Berikut ini adalah suatu laporan yang menggemparkan dan menggetarkan seluruh peminat industri buku seluruh dunia. Berita yang akan meninggalkan kesan jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk mereka dan juga persekitaran dunia buku yang terbabit dengannya.
Kedai Buku Borders yang sangat terkenal itu kini sudah diisytiharkan muflis. Lantaran itu juga, lebih 200 cawangannya akan ditutup dan beribu lagi akan kehilangan kerja dalam masa terdekat.
Sesuatu yang pastinya menggerunkan jiwa mereka yang cintakan buku sejak sekian lama.
Borders Group Inc. telah memfailkan perlindungan bankrapsi dan akan menutup satu pertiga daripada cawangannya seluruh Amerika Syarikat setelah bertahun lamanya bertahan dengan kegetiran jualan yang membuatkan pengurusan beban hutangnya semakin mustahil.
Perkara yang sudah jelas diramal semenjak sekian lama ini akan memberikan peluang kedai buku kedua terbesar seluruh Amerika Syarikat ini memperbetulkan kedudukan kewangan dan memperbaiki strategi perniagaan dengan hasrat untuk terus 'hidup' dan bersaing dengan pembelian buku secara online dan format digital.
Menurut Presiden Borders, Mike Edward, syarikatnya tidak mempunyai sumber-sumber tanaman modal kewangan yang mencukupi sekarang untuk bersaing di pasaran terbuka. Katanya lagi, kenyataan bankrapsi adalah penting demi penstrukuran semula hutang dan operasi niaga yang berterusan.
Borders mempunyai beban liabiliti sebanyak USD$1.29 bilion dan aset sejumlah USD$1.28 bilion sejak 25 Disember yang lalu, berdasarkan dokumen yang difailkan pada hari Rabu lalu.
Berita ini mungkin tidak membimbangkan kita di tanahair tapi bayangkan impak tersebut sekiranya ia berlaku di sini. Dengan kebanjiran teknologi canggih seperti tablet PC dan juga telefon pintar yang semakin mendapat tempat di kalangan pembaca yang mahukan informasi terkini dan sumber bacaan yang lebih mudah dan cepat, perubahan tidak dapat dielak lagi.
Besar atau kecil kesannya nanti di Malaysia ini khususnya, tidak dapat kita pastikan dalam masa terdekat ini. Namun, ledakannya telah pun bermula.
FM: PTS senantiasa dalam keadaan bersiap-siaga untuk perubahan-perubahan global terkini ke arah kebaikan serta masa depan industri buku negara demi memandaikan bangsa.
Menyedari kekurangan bahan bacaan dalam pasaran buku negara, bekas pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, Puan Ainon Mohd tekad melepaskan jawatannya kira-kira 22 tahun yang lalu untuk menubuhkan syarikat penerbitan dan pengedaran buku, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd (PTS).
Puan Ainon yang juga Pengerusi Kumpulan PTS berkata, 10 tahun lalu, beliau mengambil keputusan berhenti dari DBP dengan notis 24 jam kerana mahu berjuang memartabatkan bahasa Melayu. Perniagaan ini bermula di rumah, kemudian menyewa kedai di Bukit Tinggi di Janda Baik, seterusnya menyewa kilang di Batu Caves dan sejak tahun lalu PTS mempunyai bangunan sendiri.
"Dalam tempoh 10 tahun itu, sebanyak 2000 judul buku berjaya diterbitkan," katanya yang mengasaskan syarikat itu bersama Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan selaku Penasihat Editorial. Puan Ainon yang menggelarkan dirinya sebagai 'orang buku' berkata keistimewaan buku PTS ialah kandungannya yang menepati syariah dan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi walaupun untuk komik.
"Semua penulis kami latih sendiri. PTS mengadakan kursus penulisan percuma dalam dua hingga tiga kali sebulan. Dengan cara ini, penulis kami dapat memahami apa yang dikehendaki pasaran dan penerbit dengan menghasilkan penulisan yang berkualiti tinggi," katanya.
PTS bukan hanya menerbit dan pengedaran buku yang mahal tetapi turut menerbit buku lebih murah dan nipis terutama buku resipi dan kanak-kanak. Ketika ini, PTS menerbitkan 400 judul baru setahun dan dengan lebih 100 judul buku terbitan syarikat itu sudah diterbitkan semula dalam bahasa Indonesia. Beliau turut mensasarkan penerbitan 1000 judul buku baru setahun dalam tempoh lima tahun ini bagi memartabatkan Bahasa Melayu.
Menyingkap sejarah syarikat yang mempunyai pelbagai rangkaian daripada segi penulis, kedai buku, pemasaran, jualan di Malaysia hingga ke Brunei, ia bermula sekitar 1988 dengan penubuhan PTS Consultants Sdn Bhd yang berfungsi sebagai perkhidmatan perundingan dan kejurulatihan dalam bidang penyuntingan dan susun atur huruf. Pada tahun 2000, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd diwujudkan berfungsi menerbitkan dan mengedarkan buku ilmu dalam Bahasa Melayu yang ditulis oleh pelbagai penulis yang pakar dan terlatih dalam bidang penulisan masing-masing.
Hingga kini, PTS mempunyai enam anak syarikat yang mempunyai fokus penerbitan berbeza. Aktiviti penerbitan PTS dijalankan PTS Millennia Sdn Bhd yang menerbitkan buku popular seperti motivasi, rohani dan komik. Buku bukan fiksyen seperti buku akademik, bisnes, pengurusan dan pendidikan diterbitkan oleh PTS Profesional Publishing Sdn Bhd, manakala PTS One Sdn Bhd, menerbitkan novel kanak-kanak dan remaja.
Bagi memberi variasi bacaan novel dewasa, cinta berasaskan Islam, dan novel sosial, PTS Litera Utama Sdn Bhd, menggalas tugas menerbitkan novel dewasa, sejarah, sastera dan karya terjemahan antarabangsa. Menyedari pentingnya unsur rohani dan memahami agama Islam, PTS Islamika Sdn Bhd, menerbitkan buku dan novel agama serta falsafah untuk remaja. PTS Fortuna Sdn Bhd, pula diwujudkan bagi menerbitkan buku fiksyen tempatan seperti sai-fai dan novel jantan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai PTS boleh layari laman web di alamat www.pts.com.my atau berkunjung ke galeri PTS di alamat No.12, Jalan DBP, Dolomite Business Park, Batu Caves, Selangor.
(Berita ini sudah disiarkan dalam akhbar Berita Harian. Hari Sabtu, 29 Mei 2010, dalam Keluaran Khas, Variasi Perniagaan)

Dipetik daripada
Berita Harian — 29 May 2010 oleh Mona Ahmad, mona@bharian.com.my
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Salam sejahtera kepada para pembeli dan pembaca buku-buku terbitan kumpulan syarikat-syarikat PTS. Semoga buku-buku yang tuan dan puan beli dan baca itu membawa sebanyak-banyak manfaat dan kebaikan yang berpanjangan selama di dunia sehingga ke akhirat.
Syarikat-syarikat PTS ditubuhkan dengan matlamat mahu menyampaikan dan menyebarluaskan pelbagai ilmu pengetahuan demi memandaikan bangsa. Dengan berpegang kepada matlamat itu maka kami memastikan isi kandungan buku-buku terbitan PTS sentiasa mematuhi 2 kriteria:
1. Buku-buku itu menyampaikan ilmu, informasi dan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan syariah.
2. Buku-buku itu ditulis menggunakan laras Bahasa Melayu Tinggi.
Hjh. Ainon Mohd.
Pengerusi Kumpulan Syarikat-Syarikat PTS.
(Ikrar ini sudah disiarkan dalam akhbar Berita Harian. Hari Sabtu, 29 Mei 2010 dalam Keluaran Khas, Variasi Perniagaan)

Pada masa ini PTS membekalkan kepada beberapa peniaga kecil buku yang membuka kiosk-buku, atau gerai-sorong, dalam beberapa hipermarket.
Data jualan PTS kepada mereka menunjukkan peningkatan dari masa ke masa, ertinya perniagaan itu boleh survive.
Berikut adalah beberapa tip bagi tuan dan puan yang berminat membuka perniagaan kiosk-buku:
- Perniagaan ini sesuai untuk peniaga kecil. Justeru bagi tuan dan puan yang mempunyai anak remaja dan mahu menggalakkan anak memulakan bisnes sendiri, model ini sesuai.
- Jenis orang yang membeli-belah dalam hipermarket adalah golongan berpendidikan dan berduit, oleh itu mereka mempunyai nilai pendidikan yang tinggi.
- Operator kiosk buku perlu mengetahui judul-judul buku apa yang macam mana yang dimahukan oleh golongan pengunjung hipermarket.
- Jumlah judul yang sesuai dipamerkan adalah antara 100 - 150 judul.
- Pamerkan judul-judul yang terbukti sudah laku dalam pasaran sahaja.
- Purata sewa tapak kiosk dalam hipermarket adalah RM3,000 sebulan.
- Buku agama ruji wajib dipamerkan kerana jualannya bagus.
- Bekalan buku boleh didapatkan daripada 2 ataupun 3 penerbit ataupun pengedar sahaja.
- Pengedar boleh memberikan maklumat tentang judul-judul yang sangat laku.
- Modal pertama membuka kiosk buku adalah antara RM15 - RM20 ribu.
- Jumlah jualan bulanan yang 'bagus' dan 'selesa' adalah sekitar RM25 ribu.
- Buku yang tidak laku boleh dipulangkan kepada penerbit dan digantikan dengan buku-buku lain.
Dengan membuka kiosk buku lebih dahulu, lama-lama peniaga akan mempunyai asas yang kuat bagi membuka kedai buku.
Bagi tuan dan puan yang berminat menjual buku-buku terbitan PTS, tulis surat emel kepada Tn. Zain Aziz, timbalan pengurus jabatan sales PTS, di alamat zain@pts.com.my
Artikel ini dipetik daripada Universiti Terbuka PTS
Masyarakat perlu mengelak daripada terjebak dalam kancah itu. Penulis buku Kerjaya Sebagai Perancang Kewangan, En. Sunthara Segar dan En. Shamsuddin Abdul Kadir penulis buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang dan Makan Gaji Tetapi Kaya menerangkan cara mengurus wang daripada perspektif mereka dan dapat diamalkan apabila membaca buku beliau.
Program merancang kewangan yang dianjurkan PTS Professional Publishing Sdn. Bhd dan MPH Mid Valley pada 19 Julai 2007, dari jam 3.00 petang sehingga 6.00 petang di Courtyard, MPH Mid Valley, menemukan dua penulis itu dan menolong hadirin mengurus kewangan peribadi, merancang gaji, mengurus hutang, menggunakan kad kredit, kerjaya kewangan, unit amanah, hartanah dan pelaburan yang selamat.
Shamsuddin berkata, pekerja perlu memikirkan bagaimana menjana pendapatan melalui hartanah. “Pekerja tidak perlu menunggu bom jangka meletup bagi menentu tahap ekonomi mereka, pelaburan dalam hartanah seperti membeli rumah bagi disewakan dengan mencari wang ansuran yang rendah daripada kadar sewa yang ditetapkan. Harga rumah dan sewa makin lama makin naik. Ia bakal dipaparkan di dalam buku bakal terbit saya Kaya dengan Rumah,” katanya.
Sunthara menerangkan peri penting memilih pelaburan yang tepat dan berbaloi, “Saya memberi maklumat unit amanah pada hari ini bagi promosi awal kepada tuan-tuan dan puan-puan daripada buku bakal terbit saya Rahsia Melabur dalam Unit Amanah,” katanya.
Fifield (1992) menggariskan kesalahan mentafsir strategi pemasaran menyebabkan kekeliruan di kalangan pengamal pemasaran, pelbagai jenis pengurus serta pengurus temasya dan pengurus acara-acara khas. Oleh itu dengan mendalami strategi pemasaran khususnya bagi pengurusan acara menjadi penting supaya maksud yang jelas terhadap strategi pemasaran bagi sesuatu acara dapat dicapai.
Menurut Johnny (1999), bagi mendalami kepentingan strategi ini maka definisi yang jelas bagi strategi akan melibatkan perkara-perkara berikut;
• Skop jangka panjang berbanding jangka pendek. Sebarang keputusan pemasaran boleh mengakibatkan pembaziran sumber yang tidak bercanggah dengan perlaksanaan acara dengan menukar kepada yang lain. Oleh itu amat penting pemikiran secara berhati-hati sebelum memutuskan strategi yang akan digunakan bagi mencapai objektif.
• Bukan suatu taktik tertentu. Strategi adalah suatu garis panduan serta arahan yang meluas yang perlu diikuti dalam acara bagi tujuan mencapai objektif manakala taktik merujuk kepada perancangan terperinci bagi melaksanakan sesuatu strategi. Taktik boleh diubah tetapi garis panduan dan arah keseluruhan tidak akan berubah.
• Adalah satu analisis secara berhati-hati terhadap sumber dalaman dan persekitaran luaran bukannya tindakan bagi mengubah sesuatu perkara dalam pasaran.
Secara rumusannya strategi pemasaran acara ialah suatu strategi yang boleh membantu sesuatu acara mencapai objektif yang dirangka dengan mengenal pasti serta mengikuti langkah-langkah tertentu yang bersesuaian dengan kekuatan dalaman dan persekitaran pengurusan organisasi yang menganjurkan acara tersebut.
Fifield (1992) merumuskan strategi pemasaran acara sebagai proses di mana pengurusan acara menyusun objektif perniagaan dan pemasaran dan persekitaran di mana mereka berada terhadap aktiviti pemasaran.
Penetapan Misi Dan Objektif Acara
Rajah di bawah menunjukkan diagram penggerak yang mempengaruhi misi pengurusan acara sebagai titik permulaan perancangan strategik;
Contoh : Acara Latihan Kakitangan Syarikat XYZ
Andaikan Syarikat XYZ sebuah organisasi yang besar maka individu yang memainkan peranan sebagai kunci perlaksanaan acara latihan dalaman terhadap kakitangan yang dianjurkan ialah Pengarah Urusan iaitu orang paling atas dalam hierarki pengurusan syarikat tersebut. Beliau bersama pengurusan sumber manusia dan beberapa pegawai latihan juga menjadi key personal utama dalam acara latihan yang dianjurkan.
Manakala objektif jangka panjang perlaksanaan acara latihan oleh Syarikat XYZ ialah bagi menghasilkan pekerja dan kakitangan yang produktif serta memahami misi dan visi organisasi. Rumusannya seperti berikut;
Analisis SWOT
Strategi Pemasaran adalah alat perancangan yang dibuktikan melalui analisis (Johnny et all, 2002). Rao dan Steckel (1998) percaya penilaian yang baik belum cukup ketika membuat keputusan strategik yang baik. Keputusan yang baik hanya datang daripada analisis pesaing, politik, ekonomi, sosiobudaya dan persekitaran teknologi di mana acara itu dijalankan serta sumber dalaman organisasi yang menganjurkan acara tersebut.
Tujuan analisis persekitaran dan dalaman organisasi ini ialah untuk mengukur kekuatan dan kelemahan serta peluang dan ancaman kepada perlaksanaan sesuatu acara yang ditetapkan.
Dalam analisis SWOT pihak penganjur cuba melihat empat situasi atau keadaan yang dihadapi oleh penganjuran acara tersebut. Empat perkara yang dinilai ialah ‘S’ iaitu kekuatan , ‘W’ iaitu kelemahan, ‘O’ iaitu peluang dan ‘T’ iaitu halangan terhadap perlaksanaan acara tersebut.
Analisis Persekitaran (Peluang + Ancaman)
Analisis ini akan melihat ciri-ciri persekitaran yang sudah dibincangkan di atas iaitu;
• sosiobudaya
• teknologi
• pesaing
• politik
• ekonomi
• mana-mana faktor yang sesuai.
Tiap-tiap faktor ini dinilai melalui skala ukuran antara 1–10 skala sama ada sangat memberi peluang kepada perlaksanaan acara atau sangat tidak menyumbang atau memberikan ancaman kepada perlaksanaan.
Daripada analisis persekitaran kita dapat merumuskan sama ada skala nilai peluang mengatasi skala nilai ancaman perlaksanaan acara. Contoh Peluang yang dihadapi oleh Syarikat ABC dalam menganjurkan acara Kem Motivasi SPM;
• Bilangan calon SPM semakin bertambah
• Format soalan dalam bahasa Inggeris
• Jumlah sekolah bertambah
Contoh Ancaman yang dihadapi oleh Syarikat ABC dalam penganjuran acara Kem Motivasi SPM;
• Banyak syarikat pesaing
• Banyak kolej latihan untuk calon yang gagal SPM
Analisis Dalaman (Kekuatan + Kelemahan)
Analisis dalaman mengambil kira kekuatan dalam organisasi penganjur dalam aspek berikut;
• Kakitangan
• Kualiti Perkhidmatan
• Penyelenggaraan
• Kewangan
• Publisiti Dan Promosi
• Pengurusan
Semua faktor ini akan diukur sama ada sangat menyokong (memberikan kekuatan) atau kurang menyumbang (memberikan kelemahan) kepada kejayaan perlaksanaan.
Contoh Kekuatan Syarikat ABC yang menganjurkan acara Kem Motivasi SPM;
• Penceramah yang berpengalaman
• Pengurus yang cekap dan dikenali ramai
• Mempunyai saham di BSKL
Contoh Kelemahan Syarikat ABC yang menganjurkan acara Kem Motivasi SPM;
• Penceramah sambilan
• Baru ditubuhkan
Analisis ‘TOWS’
Dalam analisis ‘TOWS’, pihak penganjur menggabungkan kekuatan dalaman serta peluang persekitaran kemudian menggunakan gabungan skala ini bagi mengatasi kelemahan faktor dalaman dan ancaman faktor luaran yang wujud dalam perlaksanaan acara tersebut. Gabungan kekuatan dan peluang ini adalah strategi utama mengatasi ancaman dan kelemahan bagi mencapai objektif perlaksanaan acara yang dirancang. Contoh Jadual Analisis ‘TOWS’ bagi penganjuran latihan Kem Motivasi SPM oleh Syarikat ABC.
Strategi Campuran Pemasaran
Seperti yang sudah dibincangkan pada awal bab, pihak penganjur boleh mengguna pakai pelbagai strategi pemasaran bagi memasarkan acara yang akan dijalankan. Salah satu strategi yang biasa digunakan oleh syarikat pemasaran keluaran dan perkhidmatan ialah strategi campuran pemasaran. Strategi ini juga boleh diterapkan ke dalam pemasaran acara oleh penganjur atau organisasi yang ingin mengadakan sesuatu acara yang bermotifkan keuntungan dan pulangan kepada organisasi.
Booms dan Bitner (1981) telah memperkenalkan strategi 7P dalam strategi pemasarannya dengan mengambil kira 3P tambahan iaitu People, Process dan Physical Evidence. Penerapan 7P ini lebih sesuai dalam pemasaran acara kerana ia mengambil kira kakitangan organisasi penganjur, proses iaitu berbagai-bagai langkah yang diikuti sebelum hari perlaksanaan acara dan fakta atau bukti fizikal perlaksanaan acara seperti tiket, jenama dan tema acara.
Blog mempunyai pelbagai ciri menarik yang mudah dilaksanakan pemilik blog. Ciri-ciri adalah seperti mengemaskini isi kandungan, memberi komentar dan pendapat, berhubung antara pengguna laman web, dan juga membina jaringan laman web.
Hasil kajian menunjukkan peratus pengaruh pengguna laman web pada blog meningkat setiap bulan.
Bagaimana cara wang dihasilkan daripada blog?
1. BLOG membantu di dalam pemasaran di internet. Blog dapat mengeratkan perniagaan anda dengan pengguna internet di mana mereka dapat mengenali anda dengan lebih dekat lagi.
2. Di Malaysia, penulis novel, pelakon, penyanyi, dan para usahawan sudah mula menceburi penulisan blog ini. Hasilnya adalah menguntungkan di mana promosi mereka amat berkesan menerusi blog.
3. Blog yang bersifat interaktif membolehkan pengguna internet yang berminat baik dengan produk / perkhidmatan yang diberikan ataupun dengan pemilik laman web itu mengeratkan hubungan di antara pengunjung dengan pemilik blog.
4. Blog sentiasa dikemaskinikan. Maka sudah pasti pengunjung yang berminat akan terus datang setiap hari melihat sesuatu yang baru. Anda tidak perlu memberitahu mereka selepas anda melakukan pengemaskinian kerana pasti pengunjung anda akan datang semula ke blog anda.
5. Blog juga berupa harta intelek anda. Anda dapat menulis sesuatu perkara bagi dikongsikan bersama pengunjung blog anda. Dengan adanya artikel-artikel hasil penulisan anda, blog anda mempunyai lebih maklumat dan dapat menarik pengunjung .
6. Blog membina kredibiliti. Anda menjadi pakar dengan apa yang anda tulis di dalam blog.
7. Blog dapat membina keyakinan pengunjung dengan apa yang anda tulis. Sudah pasti isi kandungan yang dikenali sebagai ENTRY sedikit sebanyak dapat meyakinkan pembaca blog anda dengan apa yang anda bincangkan.
8. Blog mempunyai komuniti yang besar. Blog dapat membina jaringan perniagaan anda dengan mudah. Ia memberi kesan yang besar di dalam pemasaran viral.
9. Blog adalah PERCUMA.
10. Syarikat menyediakan perkhidmatan blog sudah sedia popular. Maka blog anda juga akan turut popular kerana setiap blog yang wujud mempunyai pautan terus dengan syarikat itu.
Sepuluh faedah sudah disenaraikan jika anda mempunyai blog. Blog dapat menjadikan minat di samping anda menjana untung.
Contoh-contoh syarikat yang menawarkan perkhidmatan blog adalah seperti:
-http://www.blogger.com
-http://www.blogdrive.com
-http://www.livejournal.com
-http://www.diaryland.com
Contoh-contoh blog:
- http://www.tippemasaran.blogspot.com
- http://www.biznezzopps.com/how-to-make- money-fast/
- http://recruitaffiliates.blogspot.com
- http://www.darrenbarefoot.com
Anda dapat memulakan blog perniagaan anda. Anda dapat membuat pautan blog anda dengan laman web perniagaan anda dengan memberi nama E-ZINE, NEWSLETTER ataupun TIP dan CARA berkenaan dengan apa jua yang ada kaitan dengan laman web anda.
Ingat, pengaruh blog semakin meningkat setiap hari. Begitu juga penulis blog. Anda seharusnya tidak melepaskan peluang ini di dalam memasarkan produk/perkhidmatan perniagaan anda.
Maklumat lanjut mengenai teknik bisnes menggunakan blog, sila dapatkan buku 15 Teknik Efektif Internet Marketing dengan segera!
1) Anda bebas bekerja
Semasa jiran dan sahabat handai anda bangun pagi menuju ke tempat kerja dan perlu berhadapan dengan kerenah dan perangai bos mereka, anda bangun pagi dengan suasana yang harmoni dan tiada siapa yang memerintah anda. Anda adalah bos dan andalah yang memerintah diri sendiri. Anda mengurus diri sendiri dan menggerakkan segala urusan melalui diri anda sendiri.
2) Anda boleh bermula kecil-kecilan
Perniagaan mail order boleh dimulakan secara kecil-kecilan dan modal yang sedikit. Lama-kelamaan, perniagaan ini boleh menjadi besar dan menjana pendapatan yang tinggi sehingga anda berupaya menjadi jutawan. Bermula part time (secara sambilan) dan tidak mustahil akan jadi full time (sepenuh masa), anda boleh hidup bahagia every time (setiap masa).
3) Kebebasan tempat
Anda boleh bekerja di rumah sendiri, di rumah ibu bapa, di rumah bapa dan ibu mertua, dan di mana sahaja. Jadi, anda tidak perlu fikirkan perkara lain kecuali iklan di dalam akhbar, majalah dan internet.
4) Kebebasan masa
Cuba peruntukkan dua jam sehari bagi menjalankan perniagaan ini. Pastikan anda tidak membuang masa dengan bekerja lebih daripada dua jam. Pendapatan anda sudah pasti lebih daripada dua jam. Anda tidak akan jadi seperti pekerja buruh kasar. Bekerja 12 jam sehari dengan keringat yang membasahi diri, sedangkan upahnya tidak setimpal. Tetapi perniagaan mail order ini lain pula. Bekerja dengan masa yang sedikit dan menjana pendapatan melebihi sepatutnya.
5) Impian menjadi kenyataan
Anda berimpian menjadi millionaire? Dengan berkonsepkan perniagaan di rumah secara pos, anda mampu menjadikan impian anda satu kenyataan. Impian yang bukan lagi angan-angan kosong, tetapi impian yang menjadi cita-cita.
6) Meluangkan masa untuk keluarga
Ramai yang menjadi hamba kerja hinggakan tiada masa diluangkan bersama-sama keluarga. Tetapi, melalui mail order anda mempunyai banyak masa beramah mesra, keluar membeli-belah dan membeli apa sahaja yang menjadi kesukaan anak dan isteri anda.
7) Tidak perlukan pengalaman
Pendek kata, anda tidak perlu 'tahu' semua perkara. Anda hanya perlu 'mahu' pada suatu perkara dan 'tahu' akan datang sendiri. 'Tahu' akan datang selepas anda ada 'minat' dan dari situ, anda akan 'belajar'. Perniagaan mail order tidak mensyaratkan ada pengalaman baru boleh berjaya. Cukup sekadar anda pastikan produk anda diminati dan disukai ramai serta dapat menjadi jualan yang paling laris. Maka bagi mencapainya, anda perlu mencari ilmu berkaitan perniagaan melalui internet.
8) Untuk semua
Perniagaan ini sesuai untuk semua peringkat umur daripada 19 tahun hingga tiada had maksimum umur. Anda boleh menjalankan perniagaan ini, tanpa mengira apakah agama, bangsa dan negeri mahupun negara anda, anda layak dan berupaya melakukannya. Misalnya, anda di Malaysia dapat menjual produk ke Argentina hanya dengan menggunakan internet. Pendek kata, walaupun berjauhan negara, internet sudah mendekatkan kedudukan anda dengan pelanggan ataupun pelawat laman web anda.
9) Pemasaran luas
Sama ada pemasaran anda melibatkan pemasaran melalui majalah dan akhbar (mail order konvensional), mahupun pemasaran melalui internet, pemasarannya adalah luas. Anda akan mempunyai pelanggan. Pemasaran dalam negara sahaja pun sudah dapat menjadikan anda berpendapatan lumayan. Inikan pula pemasaran ke luar negara melalui internet. Tidak mustahil, dengan gerak kerja yang betul dan mengikut langkah yang sebenar, anda dapat menjadi jutawan.
10) Produk yang luas
Bumi Malaysia ini terlalu kaya. Sampaikan Warga asing sanggup merentangi lautan dan bersabung nyawa bagi menikmati kekayaan di bumi Malaysia. Bumi Malaysia kaya dengan produk yang bermutu dan dapat dipasarkan. Tetapi pemasaran melalui internet tidak dapat diduga. Ada masanya anda pandang produk itu tidak bermutu, tetapi apabila dijual melalui internet dan secara pos, produk itu menjadi killer product. Kita sebaik-baiknya tidak membuat kesimpulan berkenaan apakah produk yang sesuai. Cuma, produk yang sedia ada di Malaysia adalah luas dan tanggungjawab anda adalah memasarkannya secara bijak.
11) Anda dapat memperoleh ramai kenalan
Selain anda berniaga, anda juga dapat menjalinkan perhubungan persahabatan dengan pelanggan. Soal berlainan bangsa, agama dan negara sudah tidak menjadi masalah pada zaman ini. Anda dapat bertukar-tukar fikiran dengan pelanggan. Anda juga dapat mempelajari cara-cara meningkatkan kehebatan dan mutu kerja sebagai peniaga melalui pos (mail order) dari semasa ke semasa. Melalui internet, anda dapat bertukar-tukar fikiran dengan peniaga lain dari luar negara.
12)Dapat menaja sesiapa sahaja
Bagi perniagaan melibatkan MLM, Anda dapat menaja sesiapa sahaja di seluruh dunia. Pasaran serta prospek anda adalah lebih 800 juta pengguna internet di seluruh dunia.
Apabila kita membincangkan isu kad kredit di negara ini, secara tidak langsung kita memperkatakan berkaitan pemegang-pemegang kad kredit yang majoritinya berbangsa Melayu. Bangsa Melayu secara relatifnya adalah beragama Islam dan tidak terkecuali ada antara bangsa-bangsa lain yang juga turut menganut agama rasmi negara ini. Bagi orang Islam, isu merancang kewangan mempunyai aspek yang agak berbeza, di mana mereka diharamkan terlibat dengan riba dalam apa jua urus niaga. Menyedari hakikat ini, bank-bank di Malaysia ataupun institusi-institusi yang mengeluarkan kad kredit mengambil langkah yang bijak dengan memperkenalkan kad kredit bercirikan Islam, khususnya bagi me-narik minat masyarakat Islam supaya memiliki kad kredit.
Tidak terkecuali bagi penganut-penganut agama lain, mereka juga turut mengambil kesempatan memiliki kad kredit bercirikan Islam. Ini kerana, kad kredit ini jauh daripada unsur riba dan gharar yang memberikan keuntungan kepada kedua-dua pihak dan kedudukan hutang mereka juga lebih selamat berbanding kad kredit biasa. Dengan itu, umat Islam juga tidak terkecuali daripada turut serta dalam kemajuan teknologi dan dalam masa yang sama tidak melanggar syariah Islam. Bagi yang menginginkan kad ini, mereka perlu berupaya meneliti ciri-ciri kad yang dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar kad kredit dan memastikan kad yang digunakan itu berlandaskan hukum Islam.
Ciri utama yang perlu ada pada sekeping kad kredit yang mendakwa sebagai kad kredit berlandaskan syariah adalah ia jauh daripada sebarang unsur-unsur riba dan gharar. Riba dalam bahasa Arab ialah lebihan, lambakan ataupun tidak sama timbangan, sukatan ataupun masa berlaku pertukaran bahan-bahan ribawi yang terdiri daripada emas dan perak, bahan-bahan berbentuk wang seperti dirham ataupun barang-barang kemas dan seumpamanya. Dalam konteks kewangan, riba ialah lebihan caj ataupun faedah yang dikenakan ke atas pelanggan di atas pinjaman yang dibuat. Sementara itu, gharar pula ialah ketidaktentuan ataupun kesamaran. Dalam proses urus niaga kad kredit berlandaskan syariah, keuntungan perlu dinyatakan terlebih dahulu semasa akad jual beli.
Salah satu contoh kad yang menepati kehendak syariah adalah kad kredit yang dikeluarkan oleh Bank Islam. Dalam operasi kad Bank Islam, terdapat tiga jenis kontrak utama mengikut syariah yang diguna pakai iaitu:
Bai Inah
Kontrak jual beli antara pihak Bank Islam dan pelanggan. Kontrak ini berlaku apabila pihak bank menjual aset bank dengan harga tertunggak dan pelanggan membeli balik aset itu dengan harga tunai.
Wadiah
Bank mengagihkan wang tunai hasil daripada jual beli aset ke dalam akaun Wadiah Kad Bank Islam pelanggan yang dibuka dan diuruskan oleh bank. Pemegang kad (pelanggan) seterusnya dibenarkan menggunakan kad ini bagi urus niaga runcit dan pengeluaran wang tunai seperti kad kredit konvensional yang lain. Bagaimanapun, transaksi yang dibuat tertakluk kepada wang tunai yang ada dalam akaun Wadiah Kad Bank Islam pelanggan.
Qardhul Hassan
Kemudahan Qardhul Hassan pula diberikan kepada pemegang kad apabila mereka membuat transaksi yang melebihi had pembiayaan yang dibenarkan. Penentuan dan pembiayaan tanpa sebarang margin keuntungan kepada pemegang kad ini tertakluk kepada budi bicara pihak bank.
1. Berpandukan al-Quran dan al-Sunnah
Seperti yang kita semua ketahui, al-Quran adalah sumber pertama daripada sumber perundangan Islam dan keasliannya dijamin oleh Allah. Sementara itu, kata-kata Nabi Muhammad pula merupakan sumber kedua dalalm mengatur kehidupan manusia. Ia juga sebagai pelengkap kepada syariah Islam dan ada hadis yang merupakan penjelasan bagi Al-Quran. Hadis-hadis ini pula telah dihuraikan oleh ulama-ulama besar yang berwibawa seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad dan sebagainya. Berdasarkan huraian ini adalah jelas bahawa kita wajib mengambil ai-Quran dan al-Sunnah sebagai landasan dan panduan untuk sebarang aktiviti termasuklah dalam hal kepimpinan. Perkara ini jelas di terangkan dalam hadis Nabi Muhammad.
“ Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang engkau tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi mana engkau berpegang kepada kedua-duanya: al-Quran dan Sunnah Nabinya”
2. Menegakkan kebenaran
Kebenaran atau pun al-Haq dalam bahasa Arab, adalah tunggak dalam ajaran Islam yang perlu dihayati dan diamalkan baik diperingkat pemimpin mahu pun kakitangan atau pun kakitangan. Ini sangat jelas diterangkan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:
“(Allah menyatakan kebenaran itu) Dialah yang mengutus rasulNya Muhammad) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkan dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain: cukuplah Allah menjadi saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh rasulnya itu).” ( al-Fath 48:28)
Pemimpin wajib menegakkan kebenaran terutama kebenaran yang berlandaskan syariat Islam. Ideologi-ideologi yang terpesong dari landasan Islam haruslah di tolak dari menjadi dasar-dasar kepimpinan. Oleh itu, pemimpin yang bertaqwa tidak akan meninggalkan kebenaran ini, semata-mata untuk menggembirakan hati manusia.
3. Mesyuarat
Mesyuarat adalah antara mercu tanda dalam kepimpinan Islam. Konsep ini di sokong di dalam al-Quran seperti mana maksudnya:
"Dan (bagi) orang-orang yang mematuhi (menerima) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka, dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yany kami berikan kepada mereka.”(asy-Syura 42:38)
Suatu perkara yang harus di ambil kira ialah syura harus di adakan dengan orang yang mempunyai ilmu yang luas atau orang Islam yang dapat memberikan pandangan yang baik.
Kebaikan syura adalah ia membolehkan kakitangan atau pun pengikut didalam sesebuah organisasi melibatkan diri dalam proses membuat keputusan. Syura juga boleh dijadikan sebagai pentas untuk menyelia tindak tanduk pemimpin untuk menentukan bahawa pemimpin tersebut tidak terkeluar dari syariat Islam mahu pun matlamat utama organisasi.
Dua amalan syura yang dipraktikkan oleh Nabi Muhammad adalah seperti berikut (Ahmad Redzuwan, 2001):
a) Semasa perang Uhud, baginda telah bermesyuarat dengan kaum Islam bagi menentukan strategi yang terbaik dalam mepertahankan kota Madinah. Terdapat dua pilihan iaitu bertahan di Madinah atau pun meninggalkan kota Madinah dan menyerang pihak musuh. Baginda dan beberapa orang sahabat lebih suka untuk bertahan sahaja di Kota Madinah sementara suara ramai lebih suka keluar menyerang. Akhirnya baginda mengambil keputusan untuk keluar menyerang musuh di luar Kota Madinah.
b) Dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiah, baginda telah bermesyuarat dengan kaum Muslimin mengenai cara yang terbaik mengani kaum Musyrik Kota Mekah. Baginda berpendapat adalah lebih baik menawan golongan Musyrik ini. Sunnguh pun begitu Abu Bakar as-Sidiq berkata “Kita datang bukan untuk membunuh seseorang tetapi untuk mengambil umrah.” Akhirnya baginda bersetuju dengan pendapat Abu Bakar as-Siddiq.
4. Berlaku Adil
Sinar Islam datang kepada umat manusia sebagai stau sistem yang global, berperikemanusiaan; tidak taksub kepada sesuatu puak, umat atau pun bangsa. Hubungan sesama manusia haruslah didasarkan kepada dasar akidah yang menjadi ikatan dalam pertalian antara individu dan individu yang lain.
Berdasarkan konsep ini, maka al-Quran diturunkan bagi menjamin dasar yang menjamin keutuhan jemaah dan ketenteraman individu, umat dan bangsa. Oleh itu pemimpin hendaklah berurusan dengan orang ramai atau rakyat secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa, warna kulit keturunan atau agama sehingga dengan kumpulan yang menentang dasar-dasar Islam.
Firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Dan apabila kamu menjalankan hukuman dikalangan manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. (an-Nisaa’ 4: 58)
“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (al-Maidah 5:8)
Di dalam kepimpinan Islam prinsip keadilan ini meliputi dan menguasai segala jenis perhubungan sesame manusa. Ia meliputi hubungan antara pasangan suami isteri, peguam dan anak guamnya, rakyat dan pemerintah, pemimpin dan yang dipimpin.
5. Kebebasan Mengeluarkan Pendapat
Secara umumnya tidak ada individu yang suka dikongkong dan dipaksa. Sebagai insan biasa, setiap pengikut harus di beri kebebasan untuk berfikir secara kreatif dan kritis mengikut saluran yang sesuai dan tidak mengeruhkan hubungan sesama manusia. Konsep nasihat menasihati akan dalam keadaan hormat-menghormati akan wujud sekiranya setiap pengikut itu diberikan ruang dan peluang untuk menyuarakan pendapat mereka secara bebas dan penuh hikmah. Ini penting sekiranya sikap berpasukan dan kekitaan hendak diterapkan dalam hidup bermasyarakat yang harmoni.
Oleh itu seorang pemimpin Islam hendaklah memberi galakkan, dorongan kepada pengikut mereka untuk memberikan pendapat yang bernas mahu pun kritikan yang membina yang dapat dikongsi bersam dengan ahli-ahli organisasi yang lain.
Pemimpin Islam juga sedia untuk melayan segala pendapat dan saranan pengikutnya. Disamping itu beliau juga rela diperbetulkan sekiranya beliau lari dari landasan Syariat Islam.
Konsep ini dijelmakan dengan begitu baik oleh Umar al-Khattab ketika beliau dilantik menjadi Khalifah Islam yang kedua. Umar telah bertanya kepada umat Islam ketika itu apakah yang akan dilakukan oleh mereka sekiranya beliau lari dari prinsip-prinsip Islam semasa pemerintahan beliau. Soalan ini disahut oleh seorang lelaki yang memberitahu Umar, bahawa sekiranya dia tidak pemimpin umat Islam berlandaskan prinsip-prinsip Islam, maka Umar akan di betulkan dengan pedang.
Ketokohan Umar terserlah, kerana beliau berasa syukur kerana ada umat Islam yang bersedia membetulkannya sekiranya beliau tidak mengikut prinsip-prinsip Islam ketika menjadi Khalifah Islam.
Seseorang itu perlu bersedia menukar sikap, tabiat dan kebiasaan. Masyarakat di timur sebenarnya sudah mempunyai asas-asas ciri persamaan dengan orang Jepun. Walaupun latar belakang budaya agak berbeza, namun cara hidup agak sama. Malahan jika dibandingkan dengan barat, budaya orang Jepun hampir sama dengan budaya masyarakat di Malaysia.
Dasar pandang ke timur bukannya belajar menjadi orang Jepun, namun bermaksud mengambil segala aspek-aspek positif yang terdapat pada orang Jepun. Sudah sewajarnya Jepun dicontohi kerana berjaya membuktikan keupayaan untuk berjaya dalam bidang ekonomi. Pertumbuhan ekonominya pesat dengan aset dan sumber kewangan yang banyak. Prasarana perindustriannya maju dan keupayaan teknikalnya juga unggul dengan kemahiran tenaga manusia yang suka ditandingi. Kita adalah sumber tenaga manusia yang ramai tetapi tidak memiliki teknik dan kemahiran sebagaimana yang dimiliki oleh orang Jepun. Teknik ini perlu dipelajari dan tidak datang dengan sendirinya. Orang Jepun memasuki semua bidang dan mereka berjaya dalam bidang-bidang yang diceburinya.
Selepas menempa nama dalam bidang perindustrian seperti industri perkapalan, pembuatan, tekstil, elektrik dan elektronik, Jepun muncul sebagai kuasa teknologi maklumat (IT) yang baru. Meskipun pembangunan IT di Jepun tidak sehebat barat, namun mereka cepat belajar dan mengejar. Beberapa syarikat gergasi membangunkan sektor IT dan sedang bergerak menjadi taiko kepada bidang itu seperti Misayoshi Son yang melalui syarikat Sofbank Inc. Syarikat ini dianggap sebagai peneraju nakal yang membawa Jepun ke era ekonomi yang berlandaskan IT dan perdagangan teknologi komputer. Misayoshi adalah generasi ketiga kelahiran Korea-Jepun dan digelar sebagai Bill Gates Jepun kerana kejayaannya dalam bidang perisian komputer.
Bangsa Jepun pandai mengejar peluang. Mereka juga pandai melakukan perubahan dan penyesuaian, sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa. Disebabkan itulah Jepun kekal relevan dalam era globalisasi yang menyaksikan kemunculan banyak kuasa ekonomi baru dari Asia. Selain dikejar rapat oleh Korea, Jepun turut berhadapan dengan persaingan dari negara-negara seperti Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Saingan terbaru Jepun adalah negara China. Sejak melakukan reformasi pada polisi ekonomi dan membuka pintunya kepada dunia luar, negara itu mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang sangat memberangsangkan. Krisis ekonomi pada tahun 1997 tidak membantutkan pertumbuhan ekonominya. Sebaliknya China terus bergerak maju dengan mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif. China dianggap sebagai pasaran paling baik bagi membuat pelaburan dengan bilangan penduduknya yang melebihi satu bilion.
China adalah negara timur yang dalam perhatian. Maka tidak pelik apabila semakin banyak negara yang mengalih perhatian ke China. Banyak industri yang berpusat di Asia Tenggara mula memindahkan operasi masing-masing ke China kerana tenaga kerja yang ramai dan kos pengeluaran yang rendah.
Tambahan pula, kerajaan China memberikan kemudahan kepada mereka yang mahu melabur di sana. Tidak syak lagi China mengiringi Jepun bagi menjadi negara maju dan menguasai ekonomi Asia. China adalah 'naga' yang baru bangkit daripada tidur. Untuk China menggugat dan menggantikan Jepun barangkali masih jauh lagi. Namun, negara itu sedang mengekori rapat negara Jepun. Kemunculan tiga negara serangkai iaitu Jepun, Korea Selatan dan China menjadikan timur sebagai rantau yang paling berpotensi bagi pembangunan pada zaman milenium.
Kedudukan ekonomi Jepun masih teguh. Malahan kemunculan Korea Selatan dan China sebagai kuasa ekonomi turut membantu perkembangan ekonomi Jepun. Munculnya negara-negara berkenaan bermakna pasaran semakin luas. Persaingan tidak melumpuhkan Jepun, namun menjadikan bangsa Jepun kembali menjadi lebih kuat dan kreatif lagi. Berbanding dengan barat, Jepun tidak mempunyai bebanan hutang yang banyak. Sebaliknya banyak negara yang berhutang dengannya.
Memang tidak dinafikan yang krisis ekonomi menyebabkan syarikat perbankan, firma sekuriti, kontraktor besar dan para peniaga terperangkap dalam lingkaran hutang yang mencengkam. Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan Jepun melaksanakan beberapa pembaharuan pada program ekonominya. Antaranya adalah mengubah struktur negara itu dalam keadaan perekonomian yang lebih kukuh. Pembaharuan penting bagi pertumbuhan dan perkembangan ekonomi. Jikalau Jepun sentiasa melakukan pembaharuan, mengapa negara-negara lain tidak melakukan perkara yang serupa. Inilah asas utama mengapa kita perlu pandang ke timur.
Bak kata pepatah, ‘lain padang lain belalang, lain orang lain pula ragamnya’. Setiap masyarakat mempunyai cara hidup, budaya dan etika tersendiri. Oleh itu, para usahawan perlu berusaha mempelajari dan memahami sosiobudaya serta pemikiran masyarakat negara yang mempunyai hubungan urus niaga dengannya.
Berbeza dengan masyarakat barat yang bersikap agak terbuka, masyarakat di rantau timur pula bukan sahaja bersikap konservatif tetapi masih kuat mempertahankan budaya dan nilai tradisinya. Walaupun negara Jepun sudah mencapai taraf sebuah negara maju tetapi rakyatnya masih mengekalkan nilai-nilai tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun.
Sikap itu juga dapat diperhatikan pada masyarakat Korea Selatan yang terus mempertahankan warisan budaya dan bahasanya walaupun negara itu kini menjadi antara peneraju ekonomi dunia. Rakyat Jepun dan Korea Selatan memiliki semangat etnosentrisme yang tinggi. Mereka terlalu taksub kepada budaya dan tradisinya sehingga sukar menerima budaya serta cara hidup masyarakat lain.
Oleh itu, dalam menjalankan urus niaga dengan masyarakat Jepun dan Korea Selatan, para usahawan perlu menghormati budaya dan kehidupan sosial masyarakat di sana. Kegagalan para usahawan berbuat demikian mungkin menyebabkan urus niaga itu mengalami kegagalan dan kesukaran pada masa hadapan.
Berbanding dengan masyarakat Jepun, orang Korea Selatan bersikap lebih terbuka. Orang Korea Selatan mudah menyesuaikan diri mereka dengan perkembangan dan perubahan yang berlaku. Tetapi ini tidak bermakna mereka boleh terima budaya masyarakat lain dengan mudah.
Bagi menjadi bangsa maju, orang Korea Selatan sedar mereka perlu menerima proses pemodenan yang melanda dunia dewasa ini. Apa yang mereka lakukan adalah menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku supaya tidak terus ketinggalan dan ditinggalkan oleh kemajuan yang pesat. Kemampuan mengadaptasi diri adalah antara rahsia kejayaan ekonomi Korea Selatan. Oleh itu, barangan keluaran Korea Selatan semakin mendapat perhatian dan sambutan daripada para pengguna di seluruh dunia.
Barangan elektrik dan kereta keluaran Korea Selatan misalnya mempunyai reka bentuk yang menarik serta memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh masyarakat masa kini. Kereta buatan Hyundai mendapat pasaran meluas kerana ia menggabungkan ciri-ciri klasik yang ada pada kereta buatan barat dengan kecanggihan teknologi abad ke-21. Sebagai hasilnya terbentuk imej dan identiti tersendiri bagi kereta keluaran Hyundai dan Korea Selatan yang lain.
Orang Korea Selatan mementingkan imej. Bagi mereka yang menjalankan urus niaga di Korea Selatan tidak digalakkan memakai pakaian berwarna-warni dan terang. Apabila bertemu dengan rakan niaga, perkara yang perlu dilakukan adalah menghulurkan tangan dan berjabat dengan mereka. Soal siapa yang patut menghulurkan tangan terlebih dahulu tidak penting.
Kebiasaannya, orang lebih tua akan menghulurkan tangan dalam satu-satu pertemuan yang diadakan. Bagi wanita Korea, mereka jarang berjabat tangan. Bagi menghormati tetamu yang datang, mereka akan tundukkan sedikit kepalanya. Selepas berkenalan, seelok-eloknya menghulurkan kad perniagaan bagi memperkenalkan diri.
Kad niaga adalah alat komunikasi yang digunakan secara meluas di Korea Selatan dalam apa sahaja urusan terutamanya bidang perniagaan. Bagi mereka yang berhajat mencari peluang dan ruang niaga di Korea Selatan diingatkan supaya membawa kad niaga dalam kuantiti yang banyak walaupun kunjungan itu hanya bagi suatu tempoh masa singkat.
Sekiranya kad niaga dapat dicetak di Korea Selatan ia mungkin memberikan lebih banyak kelebihan kepada para usahawan dari luar. Ini kerana dengan mencetak di negara itu, ia membolehkan nama dan syarikat atau organisasi usahawan itu dimasukkan ke dalam senarai alamat di Korea Selatan. Ini akan memudahkan usahawan itu dihubungi dan dikesan oleh pelbagai pihak di negara itu.
Sebaik-baiknya kad niaga itu perlu disampaikan dengan kedua-dua belah tangan sebagai tanda keikhlasan dan kesungguhan. Jangan sekali-kali memberikan kad niaga itu menggunakan tangan kiri kerana ia dianggap sebagai satu perbuatan tidak sopan dan biadab. Perbuatan membaca dan mengulang kaji sedikit kad niaga yang dihulurkan kepada kita sebelum menyimpannya ke dalam kocek menunjukkan kepada rakan niaga Korea berkenaan keseriusan kita berurus niaga dengan mereka.
Bagi membolehkan pertemuan dan urus niaga berjalan dengan lancar, elakkan daripada memandang ke muka orang Korea pada suatu jangka masa yang lama. Orang Korea tidak gemar pandangan mata yang tajam menuju tepat ke matanya. Hubungan mata sedemikian dianggap sebagai tidak sopan terutama semasa sedang rancak berbual.
Bagi usahawan yang berurus niaga dengan orang Korea, mereka tidak perlu berasa kecil hati dan tersinggung seandainya dalam perbualan itu, rakan niaga tidak memandang ke mukanya dan sering sahaja melihat ke bawah ataupun arah lain. Perbuatan itu adalah perkara biasa bagi orang Korea dan ini adalah kaedah mereka berkomunikasi serta berinteraksi dengan para tetamunya.
Gerak-geri itu bukan menandakan kelemahan orang Korea ataupun kerana mereka bersifat pemalu. Bagi orang Korea, menjalinkan persahabatan dan menunjukkan keikhlasan tidak perlu berjabat tangan dengan kuat. Cukup sekadar menyentuhnya sahaja. Itu sudah memadai bagi orang Korea yang tidak suka kepada hubungan terlalu rumit dan intim.
Apabila orang Korea sudah mengenali seseorang itu, mereka akan menganggapnya sebagai kawan. Makna dan pengertian kawan bagi orang Korea dalam konteks kehidupan kita adalah kawan baik dan karib. Orang Korea mementingkan nilai persahabatan dan menganggap persahabatan memerlukan sikap saling bertanggungjawab antara satu sama lain.
Seperti orang Jepun, orang Korea begitu menepati masa dan berpegang kepada janji. Kepada mereka yang menjalankan urus niaga dengan orang Korea, dua perkara itu perlu dijaga dengan sebaik mungkin bagi memastikan jalinan persahabatan dan perniagaan terus berkekalan.
Tip yang diutarakan di sini sebenarnya mudah sahaja diimplementasikan. Dengan mengikuti tip dan menyelami sosiobudaya itu dengan lebih mendalam, ia akan memberikan lebih banyak kelebihan kepada para usahawan bagi menjalankan perniagaan di sana tanpa berdepan dengan halangan dan rintangan yang besar. Ciri-ciri ini perlu ada pada setiap usahawan sekiranya mereka ingin berjaya dalam perniagaan di peringkat antarabangsa dan global.
1. Tiada batasan masa
Anda tidak diwajibkan bangun seawal jam 6 pagi bagi bersiap sedia ke tempat kerja. Mungkin anda mahu bekerja jam 10 pagi, 12 tengah hari ataupun 8 malam, siapa peduli? Tiada bos yang membebel kepada anda. Andalah bos dan anda juga pekerja. Anda jugalah yang menentukan tempoh anda bekerja.
2. Bekerja di rumah
Sediakan komputer ataupun laptop yang dilengkapi modem, talian telefon dan akaun pendaftaran daripada penyedia servis internet seperti TMNet ataupun Jaring. Kami cadangkan anda menggunakan Streamyx daripada TMNet dengan ciri-ciri asas yang sudah mencukupi. Kos RM77 sebulan berpatutan dan anda dapat mengakses internet sepanjang masa.
3. Tiada gangguan majlis perbandaran
Buat masa ini, perniagaan internet tidak memerlukan anda memohon lesen daripada majlis perbandaran, bermakna tidak perlu pendaftaran perniagaan daripada pihak berkuasa. Membuka perniagaan di pasar malam pun memerlukan lesen. Perniagaan internet tidak mendatangkan risiko perniagaan anda disita majlis perbandaran jika anda tidak mempunyai lesen. Jadi, di sini anda sudah menjimatkan kos.
4. Tiada pejabat
Berbeza dengan perniagaan di dunia sebenar, perniagaan internet tidak memeningkan anda bagi mencari lokasi pejabat yang strategik dan membayar sewa yang agak tinggi. Anda mungkin menghadapi kerugian besar apabila tersalah memilih lokasi. Berbeza daripada perniagaan internet, rumah adalah pejabat anda dan jika anda tinggal di kampung pun masih dapat berniaga ke seluruh dunia. Inilah dunia tanpa batasan.
5. Tidak perlu berjumpa klien
Kelebihan yang tiada tandingan oleh semua jenis perniagaan, anda tidak perlu berjumpa klien yang mungkin tinggal jauh di Amerika, Eropah, Jepun ataupun Kutub Utara sekali pun.
6. Kos murah
Kami syorkan kos awal tidak lebih daripada RM500. Berikut kami senaraikan secara kasar kos permulaan bagi perniagaan internet.
Jumlah keseluruhan daripada nilai di atas adalah RM316. Mungkin anda dapat mengurangkan lagi kos itu apabila anda bijak mencari tawaran hosting dan domain yang mempunyai ciri-ciri yang menarik pada harga berpatutan di internet. Yang penting, anda perlu rajin membuat kajian di internet.
Kami lebih mengesyorkan anda membina sendiri laman web. Mengupah pereka hanya menambah kos tetapi terpulang kepada anda. Selalunya, harga yang diletakkan oleh pereka laman web adalah sekitar RM500 hingga RM2000/sekali seumur hidup bergantung pada jumlah muka dan tahap kesukaran laman web yang dibina.
7. Hampir semuanya automatik
Ya, perniagaan internet tidak memerlukan anda duduk di depan komputer 24 jam mengawasi perniagaan anda. Hampir kesemuanya iaitu bermula daripada pembeli membuat pesanan sehinggalah pembayaran, ia dilakukan secara automatik.
8. Risiko rendah
Perniagaan internet berisiko rendah. Jika terjadi perkara yang tidak diingini seperti kebakaran, laman web anda tidak mungkin musnah kerana laman web itu tidak disimpan di dalam komputer. Berbanding perniagaan di dunia sebenar, kebakaran adalah malapetaka yang menyedihkan. Kerugian pasti tinggi yang akhirnya menyebabkan sesetengah orang gulung tikar.
9. Lebih masa bersama keluarga
Perniagaan internet adalah antara cara menikmati kebebasan kewangan tanpa mengabaikan keluarga. Ini kerana, sambil anda bekerja di rumah, anda juga dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga.
10. Pendapatan anda dalam mata wang asing
Manakah lebih baik? Anda bekerja siang malam di pejabat dan mendapat gaji RM3,000 ataupun anda bekerja di rumah dengan gaji USD3000? Sudah tentu USD3000, kerana 1USD adalah hampir bersamaan RM3.70 hingga RM3.78 (nilai tukaran ini adalah pada masa buku ini ditulis). Ini bermakna, jika contoh di atas diambil kira, anda memperoleh pendapatan 3.7 hingga 3.78 kali lebih daripada bekerja di pejabat.
11. Tidak perlu pinjaman
Yang pasti, perniagaan internet tidak seperti di dunia sebenar. Anda sedikit pun tidak memerlukan pinjaman sama ada daripada bank ataupun mana-mana institusi yang menawarkan bantuan kewangan. Kadangkala memulakan perniagaan di dunia luar memerlukan modal paling tidak RM10,000. Apabila anda meminjam daripada bank sebanyak itu dan dikenakan faedah lima peratus bagi tempoh dua tahun, bermakna anda membayar balik pinjaman itu sebanyak RM11,000.
Itu pun jika perniagaan anda berjaya, tetapi bagaimana pula jika perniagaan anda tidak menampakkan sebarang tanda-tanda positif? Ia beban yang merunsingkan. Jika diberi jumlah yang sama bagi perniagaan internet, kami anggarkan tidak kurang 20 jenis perniagaan internet yang berlainan boleh dibuat. Ini bermakna, 20 jenis perniagaan dalam nilai RM10,000 berbanding mungkin satu jenis perniagaan di dunia sebenar
Ini kerana ia datang daripada minda cemerlang yang diasah serta diperah bagi membantu mencari jalan keluar dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Setakat ini rekod yang mencatatkan semua masalah dapat diselesaikan walaupun melalui proses perah otak. Beberapa tip di bawah dapat membantu anda memahami tajuk di atas.
1. Apabila anda menjadualkan mesyuarat, pastikan anda nyatakan dengan ringkas berkaitan masalah yang bakal dibincangkan dan sedikit latar belakang masalah itu. Jelaskan setakat mana pencapaian masalah itu sudah diperoleh dan apa harapannya. Ini akan membantu peserta mempersiapkan diri mengambil bahagian dalam sesi perah otak. Semakin banyak perbincangan, maka hasil yang bakal diperoleh adalah lebih baik dan bernilai tinggi.
2. Pastikan ahli-ahli yang terlibat dalam sesi itu datangnya daripada latar belakang yang berbeza. Kepakaran, kelulusan dan rekod pencapaian yang berbeza. Dalam banyak keadaan sebelum ini, membuktikan idea bernas datang daripada individu yang tiada kaitan dengan masalah yang dibincangkan. Namun demikian, berhati-hatilah dalam mencampuradukkan peringkat pengurusan yang berbeza. Sering berlaku apabila kehadiran pengurusan peringkat tinggi tidak mendorong ahli melibatkan diri secara berlebihan.
3. Agihkan salinan peraturan kepada semua yang terlibat sebelum sesi itu dimulakan.
Peraturan-peraturan itu adalah:
a. Tidak dibenarkan mengkritik idea-idea yang diutarakan ataupun dicetuskan.
b. Menggalakkan semua pandangan dan idea.
c. Lebih banyak idea adalah lebih baik.
d. Setiap peserta perlu cuba kembangkan ataupun kaitkan idea-idea rakan yang lain bagi menghasilkan idea-idea baru.
e. Perbincangan perlu bersifat ringan dan bersahaja tetapi konstruktif.
4. Sesi perah otak tidak perlu melebihi 30 ataupun 40 minit kerana sesi seperti ini meletihkan. Sekiranya tidak banyak perkembangan selepas tempoh itu, maka ubahsuai mesyuarat dengan melaksanakan sesi itu pada mesyuarat akan datang. Biarkan peserta mesyuarat faham akan ada sesi lain bagi masalah yang sama supaya mereka mempunyai masa memikirkan idea-idea baru. Idea-idea hebat selalunya datang pada masa dan di tempat yang tidak disangkakan seperti semasa berada di persimpangan lampu isyarat, di padang bola, di restoran ataupun di masjid.
5. Pada peringkat permulaan, jelaskan berkaitan fasa yang membunuh mood dan ia tidak dibenarkan. Anda boleh menghasilkan dua kad bagi setiap peserta apabila mereka masuk ke bilik mesyuarat. Kad pertama bertanda bulatan merah dan kad kedua bertanda bulatan hijau. Sekiranya aliran idea adalah positif, semua peserta menunjukkan kad hijau. Apabila seseorang menunjukkan fasa yang membunuh mood dan kelicinan proses, semua peserta mengeluarkan kad merah. Ini akan membantu peserta memahami perkara yang tidak perlu dibincangkan ataupun perkara yang perlu dibantu dengan input yang lain.
6. Apabila lebih daripada 10 peserta yang dijemput ataupun hadir dalam sesi yang dirancang, bahagikan kepada dua kumpulan dalam sekitar lima ataupun enam orang. Setiap kumpulan membincangkan isu yang berbeza. Kumpulan kecil dapat mengelakkan formaliti dan memberi suasana selesa bagi berbincang. Semakin selesa peserta bermakna semakin banyak perkongsian dapat dibuat kerana mereka berasa kondusif dalam mengutarakan idea.
7. Tuliskan matlamat sesi itu supaya dapat dilihat dengan jelas oleh semua orang. Tuliskan dalam bentuk persoalan. “Kenapa masih terdapat...“ ataupun “Apa yang menyebabkan...“
8. Pastikan semua idea dicatatkan di papan putih. Pastikan ia mudah dibaca dan difahami serta tidak memeningkan. Catatan perlu membantu ke arah idea baru sebagai tambahan. Ia juga boleh dipadam serta dicatatkan bagi rujukan seterusnya. Idea-idea yang dicetuskan melalui sesi itu perlu ‘segar’ dan disimpan sebagai rujukan.
9. Apabila aliran idea mulai berulang-ulang, ketua perlu masuk campur. Tanyakan peserta lain berkaitan idea yang berulang. Cadangkan pada mereka supaya memilih idea yang terbaik berserta dengan alasannya. Sekiranya anda adalah ketua bagi sesi itu, simpan beberapa idea bagi dibincangkan semasa sesi perah otak mengalami jalan buntu.
Teknik Charles Baudoin
Charles Baudoin adalah profesor di Rousseau Institut Peranchis. Beliau adalah ahli psikoterapi yang cekap dan pengarah penelitian dari New Nancy School of Healing yang mencipta cara terbaik bagi memberi kesan kepada minda separa sedar melalui cara masuk semasa tidur. Sebagai contoh, anda menghadapi masalah hutang yang bertimbun-timbun. Sebelum melelapkan mata pada waktu malam, bacalah ayat ini berulang kali, “Selesai dengan memuaskan menurut kehendak Tuhan”. Idea dan ayat tidak perlu panjang berjela-jela. Cukup apabila ayat itu dilafazkan secara pendek supaya mudah diingat. Kecerdasan tidak terbatas yang bekerja melalui hukum bawah sedar mendatangkan penserasian menurut prinsip keserasian.
Ulangi proses ini setiap malam selama 10 malam berturut-turut. Rasailah kedamaian serta ketenangan dan anda boleh tidur dengan lena. Keesokan pagi, anda dapat bangun daripada tidur dengan perasaan nyaman dan damai kerana masalah anda sudah selesai.
Teknik Terima Kasih
Islam menekankan permintaan kepada Tuhan serta mengucapkan syukur. Hati yang berterima kasih selalu dekat dengan tenaga kreatif alam semesta. Ia menyebabkan banyak anugerah mengalir kepadanya kerana hukum timbal balik adalah berdasarkan hukum kosmik daripada aksi dan reaksi.
Saya ingin berkongsi dengan anda cerita berkenaan Pak Cipto yang selalu berkata, “Hutang bertampuk, aku tidak ada pekerjaan serta mempunyai anak lima dan tidak berduit. Apakah akalku?” Secara teratur, setiap malam selama tiga minggu beliau ulangi kata-kata, “Syukur pada Allah atas kekayaan ini,” dengan tenang dan damai sehingga perasaan syukur dan terima kasih pada Tuhan meresapi seluruh sanubarinya. Perasaan kekurangan, kemiskinan serta kehinaan, hilang dengan perlahan-lahan. Ucapan syukur dilakukan olehnya sekerap mungkin.
Walaupun belum lagi menjadi kenyataan, namun beliau tetap mengucapkan syukur dengan kepercayaan serta keyakinan yang tinggi. Akhirnya, Pak Cipto berjaya meraih pendapatan yang lumayan dengan dinaikkan pangkat oleh majikannya.
Contoh yang mudah, umpama seorang ayah yang berjanji kepada anaknya hendak membelikan sebuah motosikal yang cantik apabila anaknya berjaya mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Sudah pasti anaknya mengucapkan terima kasih kepada ayahnya, walaupun motosikal itu belum lagi dibelinya. Begitulah juga dengan teknik ini, ucapkan kesyukuran dengan yakin dan gembira walaupun belum lagi diterjemah ke alam nyata.
Teknik Tidur
Lakukan teknik ini semasa anda hendak melelapkan mata. Pada masa itu, anda berada dalam keadaan hipnogogik (antara lena dan jaga). Gelombang otak anda adalah antara alfa dan delta. Minda anda juga berkualiti dan efektif.
Apabila anda menghadapi masalah yang rumit, semasa hendak tidur, katakan, “Dengan kuasa Tuhan, semua masalah selesai dengan baik.” Apabila anda terjaga daripada tidur, ulangi lagi perkataan yang anda ucapkan semalam berkali-kali. Rasailah kepuasan dan ketenangan yang tidak terhingga. Minda separa sedar anda sebenarnya umpama robot dan tidak berperasaan. Maka, setiap perkara yang anda nyatakan pasti diterimanya 100 peratus.
Teknik Alasan
Teknik ini banyak digunakan oleh para doktor bagi merawat pesakit. Doktor memberi keyakinan kepada pesakitnya, penyakit yang mereka hadapi itu lebih disebabkan oleh pola fikiran mereka yang negatif. Pesakit selalunya merasakan mereka ditimpa malang apabila mendapat penyakit. Pada masa ini, peranan doktor adalah menegaskan kepada pesakitnya yang penyembuhan boleh berlaku apabila pesakitnya berfikiran positif.
Ini bermakna, pesakit perlu yakin yang penyakitnya dapat sembuh. Minda separa sedarnya pasti percaya yang dia boleh sembuh daripada penyakitnya. Dengan itu, organ-organnya bertugas dengan baik dan urat sarafnya pula menjalankan tugas dengan cekap bagi penyembuhan secara efektif. Dr. Quimby dari Maine banyak menggunakan teknik ini antara tahun 1849 hingga 1869.
Teknik Penetapan
Daya penetapan ada pada diri kita semua. Dalam konteks ini, kita bertambah yakin apabila kita sedar yang Tuhan menjadikan kuasa alam semesta ini semata-mata bagi kepentingan manusia.
Seorang perempuan muda yang cantik menghadapi masalah diganggu oleh seorang lelaki yang tidak dikenali melalui panggilan telefon pada setiap hari. Oleh itu, setiap hari perempuan muda itu membuat penegasan, “Dengan kuasa Allah, aku berserah kepadanya. Allah akan melepaskan aku daripada masalah ini. Aku bebas daripada masalah ini.” Akhirnya, perempuan muda itu terselamat. Lelaki yang selalu mengganggunya itu hilang pergi entah ke mana. Justeru, apabila kita yakin dan berserah pada Tuhan, apa yang kita hajati pasti tercapai dan pasti ada jalan penyelesaiannya.
Teknik Bioskop Mental
Teknik ini lebih menitikberatkan gambaran yang dicipta dalam minda. Pepatah Cina ada menyatakan, 'sebuah gambar berharga lebih daripada seribu kata'. Minda separa sedar sentiasa sensitif pada gambaran yang dibina. Ia menggambarkan serta bertindak seolah-olah diri kita melalui apa yang kita gambarkan. Lalu gambaran itu pasti menjadi kenyataan.
Teknik ini pernah digunakan oleh pemuda yang bernama Ahmad semasa dia cuba menjual barangan syarikat yang dinaunginya. Sebelum tidur pada waktu malam, dia melakukan meditasi (rujuk teknik meditasi) di kerusi malas kepunyaannya. Selepas itu, dia menggambarkan dalam mentalnya dengan terang dan yakin, ramai orang yang mahu dan berminat membeli barangan yang dijualnya. Dia juga dapat merasakan dan menghadirkan bau wang yang diterima daripada setiap pelanggannya. Selepas itu, dia terus tidur dengan penuh rasa kepuasan seolah-olah dia sudah berjaya menjual barangannya.
Pada keesokan harinya, dia terkejut apabila perkara yang digambarkannya pada malam itu benar-benar berlaku. Ini kerana, kecerdasan tidak terbatas menjalankan tugasnya bagi merealisasikan apa sahaja yang digambarkan. Tuhan maha berkuasa. Dia menjadikan kita dengan kelebihan yang hebat iaitu keupayaan dan kebolehan berimaginasi.
Teknik ini juga berkesan bagi menggambarkan penyembuhan pada penyakit yang berjangkit. Keajaiban pernah terjadi di mana seorang pemuda menghidap penyakit barah otak. Hasil pemeriksaan doktor, pemuda ini sudah tidak berpeluang sembuh daripada penyakit itu. Dia juga diramal berpeluang hidup dalam tiga bulan sahaja lagi. Namun begitu, pemuda ini tidak pernah berputus asa. Setiap malam, dia melakukan meditasi (rujuk teknik meditasi) dan menggambar-kan sel-sel barah otaknya kian hilang. Dia juga membayangkan yang dia semakin sembuh dari hari ke hari. Pada suatu hari, apabila doktor memeriksa penyakitnya, sel-sel barah pemuda itu sudah tiada lagi. Dengan lain perkataan, pemuda itu sudah sembuh daripada penyakitnya. Sesungguhnya, minda manusia diberi kehebatan bagi penyembuhan secara semula jadi. Begitulah hebatnya kuasa minda yang dianugerah Tuhan.
Teknik Menulis
Teknik menulis ini pernah digunakan oleh bekas Presiden USA, James A. Garfield. Semasa beliau berumur 10 tahun, beliau terlihat seorang lelaki yang berpakaian mewah sedang menaiki kereta kuda. Beliau bertanya kepada ibunya siapa lelaki itu. Ibunya memberitahu yang lelaki itu adalah ahli kongres.
Kemudian, beliau terus berazam yang beliau ingin menjadi seorang ahli kongres seperti lelaki yang dilihatnya apabila beliau dewasa. Keesokan harinya, beliau terus menulis hajatnya, “Saya akan menjadi seorang ahli kongres.” Beliau melihat tulisan itu pada setiap hari. Dalam konteks ini, minda separa sedar beliau menerima maklumat berkenaan matlamat dan cita-citanya. Seterusnya, minda separa sedarnya menjalankan tugasan bagi merealisasikan cita-citanya. Beliau menggunakan kemahuannya yang bersungguh-sungguh (will power) bagi menjadi seorang ahli kongres.
Pada hari minggu, beliau bekerja memotong kayu supaya dapat mengumpul duit bagi membeli buku dan belajar cara-cara menjadi ahli kongres. Apabila berumur 16 tahun, beliau bekerja sebagai penjaga kedai bagi membantu ibunya. Beliau juga menyambung pelajaran bagi menjadi ahli kongres. Ketika berumur 18 tahun, beliau mendapat kontrak menyapu lantai di Akademi Kolej William dan mendapat punca pendapatan lain dengan mengajar di sekolah. Pada hari minggu pula, beliau mengambil upah memotong kayu. Semasa berumur 20 tahun, beliau berjaya menerima Ijazah Undang-undang dengan kepujian dari Kolej William. 6 tahun kemudian, beliau menjadi senator di wilayahnya dan semasa berumur 33 tahun, beliau berjaya menjadi ahli kongres.
Kejayaannya itu berpunca daripada apa yang difikirkannya. Minda sedarnya menghantarkan maklumat kepada minda separa sedar dengan cara melihat tulisan cita-citanya. Menulis impian anda pada sekeping kertas boleh membawa pemikiran minda separa sedar (subconscious mind) supaya bertugas bagi mencapai impian anda. Berikut adalah cara yang teratur bagi teknik ini:
Tentukan matlamat. Apabila anda hendak berjaya dalam bidang perniagaan, tentukan matlamat secara jelas. Pastikan matlamat itu logik dan mampu anda capai. Misalnya, anda hendak mendapat keuntungan perniagaan RM5, 000 sebulan. Jelaskan pada diri anda yang jumlah itu pasti tercapai.
Kejutkan 12 bilion sel-sel otak dengan menulis matlamat anda. Ini membangkitkan minda separa sedar anda supaya bertugas dan menjayakan matlamat anda. Minda separa sedar bertindak membantu anda mencari peluang bagaimana mendapatkan keuntungan sebanyak RM5, 000 sebulan secara ghaib (di luar jangkauan pemikiran biasa).
Setiap hari, lihat impian yang anda catatkan. Dengan melihat impian itu, ia melibatkan saraf optik yang ukurannya 17 kali lebih besar daripada saraf-saraf yang lain. Saraf itu juga menyebabkan saraf-saraf lain terus menuju ke otak anda.
Buat gambaran setiap hari iaitu selepas anda melihat impian yang anda tulis. Gambaran juga dapat dibuat pada waktu malam, selepas anda bermeditasi dan bertafakur.
Bina cadangan spontan pada diri anda. Buat pernyataan positif pada diri yang anda boleh mencapainya. Gambarkan seolah-olah anda sudah pun mencapai impian yang anda bina. Ucapkan kesyukuran yang tidak berbelah bahagi pada Tuhan. Pastikan anda lakukan dengan penuh perasaan dan emosi. Minda separa sedar hanya bertindak apabila anda beremosi dan berperasaan.
Sentiasa berfikir berkenaan cara mendapatkan RM5, 000 setiap bulan. Minda separa sedar anda pasti mencetuskan idea yang tidak anda duga dan fikirkan sebelum ini. Apabila minda separa sedar anda mencetuskan idea, catat serta lakukan kerja berdasarkan idea itu.
Anda juga boleh menggunakan teknik-teknik di atas bagi pelbagai kegunaan dan kehendak anda. Minda separa sedar anda sedia menerima apa sahaja saranan dan arahan daripada minda sedar tanpa membantah. Anda perlu yakin yang usaha anda akan memperoleh hasil yang baik.
Apabila kita dapat berlebih kurang dengan orang lain, nanti orang lain juga berlebih kurang dengan kita. Keadaan yang sama berlaku apabila kita terlalu berkira dan kedekut, nanti orang lain pun turut berkira dan kedekut dengan kita.
Seandainya kita berfikiran terbuka dan bersikap suka mendengar, kita mudah mendapat ilmu dan peluang. Kita perlu tahu sebaik-baik sikap adalah mendengar.
Apabila kita berlagak pandai, nanti orang tidak memberikan ilmu dan peluang kepada kita. Tinggallah kita terkapai-kapai seorang diri. Orang melabelkan kita sebagai bodoh sombong. Kita perlu ingat, ilmu Tuhan ini luas, sehingga mati pun ia tidak habis.
Sikap suka menyalahkan orang juga tidak baik. Memang ada orang lain yang berbuat salah. Masalahnya kita lupa pada kesalahan diri kita sendiri. Kita yang hendak berjaya, bukan orang lain. Ada kala kita lupa yang kita selalu bersikap negatif. Ada saja yang tidak betul. Kita lupa di sebalik keburukan ada kebaikan. Kita juga lupa di sebalik kegagalan ada kejayaan.
Orang yang bersikap bodoh sombong adalah orang yang rugi. Begitu juga orang yang kedekut dan selalu berkira. Kita semakin rugi apabila tidak mahu bekerjasama, saling membantu dan bertolak-ansur.
Sebaiknya kita perlu kembali pada diri sendiri. Cerminkan diri bagi melihat dan menilai diri kita seketika. Cuba cari apa kelemahan diri kemudian senaraikan apa kekuatan dan kelebihan diri kita. Kelemahan ataupun sikap yang buruk perlu diperbaiki.
Ada kala kita mengeluarkan sedikit wang bagi membelanja kawan dan prospek. Kita tidak patut mengatakan perbuatan itu merugikan sedangkan ia adalah suatu pelaburan.
Tiada satupun perniagaan tanpa modal yang tidak perlu mengeluarkan wang. Semua perniagaan perlu mengeluarkan modal terlebih dahulu cuma jumlahnya sahaja berbeza.
Anggaplah apa jua aktiviti yang terpaksa mengeluarkan wang sebagai pelaburan bagi jangka masa panjang seperti menghadiri kursus, mesyuarat, mencari prospek, berjumpa kawan dan membeli alat bantuan perniagaan. Biarlah sikap kita sentiasa positif dan terbuka.
Kita sedar ataupun tidak, ia berlaku ke atas kita sama ada secara umum ataupun global, perubahan tetap berlaku. Ada kala kita mampu mengelak, ada kala kita terpaksa menerima hakikatnya.
Walaupun dunia berubah kita mesti mengikut arus perubahan itu. Jika tidak, kita ketinggalan zaman dan ibarat katak di bawah tempurung. Biasanya kita tidak suka apabila diminta membuat perubahan. Apatah lagi apabila diminta mengubah gaya hidup seharian.
Apabila kita sudah lama berada dalam sesuatu pekerjaan ataupun suasana, selalunya kita berasa sebati dengannya, selesa dan merasai seolah-olah itulah dunia kita. Kita fikir dunia yang lain adalah kepunyaan orang lain dan tidak perlu diambil peduli.
Terdapat dua keadaan perubahan:
-Perubahan yang datang daripada kita sendiri.
-Perubahan yang datang daripada orang lain.
Perubahan yang datang daripada kita sendiri bukan bersifat paksaan tetapi secara sukarela. Diri kita yang inginkan perubahan. Rasa ingin berubah ini datang daripada sifat diri kita yang suka mencuba sesuatu yang baru seperti ilmu dan pengalaman yang baru. Ia berlaku disebabkan perasaan manusia yang tidak begitu selesa berada terlalu lama dalam suasana yang sama.
Perubahan yang datang daripada orang lain pula mungkin bersifat paksaan. Kita tidak mahu adanya perubahan dalam hidup, tetapi disebabkan desakan dan tekanan dari luar ataupun daripada orang lain, kita terpaksa mencari jalan keluar daripada kepompong yang sudah lama kita duduki itu.
Ada orang lebih senang membuat perubahan secara besar-besaran ataupun menyeluruh. Keadaan ini dinamakan 'revolusi'. Apabila secara revolusi, hasilnya adalah besar. Namun bukan semua orang suka kaedah ini kerana risiko menghadapi kerugian adalah tinggi.
Tambahan pula, ada juga peribahasa Melayu yang mengatakan ‘berdikit-dikit lama-lama jadi bukit’. Ayat ini bermaksud, membuat kerja sedikit demi sedikit, lama-kelamaan hasilnya bertambah banyak seperti bukit. Bagi mendapat langkah yang ke 1,000 pun kita perlu bermula dengan langkah yang pertama.
Begitu juga dengan mengira ke angka 1,000, kita perlu bermula daripada angka satu.
Malah, peribahasa ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian’ juga bermaksud sebelum mencapai zaman kesenangan dan kemewahan, kita perlu melalui zaman susah dahulu. Kita kena ‘bersakit-sakit’ dahulu, barulah dapat kesenangan pada kemudian hari.
Apabila hendak membuat perubahan secara besar-besaran, ujiannya juga besar. Adakah kita sanggup berkorban masa, wang dan tenaga yang banyak untuk perubahan itu? Tentu sekali pengorbanan dan perubahan yang besar mampu memperoleh hasil yang besar. Namun, kita perlu juga berhati-hati dengan risikonya yang juga besar.
Adakah kita sanggup menanggung kerugian yang besar? Jika sanggup, teruskan.
Dalam MLM, kita hanya perlu membuat sedikit perubahan bagi mendapat peluang, ganjaran dan hasil yang besar dan lumayan. Namun ramai yang tidak faham bagaimana hendak membuat perubahan.
Oleh sebab itu kita perlu faham apa itu MLM. Apa itu Jobs Terms of Reference (JTOR) MLM yang bermaksud bidang tugas dan aktiviti harian sebagai rujukan kita, skop tugas dan kerja dalam MLM berserta aktivitinya. Apabila kita dapat memahaminya, barulah kita dapat membuat perubahan.
Perubahan yang perlu kita lakukan, bukan perubahan besar yang kita tidak mampu lakukan. Tetapi, kita perlu menyenaraikan aktiviti, tugas dan skop kerja dalam MLM, supaya kita nampak dengan jelas apa yang perlu dilakukan. Kita mampu memilih dan mengubah apa yang dapat dilakukan terlebih dahulu.
Ayat pertama diturunkan kepada nabi Muhammad adalah Iqra' yang bermaksud baca, kaji dan faham. Ini bermakna, tindakan pertama kita adalah mendengar, keduanya membaca, ketiganya beramal dan terakhir menyampaikan.
Dalam MLM, perkara berikut adalah penting:
-Mesyuarat
-Mengguna
-Menjual
-Menaja
-Memberi khidmat
Dalam MLM, kita perlu tahu bidang ilmunya seperti berikut:
-Ilmu MLM
-Ilmu pelan pemasaran
-Ilmu produk
-Ilmu syarikat
-Ilmu pemasaran
-Ilmu kesihatan
-Ilmu manusia
-Ilmu penyakit
-Ilmu komunikasi
-Ilmu komputer
-Ilmu Internet
Begitu juga dengan jadual harian kita iaitu:
-Solat
-Makan
-Ke surau
-Ke majlis ilmu
-Hadiri kursus
-Bersama anak
-Bersama isteri ataupun suami
-Memasak
-Menziarah
-Kenduri
-Tidur
-Berehat
-Mandi
-Tonton televisyen ataupun video
-Ke pasar
-Kemas rumah
-Membasuh kain
-Ke sekolah
-Ke kelas tuisyen
-Ke kelas aerobik
Dalam kerjaya MLM juga, kita diibaratkan pergi berperang. Bayangkan bagaimana persediaan kita apabila hendak pergi berperang. Dalam MLM persediaan adalah penting seperti berikut:
-Ilmu
-Pakaian
-Pertuturan
-Produk
-Fail
-Beg
-Komputer
-Peralatan
-Kertas kosong
-Pamflet atau brosur
-Pelan pemasaran
-Testimonial
Dalam berperang perlu ada taktik. MLM juga perlu ada taktik ‘berperang’. Tidak boleh hanya ada satu taktik, ia perlu dipelbagaikan bagi membantu kita menjalankan perniagaan. Mari kita senaraikan apa bentuk perubahan yang dapat dan mampu kita lakukan.
-Menghadiri mesyuarat
-Menghadiri kursus dan seminar
-Mengguna barang
-Menjual barang
-Memberi khidmat
-Mencari prospek
-Membuat nota
Perubahan yang kecil sebenarnya mampu mengubah hidup kita menjadi lebih baik. Ia tidak semestinya perlu diubah secara drastik dan besar-besaran sehingga kita berasa sukar hendak melakukannya. Memadai dengan membuat perubahan yang kecil, tetapi mengetahui mana satu perubahan yang hendak dibuat itu.
Ya membawa pelbagai pengertian. Ia mungkin bermakna beliau faham terhadap perkara yang dibincangkan tetapi belum tentu bersetuju ataupun bersedia menerimanya. Setiap perkataan yang diucapkan oleh orang Jepun membawa banyak pengertian. Berurus niaga dengan orang Jepun tidak mudah seperti mana menjalankan urusan dengan orang Cina. Maka tidak hairanlah mereka yang pertama kali berurus niaga dengan orang Jepun berasa kecewa dengan perundingan yang dijalankan.
Orang Jepun selalunya memulakan perundingan dengan membincangkan perkara yang tidak ada kaitan dengan perkara utama yang ingin dibincangkan. Mereka juga kadang-kala dengan sengaja tidak mahu berterus terang dalam memberikan jawapan kepada tawaran yang dibuat oleh ahli perniagaan yang berurusan dengannya. Mereka tidak bermaksud hendak mengelirukan peniaga asing, tetapi mereka ingin menunjukkan betapa susahnya hendak menolak tawaran itu dengan menyatakan perkataan tidak. Orang Jepun mempunyai cara yang halus bagi menolak sesuatu urus niaga. Jika boleh, mereka tidak mahu melukakan hati orang yang berurusan dengannya. Tetapi apabila hati orang Jepun terluka, jangan harap kita dapat berurusan dengannya lagi.
Kaedah itu adalah sebahagian daripada cara orang Jepun menunjukkan reaksinya pada pandangan dan pendapat yang tidak dipersetujui bagi menjaga keharmonian serta mengelakkan perselisihan. Orang Jepun percaya urus niaga yang tidak berjaya tidak bermakna mereka tidak boleh menjalinkan hubungan persahabatan. Urusan rasmi tidak sepatutnya dicampuradukkan dengan urusan peribadi. Orang Jepun memang suka berhibur dan dihiburkan. Oleh sebab itulah banyak urus niaga dengan orang Jepun dijalankan di pusat-pusat hiburan. Namun begitu, ini tidak bererti keputusan orang Jepun dapat dibeli dengan sogokan hiburan. Mereka dapat membezakan antara pemberian peribadi dengan tanggungjawab pada organisasi. Oleh itu, berhati-hatilah supaya tidak terperangkap dalam jerangkap yang dipasang sendiri.
Satu perkara yang perlu disedari oleh kita adalah perundingan yang dilakukan oleh organisasi Jepun banyak dipengaruhi oleh sistem membuat keputusan secara muafakat yang dikenali sebagai 'ringi'. Dalam sistem ini, sesuatu cadangan diedarkan kepada mereka yang bersangkutan dengan organisasi dan dibincangkan secara bersama sehingga persepakatan dapat dicapai. Proses ini mengambil masa, namun membolehkan perlaksanaan menjadi mudah kerana ia dipersetujui secara bersama apabila dibandingkan dengan keputusan yang cepat dan dibuat oleh suatu kelompok kecil pihak pengurusan sahaja. Orang yang berurus niaga di Jepun perlu menyesuaikan dirinya dengan sistem 'ringi'. Mereka perlu bersabar dan tenang apabila berurusan dengan firma Jepun. Jangan sesekali mengharapkan urusan itu selesai dalam jangka waktu yang singkat.
Perundingan itu kadangkala mengambil masa berbulan-bulan. Begitu juga bagi mencapai keputusan yang penting. Orang sangat berhati-hati dalam membuat keputusan kerana ia menjadi penentu kejayaan ataupun kegagalan kepada tindakan yang diputuskannya. Orang Jepun teliti dan mereka tidak suka terburu-buru. Justeru itu, jangan suka mendesak dan menekan semasa menjalankan urus niaga dengan mereka. Tujuan mereka berbuat demikian adalah bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan masalah yang menyebabkan gangguan terhadap perlaksanaan sesuatu urus niaga. Setiap keputusan sama ada yang besar ataupun kecil tetap dianggap penting. Mereka perlu bersikap serius kerana sikap yang leka mendatangkan padah kepada diri dan organisasi.
Satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian oleh mereka yang berurus niaga di Jepun adalah berusaha menjalinkan hubungan 'aisatsu' dengan rakan sejawatnya dalam syarikat dan firma. Aisatsu bermakna memberikan ucap selamat yang sebenarnya mengandungi pengertian yang cukup mendalam. Walaupun ucapan itu ringkas, namun dapat mengeratkan hubungan perdagangan dengan syarikat Jepun. Dengan melakukan aisatsu, ia bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan yang wujud antara kedua-dua belah pihak, namun menjamin kepentingan masa hadapan mereka yang berurus niaga di Jepun. Sikap peramah perlu ada dalam sesuatu urus niaga. Elakkan daripada berlagak sombong dan bersikap bongkak kerana ia tidak digemari oleh orang Jepun dan mana-mana bangsa di dunia ini.
Satu lagi amalan yang perlu diketahui adalah perkenalan yang dibuat oleh orang tengah atau perantaraan selalunya lebih mesra dan mudah dilaksanakan. Layanan ini tidak mungkin dapat diperoleh apabila seseorang masuk ke dalam firma tanpa sokongan ataupun pertolongan daripada orang perantaraan. Jikalau boleh, bina jalinan dan hubungan dengan seberapa ramai kenalan di Jepun serta gunakan saluran mereka bagi memudahkan urus niaga di sana. Hubungan niaga dan dagang yang dilakukan melalui cara ini membolehkan sesuatu urus niaga berjalan dengan lancar dan sempurna serta mengambil masa yang lebih singkat berbanding dengan proses dan prosedur biasa. Dalam hal ini, berjaya ataupun gagal sesuatu urus niaga juga bergantung pada berapa ramai orang Jepun yang kita kenal dan berapa ramai orang Jepun yang mengenali kita.
Dipetik daripada: 'Rahsia Bisnes Orang Jepun' oleh Ann Wan Seng (akan terbit)
Apakah itu menaja cara helang atau Eagle Eye Sponsoring? Saya ajak anda menganalisis sifat dan cara helang secara mendalam. Helang seekor binatang yang agresif. Matanya tajam dan dapat menembusi dalam laut. Sebab itu, ia boleh tangkap ikan, ular dan binatang lain dengan cepat. Jadi, cuba anda meniru cara helang.
Cuba anda menganalisa 10 kali lebih cepat daripada orang lain. Anda lihat peluang 10 kali lebih cepat daripada orang lain. Sebab itu, orang yang melihat peluang, mereka bertindak dengan agresif dan lebih cepat daripada orang lain.
Anda juga cekap dalam membuat keputusan. Helang merupakan seekor binatang yang cepat membuat keputusan dan bertindak. Zaman sekarang, jangan asyik tunggu dan kaji. Nanti orang lain kaya, kita masih tunggu dan kaji. Tiru helang. Terus ambil tindakan dengan cepat dan pantas.
Helang juga adalah seekor binatang yang dapat terbang di awan yang tinggi. Terbangnya melebihi burung-burung yang lain. Jadi, diri anda juga berupaya menjadi seperti helang iaitu berada di kemuncak kejayaan seperti helang di kemuncak awan.
Tajamkan penglihatan, pendengaran dan bertindak dengan pantas. Inilah konsep ala helang. Paruh helang yang tajam diibaratkan kebolehan anda bercakap dan ber-komunikasi sesama manusia. Manakala kuku helang yang tajam menandakan cengkaman anda pada sesuatu tugas dan tanggungjawab. Cengkam downline dan pelanggan. Jangan lepaskan mereka. Itulah sifat helang.
Helang ditakuti oleh ular. Begitu juga dengan anda. Biarlah sebisa manapun penolakan dan kata-kata orang lain terhadap anda, namun, anda adalah helang. Anda ada paruh yang tajam dan kuku yang mencengkam.
Dipetik dari buku Menjadi Jutawan MLM
Sebelum mencapai kemerdekaan, ekonomi Malaysia
banyak dipengaruhi oleh penjajah yang membuat pelbagai langkah bagi memperbaiki dan mengembangkan ekonomi negara. Pihak penjajah hanya berminat hendak memajukan sektor ekonomi yang dapat memberi keuntungan secara langsung kepada mereka tetapi tidak memberi pulangan yang sewajarnya kepada rakyat Malaysia. Bagi melihat
dengan lebih mendalam berkenaan sejarah perkembangan ekonomi negara, kita bahagikan tahap perkembangan ini kepada empat bahagian iaitu era pra-penjajahan, era penjajahan, era selepas penjajahan dan era selepas kemerdekaan.
Era pra-penjajahan
Pembukaan Melaka oleh Parameswara pada penghujung
abad ke-14 menjadi titik permulaan Tanah Melayu terlibat dalam perdagangan. Melaka menjadi pelabuhan entrepot Timur-Barat. Kegiatan ekonomi di Kepulauan Melayu menjadi semakin bertambah penting dengan tertubuhnya beberapa kerajaan Melayu Tua yang mula menguasai pelabuhan yang
menjadi tempat persinggahan kapal-kapal dari China, India dan Asia Barat bagi menjalankan perniagaan mereka. Kemajuan yang dikecap oleh kerajaan Melaka ketika itu menimbulkan minat kepada negara barat bagi menguasai perdagangan
sehingga akhirnya kerajaan Melaka dijajah oleh kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris.
Era penjajahan
Penjajahan oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun selama hampir 400 tahun banyak memberi kesan kepada ekonomi Tanah Melayu. Namun begitu penjajahan oleh Portugis dan Belanda yang mengambil masa selama 313 tahun itu tidak meninggalkan banyak kesan kepada ekonomi kerana mereka tidak mengeksploitasi sumber secara besar-besaran, selain tumpuan pada perdagangan rempah sahaja. Pada zaman pemerintahan Inggeris berlaku perubahan ke atas ekonomi negara apabila perlombongan dan penanaman getah mula diperkenalkan. Perlombongan menjadi penting apabila Inggeris membawa masuk imigran Cina supaya bekerja di lombong dan imigran India sebagai pekerja ladang getah.
Era kemerdekaan
Pada era ini kerajaan mula memperkenalkan rancangan pembangunan yang terancang dan teratur yang dipanggil Rancangan Pembangunan Ekonomi (RPE1) atau Rancangan Malaya Pertama (1956-1960). Selain itu, pada era ini juga ditubuhkan
rancangan pembangunan tanah seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pada tahun 1956
bertujuan mengatasi masalah kekurangan tanah serta membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup kaum petani. Pada tahun 1961, Rancangan Pembangunan Ekonomi 2 (RPE2) pula dilancarkan. Kedua-dua RPE hanya memberi tumpuan kepada sektor pertanian yang menjadi tunjang ekonomi Malaysia pada ketika itu.
Era baru kini
Peristiwa hitam 13 Mei 1969 memberi kesan yang mendadak pada ekonomi Malaysia. Rusuhan kaum yang berlaku ketika itu dipercayai akibat daripada wujudnya ketidakseimbangan dalam banyak aspek terutamanya ekonomi antara kaum bumiputera
dan bukan bumiputera. Akibat daripada itu beberapa
dasar dilancarkan oleh kerajaan bermula daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN), dan kini Dasar Perindustrian Negara, Dasar Pertanian Negara, Dasar Persyarikatan Malaysia, Dasar Penswastaan dan
lain-lain lagi.
Ciri-ciri Ekonomi Zaman Penjajah
Kita sudah sedia maklum setiap penjajah yang datang ke Tanah Melayu mempunyai kepentingannya tersendiri. Mereka hendak memajukan kawasan yang mempunyai sumber kekayaan dan dapat memberi keuntungan kepada mereka. Kawasan yang tidak mendatangkan hasil kepada mereka dibiarkan
mundur. Keadaan yang sedemikian mewujudkan beberapa ciri ekonomi seperti kemajuan penanaman getah secara perladangan, perkembangan perlombongan bijih timah, kepesatan infrastruktur, pengeluaran bahan mentah dan ekonomi dualisme.
Kepesatan infrastruktur
Penyediaan infrastruktur berkait rapat dengan aktiviti ekonomi negara. Pembinaan jalan kereta api adalah salah satu kemudahan yang dibina bagi memudahkan penghantaran barang-barang dengan teratur. Contohnya pembinaan jalan kereta api antara Taiping dan Port Weld, Kuala Lumpur dan
Klang serta Seremban dan Port Dickson. Pembinaan jalan raya bukan sahaja bertujuan menghantar barang-barang, malah segala urusan lain juga dapat dijalankan dengan lebih mudah. Dengan adanya kemudahan ini ia memberi impak positif pada pertumbuhan sesebuah kawasan. Kawasan yang
kecil menjadi bandar kecil dan kawasan bandar menjadi bandar besar.
Kegiatan perlombongan
Kegiatan perlombongan khususnya bijih timah bermula sebelum British menjajah Tanah Melayu. Perlombongan ini adalah perusahaan tertua di Tanah Melayu. Perusahaan bijih timah adalah kegiatan yang dipelopori oleh orang Melayu sehingga tahun 1820 di mana ianya dikuasai oleh raja-raja dan
pembesar-pembesar Melayu seperti Long Jaafar iaitu Menteri Larut. Orang Cina mula melibatkan diri dalam perusahaan bijih timah mulai tahun 1820 kerana orang Melayu menganggap ia sebagai kerja sambilan dan lebih menumpukan kepada ekonomi sara diri. Dengan kemasukan orang Cina, mereka mula menggantikan kaedah melombong orang Melayu yang
menggunakan cara tradisional. Mereka memperkenalkan kaedah yang lebih moden iaitu melombong secara melombong dedah dan pam. Selepas itu, Sir Hugh Low memperkenalkan enjin stim pada tahun 1877 yang digunakan di lombong-lombong timah di Taiping dan Selangor.
Perusahaan getah
Pada peringkat permulaan perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu adalah satu proses yang agak lambat dan memerlukan usaha yang gigih. Ini disebabkan tidak ramai yang mempunyai pengetahuan mengenai penanaman getah serta kaedah menoreh getah. Pelantikan Hendry N. Ridley sebagai
pengarah Taman Bunga di Singapura pada 1888 mempengaruhi perkembangan perusahaan getah. Beliau
memperkenalkan sistem torehan getah sebagai
"Sistem Ibedem atau sistem Tulang Ikan Hering” pada tahun 1897 dan digunakan pada tahun 1904. Pada awal abad ke 20, penanaman getah mula ditanam secara besar-besaran di Tanah Melayu. Harga getah di pasaran dunia meningkat empat kali ganda. Menjelang kemerdekaan, seluas 800,000 hektar tanah
ditanam getah secara perladangan, sebahagian besar di kawasan Perak, Permatang, Selangor, Lembah Klang dan Johor. Penanaman secara kebun kecil pula berjumlah sebanyak 700,000 hektar. Pada ketika itu getah menyumbang sebanyak lebih daripada 50 peratus kepada eksport kasar negara.
Ekonomi dualisme
Ekonomi dualisme terdiri daripada dua ciri iaitu satu kawasan dibangunkan malah satu kawasan lagi dibiarkan begitu saja. Wilayah yang menyumbangkan hasil terus dijaga atau dibangunkan, manakala wilayah yang tidak mempunyai potensi untuk terus maju dan tidak mempunyai hasil dibiarkan tanpa pembangunan atau dipinggirkan. Ekonomi dualisme
ini wujud dengan begitu meluas sekali. Contohnya, dalam sektor pertanian wujudnya dualisme iaitu antara sektor perladangan dan sektor pekebun kecil. Sektor perladangan mempunyai ciri-ciri pertumbuhan, berintensif modal, memiliki
pekerja mahir, sistem pengurusan yang lebih teratur, serta produktiviti yang lebih tinggi. Manakala sektor pekebun kecil mempunyai ciri-ciri pertumbuhan yang lambat, produktiviti yang kurang, penggunaan teknologi tradisional, pekerja kurang cekap serta wujudnya masalah infrastruktur dan lain-lain.
Pengeluaran bahan mentah
Bahan mentah atau komoditi utama seperti getah adalah sumber utama yang menguntungkan negara pada zaman penjajah. Britain adalah salah sebuah negara yang membeli bahan mentah dengan harga murah. Mereka kemudiannya memproses dan menjual barang-barang siap dengan harga yang lebih mahal.
Dalam mempelajari perakaunan, penting bagi individu itu mengetahui serba sedikit berkenaan dengan asas yang mendasari ilmu ini. Oleh itu, sebagai mukadimah, bab ini membincangkan definisi perakaunan serta kepentingannya. Seterusnya, terma-terma khusus yang digunakan dalam disiplin ini diterangkan secara ringkas. Akhirnya asas-asas dan prinsip-prinsip yang mendasari ilmu perakaunan diperbincangkan bagi melengkapkan pengenalan kepada ilmu ini.
Definisi Perakaunan
Bagi kebanyakan orang terutamanya remaja, diari adalah cara terbaik mencatatkan peristiwa menarik atau penting dalam kehidupan seharian. Tanpa diari, peristiwa-peristiwa menarik atau penting dilupai dan pengajaran daripada peristiwa-peristiwa ini tidak dapat dihayati.
Begitu juga dengan perniagaan. Perniagaan memerlukan ‘diari’ bagi merekodkan peristiwa-peristiwa penting dalam perniagaan. Peristiwa-peristiwa penting dalam perniagaan adalah yang berkaitan dengan wang seperti belian barang niaga dan jualan barang niaga kerana wang adalah nyawa perniagaan. Peristiwa-peristiwa yang melibatkan wang ini dikenali sebagai urus niaga. Dengan rekod yang dibuat, peniaga dapat melihat apakah urus niaga-urus niaga yang sudah berlaku dalam perniagaannya.
Dengan rekod ini juga, peniaga dapat menjawab soalan-soalan penting dalam mengurus perniagaannya. Soalan-soalan seperti ‘Adakah perlu saya membeli lebih banyak stok?’, ‘Adakah jualan saya mencapai sasaran?’ atau ‘Pembekal manakah yang harus saya bayar hutangnya segera?’ dapat dijawab dengan adanya rekod ini.
Rekod ini juga dapat membantu peniaga menguruskan perniagaan dengan lebih baik dan tidak meng-ulangi kesilapan lampau seperti pembelian stok yang berlebihan ataupun pemberian kredit tanpa had kepada penghutang. Secara mudahnya, rekod atau ‘diari’ ini dipanggil sebagai akaun. Dan sistem atau ‘cara’ merekodkan urus niaga-urus niaga ini dikenali sebagai perakaunan.
Perakaunan juga boleh difahami dengan melihat proses-proses yang berlaku di dalamnya iaitu bermula dengan mengumpul dokumen-dokumen, merekodkan urus niaga yang berlaku, mengelaskan urus niaga itu mengikut jenis-jenisnya seperti urus niaga belian dan urus niaga jualan, meringkaskan urus niaga itu dan akhir sekali mempersembahkan maklumat urus niaga ini kepada pihak yang berminat terutamanya peniaga itu sendiri dalam bentuk laporan.
Kepentingan Perakaunan
1.Pengingat
Secara umumnya, apa jua rekod bertujuan sebagai ‘pengingat’ atau reminder. Kita lihat semula contoh penggunaan diari. Diari digunakan bagi mengingati peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam hidup kita. Tanpa diari, sukar untuk kita mengingati semula secara jelas perkara yang sudah berlaku. Begitu juga dengan rekod perakaunan.
Rekod perakaunan dapat membantu peniaga mengingati urus niaga-urus niaga yang berlaku dalam perniagaannya. Contohnya, dengan merekodkan urus niaga jualan secara hutang yang berlaku pada 2 Ogos 2003 ke dalam rekod perakaunan, apabila tiba masa mengutip hutang itu, peniaga ini mudah mengingati orang yang berhutang (penghutang), berapakah jumlahnya dan adakah penghutang itu sudah melebihi tempoh masa pembayarannya. Tanpa rekod perakaunan, ia menyukarkan peniaga mengingati perkara-perkara yang berkaitan.
Bayangkan apa yang berlaku apabila terdapat lebih daripada seratus urus niaga dalam tempoh sebulan. Ia boleh menyebab-kan kelam kabut perniagaan. Dengan adanya akaun-akaun sebagai rekod bagi mengingati urus niaga yang dibuat, urus niaga-urus niaga ini mudah diingati, mudah diuruskan dan seterusnya kerugian akibat lupa dapat dielakkan. Jadi, secara ringkasnya tujuan asas rekod perakaunan adalah pengingat kepada peniaga berkaitan dengan urus niaga-urus niaga yang berlaku dalam perniagaannya.
2.Menentukan untung
Seterusnya, dengan adanya rekod perakaunan, untung sesebuah perniagaan mudah ditentukan. Bukankah untung adalah objektif utama perniagaan? Secara mudahnya, perniagaan dikatakan memperoleh untung apabila hasil yang diperolehnya melebihi perbelanjaan yang dilakukan. Dengan adanya rekod-rekod hasil perniagaan dan perbelanjaan perniagaan, untung dapat ditentukan.
Peniaga perlu mengetahui untung perniagaannya bagi suatu tempoh tertentu seperti sebulan bagi memastikan sama ada dia menguruskan perniagaan dengan cekap ataupun tidak. Secara umumnya, perniagaan yang diuruskan secara cekap sudah pasti menghasilkan keuntungan. Ini juga dapat membantu peniaga mengenal pasti kelemahannya dalam menguruskan perniagaan dan mengambil tindakan memperbaiki kelemahan itu.
Untung yang berkurangan mungkin disebabkan oleh perbelanjaan yang semakin meningkat ataupun hasil jualan yang semakin berkurangan. Ini dapat membantu peniaga mengawal perbelanjaan perniagaannya ataupun me-mikirkan cara-cara meningkatkan jualan.
Contohnya, seorang peniaga pisang goreng yang memperoleh untung harian yang semakin berkurangan dapat mengenal pasti masalah dan punca masalah ini apabila beliau membuat rekod jualan dan perbelanjaannya setiap hari. Dengan melihat kepada rekod ini, beliau dapat mengenal pasti bahawa masalah ini disebabkan oleh kerosakan minyak yang kerap dan meningkatkan perbelanjaan minyak ataupun jualan yang merosot kerana wujudnya persaingan.
Maklumat ini dapat membantu peniaga mengambil tindakan sewajarnya bagi memperbaiki keadaan. Untung yang tepat yang diketahui juga dapat membantu peniaga menentukan berapa banyak daripada untung itu yang dapat diagihkan (sebagai pendapatan peribadi) dan berapa banyak yang harus dilaburkan semula dalam perniagaan sebagai modal pusingan.
Ini penting kerana pengambilan untung yang berlebihan membantutkan perkembangan perniagaan akibat sumber kewangan yang tidak mencukupi. Bagaimanakah peniaga dapat mengetahui bahawa dia tidak mengambil keluar untung yang berlebihan apabila dia tidak mempunyai rekod perakaunan yang baik?
3.Pembiayaan
Di samping itu, dengan adanya rekod akaun yang baik, kedudukan kewangan perniagaan mudah ditentukan. Maklumat ini penting terutamanya kepada individu yang ingin memberi hutang iaitu pemiutang kepada perniagaan seperti pembekal, bank dan sebagainya.
Ini kerana peniaga yang dapat membayar hutang dalam tempoh yang ditetapkan sudah pasti mempunyai kedudukan kewangan yang baik. Pemiutang menggunakan rekod perakaunan bagi melihat kedudukan kewangan sesebuah perniagaan sebelum pemberian hutang dilakukan. Maklumat kewangan perniagaan lebih penting apabila peniaga ingin membuat pinjaman bagi membiayai perniagaannya daripada pihak bank ataupun institusi-institusi kewangan lain.
Bank-bank dan institusi-institusi ini mengehendaki perniagaan mempunyai rekod perakaunan yang baik bagi memastikan maklumat perakaunan yang dipersembahkan adalah benar dan boleh dipercayai sebelum membuat keputusan memberikan pinjaman.
Biasanya, peniaga juga dikehendaki menyediakan unjuran pendapatan bagi suatu tempoh tertentu bagi me-nunjukkan perniagaannya mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk berjaya. Tetapi, bagi perniagaan sedia ada, bagaimanakah unjuran ini dapat dilakukan apabila rekod-rekod lepas perniagaan tidak disimpan? Ini kerana unjuran yang disediakan perlu berdasarkan rekod-rekod lepas bagi me-mastikan ia realistik.
4.Membayar cukai
Rekod perakaunan juga diperlukan bagi tujuan membayar cukai. Cukai perniagaan dapat ditentukan dengan mengambil kira pendapatan-pendapatan yang dikenakan cukai dan pelepasan-pelepasan yang diberi, elaun modal dan lain-lain.
Maklumat pendapatan dan pelepasan ini dapat ditentukan dengan mudah apabila perniagaan mempunyai sistem perakaunan yang baik. Ini kerana pengiraan pendapatan dan pelepasan ini berdasarkan pada maklumat perakaunan. Rekod dan maklumat yang tidak lengkap menyukarkan pengiraan ini. Oleh kerana cukai adalah kewajipan undang-undang, menjadi suatu jenayah apabila peniaga tidak memfailkan maklumat yang tepat. Keperluan mempunyai rekod perakaunan yang baik bertambah penting dengan pelaksanaan sistem taksiran cukai persendirian, di mana peniaga diberi tanggungjawab sepenuhnya mengira cukai mereka.
5.Pengauditan
Seterusnya, rekod perakaunan yang baik juga diperlukan bagi perniagaan yang perlu diaudit. Seperti cukai, audit juga adalah kewajipan undang-undang. Rekod yang tidak lengkap ataupun tidak tersusun menyukarkan pengauditan dilakukan. Ini mung-kin boleh menyebabkan laporan audit bersyarat dikeluarkan pada perniagaan. Seterusnya, ini menyebabkan pemegang saham hilang keyakinan dan pelabur mungkin tidak berminat untuk melabur.
Kita sudah membincangkan kepentingan perakaunan sebagai alat pengingat, menentukan keuntungan serta penunjuk pem-biayaan. Di samping itu, perakaunan juga membantu peniaga menyediakan dokumen dan rekod yang diperlukan bagi tujuan audit dan pengiraan cukai. Selepas mengetahui kepentingan perakaunan, pembaca akan didedahkan dengan terma-terma yang biasa digunakan dalam perakaunan. Mengetahui terma-terma serta definisinya adalah penting bagi membina asas yang kukuh dan membantu pembaca memahami perbincangan seterusnya dengan mudah.
Terma-terma Perakaunan
1.Aset
Aset adalah harta yang dimiliki oleh perniagaan untuk digunakan dalam mengendalikan perniagaan yang berupaya menjana manfaat pada masa akan datang Apa yang dikatakan sebagai menjana manfaat adalah aset itu dapat digunakan bagi tujuan yang berfaedah kepada perniagaan. Faedah atau manfaat yang diperoleh perlu melebihi kos menyelenggarakannya.
Aset boleh dibahagikan kepada dua iaitu aset tetap dan aset semasa. Aset tetap iaitu harta perniagaan yang digunakan bagi menjalankan perniagaan dan bukan untuk jualan. Harta itu bersifat tahan lama dan dapat digunakan bagi suatu jangka masa yang panjang yang biasanya lebih daripada setahun. Contoh aset tetap adalah mesin pencetak yang dimiliki oleh perniagaan percetakan, perabot pejabat dan van ataupun kereta yang digunakan bagi mengangkut barang niaga.
Manakala aset semasa pula adalah aset perniagaan yang bersifat tidak tahan lama dan sentiasa berubah-ubah iaitu bertambah dan berkurang dari semasa ke semasa dalam suatu tempoh perakaunan yang biasanya setahun. Contoh aset semasa adalah wang tunai, stok atau inventori barang niaga bagi peruncit dan peralatan pejabat seperti pen, pensel dan sebagainya.
2.Liabiliti
Liabiliti pula adalah hutang yang ditanggung oleh perniagaan. Pada kebiasaannya, bagi perniagaan yang mula bertapak, ia memerlukan dana atau wang dan aset-aset lain bagi men-jalankan operasi. Untuk itu, perniagaan boleh memperolehnya dengan cara berhutang. Liabiliti juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu liabiliti jangka panjang dan liabiliti jangka pendek.
Liabiliti jangka panjang melibatkan hutang yang memakan masa lebih daripada suatu tempoh perakaunan. Biasanya ia melibatkan perjanjian yang dikendalikan oleh peguam pe-minjam iaitu entiti perniagaan dan peguam pemberi pinjaman.
Oleh yang demikian, terma-terma berkaitan pinjaman yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak termaktub dalam surat perjanjian itu. Pinjaman daripada agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan MARA, bank-bank seperti Bank Pertanian dan Bank Rakyat dan pajak gadai aset perniagaan adalah pinjaman yang boleh dikelaskan sebagai liabiliti jangka panjang.
Liabiliti jangka pendek pula adalah hutang yang perlu dijelaskan dalam tempoh yang singkat dan biasanya kurang daripada setahun. Ia tidak memerlukan suatu bentuk perjanjian yang nyata sebagaimana liabiliti jangka panjang.
Cukup sekadar suatu bentuk surat ataupun penyata yang menyatakan hutang oleh pihak peniaga daripada pemberi hutang dan kedua-dua pihak perlu mempunyai salinan penyata hutang itu. Contoh liabiliti jangka pendek adalah overdraf dan pemiutang seperti pembekal yang memberi kelonggaran tempoh pembayaran barang niaga yang diambil oleh peniaga.
3.Ekuiti pemilik
Ekuiti pemilik pula adalah hutang perniagaan kepada pemilik perniagaan itu. Ataupun dengan kata lain, pemilik melabur modal kepada perniagaan. Oleh yang demikian, modal itu dinamakan ekuiti pemilik. Walaupun modal diberikan oleh pemilik perniagaan itu sendiri, ia bukan hak milik mutlak perniagaan yang dapat digunakan sewenang-wenangnya tanpa perlu direkodkan dan dilaporkan. Untuk itu, ekuiti pemilik diwujudkan bagi mencatat hutang perniagaan kepada pemilik perniagaan itu.
Ekuiti pemilik bukan setakat dalam bentuk kewangan, pemilik juga boleh melabur dalam bentuk harta benda seperti kenderaan, tanah, bangunan dan sebagainya yang mana ini semua dinilai dalam bentuk kewangan dan dicatatkan dalam ekuiti pemilik.
4.Hasil
Hasil adalah apa jua perolehan yang didapati daripada aktiviti utama perniagaan. Contohnya, sebuah kedai runcit memperoleh hasil daripada aktiviti menjual barang-barang perniagaannya, manakala sebuah kedai gunting rambut memperoleh hasil daripada perkhidmatan menggunting rambut yang diberikan kepada pelanggan-pelanggannya. Ia juga perlu diukur dalam bentuk kewangan.
5.Belanja
Bagi menjalankan aktiviti perniagaan yang boleh menjanakan hasil, perniagaan perlu membuat perbelanjaan bagi memastikan perkhidmatan yang diberi ataupun barangan yang dijual memuaskan hati pelanggan. Berbalik kepada contoh kedai gunting rambut, bagi memberi perkhidmatan yang selesa kepada para pelanggan, peniaga perlu mendapatkan kuasa elektrik daripada TNB bagi menghidupkan kipas ataupun penyaman udara, lampu bagi menerangi kedai dan paling penting mesin pemotong rambut.
Untuk itu, belanja yang dilibatkan di sini adalah belanja elektrik. Terdapat perbelanjaan lain seperti belanja sewa kedai, belanja gaji pekerja dan belanja bekalan pejabat.
Keuntungan ataupun kerugian.
Hasil yang diperoleh perlu ditolak dengan belanja-belanja yang dilibatkan bagi mengetahui sama ada perniagaan memperoleh keuntungan ataupun mengalami kerugian. Apabila hasil me-lebihi belanja yang terlibat, maka perniagaan memperoleh keuntungan. Apabila sebaliknya berlaku iaitu belanja terlibat lebih tinggi daripada hasil, maka perniagaan dikatakan meng-alami kerugian. Biasanya, pengiraan keuntungan ataupun kerugian dibuat bagi suatu jangka masa yang tetap seperti sekali setahun, dua kali setahun, empat kali setahun dan lebih kerap lagi setiap penghujung bulan.
Ia memberi petunjuk yang boleh digunakan peniaga bagi mempertingkat dan memperbaiki mutu dan kualiti per-khidmatan yang diberikan dan sentiasa berhemah dalam berbelanja.
5.Penyata kewangan
Sekurang-kurangnya, setiap kali berakhir suatu tempoh perakaunan, perniagaan perlu menyediakan penyata kewangan. Penyata kewangan adalah suatu bentuk persembahan kewangan secara berstruktur berkaitan urus niaga yang dijalankan dan kedudukan kewangan entiti perniagaan.
Objektif utama penyata kewangan adalah menyediakan maklumat berkaitan dengan kedudukan kewangan, pencapaian atau keberkesanan aktiviti perniagaan dan aliran tunai perniagaan yang mana ia berguna pada peniaga dalam membuat keputusan.
Penyata kewangan ini terdiri daripada penyata-penyata lain iaitu penyata pendapatan, penyata ekuiti pemilik dan lembaran imbangan. Semua penyata ini dihuraikan di bawah.
a.Penyata pendapatan atau untung rugi
Penyata pendapatan adalah penyata yang mempersembahkan hasil yang diperoleh daripada aktiviti perniagaan, belanja-belanja yang dilibatkan bagi menjalankan operasi perniagaan dan untung ataupun rugi daripada aktiviti perniagaan itu.
Penyata ini disediakan bagi suatu tempoh masa yang ditetapkan, biasanya bagi setiap suatu tempoh perakaunan sepeti setahun. Dengan adanya penyata ini, peniaga dapat menilai prestasi dan pencapaian aktiviti perniagaannya sama ada meningkat ataupun menurun. Selain daripada itu, peniaga juga dapat memantau atau mengawal perbelanjaan perniagaan supaya tidak melebihi daripada hasil yang diterima.
b.Penyata ekuiti pemilik
Penyata ekuiti pemilik adalah jambatan kepada penyata pendapatan dan lembaran imbangan. Pendapatan atau rugi bersih daripada penyata pendapatan dibawa ke dalam penyata ekuiti pemilik. Hasil pengiraan dalam penyata ekuiti pemilik ini iaitu ekuiti pemilik akhir dihantar kepada lembaran imbangan.
Penyata ekuiti pemilik ini dihasilkan bagi menunjukkan perubahan ekuiti pemilik perniagaan. Perkara-perkara yang meningkatkan ekuiti pemilik adalah pendapatan bersih dan pelaburan modal baru oleh peniaga. Manakala, perkara-perkara yang dapat mengurangkan ekuiti pemilik adalah rugi bersih dan ambilan pemilik iaitu peniaga mengambil apa-apa sahaja aset yang menjadi milik perniagaan.
c.Lembaran imbangan atau kunci kira-kira
Lembaran imbangan disediakan bagi memberi maklumat berkaitan dengan kedudukan kewangan perniagaan. Berbeza dengan penyata pendapatan yang menyediakan maklumat bagi suatu tempoh yang ditetapkan, lembaran imbangan memberi maklumat kewangan bagi suatu masa yang ditetapkan, contoh-nya pada 31 Disember 2003. Maksudnya, kedudukan kewangan perniagaan adalah benar tertera pada suatu titik masa itu sahaja.
Maklumat kewangan yang dimasukkan dalam lembaran imbangan antara lain adalah aset atau harta perniagaan, liabiliti atau hutang yang ditanggung oleh perniagaan dan ekuiti pemilik atau modal yang dilaburkan oleh pemilik perniagaan itu. Maklumat-maklumat ini penting kepada peniaga bagi menge-tahui sama ada perniagaannya mempunyai imbangan modal yang cukup berbanding dengan hutang yang ditanggung, mengetahui lebihan aset iaitu selepas aset ditolak dengan liabiliti.
d.Penyata aliran tunai
Penyata aliran tunai memberi gambaran bagaimana aliran tunai masuk dan keluar daripada aktiviti-aktiviti operasi, pelaburan dan pembiayaan serta peningkatan ataupun penurunan bersih tunai. Ia berguna bagi peniaga menilai keupayaan perniagaan bagi menjana tunai pada masa akan datang.
Selepas mengetahui terma-terma yang biasa digunakan dalam perakaunan, perkara seterusnya yang perlu diketahui oleh pembaca adalah asas-asas dan prinsip-prinsip penting dalam perakaunan. Semasa menyediakan penyata kewangan, peniaga boleh memilih sama ada menggunakan asas tunai ataupun asas akaun. Ini menentukan dalam tempoh perakaunan manakah hasil dan belanja yang berlaku perlu direkodkan. Terdapat sekurang-kurangnya tujuh prinsip perakaunan yang memberi panduan dalam merekodkan dan menyediakan maklumat kewangan. Ketujuh-tujuh prinsip ini dibincangkan selepas ini.
Asas Perakaunan
1.Asas tunai
Perakaunan asas tunai merekodkan urus niaga apabila tunai diterima dalam tangan ataupun tunai sudah dibayar. Asas tunai mudah diamalkan dan difahami. Contohnya, sebagai peniaga, pastinya kita memesan barang. Katakan saudara adalah peniaga kedai runcit dan saudara memesan beras daripada pembekal secara kredit atau hutang. Berdasarkan asas tunai, apabila beras dihantar oleh pembekal dan bayaran belum dibuat oleh peniaga, maka tiada catatan dibuat. Catatan hanya dilakukan apabila bayaran kepada pembekal beras dilangsaikan.
Daripada kenyataan di atas, asas tunai menunjukkan maklumat kewangan yang tidak lengkap dan tidak tepat. Sepatutnya, setiap urus niaga yang berlaku perlu direkodkan tidak kira sama ada secara hutang ataupun tunai. Namun, asas tunai hanya merekodkan urus niaga tadi apabila pembayaran tunai dibuat kepada pembekal apabila tiba tempoh pembayaran hutang.
Oleh itu, para peniaga sepatutnya bertukar kepada asas akaun bagi mendapatkan gambaran sebenar berkaitan dengan kedudukan penyata kewangan perniagaan. Di samping itu, asas tunai juga tidak mematuhi prinsip pemadanan antara hasil dan belanja yang diterangkan pada halaman 15.
2.Asas akruan
Perakaunan asas akruan menggunakan prinsip pemadanan di mana hasil dan belanja dipadankan dalam tempoh masa yang sama. Maklumat dalam asas akaun menunjukkan kedudukan sebenar perniagaan dan berguna dalam membuat jangkaan masa depan perniagaan.
Berdasarkan asas akruan, urus niaga direkodkan sebaik sahaja manfaat diberi ataupun diterima dan bukan pada masa penerimaan atau pembayaran dilakukan. Contohnya, situasi pembelian beras secara kredit daripada pembekal di mana berdasarkan asas akruan, sebaik sahaja peniaga menerima bekalan beras yang dipesan daripada pembekal, maka transaksi itu perlu direkodkan.
Ini kerana kedua-dua pihak iaitu peniaga mendapat manfaat iaitu bekalan beras dan pembekal mengeluarkan belanja iaitu memberi bekalan beras secara kredit.
Andaian Perakaunan
Apa itu andaian? Andaian adalah perkara yang dijangkakan atau diramalkan bagi sesebuah perniagaan itu beroperasi. Terdapat empat jenis andaian yang dibincangkan dalam bahagian ini iaitu andaian entiti berasingan, perniagaan berterusan, wang sebagai unit ukuran dan tempoh perakaunan.
1.Entiti berasingan
Perniagaan biasanya dimiliki oleh pemilik. Namun, dalam perakaunan, perniagaan dan pemilik adalah dua pihak yang berbeza. Pemilik dianggap sebagai pemiutang kepada per-niagaan dengan meminjamkan modal kepada perniagaan. Semua urus niaga yang memberi kesan kepada perniagaan direkodkan ke dalam buku-buku perakaunan.
Manakala urus niaga yang tidak berkaitan dengan perniagaan yang dibuat oleh pemilik tidak direkodkan ke dalam buku perakaunan. Apabila pemilik perniagaan ingin menggunakan wang ataupun barangan perniagaan bagi kegunaan peribadi, maka ia direkodkan sebagai ambilan yang mengurangkan ekuiti pemilik.
2.Perniagaan berterusan
Konsep ini mengandaikan perniagaan beroperasi secara ber-terusan bagi suatu tempoh masa yang tidak terhingga. Andaian ini menyebabkan aset perniagaan dinilai pada harga kos iaitu harga semasa aset itu dibeli dan bukan mengikut harga pasaran. Aset-aset yang dibeli diandaikan akan digunakan bagi mem-bantu operasi perniagaan dan bukan bertujuan dijual semula.
3.Wang sebagai unit ukuran
Kita perlu ada kayu pengukur bagi mengukur urus niaga perakaunan yang dijalankan. Wang digunakan sebagai ukuran. Setiap urus niaga yang dijalankan direkodkan menggunakan nilai mata wang. Di Malaysia, Ringgit Malaysia digunakan dalam mencatatkan urus niaga bagi memudahkan pengiraan dan menentukan pertukaran nilai antara butir-butir yang direkodkan.
4.Tempoh perakaunan
Tempoh perakaunan adalah tempoh perniagaan di mana semua maklumat urus niaga perniagaan yang dibuat dalam tempoh itu diringkaskan bagi mengetahui kedudukan perniagaan yang sebenar. Biasanya, tempoh perakaunan adalah satu tahun.
Contoh, tempoh perakaunan bagi Syarikat Jojo bermula pada 1 Januari 2003 dan berakhir pada 31 Disember 2003. Contoh kedua, perniagaan bermula pada 1 Julai 2003 dan tempoh perakaunan berakhir pada 30 Jun 2004. Oleh itu, bagi mengetahui untung ataupun rugi perniagaan bagi tahun itu, maka setiap urus niaga yang berlaku dalam tempoh perakaunan itu sahaja yang perlu diambil kira.
Prinsip Perakaunan
Apa itu prinsip? Prinsip pula adalah asas atau panduan dalam perakaunan yang diguna dan dipraktikkan dalam perniagaan. Dalam bahagian ini, dua jenis prinsip dibincangkan iaitu pemadanan hasil dan belanja serta kos sejarah.
1.Pemadanan hasil dan belanja
Setiap urus niaga melibatkan unsur hasil dan belanja. Konsep pemadanan adalah membandingkan hasil dengan belanja bagi mendapatkan untung bersih perniagaan. Untung bersih ialah perbezaan antara hasil dan belanja.
Pemadanan hasil dan belanja termasuk juga belanja atau hasil yang sudah terlibat tetapi belum dibayar dianggap sebagai terakru. Prinsip akruan penting dalam mengira untung ataupun rugi perniagaan supaya pelabur mendapat gambaran yang tepat tentang kedudukan sebenar perniagaan.
2.Kos sejarah
Semua aset yang dibeli direkodkan mengikut nilai asal aset itu dibeli dan bukannya mengikut nilai pasaran. Ia dikenali sebagai kos sejarah. Ini kerana kos sejarah adalah paling objektif dalam melaporkan aset-aset dalam penyata kewangan dan membantu mana-mana pihak yang ingin menilai perniagaan dengan lebih tepat.
Levi dan Seluar Jeansnya
Idea: Kenal Pasti Permintaan Yang Belum Dipenuhi
Nama ‘Levi’ adalah antara jenama yang paling terkenal di kalangan remaja seluruh dunia. Levi berjaya kerana beliau bijak mengenal pasti peluang perniagaan yang baik. Oleh itu, sebagai seorang usahawan, saudara perlu berfikiran terbuka dan sentiasa menilai peluang-peluang perniagaan secara saksama. Gunakan pertimbangan saudara sendiri. Belum cuba, belum tahu.
Segalanya bermula daripada permintaan para pelombong emas di Sacramento. Seandainya Levi tidak mempedulikan permintaan pelombong-pelombong itu, sudah pasti beliau hanya kekal sebagai seorang peruncit kecil-kecilan.
Emas… besi kuning itu kini menjadi idaman setiap insan. Begitu juga pada kurun ke-19. Pada bulan Januari 1848, ketulan emas dijumpai di Sacramento, California. Menjelang bulan September, akhbar-akhbar melaporkan tentang ketulan emas yang banyak terdapat di kawasan itu. Apabila Presiden Polk (Presiden Amerika Syarikat pada masa itu) mengesahkan berita itu, ramai pemuda meninggalkan kampung halaman masing-masing dan mula menuju ke Sacramento.
“Kami akan pulang dengan kekayaan.” Itulah janji setiap pemuda kepada keluarga masing-masing. Malangnya, ia tidak semudah yang disangka. Mereka terpaksa bekerja keras bagi mendapatkan ketulan emas itu. Pelbagai alat bantuan di-gunakan bagi melombong termasuklah letupan! Walau bagaimanapun, mereka tidak mempunyai seluar yang sesuai bagi melakukan kerja-kerja melombong. Beberapa pelombong merayu kepada Levi Strauss supaya menghasilkan seluar yang sesuai.
Pada masa itu, Levi Strauss adalah pengedar barang-barang keperluan harian di San Francisco. Pada mulanya, Levi cuba menghasilkan seluar dengan menggunakan khemah kanvas. Namun, hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Selepas itu, beliau mencuba pula dengan menggunakan kain kapas ‘berat’ daripada Perancis, iaitu denim. Beliau berjaya!
Levi juga memperkenalkan satu lagi inovasi apabila beliau menggunakan kepingan besi bagi memperkuatkan bahagian tertentu pada seluar ciptaannya. Levi dan seorang tukang jahit, Jacob Davis memfailkan paten untuk idea itu dan semenjak itu, seluar jeans menjadi semakin popular.
Jika Levi boleh berjaya dengan memenuhi permintaan yang belum dipenuhi, saudara juga mampu.
Baiklah. Kita tinggalkan dulu Levi’s dengan seluar jeansnya. Dalam cerita selanjutnya, kita beralih kepada bidang penyiasatan. Pernahkah saudara berangan-angan menjadi penyiasat? Mungkin cerita-cerita Alfred Hitchcock memberi inspirasi pada saudara? Di sebalik minat itu, tersirat peluang perniagaan yang baik.
Keluar sebentar hendak ke pekan,
Niat di hati nak beli joran.
Kenalilah peluang, kenalilah permintaan,
Itulah dia kunci kejayaan.
6
Ford: Pelopor Revolusi Pemotoran
Idea: Menggunakan Pandangan Jauh
Henry Ford mula menunjukkan bakat dalam bidang pemotoran sejak muda lagi. Pada usia 16 tahun, beliau berhijrah ke Detroit dan bekerja di sebuah kedai mesin. Beberapa bulan kemudian, beliau mula bekerja di syarikat Detroit Dry Dock Co. di mana beliau mengendalikan enjin stim.
Apabila usianya menjangkau 28 tahun, beliau mula bekerja di Thomas Edison’s Detroit Illuminating Company. Beliau bertugas sebagai ketua jurutera di syarikat itu. Pada masa lapang, beliau membina kereta pertamanya, iaitu Quadricycle.
Pada tahun 1899, dengan bantuan seorang hartawan bernama Willian Murphy, Ford berjaya menghasilkan kereta yang lebih sempurna. Pada tahun yang sama, Ford mengasaskan syarikat Detroit Automobile Company.
Pada 1901, kereta ciptaan Ford berjaya mengatasi automobil yang terlaju pada waktu itu. Dia membuktikan perkara itu di hadapan 8000 penonton di Grosse Pointe, Michigan. Disebabkan kejayaannya itu, Ford diberikan dana bagi menjalankan penyelidikan automotif. Dua tahun kemudian, pada tahun 1903, Ford menubuhkan syarikat automotifnya sendiri, The Ford Motor Car Company.
Menjelang tahun 1904, Ford syarikatnya berjaya menjual sebanyak 658 kenderaan. Pada mulanya, kenderaan bermotor hanya mampu dimiliki oleh golongan kaya. Namun, pada tahun 1908, Ford berjaya mencipta kereta Model T yang mampu dimiliki oleh golongan kelas pertengahan. Jualan Model T meningkat ke 720,000 pada tahun 1916.
Walaupun berjaya menjadi seorang usahawan berjaya, Ford tidak melupakan tanggungjawab sosialnya. Beliau adalah seorang yang dermawan. Beliau membina hospital bagi para pekerjanya di Detroit. Pada 1936 pula, beliau menubuhkan Yayasan Ford. Semenjak ditubuhkan, Yayasan Ford memberikan geran sejumlah USD8 bilion. Itulah dia Ford. Sudahlah hartawan, dermawan pula.
Berpandangan jauh adalah ciri penting usahawan berjaya. Contohnya, dalam kisah Ford di atas, Ford adalah seorang yang berpandangan jauh apabila beliau sanggup menghabiskan masa dan tenaga bagi menghasilkan kereta yang mampu dimiliki oleh golongan kelas pertengahan. Pada zamannya, kebanyakan orang berpendapat kereta hanya mampu dimiliki oleh golongan hartawan. Tetapi, Ford berjaya melepaskan diri dari belenggu pemikiran seperti itu dan yakin kereta akan menjadi keperluan dan bukan kemewahan. Dengan pandangan jauh itu, Ford berjaya menjadi kaya raya.
Sebelum saudara menceburkan diri dalam industri berat, saya mencadangkan supaya saudara bermula dengan perkhidmatan membaiki dahulu. Sekiranya saudara mempunyai pengetahuan dan kemahiran membaiki kenderaan bermotor, saudara dapat membuka bengkel saudara sendiri.
Ford adalah seorang usahawan yang hanya menumpukan perhatian pada industri automobil. Ini adalah salah satu cara untuk berjaya dalam perniagaan. Namun, saudara juga boleh berjaya dengan melibatkan diri dalam beberapa bidang perniagaan yang berlainan. Bagaimana caranya? Cerita yang seterusnya dapat dijadikan panduan.
Hang Tuah pahlawan handalan,
Di belakangnya sahabat teguh berdiri.
Lengkapkan diri dengan wawasan,
Supaya bahagia di kemudian hari.
Seperti yang dibincangkan lebih awal, jawatan pengurusan dalam organisasi adalah pelbagai. Walau bagaimanapun, kejayaan mereka dalam menguruskan tugasan masing-masing dengan berkesan adalah bergantung kepada kemahiran dan keupayaan yang mereka miliki. Secara idealnya, seorang pengurus yang berkesan mestilah sekurang-kurangnya mempunyai kemahiran pada aspek teknikal, perhubungan perorangan, konseptual, pembuatan keputusan dan pengurusan masa. Tetapi secara realitinya, kemahiran-kemahiran ini tidaklah begitu mudah dikuasai kesemuanya. Amat sedikit sekali pengurus yang berkemampuan untuk cekap dalam setiap bidang kemahiran yang disebutkan.
Kemahiran Teknikal
Kemahiran teknikal ialah kemahiran yang diperlukan bagi melaksanakan tugasan-tugasan tertentu yang spesifik. Misalnya, seorang arkitek mestilah mempunyai kemahiran melukis pelan dan membentuk model-model bangunan, seorang mekanik kereta perlu tahu berkenaan kereta, punca-punca kerosakan dan bagaimana membaikinya dan seorang penjahit pakaian pula mestilah tahu bagaimana menentukan ukuran pakaian, menggunakan mesin jahit dan sentiasa mengemas kini pengetahuan berkenaan pola fesyen pakaian terkini. Kakitangan membangunkan kemahiran teknikal masing-masing melalui pembelajaran formal dan tidak formal serta daripada pengalaman sendiri dan orang lain. Kemahiran teknikal adalah sangat penting dimiliki oleh pengurus-pengurus lini. Para pengurus lini menggunakan kemahiran teknikal bagi membantu pekerja menyelesaikan masalah berkaitan pekerjaan, memberikan bimbingan berkenaan tatacara kerja yang betul dan menguruskan prestasi harian mereka.
Kemahiran Perhubungan Interpersonal
Pengurus yang berkesan juga perlulah tahu bagaimana berurusan dan berinteraksi dengan manusia. Keupayaan ini memerlukan kemahiran perhubungan Interpersonal. Seorang pengurus yang tidak tahu mengambil hati dan berhikmah dalam berurusan dengan pekerja akan mengalami masalah perhubungan bukan sahaja dengan pekerja bawahan, tetapi mungkin juga dengan rakan sekerja dan pegawai atasannya. Pekerja yang tidak berpuas hati dengan tingkah laku beliau mungkin akan berhenti kerja ataupun memohon dipindahkan ke bahagian lain ataupun terus bekerja dengan beliau tetapi dengan tahap moral yang rendah.
Keadaan ini dapat menyumbang kepada pencapaian produktiviti yang rendah.Walaupun kemahiran perhubungan perorangan diperlukan oleh semua pengurus pada semua peringkat, namun pengurus pertengahan adalah yang paling memerlukan kemahiran ini. Dari semasa ke semasa mereka perlu berurusan dengan pengurus atasan untuk menerima dan memahami maklumat berkenaan matlamat dan strategi syarikat. Seterusnya mereka perlu berurusan dengan pengurus lini untuk menyampaikan serta memberikan kefahaman kepada para pengurus lini berkenaan matlamat yang disasarkan dan bagaimana melaksanakannya.
Jika beliau tidak berkesan daripada segi komunikasi dan kemahiran perhubungan perorangan, beliau tidak akan mampu menyerap maklumat dengan cekap daripada pengurusan atasan dan pasti sukar menerangkannya kepada para pengurus lini.
Selain daripada itu, kadangkala perkara-perkara tertentu yang dilaporkan oleh pengurus lini terpaksa beliau sampaikan pula kepada pengurusan atasan. Beliau juga dari semasa ke semasa perlu menjadi jambatan penghubung antara jabatannya dengan jabatan-jabatan lain dalam organisasi. Kebanyakan pengurus mendapati kebolehan memahami perasaan dan kedudukan orang lain akan memudahkan orang lain memahami beliau. Keadaan ini dapat menyumbang kepada keharmonian yang berterusan dalam organisasi.
Kemahiran Konseptual
Ia adalah keupayaan seseorang pengurus supaya berfikiran kritikal bagi mengenal pasti dan menganalisis pelbagai keadaan serta mampu berpandangan jauh dalam melihat kedudukan masa hadapan syarikat. Kemahiran konseptual membantu pengurus mengenal pasti peluang-peluang dalam pasaran dan ancaman yang mendatang. Ia juga membantu pengurus meng-analisis kebarangkalian yang bakal diperoleh hasil daripada keputusan yang diambil. Keperluan kemahiran konseptual adalah pelbagai menurut peringkat pengurusan dalam organisasi. Pengurusan atasan adalah pihak yang paling memerlukan kemahiran ini berbanding pengurus-pengurus peringkat pertengahan dan barisan hadapan.
Ini kerana dalam menetapkan matlamat organisasi yang disasarkan, pengurus atasan perlu meneliti segala kekuatan dan kelemahan yang dimiliki oleh organisasi. Selepas itu beliau perlu mengenal pasti apakah peluang di persekitaran luar yang dapat dimanfaatkan serta ancaman yang mendatang dan bagaimana menanganinya.
Kesemua faktor-faktor kekuatan dan kelemahan dalaman ini akan digandingkan dengan peluang-peluang dan ancaman dalam persekitaran luaran bagi membentuk strategi-strategi perniagaan yang berkesan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.
Kemahiran Membuat Keputusan
Ia merangkumi keupayaan para pengurus mengenal pasti dan meneliti permasalahan yang timbul. Selepas itu diwujudkan alternatif-alternatif tindakan yang dapat diambil bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.
1. Mengenal pasti permasalahan yang timbul, mengumpulkan maklumat dan fakta dan membentuk alternatif-alternatif bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Apabila syarikat mengalami kadar yang menurun daripada segi produktiviti, pengurus-pengurus perlu mengenal pasti apakah yang menjadi punca masalah. Adakah motivasi pekerja menurun? Jika benar, apakah yang menyebabkan motivasi yang rendah tersebut. Adakah penyelia mereka tidak empati dengan keadaan mereka? Adakah mereka tidak berpuas hati dengan tahap gaji yang diperoleh sekarang? Ataupun mungkin wujud faktor-faktor lain yang tidak disedari oleh pihak pengurusan.
2. Menilai setiap alternatif dan memilih alternatif yang terbaik bagi dilaksanakan.
Selepas mengenal pasti punca masalah, barulah para pengurus dapat merangka alternatif-alternatif tindakan yang bersesuaian diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut. Contohnya, memberikan latihan komunikasi dan perhubungan perorangan kepada penyelia-penyelia, melakukan pelarasan gaji pekerja, cuba bantu menyelesaikan masalah peribadi pekerja jika berkaitan dan lain-lain seumpamanya. Selepas disenaraikan semua kebarangkalian alternatif, barulah pengurus-pengurus menilai setiap satunya dan memutuskan memilih alternatif yang terbaik yang dirasakan dapat menyelesaikan permasalahan yang timbul.
3. Melaksanakan alternatif pilihan dan memantau secara berterusan bagi menilai keberkesanannya.
Selepas alternatif yang terbaik dipilih, pihak pengurusan dapat melaksanakannya dengan segera. Dari semasa ke semasa perlaksanaan alternatif tersebut perlu dipantau dan dinilai bagi mengetahui sama ada ia memberikan kesan positif ke arah menyelesaikan masalah yang timbul. Jika benar, maka perlaksanaannya perlulah diteruskan sehingga masalah tersebut selesai. Jika tidak, maka perlulah dikenal pastikan punca yang menyebabkan ketidakmampuan alternatif tersebut menyelesaikan permasalahan yang timbul. Mungkin alternatif yang dipilih merupakan alternatif yang salah. Mungkin juga alternatif yang dipilih adalah pemilihan yang tepat tetapi perlaksanaannya tidak dibuat dengan betul. Selepas pengenalpastian dan usaha pembaikan dibuat, barulah selepas itu alternatif yang dipilih dilaksanakan lagi sehingga permasalahan berjaya diselesaikan.
Kemahiran Menguruskan Masa
Para pengurus pada semua peringkat mestilah memastikan mereka menggunakan masa kerja mereka dengan produktif. Setiap saat yang berlalu mestilah menyumbang kepada prestasi syarikat yang cemerlang secara berterusan. Keupayaan para pengurus menggunakan masa dengan produktif ini memerlukan kemahiran pengurusan masa. Katakan seorang Pengurus Besar sebuah syarikat korporat dibayar gaji sebanyak RM 88,000 sebulan. Andaikan beliau bekerja 22 hari sebulan (syarikat bercuti rehat setiap hari Sabtu dan Ahad) dan 8 jam sehari. Gaji sehari beliau adalah RM4,000 ataupun RM500 sejam ataupun RM8.33 seminit. Dengan kata lain, setiap minit yang pengurus tersebut bazirkan sebenarnya merupakan kos kepada syarikat yang akhirnya dapat menyumbang kepada pengurangan keuntungan korporat dan dividen pemegang saham.
Walaupun kebanyakan pengurus menerima pendapatan bulanan yang lebih rendah daripada pengurus besar tadi, ini tidaklah bermakna mereka dapat menghabiskan masa bekerja dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Setiap pembaziran masa akan menjadi kos terkumpul kepada syarikat.
Bagi menguruskan masa dengan berkesan, para pengurus mestilah sekurang-kurangnya peka kepada empat faktor utama yang menyumbang kepada pembaziran masa. Faktor-faktor tersebut termasuklah:
Pendokumentasian
Sesetengah pengurus membuang masa yang terlalu banyak menyisihkan dokumen-dokumen yang diterima. Kebanyakan dokumen yang diterima adalah rutin dan sepatutnya dapat diselesaikan dengan segera. Pengurus-pengurus perlu belajar mengenal pasti dokumen-dokumen penting yang perlu diberikan keutamaan dan perhatian segera.
Telefon
Menurut suatu kajian, para pengurus sentiasa menerima panggilan telefon pada setiap 5 minit. Bagi menguruskan panggilan telefon ini, pengkaji mencadangkan supaya setiausaha membantu pengurus menapis panggilan yang diterima dan meluangkan masa tertentu dalam sehari bagi membuat panggilan balas kepada panggilan yang dianggap penting. Bagi syarikat yang lebih kecil, mungkin para pengurus dapat menggunakan mesin penjawab telefon bagi menapis panggilan yang diterima.
Mesyuarat
Kebanyakan pengurus yang sibuk akan terlibat dengan menghadiri mesyuarat sehingga empat jam sehari. Bagi memastikan mesyuarat yang dijalankan adalah produktif, pengerusi mesyuarat mestilah menjelaskan agenda yang akan dibincangkan, memulakan mesyuarat tepat pada masanya, memastikan semua perbincangan tidak tersasar daripada agenda dan menamatkan mesyuarat tepat pada masa yang ditetapkan. Sesetengah organisasi menjalankan mesyuarat dalam keadaan berdiri supaya semua perbincangan menjurus kepada perkara-perkara penting yang ditetapkan sahaja.
E-mel
Kini, akibat ledakan teknologi maklumat dan komunikasi, pengurus-pengurus semakin bergantung kepada penggunaan e-mel bagi mempercepatkan proses penyebaran dan penerimaan maklumat. Seperti dokumentasi dan panggilan telefon, pesanan e-mel juga banyak antaranya adalah yang tidak penting dan kadang kala yang tidak berkaitan langsung dengan pekerjaan. Pengurus perlu tahu mengenal pasti pesanan e-mel yang berguna dan penting sahaja kepada beliau. Jika tidak, lebih banyak masa dihabiskan membaca kandungan pesanan yang tidak berfaedah kepada produktiviti dalam organisasi.
Kemahiran pengurusan pada alaf baru
Antara kemahiran pengurusan yang dilihat semakin penting hari ini adalah pengurusan global dan pengurusan teknologi.
Kemahiran pengurusan global menuntut para pengurus menyiapkan diri masing-masing dengan teknik, instrumen, dan pengetahuan yang tertentu bagi bersaing pada peringkat antarabangsa. Mereka perlu memahami persekitaran budaya, pasaran, ekonomi, politik dan perundangan di negara asing. Mereka juga perlu arif berkenaan motif dan strategi perniagaan syarikat pesaing memasuki pasaran asing. Dengan kata lain, syarikat-syarikat perlu menyumbang dalam menyediakan para pengurus menjadi pengurus operasi pada peringkat antarabangsa. Para pengurus tempatan perlu diberikan pendedahan berkenaan persekitaran antarabangsa dengan menghantar mereka bertugas di negara asing dari semasa ke semasa.
Kemahiran menguruskan teknologi adalah satu lagi keperluan kemahiran terkini yang penting. Pada hari ini, akibat pembangunan teknologi komunikasi dan pengkomputeran, penyebaran maklumat menjadi semakin cekap. Keadaan ini menyebabkan perubahan ke atas cara para pengurus berinteraksi sesama mereka dan secara tidak langsung mengubah struktur korporat.
Oleh kerana harga peralatan komputer semakin murah, kebanyakan syarikat besar melengkapkan setiap kakitangan masing-masing dengan komputer peribadi. Selain daripada itu, setiap pekerja dihubungkan di intranet melalui Rangkaian Perhubungan Tempatan atau LAN. Dengan adanya rangkaian ini, maklumat tidak lagi hanya bergerak dari atas ke bawah, sebaliknya ia dapat dikongsi bersama oleh seluruh ahli organisasi pada masa yang sama.
Hasilnya, keputusan dapat dibuat dengan lebih cepat dan lebih ramai kakitangan dapat turut serta dalam proses pembuatan keputusan tersebut. Keberkesanan menguruskan teknologi hanya akan menjadi kenyataan sekiranya para pengurus bersedia belajar memanfaatkannya secara cekap dan bijak.
Proses Pengurusan
Pengurusan ialah proses merancang, menyelaras, memimpin dan mengawal aktiviti-aktiviti organisasi. Proses ini dilaksanakan bagi memastikan semua sumber yang dimiliki oleh organisasi, seperti sumber kewangan, fizikal, manusia dan maklumat, digunakan dengan berkesan dan cekap bagi mencapai objektif dan matlamat organisasi. Semua pengurus bertanggungjawab memantau perjalanan bahagian masing-masing dan mereka sentiasa terlibat dengan mana-mana proses pengurusan, setiap hari.
Perancangan
Proses perancangan ialah menentukan apa yang mesti dilakukan oleh organisasi dan bagaimana cara yang terbaik bagi melakukannya. Perancangan mempunyai tiga komponen utama. Komponen yang pertama bermula apabila kakitangan pengurusan atasan menetapkan matlamat yang hendak dicapai. Kemudian, komponen yang kedua berlaku apabila mereka membentuk strategi-strategi bagi mencapai matlamat itu. Selepas strategi-strategi itu siap dirangka, komponen yang terakhir ialah di mana kakitangan pengurusan atasan mereka bentuk pelan tindakan pada peringkat taktikal dan pengoperasian bagi melaksanakan strategi-strategi tadi.
Misalnya, semasa Pusat Rawatan Al-Hikmah (bukan nama sebenar) ditubuhkan, ahli lembaga pengarah dan kakitangan pengurusan atasannya menetapkan matlamat menjadikan pusat rawatan itu hospital swasta terunggul di utara Semenanjung Malaysia dalam masa 7 tahun. Bagaimanakah matlamat ini hendak dicapai? Antara strategi yang digariskan termasuklah mendirikan hospital yang hampir dengan kawasan yang padat dengan penduduk berpendapatan sederhana-tinggi iaitu antara RM2,000 – RM4,500 dan tinggi iaitu lebih daripada RM4,500 dan melakukan promosi memperkenalkan pusat rawatan tersebut kepada masyarakat. Tindakan taktikal yang diambil bagi melaksanakan strategi yang pertama tadi termasuklah mengenal pasti kawasan yang paling sesuai bagi mendirikan hospital tersebut. Tindakan pengoperasian pula termasuklah kerja-kerja berurusan dengan pihak kerajaan tempatan, berunding dengan pemilik tanah dalam proses pembelian tapak hospital yang dikenal pasti dan berurusan dengan pihak bank bagi mendapatkan pembiayaan pembinaan dan pengendalian hospital berkenaan apabila siap nanti.
Bagi melaksanakan strategi kedua, tindakan taktikal yang dapat diambil termasuklah mengenal pasti saluran-saluran yang ada bagi membuat promosi mengenai perkhidmatan yang bakal ditawarkan oleh pusat rawatan berkenaan kepada orang ramai. Contohnya, membuat perencanaan bagi menggunakan media cetak seperti akhbar dan majalah-majalah, mengadakan majlis-majlis penerangan dalam organisasi-organisasi kerajaan dan swasta, menyertai pameran-pameran kesihatan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan tempatan, kerajaan negeri, dan agensi kerajaan yang lain serta mengadakan majlis-majlis penerangan dalam kawasan-kawasan perumahan. Manakala tindakan pengoperasian yang dapat dilaksanakan termasuklah berurusan dengan semua pihak-pihak yang berkaitan seperti yang disebutkan bagi memastikan proses permohonan dan penjadualan dapat disiapkan dan dilengkapkan bagi pelaksanaan semua perencanaan pada peringkat taktikal.
Penyelarasan
Penyelarasan adalah proses menentukan cara yang terbaik bagi mengumpul, menyusun dan menggunakan semua sumber yang dimiliki oleh organisasi supaya hasil yang dikehendaki tercapai. Misalnya, syarikat berteknologi tinggi Hewlett-Packard (HP). Sejak penubuhannya, syarikat ini mengamalkan kaedah perniagaan pemencaran di mana semua anak syarikatnya mengeluarkan pelbagai produk bebas bagi menentukan masa depan masing-masing. Anak syarikat yang mengeluarkan dan memasarkan perkakasan mempunyai hala tujunya sendiri dan tidak mempunyai hubung kait dengan anak syarikat yang lain. Begitu juga halnya dengan anak syarikat yang mengeluarkan dan memasarkan perisian serta yang menawarkan pelbagai perkhidmatan selepas jualan.
Pendekatan ini didapati berjaya membolehkan HP mengaut keuntungan dan mengalami pengembangan yang pesat berbanding syarikat pesaing.Tetapi pada pertengahan tahun 1990-an, keadaan ini berubah. Pulangan terkumpul HP didapati semakin menurun. Daripada analisis yang dilakukan, didapati syarikat pesaing baru semakin banyak memasuki pasaran dan sentiasa memperoleh pulangan yang baik. Pada masa yang sama, setiap anak syarikat HP tadi turut serta bersaing sesama sendiri bagi merebut pelanggan yang sama.
Pihak pengurusan atasan HP berpendapat walaupun pendekatan pemencaran ini amat berjaya pada masa lampau, tetapi kini persekitaran industri berubah dan menuntut supaya penyelarasan yang rapi dibuat ke atas keseluruhan struktur organisasi HP. Akhirnya pada penghujung tahun 1990-an, syarikat berkenaan mengambil tindakan menggabungkan semua aktiviti yang berkaitan pengeluaran dan pemasaran produk perkakasan dan perisian serta perkhidmatannya di bawah suatu pelan strategik induk. Kini, anak-anak syarikat tadi saling bekerjasama dalam usaha menguasai pasaran dan berjaya mengembalikan keunggulan HP dalam industri produk dan perkhidmatan berteknologi tinggi.
Memimpin
Para pengurus mempunyai kuasa memberikan arahan kepada pekerja bawahan dalam segala aktiviti yang berkaitan dengan pencapaian matlamat organisasi. Walau bagaimanapun, pengurus yang hanya tahu mengarah bukanlah merupakan pemimpin yang baik. Pengurus yang berkesan mestilah mampu membimbing dan memotivasikan pekerja-pekerjanya supaya mencapai objektif-objektif organisasi. Misalnya, pendekatan yang diambil oleh pihak pengurusan di Roysan, sebuah syarikat pengacuan suntikan plastik di Selangor. Syarikat ini mempunyai kira-kira 700 orang pekerja pelbagai peringkat. Ia mengeluarkan produk panel plastik badan monitor komputer dan peti televisyen serta panel butang komputer, peti televisyen dan perakam video. Sebahagian besar pekerjanya adalah terdiri daripada pekerja lelaki. Ia mempunyai beberapa barisan landasan pemasangan yang dikendalikan oleh pekerja wanita.
Pada awal tahun 1990-an, syarikat ini berada dalam keadaan kemerosotan. Moral pekerja adalah rendah, kebanyakan pekerja datang kerja kerana terpaksa, tahap produk rosak adalah tinggi dan hubungan antara pekerja dengan pengurusan atasan tidak harmonis. Kemudian pada tahun 1995, Roysan mengambil seorang Pengurus Sumber Manusia yang baru. Setiap pagi beliau akan melawat pekerja pada semua bahagian dan mengambil sedikit masa berbual, bertanya khabar, mendengar keluhan pekerja-pekerja dan mendapatkan maklum balas berkenaan cadangan mereka memperbaiki keadaan dalam syarikat tersebut.
Daripada pengumpulan maklumat ini, beliau memperkenalkan pelbagai program dan aktiviti yang dapat meningkatkan semangat pekerja. Antaranya termasuklah memberikan anugerah dan ganjaran berbentuk kewangan bagi semua pekerja dalam bahagian yang cemerlang dan mencapai sasaran pengeluaran, hadiah sempena hari lahir setiap pekerja, majlis jamuan makan malam pada hujung tahun dan temasya hari keluarga pada bulan Ogos setiap tahun. Beliau juga menyarankan agar semua kakitangan pengurusan berkomunikasi secara berterusan dengan pekerja, prihatin dengan keperluan pekerja masing-masing, melayan mereka dengan baik dan menganggap pekerja sebagai aset yang terpenting kepada organisasi.
Dalam masa yang tidak sampai dua tahun, Roysan berjaya menjadi antara syarikat pengacuan suntikan plastik yang terbaik dalam industri berkenaan. Pekerjanya kembali bersemangat, kadar produk rosak berada pada tahap yang sangat rendah, perhubungan antara kakitangan pengurusan dan pekerja adalah baik, produktiviti dan mutu kerja meningkat dan tempahan tambahan bagi produknya turut sama meningkat. Secara keseluruhannya, pendekatan yang diambil oleh Pengurus Sumber Manusia berkenaan meningkatkan pulangan dan keuntungan Roysan.
Kawalan
Kawalan ialah proses pemantauan ke atas prestasi organisasi bagi memastikan semua objektif dan matlamat yang digariskan tercapai. Pengurus atasan perlu memainkan peranan yang besar dalam memberikan perhatian dan tumpuan kepada kecekapan kos dan keberkesanan pengoperasian.
Jenis-jenis Pengurusan
Semua pengurus melaksanakan fungsi-fungsi proses pengurusan iaitu merancang, menyelaras, memimpin dan mengawal. Tetapi tidak semua daripada mereka mempunyai tahap tanggungjawab yang sama ke atas aktiviti-aktiviti tersebut. Pengurus-pengurus dalam organisasi dapat dibahagikan mengikut tahap dan tanggungjawab yang dipikul.
Peringkat-peringkat Pengurusan
Dalam organisasi, tiga tahap asas pengurusan yang wujud ialah pengurusan atasan, pengurusan pertengahan dan pengurusan lini yang juga dikenali juga sebagai pengurusan barisan hadapan. Daripada segi nisbah, kebanyakan organisasi mempunyai jumlah kakitangan pengurusan lini yang paling ramai diikuti kakitangan pengurusan pertengahan dan yang paling sedikit bilangannya adalah kakitangan pengurusan pada peringkat atasan. Kuasa, tanggungjawab dan tahap kesukaran mengurus para pengurus ini semakin meningkat apabila mereka berada pada peringkat yang lebih tinggi dalam organisasi.
Pengurus Atasan
Nama-nama jawatan yang biasa diberikan kepada para pengurus atasan termasuklah Presiden, Pengarah Urusan, Ketua Pengarah, Pengurus Besar dan Naib Presiden. Mereka dilantik oleh ahli lembaga pengarah syarikat bagi memantau perjalanan dan prestasi syarikat supaya sentiasa mencapai objektif dan matlamat yang ditetapkan. Mereka juga bertanggungjawab merangka dasar dan tatacara organisasi, membentuk strategi persaingan, meluluskan semua keputusan penting yang menentukan masa depan organisasi dan dari semasa ke semasa menjadi wakil syarikat pada pertemuan-pertemuan dengan syarikat lain ataupun badan-badan kerajaan yang lain.
Pengurus Pertengahan
Para pengurus pertengahan berada dalam kelompok tahap kedua selepas pengurus atasan. Mereka juga mempunyai bidang kuasa dan autonomi yang tidak kurang pentingnya. Nama-nama jawatan yang biasa disandang termasuklah Pengurus Kilang, Pengurus Operasi, Pengurus Bahagian dan Pengurus Perjawatan. Jika pengurus atasan bertanggungjawab membentuk dasar, tatacara, dan strategi syarikat, maka para pengurus pertengahan pula bertanggungjawab melaksanakannya dengan cekap dan berkesan.
Misalnya jika pengurus atasan menetapkan dalam masa 12 bulan syarikat akan melancarkan produk mereka yang terbaru, maka semua pengurus pertengahan perlu menggembleng tenaga memastikan sasaran yang ditetapkan itu tercapai. Mereka perlu memikirkan secara bersama dan membuat keputusan bagaimana objektif tersebut dapat direalisasikan.
Pengurus Lini
Pengurus lini tidak semestinya memegang jawatan pengurus. Penyelia ataupun Pengurus Projek, Ketua Pasukan Kerja, dan Ketua Lini memainkan peranan pengurusan pada barisan hadapan. Walaupun para pengurus lini banyak menghabiskan masa kerja harian mereka memantau para pekerja di bawah jagaan masing-masing, ini tidaklah bermakna tanggungjawab mereka terhad setakat itu sahaja.
Misalnya, seorang Penyelia Projek di tapak pembinaan. Beliau bukan sahaja perlu memastikan semua pekerja melaksanakan kerja masing-masing, malah dari semasa ke semasa beliau perlu berinteraksi dan berurusan dengan pembekal bahan binaan, pegawai-pegawai kerajaan yang lain, pengurus pertengahan dan kadangkala turut sama membuat laporan tertentu kepada pengurus atasan di ibu pejabat.
Bidang Fungsian Pengurusan
Dalam kebanyakan syarikat besar, para pengurus atasan, pertengahan dan bawahan ditempatkan di bahagian fungsian tertentu seperti di bahagian sumber manusia, operasi, pemasaran, sistem maklumat, dan kewangan.
Pengurus sumber manusia
Dapat dikatakan semua organisasi mempunyai pengurus sumber manusia ataupun sekurang-kurangnya individu tertentu yang menjalankan fungsian seorang pengurus sumber manusia. Antara bidang tugas beliau termasuklah membuat pengambilan dan melatih pekerja, menguruskan penilaian prestasi kerja mereka dan menguruskan perihal penggajian semua pekerja.
Dalam kebanyakan syarikat besar, bahagian sumber manusia dibahagikan kepada beberapa unit yang berbeza seperti unit pengambilan dan pemilihan, unit penggajian dan unit perhubungan pekerja. Setiap unit ini akan dikepalai oleh seorang ketua unit. Manakala bagi sebuah syarikat yang bersaiz sederhana pula, semua fungsian ataupun bidang tugas ini dikumpulkan di bawah satu bahagian. Bagi sebuah syarikat bersaiz kecil pula, ia akan cenderung menggunakan seorang individu dengan dibantu seorang penolong ataupun kerani menjalankan semua fungsian sumber manusia. Dengan kata lain, tidak ada bahagian ataupun unit sumber manusia yang khas diwujudkan.
Pengurus operasi
Perkataan operasi itu sendiri merujuk kepada sistem yang digunakan oleh syarikat bagi mengeluarkan produk ataupun menawarkan perkhidmatan. Oleh yang demikian, antara bidang tugas seorang pengurus operasi termasuklah menguruskan aktiviti pengeluaran produk, menguruskan inventori (bahan input, produk separa siap dan produk siap) dan pengawalan kualiti produk. Bagi syarikat yang besar, setiap fungsian tadi diletakkan di bawah unit-unit yang berbeza dan diketuai oleh pengurus-pengurus yang berbeza. Bagi syarikat yang bertaraf global, ia akan mempunyai pengurus atasan bagi fungsi ini. Misalnya, Presiden Bahagian Operasi bagi Asia Pasifik ataupun mungkin juga Pengurus Besar Operasi bagi wilayah Eropah Barat. Sejak kebelakangan ini, fungsi pengurus operasi menjadi semakin penting dan amat dikehendaki sektor perkhidmatan.
Pengurus pemasaran
Aktiviti yang biasanya tertakluk di bawah bidang tugas fungsi pemasaran termasuklah membangunkan, menentukan harga, mempromosikan, dan mengedarkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat. Oleh itu, tanggungjawab utama seorang Pengurus Pemasaran adalah memastikan produk dan perkhidmatan yang syarikat tawarkan sampai dan digunakan oleh pelanggan.
Aktiviti pemasaran adalah sangat penting bagi syarikat yang mengeluarkan dan menjual produk pengguna seperti yang dilakukan oleh Unilever, Nestle dan PepsiCo. Syarikat sebegini mempunyai ramai pengurus pemasaran pada pelbagai peringkat. Misalnya, mereka mungkin mempunyai Naib Presiden Bahagian Pemasaran dalam syarikat induk (pengurus atasan), beberapa orang Pengurus Wilayah bagi Asia, Amerika, dan Eropah (pengurus pertengahan) dan sejumlah pengurus pemasaran bagi negara di mana subsidiari syarikat berada (pengurus lini).
Pengurus sistem maklumat
Dalam suasana persekitaran perniagaan hari ini yang semakin mencabar, kebanyakan organisasi amat bergantung kepada maklumat yang lengkap dan terkini berkaitan kebanyakan perkara untuk pertimbangan dalam proses pembuatan keputusan. Oleh itu semua organisasi besar mewujudkan fungsian sistem maklumat yang diterajui oleh pengurus-pengurus dalam bidang ICT. Pengurus-pengurus sistem maklumat berperanan membentuk dan melaksanakan sistem maklumat bagi mengumpul, menyelaras, dan menyebarkan maklumat kepada semua pihak yang berkepentingan dalam organisasi.
Walaupun fungsian ini suatu bidang yang baru, namun ia sedang mengalami pengembangan yang pesat. Sesetengah syarikat besar mempunyai jawatan Pengurus Besar Sistem Maklumat yang bertanggungjawab memantau keberkesanan dan kecekapan perlaksanaan sistem yang dibentuk. Pengurus pertengahan sistem maklumat biasanya membantu membentuk sistem maklumat pada peringkat jabatan. Juru analisis sistem dapat dianggap berperanan sebagai pengurus lini yang bertugas memantau perlaksanaan sistem pada peringkat jabatan.
Pengurus kewangan
Hampir semua organisasi mempunyai pengurus kewangan yang bertanggungjawab merancang dan memantau fungsian perakaunan dan perolehan sumber kewangan. Jawatan-jawatan yang terlibat termasuklah Pengarah Bahagian Kewangan, Pengurus Besar Bahagian Kewangan (pengurusan atasan), Pengurus Kewangan, Pengurus Perakaunan (pengurusan pertengahan), Penolong Pengurus Perakaunan, Penolong Pengurus Kewangan dan Penyelia Kewangan (pengurusan lini / barisan hadapan).
Antara bidang tugas mereka adalah memikirkan bagaimana mendapatkan sumber modal bagi pihak syarikat. Adakah dengan membuat pinjaman daripada institusi kewangan, ataupun menjual saham syarikat kepada orang awam dan pihak institusi, ataupun gabungan kedua-duanya. Selain daripada itu, mereka juga perlu merekodkan segala transaksi yang berlaku bagi memudahkan kerja-kerja pemantauan dan penyelarasan berkaitan kewangan.
Lain-lain jawatan pengurus
Sesetengah firma mempunyai jawatan pengurus bagi menjalankan fungsian-fungsian tertentu. Misalnya, Pengurus Perhubungan Awam, Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan Produk dan Pengurus Keselamatan dan Kesihatan. Kepelbagaiannya adalah berdasarkan keperluan setiap organisasi yang berbeza. Tidak ada suatu pendekatan yang piawai yang mesti diikuti.
Pengenalan Konsep Pengurusan Kewangan
Pada zaman dahulu kala, kita dapat menukarkan batu-batu yang cantik dan berseni seperti nilam dan zamrud dengan barang-barang yang diperlukan. Selepas itu, muncul pula zaman di mana manusia menggunakan cengkerang-cengkerang siput sebagai medium pertukaran. Akhirnya, zaman yang lebih maju melahirkan mata wang yang diterima umum dalam bentuk logam seperti wang syiling dan juga wang kertas sebagaimana yang ada pada hari ini. Melangkah setapak lagi ke hadapan, manusia mula menggunakan kad-kad pintar sebagai pengganti kepada wang yang bersifat fizikal.
Evolusi ini juga melahirkan beberapa cabang ilmu sains sosial yang sangat berguna dalam kehidupan manusia sehingga ke hari ini seperti ilmu perakaunan, ekonomi, kewangan dan matematik.
Apa Itu Kewangan
Pada zaman sekarang, setiap organisasi sama ada pihak kerajaan mahupun firma swasta memerlukan wang untuk beroperasi. Ini termasuklah organisasi yang tidak bermatlamatkan keuntungan (non-profit organization) yang menjalankan aktiviti kebajikan. Dalam erti kata lain, wang digunakan dalam setiap aktiviti harian yang kita lakukan.
Semua manusia yang normal memerlukan wang bagi meneruskan kehidupan mereka dengan lebih selesa. Kerana itu kita dapat lihat di sekeliling kita ada sesetengah pihak yang terperangkap dengan hutang kad kredit dan hutang-hutang lain yang bertimbun. Tidak kurang pula yang terpaksa diisytiharkan muflis akibat masalah kewangan. Begitu juga dengan firma-firma perniagaan yang terpaksa gulung tikar akibat masalah kewangan yang teruk. Oleh kerana itu ilmu kewangan ini harus dipelajari dan difahami oleh setiap individu tidak kira sama ada mereka adalah seorang pegawai, petani, suri rumah mahupun para penganggur.
Kewangan sebenarnya adalah suatu seni dan sains mengurus wang. Mengurus kewangan pula melibatkan penggunaan pelbagai teori ekonomi dan maklumat-maklumat perakaunan bagi mencapai matlamat firma atau individu. Umpamanya, apabila firma ingin meningkatkan untung bersih, maka para pengurus perlulah berusaha meminimumkan kos dan memaksimumkan hasil. Ini dicapai menerusi integrasi dan usaha secara kolektif daripada kesemua jabatan dan bahagian yang ada dalam sesebuah organisasi.
Daripada kenyataan tersebut, suatu lagi rumusan dapat diberikan iaitu, mengurus kewangan bukan hanya melibatkan kakitangan Jabatan Kewangan dan Akaun sahaja, malahan ianya memerlukan kerjasama kesemua bahagian dalam organisasi. Secara umum, bidang kewangan mempunyai tiga cabang disiplin yang besar dan ianya menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada para graduan dan masyarakat. Bidang-bidang yang dimaksudkan ialah pelaburan, pengurusan kewangan korporat dan juga pengurusan risiko dan insurans.
Pelaburan
Bidang pelaburan adalah cabang disiplin kewangan yang popular di Malaysia. Banyak pihak yang terlibat dalam aktiviti pelaburan seperti para pelabur di Bursa Saham Kuala Lumpur, penganalisis pasaran saham, kakitangan bank yang menguruskan hal-hal berkaitan pinjaman pembelian saham, pengurus-pengurus dana saham amanah dan sebagainya.
Para graduan daripada pelbagai bidang terutamanya bidang kewangan sering diambil bekerja dengan syarikat-syarikat broker saham, syarikat pengurusan saham amanah dan bank-bank saudagar yang bertanggungjawab menguruskan hal-hal berkaitan pelaburan. Mereka yang memilih bekerja di syarikat insurans juga terlibat dalam tugas-tugas melabur premium insurans yang diterima ke dalam portfolio-portfolio pelaburan yang menguntungkan.
Golongan yang berminat menjadi perunding kewangan juga, pada ketika ini memerlukan pengetahuan luas dalam bidang pelaburan. Ini jelas menerusi silibus yang diperkenalkan dalam peperiksaan CFP atau Certified Financial Planners.
Pengurusan Kewangan Korporat
Bidang ini melibatkan penyertaan kakitangan organisasi secara menyeluruh dan paling banyak menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan di dalam bidang kewangan. Hal ini berlaku disebabkan keperluan kepada pengurusan kewangan korporat dalam setiap organisasi. Antara tugas yang dilakukan dalam bidang ini ialah pembuatan keputusan berhubung;
•Keputusan pelaburan syarikat.
•Strategi syarikat supaya memperoleh dana bagi memenuhi keperluan pengembangan perniagaan.
• Keputusan penerbitan saham baru di pasaran dan sekuriti-sekuriti hutang yang lain.
• Keputusan pembiayaan hutang jangka panjang dan jangka pendek.
Selain keputusan-keputusan strategik di atas, para pengurus syarikat juga akan terlibat dalam pembuatan keputusan rutin syarikat seperti:
• Pembayaran dan penerimaan tunai harian.
• Pemberian kredit kepada pelanggan.
• Merancang perbelanjaan pengiklanan dan promosi.
• Penentuan ganjaran kepada pengurus dan kakitangan.
Pengurusan Risiko dan Insurans
Satu lagi cabang ilmu kewangan yang semakin popular ialah pengurusan risiko dan insurans. Pengurusan risiko dan insurans melibatkan proses mengukur tahap risiko serta pendedahan risiko yang akan dialami oleh sesebuah perniagaan dan juga kakitangan mereka. Sebelum ini, tugas tersebut lebih cenderung diserahkan kepada syarikat insurans supaya dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, pada masa kini terdapat syarikat-syarikat yang cuba mengurus risiko secara sendiri. Antara tugas yang perlu dilakukan oleh kakitangan di bahagian ini ialah menyediakan pelan perlindungan risiko yang bersesuaian dengan tahap risiko yang ditanggung serta menentukan langkah yang terbaik bagi melindungi risiko tersebut. Umpamanya, sekiranya sesebuah kilang yang mempunyai 100 orang pekerja mempunyai tanggungan risiko kecederaan para pekerja bernilai RM15 juta, maka apa yang boleh dilakukan adalah dengan mewujudkan dana pelaburan khas bagi tujuan melindungi kakitangan mereka. Selain itu, syarikat juga boleh membeli polisi insurans dan menggalakkan caruman yang lebih tinggi ke dalam akaun PERKESO.
Bentuk Organisasi Perniagaan
Terdapat tiga bentuk organisasi perniagaan yang paling utama di negara ini meliputi; perniagaan tunggal, perkongsian dan syarikat korporat. Hampir 80 peratus badan perniagaan di negara ini adalah berorientasikan milikan tunggal dan perkongsian. Namun begitu, berdasarkan jumlah jualan dalam Ringgit Malaysia (RM) hampir 90% didominasi oleh perniagaan berbentuk syarikat korporat.
Perniagaan Tunggal
Bagi perniagaan tunggal, ianya dimiliki dan diurus oleh seorang individu sahaja. Pemiliknya memiliki semua aset perniagaan dan bertanggungjawab ke atas semua liabiliti perniagaan. Selain itu, semua keuntungan daripada perniagaan akan dinikmati oleh pemilik dan semua kerugian ditanggung oleh pemilik. Kelebihan perniagaan tunggal boleh dijelaskan seperti berikut:
•Kos menubuhkan perniagaan ini adalah rendah kerana dokumentasi penubuhannya adalah sedikit.
•Pemilik perniagaan hanya dikenakan cukai pendapatan individu sahaja.
•Rahsia perniagaan tidak diketahui oleh pihak umum. Ini kerana perniagaan tunggal tidak perlu mengumumkan laporan kewangan tahunan kepada orang awam.
Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa kelemahan perniagaan tunggal seperti;
•Pemilik perniagaan tunggal mempunyai liabiliti tidak terhad. Ini bermakna, sekiranya perniagaan mengalami kerugian, harta peribadi pemilik perlu digunakan bagi membayar segala hutang perniagaan.
•Jangka hayat perniagaan agak singkat kerana apabila pemilik perniagaan itu mati atau tidak lagi berminat menjalankan perniagaan, perniagaan tersebut terpaksa dibubarkan.
•Perniagaan tunggal biasanya mempunyai keupayaan menjana modal secara terhad.
Perniagaan Perkongsian
Perniagaan berbentuk perkongsian wujud apabila terdapat dua atau lebih individu yang bersetuju menjalankan perniagaan bersama-sama. Perniagaan perkongsian yang biasa wujud di Malaysia terdiri daripada Perkongsian Terhad dan Perkongsian Am.
Di bawah Akta Syarikat 1965, Seksyen 14 (3)(b), bagi mewujudkan sesebuah perniagaan perkongsian, jumlah ahli mestilah tidak melebihi dua puluh orang. Namun begitu, syarat jumlah ahli tidak melebihi 20 orang ini boleh diberikan pengecualian kepada perniagaan-perniagaan berteraskan profesional seperti perkhidmatan kedoktoran, perakaunan dan guaman. Dalam perniagaan perkongsian juga dibenarkan seorang atau beberapa orang rakan kongsi mempunyai status perkongsian terhad. Walau bagaimanapun sekurang-kurangnya seorang rakan kongsi dalam perniagaan tersebut mestilah mempunyai status perkongsian am.
Daripada aspek kebaikan perniagaan perkongsian, ianya boleh dijelaskan seperti berikut:
•Kos penubuhan perniagaan perkongsian adalah rendah seperti mana kos penubuhan perniagaan tunggal.
•Cukai hanya dikenakan ke atas pendapatan para pekongsi dan bukannya ke atas pendapatan perniagaan.
•Rahsia perniagaan perkongsian juga terpelihara daripada diketahui umum disebabkan firma perkongsian tidak perlu menyediakan laporan kewangan awam.
Walau bagaimanapun, masih juga terdapat beberapa kelemahan perniagaan perkongsian seperti;
•Rakan kongsi yang berstatus rakan kongsi am, mempunyai liabiliti tidak terhad. Ini bermakna, sekiranya perniagaan mengalami kerugian, harta peribadi rakan kongsi itu terpaksa digunakan bagi menyelesaikan hutang perniagaan.
•Sekiranya salah seorang daripada rakan kongsi am menarik diri atau meninggal dunia, perkongsian akan dibubarkan.
•Pindah-milik dalam perniagaan perkongsian sukar dilakukan kerana ia memerlukan persetujuan kesemua rakan kongsi terlebih dahulu.
Syarikat Korporat
Jika dibandingkan dengan perniagaan tunggal dan perniagaan perkongsian, sesebuah syarikat korporat mempunyai kelainan yang tersendiri. Syarikat adalah sebuah entiti yang wujud dan diperbadankan secara berasingan daripada pemiliknya (pemegang saham). Ini bermaksud, sekiranya syarikat mengalami kebankrapan, pihak penghutang hanya boleh menuntut bayaran setakat jumlah sumbangan modal kesemua pemegang saham sahaja. Oleh kerana terdapat pengasingan antara pemilik dan syarikat, ia sebenarnya memberi kelebihan kepada pemilik syarikat atau pemegang saham.
Penubuhan syarikat juga adalah lebih sukar. Pemilik perlu terlebih dahulu mendaftarkan nama syarikat di pejabat Pendaftar Syarikat atau Registrar of Companies. Selain itu, ia perlu menyediakan segala kertas kerja dan dokumen pendaftaran seperti memorandum dan artikel persatuan yang melibatkan kos guaman yang besar.
Antara ciri syarikat korporat ialah ia boleh memiliki aset, boleh menanggung liabiliti dan menjual sekuriti kewangan bagi mendapatkan modal. Antara kelebihan perniagaan berbentuk ini ialah;
•Pemegang saham syarikat (pemilik) mempunyai liabiliti terhad sekadar jumlah dana yang dilaburnya sahaja.
•Kesinambungan hayat sesebuah syarikat korporat itu adalah berterusan dan tidak akan tergugat sekiranya salah seorang daripada pemilik menarik diri atau meninggal dunia.
•Keupayaan mendapatkan pinjaman luar lebih yang lebih baik kerana institusi kewangan lebih sanggup menyediakan pinjaman yang besar kepada syarikat jika dibandingkan dengan perniagaan tunggal dan perkongsian.
Di sebalik kekuatan syarikat korporat di atas, terselit juga beberapa bentuk kelemahan seperti;
•Proses penubuhan sesebuah syarikat korporat adalah mahal dan kompleks jika dibandingkan dengan perniagaan tunggal dan perkongsian.
•Cukai dikenakan sebanyak dua kali oleh kerajaan. Ini bermaksud, keuntungan syarikat akan dikenakan cukai korporat manakala pemilik syarikat dikenakan cukai atas dividen yang diterima di penghujung setiap tahun.
•Rahsia perniagaan syarikat sukar dilindungi daripada diketahui umum. Ini kerana, syarikat disyaratkan supaya menyediakan dan menyiarkan laporan kewangan tahunan mereka kepada masyarakat awam.
Matlamat Utama Perniagaan
Dalam konteks kewangan, objektif utama setiap kakitangan pengurusan syarikat adalah bagi meningkatkan kekayaan pemegang saham syarikat ataupun kekayaan pemilik syarikat.
Objektif ini tercapai apabila harga saham syarikat dapat dimaksimumkan seberapa banyak yang mungkin. Sebagai contoh, pada akhir Januari 2002, harga saham Syarikat Telekom ialah RM8.50 sesaham dan pada akhir Februari 2002, harganya ialah RM8.75 sesaham manakala pada akhir Mac 2002, harganya ialah RM9.00 sesaham. Ini menunjukkan, terdapat peningkatan secara konsisten dalam harga saham Telekom. Oleh itu, bolehlah dikatakan pengurusan Syarikat Telekom berjaya memaksimumkan harga saham Telekom dan seterusnya meningkatkan kekayaan pemegang saham.
Persoalannya sekarang apakah kaitan antara harga saham dan kekayaan pemegang saham. Sekiranya seseorang membeli satu unit saham Telekom pada bulan Januari, mengikut contoh di atas kosnya ialah RM8.50 sesaham. Selepas pembelian dilakukan, secara automatik pembeli saham tersebut menjadi salah seorang daripada ribuan pemilik saham Telekom. Sekiranya beliau memegang saham tersebut selama tiga bulan mulai Januari dan kemudiannya menjual saham itu pada bulan Mac, beliau akan mendapat sedikit keuntungan daripada pegangan saham selama tiga bulan. Ini kerana harga saham Telekom semasa beliau melepaskan pegangannya melonjak kepada RM9.00 sesaham. Dengan keuntungan sebanyak RM0.50 sesaham, ini bermakna pihak pengurusan syarikat Telekom berjaya memaksimumkan kekayaan pemegang saham melalui peningkatan harga saham.
Aspek yang paling penting dalam memaksimumkan kekayaan pemegang saham atau pemilik syarikat ialah pihak pengurusan mestilah terlebih dahulu memastikan berlakunya peningkatan dalam harga saham syarikat. Persoalannya sekarang, apakah faktor yang menyebabkan harga saham meningkat? Hasil penyelidikan dalam bidang kewangan sebelum ini menjelaskan, harga saham akan meningkat sekiranya keuntungan syarikat meningkat atau dijangkakan akan meningkat.
Dengan menggunakan model pertumbuhan Gordon atau Gordon Growth Model, kita boleh mengaitkan harga saham dengan keuntungan syarikat seperti berikut;
Pada amnya, apabila syarikat mengalami keuntungan dalam satu-satu tahun, syarikat tersebut dijangkakan akan membayar dividen kepada pelabur atau pemilik syarikat. Semakin tinggi keuntungan syarikat, semakin tinggi pembayaran dividen dapat dilakukan. Dividen (Do) adalah pemboleh ubah yang terletak di bahagian atas rumus tersebut. Oleh itu, sekiranya ada peningkatan ke atas Do, harga saham (Po) akan meningkat. Selain itu, penggunaan rumus ini juga berguna bagi menerangkan kaitan antara harga saham syarikat dengan keuntungan syarikat sekarang. Kita juga boleh menggunakan formula ini bagi memahami mengapa pelabur seharusnya melabur dalam syarikat yang mempunyai keuntungan.
Faktor Yang Mempengaruhi Keuntungan Syarikat
Walaupun pihak pengurusan sudah berusaha sedaya upaya mengurus operasi syarikat sebaik mungkin bagi memastikan kekayaan pemegang saham di tahap yang maksimum, namun terdapat faktor-faktor luaran yang secara tidak langsung memerlukan perhatian pihak pengurusan dan boleh mengurangkan keberkesanan usaha memaksimumkan kekayaan pemegang saham. Antaranya ialah tanggungjawab sosial, halangan undang-undang dan kadar bunga.
Tanggungjawab Sosial
Bagi menerangkan bagaimana faktor ini mempengaruhi keuntungan syarikat, kita akan menggunakan contoh sebuah syarikat yang menghasilkan bahan kimia pencuci. Biasanya dalam proses penghasilan bahan kimia pencuci, akan terhasil juga bahan-bahan kimia buangan ataupun ‘by product’. Bahan-bahan kimia buangan ini tidak lagi berfaedah bagi proses seterusnya. Oleh itu, syarikat juga bertanggungjawab mengurus pelupusan bahan-bahan kimia buangan ini sebaik mungkin supaya tidak mencemarkan alam sekitar atau membahayakan orang ramai.
Langkah terbaik bagi melupuskan bahan kimia ini ialah dengan membina loji pelupusan. Biasanya loji ini bernilai berjuta-juta ringgit dan pembinaannya akan meningkatkan kos pengurusan dan kos pengeluaran syarikat. Apabila kos meningkat, maka ianya mengurangkan angka keuntungan syarikat. Apabila keuntungan menurun, keupayaan syarikat membayar dividen juga berkurangan. Berdasarkan model pertumbuhan Gordon, apabila dividen menurun, harga saham syarikat juga menurun dan menyukarkan syarikat meningkatkan kekayaan pemegang saham atau pemilik syarikat.
Halangan Undang-Undang
Ada kalanya undang-undang yang diadakan oleh kerajaan boleh menjejaskan keuntungan sesebuah syarikat dan kemudiannya memberi kesan ke atas harga saham dan proses memaksimumkan kekayaan pemegang saham. Contohnya, undang-undang pengambilan buruh asing di sektor perkilangan.
Pada amnya, kilang-kilang mengupah buruh asing supaya bekerja di kilang mereka kerana gaji yang dibayar lebih murah berbanding gaji buruh tempatan. Oleh sebab itu, pengambilan buruh asing dapat menjimatkan kos pengilang dan seterusnya meningkatkan keuntungan mereka.
Namun begitu, sekiranya kerajaan menghalang pengambilan buruh asing, pengilang tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengupah buruh tempatan. Sudah pasti dengan mengupah buruh tempatan ianya akan meningkatkan kos dan seterusnya menjejaskan keuntungan. Berdasarkan model pertumbuhan Gordon juga, selepas keuntungan terjejas, pemberian dividen akan mengecil dan akhirnya harga saham syarikat terjejas. Apabila harga saham terjejas, proses memaksimumkan kekayaan pemegang saham terbantut.
Kadar Bunga
Kadar bunga yang dikenakan oleh institusi kewangan ke atas pinjaman juga memberi kesan ke atas jumlah keuntungan syarikat dan proses memaksimumkan kekayaan pemegang saham. Sebagai contoh, syarikat sentiasa cuba mengembangkan operasi dan perniagaan dari semasa ke semasa.
Setiap kali syarikat ingin menjalankan aktiviti tersebut, ia akan menggunakan modal yang terhasil daripada keuntungan tertahan (retained earnings). Namun begitu keuntungan tertahan ini selalunya tidak mencukupi dan pengurusan syarikat terpaksa meminjam daripada pihak bank supaya dijadikan modal tambahan.
Kadar bunga yang dikenakan ke atas pinjaman tersebut sentiasa berubah-ubah dari semasa ke semasa. Ada kalanya tinggi dan ada kalanya rendah. Kebiasaannya sewaktu ekonomi mengalami kemelesetan, kadar bunga diturunkan supaya pinjaman mudah dilakukan bagi membeli barangan. Peningkatan pembelian barang menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan seterusnya membawa ekonomi negara keluar daripada kemelesetan.
Sementara itu, sewaktu ekonomi mengalami pertumbuhan yang terlalu pesat dan kadar inflasi juga tinggi, kadar bunga atas pinjaman adalah tinggi. Kadar bunga yang tinggi menyukarkan pengguna membuat pinjaman bagi pembelian barang. Penurunan pembelian barang menurunkan pertumbuhan ekonomi dan seterusnya membawa ekonomi keluar daripada masalah inflasi.
Sekiranya syarikat melakukan pinjaman sewaktu kadar bunga tinggi, pembayaran faedah ke atas pinjaman juga menjadi tinggi. Apabila pembayaran kadar faedah meningkat, kos pengurusan dan operasi syarikat akan meningkat dan ini mengurangkan keuntungan syarikat. Keupayaan membayar dividen juga menurun dan mengakibatkan penurunan harga saham syarikat. Ini menyukarkan proses memaksimumkan kekayaan pemegang saham.
Tugas Kakitangan dan Pengurus Kewangan
Tanggungjawab kakitangan dan pengurus kewangan dalam sesebuah organisasi adalah sangat penting dan strategik. Ini disebabkan pengukuran pencapaian dan kekukuhan syarikat biasanya diukur daripada sudut kewangan.
Darjah kompleksiti pengurusan kewangan syarikat pula lebih bergantung kepada saiz syarikat atau firma tersebut. Umpamanya, bagi sebuah kedai runcit, pengurusan kewangannya tidaklah begitu rumit untuk dilakukan. Hanya pemilik kedai berkenaan sahaja yang diperlukan bagi mengurus segala rekod-rekod kewangan perniagaan.
Sebaliknya bagi sebuah syarikat korporat yang besar, ia memerlukan struktur jabatan kewangan yang kompleks. Syarikat-syarikat korporat biasanya mempunyai sebuah jabatan kewangan yang diketuai oleh seorang Pengurus Besar Kewangan dengan dibantu oleh Penolong Pengurus Besar Kewangan, akauntan, ketua juruaudit, pegawai pelaburan, pegawai penganalisis kewangan, pegawai sistem maklumat dan sebagainya.
Tugas yang dijalankan oleh para pengurus kewangan dan kakitangan di bawahnya boleh dibahagikan kepada lima bahagian seperti di bawah;
•Ramalan dan Perancangan Kewangan
Tugas membuat ramalan dan perancangan kewangan boleh dikaitkan dengan proses menyediakan belanjawan syarikat. Dalam aspek ini, para pengurus kewangan mendapatkan maklumat daripada jabatan-jabatan lain seperti Jabatan Pemasaran dan Jabatan Pengeluaran supaya membuat ramalan jualan dan hasil pada masa hadapan.
•Keputusan Pelaburan dan Pembiayaan
Seterusnya, pengurus kewangan dan kakitangannya juga perlu membuat keputusan-keputusan memilih alternatif pelaburan yang terbaik untuk syarikat ceburi. Selain itu, keputusan pembiayaan juga perlu dilakukan dengan cara menentukan bentuk-bentuk sumber pembiayaan jangka panjang dan jangka pendek yang boleh digunakan bagi meningkatkan jumlah modal syarikat. Umpamanya menerusi kertas komersial, debentur, terbitan bon, saham dan saham keutamaan.
•Koordinasi dan Kawalan
Tugas kakitangan dan pengurus kewangan juga adalah berinteraksi dengan kakitangan di jabatan lain bagi memastikan perjalanan operasi syarikat adalah cekap. Kawalan ke atas aliran tunai masuk dan keluar, polisi kredit syarikat, ketersediaan sumber dana dan seumpamanya perlu dilakukan oleh mereka. Ini memastikan segala perancangan atau belanjawan yang dibuat dapat dipenuhi oleh semua jabatan.
•Berurusan Dengan Pasaran Wang dan Modal
Oleh kerana tugas mengurus kewangan tidak dapat dipisahkan dengan pasaran wang dan modal, maka menjadi tanggungjawab para pengurus kewangan supaya berurusan dengan pihak-pihak luar yang terlibat dengan tugas-tugas menerbitkan saham, menerbitkan bon, melabur lebihan wang dan sebagainya dalam pasaran wang dan modal. Ini termasuklah syarikat broker saham dan bank-bank saudagar.
• Mengurus Risiko
Tugas terakhir yang biasa dilakukan oleh pengurus kewangan ialah mengurus risiko seperti ketidakpastian dalam harga saham dan komoditi, pergerakan kadar faedah, perubahan kadar pertukaran asing, risiko politik dan sebagainya. Kesemua risiko tersebut boleh dilindungi menerusi pembelian polisi insurans dan juga program lindung nilai (hedging) risiko perniagaan. Program lindung nilai yang boleh dilaksanakan adalah menerusi penyertaan dalam kontrak-kontrak urus niaga pasaran derivatif.
Hubungan Agensi dan Masalah Agensi
Hubungan agensi wujud apabila seorang prinsipal seperti pemilik (pemegang saham) sesebuah syarikat melantik dan memberi kuasa kepada seseorang agen (individu) sebagai wakilnya supaya membuat keputusan atau mengurus syarikat tersebut bagi pihaknya. Sebagai contoh, Datuk Kamal Sani adalah pemegang saham utama Syarikat Q&C Berhad. Datuk Kamal mengambil keputusan melantik Encik Alinor, Encik Ramaswaty dan Encik Lee Soon sebagai pengurus syarikat dan memberi mereka hak membuat keputusan-keputusan dalam syarikat. Dengan pelantikan ketiga-tiga mereka ini dan penyerahan kuasa mengurus dan membuat keputusan, hubungan agensi sudah terhasil. Sebaliknya, jika Datuk Kamal hanya melantik ketiga-tiga mereka ini sebagai pencuci pejabat, maka hubungan agensi tidak wujud di sini. Ini kerana kuasa yang diberikan kepada mereka tidak mencukupi bagi mengurus syarikat tersebut bagi pihak Datuk Kamal sebagai pemilik syarikat.
Masalah Agensi
Sebagai seorang agen yang dilantik bagi mewakili prinsipal, kesemua pengurus syarikat haruslah bertindak sejajar dengan matlamat dan kehendak prinsipal. Walau bagaimanapun, masalah agensi akan timbul sekiranya ketiga-tiga orang pengurus yang dilantik tadi membuat keputusan perniagaan dan berperilaku secara tidak konsisten atau menyimpang daripada matlamat prinsipal. Umpamanya, mereka tidak berusaha memaksimumkan kekayaan Datuk Kamal sebagai pemegang saham atau pemilik syarikat.
Contoh keputusan-keputusan perniagaan atau perilaku yang tidak konsisten dengan proses memaksimumkan kekayaan pemegang saham adalah;
•Membuat keputusan membeli kapal terbang peribadi bagi keperluan para pengurus yang berharga berjuta-juta ringgit dan pembelian ini menambahkan beban hutang syarikat. Semakin banyak syarikat berhutang, semakin banyak kadar faedah yang perlu dibayar lalu mengurangkan keuntungan syarikat dan menjejaskan peluang memaksimumkan kekayaan pemegang saham.
•Pembayaran bonus yang terlalu tinggi kepada pengurus syarikat sehingga mengurangkan jumlah keuntungan syarikat. Kesannya, keupayaan membayar dividen kepada pemegang saham semakin rendah.
Langkah Mengurangkan Masalah Agensi
Masalah agensi boleh dikurangkan menerusi langkah-langkah seperti berikut:
•Menawarkan saham syarikat kepada para pengurus
Penawaran saham kepada kakitangan (ESOS) biasa berlaku dalam syarikat-syarikat besar seperti Maybank dan Telekom. Dengan penawaran saham ini, secara langsung, para pengurus syarikat akan turut menjadi pemilik syarikat. Seperti biasa sebagai pemilik syarikat mereka mahukan kekayaan mereka dimaksimumkan. Cara terbaik adalah dengan membuat keputusan perniagaan yang akan meningkatkan keuntungan syarikat dan bukannya membuat keputusan atau perilaku yang menjejaskan keuntungan.
Justeru itu, para pengurus akan bekerja dengan lebih bertanggungjawab dan menumpukan kepada usaha-usaha mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan.
•Pembaikan manfaat pekerjaan
Kadangkala terdapat juga masalah agensi yang wujud disebabkan kurangnya manfaat pekerjaan yang disediakan oleh pemilik syarikat kepada para pengurus dan kakitangan syarikat. Bagi mengatasinya, para pemilik haruslah bersedia meningkatkan manfaat pekerjaan kepada golongan tersebut supaya mereka dapat bekerja dengan lebih gigih bagi mencapai apa yang diharapkan oleh pemilik syarikat. Antara yang boleh dilakukan termasuklah meningkatkan gaji, menambah elaun-elaun perkhidmatan, memberi bonus tahunan dan kecemerlangan, menyediakan kemudahan perumahan dan kenderaan yang lebih baik, mewujudkan skim manfaat persaraan yang lebih menarik dan menguntungkan kakitangan serta memberikan kemudahan rekreasi dan cuti yang lebih baik.
•Ancaman pengambilalihan berbentuk hostile takeover
Sekiranya perlu, para pemilik syarikat boleh juga memberi kesedaran kepada para pengurus berkenaan ancaman pengambilalihan syarikat berbentuk hostile takeover. Sekiranya keputusan atau perilaku mereka menjejaskan keuntungan, lalu dicerminkan menerusi kejatuhan harga saham syarikat di pasaran saham, maka ini membuka peluang kepada syarikat lain mengambil alih syarikat mereka dengan cara pembelian saham di pasaran terbuka. Contohnya jika Syarikat Merah Muda Berhad mampu memiliki 51% daripada saham Syarikat Q&C Berhad hasil daripada pembelian saham-saham tersebut di Bursa Saham Kuala Lumpur. Ini bermakna, pemilikan syarikat ini sudah bertukar tangan secara ‘hostile takeover’. Selalunya hostile takeover akan menyebabkan pengurusan Syarikat Q&C Berhad dirombak dan pastinya Syarikat Merah Muda Berhad mahukan pengurus mereka sendiri menguruskan Syarikat Q&C Berhad. Para pengurus sedia ada iaitu Encik Alinor, Encik Ramaswaty dan Encik Lee Soon akan dilucutkan daripada jawatan mereka.
Rumusan
Mengurus kewangan adalah suatu bidang disiplin ilmu pengurusan perniagaan yang sangat penting difahami oleh semua pihak. Tidak kira sama ada seseorang itu adalah suri rumah, pelajar ataupun berkhidmat dalam jabatan kewangan mahupun di bahagian-bahagian lain dalam sesebuah syarikat. Secara khusus bidang kewangan boleh dipecahkan kepada tiga sub-bidang yang lain.
Matlamat utama kewujudan firma perniagaan sama ada berbentuk perniagaan tunggal, perkongsian atau syarikat korporat adalah bagi memaksimumkan kekayaan pemegang saham atau pemilik syarikat. Ianya dapat dicapai dengan usaha keras kakitangan syarikat memaksimumkan harga saham. Ini dapat dicerminkan menerusi jumlah dividen yang mampu dibayar dan kadar pertumbuhan syarikat sebagaimana yang ditunjukkan menerusi model pertumbuhan Gordon.
Namun begitu, hubungan agensi di antara para pengurus dengan pemilik syarikat kadangkala tidak begitu baik dan ianya disebut sebagai masalah agensi. Ini dapat diselesaikan menerusi beberapa kaedah seperti pemberian saham kepada kakitangan, pembaikan terhadap manfaat pekerjaan dan juga ancaman pengambilalihan hostile oleh syarikat lain apabila harga saham syarikat jatuh di pasaran saham.
ESTIM mempunyai pengaruh besar ke atas prestasi. Kajian psikologi mendapati individu yang berjaya mempunyai estim tinggi manakala mereka yang gagal mempunyai estim rendah. Estim ialah perasaan berkenaan nilai diri sendiri. Daripada satu segi, estim menjawab pertanyaan, "Adakah anda seronok dengan keadaan diri anda sekarang?" Maka tidak hairanlah apabila individu yang berjaya berasa seronok dengan keadaan diri mereka.
Estim adalah sebahagian daripada unsur dalam konsep diri, di mana estim adalah bahagian yang menilai diri sendiri. Estim mempunyai kaitan yang amat kuat dengan keyakinan diri dan kejayaan. Dilihat daripada satu segi, estim ialah sejauh mana seseorang menyukai diri sendiri.
Bagaimana Estim Mempengaruhi Tingkah Laku
Estim mempengaruhi tingkahlah laku seseorang itu dengan pelbagai cara. Antaranya adalah seperti ketekalan diri, pertahanan diri, peningkatan diri dan motivasi estim.
a. Ketekalan diri
Sesetengah individu, apabila menerima pujian pada keupayaan dan hasil kerja mereka seperti tidak suka pada pujian itu. Katakanlah, dia pandai menendang bola dan dipuji, tetapi nampaknya dia tidak seronok dengan pujian yang diberikan. Begitu juga apabila dia membuat kuih dan dipuji kuihnya yang sedap, dia menampakkan yang dia tidak suka dipuji. Sebaliknya, ada pula orang yang suka dipuji-puji, umpamanya apabila diberitahu dia berbakat, istimewa dan pandai, dia seronok menerima pujian itu.
Pakar psikologi mendapati manusia cuba bersifat konsisten atau tekal, iaitu cuba supaya tidak berubah-ubah. Ini bererti, orang yang memiliki estim tinggi cuba menjaga supaya estim mereka kekal tinggi. Ini juga bererti orang yang memiliki estim rendah cuba menjaga supaya estim mereka kekal rendah. Perkara kedua ini seperti tidak masuk akal, tetapi kajian oleh pakar psikologi mendapati hal ini memang benar.
Dalam suatu uji kaji, sekumpulan orang yang memiliki estim tinggi dan estim rendah diberi dua jenis maklum balas. Mula-mula mereka diberi pujian oleh seorang penilai. Kemudian seorang penilai lain memberi maklum balas yang neutral, iaitu memberitahu apa yang benar sahaja. Kemudian mereka diminta menilai kedua-dua penilai itu. Didapati, orang yang memiliki estim tinggi suka pada penilai yang memberi pujian. Sebaliknya, orang yang memiliki estim rendah suka pada penilai yang neutral kerana penilaian mereka selaras dengan apa yang mereka nilaikan. Nampaknya, orang yang memiliki estim tinggi suka dipuji kerana pujian meningkatkan estim mereka.
Orang yang memiliki estim rendah suka penilaian yang mengesahkan keadaan diri mereka yang sebenar. Ini bermakna mereka mahu supaya estim mereka kekal seperti keadaannya sekarang. Walaupun penilaian itu negatif, tetapi penilaian itu benar. Mereka suka pada penilaian yang menerangkan keadaan mereka yang sebenarnya, iaitu negatif. Mereka tidak suka penilaian yang positif kerana penilaian itu tidak benar. Namun, pada waktu yang sama pula, selepas menerima penilaian negatif mereka berasa kecewa dan pilu. Mereka suka pada penilaian yang neutral tetapi kesannya mereka kecewa dan pilu.
Kajian juga menunjukkan apabila orang yang memiliki estim rendah berjaya melakukan sesuatu tugas, mereka berasa seronok, tetapi mereka tidak yakin mereka memiliki kebolehan untuk berjaya. Apabila mereka gagal, mereka kecewa dan estim mereka turun lebih rendah. Mereka seperti mengaku, bahawa mereka memang bodoh dan tidak cuba menolak kegagalan itu. Mereka menerimanya kerana hal itu selaras dengan gambaran negatif yang ada pada diri mereka.
b. Pertahanan diri
Sesetengah individu berani mengambil risiko yang besar, manakala sesetengah individu pula tidak berani langsung mengambil risiko. Jika mereka mengambil risiko sekalipun, mereka hanya berani mengambil risiko yang kecil sahaja. Orang yang berani mengambil risiko besar seolah-olah tidak takut berdepan dengan kegagalan. Manakala orang yang mengambil risiko kecil seolah-olah sangat takut pada kegagalan.
Salah satu sifat manusia ialah mempertahankan estimnya apabila ia terancam. Sebagai contoh, apabila seseorang itu berhadapan dengan kegagalan, estimnya terancam. Orang yang memiliki estim tinggi cuba meningkatkan estim mereka di mata orang lain dan di mata mereka sendiri. Sebaliknya orang yang memiliki estim rendah tidak cuba meningkatkan estim mereka kerana tidak mempunyai keyakinan diri bagi melakukan hal itu. Apabila berhadapan dengan ancaman kegagalan, orang yang memiliki estim rendah cenderung mengelakkan risiko.
Dalam satu uji kaji, sekumpulan orang diberitahu mereka akan bermain judi menggunakan wang sebenar, dan mereka boleh memilih risiko kecil ataupun risiko besar. Didapati mereka yang memiliki estim rendah memilih risiko kecil manakala mereka yang memiliki estim tinggi mengambil risiko yang lebih besar. Orang yang memiliki estim rendah tidak mempunyai cara mempertahankan estim mereka apabila ia terancam. Hal ini berlainan dengan orang yang memiliki estim tinggi. Mereka tahu bagaimana hendak menyelamatkan estim mereka apabila ia terancam, oleh itu mereka lebih berani mengambil risiko yang besar.
Dalam satu kajian lain, sekumpulan orang disuruh berlatih bermain permainan video sehingga pandai. Kemudian mereka diminta meletakkan pertaruhan dan bermain lagi. Orang yang memiliki estim tinggi meletakkan pertaruhan yang lebih tinggi dan berjaya mencapai matlamat yang mereka tetapkan. Mereka yang memiliki estim rendah meletakkan pertaruhan dan matlamat yang lebih rendah. Hasilnya mereka yang memiliki estim tinggi menang lebih banyak daripada mereka yang memiliki estim rendah.
Uji kaji itu diteruskan lagi. Kali ini mereka diberitahu mereka boleh tercekik kalau terlalu banyak tekanan. Tujuannya adalah untuk mengancam ego mereka. Uji kaji ini mendapati orang yang memiliki estim tinggi meletakkan pertaruhan yang terlalu besar. Akibatnya, mereka menanggung kerugian yang lebih besar daripada orang yang memiliki estim rendah, yang lebih berhati-hati apabila membuat pertaruhan.
Nampaknya, apabila ego mereka terancam, orang yang memiliki estim tinggi lebih cenderung membuat tindakan yang baik bagi meningkatkan estim mereka. Akibatnya, mereka lupa membuat ramalan yang lebih realistik dan rasional. Sebaliknya, orang yang memiliki estim rendah, apabila ego mereka diancam, mereka lebih berhati-hati dan berwaspada supaya mereka tidak menanggung kerugian besar. Mereka sangat mengutamakan keselamatan dalam menghadapi risiko.
c. Peningkatan diri
Ada masanya apabila individu itu cuba melakukan sesuatu dan gagal, dia dapat menerima kenyataan bahawa dia gagal. Tetapi apabila dia mengatakan perkara itu tidak penting, oleh itu gagal pun tidak apa, namun tersorok di hatinya, dia sebenarnya tahu ia penting, cuma mulutnya sahaja mengatakan ia tidak penting. Ada kalanya pula, apabila seseorang itu gagal, dia memberi alasan yang diada-adakan seperti:
"Saya gagal kerana terlalu mementingkan mutu."
"Saya gagal kerana mahu yang terbaik saja."
"Saya mahu perkara yang terlalu sempurna."
"Cita-cita saya mahukan yang terlalu sempurna."
"Cita-cita saya terlalu tinggi. Sepatutnya saya buat macam orang lain. Lebih kurang pun sudah cukup."
Manusia mahu menjaga estimnya dan apabila dapat dia mahu meningkatkannya supaya lebih tinggi lagi. Gejala itu disebut peningkatan diri. Oleh itu manusia mengingini maklum balas yang positif sahaja kerana hal itu menjaga dan meningkatkan estimnya. Ini bermakna manusia tidak menginginkan maklum balas negatif kerana ia menjatuhkan estimnya.
Individu yang memiliki estim tinggi menginginkan kejayaan kerana kejayaan membuat mereka berasa seronok. Bagi mereka kejayaan adalah bukti kebolehan mereka. Apabila gagal melakukan sesuatu tugas, mereka cenderung melebih-lebihkan ciri-ciri sosial mereka. Sebagai contoh, mereka mungkin mengatakan mereka terlalu mahukan kerja yang sempurna sahaja, sampai langsung gagal. Walaupun mereka sanggup mengakui kegagalan mereka, tetapi untuk menjaga estim, mereka akan melebih-lebihkan kejayaan mereka di tempat lain.
Mereka percaya apa yang mereka pandai lakukan adalah perkara yang mereka anggap penting. Sebaliknya, perkara yang mereka tidak pandai lakukan adalah tidak penting pada mereka. Dengan berbuat begitu, mereka dapat menjaga estim meskipun dalam keadaan mereka gagal.
Motivasi estim
Salah satu sifat semula jadi manusia adalah suka menyangka dirinya lebih hebat daripada yang sebenarnya. Lazimnya sese-orang itu percaya dia lebih baik, lebih pandai, lebih banyak berusaha dan berkorban dan bekerja lebih teruk daripada orang lain dan sebagainya. Sebagai contoh, ahli persatuan selalu mendakwa mereka memberi lebih banyak sumbangan dan pengorbanan daripada apa yang sebenarnya disumbangkan atau-pun dikorbankan. Pengerusi mendakwa dia membuat lebih banyak kerja, manakala setiausaha pun mendakwa perkara yang sama. Pakar psikologi mengatakan hal ini terjadi disebabkan oleh cara manusia merekodkan perkara yang mereka lakukan.
Didapati seseorang itu lebih mengingati perkara yang mereka sendiri lakukan, dan tidak ingat perkara yang tidak dilakukan, iaitu perkara yang dilakukan oleh orang lain. Manusia juga tidak berapa ingat apabila mereka cuma nampak sesuatu perkara itu dilakukan oleh orang lain. Ertinya, jika dia yang melakukannya, dia akan ingat; kalau dia tidak buat, dia tidak ingat. Pendeknya, manusia hanya ingat apa yang dia buat kerana yang ada dalam peti ingatannya adalah catatan sumbangan dan pengorbanannya seorang. Dia tidak mencatatkan sumbangan dan pengorbanan orang lain.
Estim, Bahasa dan Kejayaan
Estim, cara berfikir, gaya bahasa positif dan kejayaan saling kait mengait. Satu faktor adalah faktor bagi yang lain, begitulah seterusnya ia berputar-putar dalam lingkaran yang mencipta kejayaan demi kejayaan. Gaya bahasa memancarkan estim individu. Individu yang berjaya bercakap menggunakan ciri bahasa yang berbeza daripada ciri bahasa yang digunakan oleh individu yang tidak berjaya.
Mengikut kajian, bahasa yang digunakan oleh individu yang berjaya adalah bahasa positif manakala individu yang gagal pula menggunakan bahasa negatif. Kajian psikologi mendapati orang yang berjaya berfikiran positif, manakala mereka yang tidak berjaya berfikiran negatif. Sikap positif mereka terpancar pada bahasa positif yang mereka gunakan.
Kaitan antara kejayaan dan gaya bahasa dapat diterangkan begini; individu yang dibenci oleh orang lain tidak mungkin berjaya dalam kegiatan yang dilakukannya. Untuk berjaya, individu itu perlu pandai menambat hati ramai individu di sekelilingnya sebelum dia boleh mendapatkan bantuan sokongan dan kerjasama daripada mereka. Individu itu hanya dapat mempengaruhi orang yang menyukai dirinya sahaja, dan dia tidak mungkin dapat mempengaruhi orang yang benci ataupun tidak berapa menyukai dirinya.
Fitrah manusia ialah mereka suka kepada orang yang bersikap positif, suatu hal yang terpancar pada gaya bahasanya. Gaya bahasa negatif menyebabkan seseorang itu tidak disukai oleh orang di sekelilingnya, ini menyebabkan dia tidak mempunyai daya pengaruh yang tinggi ke atas mereka. Oleh sebab itu, jangan gunakan kosa kata negatif apabila bercakap. Perkataan itu termasuklah bodoh, lembap, sederhana, malas, gagal, tidak lulus, gagal, markah rendah, tidak betul, salah, masalah, jahat, nakal, degil, tak dengar cakap, buruk, tak elok, tidak bagus, lambat, kotor, comot, sedikit, kurang, belum, tidak, dan banyak lagi.
Satu lagi ciri bahasa orang yang berjaya dan mempunyai estim tinggi ialah mereka bercakap dengan gaya yang lancar dan tatabahasa yang betul. Bahasa yang patah-patah dan bercampur aduk dengan bahasa asing menimbulkan gambaran individu itu tidak yakin dengan apa yang diucapkannya. Ia juga menimbulkan kesan dia tidak yakin kepada perkataan dan bahasa yang digunakannya.
Bahasa yang tidak lancar juga memberi gambaran dia tidak selesa dengan apa yang sedang dikatakannya, tidak mengetahui dengan mendalam perkara itu dan tidak komited dengan idea yang sedang diperkatakannya. Lebih serius lagi, bahasa yang patah-patah dan bercampur aduk menunjukkan ia datang daripada pemikiran yang tidak teratur, kelam-kabut, dan memberi gambaran seseorang yang 'belum siap berfikir' tetapi sudah bercakap.
Mengikut pakar psikologi, perkara itu menyebabkan penutur tidak dapat memancarkan karisma yang mungkin ada pada dirinya seandainya dia dapat bercakap dengan gaya yang positif dan berestim. Orang yang berkarisma menggunakan gaya ber-cakap yang dinamis dan sangat meyakinkan. Mereka bercakap dengan lancar, tidak tersekat-sekat dan tidak teragak-agak. Bahasa mereka betul tatabahasanya, tidak patah-patah dan tidak bercampur aduk dengan bahasa lain. Sebutan mereka juga terang dan jelas.
Gaya bercakap yang lancar mencipta gambaran bahawa dia mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Ia juga menggambarkan bahawa dia seorang yang pakar mengenai apa yang dicakapkan-nya. Kepakaran adalah unsur pertama pada karisma. Apabila orang lain yakin bahawa dia pakar, mereka tidak meragukan kritikan, pandangan dan nasihatnya. Mereka percaya bahawa kata-katanya adalah benar kerana dia disangka pakar.
Sebagai contoh, seorang menteri kesihatan tidak semestinya seorang doktor. Seorang pengurus syarikat penerbangan mungkin memiliki ijazah jurusan sejarah. Seorang ketua ajaran sesat biasanya bukan lulusan dari al-Azhar tetapi mereka semua boleh bercakap sehingga disangka mereka sangat mengetahui apa yang dikatakan dalam ucapan mereka. Apabila orang yakin mereka itu pakar, orang mudah terpengaruh.
Bahasa yang baik dan ucapan yang lancar juga menggambarkan bahawa individu itu mempunyai komitmen kepada kata-kata yang diucapkannya. Dalam erti kata yang lain dia seorang yang tulus, bukan hipokrit atau munafik. Ketulusan ialah unsur kedua pada karisma. Orang yang pakar sekalipun, apabila dia gagal menunjukkan bahawa dia seorang yang tulus dan ikhlas melalui kata-kata yang diucapkannya tidak akan mempunyai karisma. Gaya bahasa yang lancar juga menggambarkan dia seorang yang berjaya dan berkuasa mengotakan apa yang dia berani katakan. Ia memberi gambaran dia berupaya membawa perubahan yang dijanjikan, oleh itu dia bukan hipokrit.
DALAM perkhidmatan kerajaan dan organisasi besar, banyak ganjaran yang diberikan kepada pekerja adalah serupa sahaja bentuknya. Sebagai contoh kementerian membelanjakan beribu-ribu ringgit bagi mengadakan hari keluarga bagi semua kakitangannya, baik yang berkeluarga mahupun tidak. Apabila dikira secara purata perbelanjaan yang dikeluarkan mungkin berjumlah RM 170 bagi setiap keluarga. Matlamat hari keluarga adalah supaya moral dan semangat kerja setiap kakitangan bertambah tinggi lalu menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi juga.
Ganjaran yang serupa memberi kesan yang berbeza-beza kepada individu yang berlainan disebabkan setiap seseorang itu menilai ganjaran itu dengan cara yang berlainan. Sebagai contoh, ganjaran wang RM100 dapat mendorong pekerja supaya meninggikan produktivitinya, tetapi wang sebanyak itu belum tentu memberi kesan yang serupa kepada individu lain yang datang daripada keluarga kaya raya. Punca perbezaan itu adalah perbezaan persepsi terhadap ganjaran yang serupa. Antara faktor yang menyebabkan perbezaan adalah faktor konsep diri. Setiap individu memandang sesuatu ganjaran yang serupa daripada pelbagai sudut.
1. Ganjaran sebagai Pendorong
Teori pengharapan dan teori ekuiti cuba menerangkan bagaimana manusia memandang dan menilai suatu ganjaran. Menurut teori-teori ini, ganjaran itu mungkin menjadi pendorong ataupun tidak menjadi pendorong. Ini bergantung pada beberapa faktor:
a. Persepsi ke atas ganjaran
Apa yang dianggap pendorong oleh seseorang belum tentu dianggap demikian oleh individu lain. Inilah faktor yang menyebabkan wang hanya dapat mendorong sesetengah individu sahaja. Sesetengah orang tidak terdorong bekerja bertungkus-lumus dan mengorbankan perkara yang berharga bagi dirinya semata-mata kerana mengharapkan pingat emas ataupun trofi ataupun kain selempang.
Walaupun benda-benda itu tidak berharga daripada segi nilai wangnya, tetapi bagi ahli sukan, itulah yang berlaku. Mereka sanggup melakukan aktiviti dan latihan yang menyakitkan semata-mata mendapatkan ganjaran yang amat kecil nilai kewangannya. Jadi, persepsi adalah lebih penting daripada ganjaran itu sendiri.
b. Bagaimana ganjaran itu diperoleh
Ganjaran yang mudah diperoleh ataupun yang ramai orang boleh mendapatkannya, tidak dapat memberi dorongan kuat. Ganjaran yang mudah diperoleh tidak dapat membuktikan kepada individu yang mendapatnya bahawa dia mempunyai kebolehan yang istimewa. Seperti halnya dengan persepsi, bagaimana ganjaran diperoleh adalah lebih penting daripada ganjaran itu.
c. Nilai sesuatu ganjaran kepada penerima
Apakah nilai sesuatu ganjaran kepada penerimanya? Setiap individu mempunyai nilainya sendiri. Sebagai contoh, bagi seseorang yang mempunyai banyak wang, ganjaran wang yang sedikit tidak dianggap bernilai tinggi dibandingkan dengan seorang yang tidak memiliki banyak wang. Selain itu ganjaran yang bertentangan dengan nilai peribadi juga tidak dapat mendorong seseorang melakukan aktiviti yang dikehendaki. Sebagai contoh, sesetengah individu sangat menghargai kebebasan peribadi, ganjaran dalam bentuk gaji besar tidak dapat mendorongnya supaya sanggup bekerja di bawah kelolaan individu lain. Begitu pula bagi wanita yang sangat mengutamakan anak-anaknya yang masih kecil, ganjaran gaji yang besar tidak mendorong dia menerima tawaran naik pangkat sekiranya jawatan itu memaksanya selalu meninggalkan anak-anak.
Sesuatu ganjaran dianggap bernilai hanya apabila ganjaran itu selaras dengan aktiviti yang perlu dilakukan. Dengan hal itu, barulah ganjaran itu dapat mendorong. Ini sebuah cerita benar mengenai bekas teman sekolah Profesor Abdullah Hassan yang bernama Yusuf Lana. Dia seorang yang kuat berlari. Dalam satu perlumbaan, beliau seperti biasa berada di depan sekali. Di tengah-tengah perlumbaan, Yusuf memperlahankan larian dan membenarkan rakan yang berada di belakangnya memotong dan membiarkan rakan itu menjadi johan, manakala dia di tempat kedua sahaja.
Yusuf sanggup kalah disebabkan beliau mahukan hadiah untuk tempat kedua, iaitu sehelai kain pelekat. Hadiah untuk johan ialah piala perak. Yusuf sudah mendapat banyak hadiah piala sebelumnya. Bagi seorang pelajar miskin seperti Yusuf, piala perak itu tidak berguna kepadanya dibandingkan dengan sehelai kain pelekat baru. Begitulah juga, kepada seseorang yang inginkan dirinya diterima oleh ahli kumpulannya, beliau tidak mahu ganjaran yang menyebabkan dia terpaksa mengalahkan kawan-kawan sendiri demi mendapatkan ganjaran.
d. Matlamat peribadi
Setiap individu mempunyai matlamat peribadi. Sesuatu ganjaran dianggap bernilai apabila selaras dengan matlamat itu. Bagi seseorang yang mempunyai matlamat hendak membeli rumah yang lebih besar, maka sebarang ganjaran wang dianggap sangat bernilai. Oleh itu wang akan mendorong dia sanggup melakukan sesuatu di mana wang dijanjikan sebagai ganjarannya. Bagi individu yang ingin melancong, ganjaran tiket penerbangan dan wang saku akan mendorongnya melakukan apa yang dikehendaki tetapi bagi seorang yang dahagakan pengiktirafan dan penghargaan, dia lebih terdorong oleh ganjaran simbolik yang tidak ada nilai kewangannya sama sekali. Sebagai contoh, ganjaran gelaran johan, pingat dan bintang ke-besaran menjadi pendorong yang luar biasa kuatnya. Ada pula individu yang menolak semua ganjaran daripada manusia lain, sebaliknya motivasinya didorong oleh ganjaran yang dijanjikan oleh agamanya sahaja.
e. Keselarasan ganjaran dengan tugas
Sejauh mana sesuatu ganjaran itu dianggap selaras dengan tugas yang mesti dilakukan dipengaruhi oleh tujuan, nilai, kepercayaan dan kecekapan individu itu. Sekali pandang, ganjaran yang berupa bonus tambahan nampak menarik. Tetapi bagi mendapatkan bonus tambahan itu seorang pekerja wanita dikehendaki sedia bertugas pada syif malam, sedangkan dia mempunyai anak kecil, maka ganjaran itu tidak dapat mendorong dia melakukannya. Begitu juga, peluang mendapat kereta syarikat untuk kegunaan peribadi nampak cukup menarik. Tetapi jika syarat untuk mendapatkannya ialah pekerja mesti sanggup ditukar bekerja ke bandar lain, maka dia belum tentu mahu menerimanya.
f. Keistimewaan ganjaran
Faktor ini merujuk kepada sejauh mana istimewanya sesuatu ganjaran apabila dibandingkan dengan ganjaran yang diterima oleh individu lain yang dikenali. Ini bergantung kepada tujuan, nilai dan kepercayaan penerima ganjaran itu. Individu yang mempunyai cita-cita tinggi selalu membandingkan ganjaran yang diterimanya dengan ganjaran yang diterima oleh individu lain yang lebih tinggi kedudukannya. Sebagai contoh, seorang kerani perempuan membandingkan apa yang diterimanya dengan apa yang diberikan kepada setiausaha di tempat kerjanya.
Individu yang ingin terus diterima oleh ahli kumpulannya membandingkan apa yang diterimanya dengan apa yang diterima oleh rakan sejawatnya. Individu yang suka bersaing pula membandingkan dirinya dengan rakan sejawat dan berhempas-pulas mendapatkan apa-apa ganjaran, asalkan ganjaran itu lebih daripada apa yang diterima oleh rakan sejawatnya. Bagi mengetahui nilai sesuatu ganjaran, seseorang itu bukan setakat melihat nilai kewangan ganjaran itu. Dia membandingkan dengan ganjaran lain dan dengan ganjaran yang diterima oleh individu lain. Individu yang dijadikan bandingan itu pula terdiri daripada mereka yang dikenali dan berada di sekeliling penerima seperti kaum keluarga, sahabat, rakan sejawat, jiran tetangga dan individu lain yang dikenalinya.
2. Wang sebagai Pendorong
Wang mempunyai kuasa dorongan yang besar ke atas tingkah laku pekerja. Pendapatan yang tinggi mempunyai kaitan yang besar dengan perkara-perkara lain yang penting kepada individu, seperti status dan pengiktirafan. Wang memainkan peranan penting dalam keadaan berikut:
a. Wang menjadi pendorong apabila ia amat diperlukan
Sesetengah individu percaya wang amat penting kepada mereka. Bagi golongan seperti ini wang dapat mendorong mereka mengubah tingkah laku. Bagi golongan lain wang penting bagi memenuhi keperluan asas. Apabila mereka sudah dapat memenuhi keperluan itu secukupnya, peranan wang sebagai pendorong semakin berkurangan. Walau bagaimanapun, setiap individu berbeza keperluan asasnya. Bagi sesetengah individu memiliki rumah besar adalah keperluan asas, manakala tidak bagi individu lain.
b. Wang menjadi pendorong apabila dapat mengubah gaya hidup
Ramai orang sanggup bekerja kuat bagi mencari wang yang cukup supaya mereka dapat mengubah gaya hidup mereka sekarang. Barangkali perubahan itu melibatkan pembelian kereta ataupun membuat kolam mandi di rumahnya.
c. Wang menjadi pendorong apabila berkaitan dengan prestasi
Di sini, apabila kenaikan pendapatan adalah hasil peningkatan prestasi, maka wang dapat mendorong individu itu meningkatkan prestasinya. Prestasi tinggi menghasilkan kenaikan pendapatan manakala prestasi rendah menghasilkan penurunan pendapatan.
3. Ganjaran Tambahan
Teori Abraham Maslow mengenal pasti dua jenis ganjaran tambahan iaitu estim dan realisasi diri atau apa yang beliau istilahkan sebagai self-actualisation. Sesetengah individu sangat terdorong oleh hasrat ingin berasa estimnya tinggi dan ingin merealisasikan cita-cita peribadinya. Apabila estim mereka naik, ataupun apabila mereka berjaya, hasilnya mereka berasa sangat puas. Teori realisasi diri Maslow dapat menerangkan fenomena adanya sesetengah individu yang amat bersemangat, kuat azam dan tekad sehingga mereka berjaya mencapai impian-impian yang lazimnya dianggap mustahil dapat dilakukan oleh manusia biasa.
Teori dorongan kejayaan atau achievement motivation yang dikemukakan oleh David McClelland pula mengatakan dorongan kejayaan dapat berfungsi sebagai ganjaran tambahan. Menurut beliau, dorongan kejayaan adalah sejenis dorongan yang bukan sifat fitrah manusia. Sebaliknya ia adalah sesuatu yang dipelajari oleh individu berkenaan. Sifat yang fitrah bermakna ia ada pada setiap individu, manakala sesuatu yang dipelajari bermakna ia hanya ada pada individu yang mempelajarinya. Disebabkan dorongan hendak menjadi manusia yang berjaya itu bukan fitrah, itulah sebabnya ada individu yang sangat inginkan kejayaan, manakala ada pula individu yang tidak berapa inginkan kejayaan.
Teori McClelland menerangkan mengapa sesetengah individu sangat berjaya manakala ada pula individu yang tidak mahu berusaha kuat meskipun pelbagai dorongan disediakan supaya mereka bekerja kuat sehingga berjaya. Teori beliau juga me-nerangkan perkaitan antara dorongan kejayaan dan kemajuan ekonomi sesuatu bangsa. Sesetengah budaya, umpamanya budaya Amerika menekankan kejayaan individu, maka itulah sebabnya masyarakat Amerika melahirkan ramai individu yang mempunyai dorongan tinggi yang sanggup menghadapi pelbagai risiko bagi mencipta kejayaan diri mereka.
4. Keperluan Tidak Ketara
Vance Packard mengenal pasti beberapa jenis keperluan manusia yang tidak disedari kewujudannya oleh individu itu sendiri. Keperluan itu disebut keperluan tidak ketara. Individu yang pandai mempengaruhi orang lain menggunakan keperluan tidak ketara sasarannya bagi mencapai niat mereka. Menurut beliau, ganjaran sekunder menjadi penting kerana memenuhi keperluan tidak ketara manusia.
a. Ingin dihargai
Keperluan tidak ketara yang pertama adalah setiap individu ingin tahu sama ada dirinya masih dihargai. Setiap individu inginkan penghargaan. Dia ingin tahu adakah orang di sekeliling memerlukannya dan menghargai kehadirannya dalam hidup mereka. Apabila individu itu tiada, adakah orang lain di sekelilingnya berasa sedih, susah ataupun tidak? Kajian mendapati ramai individu cuba meyakinkan diri bahawa mereka dihargai. Mereka melakukannya dengan memiliki sebanyak-banyak harta material. Dalam erti kata lain, bagi individu seperti itu mereka bekerja kuat mengumpul harta kerana yakin dengan harta itu mereka dihargai oleh orang lain.
b. Kepuasan ego
Keperluan tidak ketara yang kedua adalah keinginan untuk memuaskan ego. Seseorang individu itu bukan sahaja ingin tahu sama ada dirinya dihargai oleh orang lain tetapi juga dibelai seolah-olah dia seorang yang betul-betul istimewa. Manusia memerlukan belaian daripada orang di sekelilingnya tetapi yang lebih penting dia memerlukan belaian tersebut daripada dirinya sendiri. Ego seseorang individu itu selalu hauskan belaian, maka sesiapa yang pandai membelai egonya dengan mudah dapat mempengaruhinya.
c. Inginkan kuasa
Keperluan tak ketara yang ketiga ialah keperluan pada kuasa. Setiap individu inginkan kuasa, oleh itu manusia menghargai lambang kuasa: kereta besar, motosikal berkuasa besar, jip tahan lasak, pistol peribadi dan macam-macam lagi. Disebabkan manusia amat inginkan kuasa, manusia ingin memiliki lambang kuasa dan berprestij, meskipun ia hanya lambang semata-mata, bukan kuasa yang sebenar.
d. Ingin kekal muda
Seterusnya adalah keperluan untuk kekal awet muda. Manusia mudah terpengaruh dengan barang yang kononnya boleh mengekalkan kemudaan sesorang. Apabila individu membeli barang dia bukan membeli barang itu tetapi membeli harapan, iaitu untuk kekal muda.
Disebabkan teori psikologi dari Barat dicipta oleh individu yang berfahaman sekular, mereka tidak memberi ruang kepada tuhan dan agama dalam teori mereka. Sebagai contoh mereka tidak menerangkan mengapa bagi anggota kelompok budaya tertentu, ada ciri-ciri keagamaan pada wang yang mereka tolak. Maka dalam keadaan tertentu, wang yang banyak sekalipun tidak dapat mendorong perubahan tingkah laku. Ini dapat dilihat dengan jelas di kalangan mereka yang berpegang kuat kepada ajaran Islam di mana apabila wang itu mempunyai ciri-ciri yang tidak diizinkan, umpamanya wang yang ditawarkan itu hasil riba ataupun hasil perjudian dan lain-lain lagi. Begitu pula dengan kes di mana seseorang itu sanggup melakukan kerja yang tiada ganjaran konvensional, sebaliknya didorong oleh nilai agamanya semata-mata.
Menurut teori kognitif sosial tingkah laku manusia yang mengingini pelbagai ganjaran jenis sekunder adalah suatu tingkah laku yang dipelajari. Ia bukan tingkah laku fitrah atau sifat semula jadi manusia. Inilah faktor yang menyebabkan ada individu yang sangat tamak kuasa, manakala ada pula individu yang tidak berminat kepada kuasa sama sekali. Keinginan manusia kepada ganjaran tambahan datang daripada perkara yang pernah dialaminya. Keinginan itu sangat dipengaruhi oleh nilai peribadi yang ada padanya maka itulah sebabnya sesuatu ganjaran tambahan itu mungkin amat bermakna ataupun sebaliknya, terpulang kepada nilai individu itu ke atas ganjaran tersebut.
Sebagai contoh, ada individu yang sangat menghargai gelaran seperti Datuk, Datin, Ustaz dan sebagainya disebabkan nilai peribadinya. Individu yang tidak mempunyai nilai seperti itu tidak terlalu ingin kepada gelaran itu. Keperluan yang tidak ketara itu menjadikan individu mudah terpengaruh dengan orang yang pandai memperalatkannya bagi mendorongnya melakukan sebagaimana yang mereka mahu. Banyak barangan di pasaran yang dicipta, dijual dan dibeli bukan disebabkan barangan itu diperlukan untuk hidup tetapi disebabkan barangan itu dapat memenuhi pelbagai keperluan tak ketara pembelinya.
Sentiasa membuat persediaan sebelum berjumpa mereka. Jangan melangkah ke pejabat mereka dalam keadaan bingung dan tidak pasti. Dapatkan fakta-fakta penting mengenai apa yang hendak diperkatakan. Ingat, pendapat anda mungkin ditolak mentah-mentah jika tiada hujah dan data yang menyokongnya. Semakin kronik sesuatu perkara itu, semakin penting persiapan yang mesti dilakukan.
Jangka apakah reaksi orang atasan dengan apa yang anda cadangkan. Bayangkan apakah soalan dan pertanyaan yang akan muncul di mulut mereka. Bersedia memberikan jawapan yang baik dan berpengaruh. Berlatih seumpama hendak menghadiri suatu temu duga. Berdiri di hadapan cermin dan ucapkanlah jawapan-jawapan yang sepatutnya.
Bentangkan idea anda dengan ringkas, mudah dan padat. Jangan berjela-jela bercakap perkara yang tidak perlu. Orang atasan biasanya tiada banyak masa untuk semua ini. Kadangkala, semakin lama anda bercakap, semakin tidak yakin orang atasan terhadap anda. Jika anda diberikan masa sepuluh minit, gunakanlah masa sepuluh minit itu untuk meyakinkan dia mengenai idea anda; ataupun anda akan ditinggalkannya kerana membuang masanya sahaja.
Mulakan dengan kehangatan. Berikanlah ucapan selamat yang ikhlas daripada hati yang bersih. Hulurkan salam dan genggam dengan penuh bertenaga (tapi jangan patahkan jari majikan anda!) Pandang matanya dengan penuh berseri dan tunjukkan anda benar-benar menyukai orang atasan anda itu.
Jangan menokok-tambah. Jika idea tersebut ada kelemahan, terangkan kepadanya apakah bentuk kelemahan itu. Jangan berkata bahawa ianya sempurna dan cacat-sifar. Berikan gambaran yang sebenar terhadap apa yang ada sekarang. Orang atasan bukanlah terlalu bodoh untuk ditipu. Lambat laun, pasti mereka akan tahu juga.
Sentiasa kelihatan positif dan optimis. Tonjolkan keyakinan terhadap kejayaan dan keberkesanan idea-idea anda itu. Tunjukkan mimik muka dan bahasa badan yang meyakinkan orang yang mendengarnya. Elakkan tingkah laku yang menunjukkan ketegangan dan kegusaran.
Jika dia bercakap, berikan tumpuan dan respons. Berikan tumpuan yang tajam dan respons yang memuaskan. Ini akan memberikan tanggapan anda memang benar-benar hendak memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepadanya. Ia menunjukkan anda tidak akan mengecewakannya.
Jika tidak berjaya, cari alasan untuk bertemu lagi. Fikirkan alasan yang munasabah untuk bertemu semula. Alasan itu perlu kukuh, jika tidak, anda akan kelihatan seperti seorang penyibuk yang hanya tahu menghabiskan masa orang lain. Satu taktik yang menarik ialah; jika dia menegur sesuatu perkara dalam kertas kerja tersebut, beritahulah anda akan membuat pembetulan dan akan datang semula menunjukkan hasil pembetulan tersebut. Bahkan ia akan memberikan imej anda seorang yang cekap!
Ucapkan terima kasih dan penghargaan. Sebut secara jelas dan terperinci kenapa anda berterima kasih. Apakah ciri-cirinya yang perlu diberi penghargaan. Biasanya orang akan rasa lebih ‘berdiplomasi’ apabila dipuji dan dihargai. Tetapi ingat, jangan sampai mengampu.
Pastikan anda betul-betul mengenal pasti bentuk komitmen yang perlu dilakukan demi menjayakan sesuatu misi. Kemudian, barulah anda mencanangkannya kepada rakan-rakan yang lain. Jika anda asyik tergagap-gagap dan salah memberikan maklumat, keyakinan mereka terhadap anda akan merosot.
Adakan suatu perjumpaan bagi membentangkan bentuk komitmen yang perlu dilakukan oleh semua. Ketika ini anda memerlukan kemahiran membuat pembentangan. Pastikan mereka semua benar-benar memahami apakah bentuk komitmen itu dan apakah akibat jika tidak berjaya melakukan yang terbaik.
Motivasikan mereka. Beri kata perangsang yang boleh mendorong motivasi dalam diri mereka untuk memberikan komitmen secara sukarela dan dalam keadaan yang penuh kefahaman. Anda boleh terangkan dengan cara yang lebih menarik apakah faedah dan manfaat yang akan mereka peroleh jika berjaya melakukan seperti apa yang dirancang.
Beri peluang untuk mereka bersuara. Benarkan mereka memberi komen, menyatakan pendapat dan mengemukakan soalan. Bina komunikasi dua hala yang membenarkan lontaran idea dan pendapat disuarakan secara terbuka. Memang memerlukan masa, tetapi ia sebenarnya sangat positif bagi membina suatu hasil kerja berpasukan yang mengagumkan.
Dengar dan telitikan komen susulan daripada mereka. Beri ‘masa’ kepada mereka. Anda sudah pun menggunakan masa anda untuk pembentangan dan penerangan dari awal tadi. Jadi sekarang, apa salahnya jika anda duduk sebentar dan dengar apa yang orang lain cakap pula. Jangan asyik mencelah dan ‘hendak tunjuk pandai’ pula.
Kenal pasti apakah bentuk komitmen yang boleh diberikan. Beri masa kepada setiap ahli untuk berfikir. Kemudian, suruh mereka nyatakan dengan jelas bentuk-bentuk komitmen yang mereka mampu lakukan. Buat dalam senarai mengikut keutamaan.
Kenal pasti apakah harapan dan hasrat daripada mereka. Berlawanan daripada sebelum ini, ahli juga diminta berfikir apakah komitmen yang dia perlukan daripada orang lain. Buat dalam bentuk prioriti juga. Dengan kedua-dua senarai komitmen dan harapan ini, bincangkan bagi mengagihkan kerja-kerja dan tugasan supaya masing-masing dapat saling bantu-membantu antara satu sama lain.
Minta kepastian dan kata putus daripada mereka. Minta semua memberikan ‘ikrar janji setia’ untuk memberikan komitmen dalam perkara tersebut. Bina ayat-ayat ‘ikrar janji setia’ yang jelas dan boleh menambahkan semangat semua ahli pasukan yang lain. Sebut setiap seorang, atau secara beramai-ramai. Mungkin nampak seperti ringkas, tetapi ianya sangat berguna untuk prestasi dan masa depan sesebuah pasukan itu.
Selesaikan masalah dan krisis secara berpasukan. Ini akan dapat mengukuhkan ikatan pasukan dan membina semangat kerja berpasukan yang baik. Minta setiap orang memberikan idea dan alternatif bagi mencari penyelesaian terbaik. Setiap orang mempunyai kemahiran dan pemikiran yang tersendiri; ini akan menghasilkan idea-idea gabungan yang cukup menarik dan kreatif.
Analisis diri; berapakah 'nilai dan harga' diri anda sekarang? Setinggi mana kelulusan anda? Sebanyak mana pengalaman anda? Adakah anda seorang yang dikenali sebagai seorang yang cemerlang? Adakah anda mempunyai bukti untuk itu? Berapa anugerah yang anda terima? Selepas itu, tanya pula kepada diri sendiri; adakah anda 'dilayan' setaraf dengan 'harga dan nilai' anda di tempat kerja sekarang? Adakah anda berpuas hati? Adakah peluang untuk anda lebih dihargai di tempat sekarang?
Apakah kemahiran dan bakat yang anda miliki? Selidik dengan teliti apakah kemahiran dan bakat anda. Kadangkala kita terlepas pandang kebolehan kita sendiri. Buat senarai kursus-kursus yang pernah anda hadiri dan sejauh manakah anda mampu mempraktikkan latihan-latihan tersebut. Jika anda mempunyai kemahiran yang sukar ditemui, mungkin anda mempunyai peluang yang cerah bagi mendapatkan pekerjaan baru yang lebih memuaskan.
Sejauh manakah anda boleh menerima risiko? Jika anda berhenti, bagaimana untuk menyara hidup? Selama mana duit simpanan anda mampu bertahan? Bayangkan perkara paling buruk yang mungkin berlaku dan tanya kepada diri sendiri; adakah anda mampu menanganinya? Adakah ia lebih teruk daripada keadaan sekarang? Berapa lama anda dijangka untuk berada dalam keadaan itu?
Apakah pekerjaan yang anda idam-idamkan? Ia biasanya suatu pekerjaan yang serasi dengan jiwa, minat, dan cara hidup anda. Suatu pekerjaan yang menjadikan hidup anda lebih ceria dan bersemangat. Tetapi kerja yang macam mana? Tentukan juga pekerjaan yang menyebabkan hidup anda tidak bermakna dan membosankan. Kemudian, bandingkan dengan keadaan yang ada sekarang.
Senaraikan perkara yang anda suka terhadap sesuatu pekerjaan. Kenapa anda sukakan pekerjaan tersebut? Kerana kadar gajinya? Tugasan dan bidang tugasnya? Saiz dan keadaan organisasi? Rakan sekerja dan rakan-rakan satu pejabat? Atau mungkin kerana budaya organisasi? Buatl analisis secara ikhlas berpandukan keinginan dalam diri anda sendiri.
Dapatkan maklumat mengenai peluang yang ada. Dapatkan maklumat syarikat, badan-badan atau jabatan-jabatan yang mungkin boleh memberikan kepuasan kerja seperti yang anda inginkan. Ia mungkin di luar dan mungkin juga jawatan dalam organisasi anda sekarang. Analisis sama ada ianya benar-benar akan memberikan apa yang anda mahukan ataupun tidak.
Buat perancangan. Selepas membuat keputusan, buatlah suatu perancangan ringkas organisasi pilihan pertama dan kedua (jika anda ingin bertukar tempat kerja). Kemudian, jangkakan apakah masalah dan halangan yang akan berlaku jika anda memohon ke jawatan tersebut. Rancang bagaimana menghadapi masalah tersebut dan strategi yang baik. Tentukan bersama rangka masa untuk melakukan semua itu.
Teliti secara halus tawaran yang anda peroleh. Buat penilaian terhadap kelebihan dan kekurangan tempat itu, berbanding tempat kerja anda sekarang. Sejauh manakah perbezaan itu? Yang manakah lebih diperlukan? Berapa gaji? Apakah ganjaran dan faedah lain? Berapa lamakah tempoh bekerja? Bagaimana dengan kos pengangkutan?
Jika anda tidak berapa pasti, dapatkan nasihat daripada orang lain. Jika anda sudah mendapat tawaran kerja, tetapi tidak berapa yakin untuk membuat keputusan; bertanya kepada orang lain yang lebih tahu. Seeloknya ia daripada kalangan rakan yang anda percayai, serta tidak berat sebelah dalam memberikan pendapat. Jika dia pernah bertukar kerja, ia adalah suatu pengalaman yang baik untuk ‘ditimba’ daripadanya. Elakkan bertanya kepada orang yang dengki dan berhati busuk; kerana mereka mungkin akan merosakkan perancangan anda nanti.
Ada ketikanya anda tidak perlu bekerja. Contohnya ketika anda mendapat penyakit berjangkit, sakit yang menyebabkan anda sukar untuk bergerak, ada urusan kecemasan dan darurat. Dan jika anda berada dalam situasi itu, jangan pergi kerja! Jika anda pergi juga, ia bukan sahaja akan menyukarkan kehidupan anda, bahkan anda akan memudaratkan orang lain.
Jika sakit, dapatkan surat pengesahan doktor. Jangan ‘sahkan’ penyakit anda sendiri. Biarpun jika majikan tidak meminta surat sakit (jika ada majikan yang begitu), anda janganlah mengambil kesempatan dengan berpura-pura sakit. Ada kriteria dan tahap tertentu apabila seseorang itu perlu diberikan pelepasan kerja. Itu tugas doktor, serahkanlah kepada mereka.
Jangan tipu surat sakit. Ada orang yang menipu majikannya dengan memberikan surat cuti sakit yang palsu. Ada juga yang ‘membeli’ daripada doktor dengan harga yang tertentu. Ada juga yang menyuruh rakan atau saudara mereka yang bekerja sebagai doktor supaya memberikan beberapa surat sakit yang sudah ditandatangani untuk digunakan ketika waktu ‘kecemasan’. Anda mungkin selamat untuk beberapa kali. Tetapi ingat, berbohong adalah suatu dosa yang sangat terkutuk!
Jaga kesihatan anda. Gunakan masa cuti bagi menenangkan diri dan ‘menyembuhkan’ penyakit yang anda hidapi itu. Jangan ambil peluang melakukan perkara-perkara lain; seperti membersihkan karpet rumah yang sudah setahun berhabuk, atau pergi menghantar kereta untuk diservis, atau memongkes rumput-rumput di sekitar rumah yang sudah lama terbiar. Mungkin anda tidak punyai masa sebelum ini, tetapi cuti sakit bukanlah waktu yang sesuai untuk itu.
Lebih baik lewat daripada tidak datang langsung. Ada kalanya anda terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Ada orang yang rasa bengang lalu berpatah balik ke rumah. Akhirnya, peruntukan cuti hanya habis hanya untuk itu sahaja. Kawallah rasa bengang anda itu. Biarlah lewat sedikit sekali-sekala; ia lebih baik daripada tidak datang langsung.
Rancang cuti lebih awal. Jumlah hari cuti anda terhad. Jangan bercuti tanpa ada perancangan. Senaraikan waktu-waktu yang anda perlu cuti. Contohnya seperti Hari Raya, kenduri ahli keluarga, ataupun mungkin kenduri sendiri! Adakah anda ingin kehabisan cuti ketika meraikan hari perkahwinan anda? Mahu kenduri di pejabat?
Agihkan tugasan. Jika ada kerja yang mesti diselesaikan segera, minta rakan sekerja membantu anda. Anda boleh menelefon dan meminta pertolongan daripadanya. Berikan arahan dengan jelas dan mudah; dan beri dorongan supaya dia sudi membantu anda.
Berterima kasih kepada majikan. Ucapkan terima kasih kepada majikan atas kelonggaran yang diberikan. Ingat, anda masih menerima gaji walaupun tidak hadir ke pejabat atau tempat kerja. Anda boleh menghantar SMS atau menelefonnya bagi menyatakan rasa terima kasih anda tersebut.
Elakkan ‘ketagihan ponteng’. Bahkan ‘ponteng’ sahaja sudah patut dielakkan, apatah lagi ketagihan. Jadilah pekerja yang berdedikasi. Pekerja yang selalu tidak hadir ke tempat kerja akan dianggap sebagai ‘tidak berdedikasi’ oleh majikan. Anda mesti tahu apakah risiko yang perlu anda ambil jika ini berlaku.
1. Bina kesefahaman dan keserasian. Kita perlu kenal pasti standard dan tabiat kerja ketua kita. Kemudian, rancang bagaimana hendak menyesuaikan gaya kerja kita dengan dia. Berlatih memandang sesuatu daripada perspektif seorang ketua, dan cubalah memahaminya. Dalam masa yang sama juga, kita perlu memastikan ketua kita mampu melihat sesuatu daripada perspektif kita.
2. Pastikan maklumat penting dimaklumkan. Jangan biarkan kita semua bekerja dalam situasi yang penuh dengan kejutan dan curiga. Pastikan ketua kita tahu apa yang sepatutnya dia tahu. Jika tiba-tiba dia tahu sesuatu yang penting daripada orang lain, ini hanya akan memerangkap kita. Jika ini berlaku, takut-takut dia rasa curiga dan boleh menyebabkan konflik.
3. Tunjukkan inisiatif. Dengan ini kita akan dapat membina ‘pengaruh’ kita terhadap ketua kita. Dia juga akan lebih bergantung kepada kita. Tetapkan matlamat untuk menjadi orang yang paling berkemampuan dan berpengalaman. Tetapi ingat, jangan sesekali kita ‘melangkah bendul’, kerana ini menyebabkan kita kelihatan seperti seorang yang berlagak dan berpura-pura.
4. Kemukakan penyelesaian, bukan masalah. Jika kita meng-hadapi masalah, kalau boleh tunggu dahulu sehingga kita dapat mencari penyelesaian. Jangan cepat-cepat mengadu masalah kepada ketua kita, jika kita rasa dapat me-nyelesaikannya. Jika kita asyik ‘merengek’ dan mengadu, lama-kelamaan dia akan bosan dan mengetepikan kita. Tetapi jangan pula menyembunyikan masalah yang perlu dilaporkan segera. Kita lebih arif menentukan yang mana satu.
5. Berikan sokongan. Walau sehebat mana ketua kita, dia masih perlukan bantuan dan sokongan daripada kita. Kenali kelemahan dan kekurangannya, dan cuba untuk membantunya mengatasi masalah yang timbul. Ini sangat perlu dalam hubungan pekerja dan majikan.
6. Mencari persetujuan bersama. Walaupun sudah ada bidang tugas dan tanggungjawab yang dimeterai dalam kontrak, masih banyak ruang kosong yang mesti ‘diterokai’ dan dipersetujui bersama. Apabila berlaku kekurangan, segera berbincang untuk mengetahui apakah yang sepatutnya dilakukan. Mungkin tidak ramai ketua dan bos yang sudi berbincang dengan pekerja mereka, tetapi jika kita memberikan pandangan dan meminta tunjuk ajar, mungkin dia akan memberikan kerjasama. Elakkan daripada saling mencurigai dengan mencari kata sepakat dan persetujuan.
7. Jika tidak bersetuju, lakukan dengan positif. Ada masanya kita tidak bersetuju dengan bos kita. Dalam keadaan begini, kita perlulah positif. Jangan sesekali bertindak emosional dan berfikiran negatif. Bercakap dengan hujah, fakta dan statistik dan bukannya atas dasar pendapat dan emosi semata-mata. Jika kita ingin lebih diterima, cadangkan bersama penyelesaian dan alternatif.
8. Jadilah orang yang jujur dan berterus terang. Jika kita tidak dapat lakukan, berbincang dengan ketua kita. Jangan berpura-pura hebat dan serba boleh. Lama-kelamaan dia pasti dapat mengesan-nya.
9. Jangan mengampu. Ada orang yang asyik memuji dan ‘mengangkat’ bos mereka. Memang-lah pada peringkat awal kita disukai oleh bos. Tetapi tabiat sebegini tidak membawa kita ke mana-mana, kerana jika kita tidak dapat membuktikan prestasi yang baik, kita akan terus berada di takuk yang lama. Lebih teruk lagi, kita akan dicemuh oleh rakan-rakan kita yang lain.
10. Tunjukkan rasa hormat kita. Bukan seperti mengampu, menunjukkan hormat datangnya daripada hati yang ikhlas. Fokus kepada kebaikan yang ada pada ketua kita, dan bina rasa hormat kepadanya. Ini bukan bermakna bos kita sentiasa betul, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu ingat, dia adalah bos kita.
Resipi lain untuk dihidangkan bersama
Resipi 29,34
1. Tetapkan standard yang tinggi. Pilih pasukan yang benar-benar berkeupayaan dan berkaliber. Latih mereka dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Kita tidak boleh berkompromi dalam bidang latihan dan pendidikan. Pastikan setiap orang mempunyai pembahagian tugasan yang jelas dan cukup. Ramai orang lemah semangat bukan kerana terlalu banyak kerja, tetapi kerana tidak ada kerja. Jangan selalu biarkan mereka rasa selesa dan malas, sentiasalah berusaha meningkatkan kecekapan dan prestasi mereka.
2. Berikan arahan yang jelas. Arahan kepada diri kita sendiri dan rakan-rakan di sekeliling. Mesti pastikan apa yang hendak dicapai, termasuk sasaran, jangka masa, dan standard yang diperlukan. Tetapkan prioriti dan buat yang lebih utama dahulu. Jangan cuba hendak buat banyak perkara dalam satu masa.
3. Membuat keputusan yang bijak setiap masa. Setiap masa kita akan perlu membuat keputusan. Belajarlah bagaimana mengendalikan otak kita supaya ia dapat melahirkan keputusan dan idea yang bijak. Jangan tergopoh-gapah. Bertenang, tarik nafas, dan gunakanlah otak kita. Walaupun bunyinya ringkas sahaja, tetapi berapa ramai orang yang tidak tahu melakukannya. Cubalah!
3. Kekalkan penguasaan dan kawalan. Pastikan kita tahu apa yang berlaku di sekeliling kita. Sentiasa mengemas kini maklumat berkaitan dengan perkara-perkara yang penting.
4. Tetapkan sistem laporan yang ringkas tapi menyeluruh. Kita boleh membuat mesyuarat atau mengarahkan orang lain menghantar laporan pada kita. Apa yang penting, jangan biarkan diri kita termangu-mangu.
5. Beritahu mereka apa yang kita lakukan. Jika kita seorang bos, kita menjadi tumpuan dan fokus orang lain. Mereka rasa seolah-olah kita adalah ‘milik’ mereka. Berkongsilah dengan mereka apa yang kita sedang lakukan, dan nyatakan pula alasan kita bertindak sedemikian. Dengan itu, mereka lebih berpuas hati memiliki seorang ketua seperti kita.
6. Hadapi permasalahan, bukan lari. Ada orang yang tidak mahu berhadapan dengan krisis dan konflik. Mereka terus menjadi pelarian dan hidup dalam ketakutan. Kita perlu mempunyai rasa tanggungjawab dalam bekerja. Berterus-teranglah dengan pekerja dan ketua kita apabila berlaku krisis, dan carilah jalan penyelesaian sebelum ia jadi lebih meruncing.
7. Iktiraf pencapaian. Setiap kali orang lain menyelesaikan tugasan mereka, berilah pandangan susulan kita. Kenal pasti hasil-hasil yang baik dan berikan pujian dengan penuh keikhlasan. Sebut dengan jelas perkara yang kita berpuas hati. Jangan lupa mengucapkan terima kasih atas usaha dan kesungguhan mereka. Apa yang penting, kita tidak berpura-pura dan jangan pula terlebih melampau dalam membuat penilaian.
8. Memberi dorongan dan motivasi. Sebelum orang lain perlu motivasi, kitalah orang yang pertama memerlukannya. Binalah karisma dan keyakinan diri supaya kita dapat menjadi pendorong orang lain dalam mencapai matlamat bersama. Walau-pun motivasi ini tidak dapat dilihat oleh mata kasar, kuasanya sangat besar dan berguna untuk kejayaan.
9. Sediakan perancangan alter-natif. ‘Hari tidak selalu cerah, air tidak selalunya tenang’. Sering kali timbul perkara-perkara yang dapat menggagalkan rancangan kita. Kenal pasti satu tahap bila rancangan kita akan dianggap sebagai ‘gagal’, dan beralihlah kepada perancangan alternatif. Jangan biarkan kita dan orang lain terus ‘mengayuh basikal tidak berantai’ dan meng-habiskan komitmen kita secara sia-sia.
10. Disiplin dan dedikasi. Tiada apa yang lebih penting jika ingin berjaya melainkan dua perkara ini. Tingkat kedua-duanya dalam diri kita dan rakan-rakan di sekeliling. Ia bukanlah senang. Jika ia mudah, sudah pasti semua orang boleh berjaya.
Resipi lain untuk dihidang bersama
Resipi 12, 20, 42
Proses peletakan harga dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Se-benarnya, terlalu banyak faktor yang mempengaruhi peletakan harga sesuatu barangan ataupun perkhidmatan. Namun begitu, kita hanya meneliti empat faktor utama yang mempengaruhi harga iaitu:
Permintaan
Pengurusan mesti berhati-hati meletakkan harga kerana di-bimbangkan melebihi daripada harga sedia ada di pasaran dan mengakibatkan ia tidak dapat di jual. Meletakkan harga yang keterlaluan mempengaruhi permintaan, terutamanya apabila barangan keluaran syarikat mempunyai pengganti di pasaran. Contohnya syarikat kereta nasional Proton tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga kerana ia menyebabkan pengguna memilih jenama lain yang setaraf dengannya tetapi dengan harga yang lebih rendah.
Maklumat sensitiviti pengguna pada perubahan dalam harga mesti tepat dan cepat. Syarikat biasanya mendapatkan maklumat berkenaan pasaran daripada penyelidik pasaran, penyelidikan pelanggan, kempen dan melalui soal selidik daripada juru jual.
Tindakan pesaing
Tindakan pesaing sama ada dalam ataupun luar negeri juga sangat penting dalam proses peletakan harga. Menjangkakan tindakan pesaing terhadap reka bentuk barangan dan strategi pasaran sukar tetapi penting kepada organisasi.
Industri telekomunikasi negara misalnya, menjadi contoh jelas bahawa tindakan pesaing (misalnya Maxis) yang menurun-kan yuran laluan bulanan daripada RM 60.00 sebulan kepada RM 30.00 sebulan menyebabkan pesaing utama (TMTouch) turut berbuat demikian.
Tindakan itu memperlihatkan betapa tindakan pesaing mem-beri kesan yang besar memaksa syarikat mengkaji balik struktur harga barangan ataupun perkhidmatan untuk turut berbuat demikian. Ini dilakukan supaya syarikat mampu mengekalkan pelanggan sedia ada dan tidak kehilangan pelanggan baru.
Kos
Peranan kos dalam menetapkan harga walaupun penting tetapi ia boleh berubah-ubah mengikut industri. Dalam sesetengah industri, harga dapat ditentukan oleh kuasa dan desakan pasaran sebagai faktor yang lebih dominan. Contohnya dalam industri pertanian, di mana harga gandum dan daging ditentukan oleh kuasa pasaran. Peranan kos dalam menentukan harga untuk industri dikatakan kurang penting berbanding dengan kuasa pasaran.
Namun begitu, dalam sesetengah industri lain, harga dapat ditentukan oleh struktur kos yang terlibat dalam proses pe-ngeluaran barangan itu. Contohnya, harga berasaskan kos selalunya digunakan dalam industri automobil, barangan alatan rumah dan industri petroleum dan gas.
Penetapan harga berasaskan kos dilakukan dengan mengira jumlah kos yang terlibat dalam pengeluaran satu unit barangan ataupun perkhidmatan dan kemudiannya ditambah dengan beberapa peratus bagi menetapkan harga. Peratusan yang ditambah itu terhasil dalam bentuk sama ada tokokan (mark up) ataupun margin. Isu tokokan dan margin ini akan dibincangkan kemudian.
Isu politik, undang-undang dan imej
Faktor-faktor ini merujuk kepada pertimbangan faktor-faktor persekitaran, sesetengahnya dapat dikawal dan sesetengah yang lain sukar dan tidak mampu dikawal dengan berkesan.
Isu politik menjadi penting kerana kuasa politik ialah kuasa penentu. Dalam konteks sebuah negara, kuasa politik adalah penentu dasar fiskal (kewangan) sama ada adanya pelepasan ataupun peningkatan cukai kerajaan ke atas sesuatu barangan, keadaan ekonomi sesuatu negara serta beberapa faktor kemanusiaan lain termasuk kesanggupan kerajaan membiayai beberapa barangan asas penduduknya.
Kesannya adalah berlaku peningkatan atau penurunan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengeluar yang kemudiannya dipindahkan kepada pengguna. Harga rumah kos rendah misalnya, di mana kerajaan memberikan subsidi kepada harga tanah dan membiayai sebahagian daripada kos pembinaan bahkan menetapkan harga syiling kepada pemaju berjaya mengekalkan harga jualan rumah kategori ini kepada satu titik harga yang munasabah.
Pertimbangan politik juga banyak relevannya. Contohnya, apabila wujud kuasa yang dikatakan menipu pelanggan, akan ada kuasa daripada rakyat yang mendesak pihak berkuasa mengembalikan hak dan pertimbangan kepenggunaan ke tempat yang sesuai. Justeru itu, kestabilan politik menjadi faktor utama untuk kesejahteraan ekonomi sama ada peningkatan ekonomi yang berterusan mahupun anjakan terhadap sumber pendapatan utama rakyat.
Daripada sudut undang-undang pula, syarikat mesti mematuhi aspek perundangan tertentu yang ada hubung kait langsung antara satu barangan dengan barangan lain. Sesetengah barangan digolongkan sebagai barangan kawalan oleh kerajaan dan ini menjadikan harga yang dikenakan kepada pengguna tidak boleh melebihi tahap tertentu. Sesetengah yang lain pula mendapat pembiayaan kerajaan dan ia dipanggil subsidi. Aspek undang-undang ini selalu menjadi senjata berkesan bagi menguatkuasakan perlindungan kepada pengguna.
PENAJA
Soalan
Apakah maksud penaja syarikat?1
Jawapan
Akta Syarikat 1965 tidak memberikan definisi penaja. Walau bagaimanapun, penaja boleh ditakrifkan sebagai orang yang bertanggungjawab mengambil langkah-langkah perlu bagi tujuan menubuhkan syarikat.
Walau bagaimanapun, definisi penaja tidak meliputi golongan profesional yang menerima upah bagi menubuhkan syarikat. Oleh kerana itu, secara amnya individu yang menerima upah bagi tujuan menubuhkan syarikat tidak boleh dianggap sebagai penaja syarikat.
Soalan
Apakah peranan penaja syarikat?
Jawapan
Secara am, peranan penaja adalah merancang dan menentukan beberapa perkara berhubung dengan penubuhan syarikat. Contohnya, menentukan objek2 syarikat, memilih nama syarikat, memilih bank bagi tujuan membuka akaun, melantik juruaudit dan melantik setiausaha syarikat.
Penaja juga kadangkala perlu membuat perjanjian sewaan bagi tujuan mendapatkan premis untuk dijadikan pejabat berdaftar (registered office) atau tempat perniagaan syarikat.
Soalan
Apakah kedudukan kontrak yang dibuat oleh penaja sebelum syarikat didaftarkan?
Jawapan
Secara amnya, kontrak yang dibuat oleh penaja menjadi tanggungan penaja itu secara peribadi. Selepas ditubuhkan, syarikat boleh mengesahkan kontrak yang dibuat oleh penaja. Ini bermakna tanggungan kontrak yang dibuat oleh penaja (sebelum syarikat ditubuhkan) boleh diambil alih oleh syarikat.
Walau bagaimanapun, peralihan tanggungjawab ini hanya dapat dilakukan apabila syarat-syarat berikut dipenuhi:
1.Kontrak yang dibuat oleh penaja sebenarnya adalah kontrak yang diperbuat bagi pihak syarikat.
2.Syarikat, selepas ditubuhkan, perlu mengesahkan kontrak itu. Syarikat boleh membuat pengesahan (ratification) sama ada secara tersirat (implied) ataupun nyata (express).
Apabila salah satu daripada syarat di atas tidak dipenuhi, maka penaja bertanggungan secara peribadi ke atas mana-mana kontrak yang dibuat olehnya sebelum syarikat ditubuhkan.
Soalan
Adakah penaja dibenarkan menjual harta kepunyaannya kepada syarikat yang ditubuhkannya?
Jawapan
Penaja boleh menjual aset kepunyaannya kepada syarikat yang ditubuhkan dengan memperoleh keuntungan. Walau bagaimanapun, dia hanya dapat mengambil keuntungan itu apabila syarat-syarat berikut dipenuhi.
1.Penaja perlu menzahirkan (disclose) keuntungan yang diperoleh kepada lembaga pengarah syarikat; atau
2.Bagi syarikat awam, penaja boleh menzahirkan ke-untungan itu melalui prospektus yang diedarkan kepada orang awam.
Bagi syarikat persendirian, perkara yang berhubung dengan penzahiran (disclosure) keuntungan ini biasanya tidak mendatangkan sebarang masalah terutamanya apabila pengarah dan penaja merupakan orang yang sama.
Soalan
Apakah tanggungan penaja apabila ia membuat kenyataan yang tidak benar, palsu ataupun berunsur penipuan (fraud) semasa menubuhkan syarikat?
Jawapan
Penaja tidak boleh membuat sebarang kenyataan palsu, secara cuai, tidak benar ataupun sebarang perbuatan yang mempunyai unsur penipuan. Penaja bertanggungan secara peribadi (personally liable) jika dia berbuat demikian.
Soalan
Bolehkah penaja memperoleh sebarang upah atau bayaran daripada syarikat selepas menubuhkannya?
Jawapan
Secara amnya, penaja tidak boleh menerima sebarang upah atau bayaran kerana menubuhkan syarikat. Walau bagaimana-pun, penaja biasanya mendapat beberapa faedah dalam bentuk komisen ataupun saham daripada syarikat yang ditubuhkan. Sebarang faedah yang diperoleh oleh penaja perlu dizahirkan. Dalam keadaan di mana penaja dan pengarah adalah orang yang sama, masalah mendapatkan semula perbelanjaan menubuhkan syarikat biasanya tidak timbul.
PROSEDUR PENUBUHAN SYARIKAT: CARIAN NAMA
Soalan
Apakah langkah awal yang perlu diambil bagi menubuhkan syarikat?
Jawapan
Syarikat yang akan ditubuhkan perlu mempunyai nama. Penaja perlu memilih nama syarikat dan pemilihan nama itu perlu diluluskan oleh Pendaftar Syarikat.
Soalan
Bagaimanakah caranya memilih nama bagi syarikat yang akan ditubuhkan?
Jawapan
Bagi tujuan ini, carian nama (name search) perlu dilakukan. Borang 13A dikemukakan kepada SSM dalam dua salinan. Bayaran yang dikenakan adalah RM30 bagi setiap nama yang dikemukakan.
Soalan
Apabila nama yang dipilih itu diluluskan, berapa lamakah nama itu dirizabkan (reserved) kepada pemohon?
Jawapan
Jika sesuatu nama itu telah diluluskan, ia akan dirizabkan (reserved) kepada pemohon selama tiga (3) bulan dari kelulusan permohonan.3 Ini bermakna, langkah menubuhkan syarikat perlu dilakukan dalam tempoh itu. Jika tidak, carian nama baru terpaksa dilakukan.
Soalan
Bolehkah Pendaftar Syarikat menolak permohonan nama yang dicadangkan oleh pemohon?
Jawapan
Pendaftar Syarikat mempunyai bidang kuasa untuk menolak nama yang dicadangkan sekiranya pada pendapat beliau nama tersebut tidak diingini, nama tersebut telah digunakan atau dirizabkan kepada mana-mana orang atau nama tersebut tidak boleh digunakan berdasarkan arahan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
DOKUMEN BERKAITAN DENGAN PENUBUHAN SYARIKAT
Soalan
Apakah dokumen yang diperlukan bagi tujuan menubuhkan syarikat?
Jawapan
Dokumen-dokumen berikut diperlukan bagi tujuan menubuhkan syarikat:
1.Memorandum syarikat
Dokumen ini perlu disetemkan dengan nilai RM100.006 dan salinan pendua pula disetemkan dengan nilai RM10.00.7
2.Artikel syarikat
Artikel asal syarikat juga perlu disetemkan dengan nilai RM100.009. Sementara salinan pendua pula disetemkan dengan nilai RM10.0010. Penerangan lanjut mengenai memorandum dan artikel syarikat akan dibincangkan dalam Bab 4.
3.Borang 48A: Akuan berkanun (statutory declaration)
Perlu dibuat sebelum pelantikan individu sebagai penaja atau bakal pengarah.
Bagi tujuan menubuhkan syarikat, sekurang-kurangnya dua orang penaja diperlukan. Kebiasaannya, penaja menjadi pengarah pertama syarikat. Setiap penaja ataupun bakal pengarah perlu menandatangani Borang 48A secara berasingan sebelum mereka boleh bertindak sebagai penaja ataupun pengarah. Borang 48A perlu ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah atau Hakim Mahkamah Seksyen atau Majistret atau lain-lain pegawai yang diberi kuasa berbuat demikian di bawah Akta Akuan Berkanun 1960.
Surat akuan berkanun itu perlu mengandungi pernyataan bahawa mereka:
a.Bukan seorang yang bankrap atau belum dilepaskan daripada perintah kebankrapan;
b.Tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan di mahkamah sama ada di dalam ataupun luar Malaysia berhubung dengan:
.Apa-apa kesalahan berhubung dengan penajaan, pembentukan ataupun pengurusan sesebuah perbadanan;
.Apa-apa kesalahan yang melibatkan penipuan atau tidak jujur dan dihukum penjara selama 3 bulan atau lebih; atau
.Apa-apa kesalahan di bawah seksyen 132, 132A atau 303 dalam tempoh lima tahun dari tarikh perakuan.
c.Tidak dihukum penjara kerana sebarang kesalahan yang disebutkan dalam perenggan (b) lima tahun sebelum tarikh perakuan;
d.Bersetuju untuk bertindak sebagai penaja atau pengarah syarikat.
4. Borang 6: Surat akuan berhubung dengan pematuhan segala peraturan yang ditetapkan. Surat akuan ini perlu ditandatangani oleh setiausaha pertama syarikat. Surat akuan itu hendaklah mengan-dungi penyataan bahawa segala keperluan yang ditetapkan dalam Akta Syarikat 1965 berhubung dengan penubuhan syarikat dan lain-lain perkara yang berkaitan dengannya telah dipatuhi.13
Daripada segi tarikh, borang ini adalah yang ter-kemudian berbanding dengan dokumen-dokumen lain di atas. Ini kerana, apabila dilihat daripada segi objektif, surat akuan ini adalah pengesahan berhubung dengan pematuhan ke atas segala keperluan undang-undang yang ditetapkan dalam Akta Syarikat 1965.
5.Salinan Surat Kelulusan Nama dan salinan asal Borang 13A.
6.Bayaran pendaftaran. Bagi syarikat yang mempunyai modal saham (share capital), bayaran pendaftaran adalah berdasarkan modal dibenarkan (authorised capital).14
Jumlah Modal Dibenarkan Bayaran
Pendaftaran
Tidak lebih RM 100,000 RM 1,000
Lebih RM 100,000 Hingga RM 500,000 RM 3,000
Lebih RM 500,000 Hingga RM 1 juta RM 5,000
Lebih RM 1 juta Hingga RM 5 juta RM 8,000
Lebih RM 5 juta Hingga RM 10 juta RM 10,000
Lebih RM 10 juta Hingga RM 25 juta RM 20,000
Lebih RM 25 juta Hingga RM 50 juta RM 40,000
Lebih RM 50 juta Hingga RM 100 juta RM 50,000
Lebih daripada 100 juta RM 70,00015
Bagi syarikat yang tidak mempunyai modal saham seperti syarikat berhad menurut jaminan, bayaran pendaftaran yang dikenakan adalah sebanyak RM 1,000.
7.Borang 48F. Perakuan daripada setiausaha syarikat (yang dinamakan dalam memorandum atau artikel) hendaklah dibuat dengan menggunakan borang yang ditetapkan.
Perakuan tersebut mengandungi pernyataan seperti berikut:
.Bahawa dia adalah setiausaha syarikat berkelayakan menurut seksyen 139A;
.Bahawa dia tidak hilang kelayakan di bawah seksyen 139C; dan
.Dia bersetuju bertindak sebagai setiausaha syarikat.16
8.Borang 46. Borang ini diperlukan jika artikel syarikat menetapkan bahawa pengarah dikehendaki mengambil saham ke-layakan (share qualification).
Jika artikel syarikat menetapkan sedemikian, maka pengarah perlu membuat Akujanji (undertaking) bahawa dia akan mengambil saham yang ditetapkan dalam tempoh dua (2) bulan dari tarikh pelantikan atau lain-lain tarikh yang lebih pendek sebagaimana yang ditetapkan oleh artikel syarikat.
Soalan
Adakah Pendaftar Syarikat mengeluarkan sijil bagi mengesahkan penubuhan syarikat?
Jawapan
Selepas semua keperluan yang ditetapkan bagi menubuhkan syarikat dipenuhi, Pendaftar Syarikat mengeluarkan Sijil Pemerbadanan dalam Borang 8 bagi syarikat awam ataupun Borang 9 bagi syarikat persendirian.
Soalan
Apakah kepentingan mempunyai Sijil Pemerbadanan pada syarikat?
Jawapan
Sijil Pemerbadanan penting bagi syarikat kerana ia adalah sijil kelahiran sesebuah syarikat. Ini bermakna bermula dari tarikh pemerbadanan (incorporation), sebuah syarikat yang mempunyai entiti yang berasingan daripada ahli-ahlinya diwujudkan.
Soalan
Apakah kandungan Sijil Pemerbadanan?
Jawapan
Sijil Pemerbadanan mengandungi maklumat berikut:
1.Nombor syarikat
2.Nama syarikat
3.Tarikh pemerbadanan
4.Jenis syarikat iaitu sama ada syarikat itu merupakan syarikat berhad menurut saham, syarikat berhad menurut jaminan atau syarikat tidak berhad
5.Status syarikat, sama ada ia adalah syarikat persendirian ataupun syarikat awam.
Soalan
Adakah terdapat dokumen-dokumen lain yang perlu dikemukakan kepada Pendaftar Syarikat selepas syarikat ditubuhkan?
Jawapan
Ada beberapa dokumen yang perlu dikemukakan kepada Pendaftar Syarikat dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh pemerbadanan. Dokumen-dokumen itu adalah seperti berikut:
1.Borang 49
Borang ini mengandungi maklumat sebagaimana yang tertera dalam Daftar Pengarah, Pengurus dan Setiausaha. Nama pengarah pertama, setiausaha dan pengurus syarikat perlu dinyatakan dengan jelas.
2.Borang 44
Notis ini berkaitan dengan pejabat berdaftar syarikat. Setiap syarikat dikehendaki oleh undang-undang untuk mempunyai pejabat berdaftar di Malaysia mulai tarikh syarikat mula menjalankan perniagaannya ataupun selepas 14 hari dari tarikh penubuhan syarikat (menurut mana yang lebih awal).
3.Borang 24
Borang ini berkaitan dengan pemberian saham kepada sekurang-kurangnya dua (2) penandatangan (subscribers). Bilangan minimum saham yang perlu diberikan ialah satu (1) unit bagi setiap subscriber.
Soalan
Bilakah syarikat boleh memulakan urus niaga?
Jawapan
Syarikat persendirian boleh memulakan urusannya serta melaksanakan kuasanya sebaik sahaja Sijil Pemerbadanan (Borang 9) dikeluarkan oleh SSM. Walau bagaimanapun, syarikat awam hanya boleh me-mulakan operasi dan melaksanakan kuasa-kuasanya apabila sijil bagi memulakan perniagaan (Borang 23) dikeluarkan oleh SSM.18
Pelbagai jawapan yang diterima apabila soalan berkenaan siapakah yang menyediakan akaun perniagaan diajukan kepada usahawan. Antaranya adalah, "Menyerahkan segala dokumen kepada akauntan luar pada akhir tahun untuk disediakan akaun perniagaan", "Buat sendiri", "Menggaji kerani akaun" dan "da individu dari luar datang dari semasa ke semasa mengemas kini rekod dan akaun"
Apakah sebenarnya proses menyediakan akaun perniagaan? Siapakah sepatutnya dipertanggungjawabkan menyediakan akaun perniagaan? Apa dokumen dan rekod yang terlibat dalam menyediakan akaun perniagaan? Apakah jenis rekod dan laporan yang perlu disediakan? Siapa yang berminat dengan laporan kewangan yang dikeluarkan? Bab ini mengupas dengan lebih terperinci persoalan-persoalan di atas dan hal-hal lain berkaitan penyediaan akaun perniagaan.
Menyediakan akaun perniagaan melibatkan beberapa proses, dokumen dan personal. Dalam perniagaan yang kecil dengan transaksi perniagaan yang tidak kompleks seperti pasar mini dan klinik perubatan, hanya seorang ataupun dua orang staf diperlukan bagi merekodkan transaksi harian dan seterusnya mengeluarkan laporan kewangan yang diperlukan oleh pemilik perniagaan. Dalam satu organisasi yang besar dengan transaksi perniagaan yang banyak serta kompleks, urusan menyediakan akaun boleh dipertanggungjawabkan kepada satu bahagian yang terdiri daripada pengurus akaun, pegawai eksekutif akaun dan kerani akaun. Walau bagaimanapun, secara umumnya, menyediakan akaun perniagaan melibatkan proses yang sama.
Menyediakan akaun perniagaan bermula dengan aktiviti merekodkan transaksi harian perniagaan berasaskan dokumen-dokumen tertentu dan berakhir dengan mengeluarkan laporan kewangan seperti akaun perdagangan dan untung rugi, dan kunci kira-kira.
Perniagaan kedai runcit banyak tertumpu kepada urus niaga jualan secara tunai. Pembelian barangan daripada pembekal pula ada yang dibuat secara tunai dan juga hutang. Disebabkan ia banyak bergantung pada urus niaga secara tunai, pengawalan hasil jualan seharian perlu dilakukan dengan teliti dan direkodkan dengan baik. Risiko kecurian barangan serta wang tinggi apabila dibandingkan dengan perniagaan lain. Aspek lain yang penting dalam perniagaan kedai runcit adalah pengurusan stok barangan yang dijual. Sesebuah kedai runcit biasanya mempunyai pelbagai jenis barangan dalam kuantiti yang banyak.
Pengurusan stok barangan yang efisien penting bagi memastikan barangan yang ingin didapati oleh ramai pelanggan ada disediakan, dan dalam kuantiti yang sentiasa mencukupi. Sebaliknya, barangan yang kurang mendapat sambutan seharusnya diadakan dalam bilangan yang munasabah, sekadar tidak menghampakan segelintir pelanggan. Pekedai harus memahami stok barangan mempunyai kesan terus kepada untung rugi sesebuah kedai runcit.
Kajian kes di bawah mengutarakan permasalahan usahawan dalam perniagaan kedai runcit. Kes yang sama boleh dijadikan rujukan untuk jenis perniagaan perdagangan yang lain seperti kedai alat tulis, kedai pakaian dan lain-lain lagi.
Puan Nurin sudah beberapa tahun menjalankan perniagaan kedai runcit. Beliau menggaji dua orang pembantu kedai yang bekerja secara giliran di sebelah siang dan juga malam. Tiada penyediaan akaun secara sistematik dibuat. Puan Nurin menguruskan sendiri segala dokumen yang terlibat dalam transaksi perniagaan seperti invois yang diterima daripada pembekal dan segala bil berkaitan perbelanjaan kedai. Bil-bil perbelanjaan seperti bil elektrik, air, telefon dan lain-lain difailkan dalam satu fail. Puan Nurin hanya mengadakan fail untuk beberapa pembekal utama sahaja manakala beberapa pembekal lain dicampurkan dalam satu fail. Disebabkan kesibukan melayani pelanggan, Puan Nurin tidak mempunyai masa mengemas kini bil-bil dan ada antaranya yang tercicir.
Puan Nurin merasakan tidak perlu menyediakan akaun perniagaan dengan lengkap kerana beliau berpuas hati dengan hasil yang diterimanya. Beliau tidak mempunyai masalah membayar gaji pekerja, bil telefon, sewa kedai dan perbelanjaan lain bila tiba masanya. Berkenaan urusan dengan pembekal, beliau tidak mempunyai masalah kerana pembelian adalah secara hutang. Walau bagaimanapun, Puan Nurin terpaksa bergantung pada penyata hutang yang dihantar secara bulanan oleh pembekal setiap kali membayar hutang kerana beliau sendiri tidak mempunyai rekod yang tepat dan dikemas kini. Jumlah keuntungan ataupun kerugian secara tepat tidak dapat diketahui kerana penyata akaun untung rugi tidak pernah disediakan. Beliau bercadang mengembangkan perniagaannya dan untuk itu, merancang membuat pinjaman dengan tabung pinjaman yang disediakan kerajaan.
Puan Nurin juga tidak mempunyai senarai lengkap barangan yang terdapat dalam kedainya. Kiraan stok barangan tidak pernah dilakukan disebabkan oleh kekurangan pekerja dan kesibukan.
Daripada kajian kes di atas, kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti serta kesannya kepada perniagaan dapatlah dirumuskan seperti berikut:
Kelemahan dan kesan 1: Penyata akaun untung rugi tidak disediakan
Penyata akaun untung rugi adalah antara laporan terpenting perniagaan. Secara umumnya, penyata ini menunjukkan sama ada perniagaan mendapat keuntungan ataupun kerugian dalam tempoh tertentu. Kegagalan menyediakan penyata ini menyukarkan pengukuran sebenar prestasi perniagaan dibuat, seterusnya untuk merangka strategi yang efektif. Analisis penting seperti perbelanjaan paling tinggi sudah tentunya tidak dapat dilakukan. Ia juga mungkin melambat-kan proses kelulusan permohonan ataupun menggagalkan terus pinjaman yang ingin dibuat oleh Puan Nurin. Daripada aspek percukaian pula, ketiadaan penyata ini membolehkan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri membuat taksiran cukai berdasarkan jumlah yang dianggarkan. Jumlah anggaran yang tinggi boleh mengakibatkan puan Nurin terpaksa membayar jumlah cukai yang lebih tinggi daripada sepatutnya.
Kelemahan dan kesan 2: Bergantung pada rekod pembekal untuk mengetahui jumlah hutang tertunggak
Pihak pembekal juga mungkin membuat kesilapan dan apabila ini berlaku, puan Nurin terpaksa menanggung kerugian kerana beliau sendiri tiada rekod yang dikemas kini bagi membuat perbandingan. Dalam erti kata lain, apabila pertelingkahan dengan pembekal timbul, puan Nurin tiada rekod yang tepat bagi membuktikan kata-katanya.
Kelemahan dan kesan 3: Dokumen tidak diurus dengan baik dan sistem fail yang tidak tersusun
Dokumen-dokumen yang tidak diurus dengan baik dan keciciran menjadikan jumlah terkini gagal diketahui dengan pantas apabila diperlukan dan ia tidak tepat. Seterusnya, ini menyebabkan pertelingkahan dengan pihak pembekal. Sistem fail yang tidak tersusun pula menyukarkan rujukan. Puan Nurin perlu membuat perbandingan harga, diskaun yang diberi dan sebagainya dalam memilih pembekal yang terbaik untuk berurus niaga.
Kelemahan dan kesan 4: Tiada pengurusan stok yang berkesan dan efisien. Sebagai contoh, tiada senarai lengkap stok dalam kedai, kiraan stok tidak dibuat dan tiada rekod keluar-masuk stok disediakan.
Analisis penting tidak dapat dilakukan. Antaranya adalah analisis barangan yang mendapat permintaan yang tinggi ataupun yang laris dijual, jumlah minimum barangan yang perlu dipesan daripada pembekal, dan sebagainya. Ini penting kerana barangan yang kurang laris tetapi disimpan dalam kuantiti yang banyak sebagai stok akan merugikan. Pemesanan bagi stok baru perlu dibuat sebelum ia tiada langsung dalam simpanan kerana penghantaran mungkin mengambil masa. Tambahan lagi, dalam suasana persaingan yang sengit, sudah tentu pelanggan tidak ingin dikecewakan.
Lenin - Helang Rusia
Tiada siapa yang membakar semangat orang lain lebih hebat daripadanya. Tiada siapa yang sanggup berkorban dan bangkit selain daripada lelaki yang kita lihat biasa sahaja dan banyak kurang daripada unsur ketampanan dan kecantikan. Bukannya Plekhanov ataupun Martov yang disayangi dan dikagumi, tetapi Lenin seorang yang dikerumuni tanpa rasa ragu sebagai pemimpin yang agung. Lenin mempersembahkan fenomena luar biasa terutama di Rusia, lelaki yang dibekalkan dengan kecekalan besi dan tenaga yang di luar kawalan. Lenin menggabungkan kepercayaan fanatik (kepada ideologi komunis), per-juangannya dengan tiada sebarang kurang kepercayaan kepada dirinya sendiri”.
Kata-kata A.N Petresov Dipetik daripada: Dankwart A. Rustow Philosophers and Kings: Studies in Leadership
Pada bulan Mac 1917, Parlimen Rusia mendesak pemerintah negara, Czar Nicholas supaya memberhentikan penglibatan Rusia dalam perang dunia pertama. Kebuluran merebak secara meluas. Negara menjadi huru-hara. Secara politiknya, negara berpecah kerana puak berhaluan kanan, parti sosial demokrat dan puak berhaluan kiri, ahli revolusi bertelagah.
Akhirnya, lelaki berumur empat puluh tujuh tahun bernama Vladimir Ilyich Lenin, ketua parti komunis Bolshevik yang merana dalam buangan di Eropah selama 12 tahun, muncul menjadi penyelamat. Beliau pulang ke Rusia dengan tergesa-gesa dan menyeru negaranya menarik balik penglibatan dalam peperangan dan mencetuskan Revolusi Sosialis yang terkenal.
Pada minggu pertama, tiada perkara yang luar biasa berlaku.
Sebagai seorang lelaki, Lenin kelihatan langsung tidak menarik, seorang yang pendek dan kurus. Lenin terbuang di Eropah begitu lama, terpisah lama daripada rakyat Rusia dan masanya banyak membaca dan perbincangan intelektual sahaja. Parti pimpin-annya kecil dan hanya mewakili kumpulan serpihan dan barisan sayap kiri yang menyokong komunis. Tidak ramai menganggap Lenin sebagai pemimpin negara.
Dalam masa yang sama Lenin meneruskan usahanya mengulangi mesej yang sama: Hentikan peperangan, tubuhkan pemerintahan revolusi, hapuskan harta persendirian dan agihkan semula kekayaan negara. Serik dengan pertelingkahan politik yang berlarutan, rakyat Rusia mula mendengar. Lenin begitu bersemangat dan berkeyakinan. Beliau tidak pernah hilang kekuatan logik semasa berdebat dengan lawannya. Pekerja dan tentera tertarik dengan keteguhan dan ketegasannya. Paling mengejutkan, semasa kemuncak rusuhan, Lenin menerima ugutan bunuh daripada musuh-musuhnya. Sebaliknya apabila mendengar ugutan itu, Lenin muncul secara sendiri, melompat ke atas sebuah kereta dan mengarahkan pemandunya membawa beliau ke tengah-tengah orang ramai, mendedahkan dirinya kepada penembak tepat atau pembunuh upahan itu. Ia benar-benar mengejutkan orang ramai pada masa itu.
Di tengah-tengah khalayak, Lenin adalah seorang pemidato yang hebat. Ucapannya di Kongres Seluruh Rusia Soviet yang pertama adalah dokumen berharga dalam sejarah dunia. Semasa Lenin menangis di tengah ucapannya, baik ahli revolusi mahupun orang kerajaan ketika itu terkesan. Semasa ahli politik Rusia yang lain bertungkus-lumus menyesuaikan diri dalam krisis ekonomi dan negara, Lenin muncul seperti helang yang gagah. Beliau mula termasyhur seperti juga parti pimpinannya, Bolshevik. (lihat bab Wawasan Tony Fernandes dalam perbincangan transformasi karisma daripada karisma peribadi kepada karisma organisasinya)
Pengaruh Lenin ke atas pekerja, buruh dan tentera semakin memuncak. Lenin bercakap dengan mereka di tengah jalan dan di warung makan. Ucapannya campuran antara fahaman komunis sosialisnya dan slogan revolusi.
Pada tahun 1924, Lenin meninggal dunia, tujuh tahun selepas beliau secara berseorangan membuka jalan kepada Revolusi bulan Oktober 1917 yang terkenal, yang mengangkat parti Bolsheviks kepada kekuasaan. Pada masa itu seluruh rakyat Rusia berkabung. Mereka menyembah tugu Lenin dan mayat Lenin diawet untuk tontonan. Rakyat Rusia bercerita berkenaan Lenin sehingga wujud satu pertubuhan menceritakan perihal Lenin. Beribu-ribu bayi perempuan yang baru lahir dinamakan ‘Ninel’, nama Lenin yang diterbalikkan. Akhirnya Lenin bukan sahaja seorang lelaki tetapi menjadi suatu institusi.
Sesungguhnya karisma tidak banyak berkaitan dengan penampilan fizikal yang menarik ataupun personaliti yang berwarna-warni. Terutamanya pada masa kesusahan, manusia tidak mengharap kepada hiburan dan keseronokan, mereka mahukan kepada keselamatan, hidup yang lebih baik dan kestabilan sosial.
Percaya ataupun tidak, lelaki ataupun perempuan yang berketerampilan biasa sahaja, tetapi memiliki ketajaman wawasan, keyakinan diri yang membuak-buak boleh menjadi seorang yang memiliki karisma, dengan syarat apa yang diperjuangkan bersesuaian dengan kehendak khalayak. Jangan memperkecilkan kuasa daripada aura seseorang.
Semasa lebih ramai orang yang sanggup bertolak ansur, menjual prinsip, maruah perjuangan yang menyebabkan keraguan; mereka membuat keputusan menjadikan diri mereka jatuhnya mutu, nilai malahan harga. Maka, orang yang muncul dengan ketegasan dalam berprinsip memiliki tarikan magnet dalam segenap segi sehinggakan cara dia tidur juga orang ramai lihat sebagai berkarisma!
Apabila saudara bersama Lenin sebelum Revolusi, Lenin adalah seorang yang biasa sahaja dan tiada langsung memiliki karisma. Namun beliau dianugerahkan karisma semasa beliau dilihat sebagai penyelamat kepada negaranya. Karisma bukan suatu misteri yang wujud di luar kawalan seseorang. Ingat! Karisma adalah ilusi di mata orang yang melihat saudara memiliki ‘sesuatu’ yang mereka tidak miliki.
4. Misteri Kuasa Karisma
Saya berharap melihat helang gunung, gergasi parti kami, lelaki hebat, hebat secara fizikal juga secara politikal. Saya membayangkan Lenin sebesar gergasi, tegap dan gagah. Alangkah kecewanya saya melihat lelaki hebat itu adalah lelaki biasa sahaja daripada segi rupa, lebih rendah daripada lelaki-lelaki Rusia normal. Dalam apa-apa cara sekalipun, Lenin tiada beza dengan manusia yang lain”.
Joseph Stalin Menceritakan pengalaman pertamanya bertemu Lenin pada tahun 1905, Dipetik daripada: Ronald W. Clark Lenin: The Man behind the Mask
Karisma adalah perkara yang mengagumkan kita. Ia datang daripada kualiti dalaman seseorang. Keyakinan diri, tenaga seks, kekuatan visi dan arah tuju, kebanyakan orang ada kekurangan dan memerlukannya. Kualiti ini memancarkan gerak kuasa karisma, menjadikan orang itu nampak luar biasa dan lebih berkuasa serta gagah. Mereka tahu meningkatkan karismanya dengan renungan yang memancar dan pidato yang berapi-api. Karisma adalah kuasa mempengaruhi dalam jumlah manusia yang besar. Pemimpin berkarisma membuatkan khalayak jatuh cinta padanya dan terus memimpin mereka itu.
Pemimpin berkarisma memiliki kualiti yang begitu berkuasa. Namun mereka menyimpan sumber karisma itu dan menjadikannya misteri. Mereka tidak memberitahu di mana datangnya sumber keyakinan dan keberanian mereka. Wajah pemimpin berkarisma selalunya penuh dengan cahaya, bertenaga, peka dan renungan seorang pencinta. Mengapa kita suka kepada pemimpin berkarisma? Kita suka kepada mereka kerana kita suka dipimpin oleh individu yang menawarkan pengembaraan dan cabaran.
Beribu-ribu tahun dahulu, manusia percaya kepada tuhan-tuhan dan dewa-dewa. Tetapi tidak ramai daripada mereka yang pernah melihat secara fizikal bagaimana dewa-dewa itu berkuasa. Justeru itu, ada lelaki yang seakan-akan memiliki kuasa Tuhan berkata-kata dengan kepetahan lidah, wawasan yang tinggi dan aura yang menebal dan lelaki itu berdiri seperti seorang Tuhan. Apabila nabi-nabi diturunkan oleh Tuhan untuk kaum-kaumnya, mereka dianggap sebagai orang yang berkarisma. Karisma Muhammad jelas lebih tersohor kerana beliau bukan sahaja menyeru kepada satu-satu bangsa, tetapi seluruh himpunan manusia.
Pada abad ke-19, akhirnya ramai orang yang menjadi lebih rasional apabila berhadapan dengan konotasi dan kualiti orang yang berkarisma. Orang yang berkarisma tidak perlu menjadi berkarisma dengan kuasa daripada langit, tetapi cukup dengan memenangi undi dan menunjukkan keupayaan mereka memimpin. Namun apabila dunia berhadapan dengan perang pada awal kurun ke-20, konotasi pemimpin berkarisma banyak merujuk kepada pemimpin pada zaman peperangan. Hitler dan Churchill melakar kuasa karisma ketika itu. Cuma kerana pihak Britain dan sekutunya yang menang, maka nama Churchill yang diangkat sebagai hero perang dan menempelak Hitler sebagai penjahat dunia. Namun karisma itu bersifat berkecuali sama ada orang itu jahat ataupun baik.
Apabila Weber menulis berkaitan karisma, maka lahirlah karisma moden yang menurut Weber, “Bukannya sifatnya ketuhanan tetapi kualiti luar biasa pada sifatnya yang dipenuhi dengan tenaga, keyakinan, wawasan masyarakat akan datang”. Karisma memainkan peranan yang sedikit dengan unsur-unsur kecantikan dan kegagahan fizikal. Vladimir Lenin adalah buktinya. Petikan di atas adalah pengakuan Stalin betapa beliau terkejut melihat lelaki yang berkuasa di Rusia ketika itu hanyalah lelaki kecil lebih kecil daripada lelaki Rusia yang normal (lihat bab Helang Rusia).
Hari ini, sesiapa yang mampu menarik perhatian apabila dia memasuki bilik ataupun majlis dianggap memiliki karisma. Karisma memang penuh dengan misteri atas dua sebab. Pertama sebab sifat misteri itu ia dipanggil karisma dan kedua orang yang memiliki karisma sengaja menjadikannya misteri. Benarlah pe-patah Arab, “Apabila diketahui sebab-sebabnya, maka terbatallah keajaiban”.
Selepas membina kredibiliti, pemimpin berkarisma dapat membina pasukan yang kuat. Banyak organisasi perniagaan yang bermula kecil-kecilan. Starbucks bermula hanya dengan sebuah warung kecil di bandar Seattle. Microsoft hanya memiliki 15 pekerja pada tahun 1981. Dua puluh tahun kemudian, mereka menjadi gergasi perisian dunia. Bill Gates mengakui, dia sendiri kagum dengan perkembangan Microsoft. Mereka membina pasukan yang kuat untuk muncul menjadi gergasi.
Kemahiran membina pasukan begitu penting kepada pemimpin berkarisma. Dalam Wisdom of Team, Katzenbach mengatakan membina pasukan menjadi penting atas sebab melengkapkan kemahiran dan pengalaman. Jika saudara memimpin organisasi yang berkembang, keperluan membina pasukan lebih besar. Apabila fungsi-fungsi dalam organisasi menjadi pelbagai, setiap individu dalam organisasi harus menjalankan fungsi yang tersendiri dan saling bergantung antara satu dengan yang lain.
Dalam membina pasukan, pemimpin perlu bertindak sebagai ahli dalam pasukan dan bukannya diterima sebagai pemimpin. Jika pemimpin diterima sebagai ahli pasukan, komunikasi antara ahli lebih mudah dan berkesan. Sebaliknya apabila saudara dianggap sebagai pemimpin, saudara sebenarnya membina halangan komunikasi dengan ahli-ahli pasukan.
Mengapa Pasukan Penting
Hanya kambing biri-biri yang berseorangan sahaja yang akan dimakan oleh serigala. Biri-biri dalam kumpulan kelihatan ramai dan mereka selamat daripada serigala. Franklin Covey menulis, “Tiada yang boleh menghabiskan hidangan bufet sendiri.” Membina pasukan adalah bertujuan untuk sama-sama menghabiskan ‘hidangan bufet’ itu. Kita perlu mengakui dalam melaksanakan sesuatu, kita tidak mampu melakukannya seorang. Kita memerlukan orang lain membantu dalam melaksanakan sesuatu. Oleh itu, membina pasukan dengan objektif yang jelas dapat melaksanakan tujuan sesebuah organisasi. Apabila pemimpin gagal melihat kepentingan membina pasukan yang kuat, arah tuju organisasi menjadi tidak menentu.
Tips-tips Membina Pasukan
Membina nilai dalam pasukan
Selalu kita menggunakan istilah dream team atau pasukan impian, tetapi kita tidak berkata nilai apa yang dibawa oleh pasukan impian itu. Karisma dalam kepimpinan menuntut pemimpin membina nilai impian kepada pasukannya terlebih dahulu dalam The Book of Virtues, William Bennett menegaskan bagi membina nilai impian ia mesti dizahirkan kepada orang di dalam lingkungannya. Jika bapa menggariskan panduan yang boleh dilakukan dan yang tidak, ia mesti disampaikan kepada anak dengan jelas. Tetapi nilainya mestilah harmoni dengan perilaku ketua. Bapa yang perokok susah melarang anaknya daripada merokok. Pemimpin yang berkarisma membina keyakinan bahawa apa yang pasukan mereka sedang lakukan ini sebenarnya suatu usaha yang murni yang lebih besar daripada hidup. Terdapat banyak nilai yang mungkin bersesuaian bagi melambangkan pasukan anda:
Bekerja keras
Saling percaya
Gembira
Bersemangat
Bantu-membantu
Produktif
Kreatif
Sasaran yang sama
Persahabatan
Melakukan yang terbaik
Impian yang jelas
Tekanan luaran
Tekanan masa
Keutamaan
Positif
Terbuka
Disiplin
Komunikasi yang empati
Komitmen
Suka membantu
Tugas yang jelas
Tugas yang rencam
Saling hormat
Menghargai kepelbagaian
Jujur
Ganjaran
Adil
Bermotivasi
Berolak-ansur dengan kekurangan
Bertolak ansur dengan kepelbagaian
Suka meraikan kemenangan
Cipta slogan
Slogan membawa nilai emosi. Jika kita menggunakan slogan yang sama, bermakna kita memiliki persamaan. Seperti pasukan bola sepak, mereka mempunyai slogan yang melambangkan kekuatan mereka. Jika anda ingin membina pasukan yang kuat, cipta satu slogan yang bersesuaian dengan organisasi saudara.
Cari orang bijak dan berbakat
Terdapat sindrom sesetengah pemimpin tidak suka membina pasukan daripada individu yang cerdik, kreatif, berbakat dan berjiwa besar. Mereka takut kedudukan mereka akan dicabar oleh individu-individu ini. Ini adalah satu pendapat yang salah dan lebih mementingkan diri sendiri. Menurut Steve Ballmer, keputusan yang paling bijak Microsoft lakukan adalah membina pasukan daripada orang-orang yang bijak dari seluruh pelosok dunia.
Jangan pisahkan aktiviti organisasi dengan peribadi
Syarikat gergasi berjaya membina pasukan yang kuat kerana mereka tidak pernah memisahkan kerja di pejabat dan masa-masa santai bagi memupuk keseronokan dalam bekerja. Xerox International mengendalikan hari keluarga syarikat besar-besaran termasuk seluruh keluarga pekerja. Mereka dipupuk dengan rasa bangga menjadi sebahagian daripada syarikat. Mereka membina suatu komuniti dalam syarikat yang mengendalikan hal ehwal pusat penjagaan kanak-kanak, supaya pekerja-pekerja boleh menghantar anak mereka ke pusat penjagaan itu. Dengan cara itu, pekerja mereka lebih tenang dan selesa untuk bekerja.
Menjadi pendengar yang baik
Pemimpin berkarisma membina pasukan yang kukuh untuk keberkesanan organisasi. Mereka mampu mendengar naluri pengikut yang mendalam. Pepatah Arab ada berkata, “Orang yang berakal itu memadailah baginya memahami sesuatu dengan isyarat-isyarat.”
Merangka piagam pasukan
Rangka piagam tentang apa yang disasarkan oleh organisasi saudara. Edarkan kepada setiap orang supaya mereka dipandu oleh kompas tujuan yang sebenar. Contohnya;
Penyataan bermisi
Asas tujuan
Sumber kekuatan
Hasil yang dijangka
Operasi
Membangunkan potensi orang lain
Pemimpin berkarisma dalam membina pasukan yang kuat adalah orang mementingkan peningkatan prestasi orang lain. Ia amat berlainan dengan amalan biasa kita yang mementingkan hal peribadi seperti naik pangkat dan lain-lain.
Disiplin pasukan
Dalam World Class Team, Katzenbach juga berpendapat kualiti yang penting dalam pembangunan objektif pasukan adalah disiplin pasukan itu sendiri. Ia bermula daripada disiplin individu dan menjadi disiplin pasukan. Resort Tenco Berhad meng-gariskan disiplin yang diterima oleh semua kakitangannya berkenaan dengan kehadiran di tempat kerja. Akhirnya semua pekerja berlumba-lumba untuk datang awal.
Kredibiliti adalah tulang belakang kepada pembinaan karisma. Winston Churchill pernah mengatakan, faktor paling penting adalah siapa diri seseorang, selepas itu bagaimana dia menyampaikannya, akhirnya barulah apa yang diperkatakannya. Kajian di barat menunjukkan faktor-faktor yang membina kredibiliti adalah keilmuan, penampilan dan ketulusan seseorang. Di barat, faktor akhlak bukanlah perkara yang penting. Bill Clinton masih dianggap mempunyai kredibiliti walaupun mempunyai skandal seks.
Terdapat perbezaan yang jelas pada persoalan nilai di barat dan di timur.Pada pandangan Islam, faktor paling utama membina kredibiliti adalah akhlaknya. Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik pemimpin yang memiliki akhlak yang terpuji. Membina peribadi yang terpuji lebih penting daripada kemahiran membina karisma yang lain. Semua kemahiran itu boleh diperoleh satu persatu melalui pendedahan dan latihan. Namun jika seorang pemimpin sudah tiada akhlak yang baik, adakah mereka dapat merubahnya?
Kredibiliti boleh dibina, tetapi mengambil masa yang lama. Namun begitu, bagi meruntuhkan kredibiliti hanya memerlukan beberapa minit sahaja. Kredibiliti seseorang ketua itu ada pada orang bawahannya. Kredibiliti pemimpin dan ketua adalah kepercayaan orang bawahan kepadanya dan sejauh mana mereka menghormati dirinya. Mereka juga percaya kepada pemimpin mereka kerana pengetahuan, pengalaman, kepakaran, kemahiran dan kejujurannya.
Menurut para penyelidik, kredibiliti seseorang itu naik apabila dia bersikap terbuka kepada kata-kata, pendapat dan nasihat orang yang banyak persamaan dengan dirinya sendiri. Pemimpin yang berkarisma pandai mencari persamaan bagi membentuk persetujuan yang sama. Ada pemimpin yang gemar menyelitkan jenaka berkaitan kelab bola sepak kegemaran mereka semata-mata ingin membentuk persamaan hobi dan kegemaran. Pemimpin karismatik pandai mencipta kegemaran yang sama dan secara automatik pengikut melihat dia mudah didekati. Menjadi pemimpin yang mudah didekati boleh dipelajari. Seorang pemimpin organisasi intelektual yang berkecimpung ke organisasi sosial boleh merubah diri mereka menjadi lebih mudah didekati.
Prinsip Utama Membina Kredibiliti
Melaksanakan fungsi organisasi
Membina kredibiliti dan kepercayaan mestilah ditunjangi oleh perlaksanaan maksud atau fungsi organisasi. Karisma akan hilang apabila pemimpin mula melaksanakan tugas organisasinya untuk kepentingan sendiri. Apabila terlintas sahaja untuk memuaskan kehendak atau kepentingan sendiri, maka saudara hilang kredibiliti. Jika saudara merasakan dengan menjadi pemimpin, saudara dapat melakukan apa-apa sahaja untuk kepentingan peribadi, maka ia merosakkan fungsi dan tujuan organisasi. Seterusnya pasti saudara kehilangan kredibiliti.
Dalam setiap langkah dan keputusan, pemimpin perlu berhati-hati supaya tidak wujud unsur-unsur kepentingan peribadi dalam hal organisasi. Pemerintah terkenal Empayar Islam Abasiyyah, Harun Al-Rashid sanggup mematikan lilin kepunyaan kerajaan ketika melayan kunjungan anaknya. Pada zaman ini, kejujuran seperti Harun Al-Rashid adalah suatu keajaiban. Perkara kecil dan remeh dapat mencalarkan kredibiliti. Elakkan daripada menjalinkan hubungan sulit dengan pekerja saudara. Ia menimbulkan keraguan pada fokus dan tujuan pemimpin organisasi. Ia adalah racun paling hebat untuk membunuh kredibiliti saudara.
Pemimpin yang lebih mementingkan agenda sendiri tidak dapat memiliki pengikut yang tulen. Pemimpin jenis ini hanya mempunyai penyokong yang berkala. Apabila musim pemilihan, dia merancang jawatankuasa bagi menarik undi dan sokongan. Jika seseorang pemimpin tidak menjalankan fungsi organisasi dan meneruskan agenda peribadi, orang yang menyokongnya juga berpura-pura menyokongnya atas faktor ganjaran projek, bantuan dan lain-lain.
Pemimpin selalu berfikir, orang bawahan adalah mereka yang menjadi hamba kepada pemimpin, melaksanakan perintah pemimpin. Greenleaf menyebutkan, pemimpin yang hebat dilihat sebagai seorang hamba kepada organisasi dan itulah kunci kepada kehebatan atau karisma seorang pemimpin. Cara terbaik menguji kredibiliti seseorang pemimpin adalah mengetahui sama ada pemimpin itu melakukan apa yang mereka katakan ataupun tidak. Apabila seseorang pemimpin berkata berkenaan pentingnya budaya ilmu dalam membina masyarakat, maka orang akan melihat sama ada beliau benar-benar melakukannya dan menghargai budaya ilmu itu ataupun tidak.
Apabila seorang pemimpin mempunyai kepercayaan ke atas sesuatu idea atau nilai, maka ini menunjukkan pemimpin itu mempunyai keazaman yang tidak berbelah bahagi dalam usaha melaksanakan fungsi organisasi. Oleh itu, orang bawahan akan menanam benih kredibiliti ke atas diri pemimpin mereka. Mahatma Ghandi berkata, pengikut bukannya menyokong pemimpin mereka, tetapi mereka hanya menyokong perjuangannya.
Tidak memadai dengan kepercayaan yang kuat pada sesuatu idea, yang penting kepercayaan itu mestilah jelas. Pemimpin yang memiliki kepercayaan yang kabur, bercampur-campur dan tidak tetap menyebabkan beliau tidak dapat memberi tunjuk arah kompas yang sebenar yang dapat diikuti oleh pengikutnya. Cara mengenal pasti seorang pemimpin itu melaksanakan fungsi organisasi ataupun tidak adalah dengan melihat adakah beliau mengambil berat hal-ehwal organisasinya. Khalifah Umar Al-Khattab sendiri turun untuk melihat masyarakat yang tidak cukup makanan pada waktu malam dengan menyamar sebagai orang biasa. Mengambil berat hal-ehwal organisasi memerlukan kesediaan mendengar. Tidak mudah bagi orang bawahan kita untuk menyatakan sesuatu berkenaan hal-ehwal organisasi, apatah lagi soal-soal yang sensitif.
Berkongsi nilai
Perkongsian nilai adalah tali yang mengikat persaudaraan dan persahabatan dalam organisasi. Dalam usaha membina kredibiliti, pemimpin yang berkarisma akan mencari, mencipta dan menghargai nilai-nilai yang dikongsi bersama oleh semua ahli dalam organisasi. Berkongsi nilai bermaksud ada sesuatu yang semua orang dalam organisasi bersetuju. Selalunya, nilai yang dipersetujui mestilah suatu yang bersifat mendasar. Apabila pemimpin gagal mencari suatu nilai yang dipersetujuinya oleh semua, maka timbullah konflik dalam organisasi.
Banyak faedah yang diperoleh apabila pemimpin mampu membina perkongsian nilai dalam organisasinya. Apabila seorang pekerja berkongsi nilai yang sama dengan yang lain dalam organisasi, maka pekerja itu akan lebih setia kepada organisasi. Ini kerana, nilai dalam organisasi adalah sealiran dengan nilai atau kepercayaan dalam dirinya. Pekerja atau pengikut menjadi lebih kreatif.
Terdapat dua teori berkenaan cara memotivasikan pengikut. Pertama, pakar mempercayai bagi meningkatkan prestasi atau kreativiti pekerja, pemimpin mesti memotivasikan pekerja untuk mencapai ke arah itu. Kedua, mereka mempercayai pemimpin hanya perlu menjaga ekologi pekerja atau orang bawahannya mengikut ekologi tiap-tiap individu. Profesor Jeffrey Pfeffer menyatakan, apabila pemimpin dan pengikut atau pekerja memiliki nilai yang sama, maka ia mampu meningkatkan produktiviti, komunikasi dalaman yang lebih cekap, juga mampu mengurangkan kos dan birokrasi.
Dalam usaha mencari nilai yang sama, ia memerlukan pemerhatian yang amat tajam dan mendalam. Mencari nilai dalam organisasi memerlukan persetujuan semua. Jika organisasi saudara mementingkan kualiti produk dan perkhidmatan, maka semua individu dalam organisasi akan bekerja keras untuk memenuhi nilai itu. Pemimpin perlu mempunyai kekuatan dalam menelusur sifat dan kecenderungan pengikut.
Matlamat pemimpin bukannya mencari persamaan nilai yang menyeluruh dengan menolak segala perbezaan ataupun menjadikan persamaan nilai suatu yang mustahil dengan memenangkan perbezaan, tetapi pemimpin perlu bekerja dalam mengimbangi kedua-duanya. Dalam zaman yang mencabar ini, pemimpin sebenarnya memimpin pengikut yang berpengetahuan dan kritikal. Mereka faham, mendalami dan mengikut jalur kepimpinan seorang pemimpin melalui penilaian yang rasional. Sebenarnya, usaha mencari nilai yang sama dalam organisasi menjadi lebih mencabar.
Meraikan perbezaan
Karisma dalam kepimpinan memerlukan pemimpin yang mampu meraikan perbezaan. Kemampuan meraikan perbezaan adalah suatu budaya yang mengakar dalam organisasi dunia mengambil masa yang lama untuk dibangunkan. Oleh itu, pemimpin perlu mencari pelapis muda yang berbakat dan berwawasan besar yang dapat menyumbang kepada kebaikan organisasi tanpa mengambil kira perbezaan-perbezaan.
Jika organisasi saudara mengamalkan sikap menuding jari menuduh orang lain, maka ia memerlukan perubahan yang diumumkan dengan serius dan agresif. Kemahiran framing boleh digunakan sebagai alat merubah budaya itu. Hampir mustahil bagi seorang pemimpin untuk berjaya dalam memimpin perniagaan, parti, komuniti dan organisasi apabila pemimpin gagal menghargai kepelbagaian. Kepelbagaian bukanlah suatu ancaman ataupun kelemahan. Menurut nabi Muhammad, perbezaan adalah suatu rahmat. Ia sebenarnya bukan sahaja memperkayakan organisasi dengan cara tolak ansur dan empati, malah menyuburkan daya cipta dan kreativiti. Pemimpin perlu menunjukkan bahawa beliau menghargai kepelbagaian yang wujud dalam organisasinya.
Kredibiliti dan Pengurusan Hati
K. H Abdullah Gymnastiar menunjukkan, membina kredibiliti adalah bermula dengan menguruskan hati dengan baik. Beliau menyenaraikan tiga perkara utama dalam membina kredibiliti.
Saya mesti jujur
Saya mempercayai jika saya jujur, saya dapat membina kredibiliti, sebaliknya jika saya tidak jujur, ia dapat meng-hancurkan kredibiliti saya
Saya mesti cekap
Walaupun saya menjadi orang yang jujur, apabila saya lalai dalam melaksanakan tugas, ia juga mengurangkan kredibiliti. Untuk menjadi cekap, saya mesti mengembangkan kemampuan wawasan dan terampilan diri secara sistematik. Saya sentiasa melakukan koreksi diri.
Saya mesti berinovasi
Saya sedar segala sesuatu pasti akan berubah. Di dunia ini, tidak ada satu pun yang tidak berubah. Suatu yang tetap adalah perubahan itu sendiri. Oleh itu, saya bersedia untuk mengikuti perubahan kerana jikalau saya tidak mengimbangi perubahan, saya akan menjadi mangsa perubahan. Amat buruklah jika semalam sama dengan hari ini. Celakalah jika hari ini lebih buruk daripada semalam. Untuk menjadi inovatif, saya senantiasa membaca dan berusaha melaksana-kan sesuatu yang berguna. Saya meluangkan masa tertentu untuk merenung dan bertafakur tanpa mengganggu kegiatan harian. Sebagai seorang Islam, sesungguhnya sudah tersedia tempat-tempat untuk merenung dan mencari ketenangan.
TUJUAN UTAMA seseorang individu menceburkan diri dalam perniagaan adalah mendapatkan untung. Bagi mendapatkan keuntungan, sesebuah perniagaan itu perlu mendapat langganan yang besar daripada pengguna. Langganan yang besar sahaja tidak memastikan keuntungan kecuali kos pengeluaran yang dilibatkan dapat memberi kadar keuntungan yang berpatutan.
Keupayaan mendapatkan langganan yang menggalakkan sebahagian besarnya bergantung kepada tempat atau tapak perniagaan yang dipilih. Sebagai contoh, industri peruncitan bergantung sepenuhnya kepada tempat atau lokasi yang dipilih bagi menjamin kejayaannya. Selain daripada itu faktor tempat atau lokasi perniagaan juga penting bagi industri-industri perkilangan dan perkhidmatan. Pemilihan tempat atau tapak perniagaan berkait rapat dengan fungsi pemasaran. Aspek tempat atau lokasi perniagaan perlu dilihat daripada segi elemen ruang dalam kegiatan ekonomi manusia.
Apa Itu Teori Lokasi?
Teori lokasi mempunyai tempat dalam dunia perniagaan khususnya bagi memahami mengapa dan bagaimana wujudnya kawasan dan tempat perniagaan. Pakar-pakar perancang perniagaan mungkin dipengaruhi oleh pelaksanaan pembangunan sesebuah kawasan yang berasaskan model-model tertentu. Misalnya, pembukaan kompleks membeli-belah di pinggir bandar seperti yang terdapat di Milton Keynes, England sebagai projek perantis yang berjaya mempengaruhi ahli-ahli perancang di Eropah dan Jepun.
Kajian mengenai aspek lokasi atau penempatan kegiatan ekonomi dilakukan oleh pakar dalam bidang ekonomi geografi. Pakar ekonomi geografi melihat sistem ekonomi dengan mengambil kira elemen ruang sebagai angkubah utamanya, berbeza dengan pandangan ahli-ahli ekonomi yang menumpukan perhatian kepada sistem dan proses ekonomi. Sumbangan pakar ekonomi geografi melalui teori-teori lokasi yang dikemukakan berguna terutama sebagai asas merancang dan membangunkan kawasan-kawasan industri serta penempatan penduduk.
Teori utama yang dibincangkan oleh pakar geografi ialah Teori Pemusatan. Christaller, seorang pakar geografi terutama dalam teori pemusatan ini mengutarakan konsep lapisan atau hierarki yang tersusun dalam kedudukan sesebuah pusat bandar utama. Beliau mengatakan pusat bandar utama menjadi induk kepada pusat-pusat bandar kecil yang lain. Hubungan pusat bandar utama dengan pusat-pusat bandar kecil yang lain adalah berdasarkan tiga prinsip utama iaitu:
1. Prinsip pemasaran
2. Prinsip laluan
3. Prinsip pentadbiran
Di bawah prinsip pemasaran, beliau mengatakan terdapat dua kategori barang iaitu (a) barang-barang tinggi dan (b) barang-barang rendah. Barang-barang tinggi diertikan sebagai barang yang memerlukan kawasan pemasaran yang luas seperti kenderaan berenjin dan mesin-mesin berat. Barang-barang rendah pula dimaksudkan sebagai barang-barang yang kawasan pemasarannya terhad seperti barang makanan basah dan perkilangan kecil seperti barangan plastik. Prinsip pemasaran ini mengatakan pusat bandar utama dan pusat bandar kecil yang lain masing-masing berkongsi mengagihkan barang keluaran yang diperlukan oleh para penduduk di wilayah itu.
Di bawah prinsip laluan, pusat bandar utama dan pusat bandar kecil yang lain akan berkongsi mengagihkan keluaran barang-barang berdasarkan laluan yang paling dekat. Per-kongsian ini akan menimbulkan perkongsian dua hala antara pusat bandar utama dengan pusat bandar kecil yang lain.
Bagi prinsip pentadbiran, kedudukan pusat pengeluaran barang-barang bagi bandar kecil di kawasan bandar utama menyebabkan bandar utama ini menguasai keseluruhan pengagihan keluaran barang di kawasan yang terlibat. Bentuk yang diwujudkan oleh prinsip pentadbiran ini membawa kepada konsep penubuhan bandar raya atau metropolis.
Seorang pakar geografi Jerman bernama Losch mengembangkan lagi konsep pemusatan ini dengan menekankan kepada prinsip laluan yang sudah dihuraikan di atas. Losch menggabungkan ketiga-tiga prinsip pemasaran, laluan dan pentadbiran ini bagi menerangkan tentangan pola perhubungan antara pusat bandar utama dan pusat bandar kecil yang lain. Pola atau bentuk perhubungan antara pusat bandar utama dengan pusat bandar kecil lain boleh berbeza berdasarkan nilai ‘k’. Nilai ‘k’ ditafsirkan sebagai perhubungan antara bandar-bandar kecil yang mewujudkan suatu pusat bandar besar. Misalnya nilai k = 3 menunjukkan suatu bentuk rantaian di mana setiap penempatan tiga bandar kecil akan mewujudkan suatu pusat bandar besar.
Beliau juga mengatakan perhubungan antara bandar-bandar berasaskan kepada laluan linear. Susunan bandar-bandar melalui laluan-laluan tertentu akan menjimatkan jarak perjalanan dan jumlah barangan dalam perjalanan. Losch mengatakan bentuk susunan bandar-bandar secara linear sesuai dengan tabii manusia yang berpegang kepada prinsip keselesaan. Konsep yang diutarakan oleh Losch menyebabkan lahirnya konsep tarikan dalam bidang ekonomi geografi. Konsep graviti ini yang menitikberatkan kepada prinsip laluan menyatakan tahap tindak balas antara dua pusat bandar bergantung kepada saiz bandar yang berkenaan dan jarak perjalanan di antara keduanya.
Bagaimana Pembangunan Kompleks Perniagaan dan Kawasan Perindustrian di Malaysia?
Bentuk dan corak kegiatan perniagaan dan perindustrian di Malaysia yang wujud pada hari ini adalah hasil perkembangan infrastruktur asas yang sudah digariskan oleh pemerintahan British antara tahun 1877 hingga 1948. Penekanan ke arah perindustrian adalah fenomena baru yang ditonjolkan pada tahun 1980. Asas infrastruktur yang diletakkan ini melahirkan suatu pola atau bentuk pembangunan fizikal Malaysia yang berasaskan industri-industri utama iaitu getah dan bijih timah. Pembangunan fizikal ini meliputi sistem perhubungan dan penempatan kawasan industri serta penempatan penduduk. Pusat-pusat bandar yang ada pada hari ini mempunyai kaitan dengan pembangunan industri getah dan bijih timah. Bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Georgetown, Seremban, Ipoh, Kuala Kangsar dan Klang adalah contoh-contoh yang nyata. Faktor ekonomi, politik dan polarisasi kaum mengusutkan lagi bentuk dan corak aktiviti perniagaan dan perindustrian di Malaysia.
Pembangunan bandar dan kawasan perindustrian adalah rangka asas aktiviti perniagaan dan perindustrian. Di samping itu, sistem perhubungan penting dalam mewujudkan suatu rantaian yang boleh menggerakkan kegiatan ekonomi secara menyeluruh. Perancangan dan pembangunan kawasan perniagaan dan perindustrian akan menentukan arah dan corak kegiatan perniagaan yang akan wujud. Pembangunan kompleks perniagaan dan kawasan perindustrian di Malaysia boleh dilihat dalam tiga peringkat:
1. Peringkat Awal (1877 - 1956)
2. Peringkat Pertengahan (1957 - 1970)
3. Peringkat Penentuan (1971 hingga sekarang)
Peringkat awal bermula dengan penguasaan politik Malaysia atau Malaya waktu itu oleh pemerintah British. Dasar Campur tangan British secara tidak langsung memberikan kuasa ekonomi kepada Malaya. Pemerintahan British meletakkan asas perancangan bagi membangunkan bandar dan wilayah serta kegiatan ekonomi yang berdasarkan dua industri utama iaitu getah dan bijih timah. Sistem komunikasi yang dibina bertujuan mewujudkan suatu rantaian pengagihan yang dapat melicinkan kegiatan ekonomi.
Pada peringkat ini terutama pada awal abad yang ke-20 iaitu sekitar tahun 1900 hingga 1925, rumah-rumah agensi seperti Boustead, Harrison & Crossfield, Sandilands Buttery dan lain-lain mula wujud. Rumah-rumah ini menguasai perdagangan import dan eksport di Malaya. Di sinilah mulanya pembinaan gedung-gedung perniagaan dan pusat membeli-belah. Pada waktu yang sama pembinaan rumah kedai di bandar dijalankan oleh peniaga-peniaga Cina dan India. Reka bentuk rumah kedai yang dibina ialah dua tingkat berderet. Pembinaan rumah-rumah kedai ini terus berkembang sehingga sekarang.
Peringkat kedua adalah peringkat perkembangan yang pesat dalam pembangunan kawasan tapak perindustrian. Ini selaras dengan Dasar Industrialisasi pada tahun 1960. Pihak Berkuasa Pembangunan Industri Pusat (FIDA) sekarang ini MIDA sudah menyediakan tapak-tapak perindustrian di kawasan tertentu bagi menggalakkan perkembangan sektor perindustrian. Pada waktu yang sama, pembinaan kompleks membeli-belah berlaku dengan pesat di bandar-bandar besar terutama di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Pembinaan kompleks membeli belah dan rumah kedai yang dilakukan sebahagian besarnya oleh sektor swasta yang terdiri daripada pemaju perumahan dan syarikat-syarikat harta. Penyertaan agensi-agensi kerajaan dalam pembinaan kompleks perniagaan dan rumah kedai adalah pada peringkat yang minimum. Objektif utama adalah untuk membantu peniaga-peniaga bumiputera mendapatkan tempat dan tapak perniagaan di kawasan bandar. Kegiatan pembinaan kompleks membeli-belah dan rumah-rumah kedai ini diusaha-kan oleh Majlis Amanah Rakyat. Reka bentuk kompleks membeli-belah dan rumah-rumah kedai tidak membolehkan kerja-kerja pembesaran dilakukan sekiranya permintaan untuk ruang perniagaan bertambah ataupun permintaan daripada peniaga-peniaga bumiputera bertambah.
Pada peringkat ketiga, terdapat perancangan dan usaha yang teratur ke arah pembangunan tempat-tempat perniagaan dan kawasan-kawasan perindustrian. Tahun 1971 hingga 1985 adalah tahun pembangunan pesat dalam pembinaan kompleks-kompleks perniagaan dan tapak-tapak perindustrian. Keadaan pasaran harta yang melambung menarik pemaju-pemaju perumahan dan syarikat-syarikat harta supaya membina kompleks membeli-belah dan rumah-rumah kedai. Penyertaan sektor kerajaan dalam membangunkan kompleks membeli-belah dan tapak-tapak perindustrian turut cergas. Usaha ini dilakukan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan MARA. Selain daripada itu, Pihak Berkuasa Pembangunan Bandar (UDA) turut menyediakan kemudahan tempat-tempat perniagaan di kawasan bandar sama ada melalui pembinaan bangunan atau mengagihkan lot-lot perniagaan yang disediakan oleh pemaju-pemaju swasta untuk peniaga-peniaga bumiputera.
Malangnya pada peringkat ini sudah berlaku kemelesetan ekonomi yang menjejaskan perancangan dan pelaksanaan projek-projek bangunan perniagaan dan kawasan perindustrian di Malaysia. Kemelesetan ekonomi dunia yang dialami oleh Malaysia dan negara-negara lain adalah suatu rahmat kerana ia membolehkan perancangan yang realistik dijalankan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.
Bagaimana Memilih Tempat atau Lokasi Perniagaan?
Tempat atau lokasi perniagaan yang dipilih oleh seseorang usahawan bergantung kepada beberapa faktor iaitu:
1. Tanggapan mengenai lokasi yang dianggap baik dan strategik. Bagi usahawan yang sudah lama berniaga, tanggapan ini dipengaruhi oleh pengalaman mereka yang lepas. Usahawan yang baru biasanya tidak mempunyai pengalaman yang lalu dan tanggapan mereka mengenai tempat perniagaan yang baik adalah berasaskan tindakan usahawan-usahawan yang sudah lama berniaga.
2. Jenis perniagaan atau perusahaan yang akan dijalankan dapat dikumpulkan di bawah tiga kategori besar iaitu peruncitan, perkhidmatan dan perkilangan. Setiap jenis perniagaan ini memerlukan lokasi yang tertentu bagi mendapatkan langganan yang menggalakkan.
3. Kemampuan dan kesanggupan membayar perbelanjaan sewa untuk lokasi yang dipilih mengandungi elemen risiko yang berkait dengan sejauh mana pelunjuran yang akan tercapai.
Pada dasarnya, usahawan tidak mempunyai kuasa yang luas bagi menentukan tapak atau kawasan perniagaan. Penentuan tapak atau kawasan perniagaan dibuat oleh ahli-ahli perancang bandar dan kawasan. Sungguhpun demikian, ahli-ahli perancang bandar dan kawasan ini akan mengambil kira pandangan dan kepentingan ahli-ahli perniagaan, pengilang-pengilang, persatuan-persatuan pengguna dan agensi-agensi kerajaan ketika merancang penempatan kawasan-kawasan perniagaan dan perindustrian. Usahawan hanya dapat memilih tempat atau tapak perniagaan selepas kawasan-kawasan perniagaan dan perindustrian dimajukan dan diwartakan. Sebahagian besar kawasan-kawasan perniagaan dimajukan oleh sektor swasta sementara kawasan-kawasan perindustrian dimajukan oleh agensi-agensi kerajaan.
Keputusan menempatkan perniagaan di sesuatu lokasi bergantung kepada sejauh mana tempat yang dipilih itu dapat memenuhi segala kriteria yang sudah ditetapkan oleh seseorang usahawan. Usahawan mempunyai jangkaan tertentu yang diharapkan dari tempat yang akan dipilih. Jangkaan inilah yang dapat digunakan bagi membina sebuah peta mental yang dapat menunjukkan keutamaan pilihan bagi menentukan lokasi perniagaan. Misalnya, usahawan baru menganggap Lembah Klang di mana terdapat Bandaraya Kuala Lumpur dan Shah Alam, Bandar Klang dan Kajang sebagai tempat yang paling baik dibandingkan dengan, Kuala Kubu Baru dan Sabak Bernam.
Usahawan meletakkan beberapa kriteria apabila menentukan sama ada tempat yang dipilih itu baik atau tidak bagi menjalankan aktiviti perniagaannya. Antara kriteria-kriteria yang disenaraikan ialah:
1. Identiti yang dikaitkan dengan kawasan yang dipilih. Sebagai contoh Jalan Sungai Besi di Kuala Lumpur dikaitkan dengan industri percetakan dan Sungai Rasah di Klang dikaitkan dengan bengkel-bengkel servis kenderaan. Ini tidak bermakna industri-industri yang lain tidak wujud di kawasan-kawasan yang dinyatakan. Biasanya industri-industri sokongan juga akan wujud di tempat yang sama.
2. Faktor potensi menembusi dan menguasai pasaran di kawasan sekitar tempat yang dipilih adalah tarikan utama industri peruncitan dan perkhidmatan.
3. Kemudahan infrastruktur yang terdapat di tempat yang dipilih seperti air, kuasa elektrik dan telefon memudahkan urusan perniagaan. Infrastruktur yang baik memudahkan sesuatu perniagaan itu mengadakan perhubungan dengan pihak luar seperti pelanggan, pembekal, agensi-agensi penyelidikan dan institusi-institusi kerajaan.
4. Keluasan tapak perniagaan yang sesuai di sesuatu lokasi diperlukan bagi mendapatkan skala pengeluaran yang paling cekap atau optimum. Usahawan perlu memilih tapak perniagaan yang sesuai dengan jenis industri yang akan usahakan. Misalnya sebuah perusahaan biskut memerlukan luas ketuhar yang ukuran minimumnya 12 kaki padu bagi mendapatkan pulangan yang menguntungkan.
5. Faktor kos pembangunan tapak perniagaan perlu dilibatkan sebelum operasi perniagaan dijalankan. Sesetengah jenis perniagaan yang menggunakan bahan-bahan mentah berbahaya seperti dalam industri kimia dan barang-barang binaan perlu membangunkan tapak perkilangannya sendiri. Lokasi dan keadaan fizikal sesebuah tempat akan menentukan kos pembangunan yang terlibat. Misalnya, kos pembangunan sebuah tapak perkilangan di Lembah Klang lebih rendah berbanding kos pembangunan tapak yang sama di Ulu Selangor.
Apakah Proses Memilih Lokasi Perniagaan?
Proses memilih lokasi perniagaan akan mengambil masa yang singkat atau sebaliknya. Usahawan yang sudah lama berniaga biasanya mengambil masa yang singkat kerana mempunyai pengalaman memilih tempat perniagaan. Ada beberapa langkah yang boleh diikuti oleh para usahawan yang baru apabila memilih lokasi perniagaan.
Pertama, meninjau kemungkinan yang wujud. Suatu senarai kawasan yang difikirkan sesuai untuk perniagaan yang diusahakan perlu dibuat.
Kedua, kumpul maklumat mengenai kawasan-kawasan yang sudah dikenal pasti. Maklumat-maklumat yang diperlukan ialah:
1. Taraf kawasan sama ada bandar raya, bandar atau pekan
2. Prestasi perniagaan
3. Kedudukan infrastruktur
4. Kadar pembangunan
5. Taraf dan gaya hidup penduduk
6. Rancangan pembangunan masa depan
7. Faktor harga lot perniagaan atau kos sewaan
Ketiga, bandingkan kawasan-kawasan yang sudah disenaraikan. Ketika membuat perbandingan, usahawan perlu mengambil kira faktor-faktor nyata dan tidak nyata. Faktor-faktor nyata adalah seperti harga atau kos sewa lot, kos penyelenggaraan perniagaan serta ramalan jumlah pengeluaran dan jualan. Faktor-faktor tidak nyata ialah seperti prestasi kawasan yang berkenaan dan pembaziran atau penjimatan masa dalam urus niaga perniagaan.
Keempat, buat keputusan menempatkan perniagaan selepas dinilai tiap-tiap kemungkinan yang dibentangkan. Keputusan yang dibuat mestilah sesuai dengan objektif perniagaan yang akan dijalankan.
Proses yang dinyatakan di atas sesuai bagi sektor-sektor perkilangan yang lokasinya bukan kriteria utama bagi menjamin kejayaan perniagaan. Bagi industri peruncitan dan per-khidmatan, proses ini perlu dilanjutkan dengan lebih terperinci iaitu dengan mengambil kira kedudukan tapak atau lot perniagaan sama ada dalam sesuatu kawasan atau dalam sesuatu bangunan.
Langkah kelima khusus bagi industri peruncitan dan perkhidmatan iaitu masalah menentukan sama ada tapak atau lot yang strategik dalam sesuatu kompleks atau kawasan dapat menjamin prestasi perniagaan yang baik. Tapak-tapak atau lot yang strategik biasanya terhad dan harus ada keupayaan bersaing bagi mendapatkan tapak atau lot yang diperlukan itu.
Rujukan
Berry B.J.L. An Inductive Approach to the Regionalisation of Economic Development, Essays On Geography and Economic Development. University of Chicago Press, 1960.
Davies R.L. The Nature of Cities, Oxford. London: Pergammon Press, 1973.
Davies R.L., Retail and Commercial Planning. London: Croom Helm, 1984.
Dicken P. and Lloyd P.E. Location in Space-A Theoreetical Approach to Economic Geography. New York: Harper & Row, 1972.
Kamal Salih. Rationalised Growth Strategies in Malaysian Regional Development-Malaysian Economic Development and Policies. Persatuan Ekonomi Malaysia, 1975.
Marshall J.U. The Location of Service Towns - An Approach to the Analysis of Central Place Systems. University of Toronto, 1971.
Northern R.I. and Haskoll M. Planning for People - Shopping Centres, College of Estate Management, Whitenights, Reading, 1977.
Van Dusseldorp D.B.W.M. Planning of Service Centres in Rural Areas of Developing Countries, International Institute for Land Reclamation and Improvement Wageningen, Netherland.
BERDASARKAN PERANAN SEKTOR PERNIAGAAN KECIL dalam pembangunan ekonomi negara, kerajaan serta institusi-institusi kewangan sudah merangka pelbagai langkah bagi membantu sektor perniagaan kecil ini. Langkah-langkah yang diambil ini berasaskan analisis dan tinjauan pihak kerajaan dan institusi-institusi kewangan terhadap masalah-masalah sektor perniagaan kecil.
Apakah Masalah-masalah Perniagaan Kecil?
Semua perniagaan tidak kira kecil atau besar akan menghadapi masalah dalam masa-masa tertentu. Masalah ini timbul dari dalam dan luar sesebuah perniagaan. Masalah yang berpunca sama ada dari dalam atau dari luar ini mempunyai kesan timbal balik yang kuat dan sekiranya ia tidak dikawal, akan menghancurkan sesebuah perniagaan. Masalah yang dihadapi ini mempunyai dua aspek utama iaitu:
1. Masalah khusus bagi sesebuah perniagaan dalam suasana ekonomi yang sedang mencatatkan pertumbuhan sebenar. Masalah ini melibatkan perniagaan baru yang cuba bertapak dalam sesebuah industri dan juga perniagaan yang sedang berusaha mengekalkan kedudukannya akibat saingan yang timbul. Masalah ini selalunya berkait dengan soal pengurusan dan pemasaran.
2. Masalah yang timbul dalam suasana ekonomi yang muram dan atau kurang menggalakkan. Masalah yang dihadapi ini disebabkan oleh faktor luar yang tidak dapat dikawal oleh sesebuah perniagaan. Faktor-faktor luar ini meliputi edaran pusingan ekonomi dunia serta faktor-faktor politik.
Masalah-masalah perniagaan kecil dapat ditinjau melalui tiga perspektif iaitu:
1. Masalah kekurangan modal perniagaan
Masalah ini mempunyai kaitan yang rapat dengan masalah pengurusan wang tunai. Masalah kekurangan modal pusingan timbul daripada beberapa punca iaitu:
a. Amalan jualan secara kredit yang tidak terkawal
b. Pengurusan stok bahan mentah barang jualan yang kurang rapi menyebabkan wang tunai terikat dalam stok
c. Ketiadaan kemudahan kredit daripada pembekal atau pengeluar tender
d. Perbezaan masa antara permulaan proses pengeluaran dengan waktu tunai diterima bagi jualan yang sudah dilakukan
Jualan secara kredit sudah menjadi suatu amalan dalam dunia perniagaan. Perniagaan-perniagaan yang baru bermula sering menghadapi dilema sama ada mahu memberikan kemudahan kredit atau mendapatkan langganan yang kecil. Perniagaan-perniagaan kecil memerlukan stok barang-barang dalam kuantiti yang tertentu sebagai daya tarikan terutama industri peruncitan dan ini memerlukan modal pusingan yang besar.
Dalam industri pembuatan, keperluan-keperluan khusus kepada industri yang memerlukan pesanan bahan mentah dibuat dalam masa dan kuantiti yang tertentu bagi menjimatkan kos belian. Keupayaan mendapatkan kemudahan kredit daripada pembekal atau pengeluar tender mungkin dapat mengurangkan beban modal pusingan. Kemudahan kredit ini jarang diperoleh oleh perniagaan kecil yang baru bermula.
Faktor masa antara masa pembayaran perbelanjaan bagi memulakan proses pengeluaran dengan waktu bayaran diterima bagi jualan yang sudah dilakukan menjadi salah satu daripada masalah yang sering dihadapi oleh peniaga-peniaga kecil. Masalah masa ini berkait rapat dengan amalan memberi kredit kepada pelanggan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pembekal.
2. Masalah pemasaran
Masalah pemasaran perniagaan kecil selalu dikaitkan dengan masalah perniagaan sengit yang timbul dalam sesuatu industri. Secara imbasan, pasaran di Malaysia terbahagi mengikut kaum dan cara hidup. Persaingan ini wujud khususnya dalam industri makanan dan minuman bagi pengeluar-pengeluar kecil bumiputera. Industri makanan dan minuman contohnya, dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar dari luar dan bukan bumiputera. Sebagai contohnya industri minuman dikuasai oleh F & N, Yeoh Hiap Seng dan Nestle.
Di samping itu peniaga-peniaga kecil menyuarakan kesulitan yang dihadapi dalam memasarkan keluaran mereka melalui saluran-saluran pemasaran yang sudah sedia wujud. Masalah ini mungkin timbul daripada tanggapan peniaga-peniaga kecil yang menganggap keuntungan yang lebih dapat dinikmati dengan menjalankan kerja-kerja pemasaran sendiri tanpa melalui orang tengah. Pengeluar-pengeluar kecil jarang mengemukakan persoalan-persoalan teknikal seperti mutu dan pembungkusan sebagai punca masalah pemasaran yang dihadapi.
3. Masalah lokasi
Dalam dunia perniagaan, lokasi sangat penting dan lokasi yang baik atau strategik sangat terhad. Perebutan bagi mendapatkan lokasi yang strategik ini bergantung kepada faktor kewangan dan politik niaga. Kebanyakan peniaga-peniaga kecil menyuarakan masalah mendapatkan tempat atau lokasi yang strategik sebagai punca utama mengapa prestasi perniagaan mereka kurang menggalakkan. Masalah lokasi atau tempat perniagaan ini adalah salah satu daripada faktor yang mempunyai kaitan dengan prestasi pemasaran. Masalah lokasi adalah masalah utama peniaga-peniaga kecil bumiputera di kawasan bandar.
Institusi-institusi kewangan khususnya bank-bank perdagangan, syarikat-syarikat sewa pajak dan syarikat-syarikat kewangan mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masalah-masalah sektor perniagaan yang dikenal pasti oleh institusi-institusi kewangan ini ialah:
a. Faktor kurang pengalaman
Institusi-institusi kewangan meletakkan pengalaman sebagai salah satu angkubah yang akan menentukan kejayaan sesebuah projek perniagaan. Pengalaman di sini mencakupi bidang-bidang teknikal dan pengurusan. Bank-bank perdagangan jarang memberikan pinjaman kepada usahawan-usahawan baru tanpa mengkaji keupayaan dan kebolehan setiap permohonan. Bank perdagangan lebih banyak menumpukan perhatian kepada pengalaman lalu sebelum meluluskan sesuatu permohonan pinjaman.
b. Prestasi kualiti kerja
Prestasi kualiti kerja sangat penting kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Kualiti barang keluaran atau servis bergantung kepada kecekapan dan keupayaan pekerja dan pihak pengurusan sesebuah syarikat. Kebanyakan perniagaan kecil hanya mempunyai satu atau dua orang pekerja mahir di bahagian operasi. Prestasi kualiti kerja inilah yang akan menimbulkan masalah pemasaran khususnya untuk meninjau peluang-peluang yang lalu.
c. Pengurusan kurang rapi
Institusi-institusi kewangan yang berperanan sebagai pemberi pinjaman menitikberatkan pengurusan kewangan terutama dalam pengurusan modal kerja. Perniagaan kecil dengan modal permulaan yang kecil menghadapi masalah besar dalam menguruskan modal pusingan. Sebarang kelewatan dalam penerimaan wang tunai akan menjejaskan kelicinan perjalanan perniagaan. Di samping itu, sebarang penangguhan dalam pembayaran hutang-hutang yang perlu dibayar akan menjejaskan perhubungan dengan pihak pembekal.
Perniagaan-perniagaan yang pada peringkat awal terutama pada tiga tahun pertama sering menghadapi masalah kekurangan modal pusingan akibat penggunaan tunai yang kurang rapi. Misalnya, A yang membuka sebuah stesen minyak petrol selama dua tahun sudah menggunakan sebahagian daripada keuntungan untuk melabur dalam sebuah projek pengangkutan secara usahawan. Kelewatan pulangan daripada projek pelaburan tersebut dan kemunculan perbelanjaan-perbelanjaan luar jangka dalam perniagaan yang sedang dijalankan menyebabkan A berada dalam keadaan tersepit.
Di samping itu, institusi-institusi kewangan juga melihat kepada pengurusan stok kerana ia memberi kesan langsung kepada kedudukan tunai dalam sesebuah perniagaan. Soal pengurusan stok ini lazimnya dialami oleh perniagaan baru yang belum berpengalaman.
Perspektif atau pandangan kerajaan mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh sektor perniagaan kecil dapat ditinjau daripada dua sumber iaitu badan-badan kerajaan yang terlibat dalam menentukan dan membentuk dasar perdagangan dan perindustrian serta agensi-agensi yang mempunyai kaitan langsung dengan pembangunan keusahawanan. Masalah-masalah perniagaan kecil yang dikenal pasti berdasarkan kajian dan data-data terkumpul daripada agensi-agensi dan badan kerajaan yang berkaitan. Misalnya maklumat mengenai masalah pemborong-pemborong bumiputera boleh didapati daripada laporan-laporan Pusaka bumi yang sekarang dikenali sebagai Persatuan Kontrak.
Antara masalah-masalah sektor perniagaan kecil yang dikenal pasti ialah:
1. Pemasaran
Masalah pemasaran perniagaan kecil timbul akibat persaingan yang hebat dalam pasaran yang dibahagikan mengikut angkubah kaum. Suasana ini menyulitkan lagi jika sesebuah industri itu dianggap sebagai industri yang mudah diceburi. Misalnya kebanyakan usahawan baru dalam industri makanan mampu mengusahakan industri membuat kicap, mee kuning atau roti.
Di samping masalah persaingan, ada pula masalah yang berkaitan dengan saluran pemasaran. Masalah sistem saluran pemasaran timbul kerana pertama, peniaga-peniaga kecil khususnya bumiputera tidak mendapat naungan di bawah sistem ini dan kedua, disebabkan sikap ingin menjalankan kerja-kerja pemasaran sendiri. Masalah rantaian saluran pemasaran adalah suatu masalah yang membendung perkembangan kegiatan ekonomi di kalangan bumiputera.
Satu lagi masalah pemasaran yang dihadapi oleh peniaga-peniaga kecil bumiputera ialah masalah persaingan harga dengan peniaga-peniaga lain. Maklumat yang diperoleh menunjukkan punca masalah ini timbul daripada harga yang ditawarkan oleh pembekal-pembekal. Masalah ini sudah lama diketahui dan masih wujud hingga ke hari ini.
2. Lokasi perniagaan
Masalah ini sering dihadapi oleh usahawan-usahawan baru. Usahawan-usahawan yang baru tidak mempunyai pengalaman dalam soal memilih tapak perniagaan. Lazimnya keputusan yang dibuat berpandukan nasihat serta pengalaman daripada peniaga-peniaga yang sudah lama berniaga.
Usahawan-usahawan baru biasanya mengambil kos sewa bangunan atau tapak dahulu apabila menilai dan menentukan lokasi perniagaan. Faktor potensi langganan dan nama baik sesuatu tempat itu dinilai selepas mengkaji kos sewa tapak atau tempat perniagaan yang kurang strategik akan memberikan kesan langsung kepada prestasi sesebuah perniagaan khususnya implikasi kos langganan.
3. Prestasi kualiti kerja
Agensi-agensi kerajaan terutama yang terlibat dalam kerja-kerja piawaian dan penyelidikan mempunyai pandangan yang sama dengan institusi-institusi kewangan mengenai kualiti kerja di kalangan sektor pengilang-pengilang kecil. Prestasi kualiti kerja ini adalah akibat daripada keupayaan yang terhad di kalangan pengilang-pengilang kecil bagi menjalankan kerja-kerja penyelidikan yang memerlukan belanja yang besar.
4. Pembiayaan modal perniagaan
Agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam bidang keusahawanan khususnya dalam aspek latihan dan runding cara seperti Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC), Pusat Daya Pengeluaran Negara (NPC) dan MARA menimbulkan soal pembiayaan modal perniagaan sebagai punca masalah perniagaan kecil sewaktu atau selepas perniagaan dimulakan. Masalah ini menyebabkan berlaku masalah kekurangan modal pusingan. Kerap kali jumlah keperluan modal yang dikenal pasti dan dirancang oleh usahawan didapati tidak mencukupi semasa perniagaan dimulakan.
Masalah pembiayaan modal perniagaan memang menjadi dilema kepada usahawan-usahawan baru. Kekurangan harta-harta yang dapat digunakan sebagai cagaran serta keupayaan meyakinkan penjamin adalah halangan bagi mendapatkan kemudahan pinjaman dari institusi-institusi kewangan. Di samping itu ketiadaan institusi-institusi alternatif yang berpotensi dalam masyarakat sekeliling turut menyebabkan masalah pembiayaan modal dalam perniagaan menjadi suatu dilema.
Apakah Skim Sokongan yang Diperlukan oleh Peniaga Kecil?
Pengalaman pihak kerajaan dan institusi-institusi kewangan mengenali dan memahami masalah yang dihadapi oleh sektor perniagaan kecil di Malaysia membolehkan institusi-institusi ini mengemukakan skim-skim sokongan bagi membangunkan sektor perniagaan kecil.
Di Malaysia, kerajaan mengambil inisiatif utama dalam membantu sektor perniagaan kecil. Peranan kerajaan dapat dilihat melalui penubuhan kementerian khas iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Perusahaan Awam dan sebuah badan berkanun SMIDEC atau Small Business Development Corporation di bawah Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Antara-bangsa. Kedua-dua institusi ini bertanggungjawab membentuk dasar-dasar kewangan dan pencukaian bagi menyelaraskan sistem bantuan sokongan kepada perniagaan kecil dan sederhana. Bantuan-bantuan sokongan yang disediakan mengenakan beberapa syarat tertentu dengan tujuan menjamin keberkesanan sesuatu skim yang ditawarkan. Syarat-syarat ini boleh jadi dalam bentuk jaminan dan pengalaman dalam bidang perniagaan atau sasaran-sasaran kegiatan ekonomi yang diberi keutamaan oleh pihak kerajaan.
Secara kasarnya, bantuan sokongan yang disediakan oleh institusi kewangan dan pihak kerajaan dapat dipecahkan kepada empat bahagian iaitu:
1. Peluang-peluang perniagaan dan pemasaran
2. Kemudahan pembiayaan dan kewangan
3. Khidmat runding cara
4. Skim latihan keusahawanan
5. Penyelidikan dan pembangunan (R&D)
Bantuan dalam bentuk peluang-peluang perniagaan dan pemasaran diberi melalui badan-badan dan agensi-agensi kerajaan. Peluang-peluang perniagaan dan pemasaran terbahagi kepada dua peringkat iaitu:
1. Peringkat dalam negara
2. Peringkat antarabangsa
Pada peringkat dalam negara, terdapat konsep yang khusus bagi membantu pengusaha-pengusaha kecil mendapatkan peluang-peluang perniagaan. Agensi-agensi dan badan kerajaan yang terlibat dengan konsep payung ini ialah Persatuan Kontraktor yang sebelum ini dikenali sebagai PESAKABUMI di bawah Kementerian Kerja Raya, Majlis Amanah Rakyat atau MARA melalui Kayu Sedia, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian melalui Unit Penyertaan Bumiputera, FAMA, Bank Pembangunan Malaysia Berhad melalui Besta Distributors dan Prosper melalui Kementerian Pembangunan Usahawan.
Pada peringkat antarabangsa, peluang-peluang perniagaan dan pemasaran dikendalikan oleh MATRADE atau Perdagangan Antarabangsa Malaysia. MATRADE melalui rantaian pesuruhjaya perdagangannya di seluruh dunia termasuk di beberapa buah negara Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Selatan dan Timur Tengah, Asia Timur dan Asia Tenggara menyediakan maklumat-maklumat mengenai peluang-peluang import dan eksport di peringkat antarabangsa.
Kemudahan pembiayaan kewangan untuk modal tetap dan modal pusingan perniagaan disediakan oleh institusi-institusi kewangan dan agensi serta badan kerajaan yang tertentu sahaja. Institusi-institusi kewangan terdiri daripada bank-bank perdagangan, syarikat-syarikat kewangan, syarikat-syarikat sewa pajak dan syarikat pemfaktoran. Syarikat-syarikat dan bank yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan yang menjalankan urusan pinjaman ditakrifkan sebagai institusi kewangan. Syarikat-syarikat yang terlibat ialah MIDF atau Malaysian Industrial Development Finance dan Pembangunan Leasing Sendirian Berhad. Bank-bank yang berkaitan ialah Bank Pertanian Malaysia Berhad, Industrial Development Bank, Bank Bumiputra Malaysia Berhad, Sabah Development Bank dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad.
Bank Islam Malaysia Berhad yang turut terlibat dalam memberi kemudahan kewangan kepada sektor perniagaan dan perindustrian bagi mengukuhkan lagi kegiatan urusan bank dan perniagaan secara keseluruhan. Institusi-institusi kewangan menyediakan lapan kemudahan utama untuk kegunaan perniagaan iaitu:
1. Overdraf Bank
2. Pinjaman Bermasa
3. Skim Pinjaman Khas (CGC)
4. Tabung Pelaburan Baru
5. Kemudahan Diskaun Akaun Belum Terima
6. Surat Kredit
7. Sewa Pajak
8. Sewa Beli
Kemudahan overdraf bank ini membolehkan perniagaan yang mempunyai akaun semasa dalam sesebuah bank perdagangan mengeluarkan cek melebihi simpanan sebenar yang dimiliki dalam akaun semasanya. Had jumlah overdraf yang dibenarkan tertakluk kepada rekod pelanggan dengan bank yang berkenaan dan budi bicara bank tersebut. Dalam keadaan yang tertentu bank-bank mengenakan syarat cagaran bagi kemudahan overdraf. Kemudahan ini dapat digunakan bagi membiayai modal pusingan. Overdraf bank terhad sehingga RM50,000.00 Lazimnya bank memerlukan cagaran daripada pemohon yang baru. Faedah yang dikenakan berdasarkan baki overdraf setiap hari.
Kemudahan pinjamkan bermasa ini disediakan oleh bank-bank perdagangan dan syarikat kewangan dan ini adalah pinjaman biasa yang dikeluarkan oleh institusi tersebut. Pinjaman ini dikenakan faedah serta memerlukan cagaran. Tempoh masa pinjaman adalah antara 1 hingga 5 tahun. Skim Pinjaman Khas ini adalah suatu kemudahan kewangan yang disediakan khusus untuk pembangunan sektor perniagaan kecil. Skim ini dianjurkan oleh Kerajaan Pusat dan dikawal sepenuhnya oleh Perbadanan Jaminan Kredit. Di bawah skim pinjaman khas ini, tujuh kemudahan ditawarkan iaitu:
1. Skim Jaminan Usahawan Kecil antara RM 10 000 hingga RM 50 000.00. Tempoh pinjaman ialah antara 1 hingga 5 tahun. Kadar faedah yang dikenakan ialah sebanyak kadar faedah pinjaman asas dicampurkan dengan 1.5% setahun.
2. Skim Jaminan Utama Baru. Skim ini khusus bagi menggalakkan pertumbuhan dalam sektor pembuatan dan sektor yang diutamakan oleh Kerajaan Malaysia.
3. Skim Jaminan Untuk Perbankan Tanpa Faedah. Pihak CGC memberikan jaminan pinjaman di bawah sistem perbankan Islam yang ditawarkan oleh Bank-bank Perdagangan yang mempunyai kaunter khas perbankan Islam.
4. Skim Jaminan Anjal. Skim ini memberi jaminan pinjaman kepada usahawan di bawah Tabung Usahawan Kecil dan Sederhana 2 (TIKS), Tabung Pemulihan Usahawan Kecil dan Sederhana (TPIKS), Tabung Usahawan Baru (TUB), dan Tabung Untuk Makanan (TUM).
5. Skim Jaminan Bersepadu. Skim ini khusus untuk sektor berasaskan besi, plastik, elektrik dan elektronik, kimia dan bahan farmasi.
6. Skim Jaminan Laluan Terus. Di bawah Skim ini permohonan dibuat terus kepada CGC. Sektor yang boleh memohon ialah pembuatan, pemasangan dan pemprosesan produk, aktiviti import eksport, pembaik pulih dan francais.
7. Tabung Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Belia. Tabung ini bertujuan membantu golongan belia menceburi bidang perniagaan.
Tabung Pelaburan Baru adalah suatu kemudahan pinjaman untuk sektor perniagaan dan perindustrian. Kemudahan ini ditawarkan oleh bank-bank perdagangan dengan kadar faedah yang rendah berbanding kadar faedah pinjaman biasa. Skim ini dilancarkan dan dikawal oleh Bank Negara Malaysia.
Diskaun Akaun Belum Terima ialah suatu kemudahan iaitu bank membeli segala bil-bil jualan secara kredit daripada pelanggan dengan mendiskaun pada kadar yang tertentu. Hanya bank-bank perdagangan yang tertentu sahaja seperti Maybank Factoring yang menawarkan kemudahan ini. Kadar diskaun yang dikenakan bergantung kepada kemungkinan bank mendapat balik segala hutang. Kemudahan ini dapat menolong mengatasi masalah modal pusingan dalam perniagaan.
Letter of Credit (LC) ini adalah suatu kemudahan yang disediakan oleh Bank Perdagangan dengan mendahulukan bayaran kepada pengeksport luar negeri yang menuntut bayaran daripada pengimport di Malaysia. Bank akan mengenakan faedah serta caj perkhidmatan mengikut tempoh masa yang dipohon oleh pelanggan. Kemudahan ini diguna-kan oleh pengimport bahan-bahan mentah dan barangan dagangan.
Institusi-institusi kewangan khususnya syarikat-syarikat sewa pajak menyediakan kemudahan sewa pajak bagi perniagaan yang ingin menggunakan mesin tanpa memilikinya. Kemudahan ini dapat mengelakkan wang perniagaan yang sangat diperlukan dalam urusan harian daripada terikat dalam aset seperti mesin. Bayaran di bawah kemudahan sewa pajak ini adalah secara bulanan dan jumlah yang dibayar lebih kecil daripada jumlah mengikut secara kaedah sewa beli.
Kemudahan sewa beli ini ialah secara pelanggan membayar beransur-ansur setiap bulan bagi membeli sesebuah aset. Hak milik aset tersebut dituntut bersama oleh syarikat kewangan dan pelanggan berkenaan selagi bayaran ansuran belum terjelas. Kadar faedah dikenakan ke atas jumlah wang yang dipinjam bagi membeli aset tersebut. Kemudahan ini digunakan oleh pelanggan yang ingin mengguna dan memiliki sesebuah aset tetapi tidak mempunyai wang yang diperlukan bagi membeli secara tunai.
Kemudahan pembiayaan oleh pihak kerajaan melalui agensi dan Kementerian tertentu memberikan alternatif kepada pengusaha kecil bagi mencari sumber-sumber pembiayaan. Agensi yang ulung ialah Majlis Amanah Rakyat. Kementerian yang terlibat dalam menyediakan kemudahan pembiayaan perniagaan ialah Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. MARA menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha-pengusaha bumiputera untuk modal tetap dan modal pusingan. Pemberian pinjaman ini tertakluk kepada beberapa syarat tertentu dan had pinjaman ditetapkan sehingga RM 250 000.00. Kementerian Belia dan Sukan pula menyediakan kemudahan pembiayaan modal perniagaan di bawah skim Rancangan Belia Niaganya. Had pinjaman sehingga RM 30 000.00 ditawarkan mengikut penilaian daya maju projek yang dilaksanakan.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyediakan kemudahan pembiayaan bagi membangunkan industri kampung. Kemudahan yang ditawarkan ialah membiayai pembelian aset tetap seperti mesin pembinaan bangunan kilang.
Penubuhan Bank Islam yang pertama di Malaysia pada tahun 1984 membawa perspektif yang lebih meluas dalam soal pembiayaan kewangan dalam urusan perniagaan atau muamalat. Pembiayaan dalam Islam terdiri daripada tiga kaedah utama yang boleh digunakan dalam perniagaan dan perindustrian iaitu:
1. Mudharabah atau Perkongsian untung
2. Musyarakah atau Penyertaan ekuiti
3. Al-Bai’ Bithaman Ajil atau Pembiayaan Aset Tertangguh atau Murabahah
4. Al-Ijarah atau Sewa pajak
5. Al-Ijarah Thumma Al-Bai’ atau Sewa pajak dengan pilihan membeli
6. Al-Qardh Al-Hassan
Kaedah murabahah ialah suatu cara institusi atau badan kewangan mendahulukan pembayaran untuk pihak pelanggan bagi mendapatkan aset tetap seperti lot perindustrian. Pelanggan mesti membayar secara ansuran kepada pihak yang sudah mendahulukan pembayaran iaitu badan atau institusi kewangan. Nilai wang yang perlu dibayar secara ansuran ini ditentukan melalui pembahagian jumlah pembiayaan dengan tempoh bayaran balik. Jumlah pembiayaan ini diperoleh dengan mencampurkan nilai aset pada masa dibeli dengan kadar keuntungan yang pihak bank sudah tetapkan. Misalnya harga pasaran bagi sebuah lot perindustrian ialah RM 500 000.00. Bank akan mengambil untung 5% setahun ke atas RM 500 000.00, jika tempoh yang dipilih oleh pelanggan ialah 15 tahun. Dalam pembelian aset seperti mesin tertakluk kepada susut nilai, pengiraan berdasarkan manfaat yang akan diperoleh selama aset itu digunakan bagi mengeluarkan hasil. Jumlah ansuran yang perlu dibayar ialah RM4,861 sebulan.
Kaedah mudharabah dapat membantu peniaga yang menghadapi masalah membiayai modal pusingan dan modal tetap perniagaan. Konsep ini memerlukan dua pihak iaitu pelabur dan pengusaha. Pihak pelabur akan mengeluarkan keperluan pembiayaan dan pihak pengusaha akan menggunakan wang ini bagi menjalankan aktiviti perniagaan atau perindustrian. Perjanjian adalah suatu perkara penting di antara pihak pelabur dan pengusaha. Perjanjian ini menentukan agihan keuntungan dan tanggungan kerugian dalam usaha sama ini. Pihak pelabur berhak mengetahui kedudukan projek yang dijalankan oleh pihak pengusaha. Bank Islam Malaysia Berhad ada menjalankan kaedah mudharabah yang melebihkan agihan keuntungan kepada pihak yang mengusahakan projek.
Musyarakah atau syarikat atau persyarikatan ialah konsep penyertaan ekuiti yang melibatkan lebih daripada dua pihak mengusahakan sesebuah projek perniagaan atau perindustrian. Pihak-pihak yang terlibat dalam syarikat atau persyarikatan ini akan menyumbangkan bahagian modal masing-masing mengikut perjanjian yang sudah disetujui daripada segi sumbangan modal wang dan tenaga kerja di kalangan ahli-ahli persyarikatannya ini.
Akta Bank Islam dan pindaan akta tersebut dalam Dasar Belanjawan 1987 membuka peluang ke arah penubuhan institusi dan badan kewangan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Khidmat runding cara disediakan oleh pihak kerajaan melalui agensi-agensinya dan institusi-institusi pengajian tinggi. Di samping itu sektor swasta juga turut menawarkan perkhidmatan ini. Agensi-agensi yang menyediakan khidmat runding cara ini ialah:
1. Institut Piawaian Perindustrian Malaysia (SIRIM)
2. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
3. Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI)
4. Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM)
5. Pusat Penyelidikan Logam Malaysia (MIDEC)
6. Perbadanan Pengeluaran Negara (NPC)
7. Majlis Amanah Rakyat (MARA)
Institusi-institusi Pengajian Tinggi yang menyediakan khidmat runding cara ialah:
1. Unit Penyelidikan dan Perundingan Perindustrian (IRCU), Universiti Sains Malaysia
2. Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya
3. Pusat Pembangunan Perusahaan Kecil (SBDC), Universiti Pertanian Malaysia
4. Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC), Universiti Teknologi MARA
Dalam sektor swasta terdapat beberapa syarikat yang menjalankan khidmat runding cara dalam industri-industri yang khusus, termasuk juga syarikat-syarikat asing di Malaysia.
Agensi-agensi kerajaan yang disebutkan di atas memberikan khidmat nasihat daripada segi pengurusan dan perkhidmatan teknikal. Agensi-agensi tertentu mengenakan bayaran minimum untuk kemudahan khidmat nasihat ini. MARDI memberikan khidmat nasihat di bawah skim kilang bimbingannya.
Suatu perubahan besar dalam membantu sektor perkilangan tidak kira kecil atau besar ialah pelaksanaan ‘inkubator perindustrian’ oleh SIRIM dan unit bahagiannya iaitu MIDEC. Konsep pelaksanaan inkubator ini menyediakan kemudahan khidmat kepakaran dan penggunaan mesin bagi pengusaha-pengusaha.
Institusi-institusi pengajian tinggi menyediakan khidmat nasihat dan penyelidikan bagi sektor perkilangan dan pembuatan. Inisiatif utama dijalankan oleh Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya. Perlaksanaan konsep inkubator perindustrian dipelopori oleh Universiti Malaya. Sementara itu Universiti Sains Malaysia dengan Unit Perkhidmatan Perindustriannya sudah menyediakan khidmat runding cara dan penyelidikan bagi sektor perindustrian. Institusi-institusi pengajian tinggi yang lain mempunyai bahagian seperti MEDEC di ITM dan pusat perniagaan kecil di UPM menawarkan khidmat nasihat daripada segi pengurusan perniagaan.
Kemudahan kursus-kursus latihan keusahawanan adalah bantuan sokongan secara tidak langsung bagi membangunkan sektor perniagaan kecil. Kursus-kursus keusahawanan ini merangkumi kursus-kursus yang khusus dalam aspek-aspek pengurusan yang tertentu. Kedua-dua, kerajaan dan sektor swasta menawarkan kemudahan bagi mengikuti kursus-kursus keusahawanan ini. Agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam mengendalikan kursus keusahawanan ini ialah:
1. Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC, UiTM)
2. Pusat Daya Pengeluaran Negara (NPC)
3. Majlis Amanah Rakyat (MARA)
4. Kementerian Belia Dan Sukan (KBS)
5. Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan
Badan-badan profesional seperti Institut Pemasaran Asia (AIM), Institut Pengurusan Malaysia (MIM), Institut Pengurusan Personel Malaysia (MPIM) dan Syarikat-syarikat Rundingan turut mengendalikan kursus yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan dan keusahawanan.
Rujukan
Aziz Mahmud. Malay Entrepreneurship Problem in Development. Kuala Lumpur: SocioEconomic Research Unit, 1981.
Abdul Rahim. Develpoing Indigenous Entrepreneurship, (Unpublished Masters Thessis). New York: Cornel University, 1974.
Bank Negara Malaysia, Credit Guarantee Corporation.
Yep Putih. Keusahawanan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985.
Cerita 1 Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary
TAN Sri Syed Mokhtar al-Bukhary adalah usahawan yang banyak menderma dan banyak melakukan kerja-kerja amal.
Latar belakang kehidupan
Tan Sri Syed Mokhtar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951. Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berniaga. Seterusnya, bapanya ke Thailand. Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Tan Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946, bapanya mendirikan rumah tangga.
Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai tujuh orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga. Tan Sri Syed Mokhtar hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah.
Walaupun demikian, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Keadaan itu juga mendorong beliau supaya memulakan kelas tuisyen percuma sebagai salah satu program kebajikan di bawah Yayasan al-Bukhary yang ditubuhkannya bagi menyumbang ke arah kebajikan. Kini, seramai 15,000 orang pelajar mendapat faedah daripada program tuisyen itu.
Pendidikan
Tan Sri Syed Mokhtar memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila beliau berusia 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Bahru. Beliau berada di situ dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua. Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya kembali ke kampung halamannya di Alor Setar dan menyambung persekolahannya hingga ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal’s.
Sebenarnya, Tan Sri Syed Mokhtar bukanlah orang yang berpendidikan tinggi. Beliau tidak pernah belajar hingga ke peringkat universiti. Namun, ini tidak bermakna beliau seorang yang tidak berilmu. Kebanyakan ilmunya diperoleh melalui pengalaman secara langsung apabila beliau bergiat dalam dunia perniagaan sejak kecil lagi.
Membantu keluarga
Disebabkan keadaan keluarganya yang kurang berkemampuan, Tan Sri Syed Mokhtar membantu ibunya menanam sayur-sayuran bagi menampung pendapatan keluarga. Mereka menjualnya di pasar di Jalan Telok Wan Jah. Beliau juga menjual roti canai di pasar yang sama.
Semasa waktu rehat di sekolah pula, ayahnya akan menemuinya di sekolah dan memintanya membuat simpan kira. Selepas waktu sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar membantu menggembala haiwan peliharaan bapanya di pusat kuarantin berdekatan dengan stesen kereta api Alor Setar. Beliau banyak menimba ilmu dan pengalaman semasa melakukan kerja-kerja itu.
Mula berniaga
Pada tahun 1970-an, perniagaan binatang ternakan bapanya mengalami kemerosotan ekoran tercetusnya wabak kaki dan mulut. Wabak itu merebak ke seluruh Selatan Thailand, Kedah dan Perlis. Semua binatang ternakannya mati begitu sahaja. Sejak itu, Tan Sri Syed Mokhtar mengambil alih perniagaan bapanya dan membuat keputusan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam bidang penternakan. Beliau mula menjual daging secara kecil-kecilan.
Sebenarnya, Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudiannya membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.
Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes 911LS.
Sebenarnya, seorang peniaga Cina menawarkan sejumlah wang bagi baki dua permit yang tidak digunakannya. Tan Sri Syed Mokhtar enggan dan menyerahkan permit itu kembali kepada MARA. Selepas membeli dua buah lori itu, Tan Sri Syed membuka syarikat pengangkutan yang dinamakan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan melantik kerani Cina sebagai pengurus syarikatnya itu.
Tan Sri Syed Mokhtar menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras. Syarikat Kenderaan Sentosa masih wujud sehingga ke hari ini dan memiliki lebih daripada 40 buah lori.
Menubuhkan syarikat
Pada tahun 1974, Tan Sri Syed Mokhtar membeli rumah kedainya yang pertama di Jalan Telok Wan Jah di bawah perjanjian sewa beli dengan UDA atau Perbadanan Kemajuan Bandar.
Seterusnya, pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dia berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.
Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras.
Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar memegang 52 peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus. Perniagaan usaha sama yang diberi nama Bukhary Sdn. Bhd. itu memulakan operasinya pada 15 Julai 1976, di pejabatnya di Jalan Telok Wan Jah.
Perniagaan terus berkembang
Daripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula. Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini mencecah RM250 juta.
Setahun selepas Bukhary Sdn. Bhd. memulakan operasinya, beliau menubuhkan Bukhary (KL) Sdn. Bhd. pada tahun 1977. Syarikat itu ditubuhkan khas bagi mendapatkan kontrak kerajaan yang pada masa itu banyak ditawarkan kepada usahawan Bumiputera. Operasi Bukhary (KL) Sdn. Bhd. dijalankan di rumah kedai empat tingkat di Jalan Pahang yang juga dibeli melalui perjanjian sewa beli dengan UDA. Usahanya membuahkan hasil lagi.
Tan Sri Syed Mokhtar diberikan kontrak bagi membekalkan beras, teh, tepung coklat, tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan. Bahagian bawah pejabatnya diubah suai menjadi pusat pembungkusan.
Apabila beliau mendapat kontrak pembekalan itu, Tan Sri Syed Mokhtar menubuhkan Susu Mas Sdn. Bhd. pada tahun 1979. Syarikat itu juga adalah syarikat usaha sama di antara dirinya yang memegang 51 peratus kepentingan dengan New Zealand Milk Products yang memegang saham selebihnya. Produk Susu Mas Sdn. Bhd. dipasarkan di bawah jenama Fernleaf dan Anchor.
Pada pertengahan tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar menjual kepentingannya dalam Susu Mas Sdn. Bhd. ekoran kemelesetan ekonomi.
Strategi tersendiri
Pada tahun 1978, beliau dijemput menyertai delegasi perdagangan ke Ekso Perdagangan Canton, China. Semasa berada di China, Tan Sri Syed Mokhtar menjalankan sistem barter, iaitu menukarkan kokonya dengan teh dari China. Cuma bezanya sistem barter zaman sekarang dijalankan secara besar-besaran atau pukal. Contohnya, menukarkan 1 tan minyak sawit dengan 1 tan minyak mentah.
Perniagaan pakaian
Selepas mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan, pembungkusan dan barter, beliau kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan.
Ini ekoran kejayaannya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam. Apabila berjaya mendapat kontrak itu, beliau mula mencari pembekal. Pada mulanya, beliau membeli secara terus daripada pengilang.
Selepas membeli daripada pengilang, beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Oriental Garments Uniform Division adalah syarikat usaha sama dengan Oriental Garment yang berpusat di Seberang Prai.
Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.
Perniagaan perkapalan
Tidak cukup dengan perniagaan pakaian, beliau juga bergiat dalam perniagaan perkapalan. Beliau menubuhkan Bukhari Shipping dan mendaftarkannya dengan pihak Perbendaharaan. Bukhari Shipping bertindak sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE. Melalui Bukhari Shipping, Tan Sri Syed Mokhtar membeli sebuah kapal buatan Jerman yang berusia 28 tahun pada harga USD1 juta.
Kapal yang diberi nama Angsa Mas itu digunakan bagi mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, perniagaan itu mengalami kerugian yang menyebabkan beliau terpaksa menjual kapalnya pada harga USD600,000, iaitu rugi sebanyak USD400,000 (USD1 juta – USD600,000).
Pada masa yang sama, beliau mula membabitkan diri dalam sektor pembangunan hartanah. Beliau membeli beberapa bidang tanah di Alor Setar dan memulakan beberapa projek perumahan di bawah syarikat Bukhary Development.
Penglibatan dalam projek penswastaan
Beliau terlibat dalam projek penswastaan Johor Port Sdn. Bhd. dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn.Bhd. Beliau membeli Johor Port melalui tender pada harga RM330 juta. Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. pula dibelinya pada harga RM135 juta. Melalui Johor Port Sdn. Bhd., beliau menjayakan projek Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Kini, Pelabuhan Tanjung Pelepas semakin maju hingga mereka berjaya meyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa, iaitu Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Projek penswastaan ketiganya adalah penswastaan air yang mana beliau menubuhkan Equiventure Sdn. Bhd., iaitu syarikat usaha sama di antara syarikatnya, Kembangan Dinamik dan Pilecon Bhd. serta syarikat Perancis, Oneo. Pegangan Kembangan Dinamik dalam syarikat itu adalah sebanyak 49 peratus.
Kepentingan
Beliau membeli MMC Corporation, iaitu syarikat kejuruteraan pada harga RM3 sesaham daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB). Tan Sri Syed Mokhtar juga memiliki 22.7 peratus pegangan dalam Malakoff Berhad, iaitu syarikat pembekalan elektrik dan 20 peratus pegangan dalam IJM Corporation Berhad di mana perniagaan utamanya adalah pembuatan.
Selain itu, beliau memiliki 18 peratus pegangan dalam Bernas yang terlibat dalam perdagangan beras dan 32 peratus pegangan dalam Pernas International Holdings Berhad, iaitu konglomerat yang terlibat dalam banyak sektor perniagaan. Manakala 18.7 peratus pegangan dalam Fiamma Holdings Berhad, syarikat pemasaran dan pengedaran barangan elektronik serta 100 peratus kepentingan dalam MPH, iaitu syarikat peruncitan dan pengedaran buku.
Objektif penubuhan Yayasan al-Bukhary
Yayasan al-Bukhary ditubuhkan pada Mac 1996 sebagai badan kebajikan yang berperanan membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban.
Antara objektif utama Yayasan al-Bukhary adalah menggalakkan persaudaraan sesama Islam. Yayasan ini terdiri daripada dua buah bahagian. Satu bahagian menjalankan kerja-kerja kebajikan manakala satu bahagian lagi menguruskan penyaluran dana daripada setiap syarikat yang mana Tan Sri Syed Mokhtar ada kepentingan di dalamnya.
Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Selain itu juga, Yayasan al-Bukhary hanya membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia.
Projek-projek utama Yayasan al-Bukhary
Antara projek terbesar yang sedang dijalankan adalah pembinaan Kompleks al-Bukhary yang bernilai RM400 juta di Kedah yang dijangka siap pada akhir tahun 2004. Kompleks itu kelak memainkan peranan sebagai kompleks yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi.
Antara projek besar yang disiapkan adalah Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta. Muzium empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam. Yayasan al-Bukhary juga membina 12 buah masjid di serata negara.
Sumbangan dalam bidang pendidikan
Pada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary mendermakan sejumlah RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah.
Selain itu, Yayasan al-Bukhary juga sering mengadakan dialog peradaban bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan.
Penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah. Walaupun Yayasan al-Bukhary lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary menyumbang sebanyak RM satu juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.
Tan Sri Syed adalah usahawan Bumiputera yang terkaya di Malaysia dengan kekayaan yang bernilai RM1.67 bilion.
Cerita 28 Tan Sri Khoo Kay Peng
TAN Sri Khoo Kay Peng adalah Pengerusi Malayan United Industries Berhad atau MUI.
Kejayaan
Tan Sri Khoo adalah seorang yang rajin dan berdedikasi. Daripada kerani bank, Tan Sri Khoo adalah anak jati Johor mendapat kejayaan besarnya yang pertama dalam dunia perniagaan apabila beliau mentransformasikan syarikat pengeluar berus gigi dan kotak karton yang bermasalah kepada syarikat konglomerat yang berjaya di bawah syarikat induk Malayan United Industries Berhad (MUI).
Empayar perniagaannya merangkumi tujuh buah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), iaitu, Malayan United Industries Berhad (MUI), MUI Properties Berhad, Pan Malaysian Industries Berhad, Pan Malaysia Corporation Berhad, Pan Malaysia Holdings Berhad, Pan Malaysia Capital Berhad, Metrojaya Berhad.
Tujuh buah syarikat luar negara yang juga tersenarai dalam bursa saham negara masing-masing, iaitu Morning Star Holdings (Australia) Ltd., Network Foods Ltd., Network Foods International Ltd., MUI Hong Kong Ltd., Lotus Chocolate Company Ltd., Laura Ashley Holdings Plc dan Regal Hotel Group Plc. Beliau juga memiliki rangkaian hotel yang luas. Rangkaian hotel di bawah MUI ada sebanyak 102 buah dan terdapat di Malaysia termasuk Ming Court Vista Hotel, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Hotel-hotelnya diberi nama Corus Hotel.
Cerita 42 Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar
TAN Sri Mustapha Kamal Abu Bakar adalah Pengerusi Eksekutif, MK Land Holdings Berhad, iaitu syarikat pembangunan hartanah yang ditubuhkan pada 2 Ogos 1978 dan disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 8 Jun 1992.
Asalnya, MK Land Holdings Berhad dikenali sebagai Perfect Food Industries Sdn. Bhd. yang melibatkan diri dalam pembuatan dan penjualan biskut dan bahan makanan melalui kilang mereka di Melaka. Selepas penyenaraiannya di BSKL, ia dikenali sebagai Perfect Food Industries Berhad dan akhir sekali, namanya ditukar kepada MK Land Holdings Berhad pada 27 Ogos 1999.
Jual saham
Namun, pada bulan Jun 2003, MK Land Holdings Berhad menjual semua sahamnya dalam Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd, Markins Corporations Sdn Bhd dan Fairway Review Sdn Bhd dengan harga RM6,739,674. Ini adalah kerana Tan Sri Mustapha bercadang mahu menumpukan perniagaan syarikatnya pada pembangunan hartanah dan pelaburan.
Aktiviti lain
Selain pembangunan hartanah, MK Land Holdings Berhad juga melibatkan diri dalam operasi hotel, operasi tempat peranginan, operasi taman tema, perkhidmatan penyelenggaraan harta dan pelaburan.
Antara subsidiari utama MK Land Holdings Berhad adalah Paramoden Sdn. Bhd., Medan Prestasi Sdn. Bhd. dan Saujana Triangle Sdn. Bhd.
Tumpuan MK Land Holdings Berhad
Walaupun kebanyakan projek MK Land Holdings Berhad adalah berkos rendah dan sederhana, ini tidak bermakna projek-projek itu menggadaikan mutu. Projek-projek perumahan MK Land Holdings Berhad lengkap dengan kemudahan yang terkini dan berkualiti.
Antara aspirasi MK Land Holdings Berhad adalah bagi menjadi pendahulu pasaran dalam memberikan produk yang inovatif dan berkualiti di samping mengekalkan khidmat pelanggan yang baik.
Kepentingan lain
Selain pembinaan dan pembangunan hartanah, kumpulan MK juga mempunyai kepentingan dalam sektor pendidikan dan juga pembuatan perabot. Secara langsung, Tan Sri Mustapha mempunyai 23.45 peratus kepentingan dalam MK Land Holdings Berhad dan secara tidak langsung, beliau memiliki 20.68 peratus kepentingan melalui MKN Holdings Sdn. Bhd.
Projek-projek besar MK Land Holdings Berhad
Di bawah kepimpinan Tan Sri Mustapha, MK Land Holdings Berhad melibatkan diri dalam banyak projek. projek perumahan Damansara Perdana dan Damansara Damai, kedua-duanya di Petaling Jaya. Projek itu, dengan lokasinya yang strategik, iaitu dalam Segi tiga Emas Petaling Jaya. Kawasan itu kini muncul sebagai pusat membeli belah, fesyen, makanan dan hiburan dengan pusat membeli belah seperti One Utama, IKEA, Tesco, The Curve dan Cathay Cineleisure.
Selain itu, Taman Bunga Raya di kawasan Bukit Beruntung iaitu bernilai RM840 juta, projek perumahan Cyberia di Cyberjaya, projek Bukit Merah Laketown Resort di Taiping, Perak iaitu bernilai RM3 bilion dan Langkawi Lagoon.
Latar belakang
Tan Sri Mustapha adalah seorang bekas penuntut Universiti Malaya dalam jurusan Sejarah. Sebelum bergiat cergas dalam dunia perniagaan, beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah. Hobinya adalah membaca.
Penumpuan pada gaya hidup canggih
Semua projek perumahan MK Land Holdings Berhad dilengkapkan dengan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi supaya penghuninya menjadi rakyat Malaysia dengan gaya hidup yang memanfaatkan IT atau e-lifestyle township. Bagi mencapai hasrat ini, MK Land Holdings Berhad memeterai perjanjian dengan Palette Multimedia Berhad bagi membekalkan pengurusan dan operasi rangkaian multimedia yang pantas dan juga membekalkan kandungan dan aplikasi multimedia.
Usahawan yang cintakan kebajikan
Tan Sri Mustapha adalah usahawan dermawan dan suka melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan. Contohnya, beliau banyak memberi sumbangan kepada pendidikan orang pekak. Sumbangannya diiktiraf apabila beliau dianugerahkan anugerah Caring Hearts.
Subsidiari dan syarikat bersekutu MK Land Holdings Berhad
BML Management Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam perniagaan perkhidmatan penyelenggaraan harta.
Bukit Merah Resort Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam operasi hotel, tempat peranginan dan taman tema air.
Dominant Star Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah, operasi hotel dan pelaburan.
Fairview Review Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah.
Golden Precinct Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam penyewaan dan penyelenggaraan hartanah.
MK Land Resources Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pengurusan hartanah dan pelaburan.
MK Land Ventures Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pelaburan dan urus niaga hartanah.
MK Development Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pelaburan dan urus niaga hartanah.
Prominent Valley Berhad, subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam operasi padang golf.
Pujaan Pastik Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam operasi hotel.
Segi Objective (M) Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah, hotel, tempat peranginan dan taman tema air.
Sumbangan Berkat Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam menguruskan hotel.
Tema Teladan Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah, operasi hotel dan pelaburan.
Vibrant Leisure Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah.
Zaman Teladan Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah.
Markins International (HK) Ltd., syarikat bersekutu MK Land Holdings Berhad dengan 14 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pengedaran bahan makanan.
Melur Unggul Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pengurusan hartanah.
Selepas mendapat tugasan, gunalah kaedah "Memotong Kek Harijadi". Baik, katakan memang tiada pilihan lain melainkan saudara terpaksa melakukan tugas itu. Mungkin kerana faktor kemahiran saudara, ataupun tanggungjawab saudara, ataupun mungkin faktor keluangan dan faktor-faktor lain. Katakan ia adalah satu tugasan berat dan besar yang mesti saudara sempurnakan dalam jangka masa yang tertentu. Sudah pasti ia sangat membebankan bukan?
Jangan bimbang dan jangan khuatir, kerana masih ada 'resipi agihan tugas' yang masih boleh disajikan untuk saudara. Saudara masih boleh mengurangkan bebanan saudara dengan membahagi dan mengagihkan tugasan saudara kepada orang lain. Ini bermakna, saudara perlu 'memecahkan' tugasan saudara kepada beberapa bahagian dan mengagihkan kepada orang yang sesuai dan layak untuk melakukannya.
Bagaimana hendak memecahkan tugasan saudara yang berat itu? Secara ringkasnya, pertama sekali, saudara hendaklah memahami secara jelas apakah matlamat utama tugasan itu. Kedua, saudara juga hendaklah mengetahui apakah proses-proses yang perlu untuk mencapai matlamat itu, ketiga, kategorikan proses-proses itu, dan keempat pastikan pecahan-pecahan itu dapat mencapai objektif yang disasarkan.
Selepas saudara membuat bahagian-bahagian itu. Apa yang perlu saudara lakukan ialah membuat pengagihan tugas seperti yang kita bincangkan sebelum ini. Saudara perlulah lihat kemampuan saudara untuk melakukannya, dan juga daripada aspek-aspek lain.
Mudah bukan? Tetapi ramai di kalangan kita yang tidak pernah membuatnya, bahkan tidak pernah terfikir hendak membuatnya! Lalu mereka pun mengeluh bahawa merekalah manusia paling sibuk dalam dunia ini. Padahal mereka masih jauh daripada kejayaan, kerana asyik menanggung urusan-urusan yang dapat dikurangkan. Mereka seolah-olah 'tamak' dengan setiap apa yang dilonggokkan kepada mereka. "Semua ini milik aku!" Mereka tamak dengan kerja, padahal mereka malas hendak mengerjakannya. Oleh itu saudara, jangan jadi tamak, potonglah kek itu, dan bahagikan kepada mereka di sekeliling saudara.
Sebelum menerima sesuatu kerja dan tugasan, gunalah kaedah “Siapa lagi?” Ada dua syarat untuk kaedah ini.
Pertama, saudara mestilah dalam kedudukan mempunyai hak untuk berdiplomasi. Hak diplomasi adalah hak untuk saudara mempertikai, mencadangkan, bertanya, dan memberi idea. Jika saudara seorang pekerja bawahan, atau orang gaji, biasanya saudara tiada hak ini.
Tetapi apabila saudara bekerja dalam persatuan sukarela, ataupun bersama dengan rakan sekerja di pejabat, biasanya saudara mempunyai ‘kuasa berdiplomasi’. Cuma masalahnya, saudara yang tidak pernah menyedari kuasa ini, ataupun mungkin tidak pernah menggunakannya dengan betul.
Syarat yang kedua adalah, kaedah ini mesti digunakan dengan keikhlasan dan ketulusan hati. Jika tidak, ramai yang menyalahgunakannya dengan mencari alasan bagi menolak sesuatu tanggungjawab dan peluang. Jika ini berlaku, saudara sebenarnya menjadikan hidup saudara beku dan tidak ber-kembang. Jadi, beringatlah, jangan salah gunakan kaedah ini!
Bagaimana ia berfungsi? Caranya mudah, setiap kali kerja diserahkan kepada saudara, saudara perlu bertanyakan pada diri saudara sendiri, adakah saudara satu-satunya orang yang boleh melakukan tugasan itu? Adakah disebabkan kemahiran, pengalaman, integriti, autoriti dan faktor-faktor lain yang ada pada saudara, maka andalah satu-satunya orang yang perlu melakukannya? Soalan ini dibantu dengan satu lagi bentuk soalan sampingan, ada siapa-siapa lagi yang boleh me-lakukannya? Ini adalah cara mencari alternatif yang lain apabila saudara tidak dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan.
Jika saudara sudah mempunyai tugasan yang banyak, dan melebihi had kemampuan saudara, dan dalam masa yang sama, terdapat ramai lagi orang lain yang berkemampuan melaku-kannya, berdiplomasilah bagi mengagihkan tugasan itu kepada orang lain. Bagaimana hendak melakukannya? Saudara perlu menggunakan bahasa dan adab yang betul dan tepat. Jika tidak, orang lain menganggap saudara hanya ingin mengelak semata-mata, tanpa alasan yang kukuh.
Oleh yang demikian, saudara hanya boleh menggunakan kaedah ini jika saudara perlu sahaja, dan jangan sekali-kali menggunakannya jika saudara ber-kemampuan, ataupun jika saudara sahajalah yang mampu melakukannya, kerana jika saudara 'mempermainkan' kaedah ini, kelak orang tidak lagi mempercayai saudara jika saudara benar-benar dalam kesempitan.
Bagaimana hendak berkomunikasi dengan betul bagi mengagihkan tugasan? Kita akan bincangkan sebentar lagi. Tetapi sebelum tu kita tengok dulu tip-tip lain yang boleh saudara gunakan dalam mengagihkan tugasan-tugasan saudara.
Bagaimana Hendak Melakukan Kaedah "Siapa Lagi?" dengan Berkesan?
Pertama, pastikan saudara benar-benar memahami apakah tugasan yang hendak diserahkan pada saudara. Jika saudara sudah dari awal lagi mendengar sambil lewa, saudara pasti dianggap sebagai menolak tugasan itu dari awal lagi. Biarpun saudara sudah mempunyai puluhan kerja pada hari itu, cuba luangkan sedikit masa untuk mendengar penjelasan tugasan, dan fahami apa yang dikehendaki. Saudara boleh mengulang-ulang setiap penjelasan dia, atau merumuskannya, sebagai tanda saudara benar-benar menghargai apa yang diperkatakan.
Kedua, nyatakan minat saudara untuk melakukannya. Lahirkan minat yang ikhlas dalam hati untuk membantu orang lain, atau untuk belajar daripada tugasan yang diberikan. Katakan seperti " Hmmm.. menarik tu!" ataupun "Dari dulu lagi saya telah pun berhasrat hendak melakukannya." ataupun "Saya memang berminat hendak membantu tuan, apatah lagi perkara ini sangat penting.” Timbulkan rasa minat hendak melakukannya, tetapi oleh kerana tidak punya masa dan kemampuan, saudara terpaksa menolaknya.
Ketiga, jelaskan situasi saudara. Biarlah orang itu memahami situasi saudara yang sememangnya tidak dapat memenuhi perkara itu. Fahamkan mereka bahawa saudara sedang dan akan menjalankan beberapa tugasan yang sangat mustahak. Pilihlah perkara-perkara penting yang saudara sedang laksana-kan, atau akan laksanakan. Atau saudara boleh nyatakan sama beberapa tugasan yang memerlukan masa yang banyak. Fokus saudara ialah, biarlah dia berada dalam ‘hidup’ saudara, dan seolah-olah merasai kesibukan yang saudara sedang dan bakal hadapi. Dengan itu, ia dapat menimbulkan 'empati' terhadap diri saudara.
Keempat, saudara gunakan komunikasi berbentuk meminta cadangan. Setelah orang itu memahami keadaan saudara yang tidak mampu melakukannya, mintalah cadangan daripadanya, supaya tugasan itu diberikan kepada orang lain. Saudara boleh ungkapkan seperti, “ Saya harap tuan faham situasi yang saya hadapi, tuan tahu ia bukan mudah untuk saya hadapi. Jadi, apa pendapat tuan tentang tugasan ini? Apa kata kalau kita minta Encik Azman melakukannya? Saya tahu dia mempunyai kemahiran yang cukup untuk melaksanakan tugas ini dengan baik.” Ataupun saudara boleh sahaja berkata, "Saya rasa tuan lebih arif tentang bebanan kerja yang saya tanggung sekarang bukan? Saya tak tahu apa yang saya patut buat untuk menolong tuan, tetapi saya perlukan cadangan daripada tuan jika saya tidak dapat menerima tugasan ini"
Kelima, ucapkan terima kasih kepada orang itu kerana memahami situasi yang saudara hadapi. Nyatakan kekesalan saudara kerana tidak dapat membantu. Kemudian, nyatakan juga harapan saudara untuk membantunya pada masa hadapan jika berkemampuan. Senyumlah dengan mesra dan berjabat tanganlah sebelum berpisah.
Ucapkan terima kasih kepada ketua atau bos saudara apabila dia memahami keadaan saudara yang sibuk.
Ini adalah alasan yang biasa kita dengar apabila ditanya kenapa tidak agihkan tugasan saudara kepada yang sepatutnya. 'Tak biasa'. Satu alasan yang biasa dan tidak konkrit. Saudara tak biasa kerana saudara tidak pernah mencuba. Mike Tyson juga tidak biasa bertinju kalau dia tidak cuba bertumbuk. Bill Gates tidak biasa dengan komputer kalau tidak berani belajar. Dan sudah tentu Siti Nurhaliza tidak biasa merakam album kalau dia tidak berani mencuba!
Jadi apa yang saudara perlu lakukan adalah, keluarkan diri saudara dari ketakutan untuk mencuba. Mulakan langkah baru bagi mendapatkan hasil yang lebih baik. Mungkin saudara rasa gaya kerja saudara sudah begitu baik sekarang, tapi saudara tidak tahu ada lagi yang lebih baik. Saudara tidak tahu kerana saudara tidak pernah mencubanya. Ia seperti orang yang hanya makan nasi berlaukkan ikan kering. Sudah pasti dia merasakan ikan keringlah masakan yang paling sedap di dunia. Kenapa? Kerana dia tidak pernah mencuba masakan lain yang jauh lebih sedap. Dia hanya tahu kesedapan masakan lain sekiranya dia mencuba. Begitu juga dengan saudara. Cubalah belajar bagaimana hendak mengagih tugas. Pasti lepas ini saudara akan terpaut dengan 'kelazatannya'.
Lihatlah rajah 33.1. Bagaimana pada awalnya, saudara terpaksa melakukan empat bebanan tugasan yang dipikul oleh saudara. Tetapi dengan kemahiran mengagihkan tugasan, saudara hanya perlu melakukan satu sahaja! Bayangkan apabila situasi ini berlaku sepuluh kali, seratus kali, ataupun seribu kali. Berapa banyak tenaga dan masa yang saudara dapat jimatkan dengan kemahiran mengagihkan tugasan? Banyak bukan?
Tip dalam Mengagihkan Tugas
Ada beberapa peraturan yang mesti saudara amalkan dalam pembahagian tugas. Ia bermula daripada peringkat awal sebelum saudara menerima tugasan, sehinggalah kepada tugasan itu selesai sempurna seperti yang dikehendaki. Berikut adalah peraturan-peraturan yang mesti saudara semaikan selalu. Ikuti penerangan lanjut peraturan-peraturan ini dalam bab seterusnya. Saudara boleh cetak besar-besar dan tampal dalam bilik saudara:
Sebelum menerima sesuatu kerja dan tugasan, gunalah kaedah “Siapa lagi”?
Selepas mendapat tugasan, gunalah kaedah “Memotong Kek Harijadi"
Semasa membuat kerja, gunalah kaedah “Mencari bayang-bayang”
Apabila selesai, gunalah kaedah “ Merenjis Air Mawar”
Apabila membicarakan tentang persoalan mengagihkan tugas, saya teringat satu sesi soal jawab dalam sebuah seminar pengurusan yang dikendalikan oleh saya. Ada seorang peserta yang bangun dan bertanyakan satu soalan, bagai-manakah saya membahagikan masa ketika belajar di IPT. Ini kerana dalam masa yang sama saya menjadi Presiden MPP, Pengerusi BBMN, pengacara televisyen, guru tuisyen dan beberapa lagi komitmen yang lain.
Dengan senyum saya berkata, “Kenapa kita asyik membahagikan masa, sehingga terlupa hendak membahagikan dan mengagihkan tugas? Kenapa kita sering kali melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya kita lakukan? Sedarkah sebahagian daripada kerja dan beban yang saudara tanggung sekarang adalah milik orang lain? Dan sedarkah saudara semua berapa ramai orang yang kecewa kerana tugasan mereka 'dirampas' oleh orang lain?" Kemudian, dengan satu lontaran sebegitu, ramai yang mengangguk-angguk, dan di wajah mereka jelas ternampak satu idea baru yang begitu asing bagi mereka iaitu 'mengagihkan tugas'.
Kenapa Perlu Agihkan Tugas?
Kenapa perlu bahagikan tugas? Jawapannya mudah kerana manusia mempunyai had dan batasan dalam melakukan sesuatu. Jika sebuah kereta mempunyai had laju hanya 160km sejam, saudara tidak berdaya memecut sehingga 190km sejam, atau kereta itu akan hancur. Begitu juga sebuah perahu yang hanya boleh memuatkan 5 orang penumpang, tidak boleh diisi lebih, ataupun penumpangnya akan mati kelemasan!
Jika kereta dan perahu ada had kerja mereka, sudah pasti manusia pun ada had kerja mereka. Begitu juga saudara! Sering kali berlaku di kalangan kita yang menjadi pak turut menerima apa sahaja yang disuruh dan melakukannya bersendirian. Tidak salah untuk menjadi orang yang ringan tangan (bahkan itulah yang sepatutnya), tetapi jangan pula sampai saudara tak cukup tangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Dalam organisasi, biasanya saudara mempunyai ‘orang bawahan’ ataupun ‘rakan sekerja’ ataupun ‘pembantu peribadi’. Mereka inilah yang boleh membantu saudara melakukan tugasan saudara yang tidak tertanggung itu. Jangan biarkan mereka ini ‘kesepian’ tanpa tugasan. Hargailah mereka dengan mengagihkan sedikit tugasan saudara kepada mereka.
Jika dalam keluarga, suami boleh meminta tolong isterinya memandu kereta balik ke kampung, apabila si suami kepenatan bertugas diluar. Si isteri pula bisa juga meminta suami menanak nasi dan menjerang air sementara si isteri menukar lampin bayi kesayangan. Jika si isteri hendak melakukan semua, alamat tunggang gelangganglah si isteri dengan kerja-kerja itu. Oleh itu, janganlah menyeksa diri saudara, agihkan kerja.
Satu lagi alasan yang kukuh kenapa kita perlu mengagihkan tugas, adalah kerana dalam mana-mana organisasi, sudah ada struktur dan hierarkinya yang tersendiri. Ada jawatan yang diwujudkan, ada bidang kuasa yang diterima pakai, ada batasan kerja yang ditetapkan. Semua ini bertujuan memastikan organisasi itu berjalan dengan baik dan tersusun. Jika ada sesiapa yang tidak mematuhinya, alamat rosaklah organisasi itu. Oleh yang demikian, saudara kena sering bertanya, “Adakah apa yang aku lakukan ini adalah apa yang patut aku lakukan? Atau aku telah menyusahkan diri sendiri melakukan tugas orang lain?”
Membuat kerja orang lain bunyinya macam baik hati, tetapi bagi sesebuah organisasi, ia mungkin memudaratkan. Ada orang yang tidak suka kerja mereka di’ceroboh’ oleh orang lain seolah-olah kredibiliti mereka tercabar. Seolah-olah mereka pemalas dan tidak tahu buat kerja. Seolah-olah mereka tidak layak untuk kenaikan pangkat dan gaji.
Oleh itu, jika saudara mendapat beberapa tugasan, kenal pastikan terlebih dahulu adakah ia bidang kuasa saudara. Jika ia adalah bidang tugas orang lain, agihkanlah kepada mereka. Jika saudara masih ingin melakukannya, mintalah kebenaran daripada yang tuan punya kerja itu. Tetapi sebenarnya ini tidak digalakkan apabila saudara masih ada tugasan yang mesti saudara selesaikan
Inventori atau stok memainkan peranan besar dalam sesuatu perniagaan. Ini kerana kedudukannya sebagai aset terpenting yang menjadi nadi dan nyawa kepada kesinambungan operasi.
Sesuatu perniagaan itu terus wujud kerana ia beroperasi dalam jualan yang berterusan bagi barangan atau menawarkan perkhidmatan. Hasil daripada penawaran barangan ataupun perkhidmatan itu dibayar dalam bentuk harga.
Bagi perniagaan yang berbentuk pembuatan atau pengeluaran barangan, barangan yang dihasilkan untuk dijual dinamakan inventori.
Manakala perniagaan yang bersifat perdagangan, barangan yang dibeli untuk dijual semula itulah yang dikatakan inventori. Contohnya, bagi peniaga beras, beras yang dibeli bagi tujuan dijual semula adalah inventori. Namun begitu, bagi seorang peniaga basikal, beras yang dibeli bagi tujuan kegunaan rumah tangga bukanlah inventori kerana ia dibeli bukan bertujuan dijual semula tetapi lebih kepada kegunaan peribadi pemiliknya.
Apa itu inventori? Ia juga dikenali sebagai stok oleh sesetengah peniaga. Inventori atau stok memberi maksud yang sama.
Perkataan stok biasanya dikaitkan dengan saham. Tetapi stok di sini bermaksud barang-barang atau bahan-bahan yang disimpan oleh sesebuah organisasi. Ia adalah bekalan pelbagai item yang disimpan bagi kegunaan pada masa akan datang dan sudah tentu dijual semula.
Perkataan inventori pula menjelaskan senarai item yang dipegang dalam stok. Istilah ini dipakai di mana-mana sahaja dan di Amerika perkataan inventori merujuk pada senarai stok dan stok itu sendiri.
Dalam perbincangan seterusnya, makna stok dan inventori diambil seperti mana yang difahami ramai orang dan ia membawa maksud yang sama. Perkataan ‘kawalan’ pula menjelaskan aktiviti. Maka kawalan inventori bermakna beberapa aktiviti dan tatacara yang digunakan bagi memastikan jumlah yang tepat bagi suatu item yang dipegang dalam stok.
Dua lagi istilah penting dalam kawalan inventori adalah item dan unit. Item adalah suatu jenis barangan yang disimpan dalam stok, jelasnya suatu entri dalam inventori. Unit menggambarkan saiz piawai atau kuantiti bagi item dalam stok. Katakanlah sebuah kedai menyimpan se karton tin sardin beratnya 500 gram setiap satu. Item adalah kesemua tin sardin 500 gram manakala unitnya adalah setiap tin sardin. Samalah juga dengan item bagi 500 mililiter air mineral dan unitnya adalah setiap botol air mineral. Petrol tanpa plumbum di stesen minyak adalah suatu item manakala unitnya adalah setiap liter petrol itu. Setiap organisasi memegang stok dalam pelbagai bentuk. Oleh sebab pegangan stok ini memerlukan belanja yang tinggi dan pengurusan yang teliti, persoalan asas sering ditimbulkan.
Persoalannya, “Mengapakah sesebuah organisasi perlu memegang stok?” Alasan utama adalah pegangan stok membolehkan organisasi itu mengendali perubahan dan ketidaktentuan dalam bekalan dan permintaan. Dengan kata lain, stok menyediakan suatu ruang antara pembekal dan pengguna.
Inventori dapat diklasifikasikan kepada dua kelas utama iaitu inventori perdagangan dan inventori pengeluaran.
Inventori perdagangan ialah yang mengandungi pelbagai item yang berbeza. Contohnya stor barang runcit, barangan makanan dalam tin, daging dan barangan susu. Item-item inventori jenis ini mempunyai sekurang-kurangnya dua ciri utama iaitu:
1.Ia dimiliki oleh syarikat itu sendiri.
2.Ia berada dalam keadaan bersedia untuk dijual dalam aktiviti biasa sesebuah perniagaan.
Bagi kategori inventori pengeluaran pula, ia juga dimiliki oleh syarikat. Dalam kes-kes tertentu, barangan-barangan yang ada di dalam stor belum berada dalam keadaan bersedia untuk dijual. Sebaliknya ia dibahagikan pula kepada tiga bahagian iaitu:
Barang siap
Barang siap ialah barang yang sudah siap diproses dan dijangka bersedia untuk dijual. Ia mengandungi adunan kos bahan mentah, buruh dan belanja-belanja. Pada umumnya ia mengubah rupa asal bahan dan wujud sebagai suatu barang siap yang bakal dibeli oleh pelanggan. Contohnya bahan utama membuat kereta adalah besi. Apabila besi ini diproses, rupa asal besi tadi berubah rupa bahkan ia diubah menjadi sebuah kereta.
Barang dalam proses
Barang dalam proses ialah barang yang belum siap sepenuhnya. Ia mungkin mengandungi 50% bahan, 30% belanja buruh dan 60% belanja-belanja lain. Ia dalam keadaan belum bersedia untuk dijual dan perlu diproses lagi bagi menyiapkan. Contohnya apabila pengusaha roti canai terpaksa melaporkan inventori, maka roti canai yang separuh siap berupa gandum yang diuli tetapi belum dibakar.
Bahan mentah
Bahan mentah dapat dibahagikan kepada dua iaitu bahan mentah langsung dan bahan mentah tidak langsung. Bahan mentah langsung ialah kos bahan mentah yang dapat dikenal pasti dengan jelas dalam pengeluaran sesuatu barangan. Ia biasanya boleh dilihat, disentuh dan dipegang dalam struktur barangan.
Contohnya, kayu adalah bahan mentah langsung dalam pengeluaran meja kayu. Manakala bahan mentah tidak langsung pula ialah bahan mentah yang tidak boleh dikenal pasti kepada sesuatu barangan yang khusus. Ini adalah kerana ia digunakan bagi manfaat pelbagai barangan. Contohnya bahan mentah yang digunakan bagi memperbaiki mesin dalam pengeluaran pelbagai jenis meja.
En Samsudin Wahab,pengarang buku 'Pengurusan & Teknologi Pejabat', 'Mengurus Majlis & acara Rasmi', 'Panduan Protokol dan Tatatertib Majlis' dan 'Mengurus dan Mentadbir Pejabat' menulis berkenaan pengalamannya menulis buku.
1) Sila En Samsudin berikan sedikit sinopsis berkenaan buku Tuan.
Saya ingin menyorot buku 'Panduan Protokol dan Tatatertib Majlis'.
Buku ini ialah buku panduan mengurus sesuatu majlis rasmi yang selalunya dianjurkan oleh organisasi-organisasi. Antaranya ialah jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, institusi-institusi pendidikan termasuk sekolah, jawatankuasa-jawatankuasa yang diwujudkan secara ad-hoc bagi mengendalikan majlis tertentu, jawatankuasa kampung dan penduduk taman perumahan dan sebagainya.
Antara lain saya memasukkan panduan mengurus majlis-majlis seperti program latihan berkala jabatan, majlis suaikenal, program anak angkat, jamuan tahunan, perkhemahan, pertandingan fesyen, kursus-kursus jangka pendek dan berbagai lagi.
Kita semua sedia maklum bahawa berbagai persiapan perlu dibuat sebelum, semasa dan selepas sesuatu acara itu dianjurkan. Buku ini telah memberikan garispanduan lengkap bagi sesebuah jawatankuasa dalam merancang acara, mengendalikan acara serta apakah yang perlu dibuat apabila sesuatu acara itu telah selesai.
Buku ini juga menyediakan bentuk surat jemputan, kad jemputan tetamu, serta bagaimana bajet boleh disediakan. Selain itu cara pemilihan tempat dimana acara itu hendak dijalankan juga dinyatakan.
Buku ini boleh dirujuk juga oleh persatuan-persatuan pelajar, serta guru-guru sekolah yang mana sentiasa terlibat dalam penganjuran berbagai acara atau event yang diadakan setiap tahun.
Selain itu para usahawan juga boleh menjadikan panduan dalam merancang berbagai majlis demi menaikkan nama dan reputasi mereka di dalam masyarakat. Masyarakat meletakkan nilai yang tinggi kepada usahawan-usahawan yang prihatin kepada kehidupan masyarakat disekelilingnya.
2) Ceritakan sedikit bagaimana buku ini terhasil, dari peringkat idea, perbincangan dengan editor, penulisan, modifikasi dan akhirnya sehingga menjadi buku.
Apabila saya menceburi kerjaya sebagai pensyarah, saya dilantik sebagai penasihat berbagai persatuan untuk pelajar-pelajar universiti. Walaupun masa mengajar di sekolah dulu saya tidak begitu terlibat dengan jawatankuasa sukan dan acara tahunan sekolah kerana tiada banyak peluang ketika itu. Setelah dilantik menjadi penasihat persatuan pelajar maka tergeraklah di hati saya untuk mengkaji dengan mendalam bagaimana sesuatu program atau acara itu boleh dilaksanakan dengan berkesan.
Saya pun mengambil keputusan untuk menggabungkan berbagai idea bagi menghasilkan buku ini dengan membuat banyak rujukan buku-buku luar negeri yang tidak begitu banyak di pasaran. Maka oleh kerana kos mencetak sebuah buku sangat mahal, maka jalan yang mudah ialah mendapatkan penerbit buku yang paling aktif di pasaran, Banyaklah syarikat penerbitan buku yang saya hubungi tetapi ada yang memberi respons tetapi taklah sebaik respons yang diberikan oleh PTS Publications.
Setelah menerima tawaran daripada PTS maka saya pun mengambil kesempatan ini untuk berbakti kepada berbagai lapisan masyarakat melalui perkongsian ilmu ini.
3) Apa keistimewaan buku-buku ini berbanding buku-buku lain yang dah ada.
Buku-buku tentang mengurus majlis sebenarnya tak lah banyak atau boleh dikatakan tiada langsung di pasaran terutamanya dalam Bahasa Melayu kita. Maka saya rasa penerbitan buku ini sangatlah istimewa. Lagipun ia ditulis dalam bahasa yang mudah malah orang kampung pun boleh menjadikannya rujukan harian mereka.
4) Siapakah pengarang lain atau buku lain yang menjadi 'influence' kepada buku En Samsudin? Bagaimanakah anda membezakan konsep buku ini dengan konsep buku mereka.
Setelah puas mencari akhirnya saya dapat sebuah buku berbahasa Inggeris yang ditulis oleh seorang pengarang dari Australia. Bukunya berjudul "Festival and Special Event Management", maka saya rujuk buku ini dari segi cara persembahan serta tajuk-tajuk utama yang perlu ada. Maka dengan kapakaran Bahasa Melayu serta keupayaan saya untuk membuat huraian yang lebih sesuai dengan iklim serta masyarakat Malaysia maka saya berjaya menghasilkan satu manuskrip yang agak berbeza dengan buku Inggeris ini. Buku saya lebih menitik beratkan dengan acara-acara di Malaysia yang biasanya lebih bertaraf kebangsaan serta local event.
5) Apakah latar belakang isu dalam dalam buku ini? Boleh diberikan secara ringkas sejarahnya, situasi semasa dan akan datang berkenaan isu yang En Samsudin kupas disini?
Saya rasa buku saya ini amat bersesuaian dan sangat sesuai diterbitkan pada masa ini kerana kebanyakkan masyarakat yang berjaya adalah masyarakat yang berjaya menganjurkan banyak aktiviti dalam kehidupan mereka. Ciri ini amat kurang pada masyarakat Melayu di Malaysia, sebab itulah saya rasakan antara sebab utama masyarakat kita gagal dalam hidup berpunca daripada kurangnya majlis-majlis serta acara-acara yang boleh membuka minda serta dijadikan pengisian waktu dalam hidup mereka.
Acara-acara yang positif amat wajar diberi penekanan agar para belia kita tidak terjebak dalam kancah gejala sosial sekaligus merosakkan anak-anak bangsa yang menjadi harapan semua jenerasi untuk di masa depan.
Masyarakat yang malas atau pemimpin masyarakat yang malas akan menjadikan ahli masyarakatnya tewas dalam menegakkan maruah bangsa, adakah ini yang kita mahu.
Mana ada guru yang mahu lihat pelajarnya gagal, mana ada ketua kampung yang mahu lihat anak buahnya tak bermaya, mana ada pensyarah yang mahu melihat siswa/i nya moyok, dan mana ada pemimpin organisasi yang mahu melihat pekerjanya malas dan lemah. Maka perlulah semua pihak membaca buku ini untuk dijadikan panduan dalam mengendalikan acara yang bermanfaat kepada orang dibawah mereka.
6) Bagaimana pembaca boleh menggunakan buku ini?
Pembaca boleh menggunakan maklumat yang ada dalam buku ini bagi mendapatkan idea mengenai acara-acara yang boleh dijalankan oleh mereka. Berpandukan tajuk-tajuk penting yang disusun secara berkesan para pengurus dan semua pihak yang terbabit boleh menjadikannya panduan dalam mengendalikan acara dengan berkesan serta memberikan pulangan yang amat berfaedah kepada organisasi. Pulangan yang dimaksudkan ialah dalam aspek-aspek yang telah ditetapkan dan ingin dicapai di dalam matlamat perlaksanaan acara tersebut.
7) Bagaimana pembaca yang ingin maklumat lanjut dalam bidang ini boleh mencarinya.
Pembaca yang berminat untuk mengetahui ilmu ini dengan lebih mendalam bolehlah membeli buku-buku lain yang juga mempunyai penekanan terhadap beberapa aspek yang lain dalam pengendalian acara, misalnya dengan membeli sebuah lagi buku tulisan saya iaitu berjudul "Panduan Protokol Dan Tatatertib Majlis". Buku ini mempunyai bab penerangan yang lebih tentang bagaimana protokol sesuatu majlis itu boleh diikuti atau diamalkan dengan baik agar majlis yang dijalankan itu tidak berlaku kecacatan. Buku ini juga penting kepada semua pihak yang ingin menjalankan sesuatu acara.
Selain itu pembaca juga bolehlah menjemput saya untuk memberikan ceramah di organisasi masing-masing agar saya dapat memberikan kupasan yang lebih jelas mengenai perancangan serta perlaksanaan sesuatu acara.
8) Apakah topik-topik yang berkaitan tetapi tidak disebut dalam buku ini (supaya boleh dicadangkan untuk diselitkan dalam buku atau edisi akan seterusnya)
Seperti yang telah saya sebutkan di atas , topik yang berkaitan dengan protokol majlis juga santa penting. Alhamdulillah buku mengenai protokol itu telah diterbitkan oleh PTS Publications.
9) Jika En Samsudin ada kisah peribadi disebalik penghasilan buku ini ?
Saya pernah melihat beberapa kecacatan dalam penganjuran majlis oleh berbagai institusi, maka saya mengambil keputusan di hati saya iaitu untuk menghasilkan buku panduan mengendalikan majlis ini agar penganjur dapat menjadikan panduan bagi mengelakkan kecacatan tersebut dari berulang. Pengalaman menulis buku taklah banyak, tetapi memang ada dua buah buku lain yang telah saya tulis sebelum buku ini.
Semangat yang berkobar-kobar untuk melihat nama saya dicetak pada kulit buku juga telah menjadikan motivasi diri saya begitu melonjak untuk terus menulis buku.
10) Apakah peristiwa atau perkembangan dalam dunia luar yang mendorong En Samsudin untuk menulis?
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, bahasa kita kian lemah! Bahasa Melayu menjadi sindiran di kebanyakkan majlis. Oleh itu dengan maksud yang lain, bangsa kita juga semakin dihina dan dicaci.
Dengan ikhlas saya akui bahawa, antara nawaitu saya dalam menulis buku ini ialah untuk memartabatkan bahasa saya dan bahasa kita kearah yang lebih tinggi dan terhormat. Inilah perjuangan kita semua yang sebenarnya belum selesai..
11) Jika ada masa tambahan, apakah pembaikan atau tambahan yang ingin masukkan ke dalam buku ini?
Banyak perkara yang boleh diperbaiki, tetapi apa yang ada ini sudah cukup baik. Penambahbaikkan tidak begitu perlu sebaliknya idea-idea baru berkaitan penganjuran acara masih boleh dicungkil dari semasa ke semasa. Lebih banyak acara yang kita cuba ikuti maka lebih banyak ilmu baru yang dapat kita kongsikan, dengan lain perkataan penulis juga perlu menambahkan pengetahuan melalui penyelidikan dan pendedahan dalam banyak lagi majlis.
12) Apa rancangan penulisan En Samsudin yang seterusnya?
Rancangan saya seterusnya ialah untuk menulis buku buku pengurusan yang sewaktu dengannya yang mana lebih hampir dengan pengurusan masyarakat. Hanya dengan cara inilah kita dapat membantu masyarakat Melayu untuk berjaya.
Manusia dan Kerja Berpasukan
Suatu Malam yang Menggusarkan
Saya masih ingat malam itu. Malam pengiraan undi pilihan raya kampus. Dewan kompleks sukan universiti ‘sangat meriah’ dengan penyokong-penyokong calon dan jentera pilihan raya. Para kakitangan universiti pula sedang sibuk menjalankan proses pengiraan undi. Walaupun hanya pilihan raya kampus, tetapi suasana yang ada memang meriah, getus hati saya.
“Aikk, ke mana pergi melamun itu Yang Berhormat Fadzli?”, sapa Hisham, ‘orang kuat’ jentera pilihan raya. Dialah yang banyak menguruskan strategi-strategi kempen.
“Entahlah, malam ini rasa lain macam sahaja. Dulu masa kempen tidak pula rasa macam ini,” respon saya pendek.
“Apa dia?” tanya Hisham. “Takut kalah? Jangan risaulah, undi engkau sudah selamat. Mesti menang punya.”
“Sebab ‘mesti menang’lah aku rasa lain macam. Rasa macam besar tanggungjawab yang bakal aku tanggung. MPP persatuan besar, Syam. Banyak tanggungjawab. Apalagi kalau mereka mahu aku jadi Presiden, lagi besar ‘penderitaan’ aku,”jelas saya. Hisham tidak terus menyambung. Aidil, teman sebilik yang sedang duduk di sebelah hanya mendengar sahaja daritadi. Manakala Dasuki, seorang lagi calon pilihan raya sedang memandang pancang papan keputusan.
Saya menghela nafas panjang. Rasa menyesal pula terima ‘lamaran’ untuk bertanding. Kalau saya tolak dahulu, tidak perlu fikirkan semua ini. Hidup dalam dunia sendiri.
Malam itu saya terasa semakin perit. Setiap kali bilangan undi saya bertambah, semakin perit terasa tekanan dalam dada.
Macam gunung-gunung datang menghempap dada. Sesak. Rasa seperti mahu menangis. Nasib baik saya boleh kawal, kalau tidak mesti malu calon pilihan raya menangis di depan khalayak.
“Aku rasa aku faham apa yang engkau rasa Ahmad,” tibatiba Aidil menyampuk. Dari tadi lagi dia memerhatikan saya.
“Iyelah, selepas ini kalau engkau menjadi Presiden, mesti banyak tugasan dan tekanan yang kau terpaksa tanggung; tetapi aku ada satu formula untuk engkau,” sambung Aidil.
“Apa dia?”, saya bertanya. Aidil tidak pula terus menjawab. Dia senyum memandang aku. Hisham dan Dasuki pula tekun mendengar sama.
“Team work!,” jawab Aidil ringkas. Dia mengangkat kening dan tersenyum.
“Itu biasa orang sebut. Tetapi macam mana?” tanya saya. “Semua orang cakap ‘kerja pasukan’, tetapi akhirnya Presiden yang ‘masuk longkang’” respons saya pesimistik.
“Orang selalu cakap, tetapi tidak ramai yang betul-betul tahu ‘resipi’nya. Kalau engkau tahu cara yang betul bekerja secara berpasukan, mesti engkau tidak puas menjadi Presiden,” tambah Hisham.
“Macam Saddam Hussain,” tiba-tiba Dasuki menyampuk. Kami sama-sama tertawa kecil.
“Entahlah. Harap-harap kita boleh dapat ‘resipi’nya itu,” ujar saya.
“Baiklah, macam ini. Kau terima dahulu jawatan itu. Selepas itu, kita ‘menikmati’ apa itu kerja pasukan bersama-sama. Setuju?” Hisham pula menambah. Macam suatu tawaran untuk perniagaan besar pula rasanya. Kemudian kami sama-sama memandang ke arah pusat pengiraan.
Dada saya menjadi tenang sedikit. Mata kami berempat bercahaya. Macam tidak sabar-sabar lagi ‘menikmati’ kerja berpasukan....
*******
Beberapa hari selepas itu Kabinet MPP berjaya dibentuk. Saya dilantik sebagai Presiden dan Dasuki pula sebagai Setiausaha Agung. Ada tiga puluh lima exco semuanya dalam kabinet itu. Bahkan ada dari Saudi, Afghanistan, Nigeria, Thailand dan India. Manakala Hisham dilantik sebagai Setiausaha Akhbar, dan Aidil sebagai Setiausaha Kerja.
Selama setahun kami bekerja bersama, seperti sebuah pasukan yang baik. Bahkan daripada pengalaman itulah, saya benar-benar dapat menghayati apakah itu kerja berpasukan. Bagaimana untuk bekerja dengan orang lain. Sebelum ini memang sering mendengar dan mengungkapkannya, tetapi tidak pernah dapat ‘merasai’ apakah itu kerja berpasukan.
Buku ini membincangkan ‘resipi’ yang saya kuti p daripada pengalaman lalu. Ia bukanlah suatu yang ‘wajib’, kerana saudara mungkin mempunyai cara yang lebih baik. Apa yang saya harapkan ialah, buku ini dapat memberikan sedikit sebanyak
idea dan gambaran mengenai apakah itu kerja berpasukan.
Saya juga mengutip beberapa teori dan pandangan pakar-pakar pengurusan pasukan untuk dikongsi bersama.
Ia adalah Kemahiran untuk Hidup
Saya mendapati kemahiran kerja berpasukan ini bukan sahaja untuk organisasi, semata-mata, tetapi ia juga berguna sebagai kemahiran untuk hidup saudara. Saban hari kita bertemu dan bekerja dengan orang lain. Di pejabat, di rumah, di sekolah, di masjid, di kawasan kejiranan, dan semua tempat. Jika tidak semua pun, sebahagian besar ‘resipi-resi pi’ kerja berpasukan ini turut membantu saudara. Ia adalah kemahiran bekerja dengan orang lain.
Saya sering melihat ada orang yang lulus cemerlang dalam peperiksaan, tetapi tidak dapat menunjukkan prestasi dalam kerja-kerja mencabar. Bahkan ada yang hampir kecundang. Kenapa? Kerana mereka tidak mahir bekerja dengan orang lain. Antara kelemahan-kelemahan mereka ialah:
1. Mereka tidak peka kepada jenis-jenis manusia yang mereka berurusan.
2. Tidak dapat berkomunikasi dengan baik.
3. Tiada daya kepemimpinan.
4. Tiada kuasa mendorong dan memotivasikan.
5. Tidak pandai mengagihkan tugasan.
6. Cemas dalam mengendalikan konflik.
7. Tidak tahu menghargai teman.
8. Tidak atau kurang pandai mengendalikan perbincangan dan mesyuarat.
9. Tidak kreatif dalam perancangan.
10. Tidak tahu untuk mendapatkan persetujuan bersama.
Oleh itu, buku ini serba sedikit memberikan saudara panduan bagi mengatasi kelemahan-kelemahan seperti di atas. Saya tidak menjanjikan suatu yang drastik, kerana hanya saudara yang berkuasa merubah diri saudara. Allah ada menyebut dalam al-Quran, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum, sehingga kaum itu yang mengubah nasibnya sendiri.”
Saya mengambil masa setahun bagi mendapatkan ‘resipi’ ini. Sebaliknya, saudara hanya perlu menghabiskan beberapa hari sahaja untuk membacanya. Mudah bukan? Kalau begitu, apa lagi alasan saudara untuk menolaknya? Selamat membaca untuk
saudara semua.
Apakah itu Kerja Berpasukan?
Ia adalah salah satu bentuk dan cara kerja yang semakin popular mutakhir ini. Kadangkala ia disalahtafsirkan. Kadang-kadang ada majikan yang membentuk kumpulan-kumpulan, tetapi belum tentu mereka bekerja secara berpasukan. Masing-masing melakukan kerja sendiri-sendiri. Mereka tidak juga bekerja sebagai pasukan. Ada juga persatuan yang membentuk biro-biro sebagai suatu kelompok ‘pasukan’, tetapi akhirnya biro-biro ini merosakkan matlamat persatuan, bukan mencapainya.
Antara perkara penting dalam kerja berpasukan adalah pengagihan tugas dan pemerkasaan yang mana setiap ahli pasukan mempunyai sasaran yang tinggi bagi melaksanakan sesuatu matlamat. Setiap ahli pasukan diberikan autoriti yang tinggi untuk membuat keputusan rutin tanpa perlu merujuk kepada pihak atasan setiap masa. Setiap ahli mempunyai kekuatan yang tersendiri dan mereka saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Ini adalah salah satu aplikasi konsep ‘takaful’ yang pernah di perkenalkan oleh As Syahid Hassan al-Banna yang mana seorang anggota kumpulan usrah melengkapi seorang yang lain.
Sebuah pasukan juga bekerja secara kolektif, dengan suasana kerjasama yang bebas. Mereka tidak dikongkong, sebaliknya mempunyai sejumlah autoriti dan kuasa yang mencukupi untuk bekerja dengan ‘selesa.’ Mereka juga berkomunikasi secara terbuka dan jelas dan komunikasi seperti ini menjadi salah satu tabiat kerja yang penting.
Pengurus dan Pasukan Bola
Saudara pasti pernah menonton perlawanan bola sepak bukan? Jika saudara seorang peminat bola sepak, sudah tentu saudara pernah mendengar nama-nama pengurus bola yang hebat seperti Alex Ferguson dari Manchester United atau Allen Harris, pengurus pasukan Malaysia. Pengurus dan pasukan bola berkongsi matlamat yang sama; iaitu menjuarai suatu kejohanan. Pengurus menyusun, merancang, mengatur dan membina pasukan yang terbaik demi mencapai matlamat itu. Pemainpemain bola diberikan autoriti bagaimana untuk bermain. Contohnya Nistelrooy, apabila bola tiba di kakinya, dia dapat membuat keputusan sendiri, kerana dia sudah pun diberi
autoriti membuat keputusan. Fokusnya adalah memenangi perlawanan. Dia tidak perlu bertanyakan Ferguson apakah yang mesti dia buat.
Dalam pasukan bola, masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri. Ada yang boleh berlari dengan pantas, ada yang boleh menggelecek bola dengan baik, ada yang dapat membuat sepakan penyudah yang tepat, dan pelbagai lagi kepakaran masing-masing. Kelebihan ini melengkapi antara satu sama lain bagi mencapai matlamat memenangi perlawanan bola itu.
Setiap pemain bola juga perlu ada kaedah komunikasi yang berkesan. Mereka mesti mampu berhubung dengan baik, terutamanya bagi menyelaraskan strategi permainan. Kadang-kadang, strateginya adalah menyerang, dan kadang-kadang bertahan. Mereka juga perlu berkomunikasi untuk memberi, menghantar, dan menerima bola. Jika komunikasi tidak cekap dan berkesan, sudah tentu strategi tidak dapat dilaksanakan, dan matlamat kemenangan hanya akan tinggal angan-angan sahaja.
Maradona, Zico, Pele, Platini, dan Zidane adalah contoh pemain bola yang hebat. Namun pasukan mereka tidak boleh menang hanya bergantung harap kepada kemenangan seorang pemain sahaja. Mereka mesti bermain secara berpasukan. Mereka juga mesti tahu bermain secara berpasukan.
Jenis-jenis Pasukan
Terdapat banyak jenis pasukan yang dibentuk mengikut keperluan dan keadaan sesuatu organisasi. Namun secara kasarnya, terdapat beberapa fungsi dan jenis pasukan yang biasa dibentuk, antaranya:
1. Bagi memberikan nasihat dan pemerhatian terhadap suatu perkara yang hendak diberi perhatian oleh sesebuah organisasi.
2. Bagi mengendalikan permasalahan sementara yang dihadapi oleh sesebuah induk. Selalunya, masalah itu adalah masalah yang ‘luar biasa’ yang jarang dihadapi oleh induk tersebut.
3. Bagi melaksanakan projek khusus, seperti Jawatankuasa Persediaan Kenduri dan sebagainya. Ia wujud mengikut keperluan, dan berakhir selepas objektif sudah tercapai.
4. Bagi memerhati dan membuat pemantauan. Contohnya pasukan pengawal kualiti yang memantau operasi dan hasil sesebuah kilang boleh dianggap sebagai sebuah pasukan yang bekerja.
5. Bagi menghasilkan suatu produk. Pasukan ini bekerja bersama untuk menghasilkan suatu produk yang diperlukan.
Namun begitu saudara juga boleh menganggap masyarakat di sekeliling saudara sebagai sebuah pasukan yang besar. Bekerja dengan orang di sekeliling juga memerlukan semangat kerja berpasukan, walaupun tidaklah seketat dalam sebuah pasukan yang formal.
Kelebihan dan Faedah Kerja Berpasukan
Terdapat banyak kelebihan dan faedah daripada kerja berpasukan ini. Selain daripada mengurangkan beban pihak atasan, ia juga dapat meningkatkan daya produktiviti dalam sesebuah organisasi. Katzenbach dan Smith, pakar pengurusan; menyatakan organisasi yang berprestasi tinggi bergantung kepada pembentukan pasukan yang kuat, dan bekerja separaautonomi. Kumpulan seperti ini membawa kepada amalan yang sihat kepada budaya kerja organisasi tersebut.
Antara faedah yang jelas yang diperoleh dalam kerja berpasukan adalah:
1. Bekerjasama: Kerja berpasukan ialah kerja bersama atau lebih dikenali sebagai kerjasama. Masing-masing saling bantu membantu. Ini bertepatan dengan budaya masyarakat Melayu, tetapi masih agak asing dalam amalan pengurusan Melayu. Kita ada pepatah yang popular; ‘Yang berat sama di pikul, yang ringan sama dijinjing’ dan sepatutnya ‘pikulan dan jinjingan’ itu diadaptasikan ke dalam budaya kerja berpasukan.
2. Keputusan dan penyelesaian: Kerja berpasukan dapat mengurangkan beban membuat keputusan dan penyelesaian. Jika saudara seorang majikan, saudara dapat mengurangkan jumlah keputusan yang terpaksa saudara buat, dengan memberikan sebahagian autoriti itu kepada pasukan bawahan saudara. Jika saudara seorang ahli pasukan, saudara juga dapat mengurangkan beban membuat keputusan; kerana dalam kerja berpasukan, keputusan dibuat secara persepakatan, bukan individu.
3. Sumber manusia yang lebih produktif: Dengan kerja secara berpasukan, organisasi seolah-olah mendapat kekuatan yang baru. Pertama, semangat, fokus, dan produktiviti ahli meningkat. Mereka tidak berasa keseorangan dan rasa kebersamaan. Selain daripada itu, ‘pasukan’ itu sendiri menjadi satu sumber manusia yang tersendiri. Pasukan boleh dianggap sebagai suatu entiti yang mempunyai kelebihan dan produktiviti sendiri. Contohnya, tugasan membuat keputusan dan penyelesaian masalah yang kompleks tidak boleh dikendalikan oleh seorang ahli, tetapi ia boleh disempurnakan oleh sebuah pasukan. Begitu juga dengan tugas-tugas yang lain. Dalam keadaan sebegini, memiliki pasukan itu sendiri seolah-olah memiliki satu lagi ‘sumber manusia’ yang berkebolehan, cekap dan berkesan.
4. Komitmen: Dengan membina pasukan yang baik, bermakna saudara juga membina komitmen yang baik. Jika saudara berada dalam sebuah pasukan yang bersemangat dan cekap, sudah pasti saudara juga cekap dan bersemangat; begitu juga sebaliknya. Oleh itu, menjadi tugas induk membina sebuah pasukan yang mempunyai ciri-ciri yang terbaik, yang bersesuaian dengan tugas dan matlamat yang hendak dicapai.
5. Komunikasi: Dalam sesebuah pasukan, komunikasi adalah penting. Seseorang ketua pasukan mestilah sentiasa berusaha mewujudkan sistem dan budaya komunikasi yang tulus dan terbuka. Dia juga mesti memberi pendorong kepada mereka yang memendam akan lebih meluahkan apa yang terbuku. Ahli-ahli pasukan perlu sentiasa memastikan rakan-rakan sepasukan dapat menyampaikan maklumat dan mesej yang diperlukan. Dengan itu, organisasi tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan pandangan dan respons daripada pasukan berbanding dengan individu.
6. Kualiti: Ini adalah satu lagi produk kerja berpasukan iaitu kualiti. Saudara harus faham, pasukan terdiri daripada pelbagai individu yang mempunyai pelbagai latar belakang dan kemahiran. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Dengan bekerja dalam satu pasukan, kekuatan ini akan bergabung dan mengeluarkan hasil yang cukup menakjubkan. Ia seperti batu-bata yang kecil; apabila ia bergabung, boleh membina sebuah tembok yang tinggi dan kukuh!
7. Semangat dan motivasi: Apabila kita bekerja bersama-sama dengan rakan yang lain, saudara akan berasa lebih bersemangat dan berdaya tahan. Apabila saudara melihat kesukaran dan kesusahan yang turut dihadapi oleh rakan sepasukan, semangat saudara kembali bersinar dan saudara berterusan menghadapi masalah dengan yakin. Contohnya seperti kisah para sahabat Nabi Muhammad dalam peperangan, bagaimana mereka mempunyai semangat dan daya juang yang tinggi, apatah lagi apabila melihat para pejuang yang lain syahid di hujung pedang. Inilah antara yang menjadi pendorong kepada kekuatan tentera Islam dalam sejarahnya yang gemilang.
8. Mengurangkan tenaga serta kakitangan: Apabila produktiviti meningkat, maka dengan sendiri tenaga kakitangan dapat dioptimumkan. Hasilnya, organisasi akan dapat mengurangkan kos, dan menumpukan kepada proses pembangunan dan pengembangan organisasi untuk melangkah lebih jauh.
9. Kepuasan bekerja: Bekerja secara berseorangan boleh mengakibatkan kebosanan dan jemu. Dengan menghayati kerja berpasukan dengan baik, saudara akan berasa lebih puas dan gembira menjalankan tugas.
Aktiviti
Cuba bayangkan beberapa aktiviti di bawah. Bolehkah saudara mendapatkan hasil dan kepuasan yang diingini tanpa kerja berpasukan?
1. Menyiapkan kertas kerja sekolah.
2. Membersihkan persekitaran masjid.
3. Lawatan sambil belajar ke Brunei.
4. Bermain bola sepak, bola keranjang, atau bola tampar.
Kesimpulan
Kerja berpasukan adalah salah satu daripada bentuk kerja baru ang lebih cekap, produktif dan berkesan. Terdapat beberapa ujuan dan fungsi yang dapat dicapai dengan menubuhkan asukan bagi melaksanakan sesuatu tugasan. Setiap ahli dalam asukan mempunyai tugas kerja dan peranan yang berbeza dan nilah yang membentuk pasukan menjadi suatu entiti sumber manusia yang berdaya saing, produktif, serba boleh dan bertenaga.
Kerja berpasukan sudah diamalkan sejak dahulu. Sama ada mereka menamakan ‘kerja berpasukan’ ataupun tidak, namun tradisi ini wujud secara semula jadi. Ia adalah fitrah semula jadi manusia. Ingin berteman, ingin membantu dan dibantu. Manusia juga inginkan hasil yang terbaik. Manusia juga mempunyai kemampuan yang terhad. Dan banyak lagi fitrah manusia yang memerlukan kerja berpasukan untuk kecemerlangan.
Oleh yang demikian, saudara tidak boleh ‘lari’ daripada kerja berpasukan ini. Jangan pula ada niat untuk tidak mempelajarinya, kerana suatu masa kelak pasti saudara bekerja bersama orang lain. Mungkin esok, lusa, minggu depan, bulan depan, tahun depan, atau bila-bila masa sahaja. Jadi, saudara masih belum terlambat untuk belajar kemahiran ini. Teruskan membaca bab-bab di dalam buku ini, dan bersedialah bekerja dengan orang lain! Kemahiran kerja berpasukan menjadi keperluan semua orang
Ketua-ketua biasanya yakin mereka bersikap adil dan saksama apabila memberi layanan kepada orang-orang bawahan, umpamanya apabila membuat penilaian prestasi pekerja dan apabila memberi ganjaran seperti kenaikan gaji, kenaikan pangkat, lawatan sambil belajar, kursus ke luar negara dan lain-lain.
Pakar-pakar psikologi sudah melakukan banyak kajian ke atas tingkah laku ketua-ketua dan hasil kajian mereka mendapati ketua-ketua tidaklah begitu adil dan saksama kepada orang bawahan. Ketua-ketua mempunyai pengaruh besar menentukan jadual tugas, tempat bertugas, tangga gaji dan kenaikan gaji serta kenaikan pangkat individu-individu yang berada di bawah seliaan mereka.
Itulah sebabnya seseorang ketua itu perlu memahami faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaannya di tempat kerja, antaranya termasuklah psikologinya sendiri sebagai seorang ketua.
Suatu perkara yang tidak disentuh oleh teori-teori kepemimpinan ialah kenyataan bahawa ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin tidak memberi layanan yang sama rata kepada tiap-tiap orang-orang bawahan mereka. Lazimnya, teori-teori kepimpinan yang ada sekarang memberi gambaran seolah-olah para pemimpin memberi layanan yang sama rata kepada semua orang yang berada di bawah kepimpinan mereka. Ini tidak benar. Berikut ialah beberapa faktor yang mempengaruhi layanan seseorang ketua ataupun pemimpin ke atas orang-orang bawahannya:
Menjadi Anggota 'Kumpulan Terdekat'.
Lazimnya orang percaya barang siapa yang rajin dan pandai bekerja serta prestasinya tinggi maka dia dapat naik pangkat dengan mudah. Tidak dinafikan ciri rajin dan pandai bekerja adalah penting, tetapi setakat rajin dan pandai bekerja belum cukup untuk cepat naik pangkat ataupun bagi mendapat layanan istimewa daripada ketua.
Suatu fenomena yang lumrah berlaku ialah di mana individu-individu yang 'dekat' dengan ketuanya lebih mudah terpilih dihantar pergi melawat sambil belajar, berkursus, naik gaji dan naik pangkat di dalam sesebuah organisasi. Oleh itu seseorang yang rajin dan pandai bekerja perlu juga mendekati ketua-ketuanya supaya terpilih bagi tujuan-tujuan itu.
Anggota-anggota sesebuah organisasi sebenarnya berpecah belah ke dalam berbagai-bagai kumpulan. Kajian menunjukkan disebabkan oleh berbagai-bagai faktor, ketua-ketua menjalin pelbagai jenis hubungan di antara diri mereka dengan kumpulan-kumpulan yang mereka pimpin. Salah satu daripada kumpulan-kumpulan itu diistilahkan 'kumpulan terdekat.' Kajian mendapati anggota-anggota kumpulan terdekat paling banyak menerima perhatian daripada ketua-ketua mereka. Mereka juga menerima lebih banyak sumber-sumber yang dapat diberikan oleh ketua mereka, seperti masa dan penghargaan.
Individu-individu yang tidak termasuk ke dalam kumpulan terdekat dikatakan tergolong ke dalam 'kumpulan luar.' Mereka yang tergolong di dalam kumpulan luar tidak berapa disukai oleh ketua-ketua mereka oleh sebab itu mereka tidak banyak menerima sumber-sumber yang berharga yang ada pada pemimpin mereka.
Kajian menunjukkan, sejak awal-awal lagi seseorang ketua itu sudah memilih anggota-anggota kumpulan terdekatnya. Pemilihan itu dilakukan dengan tidak perlu mempunyai banyak maklumat tentang individu-individu itu terlebih dahulu. Ada kalanya pemilihan itu hanyalah berdasarkan ciri-ciri luaran yang tidak relevan dengan matlamat organisasi, seperti faktor usia, tempat kelahiran, jantina dan hobi yang serupa. Walau bagaimanapun, ada kalanya juga seseorang itu dianggap layak menjadi anggota kumpulan terdekat disebabkan dia mempunyai kepakaran dan kecekapan di dalam tugas-tugasnya.
Kajian-kajian juga mendapati ketua-ketua cenderung memberi layanan yang lebih baik kepada anggota kumpulan terdekat berbanding dengan layanan yang diberikan kepada mereka yang tidak termasuk di dalam kumpulan itu. Di dalam sebuah kajian, didapati para penyelia memberi penilaian yang tinggi kepada orang bawahan yang menjadi anggota kumpulan terdekatnya meskipun prestasi individu itusebenarnya rendah.
Layanan seperti ini tidak diberikan kepada mereka yang bukan anggota kumpulan terdekatnya. Akibat daripada layanan baik yang diterima oleh anggota-anggota kumpulan terdekat, mereka itu mempunyai dorongan bagi melaksanakan kerja-kerja mereka dengan lebih baik dan mereka mempunyai sikap yang lebih positif terhadap tugas-tugas mereka. Mereka juga lebih berpuas hati dengan tugas-tugas yang mereka jalankan dibandingkan dengan pekerja-pekerja yang tidak termasuk di dalam kumpulan terdekat si ketua. Kecenderungan berhenti kerja di kalangan anggota-anggota kumpulan terdekat adalah lebih rendah dibandingkan dengan mereka yang bukan. Mereka juga mendapat lebih banyak sokongan dan dorongan daripada ketua-ketua mereka dan dengan itu mereka lebih mudah naik dalam tangga kerjaya mereka.
Kenyataan bahawa ketua-ketua tidak memberi layanan sama rata kepada orang-orang bawahan mereka mempunyai implikasi yang serius kepada semangat kerja, komitmen dan prestasi mereka yang dipimpinnya. Oleh yang demikian para pemimpin perlu menyedari akan hal ini.
Kesan Halo.
Salah satu fenomena yang berlaku di tempat kerja ialah di mana seseorang ketua berulang-ulang kali membuat penilaian yang serupa sahaja sifatnya ke atas orang bawahannya. Sebagai contoh, apabila seseorang ketua itu menganggap setiausahanya pandai bekerja di pejabat, maka si ketua itu cenderung menganggap setiausahanya juga pandai dalam perkara-perkara lain. Begitu juga sebaliknya.
Salah satu kesilapan persepsi yang selalu berlaku di tempat kerja disebut dengan istilah kesan halo. Perkataan 'halo' bermakna cahaya. Apabila seseorang itu berkata, "Calon yang ini mendapat keputusan cemerlang di universiti, dia tentu boleh menjadi eksekutif yang baik di dalam syarikat kita ini." maka kata-kata seperti ini menunjukkan bahawa apabila seseorang itu membuat sesuatu penilaian positif, maka dia cenderung terus memberi penilaian lain-lain yang positif juga.
Calon ini mendapat keputusan cemerlang - ialah suatu penilaian positif. Eksekutif yang baik - adalah penilaian positif. Pemikiran seperti ini mengandungi kesilapan kesan halo. Di sini kesilapannya ialah, calon yang mendapat keputusan cemerlang sewaktu di universiti tidak semestinya akan menjadi eksekutif yang baik di dalam syarikat di mana dia bekerja. Ataupun pernahkah seseorang itu mendengar orang berkata, "Budak itu tidak berapa pandai. Dia tentu malas belajar." Budak yang tidak berapa pandai belum tentu malas belajar. Sebaliknya ramai budak yang rajin belajar tetapi mereka tidak begitu pandai.
Kesan halo mengatakan apabila sekali seseorang itu sudah mempunyai tanggapan positif ke atas seseorang individu, walau apa pun yang dibuat oleh individu itu, dia akan menilainya secara positif juga, termasuklah perkara-perkara yang tidak diketahuinya. Sebagai contoh, apabila seseorang itu berkata, "En. Mamat seorang pekerja yang baik." orang itu juga berani berkata, "En. mamat juga suami yang baik." walaupun dia tidak tahu apa-apa berkenaan tingkah laku En. mamat sebagai suami.
Kesan halo bukan hanya terjadi pada perkara-perkara positif. Ia juga berlaku secara negatif. Apabila seseorang itu mempunyai tanggapan negatif berkenaan seseorang individu, dia cenderung menganggap apa-apa yang dilakukan oleh individu itu secara negatif juga. Perkara-perkara berkenaan diri orang itu yang tidak diketahuinya pun cenderung dinilainya secara negatif. Apabila seseorang itu berkata, "En. Mamat gagal sebagai ketua rumah-tangganya." dia juga berani mengatakan, "En Mamat takkan boleh menjadi ketua di pejabatnya."
Apabila seseorang ketua membuat penilaian yang sangat positif ke atas sesuatu perkara berkenaan orang bawahannya, dia cenderung menilai lain-lain perkara berkenaan orang bawahannya itu secara positif juga. Jikalau pada penilaian si ketua orang bawahannya itu sangat cekap membuat tugas-tugas pejabat, dia cenderung percaya orang bawahannya itu juga cekap membuat kerja-kerjanya di luar pejabat. Fenomena kesan halo menyebabkan penilaian yang dilakukan ke atas berbagai-bagai aspek berkenaan seseorang itu mempunyai korelasi yang sama tingginya ataupun sama rendahnya. Penialaian seperti ini lazimnya salah.
Kesan Pandangan Pertama.
Kesan pertama ialah punca kepada sejenis lagi kesilapan bias persepsi yang sangat kerap berlaku di tempat kerja. Walaupun tugas menilai prestasi orang bawahan adalah salah satu tugas penting para ketua, lazimnya, apabila seseorang itu menilai orang bawahannya dia tidak menilai prestasi orang-orang bawahannya berdasarkan prestasinya semata-mata, tetapi dia menilai orang bawahannya itu berdasarkan kesan pertama yang dialaminya sewaktu dia mula-mula mengenali orang bawahannya itu dahulu.
Fenomena kesan pertama menyebabkan mengapa walaupun sering kali prestasi kerja seseorang itu sebenarnya sudah meningkat, tetapi peningkatan itu tidak dilihat oleh ketuanya disebabkan si ketua masih berpegang pada penilaian awalnya yang berdasarkan kesan pertamanya ke atas pekerja itu.
Kesilapan kesan pertama juga berlaku sebaliknya, di mana seseorang ketua membuat penilaian positif berdasarkan kesan pertamanya. Walaupun prestasi pekerja itu sudah menurun tetapi ketuanya tidak melihat penurunan itu. Bias kesan pertama tidak semestinya dapat dikesan dengan jelas.
Kajian yang dibuat oleh Dougherty dan rakan-rakannya mendapati wujudnya pelbagai bentuk kesilapan kesan pertama yang halus, yang tidak berapa ketara. Mula-mula para pengkaji itu memerhatikan dan mengkaji cara-cara yang digunakan oleh beberapa orang juruinterviu syarikat. Mereka memerhatikan cara-cara juru interviu itu menilai borang-borang permohonan jawatan. Mereka memeriksa hasil ujian yang dijawab oleh calon-calon yang memohon jawatan. Kemudian para pengkaji itu membuat rakaman video sesi interviu calon-calon itu.
Kajian mereka mendapati apabila juru interviu itu memberi penilaian tinggi kepada calon-calon itu sewaktu mereka menilai borang permohonan dan hasil ujian mereka, juru-juru interviu itu memberi layanan yang lebih positif kepada calon-calon tersebut semasa interviu. Dalam erti kata lain, bagi calon-calon yang mendapat markah tinggi dalam kertas jawapan mereka, maka para juru interviu cenderung memberi mereka markah tinggi pada sesi interviu. Analisis pita video rakaman interviu mereka menunjukkan calon-calon yang berjaya mencipta kesan pertama yang positif ke atas juru interviu mereka mendapat layanan yang lebih positif sepanjang interviu mereka. Jurujuru interviu itu bercakap kepada mereka dengan teknik-teknik interpersonal yang lebih lunak dan mereka memberi lebih banyak maklumat tentang keistimewaan-keistimewaan syarikat itu.
Apa yang sebenarnya terjadi di dalam proses interviu itu ialah, para juru interviu itu bukannya mengambil kesempatan daripada interviu itu bagi mendapatkan maklumat yang objektif berkenaan calon-calon, sebaliknya mereka menggunakan interviu itu bagi meyakinkan diri mereka sendiri bahawa kesan pertama yang mereka dapati semasa membaca borang permohonan dan hasil ujian dulu adalah betul.
Kesan Keserupaan.
Salah satu kesilapan persepsi yang selalu berlaku di tempat kerja ialah di mana seseorang ketua itu cenderung membuat penilaian positif ke atas orang-orang lain yang serupa dengan diri mereka sendirin, pada waktu yang sama dia cenderung membuat penilaian negatif ke atas mereka yang tidak serupa dengan dirinya. Kesilapan ini disebut kesan-serupa-macam-saya. Kesan ini adalah salah satu punca kesilapan yang berlaku apabila seseorang ketua menilai orang-orang bawahannya.
Kajian menunjukkan apabila ketua-ketua menilai orang-orang bawahannya, mereka memberi penilaian yang lebih positif kepada orang-orang bawahan yang serupa dengan mereka. Semakin serupa, semakin tinggi penilaian yang diberikan. Jenis-jenis keserupaan yang dapat mempengaruhi penilaian ketua ialah:
- Keserupaan pada nilai dan tabiat.
- Keserupaan pada kepercayaan tentang apa yang patut dan apa yang tidak patut berlaku.
- Keserupaan pada latar belakang peribadi seperti usia, keturunan, bangsa, jantina dan pengalaman.
Punca yang menyebabkan kesilapan ini ialah:
- Seseorang itu dapat berempati dan berkomunikasi dengan lebih baik dengan orang-orang yang serupa dengan dirinya, akibatnya dia lebih bertimbang rasa dengan mereka.
- Orang-orang bawahan lebih yakin dan menaruh kepercayaan kepada ketua-ketua yang serupa dengan mereka dibandingkan dengan ketua-ketua yang tidak serupa dengan mereka.
Kedua-dua faktor itu menyebabkan hubungan antara mereka menjadi baik. Hubungan yang baik itu menyebabkan ketua-ketua memberi penilaian yang lebih tinggi ke atas orang-orang bawahannya yang mempunyai banyak persamaan dengan diri mereka sendiri.
Persepsi Selektif.
Di tempat kerja, terdapat bermacam-macam perkara. Salah satu faktor yang menyebabkan seseorang ketua itu tidak dapat hendak menilai perkara-perkara yang ada dan yang berlaku di sekelilingnya dengan betul ialah disebabkan bias yang disebut persepsi selektif atau persepsi terpilih.
Bias ini ialah kecenderungan seseorang itu menumpukan perhatiannya kepada perkara-perkara tertentu sahaja, dan tidak mempedulikan perkara-perkara lain. Proses yang sama juga berlaku apabila seseorang ketua itu menilai orang-orang bawahannya di mana si ketua hanya memberi perhatian ke atas aspek-aspek tertentu sahaja berkenaan orang bawahannya itu, manakala aspek-aspek lain tidak diberi perhatian, ataupun tidak dipedulikannya sama sekali.
Fenomena ini menyebabkan seseorang ketua itu menganggap sesuatu itu lebih penting daripada apa yang sebenarnya, sementara pada waktu yang sama dia menganggap perkara-perkara lain kurang penting, padahal perkara-perkara lain itu mungkin amat penting. Salah satu contoh yang amat ketara ialah dalam isu penguasaan bahasa Inggeris. Ramai ketua yang fasih berbahasa Inggeris cenderung menganggap penguasaan bahasa itu amat penting sebagai syarat kejayaan padahal bahasa Inggeris hanya menentukan kejayaan bagi jenis-jenis kerja yang bersangkutan bahasa itu, umpamanya untuk kerja sebagai guru bahasa Inggeris, penterjemah bahasa itu, ataupun untuk menjadi deejay dalam bahasa itu.
Bias persepsi selektif kerap berlaku di tempat kerja. Suatu kajian pernah dibuat bagi mengetahui apakah pendapat pengurus-pengurus tinggi syarikat tentang faktor-faktor yang meninggikan keberkesanan syarikat mereka. Hasil kajian itu mendapati pengurus-pengurus itu memberikan perhatian pada perkara-perkara yang mempunyai kaitan langsung dengan tugas-tugas mereka dalam syarikat di mana mereka bertugas.
Sebagai contoh, mereka yang bertugas di bahagian pemasaran dan jualan menganggap perubahan yang berlaku pada produk dan perkhidmatan syarikat itu sebagai faktor yang penting. Mereka yang bertugas di bahagian penyelidikan dan pembangunan banyak memberi tumpuan pada rekabentuk produk berbanding dengan isu-isu lain. Kajian ini menunjukkan para pengurus melakukan kesilapan persepsi selektif apabila mereka itu sedang menilai persekitaran perniagaan dalam syarikat mereka.
Mereka menganggap faktor-faktor yang berkaitan secara langsung dengan pengalaman mereka di dalam syarikat itu sebagai faktor-faktor yang penting. Jelaslah, faktor sejarah dan pengalaman peribadi adalah faktor penting yang mempengaruhi persepsi sosial seseorang. Umpamnaya, individu-individu yang bersekolah Inggeris cenderung menganggap penguasaan bahasa Inggeris amat penting manakala mereka yang terlatih di Jepun atau Korea tidak berkongsi pendapat seperti itu. Disebabkan setiap orang mempunyai sejarah peribadi dan pengalaman masing-masing, itulah sebabnya lain orang mempunyai lain persepsi.
Greenberg & Baron di dalam buku mereka Behavior In Organizations memberi panduan berikut untuk mengurangkan kesilapan bias persepsi:
- Seseorang ketua itu jangan mudah percaya bahawa tingkah laku negatif orang bawahannya itu adalah disebabkan oleh faktor-faktor dalaman pada diri individu itu sendiri. Fikirkan juga kemungkinan tingkah lakunya itu disebabkan oleh faktor-faktor luaran, jikalau tidak, si ketua mungkin tidak menyangka tingkah laku orang bawahannya itu benar-benar disebabkan oleh faktor-faktor luaran, akibatnya penilaiannya itu salah dan si ketua tidak berlaku adil kepada orang bawahannya itu. Cuba periksa adakah orang-orang lain akan melakukan perkara yang sama di dalam keadaan yang sama. Jika terbukti tingkah laku negatif itu berpunca daripada diri orang itu sendiri, si ketua perlu menukar sikap dan tabiat orang bawahannya itu, tetapi jika tingkah lakunya itu berpunca daripada faktor-faktor luaran, si ketua perlu menukar persekitaran kerjanya.
- Sebagai ketua, terima kenyataan seseorang itu mempunyai banyak stereotaip yang mempengaruhi penilaian yang dilakukan ke atas orang-orang bawahannya. Stereotaip paling kuat pengaruhnya apabila seseorang ketua itu menilai orang-orang yang baru dikenalinya. Stereotaip menjadi punca kesilapan di mana si ketua boleh berlaku tidak adil ke atas orang-orang bawahannya yang dinilai. Seseorang ketua mesti cuba memahami pelbagai jenis stereotaip yang ada di dalam mindanya. Selagi si ketua tidak tahu apa bentuk-bentuk stereotaip yang ada di dalam mindanya, selagi itu dia tidak dapat mengalakkan dirinya daripada menggunakan stereotaipnya itu dengan cara-cara yang salah.
- Apabila seseorang ketua menilai orang -orang bawahannya, dia mesti menggunakan fakta-fakta yang objektif supaya persepsinya ke atas orang-orang bawahannya lebih betul. Seseorang itu cenderung memberi penilaian yang tinggi ke atas individu-individu yang disukainya, manakala dia cenderung memberi penilaian rendah ke atas mereka yang tidak disukainya. Sebagai ketua dia dapat mengurangkan kesilapan ini apabila menggunakan maklumat objektif bagi menilai orang-orang bawahannya.
- Jangan tergesa-gesa apabila menilai orang bawahan. Jangan gopoh membuat kesimpulan berkenaan orang-orang lain. Kesilapan ini selalu dilakukan oleh para ketua. Manusia sangat berani membuat kesimpulan ke atas perkara-perkara yang tidak diketahuinya. Ambillah masa untuk mendapatkan lebih banyak maklumat objektif berkenaan seseorang itu sebelum membuat sebarang kesimpulan berdasarkan prasangka semata-mata.
Panduan-panduan di atas adalah lebih mudah diucapkan daripada dilakukan. Namun jikalau seseorang ketua mahu membuat penilaian yang lebih betul tentang orang-orang bawahannya, dia perlu berlatih menggunakan panduan-panduan di atas apabila menilai mereka.
Atribusi Ketua.
Dalam konteks ini atribusi bermakna 'penjelasan.'
Seseorang itu dikatakan melakukan atribusi apabila dia cuba menerangkan kepada dirinya sendiri mengapa individu-individu lain mempunyai sikap yang begitu ataupun begini dan mengapa orang-orang lain itu bertingkah laku begitu ataupun begini. Seperti manusia-manusia lain, ketua-ketua melakukan atribusi ke atas tingkah laku orang-orang di bawah kepimpinannya, terutama sekali berkenaan prestasi kerja mereka.
Sebagai contoh, ketua-ketua cuba menerangkan kepada diri sendiri mengapa ada individu yang rajin bekerja dan ada yang malas. Atribusi yang dilakukan oleh seseorang ketua amat mempengaruhi sikap dan tingkah laku orang-orang bawahannya. Ketua-ketua sentiasa memerhatikan prestasi orang-orang bawahannya dan mereka cuba memahami faktor-faktor yang menyebabkan prestasi mereka sangat rendah, rendah, sederhana, tinggi, ataupun amat tinggi.
Lazimnya ketua-ketua melakukan atribusi apabila prestasi orang-orang bawahannya rendah, tetapi tidak begitu halnya apabila prestasi mereka tinggi. Ertinya, apabila individu itu malas, barulah si ketua cuba memikirkan mengapa dia malas. Sebaliknya apabila individu itu rajin, si ketua tidak pula cuba memahami mengapa dia rajin. Hal ini disebabkan tingkah laku malas dan prestasi yang rendah menimbulkan banyak masalah kepada ketua, sebaliknya sikap rajin dan prestasi tinggi tidak menimbulkan sebarang masalah kepadanya.
Ramai orang tidak mengetahui ketua-ketua adalah manusia biasa, oleh itu mereka melakukan banyak jenis kesilapan, baik kesilapan teknikal yang tidak disengajakan mahupun kesilapan-kesilapan psikologikal yang mereka sendiri tidak sedari. Bagi membina hubungan baik dengan ketua-ketua, dan bagi memastikan seseorang itu tidak menjadi mangsa kepada kesilapan dan kelemahan ketua, faktor-faktor yang diterangkan dalam bab ini penting diambil kira sebagai panduan memilih tingkah laku yang betul di tempat kerja.