah itu, secara tidak langsung ia dapat memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan bahan bacaan berkualiti, sekali gus menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat.

Tambahnya, pewakaf boleh memilih tempat sesuai untuk mewakafkan buku yang dibeli seperti di masjid atau surau, perpustakaan, sudut bacaan pejabat, rumah anak yatim dan tempat lain yang bersesuaian mengikut kehendak mereka.

Sekiranya mereka masih belum ada tempat untuk mewakafkan buku yang dibeli, pewakaf boleh menyerahkan kepada pihak PTS bagi memilih dan menentukan penerima wakaf buku.

Selepas urusan selesai, pihak PTS akan mengeluarkan resit pembelian buku yang akan dihantar kepada pewakaf sebagai bukti bagi tujuan pelepasan cukai pendapatan individu selain memaklumkan kepada mereka berkenaan status penghantaran.

Sempena Ramadan tahun ini, pihak PTS turut menyediakan perkhidmatan pembelian buku secara dalam talian bagi mengisi masa dengan perkara berfaedah ketika berehat bagi menggantikan waktu makan.

Pelbagai jenis buku Ramadan disediakan khas sempena Baca@Ramadan kali ini bagi menggalakkan masyarakat gemar membaca.

Bukan bahan bacaan berbentuk keagamaan saja yang dijual melalui program itu, malah PTS menawarkan buku memasak, fesyen Muslimah dan bahan bacaan untuk kanak-kanak bagi menerapkan budaya membaca di kalangan mereka sejak kecil lagi.

 

Baca lanjut di ruangan Berita Harian Online.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Berita dipetik daripada Berita Harian Online pada 2 Ogos 2011 dan ditulis oleh Hafizah Iszahanid.

PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (PTS) juga berkongsi pengalaman yang sama dengan Karangkraf dan perkara ini diakui Pegawai Komunikasinya, Roslan Isa dan syarikatnya memenuhi permintaan dengan mengadakan Baca@Ramadan bagi meraikan kedatangan Ramadan dan Syawal.

"Selain buku agama dan resipi yang diketahui umum meningkat berkali ganda permintaannya menjelang Ramadan, PTS turut memeriahkan Baca@Ramadan dengan buku untuk buku kanak-kanak, remaja, komik dan buku umum," katanya.

Roslan berkata, empat bulan sebelum Ramadan PTS sudah mula mencetak buku agama yang umumnya sangat laris sepanjang dua bulan sebelum puasa, malahan perancangan buku berkaitan selalunya dibuat setahun sebelum itu.

Misalnya untuk pasaran buku Ramadan 2011, persediaannya sudah dibuat sejak Ramadan 2010 bagi membolehkan strategi pemasaran dilakukan dengan sebaik-baiknya.

"Untuk promosi Baca@Ramadhan kami menerima banyak permintaan untuk buku panduan puasa, buku agama, buku panduan haji atau umrah buku resipi dan sebenarnya novel Islami juga," katanya.

Roslan berkata, dua bulan sebelum puasa pembaca akan mula mencari buku agama khususnya buku bimbingan puasa, bagaimanapun trend itu berubah apabila Ramadan menjelang dan ketika itu, pembaca akan lebih tertarik untuk membaca buku lain pula seperti berkaitan zakat fitrah.

"Rekod jualan PTS menunjukkan pada akhir bulan Ramadan dan awal Syawal, jualan buku PTS naik lebih tinggi daripada hari biasa," katanya.

 

Baca lanjut berita di Berita Harian Online.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Artikel dipetik daripada Berita Harian Online yang ditulis oleh Hafizah Iszahanid dan disiarkan pada 25 Julai 2011.

Antara novel paling laris di pasaran kini ialah novel berunsur sejarah. Bukan saja diulang cetak berkali-kali, imbuhan menulis novel sejarah juga mencecah nilai ratusan ribu ringgit.

Fenomena itu bagaimanapun terhad kepada novel sejarah Islam, manakala novel sejarah Melayu tidak mendapat sambutan sehebat itu, selain tidak ramai pengarang menangani novel sejarah Melayu.

Justeru, apabila Yayasan Warisan Johor (YWJ) mengadakan Sayembara Menulis Sejarah Johor sejak 2005, ia bukan saja menawarkan hadiah lumayan, tetapi juga memperbanyakkan lagi khazanah sastera sejarah, khususnya Johor selain Empayar Kesultanan Johor - Riau.

Meskipun, hadiah utama yang ditawarkan RM35,000, tetapi ia hanya dimenangi selepas tahun ketiga penganjurannya. Keadaan ini menimbulkan tanda tanya, apakah susah menulis novel sejarah?

Di barat novel sejarah sudah lama menembusi hadiah kesusasteraan utama. Misalnya di Amerika, Michael Chabon pernah menang Hadiah Pulitzer menerusi The Amazing Adventures of Kavalier & Clay yang mengambil latar 1930-an di New York. Di Britain, Margaret Atwood dengan The Blind Assasin dan Peter Carey, The True History of the Kelly Gang, pemenang Hadiah Booker 2000 dan 2001. Lama sebelum itu, The Color Purple karya Alice Walker pernah memenangi Hadiah Pulitzer 1983.
Pegawai Persuratan YWJ, Siti Nadia Hariman menjelaskan berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan YWJ setiap tahun, penganjuran menulis novel sejarah itu tidaklah susah.

“Mengikut garis panduan YWJ, novel sejarah itu adalah fakta sejarah yang dinovelkan. Ia boleh difiksyenkan, tetapi masih berpegang kepada sejarah. Penulis dibenarkan menambah watak lain, tetapi ia tidak terlalu berbentuk fiksyen sehingga menenggelamkan watak sejarah,” katanya.
Mengimbas pengalaman YWJ, tidak dinafikan pada waktu awal sayembara itu dimulakan, mutu karya yang diterima tidak menepati definisi novel sejarah. Malah, ramai penulis memberi maklum balas sukar menulis kerana watak tidak boleh direka-reka apalagi mengambil alih watak utama dalam sejarah.

Bagaimanapun Siti Nadia mengakui selepas tiga tahun penganjuran, banyak manuskrip yang diterima YWJ menepati konsep novel sejarah seperti diingini YWJ sehingga Tiara Pesona karya Rahimah Muda tampil johan.

Pengendali Bengkel Penulisan Novel Sejarah YWJ, Hamzah Hamdani, melihat kurangnya penulisan novel sejarah kerana konsepnya sukar difahami, namun sesi bengkel seluruh Malaysia, banyak membantu sehingga makin banyak jumlah manuskrip yang menepati definisi

“Novel sejarah ialah fiksyen sejarah yang mesti didirikan atas fakta sejarah, tetapi boleh ditokok tambah watak sampingan rekaan. Perlu diingat ada juga karya berunsur sejarah, tetapi tidak boleh dikategorikan sebagai novel sejarah.

“Misalnya, Saatul Ibaad karya Faisal Tehrani kerana ia karya yang mensejarahkan fiksyen dan bukan novel sejarah. Karya itu ada unsur sejarah dari segi latar mas, tetapi ceritanya direka-reka dan pembaca yang tidak tahu sejarah akan kata ia novel sejarah,” tegasnya.

Penulis novel sejarah, Abdul Latip Talib senada apabila mengakui novel sejarah dan fiksyen sejarah dua perkara berbeza dan sebagai tokoh berpengalaman luas menulis 30 novel sejarah Islam dan Melayu, tidak menafikan ramai orang keliru dalam memahami fakta itu.

“Mungkin ada orang yang berpendapat novel sejarah dan fiksyen sejarah itu sama, tetapi baginya novel sejarah itu berdiri di atas fakta dan watak utamanya adalah tokoh sejarah. Bagaimanapun, ada orang melihat novel sejarah dan watak utama sejarah boleh dinovelkan dengan disorot watak lain. Misalnya, watak yang direka sebagai narator dan kita kenal sejarah yang ingin diceritakan. Itu sudah salah, pada saya itu fiksyen sejarah,” katanya.

Baginya novel sejarah perlu digerakkan oleh tokoh sejarah itu, misalnya jika menulis mengenai tokoh Islam Khalid Al Walid, watak utama mestilah Khalid Al-Walid dan kisah Khalid Al Walid tidak disorot daripada watak rekaan lain.

 

Baca lanjut di Berita Harian Online.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Artikel dipetik daripada Berita Harian Online yang dipetik pada 27 Julai 2011.

Kata-kata Umar Al-Khatab, menunda perkahwinan bermakna menangguhkan banyak manfaat dinikmati manusia. Oleh itu, jangan takut bernikah kerana dengan izin Allah, ia tidak sulit seperti dibayangkan.

Nabi Muhammad pernah melarang keinginan sahabat yang tidak mahu mendirikan rumah tangga walaupun mereka memberi alasan mahu memberi lebih tumpuan beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah.

Inilah bukti betapa Nabi Muhammad tidak menyukai mereka yang memilih untuk tidak berkahwin walaupun mampu melakukannya dan Baginda tidak mengakui mereka sebagai umatnya. Malah, mereka berdepan dugaan berat mengawal nafsu.

Buku Apabila Hati Rindu Menikah membincangkan isu pernikahan dari pelbagai sudut yang pastinya dimulakan dengan indahnya perkahwinan iaitu penghargaan tinggi daripada Allah sebagai cara menyempurnakan iman.

Ini kerana melalui ikatan perkahwinan manusia mengecap nikmat yang membawa kedamaian, menjauhkan maksiat, menghilangkan keresahan hati serta dapat meningkatkan nilai ibadat di sisi Allah.

Begitu juga dengan mereka yang takut serta ragu untuk menikah, turut diketengahkan akibatnya antaranya mereka akan hilang kemuliaan, dibenci Allah dan Rasul-Nya, menjadi miskin serta mati dalam keadaan hina.

Baca lanjut artikel di Berita Harian Online.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Setahun sekali bulan Ramadan datang bagi menginsafkan kembali umat Islam.

Umat Islam terbahagi kepada tiga golongan. Golongan pertama adalah mereka yang menganiaya diri sendiri. Sedihnya golongan ini ramai sekali.

Kedua, umat Islam yang ada pekerti namun masih bergelumang dengan perkara yang dibenci Allah seperti riba dan rasuah. Golongan ketiga pula adalah yang sedikit jumlahnya. golongan ketiga ini adalah mereka yang faham kehidupan ini anugerah Allah.golongan ini faham yang hidup perlu dilaksanakan kerana Allah. Mereka tertib dan berdisiplin dalam ibadah serta mereka menjauhi perkara yang haram dan mengamalkan apa yang halal.

Pada Bulan Ramadan yang mulia ini, dengan iziNya semua dosa manusia yang beriman dan beramal soleh diampuni Allah kecuali dosa syirik. pun begitu, kita perlu beringat yang dosa itu ada dua jenis. Pertama, dosa kita kepada Allah dan kedua, dosa kita kepada manusia yang lain.

Dosa kepada Allah, apabila kita memohon ampun dan berjanji tidak mengulanginya lagi, Insya Allah diampuni.

Sedangkan dosa sesama manusia bergantung pada kemaafan manusia itu. Kita perlu memohon maaf kepada orang yang kita lakukan kesalahan. Ada banyak contoh kesalahan sesama manusia.

Antaranya pecah amanah dan memakan harta orang lain. Kita perlu sedar selagi kita tidak memohon maaf atas kesilapan kita itu, Allah tidak mengampunkan dosa kita. Atas alasan ini, kita wajar menjaga diri daripada melakukan kesalahan dan dosa kepada orang lain. Apabila melakukan kesalahan, segeralah memohon maaf.

 

Artikel dipetik daripada buku Keajaiban Ramadan tulisan Jaffar Siddiq

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Sejarah puasa Ramadan bermula pada akhir bulan Syaaban tahun kedua Hijrah iaitu dua tahun selepas Nabi Muhammad berpindah dari mekah ke Madinah. Madinah terletak sejauh 320 kilometer ke utara Mekah. Peristiwa ini berlaku pada bulan September 622. Sepanjang hayat, beliau sempat berpuasa Ramadan sebanyak sembilan kali.

Para sarjana Islam merekodkan sejarah puasa bermula sejak Nabi Adam. Beliau berpuasa bagi membayar kafarah dosa kerana memakan buah terlarang di dalam syurga. Akibat terpengaruh dengan tipu daya syaitan, beliau dihalau keluar dari syurga dengan hikmah yang diatur oleh Allah. Allah menetapkan Adam dan keturunannya beribadah di bumi dan mentadbir bumi dengan agama Allah.

Ibadat puasa ini terus ditunaikan pada zaman nabi-nabi dengan tujuan menguatkan iman, roh dan jasad dalam menghadapi cabaran nafsu yang menggoda. Selain itu, puasa juga adalah cara mendekatkan diri kepada Tuhan serta menghapuskan dosa yang pernah dilakukan.

Pakar-pakar sejarah mendapati puasa dilakukan oleh semua manusia sejak zaman-berzaman. Bangsa Mesir purba yang menyembah berhala juga berpuasa. Bangsa Yunani juga mewajibkan setiap anak lelaki dan perempuan berpuasa. Bangsa Romawi dan Hindu masih berpuasa hingga ke hari ini.

Dalam kitab Taurat, puasa diwajibkan ke atas orang-orang Yahudi pada hari ke-10 hari bulan ke tujuh dalam kalendar mereka. Ia bertepatan dengan bulan Syaaban bagi orang Islam lalu ia dinamakan hari Asyura(sepuluh). Mereka berpuasa siang dan malam. Puasa yang termasyur bagi orang-orang Nasrani pula ialah puasa sebelum Iedil Fishi iaitu hari memperingati kebangkitan al-Masih dari kubur.

Menurut Imam al-Qurtubi, pada zaman Nabi Musa dan Nabi Isa, Allah juga mewajibkan mereka dan umat mereka supaya berpuasa pada bulan Ramadan. Kemudian mereka mengubah puasa Ramadan itu dengan menambah 10 hari sebagai nazar pendeta yang sembuh daripada sakit. Oleh itu, puasa orang Nasrani menjadi 40 hari.

Pada masa itu, Ramadan bermula pada musim panas. Mereka meminda puasa Ramadan itu pada musim sejuk. Pendeta yang sakit itu bernazar, sekiranya dia sembuh daripada sakit mulutnya dia menambah puasa sehingga menjadi 50 hari. Kemudian ia dipinda dan ditambah oleh ketua-ketua gereja dengan berpuasa yang lain dan dalam bentuk yang lain. Ada yang berpuasa daripada memakan daging, telur, ikan,susu dan sebagainya.

Imam Mujahid berkata Allah mewajibkan puasa ke atas setiap generasi manusia. Rashid Ridha menguatkan pendapat ini dengan berkata, "Puasa hari ini pernah dilakukan oleh masyarakat Arab sebelum Islam."

Aisyah melaporkan orang Quraish Mekah berpuasa pada hari Asyura. Puasa hari Asyura berlaku pada 10 Muharram setiap tahun hijrah. Apabila Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, beliau mendapati orang Yahudi juga berpuasa pada hari Asyura. Oleh itu, beliau dan para sahabat berpuasa dengan menambah satu hari sebelum hari Asyura bagi membezakan puasa orang Yahudi dengan orang Islam.

Pada penghujung bulan Syaaban tahun kedua Hijrah, Allah menurunkan ayat 183 hingga 185 surah al-Baqarah yang mewajibkan umat Islam berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadan. Selepas puasa Ramadan diwajibkan, hukum mengenai puasa Asyura pun berubah. Nabi Muhammad mengeluarkan hukum mengenai puasa Asyura yang dilakukan sebelum itu,

"Sesiapa yang ingin berpuasa pada hari Asyura, berpuasalah den sesiapa yang hendak berbuka berbukalah."

Nabi Muhammad berpuasa Ramadan selama hidupnya sebanyak sembilan kali. Lapan kali dengan 29 hari dan sekali sahaja puasa penuh 30 hari. Mengikut laporan yang lain sebanyak dua kali puasa penuh 30 hari.
Allah maha bijaksana menetapkan puasa wajib pada bulan Ramadan serta menentukan kitab-kitabnya turun pada bulan yang sama.

Puasa pada bulan Ramadan adalah suruhan Allah supaya meninggalkan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Larangan-larangan itu pula adalah asas keperluan hidup manusia walaupun pada asalnya ia dihalalkan pada masa yang lain. Antaranya adalah makan, minum, hubungan seks antara suami dengan isteri dan lain-lain.

Hubungan suami isteri bkan sekadar memuaskan nafsu bahkan masyarakat perlu melahirkan zuriat dan penyambung keturunan. Walaupun semua ini halal pada asalnya, apabila memasuki bulan Ramadan, Allah melarang melakukannya pada tempoh yang ditetapkan.

Artikel dipetik daripada buku Ramadan Tetamu yang Dirindui hasil tulisan Tuan Abdul Hadi Awang.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Sumber daripada http://io9.com/ dan diterjemahkan oleh Norhaslinda Abdul Razak, Editor Terjemahan, PTS Litera Utama Sdn Bhd.


Fenomena Harry Potter yang menjadi bualan hangat di seluruh dunia kini memberi nafas baru dalam arena penerbitan dunia. Sejak awal lagi, malah sebelum diadaptasi ke layar perak dan menjadi antara filem yang mencatat pulangan tertinggi, buku-buku yang menampilkan Harry Potter sebagai watak utama ini berjaya memukau jutaan pembaca dari serata dunia tidak kira usia dan jantina. Harry Potter bukan sahaja mencetuskan fenomena baru dan mengubah industri penerbitan, ia turut mengubah persepsi kita terhadap buku buat selama-lamanya.

Berikut adalah perubahan-perubahan besar yang dicetuskan oleh fenomena Harry Potter terhadap industri penerbitan buku:

Potter menarik minat pembaca dewasa.

Antara topik bualan ramai kini adalah bagaimana Potter menarik minat kanak-kanak supaya membaca. Namun begitu, bagaimana pula dengan orang dewasa? Siri Potter sebenarnya berjaya menarik minat golongan dewasa yang tidak pernah membaca buku atau yang tidak menggemari buku-buku fiksyen. Topik berkenaan Potter menjadi bualan utama di mana-mana sahaja, membuatkan mereka yang tidak mahu dianggap ketinggalan zaman turut membeli dan membaca siri ini. Peminat dewasa yang membaca siri Potter juga sudah terbawa-bawa dengan pembacaan berbentuk fiksyen sebegini dengan turut membaca siri Hunger Games. A.S.

Potter mencipta kelompok baru novel kanak-kanak dan remaja

Pelbagai bahan bacaan menarik kini disasarkan kepada golongan pembaca remaja. Siri Potter membuktikan buku-buku yang dihasilkan bagi bacaan kanak-kanak dan remaja sebenarnya mampu menghimpunkan koleksi peminat tersendiri yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Memetik kata-kata Tamora Pierce, seorang penulis buku fantasi magik, beliau berpendapat bahawa berdasarkan fenomena Harry Potter, para penerbit kini membuka mata dalam penghasilan buku kanak-kanak dan remaja. Memandangkan kanak-kanak gemarkan buku bercorak fantasi, para penerbit buku mengambil peluang ini bagi menghasilkan buku-buku berunsurkan fantasi dan seumpamanya. Hakikatnya, kita kini sedang berada dalam fasa kebangkitan buku remaja dan kanak-kanak.

       Di samping itu, fanatinya orang ramai terhadap siri ini membuatkan New York Time terpaksa memperkenalkan kategori baru buku bestseller iaitu kategori buku kanak-kanak. Siri Potter merupakan pencetus sebenar era kebangkitan buku kanak-kanak. Masakan tidak, selepas ketegori baru ini diwujudkan, berpusu-pusu tajuk buku lain mula menduduki takhta buku bestseller.

Watak daripada buku dijadikan kostum pilihan

Kebiasaannya kostum yang sering digunakan akan diinspirasikan daripada watak-watak dalam filem, rancangan televisyen, komik, kartun dan bukannya watak daripada buku. Tetapi, itulah yang berjaya dicetuskan oleh Potter. Sekiranya kita menghadiri konvensyen sains dan melihat orang ramai memakai kostum watak daripada novel yang ditulis oleh Philip Jose Farmer, itu perkara biasa. Perkara yang luar biasa adalah apabila kita melihat kostum yang diinspirasikan daripada watak dalam buku bersiri dipakai di mana-mana jua, tidak kira di kedai buku mahupun parti Halloween! Semasa siri pertama Harry Porter sebelum difilemkan, kostum ahli sihir ini sudah digayakan di mana-mana sahaja.

Majlis Pelancaran Buku yang Hebat!

Lazimnya, ketika suatu majlis pelancaran filem diadakan, pelbagai kemeriahan dapat dilihat seperti parti besar-besaran sehingga ada yang membentangkan karpet merah untuk para pelakon. Berbeza pula dengan dunia buku, sebarang pelancaran buku yang diadakan tidaklah sebegitu gah dan menonjol.

       Idea bagi mengadakan majlis pelancaran buku dalam acara yang meriah di semua cawangan kedai buku di seluruh dunia, dan membuka kedai buku semalaman sebelum tarikh pelancaran buku bagi membolehkan orang ramai mendapatkan buku tersebut lebih awal adalah suatu revolusi baru. Perkembangan sihat seumpama ini menggalakkan orang ramai mengangkat martabat buku sama seperti mereka mengangungkan bintang filem.

      Melalui evolusi ini, peniaga buku berskala kecil tidak lagi terkial-kial bersaing dengan kedai buku maya berskala gergasi seperti Amazon yang mampu menawarkan diskaun yang tinggi. Di samping itu, para peniaga kedai buku kecil-kecilan ini juga mampu mengadakan sesuatu yang tidak dapat disediakan oleh Amazon iaitu majlis pelancaran buku yang meriah dan gilang-gemilang!

Harry Porter melahirkan kelompok peminat fiksyen yang tersendiri

Kesan daripada aura siri hebat ini, ramai yang berangan-angan mahu menghasilkan karya fiksyen seumpamanya. Penulis berlumba-lumba mencipta dunia Hogwarts masing-masing dan cuba melahirkan watak-watak yang berinspirasikan Snape dan Draco Malfoy.

         Ramai penulis mengambil inisiatif melahirkan produk best seller masing-masing berasaskan penulisan ala-ala siri Harry Potter, membuatkan kelompok peminat buku-buku fiskyen fantasi semakin berkembang. Dana Gioia, juga seorang penulis terkenal pernah menyuarakan pendapatnya dalam Newshour yang berbunyi:

        "Bagi saya, apa yang uniknya berkenaan siri ini adalah kekreatifan penulis buku ini mencipta watak yang umurnya seiring dengan umur para pembaca. Seiring dengan kedewasaan pembaca, watak-watak ini juga semakin dewasa. Plotnya juga berkembang dengan baik dan bersesuaian dengan kelompok pembaca sasaran. Oleh kerana itu, setiap siri Potter yang diterbitkan sentiasa mendapat sambutan kerana ia mempunyai kelompok pembaca setia sejak daripada awal lagi.

        Bersesuaian dengan konflik jalan cerita yang semakin meruncing, sisi gelap watak juga ditekankan dengan lebih mendalam. Idea mendewasakan watak ini adalah sesuatu yang baru. Oleh itu, ramai penulis yang cuba meniru konsep ini bagi melahirkan kelompok peminat setia yang tersendiri.

Pottermore mencipta konsep baru iaitu pemasaran buku secara e-book

Sebagai maklumat tambahan, Pottermore adalah nama laman web rasmi penulis siri Harry Potter iaitu J.K. Rowling. Laman web ini menjadi landasan bagi menjual buku-buku Harry Potter dalam versi e-book dengan disertakan 'watermark' bagi mengelakkan ia dicetak rompak.

        Bagi menarik minat pembeli, Rowling menawarkan pelbagi keistimewaan baru dalam versi e-book seperti Sorting Hand dan Wand Chooser dalam bentuk digital serta pelbagai kandungan terkini berkenaan Hogwarts. Para pembaca dapat mengikuti perkembangan Harry bermula daripada siri pertama sehingga terakhir berserta himpunan ilustrasi digital yang pastinya menarik. Walaupun perkhidmatan laman web ini adakalanya mengecewakan, namun ia pasti mampu menjual beribu-ribu naskah e-book dan membolehkan penerbit tidak perlu lagi berurusan dengan kedai-kedai buku sedia ada.

Sumber daripada http://io9.com/ dan diterjemahkan oleh Norhaslinda Abdul Razak, Editor Terjemahan, PTS Litera Utama Sdn Bhd.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Dua orang rakan baik yang berkawan sejak di bangku sekolah bertemu. Sambil mereka berbual, salah seorang daripada mereka terkejut kerana rakannya mampu melakukan tiga pekerjaan serentak dalam satu masa sedangkan beliau masih lagi sibuk mencari pekerjaan yang sesuai dan menghadiri temuduga.

Malah, rakannya itu mempunyai senarai beberapa orang penting yang boleh dihubungi bagi meluaskan lagi rangkaian kenalan. Lebih memeranjatkan, maklumat yang beliau kongsikan mengenai sektor dunia pekerjaan menunjukkan seolah-olah beliau telah lama bekerja walhal masing-masing sebaya usia dan tamat belajar pada masa yang sama.

Apakah rahsia beliau?

Rahsia ini hanya terjawab apabila anda membaca buku "Tambah Duit Dengan Kerja Part-Time". Kerja part-time bukan sahaja menjana pendapatan tambahan, malah ia juga bertindak sebagai "kit" untuk menambah pengalaman kerja, mengurangkan risiko yang berada di luar jangkauan kita dan langkah mudah bagi menambah kenalan yang mungkin dapat membantu kita di kala susah dan senang.

Sekiranya ada sesetengah buku menghidangkan benda-benda yang indah semata-mata bagi menarik minat orang ramai untuk membeli buku tersebut, buku "Tambah Duit Dengan Kerja Part-Time" adalah sebaliknya.

Dari proses sebelum mendapatkan sesuatu pekerjaan sambilan sehinggalah cara-cara bagi memberikan hasil pekerjaan terbaik menerusi pekerjaan part-time tanpa sedikit pun tidak menjejaskan produktiviti pekerjaan yang utama, semuanya dikongsi di dalam buku ini.

Di samping itu, penulis turut berkongsi cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh bakal part-timer. Selain itu, buku ini turut memberikan hujah-hujah bernas bagi menangkis tohmahan-tohmahan negatif yang melingkari pekerjaan part-time itu sendiri. Sebagai contoh, faktor usia sama ada tua atau muda bukanlah penghalang utama bagi melakukan kerja sambilan. Huraian mengenai topik ini dibincangkan dengan lebih lanjut dalam buku "Tambah Duit Dengan Kerja Part-Time".

Dengan harga buku yang berpatutan, buku ini turut menyimpan penyelesaian bagi menangani isu kenaikan harga barang masa kini. Jika media massa menyarankan agar masyarakat berjimat-cermat, buku ini pula memberikan panduan bagi melipat-gandakan pendapatan sedia ada di samping berkongsi panduan menjadi jutawan senyap melalui pekerjaan part-time!

Buku ini sarat dengan pengalaman dan kisah benar daripada mereka yang pernah dan masih menjalankan pekerjaan part-time. Setiap topik dalam buku ini dikaji dengan teliti dan kesemuanya disokong oleh kenyataan konkrit daripada buku-buku, keratan akhbar, temu bual dan laman web yang berkaitan tentang akta dunia pekerjaan, motivasi, bisnes, agama dan komputer.

Mengenai Penulis

Saudara Mohd Aliff Mohd Nor, seorang penulis muda yang mempunyai satu pekerjaan sepenuh masa dan melakukan beberapa kerja part-time serentak. Antara pekerjaan sambilan yang beliau lakukan kini adalah menulis di salah sebuah majalah online dan membuat bengkel publisiti media percuma bagi membantu usahawan PKS di Malaysia. Pekerjaan utama beliau ialah mencurahkan khidmat sebagai penerbit rancangan di salah sebuah radio di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Artikel dipetik daripada http://hairul.net/ pada 15 Julai 2011.

Kosmetik itu sesuatu yang fantastik. Kosmetik menambahkan seri muka dan dunia ini tambah indah dengan seni kosmetik. Dengan aura kosmetik, wajah bertambah cantik dan bulu mata menjadi lentik. Penampilan kita tambah menarik dengan kuasa kosmetik.

Sayangnya, kosmetik hanya terhad untuk kecantikan luaran sahaja. Tiada lagi inovasi yang mampu menghasilkan alat kosmetik untuk mencantikkan lagi akhlak manusia. Mujur juga tiada alat kosmetik untuk sifat manusia, sekiranya tidak, penuhlah dunia ini dengan manusia hipokrit.

Kini, manusia semakin hebat dalam seni kosmetik. Setakat mencantikkan rupa manusia, itu hanyalah perkara biasa. Manusia semakin kreatif dan kini mereka mula bereksperimen dengan seni kosmetik bahasa.

Apakah itu kosmetik bahasa?

Pertama sekali, mari kita lihat seni kosmetik bahasa dalam dunia politik. Orang politik memang hebat dalam seni kosmetik bahasa. Mereka tidak perlukan pertolongan sasterawan negara membantu mereka dalam soal ini. Berikan kepada mereka satu perkara yang haram, maka mereka mengurangkan keharamannya dengan kosmetik bahasa.

Politik Wang

Rasuah kini lebih selesa dipanggil dengan gelaran politik wang. Ketahuilah, menukar istilah tidak akan sesekali menukar hukum perbuatan tersebut. Politik wang adalah rasuah dan rasuah itu haram. Rasuah akan menjatuhkan maruah dan dahsyat sekali ancaman azabnya oleh tuhan. Pemberi dan penerima rasuah adalah pengkhianat yang menerima laknat Allah. Mereka adalah golongan yang celaka dan akan dicampakkan ke dalam neraka.

"Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka."

Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh At-Tabrani.

Istilah politik wang itu seolah-olah melambangkan bahawa isu rasuah sekadar isu politik semata-mata dan tiada kena-mengena dengan soal agama. Tidak, sesekali tidak. Kamu katakan politik suku, agama suku, maka kamulah orang yang otaknya beku dan otak tiga suku.

Seks Haram

Seterusnya, satu lagi kosmetik bahasa yang popular dalam masyarakat kita adalah seks haram. Zina adalah perkataan yang lebih jelas untuk menerangkannya.

Kosmetik bahasa seks haram ini ada hubungan yang sangat rapat dengan kosmetik wajah. Kalau wajah yang disolek indah itu dipakejkan sekali dengan aurat yang terdedah, maka ia adalah permulaan kepada seks haram. Manusia yang lemah iman dan bernafsu binatang sentiasa tertarik kepada seks dan terlupa kepada istilah haram yang terletak di belakang perkataan itu. Ya, kita panggil sahaja nafsu binatang kerana binatang itu kerjanya hanya dua; makan dan mengawan. Alangkah hinanya kita kalau kehidupan kita hanya berputar kepada dua perkara ini sahaja.

Istilah seks haram dengan mudahnya akan menjauhkan manusia daripada agama, melupakan insan kepada Allah dan mengurangkan ketakutan pasangan cinta kepada azab neraka.

Seks haram, sesuai dengan namanya, sememangnya haram. Zina itu haram, bahkan mendekati zina sekalipun amatlah dilarang.

"Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk." Surah Al-Isra, ayat yang ke-32. (17:32)

Label Islamik

Satu lagi kosmetik bahasa yang terkenal adalah label islamik. Label islamik menjadi lesen halal dan promosi pemasaran yang sangat berkesan. Ada fesyen islamik, ada bisnes islamik dan ada juga cerita hantu islamik.

 

Baca lanjut di http://hairul.net

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



OLEH : HAIRUL FAIZAL ADLI BIN AB GHANI


Bunuh Alasan!

Alasan adalah satu perkara yang hebat di dunia ini. Semua orang memerlukan alasan, sentiasa mencari alasan dan suka mereka alasan. Manusia memerlukan alasan untuk hidup, mencari alasan untuk mempertahankan diri dan suka mereka alasan untuk lari daripada tanggungjawab.

 

Seorang manusia boleh dibunuh dengan mudah, tetapi satu alasan amat sukar untuk dihapuskan. Satu inovasi sains memerlukan masa bertahun-tahun untuk dihasilkan, tetapi berjuta-juta alasan boleh dicipta dalam masa yang sangat singkat, dan semua orang mampu mencipta alasan. Bahkan, tiada alasan juga adalah satu alasan.

 

 Itulah kehebatan alasan.

 Kalaulah kita ada masa untuk mereka-reka alasan bagi setiap perkara yang kita lakukan, tentulah kita juga mempunyai masa untuk memikirkan idea-idea hebat yang dapat menjadikan hidup kita lebih produktif. Tukarkan sahaja alasan kita kepada idea yang hebat. Kalaulah kita ada masa untuk mencari alasan, gunakan masa itu untuk bertindak.

 

 Seterusnya, jikalau kita sangat berani meluahkan alasan-alasan yang kita reka, walaupun alasan itu tidak logik, mengapa kita takut untuk bercakap tentang idea kita? Beranikan diri dan laksanakan idea kita. Idea yang paling hebat adalah idea yang tidak pernah dilaksanakan. Tiada sesiapa yang mentertawakannya, tiada sesiapa yang menentangnya dan tiada sesiapapun yang tahu tentang idea kita. Itulah idea yang terhebat dalam dunia. Satu perkara sahaja yang amat merugikan; idea yang hebat itu berada dalam minda si pengecut. Dia sangat petah menyusun ayat memberikan sejuta alasan, tetapi sangat takut untuk bercakap tentang ideanya.

 

Setiap perkara ada baik dan ada buruknya. Begitu juga dengan alasan. Ada alasan baik dan ada alasan buruk. Kita sememangnya tidak boleh mengelakkan diri untuk membuat alasan. Jadi, kita wajib membuat pilihan, sama ada mahu membuat alasan baik ataupun alasan buruk.

 

 Sebagai contoh, kita boleh bertanya kepada seorang penulis, apakah alasannya menjadi seorang penulis. Contoh alasan yang baik,

 

 “Saya mahu memandaikan bangsa.”


 “Saya mahu menjadi penulis jutawan.”


 “Saya mahu menyebarkan idea saya ke seluruh dunia.”


 Apakah pula alasan yang buruk? Sungguh susah sekali mahu menyenaraikan alasan yang buruk. Si pencipta alasan akan bermati-matian mempertahankan alasannya. Bersedialah untuk bertengkar dengan orang lain jika kita mengatakan alasannya adalah alasan yang buruk.

 

 Begitu juga dengan kita. Bersedialah untuk mempertahankan alasan kita. Alasan kita adalah prinsip kita. Untuk perkara yang berkaitan dengan gaya, berubahlah mengikut trend. Untuk perkara yang berkaitan dengan prinsip, kita wajib mempertahankannya.

 

 Alasan yang kita ada cukup munasabah dan sangat logik untuk mempertahankan tindakan kita. Itulah anggapan kita. Realitinya, tidak semua orang akan menerima alasan kita, lebih-lebih lagi orang atasan kita.

 

 Satu hari, kita terlambat menyiapkan tugasan yang diarahkan oleh bos kita. Kita dipanggil oleh bos dan dia bertanya,

 

 “Kenapa kamu tidak siapkan tugasan ini dalam tempoh yang saya berikan. Apa alasan kamu?”


 Dengan suara yang perlahan dan dengan muka yang cuba meraih simpati, kita menjawab,

 

 “Saya minta maaf, tuan. Tugasan yang tuan beri agak susah. Saya perlukan satu hari lagi untuk menyiapkannya.”


 Bos kita segera membalas,

 

 “Kerja yang mudah seperti ini pun kamu tidak mampu buat. Semua tugas yang saya beri kepada pekerja saya adalah kerja yang mudah. Saya bos di sini. Semua kerja yang susah saya sudah buat semuanya.”


 Begitulah, logik seorang ketua berbeza dengan logik seorang pekerja. Seorang ketua amat sukar menerima alasan daripada orang bawahannya. Kita boleh memberikan apa-apa alasan, tetapi orang lain yang akan menilainya.

 

 Apabila kita menemui kegagalan, kita akan mencari-cari alasan dan sebab yang menggagalkan kita. Terdapat dua kategori orang yang berbeza dalam mencari alasan kegagalan. Kategori pertama mencari alasan untuk mengenal pasti punca kegagalan dan cuba memperbaikinya untuk mencapai kejayaan. Kategori kedua pula mencari alasan supaya mereka boleh berhenti dan tidak perlu lagi bersusah payah mendapatkan sesuatu yang mereka anggap sebagai mustahil.

 

 Semoga kita semua tergolong dalam kategori yang pertama; pemburu kejayaan. Satu berita yang menggembirakan kita adalah, semua orang yang sedang membaca sehingga ke ayat ini tergolong dalam kategori pertama. Kitalah pemburu kejayaan. Apabila terjerat dengan kegagalan, seorang pemburu kejayaan akan membebaskan diri daripada sebarang alasan.

 

 Kejayaan membebaskan diri daripada alasan samalah seperti kita bebas dan sembuh daripada serangan kanser. Orang yang sentiasa dengan alasan sebenarnya telah diserang kanser alasan. Dengan perlahan-lahan, kanser alasan akan melemahkan keupayaan kita untuk berfikir dan melumpuhkan badan kita untuk bertindak. Kanser alasan adalah penyakit berangkai yang datang bersama kanser kemalasan. Kanser alasan dan kanser kemalasan, itulah pembunuh utama kejayaan manusia.

 

 Kita ada sejuta alasan untuk gagal, tetapi satu alasan sudah cukup untuk berjaya. Alasannya, kita tiada alasan untuk gagal. Kita ada sejuta alasan untuk gagal, tetapi tiada satu pun yang layak menjadi alasan yang terbaik. Jangan berdalih lagi untuk berjaya. Kegagalan bermula dengan alasan dan kejayaan bermula dengan tindakan. Mari bertindak dan menuju kejayaan.

 

Penulis adalah Editor Perolehan (Bisnes Dan Pengurusan) di PTS Profesional Sdn Bhd.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Artikel dipetik daripada Buku Senangnya Puasa Bagi Orang Sibuk oleh Gus Ariffin

Bulan Syaaban : Bulan Bermuhasabah

Bulan Syaaban adalah waktu yang sesuai bermuhasabah diri bagi melihat kekurangan, kesalahan dan kelemahan kita supaya dapat diperbaiki. Begitu juga dosa-dosa yang telah dilakukan, sudah sepatutnya kita memohon keampunan daripada Allah. Bulan Syaaban juga waktu yang tepat bagi menyambung silaturahim dan memohon kemaafan saudara dan kawan-kawan.

Umar bin Khatab, dalam khutbahnya menyatakan, "Hitunglah (bermuhasabah dirinya) kamu semua semua sebelum kamu dihisab (oleh Allah)."

(Jami 'ul Hadis Sunan Tirmizi, Mushannaf Abi Syaibah)

Menjadikan sebagai persiapan mental bagi mengharapkan peningkatan kuantiti ibadah pada bulan Ramadan.

Bulan Syaaban juga sangat baik dijadikan sebagai persediaan, sehingga apabila masuk bulan suci Ramadan, kita sudah bersedia dan terbiasa dalam meraih dan mendapat hidangan serta kemurahan Allah pada bulan Ramadan nanti. Alangkah baiknya membiasakan diri dengan tadarus al-Quran sudah mulai dilatih dan dilakukan sejak bulan Syaaban. Menurut hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari,

Ibnu Abbas melaporkan, Rasulullah dikunjungi oleh Malaikat Jibrail pada setiap malam pada bulan Ramadan. Malaikat Jibrail mengajar ayat-ayat al-Quran kepada Rasulullah. Ketika ditemui oleh Malaikat Jibrail, Rasulullah lebih cepat daripada angin yang bertiup dalam mengerjakan kebaikan.

Namun, amalan-amalan ini mestilah dijaga dan ditingkatkan selepas bulan Ramadan atau sebelas bulan selepas itu. Sebab, seakan menjadi kebiasaan, amalan-amalan sunat yang sudah terlatih pada bulan Ramadan seperti tadarus al-Quran, taklim, solat witir, solat tahajud, sedekah, infak dan lain-lainnya, menurun kuantitinya bahkan dikerjakan lagi.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Artikel dipetik daripada buku Senangnya Puasa Bagi Orang Sibuk oleh Gus Ariffin

 

Dalam kitab Al-Targhib wal-Tarhib, Imam Mundziri menyampaikan hadis-hadis yang menunjukkan bulan Syaaban adalah bulan yang agung dan dicintai oleh Rasulullah. Berikut adalah hadis-hadis mengenai kelebihan bulan Syaaban.

1. Allah mengumumkan pengampunan-Nya pada bulan Syaaban. Mu'az bin Jabal melaporkan Rasulullah berkata,

      "Pada malam Nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban), Allah mengumumkan kepada sekalian manusia bahawa Dia akan mengampunkan orang yang mahu meminta keampunan-Nya, kecuali kepada orang yang menyekutukan Dia, juga orang yang suka mengadu domba (menciptakan api permusuhan) sesama saudara muslim." (Hadis direkodkan al-Thabrani dan Ibnu Hibban)

Aisyah menceritakan, Rasulullah berkata,

"Malaikat Jibrail datang kepadaku seraya berkata, 'Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam ini juga Allah membebaskan hamba-hamba-Nya daripada neraka. Namun Allah membiarkan enam golongan manusia tetap di dalam neraka sebab mereka melakukan dosa-dosa besar iaitu:

  • Orang yang suka mengadu domba sesama muslim
  • Orang yang suka menyekutukan Allah
  • Orang yang memutuskan tali siraturahim
  • Orang yang sombong dan berjalan dengan angkuh
  • Orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya
  • Orang yang ketagihan minuman keras

(Hadza Isnadu Da'ifub Waruwiya Min Wajhi Akharin, Waruwuya al-Baihaqi)

 

2. Nabi Muhammad suka berpuasa pada bulan Syaaban

Menurut hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain:

Aisyah berkata, "Rasulullah berpuasa sehingga beliau mengatakan jangan berbuka dan berpuasa (maksudnya secara berselang-seli)". Aisyah juga berkata, "Saya tidak meihat Rasulullah berpuasa cukup sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan. Saya tidak melihat hari paling banyak Rasulullah berpuasa kecuali pada bulan Syaaban."

Merangkaikannya dengan bulan Ramadan

Muawiyah melaporkan, Abdillah bin Qais mendengar Aisyah berkata, "Antara bulan-bulan yang sangat dicintai Nabi Muhammad bagi menjalani puasa adalah bulan Syaaban, lalu menyambungkannya dengan bulan Ramadan. (Hadis dalam rekod Musnad Ahmad)

 

3. Amal perbuatan manusia disampaikan ke hadrat Allah

Usamah bin Zaid berkata,

"Wahai Rasulullah, kenapa saya lihat kamu lebih bersemangat berpuasa pada bulan Syaaban ini dibandingkan dengan bulan-bulan yang lainnya?" Nabi Muhammad menjawab, "Sebab Syaaban adalah bulan agung, yang banyak dilupakan, padahal pada bulan inilah amal perbuatan manusia dinaiikan (dilaporkan) ke hadrat Allah. Sebab itu, saya mahu pada saat amalan-amalan itu diangkat (dibawakan) kepada Allah, saya dalam keadaan berpuasa." (Hadis bertaraf hasan ini direkodkan oleh An-Nasai)

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Komen Terkini

  1. Tidakku Duga Kau Pergi Jua

    cite menarik….

    oleh noor emylia pada 2011 08 28
  2. Penulis Perlu Diberi Lesen - Rais Yatim

    ok je

    oleh noor emylia pada 2011 08 28
  3. Komik-M Sesuai Jadi Duit Raya

    menarik tetapi harga yg tak sesuai kepada peniaga, hanya menguntungkan pts…dan syarikat besar spt borders,mph, popular… kalau peniaga marhaen, buku rm6.90 diminta diskau rm5 oleh pembeli, mudah bayar. peniaga marhaen…

    oleh spamjub pada 2011 08 22
  4. Pesta Buku Selangor: Booth PTS Sedia Kaunter Cabutan Bertuah

    nak tanya, ada tak buku buku untuk exam kakitngan kerajaan dijual?tq

    oleh norza pada 2011 06 24
  5. Novel Terbaru Bahruddin Bekri Jadikan Pembaca Sebagai Penulis

    Bagi yang membaca,saya harap novel karya Bahruddin Bekri kali ini memuaskan anda. Dan percayalah..tak rugi untuk mendapatkan novel yang penuh dengan pengajaran ini.

    oleh Insan Melankolik pada 2011 06 07

Kategori

Arkib Berita