Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” -- Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi
Dalam hadith ini ada sekumpulan orang yang Nabi Muhammad mahu dorong supaya mereka memberi salam dengan cara-cara yang betul. Cara yang Nabi Muhammad lakukan adalah menunjukkan kepada mereka secara live 3 orang lain yang memberi salam dengan cara-cara yang betul.
1. Nabi Muhammad tidak mengkritik mereka dengan mengatakan cara mereka memberi salam tidak betul, dengan berkata:
* "Salah! Salah! Salam kamu itu salah!" (SALAH)
* "Cara kamu memberi salam masih tidak betul." (SALAH)
* "Bukan begitu cara memberi salam." (SALAH)
2. Beliau juga tidak menyuruh mereka membetulkan cara mereka memberi salam, dengan berkata:
* "Betulkan cara kamu beri salam." (SALAH)
* "Bukan macam itu. Belajar cara beri salam yang betul." (SALAH)
* "Kalau mahu pahala, betulkan cara kamu beri salam." (SALAH)
3. Nabi Muhammad tidak mengajar mereka cara-cara itu macam guru mengajar murid-muridnya, ataupun macam penceramah mengajar para hadirin, dengan berkata:
* "Salam adalah doa, jadi mesti diberi dengan betul." (SALAH)
* "Ada tiga cara memberi salam yang betul." (SALAH)
* "Selain 3 cara ini, semua cara lain adalah salah." (SALAH)
4. Nabi Muhammad tidak menunjukkan contoh orang-orang yang memberi salam dengan cara yang salah, dengan berkata:
* "Jangan ikut cara orang itu beri salam. Caranya salah." (SALAH)
* "Apalah Si Fulan itu, beri salam pun tidak betul." (SALAH)
* "Kamu dengar tadi Si Fulan beri salam? Bukan macam itu." (SALAH)
5. Nabi Muhammad cuma menunjukkan cara memberi salam yang betul sahaja. Beliau tidak menyuruh mereka supaya ikut macam orang-orang itu memberi salam, dengan berkata:
* "Kalau mahu pahala, tiru cara mereka." (SALAH)
* "Kamu semua ikut cara mereka memberi salam." (SALAH)
* "Cara mereka itu betul. Kamu kena ikut cara mereka." (SALAH)
Lazimnya apabila kita hendak menyuruh orang membetulkan cara kerjanya, terlebih dahulu kita kritik cara kerjanya yang tidak betul itu, kemudian baru kita beritahu cara yang betul. Ini bukan cara yang Nabi Muhammad tunjukkan dalam hadith itu. Ringkasnya, jangan kritik cara orang itu buat kerja, walaupun cara itu salah. Tunjukkan sahaja contoh-contoh sebenar cara yang betul.
Artikel dipetik daripada http://www.psikologihadith.com/2012/03/teknik-motivasi-nabi-muhammad.html pada 18/2/2013.





Dalam apa perkara sahaja yang kita belajar, biasanya kita terlebih dahulu diajarkan berkenaan asal-usul atau sejarah sesuatu perkara itu. Itu semua bukan sekadar pengetahuan am tetapi peranannya jauh lebih besar daripada itu.
Misalnya sahaja, kita belajar berkenaan ekonomi, pada suatu ketika kita akan diajarkan berkenaan sejarah ekonomi, bagaimana sesuatu teori matematik itu terbentuk. Bila dan mengapa. Sejarah itu bertujuan supaya pemahaman kita semakin kuat. Jadi apabila berdepan dengan sesuatu masalah ekonomi, kita dapat terus kaitkan masalah tadi kepada sejarah yang sudah kita pelajari. Lebih utama, kita mendapat idea kepada masalah tadi.
Begitu jugalah dalam isu Palestin. Apabila ditanya kepada kita, di mana kita harus bermula bagi membantu rakyat Palestin? Kita boleh mulakan dengan mempelajari sejarah konflik Palestin-Israel itu sendiri. Dengan mempelajari sejarah konflik Israel-Palestin, kita akan tahu di mana 'lubang' yang perlu ditutup dan 'pintu' mana yang perlu dibuka.
Mempelajari sejarah Palestin-Israel boleh dimulakan dengan membaca buku dan di PTS, Perang Arab Israel: Selagi Belum Kiamat
Kefahaman kita bagaimana konflik itu tercetus dan mengapa, hanya akan membawa kita kepada kefahaman yang lebih jitu. Kita tidak sekadar terbawa emosi dan mudah dipancing emosinya. Dalam novel Perang Arab Israel 1973 kefahaman kita semakin diperincikan. Bukan sahaja kepada perangai Israel, malah kepada bangsa Arab itu sendiri, dan sebagai orang Islam kita pasti tahu doa jenis apa yang kita mahu minta, selain meminta kehancuran negara Zionis itu sendiri. Namun, akar kepada permasalahan itu sebenarnya sudah terjadi beribu tahun dahulu. Dalam buku Biografi Muhammad bin Abdullah ada bahagian-bahagian menceritakan bagaimana hubungan Nabi junjungan kita dengan orang Yahudi. Bagaimana Yahudi itu sangat licik dan menjadi duri dalam daging kepada pemerintahan Islam di Madinah.
Semakin kuat pemahaman kita berkenaan masalah Israel dan dunia Arab, mungkin sudah tiba masanya kita menguji pemahaman kita itu, dengan membaca novel 'Gadis Kecil di Pinggi Gaza'. 'Menguji' di sini, bermaksud adakah dengan kefahaman kita tadi, kita dapat menyelami hati gadis dalam watak itu? Adakah dengan kefahaman kita tadi, kita semakin bersemangat bagi membela orang Palestin itu sendiri.
Ini kerana kisah dalam novel itu, hanya secubit daripada duka rakyat Palestin. Duka yang kita mampu kenali daripada sejarah konflik Israel Palestin itu sendiri.
Berikut ucapan Profesor Emeritus Abdullah Hassan ketika Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia ke-51, di Zenith Hotel, Kuantan pada 13 April 2012.
Pesan Saya kepada 1,500 orang pengetua, demi mengisi Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu ... fokus kita adalah Bahasa Melayu.
Langkah pertama kita adalah supaya kita menggunakan Bahasa Melayu Tinggi kerana itulah bahasa intelektual dan bahasa budaya tinggi. Tidak ada peradaban didokong oleh bahasa neka rendah.
Bahasa yang kita tuturkan dan tuliskan, hendaklah betul dan rapi tatabahasanya, sebutannya, ejaannya, dan kosa katanya. Bahasa kita juga mesti berbudi bahasa yang melincirkan iklim komunikasi, dll.
Ingatlah, anak-anak kita belajar bahasa yang baik itu daripada bahasa yang mereka baca, dan bahasa yang mereka dengar. Oleh sebab itu kita mesti menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.
Dalam hal pengisiannya, dibicarakan betapa pentingnya buku ilmu dan pengetahuan. Bacaan buku sastera sahaja menyebabkan kita tidak menjadi seimbang. Dan teknologi itu terbina atas ilmu dan maklumat.
Betapa pentingnya juga kita memberi perhatian kepada pengisian Bahasa Melayu itu dengan ilmu juga. Dan dalam kekurangan orang pandai bagi menuliskan buku ilmu, kita mesti menterjemah sebanyak yang diperlukan.
Betapa perlunya kita membina pengisian yang dapat menggantikan jagoh yang mereka puja sama ada dalam sukan, dongeng ... Kita perlu ada Super Safee menggantikan David Beckham, Ultra Qalif menggantikan Ultraman, Usop Sontorian ... dan seterusnya. Kita perlu ada AinMaisarah menggantikan Enid Blighton ... Kita mesti ada Empat Puteri menggantikan Snow White and the Seven Dwarfs ...
Seperti yang berlaku di negara Australia dan Amerika Syarikat, pengisian bahan sastera kanak-kanak menunjukkan ada korelasinya dengan kreativiti di negara itu pada tahun-tahun berikutnya ...
Kerja kita banyak, tanggungjawab kita berat, merekayasa transformasi pendidikan.
Pulau Pinang - “Kita berhentilah menuntut sesiapapun supaya memartabatkan bahasa Melayu. Yang perlu berbuat begitu kitalah. Bukan orang lain, tetapi kita”. Itulah sebahagian daripada ucap utama yang disampaikan oleh Ybhg. Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan bersempena Seminar Mulia Bangsa Tinggi Bahasa yang di adakan di Universiti Sains Malaysia (USM).
Seminar dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Abbas.
Selain menitik beratkan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi, beliau juga berpesan agar bersama-samalah kita memartabatkan bahasa Melayu kerana ia merupakan bahasa yang rapi dan sempurna ejaannya, nahunya, kosa katanya retorikanya. Ini adalah kerana, bahasa Melayu rendah tidak akan dapat menjadi wahana intelek tinggi dan wahana budaya tinggi.
Selain itu, penggunaan bahasa Melayu tinggi perlu dipertingkatkan dari segi cara bertutur dan penulisan. Malah, seharusnya dipergiatkan semula penulisan dan penerbitan buku ke dalam bahasa Melayu.
Beliau juga sempat berkongsi gurindam berbunyi,
Apa diharap padi seberang.
Entah berbuah entah tidak.
Entah sudah dimakan pipit.
Apa diharap bahasa orang.
Entah faham entah tidak.
Kita juga yang masih tersepit.
Berikut dikongsikan ucapan Profesor Emeritus Abdullah Hassan ketika merasmikan Bulan Bahasa di Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban pada 1 Julai 2011.
Slogan MBMMBI ini ada baiknya kita pisahkan menjadi dua objektif yang ternyata sangat berlainan dengan keupayaan yang juga sangat jauh berbeza, iaitu:
1. Bagaimana kita Memartabatkan Bahasa Melayu, dan
2. Bagaimana kita memantapkan Bahasa Inggeris.
Adapaun memartabatkan Bahasa Melayu itu tidaklah sesukar yang mungkin kita fikirkan. Bahasa Melayu itu sudah lama bermartabat. Ia sudah dijadikan Bahasa Kebangsaan negara kita Malaysia, semenjak 1957. Rasionel kita menjadikannya Bahasa Kebangsaan kita itu adalah ia adalah sebuah bahasa yang mempunyai sejarah yang lama sebagai bahasa wilayah ini. Malah ia sudah wujud 2,000 tahun dahulu. Dan ia mempunyai ribuan manuskrip dan hikayat, iaitu Bahasa Melayu itu adalah sebuah bahasa yang memang sudah maju.
Oleh sebab itu, memartabatkan Bahasa Melayu itu sebenarnya adalah untuk kita semua berusaha menggunakannya. Kita perlulah menggunakannya dengan baik dan rapi. Dengan perkataan lain, kita hendaklah menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, yang sebutannya, ejaannya, perkataannya, dan tatabahasanya teratur rapi. Malah, ini adalah sebuah modal pada kita. Orang yang menuturkan bahasa yang rapi itu dipersepsi sebagai berpendidikan, berbudaya, bersantun, dan bijaksana.
Izinkan saya memberi sebuah contoh yang paling mudah difahami. Tentu anak-anak semua pernah mendengar orang Afro-Amerika bercakap. Ya, sekarang, bayangkan sekiranya Presiden Obama menggunakan bahasa demikian, apa akan jadi pada pencalonannya ... Tentu beliau tidak akan menang ...
Oleh sebab itu, mulai sekarang, kita martabatkan bahasa Melayu dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.
Kedua, bagaimana kita memantapkan Bahasa Inggeris? Usaha demikian tidaklah sama dengan usaha terhadap bahasa Melayu. Kita baharu sahaja mula mempelajari Bahasa Inggeris di sekolah. Dan kita sudah pun mahir berbahasa Melayu sebelum masuk ke sekolah.
Oleh sebab itu langkah memantapkan bahasa Inggeris itu pastilah bermaksud belajar menggunakan bahasa Inggeris.
Sebagai murid sekolah, kita mesti mengambil sikap positif. Peluang belajar Bahasa Inggeris ini hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya. Mungkin kita tidak akan dapat berbicara dalam Bahasa Inggeris sefasih orang Inggeris, tetapi kita tentu dapat menguasai kemahiran yang agak baik. Sekurang-kurangnya kita akan dapat bercakap mengenai perkara-perkara biasa seperti bertanya khabar dan berjual beli.
Tetapi saya yakin, kita semua dapat menguasai kemahiran membaca yang tinggi. Apabila kita dapat membaca dengan baik, ada banyak sumber ilmu yang terbuka pada kita. Dan dengan membaca pula, saya yakin kemahiran kita berbahasa akan juga meningkat.
Pesan saya, gunakanlah Bahasa Melayu Tinggi, dengan demikian kita sebenarnya Memartabatkan Bahasa Melayu.
Seterusnya, belajar Bahasa Inggeris, dan berikan tekanan kepada kemahiran membaca, saya yakin Bahasa Inggeris anakanda semua akan menjadi mantap.
Dan kita semua memang dapat menjadi dwibahasa dengan baik, menuturkan Bahasa Melayu Tinggi dengan baik, dan menggunakan Bahasa Inggeris dengan mantap.
Selamat menjalankan aktiviti Bulan Bahasa, semoga Allah memberi ganjaran yang berganda kepada kita apabila kita melaksanakan usaha yang baik.
Cetuskan perubahan di hari raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lagi dengan menyediakan Komik-M sebagai duit raya kepada kanak-kanak yang datang bertandang ke rumah.Bagi Tuan Wan Zuhairi Wan Zainuddin, Pengurus Unit Komik-M, semua komik yang dikeluarkan oleh PTS sesuai dijadikan hadiah duit raya kerana komik keluaran PTS mampu memberi manfaat kepada kanak-kanak.
"Komik-M sesuai kerana harganya yang murah. Tuan dan puan boleh mendapatkan Komik-M dengan nilai RM6.90 sahaja. Diskaun juga diberikan sekiranya komik-M dibeli di Bookcafe sendiri," jelas Tuan Wan Zuhairi.
Sekiranya sebelum ini kita hanya mendengar masyarakat memberikan duit raya sebagai Ang Pau setiap kali hari raya, melalui pemberian komik-M sebagai Ang Pau raya ini akan mengubah persepsi masyarakat.

Pemberian buku sebagai Ang Pau ini juga sekaligus bakal memberi manfaat kepada penerima kerana PTS mengamalkan Bahasa Melayu Tinggi(BMT) walau melalui komik.
Tuan Wan Zuhairi yang menceritakan pengalamannya memberikan komik bagi menggantikan duit raya berkata kanak-kanak ternyata gembira dengan pemberian tersebut.
"Pada mulanya mereka terkejut apabila saya memberikan komik-M bagi menggantikan Ang Pau. Namun akhirnya timbul rasa ingin memiliki kepada rakan-rakan yang lain. Ada juga yang mahukan lebih kerana suka dengan komik tersebut," jelas beliau lagi.
Komik-M ini juga sesuai diberikan kepada anak-anak yang tinggal jauh dari bandar bagi mencetuskan rasa ingin membaca dalam diri mereka.
Tuan dan puan boleh melakukan kelainan dengan memberikan komik-M atau buku-buku lain sebagai hadiah sempena Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Bagi menjalankan tangjungjawab sosial kepada masyarakat sekaligus meralisasikan matlamat utama PTS dalam usaha memandaikan bangsa, PTS sentiasa mengadakan program bersama mereka yang memerlukan.
Meneruskan tradisi setiap tahun di bulan Ramadan, PTS membawakan Program Infak Ramadan bagi memberi keceriaan kepada mereka yang memerlukan sempena Ramadan dan Syawal ini.
Melalui Program Infak Ramadan ini, PTS melibatkan semua kakitangannya dalam program amal yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini. PTS juga memperuntukan RM20 ribu serta buku-buku bagi diberikan kepada individu atau organisasi yang memerlukan.
"Semua kakitangan dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang bernaung di bawah Kelab Sukan dan Rekreasi PTS. Kumpulan yang bernaung di bawah kelab ini adalah Uthman, Alexender, Hamzah dan Cheng Ho.
Setiap rumah sukan diperuntukan dengan sejumlah wang dan buku bagi diagihkan kepada individu atau organisasi yang memerlukan. Setiap ahli rumah sukan akan menentukan jenis bantuan yang ingin diberikan tidak kira sama ada memberi barang keperluan Ramadan dan Syawal atau terus memberi wang bagi digunakan oleh organisasi atau individu yang dipilih " jelas Presiden Kelab Rekreasi PTS, Tuan Azzyzul kepada wakil media PTS.
Antara organisasi yang dipilih termasuklah madrasah, pusat tahfiz, rumah anak yatim, serta individu yang memerlukan.
Program Infak Ramadan ini dijalankan bagi memberi peluang kepada semua kakitangan PTS sama-sama melihat dan merasai kehidupan mereka yang memerlukan.
Selain itu, PTS juga menyediakan majlis berbuka puasa bersama saudara baru. Majlis berbuka puasa yang diadakan setiap tahun ini diadakan bagi menyokong saudara-saudara kita yang baru memeluk agama Islam.
Program kebajikan yang dianjurkan PTS ini diharapkan dapat menjadi landasan terbaik kepada semua kakitangan PTS membantu mereka yang memerlukan sempena Ramadan dan Syawal ini.
Peranan terjemahan bukan sekadar memindahkan ilmu daripada satu komuniti bahasa kepada satu komuniti bahasa yang lain, malahan turut melibatkan fungsi yang lebih meluas.
Antara lain, unsur pemindahan ini termasuklah pandangan dunia, kepercayaan, norma dan adat resam, pemikiran, sistem ekonomi, sosial dan politik.
Perkembangan sejarah penterjemahan bagi kebanyakan pasangan bahasa baik di Barat mahupun di Timur rata-ratanya bermula daripada penterjemahan teks keagamaan dan kesusasteraan. Kedua-dua jenis terjemahan ini pada hakikatnya adalah saling melengkapi, dan paling penting sejak berzaman dahulu lagi.
Terjemahan keagamaan diperlukan untuk memenuhi keperluan rohani, manakala terjemahan kesusasteraan diperlukan untuk memenuhi keperluan manusiawi (luahan perasaan, hiburan, cetusan idea dll.). Maka, pentingnya peranan terjemahan susastera dalam ketamadunan manusia tidak dapat dinafikan.
Atas inisiatif memperluaskan bidang terjemahan di Malaysia, Persatuan Penterjemah dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF) mengambil langkah dan menjalankan tugas menterjemah karya daripada bahasa Cina kepada bahasa Melayu.
Menurut Pengerusi Perspektif, Goh Hin San menjelaskan melalui penterjemahan dapat menyatupadukan rakyat di Malaysia.
"Proses terjemahan Perspektif adalah sepi dan sunyi. Namun, ahli-ahli dalam Perspektif seramai 58 orang terdiri daripada mereka yang berkemahiran dan pakar dalam bidang terjemahan," jelas Goh Hin San dalam Seminar Sastera Pelbagai Kaum di ASWARA hari ini.
Goh Hin San yang menjelaskan lanjut mengenai Perspektif menerangkan persatuan itu sering mengambil langkah menterjemah dan menerbitkan buku-buku bahasa Cina ke dalam bahasa Melayu dan menterjemah buku-buku bahasa Melayu ke dalam bahasa Cina bagi dipasarkan di pasaran antarabangsa.
Antara buku berbahasa Melayu yang diterbitkan dalam bahasa Cina termasuklah karya agung sasterawan negara, Dato' A. Samad Said yang sudah diterjemah dan dipasarkan di China.
Bagi Goh Hin San, bidang penterjemahan ini perlu diperkenalkan kepada umum kerana bidang terjemahan dapat memperkayakan sastera di Malaysia.
"Penterjemahan dapat memperkenalkan budaya sesebuah bangsa. Kita akan terus memperjuangkan bidang terjemahan bagi mewujudkan penyatuan melalui sastera," ujar beliau lanjut.
Sebagai maklumat, Perspektif ditubuhkan secara rasmi pada 29 Januari 1986 dan kini diterajui oleh Goh Hin San selaku presiden bagi penggal kelapan. Perspektif bermatlamat merancakkan usaha penterjemahan dan penulisan karya kreatif serta memupuk kajian teoritis.
Perspektif juga bertindak sebagai perantara bagi penterjemahan dan penulis dengan arus perkembangan kesusteraan antarabangsa dan meningkatkan persefahaman antara kaum melalui penulisan dan perterjemahan karya sastera Mahua-Melayu.
Goh Hin San sendiri sudah menterjemah dan menyusun Puisi Mahua Moden (Jilid 1) manakala pada 1978, Yassin Tani atau nama penanya Yap Sin Tian menyusun antologi Puisi Mahua dan pada tahun 1985, Chan Foo Heng dan Chong Kim Leong telah berusaha menterjemahkan bahasa Melayu dalam bukunya His Many Faces: Anthology of Modern Poetry in Three Languages (Chinese, Malay dan English).
Penulis di Malaysia perlu mempunyai lesen atau kebebasan dalam menghasilkan karya kerana hasil karya seseorang penulis adalah cerminan kepada dirinya.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim menjelaskan penulis di Malaysia harus diberi kebebasan dalam menulis apa yang mereka inginkan.
"Kebelakangan ini, kita soalkan berapa cerpen yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan. Sekiranya dahulu, setiap minggu cerpen penulis tempatan diberi ruang penuh dalam akhbar-akhbar tempatan. Penjualan buku sastera juga tidak meningkat jualannya," jelas Rais Yatim.
Bagi Rais, penulis perlu menghasilkan karya agung di Malaysia yang mampu menembusi pasaran pembaca.
Bagi beliau, sastera itu perlu dilihat semula dari sudut pembudayaan bahasa dalam menyatukan pemikiran manusia.
"Di negara kita, menyatukan sastera adalah melalui cerminan hidup pelbagai kaum yang ditulis dalam karya sendiri," ujar beliau lanjut. Beliau menjelaskan hal ini dalam perasmian seminar Sastera Pelbagai Kaum di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Rektor ASWARA, Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Pengerusi Persatuan Penterjemah dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF), Goh Hin San.
Gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter melanda berhampiran Pantai Timur Honshu, Jepun pada jam 9.31 malam tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya menjelaskan gempa bumi itu berpusat di 3,911 kilometer dari Timur Laut, Kudat di Sabah.
Jumaat lepas, Jepun digegarkan dengan gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter dan mencetuskan tsunami besar yang mengorbankan beribu nyawa.
Sementara itu, Loji nuklear Fukushima Daiichi mengalami kebocoran yang serius berkikutan dua letupan baru dan satu kebakaran semasa kakitangan di tapak berkenaan berusaha mengelakkan kebocoran.
Loji nuklera berusia 40 tahun itu mengalami empat letupan dengan letupan terbaru di reaktor dua dan empat sejak gempa bumi berlaku.
Pihak berkuasa melahirkan kebimbangan kebocoran akan berlaku dan menyebabkan bencana nuklear seperti Chernobyl di Ukraine pada 1986 yang menyaksikan sekitar kawasannya dicemari dengan radiasi.
Krisis nuklear terbesar di negara itu semakin serius setiap hari berikutan empat daripada enam reaktor di logi nuklear di Fukushima mengalami letupan hidrogen sejak gempa bumi melanda wilayah Tohoku, Jumaat lalu.
Penduduk Jepun juga dilaporkan bergegas membeli barang keperluan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bencana nuklear.
Beberapa kedutaan menasihatkan kakitangan dan rakyat masing-masing meninggalkan kawasan yang terjejas dengan radiasi dan daerah yang musnah akibat gempa bumi besar dan tsunami yang melanda Jepun Jumaat lalu.
Pelancong juga dilaporkan memendekkan cuti. Syarikat antarabangsa juga digesa memindahkan kakitangannya berpindah ke kawasan di luar Tokyo.
Jabatan Meteorologi Jepun (JMO) mengeluarkan amaran berlaku satu lagi gegaran yang mencecah tahap magnitut tujuh dalam tempoh dua atau tiga hari ini.
Amaran ini secara tidak langsung meletakkan Tokyo dalam keadaan berjaga-jaga.
Jepun kini dalam keadaan berbahaya apabila berlaku beberapa siri letupan sistem penyejuk di Reaktor No 1 dan No 3 loji nuklear Fukushima.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Endo menjelaskan pertambahan gas hidrogen berlaku dalam reaktor yang rosak. Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlakunya letupan hidrogen.
Amaran pencemaran radiasi juga dikeluarkan di beberapa kawasan tertentu. Beberapa laluan juga ditutup manakala pengangkutan darat diberhentikan sementara waktu sehingga keadaan kawasan terkawal.
Rakyat Malaysia yang tinggal di Jepun juga sukar dihubungi kerana terputus hubungan sejak Jumaat lalu. Sebahagian besar daripada rakyat Malaysia yang tinggal di Jepun dilaporkan selamat dan dipindahkan di pusat pemindahan sementara.
Tokyo: Satu lagi letupan besar reaktor nuklear kedengaran awal pagi ini. Letupan ini adalah letupan ketiga selepas dua letupan yang berlaku sejak sabtu lalu.
Jurucakap Tokyo Electric Power Co melaporkan kepada media yang letupan besar berlaku antara jam 6 pagi dan 6.15 pagi di reaktor ke-2 iaitu logi nuklear pertama Fukushima.
Kerajaan juga melaporkan terdapat kerosakan di bahagian bekas yang melindungi reaktor yang sama di Fukushima iaitu 250 kilometer dari timur laut Tokyo. Namun mereka masih belum dapat mengenalpasti yang kerosakan yang berlaku itu menjadi punca letupan.
Dilaporkan, 7 orang hilang sementara tiga yang lain cedera dalam letupan itu.
Letupan dikesan apabila kepulan asap kelihatan di atas bangunan reaktor ke-3 itu.
Penduduk sekitar kawasan tersebut diberi amaran berjaga-jaga.
Terdahulu, Perdana Menteri Jepun mengeluarkan kenyataan reaktor nuklear yang terganggu akibat gempa bumi di Fukushima masih berada dalam keadaan bahaya.
Seorang penulis terkenal berhadapan dengan tuduhan plagiarisme apabila beliau dituduh memplagiat 100 halaman daripada 258 halaman buku Along With Youth: Hemingway, The Early karya penulis Amarika, Peter Griffin.
Patrick Poivre d'Arvor yang juga dikenali sebagai PPDA didakwa memasukkan halaman yang diplagiat dan dijadikan sebagai sebahagian daripada manuskrip bukunya yang bertajuk Hemingway, la vie jusqu'q l'exes.
Buku yang dijadualkan terbit pada 17 Januari lalu itu ditangguhkan penerbitannya apabila akhbar mingguan Perancis, 'L'Express membongkar skandal plagiat yang memalukan itu.
L'Express mendedahkan salinan asal buku Griffin bersebelahan dengan manuskrip PPDA yang menunjukkan deskripsi serupa bagi menjelaskan perihal rawatan dan pembedahan yang dialami oleh Hemingway akibat luka ditembak.
Penulis Perancis itu seakan-akan tidak mampu menepis dakwaan terbabit apabila penerangan PPDA mengenai bau antiseptik dan darah di klinik hinggalah kepada watak doktor berbangsa Itali yang menawarkan Hemingway meminum cognac - sejenis wain sebagai antiseptik, juga serupa.
PPDA bagaimanapun menafikan wujudnya plagiarisme, sebaliknya dia tidak menafikan menjadikan buku Griffin itu sebagai rujukan, selain menyifatkan tuduhan itu adalah satu kesilapan kerana dia menghabiskan masa selama setahun untuk membuat penyelidikan.
"Hanya tiga kesalahan, fail yang berkecamuk, tidak membaca pruf yang dihantar editor dan tidak membuka salinan buku yang dihantar," katanya.
Kes terbaru ini sebenarnya menambahkan lagi catatan hitam dalam resume PPDA yang sebelum ini, didapati bersalah memalsukan temubual dengan pemimpin Cuba, Fidel Castro dan mendakwanya sebagai 'berita ekslusif, sedangkan apa yang dilakukan memanipulasikan rakaman sidang akhbar pemimpin itu.
The New York Times, Francenews 24 & timesonline turut mendedahkan, PPDA juga pernah didenda dan dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Perancis kerana menerima hadiah dan cenderamata daripada ahli perniagaan yang berkepentingan.
Syarikat penerbitannya, Atrhaud mendakwa 100 halaman daripada buku Griffin yang terkandung dalam manuskrip PPDA adalah 'draft akhir yang belum diputuskan' yang didedahkan secara tidak sengaja pada Disember lalu, manakala penerbitnya, Oxford University Press, akan melakukan siasatan dan akan mengambil tindakan selepas itu.
Tidak lama selepas skandal plagiat berkenaan, PPDA berhadapan dengan saman oleh bekas kekasihnya Agathe Borne, kerana memplagiat surat-suratnya dengan menerbitkannya sebagai sebahagian daripada isi kandungan novel PPDA yang terbit pada 2009, dan tuduhan itu menyebabkan penulis Perancis itu diheret ke mahkamah, baru-baru ini.
Undang-undang Hak Cipta di Perancis atau disebut ' droit d'auteur' mencatatkan jika didapati bersalah, penalti 300,000 euro (RM1.2juta) akan dikenakan dan penjara tiga tahun, manakala kesalahan secara berkumpulan akan menyebabkan pelakunya didenda 500,000 euro (RM2.07juta) dan penjara lima tahun.
Bagi kes PPDA, tindakan undang-undang mungkin dibuat di Amerika Syarikat dan mengikut undang-undang negara itu, kesalahan plagiat menyebabkan pesalah didenda tidak lebih 500,000 dolar US (RM1.5juta) atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duannya untuk kesalahan pertama atau denda tidak melebihi 1 juta dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berulang.
Perancis adalah negara yang menerima pakai Konvensyen Berne bagi Perlindungan Karya Sastera dan Seni 1886, selain kesedaran masyarakat di Eropah berkaitan dengan isu plagiarism sangat tinggi berbanding di Malaysia, tetapi hal terbabit tetap berlaku.
Tidak ramai penulis Malaysia yang berjuang di mahkamah apabila karya mereka diplagiat, meskipun kes plagiat karya kreatif seperti cerpen kerap berlaku, malahan sorotan Akta Hak Cipta 1987 menunjukkan hanya satu peruntukan dalam seksyen 36 (1) berhubung perkara terbabit.
Akta itu antara lain menyebut bahawa pelanggaran hak cipta terjadi apabila seseorang yang tidak memegang hak cipta melakukan atau menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang perlakuannya dikawal oleh hak cipta di bawah akta itu.
Seksyen 41 Akta Hakcipta 1987 pula menggariskan mereka yang melakukan plagiarisme boleh didenda tidak melebihi RM10,000 setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali (bagi kesalahan pertama).
Walaupun termaktub demikian, kedua-duanya kelihatan sangat longgar, apatah lagi jika dibandingkan dengan penalti kesalahan cetak rompak yang terkandung dalam akta sama, mengenakan denda minimum RM2,000 dan satu denda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan.
Di bawah seksyen yang sama, turut menggariskan mereka yang melakukan muat turun daripada internet secara haram boleh dikenakan penalti lebih tinggi dengan denda tidak lebih daripada RM250,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun.
---Sumber http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Plagiarismeisusejagat/Article---
Oleh : Ainon Mohd
Tren pasaran buku di semua negara maju di dunia menunjukkan bahawa pasaran buku dalam bahasa-bahasa tempatan adalah besar dan sentiasa berkembang. Disebabkan oleh permintaan yang meningkat bagi bahan bacaan dalam bahasa-bahasa tempatan mendorong aktiviti jual-beli lesen hak cipta dan penerbitan judul-judul terjemahan.
Selaras dengan trend perkembangan dunia itu, pasaran buku-buku Melayu di Malaysia adalah pasaran yang semakin membesar dan ia akan terus berkembang dengan baik kerana industri buku didukung oleh dua faktor utama, iaitu :
(i) peningkatan pendapatan rakyat negara ini.
(ii) peningkatan taraf pendidikan.
Buku adalah barang konsumer yang dibeli menggunakan wang lebihan dan dibaca oleh mereka yang mempunyai pelajaran, itulah sebabnya industri buku sangat bergantung kepada perkembangan ekonomi dan tahap pendidikan rakyat. Tanda-tanda positif tentang perkembangan tabiat membeli dan membaca buku di negara ini dapat dilihat dengan memerhatikan beberapa faktor dalam industri.
Pertama, setiap tahun, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) melihat pertambahan jumlah pempamer. Semenjak 29 tahun yang lalu, bermula dengan PBAKL yang pertama, setiap tahun jumlah gerai bertambah disebabkan permintaan daripada peserta pesta yang semakin banyak.
Jumlah pengunjung PBAKL juga semakin banyak sehingga dewan pameran menjadi penuh sesak. Mereka juga membeli semakin banyak buku pada PBAKL. Di samping pesta-pesta buku yang dianjurkan pada peringkat yakni di ibu negara, jumlah pesta buku yang diadakan diperingkat negeri dan daerah-daerah di seluruh negara juga semakin bertambah tahun demi tahun.
Kedua, jumlah kedai buku di seluruh negara juga semakin bertambah. Jumlah pelabur luar negara yang membuka cawangan dan francais kedai buku juga bertambah. Bukan hanya jumlah kedai buku barangkali yang bertambah, jumlah kedai buku milih persendirian juga bertambah.
Syarikat-syarikat kedai buku milik Malaysia juga semakin bertambah apabila jumlah mereka yang membuka cawangan semakin banyak.
Dari sudut pengeluaran buku pula, terdapat tanda-tanda yang amat memberangsangkan di mana jumlah penerbit buku meningkat, jumlah judul buku yang diterbitkan juga meningkat.
Selain itu peningkatan juga berlaku pada jumlah penulis, penterjemah, editor dan ilustrator buku. Kualiti pekerja buku di negara ini juga mengalami peningkatan di mana semakin banyak yang terdiri daripada pemegang ijazah dalam pelbagai profesional.
Keadaan ini berbeza dengan situasi pada masa lalu di mana bidang penulisan dan penerbitan buku menjadi pilihan mereka yang datang daripada latar belakang pendidikan, bahasa dan sastera sahaja. Pada masa ini jumlah guru yang menulis sudah menjadi minoriti.
Peningkatan juga berlaku pada pembayaran royalti kepada para penulis juga. Sudah banyak penulis yang menerima royalti melebihi RM100 ribu setahun, dan dengan demikian mereka mampu hidup sepenuh masa sebagai penulis.
Perkembangan terbaru ini mempunyai kesan yang sangat positif ke atas produktiviti para karyawan. Hasilnya jumlah penulis, penterjemah dan ilustrator buku yang menceburkan diri ke dalam dunia kreatif semakin banyak dan karya mereka semakin tinggi mutunya.
Tanda-tanda peningkatan saiz pasaran buku Melayu juga dapat dilihat pada peningkatan jumlah ruang yang diperuntukkan oleh kedai kepada rak-rak buku Melayu dan pada posisi di dalam kedia di mana rak-rak Melayu ditempatkan.
Pada masa ini permintaan bagi buku-buku Melayu yang semakin meningkat telah mendorong kedai-kedai buku memberikan ruang yang lebih besar, lebih banyak rak kepada buku-buku Melayu dan meletakkan rak-rak itu di bahagian depan dan berdekatan dengan pintu masuk.
Salah satu cabaran dalam industri buku dalam negara adalah bagaimana memenuhi permintaan daripada pembaca yang mahukan lebih banyak judul yang mereka perlukan, khususnya judul-judul bukan fiksyen dan buku-buku profesional.
Banyak sub-sektor dalam pasaran buku Melayu masih belum diterokai. Justeru, ia adalah peluang yang baik bagi para penerbit untuk menerbitkan buku-buku dalam sub-sektor itu. Jika kita tidak mempunyai penulis tempatan yang menghasilkan tajuk-tajuk itu maka cara lain adalah dengan menerbitkan buku-buku terjemahan bagi sub-sektor itu.
Suatu perkara yang sangat menarik adalah realiti bahawa industri buku Melayu berkembang semata-mata atas sokongan pasaran terbuka, yakni adanya permintaan yang tinggi dari peminat dan pembeli, bukan disebabkan wujudnya dasar-dasar kerajaan yang melindungi dan merancangkan perkembangan sektor ini.
Dalam keadaan kerajaan menjalankan kempen besar-besaran supaya rakyat menguasai bahasa Inggeris, namun ternyata permintaan bagi buku Melayu tetap berkembang dengan pesatnya.
Bagi memenuhi permintaan itu, para pengimport dan pengedar buku-buku Melayu terpaksa mengimport buku-buku dari Indonesia, sama ada diimport terus ataupun dengan menerbitkan semula judul-judul Indonesia sebagai edisi Malaysia.
Sebagai seorang penerbit buku yang baru bergiat dalam sektor ini selama sembilan tahun, saya menyaksikan bagaimana syarikat penerbitan saya berkembang purata lebih 60% tiap-tiap tahun. Perkembangan ini berlaku meskipun dalam keadaan ekonomi gawat!
(Artikel ini dipetik dari Majalah Mutiara Minda- Dunia Buku edisi Mei hingga Julai 2010)

Bermula dengan penulisan di blog, Tuan Ilham Hamdani terus melangkah ke arah penulisan yang lebih serius. Minat yang mendalam dalam penulisan ditambah pula dengan dorongan daripada penulis 'senior' telah melahirkan penulisan yang lebih serius.
Tuan Ihlam Hamdani mengorak langkah dalam bidang penulisan dengan melahirkan cerpen pertama beliau yang bertajuk Wardah Ain Sal-Sabila yang diterbitan pada tahun 2002.
Tuan Ilham Hamdani atau nama sebenarnya Mohd Izudin Mohamad Nazir kini bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Canberra, Australia mengadaptasikan kehidupannya di perantauan dalam setiap penulisannya.
Perjalanannya di negara asing menjadi pendorong beliau untuk menceritakan pengalaman hidupnya kepada rakyat Malaysia.
“Saya cuba menyelitkan semua keindahan yang wujud di persekitaran saya. Semua keindahan di Canberra akan diperolehi dari Bara Cinta Canberra . Anda yang tidak berkesempatan untuk menjelajah Canberra akan merasai Canberra itu di pupuk mata anda,” kata beliau.
Beliau merupakan pemenang hadiah sastera perdana melalui antologi cerpen Mekar Sakura Di Mimbar Cinta yang diterbitkan oleh PTS.
Bapa kepada seorang anak ini menghasilkan karya dengan tujuan untuk berdakwah khususnya kepada golongan muda.
"Saya ingin memberitahu yang dalam bercinta haruslah ada ikat. Ikat yang dimaksudkan adalah Islam," jelas Ilham.
Beliau juga mengharapkan karyanya merupakan satui cara kecil untuknya menyumbang kepada rakyat di Malaysia.
"Saya cuba menggambarkan budaya baik di Eropah kepada rakyat Malaysia," ujar beliau.
Ketika ditanya harapan untuk novelnya, beliau berkata, sekiranya beliau berkemampuan untuk menghasilkan skrip, mungkin karyanya akan dikembangkan.
"Sebelum ini saya ada menerima tawaran untuk mengadaptasi karya saya ke layar perak. Namun saya masih belum fasih dalam penulisan skrip. Sekiranya saya diberi kemampuan untuk menghasilkan skrip, Insya Allah saya akan mempertimbangkan untuk mengadaptasi karya saya," kata beliau lagi.
Beliau sebelum ini telah melahirkan novel pertama yang bertajuk Hidayah Cinta bersama PTS. Bara Cinta Canberra merupakan novel kedua beliau bersama PTS.
Staf PTS ketika ini sedang sibuk membungkus hadiah misteri yang akan diedarkan kepada semua peserta program 'saya mahu hadiah'.
Program yang dimulakan sejak tahun 2007 ini dilaksanakan bagi menghargai peminat setia novel PTS selama ini.
Pembaca yang ingin mengikuti program ini perlu mengumpulkan 10 keratan setem yang terdapat pada kulit buku terpilih terbitan PTS bagi mendapatkan hadiah misteri tersebut.
Hampir separuh hadiah misteri untuk tahun ini telah diposkan kepada peserta dan bakinya akan menyusul selepas ini.
Sejarah Islam terutamanya mengenai arkeologi quranik yang masih tersimpan pelbagai misteri telah menarik minat Muhammad Alexander untuk terus menulis buku berkaitan sejarah, tamadun dan agama bagi memperluaskan pengetahuan masyarakat.
Pensyarah tetap di Universiti Brawija ini telah menghasilkan buku pertama dalam sejarah yang berjaya membuka misteri siapa sebenarnya tokoh Zulqarnain (pemilik dua tanduk) dalam Al Quran, surah Al Kahfi.
“Berdasarkan analisis kandungan saya, terbukti bahawa Zulqarnain adalah Raja Muda Alexander the Great, putera Raja Philips dari Macedonia, Greek,” ujar Muhammad Alexander.
Menurut Alexander, selama ini semua buku yang membahaskan persoalan Zulqarnain masih kurang disokong oleh fakta atau data yang ilmiah dan cenderung subjektif (kurang adil).
Melalui buku Yakjuj dan Makjuj dan yang terbaru, Alexander adalah Zulqarnain, beliau mahu menyampaikan kepada umat Islam agar rajin membaca, adil, berwawasan terbuka dan menggunakan logik akal sihat dalam membahas apa-apa persoalan.
Hal ini kerana, kisah Zulqarnain terbukti dalam Al-Quran tidak berdasarkan semua sumber barat kuno (Greek- Roman) dan barat moden (mengenai Alexander the Great).
Beliau juga tidak pernah merasa risau semasa menulis topik-topik sensitif malahan bilangan pembaca yang senang dengan penemuan dalam buku tersebut makin bertambah.
“Sekiranya seorang penulis risau ataupun takut, lebih baik jangan jadi penulis,” ujar beliau dalam nada gurauan.
Beliau kini dalam proses menyiapkan novel misteri berkaitan dengan sejarah Islam, serta buku puisi keagamaan, iaitu The Great Walls : Strategi China menghadapi Yakjuj & Makjuj, The Kingdom of Heaven : Perjalanan Isa Al Masih menemui kesesatan bani Israel dan Socrates Alhi Falsafah Athen adalah Luqmanul Hakim.
“Saya ingin buku-buku saya diterjemahkan ke dalam bahasa arab. Saya juga ingin menjalin kerjasama dan tajaan untuk membuat dokumentari filem berkenaan dengan lokasi-lokasi penting bersejarah yang ada dalam kedua buku saya itu,” menurut beliau apabila ditanya harapan terhadap buku-bukunya.
Artikel ini dipetik dalam Majalah Pop Club dalam Muka Surat 43, keluaran 28 mei 2010)

Mira Azilah, gadis kelahiran Janda Baik, Pahang, digambarkan melalui kehidupan penuh ranjau apabila terpaksa membesar dalam serba kekurangan dan lebih menyayat hati tanpa kasih sayang seorang bapa, tetapi menerima segala dugaan itu dengan tabah kerana yakin ia sebahagian daripada ujian Ilahi.
Novel setebal 49 bab ini, dimulai dengan kisah Mira melanjutkan pelajaran di State University of New York, Amerika Syarikat dan dipertemukan dengan Faris, anak hartawan yang suka berfoya-foya dan mengambil kesempatan ke pelajar wanita.
Bagaimanapun perangai buruknya berubah ketika mula mengenali Mira, gadis berhati tulus yang berjaya menambat hatinya sehingga akhirnya memaksa dirinya berusaha memenangi hatinya meskipun terpaksa menggunakan kekerasan dan berkesudahan dengan kemalangan jalan raya yang menyebabkan Faris lumpuh.
Mira yang berasa kasihan dan bersalah atas nasib yang menimpa Faris, akhirnya sudi mengahwini pemuda itu, meskipun tahu calon suaminya mengidap penyakit HIV akibat pergaulan bebas di samping berusaha menjadi isteri terbaik kerana reda dengan ketentuan Tuhan buat dirinya.
Ketabahan Mira teruji juga apabila dia tidak dapat mengecap nikmat berumah tangga selayaknya sebagai isteri dan terpaksa melayani suami yang bertukar menjadi pemarah, berputus asa dan sering meringankan hukum agama.
Kebencian ibu mentua Mira, Datin Faridah yang tidak merestui perkahwinan pasangan terbabit pasti meruntun jiwa pembaca dan pengarang turut meruntun jiwa apabila disogokkan dengan kisah abang ipar Mira, Farhan yang tegas lagi cengil, jatuh cinta pandang pertama lewat kunjungannya bersama Mira dan Faris di Air Terjun Niagara.
Kematian Faris membuka peluang kepada Farhan untuk merebut cinta Mira dan keadaan memihak kepadanya apabila Faris meninggalkan wasiat agar abang serta isterinya itu disatukan, meskipun hati gadis itu sebenarnya berbelah bagi.
Mira akhirnya menerima lamaran daripada keluarga Datuk Rashid dan keputusan itu nyata menyebabkan pisang berbuah dua kali apabila gadis itu terpaksa hidup sengsara lantaran mengahwini lelaki yang sering dibayangi peristiwa silam.
Berkat Ketabahan dan kesetiaan, bahagia akhirnya menjengah, tetapi kehadiran Azrin, bekas pesakit Gangguan Stres Pascatrauma (PTSD) yang diterima bekerja di Syarikat Titian Maju milik Farhan, hampir menggugat kebahagiaan mereka yang baru menjengah.
Kebaikan dan kelembutan Mira mengingatkan Azrin kepada ibunya, kekasaran Farhan pula mengingatkannya kepada kebengisan bapa tirinya dan akhirnya menjadikan Azrin semakin keliru serta hampir meragut nyawa Farhan kerana kenangan kepafa bapa tirinya.
Sungguhpun novel tampil dengan judul Curahan Cinta Niagara, hakikatnya ia dibaluti dengan nilai Islam, sarat pengertian, motivasi dan nasihat kerana pengarang bijak menyelitkan petikan daripada al-Quran dan terjemahannya serta beberapa hadis sahih bagi memperkuatkan hujah dalam menjawab setiap konflik.
Pembaca juga pasti berasa betapa ikatan perkahwinan itu sebenarnya indah, sekiranya setiap pasangan tahu menikmati dan menghargai kesucian perhubungan terbabit dan sentiasa berusaha berpandukan kepada ajaran Islam.
Jurutera tulis novel berunsur Islam
MAYA Iris nama pena bagi Mariah Abd Rahim, jurutera yang juga Pengurus Kanan, Jaring Communications Sdn Bhd, tampil dengan novel sulungnya, Curahan Cinta Niagara, meskipun hakikatnya tidak pernah terbabit dunia penulisan kreatif sebelum ini.
Pengalaman memesrai bidang kejuruteraan sistem komputer selama 20 tahun tidak pernah menghalang ibu kepada lima orang anak ini untuk berkarya, bahkan mereka dan suami tersayang menjadi pembakar semangat untuk membolehkan karyanya berada di pasaran.
Pengarang kelahiran Klang, Selangor dan kini menetap di Bandar Kinrara, Kuala Lumpur, adalah lulusan Sarjana Sains Komputer dari Southern Illinois University (SIU), Carbondale, Amerika Syarikat (AS) dan sebelum itu menerima sarjana mudanya dari State University of New York (SUNY), New Paltz, AS.
Sikap sukakan cabaran dan melakukan perkara di luar bidang kepakarannya ternyata menjadi titik tolak kejayaannya untuk tampil dengan novel berunsur Islam, Curahan Cinta Niagara, meskipun judulnya menimbulkan tanda tanya.
ACAP kali penulis bertemu dengan beliau dalam beberapa majlis, pelawaan untuk diwawancara terutamanya berkaitan kisah pengislamannya sering mendapat isyarat ‘lampu merah’. Pun begitu, panggilan yang dibuat Sabtu lalu mendapat respons yang tidak disangka kerana keizinannya umpama pucuk dicita ulam mendatang.
Gerangan yang dimaksudkan ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan, Ann Wan Seng, 39 tahun.
Anak kelahiran Klang, Selangor ini juga adalah Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Putra, Ahli Jawatankuasa Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan dan Penasihat Asrama Baitul Ummah, asrama kanak-kanak yatim, fakir miskin dan mualaf di Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur.
Melihat kepada jawatan yang disandangnya, terbukti jadual hariannya begitu ketat. Biarpun begitu, Ann masih mampu memperuntukkan waktu dalam bidang penulisan buku. Sehingga kini sebanyak 30 buku tulisannya diterbitkan di bawah pelbagai syarikat penerbitan.
Kesungguhannya meluangkan masa begitu dihargai lebih-lebih lagi, terpaksa berkejar dari satu majlis di Shah Alam untuk memenuhi janji temu kami yang dirancang di Tingkat 4, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Selasa lalu.
Sempena sambutan Maal Hijrah yang akan disambut Sabtu ini, umum seringkali mengaitkannya dengan penghijrahan akidah yang dilalui mereka yang bergelar saudara baru.
Menurut Ann, hijrah merupakan suatu sejarah besar umat Islam yang sarat pengajaran dan hikmah untuk direnungi dan dihayati. Sewajarnya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. tidak dilihat dalam satu skop sahaja iaitu peristiwa perpindahan Baginda Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Kota Madinah.
“Sebenarnya, hijrah itu bukan sekadar dilihat dari segi akidah tetapi sepatutnya mencakupi pelbagai aspek dalam kehidupan seperti sikap, cara hidup, pergaulan, percakapan dan banyak lagi.
“Ini menunjukkan bahawa betapa Islam menggalakkan umatnya untuk melakukan perubahan. Islam itu adalah agama yang dinamik, bukan jumud dan kaku. Malah Islam menuntut kita agar selalu membuat perubahan. Contohnya dari perlakuan buruk kepada baik dan sebagainya,” kata beliau.
Berbesar hati berkongsi dua peristiwa bermakna setiap kali tiba hijrah cerita Ann, detik paling bermakna ialah penghijrahan akidah yang dilalui pada akhir 1996. Jika sebelum ini beragama Buddha tetapi hidayah Allah menjadikan beliau seorang Muslim.
Perubahan ini, turut disusuli dari segi lain seperti sikap. Sebelum ini sedikit kasar dan keras terutamanya kepada ibu bapa tetapi penghijrahan akidah itu sekali gus membawa kepada perubahan yang lebih menyeluruh menuju peribadi Muslim sebenar.
Di samping itu, akui Ann, penghijrahannya turut mengimbau perpindahan beliau ke rumah baru pada tahun yang sama. Baginya biarpun nampak biasa tetapi perpindahan itu bukan sahaja memberi azam baru malah ia satu alamat yang cukup baik iaitu ia bersih, tersusun dan kebetulan memiliki kejiranan majoriti berbangsa Cina. Ia secara tidak langsung, memerlukan seorang yang mengakui Islam perlu menjaga hak-hak mereka sebagai jiran.
Katanya, oleh itu, hijrah seharusnya menjadi satu titik perubahan untuk berusaha menjadi seorang Muslim yang baik dan memperbaiki diri dari semasa ke semasa.
“Apa yang paling penting bukan dari segi sambutannya tetapi pengertian dan kefahaman terhadap peristiwa hijrah itulah yang lebih utama. Sayang nya apa yang berlaku sekarang, ramai yang sekadar menganggap ia sebagai sambutan.
“Natijahnya tidaklah ada perubahan malah umat Islam hari ini semakin dicengkam dengan permasalahan yang membabitkan ramai orang Islam seperti peningkatan kes-kes keruntuhan moral, hakisan akidah dan sebagainya. Ini semua berpunca kerana tiadanya penghayatan sebenar di sebalik peristiwa hijrah,” ujar Ann.
Jika ada penghayatan maka segala yang dipandukan dalam Islam akan dilaksanakan dalam kehidupan seharian umat Islam.
Lantaran itu, menjadi tanggungjawab dan kewajipan kepada semua umat Islam memulihkan kembali syiar Islam. Kesemua usaha ini pasti berjaya jika ia bermula dari dalam diri individu Islam itu sendiri untuk memperbaiki diri.
Hal ini dapat disamakan dengan bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w. berdakwah demi membangunkan insaniah di kalangan orang Arab Mekah yang mengambil masa 13 tahun. Penyelesaian kepada masalah di atas terjawab sekiranya pembangunan insan dikembalikan kegemilangannya.
“Selain itu, orang Islam juga umpama tubuh manusia, bangunan atau bersaudara. Apabila disebut bersaudara ini bermakna lebih rapat daripada kawan, lebih akrab daripada sahabat dan lebih dekat daripada jiran. Hal ini bukan sahaja ditekankan soal pemulihan akhlak atau akidah tetapi turut melibatkan pembanterasan kemiskinan dalam kalangan umat Islam.
“Ini berbalik semula kepada pembuktian di sebalik peristiwa hijrah iaitu nilai pengorbanan. Ia mengajar kita supaya suka melakukan pengorbanan tidak kira dari aspek masa, tenaga dan wang ringgit sekali gus mendidik hati setiap Muslim,” tambahnya.
Apa yang amat dikesali Ann, masyarakat kita agak liat melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan dakwah Islamiah dengan alasan paling popular iaitu sibuk bekerja dan ketiadaan masa.
Katanya, masyarakat lebih cenderung kepada aktiviti berbentuk hiburan. Ini tidak dinafikan kerana manusia memang mudah tertarik kepada segala bentuk hiburan. Kini, orang Islam perlu celik mata dan hati kerana banyak kerja yang belum selesai yang berkaitan dengan dakwah Islamiah.
“Inilah yang menyebabkan pihak kami turut berhadapan dengan masalah untuk mencetuskan kesedaran kepada masyarakat. Salah satunya berpunca daripada masalah komunikasi.
“Oleh itu salah satu cara yang dilakukan ialah dengan mengadakan pelbagai bentuk program di mana semua pihak tidak kira pangkat turun padang menjayakannya. Malah turut diharapkan ialah penglibatan daripada ahli berdaftar sebagai sukarelawan, supaya kerjasama mereka akan menentukan kejayaan perlaksanaan penganjuran aktiviti,” kata Ann.
Kata beliau, di Perkim terdapat beberapa program yang dirancang. Antaranya Program Ziarah Dakwah di Pulau Ketam, Ahad lalu. Ia adalah program berkala dari semasa ke semasa. Alhamdulillah, semenjak diadakan ada perubahan sikap umat Islam dan bukan Islam terhadap agama Islam.
Sementara itu, pada Februari ini program yang serupa turut dirancang di Pulau Carey, Selangor. Ini mengkhusus kepada golongan Orang Asli yang menjadi penduduk majoriti di sana selain Melayu, Cina dan India.
Kejayaan program-program ini juga adalah hasil sokongan dan kerjasama institusi agama dan pertubuhan bukan kerajaan lain. Perkim lebih berperanan sebagai orang tengah atau jambatan untuk merapatkan jurang perbezaan.
Akui anak bongsu daripada empat adik-beradik ini lagi, di samping suka melibatkan diri dengan pelbagai program kemasyarakatan, beliau turut aktif dalam dunia penulisan bahan ilmiah. Beberapa buku terlaris beliau ialah Rahsia Bisnes Orang Cina, Rahsia Bisnes Orang Jepun, Rahsia Bisnes Orang Korea, Rahsia Black Metal dan Rahsia Arqam.
Menjawab kepuasan yang diperoleh dalam semua kerja-kerja yang dilakukan, Ann yang sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Pusat Pengajian Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata, ia dirasai apabila dapat memberi sumbangan kepada anggota masyarakat.
Ini kerana setiap manusia tidak dapat lari daripada kehidupan bermasyarakat. Sekurang-kurangnya, apa yang dilakukan secara ikhlas ini menjadi aset akhirat sewaktu bertemu Ilahi kelak.
Berkongsi kisah pengislaman, kata Ann, sebab utama mengkaji tentang Islam ialah apabila tidak mendapat jawapan atau penjelasan tepat tentang sesuatu kemusykilan berkaitan Islam apabila diutarakan kepada teman-teman.
Beliau mula tertarik kepada Islam sewaktu di zaman persekolahan dan semasa menuntut di universiti di mana beliau mula bergaul dengan orang Islam.
“Saya terpikat dengan Islam ini terutamanya penekanannya kepada konsep persaudaraan Islam dan institusi zakat. Ini kerana bidang sosiologi yang saya pelajari tidak ada tolok bandingannya dengan Islam.
“Jadi apabila saya tidak dapat penjelasan sebagaimana yang diharapkan, saya mula mencari menerusi bahan bacaan, perbincangan dengan ulama dan menerusi kajian, Gerakan Islam di Malaysia di peringkat sarjana. Saya juga pernah melalui pengalaman kerohanian dan saya pernah berniat sekiranya saya menjumpai duit saya yang hilang, saya akan membeli sebuah al-Quran.
“Entah macam mana, duit tersebut ditemui jadi sebagai memenuhi hasrat itu, saya pun membeli senaskhah terjemahan al-Quran dan menerusinya saya mendalami Islam dan akhirnya membawa kepada agama Allah,” akui Ann.
Harapan bekas tenaga pengajar di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya ini, agar tidak berlaku pengasingan atau penyisihan kepada golongan saudara baru terutamanya di kalangan umat Islam itu sendiri.
Sebaik-baiknya, umat Islam dapat menjadikan saudara baru sebahagian daripada mereka dan lebih digalakkan jika golongan ini diberikan sokongan dari segi fizikal dan bukan fizikal.
Bagi mereka yang ingin menyalurkan bantuan kepada kanak-kanak di asrama Baitul Ummah bolehlah menghubungi talian 03-4024 3304.
TAHUN 2006 mencatatkan banyak juga kemajuan dan perkembangan dalam industri perbukuan di negara ini. Sedikit sebanyak pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang tahun lalu mencerminkan sikap dan amalan membaca di kalangan rakyat negara ini yang semakin meningkat. Antara kegiatan yang menonjol termasuklah pesta buku, wacana buku, kempen membaca dan penerbitan buku baru terutamanya dalam genre memoir dan biografi.
Walaupun banyak teguran dan kritikan dilemparkan terhadap penyelenggaraan Pesta Buku Kuala Lumpur 2006 yang dilihat tidak bermaya dan masih di takuk lama, namun penganjurnya masih mampu meneruskan pesta yang menghimpunkan peminat buku tanah air.
Setahun sekali penggiat buku tempatan berkumpul di sini – pustakawan datang dari seluruh pelosok negeri membuat tempahan buku untuk perpustakaan masing- masing, editor dan penerbit mengintai pengarang berpotensi di sini, selain menguar- uarkan buku baru melalui program diskusi dan pelancaran buku. Ulat buku juga tidak ketinggalan mencari-cari judul buku yang diminati.
Semasa dimulakan pada 1982 pesta ini lebih bertumpu di Kuala Lumpur sahaja. Pesta buku yang digerakkan oleh ‘tauke buku’ ketika itu dirasakan kurang mendatangkan kesan. Oleh hal yang demikian, Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) telah mencari jalan mengadakan pesta buku yang terancang dan tersusun di seluruh negeri dan daerah. Selepas itu, pesta buku anjuran Majlis Kemajuan Buku Malaysia (MBKM) dan badan-badan dalam industri buku telah dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia dari semua negeri dan kini telah berusia suku abad. Wajarlah pesta ini mencerminkan kematangan pengurusannya bagi memenuhi matlamat Dasar Buku Negara.
Selain MBKM perlu membuat perubahan dengan mengemukakan program yang lebih sesuai dengan cita rasa pembaca pada hari ini, syarikat-syarikat yang membuat pameran perlu juga menambah lebih banyak judul terutama bagi bidang yang berkaitan dengan teknologi komputer, pengurusan, sains dan teknologi serta perdagangan dan bidang profesional yang lain kerana judul-judul ini kini mendapat tempat di kalangan pembaca.
Bergantung kepada judul asing bermakna kita mengalirkan wang ke luar. Penerbit juga mesti berusaha meningkatkan kualiti pameran ke tahap yang lebih profesional. Bahan seperti alat tulis dan buku-buku lama tidak seharusnya dilonggok di pesta bertaraf antarabangsa. Mereka perlu mempromosi buku-buku baru dan terkini, termasuk best seller. Selain pameran dan jualan, MBKM juga perlu memberi pengiktirafan kepada penerbit, editor dan pengarang sama ada dalam bentuk anugerah atau hadiah sebagai insentif kepada mereka. Sifat ‘antarabangsa’ pada pesta ini perlulah ditonjolkan lagi dengan penyertaan penerbit buku asing dalam menjual beli hak cipta intelektual pengarang tempatan.
Kempen membaca juga satu lagi program yang sering diadakan tetapi kesannya dirasakan semakin hari semakin kurang terutama bagi masyarakat di luar Kuala Lumpur. Kempen yang digerakkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia ini nampaknya memerlukan nafas dan nyawa baru demi menjamin hasrat dan pelaburan kerajaan mencapai matlamatnya.
Tidak disangkal bahawa pelancaran kempen membaca 2006 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur memang amat baik namun jumlah pelajar dan masyarakat yang mengambil bahagian dan mendapat faedah langsung adalah terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan masyarakat yang patut diajak sama-sama membaca. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di bawah pimpinan ketua pengarahnya yang baru, Siti Zakiah Aman yang kelihatan lebih muda, bersemangat, tegas dan bertenaga serta para pegawai kanan beliau tentu dapat merancang sesuatu yang lebih bermakna, berkesan dan bermanfaat pada masa akan datang.
Siti Zakiah perlulah berani membawa perubahan dengan turut melibatkan penggiat buku di luar PNM dalam setiap program yang diadakan. Apa yang dilakukan sekarang memanglah baik tetapi masyarakat kini lebih sofistikated, pantas, dan inginkan semuanya yang baru.
Kebaharuan inilah yang gagal dibawa oleh PNM dalam menggerakkan kempen dan gerakan membaca. Dasar Buku Negara yang diluluskan oleh Kabinet pada tahun 1985 digubal untuk memastikan pendekatan yang padu bagi perkembangan buku, untuk mengatasi rintangan dalam usaha mewujudkan serta mengembangkan industri buku yang sihat dan untuk mengatasi pelaksanaan yang tidak teratur yang mungkin menghalang perkembangan buku.
Matlamat Dasar Buku Negara yang utama ialah untuk memastikan supaya buku dalam bahasa Melayu dapat memainkan peranan yang berkesan sebagai alat pembangunan fikiran, sosial dan kebudayaan, sesuai dengan keperluan dan cita-cita negara. Dengan jumlah terbitan dalam bahasa Melayu yang bertambah setiap tahun, dapatlah dikatakan bahawa dasar ini sedikit sebanyak telah berjaya merangsang penerbitan buku dalam bahasa Melayu.
Dengan kadar pembacaan buku yang masih rendah, matlamat untuk memastikan supaya buku dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat di negara ini masih belum tercapai sepenuhnya. Pertambahan judul bukan bermakna semakin ramai rakyat yang membaca.
Untuk memastikan supaya rakyat di negara ini mempunyai minat membaca yang tinggi, masih banyak yang perlu dilakukan. Kempen membaca yang lebih giat dan berkesan mesti dilakukan.
Kerja menerbitkan buku adalah tugas profesional. Sampai kini, kita belum mempunyai sebuah pun institusi latihan bagi melatih pengarang dan editor dalam kerja mengarang dan menyunting. Berbeza keadaannya bagi bidang seni yang mempunyai Akademi Seni Kebangsaan (ASK), Balai Seni Lukis Negara dan Istana Budaya ataupun Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Untuk memastikan supaya semua buku yang diterbitkan di negara ini mencapai mutu yang baik dari segi isi dan juga dari segi bentuk fizikalnya perlulah diwujudkan institut latihan sebagaimana yang terdapat di India ataupun di negara Barat yang menganjurkan sesi bengkel dan kursus profesional jangka pendek.
MBKM sebagai sebuah badan profesional dan penasihat buku peringkat kebangsaan telah diamanahkan untuk melaksanakan dasar dan saranan yang terkandung dalam Dasar Buku Negara boleh merintis jalan ke arah penubuhan sebuah institut perbukuan di negara ini.
MBKM juga berperanan memajukan penerbitan buku dan menggalakkan perusahaan buku di negara ini. Namun usaha ini nampaknya semakin kurang berkesan.
Kalau dulu MBKM ada menganjurkan Hadiah Buku Kebangsaan, kini tidak ada lagi hadiah buku yang berprestij untuk pengarang, penerbit dan editor di negara ini. Program penggalakan perlulah dihidupkan kembali demi meningkatkan profesionalisme di kalangan petugas buku.
Penerbitan buku terjemahan terus memperlihatkan zaman gelapnya khususnya bagi penerbitan peringkat tinggi. Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) masih meneruskan dasarnya menerbitkan buku yang membuat untung. Menterjemah sebagai suatu kegiatan ilmu dan mengembangkan budaya bukan lagi menjadi keutamaan.
Karya terjemahan yang dapat dianggap besar dan menonjol terbit 2006 ialah Memoirs of a Geisha karya Arthur Golden yang telah diterjemahkan oleh Abd. Latiff Bidin dan diberi judul Kenang-Kenangan Seorang Geisha. Latiff tentu sahaja berdepan dengan cabaran ketika menterjemahkan novel yang kaya dengan nilai sastera seperti penggunaan bahasa yang berseni dan berirama, disulami ungkapan melankolik dan bombastik.
Tambahan pula, beliau menterjemah dalam tempoh yang amat singkat, 45 hari, bagi karya setebal lebih 700 halaman ini.
Buku siri Harry Potter karya J.K Rowling telah dijual melebihi 300 juta naskhah. The Da Vinci Code karya Dan Brown telah dijual melebihi 1.7 juta naskhah.
Begitu banyak penulis Barat menjadi kaya-raya kerana buku mereka laris. Bayangkan pendapatan R.L Stine yang menulis 80 buah buku, dengan jualan melebihi 220 juta naskhah, atau Enid Blyton yang meninggal dunia pada 1968, dengan sejumlah 700 tajuk buku kanak-kanak, dengan jualan melebihi 100 juta naskhah.
Enid Blyton merupakan pengarang dalam bahasa Inggeris yang paling laris bukunya sebelum munculnya J.K Rowling.
Bayangkan jumlah wang yang mengalir ke dalam bank Agatha Christie, penulis novel jenayah, apabila lebih daripada satu bilion naskhah novel beliau laris dalam bahasa Inggeris, dan satu bilion lagi dalam 45 bahasa lain dunia.
Jauh sebelum itu, pada 1901 lagi seorang penulis Britain, Beatrix Potter telah menjadi jutawan apabila buku The Tale of Peter Rabbit meledak dengan jualan sembilan juta naskhah.
Bukan sedikit penulis Barat yang telah menjadi jutawan dan kaya-raya dengan menulis buku.
Di Malaysia, bagaimana? Adakah menulis buku dapat mendatangkan wang? Atau membolehkan penulis menjadi kaya-raya?
Di Malaysia dianggarkan sekurang-kurangnya terdapat 10 orang penulis mendapat RM200 ribu setahun, sekurang- kurangnya 20 orang memperoleh sekitar RM100 ribu setahun, 25 orang memperoleh RM50 ribu setahun dan ratusan orang memperoleh sekurang-kurangnya RM15 ribu setahun dan ini termasuk penulis novel popular, buku motivasi, buku teks dan buku rujukan.
Satu daripada sistem yang diamalkan ialah sistem pembayaran royalti, iaitu sistem yang menentukan kadar yang perlu dibayar kepada penerbit berdasarkan jumlah naskhah yang laris.
Terjual
Lazimnya, di Malaysia, kadar royalti adalah antara 7-20 peratus daripada harga buku yang terjual.
Bayangkan jumlah royalti yang akan anda terima jika buku anda meledak di pasaran? Berapakah jumlah yang bakal anda terima jika buku anda laris lima ribu naskhah, 10 ribu naskhah, 20 ribu naskhah, 50 ribu naskhah atau 100 ribu naskhah?
Bayangkan anda menerima royalti 10 peratus dan harga buku ialah RM30? Anda kira sendiri, berapa wang yang mengalir ke dalam poket anda. Tentu anda akan tersenyum lebar ke bank.
Kini, bukan menjadi rahsia lagi, agak banyak novel popular Melayu yang meledak di pasaran, sehingga melantunkan penulisnya ke papan atas.
Rata-rata buku tersebut dijual melebihi RM25, dan penulis meraih 10 peratus royalti. Tidak hairanlah, semakin banyak penulis baru muncul dengan novel popular bertemakan cinta cuba bersaing di pasaran.
Azizi Ali, penulis buku pengurusan kewangan yang banyak menulis buku tentang bagaimana menjadi kaya dan merancang wang dan kekayaan merupakan antara yang kaya kerana menulis.
Beliau telah membuat banyak wang dengan menulis buku dan tahu bagaimana menggunakan wang daripada bukunya untuk menggandakan wangnya.
Pendapatan daripada menulis buku lebih besar daripada pendapatan yang diraihnya daripada kerja sebagai juruterbang.
Siapa kata, kita tidak dapat membuat wang dengan menulis?
Kata Azizi dalam sebuah bukunya, ‘‘Walaupun duit yang saya dapat sebagai juruterbang hebat, tetapi duit yang saya dapat daripada penulisan amat menakjubkan. Kewangan saya melonjak tinggi hasil daripada pendapatan penulisan.
‘‘Bukan saya nak cakap besar, tetapi saya boleh bersara daripada menjadi juruterbang hari ini jika saya mahu. Saya boleh bersara daripada menjadi bekerja.’’
Malah, buku beliau yang seterusnya, Lahirnya Seorang Jutawan mengukir prestasi yang lebih baik.
Anda tahu? Pada hari ini, Azizi Ali merupakan salah seorang daripada beberapa penulis di Malaysia yang telah menghasilkan enam buah buku yang laris jualannya.
Anda pergi sahaja ke kedai buku ternama: MPH, Borders, Kinokunya, anda pasti akan melihat buku Azizi dideretkan di rak buku, termasuk buku terbaru beliau, Retire Rich.
Beliau berkata: ‘Seperti air yang mengalir turun, duit akan mengalir kepada orang yang tahu apa yang mereka lakukan.”
Tetapi tunggu dulu. Jangan anda tersilap faham. Jangan pula fikir ketika menulis anda hanya perlu memikirkan tentang wang.
Anda perlu mempunyai cinta dan komitmen yang mendalam terhadap usaha yang hendak anda lakukan.
Jika penulis seperti Azizi membaca sebanyak 700 buah buku tentang bidang yang hendak ditulisnya, sanggupkah anda melakukan perkara yang sama?
Atau lebih baik lagi, melakukan lebih baik daripada itu - mungkin 1,000 buah buku? Sanggupkah anda berkorban dari segi masa, wang, tenaga, dan keselesaan dahulu hanya untuk memenuhi impian itu? Masalahnya, sebahagian kita akan memikirkan tentang masalah dan alasan untuk tidak menulis atau menghalalkan tindakan tidak menulis.
Kita bangga kerana menjadi orang yang malas dan membuang masa! Kita lebih sibuk memikirkan alasan, daripada sibuk memikirkan strategi dan langkah konkrit ke arah itu.
Thomas J. Stanley di dalam buku The Millionaire Mind mendedahkan bahawa ramai daripada jutawan memberitahu beliau bahawa rahsia kejayaan mereka adalah kerana perasaan cinta kepada kerjaya mereka.
Kata beliau berulang kali, “Jika anda menyukai sepenuh hati apa-apa yang anda lakukan, peluang amat cerah untuk anda berjaya."
Jadi, mengapa tidak cuba menulis buku? Siapa tahu, selain menyebarkan ilmu pengetahuan, anda dapat membuat duit dengan menulis.
Oleh JENIRI AMIR
Apakah yang menarik perhatian anda ketika berkunjung ke kedai buku atau ke perpustakaan? Bagaimanakah anda memesan buku melalui Amazon.com, kedai buku maya terbesar di dunia?
Tajuk, sama seperti kulit buku amat penting meskipun ada orang berkata, tidak usah menilai sesebuah buku daripada kulitnya. Tajuk buku perlu segera mencuit jiwa dan minda, emosi dan fikiran pembaca.
Lazimnya seseorang pengunjung kedai buku mengambil masa sekitar lima saat untuk menentukan sama ada sesuatu tajuk buku menarik atau tidak. Dan lima saat lagi untuk melihat kulitnya.
Mencari tajuk yang ‘aduhai’ untuk buku anda tentu sesuatu yang menarik, dan sekali gus mencabar kerana menguji daya kreativiti dan imaginasi anda.
Anda perlu ingat bahawa ada pembaca yang jatuh cinta kepada tajuk buku, seolah-olah bagai cinta pandang pertama.
Tajuk buku harus unik – membezakannya daripada buku lain. Tajuk yang menggoda tentu akan segera menarik minat pembeli dan pembaca.
Tajuk yang lemah atau ‘buruk’ tentu memendamkan potensi sesebuah buku. Seorang editor di Kuala Lumpur pernah berkata, “jika judul menarik, kadangkala pembaca tidak akan mempedulikan kandungan buku.” Kata Nat Bodian, pengarang How to Choose a Winning Title, “pilih tajuk buku anda dengan teliti sama seperti anda memilih nama untuk anak pertama.”
Jangan hairan, buku dapat menentukan nasib bahagia atau derita yang bakal dialami oleh pengarang buku. Tajuk yang sesuai kadangkala dapat meledakkan buku itu menjadi buku terlaris atau bestseller.
Apatah lagi jika buku itu turut mempunyai daya tarikan dari segi kulit atau sampul, jaket, blurb, bentuk fizikal dan sebagainya. Jika anda membaca semua judul buku yang telah diterbitkan di dunia sejak mesin Guttenberg dicipta pada pertengahan abad ke-15, anda memerlukan 15 tahun untuk membacanya, tanpa henti.
Judul amat berpengaruh dalam menentukan sama ada pengunjung kedai buku akan memegang atau membelek sesebuah buku ataupun membiarkannya di atas rak. Jadi, jangan hairan jika tajuk buku dapat menentukan sama ada buku laris ataupun tidak. Bagaimanapun, memang ada tajuk buku yang menarik, tetapi tidak mendatangkan kesan dari segi pemasaran.
Tajuk buku adalah umpan bagi menarik bakal pembeli, pembaca, pustakawan, pengulas, dan kedai buku. Judul yang ‘hebat’ menggerakkan orang untuk membeli dan membaca buku. Judul juga berfungsi sebagai iklan, selain mampu menggoda pengulas buku dan membantu promosi dan pemasaran. Judul memainkan peranan dan pengaruh besar dalam aspek pemasaran dan promosi.
Banyak buku yang menjadi bestseller kerana judul yang unik, menarik, dan mencengkam. How to Win Friends and Influence People menjadi buku terlaris kerana judulnya. Buku Dale Carnegie itu menjadi buku terlaris pada dekad 1930-an dan beliau menerima cek pertama sebanyak AS$90,000, sekali gus menjadikan pensyarah itu antara orang terkaya pada waktu itu. Buku itu telah dicetak ulang berpuluh-puluh kali dalam lebih daripada 40 bahasa sehingga kini.
Kata, Arielle Eckstut, “judul anda hendaklah mampu menggerakkan pembaca memegang, membeli dan membaca buku anda.” Tajuk yang baik ialah tajuk buku yang berpotensi untuk laris.
Hemingway dikatakan menyediakan lebih daripada 100 tajuk untuk buku, kemudiannya membuangnya satu persatu, sebelum memilih yang paling baik, sesuai, dan menarik. Banyak buku terkenal di dunia telah ditukar daripada tajuk asal. Editor yang bijak dan berpengalaman, sering melihat dari segi komersial dan pemasaran.
Di Barat, Jane Austen telah mengemukakan manuskrip bertajuk First Impression (1813), tetapi kemudiannya diubah menjadi Pride and Prejudice oleh penerbitnya. Leo Tolstoy menghasilkan buku bertajuk All’s Well That Ends Well, kemudiannya ditukar menjadi War and Peace (1866). Manakala buku H.G Wells bertajuk The Chronic Argonauts ditukar menjadi The Time Machine (1895). Dalam sejarah moden, buku J.K Rowling yang asalnya bertajuk Harry Potter and the Doomspell Tournment menjadi Harry Potter and the Goblet of Fire (2000). Manakala tajuk asal novel A. Samad Said Gerhana telah ditukar menjadi Salina oleh DBP.
Bagi anda, tidak usahlah memberi tajuk yang aneh dan luar biasa seperti Engineering for Potatoes karya B.F Cargill, Holiday Retreats for Cats and Dogs in England karya Scarett Tipong, atau Electricity and Christianity nukilan Crump J. Strickland. Buku terkenal All the President’s Men asalnya ialah At This Point in Time dan tajuk asal Roots ialah Before This Anger.
Pengarang amat berterima kasih jika tajuk yang diberi oleh editor lebih menarik dan sesuai dengan tajuk asal manuskrip. Tentu di negara kita, kita belum berani memberi tajuk buku seperti Mereka Bilang Saya Monyet dan beberapa tajuk yang menggunakan perkataan merujuk alat kelamin yang dilakukan oleh beberapa penerbit Indonesia yang menerbitkan sekitar 10,000 tajuk buku.
Tajuk yang baik, kata Walker Percy, “hendaklah seperti metafora yang baik.” Memang ada buku yang hanya menggunakan satu atau dua huruf, dan sebahagiannya menjadi buku terlaris. Di negara ini amalan itu belum berlaku lagi.
Tajuk tersingkat adalah A, sebuah buku karya Louis Zukossky (1978), C, sebuah buku karya Peter Reading (1984), G, sebuah novel karya John Berger (1960), S, karya Cid Corman (1976), dan V, karya Thomas Pynchon, 1968
Bukankah Shakespeare pernah berpesan dalam aforismenya, “Apa ada pada nama?" Jadi, ada apa pada tajuk?
- JENIRI AMIR ialah pensyarah komunikasi dan mantan Ketua Unit Penerbitan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm
Mungkin tidak, sebab setiap kali sebuah buku di luar negeri disebut bestseller, biasanya bererti terjual ratusan ribu naskhah malah jutaan. Sebut saja misalnya, buku-buku siri Harry Potter oleh J.K. Rowling, ataupun karya-karya Dan Brown, John Grisham, Stephen King yang mampu terjual ratusan ribu naskhah dalam sehari.
Di Malaysia, rasanya tidak ada buku yang terjual sampai ratusan ribu naskhah. ‘Standard’ atau ukuran buku terlaris Malaysia apabila ia nya terjual lebih dari lima ribu naskhah. Tetapi ada penerbit mendakwa bukunya menjadi bestseller bila diulang cetak beberapa kali. Ada pula yang mengatakan buku terbitannya menjadi bestseller kerana terjual habis dalam enam bulan atau satu tahun, tidak peduli cetakan pertamanya dua ribu atau tiga ribu naskhah.
Ada juga buku yang tidak “meletup gila-gila” di pasaran, tetapi terus bergerak di pasaran sehingga berbelas-belas tahun lalu mencatatkan jumlah keseluruhan yang cukup banyak.
Berbeza dengan bestseller Malaysia, bestseller Amerika atau Eropah, umumnya kemudian menjadi bestseller dunia. Ertinya beredar di pasaran puluhan negara di dunia. Baik dalam bahasa aslinya (rata-ratanya berbahasa Inggeris) mahupun setelah diterjemahkan. Contoh terbaik ialah buku-buku Harry Potter yang bukan saja bestseller dunia dalam bahasa aslinya tetapi juga dalam bahasa terjemahannya, misalnya, dalam bahasa Jepun, Indonesia, Sepanyol.
Oleh itu dapat bayangkan berapa “jutanya” bayaran royalti J.K. Rowling. Sebelum Harry Potter, ada contoh terdahulu yang lebih klasik, misalnya, Gone With The Wind karya Margaret Mitchell. Begitu tersohornya buku tersebut sehinggakan difilemkan, ia nya tetap laku dan filemnya masih ditonton sampai sekarang walaupun ia nya telah berlalu selama 60 tahun lebih.
Bestseller lain yang agaknya akan tetap “abadi”, adalah Guinness Book of World Records (sering hanya disebut Guinness Book Record). Meskipun kedua-dua pengarang kembarnya, Norris dan Ross McWhirter telah meninggal dunia, buku tersebut masih terus diterbitkan kerana pemecahan rekod hampir selalu terjadi setiap tahun dalam banyak bidang yang disebut dalam buku tersebut. Tentu saja edisi baru tersebut dikerjakan oleh ‘penerusnya’ atau editor yang berkesinambungan.
Namun nama tersohor dari bestseller adalah James Bond. Ian Fleming yang menulis novel-novel bersiri James Bond telah lama meninggal dunia pada 12 Ogos 1964. Novel ‘James Bond-nya’ tidak sampai lima belas buah, tetapi filem tentang ‘James Bond’ sudah pun sampai ke siri yang kedua puluh satu. Dan ternyata tetap laris. Ini bermaksud cerita baru tentang James Bond (dalam filem tersebut) bukan lagi ciptaan atau karya Ian Fleming tetapi ditulis olah orang lain yang diarahkan oleh produser filem.
Mereka hanya memanfaatkan “kesegaran” nama James Bond dan ini bererti bestseller James Bond sudah diganti menjadi box office James Bond. Ia nya tetap laris, tetapi hanya dalam filem. Bukunya “berhenti” bersama dengan kematian Ian Fleming.
Apakah ada formula khusus untuk mencipta sebuah buku bestseller atau terlaris? Pertanyaan seperti ini pernah muncul pada tahun 1940-an, dan dilontarkan oleh Frank Luther Mott dalam Golden Multitudes. Is there a bestseller formula? Tanya Frank. Dan dia menjawabnya sendiri: “there is no formula which may be depended upon to produce a bestseller”. Maknanya tiada formula khusus untuk menghasilkan sebuah bestseller.
Namun, ia tetap memerlukan elemen elemen menarik dalam bestseller iaitu suspen, sensasi, humor, misteri dan sebagainya. Akan tetapi meskipun elemen-elemen untuk bestseller diketahui, ia tidak dengan sendirinya bererti mampu menghasilkan bestseller. “Tetap tidak mudah menghasilkan bestseller, kata Frank Mott lagi.
Kerana lahir tidaknya bestseller, bergantung juga pada keadaan, waktu ‘tepat’ atau tidak, cara promosi dan penjualannya, kekreatifan strategi pemasaran, dan sebagainya. Atau, ada juga unsur-unsur “nasib baik”.
Ada contoh menarik di sini. Pada tahun 1926, Paul De Kruif menulis buku Microbe Hunters dan di luar dugaannya, buku itu langsung menjadi bestseller. Tahun itu juga diulang cetak sebanyak lapan kali. Tahun-tahun berikut turut diulang cetak: 1927 (3 kali), 1928 (4 kali), 1929 (2 kali), 1930 (7 kali), 1931 (5 kali), 1932 (5 kali). Tahun selanjutnya ada yang dicetak sekali, ada yang tiga kali. Pada 1940, buku itu diulang cetak enam kali. Pukul rata, selama 14 tahun buku itu diulang cetak sebanyak 35 kali.
Pesta Buku Frankfurt Ke-58 itu mengumpulkan para penerbit dari lebih 100 buah negara untuk bertemu dan memasarkan produk mereka, di mana tumpuan sudah tentu kepada India selaku negara penganjur serta padat dengan program membaca dan perbahasan.
Lebih 70 penulis atau pengarang dari negara pengamal demokrasi terbesar dunia itu sudah pun tiba di bandar kewangan Jerman itu yang akan turut mempertontonkan pertunjukan kebudayaan seperti tarian, drama, filem dan demonstrasi yoga secara langsung.
Seorang sasterawan, Mahasweta Devi, 80, berkata, pesta buku itu akan cuba merungkai perbezaan dan percanggahan mengenai perubahan di negaranya.
‘‘India belajar untuk survive, menyesuaikan diri, mengekalkan tradisi dengan kemajuan, dan bergerak seiringan dengan alaf baru ketika masa semakin suntuk,’’ kata beliau pada majlis perasmian gala Selasa lalu.
‘‘Budaya akan membawa kami ke masa hadapan, tetapi pada masa sama akan mengekalkan kami dengan asal-usul, sejarah, tradisi, warisan kami.’’
Sementara itu, Amitay Ghosh, Amit Chaudhuri dan Kiran Desai – yang telah terpilih sebagai penerima hadiah Man Booker tahun ini – merupakan antara penulis India yang membentangkan kertas kerja pada pesta yang menarik 7,000 peserta dan dijangka dikunjungi oleh lebih 280,000 pengunjung sebelum ia ditutup pada Ahad.
Lain-lain penulis atau pengarang yang turut hadir ialah Zadie Smith, Donna Leon, Ken Follett dan penerima hadiah Nobel dari Jerman, Guenter Grass yang baru selesai berdepan dengan skandal berikutan pendedahannya baru-baru ini bahawa beliau terbabit dengan Nazi menentang tentera Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua.
Perkembangan penerbitan secara elektronik akan turut menjadi fokus pada tahun ini, begitu juga kebimbangan mengenai khidmat carian Google di Internet serta pindah cetak buku secara talian yang menimbulkan perdebatan panas dengan para penerbit dan penulis.
Satu sistem baru turut dikemukakan bagi memberi kebenaran kepada syarikat penerbitan melindungi hak cipta mereka dengan mengemukakan syarat berkaitan penerbitan semula secara talian.
‘‘Beberapa tahun lalu, subjek penerbitan digital sangat baru dan Pesta Buku Frankfurt akan memberi tumpuan kepada perkara tersebut,’’ kata pengurus acara itu kepada para wartawan.
‘‘Hari ini, produk-produk multimedia merupakan sebahagian daripada portfolio para penerbit, sama seperti kerja-kerja percetakan.’’
Pesta buku itu juga akan mengetengahkan sambutan hari Berlinale, sebagai menghargai sambutan Pesta Filem Antarabangsa Berlin yang diadakan pada setiap bulan Februari.
Matlamat acara tersebut yang akan menayangkan beberapa filem terbaru adaptasi daripada novel-novel, adalah untuk mempromosikan pesta buku sebagai pusat atau sumber ilham baru di kalangan produser-produser Hollywood bagi menghasilkan filem.
Selain itu, kempen literasi akan turut dilancarkan dengan kerjasama UNESCO bagi membantu kira-kira 700 juta golongan dewasa di seluruh dunia yang masih buta huruf.
Menyebut India, pasti akan teringat ‘Bollywood’, yang merupakan industri filem raksasa dunia. Namun saat ini, secara perlahan tetapi pasti ‘dunia’ mula melihat sisi lain industri kebudayaan di India yakni buku.
Di bawah bayang-bayang kebesaran Bollywood, industri buku India memasuki jaringan perdagangan bertaraf dunia.
Tahun ini, Pesta Buku Frankfurt ke-58, pesta buku yang terbesar di dunia yang baru saja selesai telah memberi penghormatan kepada India sebagai negara tamu (Guest of honour country) di pesta buku tersebut. Pemilihan India sebagai negara tamu kehormat penting dicatat kerana ia menjadi satu-satunya negara yang diberi kesempatan sebanyak dua kali dalam jangka waktu 20 tahun. Kesempatan pertama diberikan pada tahun 1986. Ini tentunya sangat berkaitan dengan ‘pengakuan’ dunia terhadap industri perbukuan India yang berkembang pesat selama satu dekad terakhir.
Berdasarkan catatan Nuzhat Hassan, Pengarah National Book Trust of India, industri perbukuan India bernilai AS$685 juta yang melibatkan lima belas ribu penerbit. Para penerbit ini menghasilkan buku-buku berbahasa Inggeris dan buku- buku dalam 24 bahasa tempatan, termasuk di antaranya; Hindi, Malayalam, Tamil, Bengali, Telegu, Gujarati, Punjabi, Assamese dan lain-lain.
Dengan jumlah penerbit sebesar itu, India menerbit sekitar 70,000 judul setahun dan sekitar 40 peratus (lebih kurang 28 ribu judul) adalah buku-buku berbahasa Inggeris. Ini membuatkan India adalah negara penerbit buku berbahasa Inggeris yang ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan Inggeris. Keadaan ini juga berlaku kerana India didatangi oleh penerbit-penerbit besar dari luar seperti Penguin India, Harper Collins India, Macmillan India, Random House India, Picador atau penerbit-penerbit lama ‘berkubu’ di India seperti Oxford University Press, mahupun penerbit-penerbit besar pribumi seperti Rupa & Co, Vikas Publishing, UBS Publisher. Umumnya, para penerbit ini menghasilkan lebih daripada 100 buah buku setahun. Penguin India, misalnya, menerbitkan 200 judul setahun, sementara Rupa & Co yang telah berdiri sejak tahun 1936 mengeluarkan 250-260 judul baru setiap tahun.
Di samping penerbit besar, industri buku India turut diwarnai oleh penerbit-penerbit independen berskala kecil dan menengah. Penerbit jenis ini memiliki profil organisasi dengan pengkhususan buku yang sangat beragam.
Penerbit Kali For Women, misalnya, menerbit buku-buku bercorak feminis paling berjaya di pasaran. Penerbit lainnya seperti Seagull pula merupakan penerbit buku-buku tentang teater, muzik, filem, seni rupa, dan falsafah.Penerbit Katha pula memfokus pada kerja-kerja menyelamat karya-karya klasik berbahasa lokal yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan menerbitkannya dalam edisi ‘mewah’.
Penerbit lainnya seperti Tulka mengkhusus kepada sastera kanak-kanak, sementara Permanent Black, English Edition, Ravi Dayal, India Ink, Minerva lebih menerbitkan buku bacaan umum atau yang lebih disebut sebagai trade books. Kunjungan penulis ke India baru-baru ini jelas memperihalkan senario tersebut dan menunjukkan keragaman bahkan kreativiti penampilan buku-buku yang diterbitkan.
Sementara banyaknya penerbit asing yang beroperasi merupakan kesan langsung daripada peraturan kerajaan India yang membuka 75 peratus sektor penerbitan buku untuk ‘dimasuki’ oleh pelaburan asing secara langsung. Fenomena terbaru adalah masuknya penerbit besar dari Inggeris, Cambridge University Press (CUP) yang melebarkan sayapnya di India. CUP menguasai 51 peratus saham Foundations Books, sebuah penerbit sekali gus pengedar buku terbesar. CUP akan menerbitkan buku-buku pendidikan dan jurnal, bukan hanya untuk pasaran India tetapi juga pasaran global.
Selama ini CUP bayak menerbitkan buku-buku teks untuk pengajian pascasarjana, buku penyelidikan sementara Foundation Books terkenal sebagai penerbit jurnal berwibawa, Journal of India Foreign Affairs.
Dengan dikenal pasti sejumlah 20 juta penduduknya yang mampu berbahasa Inggeris secara aktif, India merupakan pasaran buku yang menjanjikan.Potensi yang menjanjikan ini juga mendorong perkembangan lain daripada industri penerbitan India. Bidang itu adalah bisnes off-shore publishing. Bisnes ini memungkinkan penerbit-penerbit besar di luar India memanfaatkan tenaga-tenaga profesional India untuk mengendalikan bisnes mereka di India melalui kemajuan teknologi maklumat. Nilai bisnes jenis ini dianggarkan mencapai 200 juta dolar AS seperti mana yang diramalkan oleh Valuenotes Database Pvt.Ltd, sebuah syarikat penyelidikan pasaran di India.
Alasan utama penerbit-penerbit besar menyewa perusahaan outsourcing India adalah kos penerbitan di India jauh lebih rendah dibandingkan negeri asal penerbit tersebut.
Mereka dapat menjimatkan kos penerbitan sekitar 50-70 peratus. Outsourcing di bidang penerbitan sebenarnya telah lama dimulai di India ketika penerbit Macmillan mewujudkan unit off-shoring pada tahun 1977.
Menurut The Financial Express, edisi 26 Disember 2005, penerbitan surat berita (newsletter) merupakan kategori terbesar (53 peratus) yang memanfaatkan bisnes penerbitan outsourcing. Sementara majalah dan jurnal (24 peratus),tabloid (6 peratus),dan penerbitan elektronik sebanyak 17 peratus merupakan kategori yang paling cepat berkembang.
Industri kebudayaan yang besar ini tentunya juga tidak mungkin berkembang tanpa sokongan budaya membaca rakyat India.Dalam sebuah kajian tentang berapa banyak masa dihabiskan untuk membaca dibandingkan menonton televisyen yang dilakukan oleh National Opinion Poll World (NOP World), sebuah organisasi penyelidikan di Inggeris, didapati India menduduki tempat teratas dalam hal menggunakan masa untuk membaca.
Daripada kajian terhadap 30,000 orang berusia 13 tahun ke atas yang tinggal di kota-kota besar di tiga puluh buah negara pada tahun 2005, didapati hasil bahawa setiap orang India rata-rata menghabiskan waktu 10 jam seminggu untuk membaca.
Angka ini lebih tinggi dibandingkan rata-rata angka global negara dikaji iaitu empat jam seminggu.
Sementara itu, orang Inggeris hanya menggunakan lima jam seminggu untuk membaca dan menghabiskan 18 jam seminggu untuk menonton televisyen, sedangkan India menduduki tempat keempat terbawah dalam menonton televisyen.
Nampaknya, Dunia Barat harus membuka mata bahawa India telah menjelma menjadi pusat intelektual melalui kegiatan kebudayaan yang penting ini.
Oleh HISHAM HUSSEIN
Dari London, New York dan belahan kota Eropah yang lain, mereka menulis karya-karya sastera yang ‘bermutu’. Dan, Salman Rushdie adalah sang peneraju yang ‘menggoncang’ sastera dunia melalui karya kontroversinya, The Satanic Verses, dan kemudian memenangi anugerah buku Booker Prize pada tahun 1981 melalui buku Midnight’s Children.
Setelah Rushdie, berbaris nama pun lahir: Amitav Ghosh, Vikram Seth, Jhumpa Lahiri, Hanif Kureishi, Arundhati Roy, Kiran Desai, Anita Desai dan Amit Chaudri adalah sebahagian di antara nama-nama besar yang telah mencipta nama dalam persada sastera antarabangsa.
Mereka lahir dari kelas menengah, berdarah India, terpelajar dan fasih berbahasa Inggeris, bahkan lebih fasih dari berbicara bahasa ibundanya sendiri. Mereka membentuk barisan sastera India pascakolonial dan menerobos masuk tempat-tempat terhormat dalam khazanah sastera dunia. Sastera diaspora yang mereka lahirkan tumbuh dan berbicara kepada ‘dunia’.
Bagaimanapun, satu hal yang pasti, ‘sentakan’ utama terhadap dunia sastera India pascakolonialisme tidaklah bersumber semata dari kehebatan para penulis India, kreativiti penerbit tempatan, ataupun liputan media luar negara. Akan tetapi, perhatian besar penerbit-penerbit Inggeris seperti Penguin yang menjadi peneraju utama perkembangan tersebut. Dan hal ini tidak akan terjadi tanpa Salman Rushdie. Lupakan kisah Satanic Verses yang melukakan hati, namun, tolehlah kepada karya-karyanya yang lain.
Tahun 1981, Rushdie menarik perhatian sastera dunia ketika karyanya Midnight’s Children, memenangi anugerah Booker Prize, penghargaan hadiah sastera paling berprestij di dunia. Kemenangan tersebut melambangkan banyak hal sekali gus, yang kesemuanya penting dalam menentukan arah dan bentuk sastera India-Inggeris selanjutnya.
G.R. Taneja dan R.K. Dhawan dalam The Novels of Salman Rushdie (1993), menegaskan Midnight’s Children merupakan karya orang India pertama yang ‘menerobos’ pasaran antarabangsa, dan yang dinilai berdasarkan satu ‘parameter’ tertinggi kesusasteraan.
Kedua, karya tersebut memberikan sastera India sebuah paradigma baru dalam menghadapi dunia luar; tidak lagi apologetik, catatan kaki, perbendaharaan khusus pada halaman-halaman akhir. Di tangan Rushdie, tema-tema ‘India’ melebur menjadi sebuah entiti yang lentur dan tidak terbatas. Ketiga, dengan pengaruh ‘realisme magis’ penulis Amerika Latin yang memang terkenal dengan karya bertemakan pembebasan dan penindasan ternyata mempengaruhi Rushdie serta turut “membebaskan” sastera India, paling tidak dalam tahap-tahap awal, dari belenggu propaganda, dan fantasi. Rushdie seolah-olah ingin mengatakan bahawa hanya dalam kerangka demikianlah, realiti India dapat dimengerti.
Seterusnya menurut Taneja dan Dhawan, karya Rushdie membawa sikap baru yang berani dan asertif: “Orang India berada dalam kedudukan untuk menakluk sastera Inggeris.” Kedengarannya agak ‘sombong’, tetapi sikap inilah memperkukuhkan kepercayaan diri generasi penulis India tahun 1950-an ke atas. Rushdie pun hidup sesuai dengan kata-katanya: ‘‘Menetap di London, New York, dan Mumbai, berpidato dan berceramah di sana sini, layaknya seorang duta kehormat.
Seterusnya pengaruh luar biasa Midnight’s Children menjadi acuan dan sumber inspirasi kepada generasi penulis-penulis India kebelakangan seperti Amitav Ghosh, Jhumpa Lahiri untuk menerobos sastera antarabangsa.
Sebenarnya kesan Midnight’s Children, baru benar-benar terasa sekitar tahun 1986, ketika Amitav Ghosh menulis The Circle of Reason. Tahun berikutnya, Vikram Seth menyusul dengan The Golden Gatenya yang unik. Pada tahun 1988, beberapa karya penting telah terbit: The Trotternama oleh Allan Sealy, The Shadow Lines oleh Amitav Ghosh, English August: An Indian Story oleh Upamanyu Chaterjee, dan Such a Long Journey oleh Rohinton Mistry.
Dikatakan bahawa pada tahun 1992, apabila lahirnya karya besar Vikram Seth, A Suitable Boy, telah dianggap tonggak bersejarah sastera India pascakolonialisme yang kedua setelah Midnight’s Children. Tidak saja hak ciptanya dibeli oleh Penerbit Orion berharga 250 ribu pound sterling, tetapi yang pentingnya kepengarangan sasterawan India semakin kukuh di dunia sastera antarabangsa.
Kejayaan A Suitable Boy diikuti oleh beberapa karya hebat yang lain seperti; Red Earth, Pouring Rain oleh Vikram Chandra, The Thousand Faces of Night oleh Githa Hariharan, Ravan and Eddie oleh Kiran Nagarkar. Tahun 1995, terbit pula The Ghost of Vasu Master oleh Githa Hariharan dan Byculla Boy karya Ashok Banker.
Tahun berikutnya, dua karya mendapat sambutan luar biasa iaitu A Fine Balance oleh Rohinton Mistry dan The Calcutta Chromosome oleh Amitav Ghosh. Dalam masa yang sama, penerbit-penerbit Barat, terutama di England mulai agresif “memancing” para penulis muda India.
Di antaranya, terdapat penulis yang benar-benar berjaya di pasaran antarabangsa iaitu Vikram Chandra, Mukul Kesavan dan Amit Chaudri. Tahun 1997, menjadi tahun bersejarah bagi penulis India, apabila The God of Small Things karya Arundhati Roy memenangi Booker Prize dan memecahkan harga hak cipta AS$1 juta. Tahun 2000 pula, Jhumpa Lahiri meraih anugerah Pulitzer Prize dengan antologi cerita-cerita pendek yang memikat, Interpreter of Maladies.
Namun, kejayaan para penulis India ‘di luar’, tetap mendapat kritikan dari dalam India sendiri. Mereka dianggap terlalu ‘keras’, ‘elit’ dan kurang mendalami masalah sosial-politik India atau kurang menyedari peranan mereka sebagai komentator sosial. Teknik dan tema mereka terlalu ‘kosmopolitan’ dan tidak kreatif. Mereka lebih terkenal di luar negara daripada dalam negaranya sendiri.
Oleh itu, dianggap karya-karya mereka miskin dimensi ‘spiritual’, dan tidak dapat menghalusi “jiwa” India dan akar mereka dalam tradisi kesusasteraan India tidak cukup kuat. Lebih penting dari itu, mereka dianggap kurang ‘patriotik’ dan luntur nasionalismenya. Sebaliknya Salman Rushdie menolak kritikan itu dengan mengatakan, literature has little or nothing to do with a writers home address.
Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
Namun, kita mudah alpa dan lupa tentang kepentingan bahasa kita sendiri dalam bidang ilmu tinggi dan akademik. Kita mudah selesa dengan bahan penerbitan asing khususnya bahasa Inggeris. Kita amat bergantung kepada bahan penerbitan ilmiah terbitan luar sehingga banyak buku ilmiah mahupun karya asli rakyat kita tidak diterjemahkan mahupun diterbitkan.
Kita mudah lupa bahawa bahan penerbitan tentang pemikir agung tempatan, ulama silam, pemikir dan pejuang bangsa dan tanah air masih tidak diterokai mahupun diterbitkan. Apatah lagi dengan keprihatinan tokoh dan pemikir agung Islam baik dalam bentuk biografi atau secara ilmiah popular.
Betapa pula kita ketandusan bahan penerbitan lokal dalam konteks sejarah dan tokoh tempatan bagi setiap aspek kemanusiaan dan sumbangan sosial, politik dan ekonomi mereka. Dari zaman penjajah hingga kini, berapa banyak judul dan terbitan berunsur demikian yang telah dihasilkan?
Apakah peranan institusi pengajian tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan Negara dalam hal ini? Berapa ramai rakyat Malaysia sebenarnya mengetahui tokoh pemikir Islam seperti Iqbal, Ali Syariaiti dan lain menerusi Bahasa Melayu bukan bahasa lain? Begitu juga berapa banyakkah buku dan penerbitan berkenaan ketamadunan Melayu dan Nusantara telah membanjiri pasaran dan korpus perbendaharaan kita? Sebagai contoh, berapa banyakkah buku berkenaan komunikasi dan media telah diterbitkan baik bersifat ilmiah mahupun popular? Berapa banyakkah usaha untuk melahirkan teori baru dalam komunikasi dan ilmu sosial telah dimajukan di persada tempatan dan antarabangsa? Di manakah peranan sasterawan dan para ilmuwan kita dalam perihal mencipta teori baru tentang kebahasaan, kemanusiaan, kesosialan, komunikasi, media, dan hal berkaitan dengan kemasyarakatan?
Sesungguhnya, bahasa Melayu perlu di- perkasakan oleh para ilmuwan dengan program penerbitan dan penterjemahan yang berkesan lagi bersatu jika martabat bahasa Melayu hendak dijulang oleh masyarakat antarabangsa. Jika tidak, kita akan hanya bersorak sebagai pendakwah, pemantau tanpa membawa apa-apa kesan kepada martabat bahasa dan maruah bangsa. Bahasa kita sebagai bahasa yang disegani dan dihormati kerana sifat ketamadunan kita dan kegemilangan welstanchung kita.
Justeru, usaha menyemarakkan kecemerlangan bahasa kita dan kegemilangan tamadun Melayu perlu dipromosikan menerusi penerbitan ilmiah dan popular agar sumbangan tamadun kita dapat disemarakkan di persada antarabangsa selain dalam masyarakat kita. Kita tiada kompromi dalam konteks ini.
Bahkan, bahasa kebangsaan kita akan menjadi bahasa keempat terbesar di dunia dan program menyemarakkan bahasa kita bukan terbatas kepada keperluan penyatuan kaum sahaja malah menjadi pemangkin pembudayaan di seluruh dunia. Bahasa Melayu adalah teras jati diri bangsa dan budaya serta warisan Malaysia.
Justeru, setiap rakyat bukan sahaja perlu berbangga berbahasa Melayu bahkan syarikat swasta juga perlu dipantau apabila mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kegiatan rasmi dan harian mereka.
Dalam konteks ini, pindaan Akta Bahasa Kebangsaan pada bulan hadapan di Parlimen dapat sekurang-kurangnya melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang perlu dihormati, dipatuhi baik dalam syarikat multinasional, swasta mahupun di kaki lima khususnya papan tanda, papan iklan dan di majlis rasmi negara. Media massa juga tidak ketinggalan sebagai pemain cergas memperkasakan bahasa kebangsaan selain pemimpin politik dan wakil rakyat memperjuangkan sehebat mungkin dengan pejuang bahasa khasnya dan rakyat jelata amnya.
Pun begitu, sebuah Unit Khas perlu di- wujudkan segera di setiap agensi kerajaan memantau penggunaan bahasa kebangsaan agar ia dapat membantu memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa yang disegani oleh masyarakat tempatan dan luar. Nilai bahasa walaupun dikaitkan dengan saiz penduduk dan nilai ekonomi, namun, ia juga bergantung kepada persepsi dan sikap kita yang sama ada berpijak di bumi nyata. Kita mesti menulis dan menerbit bahan ilmiah dalam bahasa kebangsaan kita sebagai memperlihatkan rasa patriotik dan kepuasan kita sebagai rakyat Malaysia. Jika tidak, kita akan kehilangan jati diri, maruah dan sekali gus identiti kita sebagai rakyat yang gemilang, cemerlang dan terbilang. Kitalah yang sebenarnya menjadi pejuang bahasa kita bukan orang lain! Bahasa kita ialah warisan nenek moyang kita, maka jadilah pendakwah, pemantau dan sekali gus pejuang serta pengguna yang setia lagi jujur dan ikhlas. Menghormati bahasa kita dan menjulang tamadun kita.
- PROFESOR MADYA MOHAMAD MD. YUSOFF ialah Timbalan Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.
PADA mulanya adalah kata Iqra’, yang bererti “bacalah”. Benih-benih peradaban Islam pun mulai bermekar, bersamaan dengan turunnya Iqra’ yang memulakan proses pewahyuan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Perintah agar Rasulullah s.a.w membaca memiliki makna amat luas. Salah satunya adalah motivasi untuk mewujudkan peradaban gemilang yang didirikan di atas sendi-sendi ilmu pengetahuan.
Sesiapa pun memahami bahawa ilmu adalah cahaya, tetapi menterjemahkan prinsip ini ke dalam fakta peradaban bukanlah usaha yang mudah. Ia memerlukan waktu berabad-abad dan pengorbanan yang tidak henti-henti untuk mewujudkannya.
Sebahagian besar warisan peradaban Islam telah kita terima dalam keadaan selamat, meskipun tidak utuh sehingga memungkinkan dijadikan khazanah keilmuan yang kaya. Kita warisi umumnya adalah karya-karya intelektual yang lahir dari tangan ulama/ilmuwan Muslim terkemuka dan meliputi beragam disiplin ilmu, dari tafsir al-Quran, hadis, fikah, astronomi, falsafah hingga matematik. Karya-karya itulah yang akhirnya membentuk mozaik peradaban Islam.
Alangkah mengesankan bila kita mampu ‘berdialog’ dengan karya-karya cemerlang itu, menyelami dan merenungkan apa yang mendorongkan mereka untuk menuliskannya dalam lembaran-lembaran buku. Memahami, membicarakan, serta mendiskusikan alasan dan konteks sejarah yang membuat mereka tergerak untuk berkarya itulah yang dilakukan dan cuba difahami oleh Khaled Abou El Fadl, pengarang buku Conference of the Book yang diterjemahkan kepada Musyawarah Buku : Menyusuri Keindahan Islam dari Kitab ke Kitab.
Penggunaan simbol “buku” di sini terlihat betul-betul mewakili lambang kecermatan berfikir. Dengan buku, orang akan lebih leluasa melakukan analisis logik-kritis terhadap setiap gagasan yang dituangkan kepada masyarakat. Dengan buku, orang dapat mengembangkan pemikiran-pemikiran yang lebih maju dan kompleks. Dengan buku pula, peradaban-peradaban menyongsong kemajuan.
Khaled, dengan keluasan wawasannya yang mengagumkan, menyusuri buku demi buku yang ditulis sejumlah besar pengarang Muslim terdahulu.
Khaled menghayatinya seolah-olah dirinya tenggelam, hadir sama dan asyik-masyuk dalam lingkaran komuniti intelektual yang melahirkan karya-karya itu. Khaled melakukan ‘dialog imaginasi’ yang amat hidup, dengan menelaah secara reflektif sejauh mana buku-buku itu membentuk estetika pengetahuan yang mengilhami kreativiti.
Sejarah
Penghayatan emosional Khaled ke atas karya-karya klasik itu terlihat daripada caranya mengekspresikan konteks sejarah perjalanan karya-karya tertentu. Ia, misalnya, dengan sedih menceritakan bagaimana karya-karya Ibn al-Mulaqqin, seorang sarjana Muslim yang genius, dimusnahkan setelah penulisnya dituduh ‘menggelapkan’ sejumlah wang secara ‘diam-diam’. Atas desakan pemerintah bernama Sayf ad-Din Barquq (meninggal pada 1398 M), Ibn al-Mulaqqin dipenjara, diasingkan dari aktiviti mengajar dan koleksi perpustakaan peribadinya dibakar. Rupanya penyakit “membakar buku” juga berlaku kepada penguasa Muslim yang zalim, satu tradisi “jahat” yang pernah dilakukan oleh Julius Caesar ketika “menjarah buku” di Perpustakaan Iskandariah.
Nasib buruk juga menimpa An-Nasa’i (meninggal pada 915 M), seorang perawi hadis yang masyhur. Ia diseksa hanya kerana menolak memuji dan mengakui kepimpinan Muawiyah Abi Sufyan yang terkenal berlaku zalim terhadap Saidina Ali, orang yang disebut sebagai “Pintu Ilmu” oleh Rasulullah s.a.w.
Sejarah gelap yang menimpa puluhan bahkan ratusan intelektual Muslim, dalam buku ini, dirakam dengan penuh rasa empati. Setiap peristiwa dituturkan dengan gaya penceritaan yang memukau, menggugah, dan adakalanya menyiratkan sedikit nada penyesalan. Dalam mencatat kejadian-kejadian itu, Khaled berupaya menemukan ‘kesimpulan’ yang menjadikan gagasan buku-buku itu terungkap rapi, iaitu etos pengetahuan dan keindahan yang terjelma daripada ajaran dan peradaban Islam.
Dialog-dialog dan ‘fantasi’ intelektual yang dihadirkan buku ini amat terasa dan membahana ketika Khaled mencari titik-titik relevansi yang memberi peluang bagi umat Islam kontemporari untuk belajar secara kritis dari khazanah masa lampau mereka. Salah satu pengajaran penting yang dapat ditarik daripada pengalaman sejarah intelektual Muslim adalah kenyataan betapa kekuasaan politik selalu menghakimi dan mencampuri kebebasan ilmiah: Kebebasan untuk berfikir, berkarya, berpendapat. Kekuasaan sentiasa hadir untuk mengekang dan “membunuh” kreativiti demi kebenaran.
Dalam konteks ini, karya Khaled hadir sebagai “suara lain”, suatu bentuk perlawanan alternatif atas hegemoni dan ‘terorisme’ kekuasaan yang menjadi tradisi dalam sejarah intelektual umat Islam. Ini menjadikan buku Khaled sangat unik dan memberikan perspektif yang jernih. Apa yang dikerjakan Khaled jelas bukan apologetik atau ratapan atas masa lalu yang hilang. Mungkin lebih tepat bila kita menyebutnya suatu ajakan yang transformatif, yakni membangkitkan kembali etos pengetahuan yang diwarnai oleh peradaban buku yang mulai padam di kalangan umat Islam.
Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
SEBUAH peradaban cemerlang tidak mungkin wujud dan bertahan lama tanpa sebuah peradaban buku yang mewarnainya. Dan sebuah peradaban buku tidak mungkin terbina tanpa tradisi ‘Budaya Ilmu’, yang merangkumi tradisi perpustakaan, kesarjanaan, pendokumentasian, ‘tulis-menulis’, dan komuniti buku.
Dan tradisi tersebutlah sepanjang sejarah yang menghidupkan roh peradaban cemerlang Islam, Parsi, China, Yunani bahkan Eropah sendiri.
Dari situ berkembanglah ilmu pengetahuan dan ketika ilmu bermanfaat dan dimanfaatkan demi kemajuan manusia maka di sanalah sebuah peradaban dibentuk.
Sebuah peradaban ‘ilmu’ tentunya dihuni atau ‘diisi’ oleh manusia yang beradab dan ‘berbudaya’. Dan ini hanya terjadi apabila sesebuah masyarakat atau bangsa itu menyanjung tinggi budaya ilmu dan budaya membaca. Jangan hairan, terkejut, atau marah apabila kajian Readers’ Digest baru-baru ini mendapati rakyat Malaysia tidak beradab kerana antara ciri-ciri orang yang tidak beradab ialah tiada ‘sebatinya’ budaya ilmu dan membaca.
Kita mungkin saja tidak bersetuju dengan apa yang dipaparkan oleh Readers’ Digest, tetapi lihatlah secara bijaksana kepada perilaku ‘songsang’ anak-anak muda hari ini, perilaku kita terhadap alam sekitar, perilaku kita terhadap bahasa Melayu, perilaku kita menyanjung tinggi artis daripada ilmuwan dan budayawan, perilaku kita yang ‘kemaruk’ dengan budaya realiti TV, perilaku kita terhadap amalan berbudi bahasa dan berbagai lagi perilaku kita yang menjengkelkan.
Kita terlupa bahawa budaya ilmu dan membaca akan melahirkan masyarakat berperadaban tinggi yakni masyarakat yang berakal budi dan celik budaya.
“Membaca buku terbaik ibarat sebuah dialog atau percakapan dengan minda terbaik sepanjang sejarah,” kata Rene Descartes, seorang ahli falsafah klasik Barat tersohor. Memang dengan membaca buku-buku terbaik kita bukan saja dibawa ke dalam sejarah masa lalu, atau pengalaman-pengalaman kontemporari.
Dan yang lebih penting adalah buku akan membawa kita ke perjalanan masa depan yang semuanya akan membentuk pencapaian kita di masa kini dan masa akan datang. Dan inilah ‘kuasa buku’ dalam melahirkan masyarakat berperadaban. Benarlah apa yang dikatakan oleh Anne Quidlen, penulis dan pemenang Putlizer Prize 1992, “Books are the planes, and the trains, and the road. They are destination, and the journey. They are home.”
Menggerakkan peradaban buku dalam sesuatu bangsa tentu sekali memerlukan komuniti buku yang benar-benar mencintai dan ‘menjiwai’ buku.
Mereka bukan terikat dengan kepentingan industri, perniagaan atau kepentingan-kepentingan ‘lain’ tetapi kerana kecintaan luar biasa dan komitmen mereka kepada ‘budaya buku’ sekali gus menyanjung tinggi budaya ilmu. Mereka akan menggerakkan ‘apa saja’ yang berkaitan buku atau dalam istilah saintifiknya dikenali sebagai biblioholisme yang secara mudah dapat diertikan sebagai ‘kecanduan’ luar biasa terhadap buku dan dunianya yang berkecenderungan berlebihan kalau tidak pun ekstrem dalam membeli, membaca, menyimpan dan mengagumi buku, sedangkan para pencintanya disebut sebagai biblioholis
Keunikan dan signifikan biblioholis sebagai sebuah komuniti buku kepada pembangunan ‘intelektual’ sesebuah negara dibahaskan dalam buku Pesona Pencinta Buku yang diselenggarakan oleh Shaharom TM Sulaiman, Dr. Abu Hassan Abdullah, Ali Dina, Khairusy Syakirin Hasyun Hashim dan Nal Azri Nawawi. Kelima-limanya adalah pendiri dan penggerak Komuniti Bukuonline.org yang diwujudkan pada tahun 2005. Makalah-makalah yang terdapat dalam buku ini berasal dari Seminar Pencinta Buku Malaysia 2006 yang dianjurkan bersama oleh Bukuonline.org dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara.
Buku ini membahaskan pelbagai sisi menarik dunia pencinta buku, misalnya, buku dan wanita, nikmatnya sentuhan buku dan estetika membaca, dunia buku dan tradisi kesarjanaan, perangai dan watak pencinta dan ‘penggila’ buku, peranan perpustakaan dalam melahirkan pencinta buku dan sebagainya. Para penyumbang dalam buku ini terdiri daripada kalangan yang telah lama bergulat dalam dunia buku sekali gus para pencinta buku seperti Jaafar Abd. Rahim, Faisal Tehrani, Sayed Munawar, Ainon Mohd., Datin Paduka Shahaneem Hanoum dan Zin Mahmud.
Buku setebal 109 halaman ini akan dilancarkan pada hari ini (11 September 2006) oleh Datuk Seri Muhammad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan, pukul 2.00 petang di Plaza Seremban sempena perasmian Gerakan Membaca Peringkat Negeri Sembilan dari 11-17 September, 2006.
Sempena pelancaran itu, berbagai aktiviti akan dijalankan seperti Bengkel Penulisan, Majlis Sembang-Sembang bersama Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Bacaan Kegemaran Saya, Forum Malaysia Membaca, pameran yang bertemakan ‘mengenal dunia pencinta buku’ dan lain-lain aktiviti yang menarik.
Buku ini dilancarkan kerana ia berkaitan rapat dengan tajuk Forum Malaysia Membaca pada 16 September yang membahaskan ‘Komuniti Buku Memperkasakan Peradaban Ilmu’. Peranan komuniti buku dalam menggerakkan budaya membaca memang telah terbukti, sebagai contohnya, Kelab Buku Oprah Winfrey telah berjaya dan mermpengaruhi budaya membaca di Amerika Syarikat sebagaimana dibuktikan dalam sebuah kajian yang dijalankan.
Di Indonesia pula, wujud komuniti buku yang dikenali sebagai Forum Indonesia Membaca yang aktif menjalankan aktiviti budaya membaca termasuk menjadi konsultan kepada perpustakaan dan toko-toko buku.
Menurut Zin Mahmud dalam makalahnya, Akhbar, Buku dan Gila Buku, komuniti buku dapat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu ulat buku, pembikin buku dan pemerhati buku. Kesemuanya secara langsung terlibat dalam segala hal yang berkaitan ‘budaya buku’, namun di antara ketiga itu, ulat buku atau dalam bahasa yang agak ramah ‘pencinta buku’ merupakan kelompok yang ke depan dalam mewarnai komitmen dan keghairahan terhadap ‘budaya buku’.
Komuniti-komuniti buku memang perlu diperbanyakkan, tak kiralah apa namanya kerana tujuan akhirnya tetap melahirkan masyarakat yang berperadaban tinggi kerana itulah kesan akhir dari ‘kegilaan’ budaya membaca. Ingatlah pesan orang bijak, “Sebuah bilik tanpa deretan buku ibarat sebuah tubuh tanpa roh.” Dan sebuah peradaban tanpa buku ibarat sebuah bahtera tanpa pengemudi yang tidak tahu ke arah mana yang hendak dituju kerana di depannya terbentang segala macam ‘kepalsuan’ yang mengelirukan.
HALAMAN sastera Mingguan Malaysia semalam seorang penulis, Zaid Akhtar mempertikaikan pemilihan novelis Ahadiat Akashah sebagai pembimbing di satu bengkel di Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Bogor, Indonesia.
Hujahnya Ahadiat tidak mencapai piawaian berbanding pembimbing-pembimbing dari negara lain.
Secara jujur saya bukanlah pembaca novel-novel Ahadiat dan tulisan ini sama sekali tidak membela Ahadiat.
Bertolak daripada tulisan Zaid, eloklah kalau kita melihat secara realistik tentang kewujudan kasta antara sastera elit dan pop dalam kesusasteraan tanah air.
Ahadiat adalah penggiat sastera pop menerusi novel-novel yang mengambil pendekatan popular. Dia hidup mewah dengan karya pop ini. Malah bukan saja Ahadiat, sastera pop kita digerakkan oleh banyak penulis lain.
Antaranya Aisya Sofea (Adam dan Hawa), Aina Emir (Sesuci Cinta), Fauziah Ashari (Ombak Rindu) dan Norhayati Ibrahim (Cinta Pertama). Banyak lagi yang tidak disebut di sini begitu aktif menulis dan mendapat imbuhan daripadanya.
Tanpa menafikan penulis-penulis sastera elit, saya sangat perlu mengaku bahawa orang-orang inilah yang banyak menggerakkan dunia kesusasteraan kita. Mereka ini jugalah yang menjadi penyumbang besar dalam industri buku khususnya karya fiksyen.
Tetapi arus perdana kesusasteraan kita semacam menolak kehadiran penulis sastera pop. Bagi mereka penulis sastera pop merendahkan martabat sastera kerana memilih pendekatan popular.
Kita kena realistik bahawa inilah yang berlaku di seluruh dunia. Lihatlah dari mana datangnya John Grisham yang terkenal dengan The Chamber dan The Pelican Brief. Kita juga wajar melihat J.K Rowling penulis Harry Potter.
Kedua-dua contoh ini bukanlah lahir daripada kelompok sastera elit. Malah mereka tidak pernah menganggap diri mereka sebagai orang sastera.
Tetapi novel-novel mereka bukan saja menjana pendapatan yang hebat malah sangat berpengaruh.
Penulis-penulis sastera pop kita sudah mampu menjadikan sastera sebagai sumber pendapatan. Maknanya tanpa mengorban nilai-nilai masyarakat, sastera pop seharusnya ada tempat yang istimewa.
Kita boleh melabelkan apa saja terhadap penulis sastera pop. Malah boleh saja meminggirkan mereka daripada sebarang acara kesusasteraan.
Tetapi runtuh atau lesunya dunia sastera bukanlah kerana penulis sastera pop. Dunia kesusasteraan lesu dan terpinggir kerana ada elitis sastera yang sengaja membina kasta.
E-mel: kuseman@pc.jaring.my
Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
PRESIDEN Venezuela, Hugo Chavez semasa berucap pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini mengkritik keras dasar luar Amerika Syarikat (AS) dan menyifatkan George W. Bush sebagai ‘iblis’.
Semasa berucap, Chavez memegang sebuah buku Noam Chomsky yang mengkritik AS. Memang nama Chomsky tidak menyenangkan benak pemerintah AS, terutama bagi mereka yang terlibat dalam menentukan dasar luar negara itu.
Ini disebabkan Chomsky selalu mengkritik dasar luar dan kebijakan kuasa besar itu yang sentiasa menindas. Bahkan kini, kritikan tersebut sudah menjadi semacam trademark bagi Chomsky yang sentiasa “berlawanan arah” dengan dasar kebijakan luar AS.
Chomsky bahkan berani berhujah untuk membetulkan dasar luar AS yang dilihatnya sentiasa merugikan negara lain.
Antara sekian banyak isu yang melibatkan Amerika yang dikritik oleh Chomsky ialah tentang penggunaan ‘bahasa terorisme’ dalam perspektif AS. Menurut Chomsky, istilah terorisme pada mulanya bererti tindakan kekerasan dan sadisme untuk menakut-nakutkan. Akan tetapi, dalam ‘kamus’ negara kuasa besar, terorisme adalah tindakan protes yang dilakukan oleh negara-negara atau kelompok-kelompok kecil. Pembunuhan tiga orang Israel di Lanarca adalah terorisme, sedangkan pembantaian di Sabra dan Satila adalah “pembalasan atas tindakan teror”.
Begitu juga pembunuhan terhadap orang awam di Afghanistan yang tidak berdosa oleh tentera AS adalah serangan balas, walaupun dilakukan tanpa bukti.
Dalam sebuah bukunya yang menarik, Pirates and Emperors: International Terrorism in the Real World, Chomsky cuba menunjukkan bahawa AS adalah teroris dan penganjur terorisme. Menurut Chomsky, AS tidak pernah henti-henti ‘bergelumang’ dengan aksi teroris baik ketika menyokong rejim teroris Gracian di Guatemala mahupun melaksanakan aparteid di Afrika Selatan. Begitu juga menyokong terorisme yang berlaku di Israel, sekutu kesayangan Amerika, terhadap rakyat Palestin.
Ironisnya, aksi teror yang dilakukan oleh sekutu Amerika ini tidak dikategorikan sebagai terorisme. Dengan kata lain, sebutan teroris sering merupakan alat untuk menggambarkan lawan politik yang dianggap membahayakan AS. Setelah Rusia ‘jatuh’, Amerika memandang Islam sebagai lawan berikutnya.
Noam Chomsky sebenarnya amat prihatin dengan keadaan sebegini. Mengapa? Kerana rasional manusia itu telah dikendalikan oleh kekuatan raksasa AS. Fikiran manusia telah dikuasai melalui penggunaan kata-kata dan pemberian makna-makna tertentu.
Chomsky menyebutnya the American Ideological System, satu sistem yang mampu merancang dan menghasilkan kata-kata dan ungkapan baru yang indah seperti ‘tata dunia baru’ atau the New World Order. Chomsky juga menyebutnya dengan meminjam istilah George Orwell sebagai Newspeak.
Sejumlah Newspeak telah dirancang untuk membatasi pandangan anda tentang realiti. Sekarang ini, anda mempunyai dua dunia: Dunia yang sebenarnya dan dunia yang terbentuk dalam fikiran anda atau dunia real dan dunia Newspeak. Chomsky telah menghimpun sejumlah kata atau ungkapan yang maknanya telah disimpangkan. “Proses perdamaian” bererti “susulan perdamaian yang ditunjukkan oleh AS”.
Susulan usaha perdamaian yang dikemukakan oleh negara-negara Arab apalagi Palestin (betapa pun realistiknya) dianggap sebagai “penolakan”. Untuk itu diciptakan kata baru buat susulan yang tidak sama dengan susulan Amerika yakni rejectsionisme. Melalui pengendalian makna seperti itu, kita akan bersimpati dengan Amerika yang selalu bersusah payah menciptakan perdamaian. Pada saat yang sama, kita membenci negara-negara Arab yang selalu menolak perdamaian.
Apabila negara-negara Arab mengikut kehendak Amerika, mereka disebut sebagai moderate. Bila mereka menolaknya, mereka tentu saja disebut ekstremis. Tidak hairanlah bila dalam benak anda sekarang, ketika anda merujuk kata “ekstremis”, anda akan memasukkan ke dalamnya Hamas, Hizbullah, Pertubuhan Pembebasan Palestin, Libya, Iran dan Syria.
Bila beberapa orang Palestin mengarahkan pesawat penumpang ke tujuan tertentu, mereka dikatakan melakukan hijacking, tetapi apabila Angkatan Tentera Laut Israel menambak kapal-kapal kecil milik orang Islam, mereka dikatakan sedang melakukan “penangkapan” atau interception. Dalam buku ini, Chomsky melaporkan peristiwa-peristiwa ‘penangkapan’ yang dilakukan oleh Amerika dan Israel. Dan, ternyata hijacking lebih sering dilakukan oleh Amerika dan Israel berbanding dengan negara-negara kecil.
Dalam buku ini, Chomsky secara tegas dan berani menuduh Amerika sebagai “kekuatan teroris utama dunia”. Melalui permainan ‘bahasa’, Amerika sebenarnya menentukan hala tuju dunia menurut kehendak mereka. Tidak hairanlah Chomsky muncul sebagai sosok yang dibenci oleh pemerintah Amerika.
Siapakah sebenarnya Noam Chomsky? Chomsky sebenarnya seorang pakar bahasa atau linguistik yang luar biasa dan mempunyai “kelas” tersendiri di kalangan intelektual Amerika. Chomsky meraih Ph.D di Universiti Pennsylvannia untuk kajian linguistik, matematik dan falsafah. Kajiannya tentang generative grammar telah meletakkan Chomsky pada kelas tersendiri dalam bidang linguistik. Penemuan itu bermula daripada perhatiannya yang tinggi pada dasar-dasar logik moden dan matematik. Hasil penemuan itu diaplikasikan dalam bentuk deskripsi dalam bahasa-bahasa secara alamiah. Bagi Chomsky, bahasa adalah fenomena generative tinggi yang sifatnya abstrak.
Di Massachusetts Institute of Technology, Chomsky memegang kerusi Ferrari P. Ward untuk bahasa moden dan linguistik. Beliau menerima berbagai penghargaan akademik dari universiti ternama dunia, antaranya, Universiti London (1969), Universiti Chicago (1960), Universiti Oxford dan Universiti California Berkeley.
Kecemerlangannya dalam dunia akademik tidak membuat fikiran-fikirannya terbelenggu dalam lingkungan terbatas. Esei-eseinya yang terkumpul dalam buku American Power and the New Mandarins menjadi sebuah jawapan yang bermakna bagi penentangannya terhadap dasar luar Amerika pada Vietnam.
Kritik yang muncul pada 1965 itu makin meneguhkan sosok Chomsky sebagai penganalisis politik luar Amerika yang bukan saja berani bicara berbeza tetapi juga lantang mengecam setiap kesalahan yang ada.
Kecenderungannya dalam politik juga telah memberi warna tersendiri pada bidang linguistik yang dikuasainya. Sejak kritikannya terhadap pemerintah AS pada tahun 1965, tidak kurang daripada 30 buah buku lahir dari tangannya dengan ragam dan tema yang makin meneguhkan kepakarannya dan kejernihan fikirannya tentang kebijakan dasar luar negara Amerika.
BULAN lepas saya menghadiri persidangan perpustakaan dan maklumat dunia (WLIC) di Seoul, Korea bersama delegasi 26 ahli Persatuan Pustakawan Malaysia. Tahun ini Korea Selatan menjadi tuan rumah bagi persidangan antarabangsa terbesar di dunia dengan kehadiran lebih 5,000 peserta.
Tahap kualiti perpustakaan dan industri buku tempatan serta aktiviti terjemahan bahasa asing kepada bahasa Korea dan sebaliknya begitu prolifik dan mencerminkan suatu budaya masyarakat yang meletakkan nilai tinggi ke atas institusi dan aktiviti keilmuan.
Saya mengambil kesempatan berada di Seoul untuk melawat Korea Literature and Translation Institute (KLTI). KLTI memainkan peranan penting dalam memperkenalkan budaya ilmu Korea dengan mempromosikan buku dan penerbitan sastera Korea ke seluruh dunia. Melalui aktiviti 100 Books from Korea (2004) dan Books from Korea, 2005, buku-buku yang dipilih oleh pakar-pakar dari pelbagai bidang telah dibawa menjelajah bandar-bandar di Liepzig sempena Liepzig Book Fair, 2004.
Siri program pembacaan awam sastera Korea (Public readings of Korean literature) berjaya menarik minat serta menanam penghayatan sastera Korea di kalangan penduduk di negara tersebut. Tidak hairanlah Korea dipilih sebagai Negara Tetamu atau Guest Country di Frankfurt Book Fair 2005, pesta buku terbesar di dunia. Sastera Korea mendapat perhatian ramai di Frankfurt apabila kesemua dewan persidangan penuh semasa pembacaan buku terjemahan dari Korea. Ahli industri buku dan masyarakat awam Eropah telah mula dapat membezakan sastera Korea daripada sastera Cina dan Jepun.
KLTI sebenarnya tidak menjalankan sebarang aktiviti terjemahan di institut itu sendiri. Akan tetapi, selaras dengan misinya untuk berkongsi sastera Korea dengan dunia (Sharing Korean Literature with the World) ia mengadakan pelbagai program di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi menyokong aktiviti penulisan, penterjemahan dan penerbitan sastera Korea. Program ini merangkumi pemberian geran untuk terjemahan dan penerbitan karya sastera dan umum di Korea, geran pemasaran, Program Bantuan Jualan Untuk Hak Asing, Pertandingan Terjemahan Sastera Korea untuk Penterjemah Baru, Geran Pertukaran Antarabangsa, Program Kediaman Luar Negara, Fellowship Terjemahan Sastera Korea dan Siri Ceramah mengenai Sastera Korea dan Terjemahan. KLTI juga menerbitkan LTI buletin tahunan berjudul Korea Newsletter memuatkan artikel menarik berkaitan sastera Korea dan aktiviti terjemahan.
Saya telah dihadiahkan dua buah buku terjemahan sastera Korea yang diterbitkan di luar negara, iaitu Modern Korean Fiction: An Anthology, suntingan Bruce Fulton dan Youngmin Kwon, terbitan Columbia University Press, New York, 2005. Kedua, buku berjudul The Depths of a Clam: Selected Poems tulisan Kim Kwang-Kyu terjemahan oleh Brother Anthony of Taize’ dan Kim Young-Moo terbitan White Pine Press, Buffalo, New York, 2005, yang diterbitkan dengan bantuan kewangan KLTI. Selain dari KLTI, institusi luar negara seperti Pushkin Fund Foundation menyokong usaha menterjemah dan menerbitkan karya sastera sesebuah negara atas dasar negara-negara yang kaya dengan sasteranya wajar diketahui dan dikongsi bersama dunia.
Kumpulan cereka moden Korea adalah sebahagian usaha memenuhi kekurangan yang ketara dalam terjemahan dan penerbitan sastera cereka kontemporari Korea. Antologi ini lebih seimbang kerana meliputi juga karya penulis wanita.
Usaha yang lebih teliti juga dibuat untuk menemukan penulis dan penterjemah yang sesuai. Karya penulis dari Korea Utara juga telah dimasukkan dalam antologi ini. Kebanyakan cerita dalam antologi ini bertemakan kesengsaraan dan kesakitan jiwa manusia. Contohnya, A Lucky Day oleh Hyon Chingon menceritakan kisah seorang penarik beca yang berhempas-pulas untuk menyara hidup. Dia menghadapi dilema pada satu hari apabila bernasib baik mendapat penumpang yang bersetuju membayar tambang yang mahal kerana hari hujan. Akan tetapi dia terpaksa membelakangkan pesanan isterinya yang sakit tenat supaya pulang awal. Apabila dia pulang pada lewat petang isterinya telah meninggal dunia.
The Depths of a Clam adalah koleksi puisi Kim Kwang-Kyu, penyair revolusi terkenal di Korea. Koleksi ini telah diterjemahkan daripada bahasa Korea ke dalam Bahasa Inggeris. Dilahirkan pada tahun 1941, Kim Kwang-Kyu mengkaji bahasa dan Kesusasteraan German di Seoul National University di mana beliau turut menyertai demonstrasi April Revolution 1961 yang mengakibatkan pembunuhan ratusan pelajar universiti dan kejatuhan Presiden Korea Syngman Rhee. Karya Kim Kwang-Kyu dipengaruhi oleh sastera Jerman dengan penggunaan bahasa yang mudah dan jelas serta mengandungi humor yang tidak terdapat dalam sastera Korea sebelum itu. The Depths of a Clam, judul sebuah puisi dalam buku ini menceritakan betapa sukarnya sepasang suami isteri untuk melahirkan perasaan dan rahsia pengalaman mereka dan mereka gagal berbuat demikian sehingga mereka meninggal dunia.
Tema revolusi juga sering berulang dalam karya Kim Kwang-Yu seperti Faint Shadow of Old Love yang menceritakan pertemuan semula sekumpulan sahabat yang pernah menyertai demonstrasi April Revolution 1961 18 tahun kemudian. Mereka semua memakai tali leher dan telah menjadi generasi lama yang takutkan revolusi. Mereka bertukar maklumat tentang keadaan kesihatan masing-masing dan keluarga, pendapatan dan kos saraan hidup. Mereka mengkritik keadaan ekonomi dunia dan merendahkan suara apabila membincangkan khabar angin. Kehidupan mereka seperti semata-semata untuk terus hidup, tanpa idealisme dan harapan semasa mereka penuntut universiti.
Keseluruhannya, kedua-dua buku terjemahan ini berjaya menyampaikan keindahan sastera Korea dalam bentuk cerita pendek dan puisi. Pembaca dapat merasai perasaan, pemikiran, sinis dan humor dalam karya penulis yang dipaparkan. Tanpa terjemahan ini, keindahan dan impak sastera Korea tidak dapat dihayati dan dimanfaatkan oleh audiens yang lebih meluas dan sekali gus mengangkatnya sebagai sastera antarabangsa.
Terkejut bukan kerana kematian itu tetapi adalah kerana paparan fakta latar belakang yang menyebut bahawa Rashid menyertai PKM bersama Pak Sako dan Ahmad Boestamam.
Reaksi pertama mengenai laporan itu ialah penulis berita berkenaan mungkin tersilap fakta dengan terkeliru antara PKMM dan PKM. Walaupun kedua-dua parti itu adalah golongan kiri tetapi ia berbeza dan mempunyai fahaman berlainan. PKMM ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dalam bahasa Inggerisnya ialah Malay Nationalist Party (MNP). Ia sama sekali berbeza dengan PKM yang dalam bahasa Inggeris disebut Malayan Communist Party (MCP).
Maka wajar bagi adik Pak Sako, Abu Bakar Muhammad mengeluarkan kenyataan bahawa abangnya tidak pernah menyertai PKM. Bagaimanapun mana-mana ahli sejarah pasti dapat mengesahkan perkara ini dengan mudah.
Soal sejarah khususnya berhubung pada zaman Darurat lebih-lebih lagi berkaitan dengan komunis amat sensitif.
Ia bukan saja soal keselamatan tetapi lebih-lebih lagi dikaitkan dengan fahaman komunisme yang pada orang Melayu dihubung kait dengan pegangan agama.
Bagaimanapun masyarakat terutama generasi muda wajar didedahkan kepada sejarah, daripada fakta hinggalah kepada pelbagai tafsiran secara objektif dan bebas daripada sebarang sentimen emosional. Sejarah wajar ditanggap sebagai satu kajian atau ilmu yang memberikan kesedaran mengenai manusia dan kemanusiaan.
PKMM adalah parti kebangsaan Melayu yang pertama ditubuhkan di Tanah Melayu, iaitu pada tahun 1945.
Pak Sako menyertai PKMM pada tahun 1946. Sebelum PKMM, ada Kesatuan Melayu Muda (KMM). Ia ditubuhkan oleh Ibrahim Yaakob yang dipaparkan dalam filem Leftenan Adnan sebagai pemimpin Melayu yang bekerjasama dengan Jepun dalam perjuangannya menuntut kemerdekaan. Tetapi ia bersifat persatuan yang walaupun berbentuk politik tetapi bukanlah parti politik seperti PKMM.
Pak Sako bersama Ibrahim Yaakob menyertai Utusan Melayu pada tahun 1939. Pada tahun 1940, beliau dilantik sebagai Setiausaha KMM.
Semasa pemerintahan Jepun, Pak Sako bekerja dengan akhbar Berita Malai dan kemudian pengarang bulanan Semangat Asia. Pihak berkuasa Jepun memanggil Ishak Haji Muhammad dengan nama Isako yang akhirnya menjadi Pak Sako. Selepas Perang Dunia Kedua, banyak nasionalis Melayu menyertai PKMM. Ahmad Boestamam, salah seorang pemimpin PKMM dalam bukunya Merintis Jalan Ke Puncak menceritakan mengenai penubuhan parti itu.
Seorang yang bernama Mokhtaruddin Lasso dikatakan anggota PKM telah mengusahakan penubuhan PKMM.
Menurut Ahmad Boestamam, Mokhtaruddin kemudian hilang begitu saja. Kepimpinan PKMM pula dipegang oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Pak Sako. Pak Sako sempat menjadi Yang Dipertua PKMM.
Pak Sako adalah seorang nasionalis Melayu yang pernah bekerja dalam pentadbiran Inggeris, Jepun dan aktif dalam politik Tanah Melayu merdeka. Tetapi beliau tidak pernah menjadi komunis atau ahli PKM.
Oleh ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Anda mungkin bertanya-tanya, bagaimana lelaki dari Dunia Ketiga ini menemukan kedamaian fikiran untuk menulis? Untungnya seni itu ‘bermurah hati’ dan ‘berperasaan’, sebagaimana seni hadir bagi mereka yang berbahagia, seni juga tidak meninggalkan mereka yang menderita.
“Seni menawarkan kedua-duanya untuk mengungkapkan apa yang terbuku di dada mereka.” Demikianlah reaksi spontan Naguib Mahfouz ketika diumumkan berita kemenangannya sebagai penerima Anugerah Nobel Sastera pada 1988.
Bagi Dunia Barat ketika itu, bagaimana mungkin sebuah Dunia Ketiga, khususnya Dunia Arab yang tidak pernah berhenti berkonflik, perang mampu menghasilkan seorang novelis. Bagi Dunia Arab pula, ‘mereka’ kini kehilangan seorang sasterawan bertaraf dunia yang pergi buat selama-lamanya pada 30 Ogos dalam usia 94 tahun.
Memang Naguib adalah penulis Arab pertama yang memenangi Anugerah Nobel, seorang sasterawan yang dikagumi sekali gus kontroversi. Namanya mula ‘mendunia’ apabila menghasilkan trilogi novel yang dikenali trilogi Kaherah pada tahun 1956 hingga 1957. Novel-novel ini menjadikannya “pelukis kehidupan” kota tradisional di kalangan sasterawan Arab. Dikisahkannya kehidupan keluarga Sayyid Ahmad Abdul Al-Jawad selama tiga generasi, bermula dari Perang Dunia Pertama hingga tahun 1950 ketika Raja Farouk 1 diguling daripada kekuasaannya.
Setiap novel dalam trilogi ini dinamai jalan atau bahagian di kota Kaherah. Bayn Al-Qasrayn (Palace Wall) dilatari pendudukan Inggeris di Mesir pada awal abad ke- 20. Novel kedua, Qasr Al-Shawq’ (Palace of Desire) melingkupi masa-masa peralihan sekitar tahun 1920-an, sedangkan novel ketiga Sukkariya (Sugar Street) membawa pembaca pada pertengahan abad ke-20.
Dalam novel ini, ketua keluarga digambarkan telah tua dan lemah dan digantikan cucu lelakinya sebagai tokoh utama. Novel ini kaya dengan ragam, perwatakan, dan pemahaman psikologis serta meletakkan Naguib setaraf dengan Balzac, Charles Dickens dan Leo Tolstoy. Dan di kalangan sasterawan Arab, Naguib memperoleh julukan nama ‘Balzac dari Mesir’.
“Aku menulis sejak kecil,” kata Naguib. “Mungkin itu kerana aku membaca banyak buku yang ku kagumi dan bercita-cita untuk menulis sebuah suatu masa nanti. Di samping itu kecintaanku pada ‘dunia tulis-menulis’ amat mendorongku,” ujar Naguib. Ia bercita-cita menjadi penulis setelah membaca buku King Solomon‘s Mine. Sebagai mahasiswa jurusan falsafah di Universiti Raja Fuad 1 (sekarang Universiti Kaherah), Naguib banyak terdedah kepada karya-karya pengarang luar khususnya Barat. Ia membaca karya-karya Ian Proust, William Faulkner dan James Joyce. Naguib mulai menyerap nilai-nilai demokrasi, nasionalisme bahkan dalam keadaan tertentu menyanjung nilai nihilisme.
Di kalangan pengagumnya, Naguib dipuji kerana keteguhan pembelaannya terhadap pandangan demokrasi di sebuah negara yang penuh kediktatoran yang menindas. Ini ditulisnya dalam novel Miramar (1867), di mana ia menggambarkan Mesir sebagai seorang gadis di sebuah rumah pelacuran. Gadis itu bernama Miramar yang mempunyai ‘langganan’ para bangsawan yang feudalis, gadis itu menolak semua cinta “pelamar-pelamar palsu” yang memberikan hadiah-hadiah mewah kerana cintanya hanya diberikan kepada seorang pemuda miskin yang menjual surat khabar tetapi jujur dan berhati mulia. Di kalangan pengkritiknya, ada yang menilainya sebagai “pendorong” politik Zionis Israel, bahkan ada yang menyifatkan kemenangan hadiah Nobelnya ada hubungan dengan sokongannya pada perjanjian Camp David antara Israel dan Mesir yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat. Buku- buku karangannya pada suatu ketika dilarang beredar di kebanyakan negara Arab kerana sokongannya kepada Presiden Anwar Sadat yang berdamai dengan Israel.
Setelah berakhirnya Perang Arab-Israel tahun 1067, Naguib mengkritik dasar-dasar Presiden Gamal Abd. Nasser melalui tulisan-tulisannya. Dalam novel Al-Karnak, ia menulis tentang penangkapan dan penyeksaan orang-orang Mesir yang baik oleh para perisik negara.
Nama Naguib terus memuncak apabila ia menulis novel Awlad Haritna yang sebenarnya kisah bersiri yang disiarkan dalam akhbar Al-Ahram mengungkapkan kehausan manusia atas agama serta kekeliruan manusia antara agama dan makna hidup. Novel ini merupakan alegori unik tentang sejarah manusia dari awal hingga sekarang.
Sepanjang hayatnya, Naguib telah menulis 32 buah novel, 13 kumpulan cerpen dan sekitar 30 naskhah drama. Di usia senjanya, Naguib nyaris menjadi buta dan pernah selamat daripada ancaman pembunuhan. Yusuf Idris, seorang sasterawan Mesir dalam menilai keluarbiasaan Naguib menulis pernah berkata: “Ia menulis setiap hari selama 50 tahun kecuali Khamis dan Jumaat, hari yang ia selalu bertemu dengan rakan-rakan dan para intelektual Kaherah. Naguib seorang pendengar yang baik tetapi suka berdebat.”
Akademi Sweden yang menganugerahkan Hadiah Nobel menyifatkan karya-karya Naguib kaya dengan nuansa pemikiran yang membangun rasa kemanusiaan antara tragedi dan realisme sosial. Dalam pidato penerimaan anugerah Hadiah Nobel, Naguib menyatakan bahawa dirinya adalah “anak” kelahiran daripada dua kebudayaan, iaitu kebudayaan Mesir kuno dan kebudayaan Islam. Yang dipamerkannya daripada kebudayaan Mesir Kuno bukanlah kemampuan orang-orang di zaman Firaun itu membangunkan piramid, melainkan catatan bahawa pada zaman itu pernah terjadi satu sidang mahkamah yang adil terhadap seorang terdakwa, sementara tentang kebudayaan Islam pula, Naguib tidak bercerita panjang tentang keagungan Nabi Muhammad s.a.w atau zaman kegemilangan Islam. Dia justeru mengisahkan bahawa dalam salah satu perang dengan tentera Bizantium, tentera Muslim membebaskan seluruh tawanan perang dengan imbalan koleksi buku-buku warisan Yunani Kuno tentang falsafah perubatan dan matematik. Ini menurut Naguib, adalah pengakuan orang-orang beriman terhadap semangat manusia untuk menuntut ilmu, meskipun ilmu itu daripada kebudayaan asing. Dari dua kebudayaan itulah, kata Naguib, dia mendapatkan sentuhan dan siraman sastera dan kebesaran.
Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
Menurut salah seorang sarjana iaitu Abu Bakr Morimoto, lima terjemahan al-Quran ke bahasa Jepun telah dilakukan dalam tempoh berkenaan.
Terjemahan pertama dibuat oleh Keuiche Sakamoto, seorang sarjana dari Universiti Tokyo pada 1920.
Pada 1957, al-Quran diterjemahkan daripada bahasa Arab oleh Toshihiko Izutsu, seorang sarjana fasih berbahasa Arab.
Beliau juga menulis beberapa karya antaranya God and Man in the Qur’an: Semantics of Qur’anic Weltanschauung, Ethico-Religious Concepts in the Qur’an dan The Concept of Belief in Islamic Theology.
Kesemua buku berkenaan diulang cetak oleh penerbitnya, Islamic Book Trust Malaysia memandangkan pentingnya pemikiran sarjana Jepun ini.
Pada hakikatnya karya Izutsu membincangkan konsep penting dalam al-Quran dengan pendekatan baru iaitu ilmu linguistik.
Kaedah tersebut diperkenalkan oleh ahli bahasa Jerman Profesor Ernest Leisi tetapi beliau tetap merujuk ke atas pemikiran sarjana Muslim, selain menggunakan puisi Arab kuno untuk mentafsirkan al-Quran.
Pendekatan semantik yang digunakan Izutsu pula tidak saja mencari erti kata malah mengaitkan dengan ayat lain yang berada pada lingkungan makna yang sama.
Ia bertujuan untuk mencapai pandangan dunia (Weltanschauung) al-Quran.
Pengaruh Izutsu juga boleh dilihat dalam pandangan sarjana, Wan Mohammad Nor Wan Daud yang mengambil kira bahawa perbezaan mazhab hukum Islam dan teologi berpunca pada kelainan metod dalam mentafsirkan al-Quran dan hadis.
Oleh itu, cara pentafsir klasik menggunakan analisis gramatikal dan filologi dilihat tidak mencukupi.
Ini kerana ia tidak boleh mendapatkan penjelasan syumul sebagaimana jika diselidiki berasaskan bidang semantik terhadap konsep-konsep kunci Islam.
Sarjana Jepun lain yang menyerlah ialah Sachiko Murata melalui tulisannya The Tao of Islam: A Sourcebook on Gender Relationship in Islamic Thought.
Ia mendedahkan pemikiran Islam tentang hakikat hubungan Tuhan dan alam semesta, alam semesta dan manusia serta manusia dan Tuhan.
Beliau memusatkan perhatian pada simbolisme gender yang telah dirintis oleh pemikir klasik seperti Ikhwan al-Safa, Ibn al-Arabi, Ibn Sina dan al-Ghazali.
Menurutnya, realiti ketuhanan dalam hubungannya dengan alam dan manusia adalah bersifat saling melengkapi.
Gagasan ini sangat mirip dengan falsafah Cina tentang konsep yin-yang.
Oleh AHMAD SAHIDAH
Mencungkil sesuatu fakta bertujuan mendapatkan kebenaran, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Banyak aspek perlu dipenuhi bagi memastikan kebenaran yang diperoleh kelak benar-benar adil bagi semua pihak dan tiada yang merasakan diri mereka tertindas.
Jika di mahkamah, kebenaran yang diperjuangkan, tidak lari daripada landasan mempertimbangkan kepentingan tertuduh dan mangsa. Dalam kes sivil pula, kepentingan plaintif mahupun defendan juga tidak diabaikan.
Justeru untuk melihat pihak-pihak yang terlibat membawa sesuatu kes (pengadu) mahupun tertuduh, beroleh keadilan (kebenaran) yang sewajarnya maka hakim biarpun majistret yang mendengar prosiding perlu bijak dan peka dalam menilai situasi atau plot cerita yang dibentangkan di hadapan mahkamah terbuka.
Sebagai contoh, baru-baru ini, seorang hakim telah mendengar keterangan seorang saksi keturunan Cina dalam kes rakannya yang didakwa merogol seorang bekas penyanyi sebuah kumpulan. Saksi terbabit, tidak begitu fasih berbahasa Melayu dan dia telah menggunakan suatu perkataan yang kurang enak didengar bagi merujuk kepada perbuatan hubungan seks membabitkan kes rogol.
Melihatkan ‘kekurangan’ saksi terbabit dalam menguasai bahasa Melayu, hakim bicara telah memainkan peranan bukan sahaja sebagai pendengar malahan menjalankan tugas-tugas sampingan selaku pemudah cara iaitu mengemukakan semula soalan peguam dan timbalan pendakwa raya dengan menggunakan bahasa pasar (perkataan yang paling mudah).
Hakim bicara mengambil inisiatif bertanyakan semula soalan setelah melihat peguam dan pendakwa raya seolah-olah sudah ‘kehilangan punca’ atau ‘ketandusan idea’ dalam usaha untuk menentukan soalan mereka benar-benar difahami oleh saksi.
Berdasarkan pengamatan dalam prosiding tersebut, adalah jelas tindakan hakim berkomunikasi dengan saksi menggunakan bahasa pasar telah mencapai matlamat bagi memastikan prosiding berjalan lancar meskipun tanpa kehadiran jurubahasa.
Setidak-tidaknya, ia secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah keskes tertunggak semata-mata disebabkan alasan yang tidak begitu konkrit misalnya ketiadaan jurubahasa.
Agak mengejutkan juga ketika itu, saksi kelihatan lebih memahami soalan hakim (yang diolah menggunakan bahasa pasar) dan menjawabnya secara spontan jika dibandingkan dengan kualiti soalan pendakwa raya dan peguam bela yang lebih selesa menggunakan perkataan-perkataan bombastik, tetapi ternyata tidak difahami langsung oleh saksi.
Justeru, demi untuk menentukan soalan yang dikemukakan difahami oleh saksi, hakim bicara berkali-kali mengingatkan semua pihak agar menggunakan bahasa dan perkataan yang paling mudah yang bersesuaian dengan tahap pendidikan saksi.
Meskipun begitu, oleh kerana jarang sekali berhadapan dengan masalah komunikasi, pendakwa dan peguam kelihatan sudah ‘kelu’ dan tidak dapat mencari perkataan-perkataan yang mudah dan ringkas.
Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa menjadi alat paling penting untuk mencungkil sesuatu fakta dan perlu diberikan penekanan serius.
Namun apa pula ceritanya, jika pengadu atau saksi ataupun tertuduh, seorang yang rendah tahap pendidikannya dan berasal dari suatu daerah (kampung) yang serba kekurangan. Dan, bahasanya pula jauh ketinggalan jika dibanding kandungan bahasa Melayu standard yang diterima pakai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Bekas timbalan pendakwa raya, Datin Nik Sarina Lugman Hashim kini bergelar peguam, mengakui bahawa beliau seringkali berhadapan dengan situasi tersebut misalnya saksi, mangsa dan tertuduh yang sukar untuk bercakap menggunakan bahasa Melayu standard seperti yang digunakan di sekolah-sekolah. Sebaliknya mereka lebih selesa dan bertutur dengan lancar menggunakan bahasa pasar yang tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.
Menurut Nik Sarina, beliau berhadapan dengan masalah tersebut apabila merekodkan nota prosiding perbicaraan ketika bertugas sebagai majistret di Selangor suatu ketika dahulu.
‘‘Dalam situasi tersebut, saya mesti menerima dan merekodkan setiap patah perkataan asal dan ayat yang keluar dari mulut saksi tanpa mengubah struktur ayatnya. Jika perkataan yang disebut oleh saksi, sukar untuk difahami maksudnya, maka kata Nik Sarina, beliau akan merekodkan pengertiannya (diletakkan di dalam kurungan) supaya tidak timbul masalah pemahaman dan dijadikan isu di peringkat rayuan kelak.
Sungguhpun begitu, Nik Sarina tidak pernah merasakan jurang antara bahasa Melayu standard dengan bahasa pasar, suatu masalah besar dalam tugasnya ketika itu.
‘‘Ini kerana, yang paling mustahak ialah asalkan hakim atau majistret yang mendengar prosiding faham maksud ayat yang direkodkan hasil keterangan saksi, ia sudah mencukupi,” ujar beliau.
Bagi seorang lagi pengamal undang-undang, peguam Hashim Ibrahim, dahulunya pernah bertugas sebagai majistret berkata, apa jua perkataan yang diucapkan oleh saksi, beliau akan mencatatkannya.
‘‘Seandainya saya tidak memahami maksud ayat ataupun perkataan tersebut, saya akan bertanya lebih lanjut kepada saksi. Ini kerana ketika merekodkan nota keterangan, seseorang majistret mahupun hakim mesti mencatatkan perkataan demi perkataan yang diucapkan oleh saksi.”
Ketika bertugas di Sarawak, menurut Hashim, beliau pernah berhadapan dengan suku kaum misalnya Iban, Bidayuh, Penan dan banyak lagi.
Bagi beliau, kesukaran untuk berkomunikasi dengan mereka adalah suatu perkara biasa. Namun dengan khidmat jurubahasa yang pakar berkomunikasi dalam dialek tersebut, segalanya berjalan lancar.
‘‘Seorang anggota polis pernah memberikan keterangan di hadapan saya bahawa dia telah didatangi oleh seorang lelaki berketurunan Iban. Lelaki itu menurut saksi, bercerita dengan tujuan untuk memberitahu satu perkara.Sungguhpun begitu, satu perkara yang ingin diberitahu itu, misalnya A telah membawa maksud yang lebih luas misalnya menjangkaui ABCDE,” kata Hashim.
Oleh yang demikian, menurut Hashim, mahkamah tidak boleh sekali-kali membuat andaian atau interpretasi tersendiri terhadap keterangan saksi. Sebaliknya mahkamah perlu mendapatkan penjelasan mengenai maksud sesuatu perkataan mahupun ayat yang diucapkan oleh saksi agar tidak timbul sebarang kekeliruan.
Hashim berpendapat: ‘‘Penggunaan ‘bahasa pasar’ (bukan bahasa Melayu standard) mahupun dialek-dialek tertentu, tidak menjejaskan integriti (kewibawaan) mahkamah. Ini kerana, hakim bicara akan merekodkan apa sahaja yang saksi beritahu, tanpa menterjemahkan sendiri maksud sesuatu ayat.
“Secara peribadi, ujar Hashim, beliau tidak menganggap atau memandang penggunaan bahasa pasar di mahkamah, suatu masalah ataupun isu di peringkat rayuan. Ini kerana, menurut beliau, majistret mahupun hakim bicara akan memberikan penjelasan lanjut (pengertian) mengenai perkataan-perkataan yang kurang jelas maksudnya misalnya ‘mat rempit’ dan ‘skodeng’ , di dalam alasan penghakiman (finding) masing-masing.
Ini kerana dalam nota keterangan, hakim bicara hanya akan merekodkan keterangan saksi.
Kesimpulannya, apa juga dialek (loghat) mahupun bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi, bukanlah suatu alasan yang mampu membantutkan atau mengaburkan jalan-jalan untuk mendapatkan suatu keadilan.
Serendah mana pun tahap kualiti bahasa yang digunakan, ia tidak harus dipersoalkan dan dipandang rendah, asalkan keadilan untuk semua dapat ditegakkan.
Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES (Wartawan Utusan)
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baharu sahaja menyambut perayaan jubli emasnya dan pada hujung bulan Jun lalu penulis telah melalui Jalan Dewan Bahasa dan melihat pekerja-pekerja kontrak sedang sibuk bekerja dekat dengan pintu masuk bangunan lama DBP. Penulis gembira dan tertanya-tanya juga apakah mungkin jambatan ataupun titian akan dibina untuk menyambungkan kedua-dua bangunan? Waktu itu, penulis rasakan jika bukan sesuatu dibina untuk menyambung kedua bangunan pasti sesuatu yang menarik akan berlaku pada bangunan lama DBP yang pada penulis wajib dibaik pulih untuk diberi fungsi sewajarnya sebagai lambang perpaduan bangsa.
Setahu penulis bangunan lama DBP dibina oleh arkitek Y.T. Lee pada tahun 1959. Manakala bangunan baru yang didirikan setinggi 33 tingkat pada tahun 2002 adalah hasil rekaan arkitek Kumpulan Senireka Sdn. Bhd. Di atas bumbung bangunan baru terletak rehal yang memuliakan al-Quran, jelas dapat dilihat dari jauh. Di bangunan lama pula terletak Balai Budaya Tun Syed Nasir yang bermuralkan batik, berdekatan dan menghadap bulatan Edinburgh. Mural ini adalah hasil rekaan artis, Ismail Mustam. Kedudukan bangunan DBP cukup strategik kerana berdekatan dengan segi tiga emas, berhampiran pula dengan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, simbol kemerdekaan negara kita.
Walaupun penulis bukanlah artis atau arkitek, organisasi DBP adalah kayu pengukur kemajuan dan penglibatan penulis di bidang penerbitan yang kebetulan hampir sama hayatnya dengan kewujudan DBP. Kisah silam kegemilangan DBP di bangunan lamanya sentiasa terpahat di sanubari. Terasa semakin umur meningkat, retak-retak halus yang terlakar di dinding bangunan DBP lama seperti mencengkam diri penulis seolah-olah kubur di seberang bangunan itu melambai-lambai kedaulatan serta roh dan semangat yang ada pada rakyat dan pemimpinnya. Maklumlah abang penulis, arwah Datuk Abdul Aziz Ahmad, adalah pengasas Pustaka Antara dan beliau adalah penerima anugerah Za’aba yang pertama.
Beliau pernah mengedarkan buku-buku DBP, juga pernah mengadakan majlis persandingan anak beliau, Asmahan di bangunan lama DBP.
Tidak segan dan tidak malu penulis mengandaikan bangunan baru dan lama seolah-olah dua wanita yang kebetulan mendirikan rumah tangga dengan dua lelaki yang bersaudara sedang menghadapi masalah kerana kedua-dua lelaki sebagai suami dan pemimpin keluarga sering difitnahkan bersikap kurang setia.
Suami sebagai pemimpin rumah tangga leka, oleh itu ahli keluarga yang peduli nasib mereka wajiblah membawa ke tengah kerana undang-undang keluarga Islam yang hebat diperkatakan sebenarnya boleh melindungi dan menyelamatkan mereka lebih-lebih lagi jika pengabaian nafkah atau krisis hubungan yang menjadi punca!
Apa yang penulis ingin suarakan adalah kerana kurangnya keyakinan di kalangan pemimpin politik dan rakyat, sehingga terpaksa menggunakan undang-undang untuk mendaulatkan bahasa rasmi kita!
Lebih tepat jika penulis membandingkan bangunan baru DBP sebagai lambang semangat bangsa mendaulatkan bahasa rasmi kita. Sambil bangunan lama pula seolah-olah satu peringatan bahawa kita tidak lupa untuk melengkapkan diri dengan pelbagai bahasa, juga bahasa Inggeris yang dianggap bahasa dunia ala bahasa global pula. Pemimpin perlulah ikhlas untuk melihatkan perlaksanaan penguatkuasaan Akta DBP.
Apakah maknanya peradaban jika tiada perpaduan dan jalan perpaduan bukankah dengan mengunggulkan bahasa rasmi kita? Tugas DBP jelas dan nyata, tetapi tanggungjawab pemimpin bersama-sama rakyat perlulah jujur hatta terpaksa meminda atau menggubal Akta Bahasa Kebangsaan 1963 perkara 152, di dalam Perlembagaan Negara untuk membolehkan DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak supaya menghormati kedaulatan bahasa Melayu agar tidak terhapus tamadun bangsa. Perlu diingat serangan media dan teknologi di era siber lebih besar daripada ombak tsunami yang melanda, jika kita tidak bersatu mengubah hala, kelemahan kita boleh menelan jati diri bangsa.
Jika pemimpin politik tidak serius, pada penulis tidak ada bezanyalah mereka dengan mana-mana pendakwah dan karyawan termasuklah para penerbit, baik penerbit buku, penggiat seni ataupun penerbit filem, artis ataupun penyanyi kerana mereka sekadar perlu membaca dan mengolah manuskrip atau lirik yang disediakan untuk disampaikan pada sasarannya, mengikut niat dan keadaannya.
Buku Sebutir Bintang Mengerdip, oleh Majlis Buku Malaysia, biografi Tan Sri Abdul Rafie Mahat, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, menyatakan “Tiada gunanya kita bermati-matian mahu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan sekiranya kepentingan itu tidak dilindungi pada peringkat universiti. Sewajarnya kepentingan bahasa Melayu terus dilindungi di kolej dan universiti swasta kerana sekalipun selepas sekolah menengah kerana bahasa Melayu adalah lambang sejati diri rakyat Malaysia. Tetapi kini apakah yang terjadi?
Apakah sebabnya penulis mengada-adakan isu jambatan ataupun titian untuk menyambungkan kedua bangunan DBP? Apakah ada jangkitan dari mana-mana? Pada 22 Julai lalu penulis telah ke DBP setelah menerima jemputan menyertai Seminar Pemikiran Jaafar Rahim, dan waktu itu sempat penulis menjenguk pengubahsuaian yang berlaku dekat pintu bangunan lama DBP, rupa-rupanya hanya melibatkan sesuatu yang agak bermakna tetapi kecil sahaja.
Tidak salah jika penulis mahu menganggap bangunan DBP lama seperti seorang wanita yang kehilangan suami secara tragik, sanggup melolong untuk didengar hingga ke mana-mana! Kenapakah sedemikian?
Penulis pernah merayu di dalam tulisan dan di seminar agar bangunan DBP lama dijadikan pusat setempat untuk penerbit tempatan meletakkan contoh buku-buku mereka. Para peminat buku tidak perlu meredah jalan-jalan di bandar raya yang selalu sesak. Di situ juga perlu diletakkan pusat menerima hak cipta atau ejen karya seperti di negara Barat.
Bermulanya DBP adalah dengan menerbitkan majalah Dewan Bahasa dan lain lain. Hairannya tidak laris walhal mengikut data Kementerian Pelajaran pada tahun 2004 ada 7,562 buah sekolah rendah dan 1,976 buah sekolah menengah telah terbina di negara kita.
Ini bermakna ada 3.12 juta murid di sekolah rendah manakala 2.16 juta murid di sekolah menengah. Jumlah guru yang mengajar ada 314,183 orang. Ada 2,786,800 penuntut di peringkat universiti. Kini terdapat 9,538 buah perpustakaan di seluruh negara jadi baik majalah dan buku-buku DBP sepatutnya sudah dicetak berulang kali. Malah kini murid-murid di peringkat menengah dan universiti wajar disertakan di sebarang program adaptasi dan penterjemahan bahasa dengan DBP.
Contoh orang Melayu kita tidak yakin ia itu pada Jun 2005, Jabatan Bahasa Melayu, Foreign Universiti Beijing telah mengadakan seminar bertajuk Budaya dan Pemikiran Malaysia China di Beijing. Kedengaran ada wakil kita memohon untuk berbahasa Inggeris tetapi telah ditolak permintaan walaupun orang-orang China Universiti Beijing tahu berbahasa Inggeris. Mereka mahu penyampaiannya di dalam bahasa Melayu sahaja. Pada penulis yang juga mengamalkan dwibahasa seolah-olah kita mahu bawa keju kepada mereka dan yang mereka pinta dan minat adalah sambal belacan kita.
Tambak Johor adalah jambatan yang menyambungkan Malaysia dengan Singapura amat penting bagi negara kita lebih lebih lagi untuk pedagang buku-buku import. Dianggarkan lebih 300 juta setahun buku-buku dari luar negara melalui jambatan Tambak Johor. Kerana kita mengagungkan bahasa Inggeris, nilai buku, iaitu bahan santapan minda yang masuk jadi berganda. Kerana Tambak Johor, 20 syarikat pedagang buku asing dapat memberi pekerjaan kepada lebih 500 orang rakyat Singapura kerana negara kita adalah negara yang paling banyak memasukkan bahan terbitan dari luar berbanding negara lain di Asia Tenggara.
Oleh RAHMAH S. AHMAD
MAJLIS Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) merupakan satu-satunya gabungan para penerbit buku ilmiah yang ada di Asia Tenggara. Sementara para penerbit universiti atau pusat penyelidikan di rantau ini berdiri dan berjuang secara bersendirian dengan kekuatan institusi induk masing-masing, Malaysia ternyata melangkah setapak di depan.
Para penerbit universiti dan institusi penyelidikan yang menerbitkan karya ilmiah di negara ini bergabung di bawah MAPIM yang kini dinaungi oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Pada masa ini, draf Perlembagaan MAPIM yang baru telah disiapkan. Draf itu akan menggantikan Perlembagaan MAPIM yang lama, yang digubal sedekad yang lalu. Masa berubah dan keanggotaan MAPIM semakin bertambah, daripada anggota asalnya pada tahun 1996 yang terdiri daripada penerbit universiti yang utama sahaja.
Kini keanggotaan MAPIM sudah mencapai 25 institusi yang merangkumi semua institusi pengajian tinggi awam, Dewan Bahasa dan Pustaka, MARDI, MPOB, Institut Terjemahan Negara, ISTAC, INTAN, dan IKIM. Justeru, perlembagaannya yang asal tidak berupaya untuk memenuhi aspirasi semua anggotanya. Perlembagaan baru yang siap digubal itu pun tidak akan mampu memenuhi hasrat semua pihak, meskipun yang difokuskan adalah tentang penerbitan ilmiah yang menjadi nyawa kewujudan MAPIM.
Yang jelas, MAPIM bukanlah institusi yang baru. Sejarah MAPIM dapat dikesan sejak tahun 1980-an lagi apabila PEPET ditubuhkan. Sejak itu MAPIM menjadi gabungan bagi para penerbit ilmiah bagi melayani aktiviti masing-masing. Tetapi selama itu pula, kehadiran MAPIM hanya dirasai di kalangan anggotanya sahaja atau lebih tepat lagi di kalangan para penerbit universiti dan pusat penyelidikan sahaja. MAPIM pada umumnya tidak dikenali oleh para ahli akademik tempatan, apatah lagi di luar negara.
Justeru, sekian lama MAPIM hanya menjadi perkumpulan eksklusif di dalam kelambu para anggotanya sahaja. Mereka yang di luar mungkin hanya menyedari kehadiran MAPIM apabila Pesta Buku Antarabangsa KL sahaja, iaitu apabila kelambu MAPIM itu ditunjukkan menerusi beberapa buah gerai yang disewanya secara bersama. Selain itu, MAPIM terlalu eksklusif sehingga kehadirannya tidak dihiraukan. Samalah halnya dengan kedudukan buku ilmiah, yang rata-rata kurang diberikan perhatian.
Namun MAPIM tidak boleh dipersalahkan kerana sekadar menjadi kelambu para penerbit ilmiah semata-mata. Kewujudan MAPIM itu sendiri dalam situasi tidak adanya gabungan penerbitan ilmiah di negara-negara lain di Asia Tenggara sudah cukup membuktikan kehebatan para penerbit ilmiah kita dalam berorganisasi. Untuk menyalahkan MAPIM kerana gagal membawa dunia penerbitan ilmiah kita ke peringkat antrarabangsa samalah dengan menyalahkan IPTA kita kerana tidak mendapat tempat yang memuaskan dalam penarafan universiti dunia.
Ramai yang membandingkan prestasi penerbitan ilmiah kita dengan Singapore University Press (SUP). Mereka menyatakan bahawa buku-buku ilmiah terbitan SUP lebih menyerlah kualiti dan lebih luas penyebarannya. Setiap tahun, SUP tidak ketinggalan mempunyai gerainya sendiri di Frankfurt Book Fair, sedangkan para penerbit ilmiah tempatan atau MAPIM sendiri tidak pernah muncul, sekurang-kurangnya sejak alaf baru ini.
Seorang bakal penulis memberitahu, biarpun saya sendiri meraguinya, bahawa buku-buku terbitan SUP boleh didapati di kedai buku Barnes & Noble yang bertebaran di seluruh Amerika itu. Hal ini nyata tidak benar apabila Paul Krotoska yang menjadi pemangku Direktor SUP sendiri menafikannya. Malah sebenarnya, dan Paul sendiri mengakui bahawa kedudukan SUP cukup tenat untuk terus bertahan. Hanya ihsan Hawaii University Press sahaja-itupun setelah memberikan diskaun 75 peratus-dan hak cetak beberapa judul buku dengan penerbit Amerika sahaja yang membolehkan buku-buku SUP dapat dipamerkan di beberapa kedai buku universiti di luar negara, tetapi bukan di Barnes & Noble.
Memang kita akui bahawa prestasi Penerbit Universiti Malaya atau Penerbit UKM hanya bersifat tempatan. Untuk masuk ke pasaran Indonesia pun, buku-buku kita tidak diterima. Justeru, buku-buku ilmiah bahasa Melayu hanya untuk pasaran tempatan sahaja. Bagi buku berbahasa Inggeris pun, hambatan yang lain menanti. Umumnya, buku berbahasa Inggeris terbitan tempatan dianggap kelas kedua, iaitu buku-buku yang tidak dapat menembusi para penerbit ilmiah yang berpusat di London atau New York.
Buku-buku itu ditulis oleh pengarang tempatan yang tidak diterima oleh penerbit antarabangsa atau pengarang baru yang baru mencari tapak dalam dunia penerbitan. Justeru, prestasi penerbitan ilmiah tempatan agak mengecewakan. Sudahlah ditulis oleh pengarang kelas kedua, buku itu pula tidak disunting oleh editor yang berwibawa, dan ditambah dengan kualiti pengeluaran yang sederhana dan saluran pengedaran yang lemah, akhirnya buku itu tidak ke mana-mana selain memenuhkan stor para penerbit yang kian sendat.
Pada masa yang sama, penerbitan ilmiah kita berhadapan dengan persoalan yang besar dalam kerangka kewujudannya sendiri. Hakikat bahawa penerbitan ilmiah merupakan salah satu tiang bagi universiti, selain pengajaran dan penyelidikan, tidak selalunya difahami oleh birokrat universiti. Penerbitan sentiasa dilihat sebagai satu entiti yang terpisah, jauh kurang penting daripada pengajaran dan penyelidikan. Tumpuan universiti adalah pada kedua-dua tiang itu, dan penerbitan hanya mengharap perhatian daripada seorang dua pentadbir universiti yang kebetulan pernah menghasilkan tulisan atau buku.
Penganaktirian penerbitan ilmiah ini dapat kita kesan di kebanyakan universiti kita. Entiti penerbit memang ada kerana kewujudannya sentiasa dipantau oleh kementerian. Tetapi dengan peruntukan yang tidak konsisten dan bilangan staf yang sedikit, tidak tetap dan tidak terlatih, yang dapat dilakukan oleh penerbit universiti hanyalah menerbitkan satu atau dua judul buku atau jurnal. Yang dipentingkan ada penerbitan, sedangkan kualiti dan konsistensinya diabaikan. Kesannya, sudah pasti penerbitan ilmiah tidak dapat memberi sumbangan apa-apa kepada universitinya.
Barang diingat bahawa penerbitan ilmiah wujud kerana fungsinya untuk membantu universiti menyebarkan pengetahuan sejauh dan seluas mungkin-far and wide-menurut Daniel Coit Gilman, presiden pertama Johns Hopkins University pada tahun 1878. Penerbit universiti diharap dapat berperanan sebagai wahana untuk menyebarluaskan ilmu dan kepakaran universiti, bukan setakat kepada para mahasiswanya di kampus, malahan di sarata dunia.
Justeru, penerbit universiti harus menjadi suara sehingga institusi induknya dikenali oleh dunia luarnya. Untuk membolehkannya memainkan peranan itu, perhatian yang saksama perlu diberikan oleh pentadbir universiti, sama seperti perhatian yang selama ini ditumpahkan kepada pengajaran dan penyelidikan.
Itulah antara persoalan yang membelenggui MAPIM sekarang-persoalan tentang entiti kewujudannya sendiri dalam ruang lingkup universiti. Ini belum lagi persoalan tentang bahasa. Dan persoalan bahasa yang dihadapi oleh anggota MAPIM sebenarnya mencerminkan persoalan yang lebih besar dalam penggunaan bahasa di IPTA kita sekarang. Perlembagaan MAPIM dengan jelas menyatakan bahawa dunia penerbitan ilmiah yang mahu dikembangkannya adalah dalam bahasa kebangsaan, dan sekadar mengingatkan pembaca bahawa bahasa kebangsaan kita ialah bahasa Melayu.
Persoalan yang dihadapi MAPIM itu bukan tiada penyelesaiannya. Kita berharap, Perlembagaan MAPIM yang baru itu akan dapat memperkasa penerbitan ilmiah kita.
Oleh Hamedi Mohd Adnan
Oleh kerana sebab-sebab kekangan sumber dan kehendak pembaca, tidak hairanlah tumpuan perpustakaan kebiasaannya lebih memfokus kepada perkhidmatan maklumat dan rujukan sebagai peranan utama.
Akan tetapi ketiga-tiga peranan lain yang disebutkan di atas tidak sepatutnya dianggap terlaksana secara kebetulan disebabkan ketersediaan koleksi bahan bacaan dan penyelidikan yang terkumpul, tersusun serta mudah diakses dalam suasana yang menggalakkan penggunaan dan perujukan bahan. Perpustakaan perlu proaktif dalam peranan sebagai pusat pembelajaran, pusat budaya dan rekreasi jika ingin memainkan peranan yang berkesan dan lebih bermakna dalam masyarakat dan komuniti setempat.
Manifesto UNESCO/IFLA (Pertubuhan Pendidikan, Saintifil dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu/ Persekutuan Antarabangsa Persatuan-persatuan dan Institusi-institusi Perpustakaan) untuk perpustakaan awam menggariskan misi perpustakaan awam termasuk meningkatkan kesedaran tentang warisan budaya, penghayatan seni serta memberi akses dan galakan kepada pengungkapan budaya dan seni persembahan. Manifesto yang telah diterima pada tahun 1994 kini telah diterjemahkan ke dalam 25 bahasa, termasuk bahasa Malaysia.
Seminar Serantau Mengenai Perpustakaan Awam: Perancangan Untuk Keperluan Masa Depan khusus untuk merumus pelan tindakan pembangunan perpustakaan awam bagi negara-negara Asia Tenggara dan benua kecil India sejajar dengan manifesto ini telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1997. Seminar anjuran Perpustakaan Negara ini telah mendapat penyertaan meluas dengan kerjasama Majlis Perpustakaan Awam Negeri di Malaysia, Persatuan Perpustakaan Malaysia (PPM) dan IFLA Section on Public Libraries dan Regional Section on Asia and Oceanía.
Setelah hampir sepuluh tahun kemudian, wajar pelan tindakan yang dirumuskan pada tahun 1997 ini dikaji semula dari segi pencapaian pelaksanaannya sebagai asas strategi pelaksanaan untuk 10 tahun akan datang. Dengan adanya rangkaian perpustakaan yang lebih luas dan mantap di seluruh negara, perpustakaan awam kini lebih bersedia memainkan peranan sebagai pusat budaya dan pembelajaran dengan terancang dan berkesan.
Ini akan memerlukan perubahan dari segi pemikiran dan sikap sesetengah pustakawan sendiri di samping pengubahsuaian fizikal ruang dan kemudahan perpustakaan sedia ada serta perancangan perpustakaan baru.
Jika Rancangan Malaysia Kelapan sewajarnya lebih banyak memberi penekanan kepada kemudahan ICT, perancangan bangunan dan perkhidmatan perpustakaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan pula perlu memberi lebih penekanan kepada peranan perpustakaan sebagai pusat budaya dan pembelajaran.
Dalam hal ini bukan sahaja perpustakaan awam, tetapi semua perpustakaan perlu memberi tumpuan kepada perancangan pengisian yang lebih proaktif dalam peranan sebagai pusat budaya dan pembelajaran untuk pelbagai peringkat umur.
Aktiviti yang mencorakkan peranan sedemikian bertujuan menarik minat komuniti sasaran ke perpustakaan dan menjadikan perpustakaan sebagai tempat tumpuan ramai, sama ada orang awam, pelajar mahupun golongan profesional. Aktiviti ini perlu diadakan dengan kekerapan yang teratur supaya menjadi suatu kelaziman sehinggakan perpustakaan sinonim dengan aktiviti budaya dan pembelajaran. Matlamatnya adalah untuk merapatkan perpustakaan dengan komuniti dan masyarakat setempat dan menjadikan perpustakaan kepunyaan mereka dan sebahagian hidup mereka.
Bertitik tolak dari landasan asas tetapi penting ini, perpustakaan perlu lebih serius meningkatkan keupayaan menyokong dan membantu agensi kerajaan yang berkaitan dengan maklumat, budaya, pembelajaran dan rekreasi mencapai matlamat dan hasrat negara. Semua perpustakaan perlu mempunyai program aktiviti yang mantap bagi menyokong matlamat yang berkait rapat dengan perpustakaan terutamanya membudayakan membaca dan mengejar ilmu serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat. Matlamat dan perancangan aktiviti ini hendaklah diserapkan dalam pelan strategik perpustakaan. Peranan kerajaan dan pihak berwajib meluluskan peruntukan dan sumber yang diperlukan amat penting bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaan.
Perpustakaan juga boleh secara khusus menyasarkan sebahagian program dan aktivitinya bagi menyokong dan membantu mencapai hasrat kerajaan dalam bidang khusus seperti meningkatkan penghayatan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Dalam negara majmuk seperti Malaysia memajukan penerbitan atau pembacaan dalam bahasa kebangsaan perlu menangani cabaran berpunca daripada perbilangan kaum, bahasa dan budaya yang mempunyai kepentingan dan keinginan sendiri untuk memajukan atau menghidupkan bahasa ibunda sendiri.
Di samping itu Bahasa Inggeris yang penting sebagai bahasa antarabangsa juga perlu dikuasai, terutama dalam persekitaran globalisasi dan liberalisasi dan keperluan masyarakat yang mampu berdaya saing. Pustakawan perlu peka dengan cabaran terhadap bahasa kebangsaan dan memainkan peranan yang proaktif menganjurkan program penghayatan dan pembudayaan sastera Melayu di perpustakaan.
Walaupun bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaan sekian lama, koleksi perpustakaan menunjukkan bahawa buku-buku dalam bahasa Malaysia masih belum mencukupi untuk menampung keperluan penyelidikan dalam negara. Selepas hampir 50 tahun merdeka perpustakaan masih bergantung kuat kepada buku terbitan luar negara dalam bahasa Inggeris untuk membina koleksi bagi menampung keperluan pelajar dan tenaga pengajar di institusi pendidikan tinggi.
Oleh DATUK ZAWIYAH BABA
Bukan luar biasa, seorang penulis mendakwa bahawa bukunya berwibawa kerana mempunyai nombor ISBN, dan malahan ada profesor universiti tempatan yang ditugaskan untuk membuat penarafan tentang penerbitan ilmiah di negara ini menyatakan bahawa sesebuah buku itu tidak bernilai akademik jika tidak mempunyai ISBN!
Apakah ISBN? ISBN ialah singkatan daripada International Standard Book Number atau Nombor Buku Piawai Antarabangsa. Nombor itu merupakan tanda pengenalan yang unik diberikan kepada semua buku yang diterbitkan untuk membolehkannya diniagakan di peringkat global dengan mudah. Di dalam buku, nombor ISBN lazimnya diletakkan di halaman hak cipta buku dan di kulit belakang buku, bersama-sama dengan kod bar.
Selama ini, nombor ISBN terdiri daripada 10 angka digit. Bagaimanapun, mulai 1 Januari 2007 nanti, semua nombor ISBN pada buku akan diubah kepada 13 angka. Sistem 10 angka digit dikatakan sudah tidak mampu lagi memberikan tanda pengenalan kepada buku di negara maju yang jumlahnya semakin bertambah setiap tahun. Di samping itu, kekeliruan sering timbul dalam perekodan di premis jualan kerana penggunaan ISBN semata-mata mungkin bercampur dengan pelbagai barangan yang lain.
Di bawah sistem ISBN, setiap judul atau edisi buku mempunyai nombornya sendiri. Jika sesebuah buku diterbitkan dalam edisi kulit keras dan lembut, maka terdapat dua nombor yang berbeza yang merujuk salah satu edisi yang berkenaan. Dengan demikian, kesilapan yang mungkin berlaku dalam pemesanan buku oleh kedai buku atau pemenuhan pesanan buku oleh penerbit tidak mungkin akan berlaku. Bayangkan jika sebuah kedai buku di New York mahu memesan 50 judul buku daripada sebuah penerbit di Malaysia.
Dengan nombor ISBN, kedai buku itu hanya menyenaraikan nombor-nombor ISBNnya sahaja di samping menyertakan bilangan naskhah yang dikehendaki. Ia tidak perlu lagi mencatatkan nama pengarang, judul buku yang dikehendaki, tahun diterbitkan, dan nama penerbitnya kerana nombor ISBN itu sendiri menjelaskan maklumat-maklumat itu.
Terdapat empat komponen dalam 10 nombor digit ISBN seperti gambar di atas bahawa nombornya 0-901690-54-6. Komponen yang pertama ialah digit tunggal yang menunjukkan bahasa atau negara buku itu diterbitkan. Semua penerbitan buku di Malaysia menggunakan nombor 967 atau 983 sebagai komponen pertamanya, sementara 0 merujuk kepada buku yang diterbitkan di Amerika Syarikat atau Britain.
Komponen yang kedua merujuk kepada penerbit yang menerbitkan buku berkenaan. Prefix ini mengambil kira jumlah output terbitan sesebuah penerbit-jika menerbitkan banyak buku dalam setahun, komponen nombor yang kedua ini sedikit; sebaliknya jika buku yang diterbitkan sedikit, nombor komponen ini banyak. Dewan Bahasa dan Pustaka mempunyai prefix 62, sementara Penerbit Fajar Bakti dan Utusan Publications and Distributors mempunyai prefix 65 dan 61. Penerbit yang kecil seperti Arenabuku dan Pelanduk Publications diberikan prefix yang lebih panjang, iaitu 970 dan 978 kerana jumlah terbitan mereka sedikit.
Komponen yang ketiga pula merujuk kepada nombor bilangan yang spesifik diberikan kepada setiap judul buku yang diterbitan. Inilah komponen nombor yang membezakan sebuah buku dengan buku lain atau dengan edisi lain. Bahagian terakhir daripada ISBN ialah digit kawalan (check digit), iaitu satu perkiraan matematik yang membolehkan komputer menguji kesahihan angka digit sebelumnya di samping untuk mengesan kesilapan nombor. Nombor digit itu adalah di antara 0-10. Memandangkan nombor ISBN sebelum ini mestilah dalam sepuluh angka, jika angka digit kawalannya 10, maka angka Rom X digunakan, bukannya angka Arab 10.
967/983 65 0476 9
1 2 3 4
1 - Rujukan negara atau bahasa buku itu diterbitkan. Rujukan bagi Malaysia ialah 967 atau 983.
2 - Nombor prefiks untuk penerbit.
3 - Nombor bagi judul buku berkenaan.
4 - Angka digit kawalan.
Pada masa ini, kod bar yang terdapat di belakang kulit buku memberikan nombor EAN yang terdiri daripada 13 angka. EAN ialah International Article Number, iaitu nombor standard 13 angka untuk barangan keluaran bagi dikenali dalam perdagangan antarabangsa. Nombor EAN diedarkan dan dipantau oleh EAN International-sebuah pertubuhan yang menetapkan piawai dan aturan tentang penggunaan nombor rujukan bagi pelbagai barangan keluaran yang boleh dibaca oleh kod bar. EAN memperuntukkan dua angka prefiks untuk buku, iaitu “978” dan “979”, sementara untuk barangan lain, nombor prefiksnya berlainan.
Di bawah peraturan baru oleh EAN itu, mulai 1 Januari 2007 nanti, semua penerbit dikehendaki memaparkan sekali nombor prefiks “978” atau “979” dalam nombor ISBN mereka. Dengan berbuat demikian, sistem bacaan kod bar yang digunakan di kedai atau tempat jualan akan dapat merekodkan sekali nombor prefiks yang berkenaan, di samping empat komponen nombor ISBN yang lazim.
Di negara ini, nombor ISBN dikeluarkan dan dikendalikan oleh Perpustakaan Negara Malaysia. Para penerbit yang mahu menerbitkan bukunya boleh membuat permohonan kepada PPN dengan mengisi borang yang berkenaan di samping menyertakan halaman awalan buku yang hendak diterbitkannya. PPN akan memberikan nombor ISBN bersama-sama.
Data Pengkatalogan Dalam Penerbitan. Data pengkatalogan tersebut biasanya akan dimasukkan di halaman hak cipta buku. Data tersebut memberikan panduan kepada perpustakaan untuk menyediakan katalog kepada buku berkenaan dan untuk menjadi panduan tentang di mana buku itu perlu disimpan di dalam rak-rak perpustakaan.
Dengan mempunyai nombor ISBN, secara automatik buku itu terakam dalam bibliografi nasional dan rekod itu amat penting dari segi dokumentasi. Tanpa nombor ISBN, buku itu akan sukar dikesan kewujudannya, apatah lagi apabila penerbit atau pengarangnya telah tiada.
Oleh HAMEDI MOHD ADNAN
JUMAAT lalu, di sebuah pusat konvensyen terkemuka di ibu negara, telah berlangsung pelancaran Kempen Membaca Peringkat Kebangsaan (2006).
Dan buat pertama kalinya dalam sejarah, dua kementerian iaitu Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Kementerian Pelajaran telah diberi tanggungjawab merealisasikan pelancaran bersama ini.
Pada pelancarannya kita boleh simpulkan bahawa kempen ini mencerminkan satu permulaan yang baik. Namun hakikatnya ada perkara lebih besar di sebalik majlis tersebut.
Orang sering berkata, permulaan yang baik tidak semestinya berakhir dengan baik juga. Persoalan yang asas ialah, mengapa kempen membaca?
Apakah kempen ini diadakan untuk meningkatkan kadar membaca atau membaca bahan-bahan yang berkualiti? Membaca dengan membaca bahan berkualiti adalah dua perkara yang berbeza dan kempen ini harus memperjelaskan hala tujunya.
Laporan tentang tabiat membaca yang dilakukan oleh UNESCO untuk sesi cerapan 1999 menunjukkan masyarakat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun.
Kekerapan tersebut sememangnya lebih baik daripada cerapan yang pernah dibuat pada 1996 iaitu dua muka surat setahun.
Walaupun terdapat peningkatan minat membaca dengan kadar agak tinggi, ia masih rendah jika dibandingkan dengan amalan rakyat di negara-negara maju.
Malah Jepun umpamanya mencatatkan penghasilan buku mencecah 52,000 buah setahun berbanding negara kita, walaupun dalam pelbagai bahasa (Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris) masih tidak sampai angka 7,000 buah buku dalam tempoh sama.
Tetapi benarkah masyarakat kita kurang membaca?
Pensyarah Fakulti Pengajian Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shaharom TM Sulaiman berkata, kurang tepat kalau mengkelaskan masyarakat kita sebagai kurang membaca.
“Kita kena lihat dari dua sudut. Pertama, daya beli. Masyarakat kita sebenarnya berkemampuan dan bersedia membeli buku.
“Ini dapat dilihat pada setiap kali pesta buku dianjurkan. Pengunjung yang datang melebihi setengah juta orang.
“Novel-novel Melayu juga semakin mendapat sambutan. Kalau dulu novel-novel ini tidak kelihatan di kedai-kedai buku besar, kini kita boleh dapat di situ. Maknanya pasaran ada dan kalau itu ukuran mudahnya, masyarakat kita ada sikap suka membaca,” katanya ketika dihubungi.
Sudut kedua yang perlu dilihat ialah bahan bacaan itu sendiri.
“Tetapi adakah kita membaca bahan-bahan yang seharusnya dibaca? Berkualiti? Apakah dengan membaca novel Harry Potter, kita boleh jadi pembaca yang baik?”
Melihat dari sudut yang sama, masyarakat kita sering dikaitkan dengan bahan bacaan yang tidak membina atau tidak berkualiti.
Contoh paling jelas, anak-anak muda kita lebih tertarik membaca majalah-majalah hiburan atau novel-novel picisan.
Jika ini disentuh, timbul pula persoalan seterusnya: Apakah salah kita membaca bahan bacaan begitu? Harry Potter juga hakikatnya adalah bahan bacaan ‘sampah.’
Kalau dibandingkan isi kandungannya, ia sama juga (jika berbeza pun hanya sedikit) dengan novel-novel hantu seperti siri bercakap dengan jin atau cerita-cerita gosip dan sebagainya yang berlambak di pasaran.
Tanpa mengambil kira kualiti bahan yang dibaca, masyarakat kita tidak jauh ketinggalan daripada negara-negara maju.
Maka persoalan apakah rakyat Malaysia hari ini boleh dikategorikan sebagai masyarakat pembaca yang kita inginkan? Atau soalan lebih mudah, ke manakah arah tuju kempen gerakan budaya membaca kita?
Mengulas perkara ini lebih mendalam, Shaharom cuba membawa persoalan ini dari sudut fikirnya yang tersendiri.
Katanya, isu ini tidak patut timbul kerana kadar celik huruf rakyat di kalangan penduduk berusia 10 tahun ke atas iaitu 92 peratus (2005) adalah yang tertinggi di Asia.
Laporan yang dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Jabatan Statistik menunjukkan celik huruf di Malaysia pada tahun 1996 ialah 93 peratus.
Situasi ini juga menimbulkan tanda tanya tentang hala tuju kempen membaca. Jika kadar literasi tinggi dan kempen-kempen sebelum ini berjaya, mengapa kita perlu lagi membelanjakan wang yang banyak bagi menganjurkan kempen membaca?
Dasar Buku Negara menyebut pada tahun 2000, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang masyarakatnya mempunyai budaya membaca. Kini setelah enam tahun berlalu, kita masih lagi melancarkan kempen membaca!
“Kita sebenarnya tidak boleh mengatakan kempen membaca ini gagal kerana kita tiada kayu ukur untuk menjelaskannya.
“Sudah sampai masanya kita perlu mengukur kejayaan kempen-kempen yang telah kerajaan jalankan selama ini.
“Sehingga kini, kita tiada jawapan tentang ukuran masyarakat membaca, bagaimana modul, struktur atau ciri yang ingin dilahirkan. Ini tidak ditekankan dalam mana-mana kempen membaca,” katanya.
UNESCO mengklasifikasikan masyarakat membaca ialah mereka yang membaca sekurang-kurangnya 40 halaman.
“Jadi di mana kedudukan kita? Tidak bolehlah bandingkan dengan Jepun kerana membaca ini ‘makanan’ mereka,” katanya.
Negara menyasarkan untuk menjadi maju pada 2020, iaitu kira-kira 14 tahun lagi. Antara ciri utama masyarakat negara maju ialah membudayakan tabiat membaca.
Ini sesuai dengan hakikat hidup yang mengatakan bahawa orang yang banyak membaca adalah masyarakat yang beradab.
Malah kesan akhir kepada pembacaan yang berkualiti tentunya akan melahirkan masyarakat yang bijak, kritis dan rasional.
Inilah juga harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila menekankan konsep modal insan.
Melihat hasrat ini, sewajarnya Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bersama Kementerian Pelajaran memikirkan kaedah yang lebih sistematik dalam usaha melahirkan masyarakat membaca yang kita inginkan.
Benar, kerajaan telah banyak memberi peruntukan dalam memupuk budaya membaca ini. Bajet tahun lepas mencatatkan peruntukan kira-kira RM200 juta dan jumlah itu bertambah lagi tahun ini. Malangnya pernahkah pihak-pihak terbabit memikirkan ia dalam lingkungan agenda nasional?
“Sudah sampai masanya kita serius tentang perkara ini. Jangan lagi lihat kempen membaca sebagai tanggungjawab satu atau dua kementerian tetapi jadikan ia agenda pembangunan nasional,” jelas Shaharom.
Untuk memupuk budaya membaca mengikut acuan kita sendiri, memerlukan pendekatan yang menyeluruh kerana budaya intelektual ini bukannya sesuatu yang terasing.
Tentunya, kata-kata Rais semasa majlis pelancaran bahawa kerajaan sedang berusaha menangani segala permasalahan yang mengekang penerapan budaya membaca termasuk membabitkan industri percetakan dan harga buku bakal memberi nafas baru.
Semestinya juga kempen gerakan membaca perlu berterusan tetapi adalah lebih bijak jika disertai dengan pendekatan penilaian.
Ini penting bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bersikap rakus membaca, tamak mengumpul dan gila membeli buku, agar kita tidak malu digelar negara maju.
Oleh: SITI MARIAM MD. ZAIN
MINGGU lepas rombongan empat orang dari Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) telah mengunjungi Pesta Buku Jakarta 2006 yang berlangsung di Istoria (Istana Olah Raga), Senayan, Jakarta pada 1 - 9 Julai 2006. Tujuan misi ini ialah untuk memilih buku kanak-kanak, remaja dan dewasa dalam bahasa Indonesia yang diperlukan oleh perpustakaan dan projek literasi di Aceh untuk menggantikan buku-buku yang musnah akibat tsunami.
Peruntukan membeli buku ini adalah daripada sumbangan kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus melalui tabung khas PPM untuk membantu pemulihan perkhidmatan perpustakaan Aceh. Syarikat Bistari Mediabuku Sdn Bhd. pula telah menyumbang terhadap usaha pemulihan perpustakaan Aceh dengan menaja kunjungan rombongan PPM.
Menurut maklumat penganjur, seramai 160 penerbit menyertai Jakarta Book Fair 2006. Jika diambil kira penduduk Jakarta atau dibandingkan dengan Kuala Lumpur International Book Fair, jumlah penerbit yang menyertai pesta buku Jakarta ini agak sederhana. Namun, berjaya dari segi menonjolkan buku-buku bahasa Indonesia dan menghidupkan suasana dengan pelbagai acara menarik berkaitan buku dan membaca terus-menerus sepanjang pesta berlangsung. Matlamat pesta buku untuk menginspirasikan bahawa “Buku investasi masa depan,” amat tepat sekali bagi menggalakkan masyarakat menimba ilmu untuk menjamin masa hadapan yang cerah.
Salah sebuah gerai yang terdapat di ruang luar kawasanIstoria, majalah berjudul Matabaca iaitu satu-satunya majalah khusus mengenai buku dan pembacaan dalam bahasa Indonesia yang telah bertahan selama beberapa tahun. Streamer yang menarik menunjukkan seorang rocker membaca buku dengan slogan mengumumkan ‘Rocker Juga Baca Buku’. Kata-kata yang menuruti pengisytiharan ini pula menyajikan madah untuk berfikir:
“…semua makhluk di dunia
bagaikan buku dan gambar
kaca cermin bagi kita …”
Pemilihan buku untuk perpustakaan Aceh dipermudahkan oleh kerana ketersediaan dan kepelbagaian buku baru tempatan dalam bahasa Indonesia untuk dewasa, remaja dan kanak-kanak yang diterbitkan dalam tahun 2006 dan 2005. Seperti mana di Pesta Buku Kuala Lumpur, permintaan untuk buku-buku mengenai agama terus meningkat di Pesta Buku Jakarta. Laporan New Delhi Book Fair 2005 juga melaporkan peningkatan permintaan buku mengenai agama Hindu dan falsafah, satu trend yang ketara selepas peristiwa 9/11. Terdapat beberapa penerbit atau gerai mempamerkan hanya buku-buku mengenai agama sahaja. Mengikut maklumat penganjur jumlah judul baru yang diterbitkan pada tahun 2005 telah meningkat kepada 10,000 judul barbanding dengan 7000 judul pada tahun 2004. Walaupun Indonesia dengan jumlah penduduk begitu besar mampu menerbitkan jauh lebih banyak lagi judul baru, pekembangan ini amat memberangsangkan bukan sahaja bagi industri buku akan tetapi juga daripada usaha mengembangkan ilmu dan menggalakkan pembacaan.
Meluas
Aktiviti terjemahan amat meluas jika dilihat daripada bilangan buku terjemahan yang dipemerkan di Pesta Buku Jakarta ini. Buku terjemahan termasuk fiksyen dan buku bukan fiksyen mengenai pelbagai sabjek termasuk falsafah, pengurusan, teknologi maklumat, agama, biografi, ekonomi dan politik serta best-seller dalam bidang pengurusan. Mungkin buku-buku terjemahan laris disebabkan buku dalam bahasa Ingerís tidak dijual di pesta buku ini untuk judul-judul yang telah diterjemahkan. Salah satu judul terjemahan terbaru yang menarik perhatian ialah autobiografi berjudul For God and Country: Faith and Patriotism Under Fire oleh seorang pegawai tentera Amerika lulusan West Point beragama Islam, Kapt. James (Yusof) Yee. Semasa berkhidmat sebagai pegawai agama Islam bagi tahanan dan staf beragama Islam di penjara Guantanamo Bay, Cuba, beliau dituduh terlibat dalam aktiviti pengkhianatan dan dipenjarakan. Ditulis bersama Aimee Molloy, buku ini menceritakan kisah hidup dan sebab-sebab beliau memeluk agama Islam, pengalaman sebagai pegawai tentera Amerika termasuk keadaan dan operasi dalam penjara Guantánamo Bay. Iman yang teguh membantu beliau melalui dugaan yang amat getir dalam hidupnya hingga berjaya membersihkan namanya.
Di samping peningkatan penerbitan buku-buku baru dan buku terjemahan, fenomena yang menggembirakan ialah kemunculan sebilangan besar penulis-penilis remaja dalam lingkungan umur 9 - 18 tahun. Walaupun asalnya ditulis untuk menarik perhatian rakan sebaya akan tetapi penulisan mereka menjadi popular dan dibaca oleh golongan yang lebih meluas hingga menjadi genre baru dalam kesusasteraan yang dikenali sebagai teen literature atau sastera belasan tahun. Remaja menulis mengenai diri mereka, pengalaman dan persoalan hidup seharian remaja serta cerita rekaan mengenai remaja. Membaca luahan perasaan, pemikiran dan idea dari kaca mata dan perspektif remaja merupakan pendedahan begitu menarik, oleh kerana kebiasaannya amat sukar mendapatkan pendapat remaja secara lisan selain daripada sepatah dua perkataan.
Dari buku-buku yang dipamerkan terdapat tiga kategori buku remaja. Pertama, buku yang ditulis oleh remaja untuk remaja. Penulisan remaja ini banyak diterbitkan oleh badan sukarela seperti Forum Lingkar Pena yang aktif menganjurkan bengkel membaca dan menulis terutama di kawasan luar bandar, seperti mana dilihat di Aceh selepas tsunami. Kedua, buku remaja yang ditulis oleh penulis dewasa terutamanya novel. Ketiga, buku import yang diterjemahkan untuk remaja. Kategori kedua dan ketiga ini diterbitkan oleh penerbit komersial dan terdapat di kedai buku seperti Gramedia dan Mizan. Pilihan buku cerita dan novel untuk remaja amat lumayan. Seperti mana di Malaysia kebanyakan novel ini menceritakan kisah cinta dan juga cerita seram dan menakutkan. Di samping itu novel remaja berunsur agama juga diperhatikan semakin banyak dalam pasaran.
Kemunculan penulis remaja yang semakin ramai adalah petanda baik untuk industri buku dan pembaca di sesebuah negara dan perlu dikelolakan dengan baik dan digalakkan agar terus berkembang untuk menjadi kelompok penulis yang matang dan berkualiti di masa hadapan. Selain menambah kepelbagaian pilihan bahan bacaan, penulisan remaja juga mampu menggalakkan pembacaan di kalangan rakan sebaya dan mendorong sikap bahawa membaca dan menulis itu sememangnya aktitivi gaya hidup yang cool.
Oleh
Zawaiyah Baba
Oleh NOOR AZAM
SAYA memilih untuk menulis mengenai 50 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana DBP adalah ‘Anak Utusan’. Tanpa Utusan Melayu mungkin DBP tidak akan lahir pada tahun 1956 - belum pun kita merdeka.
Utusan Melayu membuka ruangan seluas-luasnya untuk perjuangan bahasa dan budaya, bahkan Utusan Melayu sendiri menjadi pejuang bahasa yang berani dan konsisten.
Utusan Melayu juga satu-satunya akhbar yang terus komited pada perjuangan bahasa Melayu. Dalam beberapa tahun terakhir ini - ketika media massa kita meminggirkan perjuangan bahasa - bila perlu Utusan Malaysia masih terus bersuara.
Pada Tahun Baru Cina yang lalu, Utusan Malaysia menyiarkan gambar besar sepanduk bertulisan Cina serta komennya yang menyengat, di muka depan. Beberapa hari selepas itu, sepanduk itu hilang dan berganti dengan sepanduk bertulisan Cina dan bahasa Melayu. Peristiwa ini kecil, tetapi besar ertinya.
Malam itu, timbul pertanyaan, “Apa yang nak saya tulis?” Dua puluh tahun - 1960-1980 - saya berkhidmat di DBP.
Saya teringatkan Tun Syed Nasir Syed Ismail, pegawai dan kakitangan, termasuk peon dan jaga - semuanya jadi pejuang bahasa yang jujur dan sangat komited.
Teringatkan Bulan Bahasa, Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan dan “Peristiwa Keranda 152”. Semuanya kisah perjuangan yang membanggakan. Tetapi saya tidak mahu bernostalgia. Orang tak akan suka membacanya.
Dua hari selepas itu, saya baca tulisan Firdaus dalam Utusan Malaysia. Tajuknya DBP: Satu jasad, tiga wajah. Mengapa mesti ada ‘tiga wajah’? Tulisan ini mulai membuka fikiran saya. Pada para akhir tulisan itu, Firdaus menyimpulkan:
“Demikianlah, DBP dalam realiti dan idealismenya sepanjang kewujudannya 50 tahun yang lalu akhir-akhir ini telah menjadi mangsa salah tanggapan.”
Benarkah DBP ‘telah menjadi mangsa salah tanggapan’? Kalau benar, mengapa terjadi salah tanggapan? Atau tanggapan yang dikatakan “salah” itu sebenarnya “betul” ? Apa pun tanggapan orang, tentulah ada salahnya DBP.
Pada pertemuan bekas orang Dewan yang pernah terlibat dalam pementasan drama di DBP - 13 Jun - saya baru tahu Datuk Johan Jaaffar telah dilantik Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang baru. Dan dalam ucapan singkatnya Firdaus menegaskan beberapa kali: Pesanan Datuk Johan agar menjadikan Dewan Bahasa “mesra masyarakat” dan Firdaus mengulang-ulang minta agar kita semua “melupakan” kelemahan masa lalu dan menumpukan perhatian kepada masa depan.
Peristiwa ini memberi jawapan: Apa yang elok saya tulis. 50 tahun adalah masa yang cukup lama. Tidak salah, malah memang perlu kita melihat ke belakang - bukan untuk ditangisi atau menghukum sesiapa - tetapi untuk panduan melangkah ke depan.
Meneliti kesalahan dan kelemahan untuk jadi pengajaran. Mencari kejayaan dan kekuatan untuk diperkukuhkan. Untuk jadi tempat tegak meneruskan amanah bangsa, khususnya amanah pejuang bahasa.
Amanah supaya DBP berjuang dan berusaha menjadikan bahasa Melayu benar-benar bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal di negara kita yang merdeka.
Firdaus dan Johan adalah gandingan dua tokoh yang sangat ideal. Selama 50 tahun belum pernah DBP mendapat gandingan pimpinan seperti ini. Kedua-duanya sama-sama memiliki kemampuan ilmu dan pengalaman kerja yang sangat diperlukan oleh DBP. Kedua-duanya adalah cendekiawan yang komited kepada usaha mengangkat martabat bangsa Melayu. Orang -orang yang prihatin pada ‘nasib’ bahasa Melayu menumpukan harapan kepada mereka untuk mengembalikan semangat dan kegemilangan DBP, sekurang-kurangnya setara dengan zaman Syed Nasir dan Datuk Hassan Ahmad.
Bagi menunaikan amanah ini, DBP memerlukan semangat dan kepakaran, keberanian politik dan kemampuan ilmu. Keberanian politik perlu untuk menyelesaikan masalah ‘politik bahasa’, dan kemampuan ilmu untuk “membina dan mengembangkan bahasa”.
Zaman awalnya - selama 12 tahun (1957-1969) adalah era kehebatan DBP dalam tugas ‘politik bahasa’. Syed Nasir dengan dibantu tokoh-tokoh, antaranya Keris Mas, Usman Awang dan Pak Samad Ahmad telah berjaya menggembleng seluruh semangat dan tenaga pejuang-pejuang bahasa dari semua pertubuhan politik, guru, penulis, wartawan, bahasa, kebudayaan dan ilmuwan untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
Bagaikan api dan ombak besar, Syed Nasir dan DBP memerangi siapa saja dan apa saja halangan dan tentangan, termasuk menteri, tokoh politik dan pegawai Melayu sendiri.
Perjuangan
DBP waktu itu menjadi kubu perjuangan bahasa dan Syed Nasir mendapat gelaran Panglima Bahasa. Seluruh pegawai dan kakitangan DBP pada zaman itu bukan sekadar bekerja makan gaji, tetapi menyatukan diri dalam barisan pejuang-pejuang bahasa.
Hebatnya DBP waktu itu sehingga mana-mana pegawai yang melakukan kesalahan lalu lintas tidak akan disaman polis. Tentera dan polis pun ikut dalam perjuangan bahasa.
Kedaulatan bahasa Melayu telah mencapai puncaknya, apabila dijadikan bahasa pengantar utama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan tertubuhnya UKM (1970). Mulai 1982 menjadi bahasa pengantar semua kursus ijazah pertama di semua IPTA. (UKM itu sendiri - jika saya tidak salah - lahir daripada satu kongres yang dilangsungkan di Balai Budaya DBP.)
Pemakaian bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan telah berjalan lancar dan mantap. DBP menubuhkan jabatan khusus untuk menyediakan buku dan menyelenggara kursus bahasa untuk pegawai kerajaan bukan Melayu. Penentang bahasa kebangsaan pun hampir tidak kedengaran lagi. Maka perjuangan politik bahasa boleh dikatakan selesai.
Kerja membina bahasa berjalan terus hingga sekarang, tetapi kerja mengembangkan pemakaian bahasa semakin hari semakin lemah. Harga dan maruah ‘bahasa kebangsaan’ kita semakin jatuh. Rakyat, termasuk syarikat-syarikat boleh berurusan dengan kerajaan dengan bahasa Inggeris. Setiausaha dan juruaudit bertauliah menyediakan laporan tahunan syarikat yang menggunakan khidmat mereka, untuk Pendaftar Syarikat, dalam bahasa Inggeris. Kertas-kertas cadangan projek yang dikemukakan kepada kerajaan, juga dalam bahasa Inggeris. Di sekolah dan universiti bahasa Melayu tidak penting lagi. Bahasa Cina semakin penting. Semakin ramai orang Melayu menggunakan bahasa pasar dan bahasa kedai kopi.
Kerja berpuluh tahun untuk membolehkan bahasa Melayu jadi bahasa pengantar pendidikan, telah jadi sia-sia. Siapa pun tak boleh buat apa-apa. DBP pun tak boleh buat apa-apa. Yang ada hanya suara rakyat yang tidak ada pengaruh dan kuasa.
Nyatalah, perjuangan “politik bahasa” rupa-rupanya tidak selesai. Menjelang 2000 hingga sekarang, keberanian politik untuk mendaulatkan pemakaian bahasa sudah lupus. Komitmen dan keberanian politik yang dulunya ada pada UMNO, sudah tidak ada lagi. Pertubuhan penulis, guru, wartawan dan ilmuwan pun hampir tak kedengaran lagi.
Ada yang minta supaya DBP diberi kuasa undang-undang untuk boleh bertindak. Namun bagi saya, pemakaian bahasa tidak boleh dengan tindakan undang-undang. Tidak boleh menghukum orang yang tidak menggunakan bahasa Melayu atau menggunakan bahasa yang tidak betul.
Bagaimana hendak menghukum kalau menteri dan pegawai tinggi kerajaan menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa dalca? Bagaimana hendak menghukum para eksekutif muda Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris? (Mereka tidak mampu berbahasa Melayu yang baik. Kerja harian mereka menggunakan bahasa Inggeris.) Bagaimana hendak menghukum apabila televisyen menyiarkan ucapan dan kenyataan menteri, pegawai dan tokoh korporat dalam bahasa Inggeris? Bagaimana hendak menghukum apabila institusi kerajaan sendiri makin ghairah mencipta ungkapan atau nama-nama dalam bahasa Inggeris atau sekerat Melayu sekerat Inggeris?
Kata Hassan Ahmad, yang saya rasa hampir 20 tahun bertugas di DBP, termasuk 12 tahun sebagai ketua pengarah, “Negara ini sudah sampai ke tahap yang agak mencemaskan, iaitu tahap ‘mempertahankan’ kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa pendidikan dan bahasa ilmu yang dibina selama 50 tahun.” (DM Jun 06)
Untuk mempertahankan sesuatu - apa juga - memerlukan kekuatan dan mungkin juga ‘senjata’. Adakah kekuatan dan senjata itu pada DBP, dan pada gandingan Firdaus-Johan?
Menurut Firdaus: “DBP sebagai badan kerajaan mendapat bantuan kewangan daripada Kementerian Pelajaran, diikat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pelajaran dan kementerian-kementerian lain.
DBP sebagai badan kerajaan perlu pula menerima hakikat bahawa kerajaan mana yang memerintah, parti politik mana yang memerintah, pemimpin mana yang berkuasa, merekalah yang menentukan gerak- gerinya sebagai badan kerajaan.” (UM 5 Jun 06)
Dengan penjelasan ini, penegasan Firdaus bahawa “DBP tidak semestinya disamakan dengan badan kerajaan yang lain” kerana ia adalah “badan perjuangan” yang “diwujudkan pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga”, tidak bermakna apa-apa.
Bahkan ia tidak akan mungkin “berjuang” kerana “diikat” oleh pelbagai ‘tali’, iaitu “kementerian-kementerian lain” di samping Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran. Dan DBP lebih banyak “diikat” jika dibandingkan dengan jabatan dan perbadanan kerajaan yang lain. Dengan “ikatan” seperti ini, DBP akan jadi jasad yang mati.
DBP zaman Syed Nasir, ditubuhkan dan ditadbirkan di bawah akta penubuhan DBP yang sama dengan yang ada sekarang. Juga ditubuhkan oleh kerajaan yang sama dan parti pemerintah yang sama. Yang tidak sama adalah “pemimpin” nya.
Selama 20 tahun di DBP saya dan kawan-kawan tidak pernah merasa “diikat” sedemikian rupa. Bajet DBP bukanlah “bantuan daripada Kementerian Pelajaran”, tetapi “peruntukan” daripada bajet tahunan berdasarkan permohonan DBP dan perbincangan dengan pegawai-pegawai yang berkenaan. Alangkah malangnya jika badan seperti DBP menjadi anak miskin yang hidup daripada “bantuan”. Apalah gunanya ada Lembaga Pengelola jika “gerak geri” DBP ditentukan oleh “parti yang memerintah” dan kuasa-kuasa lain? Maka saya sarankan agar Firdaus dan Johan segera menyemak Akta DBP 1959 dan pindaannya 1995.
Kata Hassan “DBP tidak mempunyai kuasa untuk menentang apa-apa keputusan pemerintah yang dianggap boleh menggugat taraf bahasa Melayu.” Tetapi kata Firdaus “DBP tidak semestinya disamakan dengan Pejabat Tanah” kerana DBP adalah “badan perjuangan”. Itulah cabaran untuk gandingan Firdaus-Johan.
TAHUN ini kempen membaca dan sambutan bulan membaca diterajui oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan atau Kekwa, setelah Perpustakaan Negara selaku urus setia Gerakan Membaca Kebangsaan berpindah dari Kementerian Pelajaran ke Kekwa pada Mei 2005.
Bulan Membaca Kebangsaan yang disambut pertama kalinya pada Ogos 1995, bertujuan memperhebatkan kempen membaca kebangsaan untuk meningkatkan kesedaran dan mengingatkan masyarakat Malaysia pentingnya tabiat membaca dalam usaha menimba ilmu pengetahuan di samping membuka minda dan meluaskan pemikiran.
Memupuk tabiat dan amalan membaca bagi pelbagai tujuan di kalangan masyarakat amat penting dalam usaha membina masyarakat berilmu yang inginkan kemajuan dan cemerlangan serta mampu bersaing. Untuk mencapai matlamat ini semua peringkat kepimpinan daripada keluarga, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan perlu memainkan peranan untuk menggalakkan kerajinan membaca di kalangan anggota mereka. Mesej penting ini perlu diterapkan dengan mengulangi dan ditekankan setiap tahun melalui kempen di peringkat kebangsaan.
Program Bulan Membaca 2006 memang diberi lebih penekanan daripada tahun-tahun lalu oleh kerana bukan seorang tetapi dua orang menteri terlibat dalam pelancarannya iaitu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Menteri Pelajaran.
Meluas
Gabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan amat dialu-alukan kerana sudah tentu akan menjadikan kempen membaca ini lebih meluas dan bermakna lagi. Pengumuman pengisian program bulan membaca dan kempen membaca 2006 yang akan dilancarkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, memang dinantikan.
Saya berkesempatan menghadiri beberapa aktiviti kempen membaca 2006 sebelum ini iaitu Pertandingan Bercerita Cerita Rakyat Peringkat Kebangsaan anjuran Perpustakaan Negara pada Mei lalu. Minggu lepas, saya berpeluang pula menghadiri majlis penutup Program Kembara Ilmu peringkat Negeri Sembilan di Seremban anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan. Aktiviti awalan ini menjanjikan pengisian program kempen membaca yang mantap dan menyeronokkan.
Negara maju seperti Amerika Syarikat juga menyambut Bulan Membaca Kabangsaan pada Mac dengan pelbagai aktiviti yang inovatif. Di antaranya melibatkan tokoh terkenal dan popular seperti Juara Dunia NBA (Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan) Detroit Pistons dengan mengacarakan program khas Reading and Moving with Science (Membaca dan Bergerak Dengan Sains) di Pusat Sains Detroit yang baru dan serba moden. Bintang-bintang bola kerajang dari Detroit Pistons membaca dan menerangkan konsep sains serta membincang buku-buku sains bersama 250 pelajar dan ibu bapa mereka. Bayangkan impak program seperti ini jika diadakan di Malaysia untuk pelajar sekolah mahupun orang awam yang dihoskan oleh calon peringkat akhir program ke Angkasa Lepas di Pusat Sains Negara!
Gabenor Michigan, iaitu salah sebuah negeri di Amerika Syarikat, pula mengadakan program melawat sekolah pada Bulan Membaca untuk berkongsai buku pilihannya serta bercakap tentang kepentingan dan keseronokan membaca kepada pelajar sekolah. Sebagai ibu kepada tiga orang anak gabenor itu juga menceritakan bagaimana beliau menanam minat membaca ke dalam anak-anaknya seawal usia. Buku yang diceritakan oleh gabenor itu kemudian diedarkan kepada semua perpustakaan di Michigan berserta poster sempena Bulan Membaca Kebangsaan. Teladan yang mudah tetapi amat berkesan pemimpin seperti Gabenor Michigan ini memang wajar dicontohi.
Perpustakaan Negara juga telah mengambil inisiatif menjalankan Kajian Profil Masyarakat Malaysia pada 2005 dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia. Kajian ini telah selesai dijalankan dan pengumuman penemuan kajian ini memang ditunggu.
Di negara membangun pula, Bulan Membaca Kebangsaan telah dilancarkan pertama kalinya di Sri Lanka pada 2004. Sebagai sebuah negara membangun yang mempunyai kadar literasi yang tinggi iaitu mencecah 96 peratus, kempen ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan hampir 700 aktiviti membaca dianjurkan di seluruh negara. Malangnya usaha ini terjejas pada tahun berikutnya disebabkan kemusnahan hampir 70 perpustakaan awam apabila pulau itu dilanda tsunami pada akhir Disember 2004.
Namun kempen ini diteruskan walaupun banyak sumber dan usaha perlu ditumpukan untuk membina semula infrastruktur dan perkhidmatan perpustakaan awam di kawasan tepi laut selatan dan timur negara pulau itu.
Di antara cabaran penting kempen membaca kebangsaan ialah memastikan kesampaiannya ke kawasan luar bandar dengan penyertaan dan sokongan pemimpin dan institusi luar bandar termasuk sekolah, perpustakaan, masjid dan pertubuhan sukarela. Media elektronik dan surat khabar memainkan peranan penting dalam hebahan kempen. Yang sukar ialah mengadakan aktiviti yang dapat memberi suasana dan pengalaman keseronokan membaca untuk kanak-kanak dan masyarakat setempat di luar bandar.
Oleh HAMEDI MOHD. ADNAN
ISTILAH kota buku atau Bookcity di Malaysia muncul ketika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada sebuah majlis anjuran Dewan Industri Buku Malaysia Mei lalu.
Sejak itu beberapa pandangan dan cadangan dikemukakan ke arah merealisasikan konsep kota buku itu.
Tidak kurang pula gesaan dibuat supaya penubuhannya disegerakan, seolah-olah hidup mati perusahaan buku negara bergantung pada kota buku yang dimaksudkan itu.
Saya sendiri bersama wakil dari Universiti Malaya dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia baru-baru ini dihantar ke Korea Selatan untuk menyelidiki industri penerbitannya.
Bagaimanakah Korea dapat membangunkan industri penerbitan yang berakarkan bahasa kebangsaannya? Bagaimanakah negara itu menempatkan dirinya sebagai pasar buku yang kelapan besarnya di dunia selepas Amerika Syarikat, Jerman, Britain, Perancis, China, Jepun dan Sepanyol. Bagaimanakah penterjemahan di Korea berkembang?
Untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut, kami mengunjungi pelbagai institusi, pertubuhan penerbit, penterjemah, penulis, pencetak, penjual buku, dan pastinya Paju Bookcity tidak kami tinggalkan.
Tidak ada kota buku lain di dunia melainkan Paju. Justeru, kami tidak dapat membayangkan apa yang akan kami temui dalam kota yang dijuluki sebagai kota yang mengembalikan kemanusiaan yang hilang itu. Sepanjang perjalanan sejauh 30 kilometer dari kota Seoul ke utara, hanya yang dapat kami bayangkan sebuah dua bangunan tinggi yang menempatkan penerbit atau penjual buku, lalu adalah kedai buku yang mempamerkan buku-buku terbaharu.
Bayangan itu mungkin terpengaruh dengan satu cadangan supaya kota buku di Malaysia nanti ditempatkan di bangunan lama Dewan Bahasa dan Pustaka yang sempit itu.
Nyata bayangan sedemikian meleset sama sekali. Kota Buku Paju sebuah kompleks yang begitu besar menempatkan komuniti budaya penerbitan Korea. Sejak awal lagi, kota itu dirancang sebagai sebuah kawasan industri khusus berkaitan dengan perancangan, pengeluaran, percetakan dan pengedaran buku.
Ini sesuai dengan dasar perindustrian Korea Selatan yang mahu membentuk pengkhususan dalam satu-satu jenis industri.
Fasa kota buku itu pertamanya dipecah-pecahkan kepada 168 lot yang terdiri daripada syarikat-syarikat penerbitan, percetakan dan industri sokongan lain seperti pengedar buku, pengedar kertas, dan pembekal multimedia. Tanah disediakan oleh kerajaan dan syarikat-syarikat yang berkait dengan penerbitan membelinya dengan kadar premium.
“Kota ini mahu mengembalikan semula unsur kemanusiaan yang hilang,” kata Yi Ku-Ung, Pengerusi Paju Bookcity yang juga merupakan pemilik Youlhwadang, sebuah penerbit buku seni yang utama di Korea.
Kreativiti
“Di sini kami mementingkan ruang yang selesa untuk manusia, di mana mereka boleh mencurahkan kreativiti dan pemikiran sebebas-bebasnya,” tambahnya lagi.
Paju Bookcity dirancang dengan reka bentuk umumnya oleh sekumpulan pasukan yang diketuai oleh Dr. Hwang Ki-Won dari Universiti Kebangsaan Seoul. Reka bentuk bangunan-bangunannya pula dibuat oleh Min Hyun-Shik dan Seung H-Sang - dua orang pereka bentuk terkenal di negara itu.
Selain itu, 30 pereka bentuk dari Korea dan 10 orang lagi di luar negara terlibat dalam perencanaan kota buku itu. Para pemilik lot di kota itu perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam pembinaan bangunan mereka.
Hasilnya, setiap bangunan yang terbina di kota buku itu mempamerkan keunikan reka bentuknya sendiri.
“Bangunan-bangunan itu memaparkan kreativiti yang kita galakkan dalam industri penerbitan kita,” kata Yi Ku-Ung lagi.
Namun, benarkah pembinaannya benar-benar menyerlahkan kebebasan?
“Tidak, kami diarahkan supaya tidak membina bangunan tinggi di sini, tidak lebih empat tingkat. Ini kawasan keselamatan, tidak jauh dari sempadan dengan Korea Utara. Bangunan tinggi akan mengundang bahaya,” tambahnya sambil memandang gunung-ganang yang menjadi perbatasan Korea Utara.
“Tetapi inilah hasrat kami. Kalau nanti kami dapat disatukan, bukulah yang akan memainkan peranan utama,” kata Yi Ku-Ung dengan yakin bahawa situasi politik yang memisahkan bangsa Korea itu akan terurai juga nanti.
Proses pembinaan Paju Bookcity mempunyai selok-beloknya sendiri dan bukanlah mudah. Ia bermula pada 5 September 1989 apabila sebuah pertemuan bagi membincangkan hal itu diadakan.
Hanya mulai 1 Julai 1994 apabila Presiden Korea mula mengarahkan badan kerajaan memberikan sokongan untuk mempercepatkan pembinaannya, barulah kota buku itu memperoleh nafas.
Pembinaan hanya dapat dibuat selepas 15 Jun 2001 apabila garis panduan reka bentuk binaannya siap. Pada 24 Disember 2003 bangunan utama yang dinamakan Pusat Maklumat dan Budaya Penerbitan Asia dibuka dan bermulalah aktiviti Paju sebagai kota buku yang sebenarnya. Festival Buku Kanak-Kanak Paju diadakan pada tahun itu juga dan menarik lebih 60,000 peserta.
Kami dibawa melawat beberapa tempat utama di kota buku itu. Pusat Maklumat dan Budaya Penerbitan Asia di tengah-tengah kota itu merupakan sekretariat utama kota yang menjadi tempat pertemuan para penerbit dan industri buku. Sebuah dewan konvensyen yang besar menjadi tempat persidangan dan pameran yang berkait dengan penerbitan.
Lot yang paling luas diduduki oleh Booxen - sebuah pusat pengedaran buku yang dimiliki oleh koperasi para penerbit buku Korea. Pengedaran buku di Booxen dijalankan secara elektronik dan pesanan buku dari kedai dapat dipenuhi dalam masa satu hari bekerja sahaja.
Paju Bookcity dilengkapi dengan kompleks membeli-belah dan malahan panggung wayang dan balai polis. Apabila siap sepenuhnya nanti, sebuah kedai buku yang besar akan mempamerkan semua buku yang dihasilkan di kota itu, di samping kawasan perumahan yang khusus bagi kakitangannya.
Yang paling menarik ialah keunikan reka bentuk bangunan-bangunannya. Setiap bangunan mempunyai keperibadiannya sendiri dan dibina dengan mementingkan ciri rekaannya. Benarlah kata Yi Ku-Ung, “kota buku ini bukan semata-mata tempat untuk orang buku bekerja, tetapi tempat di mana nilai kemanusiaan yang hilang di kota-kota biasa itu dapat ditemui di sini.”
Oleh Siti Nursuhada Masri
BH: BAGAIMANAKAH Samsudin Wahab boleh berkecimpung dalam dunia penulisan?
SW: Saya bermula dengan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Parit Panjang, Baling, Kedah, pada 2000 dan pernah terbabit dengan kursus penulisan buku teks Kementerian Pendidikan untuk Buku Penerangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kemudian timbul keinginan untuk terus menulis hingga terhasil buku bacaan umum, Pengurusan dan Teknologi.
BH: Dari manakah mendapat ilham untuk menghasilkan buku terbabit?
SW: Selepas alam persekolahan, saya menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Pengurusan Pejabat dan mendapati bahan bacaan tempatan dalam bidang terbabit sangat kurang. Saya banyak merujuk buku dari luar negara. Oleh itu, saya menggunakan asas penulisan ketika menghasilkan buku di bawah kementerian untuk menulis. Bahan bacaan daripada bahasa Inggeris saya terjemahkan kerana ingin membantu mereka yang kurang arif dalam urusan pejabat.
BH: Apakah ada rancangan untuk mencetak buku dalam bentuk cakera padat (CD) memandangkan subjek pilihan Samsudin akan lebih hidup dalam bentuk audio visual?
SW: Pada masa sekarang saya hanya beri tumpuan pada penulisan buku dulu. Keinginan untuk menghasilkan dalam bentuk CD memang ada tetapi memerlukan komitmen dan fokus dengan industri terbabit. Insya-Allah suatu hari nanti dengan kerjasama pihak kementerian, saya cuba menghasilkannya demi menyampaikan ilmu kerana penggunaan CD tidak akan menghalang pasaran buku.
BH: Bagaimanakah petua dan panduan diperoleh?
SW: Saya banyak melakukan rujukan terhadap bahan bacaan dari dalam mahupun luar negara. Selain itu, pengalaman ketika di alam persekolahan dan pekerjaan, menambahkan maklumat. Saya pernah dilantik sebagai Penasihat Unit Protokol di Pejabat Pendidikan Daerah Baling dan aktif dengan aktiviti kokurikulum ketika di sekolah dan memberi idea secara tidak langsung hingga terhasilnya buku Pengurusan Majlis dan Acara Rasmi.
BH: Apakah yang menjadi panduan Samsudin dalam menulis?
SW: Pengarah PTS, Ainon Mohd, banyak memberi ilham baru untuk saya menghasilkan bahan bacaan umum yang bersesuaian dengan bidang penulisan. Kedudukan Kampus UiTM, Dungun, yang menghadap pantai, turut mendorong saya menulis. Pihak pentadbiran pula tidak pernah menghalang, malah menggalakkan kakitangan UiTM berkecimpung dalam dunia penulisan. Saya mendapat sokongan kuat, bekas Pengarah Kampus Dungun, Prof Madya Dr Mustafa Md Zin. Ketika saya berkhidmat sebagai Pensyarah UiTM Dungun, masih belum ada kakitangan yang terbabit dalam dunia penulisan. Apabila saya menceburkan diri dalam bidang ini, mereka memberi galakan dan tiada halangan birokrasi hingga saya dikurniai Anugerah Khidmat Cemerlang 2003 dan Anugerah Penyelidik Harapan UiTM 2003 serta menjadi contoh kepada kakitangan mahupun pelajar.
BH: Apakah yang mendorong Samsudin untuk terus menulis?
SW: Perdana Menteri Malaysia menekankan pemikiran kelas pertama untuk membina insan berjaya. Buku yang saya hasilkan lebih kepada cara membina insan yang mantap dan seterusnya membantu merealisasikan wawasan 2020. Minat menulis juga sememangnya sudah ada sejak di sekolah lagi. Masyarakat Malaysia kini masih rendah tahap ilmu pengetahuan dan latihan yang diberikan kadang kala hanya peringkat asas saja. Oleh itu, timbul kesedaran untuk membantu anak bangsa bagi mencapai status negara maju.
BH: Apakah cara yang Samsudin gunakan untuk menarik minat pembaca kerana semangat membaca rakyat Malaysia masih kurang?
SW: Kerjasama antara syarikat penerbitan, badan kerajaan dan media perlu ada dalam melancarkan kempen kesedaran membaca sama ada di bandar mahupun di desa. Media ada fungsi penting dalam menyuntik semangat pembaca dengan menganjurkan kuiz, memperbanyakkan ruangan untuk penulis dan memperkenalkan penulis seperti golongan artis. Sastera kini kurang terbela dan semakin dipinggirkan. Jadi menjadi tanggungjawab bersama rakyat Malaysia untuk mengekalkan bahasa kita, agar tidak pupus. Saya menyampaikan hasil tulisan dengan diselangselikan bentuk cerita dan pengalaman agar ia lebih menarik.
BH: Siapakah golongan sasaran Samsudin ketika menghasilkan buku terbabit?
SW: Saya mengkhususkan buku ini kepada usahawan Bumiputera yang menjalankan perniagaan. Saya berharap pekerja organisasi lebih kreatif dan berjaya. Ia boleh digunakan pengurus yang memerlukan motivasi dan pelajar boleh menjadikannya sebagai bahan rujukan.
BH: Apakah kriteria untuk menjadi penulis? Adakah cukup sekadar minat?
SW: Minat saja tidak mencukupi kerana untuk menjadi penulis, individu itu perlu kreatif dan sentiasa rajin mencari maklumat di samping teori yang kukuh kerana kita mahukan sesuatu yang baru untuk menarik masyarakat membacanya. Kemahiran dalam teknologi maklumat juga perlu. Kita juga perlu sentiasa berfikiran positif kerana dunia penulisan menuntut perjuangan bukan hanya untuk diri malah kepada bangsa dan negara.
BH: Apakah perancangan terbaru Samsudin?
SW: Saya kini terbabit dalam penulisan skrip Hala Tuju Kampus Cawangan: Dari Diari Seorang Pengarah bersama Unit Penulisan Akademik UiTM Shah Alam (Upena). Buku baru saya adalah Mengurus Konferen dan Seminar manakala dalam proses penghasilan adalah 55 Panduan Menjadi Pekerja Hebat.
PROFIL:
Samsudin Wahab
Tarikh Lahir: 31 Oktober 1966
Tempat Lahir: Kulim Kedah
Jawatan: Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Teknologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Terengganu
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains ( Perniagaantani) di Universiti Putra Malaysia (UPM), 1989, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim (1994), Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) (2001) dan calon Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Perkhidmatan Pelanggan di UUM.
Pengalaman: Guru akaun, perdagangan dan ekonomi di Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Panjang, Baling, Kedah dan pensyarah Jabatan Perdagangan di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang.
Anugerah: Anugerah Khidmat Cemerlang 2003 dan Anugerah Penyelidik Harapan UiTM 2003.
Buku: Pengurusan dan Teknologi Pejabat 2003, Mengurus dan Mentadbir Pejabat 2003, Mengurus Majlis dan Acara Rasmi 2003, Panduan Protokol dan Tatatertib Majlis 2004, Belajar Berucap 2004, Panduan untuk Pengurus dan Setiausaha 2005, Panduan, Surat, Laporan dan Dokumen Perniagaan 2005 dan Eksekutif Efektif 2006.
FESTIVAL Buku Kanak-Kanak Antarabangsa 2006 atau Nambook 006 disertai oleh 66 buah negara. Inilah kali kedua pesta buku tahunan itu diadakan di Nami Island - sebuah pulau kecil yang indah di utara Sungai Han-sungai dan sejak sekian lama menjadi nadi bangsa Korea.
Republik Nami Island - begitu pulau itu mahu dikenali-sehingga para pengunjung harus membeli ‘visa’ terlebih dahulu untuk menaiki feri ke pulau itu.
Sesungguhnya drama Winter Sonata yang berlatarbelakangan Nami Island telah benar-benar menjadikan pulau tersebut tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Setiap tahun pulau yang jaraknya 63 kilometer dari ibu kota Seoul itu dikunjungi lebih dua juta pelancong. Kebanyakan mereka datang untuk menyaksikan sendiri bekas set penggambaran siri drama Korea yang terkenal hingga ke Malaysia itu.
Tepat sekalilah jika buku, apatah lagi buku kanak-kanak diselitkan sebagai tarikan sampingan untuk ke pulau itu. Sambil berjalan-jalan dan mengambil foto di lorong yang kiri kanannya ditumbuhi pohon lurus di mana Jun-sang dan Yu-jin-dua watak utama Winter Sonata memadu asmara itu, pengunjung akan terserempak dengan tapak pesta buku yang pintu gerbangnya dihias dengan ribuan buah buku yang disusun dengan kreatif.
Nami Island tidaklah besar, hanya sepanjang enam kilometer dan selebar satu hingga dua kilometer sahaja menjadikan Nambook 006 tempat yang perlu dikunjungi.
Pesta buku kanak-kanak itu dianjurkan bersama oleh ‘kerajaan’ republik Nami Island dengan Korean Book Youth (KBBY) yang bernaung di bawah International Board Book for Youth (IBBY).
Tujuan pesta buku itu adalah untuk menunjukkan kegiatan penerbitan buku KBBY, khususnya dalam mengetengahkan pengeluaran buku negara-negara yang menganggotai IBBY kepada masyarakat Korea.
Sebagai tempat tumpuan pelancong, pesta buku itu diharap dapat mengetengahkan pelbagai jenis bacaan kanak-kanak khususnya, dan dengan demikian jenis buku yang penting itu sentiasa dapat disalurkan kepada mereka dan keluarga.
Kanak-kanak merupakan asas pembentukan generasi pencinta buku, dan penganjuran pesta buku itu diharap dapat menyumbang kepada penyemaian bibit kecintaan buku kepada generasi itu.
Pesta buku tersebut berlangsung selama tiga bulan, iaitu dari 1 April hingga 30 Jun 2006. Pada masa yang lain, pelbagai acara dan pesta kebudayaan diadakan di pulau itu.
Pameran
Namun pameran karya para pengarang Korea dan antarabangsa diadakan sepanjang tahun. Penganjur pesta buku mahu memadukan buku dengan budaya. Mereka yakin bahawa buku dan dunia persuratan akan mampu menempatkan bangsa Korea sebagai salah satu bangsa yang dihormati bangsa lain.
Selain pameran pelbagai jenis buku kanak-kanak daripada 66 buah negara yang disebutkan itu, penganjur turut menyusun pelbagai aktiviti bagi memberikan nilai tambah kepada para pengunjung. Para pengarang buku kanak-kanak Korea datang dari semasa ke semasa untuk menceritakan buku masing-masing.
Kanak-kanak sendiri menyertai sesi dan pertandingan bercerita, di samping pelbagai acara persembahan seperti nyanyian dan drama pendek-semuanya diatur oleh penganjur dengan menyepadukannya kepada kecintaan kepada buku.
Sebagai tarikan lain, pameran fotografi, pameran anak patung, demonstrasi ilustrasi buku, persembahan konsert piano David Gomez dari Sepanyol, pameran pakaian tradisional Korea dan Jepun, demonstrasi membuat kraf tangan, membuat karya seni daripada bahan terbuang, persembahan seni pertahanan diri Capoeira dari Brazil, konsert muzik asli dari Itali, dan pameran budaya Yemen, India, dan Serbia & Montenegro diadakan.
Bengkel
Kanak-kanak juga berpeluang untuk menyertai pelbagai bengkel yang diadakan khusus untuk mereka. Mereka boleh membuat tembikar - daripada menguli tanah liat hinggalah kepada membakar tembikar yang dihasilkannya sendiri-dengan bimbingan pakar. Mereka juga boleh membuat coklat, membina bangunan dengan lego, menjilid buku, dan sebagainya mengikut minat masing-masing.
Para pengunjung dewasa pula boleh mengunjungi gerai demi gerai yang disediakan sambil menyaksikan kreativiti dan kepelbagaian buku kanak-kanak yang dipamerkan. Sesuai dengan kecenderungan bangsa Korea terhadap seni, semua gerai dibina dengan memaparkan kreativiti yang unik dan menarik perhatian.
Di pintu masuk pameran, mereka disambut dengan ribuan buku yang disusun dengan kreatif. Antara gerai buku yang besar memuatkan buku dari negara masing-masing ialah Itali, China, Republik Czech, Australia, dan tentunya Korea sendiri.
Pada setiap minggu, penganjur memilih negara tertentu sebagai hos dan akan mengadakan aktiviti khusus untuk para pengunjung.
Semua buku adalah untuk pameran dan tidak ada jual beli dibenarkan penganjur. Namun, penganjur boleh membeli buku secara simbolik dengan membayar W1,000 (RM3.90) untuk sebuah buku.
Buku tersebut tidak boleh dibawa balik, dan wang yang dibayar itu akan disalurkan kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi membantu kanak-kanak yang tidak bernasib baik di seluruh dunia.
Malaysia tidak ketinggalan mempunyai ruangannya sendiri dalam pameran itu. Namun, yang dipamerkan di ruang Malaysia itu bukanlah buku kanak-kanak, sebaliknya brosur tentang Malaysia yang mungkin dibekalkan oleh pihak kedutaan kita di Seoul.
Sedangkan ruang gerai Singapura dan buku-bukunya lima kali lebih besar, malahan republik itu menaja ruang pintu masuk di pesta buku itu, di samping menaja peraduan melukis untuk kanak-kanak dengan tema Let‘s Go to Singapore! Dreaming of Singapore.
Jika Malaysia berbangga kerana pernah mempunyai Kampung Buku nun di Sungai Sembilang di Langkawi, Korea harus berbangga kerana Nami Island kini menjadi sinonim sebagai pulau buku, meskipun pesta bukunya diadakan hanya tiga bulan dalam setahun. Siapa kata buku tidak boleh disepadukan dengan pelancongan?
Oleh HAMEDI MOHD. ADNAN
Pada tahun 2005, daripada 43,585 judul buku baru yang diterbitkan, 8,937 judul adalah karya terjemahan. Pada tahun 2004, jumlahnya 10,088 judul.
Yang paling banyak ialah buku kanak-kanak dan komik, diikuti buku kesusasteraan, khususnya novel, buku perniagaan, spiritual, khususnya berhubung agama Buddha dan Kristian, dan buku motivasi. Negara yang bukunya paling banyak diterjemahkan dalam bahasa Korea ialah Jepun dengan 42 peratus, diikuti Amerika Syarikat dengan 25 peratus. Negara-negara lain ialah Britain, Perancis, Jerman, China, Republik Czech dan Rusia.
Pada hari ini, Korea merupakan antara negara yang paling aktif dalam pasaran hak cipta antarabangsa. Para penerbit Korea tidak ketinggalan menyertai pameran buku antarabangsa dan disifatkan oleh masyarakat perbukuan antarabangsa sebagai ‘sekumpulan tentera’ yang mahu menawan hak cipta, khususnya untuk buku-buku laris yang diterbitkan di New York, London, dan Paris.
Para penerbit Korea berlumba-lumba membeli hak cipta karya besar antarabangsa dengan membuat bida yang besar untuk bayaran pendahuluannya.
Publishers Weekly dalam laporannya menyebutkan bahawa keghairahan bangsa Korea dalam penerbitan karya terjemahan ini mencapai kemuncaknya pada tahun 1995 lagi apabila pendapatan perkapita negara itu mencapai AS$12,000. Pada ketika ini, Korea membeli apa sahaja karya yang dikenali di Amerika dengan novel-novel John Grisham, Michael Crichton, Danielle Steel, dan Stephen Hawking serta buku-buku karya guru pengurusan dan motivasi seperti Stephen Covey, Peter Drucker, Philip Kotler, dan Tom Peters menjadi tumpuan.
Karya
Penerbitan karya terjemahan pada hari ini tertumpu kepada karya fiksyen Barat yang mendapat perhatian besar di pasaran antarabangsa. Selain itu, buku-buku perniagaan dan pengurusan, buku motivasi diri dan how-to, dan buku kanak-kanak terus mendapat tumpuan para penerbit Korea.
Buku-buku antarabangsa yang diulas oleh New York Times, USA Today atau Wall Street Journal sering mendapat susulan yang positif daripada penerbit Korea, dan bayaran pendahuluan kepada penerbit asal yang relatif rendah berbanding potensi jualannya menyebabkan minat terhadap karya terjemahan tidak pernah surut. Sejak tahun 2000, bayaran pendahuluan yang dibayar penerbit Korea meningkat daripada AS$1,000-3,000 kepada AS$5,000.
Perhatikan sambutan bangsa Korea terhadap karya terjemahan yang berikut:
* Buku 7 Habit of Highly Effective People oleh Stephen Covey yang diterbitkan oleh Gimm-Young Publishers dapat dijual lebih 1 juta naskhah sejak dilancarkan tahun 1994.
* Buku Simplify Your Life dari bahasa Jerman dapat dijual 200,000 naskhah hanya dalam tempoh setahun.
* Buku Tuesdays with Morrie yang dilancarkan pada 1998 terjual lebih 500,000 naskhah.
* Buku The 80/20 Principle oleh Richard Koch terbitan Book21 Publishing terjual 110,000 naskhah, sementara buku Gung Ho karya Ken Blanchard oleh penerbit yang sama terjual 200,000 naskhah.
* Sebuah penerbit lagi, Minumsa berjaya menjual terjemahan The Three Kingdom sebanyak 12 juta naskhah, Rich Dad Poor Dad (2.1 juta naskhah), enam jilid buku The Lord of the Rings (1 juta naskhah), The Collected Stories of Sherlock Holmes (800,000 naskhah), dan buku The Magic School Bus (1.3 juta naskhah).
Hak Cipta
Selain aktif menerbitkan buku terjemahan sehingga menjadi antara bahasa yang menjadi tumpuan dalam urus niaga hak cipta dunia, Korea turut mengeksport buku atau hak ciptanya ke luar negara, khususnya ke negara Asia lain dan Amerika Syarikat.
Kebanyakan buku Korea yang diterjemahkan ke bahasa asing adalah yang berhubung dengan filem atau drama TVnya yang cukup terkenal di negara Asia lain, termasuk Malaysia, di samping buku-buku panduan komputer dan bahasa-semuanya berkat penyebaran budaya popular Korea atau Korean Wave (hallyu) kepada masyarakat antarabangsa.
Salah sebuah buku Korea yang mendapat sambutan hangat di pasaran asing ialah sebuah buku kanak-kanak-Yellow Umbrella-buku 32 halaman yang dilukis oleh Liu Jae-soo dan disusun oleh Sheen Dong-Il. buku yang dilengkap dengan CD-ROM itu dinamakan sebagai salah sebuah buku terbaik kanak-kanak oleh International Board of Books for Young People.
Buku tersebut juga diulas oleh New York Times Book Review sebagai sepuluh buku kanak-kanak terbaik. Buku Korea lain yang mendapat sambutan di pasaran asing ialah buku computer dan buku tentang agama Buddha.
Dokongan
Untuk menyebarkan budaya popular Korea kepada masyarakat antarabangsa, kerajaan negara itu menubuhkan Korea Literature Translation Institute (KLTI)-sebuah agensi kerajaan yang diletakkan di bawah Kementerian Kebudayaan dan Pelancongannya. Ditubuhkan pada tahun 2001.
Institut tersebut memikul tanggungjawab bangsa Korea untuk mengetengahkan hasil kesusasteraan mereka kepada dunia. Ini dilakukan dengan memberikan geran kepada penterjemah dan penerbit, menyokong pelbagai program antarabangsa yang berkait dengan penterjemahan, menyediakan pelatihan kepada penterjemah, dan memberikan felowship kepada para penyelidik dalam persuratan Korea.
Tanggungjawabnya yang utama adalah menterjemahkan karya-karya kesusasteraan Korea ke dalam bahasa asing supaya dengan demikian, masyarakat antarabangsa akan mengetahui dan memahami budaya dan persuratan mereka.
Bagi KLTI, inilah usaha ke arah pengglobalisasian budaya Korea yang perlu dilakukannya. Visi KLTI adalah untuk menjadikan penterjemahan suatu kunci kepada bangsa Korea untuk memperoleh penghormatan budayanya dalam kalangan antarabangsa.
Sejak beroperasi pada tahun 2001, secara purata 50 judul buku sastera Korea berjaya diterjemahkan ke bahasa asing. Mulai tahun 2006, di samping 50 judul buku sastera, 10 judul buku tentang budaya dan kesenian Korea turut diterbitkan.
Hasilnya, pada hari ini Korea semakin terkenal di kalangan masysrakat antarabangsa kerana budayanya, bukan lagi kerana teknologinya semata-mata.
Banyak yang boleh kita pelajari daripada industri penterjemahan Korea ini.
Oleh Hamedi Mohd Adnan
Oleh Firdaus Abdullah
Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang mengibaratkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai “nama dari satu sejarah”, “api dari satu zaman." Nama yang bersejarah itu telah wujud selama 50 tahun, bermula 22 Jun 1956 bila Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Bukit Timbalan Johor Bahru meluluskan resolusi penubuhan DBP.
Dan selama 50 tahun nama yang bersejarah itu telah menyala sebagai “api satu zaman”, menjadi obor perjuangan mendaulatkan bahasa dan sastera.
Ungkapan-ungkapan puitis Usman Awang yang dipetik di atas adalah baris-baris dari seni kata lagu rasmi DBP yang melodinya dicipta oleh Allahyarham Shaiful Bahri. Usman Awang juga melihat DBP sebagai “obor kebangsaan” yang “menyala membakar semangat rakyat”, “abadi dan keramat.”
Bagi kebanyakan masyarakat awam, nama DBP lebih sering dikaitkan dengan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa." Semenjak akhir-akhir ini oleh sesetengah pihak yang lain, DBP dilihat hanya sebagai penerbit dan pembekal buku-buku teks sekolah kerajaan. Malah saya pernah mendengar seorang pegawai tinggi sebuah badan berkanun mengatakan bahawa pada tanggapannya DBP hanyalah satu syarikat menjual buku-buku terpakai.
Tetapi Usman Awang melihat dengan pandangan positif pelbagai dimensi sejarah dan budaya serta dimensi sosial dan politik yang melekat pada jasad DBP. Memang benar semenjak akhir-akhir ini pelbagai pandangan negatif telah dilemparkan kepada DBP sehingga ada yang menganggapnya “sudah tidak relevan.” Dan ada pula yang mencemuhkannya sebagai “macan (harimau) kertas.”
Secara jujur memang perlu diakui bahawa tanggapan pelbagai pihak terhadap DBP adalah pelbagai ragam dan dari semasa ke semasa mengalami keadaan pasang surut, bertukar ganti antara positif dan negatif. Ada yang memuji dan mengagumi. Dan ada pula yang mengutuk serta memandang enteng.
Namun demikian baris-baris puisi Usman Awang yang menjadi seni kata lagu rasmi DBP itu tetap mempunyai nilai-nilai sejarah dan politik serta nilai nilai-nilai seni dan budaya yang wajib difahami dan dihayati. Baris-baris puisi tersebut boleh dianggap sebagai kenyataan empirikal dan sekali gus boleh pula dianggap sebagai penyuaraan hasrat dan harapan. Dengan kata lain, itu adalah adunan antara realiti dan idealisme. Dan dalam konteks serta pemahaman yang sedemikianlah kewujudan DBP selama 50 tahun itu patut dinilai dan difahami.
Setelah berumur setengah abad tentu banyak yang sudah dicapai oleh DBP. Tetapi kerana harapan yang diletakkan pada agensi ini terlalu tinggi, sudah tentu pelbagai kejayaan yang dicapainya sepanjang 50 tahun itu dianggap belum mencukupi. Dalam hubungan inilah, pada hemat saya, “setiap pihak” perlu bermuhasabah dan melihat segala permasalahan secara jujur dan objektif.
Muhasabah itu perlu dilakukan pada peringkat peribadi di kalangan kakitangan DBP sendiri, pada peringkat organisasi. Demikian pula masyarakat awam yang meletak harapan pada DBP mestilah juga melakukan muhasabah agar dengan demikian dapat menilainya secara adil dan saksama.
Sesungguhnya, muhasabah pada peringkat diri memang perlu dilakukan oleh kakitangan DBP, khususnya untuk menilai pencapaian diri sebagai penjawat awam, sekali gus menilai sumbangan masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab kepada organisasi, masyarakat dan kerajaan yang memerintah. Peri perlunya melakukan muhasabah diri ini adalah untuk memastikan setiap kakitangan DBP mengamalkan budaya kerja yang ikhlas, jujur dan cekap demi memperkukuh integriti diri dan organisasi sejajar dengan hasrat Kerajaan yang menekankan soal integriti sektor awam serta mencemerlangkan sistem penyampaian di sektor berkenaan.
Muhasabah diri dalam kalangan kakitangan DBP ini juga perlu dilakukan demi memastikan ia memiliki kakitangan yang sentiasa mengutamakan kualiti kerja, kualiti perkhidmatan dan juga kualiti produk yang masing-masing mempunyai saham dalam menghasilkannya. Justeru, setiap kakitangan DBP perlu melakukan muhasabah diri kerana ia memikul amanah rakyat dan kerajaan.
Selain muhasabah diri, perlu juga dilakukan “muhasabah organisasi”. Yang saya maksudkan dengan ungkapan “muhasabah organisasi ialah melakukan sejenis pengauditan organisasi untuk mengenal pasti masalah organisasi, untuk menilai keberkesanan pengurusan dan untuk mengukur kadar produktiviti. Mungkin ini sama maksudnya dengan mengadakan analisis berdasarkan faktor-faktor kekuatan, kelemahan, peluang dan saingan yang diperlukan dalam usaha kita mengatasi pelbagai masalah demi peningkatan keberkesanan dan produktiviti.
DBP perlu melakukan analisis kerana dalam usianya meningkat 50 tahun sekarang berada dalam iklim politik dan sosial yang berbeza berbanding dengan kewujudannya dalam dasawarsa 1950-an, 1960-an dan 1970-an yang lalu. Aliran perdana masyarakat nasional pada masa itu mempunyai persepsi dan sikap yang tidak berbelah bagi mengenai isu-isu kebahasaan, terutama mengenai status dan peranan bahasa Melayu. Tetapi sekarang keadaan telah berubah dan realiti sudah berlainan. Dan sehubungan dengan itu persepsi dan pandangan masyarakat terhadap DBP sedikit demi sedikit mengalami perubahan yang kurang menggembirakan. Inilah antara realiti yang patut disedari.
Dengan kesedaran terhadap realiti tersebut diharapkan DBP dapat menyusun strategi dengan lebih berkesan dan lebih bijaksana, sesuai dengan pengajaran orang-orang tua agar kita melakukan sesuatu seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepuk jangan berderai. DBP boleh merubah strategi tetapi matlamat dan prinsip jangan dikompromikan. Seperti kata orang-orang tua kita: Tidak salah beralih tegak asal di tanah yang sebidang, tidak salah beralih duduk asal di tikar yang sehelai.
Selain itu kewujudan DBP perlu dilihat secara lebih kreatif. Pada saya, kewujudan DBP adalah ibarat satu jasad tiga wajah. Analogi satu jasad tiga wajah ini adalah hasil daripada pentafsiran kembali hakikat kewujudan DBP. Konsep ini perlu difahami dan dihayati dari semasa ke semasa. Ertinya, kewujudan DBP mestilah dilihat secara yang lebih kreatif dengan mengambil kira peranannya sebagai badan kerajaan, sebagai badan perjuangan dan sebagai badan ilmu.
Pertama, DBP sebagai badan kerajaan. Maksudnya ia mendapat bantuan kewangan daripada Kementerian Pelajaran, diikat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pelajaran dan kementerian-kementerian lain. DBP sebagai badan kerajaan perlu pula menerima hakikat bahawa kerajaan mana yang memerintah, parti politik mana yang memerintah, pemimpin mana yang berkuasa, merekalah yang menentukan gerak-gerinya sebagai badan kerajaan.
Dalam pada itu, DBP tidak semestinya disamakan dengan badan kerajaan yang lain seperti pejabat tanah kerana ia mempunyai dimensi yang lain, iaitu sebagai badan perjuangan. Kelahiran DBP yang diterima sebagai badan kerajaan adalah hasil daripada sebuah perjuangan. Ia diwujudkan pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru pada tahun 1956, berupa kemuncak daripada satu perjuangan. Ini diungkapkan Usman Awang sebagai, “Nama dari satu sejarah, api dari satu zaman."
Kedua, saya melihat DBP sebagai badan perjuangan untuk menuntut pelbagai perkara yang ada kaitannya dengan pengisian atau usaha mencapai sebuah negara bangsa dan diwujudkan mengikuti “acuan kita sendiri”.
Wajah ketiga DBP adalah sebagai badan ilmu yang tentu sahaja perhatian ditumpukan terhadap ilmu yang ada kaitannya dengan kebahasaan dan kesusasteraan, dan secara tidak langsung dengan ilmu-ilmu kemanusiaan yang lain. Inilah rasionalnya. Misalnya, DBP telah mengadakan Bahagian Sains Sosial dan Kemanusiaan, sekali gus memajukan bahasa Melayu dalam bidang sains sosial.
Demikianlah, DBP dalam realiti dan idealismenya sepanjang kewujudannya 50 tahun yang lalu akhir-akhir ini telah menjadi mangsa salah tanggapan. Orang lupa tentang pelbagai jasa dan bakti yang telah disumbangkan DBP. Oleh sebab itu saya ingin mengimbas zaman lampaunya, seperti yang terangkum dalam lirik Usman Awang itu. DBP adalah nama dari suatu sejarah. Sepanjang kewujudannya, DBP telah menyumbang pelbagai perkara dalam kehidupan kita berbangsa dan bernegara. Dan sebagai Ketua Pengarah, ingin saya mengingatkan diri saya sendiri tentang ciri-ciri awal DBP, meskipun tidak bermakna saya akan kembali bernostalgia kepada ciri-ciri awalnya.
Goenawan Mohamad
SEANDAINYA ada Mandela di sini.... Bung Pram, saya sering mengatakan itu, dan mungkin mulai membuat orang jemu. Tapi Mandela, di Afrika Selatan, menyelamatkan manusia dari abad ke-20.
Tiap zaman punya gilanya sendiri. Abad ke-20 adalah zaman rencana besar dengan pembinasaan besar. Hitler membunuh jutaan Yahudi karena Jerman harus jadi awal Eropa yang bersih dari ras yang tak dikehendaki. Stalin dan Mao dan Pol Pot membinasakan sekian juta "kontrarevolusioner" karena sosialisme harus berdiri. Kemudian Orde Baru: rezim ini membersihkan sekian juta penduduk karena "demokrasi pancasila" tak memungkinkan adanya orang komunis (dan/atau "ekstrem" lainnya) di sudut mana pun.
Rencana besar, cita-cita mutlak, dan mengalirkan darah. Manusia menjadi penakluk. Ia menaklukkan yang berbeda, yang lain, agar dirinya jadi subyek.
Mandela bertahun-tahun di penjara, orang hitam Afrika Selatan bertahun-tahun ditindas, tapi kemudian ketika ia menang, ia membuktikan bahwa abad ke-20 tak sepenuhnya benar: manusia ternyata bisa untuk tak jadi penakluk. Ia menawarkan "rekonsiliasi" dengan bekas musuh. Ia tak membalikkan posisi dari si obyek jadi sang subyek.
Tiap korban yang mengerti rasa sakit yang sangat tak akan mengulangi sakit itu bahkan kepada musuhnya yang terganas. Ia akan menghabisi batas antara subyek dan obyek. Makna "rekonsiliasi" di Afrika Selatan punya analogi dengan impian Marx: karena proletariat tertindas, kelas ini berjuang agar setelah kapitalisme ambruk, segala kelas sosial pun hilang. Proletariat tak akan mengakhiri sejarah dengan berkuasa, melainkan menghapuskan kekuasaan, pangkal lahirnya korban-korban. Sejarah adalah sejarah penebusan kemerdekaan.
Utopia itu tak terlaksana, tapi tiap utopia mengandung sesuatu yang berharga. Begitu ia menang, Mandela membongkar kembali tindak sewenang-wenang para petugas rezim apartheid yang menindasnya (dan juga tindak sewenang-wenang pejuang kemerdekaan pendukung Mandela sendiri). Proses itu mirip "pengakuan dosa" di depan publik. Kemudian: pertalian kembali. Mandela menunjukkan bahwa pembebasan yang sebenarnya adalah pembebasan bagi semua pihak.
Bung Pram, saya ragu apakah Bung akan setuju dengan asas itu. Bung menolak ide "rekonsiliasi", seperti Bung nyatakan dalam wawancara dengan Forum Keadilan, 26 Maret 2000, pekan lalu. Bung menolak permintaan maaf dari Gus Dur. "Gampang amat!" kata Bung. Saya kira, di sini Bung keliru.
Ada beberapa kenalan yang, seperti Bung, juga pernah disekap di Pulau Buru, di antaranya dalam keadaan yang lebih buruk. Mereka sedih oleh pernyataan Bung. Saya juga sedih karena Bung telah bersuara parau ketidakadilan. Justru ketika berbicara untuk keadilan.
Bung terutama tak adil terhadap Gus Dur. Bagi seseorang dalam posisi Gus Dur (Presiden Republik Indonesia, pemimpin NU, tokoh Islam, yang tumbuh dalam masa Orde Baru), meminta maaf kepada para korban kesewenang-wenangan 1965 berarti membongkar tiga belenggu yang gelap dan berat di pikiran banyak orang Indonesia.
Belenggu pertama adalah kebiasaan seorang pemimpin umat untuk memperlakukan umatnya sebagai kubu yang suci. Dengan meminta maaf, Gus Dur memberi isyarat bahwa klaim kesucian itu tak bisa dipertahankan, dan tak usah. Tiap klaim kesucian bisa jadi awal pembersihan dan kesewenang-wenangan. Dengan meminta maaf, diakui bahwa dalam peristiwa pada tahun 1965 sejumlah besar orang NU, juga orang Islam lain-juga orang Hindu di Bali dan orang Kristen di Jawa Tengah-telah terlibat dalam sebuah kekejaman. Mengakui ini dan meminta maaf sungguh bukan perkara gampang. Bung Pram toh tahu tak setiap orang sanggup melakukan hal itu. Mungkin juga Bung sendiri tidak akan.
Dengan meminta maaf, Gus Dur juga membongkar belenggu takhayul selama hampir seperempat abad: bahwa tiap orang PKI, juga tiap anak, istri, suaminya, layak dibunuh atau disingkirkan. Gus Dur mencampakkan sebuah sikap yang tak mau bertanya lagi: adilkah yang terjadi sejak 1965 itu? Seandainya pun pimpinan PKI bersalah besar pada tahun 1965, toh tetap amat lalim hukuman yang dikenakan kepada tiap orang, juga sanak keluarganya, yang terpaut biarpun tak langsung dengan partai itu. Kita ingat kekejaman purba: sebuah kota dikalahkan dan setiap warganya dibantai atau diperbudak....
Gus Dur agaknya tak menginginkan kezaliman itu. Ia, sebagai presiden, membiarkan dirinya dipotret duduk mesra dekat Iba, putri D.N. Aidit, yang hampir seumur hidupnya jadi pelarian yang tanpa paspor di Eropa. Dalam adegan itu ada gugatan: bersalahkah Iba hanya karena ia anak Ketua PKI? Jawaban Gus Dur: tidak. Tak banyak tokoh politik yang berbuat demikian, Bung Pram. Tak gampang untuk seperti itu.
Gus Dur juga telah membongkar belenggu "teori" tua ini: bahwa PKI selamanya berbahaya. Ia bukan saja minta maaf kepada para korban pembasmian massal 1965. Ia juga hendak menghapuskan larangan resmi bagi orang Indonesia untuk mempelajari Marxisme-Leninisme. Ia seperti menegaskan bahwa komunisme adalah masa lampau yang menjauh, gagal-juga di Rusia dan Cina. Memekikkan terus "bahaya komunis" adalah menyembunyikan kenyataan bahwa PKI jauh lebih mudah patah dalam perlawanannya dibandingkan dengan gerakan Darul Islam.
Siapa yang menghentikan masa lalu akan dihentikan oleh masa lalu. Gus Dur tidak. Ia sering salah, tapi ada hal-hal pelik yang ia tempuh karena ia ingin masa lalu tak jadi sebuah liang perangkap. Ia memang bukan Mandela yang pernah dirantai. Tapi seorang korban yang memaafkan sama nilainya dengan seorang bukan-korban yang meminta maaf. Maaf bukanlah penghapusan dosa. Maaf justru penegasan adanya dosa. Dan dari tiap penegasan dosa, hidup pun berangkat lagi, dengan luka, dengan trauma, tapi juga harapan. Dendam mengandung unsur rasa keadilan, tapi ada yang membedakan dendam dari keadilan. Dalam tiap dendam menunggu giliran seorang korban yang baru.
Begitu sulitkah Bung menerima prinsip itu? Karena masa lalu seakan-akan menutup pintu ke masa depan? Sekali lagi: siapa yang menghentikan masa lalu akan dihentikan oleh masa lalu.
Tapi mungkin juga Bung hanya bisa melihat korban sebagai perpanjangan diri sendiri. Seakan di luar sana tak mungkin ada. Dalam wawancara, Bung menyatakan setuju bila orang-orang yang tak sepaham dengan Revolusi disingkirkan (ini di masa "Demokrasi Terpimpin" 1959-1965, ketika sejumlah surat kabar diberangus, sejumlah buku & film & musik dilarang, sejumlah orang dipenjarakan). Bung mengakui ini semua melanggar hak asasi. Dan Bung punya argumen: waktu itu "Perang Dingin" dan Indonesia dalam bahaya. Tapi kekuasaan apa yang berhak menentukan ada "bahaya" atau tidak? Dan jika adanya "bahaya" bisa menjadi dalih penindasan, Soeharto pun menjadi benar. Ia juga dulu mengumumkan Indonesia terancam bahaya ("komunis") di "Perang Dingin", maka rezimnya pun membunuh, membuang, dan mencopot entah berapa ribu orang dari jabatan. Dan pengadilan dibungkam.
Bung memang menambahkan: ingat, pelanggaran hak asasi waktu Bung Karno tak seburuk dengan yang terjadi di masa Orde Baru. Mochtar Lubis, korban "Demokrasi Terpimpin", tak dikurung di Pulau Buru, tapi di Jawa. Memang ada perbedaan. Tapi adakah peringkat penderitaan? Bagaimana membandingkannya? Di mana ukurannya bila di masa yang sama, apalagi di masa yang berbeda, ada yang ditembak mati, ada yang disiksa, ada yang di sel, ada yang di pulau?
Dalam sejarah kesewenang-wenangan, semua korban akhirnya diciptakan setara, biarpun berbeda. Suatu hari dalam kehidupan Pramoedya Ananta Toer di Pulau Buru setara terkutuknya dengan suatu hari dalam kehidupan Ivan Denisovich dalam sebuah gulag Stalin. Tak bisa ada hierarki dalam korban, sebagaimana mustahil ada hierarki kesengsaraan.
Saya kira ini penting dikemukakan. Di zaman ketika sang korban dengan mudah dianggap suci, seorang yang merasa lebih "tinggi" derajat ke-korban-annya akan mudah merasa berhak jadi maha-hakim terakhir. Tapi seperti setiap klaim kesucian, di sini pun bisa datang kesewenang-wenangan. Mandela tahu itu. Gus Dur mungkin juga tahu itu. Keduanya merendahkan hati. Saya pernah mengharapkan Bung akan bersikap sama. Saya pernah mengharapkan ini, Bung Pram: bukan sekadar keadilan dan hukum yang adil yang harus dibangun, tapi di arus bawahnya, kebencian pun lepas, dan kemudian hilang, tenggelam. Saya tak tahu masih bisakah saya berharap.
Oleh ROOSFA HASHIM
HASROM BIN HARON, Ketua Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia mencecah usia 56 tahun pada 9 April lalu dan melepaskan jawatannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Hasrom bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, sejak Mei 1973 - sebagai penyunting dalam bidang penerbitan buku teks dan buku umum, serta penulisan majalah di Dewan Masyarakat sehingga tahun 1981. Pada akhir 1981, beliau berpindah ke UKM menjadi Pegawai Penerbitan pertama Penerbit UKM dan kekal hingga bersara pada 9 April 2006. Di samping itu Hasrom mengetuai Pusat Penerbitan dan Percetakan, UKM.
Beliau terlibat dalam gerakan kemajuan buku. Antara yang signifikan ialah mengasaskan Jawatankuasa Penerbitan Pengajian Tinggi Malaysia (PEPET) pada tahun 1986 bersama-sama Ariffin Siri, dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Abdul Manaf Saad dari Universiti Malaya dan Akhiar Salleh dari Universiti Sains Malaysia. Kemudiannya gerakan ini dikenali pula sebagai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), sejak 1996 - selepas satu keputusan mesyuarat di Dewan Bahasa dan Pustaka, cawangan Sarawak, Kuching.
Selain itu Hasrom menjadi pegawai penerbitan universiti yang pertama pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), 1994-97 menggantikan Datuk Aziz Ahmad, pengasas Pustaka Antara.
Hasrom juga pernah memegang beberapa jawatan lain dalam badan penerbitan buku: Pengerusi Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC), ahli Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan Malaysia yang kemudiannya dikenali pula sebagai Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM). Beliau juga mengasaskan syarikat Malaysian Book Promotions Sdn. Bhd., pada 1996 untuk mengurus Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Pada tahun 1994 Hasrom mencetuskan idea penggabungan penerbit ilmiah di bawah satu payung atas nama Penerbit Universiti Malaysia. Secara prinsipnya, kegiatan penerbit ilmiah sedia ada diteruskan selain diwujudkan satu penerbit ilmiah berpusat. Dengan demikian, universiti baru mendapat manfaat tanpa perlu tergesa-gesa mewujudkan penerbit masing-masing.
Mulai tahun 2004, Hasrom terlibat pula dalam menggubal Dasar Buku Negara yang baru.
Dalam kegiatannya juga beliau telah menghadiri beberapa kursus, pameran buku, serta lawatan sambil belajar, antara lain kursus Banff Educational Publishing Workshop, 1987, Guelph University, Guelph, Kanada; menghadiri siri seminar International Association for Scholarly Publishing IASP, New Delhi (1986), Singapura (1985), Helsinki (1988) dan Salonika (1994); menghadiri Kongres Penerbit Sedunia - IPA di New Delhi dan di London, pameran buku di London, Tokyo, Frankfurt, Jakarta, Singapura; membuat lawatan sambil belajar bersama rakan-rakan PEPET pada tahun 1987 di bawah biaya IDRC, Kanada; menghadiri seminar penerbitan ilmiah anjuran Society for Scholarly Publishing, September 1987; selain itu di dalam negeri beliau giat menyelenggara sejumlah besar seminar, bengkel dan persidangan penerbitan ilmiah serta bidang penerbitan umum.
Hasrom lebih dikenali sebagai editor dan penerbit buku ilmiah. Selama suku abad, Hasrom telah membangunkan kegiatan penerbitan ilmiah dan bertanggungjawab terhadap penerbitan kebanyakan judul yang penting. Antara yang menggilapkan mahkota kejayaannya ialah usahanya memperkenalkan hampir tiga puluh siri penerbitan yang menggambarkan sosok ilmu tertentu.
Siri yang berjaya dimajukan termasuklah Siri Memoir dan Biografi UKM, Siri Ekonomi Semasa, Siri Patani Selindung Bayu, Siri Aceh Meukota Alam, Siri Syarahan Perdana UKM dan Siri Kajian Malaysia dan Antarabangsa. Tahun lalu Penerbit UKM menyambut penerbitan judul ke 1,000. Siri memoir dan biografi UKM yang paling berjaya dan dikenali itu antara lain telah menerbitkan memoir dan biografi Arena Wati, A. Samad Ismail, Pak Sako, Asri Muda, Khatijah Sidek, Ghazali Shafie, Tuanku Jaafar, Rashdan Baba, Zurinah Hasan, Shaharom Husain, Jins Shamsudin, Yang Quee Yee, Abdul Halim Nasir, R.H. Hickling, Kalam Hamidi, Haron Johari, Ahmad Boestamam, Datuk Onn Jaafar, Hamzah Hussin, Shamsiah Fakeh, Ibrahim Chik, Abdul Majid Salleh, dan Yusof Hashim.
Kunci yang membawa kejayaan Penerbit UKM membina judul kekal yang panjang ialah kepandaian Hasrom sebagai editor perolehan. Di mana-mana penerbit, editor perolehan adalah enjin yang menggerakkan program penerbitan. Editor perolehan yang baik adalah nadi dan nyawa kepada senarai judul terbitan yang panjang dan menjadi alasan ramai penulis datang lagi menerbitkan karya mereka selepas judul pertama. Pengarang mungkin kagum dengan cara pemasaran, pengeluaran dan reka bentuk buku - akan tetapi yang mengikat pengarang dengan penerbit adalah editornya. Pada hakikatnya, Hasromlah yang membentuk dan memberi wajah kepada hampir keseluruhan judul terbitan Penerbit UKM kerana ketika mula-mula melangkah ke situ yang baru sepuluh tahun ditubuhkan, jumlah terbitan adalah terlalu kecil berbanding sekarang.
UKM melepaskan seorang pegawai dan editor yang berpengalaman dan beriltizam tinggi untuk kemajuan penerbitan ilmiah. Persaraan telah menjemput beliau pergi, tetapi meninggalkan landasan yang jelas untuk kami editor muda di UKM meneruskan kerja penerbitan selepas ketiadaannya nanti. Selama bekerja di bawah Hasrom, jarang sekali kami bertembung dengan cuti hujung minggu tanpa bengkel penerbitan bersama beliau.
Tentang penerbitan ilmiah, beliau sentiasa bertegas bahawa “kita mesti sentiasa bergerak ke sempadan baru ilmu pengetahuan” Maknanya, sentiasa mengejar manuskrip baru dengan hujah, fakta, data dan dapatan paling baru.
Pada usia 56 tahun, suara Hasrom belum terhenti untuk terus mengungkapkan sesuatu yang baru dalam bidangnya. Ketiadaan bebanan tugas pentadbiran dan pengalamannya yang luas melaut dalam bidang penerbitan, tentu akan mengundang Hasrom terus memberikan lebih banyak tumpuan dalam kegiatan dan gerakan penerbitan ilmiah di Malaysia. Rakan-rakan profesional beliau dalam MABOPA, MBKM, MAPIM, MBIC dan beberapa pertubuhan lain telah sedia menanti kehadiran Hasrom yang tidak lagi terikat dengan pelbagai tanggungjawab pentadbiran.
Oleh HISHAM HUSSEIN
AGAK menarik dalam Dasar Buku Negara dinyatakan pada tahun 2000, akan terbentuknya masyarakat Malaysia yang membaca dalam erti kata yang sebenarnya. Dan kini, sudah pun hampir enam tahun, kita masih 'bercakap' tentang budaya membaca.
Ironinya! Sehingga kini juga kita tidak tahu apakah rupa bentuk masyarakat membaca yang ingin kita lahirkan: Apakah indikator utama masyarakat membaca, apakah ciri-cirinya?. Apakah ia bergantung semata-mata pada jumlah buku yang dibacanya?, Apakah ia juga bergantung jumlah buku yang diterbitkan setahun? Apakah ukuran kita? Apakah ia hanya cukup dengan merujuk kepada jumlah pengunjung yang luar biasa yang mengunjungi Ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan berkesimpulan masyarakat Malaysia memang membaca dan sanggup membeli buku dan bahan bacaan.
Pada hemat penulis, kempen gerakan budaya membaca memang sesuatu yang murni dan perlu berterusan dan kini ianya tidak lagi hanya berfokus pada bulan Julai bahkan sepanjang tahun. Ini merupakan langkah yang bijak yang diterajui oleh Kementerian Kebudayaan dan Warisan. Kempen budaya membaca tidak seperti kempen membeli produk yang mudah dilakukan dan jelas orientasinya. Kempen budaya membaca ialah kempen bercitra budaya dan ia bukannya budaya mengisi masa lapang dan memenuhi masa santai. Budaya membaca adalah satu tuntutan dalam kehidupan dan bukannya terikat dengan tujuan-tujuan tertentu seperti memenuhi tuntutan peperiksaan, kemajuan kerjaya, naik pangkat dan lain-lain variasi keperluan. Dan kita juga tidak boleh take for granted bahawa golongan cerdikpandai kita, para pensyarah, sarjana mahupun para profesional telah pun mengamalkan budaya membaca yang sejati. Barangkali mereka hanya membaca buku 'bidang' mereka tetapi bukan buku-buku umum untuk memperluaskan nuansa pemikiran yang mencendekiakan mereka.
Pengetahuan
Dalam kajian yang dijalankan oleh Malaysia New Generation Group Intellectuals (MANGGIS) yang diketuai oleh Dr. Abu Hassan Hasbullah (2006) kepada beberapa syarahan perdana yang disampaikan oleh para penyandang baru jawatan profesor sepanjang suku akhir 2005 hingga suku pertama 2006 jelas menunjukkan tidak ada satu pun pembentangan ilmu baru, sama ada dari aspek falsafah, teori, bentuk mahupun kandungan. Banyak pembentangan hanyalah bersifat 'konstruksi monolog' pengajian dan pengetahuan para sarjana yang dikutip lewat pengalaman berciri kesejarahan peribadi sedangkan keperluan pemajuan idea, teori, dan falsafah bagi disiplin ilmu yang dibincangkan untuk masa depan tidak ada sama sekali.
Lingkaran pengembangan idealisme, ideologisme, intelektualisme serta konstruksi dinamika terhadap wacana ilmu, teori dan bentuk serta kandungan ilmu, dan pembinaan falsafah ilmu yang baru tidak berlaku (Abu Hassan Hasbullah, 2006). Ini jelas menunjukkan simpto pembacaan yang rendah telah menyebabkan tidak adanya kebolehan pengolahan, penyerapan dan perekaciptaan teori dan praksis dalam mencabar isu-isu silam, kontemporari dan masa depan (Abu Hassan Hasbullah, 2006).
Kajian MANGGIS juga mendapati tidak sampai 10 peratus pelajar pascasiswazah di negara ini yang pernah membaca adikarya atau karya agung Melayu dan daripada 50 calon pascasiswazah, hanya lima orang yang pernah membaca Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Ini sesuatu yang agak membimbangkan kerana pembacaan karya agung Melayu amat berkaitan dengan pembinaan jati diri bangsa yang mengakar kepada sumber kebudayaan, kesenian, kesusasteraan dan peradaban bangsa. Harold Bloom dalam The Western Canon: The Book and School of the Ages (1994) telah menyenaraikan karya-karya agung Barat yang harus dibaca oleh 'manusia Barat' untuk mengetahui akar sejarah dan pembinaan jati diri pembinaan bangsa Barat. Harus diingatkan bahawa pembangunan negara berperadaban banyak lahir dari pemikiran-pemikiran sasterawan, budayawan, cendekiawan, intelektual dan bukan semata dari tindak-tanduk ahli politik dan pentadbir.
Kesemuanya ini banyak menimbulkan tentang persoalan pengisian sebenar budaya membaca di negara kita dan ke arah mana yang hendak kita tuju dalam melahirkan rupa bentuk pembaca yang diinginkan negara. Kita tidak boleh lagi beretorik kosong dalam kempen budaya membaca selagi kita tidak jelas bentuk pembaca yang ingin kita lahirkan. Dalam istilah Dato' Hassan Ahmad (2006), kita perlukan golongan pembaca umum atau general readers yang membaca buku-buku umum atau buku yang merentasi pelbagai disiplin. Menurut Hassan lagi, golongan inilah yang membaca untuk meluaskan fikiran dan pengetahuan mereka dan bukannya mengisi masa santai. Golongan inilah yang mengamalkan budaya membaca sebagai sumber pendidikan sepanjang hayat, dan mereka inilah yang berguna bukan sahaja kepada diri mereka tetapi juga kepada negara.
Walau apa pun infrastruktur yang dibina, hakikatnya ialah untuk menambah ilmu pengetahuan, seseorang itu perlu mengamalkan membaca, menulis dan berdiskusi. Ketiga-tiga aktiviti ini menggalakkan seseorang itu berfikir, satu kegiatan yang mesti menjadi kebiasaan bagi golongan “minda kelas pertama.” Oleh itu program dan pengisian yang berkaitan dengan ketiga-tiga aktiviti ini hendaklah diperbanyakkan dan diperhebatkan supaya menjadi budaya bangsa dan masyarakat kita.
Saya ingin meminjam di sini kata-kata Francis Bacon ( 1561-1626), penulis dan ahli falsafah British dalam koleksi esei berjudul Selections yang diterbitkan pada tahun 1597 yang amat relevan dalam konteks ini, iaitu:
"Membaca menjadikan seseorang itu lengkap (dengan ilmu), berdiskusi itu menjadikan seseorang itu bersedia, dan menulis itu menjadikan seseorang itu tepat".
Membaca membolehkan kita mengetahui pendapat dan pengalaman orang lain yang boleh dimanfaatkan dalam menjana idea, membentuk pendapat kita sendiri selain dari manambah ilmu. Rajin berbincang dan bertukar pendapat pula melatih kita bersedia mengutarakan idea atau pendapat, berkongsi pengetahuan dan pengalaman secara berhadapan dan interaktif. Manakala menulis melatih kita mencapai ketepatan dalam menyampaikan pendapat dan idea dengan menggunakan perkataan dan ayat yang paling sesuai. Minda kelas pertama perlu cekap dalam ketiga-tiga aspek ini.
Semasa melawat Aceh selepas tsunami, kami melihat pendekatan yang digunakan oleh badan-badan sukarela untuk memulihkan masyarakat Aceh ialah melalui program literasi dan membaca.
Dengan slogan ‘Aceh Bangkit Aceh Membaca' badan-badan seperti Phi Beta Learning Centre, Forum Lingkaran Pena, Yayasan Anak Bangsa, Children Media Centre dengan kerjasama Yayasan 1001 Buku mengendalikan bengkel menulis dan aktiviti membaca untuk remaja dan kanak-kanak di Banda Aceh dan kawasan pedalaman Aceh Besar. Ahli-ahli kumpulan ini terdiri hampir keseluruhan dari golongan muda di Aceh yang turut menulis dan menghasilkan buku-buku untuk projek mereka selain dari buku yang disumbangkan. Melihat respons daripada anak-anak dan remaja Aceh kami turut yakin pembinaan minda adalah pendekatan yang paling baik dalam membangkitkan semula masyarakat Aceh dan perlu dibantu.
Usaha-usaha berterusan yang dibuat oleh kedai buku seperti MPH dan Silverfish untuk memupuk perasaan cinta kepada buku, program Resensi di RTM dan ruang khas harian dan mingguan mengenai buku oleh surat khabar Utusan Malaysia, projek 'Jom Baca' oleh Puteri UMNO adalah contoh-contoh ketara yang patut dipuji dan dicontohi serta diperbanyakkan. Baru-baru ini ada rancangan untuk mengadakan Akademi Al-Quran di salah sebuah stesyen televisyen tempatan. Ini satu perkembangan inovatif yang dialu-alukan walaupun setakat ini belum dilihat pelaksanaannya.
Media massa perlu memainkan peranan penting dengan menambah program yang boleh memupuk 'minda kelas pertama ini. Contohnya mengadakan program kreatif dan menarik di televisyen mengenai cerita-cerita dari sumber-sumber sejarah dan sastera negara. Penerbit filem tempatan juga patut menangani cabaran menerbitkan filem-filem sejarah dan dari cerita buku.
Rebutan
Di negara Barat hak cipta novel-novel yang laris menjadi rebutan pembuat filem kerana telah terbukti filem-filem yang dibuat daripada buku-buku ini seperti Lord of the Rings, Oliver, Gone With The Wind juga mendatangkan keuntungan box-office yang lumayan. Hak-hak buku yang dimaksudkan ini menjadi rebutan ajen penerbit filem di pesta buku antarabangsa seperti Frankfurt dan London.
Jika disamakan "minda kelas pertama" ini sebagai "bertaraf dunia" kita boleh mengimbas kembali apa yang disarankan oleh Rosabeth Moss Kanter dalam bukunya berjudul "World Class: Thriving Locally in a Global Economy" yang diterbitkan dalam tahun 1995. Buku ini mempelopori konsep pekerja dan syarikat bertaraf dunia pada masa itu. Kanter berpendapat bahawa konsep bertaraf dunia itu bermaksud keupayaan memenuhi standard yang paling tinggi di mana saja dan suatu kumpulan sosial yang mempunyai keupayaan menguasai sumber-sumber dan beroperasi di luar sempadan serta merintasi kawasan yang luas.
Kanter mengenal pasti wujudnya segolongan profesional yang dinamakan kosmopolitan yang menganggotai kumpulan bertaraf dunia ini. Kosmopolitan kaya dengan tiga aset penting yang dinamakan 3C oleh Kanter. Aset yang diterjemahkan kepada keunggulan dan kekuasaan dalam ekonomi global adalah:
(i) Konsep - iaitu mempunyai ida dan pengetahuan yang terbaik dan terkini dalam bidangnya;
(ii) Kecekapan - keupayaan beroperasi atau berkhidmat di tahap standard yang paling tinggi di mana saja;
(iii) Rangkaian - mempunyai hubungan yang terbaik yang memberi akses kepada sumber-sumber orang dan organisasi lain di merata dunia.
Cosmopolitan mudah dikenal pasti di mana-mana negara kerana sering bergaul dengan orang tempatan yang berpengaruh. Mungkin golongan profesional "berminda kelas pertama" yang dihasratkan harus setanding dengan Cosmopolitan. Apabila masa kritikal golongan profesional tempatan mencapai taraf ini, jelaslah ini petanda Malaysia telah mencapai tahap negara maju.
KEPALA BATAS 16 April - Ulama tersohor, Muhammad Yusof Ahmad yang lebih dikenali sebagai Tok Kenali merupakan penulis prolifik dan menjadi ketua pengarang pertama bagi orang Melayu dalam usaha mendidik masyarakat Islam di rantau ini.
Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Kamal Mujani berkata, ulama itu terlibat dalam penulisan bercorak keagamaan apabila menerbitkan majalah Pengasuh bertujuan memajukan umat Islam.
``Disebabkan ketokohan dan keilmuan Tok Kenali maka majalah itu cukup masyhur sehingga dibaca oleh masyarakat Islam di rantau ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan dan Sumbangan Tok Kenali Dalam Perkembangan Pendidikan Islam di Kelantan pada Seminar Nadwah Ulama Nusantara III, di sini hari ini.
Wan Kamal berkata, majalah tersebut mempunyai 32 buah bilangan sejak pertama kali dikeluarkan pada 1919.
Katanya, ia membincangkan persoalan-persoalan agama semasa yang berkaitan dengan masyarakat.
Beliau berkata, majalah Pengasuh yang merupakan lidah rasmi Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) berjaya menyedar dan mendedahkan masyarakat Melayu terhadap kepentingan ilmu serta kepincangan dalam masyarakat.
``Beliau menulis rencana yang mendesak masyarakat Melayu bangun mengubah nasib mereka agar setanding dengan bangsa lain,'' katanya.
Wan Kamal berkata, Tok Kenali merupakan penulis prolifik dalam menyampaikan dakwah serta menyebarkan ilmu.
Menurutnya, ulama itu mengelolakan ruangan soal jawab serta memberi jawapan kepada kemusykilan agama termasuk mengenai laporan bersangkutan ijma' ulama.
Katanya, Tok Kenali juga bergiat dalam penyusunan nahu Arab, penterjemah dan akhirnya menubuhkan angkatan ulama dalam bidang penulisan bersama al-Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi, Syeikh Muhammad Salih dan Syeikh Uthman Jalaluddin.
Wan Kamal berkata, ketajaman pemikiran serta penguasaan ilmu agama Tok Kenali termasuk dalam bidang fiqh, tasawuf, bahasa Arab dan hadis ini amat dikagumi oleh ulama-ulama lain dari Mekah dan Madinah.
oleh: Zawiyah Baba
SEMASA berada di Mekah untuk menyempurnakan fardu haji pada Januari lalu saya terlihat banyak buku-buku mengenai riwayat hidup Nabi Muhammmad s.a.w. Kebanyakannya dalam bahasa Arab. Ada judul-judul tertentu yang diterjemahkan kedalam bahasa Inggeris, Perancis, dan Sepanyol dan satu dua judul dalam bahasa Melayu atau Indonesia. Di Mekah terdapat banyak kedai buku di merata tempat.
Di arked membeli-belah Makkah Hilton sahaja terdapat lebih 10 buah kedai buku yang menjual bermacam jenis al-Quran, terjemahan al-Quran dan hadis dan lain-lain aspek mengenai Islam dalam bahasa-bahasa yang disebutkan tadi dan dalam berbagai bentuk.
Selain dari buku terdapat al-Quran dan terjemahannya dalam bentuk pita dan cakera padat video (VCD).
Oleh itu, bahan-bahan bacaan memang sedia ada dan boleh didapati dengan mudah dan dengan harga yang berpatutan.
Salah satu biografi mengenai Rasulullah yang dijumpai dalam bahasa Inggeris berjudul The Sealed Nectar: Biography of the Noble Prophet yang telah memenangi hadiah pertama dalam pertandingan menulis biografi Rasulullah yang dianjurkan oleh Liga Muslim Sedunia di Madinah pada tahun 1979.
Buku ini diterbitkan dalam bahasa Arab dan kemudian diterjemah kedalam bahasa Inggeris supaya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat yang lebih luas. Edisi bahasa Inggeris telah dikaji semula dan diterbitkan pada tahun 2002.
Buku ini mengandungi 588 muka surat kesemuanya, 490 muka surat dari bilangan ini khusus mengenai riwayat hidup Rasulullah s.a.w.
Bibliografi atau bahan-bahan rujukan untuk buku ini disenaraikan dibahagian akhir buku ini. Kesemua bahan rujukan yang disenaraikan adalah dalam bahasa Arab atau Urdu. Sebahagian dari bahan yang di rujuk merupakan dokumen lama dari kurun ke-3 Hijrah. Sayang sekali buku ini tidak disediakan dengan indeks untuk memudahkan rujukan kepada aspek terperinci dalam kandungan buku ini.
Peta yang menunjukkan lokasi tempat-tempat yang dirujuk dalam kisah hidup Rasulullah juga akan menambah nilai buku ini jika disediakan.
Biografi ini didahului dengan maklumat penting mengenai orang-orang Arab pada zaman Rasulullah s.a.w, supaya memudahkan pembaca memahami jalan cerita dan konteks peristiwa yang diceritakan. Maklumat pendahuluan ini termasuk lokasi dan sifat suku-suku kaum Arab, pemerintahan dan pentadbiran dikalangan kaum Arab, agama orang-orang Arab pada zaman itu, masyarakat, keadaan ekonomi dan etika orang-orang Arab dan keturunan serta keluarga Rasulullah s.a.w. Maklumat tambahan ini juga terdapat diakhir buku, seperti epilog, mengenai rumah tangga Rasullallah, paras rupa dan keadaan fizikal, serta keperibadian dan tingkah laku Baginda.
Riwayat hidup Rasulullah s.a.w diceritakan mengikut kronologi atau masa bermula dari kelahiran dan berakhir dengan kembalinya Baginda ke rahmatullah. Baginda dihuraikan dengan begitu terperinci dengan nama-nama, perwatakan, sikap pakaian dan tindakan orang-orang dikeliling baginda dan pertuturan mereka. Riwayat Rasulullah s.a.w sehingga Baginda berumur 40 tahun di ceritakan dalam bab pertama, iaitu sehingga Baginda berkahwin dengan Siti Khadijah dan pembinaan semula Kaabah. Setelah Rasulullah s.a.w mendapat wahyu daripada Allah s.w.t., kisah hidup Rasulullah diceritakan baba demi bab dengan teratur.
Selain dari buku di atas saya juga telah berpeluang membaca dua lagi biografi mengenai Rasulullah seperti berikut dan mengesyorkan buku-buku ini juga dibaca :-
1. Shawqi Abu Khalil. Atlas on the Prophets Biography: Places, Nations, Landmarks. Riyadh:Darussalam, 2004.
2. Lings, Martin. Muhammad: his life based on the earliest sources. Rochester, Vermont: Inner Traditions International,1983.
Biografi ringkas Rasulullah juga termasuk dalam buku berikut dimana Rasulullah diiktiraf sebagai orang yang paling berpengaruh didunia, iaitu nombor 1 dari 100. Premis atau sebab-sebab pemilihan yang diterangkan oleh penulis juga amat menarik dibaca :-
Hart, Michael H. The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History. Petaling Jaya: Golden Books Centre Sdn. Bhd. by arrangement with Citadel Press, New Jersey/Meera Publication, Madras, 2003.
Oleh SATAPAH AHMAD
DALAM usaha mencapai negara maju berteraskan modal insan yang kaya dengan sifat terpuji iaitu berilmu, kreatif, inovatif dan berakhlak mulia, sistem pendidikan yang mantap dan dinamik menjadi tunggak pelaksanaan.
Ini mesti disokong dengan pelbagai persiapan, khususnya tenaga pengajar terlatih, prasarana dan peralatan.
Ini merangkumi aspek penerbitan buku ilmiah peringkat tinggi, khususnya bidang sains dan teknologi yang menjadi tumpuan pembangunan kini dan akan datang.
Ia adalah sokongan asas yang sangat penting selain memerlukan penelitian dinamik dan berterusan bagi mengejar perkembangan ilmu yang berubah dengan begitu pantas sama ada dari segi asas atau penggunaan.
Selama beberapa dekad berlalu, situasi penerbitan ilmiah peringkat tinggi ini menjalani zaman yang malap dari segi kualiti dan kuantiti.
Keadaan sukar berubah kecuali pihak yang terlibat di peringkat akar umbi berjaya mengenal pasti dan seterusnya menyusun strategi dan mengambil langkah yang tepat, drastik dan berterusan bagi menangani kelesuan ini.
Keadaan ini berlawanan dengan sejarah perkembangan dan pembangunan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia, kerana pada masa sama, bilangan IPT bertambah dengan begitu banyak.
Kini IPTA sudah mencapai 17 buah dan mungkin bertambah sedikit masa lagi, manakala IPTS sudah melebihi 300 buah.
Justeru, bilangan kakitangan akademik dan penyelidik juga bertambah dan bilangan yang aktif menghampiri 20,000 orang dengan sebahagian berkelulusan pascaijazah khususnya Doktor Falsafah (Ph.D).
Memandangkan perkembangan positif ini, pembangunan penerbitan ilmiah peringkat tinggi mempunyai peluang yang besar untuk membangun dengan kukuh, namun pelbagai usaha dan perubahan perlu dilakukan, khusus bagi menggembleng tenaga pakar yang banyak ini untuk melibatkan diri secara terancang dan terurus dalam penulisan dan penerbitan buku.
Meninjau ke hadapan, penerbitan buku ilmiah peringkat tinggi, terutamanya buku bidang sains dan teknologi menghadapi pelbagai cabaran baru, di samping menanggung masalah lama yang belum selesai.
Kos penerbitan yang tinggi dan pasaran yang sangat terhad sudah sekian lama menjadi dilema yang menggagalkan Penerbit IPT berdikari dari segi kewangan, apa lagi menjana keuntungan.
Kini Penerbit IPT seolah-olah menghadapi dilema baru apabila pengajaran-pembelajaran di IPT bidang sains dan teknologi mula beralih kepada bahasa Inggeris.
Buku yang bakal diterbitkan akan berlarutan dengan masalah tambahan.
Saingan terhadap buku bahasa Melayu akan bertambah manakala buku bahasa Inggeris yang bakal diterbitkan oleh Penerbit IPT sudah pasti menghadapi persaingan yang lebih hebat dengan buku terbitan antarabangsa sehingga pasaran yang sedia terhad itu menjadi semakin kecil.
Secara ringkas, kualiti, kuantiti dan penerimaan perlu meningkat secara berterusan, sesuai dengan misi dan visi negara.
Berikutan itu, setiap pihak, khususnya penerbit buku pengajian tinggi perlu mengenal pasti penyumbang utama dalam merangka pelan jangka panjang ke arah pencapaian matlamat tersebut.
Dalam usaha meningkatkan penerbitan, langkah berterusan yang perlu diberi perhatian ialah perancangan tajuk yang kemas, kukuh dan menyeluruh.
Selebihnya, di peringkat perolehan dan penulisan, tumpuan perlu diberi kepada mutu dan peluasan penerimaan masyarakat pembaca terhadap buku yang bakal dihasilkan.
Bilangan penerbit di Malaysia yang memberi tumpuan kepada penerbitan ilmiah bidang sains dan teknologi begitu banyak. Ini merangkumi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penerbit di IPTA dan IPTS dan penerbit di pelbagai pusat penyelidikan, yang hampir semuanya memberi tumpuan kepada bidang sains dan teknologi.
Semua penerbit ini bergerak aktif menerbitkan buku baru dan disebabkan bidang tumpuan yang serupa ini, maka sudah pasti terdapat beberapa tajuk yang mempunyai pertindihan.
Sekiranya usaha penyelarasan melalui kerjasama antara penerbit IPT tidak dilakukan, sudah tentu nasib buku yang begini semakin tidak terjamin. Oleh sebab itu satu cara yang baik ialah mengambil langkah kerjasama dengan melakukan penerbitan secara bersama dengan IPT yang berkenaan bagi beberapa tajuk pilihan yang ada pertindihan dan ada kepentingan bersama.
Dalam menghadapi suasana ini, perhatian penerbit IPT sudah pasti tertumpu kepada tajuk-tajuk baru yang sangat diperlukan pada masa hadapan. Selepas pelbagai usaha dilakukan bagi menentukan tajuk-tajuk ini, penulis pula perlu dikenal pasti dan mereka ini sudah pasti terdiri daripada berpengalaman luas dalam bidang masing-masing. Persoalannya, bagai-mana penerbit berurusan secara cekap dan berkesan dengan pakar-pakar ini sedangkan mereka semua berada di IPT atau di pusat-pusat penyelidikan, bertugas sebagai pensyarah atau penyelidik.
Tugas-tugas mereka pula dirancang secara khusus untuk mencapai objektif khusus sama ada pengajaran atau penyelidikan, dan biasanya tidak menjurus kepada penghasilan buku secara yang bersepadu.
Kalaupun ada, bilangannya adalah sangat terhad dan rata-rata terhasil daripada minat penulis sendiri, tanpa perancangan yang lebih menyeluruh.
Memandangkan hampir semua pakar bidang tadi berada di IPT dan pusat penyelidikan, maka penerbit mempunyai peluang yang luas untuk menimba kepakaran di sana.
Namun perhatian dan sokongan pihak pentadbir dan pengurus kedua-dua pusat ilmiah ini sangat diperlukan.
Peranan kedua-dua pihak ini sangat penting kerana rata-rata semua penerbit lebih bersifat pengurus kepada manuskrip yang dikemukakan untuk penerbitan.
Sekiranya langkah asas perancangan, penyelarasan dan penulisan tidak berjalan lancar di peringkat institusi, maka dikhuatiri tenaga penulis tidak digembleng secara optimum dan usaha penerbit, bahkan hasrat negara untuk menjadi negara maju sedikit sebanyak akan terjejas disebabkan kekurangan penerbitan ilmiah untuk dijadikan bahan pengajaran dan rujukan.
Sementara itu, perkongsian antara IPT bagi menjayakan sebarang kerjasama misalnya boleh dilakukan melalui gabungan penerbit IPT dan pusat penyelidikan yang sedia terjalin melalui Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).
Gabungan ini merangkumi 25 penerbit terdiri daripada penerbit IPTA, beberapa kolej universiti, DBP dan beberapa pusat penyelidikan. Langkah ke arah kerjasama ini sangat perlu bagi mengelak persaingan yang tidak menguntungkan, sebaliknya mampu meningkatkan mutu penerbitan dan meluaskan penerimaan atau pasaran.
Ini adalah perkongsian bijak yang menghasilkan keuntungan bersama.
Oleh: Hishamuddin Rais
Saya menolak konsep Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Saya juga menolak konsep Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan. Pada ketika ini saya mengajukan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan. Konsep bahasa strategik ini adalah tahap yang paling awal dalam usaha menggalang dan menggembelingkan tenaga untuk melahirkan negara bangsa.
Konsep negara bangsa ini juga adalah konsep yang baru. Untuk Tanah Melayu konsep ini wujud sebagai pengalaman sesudah dilanda zaman kolonial. Kekitaan yang diwujudkan melalui bahasa juga bermula apabila manusia Melayu mula berkenal dengan ‘orang lain’ yang dibawa masuk oleh penjajah ke Tanah Melayu.
Justeru, Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan untuk saya tidak memiliki apa-apa makna yang tepat. Malah dalam konteks politik Malaysia hari ini konsep kebangsaan itu juga perlu dilihat, dirombak untuk dinilai kembali. Saya mengasaskan pandangan ini kerana saya berkongsi pandangan yang diasaskan oleh ahli falsafah Perancis Ernest Renan yang mengajukan konsep negara bangsa dalam satu ucapannya di Universiti Sorbonne pada tahun 1882.
Pandangan-pandangan awal tentang negara bangsa berasaskan konsep yang diajukan oleh para pemikir dari Jerman. Negara bangsa dari pemikiran Jerman ini berasaskan genetik, darah keturunan, kaum, kesamaan bahasa dan budaya. Saya menolak pandangan ini. Pandangan negara bangsa berjenis ini telah melahirkan negara fasis seperti Jerman dan Jepun. Konsep negara bangsa seperti ini telah melahirkan pembantaian bangsa-bangsa seperti yang terjadi di antara Tutsi dan Hutu atau seperti yang dialami pada tahun 1969 di Malaysia.
Justeru, saya lebih bersetuju untuk menerima pandangan yang diajukan oleh Renan bahawa negara bangsa dilahirkan melalui ikatan sosial/social contract di mana para warga tidak semestinya dari kaum atau darah yang sama tetapi bersetuju untuk hidup bersama; berkongsi pengalaman yang lalu, yang kini dan yang akan datang melalui pengucapan bahasa dan budaya yang sama.
Untuk saya ketika ini, tidak wujud Bangsa Malaysia justeru tidak juga wujud Bahasa Malaysia. Dua konsep ini adalah omong-omong kosong dari para politikus yang bukan hanya tidak dapat menilai diri malah mereka gagal untuk memahami kenyataan hakiki yang sedia wujud di hadapan mata. Asas-asas awal dan kemungkinan-kemungkinan cerah untuk melahirkan negara bangsa Malaysia yang TIDAK berasaskan kaum, darah dan keturunan pernah wujud pada satu detik sejarah. Era pencerahan ini muncul ketika rakyat semua bangsa bangun berjuang untuk menghalau penjajah British dari Tanah Melayu.
Tetapi, arus perkembangan sosiopolitik dalam masa hampir dua generasi yang lalu telah menunjukkan bahawa cita-cita awal negara bangsa Malaysia ini telah hampir lupus. Dua puluh dua tahun di bawah kuku besi Mahathir Muhamad projek untuk melahirkan negara bangsa Malaysia telah gagal lagi meleset. Pemisahan-pemisahan bangsa-bangsa telah diatur secara terancang atau secara tidak tersengaja. Pemisahan bangsa-bangsa ini telah dilembagakan.
Lembaga-lembaga daulah telah diwujudkan bukan untuk penyatuan bangsa-bangsa tetapi untuk di pisah-pisah agar senang untuk diperintah. Ada lembaga yang diwujudkan berlandaskan ketuanan Melayu, ada yang berselubung di bawah jubah Islam. Ada pula yang dilembagakan berlandaskan kepentingan politik kepartian untuk memastikan pemilikan kuasa ekonomi dan politik.
Hasil dari pengamatan saya, ini dikuatkan pula dengan pengalaman; saya berpendapat projek untuk melahirkan negara bangsa ini wajib melangkah ke belakang sekali lagi. Mengundur ke belakang bukan kepada tahun sifar tetapi kepada tahap awal untuk menerima konsep Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan sosial.
Pandangan saya ini berpandukan keilmiahan bahawa politik di Malaysia pada hari ini hanya dapat diubah, dirombak atau diperbaiki oleh manusia Melayu. Ini adalah hakikat politik yang saintifik. Di Malaysia dalam konteks politik hari ini, hanya manusia Melayu sahaja yang berupaya mewujudkan satu perjanjian sosial baru yang berlandaskan demokrasi dan keadilan untuk semua. Sesiapa yang memiliki pandangan yang bertentangan dengan hakikat ini saya cadangkan mereka pergi menjadi pemandu teksi di Baghdad sebelum mempelajari ilmu perubahan sosial.
Sayugia diingati bahawa pandangan strategik ini juga telah pernah digunapakai dengan jayanya oleh Jepun dan British semasa menjajah Tanah Melayu. Jepun menggudam orang Cina ketika melanggar dan menakluki Tanah Melayu. British menganggap seorang gerila Melayu anti British lebih berharga dari sepuluh orang gerila Cina. Ini hakikat yang wajib difahami. Garis pentadbiran strategik kuasa kolonial British telah berjaya mengendalikan empayar yang mencakupi tiga suku bumi ini. Kita perlu belajar dari sejarah orang-orang yang terdahulu dari kita. Justeru, konsep Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan bukan sesuatu yang baru.
Pada tahun lalu saya telah dijemput ke satu persidangan/seminar. Antara kertas kerja yang dibincangkan ialah menilai kembali dan melihat kenapa golongan progresif, kaum kiri dan parti-parti yang non-racial telah gagal dalam projek politik mereka. Mereka telah gagal untuk melahirkan sebuah Malaysia yang demokratik yang tidak berasaskan perkauman. Malaysia telah gagal untuk menjadi negara bangsa yang tidak melaga-laga antara Melayu, India, Cina dan bangsa yang lain.
Seminar yang saya hadiri ini bukanlah satu seminar akademik. Ianya lebih mendekati kepada seminar politik kepartian. Untuk saya, segala bentuk perbincangan dari pelbagai jalur pemikiran adalah satu latihan yang sihat. Perbincangan terbuka secara demokratik yang bersandarkan keilmuan adalah perlu dalam proses mengumpul pengalaman. Ketika sesi membincangkan - Kenapa Golongan Progresif Gagal- saya terpaksa ketawa mengikat. Saya rasa persoalan yang ditimbulkan itu lebih seram lagi menyeramkan dari lawak bodoh Senario.
Perbincangan ini berpusing-pusing, gagal mencari punca kegagalan mereka. Satu demi satu politikus dan pemikir cuba mengajukan pandangan. Seperti biasa, British dilihat sebagai sebab utama. Persongkongkolan kaum feudal Melayu juga dilihat sebagai punca. Pembelotan para pemimpin juga adalah hujah yang masuk akal.
Tetapi, sebenarnya jawapan kenapa mereka gagal, keluar dari mulut mereka sendiri. Tajuk seminar ini sebenarnya – Why The Progresives Left Failed in Malaysia. Untuk saya, jawapannya cukup senang. Para politikus, pemikir politik dan aktivis Ngo yang mengaku diri mereka progresif ini tidak memiliki bahasa pengucapan yang strategik. Mereka tidak menggunakan Bahasa Melayu. Mereka berucap, bertutur, menulis dalam Bahasa Inggeris – kadang-kadang bahasa Inggeris yang digunakan ini juga turut sama menjadi porak peranda.
”They are not connected with the very people they wanted to change.” (Saya menulis ayat ini agar mereka dapat memahami apa yang saya ingin katakan). Pengucapan bahasa yang bukan bahasa Melayu dalam konteks perubahan sosial di Malaysia samalah seperti saya berkhutbah di Iraq dengan menggunakan bahasa Tamil. Atau sama seperti saya melakukan satu gerakan sosial di Paris dengan pengucapan bahasa Rusia.
Dalam konteks politik hari ini, Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan sosial tidak seharusnya menimbulkan persoalan nasionalisma sempit Melayu atau persoalan agenda ketuanan Melayu. Pekara-pekara seperti ini hanya akan ditimbulkan oleh kumpulan, parti-parti politik dan individu yang tidak mahu manusia Melayu berubah. Mereka yang tidak mahu mengakui Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik ini kerana mereka ingin manusia Melayu terus bonsai fikrah mereka.
Mereka akan cuba membalingkan kaca dan paku di atas lantai politik manusia Melayu yang ingin merubah negara ini. Mereka juga akan mengeluarkan hujah yang muluk-muluk tentang kepelbagaian bahasa yang mana akhirnya bahasa Inggeris akan digunakan. Ini dilakukan kerana kumpulan berjenis ini cukup sedar bahawa selagi manusia Melayu berfikrah bonsai dan bermimpi dalam dunia hak keistimewaan mereka selagi itulah cukong-cukong ini dapat terus merampok kekayaan negara ini.
Pada ketika ini, menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan sosial dalam negara ini adalah asas pertama. Asas ini wajib diterima oleh para aktivis politik, para aktivis Ngo dan untuk sesiapa sahaja yang ingin melakukan satu rombakan sosial. Sekali imbas, kelihatan apa yang saya ajukan ini seperti tidak perlu ditimbulkan. Atau seperti kata Mao memukul anjing yang telah mati.
Tetapi dalam pengalaman saya, kemerosotan penggunaan bahasa strategik ini cukup terserlah terutama dalam kumpulan-kumpulan Ngo yang semakin dilihat syok sendiri berputar-putar dan berpusing-pusing dalam penggunaan bahasa Inggeris dalam rangka kerja dan selebaran mereka. Kumpulan-kumpulan inilah yang paling amat sibuk dalam agenda perubahan sosial mereka.
Kerana itu saya ingin bertanya apakah Mak Cik dari Felda Taib Andak dapat membaca ”The Human Rights Report of Suaram”. Atau membaca falsafah Jerman dalam bahasa Inggeris dari Pusat Pengucapan Terkangkang. Saya rasa kumpulan ini masih belum dapat memahami makna Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan. Mereka belum dapat merentas dari Petaling Jaya ke Kampung Kerinchi. Jauh sekali selebaran pengucapan mereka untuk difahami di Benut. Hakikatnya Mak Cik Felda dan Mak Cik dari Benut inilah kunci yang akan membawa perubahan sosial dalam negara ini.
Ketelengan dan kejulingan penggunaan bahasa strategik ini telah diampuhkan oleh arus globalisasi. Secara terancang badan-badan pengeluar dana telah memesongkan kesedaran dan kesucian hati nurani anak-anak muda dalam negara kita ini untuk melakukan pembelotan dengan meninggalkan bahasa strategik ini. Ini samalah seperti projek Rumsfeld yang menggalakkan anak-anak muda Iraq untuk meninggalkan AK47 dan pergi mengundi.
Untuk saya, selagi tidak difahami dan dihayati konsep Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan maka kita akan terus gagal untuk melahirkan satu negara bangsa yang demokratik dan adil. Jika manusia Melayu terus gagal memahami apa yang kita ingin sampaikan kerana kita tidak menggunakan pengucapan yang mereka gunakan, maka ini bererti selama ini kita hanyalah terpancut di atas perut. Gagal melahirkan generasi baru.
http://www.malaysia-today.net/ShamRais/2006/04/bahasa-dan-pengucapan.htm
posted 7:14 PM
12 Comments:
syarizan said...
masuk akal jugak.
Monday, April 03, 2006 12:56:43 AM
teman_org_perak said...
Bahasa pilihan didalam pertuturan harian perlulah mudah difahami justeru bahasa yang mudah untuk negara ini ialah bahasa melayu.
Kewujudan NGO yang memertabatkan bahasa inggeris mungkin timbul kerana kelemahan orang kita sendiri yang terlampau mementingkan pangkat dan status. Makcik Felda kadangkala gagal membezakan antara makhluk yang bijak dan makhluk yang petah berbahasa Inggeris, dimana seseorang yang dilihatnya fasih berbahasa Inggeris sering diklasifikasikan sebagai seorang yang terpelajar.
Untuk mewujudkan kesedaran politik dikalangan kaum buruh dinegara ini adalah sukar kerana kecenderungan bangsa untuk membaca amat mengecewakan. Alternatif terbaik ialah dengan menguasai golongan eksekutif yang kebanyakannya dari asuhan pendidikan barat dan medium yang terbaik ialah bahasa Inggeris.
Kemelesetan bahasa melayu juga timbul kerana kekurangan bahan ilmiah dari bahasa itu sendiri, kebanyakan bahan baca adalah berbentuk hiburan seperti Mangga dan URTV yang lebih banyak menceritakan kehebatan MAWI dari kelemahan Pak Lah.
Monday, April 03, 2006 9:59:06 AM
MENJADIKAN KUALA LUMPUR BANDAR RAYA BUKU
Oleh DATUK ZAWIYAH BABA
Baru-baru ini ada disiarkan dalam surat khabar tempatan pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak mengenai penubuhan Book City atau Bandar Buku di Kuala Lumpur. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) telah diminta mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk kompleks ini.
Bandar Raya Buku ini akan menjadi saluran utama bagi promosi dan jualan buku tempatan, tempat pelancaran buku, tempat rundingan hak untuk terbitan serta terjemahan buku dan pameran buku-buku baru. Walaupun matlamat atau konsep sebenar projek ini belum begitu jelas lagi saya percaya semua pihak yang berkaitan dengan industri buku mengalu-alukan langkah yang memberansangkan ini.
Kompleks Bandar Raya Buku di Tehran, Iran dan Shenzhen Book City di China merupakan contoh gergasi konsep Bandar raya Buku ini. Walau bagaimana pun nama Book City juga popular dikalangan pembekal-pembekal buku yang menawarkan buku-buku baru dan buku-buku terpakai melalui internet.
Selain daripada itu, yang menarik perhatian saya ialah Hollywood Book City yang terletak di Hollywood Walk of Fame di Hollywood, Los Angeles. Kedai buku ini mengkhusus dalam penjualan skrip filem dan television. Kini terdapat pilihan 3,300 skrip filem klasik dan moden dan berjuta-juta (303,332,929) skrip dari 169983 program television klasik dan moden! Kedai buku ini juga membekalkan buku-buku mengenai segala aspek industri filem dan biografi baru, lama dan nadir mengenai bintang-bintang filem Amerika dan negara-negara lain.
Pekan buku terpakai juga memang telah lama wujud dan dikenali ramai seperti Hay-on-Wye yang terletak di sempadan England dan Wales di Britain. Terdapat banyak bandar-bandar yang juga terkenal dengan kedai buku terpakai atau kedai buku lama. Kedai buku yang memainkan dwiperanan sebagai kedai buku biasa dan kedai buku terpakai juga semakin bertambah di Britain. Saya pernah bekerja sambilan di kedai buku seperti ini semasa belajar di Aberystwyth, Wales, United Kingdom.
Saya perhatikan buku-buku terpakai memang popular di kalangan pengunjung kedai itu, terutama buku-buku sejarah, kamus, novel dan buku-buku mengeni Wales dan dalam bahasa Welsh.
Satu ketika dahulu konsep Kampung Buku telah diperkenalkan di Langkawi sebagai salah satu tarikan pelancong. Akan tetapi tanpa minat, sambutan dan sokongan masyarakat setempat dan tempatan amat sukar untuk memajukan usaha seperti ini. Mungkin Banda Raya Buku ini boleh juga memikirkan cara memajukan perniagaan buku-buku terpakai kerana memang popular dikalangan masyarakat membaca di Malaysia.
Pengalaman saya dan rakan-rakan pustakawan mengadakan jualan buku-buku terpakai atau Book Bang setiap tahun untuk memungut derma bagi Persatuan Perpustakaan Malaysia pada tahun 70-an dan awal 80-an sentiasa mendapatkan sambutan yang amat baik dari penduduk setempat. Di syorkan di antara aktiviti yang dianjurkan Bandaraya Buku ini kelak termasuk festival buku-buku terpakai setiap tahun. Ramai yang suka membaca tetapi tidak mampu membeli buku baru akan mengalu-alukan nya.
Diterbitkan
Satu lagi projek yang mungkin boleh di anjurkan oleh Bandar raya Buku dengan kerjasama Perpustakaan dan Penerbit buku ialah projek kempen membaca One Book One City. Program ini bermula di Seattle, America Syarikat, kemudian dipopularkan di Chicago dengan buku To Kill A Mocking Bird oleh Harper Lee. Buku ini mengkisahkan prejudis terhadap orang kulit hitam di Alabama dan diterbitkan pada tahun 1960, semasa pergerakan hak sivil sedang memuncak di Amerika Syarikat. Pengarangnya telah memenangi hadiah Pulitzer pada tahun 1961 dan menjual 15 juta naskah judul tersebut. Kini projek One Book One City di laksanakan di Britain dan lain-lain negara. Projek ini bukan untuk tujuan jualan buku tetapi menggalakkan pembacaan judul-judul yang mempunyai mesej penting di kalangan masyarakat. Namun, terdapat peningkatan jualan purata 38 peratus bagi judul-judul yang terpilih. Setiap bandar memilih satu judul pada satu-satu masa untuk dibaca oleh penduduk bandar itu dan dibicarakan di radio, televisyen dan surat khabar serta majlis bicara buku di perpustakaan, sekolah, organisasi dan jabatan, persatuan dan institusi pengajian tinggi.
Perpustakaan Negara pernah merancang untuk mengadakan projek ini sebagai sambutan Bulan Membaca Kebangsaan, tetapi belum dapat menjayakannya. Buku-buku untuk projek ini telah dikenal pasti dengan mendapatkan pandangan dan input dari pelbagai pihak termasuk perpustakaan awam, persatuan penulis dan penerbit. Judul buku tempatan yang telah dicadangkan untuk projek ini termasuklah Sejarah Melayu, Salina, Green is the Colour , Ranjau Sepanjang Jalan dan Seroja Masih di Kolam.
Dengan tertubuhnya Bandar Raya Buku ini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Bulan Membaca Kebangsaan dan Kempen Membaca Kebangsaan yang menyeluruh seperti mana diuar-uarkan oleh Datuk Seri Utama Dr.Rais Yatim, di Majlis pelancaran sambutan 100 Tahun MPH baru-baru ini, nampaknya Kuala Lumpur semakin menempatkan diri untuk dipilih sebagai Bandar Raya Ibu Kota Buku Dunia (WBCC). WBCC dianjurkan oleh Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA) dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangssa Bersatu (UNESCO) setiap tahun.
Kriteria pemilihan termasuk inisiatif dan program promosi buku dan pembacaan yang terbaik sesebuah bandar raya dalam tahun penilaian iaitu di antara tarikh sambutan Hari Hak Cipta dan Buku Sedunia pada 23 April 2008 hingga 23 April 2009.
Program-program yang diadakan hendaklah disertai oleh semua pihak yang berkaitan dengan industri buku, termasuk penulis, penerbit, penjual buku dan pustakawan. Sebelum ini Madrid telah dipilih untuk tahun 2001, Iskandariah 2002, New Delhi 2003, Antwerp, Belgium 2004, Montreal 2005, Turin 2007 dan Bogota 2008.
Pencalonan bagi 2009 perlu dikemukakan sebelum 31 Mac 2007 dan ditandatangani oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur. Tahun permulaan Rancangan Malaysia Ke-9 ini merupakan tahun yang amat sesuai untuk semua pihak berkenaan bergabung usaha dalam penyediaan bida Kuala Lumpur untuk dinobatkan sebagai Bandar Raya Ibu Kota Buku Dunia World tahun 2009.
Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)
PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) yang berlangsung selama seminggu di Dewan Tun Abdul Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan berakhir 2 April lalu sememangnya mempunyai kelainan berbanding 24 pesta seumpama itu sebelum ini.
Bukan lokasi pesta sahaja berubah, waktu diadakan juga tidak sama – di luar musim cuti persekolahan, mencetuskan suasana agak berlainan selain barangkali menggamit pengunjung yang bukan biasa jumlahnya.
KLIBF yang bermula 23 Mac itu adalah penganjuran kali ke-25, acara yang dianggap terbesar di Asia dan paling ditunggu-tunggu oleh penerbit, pustakawan dan pencinta buku dari seluruh negara.
Ia selesai penganjurannya dengan membawa matlamat dan mengusung tema sama tahun lalu iaitu ‘Buku Memperkaya Minda'.
Dalam sebarang bentuk majlis atau acara sekalipun, apabila ia selesai diadakan, orang bercakap pula mengenai bagaimana prestasi, pencapaiannya serta apa boleh diperbaiki pada masa depan. Begitu juga dengan acara tahunan KLIBF ini. Ada cakap-cakap yang bukan sedikit mengenainya. Tulisan ini bukan untuk mengkritik atau menghentam penganjuran acara, sekadar coretan biasa pelbagai kisah di pesta buku.
Ilmu
Namanya ialah pesta buku, tetapi ia bukan sekadar mempamer atau menjual buku. Banyak juga bahan bukan buku turut dijual.
Sememangnya dapat difahami bahan-bahan bercetak lain seperti majalah dan komik pasti ada dalam pesta buku.
Tetapi bahan-bahan bukan bercetak yang ada kaitan dengan ilmu seperti kaset serta CD-Rom turut dipamer dan dijual.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bahan-bahan bukan bercetak atau multimedia begitu banyak dipamer dan dijual.
Sehinggakan di gerai-gerai tertentu, pesta buku bagaikan pesta elektronik, bingit dengan bunyi dan meriah bersama gambar-gambar bergerak.
Dan ia masih tidak kurang di KLBIF kali ini.
Kegilaan terhadap teknologi maklumat (IT) masih tercermin dalam pesta buku kali ini apabila banyak syarikat penerbitan buku turut menjual CD-Rom dan buku-buku berkaitan IT.
Itu belum termasuk `gangguan' promosi oleh penjual-penjual set buku sehingga menuntut masa pengunjung (khususnya ibu bapa) untuk mendengar cara mereka `mempromosi' ilmu pengetahuan untuk disebarkan kepada anak-anak.
Pengunjung yang `terpedaya' akan duduk mendengar barangkali sehingga sejam penerangan yang diberikan penjual set buku berkenaan.
Ini sebenarnya boleh sahaja menyekat ‘niat asal' pengunjung ke pesta – mahu menikmati sepuas-puasnya buku, tidak kira yang tempatan atau luar negara atau membeli buku – buat koleksi sendiri atau untuk anak-anak.
Keadaan menjadi buruk sekiranya kedudukan gerai mereka berhampiran pintu masuk utama. Lebih teruk jika ada sesetengahnya seolah-olah memaksa pengunjung duduk dan mendengar ‘promosi' mereka yang mirip jualan langsung itu.
Dalam hal ini, pihak penganjur sepatutnya lebih prihatin dan boleh mencari jalan wajar bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kita menyedari bahawa ada beberapa komen daripada pengunjung yang kurang senang dengan ‘jualan promosi' set buku berkenaan ada di pesta. Kita akan lebih prihatin dengan masalah itu dan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik – tidak merugikan penjual dan memberi manfaat kepada pengunjung berhubung hal ini,'' kata Setiausaha Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (NBCM), Roselan Zainal Abdidin kepada Utusan Malaysia.
Mengenai lebih banyak ‘budaya IT' di pesta, beliau berkata, sememangnya dengan adanya IT, maklumat kini bukan saja boleh disimpan dan dibaca daripada buku, tetapi juga lebih cekap apabila digunakan CD-Rom dan Internet.
“Tetapi perlu juga diingatkan bahawa buku masih tetap menjadi wadah yang praktikal dan indah untuk menjunjung maklumat, pengetahuan dan kebijaksanaan.''
Mudah kata, walaupun CD-Rom lebih canggih, tetapi saat ini, percubaannya untuk menggantikan buku boleh sahaja dianggap tidak setanding.
Kelebihan utama buku daripada pencabar-pencabarnya yang lain kata Roselan, ialah formatnya yang memudahkan penumpuan.
“Kalau dengan Internet, pembaca hanya mudah melayari bukannya membaca. Jadi kelebihan masih pada buku.''
Dalam pada itu, adalah dipercayai bahawa jumlah pengunjung ke pesta semakin bertambah berbanding tahun-tahun lalu walaupun ia diadakan di luar musim cuti persekolahan.
Ternyata benar apabila dua hari terakhir pesta buku (Sabtu dan Ahad), PWTC diserbu sehingga untuk memasuki Dewan Tun Razak II atau tepi sungai (tempat berlangsung pesta) pula terpaksa berasak-asak.
Mereka yang datang kebanyakannya ibu-bapa (tentunya bersama anak-anak), pelajar sekolah rendah dan menengah serta tidak ketinggalan para mahasiswa.
Masalahnya, pada hari Sabtu juga, bermula satu lagi acara yang menjadikan kumpulan sama sebagai sasaran mereka.
Memandangkan lokasi kedua-dua acara terletak bersebelahan, itu menjadikan keadaan lebih sesak dan keadaan menjadi kacau apabila aliran masuk ke pesta buku terpaksa ditahan oleh pengawal keselamatan.
Pendidikan
Sememangnya kita mengetahui bahawa pameran pendidikan untuk kanak-kanak turut penting kerana ia juga ada kaitan dengan ilmu.
Tetapi bayangkan senario ini. Sejak dari rumah, iltizam dan azam ibu bapa serta anak-anak adalah ke pesta buku. Apabila tiba di lokasi, keadaan sesak dan anak-anak mula membuat hal, akhirnya ibu bapa akur sebelum beralih niat ke pameran lain – bukannya ke pesta buku (walau dari rumah beria-ia mahu ke pesta buku).
Dan apabila memasuki pameran pendidikan, bukannya buku yang dibeli kerana kebanyakan ‘pengisiannya’ adalah makanan dan bukannya produk pendidikan.
Pengakhirannya, ramai ibu-bapa yang asalnya mahu ke pesta seolah-olah keluar dari gedung membeli-belah, bukannya membawa beg plastik dipenuhi buku sebaliknya susu, kek dan pizza.
Hal kesesakan dan cara pengurusan dua acara serentak ini barangkali dianggap remeh, tetapi ia memberi kesan kepada pengunjung.
Boleh dikatakan bahawa ribuan pengunjung yang datang ke PWTC dan bersesak itu adalah kerana mahu ke pesta buku, bukannya ke pameran pendidikan kanak-kanak.
Kalau itu kebenarannya, alangkah bagus untuk dunia atau industri perbukuan serta kesannya kepada minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.
Dalam perkembangan sama, KLBIF 2006 yang dirasmikan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mencatatkan sejarah tersendiri buat Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (UP&D) apabila anak syarikat Kumpulan Utusan itu mendapat tempat kedua gerai tercantik.
Sebanyak 300 gerai dibuka untuk penerbit-penerbit tempatan dan luar negara yang mana 10 daripadanya disewa oleh UP&D dan dua gerai oleh Utusan Melayu Berhad dan Utusan Karya Sdn. Bhd. sebanyak dua gerai.
Gerai UP&D mendapat sambutan ramai lebih-lebih dengan kehadiran Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, tokoh wartawan, Said Zahari dan seniwati Datuk Sarimah Ahmad di gerai.
Sementara itu, Roselan berkata, pesta buku akan datang bakal melibatkan lebih banyak penyertaan sama ada dari negara Asia atau tempatan.
Namun yang paling penting ialah azam menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya ‘ilmu’ dan pesta buku merupakan pemangkin ke arah itu.
Walau apa yang diperkatakan tentang KLIBF 2006, penulis tetap yakin penganjuran pesta buku seumpama ini amat penting kerana ia melambangkan kemajuan industri perbukuan negara yang menjadi asas terpenting kepada perkembangan ilmu dan maklumat.
Oleh DR. MD. SIDIN AHMAD ISHAK
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) tahun ini menyambut ulang tahun ke-25 Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Ini berdasarkan pameran pertama yang diadakan di bawah kelolaannya pada tahun 1982 dengan nama Pesta Buku Malaysia. Namun, pameran buku peringkat antarabangsa yang pertama diadakan di negara ini dikendalikan jauh lebih awal iaitu pada tahun 1972, sempena Tahun Buku Antarabangsa yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menurut minit mesyuarat Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), pameran itu diadakan di Kuala Lumpur dan disebut sebagai Pameran Antarabangsa Perdagangan dan Industri Buku.
Pada tahun-tahun berikutnya, MABOPA terlibat dalam pengelolaan beberapa pameran dan penjualan buku seperti Pameran Buku Kanak-Kanak sempena Seminar Pendidikan Awal Kanak-Kanak anjuran Kementerian Pendidikan dan Universiti Malaya (UM) dengan sokongan Vanleer Foundation, Belanda.
Kemudian, pada tahun 1976, MABOPA mengadakan Pameran Buku Kebangsaan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur dengan harapan untuk menjadikannya sebagai acara tahunan.
Pameran ulung peringkat kebangsaan oleh persatuan itu disertai 17 syarikat penerbitan mengambil bahagian dalam majlis selama empat hari.
Demikianlah permulaan usaha-usaha untuk mengadakan pameran dan pesta buku sebagai kegiatan komunikasi pemasaran dalam bidang perbukuan. Hasrat untuk mengadakan pameran buku peringkat nasional sebagai acara tahunan hanya dapat direalisasikan mulai tahun 1982. MABOPA yang telah berpengalaman menganjurkan majlis sedemikian telah diberi tanggungjawab oleh MBKM untuk melaksanakannya hinggalah menjelang penghujung tahun 1980-an apabila acara itu ditukar nama kepada Pesta Buku Kuala Lumpur (PBKL) daripada Pesta Buku Malaysia.
Pada tahun 1991 PBKL menjangkau usia sepuluh tahun. Dalam jangka masa sedekad itu, PBKL yang bertahap nasional telah mengorak langkah menjadi acara antarabangsa dengan menukarkan namanya kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
Dengan menggunakan nama Kuala Lumpur ini, pesta buku tersebut berharap agar setanding dengan pesta-pesta buku antarabangsa lain yang menonjolkan bandar raya masing-masing seperti Frankfurt, London, Bologna, Toronto, Beijing dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, menurut Pengerusi MBKM ketika itu, Tan Sri Awang Had Salleh, Kuala Lumpur dapat ditonjolkan sebagai pusat penerbitan buku dengan segala kemungkinan untuk menjadi pusat serantau dan antarabangsa dalam bidang perbukuan.
Sebanyak 300 gerai telah diperuntukkan bagi acara tersebut dengan penyertaan oleh 100 pengusaha dari dalam dan luar negara. Antara pengusaha-pengusaha luar negara ialah Harcourt Brace Javanovich, HarperCollins Publishers, John Wiley & Sons, McGraw-Hill, Simon Schuster, Toppan Co., dan sebagainya.
Penerbit-penerbit dari ASEAN juga menyertai pameran tersebut. Selain penyertaan yang bertambah baik daripada pengusaha buku, PBAKL mendapat kunjungan yang menggalakkan daripada orang ramai. Dalam PBAKL ke-12, sejumlah 334,000 penggunjung telah dicatatkan dan ini merupakan angka yang tinggi secara perbandingannya walaupun merosot daripada sejumlah 545,000 orang pada tahun 1992.
Angka tahun 1993 juga sebenarnya menunjukkan kemerosotan daripada angka tahun 1991 yang mencatatkan sejumlah 350,000 pengunjung.
Tahun 1996 memperlihatkan satu titik baru dalam sejarah PBAKL. Dalam ulang tahun yang ke-15, pesta ini mula dikelolakan oleh Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC) iaitu gabungan lima persatuan industri buku negara yang terdiri daripada Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional (IKATAN), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Persatuan Pengimport Buku Malaysia (MBIA) dan Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM).
Menurut Hasrom Haron, Pengerusi PBAKL 1996, perubahan tersebut memberi erti yang besar kepada anggotaanggota industri buku. Ini menunjukkan kerjasama dan kesatuan yang mantap antara para penggiat industri buku di samping meletakkan Malaysia ke pentas yang sama dengan rakan-rakan sejawatan di negara lain. Menurut persetujuan, pengerusi bagi acara tahunan itu akan dipegang secara giliran di kalangan ketua pemimpin kelima-lima organisasi perbukuan itu.
Tinjauan yang dilakukan ke atas sambutan pada tahun 2000, menunjukkan peningkatan semula ke atas jumlah pengunjungnya. Jumlah pengunjung bagi tahun 2000 melonjak sebanyak 55 peratus, daripada 64,368 orang (1999) menjadi 99,476 orang (2000). Jika dilihat statistiknya secara mendalam, pengunjung wanita mencatatkan peratus tertinggi iaitu sebanyak 45 peratus, diikuti dengan pengunjung lelaki 37 peratus dan kanak-kanak sebanyak 18 peratus. Keadaan ini berbeza dengan catatan yang diperoleh daripada tahun 1999. Pada tahun tersebut pengunjung lelaki telah mencatatkan jumlah peratusan yang tertinggi iaitu sebanyak 46 peratus, pengunjung wanita sebanyak 40 peratus dan pengunjung kanak-kanak sebanyak 14 peratus.
Kebanyakan pesta buku antarabangsa merupakan tempat penting bagi pertemuan penggiat buku; bukan sahaja penerbit dan penjual tetapi juga karyawan buku seperti penulis, penerbit, penyunting, ilustrator, pustakawan dan ejen karya.
Salah satu pertemuan antarabangsa yang pernah diadakan sempena PBAKL ialah The 9th International Forum Antarabangsa Ke-9 mengenai Kajian Penerbitan pada tahun 1999.
Seminar ini bertempat di UM dan dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama MABOPA, MBKM dan Persatuan Kajian Penerbitan Jepun.
Tumpuan
Forum ini memberi tumpuan pada pengajian dan penyelidikan penerbitan di rantau Asia. Majlis yang berlangsung selama dua hari itu bertema Penerbitan Semasa Keadaan Krisis: Cabaran dan Peluang Bagi Asia.
Pada tahun sebelumnya, Perpustakaan Negara pula menjadi tuan rumah untuk pertemuan di kalangan pustakawan dan penerbit dari ASEAN dalam satu persidangan yang besar.
Satu aktiviti yang menarik dan ditunggu-tunggu dalam PBAKL ialah penganugerahan pada karyawan-karyawan buku dalam aktiviti Hadiah Buku Kebangsaan Malaysia. Hadiah ini dianggap berjaya mengetengahkan buku-buku terbaik di Malaysia dalam pelbagai kategori. Ia diperkenalkan pada tahun 1991, sempena PBAKL Ke-10. Projek yang sepatutnya merupakan acara tahunan ini telah terbantut pada tahun 1997 dan 1998 kerana masalah penajaan.
Pada tahun 1999, ia diadakan semula dan selepas itu terhenti sekali lagi sehingga kini.
Menjelang abad 21, PBAKL diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai pameran buku yang terbesar diadakan di Malaysia. Untuk membaiki prestasinya selepas empat tahun di bawah tanggungjawab MBIC maka MBKM mengkaji semula perjanjiannya dengan organisasi pengelola itu. Pada tahun 1999 diadakan memorandum persefahaman antara MBKM dengan MBIC untuk meliputi tempoh lima tahun (1999-2003).
Antara lain, butir-butir perjanjian itu menyebut bahawa MBKM bekerjasama dengan MBIC untuk terus mengelolakan pesta tersebut. MBKM bersetuju supaya MBIC menyerahkan kerja-kerja pengurusan pesta itu kepada Malaysian Book Promotion Sdn. Bhd. (MBP) iaitu syarikat komersial milik MBIC.
Apabila tempoh berakhir, maka PBAKL dikembalikan semula kepada MBKM dan mulai tahun 2004, bermulalah pengurusan baru untuk menjayakan aktiviti tersebut. PBAKL 2005 bermula pada 23 April iaitu tarikh yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai “Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia”. Seluruh masyarakat antarabangsa merayakan hari tersebut dengan acara-acara yang berkaitan dengan buku dan pembacaan dan penganjuran PBAKL 2005 pada tempoh tersebut dianggap bertepatan.
Namun, berbeza dengan kebanyakan negara maju, penyelenggaraan pesta buku di Malaysia dikendalikan secara sukarela oleh ahli-ahli jawatankuasa pengelola yang terdiri daripada para penerbit dan pengusaha buku, bukan oleh pasukan pengurusan profesional. Mereka mewakili organisasi masing-masing di dalam industri perbukuan. Komitmen mereka memang tidak boleh dipersoalkan, namun dari segi profesionalisme pengurusan acara perdagangan, mungkin terdapat masalah yang perlu diatasi.
Oleh ROHAIDAH MASHUDI
Tetapi adakah ramai pihak yang menyedari hakikat permasalahan ini atau mereka tidak mengambil endah?
Gambaran-gambaran senario yang dihadapi oleh bahasa Melayu seperti yang dinyatakan oleh Dr. Awang seperti, ``Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan dan pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib,'' merupakan satu gambaran ringkas tentang kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita.
Pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996.
Namun begitu sistem pendidikan yang ada pada hari ini seperti menidakkan kemampuan bahasa Melayu dalam mengembangkan ilmu. Hinggakan ada di kalangan para pelajar yang hanya mempelajari bahasa Melayu atas dasar keperluan peperiksaan sahaja.
Syarat
Ini terutamanya apabila bahasa Melayu menjadi syarat untuk para pelajar memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Tetapi bagaimana pula dengan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)? Adakah bahasa Melayu menjadi satu tiket syarat utama untuk pelajar melayakkan diri mereka masuk ke IPTS?
Penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan haruslah dimulakan pada peringkat awal prasekolahan lagi, jangan sesekali membenarkan pihak sekolah mengecilkan ruang masa untuk pelajar mempelajari bahasa Melayu.
Bahkan pada peringkat sekolah menengah pula pelajar harus ditekankan lagi peri pentingnya bahasa Melayu untuk pelajar melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.
Jangan sewenang-wenangnya mengatakan cukup sekadar mendapat kepujian dalam bahasa Melayu untuk melayakkan pelajar lulus dalam peperiksaan yang diduduki tetapi semai dan tanam perasaan cinta kepada bahasa Melayu agar mereka tidak merasa malu untuk terus bertutur dan menggunakan bahasa Melayu.
Hakikatnya kini terdapat segelintir pelajar lepasan sekolah yang merasa malu untuk bertutur dan menggunakan bahasa Melayu kerana sikap mereka yang terlalu mengagungkan bahasa asing.
Bahkan dalam satu keadaan terdapat pelajar yang secara terus terang mengatakan tidak faham sekiranya pengajaran di dalam kelas disampaikan dalam bahasa Melayu walaupun zaman persekolahan mereka bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar.
Adalah mustahil untuk menerima hakikat pelajar yang baru meninggalkan zaman persekolahan dalam masa tidak sampai satu tahun sudah melupakan bahasa Melayu.
Oleh: ZAWIYAH BABA
Acara tahunan ini memang ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh masyarakat Kuala Lumpur tetapi juga mereka yang mencintai buku dan yang suka membaca di seluruh negara.
Tahun ini Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur menyambut ulang tahun ke-25 atau Jubli Perak. Pesta ini bermula sebagai Pesta Buku Malaysia di Changkat Pavilion, berhampiran dengan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Nama pesta buku ini diubah kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 1992 selaras dengan hasrat untuk menarik minat dan penyertaan penerbit buku luar negara.
Seperti mana beratus atau beribu keluarga yang lain, kami sekeluarga turut mengunjungi pesta buku ini sejak ia diadakan di Changkat Pavilion. Saya, suami dan tiga orang anak mula mengunjungi pesta buku ini sejak anak-anak kami mula bersekolah pada tahun lapan puluhan hingga mereka tamat sekolah. Anak bongsu kami yang lahir pada tahun 1990 juga mengikut jejak abang-abang dan kakaknya apabila masuk sekolah rendah.
Setiap kali ke pesta buku mereka diberi bajet untuk membeli 23 buku pilihan sendiri. Bajet ini ditambah setiap tahun mengikut peningkatan umur mereka. Malah, kunjungan ke pesta buku merupakan acara tahunan yang menyeronokkan bagi keluarga kami.
Kini apabila anak-anak telah dewasa, keluarga kami masih mengunjung pesta buku setiap tahun. Salah seorang anak saya yang bekerja di Terengganu sanggup mengambil cuti khusus untuk mengunjungi pesta buku dan membeli buku. Dia akan menghabiskan dua hari untuk melawat gerai-gerai buku dan membeli buku dari senarai buku pilihannya pada hari ketiga.
Setiap pesta buku, dia membeli tidak kurang dari 10 buah buku. Saya sendiri amat tertarik dengan buku-buku pilihannya dan sering meminjamnya untuk dibaca. Walaupun seorang jurutera anak kedua kami ini juga sangat berminat membaca sastera klasik dan sejarah. Kalau masa kecil dulu saya membantunya memilih buku, kini anak saya yang lebih bijak memilih buku!
Menurut penganjur, bilangan peserta KLIBF bertambah setiap tahun, termasuk peserta dari luar negara. Pengunjung juga dikatakan meningkat tahun demi tahun. Tahun lepas, dianggarkan 500,000 orang telah mengunjungi pesta buku. Begitu juga jualan buku di pesta tersebut. Saya yakin jumlah ini akan meningkat lagi jika masalah tempat letak kereta dan pengangkutan awam ke PWTC dapat diatasi.
Harapan saya untuk KLIBF 2006 ialah penerbit dan penjual buku akan lebih berusaha memastikan ketersediaan sebilangan besar buku-buku terbaru dan buku-buku yang merangkumi bidang perkara yang luas. Buku-buku yang dipamerkan hendaklah berjaya bukan sahaja memenuhi keperluan pelajar, guru dan perpustakaan tetapi juga cita rasa pembaca dan pencinta buku.
Buku-buku baru dan berkualiti amat penting untuk menarik minat pembaca dan menghidupkan suasana di pesta buku serta mencerminkan industri buku yang segar dan bertenaga di Malaysia. Pesta Buku ini akan mengecewakan jika penerbit dan penjual buku terlalu mementingkan keuntungan jualan buku sehinggakan rak-rak dipenuhi dengan buku-buku teks dan buku-buku kerja sekolah serta stok lama untuk dihabiskan melalui potongan harga.
Pesta Buku seperti ini juga patut diadakan di peringkat negeri dan daerah kerana tidak semua dapat mengunjunginya di Kuala Lumpur. Kita juga sedia maklum kekurangan kedai buku mahupun perpustakaan di kawasan luar bandar. Penganjuran pesta buku di peringkat daerah akan dapat memberi pendedahan dan peluang masyarakat luar bandar mengenali dan menghayati buku-buku yang ada di pasaran.
Daripada maklumat yang diperoleh melalui laman web, KLIBF 2006 bakal menunjukkan beberapa pembaharuan. Pertama, tapak pamerannya kali ini, Dewan Tun Abdul Razak 1, merupakan tapak pameran yang baru dibina berhampiran dengan PWTC, dengan kemudahan serba moden.
Pihak penganjur juga telah memulakan Katalog Dalam Talian untuk buku-buku terbaru terbitan Malaysia yang boleh diakses melalui laman web KLIBF. Akan tetapi ia baru dimulakan dan nampaknya masih perlu banyak lagi input daripada penerbit-penerbit tempatan untuk mencapai hasrat yang dinyatakan.
Saya memang berharap Online Catalogue ini kelak akan menjadi sumber rujukan penting untuk buku-buku tempatan yang masih ada dalam pasaran, seperti Global Books in Print atau British Books in Print yang masing-masing dihasilkan oleh penerbit-penerbit buku di Amerika Syarikat dan Britain.
Laman web KLIBF juga mengumumkan penubuhan Pusat Hak Antarabangsa atau International Rights Centre di pesta buku kelak. Ini merupakan langkah positif dan berani dan menunjukkan peningkatan profesionalisme pesta buku tahun ini.
Memang telah tiba masanya KLIBF melangkah ke arena antarabangsa dengan menyediakan ruang dan kemudahan khusus bagi mereka yang terlibat dalam perdagangan buku. Pusat Hak ini akan memudahkan urusan pendaftaran, perundingan, pembelian dan penjualan hak atau lesen penerbitan, penerbitan bersama, penterjemahan buku-buku Malaysia dan luar negara.
Pusat Hak merupakan agenda yang paling penting di pesta buku antarabangsa seperti Frankfurt, London dan Tokyo. Delhi World Book Fair 2006 juga telah memperkenalkan Sudut Hak buat pertama kali pada awal tahun ini. Penerbit-penerbit tempatan perlu membuat persiapan rapi untuk melibatkan diri dalam perundingan tersebut dengan ejen-ejen luar negara yang amat berpengalaman dalam bidang ini.
Dengan berbekalkan pengalaman suku abad, pihak penganjur KLIBF mampu membuat penilaian prestasi mereka berbanding dengan pesta buku antarabangsa di negara-negara lain untuk menentukan hala tujunya di masa akan datang. Adakah kita berhasrat untuk menjadi negara jemputan di Frankfurt Book Fair atau mengemukakan bida untuk dipilih sebagai World Book Capital City pada tahun-tahun yang akan datang?
* DATUK ZAWIYAH BABA ialah bekas Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia.
Oleh Nordi Achie
Ini bermakna bahasa apa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang membentuk jiwa kita yang sekali gus memercikkan jati diri kebangsaan.
Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul mendaulatkan bahasa kebangsaan, akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa - bangsa Malaysia. Sebaliknya, jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing'. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia.
Untuk menghakikatkan gagasan ini bukanlah mudah, apatah lagi jika kita sebagai rakyat Malaysia mendaulatkan bahasa-bahasa asing di negara kita sendiri - dogma pemikiran bahasa yang aneh sekali pada zaman pascakolonialisme.
Perlu ditegaskan bahawa, dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan - bukannya bahasa-bahasa asing.
Inilah prinsip umbi yang seharusnya kita junjung, jika benar kita serius untuk menghakikatkan gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Justeru, kita dituntut menguasai bahasa asing, tetapi janganlah pula jiwa dan pemikiran kita dikuasai oleh bahasa asing. Ini bukanlah budaya bangsa yang maju. Bangsa yang maju-moden perkasa menjunjung tiga pacak ketamadunan: Mendaulatkan bahasa kebangsaannya, menyintai jati diri kebangsaannya (bukan perkauman-kesukuan) dan setia pada nusanya yang satu.
Secara jujur, perlu diakui bahawa kita belum mematuhi acuan tersebut. Lantaran itu, Malaysia dilihat sebagai `negara tanpa bangsa' - bangsa Malaysia. Hakikat ini terasa amat pahit, tetapi itulah kebenarannya.
Persoalannya, mengapakah hanya bahasa kebangsaan yang dinobatkan sebagai alat pemersatuan bangsa, seperti yang terpancar menerusi slogan ``Bahasa Jiwa Bangsa''? Perlu dinyatakan di sini hanya bahasa kebangsaan (bukannya bahasa asing atau bahasa ibunda) yang dapat menitiskan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarak jati diri kebangsaan (lawannya identiti perkauman), di samping pendaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetiaan, penghormatan dan pemuliaan kepada nusa tercinta.
Malah, bahasa kebangsaan jugalah yang berperanan sebagai bahasa ilmu (dalam segenap bidang), bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi, bahasa sosial dan bahasa peradaban moden.
Oleh itu, kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wadah terpenting - selain wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk keperibadian bangsa Malaysia bersemboyankan gagasan ``satu bahasa, satu bangsa, satu nusa'', jelas tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapa pun.
Di sini terletaknya peranan bahasa kebangsaan dalam rancangan merealisasikan Wawasan 2020. Sekiranya kita mengabaikan peranan dan kepentingan bahasa kebangsaan, ini bermakna kita telah tergelincir daripada gerabak pembentukan bangsa Malaysia itu sendiri.
Kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea, selain pengasasan negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat, sewajarnyalah kita teladani. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing.
Justeru, akan tercapaikah gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia, jika rakyat tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan mereka sendiri?
Penting
Sehubungan itu, kita perlu memperbetulkan beberapa kesilapan mengenai konsep bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda.
Pertama, sejak bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi-kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, ia bukan lagi menjadi milik tunggal pribumi Melayu. Malah, bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Justeru, bahasa Melayu dengan sendirinya menjadi hak milik orang Cina dan India yang menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu juga. Lebih penting lagi, bahasa Melayu itulah yang menjadi bahasa kebangsaan orang Cina-India yang telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Kedua, apabila orang Cina-India telah diberikan hak kerakyatan dan menjadi warganegara yang sah, taraf bahasa Mandarin-Tamil dengan sendirinya menjadi bahasa asing kerana bahasa-bahasa tersebut merupakan bahasa rasmi-kebangsaan China dan India. Ini juga bermakna bahasa Mandarin-Tamil bukanlah bahasa ibunda mereka lagi kerana mereka telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Alangkah anehnya, mereka diterima menjadi warganegara (seterusnya Malaysia), tetapi mereka masih mengatakan bahasa Mandarin-Tamil sebagai bahasa ibunda mereka. Ketersilapan ini perlu diperbetulkan hatta dalam perlembagaan negara sekalipun!
Jika ditinjau semula akar sejarahnya, sejak 1957, (lihat pecahan fasal Perkara 153) kesilapan ini tidak pernah dipinda, walhal bercanggah dengan hakikat sejarah kenegaraan Malaysia. Kesilapan inilah yang menjadi antara pemunca utama yang mengakibatkan peranan bahasa kebangsaan terus ditenggelami oleh gerakan mendaulatkan bahasa-bahasa asing, khasnya sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Oleh itu, saranan dan gesaan mujahid-mujadid bahasa kebangsaan (seperti Gapena dan Awang Sariyan dalam Mingguan Malaysia, 5 Mac 2006) amatlah wajar dilaksanakan secara tuntas. Masanya telah hampir-hampir nazak, tetapi belum lagi terlambat. Keazaman politik amat diperlukan.
Jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, bahasa asinglah yang beruntung kerana ia akan terus kekal sebagai bahasa ilmu, teknologi dan peradaban moden; sebaliknya bahasa Malaysia akan terus mundur dan `mandul' di negaranya sendiri.
Perlu ditegaskan bahawa kita bukan antibahasa asing. Prinsip kita jelas dan tegas: Pelajari dan kuasailah bahasa asing, tetapi pendaulatan hanyalah terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri. Inilah sikap dan pemikiran yang amat diperlukan untuk mencapai Wawasan 2020.
- Nordi Achie, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah.
Langit Petang hadir kepada khalayak sebagai sebuah novel. Kemudian diadaptasi ke filem oleh Shahrom Mohd Dom. Tetapi saya membaca novel ini selepas menonton filem adaptasinya. Hal yang sama juga berlaku apabila menonton filem Ranjau Sepanjang Jalan sebelum membaca novelnya.
Begitu juga dengan beberapa novel John Grisham yang dibaca selepas menonton filem adaptasi daripada novel-novel berkenaan. Kecenderungan ini juga tentu berlaku kepada orang lain.
Membaca novel dan menonton filem adalah dua pengalaman yang berbeza. Malah ada orang berkata, novel lebih demokratik apabila memberi banyak ruang imaginasi berbanding filem.
Maka usaha Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menjadikan filem adaptasi sebagai jambatan membaca ada kewajarannya. Usaha meningkatkan kadar membaca perlu dipelbagai dan salah satunya dengan filem yang diadaptasi daripada karya sastera.
Dunia buku dalam konteks negara ini tidak harus dibiarkan bersendirian. Kalau di Barat buku yang popular menjadi jambatan untuk menarik penonton apabila dibawa ke filem. Tetapi fenomena di negara ini berbeza.
Kerana itu wajar ada usaha timbal balik antara dunia buku dengan medium-medium lain yang lebih dominan dalam masyarakat. Salah satunya filem dan drama televisyen. Biarlah mereka membaca selepas menonton. Asalkan mahu membaca, sudah memadai.
Usaha PNM menganjurkan forum Sembang Karyawan Selasa minggu lalu yang cuba menghidupkan simbiosis novel dengan filem dan seni pentas di negara ini suatu yang baik. Biarlah kalau pembacaan lahir selepas menonton.
Dunia buku memerlukan pendekatan yang begini. Kempen membaca sebenarnya tidak banyak menyumbang kepada peningkatan kadar membaca. Maka menghidupkan simbiosis novel dan filem suatu yang dijangka memberikan hasil yang diharapkan.
Melihat sambutan hebat terhadap novel Harry Potter, apakah tidak mungkin fenomena itu berlaku di sini sekiranya dua medium iaitu filem dan buku saling bantu membantu.
PNM nampaknya begitu proaktif untuk mengubah stigma terhadap buku yang hanya diperlukan oleh pelajar sama ada di sekolah ataupun universiti. Selepas dunia sebagai pelajar, buku seolah-olah tidak diperlukan untuk menyumbangkan kualiti dalam hidup.
Tetapi proses adaptasi ada kerenahnya yang tersendiri. Tetapi PNM melihat filem adaptasi ada potensi membawa penonton membaca novel yang menjadi sumbernya.
Dalam dunia filem pula, novel wajar membantu kerana krisis ketandusan kekaguman sangat menjadi-jadi di filem dan juga televisyen. Kembalilah kepada novel yang baik apabila filem di layar semakin kontang.
E-mel: kuseman@pc.jaring.my
Oleh SALASIAH WAHAB
``Ketika memasuki perpustakaan itu, saya ibarat tenggelam dalam lautan buku yang mengasyikkan, saya ingin mencapai apa saja buku yang tersergam erat di celah-celah rak yang tersusun rapi dan terasa ingin membaca segala buku yang terdapat di dalamnya. Saya tidak tahu buku mana yang harus saya dahulukan tetapi `jiwa' saya seakan-akan berkata `` bacalah kesemuanya'' kerana kamu tidak mempunyai masa kerana terlalu banyak ilmu yang ingin diketahui.
Akhirnya saya capai apa saja buku yang hampir dengan saya dan `keghairahan' itu amat mempesonakan sehingga tanpa disedari masa telah lama berjalan. Saya tersedar apabila pustakawan memberitahu masa penutupan perpustakaan telah hampir.
Saya memandang raut mukanya (pustakawan), hati kecil seolah-olah mahu berkata: ``Tinggalkan aku bersendirian, jangan ganggu aku dalam keasyikkan pengembaraan ini, aku sedang berdialog dengan `orang-orang pintar dan bijaksana dari masa lampau dan ``mereka'' mencerdaskan aku,'' kata-kata ini diungkapkan oleh Matthews Battles dalam bukunya, Library: An Unquiet History (2004), ketika mengunjungi Perpustakaan Iskandariah, Mesir atau juga dikenali dengan Bibliotheca Alexandria yang cukup tersohor itu yang dibina pada tahun 290 SM. Malangnya perpustakaan itu menyimpan luka yang lama apabila dijarah oleh orang `luar'. Ada sejarahrwan berpendapat ia dilakukan oleh Julius Caesar apabila menakluki Mesir, sehinggalah ia dibangunkan semula pada tahun 2002.
Perpustakaan Iskandariah adalah perpustakaan leluhur, sebuah perpustakaan yang menjadi sumber pengetahuan bagi peradaban masa kini. Perpustakaan ini dikatakan pernah menyimpan 700,000 gulungan papyrus yang mengandungi maklumat dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Rupa-rupanya kunjungan Battles tidak sia-sia, ia mengubah masa depannya. Dia mula mengagumi perpustakaan. Dia terpesona dengan koleksi buku-buku, Dia merasakan keakraban buku dan perpustakaan dalam kehidupannya. Lalu, dia memilih kerjaya sebagai pustakawan dan inilah yang dilakukannya sebagai pustakawan yang mengurus buku-buku `nadir' atau buku-buku langka di Perpustakaan Houghton di Universiti Harvard.
Minat membacanya yang luar biasa dan kecintaannya terhadap ilmu tidak memungkinkannya memilih kerjaya lain selain daripada pustakawan. Battles rupanya belajar daripada tradisi intelektual silam. Dia belajar dari Al-Khawarizmi, Konfusius, Ibnu Maskawaih, Melvyn Dewey yang pernah menjadi pustakawan dan dia belajar juga dari Ibnu Sina yang amat mengagumi perpustakaan yang pernah meminta kebenaran daripada raja yang memerintah Hammadhan (wilayah di Iran) untuk menggunakan perpustakaannya sekiranya berjaya menyembuhkan penyakit raja tersebut.
Bijak
Memang sejarah tradisi kepustakawanan silam menunjukan bahawa orang-orang `berilmu-lah' yang selayaknya mengurus perpustakaan. ``Di perpustakaan, saya seolah-olah bercakap dengan minda terbaik sepanjang sejarah peradaban manusia. Di sinilah saya `menemukan' Albert Enstein, Isaac Newton, Ibnu Sina dan inilah kehidupan paling bijaksana bagi saya,'' kata Battles lagi.
Keterpesonaan terhadap perpustakaan membawa Battles berkelana dan menjelajah ke hampir semua perpustakaan besar dunia. Dia mengunjungi British Library, Perpustakaan Vatican, Perpustakaan Negara Iran, Perpustakaan Louvain, Jerman. Kesemua pengembaraan mempesonakan ini dituangkannya dalam buku Library: An Unquiet History. Di British Library, dia terpegun melihat naskhah asli Magna Carta yang disebut-sebut sebagai dokumen pertama (1215) yang menjamin hak asasi manusia dari cengkaman kekuasaan feudal.
Di situ juga ia melihat kitab Injil yang dicetak untuk pertama kalinya oleh Johann Guttenberg yang mencipta mesin cetak pada 1455. Tidak kurang juga ia melihat naskah al-Quran yang ditulis di atas perkamen (kulit binatang yang dijadikan semacam kertas) oleh Muhammad Ibnu Ali Wahid, yang dipersembahkan kepada Sultab Baybar, raja dari Dinasti Mamluk pada 1308-1309. Dia sempat juga melihat al-Quran dengan khat Maghribi, yang disalin dari Valencia, Andalusia, Sepanyol, pada abad ke-12. Sebuah koleksi yang amat jarang dijumpai, kerana sebahagian besar sudah musnah ketika Kristian kembali menguasai Sepanyol.
Pengalaman mempesonakan ini tidak kurang juga membuat Battles marah. Dia marah pada tentera Nazi Hitler yang menjarah perpustakaan Louvain dan perpustakaan di Belgium. Dia juga marah pada tentera Serbia yang menjarah perpustakaan negara dan Universiti Bosnia di Sarajevo yang menyimpan 5,263 manuskrip dalam bahasa Arab, Parsi, Ibrani, dan Adzamisjski (tulisan Slav Bosnia dalam skrip Arab). Battles tidak dapat menerima sebab kenapa manusia sanggup menghancurkan warisan kebijaksanaan manusia kerana ia tidak dapat dibangunkan lagi.
Dia percaya perpustakaan adalah pusat kelangsungan peradaban manusia dan bukan pusat `pembunuhan' ideologi. Nasib baik kini sudah ada program'mendigitalkan' manuskrip dan buku-buku lama dengan cara skan semua isi manuskrip dan buku-buku tertentu.Mudah-mudahan nanti kita bebas ``membalik-balik'', misalnya, semua halaman buku catatan Leonardo da Vinci tampa merosakkan naskah aslinya.
Melalui Library: An Unquiet History, kita seolah-olah di bawa Battles berada dalam lautan ilmu dalam perpustakaan. Di dalamnya kita terdedah kepada karya -karya pengarang dan pemikir besar dunia, sejarah perpustakaan dari dunia Timur ke Barat, sejarah tulisan bermula dari papirus, codex, tanah liat, kertas sehinggalah cetak, peristiwa-peristiwa penting yang menggembirakan dan menyedihkan yang berlaku pada perpustakaan.
Lebih dari itu, ia menyedarkan kita bahawa perpustakaan adalah `jantung' peradaban manusia dan khazanah kebijaksanaan manusia yang cukup berharga. Benarlah tajuk buku ini, Library: An Unquiet History, perpustakaan tidak pernah ``diam'' dan jemu mencerdaskan manusia sepanjang sejarah.
Menurut pandangan Gereja, buku-buku Harry Potter menggalakkan kanak-kanak mempercayai kewujudan pelbagai jenis 'ghosts' baru dalam buku-buku itu, yang dicipta oleh pengarangnya, bukan menggalakkan mereka yakin akan kewujudan Tuhan. Dari sudut pandang ini, cerita-cerita Harry Potter adalah anti-Tuhan.
PTS berpendapat buku-buku sastera remaja yang mengandungi mesej-mesej khurafat tidak diterima sebagai sastera Islami. Daripada sudut ini, cerita-cerita Harry Potter jelas mengandungi unsur-unsur khurafat, maka ia dengan sendirinya tertolak.
Isunya bagi kita sekarang adalah, kita perlu menghasilkan karya-karya sastera remaja dengan acuan kita sendiri. Kita jangan malas menulis, dan hanya rajin mencari jalan pintas dengan menterjemah produk-produk daripada budaya-budaya asing, seperti menterjemah komik-komik dari Taiwan, Korea dan Jepun, sebagaimana yang sekarang sedang aktif dijalankan. Sebagaimana siri Harry Potter juga, komik-komik itu tidak mengandungi mesej-mesej ketuhanan.
Bagi menerbitkan sastera remaja dengan acuan kita sendiri, PTS sudah menggerakkan seangkatan penulis baru yang akan menghasilkan siri ala Harry Potter kita sendiri mulai 2006.
Adalah menjadi misi PTS, walau apa sekalipun buku yang diterbitkannya, wajah Tuhan tetap dengan jelas ditampilkan di dalamnya.
Sudah sampai masanya para penerbit buku di Malaysia berkerja dan menguruskan bisnes dengan menggunakan strategi-strategi baru, bukan lagi meneruskan cara-cara lama. Dalam tahun 70-an dan 80-an, sewaktu siri Enid Blyton meletup-letup di England, kita aktif menterjemah siri Enid Blyton. Sekarang, apabila Harry Potter meletup-letup di sana, kita aktif menerbitkan semula Harry Potter, yang dibawa masuk via Jakarta.
Oleh: ISMAIL HASHIM
Cabaran terhadap teori evolusi ini menjadi lebih hangat dan kontroversial apabila isu pengenalan pendidikan Intellectual Design (penciptaan intelektual) di sekolah-sekolah di beberapa negeri seperti di Pennsylvania, AS pada tahun lalu menjadi sesuatu yang dibincangkan secara terbuka.
Isu ini membuak-buak apabila pihak sekolah di Dover, Pennsylvania memperkenalkan pendidikan Intellectual Design (ID) untuk diserapkan ke dalam mata pelajaran Biologi. Mereka yang menentangnya telah membawa kes ini ke mahkamah.
Walaupun keputusan mahkamah menyebelahi pihak yang menentang, hakikatnya hampir 20 negeri di AS kini sedang memproses kaedah mirip pendidikan ID ke dalam sistem pendidikan sekolah masing-masing.
Malah selain Pennsylvania, negeri-negeri seperti Kansas dan Georgia telah mengorak langkah untuk memperkenalkannya dalam sistem pendidikan mereka. Mengikut teori ini semua benda dan hidupan yang berada di cakerawala tidak datang secara kebetulan atau secara tidak sengaja tetapi sebagai akibat daripada penciptaan atau rekaan intelektual.
Ini bermakna ada suatu kuasa `Maha Pencipta Intelektual' yang mengatur dan menjaga alam cakerawala ini dan `Dia' jugalah yang mencipta semua benda dan hidupan.
Sehubungan itu dalam menjelaskan konsep ini Michael Behe, pencetus idea kepada ID berkata teori ini bukanlah bersandarkan kepada idea keagamaan walaupun mereka yang beragama menentang pendidikan sains melalui teori evolusi.
Apa yang menarik untuk difikir dan direnungkan daripada perdebatan antara ID dan teori evolusi ialah terdapatnya suatu kesedaran di kalangan para saintis di Barat bahawa wujudnya `Maha Pencipta' di bumi ini.
Apa yang berlaku sekarang akan terus mencabar teori evolusi Darwin yang sememang tidak dapat dibuktikan itu. Pada awal tahun 1980-an Dr. Sulaiman Nordin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menghasilkan buku yang menentang teori evolusi Darwin yang menolak pewujudan Tuhan.
Malah Islam sejak mula dahulu (keimanan dan tauhid kepada Allah) telah menolak pandangan ateis ini.
Dari segi sejarahnya kemajuan ateisme di Barat dapat didokumentasikan melalui sejarah pendidikan biologi pada abad ke-20 lalu. Ahli sejarawan Universiti Cornell, William B. Province menunjukkan bahawa pada tahun 1920-an masih ramai ahli evolusi sains yang berpegang kepada agama.
Pada masa yang sama teori evolusi Darwin masih kabur, di mana hipotesis teori kuasa bermatlamat masih digunakan yang menunjukkan kehidupan ini sedang bergerak ke arah sesuatu yang kompleks.
Ahli falsafah semasa itu seperti Henry Bergson, ahli teori evolusi Perancis, Pieirre Teilhard de Chardin dan Ketua Muzium Sejarah Asal Bumi, Henry Osborn beranggapan bahawa terdapat suatu kuasa yang mengatur dan memandu proses evolusi yang berlaku. Perwujudan kuasa ini berdasar kepada suatu kepercayaan konsensus pada tahun 1920-an.
Boleh dikatakan ia adalah langkah awal menuju ke arah mengaitkan kuasa itu dengan Tuhan.
Namun pandangan konsensus itu berpihak kepada aliran Darwinisme pada tahun-tahun 1930-an dan 1940-an dengan perkembangan teori Modern Syntesis melalui proses evolusi secara semula jadi.
Ia membawa mekanisme evolusi dalam kehidupan alam seperti pembiakan binatang dan perkembangan tumbuhan serta (juga kononnya penciptaan manusia daripada beruk) semuanya berlaku secara semula jadi (yang dimaksudkan ialah tanpa campur tangan Tuhan), secara tidak sengaja atau proses mutasi. Organisma diciptakan melalui mekanisme penentuan semula jadi dan secara rawak.
Menjelang tahun 1940-an, semua kesan dan jejak Tuhan dalam ilmu biologi dan ilmu-ilmu sains lain telah dihapuskan langsung dalam pendidikan sains.
Pembuktian sains terkini dan ketiadaan sisi kerohanian dalam tamadun Barat menyebabkan masyarakatnya telah menyedari kesilapan mereka dan mengalih perhatian kepada mencari Tuhan.
Seorang ahli fizik Barat, Frank Tipler dalam bukunya Physics of Immortality meyakini tentang `Maha Pencipta' di alam cakerawala ini bahkan mengemukakan bukti melalui fizik tentang kepercayaan hari akhirat iaitu mati hidup semula. Ia mengemukakannya melalui teori fizik keabadian.
Beliau mengemukakan bukti-bukti saintifik mengenai perwujudan Tuhan dan kebangkitan semula secara fizikal diri manusia yang telah mati. Ini tentu berkait rapat dengan hari kebangkitan sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran.
Sebelum ini pun seorang ahli fizik, Fritjof Capra dalam bukunya The Tao of Physics mengkaji pendekatan mistik ketimuran daripada agama Buddha, Hindu dan Taois melalui eksplorasi mencari hubungan, persamaan dan perkaitan antara mistisisme Timur dan fizik moden Barat.
Menurut Capra tradisi mistik Timur mengandungi falsafah rangka kerja bersepadu yang dapat diterapkan ke dalam fizik moden. Capra menganjurkan inilah masa depan fizik baru bagi Barat.
Selain Capra, Danah Zohar dan Ian Marshall melalui buku bernama Spiritual Intelligence membicarakan mengenai muatan kerohanian dalam budaya Barat yang pekat kebendaan, kering moral dan nilai-nilai baik serta mulia dan cenderung bersifat individualistik itu.
Zohar dan Marshall cuba melengkapkan apa yang telah wujud melalui IQ dan EQ (Emotional Intelligence) yang mana menekankan kepada kecerdasan dan kepintaran mental serta kecerdasan emosi.
Begitu juga dengan pengarang Neal Donald Walsch dengan bukunya Tomorrow's God yang meramalkan suatu perkara besar yang akan berlaku di planet Bumi ini. Baginya kemanusiaan akan mewujudkan bentuk kerohanian baru. Ia akan membenarkan manusia membuka hati dan jiwa ke arah untuk menuju ke arah ketuhanan.
Apa yang berlaku ini menunjukkan keresahan di kalangan saintis, ahli psikologi dan cendekiawan Barat mengenai masa depan tamadun Barat yang sedang membawa manusia menuju kehancuran.
Di sebalik kecanggihan teknologinya, tamadun Barat sudah bankrap idea kerana tidak ada apa-apa lagi yang hendak ditawarkan berhubung kerohanian dan nilai mulia atau moral untuk pembaikan manusia.
Bagi kita umat Islam perkembangan yang berlaku agak menarik dan harus diberikan perhatian.
Mungkin terdapat kalangan cendekiawan mereka ingin merujuk kepada kebenaran ketuhanan tetapi takut atau tidak ingin mengaitkannya dengan Islam.
Di samping itu umat Islam tidak perlu terikut-ikut dengan rentak dan trend yang berlaku di Barat kerana ketuhanan yang mereka maksudkan mungkin tidak merujuk kepada Allah.
* Ismail Hashim adalah Pensyarah Komunikasi di Kolej Han Chiang, Pulau Pinang
KUALA LUMPUR 17 Dis. - Kongres Kepentingan Bangsa yang berakhir hari ini mengeluarkan resolusi 29 perkara yang antaranya menuntut supaya bahasa Melayu dikembalikan sebagai bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah.
Resolusi yang dibahagikan kepada isu pendidikan, sosiobudaya dan ekonomi itu juga menggesa kerajaan meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah.
Resolusi yang dibacakan oleh Dr. Mohd. Nur Manuty itu juga menuntut supaya pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT) dibiayai sepenuhnya melalui biasiswa.
Turut terkandung dalam resolusi berkenaan ialah desakan termasuk mengembalikan peruntukan geran perkapita sekolah agama rakyat (SAR) dan menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Ini kerana menurut resolusi berkenaan, kewujudan AUKU menyebabkan suasana tidak sihat terhadap kebebasan berfikir serta kreativiti pensyarah dan mahasiswa.
Kongres yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah itu berlangsung selama dua hari di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur mulai semalam.
Selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kongres ini juga berjaya menarik minat pemimpin politik, pelajar dan individu.
Mengenai isu sosiobudaya pula, resolusi yang disokong lebih 1,000 peserta yang mewakili lebih 100 NGO Melayu itu juga sebulat suara bersetuju menubuhkan pasukan peguam Melayu untuk mengkaji pelanggaran peruntukan undang-undang yang menyentuh hak keistimewaan Melayu.
Resolusi itu mendesak semua pihak memainkan peranan berkesan untuk memerangi gejala rasuah termasuk dengan menjadikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai sebuah badan bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen.
Turut dimuatkan dalam resolusi enam muka surat itu ialah gesaan supaya Dasar Kebudayaan Kebangsaan dapat dizahirkan dalam bentuk undang-undang dan menggesa orang Melayu supaya menolak fahaman Islam liberal.
Mengenai isu ekonomi, kongres melalui resolusi itu mahukan kerajaan menggantikan semula tanah rezab Melayu yang telah diambil sebelum ini terutama membabitkan kawasan yang strategik.
Resolusi berkenaan juga menuntut pengurusan syarikat milik kerajaan (GLC) supaya dipegang oleh mereka yang cemerlang dan berakhlak tinggi, manakala NGO dan kumpulan profesional yang berkelayakan hendaklah bertindak sebagai pemantau.
Turut dimuatkan ialah mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilihat perlu diteruskan matlamat dan falsafahnya agar dapat menjamin komposisi penduduk Malaysia.
Kongres ini dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah Ahli Parlimen Barisan Nasional Gua Musang dan dihadiri dihadiri lebih 1200 orang mewakili lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.
Sila baca berita penuh dalam Mingguan Malaysia 18 Dis 2005 mukasurat 2. Bersamalah kita mempastikan agar resolusi ini dilaksanakan bukan sekadar retorik semata-mata.
Antara 29 perkara resolusi dalam kongres secara sebulat suara menggesa kerajaan:
* Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, iaitu mengembalikan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik. Pada masa sama mempertingkatkan pengajaran Bahasa Inggeris.
* Mengembalikan semula peruntukan geran perkapita Sekolah Agama Rakyat supaya ia dapat berfungsi seperti asal bagi mengembangkan pendidikan aliran agama.
* Memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti
(AUKU) secara tuntas kerana ia mewujudkan suasana yang tidak sihat bagi pertumbuhan dan kecerdasan minda serta kebebasan berfikir di kalangan ahli akademik dan mahasiswa.
* Mengambil usaha mempertahankan tanah orang Melayu/ Rizab Melayu di seluruh negara.
* Menjadikan Petronas berperanan sebagai agensi penjana yang bertanggungjawab melahirkan usahawan Melayu dalam bidang gas dan minyak.
* Memperkenalkan Akta Makanan Halal supaya industri makanan halal berkembang di kalangan orang Melayu Islam.
* Dasar Kebudayaan Kebangsaan diperundangkan dalam bentuk Akta seperti Dasar Bahasa dan Dasar Pendidikan.
* Menyubur dan menerapkan kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam dalam pentadbiran, pendidikan dan lain-lain bidang.
* Penginstitusian zakat dilakukan mengikut proses undang-undang.
Resolusi tersebut dibaca oleh Dr Muhammad Nor Manuti dan diserahkan kepada Pengerusi Kongres, Tengku Razaleigh Hamzah.
1. Sebelum orang Melayu mempunyai agama, mereka mengamalkan animisme, yakni percaya adanya kuasa-kuasa ghaib pada unsur-unsur alam semulajadi. Kepercayaan itu masih terus diamalkan oleh kaum-kaum Melayu Asli yang belum masuk Islam iaitu suku Jakun, Temuan dan Semelai. Walaupun suku Melayu sudah masuk Islam, mereka terus mempercayai kepercayaan-kepercayaan lama itu, seperti percaya adanya tempat-tempat yang 'keras', adanya 'orang bunian' ataupun adanya kuasa 'sumpah'.
2.Apabila agama Hindu datang ke Alam Melayu, orang Melayu masuk agama Hindu dan mereka diperkenalkan dengan kepercayaan khurafat yang terdapat dalam ajaran Hindu, sebagai contoh kepercayaan tentang kuasa 'daulat', alam nirwana, dewa-dewa dan lain-lain lagi.
Salah satu misi Islam adalah membasmi kepercayaan khurafat, kerana ia menyebabkan syirik. Contoh-contoh kepercayaan khurafat adalah:
1.Percaya sesuatu benda mati itu mempunyai kuasa sakti, umpamanya batu delima boleh melindungi keselamatan orang yang memilikinya, sebagai contoh orang yang memiliki batu delima itu tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun.
2.Percaya ada makhluk-makhluk lain, selain apa yang disebut dalam Quran, umpamanya, ada orang bunian, vempire, pontianak, penunggu, hantu kopek dan banyak lagi.
3.Percaya wujudnya makhluk yang disebut dewa-dewa dan dewi-dewi yang mempunyai kuasa-kuasa luar biasa, yakni kuasa-kuasa yang hanya dimiliki Tuhan, seperti dapat menghidupkan semula benda yang sudah mati.
4.Percaya adanya makhluk lain yang lebih istimewa daripada manusia biasa, seperti adanya manusia jadi-jadian ataupun puteri bunian.
5.Percaya adanya jenis manusia lain, selain manusia keturunan Nabi Adam, sebagai contoh, manusia puteri yang lahir dalam buluh betung, ataupun manusia yang lahir dari muntah kerbau, ataupun manusia keturunan dewa-dewa.
6.Percaya pada kuasa sumpah, umpamanya percaya adanya manusia biasa yang berupaya menyumpah anaknya menjadi batu, ataupun berupaya menyumpah negerinya supaya menjadi padang jarak padang tekukur selama 7 keturunan, ataupun berupaya menyumpah putera raja menjadi katak.
7.Percaya adanya manusia yang mempunyai kuasa luarbiasa seperti kuasa daulat, umpamanya seseorang manusia biasa itu boleh menyebabkan manusia lain 'terkena daulatnya' sehingga mendapat penyakit sopak.
8.Percaya adanya ilmu-ilmu ghaib yang selayaknya dimiliki dan diamalkan oleh manusia yang baik-baik, sedangkan ilmu-ilmu itu mempunyai ciri-ciri ilmu sihir, iaitu suatu jenis ilmu yang haram mengamalkannya.
9.Percaya adanya kuasa-kuasa ghaib pada angka dan huruf, sebagai contoh angka 8 adalah angka bertuah manakala angka 4 adalah angka sial.
10.Percaya adanya manusia yang lahir membawa sial ataupun tuah.
11.Percaya adanya makhluk seperti pokok, ikan, burung ataupun belalang yang mempunyai kuasa mendatangkan nasib untung ataupun nasib sial kepada manusia.
12.Percayanya ada benda-benda yang mempunyai kuasa 'keramat' seperti kubur ataupun batu yang berkuasa memberi anak kepada pasangan mandul dan lain-lain.
13.Percaya adanya kitab lain yang ajaran di dalamnya mesti dipatuhi oleh manusia selain daripada kitab Quran, umpamanya percaya ajaran dalam kitab Bhagavadgita layak dijadikan pegangan oleh manusia.
Adakah sastera Islam menerima karya-karya fantasi? Kita berpandangan, ya, sastera Islam boleh menerima karya fantasi selagi ia tidak mengandungi unsur khurafat.
Sdr. Alif Firdaus adalah penulis PTS yang luar biasa. Karya beliau yang pertama “Untuk Syampoo” baru sahaja masuk pasaran, dan maklumat dari Jabatan Pemasaran PTS menunjukkan sudah ada tanda-tanda buku itu akan menerima sambutan hangat di kalangan remaja awal.
Sdr. Alif luar biasa disebabkan beliau memulakan kerjayanya dalam bidang buku sebagai seorang ilustrator dan pelukis komik. Selepas menghadiri kursus penulisan PTS barulah beliau menulis buku.
Buku “Untuk Syampoo” ditulis, dilukis dan kulit bukunya pun dilukis oleh beliau sendiri.
Tetapi di manakah kelebihan Sdr. Alif? Buku beliau mendapat sambutan baik di kalangan remaja lelaki dan perempuan. Lazimnya, penulis perempuan hanya diminati oleh pembaca perempuan, manakala penulis lelaki diminati oleh pembaca lelaki. Di sinilah kelebihan Sdr. Alif, beliau dapat mencipta karya yang menembusi kedua-dua sektor pembaca itu.
PTS meramalkan buku “Untuk Syampoo” akan bertahan lama dalam pasaran disebabkan ceritanya mempunyai ciri-ciri yang membolehkan buku itu tidak trendy. Kini beliau perlu menghasilkan lebih banyak buku yang dapat mengulangi kejayaan “Untuk Syampu” bagi memenuhi permintaan peminat-peminatnya.
Buku "Untuk Shampoo" adalah terbitan PTS One Sdn Bhd.
Oleh HASROM HARON
Perhatian ini lebih serius, apabila Dr. Sivachandralingam Sundra Raj, seorang pensyarah sejarah dari Universiti Malaya mempertahankan bahawa Jurnal Biografi Malaysia itu ``... tidak bertujuan untuk menerbitkan karya asli...''
Kita memang mengalu-alukan perbahasan yang boleh membantu memperbaiki kedudukan penerbitan jurnal ilmiah tanah air. Penerbitan jurnal tanah air belum begitu maju.
Penerbitan jurnal di negara kita kebanyakannya masih muda dan perlu sokongan yang kuat daripada semua pihak agar jurnal ilmiah Malaysia mendapat kedudukan yang tinggi pada satu masa nanti. Oleh itu pandangan yang bernas mengenai status jurnal ilmiah negara kita amat dialu-alukan.
Dalam hal Jurnal Biografi Malaysia, Dr. Sundra Raj antara lain mentafsirkan bahawa ``audiens (sasaran) jurnal ini adalah orang ramai dan pelajar sekolah?'' Saya berharap pelajar sekolah tidaklah termasuk pelajar sekolah rendah? Beliau juga membangkitkan bahawa teguran Roosfa Hashim kepada Jurnal Biografi Malaysia adalah berdasarkan tafsiran jurnal yang `rigid' - sempit!
Cuba kita mengambil dua tafsiran jurnal. Pertama jurnal sebagai diari, rekod peristiwa, rekod perjalanan, rekod perniagaan dan sebagainya. Kedua, sebagai terbitan ilmiah berkala yang diamalkan oleh universiti, badan penyelidikan, institusi arkib seluruh negara termasuk Arkib Negara Malaysia.
Jadi, jika diteliti, terbitan yang diberi judul Jurnal Biografi Malaysia itu tidak termasuk dalam tafsiran di atas.
Dr. Sundra Raj memberi pandangan tentang beberapa perkara. Pertama ketegasan beliau bahawa Jurnal Biografi Malaysia ``tidak bertujuan untuk menerbitkan karya asli.''
Dalam dunia penerbitan jurnal ilmiah, prinsip utama yang dipegang dalam penerbitan adalah menerbitkan rencana asli, ilmiah, hasil penyelidikan dan belum pernah diterbitkan sebelumnya.
Penulis belum menemui bahan bacaan tentang penerbitan jurnal yang meletakkan prinsip jurnal ilmiah bertujuan menerbitkan karya tidak asli. Ada banyak implikasi tentang perbahasan ini. Malah jika dilihat satu lagi tafsiran - jurnal sebagai rekod peristiwa atau diari - mestilah menerbitkan karya atau catatan baru yang belum pernah diterbitkan.
Jurnal adalah sebuah terbitan khusus bagi sesuatu bidang ilmu untuk penyelidik, sarjana dan peminat bidang tertentu. Itu sifat jurnal, maka itulah dikatakan ada lebih 300,000 jurnal ilmiah di dunia.
Sesebuah jurnal tidak didirikan untuk mencakupi bidang ilmu untuk `orang ramai' seperti kenyataan Dr. Sundra Raj. Adalah aneh untuk mempertahankan Jurnal Biografi Malaysia maka ``Arkib Negara harus dipuji kerana telah menerbitkan sebuah jurnal khusus untuk orang ramai.''
Begitu juga andaian jurnal untuk `pelajar sekolah', tidak dapat diterima. Pelajar sekolah tidak menjadi sasaran utama penerbitan jurnal ilmiah. Terbitan bersiri untuk peringkat pelajar selalunya dalam bentuk majalah.
Satu lagi aspek tulisan Dr. Sundra Raj ialah membaurkan tentang pembacaan, penerbitan jurnal dan promosi (publisiti) tentang Arkib Negara. Di satu tempat beliau mahu Jurnal Biografi Malaysia tidak rigid agar tidak menyukarkan orang ramai dan peminat sejarah menyumbang artikel dalam jurnal itu.
Komuniti jurnal bukan `orang ramai' sebaliknya adalah satu kelompok khusus menurut bidang tertentu. Dalam hal Jurnal Biografi Malaysia sepatutnya pengkaji, penyelidik, sarjana, ahli akademik dan peminat dalam bidang pengajian biografi.
Peranan
Konsep biografi yang dibahaskan juga tidak patut disempitkan sekadar menerbitkan tentang riwayat tokoh - tetapi mengenai semua aspek pengajian biografi.
Dr. Sundra Raj juga ada menyebutkan ``... adalah tidak salah untuk menerbitkan makalah yang berbagai... Walaupun ada yang dalam bentuk soal jawab, rencana umum...'' Benar jurnal menerbitkan pelbagai bentuk rencana, tetapi tidak termasuk `rencana umum'.
Rencana umum adalah bentuk rencana untuk surat khabar atau majalah, tidak untuk jurnal, sebuah terbitan khusus sesuatu bidang ilmu.
Jurnal ini juga tidak boleh dicampurbaurkan dengan publisiti fungsi arkib. Untuk memperkenalkan dan mempopularkan koleksi arkib di kalangan orang ramai, ia tidak memerlukan jurnal - bahan promosi arkib yang lain lebih penting. Bukan fungsi jurnal untuk melakukannya. Jurnal adalah satu genre penerbitan tersendiri seperti yang Roosfa jelaskan.
Peranan mempromosi arkib ini memang isu yang menarik. Jurnal Biografi Malaysia telah menerbitkan kertas kerja Ketua Pengarah Arkib Negara bertarikh 1986 dalam keluaran JBM tahun 2005 - kira-kira 20 tahun lalu.
Kertas kerja ini tidak layak diterbitkan dalam keadaannya dan 20 tahun kemudian. Adalah lebih sesuai jika sebuah laporan yang menyambut kertas itu diterbitkan sebagai sebuah rencana yang baru dan menjelaskan perkembangan ``Peranan Arkib Negara dalam Projek Biografi Malaysia.''
Ini sekurang-kurangnya menunjukkan integriti Arkib Negara dalam menjalankan programnya. Tajuk baru rencana itu boleh berbunyi, ``Dua puluh tahun Projek Biografi Malaysia, Arkib Negara Malaysia.''
Satu lagi aspek ialah tentang penerbitan rencana, khasnya rencana ``Abdullah Munsyi - Who was he?'' Ini berkaitan bentuk, cara dan gaya, tajuk dan rencana itu diterbitkan sebagai salah satu rencana Jurnal Biografi Malaysia.
Tajuk rencana itu menunjukkan sesuatu yang terlalu mentah. Sudah banyak kajian mendalam mengenai Munsyi Abdullah yang telah diterbitkan. Jadi tajuk rencana yang terbaru tidaklah semacam satu pertanyaan yang meremehkan tokoh: `Siapakah Munsyi Abdullah.'
Memberi tajuk yang sesuai dengan melihat kajian yang lepas adalah satu aspek yang penting diperhatikan dalam menerbitkan rencana. Prinsip ini bukan terpakai untuk penerbitan jurnal sahaja tetapi untuk terbitan lain juga.
Salah satu rencana yang terdapat dalam Jurnal Biografi Malaysia ialah ``Adrian Koek - Malacca's Unsung Dutch Bergher,'' - boleh diterjemahkan secara bebas sebagai, ``Adrian Koek - Tokoh Warga Belanda.''
Setelah hampir 50 tahun Malaysia merdeka, kita masih lagi melihat sejarah tanah air kita daripada geladak kapal penjajah. Jangan pula penulis disalah faham fobia bangsa asing! Tetapi sebagai pelajar sejarah, kita harus sedar akan aliran pemikiran penulisan sejarah tanah air.
Kita tidak lagi bercakap tentang pahlawan penjajah; kita patut berbahas, menulis dan menerbitkan rencana tentang pahlawan negara kita. Mengutamakan pahlawan tanah air.
Sedikit aneh Arkib Negara Malaysia menerbitkan rencana tentang seorang penjajah. Tokoh itu patut dilihat dari perspektif pribumi, bukan melihat penjajah! Dengan menyunting tajuk rencana yang lebih berkesan, rencana ini tidaklah berbau penjajahan.
Penulis berharap sedikit pandangan ini akan mencerahkan lagi perkembangan penerbitan jurnal ilmiah tanah air. Semua kemajuan yang akan dicapai tentunya akan memberi sumbangan positif kepada semua pihak; Arkib Negara, penyelidik, ahli akademik dan pembaca lain.
- HASROM HARON ialah Pegawai Penerbitan, Penerbit UKM.
Sumber : utusan online
Kebelakangan ini heboh diperkatakan mengenai pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Sistem ini ada kebaikan dan keburukannya.
Ada pihak mempersoalkan isu penguasaan bahasa Inggeris menjadi lebih baik, ada juga yang mempersoalkan isu jati diri bangsa Melayu dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta tidak kurang juga yang melihatnya sebagai penjajahan pemikiran Barat.
Perkara sebenar yang perlu dilihat dalam isu ini ialah apakah penguasaan bahasa Inggeris yang hendak diselesaikan atau kesan tidak menguasai bahasa Inggeris menyebabkan kita ketinggalan dalam pelajaran Matematik dan Sains? Jika isu penguasaan bahasa Inggeris hendak diketengahkan, maka pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris menjadi tidak sesuai kerana seolah-olah menambahkan masalah sedia ada.
Jika isu kelemahan Matematik dan Sains disebabkan lemah penguasaan bahasa Inggeris, saya berpendapat ia tidak kukuh untuk dijadikan petunjuk kerana jika Jepun, Jerman, Korea boleh menguasai Matematik, Sains dan teknologi dalam bahasa ibunda masing-masing mengapa tidak kita?
Istilah bukan isu besar sebaliknya kesungguhan menguasai ilmu amat penting. Terjemahan boleh dibuat tanpa membabitkan pengubahsuaian hak cipta. Penting untuk kita menguasai bahasa Inggeris untuk tujuan ilmu dan penambahan ilmu namun pelaksanaannya perlu menyeluruh termasuk dalam sastera.
Mempelajari sesuatu bahasa bukan bermakna kita menjadi bangsa berkenaan tetapi penterjemahan kepada keupayaan menguasai cabang ilmu. Pengajaran bahasa Inggeris selama 11 tahun di sekolah sebenarnya cukup untuk menguasai bahasa berkenaan dengan baik tetapi ilmu tanpa amalan akan hilang.
Bahasa mesti dipraktikkan, belajar daripada kesilapan. Kekuatan bangsa terletak kepada keupayaan menguasai ilmu bukan keupayaan berbahasa Inggeris semata-mata.
SAMN,
Sungai Petani, Kedah.
Asia Tenggara seperti juga dengan bahagian-bahagian lain dunia ketiga, sedang menggeluti ledakan deras globalisasi, modeenisasi dan kolonialisme. Tiga arus utama ini telah, sedang dan pastinya akan, mempengaruhi dan menentukan rupa bentuk dan corak transformasi sosial yang bakal menjelma di sini.
Meskipun dekad kolonialisme telah lama berlalu di Asia dan Afrika, namun dilihat dari sudut geo-politik, khususnya dalam kaitan dengan `Sistem Dunia'? meminjam ungkapan Wallerstein, seorang sarjana sosiologi ekonomi terbilang? kewujudan pergantungan ekonomi, kewangan dan teknologi serta pewarisan idea, nilai, etos dan tradisi pemerintahan dan kenegaraan yang berkekalan oleh negara-negara bekas jajahan terhadap negara-negara bekas penjajah, telah menyemai kelahiran kolonial baru atau neokolonialisme.
Asia Tenggara, bagaikan tidak dapat menepis, atau ketandusan ilham diri, atau malah kehilangan kiblatnya sendiri, sehingga tidak dapat tidak terpaksa menjejaki model, bentuk dan acuan modernisasi yang telah pun mencapai puncaknya di Barat, dan sekali gus terbeban untuk turut merasai dan menelan segala pahit, manis dan masamnya laluan sejarah dan pengalaman modeenisasi tuan-tuan penjajahnya terdahulu.
Dalam situasi sebegini, jalur globalisasi bagaikan arteri yang sentiasa mengunjur sehala, merembeskan segala ideologi dan utopia untuk diserap segenap warga, masyarakat dan negara di sebelah sini.
Meskipun benar, dunia Barat tidak dapat dinafikan merupakan nadi dan arkitek yang mengilhamkan rupa bentuk sistem dunia masyarakat dan negara moden masa kini, namun untuk mengandaikan bahawa Asia, atau Asia Tenggara khususnya sebagai suatu bejana kosong adalah satu kekeliruan atau malah kebebalan yang tidak berakar.
Ini adalah persoalan yang menjadi perbahasan dalam buku berjudul, Local and Global: Social Transformation in Southeast Asia - Essays in Honour of Professor Syed Hussein Alatas, suntingan Riaz Hassan, profesor Sosiologi di Universiti Flinders, Australia.
Tiga aspek utama transformasi yang ditelusuri dalam buku ini adalah pembangunan dan perubahan sosial, peranan kaum intelektual, dan nilai agama dan budaya.
Kaum pribumi di Asia Tenggara amat beruntung kerana selain tiga tema di atas, rakaman sejarah sosial masyarakat di sini, sejak lima dekad yang lalu, bermula dari era kolonialisme, perjuangan menuntut kemerdekaan dan pengisiannya, serta pertentangan ideologi kapitalisme, sosialisme dan Islam, telah dilakukan secara amat mendalam, kritis dan original oleh puteranya sendiri, iaitu Profesor Syed Hussein Alatas. Maka itu, adalah amat bertepatan sekali apabila buku ini diterbitkan sebagai satu penghormatan kepada beliau.
Buku ini memuatkan 17 rencana yang ditulis oleh para sarjana sains sosial tempatan dan luar dari seluruh dunia, yang pernah menjadi pelajar atau rakan Alatas. Lima bab di dalam buku ini menyingkap semula pemikiran Alatas dalam pelbagai isu - mitos pribumi malas; Islam, sosialisme dan Marxisme, tradisi intelektual sains sosial; Islam dan sosialisme; dan Islam progresif dan demokrasi - sementara bab-bab yang selainnya membahas pelbagai tema yang pernah disinggung oleh beliau.
Profesor Alatas adalah sarjana sains sosial dan intelektual terunggul di Malaysia. Tulisan beliau yang mencakupi pelbagai isu - agama, pembangunan, korupsi, politik, ideologi, kapitalisme kolonial, intelektual dan teori sosial - bukan sahaja sering diikuti, ditekuni dan dibahas di Malaysia, Singapura dan Indonesia, malah turut mendapat perhatian sarjana antarabangsa. Edward Said, pemikir ulung yang disifatkan sebagai pengembang tradisi oksidentalisme, dalam bukunya Culture and Imperialism, memuji penelitian Alatas terhadap idea kolonial tentang watak malas pribumi.
Menurut Alatas, pandangan penjajah tersebut lebih bersifat cemuhan terhadap kaum pribumi kerana dorongan rasa tidak puas hati mereka di atas keengganan masyakarat pribumi untuk turut terlibat dalam skema ekonomi kapitalis kolonial.
Hans-Dieter Evers, Profesor Pengajian Asia, di Universiti Bonn, salah seorang penyumbang dalam buku ini melalui tulisnanya, `Global Knowledge: The Epistemic Culture of Development' menyifatkan karya Alatas, The Myth of the Lazy Native, sebagai salah satu karya paling menawan yang ditulis mengikut garis tradisi Karl Manheim tentang sosiologi ilmu.
Masyarakat berilmu bukanlah masyarakat yang hanya memiliki lebih ramai pakar dengan segala perkakasan teknologinya, sebaliknya, apa yang lebih utama adalah masyarakat tersebut haruslah berwatak sedar dan menjiwai budaya ilmu. Menurut Hans-Dieter kemunculan dan pertumbuhan masyarakat berilmu atau dalam ungkapannya masyarakat yang berbudaya epistemik', sering kali pula ditandai dengan pertumbuhan kejahilan.
Suatu petang, sewaktu berkunjung ke rumahnya, penulis bertanya, ``Bagaimana pandangan prof. dengan tahap pemikiran masyarakat kita sekarang, berbanding tahun-tahun 60-an atau 70-an, adakah kita semakin maju.'' Seperti biasa, prof. tidak terus menjawab. Beliau diam seketika. Wajah seriusnya memberi isyarat beliau sedang berfikir dalam. Sambil menyedut paipnya dalam-dalam beliau merenung tajam penuh makna kepada penulis, dan menjawab ringkas, ``Merosot''.
Seperti yang pernah diungkapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi satu ketika dahulu, masyarakat kita meskipun telah memiliki prasarana kelas pertama, malangnya masih memiliki mentaliti kelas tiga.
(lihat artikel penuh di utusan online - 17/10/2005)
Oleh: RAMLI ABDUL SAMAD
Internet mula muncul di dunia secara meluas mulai tahun 1960-an. Pada peringkat awal pembinaan, Internet adalah milik eksklusif pihak tentera Amerika Syarikat (AS). Internet dibina oleh Pentagon dan hampir keseluruhan pembiayaan Internet adalah ditanggung oleh AS. Negara itu merasakan bahawa ia mempunyai peranan sebagai penggelola Internet sedunia. Ia adalah pengurus Internet dunia. Kemudian, pengurusan Internet diserah kepada Jabatan Perniagaan (Commerce Department) sebelum pada tahun 1998, sebuah syarikat swasta yang tidak membuat keuntungan bernama Internet Corporation for Assigned Names and Numbers (ICANN) diberi kuasa mengurus Internet meskipun kuasa veto mengenai Internet masih ada pada Jabatan Perniagaan AS. ICANN dijangka mendapat autonomi penuh daripada Jabatan Perniagaan AS pada 26 September 2006. Banyak negara mempunyai rasa khuatir dan mereka mahu kepastian yang semakin mereka bergantung pada Internet bagi perkhidmatan kerajaan dan sebagainya, rencana mereka tidak akan terjejas jika dasar-dasar mendatang AS mengenai Internet berubah.
Seperti sedia maklum Internet sudah menjadi kemudahan biasa yang diguna oleh banyak negara di seantero dunia. Internet begitu penting dari segi komunikasi baik untuk tujuan persendirian mahupun perniagaan, tambah-tambah lagi buat masa sekarang.
Internet menjadi keperluan asas bagi dunia moden tetapi orang yang mengurus sebenarnya adalah AS. Sehingga kini AS adalah pengurus mutlak Internet. Ia bagaikan pengurus solo, tiada negara-negara lain yang terlibat. Ia adikuasa dalam hala laluan trafik digital global. Maknanya dari satu segi ia berkuasa bagi menentukan direktori induk. Ia antara lain berkuasa memberi alamat domain kepada Internet untuk mana-mana negara. Ia berkuasa untuk menentukan alamat internet protokol (Internet Protocol Address).
Sekarang alamat internet protokol menjadi isu kerana sudah banyak yang dinikmati oleh negara maju. Pemberian alamat Internet protokol adalah hak AS. AS menguasai ``root zone files'' ini sejak Internet bermula. Misalnya jika kerajaan kita ingin satu lagi alamat Internet protokol, ia harus memohon terlebih dahulu.
Pengguna Internet berhubung antara satu tanpa menyedari bahawa program Internet seperi WWW dan e-mel adalah dikendalikan oleh pihak ICANN. Badan itu boleh membuat sesuatu agar pengguna tidak mungkin dapat memanfaatkan program-progam berikut. Pengguna pun jarang mempersoalkan perkara itu.
Pengguna tidak pernah menyoal siapa yang mengawal alamat-alamat yang komputer boleh saling berhubung. Negara-negara sedang membangun tidak mungkin memperoleh lebih alamat-alamat yang diingini. Sekarang negara seperti AS dan Kesatuan Eropah yang banyak mendapat penghalaan Internet.
Internet termasuk dalam bidang sistem maklumat dunia. Badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) prihatin dengan kedudukan AS sebagai pengurus tunggal Internet. Kesatuan Eropah turut merasa tidak senangnya dengan realiti bahawa AS adalah pengawal tunggal Internet.
Maka di Geneva pada bulan September lalu, Kesatuan Eropah telah membangkitkan isu pengawal Internet yang selama ini dikuasai oleh AS. Kuasa besar itu membantah keras dengan saranan Kesatuan Eropah dan wakil-wakil lain seperti dari Iran dan Brazil.
AS menyatakan ia tidak bersetuju dengan saranan itu. AS masih bertekad bahawa ia layak menjadi pengawal tunggal kerana selama ini Internet telah berjalan lancar dan andainya pengawalan ini dikongsi bersama maka akan wujud masalah birokrasi yang tidak diingini. Malahan Presiden Bush terus menegaskan bahawa AS akan meneruskan peranan sejarahnya di dalam urusan membuat perubahan atau pengubahsuaian terhadap isu `root zone files'.
Dengan itu beliau bermaksud juga AS akan memelihara keselamatan dan kestabilan perihal aspek teknikal Internet.
(Lihat artikel penuh di utusan online - 18/10/2005)
Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
Namun begitu, bulan Ramadan bukan sekadar hanya untuk mengisi ibadah spiritual kita, malah untuk mempertingkatkan ibadah mental yang perlu dibajai kerana kefahaman ilmulah yang akan menjelaskan hakikat puasa.
Bukankah dalam Ramadan, kita dituntut untuk membaca al-Quran, bukankah al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadan? Kesemuanya ini tentu memberi konotasi bahawa ibadah puasa adalah pembebasan diri daripada amarah, dari `dunia', daripada segala yang menghalang jalan pendakian yang lebih tinggi dan tenang untuk melihat rahsia semesta manakala membaca al-Quran dengan penuh kefahaman ilmu `memerdekakan' minda kita daripada segala kebelengguan kejahilan.
Bukankan Rasulullah s.a.w pernah bersabda: ``Umatku yang paling mulia adalah yang memahami al-Quran dan beribadah di malam hari.''
Tentunya seruan Nabi besar ini menyeru membaca al-Quran dengan penuh kefahaman dan bukan sekadar bacaan dalam konteks literal semata-mata. Kita tentu memerlukan kitab-kitab tafsir bahkan tafsiran hermeneutik (tafsir dan takwil) daripada pelbagai kitab tafsir.
Ada `bermacam-macam' kitab tafsir sama ada yang klasik atau kontemporari. Ada tafsir Jalalain, tafsir Ibn Katsir, tafsir Al-Kabir Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha, tafsir Al-Azhar karya Buya Hamka, tafsir Al-Mizan karya Hussein Thabatabai' dan pelbagai kitab tafsir lain lagi.
Kesemuanya ini memberi indikasi bahawa al-Quran perlu difahami dengan sedalam-dalamnya sesuai dengan dinamisme al-Quran sebagai kalam Allah dan kitab induk ilmu pengetahuan.
Gesaan ini juga memberi gambaran bahawa detik awal sinar Islam ke dunia ini bermula dengan pancaran cahaya wahyu Ilahi melalui kalimah `Iqra yang melambangkan `ilmu', yang terangkum di dalamnya makna membaca, mengkaji, menyelidik, berfikir (tafakur). Memahami kalimah `Bismi Rabbika' pula melambangkan kemuncak keikhlasan.
Bukankah Allah sendiri menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. supaya berdoa untuk menambahkan ilmu seperti maksud firman-Nya dalam Surah Thaha:114; ``Katakanlah! (Pohonlah, Wahai Muhammad) Ya Tuhanku! Tambahkanlah ilmu pengetahuan''.
Di antara pengajaran ayat ini memberitahu kepada kita bahawa ilmu adalah dipinta dan dipohon (doa) dan usaha manusia mencapainya adalah melalui pembacaan, pengkajian, penyelidikan, berfikir dan lain-lain usaha keilmuan.
Bertambah
Ia juga menerangkan ilmu tidak ada batas penghabisannya. Penemuan satu ilmu akan membuka banyak pintu ilmu yang lain. Semakin ilmu bertambah semakin luas daerah kejahilan. Dan paling penting lagi bahawa pertambahan ilmu adalah untuk menambahkan ketakwaan.
Seharusnya slogan ``sehari daripada usia hidupku berlalu tanpa bertambah ilmuku, aku tidak diberkati Allah'' menjadi teras dan syiar kehidupan kita.
Budaya membaca untuk menambahkan ilmu sebenarnya adalah `tugas suci' yang merupakan intisari dari falsafah `Iqra' itu sendiri. Amat malang sekali, umat Islam yang dikatakan umat terbaik, ikutan terbaik mewarisi budaya membaca yang rendah.
Rakyat Malaysia termasuk umat Islam dikatakan membaca dua buku setahun mengikut Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 1996 yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia dan kadar membaca ini amat rendah bagi sebuah negara seperti Malaysia yang ingin maju sepenuhnya pada tahun 2020.
Lihatlah masjid-masjid di sekitar yang tidak mempunyai perpustakaan yang lengkap beserta kemudahan yang sewajarnya, berisi bahan-bahan bacaan terkini mahupun bahan bacaan yang klasik, sedangkan kita mampu membina sebuah masjid yang cantik dan tersergam indah tetapi gagal mengisi persekitaran ilmu dan intelektual para jemaah masjid dan masyarakat Islam amnya.
Kita hanya pasrah dan berpuas hati dengan pengajian kitab yang diajarkan oleh para ustaz tanpa ingin merujuk selanjutnya pada kitab-kitab lain atau buku-buku di perpustakaan masjid. Akhirnya para jemaah menjadi pendengar yang khusyuk tanpa ada sikap kritis dalam memahami agama dan menerima apa sahaja yang dilontarkan oleh para ustaz, dan yang berkembang akhirnya adalah `tradisi mendengar'. Secara logiknya, budaya membaca umat Islam sepatutnya sudah lama dipupuk dan mempunyai minat membaca yang tinggi ekoran aktiviti keilmuan di masjid.
Berpuasa sememangnya diakui mampu meningkatkan kesihatan mental dan fizikal. Socrates dan Plato pernah melakukannya selama sepuluh hari demi memperoleh pencerahan fikiran. Phythagoras berpuasa selama 40 hari sebelum mengajar ilmunya di Universiti Alexandria. Contoh kecil ini menunjukkan kedekatan ibadah puasa dengan penghayatan membaca dan budaya ilmu kerana `perut' yang lapar, akan mampu membuat kita berfikir dengan waras dan penuh keinsafan.
Sekiranya berpuasa dalam bulan Ramadan itu memurnikan tubuh kita dengan mengusir racun dan membersihkan sistem pencernaan tubuh kita, maka ia dengan sendiri akan mampu mencerahkan pemikiran kita. Ketika inilah membaca sebagai wahana atau alat yang mengenyangkan minda akan berperanan dengan penuh makna.
- SHAHAROM TM SULAIMAN ialah Pensyarah Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
ISU BAHASA DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA:
PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS
LATAR BELAKANG
Pada tahun 1993, Perdana Menteri waktu itu, Dr. Mahathir Mohamad membuat pengisytiharan bahawa semua kuliah sains dan tekonologi di universiti hendaklah disampaikan dalam bahasa Inggeris. Keputusannya itu bertentangan dengan pendiriannya pada awal tahun 1970-an ketika menjadi Pengerusi Majlis Universiti Kebangsaan Malaysia, yang dengan tegas menyatakan bahawa bahasa Melayu mestilah dijadikan bahasa penghantar utama untuk semua kursus di universiti.
Pada waktu itu, kumpulan-kumpulan cendekiawan yang faham dan masih kental semangat kebangsaannya mengadakan pertemuan demi pertemuan dan gerakan menasihati kerajaan agar tidak melaksanakan keputusan Perdana Menteri. Sebahagian besar memorandum, resolusi dan pernyataan serta makalah yang membantah keputusan telah diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 1996 dalam buku yang berjudul Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa, dengan Allahyarham Asraf sebagai editornya. Kebetulan ketika itu masih ada tenaga unggul dalam kepemimpinan negara yang menjadi penaung kepada gerakan kebangsaan sehingga akhirnya keputusan itu senyap begitu sahaja.
Tidak sampai 10 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2002, Perdana Menteri yang sama membuat pengumuman bahawa mata pelajaran sains dan matematik di sekolah akan diajarkan dalam bahasa Inggeris pada tahun berikutnya, iaitu tahun 2003. Inilah rasanya kali pertama dalam sejarah negara ini satu dasar baru (yang tidak pula berdasarkan pindaan Akta Pendidikan) yang merombak dasar selama puluhan tahun dilaksanakan dalam tempoh yang cukup singkat, iaitu satu tahun. Orang yang tidak lupa kepada sejarah dasar dan sistem pendidikan di negara ini tentu masih ingat bahawa dasar pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan yang digagaskan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 hingga diterapkan dalam Akta Pelajaran 1961, baru dilaksanakan dengan pesat pada tahun 1970 apabila Abdul Rahman Ya`kub (kini Tun Patinggi) menjadi Menteri Pelajaran. Ertinya untuk melaksanakan dasar yang menjadi acuan pembentukan generasi baru yang bersatu padu dan memperoleh ilmu serta sistem nilai melalui satu bahasa kebangsaan hanya dapat dimulakan berbelas-belas tahun kemudian.
Kemudian apabila kerajaan mendapati perlunya sistem pendidikan yang menekanakan aspek manusiawi, maka Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pelajaran ketika itu membuat kajian dan menerbitkan kajian itu pada tahun 1979. Sebagai hasil rumusan dan syor jawatankuasa tersebut, dirancang pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Ternyata bahawa permulaan pelaksanaan dasar dan sistem baru itu mengambil waktu lapan tahun kerana hanya dilaksanakan pada tahun 1988.
DASAR YANG MENIMBULKAN TANDA TANYA
Setelah terlaksana Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama selama kira-kira 30 tahun, dengan kejayaan melahirkan tidak kurang 5.4 juta lepasan di peringkat SPM yang sebahagiannya kemudian melanjutkan pengajian di peringkat tinggi dan menjadi tenaga penggerak pembangunan negara dalam pelbagai bidang, dilakukan perubahan yang cukup drastik. Sudah ada ribuan profesor dan ahli akademik dalam pelbagai bidang yang lahir daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan. Sudah banyak ahli profesional dalam pelbagai bidang yang juga lahir daripada sistem pendidikan negara yang berteraskan bahasa kebangsaan. Adakah Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan telah gagal? Jika benar, manakah kajian yang dijalankan yang membuktikan kegagalan itu?
Selain tiada kajian yang dijalankan tentang Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan, dalam konteks penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama, tiada juga kajian yang dilakukan untuk melaksanakan dasar baru penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar sains dan matematik. Tiada perundingan yang dilakukan dengan pakar-pakar pendidikan, ahli-ahli bahasa dan pihak-pihak berkepentingan yang lain. Barangkali ada perundingan dengan pihak tertentu secara eksklusif yang tidak diketahui dengan pasti siapa dan apa inti pati perundingan itu, sedang bidang pendidikan merupakan bidang yang menentukan nasib semua rakyat. Bahkan tiada sama sekali dilakukan cuba uji melalui projek rintis di sejumlah sekolah seperti yang lazimnya dilakukan dalam pelaksanaan mana-mana sistem yang baharu.
Seminar, forum, dialog, memorandum dan pernyataan media yang mengemukakan bantahan atau sekurang-kurangnya permintaan agar ditangguhkan pelaksanaan dasar baharu itu hampir-hampir tidak diendahkan. Persatuan Linguistik Malaysia, misalnya, banyak menganjurkan forum, perbincangan, penyediaan memorandum, surat dan pernyataan media tentang isu tersebut tetapi tidak tampak reaksi dan respons yang positif daripada pihak berkuasa. Pertemuan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Perdana Menteri pada waktu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya yang kini menjadi Perdana Menteri pada tahun 2002, dan juga pertemuan Kumpulan Prihatin dengan Perdana Menteri baru pada tahun 2005, di samping beberapa pertemuan dengan Menteri Pendidikan dan beberapa orang pemimpin lain tampaknya tidak menyebabkan sebarang perubahan dalam pelaksanaan dasar tersebut.
Resolusi Kongres Pendidikan Melayu Kedua pada 26 – 27 Mac 2005 yang mendesak ditangguhkan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris pun dipandang sepi. Malah beberapa hari sesudah tamat kongres itu, Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri mengumumkan bahawa dasar itu diteruskan, walaupun dalam ucapan penutupan kongres beliau berjanji bahawa kerajaan akan membuat kajian yang mendalam untuk menimbangkan keputusan meneruskan atau menangguhkan dasar baharu itu. Sejarah baharu telah berlaku di negara ini sekali lagi apabila “kajian mendalam” selesai dalam tempoh hanya tiga hari! Yang bangkit bersuara orang-orang yang sama, yang telah dianggap fanatik, ekstrem, jumud dan pernah didakwa pengkhianat, kerana kononnya menghalang anak bangsa menjadi pandai dan menghalang anak bangsa menguasai bahasa asing – suatu fitnah besar yang dilontarkan kepada para pejuang bahasa sebagai usaha menutup isu yang sebenarnya. Tiada seorang pun pejuang bahasa yang menafikan pentingnya penguasaan bahasa asing, malah mereka monyokong apa-apa langkah meingkatkan penguasaan bahasa yang dapat membantuk kemajuan bangsa dan negara. Isu yang dibangkitkan ialah peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahas ilmu dalam proses peningkatan pengusaan bahasa asing – hal yang tidak wajar berlaku kerana maruah dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan tonggak tamadun bangsa tidak patut digadaikan atas alasan apa pun. Apabila Persatuan Linguistik Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan Siri Bicara Bahasa (siri1 - 20) sebagai wadah membahaskan isu tersebut, ada arahan lisan yang “mengharamkan” terbitan itu daripada diedarkan.
IMPLIKASI KEPADA BANGSA DAN NEGARA
Beberapa kajian ilmiah di peringkat sarjana dan kajian institusi serta individu tertentu menunjukkan bahawa pelaksanan dasar baharu itu telah menunjukkan tanda awal bencana dan padah yang bukan kecil. Implikasi negatif yang cukup segera dirasakan daripada pelaksanaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, terutama oleh anak-anak di luar bandar yang majoritinya orang Melayu ialah gangguan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik disebabkan oleh faktor penggunaan bahasa asing.
Pelajar mengalami masalah kerana terpaksa memindahkan konsep-konsep sains dan matematik daripada bahasa asing ke dalam bahasa ibundanya dalam keadaan pelajar tidak atau belum menguasai bahasa asing itu. Bilangan pelajar yang terlibat dengan pelaksanaan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sehingga tahun 2004 ialah 1.88 juta orang. Jika sekalipun 50% daripada mereka yang tinggal di kawasan bandar dianggap menguasai bahasa Inggeris, namun terdapat hampir 1 juta (0.94 juta), terutama pelajar di luar bandar yang menghadapi masalah pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hakikat yang penting ialah bahawa golongan pelajar yang paling banyak menjadi mangsa daripada pelaksanaan dasar tersebut terdiri daripada anak-anak bangsa Melayu.
Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nor Hashimah Jalaluddin (2004) menunjukkan ketidaksediaan pelajar belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggerus. Kenyataan tersebut tergambar pada dapat kajian bahawa 75% pelajar tidak setuju sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris, 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan sains dan matematik dengan berkesan, 71% meminati sains dan matematik kerana diajarkan dalam bahasa Melayu, 70% yakin akan cemerlang dalam sains dan matematik jika diajarkan dalam bahasa Melayu. Kajian DBP-UKM pada tahun 2004 tentang persepsi pelajar menunjukkan bahawa amat rendah tahap kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kesediaan mereka belajar sains dan matemtik sepenuhnya dalam bahasa Inggeris hanya 5.9% (untuk sains) dan 5% (untuk matematik).
Yang lebih malang lagi, kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM (2004) menunjukkan penurunan prestasi yang cukup mencemaskan dalam kalangan pelajar yang terlibat dalam mata pelajaran sains, matematik, bahasa Inggeris dan bahkan bahasa Melayu. Dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 2 pada tahun pengajian 2004 (pelajar yang mula belajar sains dan matematik di tingkatan 1 pada tahun 2003 dalam bahasa Inggeris), peratus pelajar yang mendapat gred cemerlang (gred A) bagi mata pelajaran sains hanya 11.9% dan bagi mata pelajaran matematik hanya 16.9%. Hampir separuh daripada sampel yang dikaji (45.49%) mendapat gred gagal dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. Bagi mata pelajaran bahasa Inggeris pula, hanya 10.4% yang mencapai gred A. Malang sekali apabila yang mencapai gred A dalam mata pelajaran bahasa Melayu hanya 18.7% dan 16.7% malahan gagal (mendapat gred E). Kejatuhan prestasi dalam mata pelajaran bahasa Melayu itu barangkali disebabkan kekeliruan yang terjadi pada guru dan juga pelajar dalam tempoh peralihan yang mengejut pelaksanaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik.
Pihak yang sangat penting dalam pelaksanaan dasar tersebut, iaitu guru sendiri menghadapi masalah yangbesar amat besar. Daripada sejumlah 181,340 orang guru di sekolah rendah pada tahun 2004, dianggarkan kira-kira 80,000 orang terlibat dalam pengajaran sains dan matematik dan semuanya terlatih dalam bahasa Melayu yang dijadikan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara sejak tahun 1970. Dengan pelaksanaan dasar tersebut secara mendadak, dapat dipastikan berlakunya masalah pengajaran yang dihadapi oleh guru-guru. Kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM pada tahun 2004 di 242 buah sekolah menengah di seluruh negara menunjukkan bahawa guru tidak mempunyai kesediaan untuk mengajarkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hanya 54.7% guru sains dan 62.2% guru matematik yang mampu menerangkan konsep sians dan matematik dalam bahasa Inggeris. Satu kajian lain yang dijalankan pada tahun 2004 dengan jelas menunjukkan bahawa 81% guru mahu sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu, 72% mengatakan bahawa pencapaian pelajar dalam sains da matematik akan lebih cemerlang jika diajarkan dalam bahasa Melayu, dan 79% berpendapat bahawa pelajar lebih dapat menumpukan perhatian jika kedua-dua mata pelajaran itu diajarkan dalam bahasa Melayu.
Jelas bahawa proses pengajaran dan pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak dapat mencapai hasrat untuk meningkatkan pelajar kita dalam bidang-bidang tersebut, malah sebaliknya menurunkan penguasaan mereka dalam bidang-bidang berkenaan. Dalam jangka lima tahun pelaksanaan dasar baharu ini, dijangka ratusan ribu pelajar akan gagal atau tidak cemerlang pencapaiannya dalam sains dan matematik dan fenomena ini melibatkan majoriti pelajar di luar bandar yang jelas terdiri daripada anak-anak Melayu. Implikasi ini secara langsung menjejaskan keutuhan bangsa Melayu yang memang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang di negara ini. Bidang pendidikan yang diharapkan dapat melonjakkan citra dan martabat bangsa Melayu akan sebaliknya menjadi alat yang menjatuhkan bangsa Melayu sendiri.
Daripada segi sosial dan politik, kesan-kesan buruk daripada pelaksanaan dasar baharu ini akan menggoncang kestabilan sosial dan politik negara, disebabkan akan wujud ketidakseimbangan pencapaian akademik yang akhirnya melebarkan jurang antara kaum dan kelas masyarakat. Usaha kerajaan untuk menyeimbangkan pencapaian anak-anak Melayu dalam bidang pendidikan, dan seterusnya dalam bidang profesional akan terjejas dengan teruknya dan keyakinan orang Melayu kepada pemimpin dan parti teras pemerintah negra, iaitu UMNO akan merosot atau hilang. Kehilangan keyakinan itu akan melemahkan kekuatan politik Melayu yang diharapkan dapat menjamin keutuhan bangsa apabila, misalnya pengundi Melayu sendiri mengalihkan sokongan mereka kepada parti lain sebagai tanda protes. Sekali lagi pemimpin kita cukup bertolak ansur apabila sekolah kebangsaan diwajibka mematuhi arahan dasar baru tetapi pada waktu yang sama sekolah jenis kebangsaan diberi izin meneruskan penggunaan bahasa ibunda (di samping bahasa Inggeris) untuk mengajarkan sains dan matematik. Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri yang memang ditubuhkan untuk memajukan bahasa kebangsaan, menjelang pelaksanaan dasar baru itu telah dilarang menerbitkan buku teks pilihan dalam bahasa Melayu bagi sains dan matematik untuk kepentingan anak-anak Melayu di luar bandar. Mulia sungguh hati budi pemimpin Melayu!
Kini peribahasa “lulus jarum luluslah kelindan” sudah mula berlaku di Institusi Pengajian Tinggi Awam apabila semua universiti kerajaan telah mula melaksanakan dasar ke arah pengajaran subjek-subjek sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, sebagai suatu kelanjutan logis daripada dasar yang dilaksanakan di peringkat sekolah. Universiti tiada pilihan lain kerana pelanggan yang diterima merupakan mereka yang telah dilatih dalam bahasa Inggeris. Yang menghairankan ialah bahawa apabila Naib Canselor Universiti Putra Malaysia membuat pengumuman pada sekitar bulan Ogos 2004 bahawa universiti itu akan melaksanakan pengajaran dalam bahasa Inggeris bagi kursus-kursus sains dan teknologi, Timbalan Perdana Menteri sendiri membuat kenyataan bahawa langkah itu bertentangan dengan dasar pendidikan negara. Dalam akhbar sekitar bulan Jun atau Julai 2005, tersiar pula dalam akhbar teguran kepada universiti awam yang lewat melaksanakan pengajaran kursus sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris. Apakah ertinya semua ini? Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan sebagai mercu tanda Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama, menurut sumber dalaman, telah sedia untuk melaksanakan dasar baru itu.
Akhirnya, kita akan menyaksikan kesan-kesan yang berikut daripada penarikan semula dasar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama:
1. AKIBAT KEPADA BAHASA MELAYU
Proses menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu dan bahasa moden akan terhenti. Sebaliknya bahasa Melayu akan terperosok sebagai bahasa pasar sahaja. Istilah yang telah dicipta yang telah mencecah hampir satu juta untuk ratusan bidang ilmu, termasuk ilmu terkini seperti aeroangkasa, dengan pelibatan beratus-ratus pakar bidang ilmu, tidak akan digunakan dan istilah baru tidak akan dicipta lagi. Buku dalam bidang sains, perubatan, ekonomi, perniagaan dan teknologi tidak akan diterbitkan dalam bahasa Melayu kerana tidak akan ada lagi pembacanya. Kedudukan bahasa Melayu dalam semua bidang, terutama dalam bidang ilmu dan perniagaan di negara bertuah Malaysia ini akan jatuh ke nombor tiga di bawah bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.
Amatlah mencemaskan bahawa pada satu waktu kelak bahasa Melayu hanya menjadi bahasa penghantar bagi kira-kira 20% sahaja, iaitu bagi mata pelajaran yang bukan tergolong dalam sains dan teknologi. Selalu dihujahkan bahawa perubahan ini hanya bagi dua mata pelajaran sahaja. Hakikatnya jauh berbeda.Yang berikut ini ialah unjuran yang dapat dirumuskan daripada perancangan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran:
• Sekolah Rendah:
BM 60%; BI 40%
• Sekolah Menengah:
Tingkatan 3: BM 62%; BI 38%
Tingkatan 4 & 5 Sastera: BM 56%; BI 44%
Tingkatan 4 & 5 Sains: BM 36%; BI 64%
Tingkatan 4 & 5 Biologi: BM 33%; BI 67%
Tingkatan 4 & 5 Reka Cipta: 32%; BI 68%
Tingkatan 4 Akaun: BM 47%; BI 53%
SPM: BM 29%; BI 71%
Tingkatan 6 Sastera: BM 60%; BI 40%
Tingkatan 6 Sains dan Matrikulasi: BM 20%; BI 80%
• Peringkat Universiti:
BM: Kursus Sastera dan Pengajian Islam; BI: Semua kursus lain
(Catatan: Malah ada kursus sastera di universiti tertentu yang diwajibkan dikuliahkan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris)
2. AKIBAT KEPADA PELAJAR-PELAJAR MELAYU
Kesannya kepada pelajar, terutama pelajar Melayu daripada sudut penguasaan ilmu sains dan matematik buruk sekali. Kajian menunjukkan pelajar yang masih belum mempunyai kemahiran kecekapan bahasa yang asas akan menghadapi masalah untuk membaca buku teks, berdailog, berdebat dan memberikan gerak balas bertulis dalam ujian dan peperiksaan. Inilah masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Melayu kini. Masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya menuding jari kepada pelajar dan guru bahawa mereka mahu mencari jalan mudah. Belum terbukti di mana-mana pun alat teknologi mampu menggantikan guru di bilik darjah. Yang perlu diingat, wajarkah kita memperjudikan nasib masa depan anak bangsa kita dengan menggunakan kaedah yang tidak, atau sekurang-kurangnya belum terbukti berhasil di mana-mana di muka bumi ini? Seorang bernama Steven Lee telah membangkitkan hal ini dalam Berita Harian 19 April 2005 bertajuk, “Pendekatan Pembelajaran Bukan Boleh ‘Dicuba-cuba’”.
3. AKIBAT KEPADA MEDIA MASSA BERBAHASA MELAYU
Tahun 60-an dulu tulisan Jawi dikeluarkan daripada bilik darjah. Akibatnya, hari ini ramai orang Melayu yang buta Jawi. Akhbar Utusan Melayu dulu menjadi lidah dan alat perjuangan bangsa Melayu. Kini Utusan Melayu dalam keadaan nazak, tidak lagi mampu menjadi wadah pemikiran dan penyatuan umat Melayu. Inilah yang akan berlaku kepada media berbahasa Melayu 20 tahun dari sekarang. Akhbar Melayu tidak akan lagi memuatkan ruangan teknologi, kesihatan, ekonomi, perniagaan, komputer dan lain-lain kerana tidak akan ada pembacanya. Pembaca akhbar nanti tidak lagi menguasai istilah dalam bidang-bidang ini dalam bahasa Melayu. Bolehkah akhbar hidup tanpa ruangan ekonomi, perniagaan, kesihatan, sains, teknologi dan sebagainya? Lihat saja Utusan
Melayu. Itulah gambaran masa depan akhbar arus perdana berbahasa Melayu. Pada hari ini pun, di negara Malaysia yang kita cintai ini, edaran akhbar terbesar berbahasa Melayu jatuh ke nombor tiga di bawah akhbar berbahasa Mandarin dan Inggeris. Bayangkan 10 tahun dari sekarang akibat penukaran bahasa penghantar 80% mata pelajaran di sekolah ke dalam bahasa Inggeris.
3. AKIBAT POLITIK KEPADA ORANG MELAYU DAN UMNO
Kemerosotan kedudukan bahasa Melayu, kelemahan pelajar Melayu menguasai ilmu-ilmu sains, teknologi dan matematik serta kemerosotan akhbar Melayu akan membawa padah politik yang cukup menggerunkan bagi UMNO dan umat Melayu. Bagaimanakah UMNO mahu mempengaruhi orang Melayu kalau akhbar arus perdana Melayu nanti sudah seperti Utusan Melayu hari ini – amat tipis, terbit hanya seminggu sekali, kecil jumlah edarannya dan tidak lagi berupaya menggembleng pemikiran orang Melayu? Dengan serangan globalisasi dan masuknya pelbagai aliran fahaman Islam dari luar, pandangan dan pegangan hidup umat Melayu pastinya akan bertambah rencam dan berserpihan. Dan pada waktu itu alat yang ampuh untuk mempersatukan pemikiran mereka, iaitu bahasa, sudah tidak bertenaga lagi untuk berbuat demikian.
Kos budaya, pendidikan dan politik bagi penyelewengan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan ini terlalu menggerunkan untuk diabaikan. Apa yang dikatakan sebagai perubahan bahasa penghantar dua mata pelajaran sahaja sebenarnya akan membawa durjana kepada bangsa Melayu. Inilah akibatnya apabila kita melompat sebelum berfikir panjang.
SESAT DI HUJUNG JALAN BALIK KE PANGKAL JALAN
Pihak yang mendakwa dirinya kritis sering bertanya: Apakah penyelesaian terhadap masalah yang ditimbulkan oleh pejuang-pejuang kebangsaan itu? Sebenarnya masalah yang sedang kita hadapi ini merupakan hasil ciptaan kita sendiri. Lain yang luka lain yang dibebat. Kita sudah mempunyai Dasar Pendidikan yang telah terbukti mantap. Ini tidak bermakna bahawa pelaksanaan dasar ini tidak mengalami masalah. Terdapat masalah mutu pendidikan sekolah kebangsaan, terdapat kelemahan disiplin, masih tidak cukup ruang untuk membuka minda pelajar menjadi kreatif dan dalam konteks isu yang sedang kita bincangkan ini, terdapat kelemahan yang ketara dalam hal penguasaan sejumlah pelajar dalam bahasa Inggeris.
Cara menyelesaikan masalah ini ialah dengan menentukan fokus dan membuat diagnosis yang betul. Kita harus memfokuskan perhatian untuk menyelesaikan masalah ini, bukan mengundang masalah baru dengan mencipta kaedah yang belum teruji di mana-mana pun. Antara yang perlu difikirkan dan disusuli dengan tindakan oleh kerajaan dalam menangani masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar termasuklah:
1. Dalam hubungan dengan isu yang sedang dibicarakan ini kita harus memfokuskan perhatian kepada masalah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar di sekolah dengan menggunakan kaedah yang lebih kemas kini dan berkesan dan memberikan latihan yang sempurna kepada guru bahasa Inggeris. Hampir semua negeri di negara ini masih menghadapi kekurangan guru bahasa Inggeris yang terlatih. Sering dibangkitkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris sebahagian daripada guru bahasa Inggeris itu sendiri tidak memuaskan.
2. Mungkinkah pengajaran bahasa dijalankan dengan sempurna dalam kelas yang melebihi 40 orang, terutama pada peringkat darjah satu? Di negara yang maju, jumlah pelajar setiap kelas di sekolah rendah kecil sekali sehingga tidak sukar bagi guru mengawal kelas dan memberikan perhatian kepada setiap pelajarnya.
3. Di Amerika, tempat terdapatnya ramai pelajar berbahasa ibunda asing, bahasa Inggeris diajarkan secara tuisyen, satu pelajar satu guru bagi pelajar yang lemah. Kita mesti mengkaji dan menggunakan kaedah yang telah terbukti berkesan di tempat lain.
4. Prasarana pendidikan yang memungkinkan proses pengajaran dan pemelajaran berlangsung dengan berkesan peru diberi perhatian utama. Makmal bahasa, bekalan elektrik, bahan pengajaran dan pemelajaran bercetak dan elektronik dan yang lain-lain perlu segera dilengkapkan. Jurang kemudahan antara sekolah di bandar dengan sekolah di luar bandar perlu dikambus segera.
5. Mengadakan kursus bahasa Inggeris untuk keperluan khusus kepada lepasan sekolah dan universiti sebagai peneguhan penguasaan bahasa Inggeris untuk alam pekerjaan.
DOA DAN HARAPAN
Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Tidak ada insan, kecuali nabi dan rasul, yang tidak berbuat silap. Kini waktunya kita semua merapatkan barisan untuk meneguhkan sikap dan perjuangan mempertahankan asas-asas kebangsaan dan kenegaraan, termasuk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Segala pandangan para pejuang bahasa perlu direnung dengan saksama dan dengan berlapang dada. Mereka bukan musuh negara. Mereka bukan pengkhianat bangsa. Selama mereka masih mahu bersuara untuk memberitahukan yang benar, maka eloklah pandangan itu dinilai dengan bijaksana. Mereka sekadar memperjuangkan dasar negara yang sama-sama dibina dan diterima sejak sebelum kemerdekaan dan kemudian menjadi asas kenegaraan. Yang ada pada mereka hanya suara, bukan kuasa. Maka bersuaralah mereka; selaras juga dengan sabda Nabi bahawa baikilah sesuatu keadaan yang tidak betul dengan tiga cara – tangan, lidah dan hati.
Bersama-samalah kita terus berusaha dan berdoa semoga landasan kenegaraan yang telah diasaskan oleh para pemimpin terdahulu tidak dipinda dan dirobah tanpa berfikir panjang. Usahlah terjadi ”Yang dikendong tak dapat, yang dikejar berceceran”.Berpadalah sudah kita dengan kerugian yang telah ditanggung oleh bangsa oleh baiknya dan mulianya hati kita melayan kehendak orang. Kepada Allah jua kita memohon pertolongan agar perjuangan kita diredhai dan diberkati-Nya.
RUJUKAN
Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan (Ed.). 2005. Suara Pejuang Bahasa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Asraf (Ed.). 1996. Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Awang Sariyan. 2000. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. 2002. Ceritera Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Keranda 152, Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita. 2002. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Kumpulan Prihatin. 2005. Implikasi Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Penghantar Matrematik dan Sains. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Siri Bicara Bahasa Bil 1 – 20. 2002-04. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia.
PENDIDIKAN DAN PERJUANGAN BANGSA: TUMPUAN KEPADA ISU BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA
Prof. Dr. Awang Sariyan
Presiden Persatuan Linguistik Malaysia
(awsr@yahoo.com)
BAHAGIAN I
BAHASA MELAYU, PENDIDIKAN DAN PEMBINAAN NEGARA
Pembuka Bicara
Di Malaysia bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa penghantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta Pendidikan 1996. Kedudukan yang diberikan kepada bahasa Melayu itu bukanlah tanpa alasan yang munasabah, bahkan berkaitan erat dengan proses pembinaan negara Malaysia sebagai “negara baharu”, iaitu negara yang baharu lepas daripada penjajahan kuasa asing. Proses pembinaan negara yang dimaksudkan itu ialah proses pewujudan negara bangsa yang berasaskan jati diri setempat dan perpaduan rakyat berbilang kaum. Dalam konteks ini, bahasa Melayu dijadikan unsur pembinaan jati diri rakyat Malaysia dan juga sebagai unsur perpaduan semua kaum.
Sesuai dengan kedudukan dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu, bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib, terutama di peringkat persekolahan. Di peringkat pengajian tinggi pula, kebanyakan universiti mempunyai dasar mewajibkan pelajar mengambil kursus bahasa Melayu, khususnya bahasa Melayu akademik dan lulus sebagai syarat untuk dikurniai ijazah. Bahkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang tidak tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti pun turut mewajibkan pelajar (termasuk pelajar dari negara luar) mengambil pakej kursus bahasa Melayu dalam dua semester, dan pelajar warga negara Malaysia diwajibkan lulus untuk pengijazahan.
Dalam kertas kerja ini saya ingin menarik perhatian khalayak kepada perkembangan pendidikan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran teras dalam sistem pendidikan di Malaysia, khususnya di peringkat sekolah dan isu-isu yang timbul dalam pelaksanaannya. Secara khusus, isu tersebut dibincangkan dalam konteks perjuangan bangsa, iaitu untuk memenuhi agenda perpaduan, pendemokrasian pendidikan dan penyeimbangan peluang serta kemajuan bangsa Melayu sebagai bangsa teras di negara ini dengan keturunan-keturunan lain.
Pendidikan Bahasa Melayu pada Zaman Awal
Periodisasi perkembangan bahasa Melayu lazimnya dibahagi kepada tahap bahasa Melayu purba, bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu peralihan, dan bahasa Melayu baharu. Tahap yang pertama diandaikan wujud sejak tahun 2,500 sebelum Masihi, tetapi tidak ada bukti-bukti sejarah tentang bentuk atau strukturnya. Tahap kedua dianggarkan bermula pada abad ke-7 Masihi apabila ditemukan batu-batu bersurat atau inskripsi seperti di Kedukan Bukit dan di Talang Tuwo, Palembang, di Kota Kapur, Pulau Bangka, dan di Karang Brahi, Jambi (Nik Safiah Karim et al. 1995). Tahap ketiga bermula pada sekitar abad ke-12 Masihi, serentak dengan kedatangan Islam yang disebut oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam beberapa banyak tulisannya (lihat misalnya 1969,1972, dan 1978) sebagai tahap pembentukan sifat bahasa Melayu yang baharu, yang seterusnya diwarisi dalam zaman-zaman selanjutnya. Tahap keempat yang menunjukkan peralihan daripada gaya bahasa Melayu klasik kepada gaya bahasa Melayu kini ialah zaman yang diwakili oleh Abdullah Munsyi dan Raja Ali Haji pada abad ke-19. Tahap sesudah itu dikategorikan sebagai tahap bahasa Melayu baharu. Walau bagaimanapun periodisasi seumpama itu tidaklah mutlak, dengan pengertian bahawa berlaku kesinambungan yang jelas antara periode-periode tertentu, terutama antara bahasa Melayu klasik dengan bahasa Melayu baharu daripada segi sistem dan rumus-rumus bahasanya (Awang Sariyan, 1984).
Sebagaimana sukarnya memperincikan sejarah bahasa Melayu pada zaman awal oleh sebab ketiadaan bukti-bukti sejarah, maka demikianlah sukarnya memperkatakan pendidikan bahasa Melayu pada zaman awal. Hanya dapat diduga bahawa pada zaman kegemilangan Sriwijaya sebagai kuasa kelautan pada abad ke-7 hingga abad ke-13 dengan bahasa Melayu menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa Melayu pasti dipelajari oleh saudagar dari pelbagai daerah dan oleh anak negeri yang takluk kepada Sriwijaya, iaitu Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Tanah Genting Kera, dan Sri Lanka (Nik Safiah Karim et a1.,1995). Namun demikian tidak dapat dipastikan wujudnya institusi pendidikan bahasa Melayu secara formal. Penguasaan bahasa itu mungkin terlaksana melalui interaksi sosial sehari-hari.
Demikian juga halnya dengan era bahasa Melayu klasik. Pada zaman itu bahasa Melayu mencapai tahap kesuburan yang cukup tinggi apabila bahasa Melayu bukan sahaja digunakan untuk memancarkan nilai-nilai estetika melalui karya kesusasteraan, bahkan mula menjadi wahana ilmu dan pemikiran saintifik. Pada zaman itulah terhasilnya karya-karya falsafah (khususnya tentang ilmu kalam dan tasawuf), fiqah, dan undang-undang Islam, di sisi ilmu dalam bidang lain seperti perubatan dan persenjataan. Prof. al-Attas (1988), berdasarkan kajiannya menyimpulkan bahawa manuskrip atau teks Melayu yang tertua setakat yang dapat dikesan sehingga kini ialah terjemahan ‘Aqaid al-Nasafi yang bertarikh 1590 Masihi. Manuskrip tersebut berisi pembicaraan tentang akidah, suatu cabang yang paling asas dan penting dalam konteks hierarki ilmu menurut perspektif Islam.
Dengan terhasilnya karya-karya ilmiah yang teracu dalam wacana yang utuh dan canggih, dapat diduga bahawa bahasa Melayu ketika itu telah mencapai tahap “bahasa tinggi” atau “bahasa terbina” (elaborated code menurut istilah Bernstein, 1968), iaitu bahasa yang telah memiliki ciri kompleks, dengan susunan yang teratur dan rapi, serta memerlukan pengalaman budaya yang tinggi. Kayanya bahasa Melayu dengan khazanah ilmu yang tinggi tarafnya itu, terutama pembicaraan metafizik, meyakinkan kita bahawa para karyawan pada zaman itu memiliki penguasaan bahasa yang tinggi, dan sekaligus meyakinkan kita berlangsungnya proses pendidikan bahasa yang baik pada waktu itu. Bagaimanapun sekali lagi tidak ada bukti sejarah yang dapat mengesahkan hal itu. Namun suatu hal yang pasti ialah bahawa pendidikan bahasa Melayu, meskipun tidak berlangsung secara formal dalam bentuk pengajarannya sebagai suatu mata pelajaran atau kursus ketika itu, secara tidak langsung diperkukuh melalui pengajian keagamaan yang memang menjadi suatu institusi sosial dalam masyarakat Melayu sejak abad ke-15 (Malaysia Kita, 1991:769).
Sesuai dengan penyuburan bahasa Melayu sebagai sarana dakwah Islam, bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar kuliah atau pengajian keagamaan di surau dan di masjid, dan kemudian di institusi pendidikan yang lebih formal, iaitu sistem pondok.2 Dalam sistem itu sebenarnya telah berlangsung gagasan yang kini disebut Bahasa Melayu Merentas Kurikulum (BMMK), iaitu penggunaan bahasa Melayu sebagai sarana ilmu dan pendidikan. Namun belum ada pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu sebagai suatu mata pelajaran.
Gambaran bagaimana pendidikan bahasa Melayu sebagai suatu mata pelajaran tidak berlaku dalam masyarakat Melayu tradisional sehingga abad ke-19 dilaporkan oleh Abdullah Munsyi (1882) melalui penjelasan Lebai Abdul Razak, seorang guru Qur’an di Melaka kepada Stamford Raffles tentang situasi pendidikan masyarakat Melayu:
“Orang empunya anak-anak ini menyuruh ajarkan Qur’an dahulu. Maka kalau sudah ia dapat Qur’an kemudian boleh belajar bahasa Melayu. Begitulah adat sahaya semuanya. Dan lagi tiada adat di negeri ini orang taruh tempat belajar bahasa Melayu.”
Dengan nada sesal dan sinis Abdullah (1882) berkata pula:
“Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?”
Pendidikan Bahasa Melayu pada Zaman Penjajahan Inggeris
Perbincangan tentang pendidikan bahasa Melayu dalam zaman penjajahan Inggeris tidak dapat dipisahkan daripada perbincangan tentang pertumbuhan dan perkembangan sekolah Melayu, iaitu sekolah vernakular yang direncanakan Inggeris untuk pendidikan anak-anak Melayu.3 Menurut Awang Had Salleh (1980:2), sejarah sekolah Melayu bermula pada tahun 1821 apabila penyelaras Penang Free School memulakan bahagian bahasa setempat (bahasa Melayu) di Gelugor, Pulau Pinang (lihat juga Chelliah, 1947). Kemudian dua buah sekolah Melayu dibuka di Singapura pada tahun 1856, sebuah di Teluk Belanga dan sebuah lagi di Kampung Gelam. Di Melaka terdapat sembilan buah sekolah Melayu yang dibuka antara tahun 1858 dan tahun 1863 (Awang Had Salleh, 1980 berdasarkan Report of a Committee Appointed to Enquire into the System of Vernacular in the Colony, No. 4, Straits Settlements, 22 Februari 1894).
Pada tahun 1872 apabila kerajaan Negeri-negeri Selat 4 mendirikan Jabatan Pendidikan di bawah pimpinan A.M. Skinner yang memegang jawatan Nazir sekolah, pertumbuhan sekolah Melayu di Negeri-negeri Selat kian pesat, dengan 16 buah sekolah yang menampung 596 orang murid. Satu dekad kemudian jumlah sekolah Melayu meningkat kepada 85 buah dengan pendaftaran 2,230 orang murid. Kemudian satu dekad sesudah itu (tahun 1892), telah ada 189 buah sekolah Melayu dengan 7,218 orang murid yang berdaftar. Pada tahun itu, dianggarkan 84% kanak-kanak lelaki Melayu yang sepatutnya menerima pendidikan telah berdaftar (Awang Had Salleh, 1980:4). Sekolah untuk murid perempuan pula mula dibuka pada tahun 1885, tetapi jumlahnya pada tahun 1892 hanya 8.5% daripada sekolah lelaki dan jumlah muridnya pula hanya 11% daripada jumlah murid lelaki.
Di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang), Perak merupakan negeri yang pertama mendirikan sekolah Melayu (pada tahun 1884), sebuah di Kuala Kangsar dan sebuah lagi di Batu Gajah. Selangor pula mempunyai enam buah sekolah Melayu pada tahun 1886. Apabila jawatan Nazir Sekolah Persekutuan diadakan pada tahun 1898, telah terdiri 103 buah sekolah Melayu di Perak (9 buah daripadanya sekolah perempuan), 25 buah di Negeri Sembilan, dan 6 buah di Pahang. Satu dekad kemudian, iaitu pada tahun 1907, telah terdapat 232 buah sekolah Melayu untuk murid lelaki dan 34 buah sekolah Melayu untuk murid perempuan (Awang Had Salleh, 1980:5).
Pertumbuhan sekolah Melayu di Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu (Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, dan Perlis) adalah yang paling lewat. Di Kedah, sekolah Melayu yang pertama didirikan pada tahun 1897. Kelantan mempunyai sekolah Melayu yang pertama pada tahun 1903. Terengganu pula tidak mempunyai sekolah Melayu sebelum tahun 1915. Perlis pula mempunyai 5 buah sekolah Melayu pada tahun 1913. Johor yang mendapat manfaat daripada hubungan baik dengan Singapura mencapai kemajuan yang ke hadapan berbanding dengan Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu yang lain. Pada tahun 1913, sementara Kedah mempunyai 34 buah sekolah Melayu, Perlis 5, Kelantan 8, dan Terengganu O, Johor telah sedia memiliki 56 buah sekolah Melayu.
Sekolah Melayu didirikan untuk memberikan pendidikan asas selama enam tahun kepada anak-anak Melayu dalam bahasa ibundanya, tetapi kemudian tempoh itu disingkatkan menjadi empat tahun sahaja pada tahun 1885. Hal ini selaras dengan tujuan penjajah Inggeris yang merencanakan pendidikan untuk anak-anak Melayu sekadar menghapuskan buta huruf setakat yang minimum sahaja (Cheeseman, 1984 seperti yang dipetik oleh Awang Had Salleh, 1980: 10). Dasar Inggeris tentang pendidikan Melayu dinyatakan secara rasmi, antaranya sebagai yang berikut:
“memberikan pelajaran permulaan yang membolehkan seorang kampung menyimpan peringatan-peringatan mudah dan dengan demikian melindungkan dia dari penipu-penipu yang tak bertimbang rasa….”
(Annual Departmental
Reports,S.S. 1903)
“Pendidikan setempat (vernakular) mengajar budak-budak Melayu membaca dan menulis Melayu, Ilmu Kira-kira, Ilmu Alam, dan Rumi. Pelajaran sebanyak ini akan menjadikan mereka berperaturan, taat, dan bersih , dan sesuai untuk menjadi mata-mata, peon, kerani-kerani kastam, pekerja Jabatan Hutan, dan penyelia lombong. Setakat itu baguslah.”
(Minit Residen British Negeri Sembilan kepada Residen Jeneral bertarikh
14 Jun 1898)
Implikasi dasar tersebut terhadap pendidikan bahasa Melayu ialah bahawa bahasa Melayu diajarkan semata-mata sebagai prasyarat untuk memungkinkan anak-anak Melayu menjalani kehidupan yang cukup sederhana apabila dewasa. Soal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa pemikiran, dan bahasa tamadun tidak wujud sama sekali, apatah lagi dengan pengehadan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan di peringkat sekolah rendah sahaja. Inggeris tidak pernah merancang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di peringkat sekolah menengah.
Nasib pendidikan Melayu dan sekaligus nasib bahasa Melayu di tangan penjajah Inggeris tampak cerah sedikit apabila kerajaan Inggeris membentuk Jawatankuasa Barnes (mengambil sempena nama pengerusinya L.J. Barnes, Pengarah Latihan Kemasyarakatan, Universiti Oxford, London) pada tahun 1951 yang mengakui pentingnya bahasa Melayu dalam pembinaan sistem pendidikan yang bersifat kebangsaan, di sisi terus mempertahankan taraf bahasa Inggeris. Laporan Barnes sedikit banyak mendukung falsafah menjadikan bahasa Melayu sebagai landasan perpaduan melalui pendidikan. Bagaimanapun peranan bahasa Melayu tetap terbatas di peringkat sekolah rendah dan apabila ke sekolah menengah murid-murid akan melalui sistem pendidikan yang berbahasa penghantar bahasa Inggeris (Asmah Haji Omar, 1984: 18 dan Mohd. Salleh Lebar, 1988: 45-47).
Usul Laporan Barnes agar hanya ada dua aliran sekolah rendah, iaitu aliran Melayu dan aliran Inggeris sahaja mendapat tentangan kaum Cina dan India sehingga batallah usul itu. Kerajaan Inggeris pada tahun 1951 membentuk Jawatankuasa Fenn-Wu yang mengkaji kepentingan pendidikan kaum Cina. Sebuah jawatankuasa khas dibentuk sesudah itu untuk menyelaraskan usul-usul Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu. Antara usul jawatankuasa khas itu termasuklah:
1. Penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu aliran bahasa Melayu dan aliran bahasa Inggeris.
2. Kemudahan pengajaran bahasa Cina dan Tamil jika ada permintaan sekurang- kurangnya daripada 15 orang murid dalam kelas.
3. Bahasa Inggeris menjadi mata pelajaran wajib di sekolah.
Usul-usul itu diluluskan oleh Majlis Perundang-undangan Persekutuan pada bulan September 1951 dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan itu menetapkan Sekolah Kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan, dengan bahasa Cina dan bahasa Tamil sebagai bahasa ketiga tetapi tidak merupakan sebahagian sistem persekolahan kebangsaan. Usul-usul itu bagaimanapun tidak terlaksana kerana kekurangan biaya, kekurangan guru terlatih, dan bantahan masyarakat Cina dan Tamil. Kerajaan sekali lagi membentuk jawatankuasa khas dan salah satu keputusannya ialah “penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah Melayu dan penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan di sekolah Tamil supaya akhimya dapat diserapkan ke dalam sistem persekolahan kebangsaan. Sehingga tahun 1956 temyata bahawa ketetapan tersebut tidak terlaksana juga (Mohd. Salleh Lebar, 1988:50).
Menjelang kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia diberi taraf kerajaan sendiri pada tahun 1955. Dengan kesedaran bahawa bidang pendidikan merupakan sarana yang paling berkesan dalam upaya pembinaan bangsa dan negara, maka dibentuklah jawatankuasa pendidikan pada bulan September 1955. Jawatankuasa ini menyerahkan laporannya dalam bulan April 1956 dan Majlis Perundang-undangan menerima usul-usulnya sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Laporan jawatankuasa tersebut dikenal sebagai Penyata Razak atau Laporan Razak 1956, iaitu mengambil sempena nama pengerusinya Dato’ Abdul Razak bin Hussein yang menjadi Menteri Pelajaran pertama. Perincian tentang Laporan Razak, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan bahasa Melayu dan falsafahnya, akan dibincangkan dalam bahagian selanjutnya, iaitu zaman kemerdekaan prareformasi pendidikan.
Pendidikan Bahasa Melayu sesudah Merdeka:
Prareformasi Pendidikan
Usul penting Laporan Razak yang berkaitan secara langsung dengan pendidikan bahasa Melayu ialah rencana membentuk suatu sistem pendidikan kebangsaan yang dapat memupuk perpaduan rakyat pelbagai keturunan dengan bahasa Melayu menjadi salah satu asasnya. Menurut Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 (Laporan Razak), tujuan pendidikan kebangsaan ialah:
“…menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur.”
(Perenggan 12)
Khusus tentang taraf bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan, Laporan Razak mengusulkan:
1. “…bahasa Melayu, mestilah dipelajarkan di dalam semua sekolah” dan “…dijadikan satu syarat pertolongan yang diberi oleh kerajaan di dalam semua sekolah”.
(Perenggan 18)
2. “…bahasa Melayu dijadikan satu pelajaran yang mustahak untuk mendapat Sijil Rendah (Lower Certificate) dan Sijil Pelajaran Kebangsaan (National Certificate of Education)….”
(Perenggan 22 (b))
3. “Dalam sekolah-sekolah menengah yang demikian ini (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan – P.), kami cadangkan bahawa bahasa Melayu dan Inggeris wajib diajar.”
(Perenggan 71)
Antara kesan langsung Laporan Razak yang berkaitan dengan sistem persekolahan ialah wujudnya dua jenis sekolah, iaitu Sekolah Umum yang berbahasa penghantar bahasa Melayu dan Sekolah Jenis Umum yang terdiri daripada sekolah Inggeris, sekolah Cina, dan sekolah Tamil. Semua sekolah mewajibkan pengajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Nasib sekolah menengah Melayu terumbang-ambing dengan purata sebuah sekolah sahaja di setiap negeri (Mohd. Salleh Lebar, 1988:57).
Suatu hal dalam Laporan Razak yang dianggap lemah dalam konteks pembinaan negara ialah pengekalan sekolah pelbagai aliran yang bebas menggunakan bahasa penghantar masing-masing dan hal ini tidak selaras dengan cita-cita kerajaan menjadikan bahasa kebangsaan untuk maksud perpaduan rakyat. Rasa tidak puas hati orang Melayu pada amnya menyebabkan kerajaan Malaysia (ketika itu Persekutuan Tanah Melayu) yang telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 membentuk Jawatankuasa Penyemak Pelajaran pada tahun 1960 untuk meneliti kekurangan dalam Laporan Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957. Dengan mengambil sempena nama pengenusinya Dato’ Abdul Rahman Talib yang menjadi Menteri Pelajaran ketika itu, dikenal orang jawatankuasa tersebut sebagai Jawatankuasa Rahman Talib dan Laporan Jawatankuasa Penyemak Pelajaran itu dikenal pula sebagai Laporan Rahman Talib.
Jika Laporan Razak mengasaskan idealisme menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pada suatu waktu yang tidak ditetapkan, selaras dengan penekanan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152), maka Laporan Rahman Talib menggariskan langkah untuk merealisasikan idealisme tersebut. Antara usulnya yang berkaitan dengan hal tersebut termasuklah:
1. Menukar bahasa penghantar Inggeris di peringkat sekolah rendah dengan bahasa Melayu.
2. Peperiksaan umum peringkat sekolah menengah dijalankan dalam bahasa rasmi negara sahaja, iaitu bahasa Melayu.
Usul-usul Laporan Rahman Talib diperundang-undangkan melalui Akta Pendidikan 1961 yang menjadi kerangka rujukan bagi pelaksanaan sistem pendidikan negara sehingga digantikan dengan Akta Pendidikan 1996. Antara tindak lanjut daripada usul Laporan Rahman Talib yang berhubungan dengan soal dasar tersebut termasuklah:
1. Peperiksaan naik tingkatan bagi sekolah menengah Cina dimansuhkan pada tahun 1961 dan Peperiksaan Sijil Akhir Sekolah Menengah Cina dimansuhkan juga pada tahun 1963
2. Setiap calon diwajibkan lulus dalam Bahasa Kebangsaan bagi peperiksaan masuk sekolah menengah.
3. Kelulusan dalam Bahasa Kebangsaan wajib bagi Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran sejak tahun 1962.
4. Langkah-langkah dilaksanakan untuk menambah bilangan guru terlatih sekolah menengah kebangsaan dan guru khas Bahasa Kebangsaan untuk sekolah menengah jenis kebangsaan.
5. Pembukaan sekolah menengah kebangsaan dipesatkan di seluruh negara.
(Abu Bakar Zahari, 1980: 80 – 81)
Dapat dirumuskan daripada perbincangan di atas bahawa dalam sistem pendidikan sesudah kemerdekaan, sudah mula terbina falsafah yang mendasari pendidikan bahasa Melayu di negara ini, iaitu “bahasa Melayu sebagai asas perpaduan rakyat berbilang keturunan, atau dengan konsep yang lebih luas lagi bahasa Melayu sebagai salah satu asas pembinaan negara”. Dengan perkataan lain, di sisi faktor-faktor lain seperti kebudayaan, ekonomi, politik, undang-undang, dan sebagainya, faktor bahasa kebangsaan menjadi faktor penting dalam rangka pembinaan sebuah negara baharu.
Peranan bahasa sama pentingnya dengan peranan sektor-sektor lain dalam proses pembinaan negara (ekononmi, pendidikan, kebudayaan, politik, dasar luar dan yang lain). Semua aspek pembinaan negara itu dilaksanakan melalui penggubalan dasar-dasar negara bagi setiap sektor itu. Bagi sektor ekonomi, misalnya, digubal Dasar Ekonomi Baharu dan kemudian Dasar Pembangunan Nasional yang bertujuan menyusun semula keseimbangan ekonomi rakyat bagi semua keturunan. Dengan wujudnya keseimbangan dalam pemilikan kekayaan negara dan keadaan sosioekonomi, dijangka terbentuk perpaduan rakyat apabila terhakis rasa cemburu antara kaum. Demikian juga melalui sektor kebudayaan, digubal Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 dalam rangka membentuk keperibadian atau jati diri bangsa Malaysia.
Sektor bahasa temyata menyumbang dalam pembinaan negara melalui penggubalan Dasar Bahasa Kebangsaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar utama pendidikan. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi lambang kewujudan suatu bangsa dan menjadi bahasa perpaduan rakyat. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu menjadi wasilah pembangunan negara apabila berperanan sebagai sarana komunikasi pentadbiran dan pengurusan dalam pelbagai urusan rasmi. Sebagai bahasa penghantar ilmu dan pendidikan pula, bahasa Melayu menjadi sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu di kalangan masyarakat, suatu syarat tegaknya sesuatu tamadun. Peranan bahasa dalam pembinaan negara dibantu pula oleh sektor pendidikan yang secara langsung merealisasikan Dasar Bahasa Kebangsaan.
Berkaitan dengan peranan bahasa dan pendidikan bahasa dalam proses pembinaan negara, saya ingin mengemukakan hakikat sektor bahasa sebagai salah satu sektor teras, di sisi sektor pendidikan dan kebudayaan dalam proses pembinaan negara. Pada fahaman saya, sektor bahasa, pendidikan, dan kebudayaan merupakan jiwa sesuatu masyarakat, atau merupakan hakikat kewujudan masyarakat. Ketiga-tiga sektor itulah yang menjadi asas pembentukan jati diri atau keperibadian masyarakat. Dalam konteks bahasa, ungkapan “Bahasa jiwa bangsa” dan “Hilang bahasa lenyaplah bangsa” menepati gagasan yang diketengahkan tadi. Gagasan ini dapat dianalogikan dengan hakikat diri individu insan yang diwakili oleh ruh, hati, akal, dan nafsu. Sebagaimana kewujudan individu diwakili oleh diri yang hakiki, iaitu aspek batinnya, maka kewujudan himpunan individu yang dikenal sebagai masyarakat pun diwakili oleh unsur-unsur yang membentuk entiti itu, yang pada hemat saya diwakili oleh bahasa, pendidikan, dan kebudayaan.
Dengan berasaskan perbincangan tentang peranan bahasa dalam konteks pembinaan negara, falsafah pendidikan bahasa Melayu dalam era kemerdekaan, di samping bertujuan untuk memupuk perpaduan rakyat, berkaitan juga dengan tujuan pengilmuan masyarakat melalui bahasa kebangsaan dan penyemaian nilai-nilai kehidupan bersama dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan umum. Inilah tiga asas falsafah pendidikan bahasa Melayu yang dapat dikesan dan ditafsirkan daripada pelaksanaan yang ada.
Pendidikan Bahasa Melayu
dalam Era Reformasi Pendidikan
Pada dasarnya, pendidikan bahasa Melayu dalam era ini merupakan kesinambungan pelaksanaan dalam era sebelumnya. Pendidikan bahasa Melayu masih tetap berkaitan dengan pemupukan perpaduan rakyat, pengilmuan masyarakat, dan penyemaian nilai-nilai kehidupan bersama melalui bahasa kebangsaan. Yang membedakannya daripada era kemerdekaan fasa pertama ialah penekanan yang lebih jelas kepada aspek-aspek tertentu, khususnya pembangunan yang lebih menyeluruh, bersepadu, dan seimbang. Reformasi pendidikan yang menandai fasa kedua era kemerdekaan bagi sistem pendidikan negara bertujuan membaiki kandungan, objektif, bentuk, corak, dan amalan pendidikan yang sedang berlangsung bagi memenuhi tuntutan-tuntutan semasa dan cabaran-cabaran masa hadapan (Ahmad Muharnmad Said, 1991: 3 – 4; lihat juga Nik Aziz Nik Pa, 1994: 227 – 228).
Seluruh usaha reformasi pendidikan menekankan aspek kualiti, iaitu peningkatan mutu pendidikan dan manusia yang dihasilkan melalui pendidikan. Dalam konteks ini reformasi pendidikan di Malaysia berkaitan rapat dengan upaya “pemanusiaan pendidikan” (humanization ofeducation) (Ahmad Muhammad Said, 1991: 6 – 7).
Usaha awal reformasi pendidikan ialah pembentukan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Semula Pelaksanaan Dasar Pelajaran pada tahun 1974 yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad selaku Menteri Pelajaran ketika itu. Laporan jawatankuasa tersebut terbit pada tahun 1979. Bidang tugas khusus jawatankuasa tersebut ialah:
“Mengkaji semula matlamat dan kesan sistem pelajaran sekarang, termasuk kurikulumnya, dalam rangka dasar pelajaran kebangsaan yang wujud, dengan tujuan untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi, sama ada dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang, dan lebih-lebih lagi untuk memastikan bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, bersisiplin, dan terlatih.”
(Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1971:1)
Tentang pemanusiaan pendidikan pula, laporan tersebut pada para 452 mencatat:
“Untuk kepentingan pembangunan negara, tenaga rakyat yang diperlukan bukan sahaja perlu dilihat dari segi bilangan, jenis pengetahuan, dan kemahiran yang dimiliki, bahkan perlu juga dilihat dari segi nilai-nilai disiplin yang perlu diterima. Dari segi sikap, mereka perlu jujur dan berdedikasi terhadap kerja mereka, bukan sahaja perlu cekap bahkan perlu boleh berfikir dan bertindak dengan baik sama ada secara sendiri mahupun secara beramai-ramai dengan berpandukan punca-punca akhlak yang mulia. Tegasnya, individu yang dilahirkan dari sistem persekolahan negara perlu selaras dengan tujuan pembangunan kemanusiaan.”
Asas yang terkandung dalam perakuan itulah yang menjadi titik tolak penggubalan kurikulum dan pendekatan bersepadu dalam sistem pendidikan negara. Asas inilah juga yang mendasari Falsafah Pendidikan Negara yang digubal kemudian, iaitu yang menekankan aspek kesepaduan dan keseimbangan dalam pendidikan.
Antara dapatan Laporan Kabinet yang menunjukkan adanya kekurangan dalam sistem kurikulum lama sekolah rendah (KLSR) dan kurikulum lama sekolah menengah (KLSM), iaitu sebelum reformasi pendidikan termasuklah:
1. Kurikulum pada peringkat rendah berupa pendidikan umum, bukan pendidikan asas, iaitu terlalu bersifat akademik (hlm. 18).
2. Kurikulum amat padat kerana pembaharuan tentang sesuatu mata pelajaran dibuat dengan tambahan kandungan yang tidak disesuaikan dengan peruntukan waktu (hlm 18).
3. Kurikulum digubal secara terpisah mengikut mata pelajaran dan kurang integrasi antara mata-mata pelajaran, lalu menyebabkannya kurang bermakna kepada pelajar (hlm.100).
4. Kurikulum lebih menekankan aspek kognitif murid dan tidak melahirkan murid yang seimbang daripada segi kognitif, afektif, dan psikomotor (hlm. 126).
5. Berlaku kemerosotan disiplin di kalangan pelajar (para 222, 223, 243, 245, 249).
6. Sistem pendidikan terlalu menekankan peperiksaan (hlm. 125).
Strategi pelaksanaan reformasi pendidikan mencakup beberapa rencana tindakan. Yang paling utama ialah penggubalan Falsafah Pendidikan Negara yang eksplisit dan tuntas sekalipun bayangan falsafah pendidikan negara, sebagaimana yang dibincangkan di atas telah sedia ada tetapi terpisah, ad hoc, dan tersirat sifatnya. Menteri Pendidikan yang terlibat secara langsung dalam menggerakkan reformasi pendidikan negara menegaskan:
“Walaupun kita telah mempunyai penyataan matalamat pendidikan di sana sini, tetapi kita mestilah menyatakan matalamat-matalamat itu dalam satu penyataan falsafah yang menyeluruh dan berhubungan dengan penyataan falsafah matalamat negara…Falsafah pendidikan itu menjadi teras dan tunjang kepada sistem pendidikan kebangsaan kita supaya semua program dan aktiviti pendidikan merupakan pancaran prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam falsafah tersebut.”
(1989: 64)
Falsafah Pendidikan Negara yang digubal dan diisytiharkan pada tahun 1987 dan dimantapkan pada tahun 1988 berbunyi:
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”
Strategi umum pelaksanaan reformasi pendidikan antara lain meliputi:
1. Langkah “memanusiakan” pendidikan dengan pengertian membina insan dan membangunkan sumber manusia yang utuh, seimbang, dan sepadu.
2. Usaha mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional ditingkatkan.
3. Pendemokrasian pendidikan daripada segi peluang dan mutu pendidikan.
4. Bahasa Melayu diluaskan dan ditingkatkan penggunaannya sebagai alat berfikir dan berkarya supaya dapat menjadi bahasa ilmu yang berkesan.
5. Pembentukan pemikiran yang luas dan selaras dengan konsep pengantarabangsaan dan globalisasi.
(Ahmad Muhammad Said, 1991 dan
Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin, 1991)
Antara strategi konkrit yang direncanakan dan dilaksanakan termasuklah:
1. Nilai-nilai murni merentas kurikulum.
2. Bahasa Melayu meretas kurikulum
3. Kemahiran berfikir.
4. Integrasi rohani, intelek, emosi, dan jasmani melalui mata pelajaran.
5. Menekankan subjek sejarah untuk meningkatkan perpaduan.
6. Meningkatkan aktiviti budaya ilmu melalui budaya membaca, budaya belajar, budaya berkarya, dan budaya bermusyawarah.
Dalam konteks pendidikan bahasa, realisasi reformasi pendidikan perlu ditinjau daripada segi falsafahnya dan juga kurikulumnya. Dalam konteks falsafah pendidikan bahasa Melayu, saya menyarankan penyataan eksplisit mengenainya agar segala perencanaan dan pelaksanaan strategi reformasi pendidikan lebih jelas, terarah, dan terkawal. Falsafah pendidikan bahasa itu mestilah selari dengan Falsafah Pendidikan Negara; pertama daripada segi upaya pengembangan berterusan potensi individu secara seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, dan jasmani; kedua daripada segi sumbangan bahasa terhadap pembangunan masyarakat dan negara.
Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara itu, seharusnya diformalisasikan Falsafah Pendidikan Bahasa sebagai subfalsafah induk itu, agar proses pendidikan bahasa yang dilaksanakan memenuhi falsafah yang selaras dengan falsafah induk, iaitu Falsafah Pendidikan Negara. Dalam kajian saya (1997), saya mengemukakan falsafah pendidikan bahasa sebagai yang berikut:
1. Pendidikan bahasa sebagai upaya mengembangkan potensi berbahasa yang telah dikumiakan Tuhan kepada seluruh manusia, sesuai dengan ungkapan haiwan natiq atau rational animal yang dikiaskan kepada manusia.
2. Pendidikan bahasa sebagai upaya meneliti sistem alam ciptaan Tuhan (dalam konteks ini alam kecil atau alam saghir, iaitu bahasa sebagai bahagian sistem dalam diri manusia), sebagai suatu sains, sebagaimana peneletian terhadap sistem-sistem lain, umpamanya sistem cakerawala, struktur muka bumi dan sebagainya.
3. Pendidikan bahasa sebagai suatu cabang pendidikan umum, iaitu sebagai satu subjek dan juga sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan gagasan bahasa merentas kurikulum (language across curriculum).
4. Pendidikan bahasa sebagai wahana pewarisan nilai-nilai kehidupan bermasyarakat atau dengan perkataan lain seluruh unsur kebudayaan dan tamadun masyarakat kepada generasi baharu.
Kerangka rujukan atau acuan yang berbentuk falsafah itu penting supaya semua program aktiviti pendidikan merupakan realisasi prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam falsafah tersebut dan juga supaya matalamat pendidikan menjadi jelas. Keempat-empat asas falsafah pendidikan bahasa sejagat yang dirumuskan di atas pada hakikatnya memenuhi kedua-dua penyataan pokok dalam Falsafah Pendidikan Negara. Penyataan pertama berkaitan dengan hakikat pendidikan sebagai “usaha berterusan dalam mengembangkan potensi individu berdasarkan konsep ketuhanan”. Bahasa menurut perspektif Islam memang merupakan potensi ternurani yang dibekalkan kepada manusia oleh Tuhan dan perlu dikembangkan secara berterusan serta berkaitan dengan perkembangan intelek, rohani, emosi, dan jasmani individu. Dalam tradisi linguistik Barat, kita mengenal adanya teori kenuranian bahasa (innateness theory) yang menegaskan kewujudan bahasa dalam akal manusia sebagai fenomenon alamiah. Selaras pula dengan prinsip kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang ditegaskan dalam Falsafah Pendidikan Negara, falsafah pendidikan bahasa yang dikemukakan tadi diasaskan pada paksi tauhid, iaitu pengembangan bahasa sebagai suatu upaya menikmati dan mensyukuri kurniaan Tuhan dan juga sebagai upaya menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Tuhan.
Penyataan kedua berkaitan dengan hasil yang diharapkan daripada proses pendidikan, iaitu “rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung jawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”. Pendidikan bahasa yang berlandaskkan empat asas falsafah tadi dapat memenuhi matalamat tersebut, terutama berdasarkan hakikat bahasa sebagai bahagian diri insan yang penting.
Falsafah pendidikan, termasuk falsafah pendidikan bahasa diterjemahkan melalui proses pendidikan yang secara kasar dibahagi kepada dua, iaitu pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum. Kurikulum dibahagi dua pula, iaitu pengajaran dan pemelajaran mata-mata pelajaran lain (yang mewakili ilmu keseluruhannya) serta pengajaran dan pemelajaran bahasa (yang mewakili ilmu asas menurut al-Ghazali). Baik pengajaran dan pemelajaran bahasa mahupun pengajaran dan pemelajaran mata pelajaran lain, kesemuanya berlangsung secara bersepadu, iaitu berasaskan falsafah yang digubal. Penguasaan ilmu dalam semua mata pelajaran seiring dengan penguasaan bahasa sebagai kemahiran dan bahasa sebagai ilmu melalui penekanan terhadap aspek bahasa dalam semua mata pelajaran. Demikian pula, penguasaan bahasa bererti juga penguasaan ilmu-ilmu lain kerana pelajaran bahasa menurut kurikulum dan pendekatan bersepadu bukan hanya menitikberatkan penguasaan kemahiran berbahasa bahkan memasukkan unsur-unsur ilmu daripada semua cabang dalam pelajaran bahasa, iaitu melalui strategi penyerapan ilmu (lihat pembicaraan selanjutnya dalam subjudul sesudah ini). Adanya hubungan kesalingan yang memadukan penguasaan bahasa dengan ilmu-ilmu seluruhnya itulah yang melandasi gagasan Bahasa Melayu Merentas Kurikulum.
Demikianlah dalam bahagian pertama kertas kerja ini, telah saya huraikan perkembangan sistem pendidikan kita yang bertunjangkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama telah berjaya memenuhi idealisme dan agenda pembinaan negara, khususnya melalui kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama ilmu. Dalam bahagian selanjutnya, perbincangan saya fokuskan pada isu semasa yang memerlukan kesedaran massa agar apa-apa yang telah sama-sama kita rancang dan jayakan tidak musnah disebabkan kesilapan langkah yang diambil.
Harry Porter pada asalnya memang dikarang dan diterbitkan untuk pembaca remaja. Kemudian penerbit menerima permintaan daripada pembaca dewasa yang mahu membaca buku-buku itu tetapi malu hendak memegang buku yang kulitnya berwajah remaja. Jawapannya: Satu kulit untuk pembaca remaja dan satu lagi kulit untuk pembaca dewasa.
Keadaan ini menunjukkan trend terbaru dalam dunia sastera remaja hari ini di mana perbezaan antara fiksyen untuk remaja dan dewasa sudah tidak wujud lagi.
Bandingkan keadaan buku-buku bacaan remaja dalam bahasa Melayu dengan buku-buku bacaan remaja dalam bahasa Inggeris yang tebal dan mahal-mahal. Sementara buku-buku bacaan remaja dalam bahasa Melayu nipis-nipis dan murah-murah, adalah dianggarkan lebih 70 ribu naskhah buku Harry Porter yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sudah terjual setakat hari ini.
Dalam sebuah seminar penerbitan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2003, seorang pustakawan dari Perbadanan Perpustakan Negeri Selangor mengkritik para penulis dan penerbit buku-buku Melayu yang beliau sifatkan sebagai tidak kenal minda pembaca kanak-kanak dan remaja awal. Beliau mengatakan para remaja awal tidak suka meminjam dan membaca buku-buku nipis, tetapi buku-buku bacaan remaja dalam bahasa Melayu terus diterbitkan dalam bentuk nipis.
Pada tahun 60-an dan 70-an, buku kanak-kanak diterbitkan nipis disebabkan keadaan ekonomi waktu itu, yang menyebabkan daya beli ibu bapa rendah, oleh itu mereka tidak mampu membelikan anak-anak mereka buku bacaan yang tebal. Begitu juga, sekolah-sekolah pada waktu itu tidak berupaya membeli buku-buku tebal disebabkan kerajaan tidak mampu memberikan peruntukan besar.
Tetapi, keadaan ekonomi sudah bertambah baik sekarang. Ramai ibu bapa sudah mampu membelikan anak-anak mereka buku-buku yang tebal dan mahal, namun para penulis dan penerbit tidak mengambil kesempatan ini.
Buku-buku bacaan remaja yang nipis meninggalkan banyak kesan negatif, baik ke atas minda pengarang, apatah lagi ke atas minda kanak-kanak dan remaja awal yang membacanya.
Kesan negatif ke atas pengarang yang paling ketara adalah, apabila buku nipis, plot cerita tidak boleh panjang dan kompleks. Ini menyebabkan para pengarang Melayu tidak perlu mempunyai pemikiran yang tinggi dan kompleks bagi menghasilkan buku-buku bacaan remaja.
Plot yang ringkas dan pendek tidak memerlukan pengarang menjalankan penyelidikan ataupun pembacaan yang luas, cukuplah dengan menggunakan imaginasi simpel dan akal biasa sahaja. Justeru, para pengarang buku-buku bacaan remaja dalam bahasa Melayu hanya mampu menghasilkan cerita-cerita moral dengan tema yang sudah lama membasi, iaitu tema “jadilah kamu anak yang baik”.
Buku-buku nipis tidak dapat menghasilkan tema “jadilah anak yang berilmu pengetahuan” sebagaimana yang boleh berlaku apabila seseorang remaja itu banyak membaca buku-buku bacaan remaja karya Tom Clancy dan John Grisham. Kedua-dua pengarang itu amat popular di Indonesia, tentu sekali selain pengarang cerita-cerita Harry Porter.
Di Malaysia, hingga hari ini, untuk menjadi penulis buku remaja seseorang itu tidak perlu mempunyai pengetahuan tinggi ataupun pakar dalam sesuatu bidang ilmu.
Kesan negatif buku-buku nipis ke atas minda kanak-kanak dan remaja tidak perlu diperjelaskan. Cukup dengan sekadar kita mengatakan, buku-buku nipis memperbodoh remaja.
Anggapan bahawa kanak-kanak dan remaja hari ini tidak mampu membaca dan memahami isi kandungan buku-buku tebal adalah tidak berdasarkan ilmu psikologi kanak-kanak dan remaja. Anggapan itu sama tidak benarnya dengan sangkaan bahawa buku yang tebal semestinya susah dibaca dan difahami oleh remaja. Lihat sahaja bagaimana remaja awal perempuan dengan banyaknya membaca novel-novel cinta yang tebal-tebal.
Buku-buku bacaan yang kompleks dan mengandungi maklumat saintifik dan teknikal melatih otak remaja berfikir secara kompleks dan teknikal. Tetapi, bagi menghasilkan karya-karya seperti itu kita memerlukan penulis-penulis yang berpengetahuan tinggi dan memiliki bakat bercerita yang tinggi juga.
Di kalangan penerbit yang sudah menyedari perkara ini, mengapakah mereka masih menerbitkan buku bacaan remaja yang nipis? Perkara itu terpaksa dilakukan disebabkan sikap pentadbiran sekolah-sekolah rendah negara ini yang masih mahukan buku-buku nipis untuk perpustakaan. Sekolah-sekolah rendah mahu buku-buku bacaan yang nipis dan murah-murah. Jadi keadaan ini menghasilkan putaran negatif di mana sekolah mahukan buku nipis, lalu pengarang menerbitkan buku nipis, meskipun murid-murid mahu membaca buku-buku tebal.
Kita mencadangkan Kementerian Pelajaran mengeluarkan garis panduan baru kepada sekolah-sekolah rendah dalam memilih buku-buku bacaan untuk perpustakaan. Buku-buku yang kurang daripada 120 halaman sesuai untuk bacaan murid-murid darjah 2 dan 3. Bagi murid-murid darjah 4, 5 dan 6, buku-buku untuk mereka semestinya antara 200 hingga 300 halaman.
Garis panduan ini dapat memaksa para pengarang menghasilkan bahan-bahan bacaan yang isi kandungannya kompleks dan penuh dengan maklumat teknikal yang terperinci. Ini memaksa para pengarang melakukan pembacaan yang luas dan menjalankan penyelidikan sebelum mula mengarang.
oleh
Prof. Abdullah Hassan
Presiden
Persatuan Penterjemah Malaysia
1. Pengenalan
Selama ini, apabila isu kebudayaan kebangsaan dibincangkan, ia dilakukan oleh para sasterawan dan persuratan, khusunya budayawan Melayu. Justeru, bagi melihat perbincangan terdahulu mengenai topik ini, kita ikutilah perbincangan ahli sasterawan dan persuratan, iaitu para cendekiawan Melayu. Walaupun kita jelas dalam membina dasar dan mengatur strategi bagi membangunkan ekonomi, pendidikan, pertanian, kesihatan, dll. tetapi kita tidak sebegitu konkrit apabila membina dasar untuk kebudayaan kebangsaan. Sekalipun dasar dapat diungkapkan tetapi pelaksanaannya masih jauh daripada memuaskan. Malah dasar dan stategi kebudayaan kebangsaan adalah uasaha yang tidak kunjung selesai (Taib Osman, 1988). Ia adalah pelaburan jangka panjang sesebuah bangsa. Kita lihat secara ringkas perkembangan Dasar Kebudayaan Kebangsaan kita.
1.1 Perlembagaan Malaysia
Perlembagaan Malaysia menjamin hak asasi setiap kaum. Artikel 3 melindungi kebebasan semua kaum beragama, walaupun agama Islam adalah agama rasmi negara. Artikle 152 menjamin hak setiap kaum menggunakan bahasanya sendiri walaupun bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara. Ini adalah dua unsur penting dalam kebudayaan yang sering diungkit oleh kaum lain dalam menolak Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
1.2 Malayan Writers’ Conference 16-18 Mac 1962
Seawal 1962 lagi, isu kebudayaan kebangsaan dan sastera kebangsaan dibincangkan oleh para sasterawan dan cendekiawan dalam Malayan Writers’ Conference (Persidangan Penulis Malaya dan Singapura) ditaja oleh Dewan Bahasa dan Kebudayaan Singapura, dan diadakan di Singapura pada 16-18 Mac 1962. Prosiding persidangan itu diterbitkan dalam bahasa Inggeris oleh badan yang sama. Berikut diturunkan beberapa catatan utama. Menteri Kebudayaan Singapura, Y.B. Tuan Rajaratnam berkata “A truly Malayan literature will emerge when writers express themselves through a language that is spoken and understood by all the communities. A common medium of expression will automatically create a Malayan literature .... It is only when the non-Malays begin to write in the national language, will Malay cease to be a medium for communal literature and become the vehicle for a Malayan literature.” Ini disuarakan dengan lantang oleh kelompok penulis dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, kelompok bahasa Inggeris mengatakan sasatera Malaya (1) ditulis oleh orang-orang yang lahir dan dibesarkan di Malaya menulis mengenai topik-topik Malaya dengan tidak mengira apa bahasa yang digunakan; (2) yang ditulis dalam bahasa kebangsaan, dan (3) yang ditulis oleh sesiapa sahaja mengenai Malaya. Kelompok bahasa Cina dan Tamil mengelak daripada membincangkan dan membuat kesimpulan mengenai bentuk sastera Malaya.
Situasi begini berterusan di Malaysia sehinggalah 1971. Ketiadaan dasar bagi menentukan objektif kebudayaan negara menyebabkan aspek ini diabaikan. Tiada langkah-langkah konkrit diambil bagi mewujudkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Iklim positif dan neutral yang dizahirkan oleh Persidangan Penulis Malaya di Singapura pada tahun 1962 itu tidak dimanfaatkan. Perkembangan kebudayaan kebangsaan itu tidak mendapat perhatian sehingga selepas Mei 69.
1.3 Pindaan Perlembagaan 23 Februari 1971
Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tun Abdul Razak Hussein membuat ucapan penting mengenai isu bahasa kebangsaan dan kebudayaan kebangsaan. Tindakan positif diperlukan bagi memperbaiki keadaan selepas 13 Mei 1969. Beliau membuat beberapa penegasan yang sudah mula dilupakan pada masa itu, khususnya “kontrak sosial” di antara kaum bagi mencapai kemerdekaan. Beliau menyatakan “kontrak sosial” yang dibuat, “It is hardly necessary for me in this House to expound upon the careful and balanced character of the Constitution which was so painstakingly negotiated and agreed upon by the major races in Malaysia before we attained independence. .... The basic provision relating to the acquisition of citizenship represented a fair and balanced compromise. The same careful and balanced approach runs through the other provisions of the Constitution protecting the legitimate rights of all races in Malaysia. ... The provision of Bahasa Malaysia as the sole official and National Language is balanced by the guarantee for the use of the languages of other races other than for official purposes.” ... “Pengertian perkataan “tujuan-tujuan rasmi” atau “official purposes” dalam Artikel itu ... bermakna .. sebarang tujuan Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Negeri, termasuklah mana-mana tujuan untuk pihak berkuasa awam.”
1.4 Kongres Kebudayaan Kebangsaan 16-20 Ogos 1971
Kongres ini dibuka oleh Y.A.B. Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia, berlangsung di Universiti Malaya. Selama empat hari, sebanyak 52 kertas kerja dibentang dan dibincang. Kongres menetapkan tiga unsur penting menjadi Dasar Kebudayaan Kebangsaan, iaitu:
1. Kebudayaan Kebangsaan Malaysia haruslah berasaskan kebudayaan asli rakyat rantau ini.
2. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur kebudayaan kebangsaan.
3. Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan itu.
Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara Malaysia yang sedang membangun dan mempunyai penduduk berbilang kaum, bahasa, budaya dan agama. Dasar ini dapat menjadi garis panduan membentuk satu bangsa yang bersatu serta mempunyai identiti negara. Kebudayaan yang dipupuk dapat mencirikan keperibadian kebangsaan Malaysia.
1.5 Joint Memorandum on National Culture Submitted to the Ministry of Culture, Youth and Sports by the Major Chinese Organisations in Malaysia, 1983
Enam belas buah organisasi China menghantar memorandum kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 27 Mac 1983. Badan-badan itu ialah:
1. The Selangor Chinese Assembly Hall
2. Penang Chinese Town Hall
3. The Perak Chinese Association
4. The Federation of Chinese Association (Johor)
5. Terengganu Chinese Assembly Hall
6. Kelantan Chinese Assembly Hall
7. Negeri Sembelin Chinese Assembly Hall
8. The Federation of Chinese Associations (Sarawak)
9. United Chinese School Committees Association of Malaysia
10. United Chinese School Teachers’ Association of Malaysia
11. Pahang Chinese Chamber of Commerce
12. Malacca Chinese Chamber of Commerce
13. Kedah Chinese Chamber of Commerce
14. Perlis Chinese Chamber of Commerce, dan
15. Sabah United Chinese Chamber of Commerce.
Dalam dokumen setebal 321 halaman ini, ketiga-tiga asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan ditentang sepenuhnya. Dokumen ini terlalu panjang bagi dibicarakan. Hanya butir penting diturunkan. Mereka berkata, “we oppose the present policies on national culture, language and education, and the the three principles used .. to mould the national culture.” Mereka menentang kerana:
1. Proses membentuk asas kebudayaan kebangsaan daripada satu kaum sahaja melanggar hak kaum lain,
2. Apabila kepentingan Islam ditekankan maka peranan budaya dan agama lain dinafikan,
3. Menunjukkan dasar yang tertutup berpusat kepada Melayu sahaja dan tidak liberal,
4. Menafikan sistem nilai yang bertindih antara budaya,
5. Bercanggah dengan hakikat Rukunegara yang menghormati kebudayaan semua kaum,
6. Memaksa melalui sistem pentadbiran dan ini tidak dapat diterima oleh bukan Melayu,
7. Membahagikan kebudayaan kepada kaum sebagai peribumi, pendatang dll. akan menjadi punca diskriminasi,
8. Sesetengah chauvisnis Melayu berfikir bahawa semua kaum hanya boleh diintegrasi melalui satu bahasa dan satu budaya sahaja. dll.
Bagi mereka kebudayaan kebangsaan dapat dibangunkan melalui:
1. Usur seni daripada kebudayaan semua kaum menjadi asas kebudayaan kebangsaan,
2. Panduan membebina suatu peranggu nilai kebudayaan yang sama ialah sains, demokrasi, pemerintahan undang-undang dan patriotisme,
3. Nilai kebudayaan bersama itu diungkapkan menurut kerangka pelbagai kaum,
4. Proses membina kebudayaan kebangsaan mestilah mematuhi prinsip kesamaan bagi semua kumpulan etnik, dan melalui perundingan yang demokratis. dll.
Justeru, mereka berkata, kami menuntut supaya:
1. Kerajaan menghormati hak setiap kaum, kebudayaan, agama, dan bahasa yang dimaktubkan dalam Perlembagaan,
2. Kerajaan memansuhkan semua undang-undang yang tidak menyokong pertumbuhan mana-mana budaya, bahasa dan pendidikan kaum tertentu,
3. Kerajaan membantu sekolah China dan juga Jabatan Pengajian China di universiti,
4. Kerajaan adil dalam menjalankan aktiviti kebudayaan dan tidak memihak kepada mana-mana kelompok,
5. Kerajaan tidak melebihkan mempromosi kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan kebangsaan sehingga boleh memangsai kebudayaan lain,
6. Hari Ini dalam Sejarah mesti juga memuatkan tokoh bukan Melayu,
7. Ciri pelbagai kaum mesti ditunjukkan dalam membentuk citra kebangsaan,
8. Nama bangunan dan tempat juga juga mesti pelbagai kaum,
9. Kerajaan juga hendaklah mempromosi interaksi kebudayaan pelbagai kaum, dll.
1.6 Memorandum on National Culture Submitted by the 10 Major Indian Associations of Malaysia to the Ministry of Culture, Youth and Sports, April 1984
Sepuluh persatuan India juga membantah. Mereka ialah:
1. Pergabungan Tamil Malaysia
2. Persatuan Dravidian Malaysia
3. Majlis Kelab Bell Belia Tamil
4. Majlis Belia Hindu Malaysia
5. Persatuan Penulis-Penulis Tamil Malaysia
6. Kesatuan Kebangsaan Sekolah Tamil Malaysia
7. Malaysia Hindu Sanga
8. Persatuan Kesenian Tamil Malaysia
9. Persatuan Kesusasteraan Tamil, dan
10. Persatuan Artis-Artis Tamil Malaysia.
Memorandum kaum India menolak asas kebudayaan kebangsaan kerana:
1. Malay-Islamic culture approach to the ‘formation’ of National Culture cannot be accepted by us,
2. The attempt to define National Culture on the basis of proceedings of the National Culture Congress of 1971 completely negates the historical understanding on culture reached by the different communities,
3. National Culture must be defined in terms of a set of common values, norms and beliefs found in cultures of the various communities in Malaysia, combined with positive elements from other cultures. It cannot be equated solely with Malay or Islamic culture,
4. Neither can Malay culture form the basis of national Culture,
1.7 Suqiu (Jawatankuasa Menuntut) 1999
Gabungan Persatuan Cina yang menuntut masih terus menuntut dengan secara teratur. Apabila sahaja iklim politik kelihatan memihak kepada mereka, iaitu semasa Melayu nampaknya berpecah, maka mereka akan membuat tuntutan demi tuntutan. Suqiu membuat 89 tuntutan, yang melibatkan bahasa, kebudayaan, agama, dan lain-lain. Kebanyakannya tersenarai dalam Joint Memorandum on National Culture Submitted to the Ministry of Culture, Youth and Sports by the Major Chinese Organisations in Malaysia, 1983. Cuma tuntutan pada kali ini diiringi dengan ugutan menarik balik sokongan politik dan menyokong parti pembangkang. Y.A.B Dr. Mahathir Mohamad, menolak dengan menyatakan yang semuanya bercanggah dengan “kontrak sosial” yang menjadi landasan yang membolehkan Perlembagaan Malaysia dibentuk.
2. Apa ada pada Bahasa?
Bahasa Melayu adalah satu daripada tiga unsur yang dijadikan asas Dasar Kebudayaan Negara. Apalah ada pada bahasa? Banyak. Dan bahasa itu adalah paling menentukan keperibadian bangsa.
2.1 Tuntutan Bukan Melayu
Dengan tentangan dan tuntutan yang tidak putus-putus daripada kaum-kaum lain sebagai rakyat Malaysia, isu Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini bukan hanya sekadar dapatkah bahasa Melayu, dan kebudayaan Melayu Islam menjadi asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Isu ini lebih besar daripada sekadar agama, bahasa, dan bangsa yang dicabar. Apa yang jelas ialah, masyarakat Melayu mesti sepakat dan menerima hakikat yang kita perlu bergerak dan meneruskan kelangsungan Melayu dalam satu sistem yang adaptif supaya dapat berinteraksi dengan persekitarannya bagi mempastikan survival kita. Dalam penyesuaian ini bukan tiada sempadannya, oleh itu kita perlu sentiasa mengingati “kontrak sosial” yang menjadi asas Perlembagaan kita.
2.2 Bahaya dari Pemikir Melayu Liberal
Yang lebih membahayakan kita ialah keliberalan berfikir yang menerima demokrasi itu sebagai kebebasan tanpa sempadan, hatta mengingkari ‘kontrak sosial’ yang menjadi asas pembentukan Perlembagaan yang kita jadikan kerangka membina Malaysia. Musnahkan ‘kontrak sosial’ ini, musnahlah Perlembagaan, dan musnahlah Malaysia. Oleh sebab fitrah manusia begitu, mudah termakan oleh apa yang ada daya tarikan, khususnya ‘intelektual yang liberal.’ Atas asas berfikir secara intelektual sejagat, sudah ada pula Melayu yang mula termakan dengan tunutan-tuntutan ini. Nampaknya memang tiada apa salahnya kita berkata “menerima sastera dalam bahasa lain sebagai sebahagian daripada Sastera Malaysia.” Apabila diwarwarkan pula melalui media awam, apa yang kita ungkapkan sebagai “main-main” pun akan menjadi sumber kebenaran dan kekuatan bagi yang mencari alasan lagi bagi membuat tuntutan bagi memusnahkan ‘kontrak sosial’ bersama. Hubaya-hubaya agar kita tidak menjadi alat yang memusnahkan hasrat bangsa sendiri.
2.3 Himpunan Memori Bangsa
Bahasa Melayu yang kita gunakan sama ada sebagai bahasa harian mahupun sebagai bahasa pendidikan, adalah wahana bagi membina ‘himpunan memori’ kita sebagai orang Melayu Malaysia. Himpunan memori itu ialah himpunan seluruh konsep-konsep, nilai-nilai, norma-norma, nama-nama, proses-proses, pengalaman-pengalaman, yang membentuk jati diri kita sebagai satu bangsa. Apabila kita menggunakan sebuah bahasa lain sebagai bahasa kita, maka himpunan memori kita juga akan berubah. Kita tidak lagi akan menjadi orang Melayu Malaysia.
Apabila kita menggunakan sebuah bahasa lain, konsep yang kita cetuskan menjadi berlainan, walaupun bagi benda yang sama. Sebagai contoh, dalam bahasa Bhutan, komputer ialah “logrig” yang membawa makna “mesin yang dikendalikan oleh tenaga elektrik.” Dalam sebuah bahasa Afrika Timur komputer ialah “mobusha” iaitu “mesin yang tidak membuat salah.”
Tingkah laku berubah. Tingkah laku kita juga boleh diubah kerana bahasa yang digunakan. Contoh yang sering berlaku di kalangan masyarakat kelas menengah Melayu yang dikaji mendapati fenomena ini berleluasa. Kelas menengah Melayu menggunakan bahasa Inggeris di rumah mendapati anak-anak mereka sering mencabar mereka, iaitu menjadi derhaka. Apabila bertutur dalam bahasa Inggeris, ungkapan derhaka mudah sahaja menjadi perkara biasa. Ungkapan seperti:
• “What kind of father are you?”
• “I will report you to the authority for child abuse,”
• “Mother! who ask you to enter my room, dont you know how to knock?”
• Yang paling menyayat saya dapati dalam himpunan pemerhatian ini ialah “I hope you will burn in hell!” yang dikeluarkan oleh seorang anak lelaki kepada bapanya.
Ungkapan begini tidak zahir dalam bahasa Melayu. Ada anak melawan dalam golongan rendah masyarakat, tetapi tidak dengan ungkapan “Apa jenis bapa kamu ini?” atau “Engkau pergi mampus dalam neraka jahanam!” Isteri yang dwibahasa juga apabila mahu melawan suami berucap dalam bahasa Inggeris, tidak Melayu.
Memori Melayu yang terhakis. Apabila kita hidup dalam alam berbahasa Melayu, maka nilai dan adat resam Melayu itu akan terserap ke dalam sistem nilai dan adat resam generasi muda. Sebaliknya, apabila bahasa bukan Melayu digunakan, maka nilai dan adat resam Melayu itu akan terhalang daripada diserap oleh generasi muda. Dalam sebuah contoh, seorang eksekutif Melayu hidup dengan menggunakan bahasa Inggeris di rumah. Sekali gus amalan mengadakan kenduri tahlil pun tidak menjadi sebahagian daripada amalannya. Beliau cuma tahu bahawa itulah yang dilakukan apabila ada kematian. Kebetulan ibunga meninggal dan beliau mengadakan kenduri untuk arwah ibunya. Apabila ditanya oleh Tuan Imam, siapa nama ibu, beliau menjawab “Zubaidah.” “Binti siapa?” tanya Imam lagi. “Othman” katanya. “Bukan!! nama ibu kepada ibu,” kata Tuan Imam. Sahihlah, oleh sebab sentiasa bercakap dalam bahasa Inggeris, maka beliau tidak mengetahui yang dalam doa tahlil simati dibintikan kepada ibunya.
Acuan budaya Inggeris. Apabila golongan menengah Melayu membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda bagi anak-anak mereka, dan menggantikannya dengan bahasa Ingeris, maka bahasa Inggerislah yang duduk di benak anak-anak Melayu itu. Apabila elit Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa benak mereka, maka berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, mereka akan memahami alam ini dengan acuan Inggeris, dan bukan dengan acuan Melayu lagi. Umpamanya, nilai-nilai yang terkandung di dalam sastera Melayu seperti dalam cerita-serita Si Tanggang, Malim Kundang, Batu Belah Batu Bertangkup, Siti Zubaidah juga tidak ada kesempatan untuk masuk ke benak mereka. Tempatnya akan diganti oleh cerita-cerita seperti Little Red Riding Hood, Cinderella, Pinochio, Snow White, Rapunzel, Goldilock dan lain-lain. Hero mereka bukan Hang Tuah dan rakan-rakannya tetapi Robin Hood dan King Arthur And The Knights Of The Round Table.
Idea Induk. Berdasarkan hipotesis Malik Bennabi pula, anak-anak itu akan mewarisi idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Inggeris, bukan idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Melayu lagi. Oleh kerana bahasa Melayu telah menyerap idea-idea induk Islam, dan oleh kerana bahasa Inggeris belum menyerap idea-idea induk Islam, maka pengambilan bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda membawa implikasi yang serius. Sebagai contoh, gejala anak-anak yang "menjawab" ibu bapa bukanlah suatu hal yang tidak ada kaitannya dengan bahasa ekspresif. Konsep-konsep seperti "derhaka" dan "syurga itu di bawah tapak kaki ibu" hanya terkandung dalam bahasa-bahasa yang sudah menyerap idea-idea induk dalam Islam, seperti Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Inggeris tidak memberi peluang kepada kemasukan konsep-konsep itu ke dalam benak individu-individu yang telah membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya.
Maka itulah sebabnya kita mempertahan bahasa Melayu sebagai asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Membenarkan bahasa lain diterima sebagai wahana Kebudayaan Kebangsaan akan menusnahkan himpunan memori kita, memusnahkan jati diri kita yang dipertahankan dalam Perlembagaan kita.
Atas alasan yang sama kita boleh dituduh pula apakah kita tidak menzalimi bahasa dan kebudayaan lain. Tidakkah kita menghalang atau memusnahkan himpunan memori kaum lain yang diminta menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan rasmi. Tidak, sama sekali tidak. Hal Kebudayaan Kebangsaan adalah hal rasmi. Dalam “kontrak sosial” kita, hak asasi setiap kaum dijamin dan dipelihara. Tiada siapa yang dihalang daripada menggunakan, mengajar dan meneruskan bahasa sendiri, asalkan bukan untuk tujuan rasmi, sebagai yang dijelaskan oleh Tun Abdul Razak di Parlimen pada 23 Februari 1971.
2.4 Pentingnya Membina Sistem Pemanglian dari Masa ke Masa
Apabila membuat tuntutan hak asasi bagi orang Melayu, di buminya sendiri, sebagai yang sudah dipersetujui dalam kontrak sosial antara kaum, kita dilabel sebagai Malay-centered, kita dicap sebagai Malay chauvinist, kita dipanggil kaum yang tidak peka pada kepentingan kaum lain, kita dituduh mendeskriminasi puak lain. Sudah sampai masanya kita tidak emosi dengan label-label ini, sudah sampai masanya kita tidak gentar dengan taktik menakut-nakutkan ini. Sudah tiba masanya kita membuat strategi bagi melaksanakan apa yang kita fikirkan betul. Sudah ada pihak yang mula termakan dengan hujah-hujah Cina dan India kenapa mesti dibuat secara demokratis segalanya. Ini boleh memakan diri sendiri.
Oleh sebab itu kita perlu menginagtkan semula orang Melayu tentang siapa dirinya, dan apa haknya. Inilah yang dikatakan pemanglian semula. Bina selalu sistem penagkisan yang diperlukan. Agar cendekiawan Melayu tidak mudah termakan dengan alasan liberal yang digunakan oleh kaum lain yang mengatakan hak asasi mereka tercabar. Di samping kita mengajar generasi baru akan hak asasi mereka, dan perjuangan menegakkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
3. Apa yang Kita Perjuangkan?
Kita berhadapan dengan satu masalah besar dalam masyarakat. Ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan.
pemimpin politik, pemimpin opinion (pendapat), pemimpin masyarakat, pemimpin ilmu, agen pengubah masyarakat, media, ibu bapa dan masyarakat seluruhnya.
3.1 Kesedaran pemimpin dan rakyat
Rata-rata pemimpin politik yang ada di kalangan kita tidak menyedari tentang malapetaka yang akan menimpa kita. Gejala sudah banyak bagi memberi isyarat akan malapetaka mendatang.
3.2 Kontrak Sosial
Kita akan terus mempertahan “kontrak sosial” kita. Walaupun perkara penting ini sudah dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia, dan sudahpun dijelaskan apa rasionalnya, tetapi masih mahu ditagih. Oleh yang demikian, adalah menjadi tugas kita mengingatkan kembali perihal “kontrak sosial” yang mengimbangi hak masing-masing kaum, dan kepentingan bahasa Melayu seperti yang dijelaskan oleh Tun Abdul Razak Hussein itu tidak diketepikan. Kita tidak perlu mudah terbeli dengan alasan oleh kerana demokrasi maka semua orang mempunyai hak yang sama. Malaysia bukan sebuah negara yang kosong sebelum kedatangan mereka maka semua orang sama taraf.
3.4 Dasar Media Yang Terbuka
Apa yang lebih menggugat Melayu pada hari ini, bukanlah sekadar pekara-perkara yang tertulis. Tetapi, ialah juga apa yang tidak tertulis. Misalnya, oleh sebab tidak ada sebarang undang-undang dalam media massa, maka akhbar dan media hiburan China dan Inggeris, maka ini digunakan seluas-luasnya sehingga sekarang media akhbar dan hiburan Cina dan Inggeris menduduki tempat yang amat dominan dalam dunia media Malaysia. Akhbar yang mempunyai edaran terbesar bukanlah akhbar Melayu atau Inggeris tetapi akhbar Cina. Rancangan televisyen yang paling dominan di antara rancangan hiburan televisyen bukanlah rancangan Melayu dan Inggeris, tetapi Cina.
Oleh sebab dasar yang terbuka, media Cina menyelubungi hidup kita sehari-hari. Di samping menentang mereka tidak henti-henti membawa unsur budaya mereka masuk tanpa halangan. Setiap minggu ada kontena yang membawa filem dan video dari Hong Kong dan Taiwan masuk ke Malaysia. Malah pengarah drama dan filem Hong Kong telah mula mempengaruhi pengeluaran filem dan video kita.
Media Melayu hanya menguasai 17% daripada media negara. Itupun isinya 95% adalah untuk hiburan. Tidak banyak yang memberi tumpuan kepada ilmu bagi memandaikan orang Melayu.
3.5 Kepustakaan dalam Bahasa Melayu
Tun Abdul Razak Hussein mengingatkan kita bahawa kebudayaan sebuah bangsa itu juga bergantung kepada himpunan ilmu dalam bahasanya, iaitu kepustakaan dalam bahasanya. Kita akan terus berjuang membina kepustakaan dalam bahasa Melayu. Tinggi rendahnya tahap kebudayaan sesebuah bangsa bergantung kepada kepustakaan yang diwujudkan dalam bahasa bangsa itu. Apabila kita melihat bangsa-bangsa yang agung, dalam bahasanya terhimpun suatu kepustakaan yang besar.
3.6 Barisan Memperjuangkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Perjuangan menentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan nampaknya bertenaga kerana mereka dibawa dan disokong oleh badan-badan Cina dan India yang bersatu. Kita akan memperjuang Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini secara bersatu. Persatuan penulis, persatuan kebudayaan, cendekiawan perlu bersatu bagi memperjuang hak kita.
Kita akan menghadapi cabaran. Umpamanya, kita dipanggil chauvinist apabila berjuang. Tetapi mereka tidak pula menganggap diri mereka chauvinist. Ini tidak menjadi soal. Yang penting kita berjuang bagi menegakkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan atas prinsip dan kepercayaan kita.
4. Kesimpulan
Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diasaskan pada budaya setempat, bahasa Melayu dan agama Islam adalah wajar. Itu hak kita yang dijamin dalam “kontrak sosial.” Apabila ini dibantah, maka maruah kita sebagai peribumi juga dinafikan.
Resolusi
1. Menyedari hakikat bahawa desakan berpersatuan bukan Melayu ternyata berkesan, maka kaum Melayu perlu bersatu dan membuat desakan terus secara berpersatuan juga.
2. Supaya lebih berkesa, semua resolusi dan memorandum hendaklah didokumentasikan dan dibukukan.
3. Oleh sebab pengguguran bahasa Melayu sebagai penghantar akan merosakkan institusi-institusi dan nilai-nilai kemelayuan, maka fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu hendaklah dikembalikan semula dengan serta merta.
Apabila saudara menandatangani perjanjian penerbitan buku dengan syarikat penerbit saudara, berapa hak penerbitan buku itu yang saudara serahkan?
Ambil peringatan bahawa apabila saudara mengarang sebuah buku, saudara bukan lagi mencipta sebuah karya. Saudara sudah mencipta sebuah HARTA. Dalam sebuah karya terkandung banyak potensi eksploitasi harta intelek itu.
Apabila saudara membuka perbincangan dengan mana-mana penerbit tentang karya saudara, saudara sebenarnya sedang menjalankan urusniaga ke atas harta saudara.
Walaupun hakcipta karya saudara itu saudara pegang, tetapi hak mengeksploitasi karya saudara itu adalah cerita lain. Kepada siapakah saudara berikan lesen menerbitkan senarai hak-hak saudara seperti yang tersenarai di bawah?
1.
Hak menerbitkan edisi kulit keras.
2.
Hak menerbitkan edisi kulit lembut.
3.
Hak menerbitkan edisi paperback.
4.
Hak menerbitkan edisi ringkasan.
5.
Hak menerbitkan edisi E-book.
6.
Hak menerbitkan edisi-edisi terjemahan, dan nyatakan dengan tepat ke dalam bahasa apa.
7.
Hak menerbitkan edisi 'downloadable' melalui Internet.
8.
Hak menerbitkan edisi audio-book.
9.
Hak menerbitkan edisi braille.
10.
Hak menerbitkan edisi buku bergambar.
11.
Hak menerbitkan edisi buku komik.
12.
Hak menerbitkan edisi bersiri dalam akhbar ataupun majalah.
13.
Hak menerbitkan beberapa bab dalam Internet sebagai bahan promosi.
14.
Hak menerbitkan edisi buku digital dalam bentuk 'hand-held devices'.
15.
Hak menerbtikan edisi adaptasi menjadi skrip animasi.
16.
Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi skrip filem.
17.
Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi skrip siri televisyen.
18.
Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi skrip teater pentas.
19.
Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi modul latihan.
20.
Hak menerbitkan cerita-cerita 'sequal' atau sambungan yang dihasilkan oleh pengarang lain.
21.
Hak mendaftarkan judul buku ataupun nama-nama watak, ataupun wajah watak-watak dalam buku bagi tujuan pemerdagangan.
22.
Hak menerbitkan semula edisi asal mengikut wilayah pemasaran.
Jangan ambil ringan pengurusan Harta Intelek saudara. Pilih dan nyatakan dengan tepat hak penerbitan mana yang saudara lesenkan kepada sesuatu penerbit itu. DAN nyatakan dengan tepat tempoh lesen yang saudara serahkan itu.
Penerbit tentu mahu supaya saudara menyerahkan semua hak ke atas harta intelek saudara kepadanya dengan tempoh yang tiada hadnya. Tetapi saudara jangan terperangkap sehingga saudara menandatangani dokumen yang amat merugikan diri saudara sendiri disebabkan saudara tidak mahu ambil tahu tentang hak-hak saudara sebagai pengarang. Berurusanlah dengan penerbit yang mengamalkan etika bisnes yang baik.
oleh:
Shaharir bin Mohamad Zain, Ph.D. (shaharirzain711@hotmail.com)
Presiden
Akademi Sains Islam Malaysia
Pradurja
Bangsa Melayu Malaysia hanyalah penakrif moden Melayu yang penting di Alam Melayu yang lebih besar, iaitu yang boleh diringkaskan sebagai PASCABIMAAF (Patani, Philippina/Filipina, Singapura, Campa, Brunei, Indonesia, Malaysia dan Funan, walaupun secara automatik akronim ini boleh termasuk Malagasi/Madagaskar dan Formosa). Oleh itu pada bahagian awal makalah ini, sejarah pembangunan sains (dan matematik) Melayu Funan, Campa, Srivijaya, Patani dan Indonesia dibicarakan.
Tiadalah siapapun yang mempertikaikan yang umat Melayu kini masih lemah dalam hampir semua bidang. Dalam kekecewaan dan keghairahan pemimpin Melayu memperbaiki keadaan umatnyalah, maka dikatakan dasar pendidikan sains dan matematik (ringkasnya, SAMA) dalam bahasanya sendiri (Melayu) ditukar kepada bahasa Inggeris itu mulai 2002 itu. Sejauh mana cahaya kejayaannya yang mungkin terkerdip? Kejayaan di sini bukannya “bolehnya guru-guru sekolah mengajar dalam bahasa Inggeris dengan lancarnya” kerana ini persoalan sementara, tetapi kejayaan memberi lebih banyak peluang umat Melayu belajar, mampu menguasai dan menjiwai SAMA, dan kejayaan melahirkan lebih ramai sarjana yang berdaya karya yang tinggi.
Hujah-hujah ringkas dan padat yang menunjukkan malapnya cahaya kejayaan yang mungkin mengerdip denyutan pembangunan SAMA di Malaysia menerusi liang-liang pengantar bahasa Inggeris itu dipaparkan.
Sebuah rancangan konkrit bagi pemajuan sains (di peringkat pasca-sekolah, biasanya istilah “sains” termasuklah juga “matematik”) dalam acuan sendiri dikemukakan dengan menunjukkan kemampuan sarjana dan kerajaan (segi kewangan) kini untuk mewujudkan bingkai acuan sendiri itu dalam masa kurang daripada sedasawarasa sahaja dari tarikh pelaksanaan rancangan yang disyorkan itu.
Sains Melayu Zaman PraIslamnya
Mohamad Alinor (2004) dan Shaharir (2000, 2003a) telah mengumpul hasil-hasil penyelidikan sarjana tentang pencapaian sains tamadun Melayu Purba yang selama ini berselerak dan terabai. Kami dapati Melayu Funan (abad ke-2 hingga ke-7M) tidak kurang hebatnya memeribumikan (Shaharir 2003b) ilmu daripada tamadun Hindia (Hindu dan Budha) dahulu (sekitar abad ke-2 hingga ke-6 Masehi) sehingga kepustakaan ilmu mereka dibahagikan oleh sarjananya kepada delapan bahagian: (IF1) Kativat, iaitu sejarah; (IF2) Skemi, yang tidak jelas bezanya dengan sejarah kerana bidang ini dikatakannya “khusus membincangkan hal-hal yang lepas”, walaupun mungkin maksudnya ilmu ramalan; (IF3) Traai, iaitu keagamaan; (IF4) Dvak/Grak, iaitu puisi doa; (IF5) Likh, iaitu puisi yang lain daripada Dvak/Grak itu (IF6) Gran, iaitu perubatan; (IF7) Prakuih, iaitu ilmu-ilmu teknik bukan Gran itu seperti astrologi-astronomi, pertukangan, perikanan, penjinakan gajah, dan lain-lainnya, termasuk juga tatabahasa, dan dua bidang yang tidak jelas maknanya, iaitu Vedas, Abhidhamma; (IF8) Slapat, iaitu sastera dan sains, tetapi termasuk juga agama dan puisi yang tidak jelas bezanya dengan Traai dan Likh.
Contoh kegiatan pemeribumian (peMelayuan) ilmu dari tamadun Hindia ialah peristiwa pengumpulan 240 buah kitab Budha oleh sarjana Funan bernama Paramatha atau Gunaratha yang sebahagian besarnya sudah diterjemah ke dalam bahasa Funan (Melayu Purba) untuk dihantar ke China bagi memenuhi permintaan kerajaan China pada masa itu.
Kami juga menemui fakta tahap keilmuwan Melayu Campa (abad ke-2 hingga ke-15M) sehingga mereka mengelaskan bidang ilmu yang ada pada zamannya kepada tujuh bidang: (IC1) Kashikavrtti, iaitu Tatabahasa Panini dan ulasannya; (IC2) Astronomi; (IC3) Enam sistem falsafah yang dimulai dengan Mimamsa; (IC4) Doktrin-doktrin Budha; (IC5) Undang-Undang, terutamanya Naradiya dan Bharggaviya; (IC6) Uttarakalpa mazhab Shiva; dan (IC7) Ilmu tentang 64 kala, termasuklah tatabahasa sehinggalah ontologi.
Walaupun ada beberapa bidang ilmu Campa yang tidak begitu difahami sekarang tetapi bidang sains (dan matematik) pada zaman Melayu Campa dahulu dimasukkan ke dalam bidang astronomi, falsafah dan ontologi yang sengaja ditebalkan itu. Bukti ilmu-ilmu ini kebanyakannya dalam bahasa Melayu ialah betapanya batu-batu bersurat Campa (sumber maklumat ini) yang berjumlah 206 buah itu, hanya 69 daripadanya sahaja dalam bahasa Sanskrit atau bukan Melayu Campa.
Sumbangan sains daripada dua tamadun ini dalam tempoh bertindannnya kewujudan kedua-dua tamadun ini sehingga abad ke-7M sukar dipisahkan kerana tamadun Campa peringkat pertamanya abad ke-2 hingga ke-8M bertindan rapat dengan tempoh kewujudan tamadun Funan dan Bantu-batu bersurat Campa sering dijumpai di Funan akibat pelarian orang-orang Campa ke Kemboja besar-besaran dalam abad ke-15M itu. Pemeribumian ilmu zaman Funan dan Campa telah sampai pada tahap ijtihad (pengaryaan sediri atau inovasi) apabila tamadun ini meninggalkan ciptaan sistem angka perpuluhan yang mengandungi sifar yang tertua di dunia dengan hasil ciptaannya selambat-lambatnya dalam awal abad ke-6M, ketika Eropah dalam gelap gulita (perincian sistem angka ini dalam Shaharir 2000). Tamadun ini juga meninggal unit-unit sukatan: unit panjang, luas, isi padu dan berat yang cukup bersistem dan komprehensif mendahului bangsa-bangsa di Eropah. Umpamanya sistem “tahil” dan “bahara” nampaknya dicipta pada zaman dua tamadun Melayu ini.
Tamadun-Tamadun rumpun Melayu, seperti kerajaan Majapahit atau Mataram (Jawa Tengah) dan kerajaan Airlangga (Jawa Timur), juga kaya dengan ilmu dalam bahasanya sendiri, Jawa Kuno dan Kawi, yang sebahagian besarnya berupa hasil daripada penterjemahan ilmu daripada Sanskrit sehingga dalam proses pemindahan ilmu itu, bahasa Jawa turut berkembang pesat lalu bahasa Jawa Purba itu mengandungi kira-kira separuh perkataannya daripada bahasa Sanskrit (Zoetmulder 1982/2000). Zaman Majapahit misalnya, melahirkan seorang sarjana-pemuisi besarnya yang bernama Prapanca dengan karya agungnya 1365 berjudul “Nagarakritigama” yang mengandungi pelbagai ilmu, termasuklah sains. Status kepustakaan Jawa Purba dapat dilihat dalam Poerbatjaaraka (1957), Kern & Rassers (1982), dan Dawee Daweewarn (1982) yang menunjukkan kegiatan pemeribumian (penjawaan) ilmu dari Hindia yang agak hebat itu.
Bahasa Melayu pada zaman Srivijaya dirujuki oleh sarjana agung China, I-Tsing, pada abad ke-7M, yang menetap di Srivijaya selama 7 tahun, sebagai Kun-Lun. Perkataan Kun-Lun ini ialah pelat sebutan China kepada perkataan Melayu Purba (Melayu-Mon-Khmer), Pnom, yang sebelum abad ke-7 M, penulis China menyebutnya Fou-nan sehingga terbitnya nama kerajaan Funan itu. Perkataan fou-nan atau pnom itu pula sama maknanya dengan perkataan Sanskrit/Tamil, malai/malaya, dan setara dengan bahasa Melayu sekarang, gunung. Sahlah perkataan “Melayu” itu daripada Malai/Malaya itu kerana dalam tulisan China abad ke-7M perkataan ini muncul sebagai Mo-lo-yu, Molo-yoou, Mo-lo-yeu, dan Maliyu-eul (ejaan Rumi yang terdekat dengan aksara China itu), dan penulis Arab kurun ke-9M nenyebutnya Malayur. Jika berdasarkan lagenda asal-usul kerajaan Funan, Malai/Malaya itulah yang berkemungkinan besar nama asal “kerajaan Funan” itu. Tetapi jika dilihat akrabnya “kerajaan Funan” dengan China, maka nama kerajaan Melayu Funan itu asalnya “kerajaan Pnom” lalu menjadi Fou-nan dan diterjemah kepada Sanskrit sebagai Malai/Malaya. Walau bagaimanapun, Kun-Lun itu ialah bahasa/bangsa Melayu Purba yang dijadikan perantaraan ilmu orang-orang Melayu zaman Srivijaya itu yang dibuktikan oleh sarjana China , I-Tsing, itu juga: Buku-buku dalam Kun-Lun itu jika diterjemah kepada bahasa China zamannya nescaya menjadi beribu-ribu jilid banyaknya. Karya agung sarjana Hindia yang bernama Dharmakirti (yang lain daripada seorang sarjana Melayu zaman Sriwijaya yang sama namanya, tetapi bergelar “Sarjana Akbar”) diterjemah kepada bahasa Melayu (Kun-Lun) oleh sarjana Sriwijaya bernama Atisa atau Atica yang berasal dari India yang pernah belajar dengan Dharmakirti “Sarjana Akbar” Srivijaya itu.
Pemeribumian (pe-Melayu-an) ilmu zaman Srivijaya juga telah mencapai tahap ijtihadnya hingga mereka mampu berkarya sendiri pula. Selain daripada kemungkinan ada sekurang-kurangnya inovasi sistem angka perpuluhannya (Shaharir 2000), mereka juga nampaknya sarjana Srivijayalah yang mencipta unit-unit bilangan yang lebih besar daripada ribu seperti laksa (10 ribu, Inggerisnya, Myriad hanya muncul tidak lebih awal daripada abad ke-13 M), keti (100 ribu, dan tiada padanan Inggerisnya), dan juta (Inggerisnya, million yang muncul pada abad ke-17 M sahaja) yang semuanya sudah ada pada batu-batu bersurat Srivijaya 7M-11M lagi. Di samping itu sarjana-sarjana Melayu zaman Srivijaya jugalah nampaknya yang mencipta imbuhan unit seperti eka- (Ing: mono-/uni-), bi-/dwi- (Ing: di-/duo-/ bi-) , tri- (Ing: tre-/ tri-), catur-/kater-/sruti- (Ing: quadra-/quadri-/tetra-), indra-/indriyas-/panca-/sanka- (Ing: penta-/quin-/quinque/quinti-), munis-/septa-/sisi- (Ing: hepta-/ septa/septi-/septua-); carana-/rasas-/sita- (Ing: hexa-/sex-/sexi-), witi- (Ing: octa-/octi-octo-), nanda-/nandanta-/nardanta-/navan-/nuka- (Ing: ennea-/nano-/nona-), dasa-/dasi-/waisya-/waisyi-/vaisya-/vaisyi- (Ing: deca-/deci--), dwidasa-/dwidasi/patanga- (Ing: dodeci-/duodeci-) yang sudah tercatat di batu-batu bersurat Melayu abad zaman Srivijaya (kurun ke-7 hingga ke-12M), sedangkan padanan Inggeris (Ing) itu hanya muncul, paling awalnya pun, pada Zaman Pertengahan Eropah (abad ke-13M) sahaja, yang diambilnya daripada Yunani dan Latin. Dengan imbuhan-imbuhan Melayu-Sanskrit ini, sarjana Melayu sekitar abad ke-18 hingga ke-19 M, mencipta bilangan yang besar: bilion (milyar di Indonesia itu pengaruh Belanda yang baru), trilion, katerlion, sankalion, sisilion, sitalion, witilion, nukalion, dan waisyilion (=10 diikuti dengan 35 sifar), sedangkan Inggeris baru bersetuju dengan bilangan million (mulai wujud akhir abad ke-14, sedang “juta” daripada Sanskrit ayuta, dalam bahasa Melayu dipercayai wujud berabad-abad sebelum itu), dan seterusnya billion, trillion, quadrillion, quintillion, septillion, sexillion, octillion, dan nanollion (semuanya mulai wujud sejak abad ke-17 tetapi dengan makna yang lain dan hanya mulai 1970-an dipersetujui maknanya seperti sekarang), dan decillion (=waisyilion Melayu) mulai diwujudkan pada abad ke-20 ini sahaja. Kejayaan tamadun Melayu zaman Hindu-Budha-nya mungkin akan lebih hebat lagi jika adanya karya-karya agung sains dari tamadun besar lain, termasuk Hindia, yang diterjemah kepada bahasa sendiri (Melayu Purba). Aspek ini nampaknya terabai.
Sains Melayu Zaman Pasca-Hindu-Budha hingga Akhir Abad ke-19M
Kajian Shaharir (2003a) dan Wan Mohd Soghir (1991-kini) yang memaparkan hampir semua manuskrip Melayu karya abad ke-15 hingga akhir ke-19, menunjukkan memang usaha pemeribumian ilmu Islam atau peng-Islam-an ilmu Melayu pra-Islam cukup kuat. Bidang falsafah, perubatan (lebih dikenali dengan nama tib) dan mantik memang nampaknya orang Melayu banyak manuskripnya. Namun kelemahan yang ketaranya, samalah dengan tamadun-tamadun Melayu sebelum ini, ialah nampak tiadanya terjemahan karya-karya besar sains zaman Tamadun Islam, termasuklah bidang astronomi atau falak dan mantik sekalipun. Malah manuskrip Melayu yang tertua bertarikh 1590 ialah terjemahan karya al-Nasafi tentang falsafah sains-tauhid yang dikupas oleh al-Attas (1988) itu. Manuskrip terjemahan astrologi-astronomi yang lain yang dijumpai ialah “Kitab Abi Ma’syar al-Falaki”, oleh Ahmad Abdul Qadir Ibni Abdul Rahman pada 1209H/1794M yang ada di Perpustakaan Negara Malaysia, yang dipercayai terjemahan tertua dalam bidang falak-najm/astronomi-astrologi ini.
Mengikut Wan Mohd Soghir (2000, 2002) karya-karya sarjana di PASCABIMAAF zaman Islamnya hingga awal abad ke-20, karya-karya sains terdiri daripada falsafah sains, mantik, sains kimia, kaji logam, hisab, falak, dan perubatan. Karya-karya yang disenaraikannya hampir semuanya “karya asli” walaupun sebenarnya banyaklah yang berupa terjemahan dan adaptasi bebas kepada karya-karya dalam bahasa Arab. Ada ramai juga sarjana Melayu yang berkarya dalam dwi-bahasa (Arab dan Melayu) sehingga ada yang menghasilkan sebuah karya dalam dwibahasa (terjemahan Arab ke Melayu atau sebaliknya). Ini semua menunjukkan pemindahan ilmu ke dalam bahasa sendiri tetap dilakukan dengan hebatnya. Kaedah ini masih diamalkan oleh sarjana-sarjana Jepun sekarang, iaitu menulis dalam bahasanya sendiri dan pada masa yang sama, bahan yang sama, jika difikirkan perlu, terus ditulis dalam bahasa Inggeris pula, setengahnya oleh penterjemah Jepun. Bidang ilmu falak, yang dianggap orang Melayu cukup terkehadapan suatu masa dahulu, Wan Mohd Soghir hanya berjaya memaparkan beberapa buah sahaja, dan agak baru-baru pula kerana buku falak yang terawalnya ialah sebuah “karya asli” Syeikh ‘Abbas Kutakarang, di Aceh 1849, berjudul “Siraj al-Zhalam”. Kekurangan buku terjemahan dari tamadun asing kepada bahasa sendiri inilah yang menjadi satu daripada penyebabnya tamadun Melayu tidak berkembang sehebat tamadun-tamadun lain di Eropah dan di Asia Pasifik.
Simbiosis dan Sinergi Bahasa Sendiri dengan Pembangunan Sains dan Matematik Sepanjang Zaman
Kepentingan pemindahan ilmu daripada tamadun lain menerusi bahasa sendiri yang diamalkan dalam tamadun Melayu pra- dan pasca-Hindu-Budha-nya tetap diwarisi oleh para pemimpin Melayu ketika mula tertubuhnya negara-bangsa barunya yang dinamai Indonesia, dan kemudiannya Malaysia itu. Impian Jose Rizal di Phillipina seperti ini ditakdirkan tidak kesampaian, sebaliknya Philippina menjadi satelit Inggeris-Amerika di Alam Melayu menerusi dokongannya terhadap bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi pembangunanya, dan sejak itulah Philippina menjadi semakin terasing daripada rumpun Melayu. Di bawah ini diperturunkan secara ringkasnya (perinciannya dalam Shaharir 2005) hujah-hujah betapanya dasar penggunaaan bahasa asing dalam pendidikan ilmu tidak akan berhasil seperti yang diimpikan oleh pihak pembuat dasarnya, setengahnya diperincikan lagi pada hujah-hujah yang dahulunya kurang lengkap, iaitu tentang model Negara Maju dan Negara Membangun yang maju menerusi bahasa asing:
1. Sunnatullah. Pemindahan ilmu kepada bahasa sesuatu kaum itu perlu bagi memudahkan kefahamannya seperti yang ditegaskan dalam al-Qur-aan Suraht Ibrahim (14), Ayaht 4.
2. Perlunya Ilmu dijiwai (“sampainya makna sesuatu kepada hati” kata al-Attas (1989)) oleh pelajarnya dan ini hanya mampu dilakukan dan berlaku menerusi bahasanya sendiri (bahasa ibundanya, bahasa budayanya) sahaja.
3. Ilmu tidak bebas budaya dan benarnya ilmu mudah “maju dalam acuan sendiri”. Oleh sebab ilmu tidak bebas nilai maka pembangunan ilmu dalam bahasa sendirilah yang bukan sahaja berpeluang keemasan untuk menjiwai, dan merasasi pergantungan ilmu pada budaya, tetapi mudah melahirkan sarjana tersendiri pula hasil pertembungan budayanya dengan budaya asing dalam ilmu yang sedia ada .
4. Setiap tamadun besar dunia dahulu dan kini membina tamadunnya menerusi bahasanya sendiri kecuali Ireland (yang dibicarakan lagi bersingan) sehinga masing-masingnya ada “Zaman Penterjemahan”-nya masing-masing.
5. Manifestasi daripada keunggulan bahasa sendiri dalam pembangunan sains sesebuah negara dapat disaksikan dalam perkara-perkara berikut:
5.1. Olimpiad Antarabangsa yang digondoli oleh negara-negara yang menggunakan bahasanya sendiri.
5.2. Para pemenang Hadiah Nobel sains dan Pingat Field matematik yang hampir semuanya digondoli oleh mereka yang terdidik dalam bahasanya sendiri sekurang-kurangnya hingga peringkat sekolah menengah, tetapi lebih ramai lagi sehingga ijazah pertama atau keduanya.
5.3. Buku-buku sains agung dunia yang didapati hampir semuanya ditulis dalam bahasanya sendiri yang kemudiannya diterjemah ke dalam bahasa-bahasa lain yang ingin maju dalam acuannya sendiri pula.
5.4. Ahli sains berpengaruh di dunia menunjukkan hampir kesemuanya ahli sains yang berpendidikan sains dalam bahasasnya sendiri.
5.5. Berjayanya Tamadun melayu Purba dan kini Negara-bangsa barunya Malaysia dan Indonesia melalui zaman penterjemahan lisannya, iaitu yang tidak banyak menghasilkan karya terjemahan tetapi menggunakan bahasa sendiri sebagai bahasa pengantar ilmu, menerusi pendidikan sains dalam bahasa sendiri. Kini sudah ramailah sarjana lulusan yang berenang dalam zaman itu dan kini mengukir namanya di persada antarabangsa.
6. Jenayah peradaban dan pengkhianat bangsa. Tamadun Melayu sejak abad ke-2M, dan abad ke-20 ini, dua negara barunya, Malaysia dan Indonesia, telah membina korpus ilmu dalam bahasa Melayu yang termanifestasi dalam bentuk lisan, dan setengahnya dalam bentuk prasasti (batu bersurat) dan manuskrip yang terkenal seluruh dunia dgn banyaknya, buku teks sekolah (begitu banyak), latihan ilmiah atau tesis (yang cukup banyak), teks/buku universiti (walaupun amat kurang), dan makalah ilmiah/separa ilmiah (walaupun agak kurang) kesemuanya berada suatu tahap yang bererti sehingga meninggalkan atau melupakan ilmu dalam bahasa tersebut sudah boleh dianggap sebagai suatu tindakan “jenayah peradaban”, dan “pengkhianat bangsa”.
7. Pemindahan ilmu menerusi terjemahan masih berterusan terjadinya di negara-negara maju sekarang pun seperti dari bahasa Jerman, Perancis dan Jepun kepada bahasa Inggeris dan sebaliknya.
8. Sewelnya pemadanan Budaya Inggeris-Amerika dengan Sejagatisme/Globalisme. Interaksi diplomasi antara Negara-Ngara maju tidak dilakukan dalam bahsa Inggeris sahaja, dan tiada Negara Maju dan Negara Membangun yang pemimpinnya tidak terpesona dengan budaya Inggeris yang mengubah dasar bahasa pembangunannya atau kelangsungan hidup rakyatnya kepada bahasa Inggeris. Usaha mengurangkan bahasa komunikasi rasmi antarabangsa memang ada seperti bahasa rasmi Kesatuan Eropah kini terlampau banyak dan mereka berhasrast mengurangkannya kepada 3 atau 4 bahasa sahaja. Baru-baru ini pula, beberapa buah negara anggota Kesatuan Eropah, dijuarai oleh Perancis dan UK, mengkritik Amerika Syarikat yang dianggapnya sedang berusaha menjadikan seluruh dunia menghayati kebudayaannya yang dianggapnya berbahaya.
9. Perjuangan alam sekitar. Pengabaian sesuatu bahasa dalam pendidikan bangsa berkenaan merupakan suatu “peracunan” kepada bahasa tersebut yang akan memupuskan spesies bahasa yang mewarnai kebudayaan sesuatu spesies bangsa itu.
10. Elitisme, Paretoisme, dan tidak tersebar luasnya ilmu. Pendidikan sesuatu bangsa menerusi bahasa asingnya menjadikan pendidikan itu tidak dapat dicapai oleh sesektor besar bangsa itu. Ini ditunjukkan oleh Laporan UNESCO dan Bank Dunia, serta statistik di Singapura yg menunjukkan hanya 40% daripada rakyatnya dijangka mampu tercapai pada ilmu yang diajar dalam bahasa Inggeris, dan statistik di India yang lebih teruk lagi. Berdasarkan pada data-data itu, dijangkakan hanya 20% drp Melayu Malaysia dijangka akan tercapai pada ilmu yang diajar dalam bahasa Inggeris. (Lihat juga huraian dalam hujah 11 di bawah ini).
11. Ruginya Negara Membangun dan Negara Maju yang membangun/memajukan Negara berkenaan menerusi bahasa asing. Ireland maju menerusi dokongan bahasa asingnya (bahasa Inggeris) telah menazakkan bahasanya sendiri, bahasa Seltik yang kini sedang giat diikhtiari oleh para aktifisnya supaya tidak hilang langsung. Identiti orang Ireland yang berasaskan kepada kebudayaan bangsa berbahasa Seltik dikatakan hampir pupus diambil alih oleh kebudayaan Inggeris, sehingga. ada sarjana berketurunan Ireland yang berkerakyatan Ireland tetapi yang berani diisytiharkan oleh komuniti Inggeris sebagai sarjana Inggeris sahaja (Apa bezanya?!).
Negara Membangun yang maju sehingga mencapai tahap Negara Terindustri Baru pula yang selalu disebut ialah Singapura kerana negara ini berjaya kononnya disebabkan dasar bahasa Inggerisnya. Tetapi sebenarnya Singapura patut dibandingkan dengan Taiwan, Hongkong, dan malah Thailand yang tidak mengabaikan bahasanya sendiri dalam arus pembangunannya. Banyak indeks kemajuan bagi ketiga-tiga negara ini yang mengatasi indeks berkenaan untuk Singapura! Singapura juga menghadapi krisis identiti yang parah sehingga selalulah dizahirkan oleh beberapa orang pemimpinnya dan cendekiawannya. Kempen Gong-Fu-Tzeisme/ Confuciusisme terpaksa diadakan bagi mengimbangi nilai Barat yang sedang membobrok kemanusiaan bangsa Singapura kerana kini di sekitar 40% rakyat Singapura hanya tahu Inggeris/Singlish (bahasa Inggeris ala China Singapura) sahaja tetapi tidak sama dengan bangsa Inggeris dan oleh itu berbudaya “karikatur Barat daripada karikatur Barat”, meminjam ungkapan al-Faruqi. Kerajaan Singapura pun sudah menyedari sejak beberapa tahun yang lepas bahawa rakyat Singapura yang berpotensi besar berjaya dalam perolehan ilmu menerusi bahasa Inggeris sahaja tidak lebih daripada 40% yang dianggapnya amat merugikan Singapura. Ekorannya, pendidikan dalam bahasa Mandarin telah dihidupkan kembali di sekolah-sekolah terpilih, dan atas pertimbangan kekuatan China pada masa akan datang, kursus Sarjana Pengurusan Perniagaan dalam bahasa Mandarin diwujudkan di Universiti Singapura sejak beberapa tahun yang lepas.
India juga diseret kekancah polemik “model pembangunan menerusi bahasa Inggeris” kerana kononnya India berjaya: berjaya melahirkan pemenang Hadiah Nobel, berjaya dalam TM, dan sebagai pengeksport pekerja terbesar di dunia. Dalam hal pekerja dunia ini, bilangan 30 ribu orang India yang bekerja di Silicon Valley, California berbanding dengan 3 ribu (ada yang menyebut 5 ribu) pekerja Jepun dijadikan kayu ukur kehebatan India dalam penguasaan ilmu menerusi bahasa Inggeris. Di samping, apa hebatnya rakyat sesebuah negara bekerja di negara lain dan meninggal negara sendiri yang merempat, perbandingan pekerja India dengan pekerja Jepun di Silicon Valley itu patut dilihat kelemahan sosioekonomi India yang tidak dapat memberi pekerjaaan kepada rakyatnya, dan juga patut dilihat nisbah dengan penduduk dua buah negara itu. Nisbah penduduk India dengan Jepun ialah sekitar 1 bilion dgn 130 juta, atau 8:1 sedangkan nisbah pekerja India dengan Jepun di Silicon Valley itu ialah 10: 1 (atau 6:1, bergantung pada dua sumber itu) yang jelas tidaklah jauh daripada yang sewajarnya, lebih-lebih lagi mengenangkan kadar pengangguran di India lebih tinggi drp di Jepun. Prestasi India yang selalu mendapat tempat 10 atas dalam pertandingan Olimpiad Antarabangsa mata pelajaran sains dan matematik sekolah itu juga selalu dikaitkan dengan pendidikan dalam bahasa Inggeris di India. Lagi sekali prestasi India ini patut dibanding dengan China yang jauh meninggalkan India dalam Olimpiad ini. Model pendidikan manakah yang lebih baik? Laporan Bank Dunia tentang kemunduran India dalam banyak sukatan ekonomi dan sosial berbanding dengan Negara-Negara Membangun lain di Asia dan di Amerika Selatan sekalipun sengaja diabaikan oleh mereka ini. Perbandingan pencapaian pembangunan India dengan China (yang hampir sama saiznya) juga diabaikan, kerana sebenarnya dalam semua sektor, China mengatasi India, sedangkan China membangun dalam kebudayaannya sepenuhnya. Berkenaan dengan, kononnya India hebat dalam TM berbanding dengan bangsa-bangsa lain di Asia khususnya dengan bangsa yang sistem pendidikannya bukan dalam bahasa Inggeris seperti Jepun atau Taiwan itu sukar diterima, malah tidak patut diterima sebagai hipotesis pun. Hipotesis ini seolah-olah menegaskan bahawa bangsa bukan Inggeris yang berpendidikan sains menerusi bahasa Inggeris besar kemungkinannya lebih baik daripada bangsa Inggeris sendiri! Alangkah absurdnya! Hipotesis ini juga berbahaya kerana potensinya memupuk rasisme, fasisme, malah ke-Nazisme-an. Berkenaan dengan 2 orang pemenang Hadiah Nobel fizik dari India, Chandrasekhar dan Raman, lebih merupakan kejayaan individu India ini sahaja, bukannya kejayaan sistem pendidikan India dalam bahasa Inggeris. Malah mereka ini ada hubungan darah sekeluarga, dan melalui liku-liku pendidikan awalnya yang sama: sebahagian besar pendidikan peringkat awalnya dilakukan oleh tutor peribadinya di rumah masing-masing. Lebih-lebih lagi seorang daripadanya, Chandrasekhar itu sudah hampir sukar diakrabkan dengan bangsa India di India kerana sebahagian besar hidupnya di Amerika Syarikat malah menjadi rakyat Amerika Syarikat dan menang Hadiah Nobel atas nama Amerika Syarikat, dan oleh itu secara rasminya India pernah melahirkan hanya seorang pemenang Hadiah Nobel Sains sahaja. Penulis pernah membuat kesilapan (Shaharir 2005) mengatakan kedua-duanya berpendidikan dalam bahasanya sendiri (Hindu atau lebih tepat lagi Tamil) hingga ke Sekolah Menengah Atas kerana sumber yang diperoleh penulis dahulu mengatakan mereka ini belajar di “Hindu High School” (yang berlainan). Kemudiannya penulis mendapat tahu bahawa sekolah itu memang asalnya aliran Hindu/Tamil, tetapi pada zaman dua orang bakal sarjana ini belajar di sekolah masing-masing itu, bahasa pengantarnya sudah bertukar kepada Inggeris walaupun namanya tidak berubah. Walau bagaimanapun, kedua-dua pemenang Hadiah Nobel ini mendapat pendidikan tidak formal di rumahnya dalam bahasa Hindu/Tamil dan Inggeris dengan baiknya. Terutamanya Raman, beliau dikatakan amat tidak ummi budaya Hindu-Tamilnya, sebahagiannya kerana isterinya seorang yang handal sastera Tamil hingga mampu menterjemah beberapa novel Hindu/Tamil ke dalam bahasa asing. Mungkin itulah sebabnya beliau tidak berhijrah ke Barat seperti Chanderasekhar. Walau bagaimana pun, bilangan pemenang Hadiah Nobel dari India patut di banding dengan pemenang Hadiah Nobel dari China (yang lebih ramai). Kenapa kita mahu meniru model pendidikan sains di India dalam bahasa Inggeris dan bukan di China dalam bahasanya sendiri?
Hujah-hujah di atas itulah sepatutnya menguatkan iltizam kita untuk “kembali ke jalan yang benar dan lurus” dalam pembangunan sains sesebuah negara dan jalan itu semestinyalah melalui “Zaman Penterjemahan” bangsa. Zaman ini tidak pernah terlambat untuk diadakannya!
Mampunya Malaysia Membina Bingkai Sains dalam Acuan Sendiri
Bingkai acuan pembangunan sains sendiri semestinya menerusi penterjemahan lisan dan bersekali dengan karya terjemahan. Tamadun Melayu sejak zaman Funan hingga kini belum pernah berjaya besar dalam mewujudkan keadaan ini. Abad ke-20 ini pun gagal: Percubaan SITC 1952 menerusi penubuhan “Pejabat Karang Mengarang” di bawah Pendeta Za’aba gagal, DBP dan UKM (sebagai mangkin mujarab bagi universiti-universiti lain) tidak berjaya dan telah mengaku kalah, malah Ketua Pengarah DBP terbaru (2005) dilaporkan menegaskan DBP akan menumpukan kepada sastera sahaja, dan semua universiti sekarang merancang hebat untuk mengInggeriskan universiti masing-masing. Institut Terjemahan Negara pula tidak berfungsi seperti yang sepatutnya sejak mula ditubuhkannya lagi sehingga kini terdengar pula tugasnya ialah untuk menterjemah “karya agung Melayu” kepada bahasa Negara Maju (terutamanya Inggeris), bukan sebaliknya: menterjemah karya agung bangsa yang lebih maju daripada kita kepada bahasa kita.
Tidak syak lagi, satu daripada sebab dasar bahasa di Malaysia mudah berubah atau diubah, ialah kegagalan penterjemahan, pengadaptasian, penyaduran, atau “penulisan asli” buku sains dalam bahasa Melayu. Malah hingga tahun 1997, mengikut perhitungan penulis (Shaharir 2002) hanya sekitar seribu buah buku sains dan teknologi peringkat universiti yang ada dalam bahasa Melayu (iaitu dengan kadar sekitar 76 buah setahun sahaja, yang tidak pula dirancang dengan rapinya dan oleh itu tidaklah menyangkut banyak bidang, dan sejak 1995 semakin merosot), sedangkan keperluan buku teks sains asas klasik dalam bahasa Melayu untuk bidang sains dianggarkan sekitar 2 ribu buah, dan buku sains tambahan semasa sekitar 1700 buah setahun. (Lihat Lampiran 1, dan perinciannya dalam Shaharir 2005)
Bilangan sarjana sains Malaysia kini sudah menjangkau lebih drp 4 ribu orang yang membolehkan kita mengadakan kemampuan menghasilkan seribu manuskrip buku terjemahan setahun dengan andaian ¼ sahaja daripada sarjana itu yang bersedia berbakti kepada pembangunan buku negara (suatu andaian yang konservatif). Dalam Shaharir (2005) dianggarkan peruntukan yang diperlukan untuk menghasilkan 2 ribu buah buku teks asas sains universiti yang klasik itu hanyalah sekitar RM35 juta sahaja. Tambahan peruntukan diperlukan untuk terjemahan buku sains semasa yang dianggarkan berjumlah 1700 buah setahun itu perlu dipenuhi juga. Dalam Jadual 2 ada disyorkan rancangan penterjemahan semua buku ini setiap tahun berdasarkan kemampuan sarjana yang dianggarkan di atas tadi. Jadual itu bermatlamatkan menghasilkan 2 ribu buah buku teks asas klasik itu dalam masa 4 tahun, dan pada masa yang sama penterjemahan buku-buku semasa dapat dilakukan dengan kadar peningkatan yang sewajarnya. Kos tahunannya dipaparkan pada Jadual 3 yang menunjukkan kerajaan hanya perlu memperuntukkan paling banyaknya purata RM17 juta setahun sahaja. Kadar pengeluaran buku ini tentunya boleh diperbaiki lagi, lebih-lebih lagi jika penerbitan buku negara ini menjadi dasar negara yang dipertanggungjawabkan kepada universiti kelak dan hubungan strategi dengan negara jiran dapat dilakukan.
Rancangan penterjemahan (Jadual 2) itu menunjukkan dalam masa 12 tahun kita sudah mencapai tahap “pemeribumian ilmu” (Shaharir 2003b) yang setanding dengan beberapa buah negara maju sekarang, kerana sebahagian besar ilmu ada dalam bahasanya kita sendiri. Jika projek “ke jalan puncak” pembangunan ilmu ini diandaikan penyertaan sarjana tempatan ditingkatkan kepada separuh daripada bilangan semasa kini (yang mudah berlaku jika dasar universiti/kerajaan berubah) dan diperluaskan pula pelaksanannya kepada sarjana-sarjana di BIAS (Brunei, Indonesia, dan Singapura) yang mudah dilakukan menerusi hubungan ikhtisas atas nama persatuan ilmu di negara masing-masing, umpamanya bidang sains matematik antara Persatuan Sains Matematik Malaysia dengan Himpunan Matematikawan Indonesia, maka tempok sampai ke puncak itu dipercaya kurang daripada sedasawarsa sahaja. Ini perancangan pemeribumian fasa pertama sahaja. Fasa seterusnya ialah penerusan penerbitan buku terjemahan semasa yang dianggar 1700 buah setahun itu di samping penerbitan karya-karya asli yang lebih bermutu (tingkat keperibumiannya, Shaharir 2003b) dan lebih berceratu (banyak bilangannya) berbanding dengan “:karya asli” sepanjang 20 tahun yang lepas. Ini bukan impian tetapi kenyataan yang hanya bergantung kepada iltizam dan kudarat politik kepemimpinan negara sahaja.
Institut Terjemahan Negara perlulah merancang seperti contoh perancangan yang disyorkan ini, dan memastikan peruntukannya diperoleh menerusi peruntukan IRPA itu, atau peruntukan lain daripada kerajaan. Kerajaan pula boleh dan sewajarnyalah mewujudkan galakan pihak swasta juga supaya memikul tanggungjawab sosialnya membina ilmu dan bangsa Malaysia yang bertamadun berasaskan ilmu. Tetapi, sebelum itu, kerajaan kini perlulah “balik ke pangkal jalan” dahulu! BAHASA PENGANTAR “SAINS DAN MATEMATIK SEKOLAH” KEMBALI DALAM BAHASA MELAYU (sekurang-kurangnya secara dominannya) sesegera mungkin
Resolusi
1. Menteri Pelajaran Malaysia membenarkan guru-guru mengajar Sains dan Matematik Sekolah dalam bahasa Melayu dan sterusnya memastikan soalan peperiksaan sekarang diteruskan dalam dwibahasa: bahasa Melayu dan Inggeris dan sekaligus pelajar boleh menjawab dalam bahasa-bahasa tersebut secara berasingan.
2. Kerajaan membatalkan rancangan setiap IPTA sekarang yang hendak mengInggeriskan semula sepenuhnya atau sebahagian besar kursus atau program yang berhubung dengan SAMA.
3. Kerajaan dengan serta merta mengarahkan Insitut Terjemahan Negara Malaysia Berhad supaya merancang dan melaksanakan terjemahan dan penerbitan 2000 buah buku sains asas klasik yang diperlukan dalam kursus-kursus sains universiti dalam masa 5 tahun, dan serentaknya penerbitan terus-menerus buku-buku sains tambahan semasa yang mencukupi, dalam masa 10 tahun terdekat ini.
Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
Sebuah buku adalah sebuah dunia pesona yang tersendiri. Melaluinya, kita menemukan kegembiraan, kesedihan, keceriaan. Itulah kuasa pesona buku. Apa tidaknya kepelbagaian ragam buku mampu membuat kita ketawa, menangis, marah, membangkitkan semangat dan motivasi diri, bahkan memperkaya ``rohani'' kita. Itulah sentuhan nikmatnya.
Kita mudah ``tenggelam'' dalam keasyikan melayani buku dalam dunia yang tersendiri. Cendekiawan Arab pada abad silam pernah mengatakan bahawa buku merupakan teman setia terbaik. Ia tidak pernah mengecewakan kita. Walau bagaimanapun layanan kita terhadapnya, ia tetap di situ, bersedia untuk berkhidmat kepada kita.
Memang setiap buku yang kita baca meninggalkan kesan yang tersendiri. Bagi Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang, membaca buku Di Bawah Lindungan Kaabah karya Allahyarham Hamka memberi banyak pengajaran dan keinsafan kepadanya tentang makna kehidupan dan betapa hidup ini hanyalah sementara dan akhirat jualah tempat kembali. Begitu juga dengan Tan Sri Samsudin Osman, Ketua Setiausaha Negara, yang suka membaca karya-karya Frederick Forsyth yang bersifat action packed thriller, kerana melaluinya beliau dapat menghilangkan penat daripada rutin kerja dan `melarikannya' daripada hal-hal yang perlu diuruskan sehari-hari. Tidak kurang juga kesan buku The Soul of Malaya karya Henri Fauconnier kepada Prof. Diraja Ungku Abd Aziz, yang mengatakan buku itu ditulis begitu bijak sekali menggunakan pantun dan puisi Melayu. Bahkan bagi Pak Ungku Aziz, buku tersebut merupakan buku terbaik menggunakan pantun Melayu dalam bentuk yang paling romantis dan indah sekali.
Segala luahan dan penghargaan Adnan, Samsuddin dan Ungku Aziz terhadap buku tersebut diungkapkan dalam buku Bacaan Kegemaran Rakyat Malaysia yang diterbitkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Sebetulnya banyak lagi tokoh yang memberi penghargaan teristimewa terhadap buku kegemaran mereka dalam buku ini seperti Shuhami Baba (pengarah filem), Khairy Jamaluddin (Naib Ketua Pemuda UMNO), Datuk Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Menteri Pelancongan). Penerbitan buku ini adalah hasil daripada Program Bacaan Kegemaran Saya (BKS) yang dilaksanakan pada tahun 2000 sebagai projek perintis oleh PNM sempena Bulan Membaca Kebangsaan yang kebetulannya berakhir semalam.
Program BKS kemudiannya berkembang dengan penyertaan lebih banyak perpustakaan awam negeri. Sepanjang pelaksanaan program BKS, ia telah melibatkan 244 orang yang terdiri daripada tokoh masyarakat, para profesional, pelajar, selebriti, pensyarah, pakar motivasi dan orang awam. Dalam buku ini, dinyatakan salah satu objektif program BKS ialah mengadakan perkongsian ilmu melalui pembacaan dan mengumpul serta menerbitkan bacaan kegemaran rakyat Malaysia.
Buku ini memuatkan 120 ulasan buku terpilih yang disampaikan oleh peserta-peserta BKS yang menerangkan kenapa buku-buku tersebut menjadi kegemaran mereka yang merangkumi elemen-elemen seperti tema dan jalan cerita, masa dan kekerapan membaca serta manfaat dan kesan bacaan.
Popular
Hampir kesemua buku yang dipilih menggambarkan kepelbagaian bidang yang luas daripada fiksyen ke nonfiksyen, daripada yang ilmiah hinggalah yang popular. Kesemua buku pilihan ini memberi sentuhan yang tersendiri dan unik kepada para peserta BKS.
Penerbitan buku terbitan PNM ini mengingatkan penulis kepada sebuah buku yang diterbitkan oleh Setesen Penyiaran British (BBC) yang bertajuk The Big Read: Books of Books, The Nations's 100 Favourite Books (2003) yang menyenaraikan seratus buah buku yang diminati oleh rakyat Inggeris berdasarkan tinjauan terhadap 140 ribu pembaca.
Cuma yang membezakan antara The Big Read dan Bacaan Kegemaran Rakyat Malaysia, ialah The Big Read hanya menyenaraikan dan memilih karya-karya novel sahaja, daripada yang klasik seperti The Count of Monte Cristo, sehinggalah yang moden seperti Harry Potter and the Prisoner of Azkaban.
Sebenarnya dalam konteks Barat, menyenaraikan buku-buku terbaik atau buku-buku yang perlu dibaca oleh manusia `Barat' bukanlah sesuatu yang baru. Sebelum ini sudah ada buku-buku daftar seperti Books that Change the World (1956); New York Public Library's Books of The Century (1996), The Western Canon: The Book and School of the Ages (1994) dan paling terbaru daftar buku yang menjadi pilihan selebriti tersohor dunia, Oprah Winfrey melalui Reading Oprah: How Oprah's Book Club Changed the Way America Reads (2005).
Buku-buku yang dipilih Oprah ini dalam rancangan televisyennya terkenal, The Oprah Winfrey Talk Show, benar-benar mempengaruhi sikap dan minat rakyat Amerika Syarikat (AS) terhadap karya-karya sastera sehingga setiap buku yang diperkenalkan Oprah akan menjadi buku terlaris. Dan, paling menarik Oprah tidak pernah berbincang atau memperkenalkan karya-karya sastera popular murahan sebaliknya memperkenalkan karya-karya sastera yang estetik atau novel-novel bermutu.
Penerbitan buku-buku daftar semacam ini masih baru dalam konteks Malaysia, walaupun telah ada usaha Yayasan Karyawan Malaysia menerbitkan Karya-Karya Agung Melayu dan Early Malay Printed Books (1993) oleh Ian Proudfoot, tetapi masih tertumpu pada karya-karya klasik. Usaha PNM ini menerbitkan Bacaan Kegemaran Rakyat Malaysia boleh dianggap sebagai salah satu buku daftar bacaan rakyat Malaysia walaupun ia menggabungkan buku-buku bahasa Melayu dan Inggeris dari luar negara.
Mungkin sesuatu yang lebih bermakna jika pada masa hadapan dapat diterbitkan daftar karya-karya atau buku-buku berbahasa Melayu yang dibaca atau harus dibaca oleh setiap rakyat Malaysia untuk memahami tradisi budaya bangsa dan mengikat diri dengan kesinambungan tradisi tersebut.
Kerana buku adalah komoditi atau aset budaya yang mampu melahirkan masyarakat `berbudaya tinggi' yang terangkum di dalamnya menjadi manusia berilmu, beradab, dan berjati diri, kerana inilah peranan akhir buku yakni ``memanusiakan'' manusia.
oleh
Prof. Datuk Abu Bakar Hamid
Pengerusi
Yayasan Penataran Ilmu
PEMBUKA KATA
1. Dasar Pendidikan Kebangsaan negara ini digubal berasaskan ciri-ciri kebangsaan daripada sudut kurikulum, latihan guru, bahan pengajaran dan bahasa penghantarnya. Inilah semangat yang terkandung dalam Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996.
2. Sistem pendidikan kebangsaan yang menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama telah berjaya membentuk sistem pendidikan yang mantap, meneguhkan perpaduan rakyat berbilang kaum, mengilmukan generasi demi generasi muda dalam acuan sendiri daripada sudut bahasa, pemikiran dan sistem nilai. Dalam hal penyediaan tenaga penggerak dan pekerja pembangunan negara dalam pelbagai bidang, sistem pendidikan kebangsaan telah melahirkan jutaan profesional dan pekerja yang memperoleh pendidikan sekurang-kurang selama 11 tahun dalam bahasa Melayu.
3. Pelaksanaan sistem pendidikan ini bukan tanpa masalah. Salah satu masalah yang ketara pada hari ini terlihat pada kelemahan pelajar menguasai bahasa Inggeris. Walaupun bahasa Inggeris diajar daripada darjah satu Sekolah Rendah, setelah 11 tahun lulusan SPM masih tidak boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris. Pada tahun 2002, Kerajaan telah memutuskan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris pada tahun 1 di sekolah rendah, tingkatan 1, 4 dan 6 rendah serta pusat matrikulasi telah bermula pada tahun 2003. Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat unjuran bahawa pada tahun 2008, 80% mata pelajaran sains, matematik dan teknikal akan diuji dalam bahasa Inggeris dalam peperiksaan umum.
a. Pada amalannya, bahasa Inggeris sudah menjadi bahasa penghantar utama mengambil alih tempat bahasa kebangsaan. Ini dilaksanakan tanpa meminda Akta Pendidikan yang sedia ada. Perubahan ini menimbulkan kecelaruan dan kakacauan; mana satu dasar dan mana satu pengkecualian kepada dasar tersebut.
b. Pengurangan peranan bahasa Melayu ini melarat pula ke pusat pengajian tinggi awam apabila pegawai tinggi IPTA diarahkan mengubah bahasa penghantar kursus sains dan teknologi daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Kecelaruan berlaku apabila semua arahan ini dibuat secara lisan sahaja. Misalnya, apabila Naib Canselor UPM mengumumkan semua kursus di universitinya akan dijalankan dalam bahasa Inggeris dalam tempoh lima tahun, ramai pemimpin kerajaan yang melenting dan membuat kenyataan bahawa ini bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara. Beliau dikatakan terlalu ghairah. Bukankah ini arahan Kementerian Pengajian Tinggi secara bisik-bisikan? Contoh kecelaruan yang lain, di UPSI mata pelajaran Kesusasteraan Melayu pula diajarkan dalam bahasa Inggeris, kononnya untuk memenuhi kuota kursus berbahasa pengantar Inggeris.
ANTARA DASAR DENGAN PENGKECUALIAN
1. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar, baik pada peringkat sekolah mahupun IPT bukanlah dasar pendidikan tetapi pengkecualian kepada dasar tersebut. Kini apa yang dikatakan pengkecualian sudah menjadi norma sementara dasar yang sudah termaktub sekian lama sudah mulai terpingir.
2. Malahan mereka yang mempertahankan dasar, sering dituduh sebagai anti dwibahasa, anti bahasa Inggeris, nasionalis sempit malahan sudah terdengar suara menuduh mereka pelampau kebangsaan dan pengkhianat. Mereka yang menyeleweng daripada dasar dianggap sebagai wira. Benarlah kata penyanyi A.R. Azmi, ’Dunia ini sudah terbalik,’
3. Penyelewengan ini telah dilaksanakan dengan tergesa-gesa, tanpa penyelidikan yang rapi dan projek percubaan (pilot project). Tindakan merubah dasar yang sudah mantap tanpa lebih dahulu membuat penyelidikan adalah sikap yang tidak saintifik dan tidak rasional. Lebih aneh lagi apabila sekarang terbukti berdasarkan penyelidikan bebas bahawa perubahan ini banyak membawa keburukan, kita diberitahu kajian perlu dibuat lebih dahulu. Bukankah aneh? Kajian diperlukan untuk melaksanakan semula dasar tetapi tidak dirasakan perlu apabila mahu menyeleweng daripada dasar yang sudah sekian lama mantap?
4. Belum terbukti di mana-mana pun di muka bumi ini bahawa mengajar sains dan matematik boleh membantu penguasaan sesuatu bahasa. Kajian bebas yang dijalankan oleh DBP-UKM dan sarjana-sarjana tempatan menunjukkan bahawa sejak dilaksanakan perubahan ini, tidak tampak peningkatan penguasaan bahasa Inggeris atau subjek sains dan matematik, malah timbul pelbagai masalah dalam kalangan pelajar dan guru.
5. Dalam keputusan Olimpiad Matematik Antarabangsa 2003 (IMO 2003), tiada sebuah negara pun daripada 10 negara teratas yang pesertanya belajar matematik dalam bahasa asing, manakala IMO 2002 dan 2001 hanya sebuah negara sahaja berada dalam kumpulan 10 teratas yang matematiknya diajar dalam bahasa asing. Negara yang paling kerap mendapat tempat 1-10 dalam olimpiad matematik ialah China = Vietnam (10/10), diikuti oleh Bulgaria (9/10), dan Iran=Korea Selatan=Romania (8/10) dan AS=Hungary=Jepun (7/10); semuanya bersistem pendidikan sains dan matematik dalam bahasanya sendiri. Keputusan yang serupa juag didapati untuk Biologi, Fizik, Kimia dan Teknologi Maklumat.
6. Selalu dihujahkan bahawa perubahan ini hanya bagi dua mata pelajaran untuk sekolah rendah sahaja. Hakikatnya jauh berbeza:
• Sekolah Rendah:
BM 60%; BI 40%
• Sekolah Menengah:
Tingkatan 3: BM 62%; BI 38%
Tingkatan 4 & 5 Sastera: BM 56%; BI 44%
Tingkatan 4 & 5 Sains: BM 36%; BI 64%
Tingkatan 4 & 5 Biologi: BM 33%; BI 67%
Tingkatan 4 & 5 Reka Cipta: 32%; BI 68%
Tingkatan 4 Akaun: BM 47%; BI 53%
SPM: BM 29%; BI 71%
Tingkatan 6 Sastera: BM 60%; BI 40%
Tingkatan 6 Sains dan Matrikulasi: BM 20%; BI 80%
• Peringkat Universiti:
BM: Kursus Sastera dan Pengajian Islam; BI Semua kursus lain
AKIBAT PENYELEWENGAN DASAR
1. AKIBAT KEPADA BAHASA MELAYU
Proses menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu dan bahasa moden akan terhenti. Sebaliknya bahasa Melayu akan terperosok sebagai bahasa pasar sahaja. Istilah yang telah dicipta tidak akan digunakan dan istilah baru tidak lagi akan dicipta. Buku dalam bidang sains, perubatan, ekonomi, perniagaan dan teknologi tidak akan diterbitkan dalam bahasa Melayu kerana tidak akan ada lagi pembacanya. Kedududkan bahasa Melayu dalam semua bidang terutama dalam bidang ilmu dan perniagaan di negara bertuah Malaysia ini akan jatuh ke nombor tiga di bawah bahasa Inggeris dan Mandarin.
2. AKIBAT KEPADA PELAJAR-PELAJAR MELAYU
Kesannya kepada pelajar terutama pelajar Melayu daripada sudut penguasaan ilmu sains dan matematik buruk sekali. Kajian menunjukkan pelajar yang masih belum mempunyai kemahiran kecekapan bahasa yang asas akan menghadapi masalah untuk membaca buku teks, berdailog, berdebat dan memberi gerak balas bertulis dalam ujian dan peperiksaan. Inilah masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Melayu kini. Masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya menuding jari kepada pelajar dan guru bahawa mereka mahu mencari jalan mudah. Belum terbukti di mana-manapun alat teknologi boleh menggantikan guru di dalam darjah. Yang perlu diingat, wajarkah kita memperjudikan nasib masa depan anak bangsa kita dengan menggunakan kaedah yang tidak, atau sekurang-kurangnya belum terbukti berhasil di mana-mana di muka bumi ini? Seorang bernama Steven Lee telah membangkitkan hal ini dalam Berita Harian 19 April 2005 bertajuk, “Pendekatan Pembelajaran Bukan Boleh ‘Dicuba-cuba’”.
1. AKIBAT KEPADA MEDIA MASSA BERBAHASA MELAYU
Tahun 60-an dulu tulisan Jawi dikeluarkan daripada bilik darjah. Akibatnya hari ini ramai orang Melayu yang buta Jawi. Akhbar Utusan Melayu dulu menjadi lidah dan alat perjuangan bangsa Melayu. Kini Utusan Melayu dalam keadaan nazak. Tidak lagi boleh menjadi wadah pemikiran dan penyatuan umat Melayu. Inilah yang akan berlaku kepada media berbahasa Melayu 20 tahun dari sekarang. Akhbar Melayu tidak akan lagi memuatkan ruangan teknologi, kesihatan, ekonomi, perniagaan, komputer dan lain-lain kerana tidak akan ada pembacanya. Pembaca akhbar nanti tidak lagi menguasai istilah dalam bidang-bidang ini dalam bahasa Melayu. Bolehkah akhbar hidup tanpa ruangan ekonomi, perniagaan, kesihatan, sains, teknologi dan sebagainya? Lihat saja Utusan Melayu. Itulah gambaran masa depan akhbar arus perdana berbahasa Melayu. Pada hari ini pun, di negara Malaysia yang kita cintai ini, edaran akbbar terbesar berbahasa Melayu jatuh ke nombor tiga di bawah akhbar berbahasa Mandarin dan Inggeris. Bayangkan 10 tahun dari sekarang akibat penukaran bahasa penghantar 80% mata pelajaran di sekolah ke dalam bahasa Inggeris.
2. AKIBAT POLITIK KEPADA ORANG MELAYU DAN UMNO
Kemerosotan kedudukan bahasa Melayu, kelemahan pelajar Melayu menguasai ilmu-ilmu sains, teknologi dan matematik serta kemerosotan akhbar Melayu akan membawa padah politik yang cukup menggerunkan bagi UMNO dan umat Melayu. Bagaimanakah UMNO mahu mempengaruhi orang Melayu kalau akhbar arus perdana Melayu nanti sudah seperti Utusan Melayu hari ini – amat tipis, terbit hanya seminggu sekali, kecil jumlah edarannyannya dan tidak lagi berupaya menggembleng pemikiran orang Melayu? Dengan serangan globalisasi dan masuknya pelbagai aliran fahaman Islam dari luar, pandangan dan pegangan hidup umat Melayu pastinya akan bertamah rencam dan berserpihan. Dan pada waktu itu alat yang ampuh untuk mempersatukan pemikiran mereka sudah tidak lagi bertenaga untuk berbuat demikian.
Kos budaya, pendidikan dan politik bagi penyelewengan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan ini terlalu menggerunkan untuk diabaikan. Apa yang dikatakan sebagai perubahan bahasa pengantar dua mata pelajaran sahaja sebenarnya akan membawa durjana kepada bangsa Melayu. Inilah akibatnya apabila kita melompat sebelum berfikir panjang.
DI MANA LETAK PENYELESAIANNYA?
Sebenarnya masalah yang sedang kita hadapi ini hasil ciptaan kita sendiri. Lain yang luka lain yang dibebat. Kita sudah mempunyai Dasar Pendidikan yang telah terbukti mantap. Ini tidak bermakna pelaksanaan dasar ini tidak mengalami masalah. Terdapat masalah mutu pendidikan sekolah kebangsaan, terdapat kelemahan disiplin, tidak memberi ruang yang cukup untuk membuka minda pelajar menjadi kreatif dan isu yang sedang kita bincangkan - terdapat kelemahan yang ketara penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris. Cara menyelesaikan masalah ini ialah pertama fokus, kedua fokus dan ketiga fokus. Kita harus memfokuskan perhatian untuk menyelesaikan masalah ini bukan mengundang masalah baru dengan mencipta kaedah yang belum teruji di mana-mana pun.
1. Dalam hubungan dengan isu yang sedang dibicarakan ini kita harus fokuskan perhatian kepada masalah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar di sekolah dengan menggunakan kaedah yang lebih kemas kini dan berkesan dan memberi latihan yang sempurna kepada guru bahasa Inggeris. Sering dibangkitkan bahawa penguasaan bahasa inggeris sebahgian daripada guru bahasa Inggeris itu sendiri tidak memuaskan.
3. Mungkinkah pengajaran bahasa dijalankan dengan sempurna dalam kelas yang melebihi 40 orang, terutama pada peringkat darjah satu? Pada banyak negara yang maju, pada sekolah rendah jumlah pelajarnya kecil sekali sehingga tidak sukar bagi guru mengawal kelasnya.
4. Di Amerika di mana terdapat ramai pelajar berbahasa ibunda asing, bahasa Inggeris diajar secara tuisyen, satu pelajar satu guru bagi pelajar yang lemah. Kita mesti mengkaji dan mengguna pakai kaedah yang telah terbukti berkesan di tempat lain.
KESIMPULAN
Kerajaan selalu menyeru rakyat supaya bersikap rasional dan saintifik dalam menghadapi sesuatu masalah dan cabaran. Dalam isu bahasa terutamanya, kita selalu mendapat seruan dan teguran agar jangan emosional. Ini seruan yang baik sebagai natijah daripada penekanan kepada pemikiran berasaskan sains, matematik dan teknologi moden. Tetapi bagaimanakah kaedah kerajaan menghadapi masalah kelemahan pelajar menguasai bahasa Inggeris?
Keputusan yang melibatkan perubahan kepada dasar pendidikan kebangsaan ini dibuat secara senyap-senyap tanpa perundingan dengan pihak-pihak yang berkepentingan. Tidak ada perdebatan atau perbincangan secara akademik dan mendalam. Bahawa pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ini dijalankan dengan tergesa-gesa tanpa didahului oleh penyelidikan yang rapi dan percubaan secara kecil-kecilan menimbulkan syak wasangka bahawa terdapat agenda tersembunyi di sebalik kegigihan ini.
Sikap ini tidaklah dapat dikatakan sikap yang saintifik dan rasional. Lebih-lebih lagi ini melibatkan orang awam dan masa depan anak bangsa. Tidak ada siapapun yang berhak memperjudikan masa depan anak bangsa dengan bereksperimen dengan kaedah yang belum berhasil dikuktikan berjaya di mana-manapun.
Ini disertai pula dengan arahan-arahan yang disampaikan secara lisan sahaja kepada pemimpin IPTA supaya menukar bahasa pengantar kursus-kursus tertentu. Tujuannya jelas dan nyata; menukar bahasa pengantar dalam semua peringat pendidikan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Apabila lebih 90% kursus pada semua peringkat telah dilaksanakan dalam bahasa Inggeris, soal meminda Akta Pendidikan menjadi fait accompli.
Kami menyeru agar kerajaan mengkaji semula tindakan tergesa-gesa untuk merubah bahasa pengantar matematik dan sains pada peringkat sekolah dan pengajian tinggi. Kami menyeru agar kerajaan kembali kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Marilah kita bersama-sama memperkasakan sekolah kebangsaan. Marilah kita bersama-sama menghadapi cabaran ini secara rasional dan saintifik. Marilah kita bersama-sama mencari kaedah yang jitu demi masa depan anak bangsa kita dan negara. Jangan sekali-sekali mengambil tindakan nekad memperjudikan masa depan anak bangsa dan negara kita. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Resolusi
1. Kerajaan bersikap rasional dalam melaksanakan sebarang dasar baru dengan mengadakan perundingan dan penyelidikan. Pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar tidak dilakukan secara demikian.
2. Kerajaan mengkaji semula kesan pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar sains dan matematiks demi mengelakkan kesan-kesan negatif pada kuasa politik UMNO.
Setiap bulan wartawan daripada sebuah akhbar gaya hidup menelefon seorang penggubah hantaran pengantin. “Ada tempahan bulan ini?” tanya si wartawan.
“Ada,” jawab si penggubah dengan gembira.
“Ok, nanti saya datang dengan jurufoto,” kata wartawan itu.
Seperti yang dijanjikan, apabila semua gubahan sudah siap, wartawan dan jurufoto itu pun datang dan mengambil gambar-gambar gubahan dengan cara-cara yang profesional bagi disiarkan dalam akhbar itu dalam kolum “Gubahan Minggu Ini”.
Setiap bulan si penggubah menerima cek bayaran daripada akhbar itu kerana gambar gubahannya disiarkan. Bagi setiap gambar gubahan yang disiarkan dia dibayar RM100. Ia adalah pendapatan tambahan selain bayaran yang diterima daripada keluarga pengantin yang menempah gubahannya.
Keadaan ini berterusan selama lebih 2 tahun.
Pada suatu masa si penggubah pergi ke kedai majalah dan ternampak buku cantik dengan tajuk “Sirih dan Pinang Untuk Pengantin” yang sangat cantik kulitnya, dijual dengan harga RM32 senaskhah. Dalam buku itu terdapat bermacam-macam gubahan sirih pinang buat hantaran pengantin.
Sebagai seorang penggubah hantaran, dia terus mengambil buku itu dengan niat membelinya untuk rujukan dan sumber ilham apabila dia sendiri membuat gubahan untuk pelanggan-pelangganya. Buku itu diterbitkan oleh penerbit akhbar gaya hidup yang selalu menyiarkan gambar gubahannya.
Daun-daun halaman buku itu diselak, diselak dan diselaknya. Hampir 50% gambar-gambar yang disiarkan di dalam buku itu adalah gambar-gambar gubahannya yang dulu pernah disiarkan dalam kolum akhbar. Berderau darahnya!
Bulan demi bulan berlalu, dia menunggu jikalau ada cek datang dari penerbit itu. Cek yang ditunggu-tunggu tidak juga datang. Dia berasa dirinya sudah tertipu sebab penerbit telah membuat banyak keuntungan daripada gubahannya, manakala dia tidak dibayar apa-apa lagi.
Wajarkah si penggubah berasa dirinya ditipu oleh si penerbit? Wajarkah penerbit membayar sekali sahaja kepada si penggubah, tetapi menggunakan gubahannya itu berkali-kali untuk mengaut lebih banyak keuntungan?
Bolehkah si penggubah membawa kesnya ke mahkamah?
Siapakah yang memiliki harta intelektual ke atas karya gubahan hantaran pengantin? Adakah ia milik si penggubah?
Apabila penerbit membayar RM100 bagi setiap gubahannya yang diterbitkan, di mana gambar-gambar itu diambil oleh jurufoto yang bertugas dengan penerbit, adakah harta intelektual ke atas gambar-gambar itu milik si penerbit?
Dalam kes ini, bahan-bahan yang digubah adalah milik keluarga pengantin. Upah membuat gubahan itu sudah dibayar oleh keluarga pengantin.
Bolehkah si penggubah membenarkan mana-mana penerbit mengambil gambar-gambar gubahannya itu dan menerbitkannya, dan pada waktu yang sama si penggubah sendiri menerima bayaran atas gubahan itu daripada penerbit?
Kisah benar di atas berlaku disebabkan para penyumbang bahan penerbitan tidak mempunyai pengetahuan berkenaan undang-undang harta intelektual dan bagaimana cara-cara yang betul apabila berurusan dengan pihak yang menerbitkan harta intelektual mereka.
Penerbit buku-buku agama di negara ini tidak mahu melabur pada kualiti kulit dan perwajahan buku-buku yang mereka terbitkan. Dari semenjak dahulu hingga sekarang kualiti penampilan buku-buku agama tidak berkembang mengikut peredaran citarasa pembeli dan pembaca buku. Ini menyebabkan orang-orang yang tidak kuat agamanya tidak tertarik membeli buku-buku agama. Akibatnya buku-buku agama hanya dibeli oleh orang-orang yang sedia baik agamanya.
Punca mengapa buku-buku agama tidak berkembang mengikut edaran zaman adalah:
1. Penerbit buku-buku agama enggan menggunakan khidmat designer buku dan artis layout yang profesional. Mereka menggunakan tenaga artis part-timer yang sanggup menerima upah murah. Kos yang rendah membolehkan mereka menjual buku-buku agama dengan harga rendah juga.
2. Sikap penerbit yang sudah tua yang tidak berminat menukar cara kerja mereka disebabkan rekod kejayaan perniagaan mereka selama ini. Mereka yakin cara kerja lama masih tidak perlu diubah.
3. Penerbit buku-buku agama tidak mempunyai kakitangan khas bagi tugas-tugas editorial dan rekabentuk buku. Semua kerja-kerja itu diupahkan kepada pekerja part-time. Ada syarikat penerbit buku agama yang duduk dalam sebuah pejabat kecil dan sempit, di mana di situ hanya ada meja untuk dua orang sahaja. Satu meja adalah meja tuan punya penerbit itu, dan satu lagi meja kerani. Tidak ada meja akuantan, tidak ada meja editor, tidak ada meja designer.
4. Penulis-penulis agama menjual manuskrip kepada penerbit dalam keadaan yang sudah dibuat layoutnya dengan menggunakan program komputer seperti WORD, iaitu program yang tidak dicipta khusus bagi kegunaan penerbitan buku secara profesional dengan kualiti tinggi. Inilah punca mengapa layout buku-buku agama masih compang-camping sampai sekarang.
Jika saudara hendak menjadi penerbit buku-buku agama, saudara berpeluang menjadi pembaharu dalam industri itu. Buku-buku agama kita adalah maruah kita.
oleh Awang Sariyan
Persatuan Linguistik Malaysia
LATAR BELAKANG
1. Dasar Pendidikan Kebangsaan negara ini digubal dengan berdasarkan ciri-ciri kebangsaan, dengan salah satu asas pentingnya ialah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utamanya. Dasar ini terkandung dalam Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996.
2. Sistem Pendidikan Kebangsaan yang mula terlaksana pada tahun 1970 dalam sistem persekolahan dengan kemuncaknya ialah penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, telah berjaya membentuk warganegara yang bersatu padu, berjati diri kebangsaan dan pada waktu yang sama telah melahirkan jutaan tenaga professional dan tenanga kerja dalam yang menjadi aset pembangunan negara dalam pelbagai bidang.
3. Sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar itu juga telah dapat memenuhi konsep pendemokrasian pendidikan, khususnya dalam kalangan anak-anak Melayu yang dalam sistem pendidikan pada zaman penjajahan Inggeris mendapat peluang pendidikan yang cukup terhad.
PERUBAHAN KE ARAH BAHASA INGGERIS SEBAGAI BAHASA PENGHANTAR UTAMA
1. Pada tahun 2002 Kerajaan telah memutuskan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar mata pelajaran sains dan matematik di peringkat sekolah hingga ke tingkatan enam dan matrikulasi dan pelaksanaan keputusan itu telah bermula pada tahun 2003 di tahun satu dan empat (peringkat sekolah rendah), di tingkatan satu, empat dan enam bawah (di peringkat sekolah menengah) dan juga di pusat matrikulasi.
2. Fakta yang sebenarnya ialah bahawa keputusan itu bukan terhad pada dua mata pelajaran seperti yang difahami oleh kebanyakan orang, tetapi melibatkan semua mata pelajaran yang berasaskan sains dan matematik. Menurut unjuran yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan (kini Kementerian Pelajaran), pada tahun 2008, 80% peperiksaan bagi mata pelajaran yang berkaitan dengan sains dan matematik akan dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.
3. Di universiti awam pula, boleh dikatakan semua pemimpinnya telah membuat kenyataan media bahawa mereka sedang berusaha ke arah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar kursus-kursus sains dan teknologi, dengan menekankan sasaran seperti 70% kursus dalam bahasa Inggeris.
4. Pelaksanaan dasar baharu itu dengan sendirinya akan mengubah dasar yang selama puluhan tahun dilaksanakan, iaitu daripada sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama kepada sistem pendidikan yang berbahasa penghantar utama bahasa Inggeris. Perubahan ini merupakan sesuatu yang amat drastik dan menimbulkan implikasi dalam beberapa aspek seperti yang dinyatakan di bawah ini.
IMPLIKASI
1. Daripada sudut kenegaraan, kita akan kehilangan satu ciri penting yang menjadi acuan jati diri dan pembinaan minda bangsa, iaitu bahasa kebangsaan yang selama ini berjaya mengilmukan anak bangsa dan pada waktu yang sama mengikat perpaduan kebangsaan. Kita mungkin maju dalam konteks kemajuan fizikal tetapi akan kehilangan salah satu maruah bangsa kita, iaitu bahasa. Prinsip yang disebut dalam Wawasan 2020, iaitu “maju dalam acuan kita sendiri” akan terjejas dengan sendirinya.
2. Bahasa Melayu yang telah dirancang sejak awal kemerdekaan menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang, khususnya dengan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka yang diberi amanah memperkaya bahasa tersebut dalam bidang perbendaharaan kata, termasuk istilah akan terbantut perkembangannya. Istilah yang jumlahnya hampir mencecah 1 juta dalam ratusan bidang, termasuk dalam bidang terkini seperti aeroangkasa yang telah dihasilkan oleh ribuan pakar bidang sejak kira-kira setengah abad lalu akan menjadi sia-sia apabila istilah-istilah itu tidak digunakan lagi untuk bidang-bidang yang berkaitan dengan sains dan teknologi.
3. Buku dan bahan penerbitan lain (jurnal, monograf, majalah, cakera padat dll.) dalam bahasa Melayu bagi bidang sains dan teknologi tidak akan berkembang malah terbantut juga penghasilannya kerana sudah tidak ada khalayak yang memerlukannya lagi disebabkan bidang-bidang itu telah diajarkan dalam bahasa Inggeris dari peringkat sekolah hingga universiti. Maka akan terjadi kemuflisan ilmu, terutama ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Melayu.
4. Dengan unjuran bahawa bahasa Inggeris akan mendominasi 80% ruang sebagai bahasa penghantar dalam sistem pendidikan negara, maka kedudukan bahasa Melayu hanya berbaki 20% sebagai bahasa ilmu dan hal ini dengan sendirinya menafikan peruntukan dalam Akta Pendidikan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara.
5. Akibat daripada implikasi (2) (3) dan (4) di atas, implikasi jangka panjang yang amat buruk ialah merosotnya taraf yang telah dicapai oleh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan tamadun tinggi kepada sekadar bahasa untuk komunikasi sosial dan bahasa untuk bidang kemanusiaan semata-mata, bukan bahasa untuk bidang sains dan teknologi.
6. Implikasi negatif yang cukup segera dirasakan, terutama oleh anak-anak di luar bandar, yang majoritinya orang Melayu ialah gangguan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik disebabkan oleh faktor penggunaan bahasa asing. Pelajar mengalami masalah kerana terpaksa memindahkan konsep-konsep sains dan matematik daripada bahasa asing ke dalam bahasa ibundanya dalam keadaan pelajar tidak atau belum menguasai bahasa asing itu. Masalahnya bertambah serius kerana guru yang diwajibkan mengajarkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris merupakan guru yang selam ini dilatih mengajarkan mata pelajaran itu dalam bahasa Melayu.
7. Kajian DBP yang dijalankan oleh pasukan penyelidik UKM pada tahun 2004 menunjukkan bahawa prestasi pelajar umumnya merosot dalam mata pelajaran yang menjadi sasaran dasar baharu, iaitu sains dan matematik dan juga bahasa Inggeris. Malah, di luar dugaan pencapaian mereka dalam mata pelajaran bahasa Melayu turut terjejas, mungkin disebabkan oleh kekeliruan dan kejutan yang dihadapi. Kajian Dr. Norhashimah Jalaludin dari Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM mendapati bahawa 75% pelajar tidak setuju sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris, 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan sains dan matematik dengan berkesan, 71% meminati sains dan matematik yang diajarkan dalam bahasa Melayu, 70% yakin akan cemerlang jika sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu, dan 87% tidak setuju bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu. Kajian itu juga menunjukkan bahawa hampir 50% pelajar tingkatan 2 yang dikaji gagal dalam mata pelajaran sains dan matematik dalam peperiksaan semester pertama tahun 2004.
8. Untuk kali pertama Kementerian Pendidikan mengakui kesan negatif pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sesudah beberapa kenyataan media oleh Menteri Pendidikan terdahulu menegaskan peningkatan prestasi pelajar dalam mata-mata pelajaran itu sesudah diajarkan dalam bahasa Inggeris. Menteri Pelajaran, dalam kenyataan media yang disiarkan oleh stesen-stesen televisyen pada malam 30 Jun 2005 dan dalam akhbar pada 1 Julai 2005 mengisytiharkan bahawa peratusan pelajar di luar bandar yang lulus dalam mata pelajaran sains dan matematik amat membimbangkan apabila hanya 41% pelajar tingkatan satu dan 43% pelajar tingkatan dua di luar bandar yang lulus dalam mata pelajaran sains, sementara 57.5% pelajar tingkatan satu dan 59.6% pelajar tingkatan dua di luar bandar yang lulus dalam mata pelajaran matematik.
9. Dalam jangka lima tahun pelaksanaan dasar baharu ini, dijangka ratusan ribu pelajar akan gagal atau rendah pencapaiannya dalam mata pelajaran sains dan matematik dan fenomena ini malangnya melibatkan majoriti pelajar di luar bandar yang jelas terdiri daripada anak-anak Melayu. Implikasi ini secara langsung menjejaskan keutuhan bangsa Melayu yang memang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang di negara ini. Bidang pendidikan yang diharapkan dapat melonjakkan citra dan martabat bangsa Melayu akan sebaliknya menjadi alat yang menjatuhkan bangsa Melayu sendiri.
10. Daripada segi sosial dan politik, kesan-kesan buruk daripada pelaksanaan dasar baharu ini akan menggoncang kestabilan sosial dan politik negara, disebabkan akan wujud ketidakseimbangan pencapaian akademik yang akhirnya melebarkan jurang antara kaum dan kelas masyarakat.
CADANGAN
1. Dasar yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara hendaklah dikekalkan kerana telah terbukti berjaya melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berciri kebangsaan dan mampu menjadi tenaga penggerak pembangunan negara dalam semua bidang kehidupan.
2. Kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam sejumlah kalangan lepasan sekolah dan universiti hendaklah diatasi dengan memberikan tumpuan kepada masalah pengajaran bahasa Inggeris di sekolah, maktab dan universiti, terutama dengan melengkapkan guru dan pensyarah yang betul-betul mahir menguasai bahasa dan kaedah pengajarannya, melengkapkan prasarana seperti makmal bahasa,menyemak sukatan pelajaran agak sesuai dengan keperluan negara dan menambah waktu pengajaran mata pelajaran itu.
3. Untuk keperluan khusus pula, misalnya bidang diplomasi dan perdagangan antarabangsa, perlu direncanakan kursus khas dalam penguasaan bahasa-bahasa asing yang penting kepada pegawai yang terlibat dalam bidang-bidang tersebut. Demikian juga, kursus bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing yang lain untuk tujuan peningkatan kecekapan berbahasa perlu dimasukkan dalam rancangan kursus dalam perkhidmatan di jabatan atau agensi tempat pegawai bertugas, jika memang timbul keperluan tersebut.
4. Kementerian Pelajaran perlu membuat tinjauan melalui lawatan sambil kerja, berkaitan dengan pelaksanaan dasar bahasa dalam sistem pendidikan di negara-negara maju yang majoritinya tetap menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing, walaupun usaha penguasaan bahasa Inggeris ditingkatkan untuk memenuhi keperluan. Kongres Bahasa Utama Dunia yang dianjurkan oleh DBP pada 5 - 8 Oktober 2004 telah mengumpulkan maklumat daripada tidak kurang 15 buah negara sedunia yang kebanyakannya termasuk dalam kategori negara maju dan masing-masing jelas maju dalam bahasa kebangsaannya sendiri.
4. Kajian yang bebas dan telus perlu disegerakan untuk mengkaji implikasi pelaksanaan dasar baharu itu dalam pelbagai dimensi - ekonomi, sosial, politik, jati diri dan sebagainya. Kajian-kajian yang sedia dijalankan seperti kajian DBP-UKM dan beberapa orang sarjana dapat dijadikan titik tolak.
Persatuan Linguistik Malaysia.
3 Julai 2005.
Kami daripada Kumpulan Prihatin bersyukur kepada Ilahi kerana membolehkan kami sedar dan insaf terhadap nasib dan masa depan kaum Melayu di Malaysia. Pada kami, kaum Melayu menghadapi masalah besar yang akan meminggirkannya di Tanah Airnya sendiri. Inilah faktor yang mendorong kami berbincang dengan tokoh-tokoh daripada berbagai pertubuhan dan orang-orang perseorangan yang peduli terhadap masa depan kaum Melayu demi keamanan negara Malaysia. Kongres ini adalah salah satu daripada langkah tersebut.
Oleh kerana penduduk negara kita terdiri daripada pelbagai kaum, maka terdapat beberapa isu sensitif yang memerlukan penerangan dan pemahamannya dari segi sejarah.
Bagi mencapai kemajuan negara Malaysia seluruhnya, kaum Melayu perlu dimajukan dengan saksama. Tetapi ini bukanlah perkara mudah. Umpamanya, dua tahun lalu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri pada masa itu menyatakan bahawa hanya 25% daripada pelajar Malaysia di seluruh dunia mempelajari ijazah pertama terdiri daripada kaum Melayu. Lalu beliau menyatakan hasrat menambah biangan pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi. Ini adalah hasrat yang wajar.
Pada masa itu pelajar di institusi pengajian tinggi swata berjumlah lebih daripada 200,000 orang. Hanya 15% (30,000 orang) daripadanya pelajar Melayu. Pelajar di institusi pengajian tinggi awam pula berjumlah 170,000 orang dan 55% (93,500 orang) adalah pelajar Melayu. Ini bermakna hanya 123,500 orang adalah pelajar Melayu daripada 370,000 pelajar di institusi pengajian tinggi. Ini adalah 33.3% sahaja, padahal pada masa ini, nisbah jumlah penduduk Bumputera adalah 66% berbanding dengan penduduk bukan Bumiputera.
Malangnya hasrat Dato’ Seri Perdana Menteri ditolak oleh Kabinet melalui Datuk Dr. Ling Liong Sik yang mengatakan penambahan pelajar Melayu itu tidak boleh melibatkan institusi pengajian tinggi swasta. Pada hal inilah yang mengakibatkan ketidakseimbangan itu.
Di samping itu ada peristiwa lain yang menunjukkan perkembangan yang tidak sihat. Penubuhan Kolej Era Baru di Kajang dianggap oleh Dong Jia Zong (Grakan Pendidikan Cina) sebagai menggantikan Universiti Merdeka. Ini bermakna bahasa Cina menjadi bahasa penghantar utama, walaupun Universiti Merdeka telah ditolak oleh mahkamah. Apa yang berlaku sekarang ialah Kolej Era Baru telah menggantikan Universiti Merdeka, pada hal Kolej Tunku Abdul Rahman diwujudkan bagi menggantikan Universiti Merdeka masih juga wujud dan diteruskan.
Seterusnya, MCA meminta supaya Kolej Tunku Abdul Rahman dinaikkan taraf menjadi universiti. Ini dipersetujui oleh Kerajaan Barisan Nasional. Tetapi, di samping itu Kolej Tunku Abdul Rahman masih wujud dan diteruskan.
Tetapi, ingatkah kita, apabila Institut Perguruan Sultan Idris dinaikkan taraf menjadi universiti, IPSI dihapuskan. Juga, apabila ITM dinaikkan taraf menjadi universiti, ITM dihapuskan.
Bagaikan apa yang diberi kepada kaum Cina tidak mencukupi, Kerajaan Negeri Perak menghadiahkan pula 200 hektar tanah untuk Kolej Tunku Abdul Rahman. Kemudian, pemimpin UMNO memberi pula 15% tempat di MRSM kepada pelajar Cina. Baik sungguh hati orang Melayu.
Beralih pula kita kepada isu lain yang sangat menyedihkan. Bahasa penghantar pendidikan sains dan matematiks ditukar pula ke bahasa Inggeris.
Kami daripada Kumpulan Prihatin merasakan masanya sudah tiba bagi orang Melayu memastikan supaya tindakan ini dikaji semula dengan teliti dan diperbetulkan. Dalam keadaan sekarang, kita memerlukan ketegasan daripada pimpinan, UMNO mahupun PAS. Kita tidak boleh lagi melayan tuntutan demi tuntutan, tuntutan yang akhirnya merosakkan keseimbangan anatara kaum. Keseimbangan yang merosakkan kaum Melayu. Kaum Melayu sudah banyak beralah.
Pada tahun 1955, dalam pilihanraya parlimen pertama, 50 daripada 52 kawasan pilihanraya mempunyai majoriti pengundi Melayu. Tetapi UMNO memberi 17 kawasan itu kepada MCA dan MIC, iaitu 750% lebih daripada sewajarnya. Undi Melayulah yang memenangkan mereka.
Sekali lagi pada tahun 1957, satu persefahaman lain dibuat. Dari 31 Ogos 1957 hingga 31 Ogos 1958, kaum bukan Melayu yang mempunyai kelayakan pemastautinan dan lain-lain, tetapi tidak mengetahui bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu dibolehkan mendapatkan hak kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam masa satu tahun, lebih daripada 800,000 orang bukan Melayu menjadi warganegera. Ini adalah satu kelonggaran yang luar biasa.
Kerajaan Perikatan juga menyediakan pendidikan aliran Cina dari darjah satu hingga enam dengan membelanjakan kewangan negara. Pada hal negara lain seperti kita tidak melakukannya.
Banyak peristiwa begini dalam sejarah kita. Kita perlu tahu sejarah kita. Juga kaum bukan Melayu perlu tahu. Pemimpin Melayu perlu menerangkan peristiwa penting ini kepada pemimpin bukan Melayu. Mereka seterusnya boleh menerangkannya kepada kaum masing-masing, supaya mereka bersetuju dengan dasar-dasar yang digubal sekarang. Dasar seperti Dasar Ekonomi Baru adalah digubal bagi mencari keamanan. Banyak matlamatnya yang dicapai, tetapi masih banyak lagi yang perlu dijayakan.
Dalam hal kepentingan Melayu, UMNO dan PAS perlu berkerjasama. Kepentingan Melayu adalah lebih penting daripada kepentingan parti, terutama dalam bidang pendidikan, bahasa dan ekonomi.
Kita perlu bersepakat. Badan-badan bukan kerajaan Melayu (BBK) perlu membuat kajian tentang isu-isu penting, terutama yang berkaitan dengan pendidikan. Kita tidak mahu peristiwa 13 Mei 1969 berulang.
Pemimpin-pemimpin Melayu perlu tahu di mana garis pemisah antara tuntutan yang wajar dengan yang melampau. Sebagai contoh, nisbah agihan kemasukan pelajar ke IPTA yang sudah lama digunakan ialah 55% Bumiputera dan 45% bukan Bumiputera. Ini adalah menurut nisbah komposisi penduduk Malaysia. Tetapi, menurut bancian tahun 2000, jumlah kaum Bumiputera meningkat menjadi 66% dan bukan Bumiputera menurun menjadi 34%. Oleh sebab itu, nisbah kemasukan ke IPTA juga perlu diselaraskan menurut nisbah penduduk sekarang.
Kita bukan mengungkit
Kita bukan ada perkauman
Kita telah banyak berkorban
Demi perpaduan
Demi kemajuan.
Ambillah teladan
dari negara-negara jiran
Berterima kasih dan
Ucapkan kesyukuran
Agar dapat kita sama-sama
Menikmati kemajuan
Serta keamanan.
Dato’ Zainal Abidin bin Abdul Wahid
Ketua
Kumpulan Prehatin
10 Julai 2005
Seorang pegawai sebuah koperasi menghantar manuskrip bukunya yang bertajuk “Undang-undang Koperasi di Malaysia” dan dengan bersungguh-sungguh cuba meyakinkan penerbit supaya mahu menerbitkan bukunya.
“Buku seperti ini belum ada dalam pasaran,” katanya. “Di negara kita ada lebih 100 ribu anggota koperasi. Buku ini berguna kepada mereka. Kalau 10% sahaja yang membeli buku ini, sudah 10 ribu laku dijual.”
Begitulah jalan fikiran kebanyakan penulis baru. Logik 1% ataupun 10% tidak boleh digunakan dalam dunia bisnes.
Ahli-ahli koperasi tidak masuk kedai buku. Habis cerita.
Bukan hanya penulis baru yang cenderung membuat kesilapan apabila cuba meramalkan jumlah pembeli buku mereka. Sesiapa sahaja yang belum pernah berniaga kerap melakukan kesilapan logik 1% dan 10%.
“Di Malaysia ada 1 juta lelaki botak. Kalau 1% sahaja yang membeli ubat botak, kita sudah kaya!” kata seorang pembuat ubat botak yang diciptanya sendiri menggunakan bahan-bahan tradisional.
“Ubat botak ramuan tradisional belum ada dalam pasaran,” katanya lagi.
Logik “kalau sesuatu produk itu tidak ada dalam pasaran, maka produk itu tentu laku dijual” adalah logik orang yang belum berniaga. Banyak produk tidak ada dalam pasaran sebab produk seumpama itu memang sukar dijual!
Di manakah pula kesilapan logik 1% dan 10% itu? Silapnya adalah, statistik itu bukan diperoleh daripada sebarang kajian pasaran, sebaliknya ia datang daripada angan-angan semata-mata.
INGAT! Jika saudara hendak menulis buku, jangan tulis buku berdasarkan pertimbangan buku seperti itu tidak ada dalam pasaran. Kedua, jangan tulis buku disebabkan isi kandungan buku itu perlu dibaca oleh banyak orang. Majoriti orang yang memerlukan buku saudara itu tidak masuk kedai buku.
Salah satu judul buku yang mendapat sambutan hangat di pasaran sekarang adalah "Menjejaki JUTAWAN Senyap" terbitan penerbit Al-Ameen. Salah satu judul buku yang tidak mendapat sambutan adalah "Masalah Keruntuhan Akhlak Remaja Melayu".
Banyak buku yang kandungannya baik tidak laku dijual semata-mata disebabkan penerbit silap memilih judul bagi buku itu. Penerbit-penerbit kecil yang baru mula menceburi perniagaan penerbitan buku biasanya tidak mengubah judul asal buku itu sebagaimana yang dicipta oleh penulisnya. Mereka masih baru oleh itu pengetahuan mereka tentang bidang penerbitan buku amat sedikit.
Lazimnya para penulis tidak menggunakan maklumat apabila mencipta judul untuk buku yang mereka tulis. Itulah sebabnya banyak judul buku yang dicadangkan oleh penulis ditolak oleh penerbit.
Penulis lazimnya memilih judul yang pada pandangan mereka dapat dengan tepat mencerminkan isi kandungan buku. Sebagai contoh buku yang ditulis berkenaan pelbagai masalah yang dialami oleh ibu-ibu tunggal mungkin diberi judul "RANJAU-RANJAU IBU TUNGGAL". Memang judul ini memberikan gambaran tepat berkenaan isi kandungan buku itu tetapi penerbit akan menolaknya.
Perkataan RANJAU dan IBU TUNGGAL tidak mempunyai nilai komersial. Contoh perkataan yang tinggi nilai komersialnya adalah JUTAWAN sebab ramai orang berangan-angan hendak menjadi jutawan! Jika buku "Menjejaki JUTAWAN Senyap" itu diganti dengan tajuk "RANJAU-RANJAU dalam Dunia Perniagaan", insya Allah jualan buku itu tidak laris walaupun daripada sudut isi tajuk kedua ini memberikan gambaran yang lebih tepat.
Buku dijual sebagai satu 'pakej'. Isi kandungannya mesti memenuhi keperluan pembaca sasaran. Judulnya mesti mempunyai nilai komersial. Wajah kulit dan wajah dalamnya juga mesti menarik. Blurp pada kulit depan dan kulit belakang mestilah dapat meyakinkan pembeli bahawa dengan membeli buku itu ia adalah suatu pembelian yang menguntungkannya.
Judul buku dibina dengan menggunakan beberapa patah perkataan sahaja. Lebih sedikit jumlah perkataan itu lebih baik. Mengapa? Jika judul buku panjang ia terpaksa menggunakan saiz huruf yang kecil, kalau tidak judul itu tidak muat dituliskan pada kulit buku yang terhad. Judul yang kecil tidak dapat dibaca oleh pelanggan yang masuk kedai dan harus membacanya dari jarak jauh.
Apabila saudara semata-mata hendak mencari kepuasan dengan menulis, saudara akan menulis tanpa mengambil kira pelbagai faktor, seperti penerbit mana yang mahu menerima karya saudara itu, berapa besar pasaran yang ada, tingkah laku pembaca, strategi pemasaran dan banyak lagi. Akibatnya, barangkali tidak ada penerbit yag mahu menerbitkan karya saudara itu. Jika buku saudara gagal diterbitkan, mana mungkin saudara puas!
Seorang penulis yang mendakwa dirinya pakar perubatan herba telah siap menuliskan bukunya yang bertajuk 'Herba untuk Wanita Menopaus' dan menghantarkannya kepada PTS. Kata beliau, "Buku judul macam ini belum ada dalam pasaran."
Selepas dibaca oleh editor didapati kandungan buku itu berguna kepada wanita-wanita yang sudah menopaus tetapi buku itu tidak sesuai diterbitkan, oleh itu ditolak.
Hasil kajian yang dijalankan oleh bahagian pemasaran PTS mendapati braket usia perempuan-perempuan yang pergi ke kedai buku adalah di antara 16-36 tahun. Mudah cakap: Perempuan menopaus tidak masuk kedai buku!
Begitulah contoh perbezaan sudut pandangan penulis dan penerbit apabila memilih judul buku yang sesuai diterbitkan.
Tidak hairanlah apabila buku-buku yang menang anugerah itu dan anugerah ini jarang sekali mengalami peningkatan jualan selepas kemenangan itu diisytiharkan.
Laku ataupun tidak sesebuah buku itu ditentukan oleh banyak faktor. Antara faktor-faktor itu adalah kesanggupan penerbit menjalankan aktiviti promosi dan pemasaran.
Apabila buku saudara sudah diterbitkan, apakah strategi promosi dan pemasaran yang digunakan oleh penerbit bagi meningkatkan jualan buku saudara itu?
Penerbit-penerbit kecil lazimnya tidak menjalankan usaha promosi dan pemasaran oleh itu mereka tidak melabur dalam pembiayaan kos promosi dan pemasaran disebabkan modal perniagaan mereka yang terbatas. Oleh itu mereka hanya berusaha menjual sahaja. Tanpa promosi yang kuat jualan tidak dapat ditingkatkan.
Ada pula penerbit besar yang mampu membiayai kos promosi, sayangnya strategi promosi yang mereka gunakan bukan strategi berkesan. Sebagai contoh mereka melaburkan banyak wang bagi mengadakan majlis pelancaran buku, sedangkan kajian mendapati tidak perkaitan langsung antara gaya pelancaran buku yang dijalankan di negara kita ini dengan peningkatan jualan buku yang dilancarkan itu!
Strategi menjemput 'orang besar' bagi melancarkan buku adalah strategi yang paling membazir apabila diukur dari sudut keberkesanan jualan buku.
Merosakkan hubungan baik dengan editor adalah kesilapan serius disebabkan faktor-faktor berikut:
1. Editor yang kecewa dengan sikap saudara akan bercakap tentang perangai saudara kepada rakan-rakan sejawatnya. Ingat! Kakitangan syarikat lebih setia kepada rakan sejawat daripada penulis. Apabila staf di bahagian sales tahu saudara bergaduh dengan editor, mereka hilang minat hendak bersungguh-sungguh mempromosi dan menjual buku saudara. Begitu juga halnya dengan artis-artis di bahagian grafik. Itulah sebabnya penulis kesayangan editor juga popular di kalangan staf bahagian sales dan bahagian grafik. Hasilnya buku-buku saudara diterbitkan dengan wajah yang lebih cantik dan jualannya lebih laju.
2. Saudara tentu sedih apabila judul saudara tidak diterima. Saudara sangat suka judul itu sebab ia adalah ciptaan saudara. Tetapi syarikat penerbitan lebih tahu judul apa yang laku.
3. Sebelum sesuatu judul itu dipilih, judul itu akan dikemukakan dahulu kepada bahagian pemasaran disebabkan merekalah yang dapat memberi maklumbalas kepada editor berkenaan kesesuaian judul itu. Staf sales hari-hari pergi ke kedai-kedai buku oleh itu mereka tahu judul-judul buku penerbit lain yang sudah ada dalam pasaran dan menjadi pesaing kepada buku saudara. Mereka akan memberikan maklumat itu kepada editor supaya jangan menggunakan judul yang serupa dengan buku terbitan syarikat lain.
4. Editor saudara adalah manusia biasa. Mereka bekerja dalam keadaan yang 'stressfull', dan mereka mempunyai perasaan. Kalau saudara bergaduh dengan mereka, mereka boleh buat macam-macam yang merugikan saudara, umpamanya mereka boleh menolak buku saudara, ataupun melambatkan proses penerbitan buku saudara dan mendahulukan buku penulis lain.
5. Jumlah penerbit buku yang kredibel adalah terbatas. Mereka berkawan-kawan sesama mereka, menjadi ahli persatuan penerbit, dan mereka selalu bertukar-tukar maklumat berkenaan perangai penulis-penulis yang bermasalah. Kalau hari ini saudara ada masalah dengan satu penerbit, dalam masa sekejap sahaja maklumat itu akan diketahui oleh penerbit-penerbit lain.
6. Bagi sesetengah penerbit, mereka sudah memasukkan dalam klausa perjanjian penerbitan bahawa hak menentukan judul adalah hak penerbit.
Jaga hubungan baik dengan editor buku saudara. Mereka dipertanggungjawabkan dalam menentukan judul yang tepat bagi buku-buku yang mereka jaga. Jika buku itu laku, mereka menerima pujian, jika tidak mereka dipersoal dalam mesyuarat.
Tidak dapat dinafikan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan remaja amat rendah dan membimbangkan jika kita ingin bersama mengikuti arus pembangunan global ICT.
Sokongan saya tidak berbelah bagi mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi pada zaman menguasai bahasa kedua adalah fenomena global, maka penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris amat penting untuk mencari pekerjaan, perhubungan antarabangsa, diplomasi dan perdagangan.
Kita tidak boleh menganggap pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris sebagai ancaman kepada budaya atau identiti kebangsaan.
Jika kita tidak mampu berkomunikasi pada peringkat antarabangsa ataupun tersekat daripada mendapatkan ilmu serta maklumat disebabkan kelemahan menguasai bahasa berkenaan, kemampuan kita untuk mempengaruhi dunia dan mendapatkan peluang perniagaan juga akan terjejas.
Menguasai bahasa Inggeris tidak menjadikan seseorang kurang identiti Melayu, Cina, India atau Malaysia.
Penguasaan bahasa Inggeris adalah persediaan kita secara individu dan kolektif sebagai negara untuk mencari tempat dalam ekonomi global.
Mempromosikan bahasa Inggeris tidak menjejaskan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi serta penggunaannya dalam apa cara pun.
Meningkatkan mutu bahasa Inggeris tidak mengurangkan kepentingan bahasa kebangsaan kerana menguasai dua atau tiga bahasa adalah keperluan untuk kecekapan sosial dan profesional dalam dunia moden.
Wakil rakyat juga harus menjadi teladan kepada generasi muda kita untuk menguasai bahasa Inggeris selain bahasa kebangsaan.
TAN SRI LEE LAM THYE
Taman Maluri, Kuala Lumpur.
Sebelum diterima menyambung pelajaran ke peringkat diploma dalam jurusan berkenaan, pelajar terpaksa menjalani kursus pradiploma untuk satu semester.
Dalam tempoh itu, pelajar didedahkan cara menguasai bahasa Inggeris seperti subjek Grammar, Public Speaking, Reading dan Comprehension.
Pada mulanya, ia sukar bagi pelajar Melayu, namun lama-kelamaan pelajar Melayu seperti saya rasa bahasa Inggeris tidak susah seperti yang disangkakan.
Kami diajar berani bertutur, memberi ucapan di khalayak dalam bahasa Inggeris.
Walaupun diajar untuk satu semester saja, ia memberi kesan kepada pelajar.
Saya membandingkan penguasaan bahasa Inggeris selama saya belajar selama 11 tahun di sekolah, tetapi tidak sama belajar di pradiploma Sains Kesetiausahaan.
Saya berharap Kementerian Pelajaran menggunakan kaedah pembelajaran UiTM agar pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.
Dengan ini kita boleh melahirkan ramai pelajar cemerlang seperti Najmil Faiz Mohamed Aris yang mencipta sejarah membentangkan kajian di Parlimen Britain dan Nur Amalina yang memperoleh 17A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.
BEKAS PELAJAR DSS 97,
Putrajaya.
Perbahasan mengenainya tidak pernah habis. Sehingga kini, belum ada jawapan sebenar ditemui mengenai punca utama kelemahan pelajar Melayu.
Mereka tidak cemerlang dalam peperiksaan di peringkat sekolah. Mereka turut gagal mencatat keputusan memberangsangkan semasa di universiti.
Benarkah pelajar Melayu lemah? Cukupkah ukuran kelemahan itu dibuat sekadar membandingkan mereka dengan pencapaian akademik pelajar cemerlang bukan Melayu?
Fellow Penyelidikan Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Syed Hussein Alatas yang diinterviu ini bagaimanapun mempunyai pandangan tersendiri mengenai isu itu.
Bekas naib Canselor Universiti Malaya itu berkata, soal yang paling penting ialah membina budaya ilmu.
``Apa untungnya membicarakan soal cerdik dan tidak cerdik pelajar Melayu kerana ukuran terakhir kecemerlangan mereka hanya diketahui melalui prestasi kerjaya dan sumbangan kepada masyarakat selepas mereka keluar dari universiti,'' kata Syed Hussein dalam interviu dengan Mingguan Malaysia di rumahnya di Kuala Lumpur.
MINGGUAN: Sebagai seorang yang telah lama terbabit dalam bidang pendidikan, apa pandangan profesor mengenai kelemahan pencapaian para pelajar Melayu khususnya di universiti?
SYED HUSSEIN: Saya ingin jelaskan bahawa masalah pencapaian akademik pelajar Melayu tiada kaitan dengan kuota kaum di universiti. Masalah ini sudah bertahun-tahun dibincangkan, ia tiada kaitan dengan bilangan pelajar yang masuk.
Ada sebab yang langsung dan tidak langsung mengapa ia berlaku. Sebab secara langsung umpamanya ialah sikap pelajar-pelajar Melayu itu sendiri yang tidak menggambarkan mereka sebagai mahasiswa universiti. Ini menghalang mereka mendapat keputusan yang cemerlang di universiti.
Pertama, pada keseluruhannya mereka tidak memiliki sikap gemar membaca. Trend membaca tidak ada sedangkan banyak membaca itu penting kepada perkembangan minda.
Kedua, sikap yang ada kaitan dengan pengaruh luar. Misalnya, saya dapati beberapa mahasiswa apabila mereka mendapat biasiswa atau pinjaman, yang diutamakan ialah membeli telefon bimbit.
Masalah kurang makan atau kurang duit, itu tidak mengapa kepada mereka asalkan ada telefon bimbit. Dan mereka tidak pula menggunakan duit itu untuk membeli buku.
Apa perlunya mereka habiskan duit membeli telefon bimbit. Ia sekadar untuk berbual dengan kawan-kawan.
Sikap inilah yang menunjukkan kurangnya keutamaan mereka kepada pelajaran.
Apakah kaitan pembelian telefon bimbit dengan pencapaian akademik pelajar Melayu?
SYED HUSSEIN: Itulah yang menunjukkan sikap mereka. Kalau pembelian telefon bimbit lebih diutamakan, tandanya mereka tidak serius untuk belajar. Ertinya mereka akan memikirkan untuk mencapai kelulusan sekadar lulus saja. Walaupun saya melihat wujudnya gejala ini tetapi saya tidak bermaksud ini adalah gambaran pelajar Melayu keseluruhannya.
Mengapa mereka tidak serius dalam belajar?
SYED HUSSEIN: Ini soalan yang mustahak untuk dijelaskan. Ada dua pengaruh besar yang menjadikan mereka begitu.
Pertama, faktor keluarga. Maknanya kalau pengaruh dan dorongan daripada keluarga lemah, maka tidak ada `tenaga yang kuat' untuk menyokong mereka supaya belajar bersungguh-sungguh.
Kedua, guru atau pensyarah juga tidak memberi dorongan. Pensyarah hanya memberi kuliah tetapi tidak kisah apa yang berlaku selepas itu. Mereka juga tidak mempunyai hubungan erat dengan pelajar. Maksud saya, hubungan luar kelas iaitu selepas kuliah. Kalau pensyarah atau guru itu sendiri tiada minat untuk membina budaya ilmu, pengaruh itu akan turun kepada mahasiswa.
Sebenarnya, kalau dibandingkan dengan negara-negara lain, universiti di Malaysia adalah yang terbaik. Jumlah universiti begitu banyak manakala kemudahan dan keadaan fizikalnya amat selesa dan menyenangkan. Kebanyakan pelajar pula tinggal di kampus.
Segala-gala yang membantu pembelajaran mereka ada di kampus terutama perpustakaan. Keadaan di universiti tempatan memang mengizinkan mereka untuk mencapai keputusan yang baik.
Jadi kalau berlaku kemerosotan atau wujudnya masalah kelemahan pencapaian para pelajar Melayu, ia disebabkan oleh faktor itu tadi, bukan soal infrasruktur. Saya ulangi puncanya iaitu sikap pelajar itu sendiri terhadap ilmu, dorongan keluarga mereka dan ketiadaan sokongan daripada guru-guru dan pensyarah.
Bayangkan bagaimana kita boleh belajar kelas agama pada sebelah petang dengan bersungguh-sungguh. Guru-guru agama tidak pernah mengadu pelajar ponteng, malas belajar dan tidak berdisiplin. Apa yang diarahkan semua diikut, misalnya sampai khatam al-Quran.
Dalam belajar agama itu, kita mempunyai sikap menghargai ilmu dan belajar bersungguh-sungguh walaupun tidak ada sijil diberikan. Sikap ini pula timbul sebab ibu bapa memberi galakan dan dorongan supaya anak-anak belajar agama manakala guru-guru juga mengajar dengan sungguh-sungguh.
Apabila ibu bapa dan guru memberi dorongan sebegini, pelajar menjadi terpengaruh untuk belajar agama bersungguh-sungguh. Sekiranya sikap, dorongan dan kesungguhan ini dapat dipindahkan oleh ketiga-tiga pihak sama ada pelajar, keluarga dan pensyarah pada pendidikan formal di sekolah dan universiti, saya yakin ramai anak-anak Melayu akan cemerlang.
Bagaimana dengan dakwaan kononnya kelemahan anak-anak Melayu itu juga berkait dengan faktor lain, termasuk masalah pemakanan?
SYED HUSSEIN: Tiada seorang pun yang akan jadi juara hanya dengan makan. Kalau hendak cemerlang dan jadi juara, makan penting tetapi yang menentukan pencapaian kita ialah tekad, sikap dan usaha.
Banyak juga pelajar kaum lain yang makanan mereka begitu sederhana tetapi mereka tetap boleh cemerlang. Kenapa dalam kes pelajar kaum lain soal pemakanan tidak mempengaruhi pencapaian mereka?
Dan kalau kita perhatikan, mereka yang mendapat gred rendah kebanyakannya mendapat cukup makan dan datang daripada keluarga berada.
Bagi saya yang penting ialah tiga faktor yang saya sebutkan tadi iaitu sikap pelajar itu sendiri, dorongan keluarga dan juga pengaruh pensyarah atau guru.
Kalau boleh saya tambah satu lagi iaitu pengaruh pergaulan dengan rakan-rakan. Tetapi faktor ini tidak begitu banyak menyumbang kepada masalah kelemahan para pelajar Melayu.
Mengenai masalah guru-guru dan pensyarah yang kurang mendekatkan diri dengan pelajar, apa cadangan Profesor untuk mengatasinya?
SYED HUSSEIN: Guru-guru atau pensyarah yang ada sekarang adalah produk daripada sistem yang sama. Sebelum ini mereka juga adalah pelajar yang didedahkan kepada sistem pendidikan yang sama. Sebab itu elok sekali jika sebahagian daripada tenaga pengajar di universiti tempatan adalah dari luar negara. Mungkin bilangan tenaga akademik asing ini ialah 15 peratus daripada keseluruhan bilangan pensyarah.
Dalam pada itu, disebabkan universiti-universiti Malaysia kini begitu cepat membesarkan kampus dan mengambil terlalu banyak pelajar, maka ramai pensyarah diperlukan dalam keadaan terdesak. Ini mengganggu proses pemilihan pensyarah.
Kalau perkembangan di universiti tidak terlalu cepat dan permintaan terhadap tenaga pengajar tidak mendesak, pemilihan pensyarah pastinya lebih teliti. Kita akan dapat mengambil para pensyarah yang lebih berkualiti.
Setakat mana seriusnya masalah kelemahan pelajar-pelajar Melayu?
SYED HUSSEIN: Yang paling mustahak, saya lihat tidak adanya budaya ilmu di kampus-kampus. Budaya menghargai ilmu masih tidak hidup di universiti-universiti kita.
Saya tidak sebut hal ini semata-mata kerana isu yang tercetus baru-baru ini. Pada tahun 1977, saya telah menyatakan soal ini dalam buku saya, Intelektual Masyarakat Membangun yang diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1992.
Budaya ilmu ini dipupuk apabila seseorang mahasiswa merasai kenikmatan belajar. Kalau mereka tidak rasa kenikmatan itu sebaliknya sekadar memaksa diri untuk mendapatkan sijil bagi mencari kerja, kemungkinan berlaku pencapaian rendah adalah lebih besar.
Ini bukan benar dalam kes mahasiswa sahaja. Kalau tukang masak gerai sekalipun, jika dia tidak merasai kenikmatan dalam kerjanya, dia tidak akan memasak bersungguh-sungguh.
Jika ada budaya ilmu, kenikmatan jiwa juga dirasai apabila pelajar itu menyiasat, menyelidik, membaca, memikirkan masalah-masalah pembelajaran, membahaskan ilmu dengan rakan-rakan dan menghargai usaha-usaha sedemikian.
Kalau budaya ilmu hidup di kampus-kampus khususnya di kalangan pengajar-pengajar, budaya ini nanti akan bertambah kuat, sekali gus akan mempengaruhi pelajar. Malangnya saya lihat ia tidak berkembang di universiti-universiti Malaysia.
Secara perbandingan, adakah pelajar bukan Melayu mempunyai budaya ilmu seumpama itu? Adakah ia mempengaruhi pencapaian mereka?
SYED HUSSEIN: Bagi pelajar bukan Melayu, dorongan keluarga mereka lebih kuat. Mereka tahu untung nasib hidup dan masa depan mereka banyak bergantung kepada pencapaian mereka di sekolah dan universiti.
Pada peringkat sekolah rendah, budaya ilmu di kalangan kaum Cina memang ketara. Mereka lebih peka kepada pentingnya ilmu berbanding keluarga Melayu.
Maksud Profesor, keluarga Melayu kurang mendorong anak-anak mereka belajar?
SYED HUSSEIN: Bukan begitu. Ibu bapa Melayu memang menyuruh anak-anak mereka ke sekolah. Tetapi sebenarnya tidak cukup dengan suruh pergi sekolah sahaja dan kemudian lepas tangan.
Dalam kehidupan seharian, misalnya ketika makan atau waktu-waktu bersama sekeluarga cuba bahaskan tentang hal-hal ilmu yang membentuk pemikiran.
Cuba bangkitkan perhatian mereka untuk meminati ilmu. Perbahasan ilmu antara ibu bapa dengan anak-anak akan membangkitkan budaya menghargai ilmu.
Sebab itu kita lihat kebanyakan pelajar Melayu yang pencapaiannya tinggi ialah anak guru-guru atau ahli profesional. Ini kerana latar belakang ilmiah atau budaya ilmu dalam keluarga itu sudah ada. Ia menjadi dorongan kuat kepada anak-anak untuk menghargai ilmu dan seterusnya belajar bersungguh-sungguh.
Selain faktor dorongan, adakah perbezaan taraf kehidupan dan sosioekonomi juga mempengaruhi tahap pencapaian pelajar Melayu dan Cina?
SYED HUSSEIN: Tidak. Saya ingin membawakan cerita mengenai seorang pelajar perempuan Cina yang saya pernah jumpa. Bapanya telah meninggal dunia manakala ibunya hanya bekerja sebagai pencuci pakaian. Kerana kemiskinan, dia membantu kerja ibunya. Tetapi dia rajin belajar, gigih dan bagus.
Bandingkan pula dengan seorang pelajar perempuan Melayu yang dapat biasiswa kerajaan. Duitnya banyak dan dia cukup makan. Tetapi dia tidak gigih dan kuat belajar seperti pelajar Cina tadi.
Dari segi kelayakan masuk universiti, kedua-duanya sudah berada di kampus. Ini bermakna, ibu pelajar itu berhasil menanamkan sikap menghargai ilmu dan mengamalkan budaya ilmu di dalam diri anaknya. Manakala ibu bapa pelajar Melayu itu pula gagal menanamkan sikap tersebut.
Pada saya, masalah kemiskinan sebenarnya tidak menjadi persoalan.
Tetapi mungkinkah situasi yang Profesor sebutkan itu berlaku kerana pengaruh persekitaran yang menimbulkan kesedaran kepada pelajar miskin Cina untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga, ia bukan semata-mata kerana dorongan keluarga?
SYED HUSSEIN: Dalam kes yang saya nyatakan tadi, pelajar Cina itu mungkin tidak bersikap begitu jika ibunya tidak memberikan dorongan.
Selain memberi galakan lisan, dorongan itu termasuklah dalam bentuk dia terpaksa bertungkus lumus mencuci pakaian untuk mengumpulkan wang bagi membiayai hidup.
Jika ibu bapa pelajar yang miskin tidak memberi galakan dan dorongan untuk belajar, anak-anak mereka juga tidak akan mempunyai sikap menghargai ilmu.
Adakah sikap pelajar Melayu yang pasif terhadap pelajaran tidak boleh diubah?
SYED HUSSEIN: Bukan tidak ada kemajuan di kalangan para pelajar Melayu.
Sekarang ini kita tumpukan corong penglihatan kepada isu bagaimana pelajar Melayu mendapat tempat atau pencapaian yang baik di kampus. Kalau kita anggap pencapaian mereka dari segi gred masih kurang, memang itu terjadi.
Tetapi saya secara peribadi tidak kisah mengenai soal itu. Kalau kurang gred apa salahnya. Maksud saya ialah gred rendah selepas keluar universiti, bukannya gred ketika masuk universiti. Gred hendak masuk universiti mesti baik.
Kalau seseorang keluar universiti sama ada dengan ijazah kepujian kelas satu atau kelas dua, itu bukan masalahnya.
Pada saya itu bukan ukuran terakhir kecemerlangan mereka. Yang perlu kita perhatikan ialah apa yang terjadi kepada mereka selepas enam hingga 10 tahun keluar universiti.
Apabila seseorang mendapat kepujian kelas satu ketika keluar universiti, ia tidak bermakna 10 tahun kemudian hidup pelajar berkenaan juga kepujian kelas satu.
Banyak orang mendapat kepujian kelas satu tetapi dalam hidup, pencapaian mereka merosot. Mungkin mereka mendapat kepujian kelas satu kerana pandai menghafal sedangkan dalam kehidupan, kita tidak hidup dengan bermodalkan menghafal.
Apa yang kita hafal di universiti tidak berguna. Untuk hidup selepas kita keluar universiti, kita mesti bermodalkan usaha dan pemikiran.
Bagi saya, yang penting para pelajar Melayu jangan gagal. Itu saja. Kalau gagal, memang ada kesannya ke atas masyarakat Melayu. Kalau mereka lulus dengan kepujian kelas satu atau dua, itu lebih baik.
Kepada ketiga-tiga anak saya sendiri ketika mereka bersekolah, saya katakan: ``Jangan berangan-angan untuk menjadi No. 1 di kelas.'' Saya mahu mereka mendapat keputusan yang cukup untuk memasuki universiti. Saya tidak peduli gred berapa yang mereka peroleh tetapi saya tetap menanamkan perasaan cintakan ilmu pada diri mereka.
Bukankah Profesor tadi menyebut bahawa keluarga Melayu perlu memberi dorongan kepada anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh tetapi pegangan Profesor adalah berlainan?
SYED HUSSEIN: Ya. Itulah maksudnya mendorong dan memberi galakan supaya mereka menghargai dan meminati ilmu.
Tetapi menentukan apa gred yang mereka dapat ia bukan cara yang berkesan. Ini penting bagi memastikan para pelajar berasa tidak tertekan. Mereka tidak perlu belajar untuk bersaing dengan orang lain tetapi bertanding dengan diri sendiri. Selama-lamanya mereka mesti melebihi diri sendiri, jangan terlalu memikirkan orang lain.
Persaingan terus ditimbulkan di Malaysia, kerana itu orang membandingkan pencapaian pelajar-pelajar Melayu dengan prestasi pelajar kaum lain. Apa komen Profesor?
SYED HUSSEIN: Sebenarnya apa guna persaingan seperti ini. Kita janganlah terlalu menghiraukan perkara ini. Yang sepatutnya diberi perhatian ialah apa yang berlaku 10 tahun selepas mereka tamat belajar. Macam mana mereka hidup selepas itu dan sebagainya.
Sepatutnya, yang kita perlu fikirkan ialah asalkan mereka jangan gagal. Tidak penting untuk memikirkan supaya pelajar Melayu mesti jadi No. 1 atau No. 2. Jumlah pelajar Melayu tidak ramai yang cemerlang tidak menjadi persoalan. Adakah kita perlu memaksa mereka supaya cemerlang? Kalau jumlah pelajar Melayu yang cemerlang bertambah, itu memang baik tetapi kalau bilangannya tidak banyak, tidak guna dipersoalkan.
Tetapi jika tidak ada orang Melayu yang mengambil bidang perubatan atau kejuruteraan misalnya, itu memang menjadi masalah besar dan ia patut difikirkan.
Bukankah kecemerlangan akademik juga membantu lepasan universiti membina kehidupan yang cemerlang?
SYED HUSSEIN: Pada saya, yang lebih penting ialah cemerlang dalam kehidupan. Apabila mereka keluar universiti dan menyertai bidang-bidang tertentu di situ mereka mesti berusaha untuk cemerlang dalam kerjaya mereka.
Pada umumnya kemajuan masyarakat Melayu tidak bergantung kepada jumlah pelajar Melayu yang cemerlang. Kemajuan masyarakat Melayu bergantung kepada budaya ilmu yang ditanamkan dalam diri anak-anak muda Melayu.
Tidak menjadi masalah pada saya kalau pada satu-satu tahun kurang pelajar-pelajar yang masuk universiti dengan gred yang tinggi iaitu 8A atau 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Memanglah mencapai gred yang baik itu penting untuk layak ke universiti tetapi kita tidak perlu terlalu menekankan mendapat 8A atau 9A.
Adakah Profesor melihat kelemahan pelajar Melayu dalam pencapaian akademik bukan satu masalah?
SYED HUSSEIN: Ya, memang ia bukan satu masalah. Saya ulangi lagi bahawa, persoalannya ialah asalkan jangan banyak yang gagal. Selagi mereka lulus walaupun tidak cemerlang, tidak mengapa. Asalkan mereka bersikap positif terhadap ilmu dan kehidupan mereka.
Untuk pelajar bumiputera, untuk apa mahu ditekankan soal cemerlang. Biasiswa sudah dapat. Kalau kurang cemerlang tetapi masih lulus dengan baik, pekerjaan dapat juga dan mereka boleh bina kehidupan yang cemerlang. Bukanlah satu syarat mesti cemerlang dalam akademik untuk menikmati hidup yang cemerlang.
Kecualilah jika kita ada tujuan tertentu seperti ingin melanjutkan lagi pelajaran dan hasrat itu memerlukan kelayakan tertentu. Dalam soal ini kita mesti mencapai kecemerlangan seperti yang dikehendaki oleh syarat itu.
Adakah ini bermakna Profesor telah berpuas hati dengan pencapaian pelajar Melayu ketika ini?
SYED HUSSEIN: Pencapaian pelajar Melayu di universiti tidaklah begitu buruk. Kalau lebih banyak yang dapat gred D atau F iaitu gagal, mungkinlah kita perlu berbuat sesuatu. Tetapi sekarang ini kebanyakannya mendapat pencapaian pada tahap baik dan pertengahan.
Kementerian Pendidikan bercadang mengkaji semula syarat penglibatan dalam kegiatan kokurikulum selain pencapaian akademik untuk kriteria pemilihan ke universiti, apa komen Profesor?
SYED HUSSEIN: Saya menyokong tindakan ini. Seumur hidup saya, saya tidak setuju dengan dasar menjadikan kokurikulum sebahagian syarat. Ini kerana bukan tugas universiti untuk mengeluarkan pemain-pemain bola sepak, tenis atau tinju. Itu tugas kelab-kelab atau persatuan sukan.
Tugas universiti ialah membina otak pelajar, bukan membina badan. Tidak masuk akal kenapa syarat-syarat ini diletakkan. Syarat-syarat inilah yang telah menyebabkan ada pelajar yang cemerlang dalam akademik tetapi kurang baik dalam kokurikulum gagal memasuki universiti. Ini tidak adil.
Kalau ini diteruskan masalah akan menjadi lebih rumit. Jadi saya harap mereka hapuskan amalan dan kriteria seperti ini.
Saya bukan orang yang anti-sukan atau kegiatan lain. Semasa saya bersekolah dahulu, saya orang yang paling aktif dalam bidang kokurikulum di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Bahru. Pada masa itu, saya suka bersukan dan berpersatuan tetapi ia langsung tidak diambil kira dalam kemasukan saya ke universiti.
Kegiatan kokurikulum memang perlu ada di sekolah-sekolah tetapi kenapa ia mesti diambil kira untuk kemasukan ke universiti. Biarlah pelajar menyertai bidang sukan atau kegiatan berpersatuan secara sukarela atau senang hati, bukannya terpaksa kerana dijadikan syarat memasuki universiti. Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan amalan ini kerana ia memberi tekanan kepada pelajar.
Saya ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi pandangan Awang Sulung dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan Malaysia pada 13 Mei lalu.
Saya setuju dengan bantahannya terhadap sebarang cadangan untuk melonggarkan syarat kelayakan memasuki universiti. Amat memalukan kalau setiap kali ada masalah kelemahan pelajar Melayu, kita hendak turunkan syarat itu.
1. Apakah itu hak cipta?
Hak cipta ialah satu bentuk perlindungan yang diberikan oleh undang-undang kepada pencipta yang menghasilkan karya asal sama ada karya sastera, drama, muzik, seni, dan lain-lain karya intelektual. Perlindungan ini diberikan kepada sama ada karya yang sudah diterbitkan atau belum diterbitkan. Pencipta berhak melaksanakan hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk satu tempoh tertentu.
2. Apakah akta atau undang-undang yang melindungi hak cipta di Malaysia?
Hak cipta di Malaysia dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332). Malaysia juga tertakluk kepada peraturan Konvensyen Berne bagi Perlindungan Karya Sastera dan Seni 1886 dan TRIPS (Agreement on Trade-Related Aspects on Intellectual Property Rights) 1994.
3. Apakah itu Konvensyen Berne?
Konvensyen Berne adalah konvensyen tertua yang memberi pelindungan bagi karya sastera dan karya seni negara-negara anggota. 3 prinsip utamanya ialah:
a. semua karya seni yang dihasilkan oleh rakyat semua negara anggota diberikan perlindungan
b. perlindungan hak cipta diberi secara automatik
c. perlindungan yang diberikan tidak tertakluk kepada perlindungan yang perlu diberikan oleh negara asal
4. Apakah jenis karya yang dilindungi undang-undang hak cipta?
karya sastera
karya muzik
karya seni
filem
rakaman bunyi
siaran
5. Apakah yang dimaksudkan dengan karya sastera?
novel, cerita, buku, risalah, manuskrip, karya syair dan penulisan lain
lakonan, drama, arahan pentas, senario filem, skrip siaran, karya koreografi dan pantomim
treatis, sejarah, biografi, karangan dan artikel
ensiklopedia, kamus dan karya rujukan lain
surat, laporan dan memorandum
syarahan, ucapan, khutbah dan karya-karya lain yang sama sifatnya
jadual atau penyusunan, sama ada dalam bentuk perkataan, angka atau simbol yang nyata atau tidak, dan sama ada dalam bentuk yang dapat dilihat atau tidak
program komputer
6. Apakah yang tidak dilindungi hak cipta?
Karya yang belum dizahirkan dalam bentuk yang kekal seperti susunan ayat dalam sebuah buku.
Judul, nama, frasa pendek, slogan (walau bagaimanapun ianya boleh dilindungi di bawah undang-undang cap dagangan)
Simbol dan reka cipta yang umum dan diketahui seperti tanda 'Dilarang merokok'
Jenis huruf, warna.
Idea, prosedur, kaedah, sistem, proses, konsep, prinsip, penemuan.
Karya yang mengandungi maklumat umum dan tidak ada pemilik hak cipta asal. Sebagai contoh kalendar standard, carta ukuran ketinggian, jadual atau senarai yang diambil daripada sumber terbuka.umum, pta ukur.
7. Apakah hak eksklusif yang dimiliki oleh pemegang hak cipta?
mengeluar semula dalam apa-apa bentuk bahan
menyampaikan kepada awam
menunjuk, menayang atau memainkan kepada awam
mengedar salinan kepada awam sama ada dengan cara menjual atau memindah milik
menyewakan kepada awam secara komersial
8. Berapakah tempoh hak cipta yang diberikan?
Karya sastera, muzik & seni: sepanjang hayat penulis + 50 tahun selepas kematiannya
Diterbit selepas kematian pencipta: 50 tahun bermula dari tahun kalendar karya diterbitkan
Karya tanpa nama/mengguna nama samaran: 50 tahun bermula dari tahun kalendar karya diterbitkan
Karya ciptaan bersama: sepanjang hayat penulis terakhir yang meninggal + 50 tahun selepas kematiannya
9. Apakah prinsip-prinsip asas dalam hak cipta?
Karya adalah asli
Idea tidak dilindungi hak cipta
Fakta tidak dilindungi hak cipta
Hak cipta diperolehi secara automatik
Hak cipta adalah adalah satu bentuk harta
Karya sudah dizahirkan dalam bentuk yang nyata
10. Bagaimana jika saya hendak mengguna bahan daripada karya orang lain?
Minta kebenaran pemilik hak cipta terlebih dahulu
Tulis balik menggunakan ayat sendiri
Ciplak
11. Dalam keadaan apakah saya boleh guna bahan orang lain tanpa minta kebenaran?
Dibenarkan untuk urusan yang wajar bagi tujuan:
Penyelidikan
pengajian sendiri
kritikan
ulasan
laporan
Dengan syarat meletakkan judul karya atau sumber dan penciptanya.
12. Bagaimana menentukan wajar atau tidak penggunaan sesuatu karya?
Tujuan: untung atau tidak
Jenis karya: kreatif atau tidak kreatif
Sedikit atau banyak
Kesan ekonomi kepada karya asal
13. Bagaimana membukti hak cipta?
Meletak notis hak cipta
Membuat akuan bersumpah atau afidavit
meletak manuskrip di dalam sampul surat yang di ‘sealing wax’
mendaftar dengan pusat bibliografi negara
14. Siapakah pemilik hak cipta?
Individu yang mencipta karya
Majikan yang menggaji pekerjanya
Individu yang menempah karya
15. Bentuk adaptasi yang bagaimanakah yang tidak dibenarkan?
karya sastera ditukar kepada karya drama
karya drama ditukar kepada karya sastera
terjemahan karya drama dan sastera
karya drama atau sastera dikomikkan (gambar)
gubahan atau transkripsi karya muzik
karya sastera atau seni ditukar menjadi filem
16. Apakah bentuk tindakan yang boleh diambil jika berlaku pelanggaran hak cipta?
a. Tindakan sivil
perlu mendapatkan peguam
perlu menangung semua perbelanjaan membawa kes ke mahkamah
jika berjaya dalam tuntutan,
tuntutan yang boleh dibuat seperti ganti rugi dan perintah halangan
a. Tindakan jenayah
membuat laporan polis
belanja ditanggung oleh kerajaan
jika didapati bersalah, pihak didakwa akan dikenakan hukuman
tiada pampasan
b. Penguatkuasaan di bawah Bahagian Penguatkuasaan Harta Intelek, KPDN & HEP
Nota ringkas ini disediakan oleh:
NAZRUL SAMSUDIN
Pegawai Undang-undang
PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
nazruls@pts.com.my
31 Mei 2005
Dalam satu peristiwa dua ekor keldai telah dibawa oleh tuannya mengangkat barang: seekor membawa garam di dalam beberapa karung diikatkan di atas belakangnya, dan seekor lagi membawa bunga karang (iaitu span) diikatkan kepada belakangnya juga.
Tatkala mengharung melalui sebuah anak sungai keldai yang membawa garam itu telah tergelincir beberapa kali dan jatuh tergolek ke dalam air. Maka garam itu pun beransur-ansur larut; tiap-tiap kali ia bangkit air garam itu pun berlelehan turun dari kiri kanan rusuknya. Akhirnya ia pun merasa ringan. Setelah sampai ke tebing sebelah, melompat-lompatlah ia oleh kerana kesukaan.
Apabila dilihat oleh keldai yang membawa span itu ia pun hairan lalu ia bertanya kepada taulannya itu dengan bahasa keldai: "Hai! Apa sebabnya awak telah menjadi terlampau suka ini? Tadi kawan tengok awak terkial-kial di bawah beban awak itu; sekarang nampaknya awak sudah ringan dan boleh berlari melompat-lompat dengan riang pula!"
Jawab taulannya itu: "Masa kawan mula-mula tergelecek dan jatuh dalam sungai itu tadi rasa beban di atas belakang kawan hancur menjadi air serta ringan rasanya. Sebab itu kawan pun sengaja membuat-buat jatuh lagi beberapa kali, supaya banyak lagi beban kawan itu hancur. Sekarang sudah ringan betul!"
Maka keldai yang membawa span itu pun menetapkan dalam hatinya hendak membuat-buat jatuh pula dalam air bila menyeberang anak sungai yang lain kelak, supaya bebannya pun menjadi ringan juga. Oleh itu apabila terjumpa sebuah anak sungai lagi dan ia turun mengharungi bersama taulannya itu hendak menyeberang, ia pun pura-pura tergelincir lalu rebah ke dalam air hingga bergolek-golek.
Maka sengaja ia lambat bangun, kerana menantikan biar banyak bebannya itu hancur pula! Tetapi kasihan! Apabila ia bangun dirasanya jangankan bebannya itu bertambah ringan, malahan telah bertambah berat pula berganda-ganda daripada dahulu, sebab span itu semuanya telah penuh dimasuki air. Dalam hal yang demikian, mahu tak mahu berjalanlah juga ia naik ke tebing sambil mengerang dan mengeluh oleh terlalu beratnya, sepertikan hendak patah rasa belakangnya!
Ketika itu tuannya, yang dari tadinya telah memerhatikan sahaja akan kelakuan keldai itu dengan perasaan lucu, datang hampir kepadanya lalu berkata: "Hai Si Dungu yang bebal! Sungguhlah engkau ini bodoh dan tongong! Tiada engkau mengerti bahawa beban engkau dengan beban taulan engkau itu tidak sama jenisnya! Engkau hanya meniru dan mengikut-ngikut dengan buta tuli, tidak dengan fikiran dan faham yang terang! Padanlah balasan yang engkau terima ini dengan bodoh engkau itu!!
Bangsaku manusia pun banyak yang berbuat seperti engkau ini, mengikut-ngikut perkara yang mereka tiada tahu dan tiada mengerti!"
Cerita ini adalah sebahagian dari catatan (Allahyarham)Pendita Za'aba
Pelajar Melayu tidak harus diperjudikan untuk dijadikan bahan ujian kepada sesuatu teori yang belum terbukti jayanya. Saya ingin mencadangkan dasar pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris itu dihadkan kepada golongan seperti berikut:
1. Pelajar aliran Sains (bermula dari Tingkatan Empat dan Lima) saja bukannya terhadap pelajar aliran sastera, kerana yang akan menjadi saintis yang berkaliber ialah golongan aliran sains.
2. Pelajar sekolah berasrama penuh yang mempunyai tahap kecerdasan tinggi dan terpilih bukannya pada peringkat sekolah rendah.
3. Pelajar sekolah khas dan swasta.
4. Pelajar universiti khususnya di Fakulti Sains dan Matematik. Ini bertujuan melahirkan saintis yang berkaliber dan penyelidik yang mahir, bukannya pada peringkat sekolah rendah atau menengah.
Kalau benar kita mahu membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan baik, kita perlu meneliti kelemahan dan kekuatan yang berkaitan dengan proses perjalanan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dan mencari jalan serta mengambil langkah sewajarnya.
Di bawah ini saya cadangkan 11 langkah untuk mengatasi kelemahan bahasa Inggeris dan mempertingkat pengajaran bahasa Inggeris di sekolah:
1. Memperbanyak masa belajar bahasa Inggeris daripada tiga masa kepada 10 masa atau lebih dalam seminggu.
2. Menambah jumlah bilangan guru bahasa Inggeris yang berkelayakan.
3. Memberi latihan dan kursus pedagogi yang cukup kepada guru bahasa Inggeris.
4. Menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti kursus di dalam dan di luar negara untuk meningkatkan inovasi dan motivasi mereka.
5. Memastikan serta memantau secara berterusan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah agar guru bahasa Inggeris menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika mengajar.
6. Mengkaji dan menyemak kurikulum bahasa Inggeris secara berkala.
7. Mengambil lebih ramai guru bahasa Inggeris (penutur asli) dari Amerika Syarikat, Britain, Australia, New Zealand dan lain-lain mengajar bahasa Inggeris di sekolah.
8. Memastikan alat bantu mengajar cukup, baik dan berfungsi untuk digunakan dalam pengajaran bahasa Inggeris.
9. Memastikan makmal bahasa bahasa Inggeris di semua sekolah cukup dan berfungsi.
10. Memberi inisiatif kepada pelajar serta guru yang cemerlang dalam bahasa Inggeris seperti derma siswa dan sebagainya.
11. Menubuhkan maktab perguruan khas bahasa Inggeris bagi melatih guru bahasa Inggeris. Dengan cara ini saya pasti pencapaian dan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dapat diperbaiki.
Penguasaan bahasa Inggeris juga dapat pertingkatkan setelah mereka memasuki universiti dan mengambil kursus tertentu dalam bahasa Inggeris.
Kalaulah kelemahan pelajar sekolah menengah dalam bahasa Inggeris dan kegagalan graduan untuk mendapat pekerjaan kerana mereka tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik dijadikan alasan supaya sains dan matematik perlu diajar dalam dalam bahasa Inggeris, saya rasa ini kurang praktikal dan merugikan pelajar Melayu kerana mereka tidak dapat mengikutinya dengan baik.
Dasar mewajibkan subjek Sains dan Matematik diajar di semua sekolah dan peringkat tanpa melihat kepada sosiobudaya dan latar belakang pelajar serta kekangan yang dihadapi oleh pelajar dan di sekolah, saya berasa ini cukup tidak demokrasi.
Kita tidak menafikan pentingnya bahasa Inggeris dalam dunia sains dan teknologi tetapi biarlah pelaksanaan sesuatu dasar itu betul dan berdasarkan kajian ilmiah.
Kita tidak perlu menunggu lama untuk melihat keberkesanan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Kita juga tidak boleh mengatakan bahawa tempoh dua hingga tiga tahun terlalu awal untuk menilai keberkesanan pengajaran subjek berkenaan.
Kita juga tidak boleh menyatakan bahawa guru Sains dan Matematik sekarang sudah selesa dengan menggunakan bahasa Inggeris, kerana pelajar yang mempelajari subjek berkenaan adalah pelajar yang berbeza.
IBN MUHAMAD
Universiti Putra Malaysia
Serdang.
TIDAK semua pejuang kemerdekaan dicatatkan nama mereka dengan tinta emas. Ada yang hanya menjadi catatan kaki dan ada yang dianggap sebagai serpihan sejarah sahaja.
Salah seorang daripada mereka ialah Mokhtaruddin Lasso, bekas pejuang anti-Jepun dalam masa perang dulu dan kemudian salah seorang pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya PKMM (Malay Nationalist Party).
Sebuah cerita mengenainya dicatat oleh Ahmad Boestamam dalam bukunya Putera Setia Melayu Raya mengenai Dr. Burhanuddin Al-Hilmy (penerbitan Pustaka Kejora 1972).
Peristiwa yang diceritakan ialah mengenai perdebatan hangat mengenai agama di antara Mokhtaruddin dan Dr. Burhanuddin pada malam selepas kongres pertama PKMM di Ipoh pada bulan November 1945. Berikut sedutan laporan Boestamam mengenainya.
``Dr. Burhanuddin, Mokhtaruddin Lasso dan saya berbual-bual di pejabat harian Suara Rakyat, lidah rasmi PKMM yang saya ditugaskan menjadi pengarangnya, di Jalan Brewster.
Secara tiba-tiba saya dengar Mokhtaruddin bertanya kepada Dr. Burhanuddin. Apakah benar Tuhan itu ada, tuan doktor?
Pertanyaan ini dikeluarkannya sambil tersenyum. Saya terperanjat juga mendengarkan pertanyaan itu. Tidak saya duga. Mungkin, hati saya segera menduga, Mokhtaruddin hendak menguji keteguhan Dr. Burhanuddin beragama.
Sudah tentu saja Tuhan ada, Dr. Burhanuddin menjawab pendek.
Benarkah Dia berkuasa? Mokhtaruddin bertanya lagi. Benar, jawab Dr. Burhanuddin.
Kalau benar Dia berkuasa suruhlah Dia membuat sepasang terompah kayu sekarang dan kalau Dia boleh membuatnya saya akan percaya Tuhan itu ada dan Dia berkuasa, tetapi tidak sebaliknya, berkata Mokhtaruddin kepada Dr. Burhanuddin.
Saya melihat tepat ke muka Dr. Burhanuddin. Saya mahu memastikan apakah reaksinya kepada pertanyaan ini. Apakah dia akan menjawabnya atau apa? Tidak syak lagi pertanyaan Mokhtaruddin itu pertanyaan yang hanya boleh datang daripada seorang free thinker, seorang yang tidak percaya adanya Tuhan, seorang komunis, seorang yang bersandar bulat kepada dialectical materialism.
Dan ini tidak pula memeranjatkan saya. Sebagai seorang bekas pejuang yang menentang Jepun yang berpangkalan dalam hutan, Mokhtaruddin tak syak lagi telah bergaul dan seterusnya mengikuti kursus politik komunis yang menjadi pelopor melawan Jepun itu.
Saya cemas. Hati kecil saya menyesali Mokhtaruddin kerana membuat pertanyaan itu. Masakan patut Tuhan diminta membuat pekerjaan yang remeh seperti membuat terompah kayu itu? Dr. Burhanuddin memberikan jawapannya dengan tenang. Tidak ada tanda marah dalam suaranya sewaktu memberikan jawapan ini.
Ini tidak bererti Tuhan tidak boleh membuat terompah kayu itu, dia meneruskan kata-katanya. Dia boleh. Kalau alam ini dapat dicipta-Nya kenapa pula perkara mudah dan kecil seperti membuat terompah kayu itu tidak boleh?
Kalau banyak orang, banyak manusia yang menjadi makhluk Tuhan sudah boleh membuat terompah kayu belaka kenapakah harus diperlukan juga tenaga Tuhan bagi perkara yang remeh ini? Tidakkah sama saja seperti menyuruh seorang ayah mengesat hingus atau menghisap puting sedangkan bayi kecil pun sudah tahu membuatnya?
Mokhtaruddin saya lihat tertegun. Tetapi dia belum puas hati lagi. Dia menimbulkan pula masalah lain yang berhubung dengan soal Tuhan juga.
Orang Islam menyembah Tuhan yang mereka panggil Allah katanya. Tetapi ada juga orang yang menyembah bulan, matahari dan banyak yang lain lagi. Mereka kata benda-benda itu dikatakan esa, tidak dua dan tidak tiga?
Dr. Burhanuddin tersenyum dulu sebelum menjawab. Ada orang yang memanggil kasut itu kasut tetapi ada pula yang memanggilnya sepatu, dia menjawab.
Tetapi bukankah kasut dan sepatu itu benda yang satu itu juga?
Begitu juga dengan Tuhan, ada yang memanggilnya Allah, ada yang memanggilnya God, ada yang memanggilnya tok pekong, ada yang memanggilnya sami, ada yang bertuhankan bulan, matahari dan entah apa lagi. Panggilannya saja yang berbeza tetapi bendanya tetap yang satu itu juga. Ertinya Tuhan itu memang Esa.
Dan kalau saudara masih meragukan adanya Tuhan, tambah Dr. Burhanuddin lagi (dan kini seperti hendak mengajar Mokhtaruddin pula), maka hujah saudara tadi dapat saya kembalikan untuk menikam saudara kembali.
Bagaimana? Mokhtaruddin bertanya.
Bukankah saudara mengatakan tadi ada orang yang mengatakan bulan itu Tuhan, matahari itu Tuhan, Allah itu Tuhan dan seterusnya?
Mokhtaruddin menganggukkan kepalanya.
Dan komunis pun percayakan naturekan? Mokhtaruddin menganggukkan kepala lagi.
Tidakkah itu menunjukkan setiap orang percayakan adanya Tuhan kerana tidak ada orang yang mengatakan tidak ada?
Ya, Tuhan itu ada dan Esa. Mokhtaruddin mengangkat kedua-dua belah tangannya ke atas dan berkata: Cukuplah ini saja tuan doktor dan kita kira seri - tak kalah, tak menang.'' Demikian cetusan hati cerita Boestamam.
Baginya yang menang ialah Dr. Burhanuddin.
Saya mengagumi kebesaran Dr. Burhanuddin sebagai seorang pembela Islam yang tenang - paling tenang. Dan apakah yang menguatkan kekaguman saya itu?
Sepanjang perdebatan itu Dr. Burhanuddin tidak sekali pun mengeluarkan hadis dan firman bagi menguatkan hujah-hujahnya... berhadis dan berfirman dengan seorang yang tidak memandang hadis dan firman itu berhikmat sama saja dengan menjiruskan air di atas daun keladi, tentu tidak akan memberi kesan.
dipetik dari tulisan MAZLAN NORDIN.
Utusan Online 24/4/2005