Penulis Perlu Diberi Lesen - Rais Yatim

Roziyah Mahamad — 29 Mar 2011 2:30 PM

Penulis di Malaysia perlu mempunyai lesen atau kebebasan dalam menghasilkan karya kerana hasil karya seseorang penulis adalah cerminan kepada dirinya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim menjelaskan penulis di Malaysia harus diberi kebebasan dalam menulis apa yang mereka inginkan.

"Kebelakangan ini, kita soalkan berapa cerpen yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan. Sekiranya dahulu, setiap minggu cerpen penulis tempatan diberi ruang penuh dalam akhbar-akhbar tempatan. Penjualan buku sastera juga tidak meningkat jualannya," jelas Rais Yatim.

Bagi Rais, penulis perlu menghasilkan karya agung di Malaysia yang mampu menembusi pasaran pembaca.

Bagi beliau, sastera itu perlu dilihat semula dari sudut pembudayaan bahasa dalam menyatukan pemikiran manusia.

"Di negara kita, menyatukan sastera adalah melalui cerminan hidup pelbagai kaum yang ditulis dalam karya sendiri," ujar beliau lanjut. Beliau menjelaskan hal ini dalam perasmian seminar Sastera Pelbagai Kaum di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Rektor ASWARA, Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Pengerusi Persatuan Penterjemah dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF), Goh Hin San.

Komen pengunjung:

  1. noor emylia
    28 Aug 2011
    4:38 PM

    ok je

Berikan komen anda:



Program realiti islami yang mencungkil bakat kanak-kanak dalam bidang pengucapan awam berjaya menjadi landasan dalam usaha membentuk anak-anak agar menjadi pemimpin di masa hadapan.

Rancangan realiti televisyen adik-adikku musim kedua yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama RTM ini berlangsung di Pusat Konensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan secara langsung di TV1.

Melalui program tersebut, seramai 14 finalis dari rancangan adik-adikku musim yang pertama dan kedua akan menerima geran pendidikan berjumlah RM2,400 setahun sehingga ke tingkatan lima dengan syarat perlu konsisten dengan kriteria yang ditetapkan.

Skim yang diumumkan isteri Perdana Menteri ini turut menyediakan program khusus berbentuk kepimpinan akademik dan motivasi selain bantuan pelajaran bagi membolehkan pencapaian mereka dipantau secara lebih sistematik.

Seramai tujuh peserta daripada 16 peserta yang bertanding berjaya ke peringkat akhir bagi merebut gelaran juara adik-adikku musim kedua ini.

Juara program tersebut dimenangi oleh Muhammad Amirul Munir Azlin, 10 tahun yang menerima hadiah RM10,000. Tempat kedua pula dimenangi oleh Syafiqah Ahmad Safri, 11, yang menerima RM8,000. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Zaid Najmuddin Zul Akmal 12 yang menerima RM6000. Mereka turut menerima piala serta hadiah iringan.

Empat finalis lain pula menerima hadiah wang tunai RM3,000, piala serta hadiah iringan.

PTS juga turut menjadi penganjur hadiah bagi menggalakkan rancangan adik-adikku yang membentuk keperibadian anak-anak agar menjadi insan berguna satu masa nanti.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



PTS Fortuna akan mengadakan program bersama peminatnya di Pesta Buku MPH, SACC Mall, Shah Alam 19 Jun ini.

Editor-editor PTS juga bakal mempromosikan novel Karipap-Karipap Cinta karya Tuan Nazri M. Annuar yang diulang cetak kali ketiga dalam tempoh sebulan. 

Menurut Tuan Syafiq Zulakifli, Editor Perolehan PTS Fortuna, Pre-ujibakat mencari pelakon juga akan diadakan bagi mencari pelakon filem Karipap-Karipap Cinta.

"Anda adalah pelakon KKC yang kami cari," kata Tuan Syafiq.

Beliau berkata, pengunjung yang berjaya dalam ujibakat tersebut akan di bawa ke Cinematix, syarikat produksi pengarah tersohor, Tuan Hafsam.

Hadiah-hadiah menarik juga disediakan bagi pengunjung yang bertuah.

Beramai-ramai memeriahkan pesta buku MPH ini bersama dengan PTS Fortuna di ruang legar SACC Mall, Shah Alam pada 19 Jun ini dari jam 12 tengah hari hingga 5 petang.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Kenapa masih banyak lagi?” detik hatiku apabila menyedari haidku semakin banyak walaupun masuk hari kelima. Biasanya ia akan berkurangan selepas hari ketiga ataupun keempat. Aku juga perasan kali ini, darah agak banyak daripada biasa. “Ah, mungkin sebab aku bertukar pil perancang,” ujarku lagi untuk memenangkan fikiranku. Sememangnya selepas Hannah, puteriku menjangkau dua tahun lebih dan sudah bercerai susu, aku bertemu pakar sakit puan untuk menukar pil perancangku. Oleh kerana kedua-dua kelahiran anak-anakku adalah melalui pembedahan, aku perlu membuat perancangan keluarga bagi memastikan kesihatanku pulih sebelum mengandung lagi. Aku menjalani rutin harianku seperti biasa walaupun seminggu yang lepas aku agak sibuk kerana majlis perkahwinan dua sepupu suamiku di kampung. Selepas seminggu haidku, aku pergi ke pejabat pos untuk menghantar satu bungkusan ke Australia. Semasa menunggu di sana, aku perasan yang semakin banyak darahku keluar. Hatiku berdebar-debar… “Mengapa ini?” fikirku, tetapi dalam kerisauan, aku cuba menenangkan perasaanku. Aku perlu ke pasar raya berdekatan selepas selesai tugasku di pejabat pos untuk membeli kad prabayar telefon bimbitku. Selepas itu, aku perlu menjemput suami di pejabat pula. Aku berjalan masuk ke pasar raya itu dan tiba-tiba aku rasakan gumpalan darah keluar dari tubuhku. Terasa seperti senggugut yang agak sakit menyerangku. Aku berjalan dengan pantas menuju ke tandas. Aku memandang ke bawah dan ternampak darah mengalir pada kakiku. Jantungku berdebar pantas. “Mengapa ini?” hatiku menjerit? Alangkah terkejutnya apabila berada di tandas, aku mendapati pakaian dalamku berlumuran darah. Gumpalan darah turut kelihatan. Aku segera keluar dan menuju ke farmasi untuk membeli tuala wanita yang tebal dan ke sebuah kedai pakaian membeli salinan pakaian yang lengkap. Aku menuju balik ke tandas dan membersihkan diriku. Dalam keadaan penuh berdebar, aku segera membeli kad prabayar dan menelefon suamiku menceritakan apa yang berlaku. Dia turut risau tetapi selepas aku meyakinkannya yang aku boleh memandu ke pejabatnya, dia akur dan berjanji akan menungguku. Perjalanan ke pejabat suamiku dirasakan begitu jauh. Berbekalkan satu tin Milo dan buah apricot jeruk, aku tidak henti berdoa kepada Tuhan supaya perjalananku selamat. Dalam hatiku bertanya, mengapa haidku begitu banyak? Mungkinkah disebabkan pil yang baru ataupun… mungkinkah aku mengandung dan sedang keguguran? Ya Tuhan! Hanya kepadamu aku berserah. Setibanya di pejabat suamiku, dia terus mengambil alih tugas memandu. Aku menceritakan kepadanya kemungkinan aku mengalami keguguran. Kami bersetuju untuk berjumpa pakar malam nanti. Setibanya di pejabat pakar, dia membuat imbasan ultra ke rahimku. Ternyata benar sangkaanku. Aku rupa-rupanya sedang mengalami keguguran. Doktor menasihatiku supaya pergi ke hospital untuk prosedur D&C pagi keesokannya. Tetapi, sekiranya aku mengalami pendarahan yang banyak pada malam itu, aku perlu segera ke hospital. Pagi esoknya, aku bersiap dan terus ke hospital bersama suamiku. Walaupun kali kedua aku mengalami keguguran, aku amat bersedih kali ini. Mungkinkah aku boleh menyelamatkan bayi ini sekiranya aku tahu aku mengandung? Mengapa tidak aku endahkan tanda-tanda kehamilanku seperti kelewatan haid, rasa loya dan penat walaupun aku mengalaminya? Apa-apa pun, ini semua adalah ujian dari Tuhan dalam menguji kesabaranku. Selepas selesai prosedur itu, aku kembali ke rumah. Sambil berehat di kamarku, aku mengenang kembali pengalaman ngeriku semalam. Syukur tiada kejadian yang tidak diingini berlaku kepadaku. Memang bukan rezeki kami kali ini….

Komen pengunjung:

  1. noor emylia
    28 Aug 2011
    4:43 PM

    cite menarik….

Berikan komen anda:



Bercakap dengannya hanya menyebabkan saya sakit hati sahaja, sebab dia tidak memahami jiwa saya. Sebaliknya saya lebih suka bercakap dengan sahabat baik saya. Mengapakah lelaki susah hendak memahami jiwa isteri? - Pn. Zaidah, Kangar. Pn. Zaidah, Jangan kecewa apabila anda tidak dapat meluahkan masalah anda kepada suami anda. Majoriti lelaki memang tidak tahu cara yang betul membantu isterinya yang sedang berasa tertekan oleh masalah peribadi. Salah satu tingkah laku perempuan apabila mengalami masalah peribadi adalah mereka mahu berkongsi masalah itu dengan orang lain. Perempuan mengadukan masalah peribadi mereka kepada orang lain bukan kerana hendak mencari nasihat ataupun cara-cara menyelesaikan masalah mereka. Sebaliknya, mereka mahu mencari simpati dan dukungan emosi. Daripada kaca mata lelaki, mereka mengatakan perempuan sepatutnya menyelesaikan masalah peribadi mereka dengan melakukan apa yang dilakukan oleh lelaki. Mereka berkata begitu disebabkan lelaki tidak tahu bahawa cara-cara perempuan menangani masalah adalah sangat berbeza daripada cara-cara yang dilakukan oleh lelaki. Cara-cara bagaimana lelaki dan perempuan mengendalikan masalah peribadi amat berbeza. Lelaki mempunyai otak penyelesai masalah. Bagi perempuan, apabila mereka menghadapi masalah peribadi, mereka perlu meluahkan masalah mereka itu. Dalam erti kata yang lain, perempuan mahu bercakap-cakap tentang tekanan yang disebabkan oleh masalah peribadi mereka. Perempuan mahu bercakap-cakap tentang masalah mereka untuk mendapatkan dukungan emosi daripada individu lain. Tetapi pada sangkaan lelaki, perempuan yang datang dan bercakap kepadanya tentang masalahnya itu datang bagi mendapatkan nasihat bagaimana masalahnya boleh diselesaikan. Lalu lelaki pun memberikan nasihat kepada perempuan itu bagaimana masalah peribadinya dapat diselesaikan. Sangkaan ini salah.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Tanda orang yang mengalami kecelaruan personaliti seperti menghadapi tekanan jiwa, masalah bimbang, resah, cepat marah, antisosial ataupun terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Faktor-faktor harian, kemiskinan dan layanan ibu bapa mungkin ada hubungkait dengan kecelaruan per-sonaliti. Terdapat beberapa jenis kecelaruan personaliti yang biasanya melanda golongan remaja (Mohd Salleh Lebar, 1999:181-183) iaitu: *Kecelaruan Personaliti Afektif* Individu yang mengalami kecelaruan personaliti jenis afektif kelihatan tidak bertenaga, resah, mudah rasa bersalah dan diselubungi kebimbangan. Ini adalah per-ubahan afek atau mental-emosi sebagai trait personaliti dan bukan simptom. *Kecelaruan Personaliti Antisosial* Kecelaruan personaliti antisosial banyak berlaku di kalangan remaja lelaki. Antara ciri-cirinya adalah: Suka menipu dirinya dan orang lain. Lari dari rumah. Tidak suka belajar. Melawan guru. Suka bergaduh. Mencuri. Melakukan hubungan seks tanpa nikah. Melanggar peraturan yang dibuat oleh masyarakat. Biasanya, individu yang terlibat dalam masalah ini sukar menyedari kesumbangan perilakunya dan mengambil masa yang panjang membetulkan semula perilaku itu. *Kecelaruan Personaliti Obsesional* Kecelaruan jenis ini tidak keterlaluan apabila di-bandingkan dengan yang lain. Individu yang mengalami kecelaruan ini biasanya berasa bimbang, tidak selamat dan sukar menyesuaikan diri dengan orang lain. Bagi mengatasinya, individu itu cuba mengawal suasana persekitaran bagi menyesuaikan diri dengan kehendak perasaannya. Jika dia pelajar, segala perkara yang disuruh oleh gurunya dibuat dengan bersungguh-sungguh dan ter-atur bagi mendapatkan kejayaan. Mental-emosi boleh dikatakan stabil dan tidak suka memarahi orang lain. *Kecelaruan Personaliti Paranoid* Orang yang berumur 25 tahun ke atas mudah menghadapi kecelaruan personaliti paranoid. Antara sifatnya adalah: Cemburu. Curiga. Cepat sensitif. Cepat marah apabila ada orang lain mengusiknya. Walau bagaimanapun, individu yang mengalaminya dapat mempelajari suatu bidang dengan baik dan bertanggungjawab terhadap pekerjaan dan rumah tangganya serta mempunyai keyakinan diri. *Kecelaruan Personaliti Histeria* Kecelaruan seperti ini banyak berlaku di kalangan golongan wanita. Antara cirinya adalah: Bertingkah laku dramatik. Bercakap bohong. Menggunakan pertolongan orang lain bagi ke-pentingan diri. Cepat marah. Pandai menggoda lelaki. *Kecelaruan Personaliti Skizoid* Individu yang mengalami kecelaruan jenis ini adalah orang yang: Pendiam. Suka hidup bersendirian. Tidak mahu berkahwin. Tidak mempunyai minat dalam sebarang hal. Tidak menunjukkan reaksi mental-emosi apabila dipuji ataupun dikeji. Mempunyai cara hidup tersendiri. Walau bagaimanapun, mereka boleh menumpukan pada suatu pekerjaan dengan baik. *Kecelaruan Personaliti Astenik* Individu yang mengalami kecelaruan personaliti astenik biasanya: Berasa dirinya lemah. Suka bergantung pada orang lain. Tidak berani membuat keputusan sendiri. Tidak sanggup memikul tanggung-jawab yang ditetapkan. *Kecelaruan Personaliti Meletup* Ciri penting individu yang mengalami kecelaruan jenis ini adalah sukar mengawal diri dan cepat marah. Perasaan marah itu kadang-kadang ditujukan kepada orang lain dan diri sendiri apabila dia tidak dapat mengawal perasaannya. *Kecelaruan Personaliti Histronik* Individu yang mengalami kecelaruan jenis ini me-nunjukkan sifat matang seperti suka bergembira dan terlalu dramatik. Kadang kala dia suka bergantung pada orang lain. *Kecelaruan Personaliti Pinggiran* Keadaan individu yang mengalami kecelaruan jenis ini ialah mengalami gangguan identiti jantina, konsep kendiri, masalah interaksi dengan orang lain dan cepat marah. *Kecelaruan Personaliti Narsisistik* Ciri individu yang mengalami kecelaruan jenis ini adalah mementingkan diri sendiri. Tetapi pada masa yang sama mengharapkan perhatian dan pujian daripada orang lain. Tidak dapat dinafikan, ramai dari-pada kalangan remaja mempunyai kecelaruan personaliti. Kecelaruan yang banyak menimbulkan masalah adalah kecelaruan personaliti antisosial. Walau bagaimanapun, kecelaruan personaliti tidak sepatutnya dianggap sebagai penyakit. Tetapi hanya sebagai variasi atau kelainan yang melebihi had personaliti normal.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



LANGKAH BISTARI ISTERI MITHALI 1. Mainkan setiap peranan isteri dengan seimbang iaitu sebagai isteri, kekasih, kawan, penyokong, perangsang, penasihat, pendengar, pendidik dan pendoa. 2. Sentiasa taat kepada semua suami dalam semua hal yang dibenarkan oleh syarak. Tetapi isteri tidak perlu taat dalam hal yang melibatkan kemungkaran. 3. Layan setiap keperluan suami dengan saksama terutama keperluan seksual. Bagi suami, hubungan seks adalah bukti dan kaedah mengeratkan kasih sayang yang penting. 4. Fahami kerenah suami dan banyak bersabar. Gunakan gerak hati yang sedia ada dalam diri wanita bagi memahami kehendak dan pengharapan suami tanpa perlu disebut. 5. Didik suami berkenaan apa yang anda harapkan secara hikmah. Adakalanya anda kena berpesan kepada suami sehingga 200 kali untuk dia faham dengan jelas. Sabar apabila memberi pesanan kepada suami. 6. Berhias dan pastikan anda sentiasa kemas serta menawan untuk suami. Bincang dengan suami cara penampilan yang dia gemari. Lakukan mengikut kehendaknya. 7. Maafkan suami dan orang lain setiap malam sebelum tidur dan minta maaf daripada suami. Kemaafannya mencuci hati, menyembuhkan sakit, mencantikkan wajah, menarik sayang dan memakbulkan doa. 8. Doakan suami setiap masa. Doa mengeratkan roh anda dengan roh suami. Seterusnya membentuk kasih sayang yang mendalam dan berkekalan. 9. Pastikan anda melebihkan suami daripada ibu bapa ataupun orang lain. Tetapi pastikan anda bersopan santun terhadap ibu bapa supaya mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat. 10. Berbahagialah apabila melahirkan anak seramai yang munasabah. Asuh dan didik anak sebaik mungkin. Jangan terlalu mengharapkan orang lain mendidik anak anda. 11. Pastikan anda meminta izin suami setiap kali keluar dari rumah ataupun dapatkan keizinan dalam jangka masa panjang. Keluar rumah tanpa izin adalah berdosa. 12. Elakkan daripada menjadi queen control. Nabi menyatakan, suami yang terpaksa taat kepada isterinya akan binasa dan rumahtangga akan musnah. 13. Pandang suami dengan lemah lembut, senyum, kata yang manis, sentuhan, dengar cakapnya dan peluk dia semasa pergi dan balik kerja. 14. Temankan suami makan walaupun anda sudah makan. Ramai suami rasa terbiar apabila terpaksa makan bersendirian selalu. Amalkan makan bersama suami. 15. Sesekali mandi bersama suami. Ini dapat mengeratkan kasih sayang dan keakraban antara suami dan isteri. Mandi bersama adalah sunah. 16. Rawat suami dengan penuh kasih sayang apabila sakit. Sentuhan dan kata-kata manis yang positif bertindak sebagai ubat yang mujarab. 17. Mengalahlah kepada suami bagi perkara yang harus. Suami rasa kecewa dan kurang berwibawa apabila isteri melawan atau enggan patuh arahan. Ini menyebabkan suami stres. 18. Tutup diri anda daripada sebarang lelaki lain. Pastikan anda menutup aurat dengan sempurna untuk kejayaan dunia dan akhirat. 19. Cintai suami sepenuhnya dan senangkan hati suami. Suami anda adalah lelaki terbaik buat anda mengikut perancangan Tuhan. Dan anda adalah wanita terbaik bagi suami anda. 20. Jaga rahsia suami. Ada isteri yang tanpa sedar menceritakan keburukan suami kepada kawan ataupun ahli keluarga lain. Perbuatan ini salah dan berdosa. 21. Tuhan tidak memandang isteri yang tidak berterima kasih atas kebaikan suaminya. Justeru, berterima kasihlah atas kebaikan yang suami lakukan. 22. Kebanyakan penghuni neraka adalah wanita kerana ramai wanita yang menyumpah seranah dan tidak bersyukur kepada suami mereka. Elak daripada khianat atau sabotaj suami. 23. Elakkan daripada menyakiti hati suami dengan bertindak malas, melawan, menghina, komplen, menghambakan suami, sombong ataupun buat perkara yang suami larang. 24. Jangan menerima tetamu yang bukan muhrim semasa suami tiada di rumah. Ini amalan yang bakal menghancurkan rumahtangga. 25. Kejutkan suami untuk sembahyang malam dan isteri juga turut sama melakukan sembahyang malam. Ia adalah amalan yang menarik hidayat dan menerangkan kubur. 26. Dalam kes berpoligami, jangan menyuruh suami menceraikan madu anda. Ini kesalahan yang amat besar. Belajarlah bersabar dan berkongsi dengan aman. 27. Isteri yang meminta cerai tanpa alasan yang sail, tidak akan masuk syurga. Justeru, jangan meminta cerai apabila tiada alasan yang dibenarkan syarak. 28. Benteng diri daripada gangguan syaitan dengan membaca basmalah, ta'awuz, ayat kursi, sembahyang 5 waktu, sentiasa dalam keadaan berwuduk dan baca Fatihah dengan ayat 3 'Qul'. 29. Kekalkan sifat malu dalam diri wanita. Sifat malu untuk lelaki itu baik. Sifat malu untuk wanita itu sangat baik. Wanita yang hilang sifat malu jatuh martabat dan maruah diri. 30. Apabila suami balik kerja, beri dia rehat 30 minit sebelum bertanya pelbagai soalan. Sampaikan berita yang baik dan kurangkan berita yang buruk. 31. Jadikan Quran sebagai teman dalam menghadapi masalah, gelisah dan sakit. Amalkan juga sembahyang isyrak dan dhuha. 32. Taubat sekarang sebelum terlambat. Pohon maaf daripada suami setiap masa kerana biasanya suami mati dahulu daripada isteri. 33. Jauhi perasaan buruk sangka terhadap suami, mertua, ipar duai, jiran dan orang lain. Apa yang kita sangkakan itu bertindak sebagai doa dan mungkin berlaku. 34. Bersangka baik dengan semua ketentuan Tuhan. Apa yang Tuhan tentukan adalah terbaik untuk kita dan untuk semua orang di sekitar kita. Orang jahil tak nampak hakikat ini. 35. Penuhi semua hak Tuhan. Apa yang Tuhan suruh, lakukan semuanya. Apa yang dilarang jauhi sepenuhnya. Apa yang Tuhan beri kita terima dengan redha dan syukur. 36. Kenal pasti punca yang menyebabkan kita marah. Adakah kita terlalu sensitif, gangguan, tertekan, tidak dihargai, orang ambil hak kita, masalah rumahtangga dan sebagainya. Selepas mengetahui punca, mudah kita mengatasi masalah. 37. Fahami kesan marah. Wajah hodoh, sakit jantung, darah tinggi, selesema, jangkitan virus, tulang rapuh, mati syahwat, hancur rumahtangga. Justeru, kawal marah. 38. Bergaul dengan orang yang baik-baik. Cari kawan baru. Orang yang mempunyai ramai kawan baik tidak gagal di dunia dan akhirat. Bagi mendapatkan kawan baik, jadilah kawan yang baik. 39. Buat undang-undang di rumah. Apabila suami marah, kita diam dan bersabar. Apabila kita marah, suami diam, sabar dan pujuk kita. Mengalah tanda orang yang hebat dan matang. 40. Ubat hati yang berkarat dengan solat taubat, istighfar, baca Quran, sedekah, minta maaf, maafkan semua orang, beri orang makan dan berkawan dengan orang alim ataupun yang baik-baik. 41. Sambut suami setiap masa dengan cara yang menyenangkan. Berhias diri dahulu sebelum membuka pintu menyambut kepulangan suami. Beri air dan picit tengkuk dan bahu suami setiap petang. 42. Suara yang lunak dapat mengubat jiwa dan merawat tekanan yang dihadapi suami. Indahkan dan lembutkan suara setiap kali bercakap dengan suami. 43. Apabila melakukan hubungan seks dengan suami, pamerkan yang terbaik. Seboleh bolehnya penuhi kehendak suami. Suami rasa amat kecewa dan terluka apabila kehendaknya ditolak. 44. Redakan marah suami dengan hikmah. Jangan menjawab walaupun kita betul. Terangkan hal sebenar apabila suami sudah reda. Rumahtangga hancur apabila suami isteri sama-sama ego. 45. Sentiasa muliakan keluarga suami. Layan mereka seperti keluarga sendiri. Apabila kita sayang suami, kita wajib memuliakan orang yang suami kita sayang. 46. Cemburu itu sifat orang yang beriman dan tanda sayang. Tetapi cemburu yang berlebihan buat suami serba-salah dan tertekan. Apabila terasa cemburu terus berdoa supaya Tuhan selamatkan rumahtangga kita. 47. Isteri mithali mengawal diri daripada melakukan sebarang dosa besar. Dosa kecil yang diulang-ulang menjadi dosa besar. Segera bertaubat apabila melakukan dosa. 48. Jangan benarkan kemungkaran berlaku dalam rumahtangga kita. Pesan pada diri dan ahli keluarga supaya menghindari kemungkaran. Apabila melakukan kemungkaran, hidayat Tuhan tidak turun ke rumah kita. 49. Amalan harian terbaik isteri mithali adalah sembahyang taubat, istighfar 70 kali, sembahyang hajat, memaafkan semua orang, bersangka baik kepada semua orang dan doakan keluarga dan semua jiran kita. 50. Seimbangkan hidup dengan membersihkan hati, membetulkan amalan, berkawan dengan orang yang baik, jaga solat, berkatkan rezeki, riadah dan buat semua perkara sebaik mungkin.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Alam percintaan adalah alam yang dilalui oleh hampir kesemua individu. Ia berlaku apabila individu itu mempunyai pasangan untuk dating. Pada dasarnya, ia adalah suatu fasa masa yang dilalui oleh pasangan bercinta bagi menyelami hati budi masing-masing, memastikan kesesuaian untuk dijadikan pasangan hidup dan meningkatkan kemesraan bagi memudahkan penyesuaian apabila memasuki alam perkahwinan. Ia selalu digambarkan dengan kemanisan, kebahagiaan, keseronokan dan lain-lain perkara yang indah-indah. Namun, terdapat juga individu yang sering terpedaya dengan keindahan alam percintaan. Kerana hipokrit, sikap dan tingkah laku buruk tidak dipertontonkan. Jika ada pun, pasangannya menganggap ia sesuatu yang remeh dan boleh dipertimbangkan kemudian. Keasyikan bercinta membuatkan mereka ini memberi tumpuan kepada perkara yang baik dan manis sahaja. Malah, akibat terlalu menurutkan nafsu, ada yang terjerumus ke kancah keruntuhan moral yang begitu menjijikkan. Begitulah antara senario alam percintaan yang cukup hebat pengaruh serta kesannya ke atas keseluruhan kehidupan seseorang individu. Apa itu cinta? Cinta adalah emosi manusia yang universal. Cinta juga sejenis perasaan tersendiri yang dilahirkan dalam bentuk tingkah laku. Ia sukar didefinisikan dengan tepat kerana ia bergantung pada konteks rujukan. Malah, ajaran Islam juga menuntut umat-Nya supaya mempunyai perasaan cinta iaitu mengasihi dan menyayangi diri sendiri dengan tidak melakukan perkara mungkar, mengasihi dan menyayangi saudara seagama juga makhluk Tuhan yang lain seperti haiwan dan tumbuhan. Dalam konteks praperkahwinan, cinta adalah suatu perasaan yang wujud dalam diri individu apabila dia menyukai orang yang berlainan jantina atas sebab tertentu seperti kecantikan paras rupa, kebaikan hati budi, kebijaksanaan, kesihatan fizikal, kemesraan dan keramahan mulutnya. Seseorang juga boleh jatuh cinta disebabkan oleh faktor lain seperti sosioekonomi, bangsa, agama dan pendapatan. Lelaki dan wanita mempunyai cara tersendiri dalam meluahkan perasaan cinta dan menyatakan komitmen dalam sesebuah perhubungan intim. Pada umumnya, lelaki lebih mementingkan aspek instrumental seperti perkongsian aktiviti dan menjadi teman. Namun, kaum wanita lebih mementingkan aspek emosional iaitu perkara yang berkait- an dengan perapatan, perkongsian rahsia peribadi dan komunikasi. Cinta adalah aspek penting dalam kehidupan. Oleh kerana itu, cinta memainkan peranan yang besar dan kesannya begitu kritikal ke atas kehidupan. Ini kerana ada individu yang sanggup mengorbankan masa, tenaga, harta benda demi cinta. Malah ada juga segelintir individu yang sanggup mengorbankan maruah dan nyawa demi cinta yang dianggap begitu sejati. Namun, sejauh manakah kita dapat mengetahui bahawa cinta itu sejati, ikhlas ataupun hanya sekadar mainan kehidupan, kupasannya dalam ‘jenis cinta’. Bagaimana lelaki bercinta? Orang lelaki digeneralisasikan sebagai individu yang mudah tertarik kepada pasangan dan lebih cenderung mendapatkan keseronokan dalam perhubungan. Kebanyakan hubungan yang diwujudkan oleh lelaki adalah dengan hasrat untuk jatuh cinta dengan pasangannya. Bagaimana wanita bercinta? Cinta bagi wanita pula adalah sesuatu yang tulus ikhlas. Ia dikatakan sebagai penentu terbaik terhadap masa depan perhubungan intim yang terjalin. Selain tarikan fizikal, wanita lazimnya mempertimbangkan aspek lain seperti emosi dan ekonomi yang ada pada pasangannya sebelum meneruskan hasrat cinta. Wanita juga lebih serius dalam hubungan cinta. Selain itu, wanita lebih ekspresif apabila mereka memberi komitmen yang tinggi pada pasangannya. Bagaimana lelaki memikat wanita? Kaum lelaki lazimnya cuba memikat wanita dengan melakukan aksi-aksi tertentu. Antaranya adalah dengan melontarkan satu renungan tajam kepada seseorang wanita yang diminatinya. Ini bertujuan untuk memberitahu bahawa dia begitu berminat dengan wanita itu dan berhasrat supaya mendapat respons atau reaksi positif daripadanya. Selain itu, terdapat juga sesetengah lelaki yang berlagak macho dengan mempamerkan susuk badan yang gagah dengan harapan ada gadis yang akan terpikat atau tertarik padanya. Apabila lelaki berkesempatan untuk berkomunikasi dengan wanita yang diminatinya, dia akan menceritakan berkenaan kebaikan dirinya, kejayaan hidup-nya dan lain-lain gambaran positif berkenaan diri dan kehidupannya. Ini bertujuan untuk memberitahu wanita itu bahawa dia adalah seorang yang baik hati, berwawasan dan berjaya dalam hidup. Tidak kurang juga lelaki yang menunjukkan sikap pemurah sebagai cara hendak memikat wanita. Mereka berbudi dengan memberikan hadiah, belanja makan, mengajak untuk bersiar-siar menaiki kenderaannya dengan hasrat dapat memancing hati wanita itu. Namun, berwaspadalah kaum wanita kerana tidak semua lelaki bersikap ikhlas dan jujur. Bagaimana wanita memikat lelaki? Kaum wanita turut mempamerkan aksi-aksi tertentu dengan tujuan memikat lelaki ataupun dengan harapan ada lelaki yang terpikat padanya. Seperti juga lelaki, apabila wanita mula meminati seseorang lelaki, dia memberi renungan tajam dengan harapan lelaki itu menyedari ada individu lain yang menghargai kehadirannya dan memerhatikan gerak-gerinya. Sebagai balasan, wanita mengharapkan respons positif daripadanya. Walau bagaimanapun, tidak semua wanita mempunyai ‘keberanian’ untuk bertingkah laku demikian. Selain itu, terdapat sesetengah wanita yang menonjolkan diri dengan bersolek supaya ada lelaki yang tertarik padanya. Walau bagaimanapun, kaedah ini agak keterlaluan bagi masyarakat beragama Islam dan perbuatan sebegini biasanya dilakukan oleh orang Islam yang kurang kesedaran keagamaan ataupun kurang berpegang teguh kepada ajaran agama. Malah, Islam hanya membenarkan wanita bersolek dan berhias untuk tatapan suami sahaja. Wanita juga akan berpenampilan menarik sebagai tujuan memikat lelaki. Penampilan itu adalah daripada berbagai-bagai aspek seperti penonjolan bentuk badan, cara berpakaian dan cara berjalan. Dalam kaedah ini, walaupun seseorang itu kurang kelihatan menarik daripada segi rupa paras, mereka masih boleh lagi kelihatan menarik dengan menggayakan penampilan tertentu. Kesempatan ini harus diambil oleh kaum wanita untuk mempamerkan ciri wanita anggun dan bergaya tetapi pada masa yang sama menjaga kesopanan diri. Ini kerana bagi lelaki, bagi mendapatkan keseronokan, mereka akan berkawan dengan sesiapa sahaja (wanita) asalkan wanita itu respons padanya dan dapat memenuhi keperluan instrumental. Namun, untuk dijadikan teman hidup, mereka tetap memilih wanita yang baik, bersopan santun, berakhlak mulia, menjaga kehormatan diri. Apakah perlakuan orang bercinta? Semasa bercinta, terdapat beberapa perlakuan yang lazim dipamerkan oleh kedua-dua pasangan bagi menunjukkan rasa cinta masing-masing. Bagi individu yang suka berterus terang, mereka akan menyatakan perasaan cinta secara lisan tanpa berselindung supaya mesej yang disampaikan adalah jelas. Namun, ada juga individu yang tidak selesa untuk berterus terang, lalu hasrat cinta dilafazkan secara perlahan-lahan semasa berkomunikasi berkenaan isu seperti perkongsian maklumat diri dan juga kisah semasa ataupun dengan menunjukkan perasaan cinta secara kebendaan contohnya, menghadiahkan bunga mawar ataupun kereta mewah ataupun memberikan wang ringgit. Ada juga yang menunjukkan perasaan cinta secara bukan kebendaan contohnya, menyokong pendapat ataupun menghormati pendirian. Selain itu, terdapat juga yang tidak menyatakan sebarang perasaan cinta, berkomunikasi secara intim atau memberikan hadiah, namun menunjukkan rasa cintanya dilahirkan dengan mendekatkan jarak fizikal apabila mengadakan temu janji (berada pada jarak yang lebih hampir berbanding sebelum bercinta). Bagaimana proses bercinta? Individu yang sedang bercinta juga dikatakan melalui beberapa proses sebelum mencapai suatu bentuk hubungan yang benar-benar stabil di mana kedua-duanya sudah bersedia untuk memasuki alam perkahwinan. Pada peringkat permulaan, kedua-dua pasangan berasa selesa di mana masing-masing saling memahami antara satu sama lain. Dalam hal ini, konsep kufu memainkan peranan penting. Latar belakang individu mempengaruhi kesesuaian kedua-dua pasangan dalam menjalin hubungan. Apabila kedua-dua pasangan sudah berasa selesa dan serasi, akan timbul keyakinan hendak mendedahkan maklumat diri masing-masing dan berkongsi rahsia peribadi. Walau bagaimanapun, ada juga individu yang berhati-hati dalam mendedahkan maklumat diri kerana masih memikirkan risiko ataupun kesan negatif jika hubungan cinta itu tidak sampai ke jinjang pelamin. Selepas memperoleh keadaan yang selesa juga, masing-masing akan menyatakan perasaan atau hasrat yang tersendiri. Apabila kedua-dua pasangan sudah berkongsi mak-lumat dan rahsia peribadi serta meluahkan perasaan masing-masing, akan wujud sikap saling memerlukan antara satu sama lain untuk berkongsi berbagai-bagai perasaan seperti gembira, sedih dan sebagainya. Pada peringkat ini, lazimnya aktiviti berjumpa atau dating semakin kerap dilakukan dan hidup seolah-olah tidak lengkap tanpa ‘si dia’. Hati seperti tidak tenteram jika tidak dapat bertemu dengan ‘si dia’ dalam suatu tempoh masa. Dengan ini, akan wujud suatu keperluan lain yang lebih intim iaitu keperluan untuk sayang menyayangi dan kasih mengasihi. Pada tahap ini, kedua-dua individu berupaya menunjukkan komitmen yang tinggi pada pasangan masing-masing. Dalam konteks budaya Malaysia, perhubungan itu dikata-kan intim apabila berlaku perkongsian emosi dan wujud komitmen antara dua individu, lelaki dan wanita. Lazimnya, mereka yang intim memperuntukkan sebilangan masa untuk berkongsi aktiviti seperti makan, beriadah dan menonton. Pasangan yang terlibat dalam hubungan intim saling mempercayai antara satu sama lain dan sanggup berkorban apa sahaja demi pasangan. Maka, di sinilah setiap individu perlu sedar dan berwaspada serta memainkan peranan aktif sebagai individu yang berakhlak mulia dan beretika bagi mengelak daripada melakukan perkara yang melanggar norma sosial masyarakat. Ahli masyarakat seperti ibu bapa, jiran tetangga dan rakan taulan yang berada di sekeliling juga perlu berperanan aktif dan bertanggungjawab dalam mengawasi pasangan seperti ini bagi mengelak daripada berlakunya perkara tidak bermoral. Apakah jenis cinta saya dan pasangan? Secara sedar ataupun tidak, berdasarkan pengalaman, pembacaan ataupun pemerhatian, setiap individu yang bercinta mempunyai gaya tersendiri dalam menunjukkan rasa cinta masing-masing. Kajian menunjukkan terdapat enam jenis cara gaya cinta yang biasa dipertontonkan oleh individu yang sedang bercinta iaitu Eros, Ludus, Storge, Mania, Agape dan Pragma (Lee, 1973). Walau bagaimanapun, perlakuan cara gaya cinta individu tidak terhad kepada satu sahaja dan boleh berubah mengikut masa dan pasangan yang berbeza. Eros diklasifikasikan sebagai cinta romantik. Daya tarikan fizikal diutamakan dalam jenis cinta ini (cinta pandang pertama). Cinta jenis ini juga dicirikan oleh percampuran emosi, keasyikan, seksual yang kuat dan mereka yang menggayakan cinta jenis ini ingin menikmati kegemilangan dalam cintanya. Ludus adalah cinta permainan. Ia digambarkan dengan individu yang mempunyai ciri mementingkan diri sendiri, suka menggoda tetapi tidak inginkan hubungan intim, tidak gemarkan pasangan yang terlalu bergantung, kurang mesra dan tiada rancangan jangka panjang. Cinta jenis ini juga dikelaskan sebagai cinta yang tiada komitmen dan banyak kerahsiaan. Terdapat juga individu yang lebih menitikberatkan per-kongsian aktiviti berbanding penglibatan emosi yang mendalam dalam hubungannya. Mereka yang sebegini dikategorikan sebagai individu yang menggayakan cinta jenis storge iaitu cinta kawan karib di mana perasaan itu terhasil daripada perhubungan erat dan mesra yang sudah lama terjalin. Mereka yang berada dalam kategori jenis ini dikatakan lebih logikal di mana perkongsian harapan adalah secara terbuka, jarang merajuk dan rasa cemburu dan seandainya perpisahan terjadi, ia tidak akan menimbulkan kerisauan. Individu yang menunjukkan kecintaan mereka dengan cara yang keterlaluan atau melampau digelar Mania. Mereka ini mahukan rasa kepunyaan dan sentiasa memikirkan berkenaan pasangan, kasih sayang, mahukan perhatian, kepastian dan ketulusan yang berpanjangan. Mereka juga mengawal dan mengongkong pasangan, cemburu buta dan sentiasa berada dalam kerisauan kerana bimbang cinta akan berkurangan atau hilang. Pragma atau cinta logikal adalah cinta yang lebih praktikal dan realistik. Individu yang menggayakan cinta jenis ini suka memikirkan keuntungan peribadi dalam perhubungan. Mereka juga inginkan keserasian latar belakang mereka dengan pasangan yang ingin didampingi. Perasaan cinta hanya timbul selepas membuat perhitungan bahawa pasangan itu benar-benar layak untuknya. Agape adalah cinta pengorbanan. Individu yang mempunyai cinta jenis ini berhati mulia, mesra dan tidak mengharapkan balasan daripada orang yang dicintainya serta sedia memaafkan kesilapan pasangannya. Mereka memberikan kasih sayang dengan sepenuhnya, berusaha membahagiakan pasangan dan sanggup menangguhkan kepentingan sendiri demi pasangan. Individu yang berada dalam kategori ini sering ditindas atau dimanipulasikan oleh pasangan. Walau bagaimanapun, mereka menganggap penindasan hanya suatu yang tidak disengajakan! Sudahkah saudara mengenal pasti jenis cinta saudara sendiri? Sudahkah saudara mengetahui jenis cinta yang digayakan oleh pasangan saudara? Maka, sejauh manakah ketulusan dan keaslian cinta saudara berdua? Sekiranya saudara pasti terdapat penipuan dan penindasan dalam hubungan cinta, apa tindakan yang wajar diambil? Dengan maklumat dan pengetahuan yang ada, jawapan di tangan saudara! Cinta boleh juga dikelaskan kepada lapan bentuk mengikut variasi kemesraan, komitmen dan keghairahan (Steinberg, 1987). · Liking adalah cinta yang mempunyai dimensi kemesraan sahaja. · Empty adalah cinta yang mempunyai unsur komitmen sahaja. · Infatuation adalah cinta yang dicirikan oleh unsur keghai­rahan sahaja. · Companionate adalah gabungan kemesraan dan komit­men. · Romantic adalah gabungan kemesraan dan keghairahan. · Fatuous adalah gabungan komitmen dan keghairahan. · Consummate adalah gabungan unsur kemesraan, komit­men dan keghairahan. · Nonlove tiada sebarang komponen cinta. Bagaimana saya hendak berdepan dengan masalah putus cinta sekiranya ia terjadi? Fenomena putus cinta adalah lumrah dalam kehidupan terutama ketika zaman remaja. Ia adalah suatu proses yang menyedihkan, namun tahap kesedihan itu bergantung pada tahap keseriusan hubungan yang sudah sekian lama terjalin. Fenomena ini berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak ataupun disebabkan desakan satu pihak sahaja. Ia lazimnya terjadi atas beberapa sebab: · Tiada keserasian atau kesesuaian antara pasangan dalam aspek tertentu. · Mempunyai pilihan yang lebih baik. · Tiada kejujuran · Tiada kesetiaan · Hilang kepercayaan Walau apa pun yang terjadi, fenomena putus cinta ini tidak perlu dijadikan penghalang untuk kita meneruskan kehidupan ini. Dengan itu, seseorang yang telah mengalami putus cinta harus berfikiran positif dan menerima hakikat kehidupan supaya mengelak daripada berlaku perkara negatif seperti tidak mahu berkahwin seumur hidup, melabel kaum lelaki atau wanita dengan ciri yang negatif dan membunuh diri. Fikirkanlah rasional-rasional di bawah bagi mengatasi kesedihan dan kekecewaan yang dialami dan seterusnya meningkatkan semangat untuk terus berjuang dalam hidup. Mengambil langkah lebih berwaspada Apa yang dialami seeloknya dijadikan pengajaran dan pengalaman yang tidak ternilai harganya. Ini dapat mem­bantu individu ketika berhasrat hendak menjalin hubun­gan cinta dengan pasangan lain. Fenomena ini juga membuatkan seseorang itu berfikiran lebih matang dalam mengharungi kehidupan yang sememangnya penuh den­gan dugaan dan cabaran. ‘Manusia semuanya tidak sama’ Kita tidak boleh beranggapan semua lelaki atau wanita adalah sama. Ini kerana setiap individu mempunyai tret personaliti yang tersendiri. Mungkin selepas daripada peristiwa itu, kita akan menemui seorang insan yang lebih baik dan sesuai untuk kita jadikan teman hidup. Sudut Informasi Prejudis Prejudis adalah sikap emosional yang negatif atau memandang rendah pada kumpulan sosial tertentu. Prejudis dapat mengakibatkan diskriminasi kepada kumpulan sosial itu. Apabila diskriminasi berlaku, sesebuah kumpulan sosial tidak akan mendapat peluang atau hak yang sama rata dalam perkara tertentu. Contoh, jika saudara (seorang wanita) yang sudah di-kecewakan seorang lelaki, saudara menganggap semua lelaki adalah tidak setia atau jujur dalam percintaan. Ini adalah prejudis kerana saudara meletakkan sikap yang sekata dan tidak rasional kepada golongan itu di atas kesalahan seorang individu sedangkan tidak semua lelaki bersikap begitu. Oleh yang demikian, mari kita bersama membanteras sikap negatif yang tidak bertempat ini. Antara langkah yang dapat dilaksanakan adalah membuang amalan prejudis, berhati-hati dan jangan mudah percaya dengan stereotaip yang dibuat oleh masyarakat sekeliling, sentiasa ingat berbeza tidak semestinya seseorang itu rendah statusnya dan mencari maklumat berkenaan individu yang ingin didekati secara khusus. ‘Dia bukan jodohku’ Kita harus menerima kenyataan, bekas pasangan kita itu bukan orang yang benar-benar sesuai untuk dijadikan pasangan hidup. Mungkin ini suatu ketentuan daripada Tuhan untuk menunjukkan bahawa ‘si dia’ bukan jodoh kita. Sekiranya saudara yang memutuskan hubungan cinta… Ketahuilah bahawa bekas pasangan saudara terluka dan saudara harus benar-benar bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan masalah atau konflik yang ber­laku antara saudara dengan bekas pasangan dan juga antara anda dengan masyarakat sekeliling. Sekiranya saudara ditinggalkan oleh pasangan…. Perasaan sedih, marah dan lain-lain perasaan negatif adalah perkara normal. Saudara perlu menguatkan semangat dan memikirkan bahawa saudara masih dapat hidup gembira tanpa pasangan dan menganggap apa yang berlaku sebagai takdir dan ketentuan Ilahi. Bagaimana saya hendak mengawal rasa kecewa? Berikut adalah beberapa teknik ringkas yang sesuai, praktikal dan mudah bagi mengawal kekecewaan dan lain-lain perasaan negatif: Gambaran berpandu Individu harus membayangkan imej yang dapat memberi ketenteraman, ketenangan, kerehatan dan faedah lain dengan cara yang realistik. Misalnya membayangkan beliau berada di pantai, melihat kehijauan rimba, berada di tepi air terjun ataupun di kaki gunung. Amalkan se-lama lima minit untuk beberapa kali setiap hari. Kenal pasti dan terima kelemahan diri Ramai individu yang meletakkan matlamat yang tidak realistik yang akhirnya memusnahkan diri sendiri. Dengan berlandaskan prinsip tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini di samping memikirkan matlamat yang mampu dicapai berdasarkan kekuatan dan kelemahan diri, tekanan dapat diredakan. Mencari sokongan sosial Mengikut teknik ini, individu perlu mencari orang yang dapat dipercayai bagi menceritakan masalah atau melu­ahkan perasaan yang tertekan. Kaedah ini juga berupaya mengurangkan tekanan seseorang. Menulis berkenaan perasaan Perasaan, pemikiran ataupun pengalaman yang membuat seseorang itu rasa tertekan diluahkan dalam bentuk tulisan. Kaedah ini juga berupaya membuatkan seseorang itu menghadapi situasi tekanan dengan lebih baik. Apabila kecewa, bagaimana saya dapat memujuk diri sendiri? Terdapat banyak perkara positif yang membolehkan saudara mempunyai kehidupan yang lebih baik Katakan pada diri saudara: “Saya masih mempunyai keluarga yang penyayang yang memang sebelum ini pun setia dalam memberi sokongan dalam hidup saya. Banyak lagi aktiviti berfaedah yang dapat dilakukan bersama keluarga tersayang mahupun dengan kawan-kawan yang dapat meninggalkan kenang-an manis dalam hidup saya, misalnya pergi berekreasi, melancong ataupun menonton wayang.” Jadikan tindak-an melupakan perkara yang menggugat ketenangan dalam hidup anda suatu kepuasan dalam hidup. “Saya masih mempunyai harta bagi meneruskan ke-hidupan ini. Saya boleh buat apa sahaja dengan harta saya bagi memperoleh kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dengan pelbagai cara.” “Kekecewaan dalam hidup saya tidak sedikit pun men-jejaskan taraf pendidikan saya. Dengan pendidikan yang baik, saya mampu meningkatkan taraf ekonomi dan mempunyai status sosial yang baik.” “Saya berpegang teguh pada takdir Tuhan, kekecewaan yang dialami tidak boleh menggugat keimanan saya. Malah peristiwa sebegini membuatkan saya lebih berpegang teguh kepada ajaran agama dan percaya bahawa segala yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.” “Sedarlah bahawa kehilangan kekasih bukan bermakna saya kehilangan pekerjaan. Malah peristiwa sebegini berupaya membuatkan saya lebih tekun dan komited terhadap tugas di pejabat.” “Kegagalan dalam satu perkara dalam hidup masih tidak mampu memusnahkan keseluruhan matlamat hidup saya. Begitu banyak alternatif yang boleh difikirkan dalam mengejar matlamat hidup.” “Saya juga mempunyai hobi. Tumpuan yang lebih boleh diberi kepada hobi terutamanya pada waktu lapang supaya seluruh kehidupan diisi oleh aktiviti yang penuh bermakna. Hobi juga dapat mendatangkan kepuasan dan kegembiraan dalam hidup saya.” “Kesihatan diri harus mendapat keutamaan dalam apa juga keadaan. Tahap kesihatan yang baik membolehkan saya melakukan pelbagai aktiviti berfaedah. Jangan terlalu mengikut kata hati.” “Saya masih ada ramai saudara, kawan yang dapat menyokong saya sewaktu saya susah dan sedih.” “Saya perlu membina harapan baru walaupun selepas mengalami pelbagai peristiwa sedih dan menyayat hati, harapan baru perlu dibina dalam diri untuk terus berjuang dalam hidup.” Sudut Informasi Bandingan kadar tekanan Tahukah saudara, peristiwa yang berlaku dalam sesebuah hubungan erat (cinta) berupaya menimbulkan tekanan pada diri saudara? Tekanan yang dialami ini jika tidak diatasi bakal mengundang masalah psikologi yang lebih serius yang mampu menggugat seluruh kesejahteraan hidup saudara. Berikut adalah bandingan kadar tekanan (0 hingga 100) yang dialami berdasarkan suatu kajian ke atas golongan remaja. Mempunyai kekasih yang penipu 85 Putus cinta 85 Masalah kewangan 84 Menipu kekasih 77 Berkrisis dengan kekasih 73 Mengekalkan hubungan cinta 55 Membina hubungan (cinta) baru 47 (Petikan Buku Soal Jawab Praperkahwinan oleh Noralina Omar)

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



MIGRAIN ialah sejenis penyakit kepala yang kronik. Mangsa migrain selalunya tidak mampu menjalankan tugas seharian, malah ada yang tidak boleh makan, minum dan hanya menghabiskan masa di bilik tidur. Kira-kira 12 peratus daripada golongan dewasa di negara ini menghidap migrain dan sebahagian besar daripada mangsa adalah wanita yang masih didatangi haid. Apabila mengalami migrain, pesakit biasanya mengalami sakit kepala yang teruk. Punca sebenar penyakit ini masih belum diketahui sehingga kini. Bagaimanapun, pakar perubatan berpendapat faktor genetik atau baka adalah salah satu penyebab migrain.

Di kalangan kanak-kanak dan orang tua, khususnya yang berusia 55 tahun ke atas, sakit kepala yang dialami mungkin bukan disebabkan migrain, sebaliknya berpunca daripada penyakit lain yang lebih serius. Migrain juga sering dikaitkan dengan pengambilan banyak coklat, keju dan minuman keras. Malah, ada yang mengatakan tekanan perasaan sama ada di rumah ataupun pejabat juga boleh menyebabkan migrain.

Migrain terbahagi kepada dua jenis iaitu migrain yang wujud bersama aura dan migrain tanpa aura. Aura ialah perasaan ataupun fenomena yang subjektif dialami individu sebelum mendapat serangan penyakit. Pesakit migrain dengan aura mengalami pelbagai gejala seperti pandangan menjadi kabur dan nampak garisan seperti zig-zag ataupun gelombang seperti situasi yang dialami apabila berada di tengah jalan dalam cuaca panas terik. Kadangkala, penglihatan pesakit juga terhalang dan keadaan menjadi lebih teruk apabila pesakit tidak dapat melihat buat sementara waktu. Keadaan ini dikenali sebagai skotoma. Pesakit juga ada kalanya mengalami kebas sebelah tangan ataupun lemah anggota badan, terutama kaki dan tangan. Aura selalunya berlaku dalam tempoh beberapa minit hingga satu jam. Pesakit kadangkala mendapat migrain selepas satu hari mengalami aura. Bagaimanapun, ada juga pesakit yang tidak mengalami aura dan terus mendapat migrain.

Serangan migrain

Kira-kira 40 peratus migrain dialami di seluruh kepala, 40 peratus bermula pada sebelah kepala dan merebak ke seluruh kepala, manakala 20 peratus lagi bermula pada sebelah kepala dan tidak merebak ke seluruh kepala. Serangan migrain datang secara berperingkat dan kesakitan mencapai tahap maksimum selepas tempoh beberapa jam. Bagaimanapun, migrain selalunya dialami antara tiga hingga empat jam dan maksimumnya mengambil masa antara tiga hingga empat hari.

Apakah gejala migrain?

Apabila seorang pesakit menemui doktor dan mengatakan mereka mengalami sakit kepala setiap hari, itu tidak bermakna mereka menghidap migrain kerana migrain selalunya menyerang mangsa seminggu sekali ataupun enam bulan sekali. Pesakit selalunya kelihatan pucat dan berpeluh-peluh serta mengalami komplikasi migrain. Mangsa juga kadangkala mengalami strok sementara. Dalam keadaan ini, mangsa mengalami lumpuh sebelah badan, tetapi keadaan itu hanya sementara dan akan pulih seperti biasa. Keadaan ini berlaku berikutan pengecutan urat darah dalam otak.

Gejala lain migrain

·        Loya dan muntah-muntah. Kira-kira 70 peratus pesakit berasa loya dan sebahagian daripadanya muntah-muntah.

·        Penglihatan pesakit menjadi begitu sensitif. Contohnya, mereka mengadu sakit mata apabila melihat cahaya. Keadaan itu dikenali sebagai fotofobia.

·        Pendengaran turut menjadi sensitif dan keadaan itu dikenali sebagai fonofobia. Dalam keadaan ini, pesakit mendengar lebih kuat dan jelas setiap bunyi di sekelilingnya walaupun ia perlahan.

·        Kemerah-merahan pada kulit, pada keliling mata ataupun dahi.

·        Badan berpeluh.

·        Bercakap dengan suara perlahan. Pesakit tidak bercakap kuat kerana ia lebih menyakitkan.

·        Kepala terasa pening.

·        Pesakit terasa persekitaran mereka bergerak-gerak seperti menaiki bot, mabuk laut ataupun vertigo.

·        Pitam dan boleh menyebabkan pesakit mengalami kecederaan anggota badan.

Apakah pemeriksaan yang dilakukan?

Tiada ujian khusus bagi mengesan migrain. Pakar perubatan akan bertanya mengenai sejarah kesakitan yang dialami pesakit dan imbasan otak hanya dilakukan apabila pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda menghidap migrain. Antara faktor yang memungkinkan imbasan otak dijalankan adalah lumpuh separuh badan lebih daripada seminggu, sakit kepala berterusan lebih daripada tiga hari dan bengkak urat saraf.

Apakah rawatan bagi penyakit migrain?

Rawatan dapat dibahagikan kepada dua kaedah iaitu rawatan serangan dan pencegahan. Melalui rawatan serangan, pesakit dinasihatkan supaya berehat di dalam bilik yang gelap dan sunyi. Mereka diberi ubat seperti Paracetamol dan apabila perlu mereka diberikan Ubat Penahan Sakit dan Radang Bukan Steroid (NSAID).

Sekiranya kesakitan masih berterusan, doktor akan memberi ubat terkini iaitu Sumatriptan sama ada melalui suntikan ataupun ditelan. Kira-kira 80 peratus pesakit menunjukkan tindak balas positif pada ubat itu. Bagi pesakit yang sering muntah, mereka diberikan ubat Ergotamine yang perlu dimakan sama ada ditelan ataupun dimasukkan ke bawah lidah ataupun melalui suntikan.

Sumber:

Profesor Dr Raymond Azman Ali

 

(petikan daripada buku Kesihatan Keluarga oleh Raihanah Abdullah)

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Bab 15 Salah Laku Seksual Jenayah seksual di kalangan remaja bukan lagi isu baru di Malaysia malah semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Sepuluh tahun dahulu kita mungkin rasa terkejut dan takut apabila remaja berusia 12 tahun sudah berani membunuh orang, tetapi tidak lagi pada hari ini. Ia seolah-olah trend yang terpaksa kita hadapi. Jenayah seksual remaja dapat didefinisikan sebagai perbuatan seksual secara paksaan yang meliputi perbuatan meliwat, merogol, melakukan kelucahan melampau, membunuh dan menyeksa mangsa menggunakan kekerasan di mana perbuatan-perbuatan itu salah di sisi undang-undang. Ciri-ciri Remaja Devian Mengikut kajian Halcomb (1991), personaliti remaja mempunyai masalah tingkah laku seperti berikut: - Mempunyai hubungan sentimental tetapi kasar dengan orang lain dan selalu terlebih yakin dengan keupayaan mereka. - Kehidupan harian tidak teratur dan tidak peka pada peraturan. - Lebih menggemari situasi yang tidak dapat dijangka ataupun berunsur suspens. - Mempunyai potensi mempengaruhi orang lain. - Bercakap kasar, tidak bertimbang rasa dan tidak sabar dengan kelemahan ataupun kekurangan orang lain. - Berasa kehidupan keluarga tidak memuaskan, kurang kasih sayang dan mempunyai tahap konflik yang tinggi. - Mempunyai kepercayaan diri yang rendah dalam keupayaan mencapai kepuasan akademik yang baik. - Mengalami ketidakselarasan antara dirinya yang ideal dan dirinya yang sebenar di mana mereka kadang-kadang bermasalah mencapai identiti yang diinginkan. - Kurang kepercayaan bagi mengawal kehendak-kehendak impulsif. Punca Salah Laku Seksual Remaja Teori fungsionalisme Teori ini menganggap devian sebagai tidak mempunyai peranan kepada struktur sosial. Teori konflik Teori konflik mengatakan, devian adalah tindakan golongan tertindas ke atas pihak minoriti yang menindas. Teori subbudaya Teori Subbudaya dan deprivasi status pula berpendapat, devian berpunca daripada budaya kumpulan yang berbeza daripada budaya masyarakat. Deprivasi selalu berpunca daripada kemerosotan ekonomi dan kelemahan sosio-emosi. Remaja terutama daripada kelas sosial rendah yang tidak berjaya dalam akademik mengalami kekecewaan dan tekanan serta bertindak melakukan devian. Teori interaksionisme Teori interaksionisme melihat devian sebagai perkara subjektif dan proses sosial. Remaja sengaja memilih tingkah laku mengikut kemahuan dan sesuai dengan cara interpretasi mereka. Kajian Tattum (1986) mendapati, remaja sengaja melakukan devian sebagai teknik naturalisasi dalam interaksi mereka. Kategori Perlakuan Devian - Inovasi: Memenuhi matlamat dengan cara yang salah. - Ritual: Tindakan mengulang perbuatan. - Undur: Orang yang tidak lagi berminat dengan matlamat-nya lalu melakukan alternatif lain sebagai tindakan. - Menentang: Menolak matlamat persekolahan dan menggantikannya dengan matlamat lain. Punca Salah Laku Seksual Ketidakstabilan mental Menurut Steinberg (1987), perkembangan remaja melibatkan beberapa siri transisi daripada keadaan belum matang ke arah kematangan ataupun ‘sempadan remaja’. Oleh itu, remaja dianggap sebagai masa ‘storm and stress’ iaitu masa bergelora, penuh pancaroba dan perubahan perasaan atau mood (G. Stanley Hall, 1844-1924). Mereka mudah dipengaruhi terutamanya pada tahap perkembangan kognitif sehingga mereka sanggup melakukan perkara-perkara melanggar undang-undang. Dalam teori organismik yang dipopularkan oleh Sigmund Freud (1938), Erik Erikson (1968) dan Jean Piaget, perubahan hormon semasa baligh menggugat keseimbangan psikik yang dicapai pada tahap psiko seksual terdahulu iaitu pendaman (latency). Semasa remaja, dorongan seks dan aggression atau kelangsangan tertimbul semula selepas menyepi ketika peringkat kanak-kanak. Ini menyebabkan remaja berdepan dengan konflik hebat antara keinginan dan peraturan masyarakat. Remaja yang dilanda kekecewaan tidak berjaya mengawal emosi, ingin membalas dendam dan gangguan jiwa. Ini adalah punca utama jenayah seksual. Remaja yang mempunyai masalah kejiwaan ini dapat dibahagikan kepada dua. Pertama, pesakit jiwa waras (jiwa tertekan, murung, bimbang, penagih dadah, perokok, minum minuman keras, kelencongan seksual dan transeksual). Kedua adalah penyakit jiwa yang serius seperti tidak siuman atau hilang kewarasan akal. Jiwa remaja lembut ibarat rebung dan tidak stabil. Remaja juga adalah masa mencari identiti ataupun jati diri. Justeru, apabila zaman remaja dipenuhi perkara-perkara yang tidak wajar, masa depan dan perjalanan hidup remaja juga akan rosak. Kesesakan persekitaran yang dialami juga menyebabkan jiwa mereka semakin tertekan. Cara terbaik bagi mereda dan mengalihkan perasaan kecewa adalah melakukan perilaku-perilaku negatif. Teori Freud menyatakan, tekanan hidup serius yang dihadapi oleh manusia menyebabkan tekanan itu diekspresikan melalui perlakuan mengejut dan luar biasa. Contohnya membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Dalam bidang psikologi, golongan penjenayah seksual ini dikenali sebagai masochis ataupun sadis. Jiwa mereka tidak stabil dan suka melakukan keganasan khususnya setiap kali ingin melakukan hubungan seks. Mereka mengikat, memukul, malahan sanggup membunuh demi mencapai kepuasan seksual yang diingini. Latar belakang kehidupan Menurut pakar-pakar psikologi, petunjuk yang boleh digunakan adalah sejarah hidup atau latar belakang kehidupan individu itu. Berdasarkan kajian kes yang dijalankan, pakar-pakar ini berpendapat, individu yang pernah mengalami penderaan fizikal, penderaan seks ataupun penganiayaan dalam sejarah hidup, berkemungkinan besar akan melakukan jenayah seks. Demikian juga bagi individu-individu yang berasal daripada keluarga yang tidak sejahtera dan porak-peranda. Mereka dikatakan melakukan jenayah seks bagi membuktikan pada diri dan masyarakat yang mereka gagah dan berkuasa. Bagi mereka, perbuatan itu adalah cara menghilangkan rasa rendah diri yang menghantui perasaan dan jati diri. Individu-individu itu juga melakukan jenayah seks sebagai cara melepaskan dendam yang terpendam dalam jiwa dan fikiran bawah sedar mereka. Malangnya, petunjuk-petunjuk ‘psikologi’ ini tidak semestinya dapat dikesan pada penampilan fizikal, perawakan ataupun perwatakan individu itu, sehingga tiada siapa menyangka orang yang kelihatan lembut dan berdisiplin tergamak melakukan tindakan-tindakan kejam. Seolah-olah gambaran para penjenayah seks yang lazimnya berwatak jahat, ganas dan tidak berdisiplin itu tidak benar. Sebaliknya, individu yang tenang, pengasih dan berbudi bahasa adalah perogol dan pembunuh yang kejam. Rasa hormat diri yang rendah Penjenayah-penjenayah seks, khususnya mereka yang masih muda, dikatakan mempunyai rasa hormat diri yang rendah. Mereka bimbang cinta mereka akan ditolak oleh setiap wanita lalu beranggapan mereka tidak mungkin mempunyai kekasih ataupun teman hidup. Oleh itu, mereka memilih jenayah seks. Mereka juga berkemungkinan menghidap penyakit-penyakit mental seperti skizofrenia, paranoid, masalah mental bipolar, kegelisahan melampau dan psikotik, kemurungan dan sebagainya. Sikap ingin tahu yang keterlaluan Lebih ironis lagi apabila pakar psikologi berpendapat, dorongan melakukan jenayah seks mungkin berasal daripada sikap ingin tahu yang keterlaluan. Apabila desakan bagi mengetahui sesuatu, khususnya berkaitan seks tidak dapat dipenuhi melalui saluran yang terkawal, mereka akan mendapatkan maklumat-maklumat yang diingini daripada sumber-sumber lain. Sebaik sahaja mengetahuinya, mereka mahukan lebih banyak sehingga ke peringkat mereka mula berfantasi melakukannya. Akibat kerap berfantasi, keinginan mencuba akan meningkat. Ada kalanya mereka berfantasi bukan kerana dorongan ingin tahu yang keterlaluan, tetapi disebabkan ‘ketidakpuasan seks’ yang dialami ataupun keinginan mencuba perkara yang luar biasa. Walaupun apa yang dinyatakan oleh pakar-pakar psikologi ini tidak berdasarkan kebenaran empiris dan petunjuk-petunjuk yang tidak dapat dikesan secara langsung melalui pemerhatian orang awam, namun ia dapat dijadikan sumber bagi mengesan unsur-unsur yang mendorong perlakuan jenayah seks dan tindakan kejam yang tidak berperikemanusiaan khususnya di kalangan golongan muda dan remaja. Unsur-unsur yang dimaksudkan ini termasuklah ketidakstabilan mental, ketidaksejahteraan keluarga dan latar belakang kehidupan yang mundur, perasaan rendah diri yang keterlaluan dan tidak terkawal, keghairahan berfantasi, ketidakpuasan seks, keinginan mencuba perkara luar biasa, peningkatan rangsangan-rangsangan negatif daripada luar dan sebagainya. Kebanjiran bahan-bahan erotik Penjenayah-penjenayah remaja sebenarnya belum cukup matang dalam mempertimbangkan kebenaran yang ditemui. Kebanjiran bahan-bahan erotik dan keganasan seperti foto, buku, komik dan majalah, khususnya daripada internet, cakera padat dan cakera video digital (DVD) dapat merangsang keinginan seks terutamanya remaja lelaki yang memiliki nafsu dan fantasi seks yang tinggi. Tanpa unsur-unsur negatif ini, mereka merasakan seperti tidak ada ‘umph’ dalam media cetak dan media elektronik yang dibaca, dilihat ataupun didengar. Ia mudah merangsang golongan remaja kerana mereka memiliki pemikiran yang belum matang walaupun fizikal mereka sudah mencapai tahap baligh. Selain itu, harga bahan-bahan lucah yang murah ini dianggap sebagai ‘bonus’ kepada remaja khususnya pelajar-pelajar sekolah. Kajian Karsmini (1987) menunjukkan, faktor-faktor yang menyebabkan remaja menjadi ganas adalah seperti berikut: - Bentuk komunikasi yang sedia ada dalam keluarga. - Tahap keganasan yang ada pada remaja. - Program televisyen yang mempengaruhi tindakan remaja. Selain itu, kajian James, Foe & Breed (1988) menunjukkan, secara purata remaja menghabiskan 24 jam seminggu bagi menonton televisyen. Oleh itu, maklumat yang diterima oleh deria mereka akan masuk ke minda dan tindakan mereka juga tidak lari daripada apa yang terkandung di dalam otak. Remaja akan terpengaruh apabila mereka kerap didedahkan dengan bahan-bahan yang kurang sihat itu. Menerusi pembacaan yang tidak terkawal, mereka akan berimaginasi sendiri dan membangkitkan rasa ingin mencuba. Keadaan ini berbetulan dengan teori pembelajaran iaitu teori pelaziman klasikal yang diperkenalkan oleh Ivan Pavlov. Pelaziman klasikal ini berdasarkan kepada konsep rangsangan dan tindak balas. Dalam kes ini, remaja yang sering menonton bahan-bahan lucah dan erotik bagi mendapat kepuasan akan belajar daripada keadaan itu dan mencubanya bagi mencapai kepuasan. Di samping itu, ia juga dikaitkan dengan teori pembelajaran sosial di mana tingkah laku dipelajari melalui pemerhatian dan peniruan serta melibatkan role model terutamanya di dalam VCD lucah ataupun artis-artis popular. Remaja mencontohi apa sahaja yang menarik minatnya (Bandura, 1977). Biarpun ada kajian yang membuktikan bahan-bahan erotik ini tidak menimbulkan keinginan seks luar kawalan, namun kekerapan melihat ataupun membaca bahan-bahan sedemikian mampu mengubah persepsi remaja mengenai seks. Kajian mendapati, peningkatan pendedahan bahan-bahan lucah di kalangan pelajar universiti (lelaki dan perempuan) adalah tiga hingga enam filem seminggu dalam tempoh enam minggu dan ini dapat mengubah persepsi mereka mengenai seks. Contohnya, mereka akan menganggap seks luar nikah itu sebagai perkara normal. Lazimnya, bahan-bahan pornografi sering memaparkan unsur-unsur keganasan terutamanya kepada wanita. Dalam bidang psikologi sendiri, manusia digambarkan sebagai sukakan keganasan. Jiwa manusia terbahagi kepada dua iaitu hidup (seks) dan mati (pembunuhan dan peperangan). Setiap manusia berpeluang bertindak ganas seperti membunuh. Walau bagaimanapun, niat ini terhalang oleh norma-norma sosial seperti takutkan hukuman Tuhan dan undang-undang. Sekiranya norma-norma sosial tidak wujud dalam diri individu, akan ‘lahirlah’ penjenayah seperti pembunuh dan perogol. Oleh itu, media massa perlu diberi perhatian supaya kandungan rancangan yang disiarkan berbentuk positif dan proaktif bagi mengatasi pencemaran budaya remaja ini. Amalan agama Ahli sosiologi, psikologi dan pendidik bersependapat mengatakan penampilan seksi wanita juga adalah punca berlaku kejadian rogol. Selain itu, kurang didikan agama dan moral di kalangan ibu bapa mahupun anak-anak serta pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan juga menjadi punca kes-kes jenayah seksual berleluasa. Ajaran akhlak seperti menghormati orang tua, sembahyang, beradab dan sebagainya dipandang ringan oleh ibu bapa. Walhal kajian Michelle, Thomas dan Sinyangwe (1989) mendapati, ajaran agama dapat menjadi pelita ataupun regangan moral dalam diri remaja supaya mereka dapat berfikir sebelum melakukan perkara tidak bermoral. Rumusannya, pendidikan sivik dan agama boleh mempengaruhi cara pemikiran dan tingkah laku sosial remaja. Kesan pengaruh dadah dan alkohol Selain itu, pengaruh dadah, pil khayal dan arak juga mengakibatkan remaja bertindak ganas dan melakukan jenayah seksual. Proses urbanisasi Kegiatan devian dan keruntuhan moral di kalangan remaja juga berpunca daripada proses urbanisasi dan industrialisasi. Ini kerana, kedua-dua proses ini mengendurkan kawalan sosial (Gottfredson, D.C., McNeil, R.J. dan Gottfredson, G.D. 1991) yang wujud dalam masyarakat tradisional. Akibatnya, anggota masyarakat bebas melakukan sesuka hati. Dalam masyarakat tradisi, hubungan antara anggota masyarakat begitu erat. Contohnya, masyarakat kampung saling mengenali, tolong-menolong dan mengambil berat antara satu sama lain sehingga budaya ini meresap ke dalam jiwa setiap ahli kampung. Secara tidak langsung, hubungan erat ini membentuk kawalan sosial yang dapat memelihara tingkah laku ahli masyarakat. Perbuatan yang melanggar norma dan nilai masyarakat kampung itu cuba dielakkan kerana bukan sekadar nama diri sahaja tercemar, malah nama baik keluarga juga turut terpalit. Suatu ketika dahulu, kempen ‘Rukun Tetangga’ diadakan bagi menjaga keamanan di kawasan masing-masing. Tetapi malangnya ramai yang menyalahgunakan kempen ini. Ada yang hadir sekadar menandatangani buku kedatangan ataupun berborak dan sembang-sembang kosong sehingga tiba waktu pulang. Antara nilai yang dapat dilihat dalam persekitaran proses urbanisasi dan industrialisasi adalah nilai individualistik dan materialistik. Sikap ini menyebabkan setiap anggota masyarakat membawa diri masing-masing dan tidak ada masa mengambil tahu hal orang lain. Sikap individualistik ini menyebabkan tiada hubungan antara satu sama lain dalam kawasan kediaman dan sekiranya ada sekali pun, hanya pada tahap paling minimum. Kesan Salah Laku Seksual Kes jenayah seksual ini meninggalkan kesan jangka panjang dan jangka pendek kepada mangsa, penjenayah dan juga masyarakat. Mangsa Bagi mangsa deraan seksual, ia meninggalkan kesan psikologi, interpersonal, serta sukar bersosial dalam masyarakat dan kehidupan masa depan. Keadaan serta penyeksaan seperti ini menyebabkan mangsa-mangsa mengalami mimpi ngeri, fobia, kemurungan dan kebimbangan. Ia juga menyebabkan berlakunya tingkah laku antisosial seperti lari dari rumah, ponteng sekolah, stigmatization iaitu rasa bersalah, malu dan rasa rendah diri yang menjurus kepada kelakuan mengasingkan diri. Dalam kes yang serius, ia melibatkan bunuh diri. Di samping itu, mangsa juga terdorong menghadapi masalah kecelaruan pemakanan sehingga mengakibatkan aneroxia nervosa dan bulimia nervosa iaitu sukar percaya kepada orang lain. Ini kerana, kes jenayah seksual ini kadang kala melibatkan orang yang dipercayainya dan orang yang berada di sisi mereka seperti rakan sebaya ataupun teman lelaki. Mangsa juga terdorong ke arah penyalahgunaan dadah. Selain kesan psikologi, mangsa juga turut mengalami kehamilan sebelum kahwin. Keadaan ini menambahkan lagi rasa bersalah sehingga menyebabkan mangsa hidup terasing dan takut hendak keluar rumah. Mereka takut dipandang hina dan dikutuk masyarakat walaupun sebenarnya mereka adalah mangsa. Penjenayah Bagi penjenayah pula, mereka mengalami ketidaksuburan dan jangkitan HIV. Mereka juga boleh dijangkiti AIDS sekiranya jangkitan berterusan ataupun sentiasa menukar pasangan. Mereka juga menjadi semakin ganas dan tidak berperikemanusiaan semata-mata bagi mencapai kepuasan nafsu. Masyarakat Sementara itu, kes jenayah seksual ini bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa dan perogol, malah menyebabkan masyarakat hidup dalam ketakutan dan kerisauan terutamanya anak-anak gadis. Di samping itu, norma-norma hidup masyarakat juga terjejas dengan kes-kes pembuangan bayi ataupun pengguguran bayi yang semakin meningkat setiap hari. Ini kerana, mangsa-mangsa malu hendak mengaku ataupun menjaga bayi itu kerana masyarakat menganggapnya sebagai anak luar nikah dan dipandang hina seumur hidup. Cadangan Mengatasi Tindakan tegas ke atas penjenayah Memandangkan kes jenayah seksual remaja semakin serius, beberapa langkah pencegahan perlu difikirkan bagi membendungnya daripada berleluasa. Kawalan lebih ketat adalah perlu bagi mengawal penjualan dan pengedaran bahan-bahan lucah di kalangan pelajar, remaja dan orang dewasa. Hukuman lebih berat perlu dikenakan ke atas mereka yang terlibat dengan kegiatan ini serta kepada remaja yang disabitkan kesalahan melakukan jenayah seksual. Hukuman yang lebih berat daripada segi undang-undang dan mengurangkan had umur dijatuhi hukuman tidak memberi impak jangka panjang, malah menjana reaksi penentangan yang lebih destruktif. Penguatkuasaan hukuman akan menimbulkan kemarahan golongan muda kepada sistem undang-undang dan kepada masyarakat. Keadaan ini tidak membantu menyelesaikan masalah. Walau bagaimanapun, hukuman adalah faktor pencegahan yang tidak dapat dikesampingkan begitu sahaja. Sekurang-kurangnya hukum-an berat boleh berfungsi sebagai amaran supaya mereka yang ingin melakukan jenayah seks itu ‘berfikir dua kali’. Pendidikan keselamatan Walau bagaimanapun, perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang serta hukuman perlu diiringi dengan langkah-langkah pencegahan ke atas golongan wanita, gadis, pelajar sekolah dan kanak-kanak perempuan yang semakin terdedah dengan jenayah seksual. Aspek keselamatan di sekolah, tempat kerja, premis persendirian dan kawasan awam perlu dipertingkatkan. Oleh yang demikian, persekitaran yang sihat perlu diwujudkan. Sekiranya tidak, masalah jenayah seksual ini akan terus berlaku dan mungkin dalam bentuk yang lebih dahsyat serta menakutkan. Gadis remaja perlu diberi pengetahuan mengenai bentuk salah laku seksual, cara menghadapi dan sedia berkongsi dengan orang dewasa apabila ia berlaku pada dirinya. Khidmat perlindungan dan kaunseling Remaja yang menjadi mangsa sebaik-baiknya tidak dibiarkan bersendirian dalam menyelesaikan masalahnya tanpa bantuan daripada mana-mana pihak. Kerjasama dan tanggungjawab bersama daripada ibu bapa, guru, masyarakat dan remaja itu sendiri adalah perlu bagi membantunya menghadapi masalah itu. Peranan ibu bapa Ibu bapa sebaik-baiknya tidak menunggu remaja menghadapi ataupun meluahkan masalah kepada mereka. Sebaliknya, ibu bapa perlu mendekati mereka setiap masa. Ini memudahkan mereka mengenali perubahan remaja daripada segi pergaulan mahupun pembelajaran. Ini membolehkan kedua-dua pihak sama-sama berusaha mencari jalan penyelesaian. Ibu bapa juga perlu mempelajari teknik keibubapaan supaya mereka tidak cepat menempelak ataupun menunjukkan reaksi yang tidak menyenangkan kepada remaja. Remaja tidak akan meluahkan masalah sebaliknya menyembunyikan masalah itu. Dengan itu, cara-cara keibubapaan yang berkesan perlu dianjurkan dan disebarkan melalui risalah, akhbar, seminar dan pelbagai media cetak dan elektronik supaya ia dapat dipraktikkan. Pendidik atau pengajar juga adalah kumpulan terhampir dengan remaja. Ini kerana, hampir setiap hari guru bersemuka dengan remaja. Secara tidak langsung, remaja yang bermasalah dapat dikenali walaupun remaja itu tidak menceritakan masalahnya kepada mereka. Khidmat pembimbing rakan sebaya Tidak semua remaja dapat menerima khidmat kaunselor kerana mereka lebih mempercayai rakan sebaya. Biasanya, remaja akan merujuk kepada pembimbing rakan sebaya bagi mengatasi masalah mereka. Pembimbing rakan sebaya (PRS) bertindak sebagai penghubung atau perantara remaja dengan kaunselor. Oleh yang demikian, kaunselor, pengajar dan pendidik perlu sentiasa memberi bimbingan kepada PRS supaya mereka berupaya membimbing rakan remaja mereka. Masyarakat penyayang dan prihatin Satu lagi kelompok yang bertanggungjawab adalah masyarakat itu sendiri. Masyarakat sebagai kelompok terbesar sering menuding kesalahan kepada remaja. Walhal, masyarakat turut memainkan peranan tersendiri dalam menangani masalah ini. Keprihatinan dan pergaulan dengan remaja adalah perlu. Dengan ini, masalah remaja dapat difahami. Selain itu, perlu diadakan perbincangan atau forum yang melibatkan kehadiran masyarakat dan remaja bersama-sama. Masyarakat tidak perlu membuat perbandingan zaman remaja dahulu dengan zaman sekarang. Ini kerana, terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua zaman itu. Pada zaman dahulu, kehidupan remaja kurang mencabar berbanding zaman sekarang. Pengaruh budaya barat dan media massa hari ini semakin berleluasa dan remaja pula mudah terpengaruh. Pembentukan jati diri remaja Akhir sekali, dalam usaha mengatasi pencemaran budaya remaja, beban ini sebaik-baiknya tidak diletakkan atas tanggungjawab ibu bapa dan masyarakat sahaja tetapi juga kepada remaja itu sendiri. Perkara pertama yang perlu diteliti oleh remaja adalah pembentukan peribadi. Dengan ini, setiap perbuatan yang dilakukan lebih bermanfaat. Remaja perlu membangun dan dibangunkan. Penerapan nilai-nilai murni dalam diri seperti amalan berdisiplin, adil, bertanggungjawab, kerjasama dan toleransi perlu dicanai dalam diri mereka. Nilai murni seperti ini dapat mengukuhkan keimanan, seterusnya menguatkan umat menuju ke arah pembangunan negara. Menurut teori Erik Erikson (1963), terdapat lapan tahap perkembangan yang berlaku sepanjang hayat manusia dan setiap tahap mempunyai tugas perkembangan yang unik. Remaja kini berada pada tahap perkembangan identiti melawan kekeliruan identiti ataupun peranan. Perubahan besar yang dialami remaja adalah perkembangan sosial. Mereka sedang meneroka identiti yang sesuai dengan jiwa mereka. Hubungan dengan dunia luar selain anggota keluarga kini bertambah penting dan memainkan peranan yang besar dalam pembentukan identiti. Remaja adalah golongan yang sentiasa memerlukan bim-bingan dan sokongan. Oleh itu, mereka perlu dibantu supaya tidak terkeliru sepanjang membuat keputusan dalam kehidupan. Kesilapan memilih ‘jalan’ pada usia remaja akan menghancurkan hidup mereka kecuali mereka menemui pintu taubat sendiri. Pendidikan seks Pendidikan memainkan peranan penting khususnya pendidikan tidak formal melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, pembacaan dan pergaulan. Dalam konteks perlakuan jenayah seks yang didorong oleh unsur-unsur keghairahan berfantasi akibat keinginan mencuba dan ketidakpuasan seks, sikap ‘merahsiakan’ maklumat-maklumat seks dan kaedah-kaedah meredakan keinginan melakukannya di luar batasan kemanusiaan mungkin sudah tidak relevan. Sikap keterbukaan yang terkawal dalam membincangkan isu-isu berkaitan seks tidak dapat dipertikaikan lagi. Perspektif seks yang lebih positif perlu disebarkan dengan mengkaji semula kaedah dan matlamat pendidikan seks yang sedia ada. Pendekatan formal dan indoktrinasi yang digunakan juga perlu dikaji semula selaras dengan fenomena kebebasan semasa dan perubahan nilai kehidupan moden. Kurikulum pendidikan seks perlu dibentuk dan diajarkan kepada remaja. Maklumat berkenaan seks yang disampaikan secara formal sebagai ilmu sains reproduktif menambahkan pengetahuan mengenai fungsi seks sebagai kaedah pembiakan semula jadi demi kelangsungan spesies. Ilmu kesihatan reproduktif perlu memberi penekanan mengenai aktiviti seks yang tidak sihat yang mendedahkan manusia kepada pelbagai jenis penyakit. Selain itu, para pendidik juga perlu berfikiran lebih terbuka dalam menyampaikan maklumat-maklumat pendidikan seks. Kesimpulan Salah laku seksual perlu ditangani dengan serius kerana perlakuan jenayah yang dilakukan bukan sahaja merosakkan diri sendiri malah mengganggu orang lain. Pendekatan secara bersepadu melibatkan semua pihak perlu dilakukan segera kerana penjenayah seperti ini seolah-olah bom jangka yang berbahaya dan menjejaskan ketenteraman awam.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Bab 8 Konteks Masyarakat dan Budaya Masyarakat memainkan peranan besar membentuk remaja cemerlang. Masyarakat bermula daripada jiran. Konsep kejiranan yang longgar menjadi punca utama meluasnya gejala sosial. Konsep kejiranan semakin luntur hari ini terutamanya di bandar-bandar utama di seluruh negara. Ada jiran yang tinggal selama tiga tahun tetapi masih belum mengenali jiran-jiran lain. Kegagalan mengenali jiran membuka peluang keemasan kepada penjenayah beroperasi terutamanya dalam aktiviti pecah rumah. Jiran sukar membezakan jiran sebenar dengan penjenayah yang berkeliaran di kawasan rumah mereka. Hal ini diakui oleh pihak polis sendiri. Pengaruh Masyarakat Sikap tidak kisah pada persekitaran menyebabkan urusan keselamatan harta dan nyawa masyarakat diserahkan kepada polis dan mahkamah sepenuhnya. Apabila berlaku jenayah, anggota masyarakat tidak mahu ambil tahu dan tidak melakukan sebarang tindakan membanteras seperti sekurang-kurangnya menelefon polis. Sikap individualisme menyebabkan tiada kawalan sosial ke atas remaja. Justeru, jiran dan persekitaran yang sesuai perlu dimantapkan. Bagi membina generasi cemerlang melalui konsep kejiranan dan masyarakat penyayang memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun. Tetapi, menjadi remaja liar dan jahat cukup sekadar kurang daripada tiga hari. Tiga hari memadai bagi menjerumuskan remaja ke lembah gejala sosial, kejahatan dan kehinaan. Konsep Budaya Pengabaian bimbingan, asuhan dan pendidikan remaja mengakibatkan kelahiran pelbagai gejala sosial seperti samseng sekolah, budaya lepak, tidak minat belajar, vandalisme, berjudi, lari dari rumah, penyalahgunaan dadah dan pil khayal, bohjan, pengguguran dan pembuangan anak, budaya punk, skin head, black metal, lumba haram dan sebagainya. Kesan gejala sosial kepada agama, bangsa dan negara begitu besar. Masyarakat menjadi kacau bilau, porak-peranda dan sengsara. Remaja menjadi tidak berharga dan hilang nilai individu. Ketidakstabilan negara yang disebabkan oleh gejala sosial dapat menggugat masa depan negara. Dalam erti kata lain, gejala sosial bertanggungjawab menggugat agama, bangsa dan tanah air. Kita tidak boleh menuding jari ke arah orang lain apabila berlaku perkara negatif dalam masyarakat seperti gejala sosial di kalangan remaja. Setiap orang mempunyai saham masing-masing. Justeru, langkah terbaik adalah menuding jari ke arah diri sendiri dan berusaha mengatasinya. Antara faktor utama berlakunya gejala sosial di kalangan remaja pada hari ini adalah kelemahan dan keruntuhan institusi keluarga terutamanya kekurangan kasih sayang, perhatian, asuhan dan didikan akhlak daripada ibu bapa kepada anak-anak. Ibu bapa yang dibuai kebendaan dan mementingkan karier serta wang selalu mengabaikan tanggungjawab mereka ke atas anak-anak di rumah. Anak-anak dibiarkan hanyut dalam dunia khayalan yang menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan. Mereka mudah menyimpang daripada lunas yang murni dan berakhlak. Kini, mereka hidup bebas tanpa segan silu dan tidak menghiraukan masyarakat apabila melakukan pelbagai gejala sosial. Kebebasan tanpa pedoman, batasan dan didikan agama akan berakhir dengan kehancuran. Faktor rakan sebaya, persekitaran masyarakat, media massa dan kelemahan undang-undang memburukkan lagi keadaan. Ia juga menjadi pemangkin kepada meluasnya gejala sosial di kalangan remaja. Bagi remaja yang tercicir dalam persekolahan, kewujudan peluang-peluang pekerjaan di kawasan bandar ekoran pertumbuhan aktiviti perindustrian mengakibatkan penghijrahan meluas ke kawasan bandar. Penghijrahan remaja dari kampung bagi mencari pekerjaan di bandar-bandar mendatangkan pelbagai kesan langsung dan tidak langsung seperti masalah sosial, keluarga serta perubahan nilai dan sikap. Pentingnya Budaya dalam Kajian Remaja Mengikut Brewer dan Campbell (1976), budaya mempunyai kecenderungan iaitu: - Apa yang berlaku dalam budaya mereka adalah semula jadi dan betul. Apa yang berlaku pada budaya lain bukan semula jadi dan tidak betul. - Budaya mereka adalah baik dan ia juga baik kepada orang lain. - Tingkah laku yang ditunjukkan adalah seperti yang dikehendaki oleh budaya mereka. - Budaya mereka dibanggakan. - Budaya orang lain adalah seteru. Perlu dijelaskan, remaja bukan hanya di Malaysia sahaja. Mereka adalah remaja dunia yang perlu memahami budaya remaja lain. Mereka perlu berinteraksi dengan remaja lain di dunia melalui sistem komunikasi terkini yang canggih. Model Perubahan Budaya Kumpulan remaja dalam masyarakat menjadi subbudaya. Ia berkembang sejak 25 hingga 30 tahun lalu. Media dan penghijrahan memperkenalkan gaya remaja secara meluas di mana mereka pada masa ini mengubah budaya lain dalam masyarakat. Dalam subbudaya ini, remaja menerima satu sama lain kerana mereka bersatu menentang dunia orang dewasa. Sejak mereka tidak suka penyertaan penuh dalam masyarakat orang dewasa, subbudaya mereka mencari jalan bagi mencapai status yang setanding. Setiap remaja tidak ada pilihan melainkan menjadikan agama sebagai sumber penjana remaja cemerlang. Diri remaja perlu dikukuhkan dengan unsur kerohanian yang mantap sehingga berupaya melakukan jihad menentang segala cabaran masa depan yang lebih hebat. Remaja perlu mengetahui, memahami dan menghayati matlamat hidup di dunia. Mereka perlu sedar dari mana mereka datang, kenapa mereka dijadikan dan ke mana mereka akan dikembalikan. Hal ini menjadikan remaja bertanggungjawab kepada diri sendiri, agama, bangsa dan negara. Mendekatkan diri dengan agama adalah peluang menjamin masa depan remaja yang lebih cerah dan cemerlang. Pegangan agama yang kukuh dan berkesan perlu bagi menimbulkan keinsafan dan kesedaran supaya remaja memanfaatkan masa remaja dengan menimba ilmu dan menghormati guru demi kebahagiaan dunia dan akhirat. Remaja juga perlu mempunyai daya tahan daripada segi fizikal dan mental bagi merealisasikan cita-cita diri, agama, bangsa dan negara. Ciri-ciri jati diri, waja diri dan kawalan diri yang kukuh perlu dimiliki oleh remaja. Ia berfungsi mengawal perasaan, emosi dan nafsu yang dapat menjerumuskan remaja ke lembah gejala sosial yang hina. Remaja juga perlu mempunyai sifat sopan santun dan adab mulia seperti mempunyai tutur kata, maruah dan kelakuan yang dikehendaki oleh masyarakat. Meluahkan rasa syukur di atas nikmat yang diberikan oleh Tuhan sama ada kecil ataupun besar adalah dituntut. Islam mementingkan kesederhanaan dan tidak menggalakkan perbelanjaan yang boros dan mengikut nafsu. Konsep ilmu dituntut oleh agama. Orang yang memiliki sijil perlu meneruskan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah. Bagi mereka yang memiliki ijazah pertama perlu meneruskan pengajian sehingga peringkat ijazah kedoktoran. Umur tidak menjadi halangan. Mereka juga perlu bersedia menguasai apa jua teknologi canggih bagi menyempurnakan pekerjaan dan urusan kehidupan manusia di dunia ini. Dalam era ledakan teknologi maklumat yang canggih ini, remaja perlu meningkatkan ketiga-tiga kemahiran iaitu konseptual, komunikasi dan teknikal terutamanya teknologi maklumat. Semua kemahiran ini diperlukan sebagai persiapan bagi menyambung hidup dan mencari rezeki dalam apa sahaja bidang pekerjaan seperti perniagaan, perindustrian, pertanian, pendidikan, sains, teknologi, perubatan dan sebagainya. Contohnya, dalam bidang ekonomi, remaja adalah pelapis ahli korporat dan ahli perniagaan pada masa hadapan. Mereka perlu menjalankan urus niaga secara jujur dan amanah daripada segi cara, barangan dan agihan keuntungan. Mereka juga perlu menjauhkan diri daripada rasuah, penipuan dalam urus niaga dan barangan. Daripada segi politik pula, remaja adalah pemimpin pelapis masa akan datang. Semasa berada di sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT), individu yang mempunyai bakat kepimpinan dapat mengambil kesempatan mengembangkan bakat mereka melalui penyertaan di dalam persatuan dan kelab-kelab sebagai pemimpin dan aktivis utama. Di IPT, mereka perlu menggunakan kesempatan menjadi pemimpin pelajar seperti pemimpin majlis perwakilan pelajar dan sebagainya. Selepas terpilih menjadi pemimpin negara, mereka perlu menjauhkan diri daripada politik wang, rasuah, menyalahgunakan kuasa, menyalahgunakan kedudukan dan menggunakan taktik kotor bagi mengekalkan kuasa. Remaja juga dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dan kesejahteraan jasmani sendiri. Ini kerana rohani dan jasmani sentiasa bergantungan antara satu sama lain. Antara yang terpenting adalah menjauhkan diri daripada penyakit. Agama mengutamakan pencegahan daripada pengubatan. Memelihara diri daripada makanan dan minuman keras dituntut oleh agama. Manakala, daripada segi berpakaian, remaja perlu memakai pakaian yang sopan dan tidak menjolok mata. Pengaruh Televisyen, Muzik dan Media, Teknologi, Komputer dan ICT Media massa yang terdiri daripada media cetak dan media elektronik. Contoh media cetak adalah seperti akhbar, majalah, komik, buletin, buku dan sebagainya. Manakala, media elektronik pula terdiri daripada televisyen, video, komputer, internet dan sebagainya. Media ini adalah sebahagian keperluan asas hidup remaja. Terdapat pelbagai unsur negatif yang disalurkan melalui media massa terutamanya media elektronik seperti filem ganas dan lucah yang tidak sesuai dengan agama, akhlak, budaya timur dan wawasan negara. Laporan televisyen dan akhbar menunjukkan gejala sosial remaja berlaku selepas menonton filem berunsur ganas. Desakan keluarga dan kuasa sivik membantu menghalang remaja daripada terlibat dengan aliran muzik rock yang negatif dan kesan umum daripada rakaman video. Permainan video dan pengaruh televisyen cukup sinonim dengan pelbagai masalah sosial yang berlaku di kalangan remaja. Keluarga, khususnya ibu bapa, perlu mengehadkan dan menapis pembelian video ataupun cakera padat di kalangan anak remaja. Namun pada hari ini, mereka sendiri akhirnya mengalah kepada tuntutan remaja yang dapat membelinya dengan wang mereka sendiri dan menonton apabila ibu bapa tiada di rumah sama ada di bilik sendiri ataupun di rumah rakan lain. Pengaruh muzik, khasnya lirik-lirik muzik rock sering menimbulkan ketidakfahaman terutamanya pendengar golongan muda yang masih pada peringkat konkrit dalam perkembangan kognitif mereka. Perkara ini perlu diberi tumpuan kerana ia membawa kesan yang jelas iaitu menjejaskan kefahaman mereka berkenaan suatu perkara. Remaja memperuntukkan masa purata lebih dari dua jam sehari menonton rancangan itu. Kebanyakan mereka menonton bagi mendapatkan maklumat yang relevan dengan dunia sosial mereka, menghargai muzik, berseronok atau berhibur semata-mata. Tempoh menonton video muzik adalah sama seperti menonton televisyen. Ia hanya dikecualikan apabila remaja merasa keseorangan. Kadangkala remaja turut menyanyi dan menari seperti di dalam video. Oleh itu, kajian yang dilakukan bagi melihat peranan ibu bapa mengawal pengaruh media ke atas anak mereka masih lagi menjadi isu. Kajian juga mendapati, ibu bapa lebih cenderung menetapkan masa bagi menonton VCR kepada anak lelaki berbanding anak perempuan. Terdapat pelbagai pandangan dalam menyatakan kesan televisyen. Ada pihak menyatakan televisyen membawa kesan yang relatif kepada kepelbagaian sifat atau tingkah laku negatif. Tetapi ada pula yang menyangkal. Oleh itu, bagi menyampaikan makna video dan kesannya memerlukan interaksi antara video dan individu terbabit. Apa yang pasti, televisyen, video rakaman dan sebarang pembaharuan teknologi mempunyai potensi yang baik dalam bidang pendidikan, teknologi maklumat, sosial dan psikologi. Oleh itu, media massa perlu dimanfaatkan bagi membina minda, dan menerapkan nilai-nilai murni serta akhlak mulia. Program-program seperti 3R, kuiz dan sebagainya memenuhi hasrat ini. Justeru, program seperti ini perlu dipertingkatkan lagi. Bahan-bahan penerbitan seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa dan sebagainya berupaya meningkatkan kesedaran dan keinsafan remaja pada tanggungjawab mereka. Penerbitan majalah seperti ini perlu diperbanyakkan dan diperkukuhkan lagi persembahannya supaya dapat menarik remaja ke arah pembentukan minda yang sihat. Muzik sememangnya diminati remaja. Ia perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan kesedaran kemanusiaan, keimanan dan keagamaan di kalangan remaja. Kumpulan Rabbani dan sebagainya adalah contoh terbaik di mana muzik dan liriknya dapat dimanfaatkan bagi menyebarkan perkara yang berkaitan dengan kemanusiaan dan agama. Rumusan Peranan masyarakat dalam membentuk remaja cemerlang adalah besar. Suasana persekitaran yang kondusif dapat melahirkan remaja yang cemerlang serta menyumbang kepada pembinaan masyarakat madani.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Perkembangan fizikal adalah perubahan bentuk badan termasuk perubahan otak dan organ-organ dalaman. Tanda-tanda perubahan fizikal yang menandakan berakhirnya zaman kanak-kanak adalah tumbesaran mendadak, datang haid bagi kanak-kanak perempuan, kehadiran sperma bagi kanak-kanak lelaki, kematangan organ seks dan perkembangan karakter-karakter seks sekunder. Perubahan perkembangan fizikal berlaku sebelum masa baligh di mana perkembangan fizikal mendadak menandakan bermulanya baligh. Pertumbuhan perubahan fizikal dan kematangan dilihat mempunyai kaitan antara satu sama lain, di mana perkembangan kedua-duanya adalah hasil peningkatan dalam penghasilan hormon. Perkembangan Fizikal Menurut Rogers (1962), remaja adalah tahap perkembangan fizikal dan sosiologi mengikut umur kronologi seperti berikut: - 11-15 tahun: Keadaan fizikal berubah. - 15-17 tahun: Remaja mengutamakan identiti diri. - 17 tahun ke atas: Remaja berlatih memainkan peranan sebagai orang dewasa. Pertumbuhan berlaku pada bahagian-bahagian tubuh mengikut masa dan kadar yang berbeza dan ia dikenali sebagai asynchrony. Puncak tumbesaran berbeza antara lelaki dan perempuan. Lelaki berlaku pada umur 14 tahun dan perempuan pada umur 12 tahun. Biasanya, perempuan mengalami tumbesaran dua tahun lebih awal daripada lelaki kerana tumbesaran perempuan berhenti pada umur 18 hingga 21 tahun. Manakala, bagi lelaki pula, tumbesarannya berhenti pada umur 19 hingga 25 tahun. Remaja juga ditakrifkan sebagai masa berlakunya proses adaptasi dalam masyarakat apabila mencapai akil baligh atau cukup umur. Akil baligh bermula daripada segi fizikal dan pertumbuhan pembiakan manusia semakin ketara. Semasa baligh, fungsi-fungsi pembiakan menjadi matang, tumbesaran berlaku pada organ-organ pembiakan dan muncul karakter-karakter seks sekunder. Kedua-dua jantina menghasilkan hormon sepanjang hidup mereka. Tetapi hormon lebih banyak dihasilkan apabila mereka mencapai umur baligh. Peningkatan dalam penghasilan hormon ini disebabkan oleh kematangan karakter-karakter seks primer dan perkembangan karakter-karakter seks sekunder. Karakter seks primer adalah organ-organ pembiakan itu sendiri. Manakala, seks sekunder pula merujuk kepada perubahan tubuh badan disebabkan oleh kematangan organ-organ seks dan hormon-hormon seks. Karakter seks primer adalah organ-organ yang diperlukan bagi pembiakan. Bagi wanita, organ-organ ini terdiri daripada ovari, uterus dan vagina. Manakala bagi lelaki adalah testis, kelenjar prostat, zakar dan vesikel air mani. Tanda utama kematangan seks bagi wanita adalah keluarnya darah haid, manakala bagi lelaki adalah kehadiran sperma. Tanda yang lebih jelas lagi adalah apabila mereka mengalami ‘mimpi basah’ iaitu mengalami pancutan air mani semasa tidur. Karakter seks sekunder adalah tanda fisiologi kematangan seks yang tidak terlibat secara langsung dengan organ-organ seks. Bagi remaja perempuan, mereka mengalami pembesaran buah dada dan pelebaran tulang pelvis. Remaja lelaki pula mengalami pertumbuhan misai ataupun janggut, bahu yang melebar dan kedua-dua jantina mengalami perubahan suara, bertambah tinggi, mula ditumbuhi jerawat, tumbuhnya bulu-bulu ketiak dan kemaluan, nafsu seks meningkat dan badan berbau. Perubahan dan pertumbuhan ini menimbulkan pelbagai perasaan emosi seperti segan, takut, bimbang, rasa janggal, kaku dan tegang. Kedatangan haid wanita adalah kemuncak di mana ia menunjukkan remaja itu sudah baligh. Haid berlaku apabila tisu-tisu pada dinding rahim luruh kerana tiada persenyawaan berlaku. Haid terjadi dua tahun selepas pembesaran buah dada. Namun, wanita hanya boleh hamil selepas 12 ataupun 18 bulan selepas haid pertama. Kanak-kanak lelaki yang mengalami baligh lebih awal biasanya lebih popular di kalangan teman-teman, menjadi tumpuan gadis-gadis, selalu dilantik menjadi ketua, mempunyai tubuh berotot, tegap, sasa dan aktif dalam sukan. Namun, mereka juga mengalami tekanan kerana terpaksa menerima tanggungjawab yang lebih berat berbanding kanak-kanak seusia. Ini memaksa mereka bertingkah laku lebih matang daripada usia sebenar. Bagi kanak-kanak lelaki yang lewat baligh pula, mereka mengalami lebih banyak tekanan. Mereka rasa tersisih, kekurangan, lebih bergantung pada orang lain, agresif, merasa tidak selamat, memberontak pada ibu bapa dan mempunyai estim diri yang rendah. Walaupun mereka lambat matang dan bersikap keanak-anakan, tetapi mereka mempunyai masa yang lebih lama dalam zaman kanak-kanak kerana mereka kurang dibebani tanggungjawab dan tugas-tugas orang dewasa. Bagi kanak-kanak perempuan yang baligh awal, mereka kurang bergaul, kelihatan lebih matang, malu dan menganggap negatif pada haid. Mereka mengalami estim diri yang rendah dan mempunyai bentuk badan yang buruk berbanding kanak-kanak yang lewat baligh. Ini kerana, mereka yang cepat baligh selalu mendapat perhatian guru-guru dan orang dewasa dan dilayan seperti orang dewasa sedangkan mereka masih kanak-kanak. Mereka juga mempunyai bentuk tubuh yang lebih besar daripada kanak-kanak lelaki yang seusia. Ini menimbulkan rasa kurang selesa. Tetapi, apabila mereka dapat mengatasi masalah ini, ia mungkin membantu mereka menangani masalah hidup pada masa hadapan. Peringkat remaja sentiasa dipenuhi konflik. Remaja perempuan yang sentiasa membantah ibunya, mengalami masa baligh lebih awal berbanding mereka yang mempunyai hubungan harmoni dengan ibunya. Ini mungkin disebabkan tekanan yang timbul akibat konflik dengan ibu serta pengeluaran hormon-hormon yang mempercepatkan masa baligh. Haid menandakan kanak-kanak sudah menjadi wanita dewasa. Kanak-kanak yang mula didatangi haid mempunyai kesedaran yang lebih berkenaan kewanitaan. Mereka mula berminat dengan perhubungan berlainan jantina dan personaliti lebih matang. Pada masa dahulu, haid dianggap negatif dan menyebabkan ketidakselesaan serta memalukan. Namun, remaja sekarang lebih mempunyai kesedaran dan diberi persediaan serta pengetahuan haid supaya mereka lebih bersikap positif dan mengurangkan kemurungan semasa didatangi haid. Trend Sekular Kajian yang dibuat menunjukkan saiz tubuh badan dan berat remaja semakin bertambah. Ini menjadikan remaja mencapai ketinggian dan berat badan orang dewasa pada umur baligh. Keadaan ini dinamakan trend sekular dan berlaku sejak 100 tahun dahulu terutamanya di negara-negara industri. Mereka dikatakan mempunyai standard kehidupan yang tinggi di mana kanak-kanak mempunyai taraf kesihatan yang baik, lebih subur kerana mendapat nutrien yang cukup, protein yang tinggi dalam makanan, persekitaran hidup yang lebih selesa dan meningkatnya perubahan pada pelbagai gen yang berbeza. Contohnya, di negara membangun New Guinea, kanak-kanak perempuan mula didatangi haid pada peringkat umur antara 15 hingga 18 tahun. Manakala di negara industri USA, purata umur kanak-kanak perempuan mula haid adalah antara 12 hingga 13 tahun. Walau bagaimanapun, trend sekular ini dikatakan akan berakhir terutamanya di USA kerana ia mencapai tahap maksimum bagi genetik pada umur itu supaya terus membesar. Dalam penampilan fizikal, kebanyakan remaja lebih memberi perhatian pada rupa paras berbanding aspek-aspek diri yang lain. Antara diri ideal yang diingini oleh remaja lelaki adalah tinggi, bahu lebar, gagah serta tegap. Manakala, bagi gadis pula, mereka inginkan rupa paras yang cantik, tubuh menawan dengan kulit dan rambut yang cantik. Remaja perempuan lebih menitik-beratkan rupa paras berbanding remaja lelaki yang sebaya dan ini menimbulkan tekanan di dalam diri. Orang dewasa yang pada masa remaja dianggap menarik, mempunyai estim diri yang tinggi dan lebih gembira dalam hidup. Jarang terdapat remaja mengalami masalah kesihatan yang berkaitan dengan ketidakupayaan dan penyakit kronik. Biasa-nya, masalah kesihatan ini adalah yang dapat dicegah dan berkaitan dengan personaliti, kemiskinan dan faktor-faktor gaya hidup.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Bab 3: Mengurus masa Manusia memerlukan dan melakukan pelbagai kegiatan dalam kehidupannya. Badan manusia memerlukan tidur dan makan. Otak manusia perlu rehat dari pemikiran serious dan berat. Untuk keselesaan, manusia juga perlu membersihkan badannya, pakaian dan menyediakan makanan. Di samping itu sebagai makhluk bermasyarakat, manusia perlu mengambil masa bergaul dengan sahabat handai dan kaum keluarga. Pelajar tidak boleh lari daripada kegiatan biasa seseorang manusia. Oleh itu sekiranya kegiatan kehidupan tidak diseimbangkan pelajar mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk belajar. Salah satu rahsia kejayaan orang yang berpencapaian tinggi adalah pengurusan masa yang cekap yang membolehkan mereka membuat dan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan dengan jayanya. Oleh kerana minat dan keperluan kepada pelbagai kegiatan, seseoranag itu kadang-kala akan menghadapi pertelingkahan mengenai apa yang hendak dibuat dalam sesuatu waktu. Sebagai contohnya, seorang pelajar hendak belajar tetapi pada waktu yang sama ingin menonton tv. Keadaan begini menyebabkan pelajar tersebut serba salah, dan ia akan membazirkan masa untuk mengambil keputusan. Perencanaan masa mengelakkan dilema begini kerana kegiatan pada sesuatu masa itu sudah diputuskan. PERANGKAAN PENGGUNAAN MASA Untuk membolehkan pengurusan masa yang cekap pelajar perlu tahu mengenai kegiatan dan masa yang diambil olehnya sepanjang hari. Setiap individu menjalankan kegiatan kehidupannya berlainan dengan i ndividu lain. Banyak pelajar tidak sedar berapa lama masa yang diambil untuk makan, tidur, bermain dan lain-lain lagi. Sebelum perencanaan masa dibuat pelajar perlu mengkaji penggunaan masa yang dilakukannya secara lazim. Satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan merakamkan setiap kegiatan dalam masa satu minggu. Dengan cara ini pelajar akan tahu kegiatan dan jumlah masa yang diambil. Pelajar di sekolah sudah pasti menggunakan masa secara lain. Kegiatan hari Isnin akan hampir-hampir serupa dengan hari kerja lain yakni Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat. Hari Sabtu dan hari Ahad atau hari kelepasan akan berbeza di mana masa kelas akan berkurangan atau tiada langsung. Setelah dicatat kegiatan ini untuk dua atau tiga minggu pelajar akan dapat membuat pengkelasan kegiatan dan masa yang terambil. Perhatikan yang jadual masa mempunyai masa bebas, yakni masa yang tidak diperuntukkan untuk kegiatan apa-apa atau tertentu. Sebenarnya manusia mempunyai beberapa jam masa bebas sehari yang biasanya tidak digunakan untuk kerja-kerja yang serious. Pelajar boleh menggunakan masa ini untuk belajar dan juga untuk mengambil kegiatan yang ia minati. Maklumat dari jadual tersebut membolehkan seseorang mengawasi penggunaan masanya dengan mempastikan masa yang cukup untuk belajar dan juga untuk kegiatan lain disamping mengurangkan masa bebas. FAKTOR YANG PERLU DIAMBIL KIRA DALAM PENJADUALAN Keutamaan Setelah mengetahui bagaimana masa digunakan dalam sesehari, pelajar perlu menentukan berapa lama ia perlu belajar, masa untuk bergaul, dan untuk perkara-perkara lain. Kalau difikirkan dan direnungi dalam-dalam, memanglah banyak perkara yang ingin kita lakukan tetapi masa dalam sehari hanya ada dua puluh empat jam! Memang benar kata-kata “masa itu emas”. Seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah meletakkan masa belajar sebagai suatu keutamaan melebihi kegiatan sosial atau hiburan. Tetapi keutamaan bukanlah bermakna menghapuskan kegiatan tersebut. Kegiatan tersebut adalah rempah ratus hidup yang dapat menghindarkan perasaan bosan disamping mencaskan kembali otak yang letih. Di sinilah peranan pengurusan masa, di mana sesorang pelajar dapat mengatur dirinya untuk memberi keutamaan kepada pelajaran di samping mengambil bahagian dalam kegiatan lain. Rancangan Jangka Panjang dan Pendek Pengurusan masa yang berkesan utuk tujuan pembelajaran memerlukan jadual masa jangka panjang dan jadual masa mingguan. Jadual masa jangka panjang mengambil kira silabus yang hendak diliputi, masa percutian, dan masa persediaan untuk peperiksaan. Dengan meneliti silabus kita dapat menganggarkan bahan dan buku yang hendak dipelajari dan dalam sesetengah kes kerja-kerja kursus seperti amali makmal yang perlu dibuat. Rancangan jangka panjang ini juga menetapkan bilakah persediaan intensif untuk peperiksaan bermula. Sebaik-baiknya jadual mingguan dibuat setiap minggu supaya masa dapat digunakan secara optimum sesuai dengan keperluan pada minggu berkenaan. Umpamanya pelajar ingin menghadiri susuatu acara pada waktu yang biasanya ia mengulangkaji, katakanlah pukul 8.00 hingga 10.00 malam pada dua malam dalam sesuatu minggu. Ia harus memikirkan sama ada ia perlu menggantikan masa ulangkaji pada waktu lain atau tidak. Sekiranya jadual mingguan sukar hendak dibuat setiap minggu, sekurang-kurangnya pelajar mestilah mengubah jadual mengikut musim dan keadaan pelbagai fasa rancangan jangka panjang. Umpamanya dalam fasa awal, masa ulangkaji jadual mingguan tidak patut sama dengan masa jadual dalam fasa persediaan untuk peperiksaan. Jadual Masa yang Boleh Diamalkan Sekiranya sesuatu perencanaan penggunaan masa itu sukar atau mustahil hendak dilaksanakan maka rancangan akan pelajar sentiasa mengubah cara ia menjalankan kegiatannya. Sebagai contohnya, jika waktu untuk makan dijadualkan selama 15 minit tetapi sebenarya masa yang diperlukan adalah 30 minit, maka kegiatan selepas makan seperti berehat dan sebagainya akan terjejas. Pelajar tersebut akan mengubah atau membatalkan jadual kegiatan berikutnya. Jika perubahan sentiasa dibuat, disiplin untuk mematuhi rancangan tadi akan luntur dan lambat laun rancangan tadi tidak dapat diikuti lagi. Masa Tidur Masalah rancangan masa yang terdapat di sesetengah kalangan pelajar ialah jadual masa tidur yang tidak sesuai. Ada pelajar yang gemar belajar hingga larut malam dan kemudiannya bangun lewat hinggakan tidak dapat hadir kelas atau kuliah. Perencanaan masa yang realistik mestilah memastikan supaya kelas atau kuliah serta kelas makmal dan bimbingan dapat diikuti. Sekiranya anda ada masalah ini, sesuaikan masa tidur anda dengan secara perlahan-lahan, yakni awalkan masa tidur anda peringkat demi peringkat hingga sampai ke tahap yang sesuai. Tempoh Masa Belajar Pelajar mesti merancang untuk belajar pada waktu ia cergas untuk berkerja. Pelajar juga perlu merancang bila yang ia perlu untuk berehat. Ahli psikologi mendapati daripada penyelidikan meluas yang manusia menjalankan kerja terbaik dengan bekerja keras untuk jangka masa yang berpatutan kemudian berehat atau bertukar kepada kegiatan lain. Ada kitaran optimum kerja dan rehat untuk setiap kegiatan bagi seseorang. Ada pendapat yang menyatakan kitaran masa yang baik untuk pembelajaran adalah 1 jam belajar dan 10 minit rehat. LELEHAN MASA Banyak pelajar mempunyai jadual masa tetapi malangnya mendapati jadual tersebut tidak digunakan. Walaupun mereka bermula dengan niat baik mereka tidak dapat mematuhi jadual tersebut. Salah satu sebabnya ialah kerana penglelehan masa. Satu contoh yang dikatakan lelehan masa adalah seperti berikut: seorang pelajar yang mengikut jadual beliau sepatutnya mengkaji mata pelajaran Sains Bahan antara pukul 8 hingga 10 malam. Dengan azam yang kuat beliau duduk di meja tepat jam 8.00 malam. Semasa mengkaji nota kuliah Sains Bahan beliau mendapati ada tulisan beliau yang tidak dapat dibacanya. Oleh itu beliau memutuskan untuk bertanya kepada rakan sekursusnya yang kebetulannya jiran bilik beliau. Semasa ia masuk ke bilik kawannya beliau mendapati ada perbincangan yang menarik mengenai perlawanan bolasepak maka ia pun masuk campur berbincang. Setelah beberapa lama ia pun ingat yang sepatutnya ia membaca nota kuliah. Semasa perjalanan pulang ia teringat yang ada rancangan televisyen yang bagus pada waktu itu. Dengan bantuan bisikan hatinya, maka iapun percaya yang beliau boleh membaca nota kuliah sambil menonton televisyen. Begitulah masa meleleh hilang hinggakan pukul 10.00 malam satu helai nota pun tidak habis dibaca. Pelelehan masa merupakan batu penghalang kepada pembelajaran berkesan. Sekiranya anda mempunyai masalah ini selesaikanlah dengan hati-hati dan beransur-ansur. Pelelehan masa boleh dihapuskan dengan amalan dan keazaman. Rancangan masa yang realistik dan dipatuhi dengan penuh disiplin dapat membantu bukan sahaja pelajaran tetapi semua manusia untuk melibatkan diri dalam lebih banyak kegiatan dengan cara teratur. MENGOPTIMUMKAN PERENCANAAN Sudah menjadi lumrah manusia yang kecergasan otaknya turun dan naik setiap hari. Pada waktu hampir tidur manusia akan rasa mengantuk jika ia membuat kegiatan yang menjemukan. Oleh itu semasa menjadualkan rancangan masa pelajar perlu mengambil kira waktu yang otaknya cergas untuk belajar dan waktu yang ia perlu untuk berehat. RINGKASAN a. Pengurusan masa membolehkan pelajar men-jalankan kehidupan manusia biasa dan belajar dengan masa yang sama. b. Jadual masa perlu mengambil kira kebolehlaksana-annya oleh pelajar. c. Elakkan dari melelehkan masa.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Bab 3: Mengurus masa Manusia memerlukan dan melakukan pelbagai kegiatan dalam kehidupannya. Badan manusia memerlukan tidur dan makan. Otak manusia perlu rehat dari pemikiran serious dan berat. Untuk keselesaan, manusia juga perlu membersihkan badannya, pakaian dan menyediakan makanan. Di samping itu sebagai makhluk bermasyarakat, manusia perlu mengambil masa bergaul dengan sahabat handai dan kaum keluarga. Pelajar tidak boleh lari daripada kegiatan biasa seseorang manusia. Oleh itu sekiranya kegiatan kehidupan tidak diseimbangkan pelajar mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk belajar. Salah satu rahsia kejayaan orang yang berpencapaian tinggi adalah pengurusan masa yang cekap yang membolehkan mereka membuat dan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan dengan jayanya. Oleh kerana minat dan keperluan kepada pelbagai kegiatan, seseoranag itu kadang-kala akan menghadapi pertelingkahan mengenai apa yang hendak dibuat dalam sesuatu waktu. Sebagai contohnya, seorang pelajar hendak belajar tetapi pada waktu yang sama ingin menonton tv. Keadaan begini menyebabkan pelajar tersebut serba salah, dan ia akan membazirkan masa untuk mengambil keputusan. Perencanaan masa mengelakkan dilema begini kerana kegiatan pada sesuatu masa itu sudah diputuskan. PERANGKAAN PENGGUNAAN MASA Untuk membolehkan pengurusan masa yang cekap pelajar perlu tahu mengenai kegiatan dan masa yang diambil olehnya sepanjang hari. Setiap individu menjalankan kegiatan kehidupannya berlainan dengan i ndividu lain. Banyak pelajar tidak sedar berapa lama masa yang diambil untuk makan, tidur, bermain dan lain-lain lagi. Sebelum perencanaan masa dibuat pelajar perlu mengkaji penggunaan masa yang dilakukannya secara lazim. Satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan merakamkan setiap kegiatan dalam masa satu minggu. Dengan cara ini pelajar akan tahu kegiatan dan jumlah masa yang diambil. Pelajar di sekolah sudah pasti menggunakan masa secara lain. Kegiatan hari Isnin akan hampir-hampir serupa dengan hari kerja lain yakni Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat. Hari Sabtu dan hari Ahad atau hari kelepasan akan berbeza di mana masa kelas akan berkurangan atau tiada langsung. Setelah dicatat kegiatan ini untuk dua atau tiga minggu pelajar akan dapat membuat pengkelasan kegiatan dan masa yang terambil. Perhatikan yang jadual masa mempunyai masa bebas, yakni masa yang tidak diperuntukkan untuk kegiatan apa-apa atau tertentu. Sebenarnya manusia mempunyai beberapa jam masa bebas sehari yang biasanya tidak digunakan untuk kerja-kerja yang serious. Pelajar boleh menggunakan masa ini untuk belajar dan juga untuk mengambil kegiatan yang ia minati. Maklumat dari jadual tersebut membolehkan seseorang mengawasi penggunaan masanya dengan mempastikan masa yang cukup untuk belajar dan juga untuk kegiatan lain disamping mengurangkan masa bebas. FAKTOR YANG PERLU DIAMBIL KIRA DALAM PENJADUALAN Keutamaan Setelah mengetahui bagaimana masa digunakan dalam sesehari, pelajar perlu menentukan berapa lama ia perlu belajar, masa untuk bergaul, dan untuk perkara-perkara lain. Kalau difikirkan dan direnungi dalam-dalam, memanglah banyak perkara yang ingin kita lakukan tetapi masa dalam sehari hanya ada dua puluh empat jam! Memang benar kata-kata “masa itu emas”. Seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah meletakkan masa belajar sebagai suatu keutamaan melebihi kegiatan sosial atau hiburan. Tetapi keutamaan bukanlah bermakna menghapuskan kegiatan tersebut. Kegiatan tersebut adalah rempah ratus hidup yang dapat menghindarkan perasaan bosan disamping mencaskan kembali otak yang letih. Di sinilah peranan pengurusan masa, di mana sesorang pelajar dapat mengatur dirinya untuk memberi keutamaan kepada pelajaran di samping mengambil bahagian dalam kegiatan lain. Rancangan Jangka Panjang dan Pendek Pengurusan masa yang berkesan utuk tujuan pembelajaran memerlukan jadual masa jangka panjang dan jadual masa mingguan. Jadual masa jangka panjang mengambil kira silabus yang hendak diliputi, masa percutian, dan masa persediaan untuk peperiksaan. Dengan meneliti silabus kita dapat menganggarkan bahan dan buku yang hendak dipelajari dan dalam sesetengah kes kerja-kerja kursus seperti amali makmal yang perlu dibuat. Rancangan jangka panjang ini juga menetapkan bilakah persediaan intensif untuk peperiksaan bermula. Sebaik-baiknya jadual mingguan dibuat setiap minggu supaya masa dapat digunakan secara optimum sesuai dengan keperluan pada minggu berkenaan. Umpamanya pelajar ingin menghadiri susuatu acara pada waktu yang biasanya ia mengulangkaji, katakanlah pukul 8.00 hingga 10.00 malam pada dua malam dalam sesuatu minggu. Ia harus memikirkan sama ada ia perlu menggantikan masa ulangkaji pada waktu lain atau tidak. Sekiranya jadual mingguan sukar hendak dibuat setiap minggu, sekurang-kurangnya pelajar mestilah mengubah jadual mengikut musim dan keadaan pelbagai fasa rancangan jangka panjang. Umpamanya dalam fasa awal, masa ulangkaji jadual mingguan tidak patut sama dengan masa jadual dalam fasa persediaan untuk peperiksaan. Jadual Masa yang Boleh Diamalkan Sekiranya sesuatu perencanaan penggunaan masa itu sukar atau mustahil hendak dilaksanakan maka rancangan akan pelajar sentiasa mengubah cara ia menjalankan kegiatannya. Sebagai contohnya, jika waktu untuk makan dijadualkan selama 15 minit tetapi sebenarya masa yang diperlukan adalah 30 minit, maka kegiatan selepas makan seperti berehat dan sebagainya akan terjejas. Pelajar tersebut akan mengubah atau membatalkan jadual kegiatan berikutnya. Jika perubahan sentiasa dibuat, disiplin untuk mematuhi rancangan tadi akan luntur dan lambat laun rancangan tadi tidak dapat diikuti lagi. Masa Tidur Masalah rancangan masa yang terdapat di sesetengah kalangan pelajar ialah jadual masa tidur yang tidak sesuai. Ada pelajar yang gemar belajar hingga larut malam dan kemudiannya bangun lewat hinggakan tidak dapat hadir kelas atau kuliah. Perencanaan masa yang realistik mestilah memastikan supaya kelas atau kuliah serta kelas makmal dan bimbingan dapat diikuti. Sekiranya anda ada masalah ini, sesuaikan masa tidur anda dengan secara perlahan-lahan, yakni awalkan masa tidur anda peringkat demi peringkat hingga sampai ke tahap yang sesuai. Tempoh Masa Belajar Pelajar mesti merancang untuk belajar pada waktu ia cergas untuk berkerja. Pelajar juga perlu merancang bila yang ia perlu untuk berehat. Ahli psikologi mendapati daripada penyelidikan meluas yang manusia menjalankan kerja terbaik dengan bekerja keras untuk jangka masa yang berpatutan kemudian berehat atau bertukar kepada kegiatan lain. Ada kitaran optimum kerja dan rehat untuk setiap kegiatan bagi seseorang. Ada pendapat yang menyatakan kitaran masa yang baik untuk pembelajaran adalah 1 jam belajar dan 10 minit rehat. LELEHAN MASA Banyak pelajar mempunyai jadual masa tetapi malangnya mendapati jadual tersebut tidak digunakan. Walaupun mereka bermula dengan niat baik mereka tidak dapat mematuhi jadual tersebut. Salah satu sebabnya ialah kerana penglelehan masa. Satu contoh yang dikatakan lelehan masa adalah seperti berikut: seorang pelajar yang mengikut jadual beliau sepatutnya mengkaji mata pelajaran Sains Bahan antara pukul 8 hingga 10 malam. Dengan azam yang kuat beliau duduk di meja tepat jam 8.00 malam. Semasa mengkaji nota kuliah Sains Bahan beliau mendapati ada tulisan beliau yang tidak dapat dibacanya. Oleh itu beliau memutuskan untuk bertanya kepada rakan sekursusnya yang kebetulannya jiran bilik beliau. Semasa ia masuk ke bilik kawannya beliau mendapati ada perbincangan yang menarik mengenai perlawanan bolasepak maka ia pun masuk campur berbincang. Setelah beberapa lama ia pun ingat yang sepatutnya ia membaca nota kuliah. Semasa perjalanan pulang ia teringat yang ada rancangan televisyen yang bagus pada waktu itu. Dengan bantuan bisikan hatinya, maka iapun percaya yang beliau boleh membaca nota kuliah sambil menonton televisyen. Begitulah masa meleleh hilang hinggakan pukul 10.00 malam satu helai nota pun tidak habis dibaca. Pelelehan masa merupakan batu penghalang kepada pembelajaran berkesan. Sekiranya anda mempunyai masalah ini selesaikanlah dengan hati-hati dan beransur-ansur. Pelelehan masa boleh dihapuskan dengan amalan dan keazaman. Rancangan masa yang realistik dan dipatuhi dengan penuh disiplin dapat membantu bukan sahaja pelajaran tetapi semua manusia untuk melibatkan diri dalam lebih banyak kegiatan dengan cara teratur. MENGOPTIMUMKAN PERENCANAAN Sudah menjadi lumrah manusia yang kecergasan otaknya turun dan naik setiap hari. Pada waktu hampir tidur manusia akan rasa mengantuk jika ia membuat kegiatan yang menjemukan. Oleh itu semasa menjadualkan rancangan masa pelajar perlu mengambil kira waktu yang otaknya cergas untuk belajar dan waktu yang ia perlu untuk berehat. RINGKASAN a. Pengurusan masa membolehkan pelajar men-jalankan kehidupan manusia biasa dan belajar dengan masa yang sama. b. Jadual masa perlu mengambil kira kebolehlaksana-annya oleh pelajar. c. Elakkan dari melelehkan masa.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Ada Apa dengan Karisma Apabila saudara membaca buku ini, tentu saudara mengharapkan sesuatu yang luar biasa berkenaan dengan karisma dalam diri saudara. Saudara mampu memperolehnya. Tetapi, terlebih dahulu saudara perlu mengetahui mengapa karisma penting kepada saudara. Ramai orang ingin menjadi pemimpin, baik secara rasmi ataupun tidak rasmi. Mereka ingin dilihat sebagai seorang yang berketerampilan, berpengaruh dan mempunyai pengikut yang setia. Ada juga golongan yang inginkan kuasa peribadi atau personal power dalam diri mereka supaya kelihatan lebih berpengaruh, memiliki ramai kawan dan sebagainya. Ada juga yang ingin memiliki karisma bagi menambah keyakinan diri dan muncul sebagai orang yang gentleman, bertanggungjawab dan boleh dipercayai. Walau daripada golongan mana pun saudara datang, ada sesuatu yang istimewa berkaitan karisma. Daripada tinjauan yang dilakukan, didapati ramai orang memiliki pendapat yang pelbagai berkenaan apa itu karisma. Ada yang berkata, karisma adalah kuasa dan bakat seperti pandai bercakap dan berperwatakan menarik. Ada yang berpendapat, pandai bercakap sahaja tidak memadai, malah seseorang perlu ada kemahiran bersosial yang baik bagi membina pengaruh dan barisan pengikut yang setia. Ada juga yang berkata, pada zaman persaingan yang hebat ini, yang paling penting adalah seseorang itu perlu pandai mengurus organisasi. Walaupun seseorang itu mempunyai kemahiran sosial yang baik, tetapi tidak memiliki kemahiran mengurus, organisasi akan runtuh. Ada juga yang melihat karisma itu pada apa yang dilihat daripada mata kasar sahaja. Contohnya, pemakaian dan penampilan sosial. Kini, membina karisma dalam diri menjadi lebih penting daripada sebelumnya. Abad ke-21 adalah zaman persaingan yang mementingkan faktor bakat atau talent factor. Sekiranya saudara seorang pemimpin di mana-mana peringkat sekalipun, saudara dapat membina kekuatan dan keluhuran peribadi untuk menjadi seorang pemimpin dan ia juga membawa kesan kepada karisma organisasi. Sebagai pemimpin negara pada masa akan datang, membina karisma bermakna membina masa hadapan saudara pada hari ini. Masa hadapan bukan untuk dijangka dan ditunggu, tetapi masa hadapan untuk dicipta. Dalam dunia persaingan, kelayakan akademik dan peribadi berkarisma dapat menjadi formula bagi saudara menjadi benih, apabila dicampak ke laut, ia menjadi pulau. Membina karisma bermakna menjadi orang yang lebih baik dalam semua segi kehidupan. Sekiranya saudara menunggu sekian lama gegaran besar bagi merubah konsep diri saudara yang dahulu, maka buku ini dapat memberikan sebab mengapa idea membina karisma ini begitu berkuasa pada diri saudara. Bab ‘Intuitif Karisma’ menerangkan hasil pemahaman dan kemahiran praktikal karisma. Oleh itu, saudara mampu memiliki intuisi tersendiri dalam berperilaku sebagai orang yang berketerampilan dan mempunyai karisma tanpa saudara sedari atau unconscious competent. Saudara akan gagal membina karisma sekiranya tidak melihat ia sebagai cara hendak menjadi orang yang lebih baik pada hari ini berbanding semalam. Membina karisma bermakna menjadi orang yang membahagiakan orang lain di sekeliling kita. Kita selalu diajar bersaing dalam usaha hendak berjaya. Ia sebenarnya tidak relevan dalam perkara membina karisma. Sekiranya saudara menjatuhkan orang lain dalam usaha meningkatkan karisma saudara, ia tidak lebih daripada racun yang membunuh nilai karisma yang sebenar. Orang yang berkarisma berkorban untuk orang lain lebih banyak daripada kepentingan diri mereka sendiri. Nabi Muhammad sanggup memberikan kurma yang hanya memadai dimakan oleh beliau dengan isterinya Aishah, kepada seorang tua yang kelaparan. Sekiranya saudara inginkan karisma, melalui sifat suka membantu dan bukannya bersaing adalah nilai tambahan dalam pembinaan karisma diri saudara. Emerson menulis, memadailah sekiranya individu itu tahu yang dia sudah memberikan kemudahan kepada orang yang duduk di sebelahnya supaya terus hidup. Jangan sesekali cuba hidup atas kesengsaraan orang lain. Saudaralah orang yang lebih mementingkan berapa banyak yang saudara sumbangkan daripada apa yang saudara peroleh. Orang berkarisma adalah orang yang tahu kelemahan diri. Pemimpin berkarisma memiliki satu persamaan iaitu mereka dapat melihat imej diri mereka sendiri atau self-mirroring. Mereka tahu apa yang mereka kurang, lantas mereka mencari usaha bagaimana hendak memperbaikinya. Dalam dunia yang mencabar dan penuh dengan perubahan radikal, pemimpin karismatik yang memerhati kekurangan dirinya dan memperbaikinya secepat mungkin berpotensi untuk berjaya. Contohnya, Tun Dr. Mahathir yang sentiasa memerhatikan kelemahan diri beliau dan memperbaikinya dari semasa ke semasa, sebelum kelemahan itu memberikan kesan yang tidak baik pada pemerintahannya. Tun Dr. Mahathir tidak pernah putus dengan idea hendak membangunkan negara. Bayangkan, sekiranya seorang pemimpin tidak memiliki karisma dalam memperbaiki diri dan negara dalam jangka masa yang berterusan, apa akan jadi kepada negara kita? Pemimpin-pemimpin yang karismatik dapat menimbulkan kesan luar biasa ke atas prestasi mereka yang berada di bawah kepimpinannya. Kajian mendapati: 1. Kepimpinan karisma mempunyai kaitan positif dengan prestasi kerja. Dalam erti kata lain, semakin tinggi karisma seseorang pemimpin, semakin tinggi prestasi kerja orang yang berada di bawah kepimpinannya. 2. Pemimpin-pemimpin karismatik dipandang sebagai hero oleh orang bawahannya dan para pengikutnya. Ini menyebabkan mereka berasa puas hati dengan kepimpinannya. Mereka juga seronok dengan diri si pemimpin. Kedua-dua emosi positif itu membawa kesan yang baik ke atas tingkah laku kerja mereka yang dipimpin. Ia juga menyebabkan kepimpinan si ketua menjadi lebih berkesan. Apabila yang dipimpin berasa puas hati dan seronok, mereka lebih mudah dipengaruhi oleh pemimpin mereka. 3. Rasa puas hati pada pemimpin menyebabkan mereka yang dipimpin berasa puas dengan tugas yang mereka jalankan. Perasaan puas seperti itu menyebabkan mereka mendapat dorongan intrinsik daripada tugas-tugas yang mereka jalankan. Ini meninggikan lagi komitmen kerja mereka. Pendek kata, orang suka bekerja di bawah pemimpin yang berkarisma dan mereka melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang di bawah pimpinan orang yang karismatik. Ini semua menjadi bukti karisma dapat menghasilkan kesan yang menguntungkan baik kepada diri si pemimpin, mahupun kepada mereka yang dipimpin dan kepada seluruh organisasi. Satu perkara yang perlu ditekankan di sini adalah, apabila seseorang itu memiliki ciri-ciri karisma, itu belum menjamin beliau mempunyai nilai-nilai murni. Seperti Hitler, ramai pemimpin yang kejam adalah mereka yang memiliki karisma tinggi. Malah, ramai pemimpin ajaran sesat juga terdiri daripada individu yang mempunyai karisma. Para diktator dan ketua-ketua ajaran sesat mempunyai pengaruh yang begitu kuat ke atas para pengikutnya. Ini kerana, mereka mempunyai visi yang jelas pada realiti yang mereka gambarkan kepada para pengikut mereka, meskipun sebenarnya mereka itu sesat. Salah satu ciri negatif individu-individu yang karismatik terdapat dalam hubungan mereka dengan para pengikut. Pemimpin-pemimpin karismatik cenderung mahu para pengikutnya terus berkeadaan lemah supaya mereka terus bergantung padanya. Mereka juga cenderung mahukan seluruh perhatian jatuh pada diri mereka seorang. Mereka tidak suka berkongsi perhatian dengan orang lain dalam kumpulannya. Ramai orang terkenal dan ternama seperti pelukis, seniman, pemuzik dan ahli-ahli sukan terdiri daripada mereka yang memiliki karisma, mempunyai peminat dan pengagum yang ramai. Tetapi itu tidak bermakna mereka berupaya memberikan kepimpinan dan membawa perubahan kepada para peminat dan pemuja mereka. Walaupun mereka berupaya membuat para peminat dan pemuja menyanjung diri mereka, tetapi individu-individu karismatik itu tidak mampu mendorong para peminat dan pemuja mereka supaya mencipta perubahan yang bermakna. Individu yang memiliki karisma tidak semestinya mempunyai tempat dalam organisasi di mana mereka bertugas. Nampaknya, mereka hanya diperlukan apabila terdapat krisis, seperti dalam peperangan ataupun sewaktu syarikat itu sedang berdepan dengan kerugian yang boleh membawa kepada kemuflisan. Oleh kerana orang yang karismatik yakin pada kebolehan mereka sendiri, mereka tidak memerlukan pendapat, nasihat, kepintaran dan kebolehan orang lain. Akibatnya, pada masa aman dan makmur mereka dilihat sebagai orang yang angkuh. Mereka dianggap sebagai pengacau kepada kelicinan perjalanan organisasi yang mereka pimpin. Reaksi orang pada individu berkarisma cenderung dalam bentuk ekstrem. Mereka itu sama ada amat disanjung ataupun amat dibenci. Inilah sebabnya pemimpin yang tinggi karismanya seperti pemimpin India Mahatma Ghandi, presiden Amerika Abraham Lincoln dan John Kennedy serta perdana menteri Israel Yitzhak Rabin, mati dibunuh. Sebabnya, pemimpin-pemimpin yang kurang bervisi tidak akan menyebabkan orang begitu membenci mereka sehingga sanggup membunuh mereka.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Soalan Saya bakal ibu muda yang dijangka melahirkan bayi sulung pada awal bulan depan. Semakin hampir dengan tarikh jangkaan bersalin, semakin banyak persoalan yang bermain dalam fikiran saya berkenaan dengan proses kelahiran yang bakal dilalui nanti. Soalan saya adalah: 1.Apakah prosedur yang akan dilakukan oleh doktor dan jururawat terhadap saya apabila timbul sakit bersalin jika saya bersalin secara normal? 2.Adakah suami boleh menemani saya di bilik bersalin jika saya bersalin di hospital kerajaan? 3.Adakah episiotomi boleh dielakkan dan bagaimanakah caranya? Adakah saya mesti dijahit walaupun tidak berlaku episiotomi? 4.Tekanan darah saya kadangkala meningkat. Adakah ia akan membahayakan diri saya dan bayi di dalam kandungan jika ia berlaku semasa proses kelahiran? 5.Saya terbaca berkenaan pelan kelahiran. Adakah semua doktor menerimanya jika saya membuat pelan kelahiran sendiri? Jawapan 1.Setiap hospital mempunyai prosedur tersendiri bagi kemasukan ibu yang sedang sakit untuk bersalin. Puan dinasihatkan bertanya kepada doktor dan kakitangan hospital yang puan pilih bagi melahirkan bayi berkaitan dengan prosedur ini sebelum puan sakit untuk bersalin. Lazimnya, doktor akan menerangkan prosedur ini semasa lawatan antenatal. Apabila puan mempunyai tanda-tanda labour atau proses kelahiran seperti kesakitan, kebocoran air ketuban ataupun pendarahan, puan perlu segera ke hospital yang dipilih. Selepas sampai ke tempat masuk pesakit, lazimnya puan diberikan kerusi roda untuk dihantar ke bilik bersalin. Beberapa soalan akan ditanya oleh jururawat perbidanan seperti bila sakit bermula, apakah tanda-tanda yang berlaku dan kekerapan sakit. Perut puan akan diperiksa bagi memastikan kedudukan bayi adalah normal. Jantung bayi akan dikesan melalui alat pinnard, kardiotokograf (CTG) ataupun daptone. Tekanan darah, suhu badan dan kadar nadi diambil. Pemeriksaan dalaman pada faraj juga dilakukan bagi mengetahui tahap proses bersalin. Dengan pemeriksaan dalaman, tahap penipisan serviks, pembesaran bukaan serviks, penurunan kepala bayi dan status membran ketuban dapat dinilai. Maklumat ini dicatatkan pada carta `partogram' bagi mengawasi perkembangan proses bersalin. Kebanyakan hospital masih memberikan ubat bagi membersihkan usus supaya tiada najis yang keluar semasa kelahiran bayi. Puan dikehendaki menyalin pakaian yang diberikan oleh pihak hospital. Tujuannya supaya baju puan tidak kotor berlumuran darah, air ketuban dan memudahkan apabila ada kecemasan yang memerlukan pembedahan ataupun prosedur lain. Baju hospital tidak menghalang proses menangani kecemasan itu berbanding dengan pakaian sendiri. Puan dan bayi diawasi secara berkala. Ada sesetengah hospital menggunakan CTG bagi pemantauan jantung bayi secara berterusan. Jika tidak, pemantauan ini dilakukan setiap 15 hingga 30 minit. Pemeriksaan dalaman lazimnya dilakukan secara berkala (setiap empat jam), bergantung pada keadaan ibu. Biasanya, puan ditawarkan kaedah penahan sakit yang ada di hospital berkenaan. Jenis yang ada adalah seperti berikut: a.Kaedah pernafasan: Teknik deep breathing. b.Penggunaan Entonox: Menghidu gas ini semasa sakit. c.Suntikan ubat bagi menghilangkan kesakitan. d.Epidural: Menggunakan ubat-ubatan bagi mengebaskan separuh badan dari pinggang ke bawah. 2.Hospital kerajaan juga menggalakkan kehadiran suami di bilik bersalin supaya dapat memberi sokongan kepada isteri yang sedang sakit melahirkan bayi. Tidak semua hospital kerajaan mempunyai kemudahan yang membolehkan keadaan ini dilaksanakan. 3.Episiotomi adalah pemotongan yang sengaja dilakukan pada perineum bagi membesarkan laluan tempat kelahiran kepala bayi. Episiotomi lazimnya dilakukan apabila kelahiran men-jadi rumit dan memerlukan kelahiran secara vakum ataupun forsep. Ia juga dilakukan apabila diramalkan akan berlaku koyak yang teruk semasa laluan kepala bayi. Episiotomi dapat mengelak daripada luka yang bergerigi (ragged) dan tidak teratur. Tidak semua kelahiran memerlukan episiotomi, tetapi lazimnya kelahiran anak pertama memerlukannya kerana perineum belum lagi regang. Jika ia koyak semasa kelahiran, luka ini dijahit bagi memastikan penyembuhannya berlaku dengan baik. Jika tiada kesan luka, ia tidak perlu dijahit. 4.Tekanan darah ibu diawasi secara berkala semasa dalam proses kelahiran. Keadaan ini dilakukan kerana darah tinggi boleh berlaku sebelum, semasa dan selepas kelahiran bayi. Darah tinggi semasa hamil dan semasa proses bersalin boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi. Antara komplikasi yang boleh berlaku apabila tekanan darah terlalu tinggi adalah ibu sawan dan placental abruption iaitu pemisahan uri sebelum kelahiran bayi. 5.Sepatutnya, ibu perlu mempunyai pelan kelahiran. Pelan kelahiran ini sepatutnya dianggap sebagai panduan kehendak ibu itu tetapi tidak semestinya diikuti secara tepat. Kadang-kala, keadaan tidak membenarkannya terutamanya apabila berlaku komplikasi. Oleh itu, setiap ibu mungkin perlu mempunyai pelan alternatif apabila proses bersalin tidak berlaku sebagaimana yang dijangka. Pelan kelahiran ini dapat diterima apabila doktor dan kakitangan hospital diberitahu berkenaan perkara itu terlebih dulu dan apabila prasarana hospital memungkinkannya berlaku.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Soalan Saya mengandungkan anak pertama selepas mengambil pil subur dan kini anak sudah berusia 20 bulan. Baru-baru ini saya ingin mengandung lagi dan terpaksa mengambil pil subur selepas 4 bulan mencuba. Selepas 3 kali mengambil pil subur, barulah saya disahkan mengandung. Walau bagaimanapun, ia kandungan luar rahim iaitu di dalam tiub Fallopio kiri. Akibatnya, saluran sebelah kiri terpaksa dibuang menerusi laparoskopi. Soalan saya: 1.Adakah keadaan ini berkaitan dengan pengambilan pil subur? 2.Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengandung lagi. Kini saya berusia 34 tahun. 3.Bagaimanakah keadaan ini dapat dielakkan daripada berulang? Jawapan Kandungan luar rahim boleh berlaku pada beberapa organ seperti serviks dan kilang ovari. Tetapi, ia paling lazim berlaku pada tiub Fallopio (95%). Banyak faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada terjadinya kandungan luar rahim ataupun meninggikan risikonya. Semuanya berkait rapat dengan per-ubahan pengangkutan di dalam tiub. Perubahan pengangkutan di dalam tiub ini boleh disebabkan oleh jangkitan seperti kuman, virus ataupun clamydia, pembedahan pada saluran tiub ataupun organ berdekatan dan pertukaran hormon. Persenyawaan antara benih wanita dan benih lelaki berlaku di dalam tiub Fallopio. Embrio yang terbentuk mengambil masa selama 4 hingga 5 hari untuk sampai ke dalam rahim. Apabila terdapat sebarang halangan dalam perjalanannya, embrio terhenti di tempat itu dan terus membesar. Oleh kerana otot dinding tiub tidak setebal rahim, lazimnya tiub akan pecah apabila janin berumur 7 hingga 8 minggu. Sebab-sebab yang berkait rapat dengan fungsi tiub Fallopio 1.Jangkitan kuman pada bahagian pelvis Oleh kerana kadar penyakit ini semakin meningkat, kadar kandungan luar rahim juga meningkat. Jangkitan kuman merosakkan selaput dinding tiub (tubal endothelium). Parut terbentuk selepas jangkitan dan ia menyekat perjalanan embrio ke dalam rahim. Dengan meningkatnya kadar penyakit kelamin yang disebabkan oleh seks rambang dan bertukar pasangan, kadar jangkitan pelvis dan seterusnya kadar kandungan luar rahim juga meningkat. Perlu diingatkan bahawa wanita yang memakai alat di dalam rahim (IUD) sebagai cara merancang keluarga, mempunyai risiko yang lebih tinggi dijangkiti radang pelvis apabila dia ataupun suaminya mempunyai pasangan seks yang ramai jika dibandingkan dengan hubungan monogami. 2.Pembedahan pada tiub Fallopio Pembedahan seperti pemandulan, pembedahan mikro bagi membetulkan tiub yang tersumbat meninggikan risiko kandungan luar rahim apabila wanita-wanita ini hamil selepas berjaya melalui pembedahan seperti di atas. 3.Melakukan pembedahan membuang janin Pembedahan dilakukan bagi membuang janin apabila kandungan itu tidak diingini (TOP: Termination of Pregnancy). Di Malaysia, undang-undang tidak membenarkan pembedahan membuang janin tanpa sebab perubatan yang disahkan oleh dua orang doktor pakar. Islam mengharamkan pembuangan janin ini apabila tiada sebab yang boleh menggugat kesihatan dan keselamatan ibu.Menjalani pembedahan ini boleh meninggikan lagi risiko kandungan luar rahim. Lebih banyak pembedahan ini dilakukan, lebih tinggi risiko kandungan luar rahim. Semua wanita diingatkan supaya menjaga maruah masing-masing supaya tidak terjebak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral sehingga menyebabkan kehamilan di luar batas halal dalam Islam. Sabda nabi Muhammad dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Janganlah kamu bersendirian dengan seorang perempuan kecuali bersama muhrim.” Bagi pasangan yang ingin menjarakkan kehamilan pula, perlu menggunakan cara-cara yang terbukti berjaya menghalang kehamilan supaya tidak timbul isu membuang kehamilan yang terjadi secara ‘tidak sengaja’ dan tidak diingini terutamanya apabila kehamilan ini berlaku sementara anak yang terakhir baru berumur beberapa bulan. Kedua-dua situasi ini adalah situasi lazim yang dikemukakan oleh wanita yang inginkan kandungannya digugurkan. Sebab-sebab yang berkait rapat dengan embrio 1.Menggunakan ubat-ubatan bagi merangsang ovulasi Kajian menunjukkan rangsangan proses ovulasi dengan menggunakan suntikan hormon gonadotrofin seperti FSH atau Follicular Stimulating Hormone meninggikan kadar kandungan luar rahim. Keadaan ini berlaku kerana rangsangan ini mengeluarkan kadar estrogen yang lebih tinggi dan ia memberi kesan kepada pengangkutan pada tiub Fallopio. Ubat yang diberi secara makan iaitu Clomiphene citrate tidak menunjukkan risiko ini. 2.Bayi tabung uji (IVF) Prosedur ini dilakukan bagi membantu pasangan yang sukar hamil. Prosedur ini meninggikan risiko kandungan luar rahim. Penyebab risikonya yang tinggi masih belum diketahui. Tetapi dipercayai mungkin disebabkan oleh: a.Embrio termasuk ke dalam tiub secara spontan ataupun semasa suntikan. b.Otot rahim yang mengecut menyebabkan embrio termasuk ke dalam tiub. Bagi kes puan, kemungkinan besar pengambilan pil subur tidak mempunyai kaitan dengan masalah kandungan luar rahim. Malah, kesukaran untuk hamil mungkin mempunyai kaitan dengan masalah tiub itu sendiri. Kewujudan masalah tiub menyebabkan puan hamil luar rahim semasa kandungan kedua. Lazimnya, masalah tiub terdapat pada kedua-dua belah tiub. Oleh itu, risiko untuk hamil luar rahim bagi kandungan seterusnya adalah sebanyak 15 hingga 20%. Ramai wanita yang hamil dan melahirkan bayi yang sihat selepas dibedah kerana kandungan luar rahim. Banyakkan berdoa supaya mendapat anak yang sempurna lagi soleh.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Pulanglah wahai.... Pinang ke tampuknya, Sirih ke gagangnya. Buah ke tangkainya, Kelopak ke bunganya. Pulanglah wahai.... Ikan ke lubuknya, Belut ke lubangnya. Teritip ke batunya, Semut ke sarangnya. Burung ke sangkarnya, Kerbau ke kandangnya. Cahaya ke apinya, Tempa ke acuannya. Mujarab ke ubatnya, Makbul ke doanya. Keris ke sarungnya, Panah ke busurnya. Taji ke kakinya, Jala ke rawanya. Cuban ke jaringnya, Benang ke jarumnya. Ranting ke dahannya, Perdu ke pangkalnya. Pulanglah wahai.... Mutiara ke cangkerangnya, Wau ke terajunya. Air ke geluknya, Teluk ke tanjungnya. Pulau ke selatnya, Garam ke lautnya. Emas ke nilainya, Harum ke kuntumnya. Arif ke bijaksananya, Ilmu ke alimnya. Bisa ke upasnya, Taji ke kakinya. Pulanglah wahai.... Kasih ke hatinya, Asyik kepada masyuknya, Dewi kepada dewanya, Romeo kepada Julianya, Dara kepada Udanya, Sita kepada Ramanya, Permaisuri kepada sultannya, Laila kepada Majnunnya, Hawa kepada Adamnya. Pulanglah wahai.... Bulan kepada bintangnya, Umat kepada nabinya, Irama ke lagunya, Cincin ke jarinya. Pulanglah..... Aduhai buah hatiku....

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Ayahanda dan bonda berpesan kepada anakanda berdua supaya sentiasa bermuafakat dan sedia berkongsi dalam apa jua keadaan. Adat orang bersuami isteri, Pahit manis sama dirasa. Kalau sedikit, sesudu seorang, Kalau banyak, sesenduk seorang. Kalau untung, sama-sama timbul, Kalau malang, sama-sama tenggelam. Kalau di depan, sama-sama menang, Kalau di belakang, sama-sama alah. Kalau tebu, seruas seorang, Kalau nangka, seulas seorang. Payung satu, sama berteduh, Perahu satu, sama menyeberang. Tikar sehelai, sama ditiduri, Selimut satu, sama dikongsi.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Sebagai Tuan Rumah, saya dan isteri.... Kami minta ampun, kami minta maaf.... Kalau ada wajah yang salah pandang, Kalau ada nama yang tersalah sebut. Kalau ada gelar yang salah ucap, Kalau ada yang duduk di salah tempat. Kalau ada hidangan yang salah bekas, Kalau air mawar tersalah renjis. Kalau gelas tersalah letak, Kalau nasi tersalah tambah. Kalau ada mangkuk yang pecah, Kalau ada cawan yang sumbing. Kalau pinggan kami ada yang retak, Kalau ada sudu yang bengkok. Kalau ada talam kami yang lusuh. Kalau ada tikar yang koyak. Kalau ada tali yang tidak disimpul, Kalau ada cawan yang tidak beralas. Kalau gulai kami terlebih garam, Kalau kopi tak cukup gula. Kalau nasi yang ditanak hangit, Kalau sambalnya tak cukup belacan. Kalau ikannya banyak tulang, Kalau umbut yang dimasak pahit. Kalau labu yang digulai masam, Kalau santannya tak cukup pekat. Terima kasih juga, Kalau perut tidak kenyang.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Apa itu Cinta

Imam Ghazali di dalam bukunya Kimia as-Sa’adah (Rahsia Kebahagiaan) mendefinisikan cinta sebagai suatu kecenderungan yang membawa kepada perasaan yang menyenangkan. Ia adalah tarikan pemikiran, kesudian dan kecenderungan kepada sesuatu yang disukai. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah pula menanggapi cinta sebagai sesuatu yang suci, tenang, utuh dan mengasyikkan. Beliau juga mendefinisikan cinta sebagai gelojak perasaan yang muncul apabila orang yang bercinta merasa amat rindu dan terkenang-kenangkan yang dicintainya. Selain itu, beliau turut menganggap cinta sebagai hawa, iaitu kecenderungan berserta nafsu terhadap seseorang yang dicintainya.

Menurut pandangan Imam Nawawi, setiap perkara yang lazat tentu disukai oleh orang yang merasa kelazatannya. Jadi, perkara yang dicintai itu adalah secara tabii memang memiliki kelazatan atau dapat memberikan kenikmatan yang menyebabkan seseorang cenderung kepadanya. Maka yang disebut hubb atau cinta itu adalah kecenderungan tabiat kepada sesuatu yang mempunyai kelazatan, kenikmatan dan menyenangkan.

Ibnu Hazm pula di dalam bukunya yang bertajuk The Ring of the Doves, sebuah epik percintaan yang tulen, menyatakan bahawa realiti percintaan hanya boleh difahami melalui pengalaman peribadi. Menurutnya lagi, cinta tidak pernah dinafikan dalam agama, mahupun dalam undang-undang. Kehadirannya diiktiraf oleh seluruh manusia dan Tuhan. Cuma yang menjadi perhitungan adalah pengamal cinta tersebut, adakah berlandaskan hukum Tuhan, atau semata-mata menurutkan nafsu sahaja. Betulnya cinta terletak pada cara dan perlaksanaannya. Beliau mendefinisikan cinta sebagai kesatuan di antara dua jiwa yang sebelum ini terpisah di alam dunia ini. Lebih jelas lagi, definisi yang telah beliau persembahkan, “Love as a conjunction between the scattered part of the souls that have been divided in this physical world, a union effected within the substance of their origin sublime” atau “Cinta adalah penyatuan kepada roh-roh yang terpisah di alam nyata. Ia adalah penyatuan yang dipengaruhi oleh unsur-unsur kewujudan yang agung”.

Professor Madya Ghulam pula dalam penulisannya yang bertajuk Psikologi Cinta di dalam Pendidikan Islam merakamkan bahawa Muhammad Iqbal, seorang penyajak dan ahli falsafah mendefinisikan cinta sebagai jiwa yang telah disemarakkan, yang mana seseorang meningkatkan dirinya melebihi tahap kebiasaan, menambah kuasa persepsi, mengubat perasaan, meluaskan perasaan simpati, menggambarkan imaginasinya dan yang terpenting menguatkan kebolehan dan kemampuan yang tersembunyi. Kuasa cinta adalah dinamik, sebagai satu desakan yang berterusan bagi seseorang yang mempunyai keyakinan semasa mendepani apa sahaja, juga dapat mengubah mereka supaya menjadi lebih baik daripada apa yang mereka miliki…Cinta adalah indah, mengagumkan dan menyempurnakan kemanusiaan”.

Definisi Cinta oleh Sarjana Barat

Robert J. Sternberg menggambarkan cinta sebagai perhubungan dalam Teori Tiga Segi Cinta atau The Theory of Triangular of Love yang melibatkan komponen keintiman (intimacy), nafsu (passion) dan komitmen  commitment). Menurutnya, cinta adalah hubungan dinamik yang mementingkan kebahagiaan dan persefahaman sepanjang perhubungan cinta tersebut. Komponen keintiman merujuk kepada keakraban, pertalian dan kesatuan perasaan dalam hubungan percintaan. Ia adalah perasaan yang mewujudkan kehangatan dalam percintaan. Sternberg dan Grajek (1984) mengenal pasti sepuluh tanda keintiman dalam pasangan kekasih:
1. Kesungguhan untuk menjaga kebajikan kekasih
2. Menikmati kegembiraan bersama kekasih
3. Mempunyai pandangan yang tinggi terhadap kekasih
4. Boleh bergantung kepada kekasih di saat memerlukan
5. Persefahaman yang mendalam di antara satu sama lain
6. Berkongsi masa dan harta bersama kekasih
7. Menerima sokongan emosi dari kekasih
8. Memberi sokongan emosi kepada kekasih
9. Mempunyai komunikasi intim bersama kekasih
10. Menghargai kehadiran kekasih di dalam hidupnya

Komponen nafsu melibatkan dorongan ke arah hubungan yang romantik, tarikan fizikal dan kemahuan seksual antara pasangan kekasih. Selain itu, ia turut melibatkan estim diri, menguasai diri kekasih atau taat kepada kemahuan pasangannya.

Komponen komitmen pula melibatkan kelangsungan cinta dalam jangka masa yang panjang. Kesungguhan untuk mengekalkan cinta berkait rapat dengan usaha daripada kedua-dua belah pihak untuk memberikan komitmen dalam perhubungan cinta tersebut.

Menurut Theodore Reik, cinta adalah perjuangan untuk menyempurnakan diri, memenuhi ego-ideal yang dicitacitakan. Mortimer Adler mempercayai cinta adalah keinginan yang baik, memikirkan perkara yang baik terhadap orang lain dan mengharapkan yang terbaik untuk mereka. Ia saling berkait-rapat dengan konsep memberi dan menerima. Orang yang tidak pandai memberi tidak akan selamanya mengenali cinta. Sigmund Freud pula mencemari definisi cinta dengan mengkhususkannya kepada impian untuk memenuhi keinginan seksual. Freud melihat cinta sebagai nafsu kebinatangan yang ada pada manusia dan keinginan yang melonjak untuk memenuhinya.

Hari ini kita dikelirukan oleh sarjana Barat yang kerap mengaitkan cinta dengan hubungan fizikal, sama ada cinta
romantik ataupun tarikan seksual. Buktinya adalah jenis-jenis cinta yang dipersembahkan dalam tayangan televisyen dan pawagam, drama dan lakonan terbitan Barat. Definisi cinta oleh sarjana Barat secara amnya melibatkan hubungan sesama manusia, dan jarang sekali menyentuh soal ketuhanan. Pada hakikatnya, konsep cinta yang dihidangkan oleh Barat adalah menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



CINTA adalah pertalian kasih sayang merangkumi aspek spiritual, emosi, fizikal, intelektual dan sosial antara individu yang terlibat, di mana mereka saling menghargai nilai-nilai peribadi yang dimiliki dan memuliakan perhubungan yang wujud antara satu sama lain. Cinta juga bererti kemahuan, keasyikan, tarikan, kerinduan dan keresahan yang wujud hasil daripada keterikatan perasaan kepada seseorang atau sesuatu. Cinta adalah penggerak yang menjadikan kita orang yang terbaik dalam banyak perkara dalam kehidupan. Tidak kurang juga, cinta boleh merosakkan dan menjadikan seseorang itu manusia yang sebaliknya. Sebenarnya terdapat pelbagai definisi cinta. Pada hakikatnya, cinta bukannya satu tetapi beribu. Antaranya ialah definisi cinta yang dipersembahkan di dalam Quran dan Sunah yang maksudnya membawa manusia ke arah kepelbagaian cinta. Sarjana Islam dan sarjana barat turut menyajikan pelbagai definisi cinta sebagai wadah untuk mengenali dan memahami hakikat emosi yang penting dan relevan kepada kita. Definisi Cinta di dalam Quran Terdapat pelbagai definisi dan pengertian cinta di dalam Quran. Salah satunya cinta diertikan sebagai kemahuan untuk berpasangan dalam menikmati keindahan dan kelazatan hidup. Cinta antara lelaki dan perempuan, ibu bapa dan anak, guru dan murid, majikan dan pekerja, nabi dan umat, semuanya adalah cinta berpasangan yang mempunyai pakej khusus dengan bentuk dan jenis cinta yang berlainan. Cinta lelaki dan perempuan sebagai pasangan kekasih dilihat sebagai cinta romantik ataupun cinta berahi (syahwat). Cinta ibu bapa kepada anak-anak pula adalah cinta tidak bersyarat yang seharusnya ada sejak kewujudan anak tersebut di dalam kandungan ibunya. Cinta guru kepada murid membawa kepada keberkatan ilmu dan kemanfaatan yang berpanjangan manakala cinta majikan kepada pekerja mewujudkan suasana harmoni dan kesepakatan dalam memajukan organisasi. Cinta nabi kepada umat membawa kesejahteraan dunia dan akhirat. Pendek kata, segala jenis cinta ini menjurus kepada matlamat yang satu, iaitu menjadikan manusia mengingati dan berfikir akan kebesaran Allah sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran surah az-Zariyat ayat 49, “Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati kebesaran Allah”. Cinta adalah keasyikan, kemahuan dan keinginan kepada perkara-perkara yang disenangi seperti wanita, anak-anak, harta kekayaan dan kemegahan dunia. Kesenangan di dunia yang menjadi impian kebanyakan manusia adalah bentuk cinta yang banyak menguji kesabaran dan ketakwaan manusia. Walau bagaimanapun, Allah mengingatkan apa yang di sisi-Nya adalah lebih baik daripada cinta-cinta keduniaan ini. Allah menyatakan dalam surah Ali Imran ayat 14, “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kepada kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga)”. Cinta adalah perkongsian kegembiraan dan penderitaan, yang menuntut kemuliaan hati, kasih sayang dan rasa hormat kepada orang yang dicintai dengan sepenuh perasaan, jiwa dan raga. Nabi Muhammad adalah contoh terbaik dalam menumpahkan cinta dan kasih sayangnya kepada umat manusia, seperti yang dinyatakan dalam surah at-Taubah ayat 128, “Sungguh, telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kalanganmu sendiri. Ia sedih dengan penderitaanmu, sangat menginginkan keimanan dan keselamatanmu. Ia sangat penyantun, sangat penyayang”. Cinta adalah pengorbanan, perkongsian, kesabaran dan ketaatan kepada yang dicintai. Dalam konteks ini, umat Islam dituntut untuk melakukan ketaatan kepada segala suruhan Allah, berkongsi kesenangan dengan orang lain dan sanggup berkorban harta yang disayangi demi cinta kepada Pencipta. Allah menyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 177, “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir dan orang yang meminta-minta; dan memerdekakan (hamba sahaya), mendirikan solat, menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa”. Secara keseluruhannya, cinta yang unggul didefinisikan sebagai cinta yang tulen kepada pencipta segala cinta, iaitu Allah. Cinta yang tulen ini lahir daripada orang beriman yang mencintai Allah dengan sepenuh hati dan perasaan, bersikap lemah lembut dan saling kasih-mengasihi sesama manusia. Allah telah menyatakan di dalam Quran surah al-Maidah ayat 54, “Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin dan bersikap keras terhadap orang-orang kafir, berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”. Definisi Cinta dalam Sunah Selain daripada pengertian yang terdapat di dalam Quran, perlakuan yang membawa kepada kecintaan yang hakiki digambarkan dengan jelas dalam beberapa sunah Nabi Muhammad. Cinta mengikut sunah Rasulullah adalah mengutamakan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi manusia lain. Dalam riwayat Tirmidzi dari Ibnu Abbas, Nabi Muhammad berkata, “Cintailah Allah kerana Dia yang mencurahkan nikmat-nikmat-Nya kepadamu; dan cintailah aku (Nabi Muhammad) kerana mencintai Allah dan cintailah kaum keluargaku kerana mencintai aku”. Dalam hadisnya yang lain riwayat Muslim daripada Abu Hurairah dan Ibnu Abbas, Nabi Muhammad berkata: “Tidak akan dikatakan beriman (dengan sempurna) seseorang di antara kamu, sehingga aku lebih dicintai daripada anaknya, orang tuanya, dan seluruh manusia pada umumnya”. Cinta juga bermaksud saling menyebarkan salam kepada sesama Islam. Salam adalah ucap selamat dan kebaikan kepada orang yang kita temui dalam perjalanan atau di mana-mana sahaja. Menyebarkan salam akan mengukuhkan silaturahim (tali persaudaraan), membina perkenalan dan persaudaraan baru. Ucapan “ Assalamua’laikum warahmatullahi wabarakatuh” adalah suatu bentuk doa dan sapaan yang dapat menyenangkan hati pendengar dan memuliakan mereka yang ditemui. Nabi Muhammad berkata dalam hadis riwayat Muslim, “Demi Allah yang diriku berada ditangan-Nya, tiadalah kamu masuk syurga sehingga beriman, dan tiadalah kamu beriman sehingga kamu saling cinta-menyintai. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu, jika kamu mengerjakannya, nescaya kamu akan saling cinta-menyintai? Sebarkan salam di antara kamu”. Cinta adalah saling berhubungan, kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi. Dalam erti kata yang sebenar, cinta memelihara hubungan silaturahim sesama manusia. Hubungan silaturahim penting kerana ia berkait rapat dengan hubungan manusia kepada Allah. Imam Tirmidzi dan Abu Daud meriwayatkan dari Abdur Rahman bin Auf, Rasulullah berkata, Allah menyatakan dalam hadis Qudsi, “Akulah Allah! Akulah Yang Maha Pengasih! Akulah yang menciptakan kasih sayang. Salah satu asma’Ku adalah merupakan pecahan dari kasih sayang itu ( ar-Rahim). Dan siapa yang menyambung perhubungan dengan kasih sayang (bersilaturahim) maka Aku akan menyambung hubungan dengannya. Siapa memutuskan tali kasih sayang, maka Aku akan memutuskan hubungan dengannya”. Kecintaan yang sebenar adalah cinta yang lahir kerana merasai kebesaran Allah yang menciptakan cinta tersebut. Cinta yang disaluti dengan keimanan dan ketakwaan, iaitu cinta sesama manusia yang membawa kepada keredaan dan mendapat keberkatan dari Allah. Dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Pada hari kiamat Allah akan berfirman: Di manakah orang yang saling mencintai kerana kebesaran-Ku, kini Aku naungi (mereka) di bawah naungan-Ku pada saat di mana tiada naungan kecuali naungan-Ku”. Sehubungan dengan ini, Syeikh Ahmad Ridha’ Hasbullah di dalam bukunya yang berjudul Taqarrub Ilallah atau Mendekatkan diri kepada Allah menekankan bahawa cinta atau mahabbah kepada Allah dan Rasul-Nya dan cinta sesama manusia semata-mata kerana Allah akan melahirkan kenikmatan spiritual ataupun kelazatan dalam iman, sesuai dengan keterangan Rasulullah dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim, “Tiga perkara, siapa yang memilikinya akan merasakan kelazatan iman, iaitu mencintai Allah dan Rasul- Nya lebih daripada yang lain, mencintai sesama manusia semata-mata kerana Allah, dan benci kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan Allah seperti bencinya dimasukkan ke dalam api neraka”. Apa yang telah dipaparkan di sini adalah sebilangan kecil definisi cinta yang telah digarap daripada Quran dan sunah. Sebenarnya terdapat ratusan lagi pengertian cinta yang belum diterokai, dan menuntut penerokaan oleh mereka yang benar-benar ingin mengungkai hakikat cinta yang telah dianugerahkan oleh Allah. Secara amnya, cinta di dalam Quran dan sunah menjemput para Muslimin dan Muslimat untuk mencintai Allah dan Rasulullah, di samping memperkembangkan kehebatan cinta itu kepada manusia dan ciptaan-Nya yang lain.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Perlukah Cinta? Cinta sudah dianggap sama penting dengan keperluan asasi. Makanan, pakaian dan perlindungan kelihatan tidak sempurna dan tidak lengkap tanpa cinta yang mengiringi setiap individu yang berperasaan dan berfikiran normal. Cinta adalah fitrah semula jadi yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia. Malah cinta juga wujud di kalangan haiwan, dan makhluk-Nya yang lain. Kewujudan cinta memastikan kelangsungan hidup dan pembangunan institusi kekeluargaan, komuniti dan masyarakat. Cinta yang didambakan adalah cinta yang merangsang perasaan, menaikkan semangat perjuangan dan memberi makna dalam kehidupan. Cinta yang diperlukan adalah cinta yang menguatkan bukan melemahkan, cinta yang menyucikan perasaan dan kehormatan, bukan mengotorkan dan merosakkannya. Pendek kata, keinginan melakukan apa jua kerja memerlukan cinta sebagai pendorong. Semangat untuk bangkit diperoleh melalui cinta tulus yang sentiasa subur menuju ke arah penyempurnaannya. Kata-kata ‘cinta itu buta’ adalah frasa yang mampu mencemarkan kemuliaan cinta. Ini kerana terdapat cinta yang menjadikan pengamalnya tidak dapat melihat kebenaran dan hakikat kehidupan yang sebenar. Dia mudah terjerumus ke dalam kancah maksiat. Cinta yang berlandaskan ilmu adalah sebaik-baiknya kerana mampu menjadi cahaya penyuluh kehidupan, yang menunjukkan jalan kebenaran, keadilan dan keamanan. Manusia yang saling bercinta dengan penuh kesedaran menyedari mereka bertanggungjawab atas segala tindaktanduk dan perbuatan mereka dalam percintaan. Mereka takut kepada perhitungan Allah, seandainya cinta yang mereka sanjung dan puja itu membawa kehancuran diri ataupun kemurkaan Allah. Oleh sebab itu, memahami hakikat cinta yang sebenar adalah penting supaya kita dapat membawa cinta yang kita pelihara dan sanjung itu ke tahap yang menjurus kepada kemuliaan anugerah Allah. Apa Kata Pakar Mengenai Cinta? Terdapat pelbagai kajian mengenai hakikat cinta di serata dunia. Pakar psikologi cinta barat rata-rata menyatakan cinta adalah hubungan unik sesama manusia yang menggambarkan sikap saling memerlukan antara satu sama lain bagi memenuhi kehendak dan kebahagiaan hidup di dunia. Robert J. Sternberg menyatakan cinta berpaksi kepada tiga unsur penting iaitu keintiman, nafsu dan komitmen. Sigmund Freud pula membayangkan cinta sebagai rangkaian kehendak seksual yang tidak dipenuhi sepenuhnya atau sublimated sexuality. Theodore Reik sebaliknya melihat cinta sebagai perkara yang terbit lantaran rasa tidak puas hati kepada diri sendiri dan bahagian yang diperolehnya dalam kehidupan. Menurutnya, manusia mencari cinta apabila kehidupannya mengecewakan dan dia memerlukan orang lain bagi mengubati kekecewaannya itu. Seterusnya, Erich Fromm melihat cinta sebagai unsur yang terbit daripada perasaan mengambil berat dan bertanggungjawab, hormat dan mengambil tahu mengenai keadaan orang lain. Pakar psikologi cinta Islam pula menjalankan kajian mengenai cinta berlandaskan wahyu yang diturunkan oleh Allah. Cinta yang digambarkan dalam kebanyakan ayat-ayat Quran dan hadis Rasulullah didapati sebagai cinta yang mempunyai pelbagai versi, tujuan dan matlamat. Cinta tidak hanya dipandang sebagai hubungan sesama manusia sahaja tetapi melibatkan hubungan dengan Tuhan, perbuatan dan seluruh kehidupan manusia. Imam Ghazali melihat cinta sebagai unsur yang menyenangkan dan memberi tarikan dalam hati manusia. Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengupas terperinci soal cinta manusia dan cinta ketuhanan yang saling berkait antara satu sama lain. Ibnu Hazm pula banyak mengupas persoalan cinta sesama manusia tanpa melupakan ajaran Islam yang meletakkan beberapa batas dalam pergaulan dan percintaan. Kesemua pakar-pakar cinta ini berusaha mengupas hakikat cinta melalui pengalaman peribadi dan pengetahuan yang luas mengenainya. Kesungguhan mereka dalam membuat kajian yang terperinci terhadap cinta menggambarkan hakikat cinta sebenarnya mampu diterokai oleh manusia dan dimanfaatkan sepenuhnya bagi pembangunan insaniah, keluhuran akhlak dan keseimbangan hidup di dunia dan di akhirat. Hakikatnya cinta menjadikan manusia seorang pemikir yang tidak pernah alpa kepada apa yang dicintainya dan yang penting, cinta sebaik-baiknya menjadikan mereka manusia unggul pada zaman kehidupannya. Keabadian Cinta Islam meletakkan cinta pada tempat yang tertinggi iaitu cinta suci kepada Yang Maha Pencinta dan menjadikannya agenda utama dalam kehidupan. Kemuliaan cinta terletak pada keikhlasan individu yang terbabit dalam percintaan. Dr. Mahmud asy-Syarif di dalam bukunya Al-Hubb fil Quran menyatakan, “Islam adalah agama cinta dan mukmin tidak merasakan manisnya iman sehingga ia merasakan hangatnya cinta”. Rasulullah, Rasul pembawa cinta dan kesejahteraan memberitahu tiga perkara yang membolehkan seseorang berasa manisnya iman, iaitu apabila dia mencintai Allah dan Rasul lebih daripada yang lain, mencintai seseorang hanya kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekafiran seperti dia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka. Oleh yang demikian, cinta yang diredai adalah cinta berlandaskan Quran dan Sunah. Cinta berlandaskan ilmu pengetahuan diturunkan khas kepada manusia dalam bentuk yang penuh terjaga dan dilengkapi dengan seribu satu petunjuk yang membawa kepada kebahagiaan rohani, emosi, mental dan jasmani. Dengan memahami hakikat kemuliaan cinta yang terletak pada niat dan cara percintaan, dapatlah disimpulkan kemuliaan cinta manusia terletak atas kebijaksanaannya dalam memandu cinta ke arah kebenaran dan keluhuran hidup. Cinta dapat menjadikan manusia mulia ataupun hina kerana pemikiran manusia sentiasa dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran seperti nafsu, pengaruh kawan-kawan dan ahli keluarga, ilmu pengetahuan mengenai cinta, ajaran agama, media massa dan lain-lain. Manusia sanggup berkorban demi cinta kerana mereka mengharapkan keabadian cinta yang menjanjikan kebahagiaan dan keindahan berpanjangan selama mereka dapat bersama dengan yang dicintainya. Walau bagaimanapun, dapatkah keabadian cinta ini dinikmati? Persoalan ini dikupas dalam bab-bab seterusnya...

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Soalan Saya berumur 30 tahun dan akan berkahwin tidak lama lagi. Masalah saya adalah ketagihan merokok. Saya memulakan tabiat ini sejak di bangku sekolah lagi. Saya risau kesannya kepada janin apabila saya hamil dan agak sukar bagi saya untuk berhenti merokok. Apakah kesan buruk merokok secara amnya dan semasa hamil? Bagaimanakah caranya untuk berhenti merokok? Jawapan Walaupun sudah diketahui bahaya merokok, kira-kira 3 juta manusia termasuk setengah juta wanita setiap tahun meninggal dunia akibat kesan merokok. Malangnya, peratusan individu yang merokok tetap meningkat terutamanya di kalangan remaja dan wanita. Banyak kajian yang dilakukan berkaitan dengan rokok dan masalah kesihatan. Banyak usaha yang dilakukan bagi menggalakkan perokok berhenti merokok dan menghalang remaja daripada memulakan tabiat ini. Di Malaysia, umum difahami bahawa merokok adalah makruh mengikut hukum Islam. Ada juga pandangan sebahagian ulama seperti Yusuf Qardawi berpendapat merokok adalah haram. Sheikh Yusuf Qardawi berpendapat begitu berasaskan kepada kaedah bahawa setiap muslim tidak dibenarkan makan ataupun minum sesuatu yang memudaratkan tubuh badan. Muslim itu bukan hanya milik dirinya sendiri, tetapi milik agama dan umatnya. Hidup, kesihatan, harta dan seluruh nikmat yang diberikan Tuhan kepada individu itu adalah amanah. Oleh itu, dia sepatutnya menjaga amanah ini dengan sebaik-baiknya. Di dalam Quran, surah al-Baqarah ayat 195, Allah melarang manusia membinasakan diri. Ayatnya membawa maksud, “Jangan kamu mencampakkan diri-diri kamu kepada kebinasaan.” Di bawah disenaraikan kesan-kesan merokok iaitu: 1.Kesan pada sistem pernafasan: Merokok secara aktif (penghisap rokok) ataupun pasif (orang yang tidak merokok tetapi menghidu asap rokok) boleh menyebab-kan serangan asma yang lebih kerap. Ia juga meninggikan risiko jangkitan radang paru-paru. Keadaan ini berlaku kerana merokok melemahkan proses semula jadi pembersihan atau mucociliary paru-paru. Merokok juga menyebabkan masalah batuk, berkahak dan susah bernafas. 2.Kesan terhadap sistem kardiovaskular (jantung dan saluran darah): Merokok adalah penyebab utama penyakit jantung, meninggikan risiko angin ahmar, meninggikan risiko enam kali ganda pendarahan di dalam otak (subarachnoid haemorrhage) dan menyebabkan masalah pada saluran darah arteri tersumbat pada bahagian kaki ataupun tangan. Risiko saluran arteri tersumbat dan lemah jantung lebih meninggi 20 kali ganda bagi wanita yang merokok serta menggunakan pil perancang yang mengandungi kedua-dua hormon estrogen dan progestogen. Risiko ini bertambah dengan umur dan pil perancang jenis ini tidak diberikan kepada wanita yang merokok dan berumur lebih daripada 35 tahun. Merokok meninggikan kadar kolesterol dalam darah dan kadar ini menurun apabila individu itu berhenti merokok. 3.Kesan pada sistem ketahanan: Merokok mengurangkan keberkesanan sistem ketahanan badan. Kajian menunjuk-kan perokok lebih senang dijangkiti virus HIV. Pesakit yang dijangkiti HIV (HIV positif) dan pada masa yang sama merokok, lanjutan mendapat penyakit AIDS adalah lebih cepat berbanding dengan pesakit HIV yang tidak merokok. 4.Penyebab barah: Barah paru-paru, tekak, saluran esofagus, perut, pankreas, buah pinggang dan pundi-pundi kencing semuanya berkait rapat dengan merokok. Barah-barah jenis ini menjadi penyebab kematian dalam jumlah yang besar di kalangan wanita. Masalah merokok dan kehamilan: 1.Risiko keguguran secara tabii meninggi sehingga 27 kali ganda. 2.Kadar kandungan luar rahim lebih tinggi. Keadaan ini disebabkan oleh kesan nikotin terhadap fungsi silia pada tiub Fallopio. 3.Terdapat bahan kimia dalam rokok yang mempunyai kesan toksik kepada uri. Manakala, nikotin pula menyempitkan saluran darah di dalam uri. Oleh itu, pembesaran janin terjejas dan lazimnya ibu-ibu yang merokok melahirkan bayi yang lebih kecil daripada normal (IUGR: Intrauterine Growth Retardation). 4.Terdapat juga kaitan antara perokok dengan kematian bayi dalam kandungan. Keadaan ini berlaku kerana masalah uri yang tidak dapat menyalurkan darah kepada bayi dengan berkesan. 5.Placenta praevia di mana uri terletak pada bahagian bawah rahim dan menutupi saluran kelahiran dan placenta abruption iaitu uri terpisah daripada dinding rahim sebelum kelahiran bayi berlaku lebih kerap kepada ibu-ibu yang merokok. 6.Kelahiran pramatang juga berlaku lebih kerap kepada ibu-ibu yang merokok. Masalah kepada anak yang dilahirkan oleh ibu yang merokok adalah: 1.Bukti yang kuat mengesyorkan bahawa merokok boleh menyebabkan SIDS (Sudden Infant Death Syndrome) iaitu kematian bayi secara mengejut lazimnya di tempat tidur. Lazimnya, SIDS berlaku pada bayi yang berumur 2 hingga 4 bulan. 2.Kajian juga menunjukkan pencapaian pendidikan kanak-kanak yang mempunyai ibu yang merokok adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan yang tidak. Saudari dinasihatkan berjumpa doktor bagi mendapat nasihat dalam usaha berhenti merokok terutamanya sebelum saudari kahwin dan hamil. Beberapa cara yang boleh diamalkan untuk berhenti merokok adalah: 1.Persediaan minda terutamanya untuk melalui rasa gian antara 2 hingga 4 minggu pertama selepas berhenti merokok. Saudari akan berasa lebih baik selepas masa ini berlalu. 2.Buangkan semua rokok yang ada dan barang-barang yang berkaitan dengan rokok. 3.Elakkan suasana yang menekan. 4.Elakkan kawan-kawan ataupun persekitaran yang menggalakkan merokok. 5.Jangan cepat putus asa dan jangan sekali-kali mengambil walaupun sebatang rokok sekurang-kurangnya selama setahun. 6.Gunakan duit yang dapat disimpan kerana tidak membeli rokok untuk membeli sesuatu yang berharga ataupun membeli sesuatu secara berkala seperti majalah. 7.Banyakkan berdoa supaya usaha ini dapat diteruskan dan mendapat sokongan daripada keluarga, kawan dan masyarakat amnya. Menguatkan iman dan bertekad untuk menjaga amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin. 8.Rangsangan dari luar seperti iklan dan paparan pujaan remaja yang merokok perlu diberhentikan. 9.Memperbanyakkan ilmu pengetahuan berkenaan gejala merokok dan melihat sendiri kesan buruknya terhadap manusia.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Soalan Saya mengalami senggugut yang agak teruk dan bahagian rahim saya sangat sakit. Berikutan itu, saya berjumpa doktor dan selepas diperiksa saya mendapat tahu rahim saya berkeadaan terbalik. Saya terkejut dengan berita itu dan ingin tahu bagai-mana keadaan ini boleh berlaku? Adakah ia mempunyai kesan sampingan? Selepas saya mengalami haid, rahim saya masih terasa sakit walaupun tempoh haid sudah tamat. Apakah puncanya dan apakah yang perlu saya lakukan? Jawapan Lazimnya, rahim yang normal terletak di dalam ruang pelvis dan tidak mungkin dapat dirasai semasa pemeriksaan perut dilakukan melainkan saiz rahim membesar melebihi saiz tiga bulan hamil. Rahim menjadi besar apabila wanita itu hamil ataupun mem-punyai ketumbuhan seperti fibroid. Lazimnya, kedudukan rahim di dalam pelvis iaitu 80% adalah posisi anteversion iaitu rahim terletak di atas pundi kencing dan badan rahim mengunjuk ke hadapan. Sesetengah wanita iaitu kira-kira 20% mempunyai posisi retroversion atau terbalik, yang mana badan rahim menunjuk ke arah belakang iaitu ke arah usus besar. Posisi ini berlaku secara semula jadi bagi kebanyakan wanita dan tidak membawa sebarang kesan pada kemampuan untuk hamil ataupun melahirkan anak. Sebaliknya, apabila retroversion ini berlaku disebabkan pe-nyakit seperti endometriosis ataupun jangkitan kuman, keadaan ini mungkin membawa kesan pada kemampuan untuk hamil. Dalam kes ini, senggugut yang dialami agak teruk dan berpanjangan. Ada kemungkinan ia disebabkan oleh penyakit endometriosis. Puan dinasihatkan berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Lazimnya, penyakit endometriosis ini dikesan apabila pemeriksaan laparoskopi dilakukan. Semasa pemeriksaan dilaku-kan, sejenis teropong dimasukkan melalui pusat wanita untuk melihat keadaan organ di dalam pelvis. Jika terdapat kumpulan ataupun tompokan darah pada bahagian pelvis dan pesakit mempunyai simptom, rawatan diberikan bagi menghilangkan tompokan darah pada pelvis.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



1. Selamatkan masa, kenal pasti 'pencuri' masa anda. Lihat jadual waktu yang anda ada. Adakah anda terlebih meluangkan masa pada sesuatu yang tidak penting? sekiranya anda hanya perlukan sedikit masa, kenapa hingga menghabiskan sebahagian besar masa? Katakan anda hilang 30 minit bagi satu kerja tidak penting dan ada tiga tugasan seperti itu. Bermakna, dalam masa sehari, anda sudah 'hilang' satu jam setengah. Bagaimana sekiranya tujuh hari, banyak bukan? Oleh itu, kenal pasti daripada sekarang perkara-perkara yang telah 'pencuri' masa anda dari sekarang. 2.'Taati' jam anda. Jam adalah petunjuk waktu dan perjalanan setiap hari. Anda juga membuat jadual mengikut waktu. Ramai orang tidak menyedari betapa 'berkuasanya' jam yang mereka miliki. Jam sebaik-baiknya 'ditaati' sekiranya anda ingin berjaya dan cemerlang dalam hidup. Jangan 'berdalih-dalih' dengan jam anda dengan menangguh-nangguhkan kerja, lewat, membazirkan masa, tidak tepati janji dan sebagainya. 3. 'Hormati' jadual waktu anda. Selain 'mentaati' jam, anda juga perlu 'menghormati' jadual waktu anda. Anda sudah memerah otak memikirkan jadual yang terbaik, membuatnya dengan penuh motivasi dan penuh keyakinan hendak berjaya dalam hidup. Tiba-tiba anda ingin 'mempermainkannya'? Di mana letaknya harga diri anda apabila anda 'memperlekeh' hasil usaha keyakinan diri anda? Hormatilah diri anda sendiri. Hormatilah jadual waktu anda. 4. Isi masa-masa yang 'tersembunyi'. Sedar ataupun tidak, terdapat banyak masa yang 'tersembunyi' yang boleh dimanfaatkan. Contohnya, ketika anda sedang menunggu bas, perjalanan ke rumah, menunggu rakan-rakan di padang, selang antara dua waktu dan banyak lagi. Apa yang biasa pelajar buat ketika itu? Berbual? Bersembang? Termenung? Dan banyak lagi yang belum tentu mendatangkan faedah kepada diri mereka sendiri. Jangan begitu. Isilah masa-masa ini dengan perkara yang berfaedah. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. 5.Jadilah 'pencuri' masa. Orang bijak bukan sahaja pandai menggunakan masanya, tetapi juga pandai menggunakan masa orang lain. Bagaimana? Mereka pandai bekerjasama dengan rakan-rakan di sekelilingnya supaya melakukan kerja bersama. Apabila ada yang kelapangan dan membuang masa, dia akan mengagihkan kerja dan bekerja secara berpasukan. Tetapi, ini tidak bermakna anda perlu menjadi pemalas. Mengagihkan tugasan bukan bererti lari daripada tugas. Ia adalah dua perkara yang berbeza. 6. Tukar tabiat masa. Tukar daripada tabiat melengahkan kepada tabiat cekap dan pantas. Daripada pemalas kepada rajin dan bersemangat. Daripada membuang masa kepada memanfaatkan masa. Bagaimana? Binalah sikap baru dalam diri anda. Mulai hari ini, pandanglah diri anda sebagai orang yang menghargai masa. Anda tidak akan menjadi juara sekiranya anda sendiri tidak memandang diri anda sebagai juara. Andalah yang perlu mengiktiraf diri anda sebelum orang lain mengiktirafnya. Oleh itu, pandanglah diri anda sebagai orang yang menepati masa, menghargai jadual waktu, cekap serta cemerlang dalam menguruskan kerja dan waktu. 7. Bantulah orang lain. Memberi bantuan kepada orang lain secara tidak langsung dapat mempertingkatkan kesedaran anda mengenai kualiti masa anda sendiri. Apabila anda menolong orang lain, anda seolah-olah 'memasuki' ke dalam masa mereka. Apabila ini berlaku, anda akan dapat membandingkannya dengan masa anda dan kemudiannya berusaha menambahkan kecemerlangan masa anda. Resipi 19: Membaca dengan Pantas 1. Lihat isi kandungan buku. Gunakannya bagi mendapatkan idea mengenai buku itu. Buat analisis ringkas sama ada buku itu mempunyai kaitan dengan tugasan anda ataupun tidak. Anda akan dapat mengenal pasti semua itu dengan meneliti topik dan subtopik yang ada dalam sesebuah buku. Selain daripada buku, kertas projek, pembentangan dan bahan bacaan lain juga biasanya mempunyai muka surat isi kandungan. 2. Timbulkan persoalan-persoalan awal sebelum membaca. Ajukan soalan pada diri sendiri seperti; buku ini berkenaan apa? Apakah konsep yang diperkenalkan? Siapa yang memperkenalkan? Bagaimana ia berfungsi? Sejauh mana ia diterima pakai? Bagaimana ia diaplikasikan dalam kehidupan? Andaikan jawapan-jawapan yang bermain di kepala anda. Dengan menimbulkan persoalan seperti itu, otak anda akan menjadi lebih 'bersedia' bagi menerima maklumat-maklumat yang akan anda peroleh. 3. Buatlah uji kaji keberkesanan bacaan pantas. Lakukan bacaan pantas pada kali pertama dan kedua dengan bacaan biasa. Bandingkan maklumat yang anda peroleh. Ada banyak perbezaan? Adakah maklumat yang tertinggal itu penting? Anda juga boleh meminjam buku daripada rakan anda dan membandingkan kefahaman anda dan dia. Sekiranya hasil kurang memuaskan, anda boleh merancang dan melakukan sesuatu. 4. Bayangkan apa yang anda akan baca. Dengan membayangkan apakah maklumat-maklumat yang bakal anda peroleh, anda akan dapat membaca dengan lebih pantas. Selain daripada itu, anda akan dapat memahami susunan dan bentuk penulisan bahan bacaan itu. Dengan demikian, anda akan lebih 'selesa' apabila membuat bacaan pantas. Otak tidak rasa 'terkejut' dengan apa yang akan ia terima. 5. Buang tabiat suka mengungkap perkataan semasa membaca. Ini biasa berlaku kepada kanak-kanak yang baru belajar membaca. Tetapi, ada juga orang dewasa yang melakukannya. Biasanya, ada orang membaca dengan kuat bagi mengingati sesuatu. Kadang-kadang, mungkin ianya boleh dibuat, tetapi apabila sudah menjadi tabiat, ia adalah sesuatu yang menyedihkan. Anda perlu tahu, otak boleh bekerja lebih cepat daripada mulut anda. Sekiranya anda hendak membaca dengan pantas, berhentilah mengungkap apa yang anda baca. Diam dan pantas. 6. Baca serumpun perkataan, bukan satu perkataan. Sebenarnya, dalam penulisan, tidak semua perkataan itu penting. Kadangkala ada yang berfungsi sebagai penghias dalam penyampaian. Oleh itu, bacalah perkataan-perkataan yang utama dan imbas perkataan-perkataan yang tidak penting dalam bentuk serumpun. Ini akan mempercepatkan bacaan anda. Pada peringkat awal, mungkin anda berasa tidak selesa. Anda mungkin rasa seperti 'tertinggal' sesuatu yang penting. Tetapi sebenarnya, apa yang ditinggalkan itu hanyalah 'hiasan' dalam pembentukan ayat. Tinggalkanlah ia. 7. Belek semula. Selepas habis membaca sesuatu topik, buatlah belekan semua perlahan-lahan bagi membuat rumusan berkenaan apa yang anda sudah baca. Kenal pasti semula, adakah anda sudah menemui apa yang anda inginkan. Semasa membuat belekan semula ini, anda mungkin mendapat maklumat-maklumat baru. Jangan tinggalkan ia. Kutiplah bersama anda. Resipi 37: Persediaan Sebelum Peperiksaan 1. Pastikan tempat dan waktu. Lihat betul-betul tempat dan waktu peperiksaan akan diadakan. Sekiranya anda tidak pasti di manakah tempat itu, anda dinasihatkan supaya pergi melihatnya terlebih dahulu. Jangan nanti pada hari peperiksaan, baru anda sedari yang anda tidak dapat mencari di mana tempat peperiksaan. Sekiranya anda menjumpainya sekalipun, mungkin anda akan berasa penat dan gugup kerana terpaksa berkejar-kejaran mencari tempat yang anda tidak berapa pasti. Ada juga orang berkejar-kejar kerana tersilap melihat waktu peperiksaan. Pukul 9.00 pagi disangkanya 9.30 pagi. Walaupun sempat, mungkin anda akan penat dan panik. Ini semua tidak diperlukan semasa peperiksaan. Dan anda boleh mengelakkannya. 2. Pastikan anda mempunyai semua peralatan. Ini perlu dilakukan paling lewat sehari sebelum peperiksaan bermula. Buatlah satu senarai ringkas dan periksa bekas alat tulis anda. Antara perkara yang biasanya diperlukan adalah pen, pensel, pen warna terang, pemadam, kalkulator dan peralatan melukis (sekiranya perlu). Ada sesetengah mata pelajaran yang membenarkan anda membawa buku yang ditetapkan seperti sifir empat digit dan statut. Apa yang penting, kenal pasti sama ada anda sudah mempunyai kesemua peralatan itu ataupun tidak. Sekiranya tidak, anda masih ada masa lagi bagi mendapatkannya. 3. Ketika persiapan akhir, jangan fokus pada perkara yang anda belum tahu. Tetapi sebaliknya, fokus pada 'apa yang anda sudah tahu'. Sekiranya anda asyik melihat-lihat bab yang belum anda tahu sehari sebelum peperiksaan, anda akan menjadi panik dan serba salah. Masih belum baca, tetapi hendak baca sudah tidak sempat! Memanglah anda perlu tahu sebanyak mungkin, tetapi sekarang bukan masanya. Kegusaran dan kerisauan hanyalah membuatkan anda 'hilang' apa yang anda sudah pelajari. Oleh itu, perteguhkan apa yang sudah pelajari dan jangan biarkan anda 'melepas' bagi menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengannya. 4. Jangan belajar bersungguh-sungguh! Janggal bunyinya, bukan? Tetapi, begitulah sepatutnya pada hari sebelum peperiksaan. Elakkan daripada 'menekan' diri anda dengan mengulang kaji sehingga larut malam. Walaupun banyak yang anda boleh baca, tetapi sekiranya badan dan otak penat, ia tidak dapat berfungsi dengan baik. Walaupun maklumat yang anda ingini itu ada di dalam otak, ia tidak dapat dikeluarkan kerana penat dan tidak cukup tidur. Sebaliknya, ada sesetengah soalan yang kita tidak ulang kaji, tetapi boleh dijawab sekiranya mempunyai otak yang segar dan waras. Oleh itu, dapatkan rehat yang secukupnya. Anda digalakkan tidur seawal pukul 11 malam sebelum peperiksaan. Selain daripada tidur yang secukupnya, anda perlu pastikan pemakanan yang seimbang dan juga kecergasan fizikal yang baik. Lakukanlah senaman-senaman ringan bagi 'meregangkan' ketegangan badan anda. 5. Bangun awal. Sebaik-baiknya bangun sebelum subuh lagi. Dengan ini, anda akan dapat mengambil peluang bertahajud dan bersolat hajat. Pada waktu pagi seperti ini, anda boleh 'menajamkan' otak dan fokus dapat dipertingkatkan. Gambarkan anda sedang berada dalam peperiksaan dan latihlah supaya otak benar-benar tenang menghadapinya. Apa yang penting, berdoalah pada Tuhan kerana Dialah yang menentukan segalanya. 6. Tiba awal ke tempat peperiksaan. Berikan peruntukan masa yang lebih untuk sampai ke tempat peperiksaan. Mungkin anda boleh bertolak lebih awal daripada biasa kerana mungkin ada sesuatu yang tidak diduga boleh berlaku. Malang tidak berbau, bukan? Sekiranya lewat, anda akan kehilangan banyak 'tenaga otak' yang diperlukan. Berjimatlah. 7. Jangan sertai 'kelab pintu dewan'. Mereka adalah pelajar-pelajar yang suka berbincang sebelum masuk ke pintu dewan peperiksaan. Mereka akan berbincang-bincang seperti "Bilakah Renaissance berlaku di Eropah?", "Apakah karya-karya utama Voltaire?", "Apakah hasil bumi utama bagi negara Scandinavia?" dan banyak lagi. Anda tahu apa akan jadi? Mungkin ada soalan-soalan itu yang anda tidak ketahui dan anda akan berasa risau. Ini kerana telinga anda menjadi begitu peka pada sesuatu yang anda tidak tahu. Anda akan risau dan gelisah. Sekali lagi anda boleh kehilangan 'tenaga otak' anda. Teruk, bukan? Resipi 43: Melangkah ke Menara Gading 1. Mohon mengikut minat anda. Ini peraturan nombor satu. Jangan sekali-kali memilih kursus kerana mengikut kawan-kawan, teman lelaki ataupun suka-suka sahaja. Biarlah anda memilih kerana minat dan cita-cita. Banyak kes pelajar yang tukar kursus walaupun sudah berada di tahun ketiga dan tahun akhir. Dan akhirnya terpaksa masuk ke tahun satu semula. Adakah anda ingin 'membazirkan' masa seperti mereka? Oleh itu, pilihlah betul-betul dari sekarang. 2. Memohon mengikut kesesuaian aliran. Sekiranya anda aliran sastera, pilihlah kursus yang sesuai dengan aliran sastera. Begitu juga dengan aliran sains. Ramai pelajar yang layak masuk ke IPT tetapi tidak ditawarkan kerana memohon tempat yang 'tidak serasi' dengan alirannya semasa di sekolah menengah. Jangan jadi seperti mereka. 3. Memohon mengikut kemampuan dan prestasi. Anda sendiri yang boleh mengukur kemampuan anda. ketahui subjek yang anda mahir dan juga subjek yang anda lemah. Mungkin markah ujian dan keputusan peperiksaan percubaan boleh dijadikan kayu ukur yang baik. Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. 4. Pilih IPT yang kukuh dan berkredibiliti. Sekarang ada banyak IPT, sama ada awam ataupun swasta. Selidikilah dahulu IPT itu daripada segi perundangan, kelayakan, kewangan, kemahiran dan juga kredibilitinya. Adakah graduannya diterima oleh pasaran? Adakah sijilnya 'laku' bagi menyambung pelajaran ke tempat lain? Adakah ia diiktiraf oleh Lembaga Akreditasi Negara? Adakah ia sebuah IPT yang sah? 5. Dapatkan maklumat berkenaan pinjaman dan biasiswa. Sebenarnya, keluarga anda tidak perlu berbelanja besar bagi menghantar anda ke IPT. Cukup sekadar duit poket dua tiga ratus ringgit sahaja. Oleh itu, pastikan anda mempunyai maklumat yang lengkap berkenaan biasiswa dan pinjaman pelajaran. Selain itu, ada skim wang sagu hati bagi mereka yang baru masuk ke IPT sebagai duit poket. Apa yang penting, dapatkan maklumat dan segeralah memohon. 6. Sesudah mendapat tawaran, risiklah IPT itu. Buatlah persiapan mengenai IPT itu sekali lagi. Bagaimanakah suasana di tempat itu? Apakah persediaan yang perlu dilakukan? Bagaimana sistem pembelajarannya? Bagaimana sistem kemasukan? Anda perlu dapatkan maklumat yang lebih terperinci berbanding maklumat sebelum memohon. Tetapi, tidaklah terlalu mendalam, kerana anda akan memperolehnya semasa minggu suai kenal nanti. 7. Lakukan persiapan mental. Ada kalanya, persiapan mental ke IPT ini lebih besar daripada persiapan kain baju untuk ke sana. Kenapa? Kerana banyak kes remaja yang mengalami 'kejutan budaya dan mental' apabila tiba di sana. Sekiranya dulu baik, bersopan dan mentaati agama; sekarang asyik berdua-duaan, merokok, ponteng kuliah, boros, melepak dan membuang masa. Oleh itu, bersedialah dengan mental dan hati yang kuat sebelum melangkah ke IPT. Jangan tewas seperti mereka!

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Memilih pasangan adalah proses yang penting dalam ke-hidupan seseorang. Ia juga adalah proses pertama sebelum mewujudkan hubungan yang lebih intim. Ia me-nentukan dengan siapa orang itu akan hidup bersama untuk berkasih sayang, berkongsi susah dan senang sepanjang hidupnya. Pemilihan pasangan yang tepat dapat menjamin kebahagiaan perkahwinan dan kesejahteraan keluarga dan jika sebaliknya, ia dapat menimbulkan konflik yang berpanjangan dan seterusnya mengakibatkan keruntuhan sebuah institusi keluarga. Bukhari dan Muslim melaporkan nabi Muhammad SAW pernah berkata, “Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nanti engkau akan beruntung.” Hadis itu jelas menunjukkan proses memilih pasangan adalah antara proses yang penting dan kritikal dalam me-nentukan masa hadapan seseorang. Ia harus dilakukan secara teliti dan mengambil kira faktor tertentu sebelum pemilihan dilakukan. Adakah pilihan ibu bapa lebih tepat berbanding pilihan sendiri? Cara memilih pasangan berbeza antara satu masyarakat dengan masyarakat lain. Misalnya, siapa yang berhak membuat pilihan? Dalam sesetengah masyarakat, pemilihan pasangan untuk anak dibuat oleh ibu bapa ataupun ahli keluarga yang lebih tua. Di Malaysia khususnya, per-kahwinan yang diaturkan ini banyak berlaku pada zaman dahulu dan perubahan masa mengubah prosedur pemilihan pasangan di mana individu membuat pilihan pasangan hidupnya sendiri. Apabila sudah mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat, pasangan dapat mengenal pasti ciri kesamaan, ketidaksamaan serta tahap keserasian masing-masing. Tahap kesesuaian yang tinggi membuatkan kedua-duanya lebih tertarik antara satu sama lain dan membolehkan komitmen dibuat di antara kedua-dua pasangan misalnya menjalin hubungan cinta dan seterusnya mengikat tali pertunangan. Walaupun ibu bapa kini tidak lagi terlibat secara total dalam pemilihan pasangan, mereka masih lagi menggunakan autoriti bagi menentukan kumpulan individu yang sesuai untuk dijadikan kawan dan rakan sebaya dengan andaian pasangan mereka datang dari kelompok itu juga. Pengaruh ibu bapa juga masih jelas dalam pemberian keizinan atau persetujuan ke atas pasangan yang dipilih oleh anak mereka dalam situasi masyarakat di negara ini walaupun Malaysia semakin pesat membangun dalam arus teknologi pelbagai bidang Namun, tidak dinafikan, masih ada yang mengamalkan adat resam lama dengan andaian dan harapan bahawa pilihan yang dibuat oleh orang tua lebih tepat kerana mereka ini lebih berpengalaman. Kedua-dua cara ada kebaikan dan ada kelemahan tersendiri. Bergantung pada diri kita cara mana yang hendak diamalkan. Apakah perkara yang perlu dipertimbangkan dalam memilih pasangan? Walau apa pun prosedur yang dipilih, terdapat faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan dalam proses memilih pasangan. Faktor pemilihan itu bergantung pada cita rasa dan matlamat seseorang dalam kehidupan perkahwinan-nya. Antaranya adalah ciri sekufu, umur dan status kesihatan. Sekufu yang dimaksudkan merangkumi aspek agama, keturunan, kecantikan dan harta. Ciri sekufu Konsep sekufu dalam Islam bagi memilih pasangan misalnya, sesuai diaplikasikan oleh semua bangsa khusus-nya di negara ini. Kufu digalakkan kerana ia penting kepada suami dan isteri dalam membentuk keluarga yang bahagia kerana perkahwinan adalah ikatan sepanjang hayat. Walaupun begitu, konsep ini lebih dititikberatkan pada pihak perempuan demi mengelakkan keaiban ke atas keluarga pihak perempuan apabila memilih lelaki yang lebih rendah kufunya. Sebaliknya, lelaki yang memilih wanita yang lebih rendah tarafnya dapat mengangkat taraf isterinya mengikut kedudukan suami. Dalam konsep ini, terdapat empat perkara penting yang perlu dipertimbang-kan dalam memilih pasangan. Agama Individu digalakkan mencari pasangan yang seagama. Ini bertujuan memudahkan proses penyesuaian apabila mereka berkahwin kelak. Malahan, bagi memilih bakal suami, wanita juga digalakkan mencari lelaki yang soleh, tajam pemikiran, dan mempunyai pendidikan agama yang sempurna supaya suami dapat melayani isteri dengan baik dan memberi nafkah yang sewajarnya. Pada kebiasaannya, pihak orang tua memikirkan asal usul keturunan dan harta tetapi jarang menitikberatkan soal keimanan. Sesungguhnya rupa paras dan harta tidak kekal lama tetapi iman mampu bertahan walaupun jasad sudah dimamah usia. Antara kelebihan orang yang beriman adalah hatinya lebih tulus, kesabarannya tinggi dan tingkah lakunya lebih mulia. Walau bagaimanapun, tidak salah memilih pasangan yang berlainan agama ataupun bangsa untuk dijadikan teman hidup dan ini dikenali sebagai ‘perkahwinan campur’. Namun, bagi individu beragama Islam yang ingin mengahwini pasangan bukan Islam, pasangan itu mesti memeluk Islam terlebih dahulu. Malahan, per-kahwinan campur dikatakan mampu meluaskan jaringan sosial lebih-lebih lagi dalam negara Malaysia yang mengamalkan masyarakat majmuk. Isu yang timbul di sini adalah proses penyesuaian yang lebih rumit perlu dilakukan oleh pasangan kahwin campur demi menjamin kejayaan perkahwinan itu. Kelas sosial atau keturunan Mengikut konsep sekufu, individu juga digalakkan memilih pasangan yang setaraf daripada segi kelas sosial. Ini bertujuan mewujudkan kesamaan daripada segi status sosioekonomi bagi memudahkan penyesuaian per-kahwinan. Memilih pasangan daripada kelas sosial yang sama juga bertujuan mewujudkan budaya yang sama daripada segi persekitaran tempat tinggal dan amalan gaya hidup seharian seperti makan minum, aktiviti berbelanja, aktiviti masa lapang dan pergaulan dengan kawan. Ini kerana individu dalam kelas sosial yang berbeza mengamalkan cara gaya hidup yang berlainan. Namun, daripada aspek positif, perkahwinan antara dua kelas sosial ini mampu merapatkan jurang sosial dan ekonomi yang memang sudah wujud sejak zaman ber-zaman. Ciri individu khususnya kecantikan Tarikan kepada ciri individu khususnya kecantikan adalah faktor yang mendorong kita mendampingi se-seorang. Individu akan tertarik dengan orang lain yang berlawanan jantina berdasarkan ciri-ciri fizikal yang ada padanya. Antaranya adalah kecantikan paras rupa, bentuk badan dan penampilan yang menarik serta bijak mengatur kata-kata. Malahan, tarikan fizikal inilah yang memulakan perhubungan intim sehingga pasangan itu memikirkan kesesuaian lain yang perlu ada bagi meneruskan hubungan hingga ke gerbang perkahwinan. Terdapat juga individu yang memilih pasangannya ber-dasarkan ciri kesamaan. Mereka memilih pasangan yang mempunyai ciri kesamaan seperti sikap, cara berfikir dan faktor fizikal. Misalnya, individu yang mengalami cacat penglihatan berkahwin dengan pasangan cacat peng-lihatan juga. Namun, terdapat juga individu yang mempunyai cita rasa yang berlainan di mana mereka mencari pasangan yang mempunyai ciri yang tidak sama dengan diri mereka di mana ini dirujuk sebagai konsep saling melengkapi. Misalnya individu kurang bijak mencari pasangan yang lebih bijak supaya memperoleh zuriat yang mempunyai daya intelektual yang tinggi. Ada juga individu yang kurang berharta namun seorang yang penyabar mendapat jodoh (pasangan) yang lebih berharta tetapi kurang penyabar. Inilah yang dikatakan sebagai saling melengkapi dalam keseluruhan hubungan pasangan itu. Kesesuaian tret personaliti juga penting dalam memilih pasangan hidup. Ada individu yang tertarik kepada individu lain yang mempunyai tret personaliti yang sama dengannya. Apabila mempunyai tret personaliti yang sama masing-masing dapat saling memahami. Dengan andaian ini individu itu menjangkakan apabila hidup bersama nanti mereka lebih mudah menyesuaikan diri. Walau bagaimanapun, ada juga individu yang bercita rasa sebaliknya. Walaupun begitu, kepercayaan lama menyatakan bahawa kedua-dua pasangan lebih sesuai apabila mempunyai ciri yang bertentangan, misalnya seorang yang bersifat seperti ‘api’ (pemarah) sesuai dijodohkan dengan seorang yang bersifat ‘air’(tenang atau penyabar). Namun, sejauh mana kebenaran ini masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada kajian saintifik yang dapat menunjukkan kesesuaian hubung kait antara personaliti suami dan isteri. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan dalam aspek memilih pasangan pada masa kini berbanding dengan suatu masa dahulu. Misalnya, wanita dahulu lebih mementingkan kekukuhan ekonomi bakal suami tetapi kini keadaan berubah. Ini kerana kebanyakan wanita kini mempunyai pekerjaan dan memiliki sumber ekonomi sendiri di mana keadaan ini mengurangkan pergantungan wanita pada lelaki. Namun begitu, wanita mahupun lelaki kini lebih mementingkan aspek seperti kejujuran, ketulusan hati budi dan kepintaran. Fakta Psikologi Memahami Sifat Malu Malu adalah sejenis tret personaliti yang merujuk pada kecenderungan mempunyai perasaan halangan sosial atau mengelak untuk berhubung dengan orang lain. Antara ciri individu yang malu adalah mengelak mewujudkan hubungan mata, mengelak daripada bercakap atau bercakap dengan suara yang terlalu perlahan, sukar, gementar ataupun tidak selesa untuk bercakap dengan orang yang tidak biasa. Walau bagaimanapun, sifat malu yang sederhana dan bertempat adalah normal dan ia adalah sifat mulia seorang Muslim. Namun, malu yang keterlaluan selalu dikaitkan dengan aspek negatif seperti kemurungan, kesunyian, ketakutan, estim diri yang rendah dan pengasingan sosial. Sifat malu ini sebenarnya berpunca daripada beberapa faktor seperti kurang kemahiran sosial dan kebimbangan sosial (terlalu memikirkan kesempurnaan dalam suatu perkara yang melibatkan orang lain). Walaupun begitu, beberapa perkara boleh dilakukan bagi mengurangkan sifat malu yang keterlaluan dan tidak bertempat. Antaranya adalah: Mempertingkatkan kemahiran sosial. Contohnya, cara berhubung dengan individu lain dari-pada pelbagai golongan, memulakan perbualan. Melalui perbualan. Contohnya, mulakan perbualan dengan melontarkan soalan berkaitan pengenalan diri kemudian disusuli dengan soalan terbuka bagi merancakkan lagi sesi perbualan. Taraf pendidikan Taraf pendidikan selalunya dikaitkan dengan pekerjaan atau jawatan yang dipegang oleh seseorang. Sekufu daripada segi taraf pendidikan pula dikaitkan dengan kesamaan daripada segi status sosioekonomi. Secara umumnya, dua individu yang mempunyai taraf pen-didikan yang sama lebih mudah memperoleh kesesuaian dalam pelbagai aspek seperti cara berfikir, berkomunikasi dan bergaul dengan orang di sekeliling. Memilih pasangan yang setaraf daripada segi pendidikan juga bertujuan supaya masing-masing tidak berasa rendah diri dengan keupayaan dan pencapaian masing-masing. Walau bagaimanapun, terdapat juga individu yang lebih selesa memilih pasangan yang mempunyai taraf pen-didikan berbeza. Daripada aspek positif, pemilihan sebegini berupaya menjamin kemantapan ekonomi bagi pasangan individu yang bertaraf pendidikan lebih rendah. Ciri sekufu yang dianjurkan bertujuan mewujudkan ciri persamaan selain mengurangkan jurang perbezaan antara kedua-dua pasangan bagi memudahkan proses penyesuaian perkahwinan. Matlamat ciri sekufu ini adalah hendak memperoleh kejayaan dan kebahagiaan dalam perkahwinan supaya perkahwinan itu berkekalan sehingga akhir hayat kedua-dua pasangan itu. Namun, ini tidak bermakna memilih pasangan yang tidak berada dalam kufu yang sama tidak mampu menjamin kejayaan sesebuah perkahwinan. Ia masih dapat dicapai apabila penyesuaian dibuat secara bijaksana. Ulama mazhab Shafie juga berpendapat, perkahwinan antara pasangan tidak sekufu adalah perkahwinan yang sah apabila mendapat persetujuan daripada pihak perempuan. Umur Pemilihan umur turut menjadi persoalan penting dalam pemilihan pasangan. Lazimnya, individu memilih pasangan yang berada dalam kelompok umur yang sama. Bagi lelaki, mereka lebih selesa memilih wanita yang sebaya ataupun lebih muda. Bagi wanita pula, mereka lebih selesa memilih lelaki yang sebaya ataupun sedikit tua daripadanya. Ini sesuai dengan kehendak tugas dan tanggungjawab suami isteri di mana suami menjadi pelindung kepada isteri perlulah bersikap dewasa dan berfikiran matang. Manakala, isteri pula seorang yang dilindungi, sesuai dengan sikap lemah lembut dan setia kepada suami. Namun, terdapat juga sesetengah golongan masyarakat yang mempunyai cita rasa yang berlainan dalam hal ini. Mereka mempunyai alasan yang tersendiri atas pilihan yang dibuat. Misalnya, lelaki yang memilih wanita yang lebih berusia daripadanya dengan alasan wanita seperti ini berfikiran matang, tidak terlalu bergantung dan mampu berdikari. Status kesihatan Memandangkan zaman semakin maju dan mencabar, manusia mengamalkan gaya hidup yang serba moden. Penyakit kronik pula semakin mudah menyerang manusia. Oleh yang demikian, setiap individu yang hidup dalam zaman moden ini mempunyai risiko yang tinggi mendapat serangan penyakit itu. Kemajuan arus pembangunan menuntut manusia bekerja dengan lebih keras dan merebut peluang yang ada hingga kurang masa hendak beriadah dan bersenam. Selain itu, kewujudan makanan segera khususnya yang tinggi koles-terol turut menjejaskan kesihatan manusia. Pencemaran turut menjadi faktor yang boleh memberi masalah kesihatan selain tekanan kerja yang dapat mendatangkan risiko ke atas kesihatan mental. Oleh yang demikian, status kesihatan turut menjadi pertimbangan bagi sesetengah individu dalam membuat pilihan pasangan hidupnya supaya memudahkan pasangan itu menempuh alam perkahwinan bersama-sama serta menjamin zuriat yang sihat demi kesinambungan generasi. Perkara-perkara lain yang perlu dipertimbangkan Terdapat faktor sampingan yang turut dipertimbangkan dalam membuat pilihan pasangan hidup. Ada individu yang mengatakan faktor ini pelik, namun ada individu yang memikirkan hingga ke tahap yang begitu terperinci. Antaranya adalah bilangan adik-beradik pihak pasangan. Ada individu yang tidak selesa pasangannya mempunyai adik beradik yang ramai ataupun sebaliknya atas sebab peribadi atau pengalaman orang lain berkenaan kebaikan dan keburukan terutama berkaitan aspek perhubungan keluarga. Aturan kelahiran turut diambil kira bagi sesetengah individu. Mengikut kepercayaan lama, ia penting bagi menentukan keserasian misalnya daripada segi perwatakan dan tret personaliti. Di samping itu, ada juga yang mengambil kira tarikh lahir dalam menentukan kesesuaian antara pasangan. Namun, daripada segi kajian saintifik, belum ada bukti kukuh yang dapat mengaitkan aturan kelahiran dengan personaliti seseorang. Walau bagaimana-pun, sejauh mana kebolehpercayaannya bergantung pada pendapat masing-masing. Ada juga individu yang mahukan pasangan pilihan mereka itu anak yatim piatu kerana berandaian pasangan itu tidak terkongkong atau terikat dengan keluarga di sebelah pasangan daripada segi tanggungjawab, komitmen dan sebagainya. Pilihan yang dibuat oleh semua individu bergantung pada rasionalistik, pengalaman dan kesedaran diri serta matlamat hidup masing-masing. Sejauh mana faktor itu diambil kira dan dipertimbangkan oleh setiap individu bergantung pada keperluan dan kehendak individu. Siapa yang berhak menentukan pasangan hidup kita? Siapakah yang terlibat dalam memilih pasangan? Diri sendiri, ibu bapa, ahli keluarga lain ataupun pengaruh rakan? Jawapan pada persoalan ini berbeza antara individu dan masyarakat serta berlainan mengikut peredaran zaman. Mengikut cara tradisional, pemilihan pasangan dilakukan oleh ibu bapa atau ahli keluarga lain yang lebih tua. Tradisi turun-temurun ini menjadi amalan masyarakat sejak ber-abad lamanya. Oleh yang demikian, pemilihan pasangan oleh mereka yang mempunyai autoriti dalam keluarga ini dianggap tepat kerana pemilihan dilakukan oleh orang yang berpengalaman dan mampu menjamin kebahagiaan pasangan hingga ke akhir hayat mereka. Apabila zaman berubah di mana anak-anak mempunyai status sosioekonomi yang lebih baik, anak-anak mula membuat pilihan sendiri dengan andaian ibu bapa tidak memahami kehendak mereka ataupun pilihan ibu bapa kurang sesuai dengan cita rasa mereka. Namun, kedudukan ibu bapa dan ahli keluarga lain tetap dihormati di mana mereka ini masih berkuasa memberi persetujuan sebelum seseorang itu membuat keputusan berkenaan pemilihannya. Selain ibu bapa, tidak dapat dinafikan, wujud pengaruh rakan dalam pemilihan pasangan. Biasanya dalam situasi sebegini, rakan itu harus seorang yang boleh dipercayai, jujur dan mengenali bakal pasangan dengan lebih dekat ataupun sekurang-kurangnya mempunyai maklumat diri dan latar belakangnya. Dalam hal ini, rakan turut ber-peranan dalam membuat penilaian ke atas kesesuaian pasangan yang dipilih. Walau bagaimanapun, seseorang itu haruslah membuat pertimbangan yang wajar dan rasional selepas mengambil kira pendapat orang lain dalam soal pemilihan ini. Walau bagaimanapun, situasi yang paling biasa dunia masa kini dalam pemilihan pasangan adalah pilihan sendiri. Ini berikutan pihak-pihak lain tidak sanggup dipersalahkan apabila pasangan itu mengalami masalah atau konflik apabila berkahwin kelak. Ini juga memberi laluan kepada individu itu untuk rasa berpuas hati dengan pilihannya sendiri dan bertanggungjawab atas pilihannya dan ber-usaha mencapai kebahagiaan dalam perkahwinan tanpa campur tangan orang lain. Apakah faktor yang mendesak seseorang supaya mencari pasangan? Tidak dapat dinafikan, terdapat juga individu yang meng-alami desakan dalam mencari pasangan untuk dijadikan teman hidup. Jika tiada desakan itu, seseorang itu mungkin lewat mencari pasangan ataupun tidak berfikir langsung berkenaannya. Terdapat beberapa faktor yang mendesak seseorang itu untuk mencari pasangan. Antaranya adalah: Iri hati dengan kebahagiaan orang lain: Ada antara individu yang iri hati dengan kebahagiaan perkahwin-an kawan atau ahli keluarga, lalu timbul keinginan hendak mencari pasangannya bagi merasa sendiri nikmat mempunyai pasangan. Faktor usia: Terdapat juga individu yang terpaksa mencari pasangan hidup kerana usia sudah semakin lanjut dan bimbang dirinya akan ‘tidak laku’ kelak. Desakan keluarga ataupun orang di sekeliling: Tidak kurang juga individu yang terpaksa mencari pasangan kerana sudah termakan desakan keluarga ataupun rakan di sekeliling. Apakah alat bantu atau individu yang dapat membantu saya menemui pasangan? Kebiasaannya, kebanyakan individu menemui pasangannya buat kali pertama melalui orang perantaraan ataupun bertemu sendiri dengan pasangan itu di tempat yang tidak disangka dan secara tidak disengajakan. Pertemuan ini meninggalkan kenangan yang manis pada setiap pasangan. Antara perantara yang biasa menemukan pasangan ini adalah: Ahli keluarga Kawan Rakan sekerja Media seperti majalah, melalui ruangan khas seperti ‘sahabat pena’, ‘ahli kelab bulan ini’ ataupun ‘mari berkenalan’. Internet Pertemuan yang tidak disengajakan pula berlaku di banyak tempat awam. Antara tempat itu adalah: Sekolah atau pusat pengajian tinggi Tempat kerja Restoran atau tempat makan lain Majlis keagamaan Pasar raya, perpustakaan, kedai buku Di dalam kenderaan awam seperti bas, kapal terbang ataupun teksi Bagaimana proses memilih pasangan berlaku? Sebahagian besar individu mengalami proses yang hampir sama dalam memilih pasangan. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi dan tahap yang terlibat dalam proses ini. Kedudukan geografi adalah antara faktor yang paling penting dalam menemukan pasangan. Ini kerana kerapatan kedudukan geografi meningkatkan peluang seseorang untuk bertemu dan seterusnya merapatkan hubungan dengan pasangannya apabila memperoleh kesesuaian. Misalnya, ramai yang bertemu jodoh rakan satu sekolah ataupun satu universiti, rakan sepejabat ataupun jiran sekampung. Walaupun begitu, tidak dinafikan terdapat juga individu yang bertemu dengan pasangan yang bukan daripada persekitaran fizikal terdekat. Sebagai contoh, ada individu yang bertemu dengan pasangan ketika pergi bercuti di suatu tempat yang jauh dari kampung halaman-nya. Apabila wujud peluang, perkara pertama yang biasanya menjadi daya penarik seseorang untuk terpikat ataupun meminati seseorang yang lain adalah kecantikan luaran. Ini memang tidak dinafikan dan diakui oleh ramai orang. Daya tarikan fizikal yang ada pada seseorang itu menghasilkan pertemuan kali pertama. Semasa pertemuan kali pertama ini, kedua-dua individu membuat penilaian ke atas aspek lain termasuk sikap, nilai yang dipegang dan tingkah laku. Pertemuan demi pertemuan dilakukan dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Homogamy adalah suatu konsep di mana masing-masing merasai ada persamaan atau keserasian antara satu sama lain hasil interaksi dan perbualan semasa pertemuan. Seterusnya, sebuah perhubungan yang erat akan terbentuk antara individu lelaki dan perempuan itu. Maka, apabila bersedia dan jodoh sudah sampai, kedua-duanya diikat secara sah dan sebuah hubungan perkahwinan terbentuk. Demikianlah secara ringkas proses yang akan dilalui oleh seseorang bagi menemui pasangan hidupnya. Walaupun ramai individu yang berjaya menghabiskan proses itu dan bertemu dengan pasangan hidupnya tanpa bertukar pasangan temu janji atau dating, namun tidak kurang juga individu yang tidak dapat meneruskan proses dan terpaksa menukar pasangan temu janji kerana tidak memperoleh keserasian pada pasangan yang sebelumnya. Ini suatu yang lumrah, jika tidak ia tidak dikatakan sebagai proses pemilihan! Senarai Semak Diri Menilai keserasian hubungan Sekiranya saudara sudah mempunyai kenalan baru, teman, kekasih ataupun bakal pasangan hidup, saudara boleh menilai sejauh mana keserasian hubungan saudara berdua berdasarkan skala atau alat ukuran di bawah. Alat ini adalah The Relation-ship Rating Form (RRF) yang dicipta oleh Davis (1996). Ia mengandungi 68 soalan yang merangkumi dimensi seperti toleransi, hormat, percaya, intimasi, keseronokan, komitmen dan konflik. 1 Adakah saya menerimanya seadanya? 2 Adakah saya sanggup memaafkan kesalahan kecil yang telah dilakukannya? 3 Adakah mudah bagi saya untuk memaafkannya? 4 Pernahkah dia mengecewakan saya? 5 Adakah saya menghormatinya? 6 Adakah dia membuat penilaian yang buruk terhadap sesuatu perkara penting? 7 Adakah dia memberi kesan yang baik kepada saya? 8 Adakah dia menjadi asas kepada cetusan ide dan rancangan yang baik? 9 Adakah saya mempercayainya? 10 Bolehkah saya bergantung kepadanya? 11 Pernahkah dia lupa akan kebajikan saya? 12 Pernahkah dia mempergunakan saya? 13 Adakah saya dan dia berbincang secara terbuka mengenai perkara peribadi? 14 Adakah saya meluahkan perasaan saya berkenaan apa-apa perkara kepadanya? 15 Pernahkah saya merasakan bahawa terdapat sesuatu perkara berkenaan saya yang dia tidak akan dapat faham? 16 Pernahkah saya merasakan bahawa terdapat beberapa perkara berkenaan saya yang dia tidak perlu ambil tahu? 17 Adakah saya mengetahui jenis manusia apakah dia? 18 Adakah tingkah lakunya memeranjatkan atau membuatkan saya terfikir akan tingkah lakunya itu? 19 Adakah saya mengetahui kesalahan dan keburukannya? 20 Adakah saya mengetahui kisah silamnya? 21 Adakah saya selalu terfikir-fikir tentangnya? 22 Adakah saya merasakan suatu ketenangan dengan hanya melihat atau memerhatikannya? 23 Adakah saya memikirkannya apabila dia tidak bersama saya? 24 Adakah suatu perkara yang saya lakukan hanya dengannya? 25 Adakah saya mempunyai perasaan yang tertentu pada dirinya sahaja dan tidak pada orang lain? 26 Adakah saya akan merasa tertipu atau terluka jika dia mempunyai perhubungan dengan orang lain seperti mana perhubungan saya dengannya? 27 Adakah saya dan dia mempunyai cara yang tersendiri dalam melakukan sesuatu perkara? 28 Adakah saya mempunyai perhubungan yang rapat dengannya? 29 Adakah saya mendapati bahawa dia mempunyai daya tarikan seksual? 30 Adakah saya seronok apabila dibelai atau membelainya? 31 Adakah saya sanggup berkorban untuk meminjamkan sejumlah wang kepadanya? 32 Adakah dia sanggup berkorban untuk saya apabila saya berada dalam keadaan bahaya? 33 Dapatkah dia memberikan yang terbaik untuk saya? 34 Adakah saya bersedia berkorban untuknya? 35 Adakah saya mempercayainya untuk memberikan tanggapan orang lain mengenai diri saya? 36 Adakah dia akan menyebelahi saya apabila saya terlibat dengan perselisihan faham dengan orang lain? 37 Bolehkan saya menggunakannya untuk memperjuangkan kepentingan saya apabila berlaku konflik antara kepentingan saya dengan kepentingan orang lain? 38 Bolehkah saya mengharapkan dia apabila saya memerlukan pertolongan? 39 Bolehkah dia mengharapkan kepentingan saya apabila diperlukan? 40 Adakah dia akan memberitahu pendapatnya yang sebenar tanpa mengira dia bersetuju atau pun tidak bersetuju dengan saya? 41 Adakah saya akan memberitahu pendapat saya yang sebenar tanpa mengambil kira pendapatnya? 42 Adakah saya bahagia dengan perhubungan saya bersamanya? 43 Adakah perhubungan saya dengannya telah memenuhi keperluan saya? 44 Adakah perhubungan saya dengannya merupakan suatu kejayaan? 45 Adakah saya seronok melakukan sesuatu perkara dengannya berbanding dengan orang lain? 46 Adakah saya seronok melakukan kerja dengannya di mana jika sebaliknya saya tidak akan merasa seronok? 47 Adakah saya seronok bersamanya? 48 Adakah dia mempunyai perasaan yang sama terhadap saya sepertimana saya terhadapnya? 49 Adakah dia mengambil berat berkenaan saya? 50 Adakah saya merasakan bahawa dia mengambil berat berkenaan saya seperti mana saya mengambil berat berkenaan dirinya? 51 Adakah dia membuatkan saya rasa diri saya berguna dan istimewa? 52 Adakah dia membuatkan saya merasa bangga dengan diri saya? 53 Pernahkah saya bergaduh dengannya? 54 Pernahkah dia melayan saya secara tidak adil? 55 Pernahkan hubungan saya dengannya mengalami ketegangan? 56 Pernahkah saya merasakan bahawa saya tidak pasti berkenaan perasaan saya terhadapnya? 57 Adakah dia terlalu banyak mengambil masa saya? 58 Adakah saya merasakan bahawa diri saya terperangkap dalam perhubungan dengannya? 59 Adakah saya berbincang mengenai perhubungan saya berdua? 60 Adakah saya dan dia cuba untuk menyelesaikan masalah yang timbul antara siri saya berdua? 61 Adakah saya cuba mengubah sesuatu demi memperbaiki hubungan saya berdua? 62 Adakah saya komited dengan perhubungan saya dengannya? 63 Adakah dia pasangan hidup idaman saya? 64 Adakah saya menjangkakan hubungan saya berdua akan berkekalan? 65 Adakah dia komited dengan perhubungan saya berdua? 66 Pernahkah dia memaksa saya berbuat sesuatu yang saya tidak mahu lakukan? 67 Pernahkah saya memaksa dia untuk melakukan sesuatu yang dia tidak mahu lakukan? 68 Adakah terdapat keadilan dalam perhubungan saya berdua? Sesudah selesai menjawab soalan-soalan di atas lakukan penilaian ke atas jawapan yang diberi berdasarkan panduan yang diberikan di bawah: Sekiranya jawapan saudara adalah ‘Ya’ atau ‘Pernah’ untuk semua soalan, saudara memang hebat. Ini me-nunjukkan saudara benar-benar mengenalinya. Sekiranya jawapan saudara adalah ‘Ya’ atau ‘Pernah’ untuk soalan-soalan lain selain daripada soalan 4, 6,11, 12, 15, 18, 19, 56, 57, 58, 66 dan 67, syabas! diucapakn kerana saudara sudah bertemu dengan pasangan yang serasi. Sekiranya saudara menjawab ’Ya’ atau ‘Pernah’ pada soalan 4, 6,11, 12, 15, 18, 19, 56, 57, 58, 66 dan 67, saudara perlu lebih berhati-hati. Senarai semak itu diharap dapat membantu saudara dalam menilai sejauh mana saudara serasi dengan pasangan pilihan saudara. Senarai semak itu juga diharap dapat membantu saudara membuat keputusan dengan lebih teliti berhubung dengan pemilihan pasangan hidup. Sudut Informasi Ciri calon suami yang baik Mampu dalam aspek fizikal, mental dan ekonomi. Boleh dijadikan sebagai pengganti ibu ayah. Pandai menjaga darjat diri dan mengotakan apa yang dikata. Berkebolehan mengurus rumah tangga. Mempercayai isteri dan tidak mudah bersangka buruk. Rajin, berfikiran luas dan tidak makan harta isteri. Mudah memaafkan. Datang daripada keturunan orang baik lagi rajin ber-ibdah. Fakta Sains Menilik minda pasangan Adakah pasangan saudara seorang yang kidal? Seorang yang kidal (dominan tangan kiri) sebenarnya mempunyai kelebihan dalam aspek kemahiran tertentu seperti imaginasi, visual dan muzik. Ini kerana individu yang dominan tangan kiri lebih mendominasi bahagian kanan otak di mana di bahagian hemisfera kanan ini terletak kemahiran tertentu seperti kemahiran mempersepsi (kenal pasti corak, wajah, melodi dan melukis), bahasa mudah dan nombor serta boleh merasai perasaan orang lain. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna orang yang dominan tangan kanan (dominasi hemisfera kiri) tiada kelebihan. Individu yang dominan tangan kanan biasa-nya mempunyai kemahiran matematik dan bahasa yang baik (bertutur, menulis dan pemahaman) serta mahir dalam ko-ordinasi aturan pergerakan yang kompleks. Kepintaran Kepintaran berkait rapat dengan pemikiran dan kemahiran menyelesaikan masalah. Ahli psikologi berpendapat, kepintar-an adalah keupayaan keseluruhan individu berfikir secara rasional, bertindak secara bererti dan berurusan secara efektif dengan persekitarannya. Ini banyak berkait dengan minat, aktiviti kegemaran dan kerjaya seseorang. Kepintaran di-kategorikan kepada lapan jenis iaitu: Bahasa (penulis, peguam) Logik dan matematik (saintis, akauntan) Pemikiran visual dan ruang (jurutera, arkitek) Muzik (pemuzik, komposer lagu) Kemahiran kinestetik badan (penari, ahli sukan) Kemahiran intrapersonal (penyair, pelakon) Kemahiran interpersonal (ahli psikologi, ahli politik, guru) Kemahiran naturalis (ahli biologi, ahli perubatan, pe-ladang organik) Kebanyakan individu biasanya mempunyai kelebihan dalam beberapa aspek kepintaran di atas. Walau bagaimanapun, kepintaran seseorang bergantung pada sejauh mana keboleh-annya mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



MIGRAIN ialah sejenis penyakit kepala yang kronik. Mangsa migrain selalunya tidak mampu menjalankan tugas seharian, malah ada yang tidak boleh makan, minum dan hanya menghabiskan masa di bilik tidur. Kira-kira 12 peratus daripada golongan dewasa di negara ini menghidap migrain dan sebahagian besar daripada mangsa adalah wanita yang masih didatangi haid. Apabila mengalami migrain, pesakit biasanya mengalami sakit kepala yang teruk. Punca sebenar penyakit ini masih belum diketahui sehingga kini. Bagaimanapun, pakar perubatan berpendapat faktor genetik atau baka adalah salah satu penyebab migrain. Di kalangan kanak-kanak dan orang tua, khususnya yang berusia 55 tahun ke atas, sakit kepala yang dialami mungkin bukan disebabkan migrain, sebaliknya berpunca daripada penyakit lain yang lebih serius. Migrain juga sering dikaitkan dengan pengambilan banyak coklat, keju dan minuman keras. Malah, ada yang mengatakan tekanan perasaan sama ada di rumah ataupun pejabat juga boleh menyebabkan migrain. Migrain terbahagi kepada dua jenis iaitu migrain yang wujud bersama aura dan migrain tanpa aura. Aura ialah perasaan ataupun fenomena yang subjektif dialami individu sebelum mendapat serangan penyakit. Pesakit migrain dengan aura mengalami pelbagai gejala seperti pandangan menjadi kabur dan nampak garisan seperti zig-zag ataupun gelombang seperti situasi yang dialami apabila berada di tengah jalan dalam cuaca panas terik. Kadangkala, penglihatan pesakit juga terhalang dan keadaan menjadi lebih teruk apabila pesakit tidak dapat melihat buat sementara waktu. Keadaan ini dikenali sebagai skotoma. Pesakit juga adakalanya mengalami kebas sebelah tangan ataupun lemah anggota badan, terutama kaki dan tangan. Aura selalunya berlaku dalam tempoh beberapa minit hingga satu jam. Pesakit kadangkala mendapat migrain selepas satu hari mengalami aura. Bagaimanapun, ada juga pesakit yang tidak mengalami aura dan terus mendapat migrain. Serangan migrain Kira-kira 40 peratus migrain dialami di seluruh kepala, 40 peratus bermula pada sebelah kepala dan merebak ke seluruh kepala, manakala 20 peratus lagi bermula pada sebelah kepala dan tidak merebak ke seluruh kepala. Serangan migrain datang secara berperingkat dan kesakitan mencapai tahap maksimum selepas tempoh beberapa jam. Bagaimanapun, migrain selalunya dialami antara tiga hingga empat jam dan maksimumnya mengambil masa antara tiga hingga empat hari. Apakah gejala migrain? Apabila seorang pesakit menemui doktor dan mengatakan mereka mengalami sakit kepala setiap hari, itu tidak bermakna mereka menghidap migrain kerana migrain selalunya menyerang mangsa seminggu sekali ataupun enam bulan sekali. Pesakit selalunya kelihatan pucat dan berpeluh-peluh serta mengalami komplikasi migrain. Mangsa juga kadangkala mengalami strok sementara. Dalam keadaan ini, mangsa mengalami lumpuh sebelah badan, tetapi keadaan itu hanya sementara dan akan pulih seperti biasa. Keadaan ini berlaku berikutan pengecutan urat darah dalam otak. Gejala lain migrain 1. Loya dan muntah-muntah. Kira-kira 70 peratus pesakit berasa loya dan sebahagian daripadanya muntah-muntah. 2. Penglihatan pesakit menjadi begitu sensitif. Contohnya, mereka mengadu sakit mata apabila melihat cahaya. Keadaan itu dikenali sebagai fotofobia. 3. Pendengaran turut menjadi sensitif dan keadaan itu dikenali sebagai fonofobia. Dalam keadaan ini, pesakit mendengar lebih kuat dan jelas setiap bunyi di sekelilingnya walaupun ia perlahan. 4. Kemerah-merahan pada kulit, pada keliling mata ataupun dahi. 5. Badan berpeluh. 6. Bercakap dengan suara perlahan. Pesakit tidak bercakap kuat kerana ia lebih menyakitkan. 7. Kepala terasa pening. 8. Pesakit terasa persekitaran mereka bergerak-gerak seperti menaiki bot, mabuk laut ataupun vertigo. 9. Pitam dan boleh menyebabkan pesakit mengalami kecederaan anggota badan. Apakah pemeriksaan yang dilakukan? Tiada ujian khusus bagi mengesan migrain. Pakar perubatan akan bertanya mengenai sejarah kesakitan yang dialami pesakit dan imbasan otak hanya dilakukan apabila pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda menghidap migrain. Antara faktor yang memungkinkan imbasan otak dijalankan adalah lumpuh separuh badan lebih daripada seminggu, sakit kepala berterusan lebih daripada tiga hari dan bengkak urat saraf. Apakah rawatan bagi penyakit migrain? Rawatan dapat dibahagikan kepada dua kaedah iaitu rawatan serangan dan pencegahan. Melalui rawatan serangan, pesakit dinasihatkan supaya berehat di dalam bilik yang gelap dan sunyi. Mereka diberi ubat seperti Paracetamol dan apabila perlu mereka diberikan Ubat Penahan Sakit dan Radang Bukan Steroid (NSAID). Sekiranya kesakitan masih berterusan, doktor akan memberi ubat terkini iaitu Sumatriptan sama ada melalui suntikan ataupun ditelan. Kira-kira 80 peratus pesakit menunjukkan tindak balas positif pada ubat itu. Bagi pesakit yang sering muntah, mereka diberikan ubat Ergotamine yang perlu dimakan sama ada ditelan ataupun dimasukkan ke bawah lidah ataupun melalui suntikan. Sumber: Profesor Dr Raymond Azman Ali.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



MANUSIA memerlukan kolesterol bagi membentuk sel, hempedu dan hormon tertentu dalam tubuh tetapi paras kolesterol yang tinggi mendedahkan individu kepada pelbagai penyakit berbahaya. Penyakit jantung koronari disebabkan paras kolesterol tinggi dalam tubuh menjadi pembunuh nombor satu masyarakat di negara ini. Pesakit juga terdedah kepada serangan strok atau angin ahmar sekiranya paras kolesterol terlalu tinggi. Apakah faktor yang menyebabkan paras kolesterol tinggi dalam tubuh dan bolehkah keadaan itu dikurangkan? Kolesterol dihasilkan oleh hati dan ia wujud dalam darah setiap individu. Pengambilan makanan yang tidak seimbang dan kaya dengan kolesterol akan mendedahkan seseorang kepada masalah kolesterol tinggi dalam darah. Penghasilan kolesterol secara berlebihan oleh hati dikaitkan dengan faktor genetik dan keadaan ini sukar dikawal biarpun individu berusaha mengurangkan pengambilan makanan kaya kolesterol. Ada pesakit mengadu tidak mengambil makanan kaya kolesterol tetapi paras kolesterol mereka tinggi dan ini sebenarnya berpunca daripada faktor genetik. Mereka yang kuat merokok juga terdedah kepada masalah kolesterol tinggi. Bagaimanapun, paras kolesterol tinggi yang berpunca daripada faktor pemakanan tidak seimbang boleh dicegah. Masalah kolesterol tinggi lebih terdedah kepada lelaki berbanding wanita. Namun begitu, apabila wanita putus haid, mereka tidak terlepas daripada mengalami masalah kolesterol tinggi dan sebahagian besar daripada mereka terdedah kepada sakit jantung koronari. Sebelum putus haid, hormon estrogen melindungi wanita daripada sakit jantung koronari tetapi selepas menopaus, hormon itu tidak lagi dihasilkan oleh tubuh dan ini mendedahkan mereka kepada pelbagai masalah. Tahap kolesterol boleh dikategorikan kepada Low Density Lipoprotein (LDL) dan High Density Lipoprotein (HDL). LDL membawa kolesterol untuk dimendapkan pada tisu manakala HDL pula bertindak mencegah pemendapan kolesterol pada tisu. LDL disifatkan sebagai kolesterol tidak elok manakala HDL pula ialah kolesterol elok. Tahap kolesterol individu yang berusia 30 tahun ke atas tidak seharusnya melebihi 4.7 mmol manakala paras kolesterol mereka berusia bawah 30 tahun hendaklah kurang daripada 5.2 mmol. Lazimnya, pengambilan darah boleh menentukan paras kolesterol seseorang. Apabila individu berjumpa doktor, mereka akan ditanya mengenai sejarah dan latar belakang kesihatan diri dan keluarga. Jika paras kolesterol normal, doktor akan menasihatkan pesakit supaya menjalani pemeriksaan setiap lima tahun. Bagaimana mengurangkan paras kolesterol? 1. Sekiranya paras kolesterol didapati tinggi, pesakit diminta mengubah tabiat pemakanan harian mereka. 2. Jika pesakit merokok, mereka dinasihatkan supaya berhenti. 3. Pesakit diminta mengurangkan berat badan jika terlalu gemuk. 4. Pesakit dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan berlemak. 5. Pilih kepingan daging tanpa lemak. 6. Jika memasak ayam, pastikan kulit ayam dibuang terlebih dulu. 7. Elakkan mengambil organ dalaman haiwan seperti paru, otak lembu, hati kambing dan hati lembu. 8. Elakkan mengambil susu penuh krim atau susu rendah lemak. Sebaik-baiknya pilih susu skim. 9. Jika berhasrat mengambil ais krim atau keju, pastikan puan memilih yang rendah lemak. Bagaimanapun, sebaik-baiknya ambil dadih. 10. Kurangkan pengambilan kuning telur kerana ia kaya dengan kolesterol. 11. Walaupun santan tidak mengandungi kolesterol, ia mengandungi lemak tepu dan apabila dimakan, santan akan bertukar menjadi kolesterol. 12. Amalkan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Bersenam dapat mengurangkan paras kolesterol dalam darah. Jika satu peratus kolesterol berjaya diturunkan, pesakit mampu mengurangkan risiko sakit jantung koronari sebanyak dua peratus. Sekiranya pesakit dapat mengurangkan paras kolesterol sehingga lima peratus, risiko mengalami sakit jantung koronari berjaya dikurangkan sehingga 10 peratus. Rawatan Oleh kerana masalah kolesterol tinggi yang berpunca daripada faktor pemakanan boleh dicegah, rawatan kepada masalah itu lebih kepada cara mencegah. Bagaimanapun, jika ia berpunca daripada faktor genetik, doktor akan memberi ubat bagi menurunkan paras kolesterol dalam darah. Beritahu doktor jika pesakit alah terhadap ubat terbabit. Pesakit harus mematuhi setiap arahan sebelum mengambil ubat bagi mengelakkan kesan sampingan. Pesakit dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan setiap tiga bulan bagi mengetahui paras kolesterol mereka. Sumber: Dr Sharifah Sakinah Syed Mohamad al-Yahya – Perunding Perubatan dan Endokrinologi (Diabetologi) Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor.

Komen pengunjung:

  1. Abe Sham

    11 May 2011
    4:23 PM

    terima kasih diatas info yg diberi….amat berguna sekali…

Berikan komen anda:



PERBUATAN menindik telinga, hidung dan pusat serta melukis tatu pada mana-mana bahagian badan atau anggota sudah menjadi trend di kalangan remaja zaman sekarang. Namun, trend itu sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan dan sebaik-baiknya janganlah ia dijadikan ikutan dan kegemaran. Ini kerana, jika peralatan yang digunakan tidak bersih ketika menindik dan melukis tatu, seseorang itu akan terdedah kepada jangkitan virus hepatitis C. Selain bertindik dan melukis tatu, rawatan akupunktur dan bercukur kepala juga boleh mendedahkan seseorang kepada hepatitis C. Peralatan yang digunakan seperti gunting, pisau cukur dan jarum yang tidak bersih dan sudah dijangkiti virus penyakit itu akan meningkatkan lagi risiko seseorang menjadi mangsa hepatitis C. Di negara Barat, hepatitis C adalah penyebab utama penyakit hepar atau hati dan faktor utama sirosis dan karsinoma hepatocellular (HCC) atau kanser hati. Kira-kira empat juta orang dijangkiti hepatitis C di Amerika Syarikat manakala di Malaysia pula, penyakit itu dianggarkan 1.5 peratus dan dianggarkan 0.3 hingga 0.6 peratus penderma darah didapati positif terhadap penyakit itu. Bagaimanapun, sejak 1991, ujian penyaringan terhadap darah yang didermakan dilaksanakan oleh kerajaan sebagai suatu usaha mengesan sebarang virus berbahaya. Bagaimana virus hepatitis C merebak? Lazimnya, transmisi virus hepatitis C merebak melalui pemindahan darah yang sudah dijangkiti virus itu melalui: 1. Perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih dadah. 2. Pemindahan darah jika darah yang didermakan tidak menjalani ujian saringan. 3. Haemodialisis di kalangan pesakit buah pinggang. 4. Pemindahan organ apabila organ itu didermakan oleh pesakit hepatitis C. 5. Amalan perubatan yang tidak selamat iaitu apabila membabitkan kakitangan perubatan yang mengambil darah daripada pesakit hepatitis C. 6. Proses kelahiran, iaitu membabitkan ibu berpenyakit hepatitis C kepada anak. 7. Mereka yang gemar mengamalkan seks rambang. Simptom hepatitis C Lazimnya, selepas terdedah kepada virus penyakit itu, pesakit jarang mengalami sebarang simptom atau gejala. Hanya 20 peratus daripadanya akan mengalami hepatitis akut dan mengalami gejala seperti tidak sedap badan, lemah, kurang selera makan dan badan bertambah kurus. Bagaimanapun, kira-kira 85 peratus pesakit akut hepatitis C akan mengalami kronik hepatitis C atau kanser hati selepas tempoh antara 20 dan 50 tahun. Simptom yang boleh dialami adalah terasa loya, jaundis, demam dan air kencing berwarna kuning pekat. Bagaimanapun, bukan semua pesakit hepatitis C akan mengalami gejala seumpama itu. Dalam keadaan kronik, hati yang tidak lagi berfungsi boleh menyebabkan pesakit mengalami busung atau asites iaitu keadaan perut yang membuncit. Sehubungan dengan itu, biarpun saudara kelihatan sihat dan bertenaga, itu tidak bermakna saudara bebas daripada jangkitan virus berkenaan. Apakah bentuk pemeriksaan bagi mengesan hepatitis C? 1. Pemeriksaan fungsi hati dikenali sebagai serum ALT/SGPT. 2. Pemeriksaan anti hepatitis C (HCV). 3. Biopsi hati. Apakah masalah dihadapi pesakit hepatitis C? Apabila seseorang pesakit didapati positif terhadap pemeriksaan mengesan virus hepatitis C, mereka memerlukan sokongan moral daripada keluarga dan masyarakat sekeliling. Pesakit mestilah dirujuk sama ada kepada pakar gastroenterologi atau hepatologi bagi menjalani pemeriksaan lanjut dan seterusnya mendapatkan rawatan dan terapi ubat-ubatan. Justeru, pesakit hepatitis C tidak seharusnya disisihkan daripada masyarakat kerana virus penyakit itu hanya merebak melalui pemindahan darah dan bukannya melalui sentuhan atau percakapan. Apakah bentuk dan jenis rawatan? 1. Banyakkan berehat. 2. Berhenti mengambil minuman keras. 3. Amalkan diet seimbang dan berkhasiat. 4. Pemindahan organ. Bagaimanapun, ia hanya dilakukan di negara Eropah dan Amerika Syarikat. 5. Pengambilan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh doktor. Apakah langkah bagi mencegah penyakit hepatitis C? 1. Amalkan gaya hidup sihat. 2. Jauhi seks rambang. 3. Berhati-hati ketika bertindik, bertatu, bercukur dan menjalani rawatan akupunktur dengan memastikan peralatan digunakan benar-benar bersih dan selamat. 4. Jauhi dadah. Sumber: Dr Mazlam Zawawi - Pakar Perunding Gastroenterologi, Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Perkembangan Sisio-emosi Remaja Selain daripada perubahan struktur fizikal dan kognitif, zaman remaja turut memperlihatkan perubahan daripada segi sosial dan emosi. Perkembangan sosio-emosi adalah cantuman perkataan ‘sosial’ dan ‘emosi’. Ia terbentuk daripada personaliti remaja itu sendiri. ‘Personaliti’ atau kata akarnya persona adalah ‘topeng’ yang dipakai oleh remaja bagi melakonkan watak peribadinya. Lakonan watak ini merangkumi aspek-aspek seperti cara bertutur, perasaan, interaksi dengan orang lain, sikap dan mekanisme remaja dalam menyelesaikan masalah yang dialaminya. Ini bermakna, dalam memperkembangkan sosio-emosinya, remaja perlu mengukuhkan personaliti diri dengan cara membentuk identiti diri, mempunyai nilai hidup, mempunyai imbangan antara diri dan sosial serta mempunyai persepsi yang sihat pada orang lain. Selepas kita menyentuh pengukuhan personaliti di kalangan remaja, bahagian berikutnya melihat dengan lebih lanjut mengenai dua aspek utama dalam pengukuhan personaliti remaja. Pertama adalah perkembangan sosial dan kedua adalah perkembangan emosi remaja. Perkembangan Sosial Remaja Perkembangan sosial remaja dapat ditakrifkan sebagai kemajuan secara beransur-ansur melalui kegiatan yang diarah bagi seseorang individu mengenai kefahamannya pada warisan masyarakat dan pembentukan corak kelakuan yang mudah lentur yang ada persamaan munasabah dengan warisan ini (Power dalam Crow & Crow, 1983). Ini bermaksud, remaja perlu melakukan sesuatu aktiviti secara peringkat demi peringkat berdasarkan apa yang disuruh oleh orang yang berautoriti seperti ibu bapa ataupun pihak sekolah. Aktiviti ini berhubung kait dengan budaya yang dialami oleh remaja itu dan dipersetujui mengikut norma masyarakat. Contohnya, apabila seorang pelajar ingin mempunyai kematangan sosial daripada segi komunikasi, dia perlu belajar daripada orang lain dan cuba mengaplikasikannya. Tetapi ini mengambil masa bagi mencapai kematangan dan perkembangan sosial. Perkembangan sosial remaja juga dipengaruhi oleh dunia sosialisasi remaja itu sendiri. Dunia sosialisasi bertambah luas daripada institusi keluarga kepada sekolah dan masyarakat. Ini secara langsung dan tidak langsung membentuk kematangan remaja. Pembentukan kematangan ini mengikut keutamaan. Contohnya, dalam konteks keluarga, remaja memfokuskan kepada perhubungan interpersonal dengan ibu bapa dan adik beradiknya. Pada peringkat awalnya, remaja ini mungkin lebih bergantung pada keluarga. Kemudian, apabila membesar secara berperingkat, mereka mungkin mengubah keutamaan daripada perhubungan dengan keluarga atau pergantungan (attachment) keluarga menuju kepada dunia luar yang terdiri daripada komponen rakan sebaya, guru-guru dan ahli masyarakat lain. Pernyataan di atas disokong oleh Field et al. (1995: 24) yang mengatakan, “Sebagai remaja yang menuju ke arah dewasa, mereka makin kurang bergantung pada keluarga mereka.” Chu dan Powers (1995: 13) menyokong dengan kata mereka, “Dan kadang-kadang remaja ini perlu melalui beberapa pusingan konflik dan tolak ansur dengan keluarga, guru mereka dan pihak berkuasa yang lain”. Dalam perkembangan sosial ini, remaja melihat rakan sebaya lebih penting daripada keluarga. Pada ketika ini, remaja lebih cenderung ke arah temu janji dengan teman lelaki ataupun wanita (dating). Peralihan pergantungan, bagi mencapai perkembangan dan kematangan sosial ini, tidak dapat dielakkan. Menurut Erikson (1963), setiap individu mengalami proses kehidupan dan pada masa yang sama remaja menemui krisis kehidupan. Krisis ini, bagi Erikson (dalam Santrock 2000:501) adalah ‘Masa perkembangan identiti di mana remaja sedang memilih beberapa pilihan yang bermakna’. Ini bermakna remaja perlu memilih bentuk identiti yang sesuai dengan dirinya supaya dapat mengurangkan krisis kehidupan yang tidak dapat dielakkannya. Walau bagaimanapun, kesesuaian pemilihan identiti ini bergantung pada konsep kendiri (self-concept) dan estim kendiri (self-esteem) remaja itu sendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan konsep kendiri dan estim kendiri? Pada umumnya, konsep kendiri adalah penilaian aspek tertentu seseorang individu pada dirinya. Ini ditegaskan oleh Santrock (2000:401) yang mendefinisikan konsep kendiri sebagai, “…domain-specific evaluations of the self”. Domain ini berkaitan dengan remaja itu sendiri seperti akademik, sukan, rupa paras dan sebagainya. Ringkasnya, remaja membuat penilaian daripada aspek akademik, sukan ataupun rupa paras berhubung dirinya. Penilaian yang dibuat itu dapat digolongkan kepada domain sosial dan psikologi. Perlu ditegaskan, penilaian pada domain ini berubah daripada masa ke semasa. Ini disebabkan penilaian yang dibuat oleh remaja bergantung pada empat perkara utama iaitu: Penilaian yang dibuat kadang-kadang berbeza kerana peredaran masa. Penilaian diri yang dibuat pada tahun ini mungkin tidak sama dengan penilaian pada masa akan datang. Penilaian yang dibuat oleh remaja mungkin tidak konsisten kerana ia bergantung kepada sejauh mana maklumat yang diterima oleh remaja itu. Penilaian yang dilakukan bergantung pada sejauh mana remaja mempunyai kesedaran kendiri (self-conscious) pada sesuatu perkara. Penilaian yang dibuat oleh remaja kadang kala bercanggah kerana remaja sentiasa terdedah kepada pengaruh lain semasa berhubung dengan orang lain. Penilaian berkaitan konsep kendiri remaja penting dalam membina hubungan interpersonal dengan orang lain. Walau bagaimanapun, masih terdapat kekeliruan antara konsep kendiri dan estim kendiri. Seperti yang diterangkan di atas, konsep kendiri adalah penilaian pada domain tertentu tetapi estim kendiri lebih kepada persepsi menyeluruh individu pada dirinya. Ini ditegaskan oleh Santrock (2000:401) iaitu, “Perbincangan mengenai estim kendiri dan konsep kendiri menunjukkan perbezaan antara kedua-duanya iaitu estim kendiri hanya menilai aspek-aspek tertentu pada diri”. Kadang kala estim kendiri juga dirujuk sebagai penghargaan kendiri (self-worth) ataupun imej kendiri (self-image). Dalam hubungan interpersonal, remaja biasanya cuba menunjukkan imej yang positif mengenai diri mereka walaupun bukan semua berbuat demikian. Estim kendiri dalam diri remaja penting kerana ia: Menyumbangkan kepada ciri-ciri seperti penyesuaian diri yang mudah, mempunyai matlamat yang mantap, lebih bersifat konstruktif, yakin pada diri sendiri dan tidak bertindak mengikut emosi. Mempengaruhi kecemerlangan pendidikan remaja itu sendiri. Contohnya, remaja itu lebih berusaha bagi mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Dia merasakan, sekiranya mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan, dia akan mendapat sanjungan daripada ibu bapa, guru dan masyarakat. Membentuk perkembangan kognitif, emosi dan tingkah laku remaja. Apabila remaja mempunyai estim kendiri yang tinggi dalam kognitif, bermakna dia mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah akademik dengan jayanya. Apabila remaja itu mempunyai estim yang tinggi dalam emosi, dia dikatakan dapat mengawal perasaan negatif semasa berhubung dengan orang lain. Begitu juga apabila estim kendiri remaja tinggi dalam soal kognitif, dia dikatakan mempamerkan tingkah laku yang mulia di kalangan rakan-rakannya. Malangnya, ada antara remaja mempamerkan estim kendiri yang rendah semasa berhubung dengan orang lain. Antara estim kendiri rendah yang wujud di kalangan remaja adalah: Mempunyai perasaan rendah diri: “Aku tidak pandai lah!” Dipres dengan keadaan yang dialami: “Tidak ada guna lagi aku hidup di dunia ini. Semuanya tidak bererti lagi padaku.” Mudah kecewa: “Aku sedih. Aku sudah tidak ada harapan lagi hendak masuk universiti.” Terdedah kepada kritikan orang lain: “Dia ingat dia sahaja yang pandai? Dia siapa? Aku tidak suka dia komen aku.” Mudah terpengaruh: “Betul juga katanya. Aku perempuan. Perempuan memang tidak sesuai jadi jurutera.” Tidak ada kawalan internal: “Aku tidak peduli apa orang lain kata. Aku hendak tumbuk cikgu itu. Aku sudah geram ni!” Sentiasa bimbang: “Eh, eh… Kalau aku gagal dalam peperiksaan nanti apa orang kata?” Lari daripada situasi sosial: “Mintak maaf lah, saya tidak sihat hari ini.” (Sedangkan remaja ini sihat). Terlibat dengan hal delinkuen: “Kita adalah kumpulan black-metal dan kita mesti ada undang-undang sendiri dan kita akan bertindak apabila ada pihak berkuasa menghalang kita. Jelas semua?” Daripada contoh-contoh di atas, jelaslah estim kendiri yang rendah menyebabkan remaja itu mempunyai perasaan negatif pada dirinya. Ini mempengaruhi persepsinya pada orang lain. Perlu dinyatakan, persepsi negatif akibat estim kendiri yang rendah kadang kala dipengaruhi pelbagai faktor. Bab 7 Peranan Mentoring dalam Interpersonal Remaja Istilah mentoring berasal daripada perkataan Yunani (Greek) yang bermakna perhubungan yang kukuh antara remaja dengan orang dewasa. Daripada sudut sejarah, ia menceritakan pahlawan bernama Ulysses yang pergi berjuang semasa Perang Trojan pada zaman itu. Ketika Ulysses hendak pergi berjuang di medan perang, beliau mengarahkan sahabat karibnya yang bernama Mentor supaya menjaga anak remajanya bernama Telemachus. Mentor menjaga Telemachus dengan begitu teliti. Beliau membimbing dan melatih Telemachus hingga menjadi remaja perkasa. Dengan penjagaan Mentor itu, maka perkataan ‘mentor’ digunakan sehingga kini dalam konteks bimbingan dan latihan. Shahizan Hasan dan Tsai Chen Chien (2002) mendefinisikan mentoring sebagai proses yang menggunakan pelbagai aspek termasuk kemahiran oleh orang yang berpengalaman melalui bimbingan, didikan dan latihan kepada remaja bagi tujuan pembelajaran. Mentoring didefinisikan sebagai proses yang menyokong dan menggalakkan seseorang supaya pembelajaran berlaku (Parsloe & Wray, 2000). Clutterbuck (1991) mengatakan, mentoring juga merangkumi aspek melatih, membimbing, kaunseling dan ikatan kerjasama dengan individu lain. Daripada pandangan Clutterbuck (ibid) ini, jelas kepada kita mentoring mempunyai hubungan dengan perkhidmatan kaunseling. Menurut Anderson dan Russell (2003), mentoring adalah pembentukan komuniti yang memerlukan kepercayaan dan perasaan ambil berat mengenai masa depan remaja. Ia juga adalah perkongsian antara pengetahuan dan kemahiran peribadi dengan remaja. Aoki et al (2000) melihat mentoring sebagai model pendidikan dan latihan yang mencakupi pelbagai disiplin. Malangnya mengikut kajian mereka, disebabkan kekangan kewangan, sukar bagi orang dewasa menjadi mentor kepada remaja secara sukarela. Siapakah Mentor? Pelbagai definisi cuba diberikan kepada individu yang bergelar mentor. Shahizan Hasan dan Tsai Chen Chien (2002) mentakrifkan mentor sebagai individu berpengalaman yang mahu berkongsi pengetahuan dengan orang lain yang kurang berpengalaman melalui hubungan yang berasaskan kepercayaan dengan tujuan bimbingan, kaunseling dan latihan. Manakala Shea (1992) melihat mentor sebagai, “Orang yang menolong orang lain mencapai potensi mereka melalui tindakan dan kerja mereka” (ms 23). Dapat dirumuskan, mentor ialah individu berpengalaman dan berpengetahuan yang melatih orang lain (yang digelar mentee) dan mempunyai ciri-ciri khusus. Daripada sudut kaunseling sekolah, kaunselor dapat mengaplikasikan kemahiran mentoring bagi mengukuhkan lagi perhubungan dengan klien mereka. Walau bagaimanapun, kaunselor perlu melihat terlebih dahulu ciri-ciri mentor supaya kemahiran yang diguna pakai oleh beliau nanti tidak mempunyai kelemahan. Rhodes, Ebert dan Fischer (1992) mentakrif mentor sebagai orang dewasa bukan ibu bapa atau non-parental yang dikenal pasti dapat menolong dan menjadi sumber rujukan para remaja. Levinson et al (1978) mendefinisikan mentor sebagai penyokong dan menjadikan diri sebagai objek transisi kepada remaja. Mentor dalam konteks ini dianggap sebagai orang tengah yang membantu pertumbuhan remaja. Apakah Ciri-ciri yang Diperlukan daripada Mentor? Mentee memerlukan mentor yang efektif sama ada di sekolah, universiti ataupun organisasi. Beberapa perkara perlu diambil kira kerana menjadi mentor bukanlah mudah. Mengikut Fish (1995), bagi menjadi mentor yang berkualiti dan berketerampilan, dia perlu mempunyai ciri-ciri berikut tetapi kami mengaitkan ciri-ciri berikut: Mentor ialah fasilitator yang melatih orang lain belajar. Contohnya, mentor boleh melatih pelajar dalam Teknologi Maklumat. Tetapi bukan semua mentor cekap dalam bidang itu. Mentor bukan pakar yang serba tahu. Dengan adanya pengalaman tertentu, mentor berupaya melatih mentee yang mungkin sudah mempunyai pengalamannya tersendiri yang hanya perlu mendapat bimbingan dan pengesahan daripada mentor sahaja. Malangnya ada mentor yang cuba menunjukkan dia serba boleh dalam semua bidang. Mentor memerlukan kemahiran dan kebolehan mengajar mentee mereka. Ada mentor yang keberatan belajar kemahiran baru mengenai sesuatu perkara. Contohnya ada mentor yang sekian lama menjadi mentor tetapi tidak cekap menggunakan power point dalam persembahan mereka. Mentor perlu mengawal perasaan marah apabila wujud kelainan pendapat dengan mentee. Ada mentor yang panas baran dan sukar mengawal perasaan mereka. Perasaan marah di rumah kadang-kadang di bawa ke sekolah. Mentor dinasihatkan mengumpul maklumat sebagai bukti kerana maklumat ini dapat membantu mentee membuat keputusan dengan segera. Ada mentor yang membuat sesi kaunseling di sekolah tanpa mengumpul maklumat yang berkaitan ataupun maklumat yang ada itu berselerak di bilik kaunseling. Mentor berperanan sebagai pemimpin yang mempertahankan setiap pendapat di kalangan menteenya tetapi mentee digalakkan berfikir dan mencabar pendapat mereka sendiri. Ada mentor yang menekan pendapat pelajar, kononnya hendak menggunakan pendekatan Gestalt tetapi menyebabkan kesan tekanan psikologi yang wujud dalam jangka panjang. Adalah penting mewujudkan iklim perbincangan yang baik supaya mentee merasakan diri mereka selamat dalam kumpulan itu. Kadang kala perbincangan mentor tersekat-sekat kerana tidak fasih berbahasa Inggeris walhal mentee selesa bercakap dalam bahasa Inggeris. Mentor terpaksa ‘merangkak’, kononnya hendak menunjukkan mentor juga boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Peranan mentor adalah menyokong di samping mencabar menteenya tetapi cabaran sebaik-baiknya tidak menjejaskan pembelajaran mentee. Ada mentor menyokong mentee tertentu sahaja semasa kaunseling kumpulan seperti pilih kasih, memuji dan bersetuju dengan pelajar cantik sahaja. Mentor juga perlu bersedia dicabar oleh menteenya tanpa melibatkan perasaan negatif. Ada mentor yang tidak boleh ditegur langsung. Beliau memandang dirinya serba berpengetahuan dan orang lain tidak faham konsep kaunseling. Mentor menolong menteenya memberi respons secara positif. Ada mentor yang tidak berketerampilan dalam menolong menteenya memberi respons yang positif. Daripada ciri-ciri di atas, salah satu aspek penting yang perlu ditekankan di sini adalah cara mentor mengawal perasaan mereka. Kawalan perasaan dalam diri mentor mewujudkan kualiti perhubungan atau bonding yang mantap dengan mentee mereka. Holliday (2001) berpendapat, kawalan perasaan ini mempunyai hubung kait dengan kematangan emosi. Kematangan emosi ini membawa maksud mentor mengawal perasaannya dengan tenang walaupun pandangan yang dikongsi oleh mentee itu bertentangan dengan pendapat mentor. Mentor boleh mengawal perasaan marah seperti yang disarankan oleh Holliday (2001). Pertama, melihat mentee itu sebagai anak ataupun projek yang istimewa. setiap orang adalah anak kepada orang tertentu. Fikirkan bagaimana mentor menjadi ibu bapa yang sentiasa berfikir mahu melatih anak mereka. Mentor boleh memainkan peranan sebagai abang ataupun kakak. Daripada sudut lain, apabila mentor dilihat sebagai projek yang istimewa, ini membolehkan mentor membuat timeline sebagai ukuran kejayaan dan mencapai kepuasan semasa menjalankannya. Timeline ini juga berasaskan fasa-fasa tertentu yang dijalani oleh mentee semasa mentoring. Kedua, menjadikan mentoring itu sebagai suatu bentuk ganjaran. Apabila mentor melihat mentoring itu sebagai ganjaran, ia akan mengurangkan rasa cemas ataupun tidak puas hati. Sekiranya mentor itu merasakan sesi itu sebagai sesuatu yang menyakitkan hati, beliau perlu mengenal pasti punca yang menyebabkan wujudnya perasaan itu. Ketiga, bercakap dengan senyuman. Perasaan marah biasanya digambarkan dengan wajah yang masam dan suara yang kurang menyenangkan seperti sindiran dan nada yang tinggi. Perasaan marah menyebabkan mentor sukar senyum kepada mentee. Oleh itu, mentor perlu bertutur mengikut kesesuaian dan diikuti senyuman supaya mentee rasa tidak tertekan semasa sesi mentoring.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Bentuk Penderaan Penderaan Fizikal Penderaan fizikal adalah suatu fenomena sosial yang didefinisikan sebagai keganasan secara fizikal, tindakan ini boleh menyebabkan kecederaan otak, lebam yang teruk, kecacatan anggota tubuh, retak, patah tulang, lecur atau terbakar, dicucuh dengan puntung rokok dan sebagainya. Bahkan penderaan ini boleh membawa maut kepada dua kumpulan kanak-kanak iaitu cacat sejak dilahirkan dan juga kanak-kanak cacat akibat daripada penderaan tersebut. Salah satu contoh kes penderaan fizikal terhadap kanak-kanak dilaporkan seperti berikut: Kes 1: “Ibu saya masih dalam pantang, ayah seorang penagih dadah – dah lapan kali keluar masuk penjara. Keluarga saya tinggal di sebuah bilik kecil (8 kali 6 kaki). Saya (12 tahun) terpaksa menyara ibu dan adik saya yang berumur 7 tahun dan 4 tahun. Sejak umur saya 10 tahun, saya bekerja di pasar malam sebagai pencucuk sate. Wang gaji saya digunakan untuk perbelanjaan rumah, sewa rumah dan kadang kala ayah memintanya untuk membeli dadah. Jika tidak diberi, saya dan adik dipukul, ibu juga dipukul kerana melindungi saya dan adik daripada dipukul ayah. Pada suatu tengah hari, ketika saya sedang bermain, ayah tiba-tiba menjadi bengis apabila ibu berbincang mengenai pekerjaan saya dengan ayah. Saya diheret dari tempat permainan dan dipukul dengan tali pinggang dan ditumbuk dengan batu lesung. Kali ini saya tidak dapat melarikan diri, apabila ayah marah. Ibu bawa saya ke balai polis dan melaporkannya. Pihak polis pula telah bawa saya ke hospital ini.” Menurut Shuaime bapanya hanya memberi wang perbelanjaan rumah sebanyak RM 250 sebulan. Akan tetapi bapa kerap meminta duit daripada ibu mangsa. Bapa mangsa adalah seorang penagih dadah sejak tahun 1977. Bapa mangsa sudah keluar-masuk penjara sebanyak 8 kali. Tabiat penagihan bapa mangsa dera ini menyebabkan mereka sekeluarga hidup dalam kesusahan dan selalu berpindah-randah. Menurut ibu mangsa pula, ia tidak pernah berfikir untuk berpisah dengan bapa mangsa kerana menghormati dan berpegang teguh kepada nilai dan kepercayaan adat resam. Saudara-mara sebelah ibu dan bapa tidak mempedulikan keluarganya kerana mereka menyalahkan ibu yang enggan berpisah dengan bapa mangsa. Perhubungan di antara keluarga mangsa adalah tidak harmoni dan adik-beradik mangsa mempunyai perasaan benci dan takut kepada bapa mereka. Penilaian pengkaji mendapati mangsa adalah seorang kanak-kanak yang rajin, baik dan mengambil berat ke atas ibu dan adik-adiknya. Mangsa dera sudah bekerja sejak umur 10 tahun bagi menanggung nafkah keluarganya. Kes penderaan semakin kompleks dan rumit untuk didakwa, jika mangsa atau keluarga mereka tidak bekerjasama, misalnya kes penderaan fizikal seperti berikut: Kes 2: “Bapa saudara saya tinggal di Selama, Perak yang memukul saya. Kadang-kadang sepupu saya yang tinggal di rumah kami juga memukul saya kerana tidak mengikut arahannya pada setiap kali ia hendak hisap dadah. Tapi semua luka-luka di badan saya ini adalah akibat dipukul oleh bapa saudara saya yang berada di Selama”. Pengendalian terhadap kes ini agak rumit kerana mangsa tidak memberi keterangan dengan tepat dan jelas. Mengikut latar belakang kehidupan mangsa penderaan didapati bahawa, sejak usia satu hingga lima tahun, ia dan tiga orang adik-beradik tinggal bersama bapa saudaranya di Selama, Perak. Selama tinggal bersama bapa saudara mangsa dan adik-beradiknya didera. Pengkaji mendapati hampir keseluruhan badan mangsa mempunyai bekas luka dipukul. Mangsa dan adik-beradiknya tinggal bersama bapa saudara kerana ibu bapa mangsa dipenjarakan. Bapa mangsa adalah seorang pemabuk dan dikatakan sudah dipenjarakan sebanyak dua kali kerana kes merompak. Manakala ibu mangsa pula dipenjarakan selama 4 tahun kerana didapati bersalah di atas kes dera adik ipar (adik kepada suami yang berumur 13 tahun). Di mana ibu mangsa mencurahkan air panas mendidih ke atas badan adik iparnya. Sejak mangsa dera diambil semula di bawah penjagaan ibu bapa selepas mereka keluar dari penjara, keluarga mangsa tidak mempunyai hubungan dengan bapa saudara kerana terdapat perselisihan faham. Sekarang keluarga mangsa tinggal di Seri Kembangan, Serdang di mana keadaan rumah yang kecil dan sempit untuk 12 orang ahli keluarga termasuk sepupu dan bapa saudara mangsa. Sepupu dan bapa saudara mangsa didapati menghilangkan diri sejak mangsa dimasukkan ke hospital kerana disyaki didera. Aduan ini diterima oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui teledera. Alasan bapa memukul kerana untuk mendisiplinkan mangsa. Ini kerana mangsa adalah seorang kanak-kanak yang suka mencuri, kaki rayau, mengganggu jiran dan sebagainya. Sebaliknya mangsa pula, bersikap melindungi terhadap keterangan yang diberikan mengenai bapanya daripada dituduh sebagai pendera. Pengkaji mendapati mangsa kerap menyebut bapa saudaranya yang mendera. Penilaian terhadap ibu bapa mangsa didapati kurang bertanggungjawab kerana Punatharan sudah berusia 7 tahun, tetapi belum pergi ke sekolah kerana tidak mempunyai surat beranak. Pengkaji mendapati ibu bapa mangsa kurang memberi perhatian terhadap kebersihan rumah dan cara penjagaan kanak-kanak. Misalnya apabila pengkaji dan pegawai kebajikan perubatan membuat lawatan ke rumah mangsa sekitar pukul 11.00 pagi, ibu bapa mangsa masih tidur dan adik mangsa dera yang berusia 2 dan 1 tahun kelihatan tidak terurus dan berkeliaran di dalam rumah. Selepas seminggu tinggal di wad didapati mangsa adalah seorang kanak-kanak yang nakal, lincah, aktif, degil dan sukar dikawal. Pengkaji tidak mendapat keterangan yang jelas daripada mangsa atau bapa kerana mereka dalam keadaan ketakutan dan keraguan. Oleh itu kes penderaan fizikal ini kompleks dan rumit untuk didakwa kerana melibatkan ramai anggota keluarga dan kanak-kanak tersebut juga didera dan diabaikan sejak ia dilahirkan. Daripada data yang diperoleh mendapati bentuk penderaan fizikal di kalangan kanak-kanak saling terkait di antara rentetan faktor-faktor penderaan kanak-kanak. Penderaan Seksual Penderaan seksual merujuk kepada segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan memenuhi tuntutan nafsu seks orang dewasa. Ianya melibatkan kanak-kanak mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak, dicabul kehormatan, dirogol dan dipaksa melacur. Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai penderaan seksual, beberapa catatan kes kajian dipapar seperti berikut: Kes 3 : Sumbang Muhrim “Pada suatu tengah hari, bapa memanggil saya (8 tahun) masuk ke rumah ketika saya sedang bermain dengan abang dan kawan-kawan di luar rumah. Di ruang tamu, di atas kusyen bapa ‘melakukannya’. Saya merasa sakit setiap kali bapa ‘melakukannya’. Sebelum bapa ‘melakukannya’, ia akan membaca sesuatu supaya kami tidak melawan. Kakak telah bawa saya ke hospital setelah ibu mengadu kepadanya. Kakak sangat memahami masalah ini kerana dia pun pernah mengalami penderitaan ini”. (Eliyana, 8 tahun) Berbagai-bagai cara digunakan oleh orang dewasa (sedarah) untuk mendera kanak-kanak. Insiden kes 3 paling menyedihkan di mana bapa kepada kanak-kanak ini mendera 3 orang kakaknya secara seksual sejak 13 tahun dahulu. Bapa bekerja sebagai pegawai keselamatan dan ibu pula sebagai pekerja am di sebuah kilang berhampiran kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya. Kes ini dikemukakan kepada pihak pengadilan selepas ibu mendapati bapa ingin berkahwin dengan seorang wanita dari Kelantan dan mensyaki hubungan yang intim antara anak dan bapa. Sebelum ini ibu tidak tahu anak-anak sudah didera secara seksual oleh suaminya. Selepas kes ini dibicarakan di mahkamah bapa kanak-kanak ini didapati bersalah, dihukum penjara 7 tahun dan sekali disebat. Satu lagi kes penderaan seksual dilakukan secara spontan di mana pakcik (adik bapa mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak) mencucuk batang ais krim ke faraj mangsa dan kemudian, memasukkan kemaluannya ke dalam faraj kanak-kanak tersebut yang berumur 4 tahun. Kanak-kanak ini dapat menggambarkan peristiwa tersebut dengan jelas dan menceritakannya dengan menggunakan sebuah anak patung, sewaktu temu ramah dijalankan. Ibu mangsa adalah warga India berbangsa Punjabi yang menghadapi masalah rumah tangga di mana bapa mertua sering menggoda dan mendedahkan kemaluannya. Apabila kejadian ini diberitahu kepada suami, ia tidak mempercayai ibu mangsa. Oleh kerana itu, ibu mangsa memberitahu pihak kuil dan saudara mara, akibatnya bapa mertua diberi amaran oleh pihak kuil. Selepas kejadian ini ibu mangsa diceraikan dan tinggal bersama saudaranya. Keluarga pihak suami pula berasa malu dan adik iparnya pula membalas dendam dengan mendera anaknya secara seksual. Ketetapan mahkamah dalam kes ini adalah adik ipar didapati tidak siuman dan dihantar ke Hospital Tanjong Rambutan. Pelaku juga harus menjalani rawatan psikoterapi di hospital tersebut. Selain daripada kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak perempuan, kanak-kanak lelaki juga tidak terlepas daripada penderaan ini. Antara salah satu kes penderaan seksual secara sodomi atau liwat dilaporkan seperti berikut: Kes 5 : Liwat “ Pada suatu pagi jam 11.00 pagi ibu menyuruh saya pergi membayar bil elektrik. Dalam perjalanan dengan basikal, saya dipanggil seorang (dipercayai orang Bangladesh) yang tidak dikenali. Sambil menanyakan sesuatu, dia mengajak saya ke taman permainan yang berdekatan, kemudian orang itu meminta saya untuk masuk ke dalam kolong simen. Saya diminta menanggalkan seluar. Orang itu meludah dan memasukkan kemaluannya dalam punggung saya. Saya pun menangis kerana rasa sakit – orang itu menyuruh saya balik dan datang lagi besok. Saya menurut sahaja apa-apa yang disuruh oleh orang itu. Tetapi sampai di rumah saya menceritakan kejadian ini kepada ibu saya, ibu pula menelefon bapa dan mereka bawa saya ke hospital”. (Azizi, 10 tahun) Kenapa kanak-kanak perempuan menjadi mangsa? Terdapat dua ciri utama yang mempengaruhi kanak-kanak mudah terdedah kepada bahaya ini. Pertama, berlakunya sumbang muhrim di dalam keluarga, seperti hubungan intim di antara bapa, abang atau pakcik. Kedua, kanak-kanak tersebut cacat daripada segi fizikal atau emosional yang menyebabkan mereka sukar mengelakkan diri daripada didera secara seksual (de Young, 1982). Menurut Finkelhor (1979:23), faktor-faktor lain yang perlu diberi perhatian mengenai penderaan seksual adalah umur pelaku, bentuk perlakuan atau kejadian, sama ada mangsa mengizinkan perlakuan tersebut, umur mangsa, jantina dan hubungan mangsa dengan pelaku akibat perlakuan atau kejadian terhadap kanak-kanak tersebut. Penderaan Emosional Hasil kajian mendapati terdapat satu kes penderaan emosional. Kes ini kerana faktor norma budaya, di mana kanak-kanak ini dilahirkan dalam sebuah keluarga Cina yang masih mempercayai anak perempuan itu ‘sial’. Bentuk penderaan emosional dapat digambarkan daripada contoh kes ini dengan lebih jelas lagi. Kes 4: “Saya mempunyai tiga orang adik beradik. Dua perempuan dan adik bongsu lelaki. Saya adalah anak kedua, yang dianggap membawa sial sejak dilahirkan. Bapa saya sering bertengkar dengan ibu kerana saya. Saya pernah baling pisau ke kaki bapa sehingga luka kerana bapa sering berleter dan ibu pula suka memukul kerana katanya saya cerewet makan. Saya pernah melarikan diri sebanyak dua kali dari rumah kerana tidak tahan didera (emosional dan fizikal). Saya terpaksa tinggal di rumah datuk dan nenek, jika bapa dan ibu sedang marah. Di rumah, saya terpaksa membantu bapa berniaga ikan di pasar. Saya akan tidur di lori dari pukul 4.00 hingga 9.00 pagi dan membantu menjual ikan hingga pukul 11.00 pagi. Kemudian saya akan pergi sekolah. Pulang dari sekolah saya terpaksa membantu kerja rumah seperti menjaga adik yang masih kecil, mencuci baju semua orang dan membantu ibu memasak. Sebaliknya kakak saya tidak pernah disuruh membantu kerja rumah atau menjual ikan di pasar. Jiran saya telah membawa saya ke hospital setelah dibelasah teruk oleh bapa dan ibu”. (Wei Lee, 12 tahun) Daripada kes ini didapati ibu bapa kepada kanak-kanak ini sudah mengabaikannya sejak dilahirkan. Ini menunjukkan kanak-kanak ini sudah terganggu secara emosional dan tidak diberikan rawatan yang sempurna seperti yang digariskan dalam 10 prinsip Hak Kanak-kanak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Penderaan emosional amat sukar dikenal pasti kerana setiap penderaan mempunyai hubung kait. Pendapat Skuse (1993:28), ada kebenarannya di mana penderaan emosional ini dapat dilihat secara bertahap. Kes ini direkodkan dari tahun 1984 (sejak umur mangsa 2 tahun) sehingga 1994. Jelas menunjukkan perkembangan kanak-kanak daripada contoh kes 4 ini mendapati sering ponteng sekolah, tidak minat terhadap pelajaran, suka mencuri, berbohong, kelihatan murung, sering mengasingkan diri dan melarikan diri sebanyak dua kali dari rumah. Jika dikaji daripada rekod perubatan, kesemua tingkah laku yang dihuraikan di atas berlaku secara bertahap mengikut perkembangan umur kanak-kanak tersebut. Apabila dikaji bentuk-bentuk penderaan seperti yang dihuraikan di atas mendapati ianya berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antara yang dikenal pasti adalah faktor personaliti, latar belakang budaya, hubungan perkahwinan ibu bapa atau pelaku penderaan, umur dan jantina kanak-kanak tersebut.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Penderaan Fizikal Penderaan fizikal sebagai suatu fenomena sosial ditakrifkan sebagai keganasan secara fizikal terhadap kanak-kanak oleh ibu bapa, penjaga atau sesiapa saja yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak tersebut. Definisi penderaan fizikal adalah sukar dan kompleks kerana pelbagai faktor yang terlibat dalam perlakuan seseorang kanak-kanak. Ammerman dan Hersen (1990:26) berpendapat bahawa: “Faktor tambahan yang memainkan peranan dalam mendisiplinkan penderaan fizikal termasuk pendekatan disiplin di kalangan ibu bapa, kecederaan yang dialami, kesan pada tingkah laku dan keseriusan kecederaan kanak-kanak. Pemboleh ubah penting yang perlu diuji adalah bentuk niat yang menyebabkan mereka dideraataupun kecederaan fizikal dan digabungkan dengan situasi keluarga yang melakukannya menyebabkan definisi penderaan fizikal menjadi kompleks.” Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 pula mentakrifkan bahawa seseorang kanak-kanak dicederakan daripada segi fizikal jika ada kecederaan dan boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu yang didalilkan antara lain, laserasi, konstusi, lelasan, parut, patah atau kecederaan tulang yang lain, dislokasi, seliuh, pendarahan, pecah viskus, luka terbakar, melecur, hilang atau berubah kesedaran atau fungsi fisiologi seperti gugur rambut atau patah gigi. Pakar perubatan juga mendefinisikan penderaan fizikal sebagai tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan seperti pendarahan otak (Birrell & Birrell 1968), lebam yang teruk (Silverman 1968 dan Cafey 1972), kecacatan akibat penderaan fizikal (Camerin 1972), retak dan patah tulang (O’Neil et al. 1973), bekas gigitan (Sims et al. 1973), lecur dan terbakar dicucuh puntung rokok (Smith & Hanson 1974). Di samping itu, Oates (1993:57) membuktikan penderaan fizikal boleh membawa maut kepada dua kumpulan kanak-kanak iaitu kanak-kanak cacat sejak dilahirkan dan juga kanak-kanak cacat akibat penderaan tersebut. Namun begitu banyak lagi cara dan alat yang digunakan untuk mendera fizikal kanak-kanak. Menurut Mohd. Sham Kasim (1994) cara dan alat yang digunakan untuk mendera selain memukul menggunakan tangan, dirotan, disebat, digigit, disimbah cecair panas, dicucuh dengan besi atau benda panas, puntung rokok atau ubat nyamuk, dirantai, diikat, dikurung, dikunci di dalam bilik atau rumah, ditumbuk, disepak, diterajang, dicubit, dikepit atau dipulas dan sebagainya. Takrif Akta Perlindungan Kanak-kanak dan diagnosis pakar perubatan perlu diberi perhatian bagi menentukan kanak-kanak tersebut terlibat dalam kes penderaan fizikal. Pakar perubatan juga mendapati kadang kala penderaan fizikal mempunyai hubung kait dengan lain-lain jenis penderaan seperti penderaan seksual, emosional dan pengabaian kanak-kanak. Penderaan Seksual Penderaan seksual merujuk segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan memenuhi nafsu seks orang dewasa, melalui pornografi, gambar, perakam suara, filem, perakam video atau mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak. Penderaan seksual melibatkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya, dirogol dan dipaksa melacur. Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 mentakrifkan bahawa seseorang yang terlibat dalam kes penderaan seksual kanak-kanak adalah apabila dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati dalam apa-apa aktiviti yang bersifat seks bagi maksud apa-apa bahan, fotograf, rakaman, filem, pita video atau persembahan yang bersifat pornografi, lucah atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain. Menurut Schechter dan Roberge (1976), dalam sesetengah hal kanak-kanak menjadi mangsa penderaan seksual di dalam keluarga seperti sumbang muhrim contohnya atau bagi upacara ritual tertentu. Menurut Finkelhor pula (1979:23) faktor-faktor lain yang perlu diberi perhatian mengenai penderaan seksual adalah umur pelaku, bentuk perlakuan atau kejadian, sama ada mangsa mengizinkan perlakuan tersebut, umur mangsa, jantina dan hubungan mangsa dengan pelaku dan akibat perlakuan tersebut atau kejadian terhadap kanak-kanak tersebut. Beberapa ahli psikologi berpendapat bentuk penderaan ini akan membawa implikasi buruk kepada perkembangan emosi seseorang kanak-kanak yang mangsa penderaan (Davidson & Nicol, 1993:47). Oleh yang demikian penderaan seksual mempunyai kaitan erat dengan penderaan emosional. Penderaan Emosional Penderaan emosi merujuk kepada bentuk gangguan psikologi terutama daripada segi mental dan emosional, sama ada didera dan dianiayai oleh ahli keluarga yang terlibat. Emosi adalah rasa dalaman yang dapat dilihat sebagai sedih, marah, meradang, geram, benci, sakit dan sebagainya (lihat Kieran O’ Hagan, 1993:22). Penderaan emosional merangkumi tidak memberi kasih sayang yang cukup atau membenci kanak-kanak tersebut, kanak-kanak tidak dihiraukan, tidak dilayan karenahnya, pergaulan mereka disekat misalnya tidak dibenarkan berkawan atau bermain sesama mereka, mereka sering dimarahi, ditengking, ditakut-takuti dan ahli keluarga bermusuhan dengan kanak-kanak. Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 mentakrifkan bahawa seseorang kanak-kanak dicederakan daripada segi emosi apabila ada gangguan yang ketara atau boleh dilihat pada fungsi mental dan emosi kanak-kanak itu yang didalilkan antara lain, kecelaruan mental atau tingkah laku, termasuk keresahan, kemurungan, penyendirian, atau tumbesaran yang lambat. Penderaan emosional diklasifikasikan sebagai penderaan atau pengabaian apabila ianya mencapai tahap ekstrem atau melibatkan bentuk penderaan yang lain. Menurut Whiting (1976:3), punca utama kanak-kanak terganggu secara emosi adalah disebabkan oleh ibu bapa; penderaan bentuk ini berlaku apabila kanak-kanak tersebut dihalang atau tidak memberi rawatan yang sewajarnya oleh ibu bapa atau penjaganya. Bentuk penderaan ini sukar dikenal pasti. Ianya dapat dilihat bertahap-tahap melalui tingkah laku mengikut perkembangan umur kanak-kanak. Menurut Skuse (1993:28), penderaan emosi bermula sejak mangsa berumur 6 hingga 8 bulan, umur pra-sekolah, umur persekolahan dan umur remaja. Setiap perkembangan umur kanak-kanak akan menunjukkan perubahan tingkah laku yang aneh. Contohnya, pada umur persekolahan mangsa sering ponteng sekolah, tidak berminat terhadap pelajaran, kelihatan murung, suka mengasingkan diri dan sebagainya. Implikasi yang lain dapat dilihat pada kes penderaan emosi adalah pengabaian ibu bapa atau pendera terhadap kanak-kanak tersebut. Pengabaian Kanak-kanak Pengabaian kanak-kanak merujuk pada pengabaian terhadap penjagaan kanak-kanak daripada segi keperluan asas seperti keselamatan, makanan berkhasiat, pendidikan, rawatan emosi dan fizikal (Ammerman & Hersen, 1990:28). Salah satu contoh adalah kanak-kanak yang dipaksa bekerja. Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 mentakrifkan pengabaian kanak-kanak sebagai membiarkan seseorang kanak-kanak tanpa pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan bagi kanak-kanak itu, termasuk tidak menyediakan makanan dengan secukupnya, memberi pakaian, rawatan kesihatan atau tempat kediaman yang sempurna. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak akan berasa tersisih dan tidak tentu arah. Oleh itu kanak-kanak berkenaan mempunyai perasaan takut apabila berhadapan dengan orang lain dan mereka akan berkelakuan ganjil. Mereka takut menjalani kehidupan ini dan sentiasa mengasingkan diri. Daripada aspek psikologi, menurut Kieran O’ Hagan (1993:101) keadaan seumpama itu menyebabkan tekanan jiwa kepada kanak-kanak mangsa penganiayaan. Kanak-kanak yang teraniaya terutama yang berumur 6 hingga 9 tahun ke atas selalunya mengalami gangguan emosi dan personaliti. Kebanyakan pendera adalah ibu bapa kandung atau penjaga rapat kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah tekanan jiwa atau pemabuk. Pengabaian kanak-kanak bukan sahaja mengganggu psikologi kanak-kanak, malah boleh mengganggu perkembangan tumbesaran mereka. Menurut Skuse, (1993:31) kanak-kanak didera dan diabaikan untuk jangka masa yang lama akan membantutkan tumbesaran; dikenali sebagai ‘disorders of biological rhythms’ contohnya kanak-kanak menjadi pendek dan kurus. Konsep penderaan dan pengabaian yang saling berkait ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Runtunan faktor-faktor itu dapat dikupas dalam kerangka teori dan ianya membantu analisis data kajian penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Pada peringkat awal prasekolah, kebanyakan perkembangan kanak-kanak meningkat dengan pesatnya. Saiz badan kanak-kanak mengalami perubahan apabila lemak di dalam badan mengalami penurunan 12% daripada berat badan manakala anggota badan yang lain mengalami perkembangan. Perkembangan fizikal ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya: Genetik Pemakanan Kewangan keluarga Bangsa Perkembangan kanak-kanak prasekolah tidak sepesat semasa mereka bayi. Pertumbuhan kanak-kanak lelaki dan perempuan agak setara, di mana purata kanak-kanak lelaki berumur 3 tahun mempunyai ketinggian 38 inci dan berat 33 paun. Sementara kanak-kanak perempuan lebih kecil dan agak ringan (Tanner, 1978). Di sini pengaruh genetik memainkan peranan penting apabila ibu bapa tinggi, anak-anak mereka juga mengalami perkembangan yang pesat dan agak tinggi daripada kanak-kanak sebaya mereka. Perkembangan Otak Perkembangan otak kanak-kanak mempunyai pertumbuhan yang pesat sebanyak 75% daripada saiz otak orang dewasa apabila mencapai umur 5 tahun. Pertumbuhan neuron dan ‘myelination’ dengan pesat membolehkan maklumat dipindahkan dengan lebih cekap antara sel-sel otak. Serebrum adalah pembahagian utama otak yang menjalankan peranan kritikal dalam proses diskriminasi membuat keputusan, pembelajaran dan pemikiran. Otak terdiri daripada dua hemisfera dan lapisan luar ialah ‘cerebral cortex’ pada sebelah kiri yang memainkan peranan dalam bahasa manakala hemisfera kanan berperanan dalam pemikiran dan penyatuan emosi. Apabila mencapai umur lingkungan 5 tahun, hubungan di antara dua hemisfera meningkat dan lebih efisien membenarkan kanak-kanak menggunakan fungsi yang melibatkan kedua-dua belah otak. (Huttenlocher, 1990; 1994) Kemahiran Motor Kasar Kanak-kanak prasekolah mengalami perkembangan kemahiran motor yang cepat sama ada kemahiran motor kasar mahupun motor halus. Kemahiran motor kasar adalah kawalan pada tingkah laku yang memerlukan banyak otot dan membolehkan kanak-kanak bergerak balas dengan persekitarannya. Perkembangan kemahiran motor banyak bergantung kepada perkembangan otak, ke-seimbangan badan dan peningkatan koordinasi mata-tangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan atau pendengaran mengalami masalah menyeimbangkan badan. (Hatton, Bailey, Burchinal & Farrell, 1997) Perkembangan motor seorang kanak-kanak banyak dipengaruhi oleh: Latihan Peniruan Genetik Perkembangan otak Budaya Kemahiran Menyambut dan Membaling Bola Membaling dan menyambut bola adalah satu kemahiran motor yang agak kompleks pada peringkat perkembangan kanak-kanak. (Marques-Bruna & Grishaw, 1997) Pada peringkat ini, perkembangan motor kanak-kanak semakin matang mengikut peringkat umur: 2 tahun - Menggunakan tangan tetapi pergerakan badan tiada. 3 tahun - Gunakan tangan dengan pergerakan badan tetapi kaki tidak bergerak. 5-6 tahun - Menggerakkan kaki serta pergerakan semakin meningkat. Kemahiran kanak-kanak menyambut bola semakin meningkat pada peringkat awal. Kanak-kanak dapat menyambut bola dengan me-letakkan tangan di hadapan pada umur 4 tahun. Pada umur 5 tahun, mereka dapat menyesuaikan pergerakan tangan bagi menyambut bola dengan lebih cepat. Kemahiran Motor Halus Kemahiran motor halus menggunakan otot-otot yang kecil seperti jari dan tangan. Walaupun kanak-kanak dapat menggunakan jari tangan mereka, tetapi memakan masa yang lama supaya menjadi lebih mahir. (Geraldson & Hopkins, 1997) Kemahiran meng-gunakan jari dipengaruhi oleh faktor biologi di mana kanak-kanak yang mengalami masalah otak sering kali tidak dapat menggunakan jari mereka. Kanak-kanak ini lebih cenderung menggunakan tangan. Kemahiran menggunakan motor halus mengalami peningkatan selari dengan meningkatnya umur mereka: 2 tahun - Menyelak muka surat di buku dan membentuk menara daripada blok-blok mainan sehingga 8 blok. 3 tahun - Menggunakan sudu untuk makan, meniru bulatan. 4 tahun - Dapat memakai baju sendiri, melukis bentuk tangan manusia dan menggunakan gunting. 5 tahun - Membutangkan baju, membuka zip. Pemakanan dan Kesihatan Kanak-kanak Perkembangan kanak-kanak banyak bergantung pada cara pemakanan dan tahap kesihatan mereka. Ini kerana perkembangan kanak-kanak tidak sekerap perkembangan semasa mereka masih bayi. Kebanyakan kanak-kanak memerlukan 1700 kalori sehari dan kurang 35% kalori adalah lemak. Kebanyakan kanak-kanak meng-alami kelebihan dan kekurangan zat makanan kerana tidak men-dapat nutrisi yang secukupnya. Nutrisi yang tidak mencukupi menyumbang kepada penyebab kematian kanak-kanak di seluruh dunia (UNICEF,1998). Kekurangan pemakanan Kekurangan zat makanan selalunya melibatkan negara yang meng-alami pelbagai kemiskinan yang teruk seperti di Afrika dan Asia. Ianya selalunya dikaitkan dengan pelbagai faktor seperti: Ekonomi Kekurangan penjagaan kesihatan Kekurangan pengetahuan Kehidupan keluarga yang miskin Kanak-kanak yang mengalami masalah kemiskinan hanya memakan bijirin dan tidak mendapat nutrien yang lain seperti protein, vitamin dan mineral yang diperoleh melalui buah-buahan dan sayuran serta produk vitamin. Penyakit akibat kekurangan nutrien adalah anemia iaitu kekurangan darah merah disebabkan hemoglobin tidak berupaya bergabung dengan zat besi. Selain daripada itu, akibat dari kekurangan nutrien bukan hanya menjejaskan perkembangan otak tetapi juga: Perkembangan motor dan otak Pembelajaran sekolah Pengasingan diri dari persekitaran sosial Lembap Mudah letih Kemalangan Kemalangan sering berlaku kepada kanak-kanak sama ada di rumah ataupun di luar rumah. Salah satu daripadanya adalah kemalangan semasa melintas jalan tanpa melihat kiri dan kanan. Selain daripada itu, kemalangan di jalan raya akibat tidak menggunakan tali pinggang ketika menaiki kereta juga sering berlaku. Semua ini dapat dielakkan sekiranya ibu bapa lebih memberi perhatian pada keselamatan anak-anak mereka. Ibu bapa juga boleh mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan kerusi khas untuk anak-anak mereka ataupun menampal pelekat untuk memberi peringatan kepada pemandu lain. Penyakit Kematian akibat penyakit polio dan influenza semakin berkurang dewasa ini. Penyakit seperti polio dan influenza dapat dielakkan dengan adanya Skim Vaksin Penyakit bagi membantu golongan miskin dalam mengawal penyakit berjangkit. Selain daripada itu, ibu bapa haruslah lebih peka pada keselamatan di rumah mereka. Benda-benda yang membahayakan kanak-kanak seperti racun serangga, cat gasolin hendaklah disimpan di tempat yang tidak mudah didapati oleh mereka. Ini kerana, sering juga berlaku kes anak-anak termakan racun akibat kecuaian ibu bapa. Kognitif Cara kanak-kanak berfikir dan menyelesaikan masalah. Kanak-kanak pada peringkat pra-sekolah banyak menggunakan simbol dalam perbualan untuk menunjukkan keupayaan penggunaan bahasa. Menurut Jean Piaget, kanak-kanak menunjukkan peningkatan yang pesat dalam memahami persekitaran dan pemikiran sesuatu benda yang berada di sekeliling. Kanak-kanak sudah mula berfikir perkara akan datang dan berbincang perkara lepas. Mereka tidak lagi hanya menumpukan pada perkara yang berkaitan dengan masa depan. Perkembangan kognitif kanak-kanak pada peringkat ini, menggunakan simbol bagi menunjukkan sesuatu objek dan membuat perbandingan antara satu sama lain. Keupayaan mereka menggunakan simbol ini ditunjukkan melalui bermain, mengingat dan kemahiran menggunakan bahasa. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak dapat meniru perbuatan rakannya yang menari ballet walaupun mereka melihat beberapa hari yang lepas. Ini kerana keupayaan mereka menunjukkan sesuatu objek agak terhad dalam bahasa dan mereka cuba menyampaikan maksud dengan meng-gunakan simbol. Menurut Piaget lagi, kanak-kanak pada peringkat praoperasi tidak dapat menerima pendapat orang lain serta membandingkan sesuatu objek dengan objek yang lain seperti bola adalah bulat. Memori kanak-kanak Kanak-kanak mempunyai ingatan yang pendek kerana beberapa faktor, antaranya adalah: Mudah terganggu Mudah terganggu apabila terdapat bunyi bising ataupun perkara yang berwarna-warni. Daya tumpuan yang singkat. Tumpuan meningkat apabila kanak-kanak berumur 3-8 tahun. Perkembangan Sosial dan Kognitif Menurut Piaget, kanak-kanak meneroka perkara-perkara menarik dan berharga melalui interaksi dengan orang lain dan objek. Proses ini dikatakan proses mental bagi menghasilkan produk ‘mengetahui’ yang melibatkan aktiviti: Mengingat Beri makna kepada simbol Mengkategorikan Mereka cipta Berimaginasi Menyelesaikan masalah Perkembangan psiko-sosial dan sosio-emosi membentuk personaliti, hubungan dan peranan sosial serta interaksinya dengan persekitaran. Ini dapat mewujudkan proses perhubungan saling bertindak iaitu interaksi dan transaksi antara organisma individu dan persekitaran. Ibu bapa dapat mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak dengan memindahkan pengetahuan berkenaan maklumat dan budaya dalam menunjuk ajar mereka melalui tingkah laku ibu bapa itu sendiri. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak menghadapi masalah, mereka mempunyai tendensi bercakap sendirian bagi menyelesaikan masalah itu. Ini dinamakan ‘private speech’ yang diperkenalkan oleh Vygotsky. Menurut Piaget pula, kecenderungan kanak-kanak bercakap sendirian disebabkan sifat egosentrik mereka, lalu beliau menamakan ‘egocentric speech’. Pengaruh Budaya ke atas Pemikiran Kanak-kanak Kanak-kanak didedahkan dengan organisma lain yang ada di persekitaran bagi membantu perkembangan kognitif melalui pendedahan berkaitan program-program prasekolah dan tadika yang memberikan aktiviti dan pengalaman mengikut peringkat umur kanak-kanak itu. Guru dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendedahkan dan memberi mereka pendidikan yang berkesan kepada kanak-kanak. Ini dilakukan dengan menyediakan persekitaran yang menarik bagi merangsang minda kanak-kanak melalui: Pendedahan Latihan Pelaziman Galakan Tanggungjawab ke atas tugas tertentu. Sebagai contoh rancangan ‘Sesame Street’ dan ‘Head Start’ memainkan peranan membantu kanak-kanak yang datang daripada keluarga yang miskin dalam memperbaiki pembelajaran kanak-kanak berkaitan nombor, perkataan dan tatabahasa. Ini sekali gus mengeratkan hubungan antara kaum supaya bersatu hati. ‘Head Start’ adalah program yang dibentuk bagi membantu kanak-kanak prasekolah yang mengalami masalah kewangan. Bahasa Perubahan dalam bahasa atau pertuturan Pada umur 5 tahun, kanak-kanak sudah mula bertutur dengan baik dan mula menguasai asas-asas bahasa seperti semantik, sintaksis, dan pragmatik, Ia berkembang dan diperbaiki apabila mereka mula meningkat dewasa. Mereka menggunakan: Perencanaan segera Menggabungkan bunyi perkataan dengan konsep perkataan. Penambahan melampau Perkataan menunjukkan objek daripada kategori lain. Penambahan terkumpul Perkataan digunakan bagi kumpulan yang lebih kecil daripada perkataan sebenar. Gaya bahasa merujuk Gaya bahasa merujuk kepada memperbanyakkan perbendaharaan kata. Gaya bahasa ekspresif Gaya bahasa merujuk penggunaan perkataan untuk kegunaan harian dalam interaksi sosial dengan orang dewasa. Bagi mempelajari perkataan, kanak-kanak mestilah memahami maksud, mengetahui perkataan antara perkataan dan memahami maksud setiap perkataan itu. dan perkembangan bahasa mereka. Penting bagi ibu bapa terlibat dalam proses perkembangan secara langsung. Kanak-kanak prasekolah mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah berkenaan tatabahasa. Ini sekali gus menghasilkan komunikasi tindak balas bagi memulakan hubungan sosial bahasa mereka. Ini boleh dilakukan dengan berkomunikasi secara betul sejak dari awal lagi. Perkara ini boleh dilakukan dengan mengulangi sebutan sebagai melatih mereka. Sebutan yang betul boleh digunakan seperti menggunakan komunikasi non-verbal dan memanjangkan ayat telegrafik. Mengenali Peranan Jantina Kanak-kanak mula membezakan mereka daripada kumpulan jantina dan memahami peranan mengikut jantina masing-masing: Identiti jantina Mengetahui perbezaan antara lelaki dan perempuan. Label jantina Mengelaskan seseorang mengikut jantinanya. Stabiliti jantina. Jantina akan kekal selamanya. Konsisten jantina Jantina tidak berubah walaupun seseorang itu berubah daripada segi penampilan dan aktivitinya. Stereotaip Jantina ke atas kanak-kanak Mempercayai apa yang dikongsi oleh ciri-ciri tertentu pada lelaki dan perempuan. Kanak-kanak mengetahui mereka lelaki ataupun perempuan bermula sejak mereka berumur dua setengah tahun. Pada akhir prapersekolahan, mereka mengetahui jantina adalah sesuatu yang stabil dan konsisten atau terus-menerus. Tetapi, mereka masih tidak memahami dengan jelas identiti jantina mereka sehingga umur 4-5 tahun.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



WANITA mempunyai sudut pandangan sendiri berkenaan cinta. Dua prinsip utama dalam pandangan wanita terhadap cinta adalah: 1. Bagi wanita, cinta dan keintiman adalah suatu proses yang berterusan dari masa ke semasa. 2. Komunikasi peribadi menjadi faktor yang palingpenting peranannya dalam ikatan cinta dan keintiman. Oleh kerana wanita diasuh supaya pandai menjaga perhubungan, walaupun wanita sudah berjaya mendapatkan komitmen lelaki dalam bentuk perkahwinan, wanita tetap memandang suami dan hubungan perkahwinan sebagai sesuatu yang terus mengalami perkembangan dan perubahan. Jadi, daripada sudut pandangan wanita, keintiman dan cinta tidak pernah ada penghujungnya. Ia terus bergerak dari satu titik ke titik lain ibarat air sungai yang sentiasa mengalir tidak henti-hentinya. Bagi wanita, perkahwinan bukanlah babak terakhir suatu kisah keintiman. Sebaliknya, ia hanyalah suatu titik dalam proses yang berterusan. Bagi wanita, aktiviti berkomunikasi, iaitu bercakapcakap dan berbual-bual adalah pusat sesuatu perhubungan. Ia adalah cara paling penting untuk menjalin, memupuk, mendalamkan dan memeterai keintiman. Aktiviti berbualbual adalah aktiviti paling penting dalam perhubungan mereka dengan individu-individu lain. Menurut Prof. Riesman, dibandingkan dengan lelaki, wanita adalah lebih ekspresif dan mereka lebih banyak menampilkan emosi mereka dalam berkomunikasi. Bagi wanita, berbual-bual adalah kegiatan intim yang paling penting. Bagi mereka, pengalaman duduk-duduk dan berbual-bual adalah sangat memberi erti kepada jiwa dan batin mereka. Dengan berbual-bual mereka berasa sangat rapat dan mesra dengan orang yang berbual-bual dengan mereka. Apatah lagi jika orang itu adalah pasangan mereka sendiri. Apakah erti komunikasi kepada wanita? Kepada mereka, komunikasi ialah aktiviti percakapan dan perbualan harian. Topik perbualan itu mungkin penting, mungkin remeh. Kepada wanita, kepuasannya serupa sahaja. Jadi, setiap sesi perbualan dengan pasangan adalah sangat bermakna kepada wanita, kerana ia mendalamkan lagi perhubungan dan kemesraan. Bagi wanita, cinta dan perkahwinan adalah perbualan yang berpanjangan. Perbualan bukan alat komunikasi, sebaliknya perbualan adalah komunikasi itu sendiri. Inilah yang jarang dimengerti oleh lelaki. Daripada sudut pandangan lelaki, cinta dan keintiman adalah suatu peristiwa. Ia ada penghujungnya. Pusat cinta dan keintiman adalah aktiviti. Bagi lelaki, cinta adalah suatu kejadian. Sekali dia sudah jatuh cinta maka cinta akan berada pada tempatnya, tidak berubah-ubah. Jadi, apabila lelaki sudah mengesahkan komitmen cinta mereka melalui perkahwinan, perkara itu tidak perlu disebut-sebut lagi, apatah lagi diperbualkan. Ini berbeza dengan tabiat wanita yang beranggapan, walaupun sudah berkahwin, cinta perlu terus dipupuk dan diberi tumpuan sepanjang masa. Lelaki diasuh supaya mencari kepuasan melalui aktiviti pencapaian. Sesuatu itu mesti ada permulaannya dan ada akhirnya. Apa-apa yang dikerjakan mesti diselesaikan. Jadi, kepada lelaki, komunikasi adalah alat mencapai suatu matlamat. Sebagai contoh, mereka berkomunikasi untuk menyelesaikan masalah, mengemukakan pendapat, melaksanakan kerja, membuat perancangan dan lain-lain aktiviti. Bagi lelaki, komunikasi mesti ada tujuan, ada matlamat yang mesti dicapai. Oleh itu, kepada mereka bercakap-cakap berkenaan perkara-perkara remeh-temeh dan berbual-bual kosong adalah perbuatan yang sia-sia dan cuma membuang waktu. Bagi mereka, tidak ada gunanya bercakap-cakap tentang cinta dan perhubungan, melainkan ada masalah yang perlu dicari penyelesaiannya. Komunikasi lelaki adalah ditumpukan kepada isi. Jadi mereka tidak menggunakan komunikasi untuk bercakap tentang perasaan. Lagipun, budaya kita melatih lelaki supaya pandai menutup emosi mereka daripada diketahui oleh orang lain. Itulah sebabnya lelaki tidak suka mempamerkan perasaan mereka. Oleh itu komunikasi lelaki tidak ekspresif seperti komunikasi wanita. Tidak seperti wanita, lelaki menjalin dan memupuk kemesraan dan keintiman melalui pelbagai aktiviti, bukan melalui perbuatan berbual-bual. Mereka mengecap kemesraan dengan cara melakukan aktiviti bersama-sama dengan orang yang mereka senangi. Inilah yang menyebabkan lelaki menjalin persahabatan sebagai sambungan daripada kegiatan bersama. Kepada lelaki, aktiviti adalah alat yang mereka gunakan untuk memupuk dan mengecap nikmat keintiman. Bagi mereka, melakukan sesuatu aktiviti bersama-sama dengan pasangan mereka adalah cara bagaimana mereka dapat merasakan keintiman dalam perhubungan. Begitu juga dengan perbuatan melakukan sesuatu untuk pasangan mereka. Ia adalah cara lelaki menyatakan cinta. Lelaki dan Cinta Daripada sudut pandangan lelaki, cinta adalah suatu peristiwa, suatu kejadian. Oleh itu, cinta mempunyai titik permulaan dan mempunyai titik penghujung. Bagi lelaki, oleh kerana cinta adalah suatu peristiwa, sekali dia jatuh cinta, maka cinta akan berada pada tempatnya, tidak berubah-ubah sampai bila-bila, melainkan berlaku factor-faktor yang menghapuskan cintanya itu. Bagi lelaki, sekali mereka sudah melafazkan komitmen cinta mereka melalui perkahwinan, maka cinta tidak perlu lagi disebut-sebut. Cinta mereka akan berada pada tempatnya dan tidak berubah-ubah lagi. Inilah yang tidak dimengerti oleh wanita. Bagi wanita, sekali dia jatuh cinta, dia mahu terus bercakap-cakap mengenai cintanya. Itulah cara wanita memupuk cinta. Dan walaupun selepas berkahwin, wanita mahukan supaya cinta terus dipupuk sepanjang masa, tidak kira siang ataupun malam. Cara wanita memupuk cinta adalah dengan menggunakan kegiatan bercakap-cakap dan berbual-bual berkaitan cinta itu sendiri. Bagi wanita, pusat cinta dan kemesraan adalah perbualan dan perbincangan cinta. Bagi lelaki, pusat cinta adalah aktiviti fizikal. Pusat nikmat kemesraan pun serupa juga, iaitu aktiviti fizikal. Ini pun satu hal lagi yang wanita tidak pernah faham. Jikalau wanita suka bercakap-cakap dan berbual-bual dengan suami untuk memupuk kasih sayang, lelaki suka melakukan aktiviti fizikal dan sosial dengan isteri untuk tujuan yang sama. Itulah sebabnya, isteri yang lembap, lambat, cepat penat, berat tulang, pemalas, suka tidur siang, sangat membosankan lelaki. Dalam budaya kita, lelaki sejak kecil-kecil lagi diasuh supaya mendapatkan rasa kepuasan hanya melalui aktiviti pencapaian, bukan melalui kegiatan bercakap-cakap dan berbual-bual. Itulah sebab lelaki gemar kepada permainan, hobi dan aktiviti yang lasak-lasak. Bagi lelaki, tiap sesuatu itu mestilah dimulakan dan diakhiri. Dengan itu baru ada pencapaian. Apa-apa yang dikerjakan mesti disiapkan. Barulah mereka sepatutnya boleh berasa puas. Daripada sudut pandangan lelaki, cinta adalah suatu aktiviti aktif, sesuatu yang dilakukan, barulah mereka mendapat rasa seronok dan nikmat daripadanya. Bercakap-cakap dan berbual-bual tidak mendatangkan nikmat dan kepuasan kepada lelaki kerana ia bukan suatu aktiviti pencapaian. Bagi mereka, bercakap-cakap dan berbual-bual tidak ada permulaannya dan tidak ada penghujungnya. Ia tidak pernah selesai. Ia tidak menghasilkan apa-apa. Oleh itu bercakap-cakap dan berbual-bual hanya membuang masa sahaja bagi lelaki. Itu juga sebabnya lelaki tidak suka isteri yang banyak mulut, tetapi tak ada isi. Bagi lelaki, bercakap-cakap mesti mempunyai tujuan, mesti ada matlamat yang hendak dicapai. Mereka bercakap bagi tujuan-tujuan seperti menyelesaikan masalah, melaksanakan kerja, mengemukakan idea, membuat rancangan, berunding dan lain-lain matlamat yang konkrit. Kalau tidak, lelaki tidak bercakap. Bagi lelaki, bercakap-cakap dan berbual-bual berkaitan emosi dan cinta, atau berkaitan hubungan suami isteri adalah sia-sia sahaja, kerana ia tidak ada matlamat yang boleh diukur pencapaiannya. Bagi mereka, berbincang tentang emosi adalah perkara remeh-temeh dan tidak ada apa-apa faedahnya. Sebaliknya, apabila wanita hendak memupuk cinta dan perhubungan, mereka mahu perkara itu dilakukan dengan berbincang mengenainya. Bagi lelaki pula, mereka hanya akan berbincang mengenai hubungan apabila hubungan itu ada masalah! Selagi hubungan cinta dan hubungan suami isteri berjalan baik dan memuaskan, ia tidak perlu diperkatakan. Komunikasi lelaki adalah ditumpukan kepada isi yang hendak dikomunikasikan. Bagi mereka, perasaan bukan isi, jadi mereka tidak mahu bercakap berkenaan perasaan. Satu lagi faktor penting yang membuat lelaki tidak mahu bercakap berkenaan cinta dan perasaan, budaya telah mengasuh lelaki supaya pandai mengawal, menutup dan menyembunyikan perasaan mereka daripada diketahui oleh orang lain. Itulah sebabnya mereka tidak mahu mempamerkan emosi mereka, meskipun kepada isteri sendiri. Faktor inilah yang menyebabkan lelaki tidak ekspresif apabila berkomunikasi. Ertinya, apabila lelaki bercakap, mereka tidak memperlihatkan banyak emosi pada wajah mereka. Suatu hal yang tidak dimengerti oleh lelaki adalah bagi wanita, pusat segala perhubungan antara dua orang manusia ialah aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual. Lelaki tidak faham, mengapa bagi wanita, tidak ada kegiatan lain yang lebih penting dan bermakna serta lebih memuaskan batin mereka selain daripada aktiviti, bercakap-cakap dan berbual-bual. Mengikut para pengkaji, berkenaan cinta dan perkahwinan, lelaki berbeza pandangan dengan wanita. Bagi wanita, cinta dan kemesraan adalah suatu hal yang berterusan, iaitu seperti air sungai yang tidak hentihentinya mengalir. Ia tidak ada hujungnya. Cinta terus mengalir dari masa ke semasa. Oleh itu, wanita mahukan supaya cinta dan perkahwinan itu terus diucapkan, dibincangkan dan dibualkan dari waktu ke waktu. Itulah sebabnya isteri-isteri mahu supaya suami mereka mengucapkan cinta mereka dari waktu ke waktu. Dan mereka mahu supaya mereka dan suami terus bercakap-cakap dan berbual-bual tentang perkahwinan mereka. Bagi lelaki, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual tidak penting dalam bercinta dan berkasih sayang. Tetapi, bagi wanita, cinta, kasih sayang dan perkahwinan tidak pernah ada hujungnya. Ia berkembang dan berubah dari masa ke semasa. Itulah sebabnya, dari masa ke semasa, isteri-isteri mahu bercakap dan berbincang berkenaan emosi dan perkahwinan mereka. Bagi lelaki, selepas mereka mengahwini wanita yang mereka cintai, tamatlah tahap bercakap-cakap berkenaan emosi dan hubungan antara mereka berdua. Selepas itu bermulalah babak menjalani kehidupan sehari-hari dengan segala macam tuntutan masalah sehari-hari. Cara lelaki menjalin dan memupuk perhubungan adalah dengan melakukan pelbagai aktiviti, bukan dengan bercakap-cakap dan berbual-bual. Yang membolehkan lelaki mencapai keseronokan, kepuasan dan kebahagiaan, apabila mereka dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dengan orang-orang yang mereka sukai atau cintai. Bagi lelaki, persahabatan dan percintaan adalah sambungan sahaja kepada pelbagai aktiviti yang mereka lakukan bersama-sama. Cara lelaki mengecap nikmat kemesraan dan cinta adalah melalui aktiviti bersama. Apabila lelaki dapat melakukan apa yang mereka sukai dengan wanita yang mereka cintai, maka di situ mereka mendapat kepuasan erti cinta. Tidak seperti wanita, lelaki tidak mendapat apa-apa nikmat dan kepuasan dengan hanya bercakap-cakap. Bagi lelaki, bercakap-cakap bukan aktiviti. Itulah sebabnya, cara lelaki mempamerkan cinta mereka kepada isteri adalah dengan melakukan sesuatu untuk isteri mereka. Dan itulah sebabnya lelaki dapat mengecap nikmat cinta dan berasa yakin dirinya amat dicintai pada setiap kali isteri mereka melakukan sesuatu untuknya. Cinta Suami Daripada cara seorang suami bercakap kepada isterinya, sepatutnya si isteri boleh mengetahui bahawa sudah berlaku perubahan kepada sifat-sifat perhubungan cinta dan kasih sayang yang ada antara mereka berdua. Dia boleh tahu sama ada suaminya masih sangat mencintainya, ataupun cinta suaminya itu sudah cair, atau sudah beralih ke tempat lain. Ramai isteri yang mengalami masalah suami mempunyai perhubungan dengan wanita lain mengadu dan mengatakan mereka tidak pernah menyangka suami mereka ada hubungan lain di luar rumah. Ini kerana, suami mereka tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda perubahan. Suami mereka masih macam biasa. Oleh hal yang demikian, isteri-isteri itu tidak melihat tanda-tanda suami mereka mencintai wanita lain. Sebenarnya, tanda-tanda perubahan itu ada, malah banyak. Tetapi para isteri malang itu tidak perasan akan kewujudan tanda-tanda itu. Ini kerana, dalam kepala mereka ada satu set ‘tanda-tanda’ suami yang curang, dan mereka tidak melihat wujudnya tanda-tanda itu, lalu mereka mengatakan ‘tidak ada tanda-tanda’. Sebenarnya, yang tidak ada adalah tanda-tanda yang mereka cari. Sering kali isteri-isteri malang itu mencari tanda-tanda stereotaip akan suami yang curang seperti kesan gincu bibir pada tengkuk baju suami, bau minyak wangi wanita lain, suami balik lambat, suami banyak helah, suami marah-marah, suami selalu tidak cukup duit dan lain-lain seperti itu. Jadi, apabila tanda-tanda yang stereotaip itu tidak ada, maka mereka mengatakan suami mereka masih setia. Cinta adalah perkara yang sangat besar pengaruhnya dalam diri seseorang. Jadi, apabila seseorang suami jatuh cinta kepada wanita lain, peristiwa itu mesti ada kesannya ke atas tingkah lakunya. Jatuh cinta sentiasa menimbulkan rasa riang dan seronok dalam kalbu. Mereka banyak senyum kepada rakan-rakan. Mereka lebih bertenaga. Salah satu kesan emosi jatuh cinta adalah orang itu suka mendengar lagu-lagu cinta. Kalau mereka suka menyanyi, mereka suka menyanyi-nyanyi lagu cinta. Jatuh cinta juga membuat seseorang memberi tumpuan semula kepada tubuh badan dan penampilannya. Ini tergambar pada tingkah lakunya, seperti membeli baju-baju baru, menukar kaca mata, menggosok kasutnya kilat-kilat, dan suka membetul-betulkan rambutnya supaya kemas. Perubahan emosi itu tentu ada kesannya pula ke atas cara-cara si suami berkomunikasi dengan isteri mereka. Sayangnya isteri-isteri malang itu tidak ada kemahiran membaca tanda-tanda pada perubahan komunikasi itu, jadi mereka tidak berupaya mengenal pasti kemunculan ciri-ciri komunikasi suami yang sudah mencintai wanita lain. Cara-cara kita berkomunikasi sangat dipengaruhi oleh emosi kita. Lelaki yang sangat mencintai isterinya berkomunikasi dengan cara-cara yang sangat berbeza daripada suami yang tidak lagi berapa mencintai isterinya. Jadi, tidak mungkin berlaku, dan tidak akan pernah berlaku, di mana seorang suami yang jatuh cinta dengan wanita lain tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan hal itu. Emosi seseorang suami kepada isterinya berubah bukan hanya apabila si suami sudah jatuh cinta kepada wanita lain. Ada bermacam-macam faktor yang menyebabkan emosi seseorang suami berubah. Kebanyakan daripada perubahan emosi mereka itu tidak ada kena-mengena dengan faktor wanita lain. Antara faktor-faktor yang menyebabkan emosi suami kepada isteri mulai berubah adalah pertama, perubahan-perubahan yang berlaku pada diri si suami itu sendiri. Sebagai contoh, si suami sudah semakin tinggi kelulusannya, kelayakannya dan kejayaannya. Perubahan-perubahan itu menyebabkan mereka ikut mengubah ciri-ciri wanita idaman mereka. Orang yang sudah memiliki kelulusan akademik tinggi, akan mengalami perubahan cita rasa dan keinginan. Kalau sebelumnya dia sudah cukup dengan wanita yang ‘baik’, selepas menerima ijazah yang lebih tinggi, barangkali dia inginkan wanita yang bukan sekadar ‘baik’ sahaja, tetapi juga ‘berkelulusan’, ‘cerdik’ dan ‘menyeronokkan’. Dalam erti kata lain, perubahan-perubahan yang berlaku kepada diri si suami menyebabkan dia menukar syarat-syarat dan kriteria wanita idamannya. Perubahan pada syarat dan kriteria itulah yang menyebabkan emosinya terhadap isterinya berubah. Apabila ini terjadi, komunikasi si suami kepada isterinya akan mengandungi banyak kritikan dan teguran terhadap ciri-ciri ‘kekurangan’ si isteri. Dia juga mungkin mencadangkan cara-cara supaya si isteri dapat mengatasi kekurangan-kekurangan yang ada pada dirinya. "Awak tidak mahu ambil apa-apa kursuskah? Saya boleh bayarkan." "Mari kita ke kedai buku. Awak boleh beli dan baca buku yang baik." "Malam ini ada ceramah profesor dari UKM. Mari kita pergi. Awak boleh belajar juga." Faktor kedua yang boleh menyebabkan emosi suami berubah ialah perubahan-perubahan yang berlaku kepada diri si isteri. Sebagai contoh, saiz baju isterinya sudah berubah, daripada M, kepada XL. Ramai isteri tidak mahu menerima hal seperti ini. Namun kajian oleh pakar-pakar psikologi mendapati memang sudah fitrah bahawa lelaki lebih mementingkan penampilan jika dibandingkan dengan wanita. Perubahan lain mungkin termasuk perubahan perangai, umpamanya dulu si isteri tidak berleter, sekarang dia kuat berleter. Ketiga, perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh isteri. Mengikut suatu kajian, ini adalah antara faktor yang banyak disebut oleh lelaki berkenaan bekas-bekas isteri mereka. Wanita biasanya lebih kritis terhadap sifat-sifat peribadi suami mereka dan apa-apa yang telah mereka lakukan, sebaliknya lelaki pula lebih kritis terhadap apa yang tidak dilakukan oleh isteri. Kajian itu memberitahu antara rungutan utama bekas-bekas suami itu ialah isteri mereka tidak senyum kepada mereka. Namun kebanyakan wanita menyangka, mula-mula suami mereka jatuh cinta dahulu dengan wanita lain, kemudian barulah perasaan suami mereka itu berubah lalu tidak lagi mengasihi mereka seperti sebelum perkara itu terjadi. Memang proses seperti itu boleh berlaku. Tetapi proses sebaliknya juga banyak berlaku, di mana emosi suami terhadap isteri berubah dahulu, kemudian barulah mereka jatuh cinta kepada wanita lain. Perubahan emosi suami kepada isteri tidak berlaku dengan tiba-tiba sahaja. Sebaliknya ia berlaku dengan sangat perlahan-lahan. Kebanyakan suami yang mencintai wanita lain melaporkan mereka telah mengalami perasaan tidak puas dengan iklim perkahwinan mereka selama bertahun-tahun, malah mungkin berbelas-belas tahun lamanya, sebelum mereka mula mencintai wanita lain. Mereka menafikan adanya fenomena suami ‘tiba-tiba’ saja jatuh cinta kepada wanita lain tanpa sebarang sebab yang munasabah, seperti yang kerap didakwa oleh isteri-isteri malang itu. Ini bererti, kebanyakan isteri diberi masa yang amat panjang untuk mengambil langkah-langkah menambat semula kasih sayang suami mereka sebelum terlambat. Oleh kerana perubahan emosi ada kesannya ke atas cara-cara seseorang suami berkomunikasi dengan isterinya. Oleh itu sangat besar faedahnya bagi para isteri belajar mengesan dan mentafsir pola-pola komunikasi yang berlaku antara mereka dan suami masing-masing. Antara tanda-tanda yang sangat halus yang menunjukkan emosi suami kepada isterinya sudah berubah tergambar pada permintaan-permintaan suami kepada isteri. Apabila suami sudah tidak berapa mencintai isterinya, dia akan mula menukar jenis-jenis perkara yang diminta dari isteri. Antara ciri-ciri komunikasi lelaki yang sangat mencintai isteri, mereka itu suka meminta perkara-perkara yang mereka gemari. Sebagai contoh, jika si suami gemar makan tempe goreng, dia akan selalu meminta isterinya supaya membuat untuknya masakan itu. Jadi, eloklah para isteri catatkan dalam kepala bilakah kali terakhir suami mereka meminta masakan kegemarannya. Adakah baru malam tadi, atau lima tahun dahulu? Kalau baru malam tadi dia meminta masakan kegemarannya, itu adalah tanda suami mereka masih amat mencintai mereka. Perbuatan suami yang masih suka meminta masakan kegemarannya adalah tanda si suami masih suka dimanjakan oleh isterinya. Lain-lain perubahan pada permintaan suami termasuklah mereka tidak lagi meminta isteri mereka memakai baju-baju yang selama ini mereka suka isterinya pakai. Apabila suami tidak peduli lagi apa baju yang dipakai oleh isterinya, itu adalah tanda si suami tidak seronok lagi menjamu matanya dengan memandang isteri. Salah satu tabiat semula jadi orang yang bercinta, mereka itu sangat pemurah kepada orang yang mereka cintai. Oleh itu mereka suka membelikan hadiah-hadiah. Ramai suami membelikan kain-kain untuk pakaian isteri mereka. Mereka suka isteri mereka memakai baju yang dibuat daripada kain yang mereka sendiri belikan. Satu lagi tanda halus yang menunjukkan perubahan emosi suami terhadap isteri ialah pada cara mereka membuat permintaan. Suami-suami yang amat cinta kepada isteri mereka akan menyampaikan permintaan dengan gaya bahasa yang memanjakan isteri dan oleh itu sangat lembut seperti, "Sayang, tolong buatkan sirap untuk abang." Apabila emosi suami berubah sedikit, ayat itu pun ikut berubah sedikit, menjadi "Tolong buat sirap." Apabila cinta sudah tidak ada lagi, ayat itu menjadi "Mana air?" Gaya bahasa berubah apabila emosi kita berubah. Semasa suami masih cinta kepada isteri, dia mungkin berkata, "Pakailah baju yang lebih cantik." Apabila sudah tidak cinta lagi, ayat itu menjadi, "Kenapa teruk sangat baju awak itu?" Bagi para isteri yang memahami pola-pola komunikasi, mereka akan mengambil tindakan memperbaiki iklim kasih sayang apabila tanda-tanda ini timbul. Kebanyakan isteri mahukan supaya suami-suami mereka selalu memperkatakan, mengucapkan, membincangkan, menyatakan dan mempamerkan emosi mereka dengan secara terbuka, jujur dan tepat. Wanita yakin, seandainya lelaki mahu mempamerkan cinta dan kasih sayang mereka terhadap isteri dengan cara melakukan perkara-perkara seperti itu, maka wanita percaya mereka akan berasa bahagia dan puas dengan hubungan perkahwinan. Ramai wanita mengadu mereka berasa diri mereka seperti tidak dicintai dan tidak disanjung lagi oleh suami mereka. Ramai isteri mengadu mereka menderita batin kerana kurang kasih sayang daripada suami. Sebenarnya kebanyakan wanita bukan kurang diberi kasih sayang oleh suami mereka. Sebenarnya mereka tidak menerima kasih sayang itu dalam bentuk yang macam mereka mahukan. Ini kerana lelaki mempamerkan kasih sayang mereka dengan cara mereka sendiri, yang tidak seperti cara idaman wanita. Wanita mahu supaya kasih sayang suami disampaikan kepada mereka dengan menggunakan kata-kata dan tingkah laku cinta yang jelas dan tepat. Mereka mahu sebutan kata ‘cinta’, ‘rindu’, ‘sayang’ dan lain-lain bahasa cinta diucapkan ke telinga mereka. Di televisyen dan surat khabar sekarang, banyak pakar motivasi dan pakar kaunseling rumah tangga menyeru kaum suami supaya belajar mempamerkan kasih sayang mereka kepada isteri dengan cara yang lebih jelas dan terang, bukan lagi dengan cara sipi-sipi dan tidak langsung, seperti biasanya dalam budaya Asia kita. Mereka menyeru supaya suami-suami belajar mengucapkan dan membisikkan kata-kata cinta ke telinga isteri mereka. Mereka juga menyeru supaya suami-suami mempamerkan cinta mereka melalui tingkah laku cinta seperti menyentuh, mengusap, mengurut dan memeluk isteri. Ada beberapa faktor yang menyebabkan permintaan isteri-isteri itu, dan juga seruan-seruan pakar-pakar motivasi dan kaunseling itu, sukar dipenuhi oleh kebanyakan suami. Ini bukan setakat masalah suami Asia. Kajian-kajian juga mendapati masalah ini adalah masalah biasa di Eropah dan di Amerika. Faktor pertama adalah perbezaan cara wanita dan lelaki mengucapkan cinta mereka. Perbezaan ini adalah fitrah psikologi semua manusia, bukan hanya di kalangan orang-orang Melayu. Adalah fitrah manusia, wanita mengucapkan emosi mereka melalui aktiviti verbal. Wanita mengucapkan emosi mereka dengan cara bercakap-cakap mengenainya. Apabila wanita berasa suka, mereka bercakap; apabila mereka benci, mereka pun bercakap juga. Itulah fitrah komunikasi wanita. Itu sebabnya, wanita lebih banyak bercakap-cakap dan berbual-bual dibandingkan dengan lelaki. Melalui kegiatan itu mereka berpeluang menyatakan pelbagai emosi mereka. Dengan demikian mereka mendapat rasa kepuasan. Tetapi lelaki tidak suka mengucapkan emosi mereka dengan menggunakan kata-kata. Sebaliknya mereka mengucapkan cinta mereka melalui aktiviti fizikal. Lelaki mempamerkan rasa cinta dengan melakukan sesuatu untuk orang yang mereka cintai, walaupun mulut mereka ‘bisu’. Ini ada kena-mengena dengan asuhan yang diterima oleh lelaki dalam semua budaya. Lelaki diasuh supaya mendapatkan rasa kepuasan melalui aktiviti pencapaian, bukan melalui aktiviti lisan. Faktor kedua adalah peraturan budaya. Boleh dikatakan, dalam semua budaya, lelaki tidak dibenarkan mendedahkan perasaan mereka secara terbuka. Ini diasuh kepada mereka sejak mereka masih kanak-kanak kecil lagi. Sebagai contoh, tidak seperti kanak-kanak perempuan, kanak-kanak lelaki tidak digalakkan menangis. Lelaki diasuh supaya pandai mengawal emosi mereka daripada dapat dilihat dan diketahui oleh orang lain. Itu dianggap sebahagian daripada sifat-sifat kelelakian tulen. Jadi lelaki dibesarkan dengan asuhan supaya pandai menyembunyikan perasaan mereka. Hampir dalam semua budaya, lelaki yang tidak pandai menyembunyikan dan mengawal emosi diberi tanggapan-tanggapan negatif. Mereka dilabelkan sebagai lelaki yang tidak tulen. Mereka dikatakan pondan, lemah, tidak ada personaliti dan lain-lain lagi. Mereka juga dikatakan tidak matang daripada segi inteleknya. Lelaki yang gagal mengawal dan menyembunyikan perasaan di tempat kerja boleh dihukum secara yang keras, yang boleh menjejaskan kemajuan kerjaya mereka. Daripada sudut sosial, mereka tidak dilantik menjadi ketua. Mereka juga menjadi bahan ejekan dan gurauan. Faktor yang ketiga adalah lelaki takut kepada risiko peribadi. Kebanyakan lelaki takut hendak mendedahkan emosi mereka kepada isteri kerana perkara itu boleh mendatangkan risiko kepada diri mereka sendiri pada masa depan. Ini adalah disebabkan, lelaki tahu setiap kali mereka mendedahkan emosi mereka, sebenarnya mereka mendedahkan sebahagian daripada diri mereka yang lemah. Apabila seseorang lelaki mendedahkan emosinya kepada isterinya, dia mendedahkan kelemahannya kepada isterinya. Kebanyakan lelaki tidak mahu mengambil risiko tersebut. Ini kerana lelaki tahu biasa terjadi di mana isteri-isteri menggunakan apa yang mereka tahu berkenaan kelemahan suami mereka untuk melukai hati dan mengalahkan suami mereka kemudian hari. Bukanlah perkara yang asing apabila isteri-isteri mengancam suami mereka dengan menggunakan ancaman-ancaman yang melihatkan risiko kepada emosi suami. "Kalau awak kahwin lagi, saya tidak beri anak-anak jumpa awak lagi." (x) "Saya akan ceritakan kepada anak-anak apa yang berlaku. Biar dia orang benci kepada awak. Biar dia orang tahu siapa sebenarnya ayah mereka." (x) "Kalau awak tidak mahu juga putuskan hubungan awak dengan perempuan itu, saya beritahu ketua pejabat awak. Biar awak malu. Rasakan." (x) "Saya dedahkan skandal awak kepada wartawan." (x) "Saya akan pergi ke pejabat awak, biar semua orang tahu skandal awak!" (x) Faktor keempat mengapa lelaki tidak mahu mempamerkan emosi mereka adalah mereka telah diasuh sejak kecil supaya pandai menafikan emosi mereka sendiri. Dalam kebanyakan budaya, lelaki diajar dengan berbagai cara menyelesaikan masalah peribadi. Secara tradisional, salah satu cara menyelesaikan masalah peribadi yang diajarkan kepada lelaki adalah menafikan perasaan mereka sendiri. Sebagai contoh, katakanlah seorang suami berasa sakit hati kepada isterinya. Bagi menyelesaikan masalah emosi itu, dia akan menafikan yang dia sakit hati. Dia akan memberitahu kepada dirinya sendiri yang perasaan itu tidak ada, atau tidak patut dirasakan olehnya, atau bukan suatu masalah, ataupun bukan masalah besar yang perlu diselesaikannya. Lelaki diasuh sejak kecil supaya pandai melupakan sahaja apa perasaan yang mereka rasakan. Mereka juga diasuh supaya jangan suka melayan perasaan mereka. Caranya dengan berpura-pura mereka tidak mengalami perasaan itu. Satu cara lagi adalah tidak mahu bercakap langsung mengenainya. Mereka menjadi begitu pandai melakukan kedua-dua hal itu, sehingga mereka tidak tahu lagi bagaimana hendak melakukannya apabila diminta oleh isteri.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Pertumbuhan dan Perkembangan Pranatal Jangka waktu pranatal adalah selepas sahaja berlakunya persenyawaan sehinggalah bayi itu dilahirkan. Tempoh ini berlangsung selama 226 hari atau bersamaan dengan 38 minggu. Jangka waktu pranatal terbahagi kepada 3 peringkat perkembangan. Peringkat awal Persenyawaan antara sperma atau benih lelaki dan ovum iaitu benih perempuan adalah ketika bermula pertumbuhan manusia. Hasil percantuman ini menghasilkan zigot yang mewarisi ciri-ciri ibu dan ayahnya serta keturunan yang terdahulu. Tidak hairanlah jika anak yang bakal dilahirkan mempunyai hidung yang mancung dan alis mata yang lebat sedangkan kedua-dua ibu bapanya tidak mempunyai ciri-ciri itu. Zigot yang terbentuk mula membahagi kepada 2 sel kemudian setipa sel akan membahagi lagi kepada 2 sel dan akhirnya jumlahnya adalah 4 sel. 4 sel ini akan terus membahagi dan menghasilkan 8 sel sehinggalah membentuk 16 sel. Struktur ini disebut morula. Ianya mengambil masa 3 hari bertukar bentuk bebola morula yang berlaku di salur rahim. Satu ruang terbentuk di dalam morula dan menukarkan ia kepada balstosista. Blastosista akan bergerak ke dalam salur rahim bagi proses pembenaman. Blastosista dipenuhi cecair yang memisahkannya kepada 2 lapisan sel iaitu: 1. Lapisan luar, bertanggungjawab bagi proses pembenaman. 2. Lapisan dalam, membentuk embrio. Perjalanan blastosista ke dinding rahim mengambil masa 5 sehingga 6 hari. Pada minggu ke-12, balstosista terbenam sepenuhnya pada dinding rahim. Namun pada ketika ini wanita yang hamil tidak akan mengalami apa-apa simptom kehamilan. Peringkat embrio Peringkat ini bermula selepas pembenaman blastosista sehinggalah akhir minggu kelapan. Lapisan luar blastitosta akan membiak dan membentuk sel-sel yang menjalar ke lapisan dalam rahim dan seterusnya dikelilingi oleh tasik-tasik kecil yang me-ngandungi darah. Bahan-bahan makanan dari salur darah ibu meresap ke dalam tasik ini dan sampai ke embrio. Pembenaman blatosista dan pelekatan embrio ke dinding rahim berlaku pada akhir minggu pertama sehingga akhir minggu ketiga. Pada minggu ketiga selepas persenyawaan, barulah wanita menyedari dia tidak mengalami haid. Kehamilan dapat dikesan seawal-awalnya pada minggu ketiga. Kehamilan dapat diketahui dengan mengesan kehadiran hormon gonadotropin dalam air kencing wanita itu. Perkembangan pesat embrio berlaku dari minggu ketiga sehingga minggu kelapan. Perkembangan embrio bermula di bahagian otak dan kepala. Sistem saraf yang sempurna penting bagi membolehkan sistem-sistem yang lain berfungsi. Perkembangan otak yang cepat menyebabkan perkembangan kepala yang amat ketara. Menjelang hari yang ke-28 kehamilan, bahagian kepala berkembang sehingga mencapai satu pertiga daripada panjang embrio. Panjang seluruh tubuh adalah kira-kira ½ inci iaitu hampir 10000 kali berbanding dengan ovum yang sudah disenyawakan. Perkembangan jantung dan anggota juga berlaku. Jantung mula berdenyut pada akhir minggu ketiga. Semua organ utama terbentuk pada minggu keempat sehingga minggu kelapan. Pada akhir minggu kelapan, embrio sudah dilengkapi dengan sistem pendengaran, penglihatan, tulang, daging, kulit dan organ-organ asas, tetapi masih tidak boleh berfungsi. Embrio mempunyai organ pembiakan iaitu testis pada embrio lelaki dan ovari pada embrio wanita. Embrio berukuran 30mm panjang dan mempunyai bentuk manusia. Peringkat janin dan fetus Peringkat ini bermula pada minggu ke sembilan kehamilan sehinggalah bayi dilahirkan. Pada peringkat organ yang sudah terbentuk akan terus berkembang pesat. Badan, kepala, lengan dan kaki berkembang dengan cepat. Begitu juga dengan organ bagi peredaran darah, pernafasan dan pencemaran semuanya berkembang dengan pesat. Perkembangan saraf dan otot turut berlaku. Jantung mula mengepam darah melalui salur darah. Perkembangan otak juga berlaku dan akhirnya janin bertukar menjadi bentuk bayi. Minggu ke–9 sehingga minggu ke-12 Pada awal minggu ke-9, ukuran kepala janin adalah separuh panjang badannya. Pertumbuhan badan janin berlaku semakin pesat sehingga akhir minggu ke-12. Panjangnya meningkat dua kali ganda. Berat janin dianggarkan 4 gram. Pada peringkat ini, organ utama tubuh sudah terbentuk, jantung berdegup cepat, darah beredar melalui salur darah, perut janin mula aktif, ginjal mula berfungsi. Perubahan yang berlaku seterusnya adalah pertambahan daripada segi saiz dan fungsinya. Uri kian membesar dan ketika ini mempunyai 6 kali ganda lebih berat dari janin. Apabila organ seks terbentuk, jantina janin sudah boleh dikenal pasti melalui kaedah bunyi ultra. Ada kalanya lengan, kaki, jari mula membuat pergerakan spontan tetapi tidak begitu dirasai oleh ibu. Minggu ke-13 sehingga ke-16 Janin kini berukuran lebih kurang 18 sm atau 7 inci panjang dan mempunyai berat 100 gram. Kepala janin masih besar jika dibandingkan dengan tubuhnya. Jantungnya berdegup cepat dan otot-ototnya kini kian aktif. Biasanya jantina janin sudah dapat dikenal pasti pada peringkat ini. Pada usia 4 bulan ini, uri sudah lengkap terbentuk dengan sempurna dan melekat pada dinding rahim. Berat uri hampir sama dengan berat janin. Janin dihubungkan ke uri melalui tali pusat. Tali pusat terdiri daripada salur darah yang membawa zat makanan daripada ibu. Ianya juga mengandungi hasil sisa daripada janin kepada ibu supaya dikumuhkan. Janin pada peringkat ini menghisap ibu jari tangannya apabila bersentuhan dengan bibir. Minggu ke-17 sehingga minggu ke-20 Janin kini merupai bentuk manusia. Panjangnya lebih kurang 25 sm atau 10inci, manakala beratnya ialah 300 gram. Bulu roma halus mula tumbuh pada kulitnya. Rambut juga mulai tumbuh di kepalanya. Begitu juga dengan bulu kening dan bulu mata. Matanya masih tertutup. Kuku mulai kelihatan pada jarinya. Zat nutrien dan oksigen disampaikan pada janin melalui salur tali pusat, begitu juga dengan bahan buangan yang keluar dari tubuh janin. Perkembangan uri semakin perlahan manakala janin terus membesar sehingga di bawah aras pusat ibu. Janin lebih berat daripada uri. Minggu ke-21 sehingga minggu ke-26 Janin berukuran 32 sm panjang dan berat 650gram. Kulit janin kelihatan kurang kemerahan dan diliputi oleh bulu roma. Matanya mulai membuka dan mengatup. Otot pada lengan dan kaki semakin kuat dan kental. Aktiviti janin semakin meningkat daripada segi kekerapan dan kekuatannya. Janin semakin membesar. Pada masa ini, ibu terasa kandungan dalam perutnya. Namun begitu, sistem pernafasan tidak matang lagi. Sekiranya kelahiran berlaku pada tahap ini, bayi mungkin akan mati. Minggu ke-26 sehingga minggu ke-29 Pada masa ini, janin berukuran kira-kira 35 sm panjang dan mempunyai berat lebih kurang 1000 gram. Sekiranya bayi lahir pada bulan ke-7 atau minggu ke-28, kemungkinan bayi dapat hidup kerana peparu dan salur darahnya sudah berkembang bagi mem-benarkan pertukaran gas. Pada peringkat ini, peparu terus berkembang. Pertumbuhan otak masih berlaku dengan cepat. Badan janin kurus, manakala kulitnya masih kemerahan dan diliputi oleh lapisan pelindung yang dihasilkan oleh kelenjar kecil di kulit yang dikenali sebagai verniks kaseosa. Janin kini sudah boleh membuka matanya. Degupan jantung janin sudah dapat didengari dengan jelas. Janin bergerak aktif di dalam rahim sehinggakan ibu boleh merasai tendangannya. Minggu ke-30 sehingga minggu ke-38 Pada minggu ke-32, janin dianggarkan 43 sm panjang dan beratnya 1800gram. Kulit janin masih kemerahan, tetapi agak berkedut. Tulang kepalanya lembut. Peparunya berkembang baik dan sudah boleh berfungsi. Janin boleh mendengar bunyi yang kuat dan memberikan respons dengan menggerakkan kaki dan lengan. Pada minggu ke-36, janin dianggarkan berukuran 46 sm panjang 2500 gram berat. Berat badannya bertambah dalam masa 4 minggu terakhir. Ini kerana terdapat banyak lemak yang termendap di bawah kulit, rupa janin yang dahulunya seperti orang tua yang berkulit nipis dan berkedut bertukar menjadi bayi yang berisi. Peningkatan berat bayi ber-tambah berikutan peningkatan simpanan bahan makanan dan juga lemak. Penurunan testis ke dalam skrotum berlaku pada janin lelaki. Perkembangan sistem saraf terus berlaku. Pada minggu ke-38, janin sudah sempurna anggota tubuhnya dan bersedia ke alam baru. Kelahiran Apabila seseorang wanita disahkan mengandung, doktor akan mengira 280 hari mulai dari hari terakhir kedatangan haid dan ini akan dijangkakan sebagai hari kelahiran bayi. Namun, kadangkala tarikh ini tidak tepat kerana kebanyakan kes kelahiran berlaku seminggu sebelum atau selepas tarikh itu. Proses kelahiran dibahagikan kepada 3 tahap iaitu: Tahap pertama - Pembukaan serviks. Tahap kedua - Kelahiran bayi. Tahap ketiga - Pengeluaran plasenta selepas kelahiran. Tahap pertama Tahap ini adalah tahap yang paling lama terutama bagi wanita yang kali pertama melahirkan anak (10-16 jam) berbanding wanita yang pernah melahirkan anak (6-11 jam). Kontraksi Braxton-Hicks adalah kontraksi yang dirasai secara kadang-kadang atau sekejap-sekejap oleh wanita terutamanya sepanjang dua bulan terakhir kehamilan. Bahagian terakhir dalam tahap ini dipanggil ‘transition’ dan ini adalah bahagian yang paling sukar kerana kontraksi yang dialami semasa ini adalah yang paling sakit sekali. Wanita selalu meneran sebelum bayi keluar pada masa ini walhal masa kelahiran masih belum tiba. Pada masa ini, wanita kadangkala diberikan ubat penenang bagi mengurangkan kesakitan. Sebenarnya ia boleh memberikan kesan kepada bayi. Selain kaedah ini, terdapat kaedah lain bagi mengawal kesakitan yang dipanggil ‘Epidural Block’. Tahap kedua Tahap ini bermula apabila serviks sudah membuka sepenuhnya dan berakhir dengan proses kelahiran bayi. Pada tahap ini, wanita menggunakan tenaga fizikal bagi meneran bayi keluar. Tahap kedua boleh menjadi cepat secepat 5 minit bagi sesetengah wanita terutamanya yang pernah melahirkan anak. Namun bagi wanita yang pertama kali melahirkan anak, kebiasaannya ia berlangsung selama 1 sehingga 2 jam. Apabila bayi bergerak melalui serviks ke vagina, ibu akan berasa ingin meneran. Apabila kepala bayi kelihatan dan mukanya menghadap bahagian bawah, doktor akan memastikan tali pusat tidak meliliti leher bayi kerana ini membahayakan bayi. Kemudian, bahu bayi akan disengetkan supaya boleh muat melalui pembukaan vagina ibu. Selepas bahu keluar, bahagian badan yang lain akan keluar dan bayi akan mengambil nafas yang pertama dan kebiasaannya menangis. Kemudiannya, tali pusat sepanjang kira-kira 3 inci akan dipotong. Tahap ketiga Kontraksi berterusan selepas bayi dilahirkan bagi membantu pengeluaran plasenta. Dalam 15-30 minit selepas kelahiran bayi, plasenta akan keluar dan doktor akan memeriksa kesemua bahagian plasenta yang sudah keluar kerana jika tertinggal, ia dapat membahayakan ibu. Cara-cara Kelahiran Pelbagai persiapan dan pilihan bagi proses kelahiran. Ini bergantung kepada faktor-faktor risiko ibu seperti umur, berat dan kesihatan. Wanita yang berisiko mengalami komplikasi ketika proses kelahiran adalah: Remaja perempuan. Wanita berumur 35-40 tahun yang melahirkan anak pertama mereka. Wanita yang mengalami penyakit atau situasi tertentu. Wanita yang mengandungkan anak kembar. Kelahiran Lamaze Dr. Fernald Lamaze mengambil teknik ini daripada doktor Russia ketika Perang Dunia Ke-2. Melalui kaedah pernafasan dan perehatan otot, wanita dijangkakan memberikan respons yang positif pada kesakitan yang dialami. Kebiasaannya, kelas Lamaze ini merangkumi 6 minggu (1 minggu 1 sesi) yang mana ia adalah persediaan bagi menempuhi proses kelahiran: Bagaimana proses kelahiran bayi. Bagaimana hendak bernafas bagi mengawal kesakitan dan ketidakselesaan ketika proses kelahiran. Bagaimana memfokuskan kepada proses berehat melalui pemikiran dan perasaan. Bagaimana bapa boleh membantu. Leboyer atau kelahiran tanpa keganasan Kaedah ini dibangunkan oleh Dr. Frederick Leboyer. Beliau memperkenalkan teknik bagi mengurangkan trauma bayi yang hendak dilahirkan dengan membuatkan persekitaran lebih kurang sama dengan persekitaran semasa di dalam rahim ibu. Komplikasi Kelahiran Pembedahan Caesarean Kini kaedah pembedahan ini sudah menjadi pembedahan major dan menjadi pilihan wanita yang tidak mahu melahirkan anak secara normal. Melalui pembedahan ini bayi tidak akan dilahirkan melalui vagina ibu. Bayi dilahirkan melalui pembedahan yang dijalankan pada abdomen ibu. Berbanding dengan kelahiran normal, pembedahan caesarean lebih mahal, merangkumi proses kelahiran yang lama dan berisiko tinggi mendapat infeksi. Kelahiran paksa Kadangkala terdapat beberapa situasi yang tidak sesuai bagi ibu dan fetus dan dalam hal ini kelahiran paksa digunakan. Pitosin atau lain-lain ubat digunakan bagi memulakan kelahiran. Ini mungkin membahayakan bayi kerana bayi mungkin masih belum bersedia lagi untuk hidup di luar rahim ibu. Walaupun sudah disahkan penerusan kehamilan yang akan membahayakan ibu atau bayi, keputusan untuk kelahiran paksa ini perlu dibuat dengan berhati-hati. Perspektif Perspektif ibu Pengalaman ibu semasa proses kelahiran mendatangkan perasaan positif dan negatif. Kadangkala ibu mengalami ‘baby blues’ dan antara faktor yang menyumbang ke arah terjadinya perkara ini adalah: Perubahan biologi. Kelesuan. Hilang perhatian. Peningkatan permintaan atau tanggungjawab di rumah. Perasaan ini bermula sehari atau sejurus selepas kelahiran dan kebiasaannya berlangsung selama seminggu atau dua minggu dan berakhir dengan sendiri tanpa memerlukan apa-apa rawatan. Perspektif bapa Kini ramai bapa memainkan peranan dalam proses kelahiran. Semakin lebih perhatian bapa, perasaan rapat dengan isteri dan anak yang baru dilahirkan semakin besar. Perspektif bayi Bayi yang baru dilahirkan menghasilkan hormon ‘tekanan’ yang dipanggil ‘catecholamines’ yang membantu membersihkan paru-paru bayi dan membantu pernafasan normal. Ia juga meningkatkan metabolisme dan tenaga bayi. Hubungan ibu bapa-bayi Apabila ibu dan bayi menghabiskan masa bersama selepas kelahiran, ini dapat menghasilkan hubungan istimewa yang membantu bayi membesar. Selepas sebulan, ibu dapat merasakan respons dari bayi mereka. Terdapat masa sensitif sejurus selepas kelahiran di mana ia adalah hubungan fizikal antara ibu dan bayi dan apabila hubungan ini terganggu, kegagalan keibubapaan akan terjadi dan ini menyebabkan anak lebih berisiko didera dan diabaikan. Ciri-ciri Bayi yang Baru Dilahirkan Bayi yang baru dilahirkan sehingga berusia 1 ataupun 2 bulan dipanggil neonate. Bagi bertahan, bayi yang baru dilahirkan ini perlu berjaya mengharungi 4 perkara major seperti: Bernafas dengan sendiri. Melakukan pertukaran peredaran darah. Mengawal suhu badan. Menghadamkan makanan. Penampilan fizikal Bayi yang baru dilahirkan mempunyai ukuran panjang 19-21 inci dan ini bergantung kepada saiz uterus ibu berbanding genetik. Berat bagi bayi yang baru dilahirkan pula kira-kira 7-7.5 paun. Selepas bayi keluar dari vagina, kepala bayi tidak berbentuk sempurna, muka bengkak dan hidung agak rata. Ini disebabkan oleh tekanan semasa melalui saluran kelahiran. Bayi yang baru dilahirkan ini juga diselaputi oleh selaput berwarna putih dan melekit. Selaput ini dipanggil vernix caseosa dan ia berfungsi sebagai pelindung bayi daripada bakteria. Skala Apgar digunakan bagi menentukan sama ada bayi memerlukan rawatan kecemasan ataupun tidak. Skala ini adalah salah satu cara mendiagnosis masalah yang berpotensi dialami oleh bayi. Ini berdasarkan 5 perkara yang diuji iaitu respirasi, tindak balas refleks, otot, warna dan degupan jantung. Refleks Refleks adalah tindak balas yang mudah, berkoordinasi dan memberikan jalan yang terhad bagi bayi supaya dapat berinteraksi dengan persekitaran mereka. Antara refleks adalah ‘Refleks Perlindungan’ seperti batuk, bersin, kerdipan mata dan pergerakan otot. Refleks ini boleh dijadikan indikator dalam perkembangan sistem saraf. Refleks yang terlalu kuat ataupun lemah atau yang tidak menunjukkan sebarang perubahan perkembangan mungkin menunjukkan yang bayi itu mempunyai masalah. Perubahan Perubahan dapat dilihat pada tahap kebangkitan di mana bayi berjaga-jaga, memberikan perhatian dan alam sedar. Tahap-tahap yang berbeza ini dapat diterangkan dalam 6 kategori major iaitu menangis, meragam, mengantuk, transisi, tidur pura-pura dan tidur nyenyak. Corak tidur bayi Bayi yang baru dilahirkan tidur purata 16 jam sehari. Bayi tidak tidur selama 16 jam sekali gus tetapi tidur sebanyak 6 ataupun 7 kali sehari, kira-kira 2 sehingga 3 jam sekali. Bayi yang baru dilahirkan mungkin tidur bagi beberapa minit ataupun jam sepanjang waktu siang. Tetapi dalam 2 minggu yang terakhir, bayi mungkin tidur lebih lama pada waktu malam berbanding waktu siang. Semakin mereka membesar, masa tidur mereka turut berubah. Peniruan Salah satu kebolehan istimewa bayi yang baru dilahirkan adalah mereka dapat meniru mimik muka. Bayi yang berusia 1 ke-3 hari dapat meniru mimik muka yang mudah dan pergerakan kepala. Ketika berusia 6 minggu, bayi dapat meniru kelakuan yang dilakukan oleh seseorang individu yang diingatinya. Penilaian kelakuan neonatal Kelakuan bayi turut menggambarkan perkembangan dan kesihatan bayi. ‘Skala Penilaian Tingkah Laku Bayi’ atau Neonatal Behavioral Assessment Scale digunakan bagi menilai respons bayi pada persekitaran. Skala ini mengenal pasti bayi yang mengalami kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran di luar rahim. Perkembangan Otak Bayi pada Peringkat Awal Acara progresif yang berlaku dalam perkembangan otak bayi sangat penting. Bayi yang baru dilahirkan mempunyai kira-kira 100 bilion neuron. Perkembangan yang berlaku merangkumi perkembangan dan pembentukan sel yang mengandungi berbilion talian sinaps. Persekitaran yang tidak sesuai seperti janin yang didedahkan kepada dadah dan alkohol, dapat mengganggu perkembangan ini. Acara regresif pula termasuklah kematian sel dan hilangnya hubungan antara neuron. Penerimaan Bayi ke atas Dunia Mereka Penglihatan Mata adalah salah satu pancaindera yang sangat penting kepada seseorang kerana melalui mata kira-kira 90 peratus daripada rangsangan dari alam sekeliling dapat ditanggapi. Bayi yang baru lahir mempunyai penglihatan yang teruk dan mereka hanya dapat melihat sejauh 20 kaki sahaja. Penglihatan mereka kabur berbanding orang dewasa. Kebiasaannya bayi lebih tertarik kepada objek yang menyerlah, objek yang bergerak, bahagian yang terang dan bahagian yang besar. Jika kanak-kanak berumur 3 bulan, penyelarasan di antara kedua biji mata ini dapat dicapai dan dengan itu ia mempunyai kebolehan memandang dengan lebih berkesan. Walaupun begitu, oleh sebab otot matanya masih lemah, kerap kali terdapat kekurangan penyelarasan terutama apabila kanak-kanak itu letih atau menangis. Keadaan ini berlanjutan sehingga umur kanak-kanak itu 5 ataupun 6 tahun. Perkembangan mata kanak-kanak mempunyai kaitan yang rapat dengan keadaan kesihatan pemakanan dan juga penggunaan mata itu. Memaksa kanak-kanak membaca huruf yang dicetak dengan saiz yang kecil dapat merosakkan pandangan mereka kerana dengan berbuat demikian, ia akan memaksa otot yang mengawal biji mata bagi mengadakan penyelarasan. Ini mendatangkan keletihan. Pendengaran Telinga juga adalah satu daripada pancaindera yang penting bagi menerima rangsangan yang berbentuk suara dan bunyi. Pada masa dilahirkan seseorang bayi sudah mempunyai telinga yang cukup berkembang. Telinga dalam dan telinga tengahnya sudah mencapai peringkat dewasa pada masa ia dilahirkan lagi. Bayi yang baru lahir tidak dapat mendengar bunyi yang wujud dalam masa yang sekejap dan bayi lebih tertarik kepada suara yang mempunyai pic yang tinggi seperti suara wanita. Bayi lebih mudah mendengar bunyi yang datang dari arah kiri berbanding kanan. Pada masa ia berumur dua bulan, bayi menunjukkan gerak balas yang lebih kepada suara berbanding dengan bunyi lain dan selepas dua bulan ketajaman pendengarannya meliputi semua bunyi lain juga. Perbezaan utama di antara telinga kanak-kanak dengan telinga orang dewasa selain daripada saiznya adalah keadaan saluran eustachian yang menyambungkan di antara telinga tengah dengan kerongkong. Bagi kanak-kanak kecil, saluran ini masih pendek dan dengan sebab itu apabila kanak-kanak itu dijangkiti penyakit selesema dan batuk, kuman yang membiak di bahagian kerongkong dengan mudah merebak ke bahagian telinga tengah dan menyebabkan kerosakan pendengaran. Oleh yang demikian, sangat mustahak menjaganya supaya penyakit kerongkong, batuk, dan selesema kanak-kanak itu tidak merebak dan berpanjangan. Dunia rasa Bayi yang baru lahir tidak memberikan reaksi kepada cairan garam, gula, air limau, kuinin apabila diletakkan pada lidah. Ini membuktikan yang bayi kurang mempunyai kuasa merasa sesuatu. Walaupun begitu, kebolehan merasa ini berkembang dengan cepat kerana dalam masa dua minggu selepas dilahirkan ia dapat membezakan antara rasa manis dengan perbuatan menghisap dan rasa pahit dan masam dengan mengerutkan muka. Perkembangan merasa ini berkembang terus manakala kanak-kanak itu beransur-ansur besar. Hidung dan deria bau Deria bau bayi sudah cukup berkembang pada masa ia dilahirkan dan terus berkembang apabila meningkat besar. Penyelidikan menunjukkan yang bayi dapat membezakan di antara bau yang menyenangkan dengan bau yang sebaliknya. Mereka menunjukkan kelakuan menghisap apabila terbau bau yang menyenangkan dan menunjukkan muka yang kecut dan memalingkan muka ke tempat lain apabila terbau bau yang tidak menyenangkan. Walaupun begitu, bayi masih tidak dapat membezakan bau yang lemah. Tetapi ada bukti yang menunjukkan kanak-kanak lebih gelisah apabila terhidu bau yang tidak bersih. Seterusnya apabila ada bau yang lebih kuat, ia dapat menimbulkan kegelisahan yang lebih. Merasa melalui kulit dan kinestetik Selain daripada alat pancaindera di atas, seseorang itu menerima maklumat dengan melalui proses merasa daripada kulit dan juga kinestetik iaitu maklumat berkenaan kedudukan badannya pada sesuatu ketika. Kulit bayi mempunyai jalinan yang sangat nipis. Sungguhpun begitu, ia lengkap dengan alat pemerasan seperti alat sentuhan, tekanan, sakit dan suhu seperti yang terdapat pada orang dewasa. Dengan sebab itu, kulit bayi sangat perasa pada semua rangsangan yang kena pada kulitnya. Ia lebih merasakan panas dan sejuk dan memberikan gerak balas yang kuat kepada sentuhan atau geletekan dibandingkan dengan gerak balas yang dilakukan oleh kanak-kanak yang lebih besar. Bayi juga terlalu perasa pada perubahan kedudukan badannya. Sekiranya bayi itu terjatuh, ditarik kepalanya ke atas ataupun terhentak, ia akan memberikan gerak balas bagi menyesuaikan kedudukannya. Jika seseorang bayi yang baru dilahirkan dipegang dengan tegak, kakinya akan terkapai-kapai seperti orang berjalan. Gerak balas ini kemudiannya berkait dengan daya mengekalkan kedudukan tegak masa berjalan, menunjukkan yang bayi itu berkebolehan memberikan reaksi kepada alat-alat perasa yang terletak pada urat daging dan juga di dalam saluran separuh bulat yang terdapat di dalam telinganya bagi menentukan keseimbangan badan. Bukti menunjukkan bayi yang baru dilahirkan itu dapat merasa kesakitan dan selepas beberapa lama selepas dilahirkan, daya rasa ini bertambah kuat bagi rangsangan yang sama. Daya rasa sakit berhubung rapat dengan pembelajaran yang semakin dikuasai oleh seseorang itu ketika ia bertambah besar. Bayi Berisiko Bayi yang mengalami risiko adalah: Bayi pramatang atau bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan ataupun terlalu awal sebelum 37 bulan kehamilan. Bayi yang tidak cukup berat badan. Bayi yang lahir lebih daripada 37 bulan kehamilan tetapi berat badan kurang daripada 5.5 paun. Sesetengah bayi memerlukan rawatan kesihatan yang intensif. Sebahagian dari bayi ini menjalani perkembangan yang normal, namun ada antara bayi yang mengalami masalah fizikal dan kognitif. Masalah ini selalunya didapati daripada bayi yang kurang berat badan. Menjaga bayi yang berisiko tinggi ini sangat mencabar dan bergantung kepada masalah bayi. Ini kadangkala memberi tekanan kepada keluarga bayi. Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pertumbuhan dan Perkembangan Pranatal Lapan puluh peratus bayi yang lahir cacat disebabkan faktor persekitaran. Bayi di dalam kandungan sekurang-kurangnya memerlukan dua jenis perlindungan. Cecair Amniotik Melindungi fetus daripada mengalami kecederaan fizikal. Sempadan Plasenta Dihasilkan oleh dinding saluran darah yang memisahkan sistem peredaran ibu dan janin. Ianya juga melindungi bayi daripada dimasuki bendasing-bendasing yang menyebabkan kecacatan bentuk pada janin mahupun tingkah laku dan kecerdasan otak. Alkohol dan arak adalah contoh teratogen iaitu agen benda asing yang masuk ke plasenta menyebabkan kecacatan bentuk pada janin, tingkah laku mahupun kognitif janin. Penyakit cacar, virus HIV, sinaran radiasi daripada X-Ray, racun serangga, dadah seperti kokain adalah contoh-contoh teratogen yang dapat mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan janin. Keseriusan jangkitan disebabkan oleh teratogen bergantung kepada beberapa perkara: Tempoh masa terdedah kepada teratogen Teratogen memberikan kesan kepada kandungan ibu. Struktur tubuh dan organ dapat terbantut disebabkan embrio terdedah kepada teratogen. Begitu juga apabila kandungan berada pada peringkat fatal, ianya dapat memusnahkan otak, sistem saraf dan akhirnya mempengaruhi tingkah laku dan kecerdasan bayi. Jumlah kandungan teratogen Kesan ke atas janin lebih serius sekiranya alkohol dan dadah diambil berlebihan dos. Sifat fetus Terdapat kandungan yang cukup sensitif dengan kehadiran teratogen ini sehingga menyebabkan kemusnahan pada fetus. Penyakit Seramai 3 sehingga 5 peratus kecacatan bayi disebabkan sama ada ibunya adalah pembawa ataupun faktor persekitaran. Rubella Plasenta barrier tidak dapat melindungi janin sepenuhnya semasa perkembangan bayi di dalam kandungan. Kajian mendapati sebanyak 30,000 bayi yang baru lahir meninggal dunia dan 16,000 bayi yang dilahirkan pekak dan buta. Antara kesan yang dibawa oleh rubella ini adalah selesema tetapi ramai di kalangan ibu-ibu memandang ringan pada keadaan ini. Sekiranya ibu dijangkiti rubella pada minggu ke-12 kandungan, bayi akan mengalami kesan sampingan sebanyak 80 peratus. Pada minggu ke-13 sehingga minggu ke-14 risikonya menurun kepada 50 peratus. Rubella dapat dicegah melalui imunisasi awal sebelum mengandung. Siplis Siplis disebabkan oleh bakteria yang memasuki plasenta dan mengganggu pertumbuhan kanak-kanak. Antara kesannya adalah penyakit mata dan kemungkinan buta. Pediatric AIDS Wanita yang mempunyai virus HIV akan memindahkan virus itu kepada kandungannya. Virus ini masuk ke dalam plasenta dan menyebabkan kecacatan pada kandungan. Semua bahan seperti dadah, thalidomide, alkohol, rokok kokain heroin memberikan kesan kepada pertumbuhan dan perkembangan bayi baik daripada segi fizikal malah mempengaruhi kecerdasan otak bayi. Persekitaran Berbahaya Agen seperti plumbum, racun serangga, bahan-bahan kimia berbahaya juga mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan janin yang rata-ratanya memberikan kesan yang negatif ke atas bayi yang bakal dilahirkan. Kondisi Ibu Umur ibu Ibu yang berusia 40 tahun ke atas mengalami risiko yang tinggi sekiranya mengandung. Kebiasaannya bayi yang dilahirkan mengalami Sindrom Down. Tekanan darah tinggi, diabetes, kardiavaskular yang dialami oleh ibu juga berisiko ke atas janin. Tekanan Ibu-ibu yang mengandung mempunyai mood yang berubah-ubah. Selalunya ibu berada dalam keadaan emosi yang tidak menentu. Ini disebabkan ketidakseimbangan hormon dalam tubuh badan. Ianya mungkin disebabkan persekitaran di mana kebanyakan ibu-ibu hari ini bekerja. Sokongan suami sangat diperlukan bagi mengurangkan tekanan emosi ibu. Ini kerana emosi ibu dapat mempengaruhi emosi anak yang bakal dilahirkan. Jarak kelahiran Jarak kelahiran antara anak pertama dan seterusnya juga mempengaruhi. Sistem endokrin wanita sekurang-kurangnya mengambil masa empat tahun bagi kembali pulih dan bersedia mengandung semula. Sekiranya jarak anak pertama dan seterusnya agak dekat, ibu mengalami masalah kekurangan darah bagi menampung janin dalam kandungan.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Setiap yang hidup mengalami perubahan mengikut proses pertumbuhan dan perkembangan. Pertumbuhan adalah perubahan yang bersifat kuantitatif iaitu sifat perubahan yang dapat diukur sama ada mengikut peringkat dan ketentuan masa. Apabila ia bersifat kuantitatif, setiap perubahan seseorang dapat dilihat dengan nyata berdasarkan pengukuran yang dibuat ke atas seseorang ataupun sesuatu organisma. Pertumbuhan yang biasa, kecuali yang disebabkan oleh penyakit kanser, selalunya berhenti manakala sesuatu organisma itu sampai ke peringkat matang atau dewasa dan selepas itu pertumbuhan tidak lagi berlaku. Perkembangan pula adalah perubahan yang bersifat kualitatif iaitu sifat perubahan yang tidak dapat diukur secara kuantiti tetapi ternyata perubahan sudah berlaku yang melihatkan sifat berlainan daripada peringkat yang terdahulu. Berlainan dengan hal pertumbuhan, perkembangan berlaku daripada peringkat permulaan percambahan sehingga tamatnya hayat organisma. Ini bermakna, perkembangan bukan sahaja membawa sesuatu organisma ke peringkat matang, tetapi perkembangan berterusan berlaku walaupun peringkat kematangan dilampaui. Tegasnya, perkembangan sentiasa berlaku terus-menerus, dari awal sehingga akhir hayat sesuatu organisma. Proses pertumbuhan dan perkembangan bagi sesuatu organisma itu sudah sedia terancang dalam gen-gen yang diwarisi daripada keturunan yang terdahulu. Bagi sesuatu jenis organisma, sifat umum jenis itu iaitu phylogenetic adalah serupa. Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua kanak-kanak yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak. Prinsip Pertumbuhan dan Perkembangan Arah Perkembangan mempunyai arah baik sewaktu peringkat belum lahir mahupun pada peringkat sudah lahir. Arah-arah itu seperti: Arah kepala ke kaki (cephalocaudal) Arah tengah ke tepi (proximodistal) Mengikut arah kepala ke kaki, perkembangan bermula dari kepala dan bergerak ke arah kaki. Ini bermakna, perubahan awal pada struktur dan juga fungsi berlaku di bahagian kepala, kemudian di bahagian badan dan akhir sekali di bahagian kaki. Kepala kanak-kanak kecil biasanya berat kerana perkembangan sudah banyak berlaku di bahagian kepala dibandingkan dengan bahagian lain misalnya, bahagian kaki. Itu sebabnya apabila kanak-kanak ditiarapkan, dia hanya dapat mengangkat dadanya apabila ia dapat mengangkat kepalanya. Mengikut arah tengah ke tepi pula, perkembangan itu berlaku dari arah tengah badan menghala ke bahagian luar badan dan ke bahagian hujung anggota. Sewaktu di dalam kandungan, iaitu ketika bahagian kepala dan badan sudah dikatakan cukup terbentuk, bahagian anggota kaki dan tangan hanya merupakan puntung-puntung yang belum tumbuh. Secara beransur-ansur, puntung tangan ini memanjang dan berkembang menjadi tangan dan jari. Daripada segi fungsi, bayi yang dikandungi menggunakan lengan terlebih dahulu sebelum dapat menggunakan tangan dan jari. Susun atur tersendiri Corak perkembangan bayi adalah sama daripada satu peringkat ke peringkat yang lain. Sebelum berjalan, lazimnya seseorang kanak-kanak berdiri terlebih dahulu. Corak yang lazim ini tidak akan berubah. Jika seseorang kanak-kanak yang dilahirkan awal, dia mungkin terlambat dalam beberapa aspek perkembangan, tetapi dapat sampai ke peringkat kanak-kanak lain seperti yang sepatutnya. Menyeluruh Pada peringkat awal kehidupan, seseorang bayi hanya dapat memberi gerak balas secara menyeluruh ke atas sesuatu rangsangan kerana tulang dan otot masih belum matang. Umpamanya, jika seseorang bayi cuba mengambil sesuatu benda, hampir seluruh badannya bergerak bersama-sama dengan lengan dan tangannya kerana jarinya masih belum dapat digunakan. Selepas besar, pergerakan bagi mengambil sesuatu benda hanya memerlukan jari sahaja tanpa menggerakkan sebahagian besar badannya. Emosi kanak-kanak juga berlaku secara menyeluruh. Misalnya pada peringkat awal, ketakutan kanak-kanak ditunjukkan secara menyeluruh. Kemudian ketakutannya hanya kepada perkara-perkara tertentu sahaja. Ternyata perkembangan itu berlaku mengikut proses pembezaan. Selepas proses pembezaan mencapai sesuatu peringkat ketentuan, proses penyatuan pula berlaku. Umpamanya, beberapa kemahiran yang terdapat pada seseorang adalah pemilihan dan gabungan beberapa tingkah laku yang menjadi penggabungan baru. Berterusan Perkembangan diri seseorang berlaku secara berterusan. Ia bermula daripada percambahan sehingga akhir hayat. Perkembangan ini berlaku pada kelambatan atau kecepatan yang berbeza-beza. Disebabkan perkembangan itu berterusan, apa yang berlaku pada satu peringkat mempengaruhi peringkat yang lain. Umpamanya, rumah tangga yang tegang pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak mempengaruhi sahsiah kanak-kanak seterusnya. Tanggapan negatif kepada ibu bapa yang kerap bertengkar sukar dihapuskan. Perkembangan dan pertumbuhan jasmani pada peringkat awal terutama pada peringkat kehamilan dapat menentukan sifat kanak-kanak sewaktu dewasa nanti. Sekiranya berlaku kecacatan kecil pada peringkat awal kehamilan, kecacatan ini membesar selepas ia dewasa nanti. Kecepatan Kecepatan dalam proses perkembangan tidak pernah sama. Anggota yang berlainan mempunyai kecepatan yang berlainan. Kanak-kanak yang tinggi kecerdasannya tetapi masih belum matang selalunya mempunyai perkembangan kecerdasan yang mendahului peringkat kematangan jasmani, kemasyarakatan dan emosi. Mereka selalunya susah menyesuaikan diri dengan kanak-kanak yang sebaya dan juga dengan kanak-kanak yang lebih tua. Berkaitan dan mempengaruhi Perkembangan dan pertumbuhan satu-satu anggota adalah berkaitan dan mempengaruhi perubahan keseluruhan anggota lain. Pertalian ternyata didapati di antara kematangan jasmani dengan kematangan mental. Kesan daripada keadaan ini, kanak-kanak yang cepat matang berbeza dengan kanak-kanak lain yang sebaya tetapi lambat matang. Perbezaan ini bukan sahaja terdapat pada keadaan jasmani mereka tetapi juga daripada segi mental dan tingkah laku. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan perkembangan itu adalah proses yang bersepadu melibatkan penyesuaian keseluruhan badan. Berbeza Setiap individu mempunyai corak perkembangannya tersendiri. Justeru, tidak semua kanak-kanak sampai kepada titik perkembangan yang sama pada peringkat umur yang sama. Frank (1950) mengatakan perkembangan hidup seseorang bergantung kepada pewarisan dan alam sekeliling yang amat unik. Walaupun kecepatan perkembangan mungkin berbeza-beza bagi kanak-kanak, perkembangan ini adalah tekal. Kanak-kanak yang berbadan tinggi pada satu peringkat umur akan berbadan tinggi juga pada peringkat-peringkat umur yang lain, sedangkan yang berbadan rendah akan rendah juga kemudiannya. Lingkungan umur akal bagi kanak-kanak cerdas, sederhana dan lembap juga menunjukkan ketekalan sebagaimana sifat jasmani tadi. Perkembangan mental yang cepat akan berterusan cepatnya sedangkan kanak-kanak yang cacat otaknya tertinggal semakin jauh apabila dia semakin membesar. Kemajuan perkembangan kanak-kanak akan berkeadaan tekal dan ia bergerak maju atau berkembang mengikut kecepatan yang dimulakannya. Oleh sebab tiap-tiap kanak-kanak mempunyai sifat kecepatan perkembangannya sendiri, maka tidak boleh diharapkan semua kanak-kanak itu mempunyai tingkah laku yang sama walaupun mereka mempunyai peringkat umur yang sama. Berperingkat-peringkat Hidup manusia berperingkat-peringkat. Setiap peringkat dapat di-bezakan melalui sifat yang nyata bagi peringkat itu. Sifat tertentu bagi sesuatu peringkat itu memberikan sifat keutuhan dan sifat yang unik. Walaupun terdapat peringkat-peringkat ini, tetapi garis-garis pembahagian tidak nyata bagi memisahkan di antara satu dengan yang lain. Terdapat tujuh peringkat perkembangan yang ketara iaitu: Peringkat 1 Peringkat sebelum lahir sehingga bayi dilahirkan. 280 hari dalam kandungan. Peringkat 2 Peringkat bayi merah iaitu daripada masa lahir sehingga kira-kira 10 ataupun 14 hari kemudian. Peringkat 3 Peringkat bayi daripada umur 2 minggu sehingga kira-kira 2 tahun. Peringkat 4 Peringkat kanak-kanak iaitu di antara umur 2 tahun sehingga akil baligh. Peringkat 5 Peringkat remaja iaitu daripada akil baligh sehingga peringkat dewasa iaitu kira-kira berumur 25 tahun. Peringkat 6 Peringkat dewasa. Peringkat 7 Peringkat tua. Perkaitan di antara Psikologi dengan Perkembangan Kanak-kanak Proses perkembangan meliputi aktiviti pengasuhan yang melibatkan interaksi di antara ibu bapa dengan anak. Dalam proses ini, tingkah laku ibu bapa dan juga anak semestinya mengarah kepada matlamat mendapatkan pembelajaran bagi anak dengan cara yang berkesan dan cepat. Psikologi perkembangan adalah sains yang mengkaji tingkah laku kanak-kanak dalam suasana pembelajaran di rumah dan sekolah terutamanya. Bidang ini bukan sahaja mementingkan keadaan pembelajaran tetapi keadaan yang mendatangkan kesan kepada pembelajaran itu. Sebagai satu bidang sains amali, psikologi perkembangan tidak mementingkan undang-undang pembelajaran yang am dengan sendirinya. Tetapi ia menangani sifat pembelajaran yang berkaitan dengan cara yang berkesan dalam menyampaikan pengajaran kepada kanak-kanak bertujuan mendapatkan kesan pembelajaran yang berkekalan. Bagi mendapatkan pembelajaran yang berkesan, sifat, tingkah laku dan perkembangan kanak-kanak, teori pembelajaran dan juga kandungan mata pelajaran serta situasi pembelajaran perlu diberikan pertimbangan. Dalam hal ini, teori tingkah laku yang didapati daripada kajian psikologi dapat memberikan dasar bagi memahami tingkah laku mereka sendiri Mengkaji Pertumbuhan dan Perkembangan Kanak-kanak Sebagai sains tingkah laku, psikologi menggunakan pendekatan, kaedah, dan nilai-nilai sains bagi mengkaji prinsip itu dengan tingkah laku seseorang. Bahan kajian psikologi adalah tingkah laku perseorangan yang dapat diperhatikan. Tujuan utama psikologi adalah mendapatkan undang-undang yang menerangkan perkaitan tingkah laku dengan satu-satu situasi, tingkah laku dengan satu-satu keadaan dan juga tingkah laku dengan tingkah laku yang lain. Sebagaimana juga dengan bidang sains yang lain, psikologi mencari jalan bagi memahami, menelah dan seterusnya mengawal tingkah laku yang dapat diperhatikan. Ini tidak bermakna bidang yang berhubung dengan pengalaman, pemikiran, proses kesedaran yang tidak dapat diperhatikan oleh orang lain ataupun tidak mendapat tempat di dalam psikologi. Segala kejadian ini adalah kejadian individu yang dapat diukur dan diperhatikan dengan menggunakan cara inferens iaitu membuat kesimpulan pada proses mental berdasarkan pemerhatian tingkah laku lain yang dapat diperhatikan.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Cemburu Perasaan cemburu adalah salah satu punca pertengkaran dan pergaduhan antara suami isteri. Kata orang tua-tua "cemburu tanda sayang". Adakah kata-kata itu benar? Apakah maknanya apabila seseorang itu berasa cemburu? Kita boleh berasa cemburu kepada seseorang walaupun antara kita dan orang itu tidak ada apa-apa ikatan hubungan yang mesra. Dalam erti kata yang lain kita boleh berasa cemburu walaupun kita baru mengharap-harapkan sahaja akan hubungan itu.Maksudnya, kita baru tertarik dengan orang itu sahaja. Emosi cemburu dalam keadaan itu dipenuhi oleh perasaan mengharap-harapkan orang itu, cintanya kemesraannya dan kehadirannya. Kita juga sangat meng-ingini apa yang dimiliki oleh orang itu. Lazimnya kita berasa malu kerana mencemburuinya. Kita tidak menaruh apa-apa kecurigaan dan syak ke atasnya. Kita juga tidak menaruh perasaan tidak percaya kepadanya. Kita juga tidak mengalami takut kehilangannya dan sakit hati kerana dimungkiri. Kuasa Tarikan Salah satu teori psikologi yang cuba menerangkan gejala perasaan cemburu ialah teori kuasa tarikan. Kuasa tarikan ialah faktor yang menyebabkan seseorang itu mempunyai keupayaan menarik minat orang lain kepada dirinya. Setiap individu memiliki kuasa tarikan. Setengah-setengah isteri memiliki kuasa tarikan yang amat tinggi ke atas suami mereka dan juga ke atas lelaki-lelaki lain. Ertinya, sebagai mana suaminya tertarik kepadanya, begitu juga lelaki-lelaki lain. Hal yang sama juga berlaku di kalangan lelaki. Walaupun sudah beristeri, ramai wanita lain masih amat tertarik kepada mereka. Namun ada pula isteri yang tidak memiliki daya tarikan langsung ke atas suami mereka. Begitu juga di kalangan suami. Tetapi tidak ada orang yang memiliki kuasa tarikan ke atas semua orang. Dalam erti kata yang lain, kita hanya dapat menarik minat orang-orang tertentu sahaja. Kuasa tarikan adalah sesuatu yang boleh timbul dan boleh hilang. Ia juga boleh timbul semula, atau hilang semula. Ia juga boleh dinaikkan dan boleh diturunkan. Sewaktu kita baru-baru jatuh cinta dulu, pasangan kita mempunyai kuasa tarikan yang kuat ke atas kita. Itulah sebabnya kita amat tertarik kepadanya. Selepas berkahwin beberapa lama, iaitu selepas kita melihat perangai-perangainya yang buruk, dan selepas selalu berkrisis dengannya, kuasa tarikannya ke atas diri kita turun. Kita tidak lagi seronok memandang wajahnya dan tidak lagi suka berada dekat di sisinya. Tetapi keadaan itu boleh dipulihkan dengan membuang faktor-faktor yang me-nyebabkan kita benci kepadanya, serta mewujudkan faktor-faktor yang menyebabkan kita suka semula kepadanya. Kuasa tarikan hapus sama sekali apabila kita mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan yang ada dan tidak mahu rujuk kepadanya lagi. Ramai pasangan tidak memiliki kuasa tarikan yang sama tinggi, di mana si suami mungkin jauh lebih menarik daripada si isteri, ataupun sebaliknya. Antara faktor-faktor yang menyebabkan ketidakseimbangan itu ialah perbezaan pada rupa paras, taraf pendidikan, bakat, pendapatan, populariti, usia, keturunan, kerjaya, status sosial dan lain-lain lagi. Pakar-pakar psikologi mengatakan ketidakseimbangan kuasa tarikan mempunyai kesan ke atas emosi, khususnya emosi cemburu. Isteri yang rendah kuasa tarikannya berasa seolah-olah dia teramat mencintai suaminya. Sebaliknya, si suami yang tinggi kuasa tarikannya berasa seolah-olah dia tidak berapa mencintai isterinya. Ini berbeza dengan pasangan yang mempunyai kuasa tarikan seimbang. Mereka berasa mereka mencintai pasangan mereka sebagaimana yang sebenarnya mereka rasakan. Sebagai contoh, isteri yang tidak berpendidikan tinggi tetapi mempunyai suami yang profesional, akan berasa seolah-olah dia teramat mencintai suaminya. Manakala si suami pula berasa seolah-olah dia tidak berapa mencintai isterinya. Dalam keadaan begini, emosi yang biasanya dialami oleh si isteri ialah rasa cemburu. Perasaan cemburu bukanlah tanda cinta, tetapi lebih kepada tanda perasaan ragu, curiga, khuatir, syak, bimbang, takut dan tidak selamat. Ia adalah juga manifestasi orang yang cemburu mempunyai hasrat mahu menguasai orang yang dicintai. Jadi, isteri yang cemburu adalah isteri yang mahu menguasai dan mengongkong suaminya, begitu juga halnya dengan suami yang cemburu. Isteri yang cemburu berhasrat mahu mengawal tingkah laku, fikiran dan emosi suaminya. Dia tidak mahu suaminya melakukan perkara-perkara tertentu, umpamanya dia tidak mahu suaminya balik lambat. Dia tidak mahu suaminya memikirkan perkara-perkara tertentu, umpamanya dia tidak mahu suaminya memikirkan hendak kahwin lain. Dan dia tidak mahu suaminya merasakan emosi-emosi tertentu, umpamanya dia tidak mahu suaminya tidak kasih kepadanya lagi, kerana itu semua membahayakan kedudukannya sebagai isteri. Emosi Cemburu Orang yang cemburu mengalami bermacam-macam emosi. Dia mudah hendak marah, cepat naik angin. Otot-otot badannya berasa tegang, dada rasa macam sesak. Dia berasa bagaikan hendak mengamuk, tetapi dia cuba mengawalnya. Dia berasa hendak menyakitkan hati orang itu sesakit-sakitnya. Dia ingin membalas dendam. Fikirannya tertumpu pada satu perkara sahaja, dia tidak dapat memikirkan apa-apa yang lain. Dia takut hendak melepaskan perasaannya, oleh itu dia cuba mengawal emosinya yang hendak meluahkan segala-galanya. Dia juga banyak memikirkan akibatnya kalau dia mengamuk. Dia cuba menyembunyikan perasaannya kerana dia takut orang lain tahu. Ada kalanya dia cuba melupakan perkara itu, oleh itu dia cuba memikirkan perkara-perkara lain. Reaksinya melebih-lebih sangat. Dia asyik memikirkan apa yang pasangannya dapat. Dia memikirkan nasib pasangannya yang lebih baik daripada nasibnya sendiri. Dia mungkin berasa tidak berdaya hendak mengatasi keadaan yang sedang berlaku ke atas dirinya. Dia hilang keyakinan yang dia dapat menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Dia berasa dirinya tidak dapat mengawal keadaan. Dia ragu kepada dirinya sendiri. Dia hilang keyakinan. Fikirannya berkecamuk, haru-biru. Macam-macam perkara melintas dalam kepalanya. Dia asyik memikirkan apa yang sudah terjadi sampai dia jadi begini. Dia macam tidak percaya. Dia sangat ingin tahu apa sebenarnya yang terjadi. Dia berasa kehilangan dan kerugian. Dia rindukan pasangannya, dia inginkan pasangannya kembali kepadanya seperti sedia kala. Dia memikirkan apa yang boleh dibuatnya untuk mengubah keadaan. Dia tertanya-tanya dan tercari-cari jawapan. Dia asyik berfikir 'mengapa' perkara itu terjadi. Dia tidak tahu hendak bertindak ataupun tidak. Dia berasa dirinya ditinggalkan begitu sahaja. Dia berasa dirinya dikhianati. Dia berasa dirinya dikecewakan. Dia juga asyik memikirkan dirinya sahaja. Dia berasa sepi, tersisih, tidak tahu ke mana hendak pergi. Dia berasa dunia seperti tidak pedulikannya. Ada kalanya dia berasa sedih, murung, dan kasihan kepada dirinya sendiri. Dia berasa dirinya kecil, tidak penting dan tidak berharga. Bagaimanakah tindak balas orang yang cemburu? Kajian menunjukkan tindak-balas mereka boleh dikelompokkan kepada lapan jenis: Kehancur-luluhan emosi Kesan ini sangat buruk, dan wanita lebih teruk mengalami kesan jenis ini. Mereka terkejut dengan apa yang terjadi. Mereka sukar percaya perkara itu benar terjadi. Mereka tidak tahu apa yang sepatutnya dibuat. Mereka tidak dapat memikirkan perkara lain lagi. Mereka juga tidak dapat membuat kerja-kerja lain. Mereka rasa demam, badan jadi lemah, tidak berdaya. Mereka berasa takut. Mereka sedih dan murung. Mereka keliru. Mereka berasa diri mereka diperalatkan. Mereka menangis apabila bersendiri. Membalas dendam Tingkah laku ini dilakukan baik oleh lelaki mahupun wanita, tetapi lelaki lebih cenderung melakukannya. Mereka menjalin hubungan dengan orang lain. Mereka sengaja melakukan perbuatan-perbuatan yang membuat pasangan mereka cemburu. Mereka menunjukkan sikap tidak pedulikan pasangan. Mereka mengkritik dan memburuk-burukkan pasangan kepada orang lain. Mereka cuba meminta pihak ketiga bercakap dengan pasangan mereka. Kebangkitan emosi Kesan ini berlaku kepada lelaki dan wanita. Mereka cuba memperbaiki hubungan, biasanya dengan cara memberi perhatian yang lebih banyak kepada pasangannya. Mereka mengadakan lebih banyak seks dengan pasangan. Mereka memonopoli masanya. Mereka lebih mudah terangsang oleh pasangannya. Mencari sokongan sosial Kesan ini lebih banyak dilakukan oleh wanita. Mereka bercakap dengan orang-orang yang rapat, seperti kawan baiknya tentang apa yang sedang mereka rasakan. Tetapi ada masanya mereka tidak mahu bercakap langsung, ini lebih banyak dilakukan oleh lelaki. Mereka cuba lari daripada keadaan itu dan menjalin interaksi yang pihak-pihak lain. Menghukum diri sendiri Kesan ini lebih banyak dialami oleh lelaki. Mereka berasa bersalah dan malu kerana cemburu. Mereka marah kepada diri sendiri. Mereka berasa seperti hendak membalas dendam. Mereka mendoakan mudah-mudahan pasangan mereka menderita. Bersemuka Tingkah laku ini lebih banyak dilakukan oleh lelaki. Mereka memaksa pasangan mereka menerangkan apa yang sebenarnya sudah terjadi. Mereka juga pergi bersemuka dengan orang ketiga. Ada kalanya mereka berlagak supaya pasangannya dan orang lain menyangka dia tidak peduli. Marah Kesan ini lebih banyak dialami oleh wanita. Mereka sangat marah kepada pasangannya dan kepada orang ketiga. Mereka menganggap pasangannya melakukan kesilapan. Mereka merasai diri mereka dikhianati. Mereka sangat kecewa kepada pasangannya. Timbul niat hendak membalas dendam. Menjaga air muka Mereka cuba berlagak dengan cara-cara supaya pasangan mereka menyangka mereka tidak peduli. Tingkah laku begini lebih banyak dilakukan oleh wanita. Mereka menjadi cepat marah kepada orang lain. Mereka takut hendak marah-marah kepada pasangan kerana takut hal itu merosakkan hubungan yang ada. Ada kalanya mereka terpaksa berlakon untuk menutup kecurangan suami. Seseorang yang berasa cemburu mungkin mengalami semua jenis tingkah laku itu pada waktu yang sama. Ada kalanya mereka mengalami sebahagian daripada tingkah laku dan emosi itu. Seseorang mungkin berasa marah dan sedih serentak. Ataupun dia terasa hendak menghukum pasangannya tetapi pada waktu yang sama dia juga berasa bersalah. Ataupun dia cuba menutup rahsia itu, tetapi ingin bercerita kepada kawan baiknya. Komitmen dan Cemburu Perasaan cemburu tidak muncul sendiri tanpa ada apa-apa sebab dan alasan. Bagi membolehkan perasaan cemburu muncul, pra syarat yang pertama kita mesti mempunyai rasa cinta dan kasih kepada orang itu. Kita tidak mungkin mencemburui orang yang tidak kita kasihi. Pra syarat yang kedua ialah kehadiran ancaman daripada pihak ketiga. Kita hanya berasa cemburu apabila kita takut kehilangan orang yang kita kasihi kepada pihak lain. Kita mungkin kehilangan orang itu apabila dia mati, atau apabila dia meninggalkan kita tanpa adanya orang ketiga. Dalam keadaan begitu, kita tidak cemburu meskipun kita kehilangannya. Pra syarat yang ketiga adalah komitmen. Istilah komitmen merujuk kepada hubungan saling bergantungan. Apabila kita berasa kita sangat memerlukan pasangan kita, maka kita dikatakan mempunyai komitmen yang tinggi kepada pasangan kita dan juga kepada perhubungan antara kita dan dirinya. Dalam erti kata yang lain, apabila kita mempunyai komitmen kepada pasangan, kita memberikan nilai yang tinggi kepada perkahwinan kita. Bukti-bukti komitmen yang tinggi adalah kita tidak akan melakukan apa-apa yang menguntungkan diri kita. Pada waktu yang sama ia merugikan pasangan kita. Oleh yang demikian kita tidak menyisihkan kepentingan pasangan kita dalam sebarang perancangan yang kita buat. Jadi, komitmen adalah pra syarat kepada emosi cemburu. Tanpa komitmen, tidak ada cemburu. Bagi kita yang mempunyai komitmen, perkahwinan kita adalah suatu pelaburan, di mana ia mempunyai potensi ganjaran masa depan, dan ganjaran mungkin hilang jika perhubungan itu berakhir. Perkahwinan menjanjikan banyak pulangan, antaranya anak-anak, kasih sayang, harta, kedudukan sosial dan banyak lagi. Jadi, sebarang perkara yang mengancam perkahwinan kita akan menimbulkan rasa tidak selamat dalam diri kita. Sebenarnya rasa tidak selamat yang dialami oleh ramai isteri bukan datang daripada sumber-sumber luar, khususnya wanita-wanita lain. Sehubungan dengan hal ini, kita selalu mendengar wanita berkata, "Musuh perempuan ialah perempuan." Kita juga selalu melihat bagaimana wanita menaruh curiga kepada wanita-wanita lain, sebagai contoh, isteri-isteri tidak mahu suaminya mengambil janda muda sebagai setiausahanya. Kedua-dua contoh itu memperlihatkan sikap dan kepercayaan yang rasa tidak selamat berpunca daripada orang-orang lain. Menurut pandangan kebanyakan wanita, jika tidak ada wanita lain yang cuba merampas suami mereka tentulah mereka berasa selamat, oleh itu mereka tidak akan cemburu. Ataupun, jika suami mereka sendiri tidak tergoda dengan wanita lain, mereka juga tidak akan berasa cemburu. Anggapan punca rasa selamat atau tidak selamat ada di luar diri kita sendiri adalah anggapan yang salah. Menurut pakar-pakar psikologi, rasa selamat datang daripada diri orang itu sendiri. Ia datang daripada fikiran orang itu terhadap orang-orang lain dan terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekelilingnya. Jadi, jika kita berasa tidak selamat, perasaan itu datang daripada fikiran kita sendiri. 1.Rasa tidak selamat datang daripada penilaian yang kita sendiri buat ke atas komitmen pasangan kita kepada diri kita dan kepada perhubungan kita dengannya. Jika pada penilaian kita suami kita mempunyai komitmen yang sangat tinggi kepada diri kita, maka kita akan berasa selamat. Jika pada penilaian kita, suami kita tidak komited kepada diri kita, maka kita berasa sangat tidak selamat. Apabila kita sendiri mempunyai komitmen, dan kita juga berasa selamat, kita tidak akan berasa cemburu terhadap pasangan kita. Jadi, seseorang isteri yang sangat kasih kepada suaminya, dan dia juga berasa kedudukannya sebagai isteri adalah sangat terjamin, maka dia tidak berasa cemburu. Sebaliknya apabila dia sangat kasih kepada suaminya, dan dia berasa tidak selamat, barulah dia berasa cemburu. 2.Perasaan selamat datang daripada keyakinan di mana pasangan kita sangat bergantung dan amat kasih kepada kita. Jadi, jikalau suami kita mempunyai hubungan lain, tetapi kita tidak tahu, kita akan terus berasa selamat dan tidak menaruh cemburu kepadanya. Begitu juga sebaliknya, jikalau suami kita tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan wanita lain, tetapi kita sangka sebaliknya, kita akan berasa sangat tidak selamat dan kita menjadi cemburu. Yang menjadi masalah adalah kita tidak boleh betul-betul tahu sejauh mana dia bergantung kepada kita, dan sebanyak mana kasih sayang dan komitmennya terhadap diri kita. Kita tahu dia kasih kepada kita, tetapi sejauh manakah kasihnya? Inilah salah satu faktor yang boleh membuatkan kita berasa tidak selamat. Akibatnya, semakin kita berasa komitmennya kepada kita kurang, semakin kita berasa tidak selamat, semakin mudah kita mencemburuinya. Tetapi apakah faktor-faktor yang menyebabkan kita berasa selamat ataupun tidak selamat? Kajian menunjukkan, rasa tidak selamat muncul apabila kita anggap pasangan kita tidak mempunyai komitmen yang kuat kepada diri kita dan kepada perhubungan antara kita dan dirinya. Sebenarnya, pasangan kita mungkin sangat komited kepada kita, tetapi apabila kita percaya dia tidak ada komitmen, maka kita akan cemburu. Ini soal sangkaan kita, soal apa yang kita fikir berkenaan komitmen pasangan kita. Ini bukan soal realiti. Jadi, realiti lain, sangkaan kita lain. Rasa cemburu datang daripada persepsi atau fikiran kita semata-mata. Apakah faktor-faktor yang membentuk persepsi kita terhadap pasangan kita, maka kita sangka dia tidak mempunyai komitmen tinggi kepada kita? Persepsi itu datang daripada perkara-perkara dan peristiwa-peristiwa yang kita anggap boleh mengurangkan komitmennya kepada kita. 1.Faktor utama yang boleh menyebabkan kita percaya pasangan kita tidak mempunyai komitmen yang tinggi adalah berapa sifat yang ada kepada diri sendiri. Sifat-sifat itulah yang menyebabkan kita selalu berasa tidak selamat, lalu mudah cemburu. Antara sifat-sifat yang menjadi punca kita berasa tidak selamat ialah estim-diri yang rendah. Estim-diri yang rendah membuat kita berasa hodoh, bodoh, kecil dan tidak penting. Keadaan ini datang apabila kita berasa diri kita tidak memiliki kejelitaan atau penampilan yang menarik di mata pasangan kita. Ia juga datang apabila kita berasa diri kita tidak memiliki sebarang keistimewaan. Sebagai contoh, kita tidak mempunyai kelulusan yang tinggi, bakat yang dihargai masyarakat, wang, kedudukan, jawatan dan kejayaan yang boleh dibanggakan oleh pasangan kita. Apabila dia yakin kita tidak memiliki daya tarikan yang tinggi ke atas pasangan kita, akibatnya, kita pun mula berfikir keadaan diri kita itulah menyebabkan komitmen pasangan kita berkurangan, oleh itu kita pun berasa tidak selamat, lalu mudah cemburu. 2.Kita berasa tidak selamat apabila kita berasa pasangan kita adalah seorang yang sangat menarik, barangkali kerana penampilannya, kelulusannya yang tinggi, jawatannya yang penting, wangnya yang banyak, kejayaannya dan statusnya dalam masyarakat. Ke-adaan ini boleh menyebabkan kita percaya komitmen pasangan kita kepada diri kita akan berkurangan. 3.Kita juga boleh berasa tidak selamat apabila pasangan kita selalu bercampur gaul dengan orang-orang yang menarik. Bayangkan kedudukan seorang isteri yang mempunyai suami yang bertugas di tempat di mana di situ terdapat ramai rakan sekerjanya yang terdiri daripada wanita-wanita yang cantik-cantik dan menarik. 4.Apabila kita menganggap pasangan kita sudah tidak banyak lagi melibatkan dirinya dengan kita. Sebagai contoh, dia kini terlalu sibuk dengan kerja-kerjanya sahaja dan tidak ada masa lagi untuk bersama-sama kita. Ataupun, dia kini tidak meminati lagi apa yang kita minati, umpamanya dulu dia suka membantu kita membuat kerja-kerja yang kita buat, tetapi kini tidak lagi. Akibatnya, kita boleh mula mengesyaki dia tidak lagi mempunyai komitmen yang tinggi kepada diri kita. Peristiwa-peristiwa yang berlaku juga boleh menimbulkan rasa tidak selamat dan cemburu di hati kita. Antara ciri-ciri peristiwa-peristiwa itu adalah: 1.Ia mengancam komitmen pasangan kita. Sebagai contoh, suami kita mengambil setiausaha baru, seorang janda, bekas isteri ketiga seorang jutawan, yang cantik dan mempunyai banyak harta yang diterima selepas perceraiannya. 2.Ia membayangkan perubahan sudah berlaku. Sebagai contoh, memang telah berlaku peristiwa-peristiwa yang dengan jelas menunjukkan suami kita sudah berubah. Kalau dahulu dia tidak cerewet dengan penampilannya, kini dia sangat mengambil berat serba-serbi berkaitan penampilannya. Umpamanya, dia menukar potongan dan pilihan warna pakaiannya. Dia menukar stail menyikat rambutnya dan kasutnya. Malah dia kini memakai minyak wangi. 3.Ia membayangkan pasangan kita kini lebih banyak mendahulukan kepentingannya sendiri. Dia kurang peduli kepada perasaan dan fikiran kita apabila membuat keputusan. Beberapa perkara yang dilakukan oleh pasangan kita juga boleh menyebabkan kita berasa tidak selamat, walaupun perkara-perkara itu tidak langsung melibatkan kehadiran orang ketiga. Ciri-ciri perkara itu adalah: 1.Apabila apa yang dilakukannya menyebabkan per-ubahan ke atas komitmennya terhadap diri kita. Sebagai contoh, dia lebih seronok melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak membolehkan kita ikut serta di dalamnya. Sebagai contoh, beliau lebih seronok menjalankan tugas-tugas perniagaan korporatnya sehingga dia kurang berada di rumah, dan seolah-olah tidak ada ruang bagi kita dalam jadual hariannya. Keadaan ini boleh menimbulkan rasa tidak selamat lagi dan seterusnya perasan cemburu. 2.Apabila hasil aktiviti yang dilakukannya itu tidak membawa keuntungan bersama. Dalam lain perkataan, hasil aktivitinya itu tidak ikut meng-untungkan kita. 3.Apabila dia membuat aktiviti-aktiviti itu tanpa mengambil kira kepentingan kita. Ertinya, dia hanya mementingkan kepentingannya sendiri sahaja. Ataupun, dia lebih banyak mengutamakan ke-pentingannya daripada kepentingan kita. Cemburu Buta Ramai lelaki tidak faham mengapa isteri mereka sangat cemburu kepada mereka. Mereka juga tidak selesa dengan keadaan di mana mereka dicemburui isteri. Walaupun emosi cemburu dialami baik oleh lelaki mahupun wanita, tetapi tingkah laku cemburu lelaki dan wanita mempunyai perbezaan di sana sini. Cara-cara mereka mengalami perasaan cemburu itu juga ada perbezaannya. Lazimnya, wanita lebih banyak merasakan emosi cemburu daripada lelaki. Cemburu ialah salah satu punca konflik yang serius antara suami isteri. Perasaan cemburu timbul apabila kita berasa perkahwinan kita sedang menghadapi ancaman. Kita berasa ada kemungkinan kita akan kehilangan suatu perhubungan yang sangat besar maknanya kepada diri kita. Dan perkahwinan adalah suatu perhubungan yang sangat besar ertinya kepada kita. Kehilangan itu pula adalah kehilangan kepada pihak lain. Jadi, adanya pihak lain adalah pra syarat kepada perasaan cemburu. Kalau tidak ada pihak lain, kita tidak akan cemburu. Sebagai contoh, apabila kita kehilangan perhubungan itu kerana pasangan kita meninggal dunia, ataupun pergi bertugas di tempat lain, ataupun meninggalkan kita tanpa dia menjalin hubungan baru dengan orang lain, maka kita tidak berasa cemburu kepada kehilangannya. Daripada satu sudut, cemburu mestilah didahului oleh wujudnya rasa terancam, dan ancaman itu mesti datang daripada pihak lain, iaitu yang diistilahkan sebagai ‘pesaing’. Salah satu punca tercetusnya rasa cemburu adalah apabila kita mengesyaki kasih sayang dan perhatian yang kita terima selama ini daripada pasangan kita akan diterima oleh orang lain, iaitu pesaing kita. Apabila kita kehilangan pasangan tetapi bukan kepada pesaing lain, maka kehilangan tidak menimbulkan rasa cemburu. Sebagai contoh, kita tidak mengalami rasa cemburu apabila kita kehilangan pasangan kerana dia pindah bertugas ke tempat lain, meninggal dunia, atau kita bercerai tetapi pada waktu itu dia tidak mempunyai hubungan dengan orang lain. Jadi, ancaman itu mesti datang daripada pesaing. Jadi cemburu sentiasa melibatkan hubungan tiga segi. Ancaman yang kita alami itu mungkin setakat suatu ketakutan semata-mata. Ketakutan itu mungkin tidak mempunyai asas sama sekali. Asal sahaja kita berasa takut kita mungkin akan kehilangan pasangan kita kepada orang lain, maka kita akan mengalami rasa cemburu. Ketakutan itu mungkin juga ketakutan yang betul-betul ada kerana ancaman itu sedang berlaku, ataupun ancaman itu telah berlaku pada masa lalu. Sebagai contoh, kita tahu dengan pasti pasangan kita mempunyai hubungan dengan orang lain, ataupun, pada masa lalu dia pernah mempunyai hubungan seperti itu dan dia pernah meninggalkan kita buat sementara. Cemburu sentiasa melibatkan ancaman kehilangan perhatian yang selama ini kita terima daripada pasangan kita. Perhatian itu ialah perhatian yang penting bagi pembentukan konsep-diri kita. Sebagai contoh, perhatian yang diterima oleh seorang wanita daripada suaminya menentukan bagaimana wanita itu menilai dirinya sendiri. Umpamanya, hasil daripada perhatian daripada suaminya si wanita menganggap dirinya seorang isteri yang menarik, baik, istimewa, dihargai, mulia dan lain-lain lagi konsep-diri. Daripada satu sudut lain, pasangan kita itu sendiri merupakan orang yang sangat penting bagi konsep-diri kita. Sebagai contoh, kita berasa diri kita seorang wanita yang mulia kerana suami kita adalah seorang yang mempunyai status tinggi dalam masyarakat. Sebagai contoh, kita menjadi 'datin' kerana menumpang status suami kita sebagai 'datuk.' Tanpa memiliki perkahwinan, kita tidak mungkin menjadi seorang yang dipanggil ‘teman hidup’ ataupun ‘isteri’. Kita sangat takut kehilangan perhatian yang diberikan oleh suami kita kerana tanpa perhatian itu kita tidak lagi boleh menganggap diri kita seorang ‘isteri yang dikasihi’. Kita juga takut kehilangan suami kita itu sendiri kepada orang lain, kerana dengan kehilangannya, kita kehilangan satu lagi sumber utama konsep-diri kita sendiri. Dalam erti kata yang lain, tanpa kedua-duanya, kita tidak lagi boleh mengatakan diri kita seorang wanita yang istimewa ataupun mulia. Tanpa mempunyai seorang 'datuk' sebagai suami, kita kehilangan kemuliaan status sebagai seorang 'datin.' Selama ini, kerana kita menerima perhatiannya, maka dengan itu kita terus-menerus dapat menganggap diri kita sebagai seorang isteri yang baik dan pandai menjaga suami. Beberapa ciri pada peribadi suami kita mungkin membantu kita menjadi lebih baik daripada kita yang dahulu. Sebagai contoh, kerana suami kita seorang yang berpendidikan dan berstatus tinggi dalam masyarakat, hasilnya kita banyak belajar daripadanya cara-cara orang kelas atasan bercakap dan bercampur gaul. Dengan hal yang demikian kita mula menganggap diri kita adalah salah seorang daripada anggota kelas atasan itu. Oleh kerana dia mendapat banyak penghormatan, maka kita sendiri ikut menerima peng-hormatan itu semata-mata kerana kita adalah isterinya. Ertinya, perkahwinan kita itu sangat besar peranannya dalam membentuk siapa diri kita sekarang. Maka itulah sebabnya, sebarang ancaman terhadap perkahwinan itu sangat menghancurkan diri kita. Jadi, ditinjau daripada satu segi, inti pati cemburu adalah keperluan untuk diperlukan. Kita memerlukan per-kahwinan itu kerana ia mencipta konsep-diri kita sekarang. Setengah-setengah aspek daripada konsep-diri kita hanya muncul dalam konteks hubungan perkahwinan. Kita mungkin melihat diri sendiri sebagai seorang pasangan yang menyeronokkan ataupun sebagai seorang isteri yang solehah. Kita tidak mungkin menjadi seorang isteri yang menyeronokkan tanpa adanya suami yang seronok, dan begitu juga, gelaran isteri yang solehah tidak ada makna jika tidak ada suami. Kita juga memerlukan perkahwinan kerana ia mengesahkan aspek-aspek tertentu pada diri kita. Sebagai contoh, sebelum berkahwin, kita memang yakin kita seorang yang menarik, dan memiliki bakat menjadi isteri yang baik. Maka, kehadiran seorang suami mengesahkan kepada kita keyakinan kita itu betul. Sekiranya tidak ada siapa yang memerlukan diri kita, maka konsep-diri kita tidak mungkin serupa seperti konsep-diri kita sekarang. Tanpa seorang suami, kita tidak mungkin melihat diri kita sebagai seorang ‘isteri’. Jadi, perkahwinanlah yang mencipta konsep-diri kita sebagai pasangan yang menyeronokkan dan isteri yang solehah. Oleh itu apabila seseorang wanita kehilangan suami, dia bukan hanya kehilangan suami dan sebahagian daripada harta kekayaan, dia sebenarnya kehilangan lebih banyak daripada itu. Oleh itu kita dapat memahami mengapa wanita sangat takut kehilangan suami. Cemburu mungkin timbul walaupun punca ancaman itu tidak wujud, ataupun punca itu tidak jelas, iaitu punca itu mungkin betul mungkin tidak, ataupun ancaman itu memang betul-betul wujud dan kesan-kesan ancaman itu sudah pun dialami.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



RAMAI orang salah sangka. Mereka menyangka apabila kedua-dua pihak suami dan isteri sama-sama menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, maka perkahwinan mereka akan bahagia. Ini tidak benar. Pakar-pakar psikologi dan kaunseling rumah tangga mengesahkan ramai orang yang meskipun mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik, tetapi mereka tidak berasa bahagia. Sebagai contoh, ramai isteri menjalankan tanggungjawab mereka dengan taat dan tekun, tetapi jiwa mereka terseksa. Demikian juga halnya, terdapat ramai suami yang dengan segala susah payah memikul tanggungjawab, tetapi mereka tahu jiwa mereka tidak bahagia. Apabila seseorang itu mempunyai rasa tanggungjawab, maka perasaan itu boleh mendorongnya sanggup melakukan perkara-perkara yang baik, meskipun batin mereka sangat terseksa. Sebagai contoh, didorong oleh rasa tanggungjawab, seorang bekas suami sanggup terus-menerus menanggung wang saku bekas isterinya sebanyak RM2 ribu sebulan meskipun bekas isterinya meracuni fikiran semua anak-anaknya dan tidak membenarkan dia menghubungi seorang anaknya yang masih berada dalam jagaan bekas isterinya. Sangkaan apabila kedua-dua belah pihak suami dan isteri sudah menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik, maka secara automatik, iklim bahagia akan wujud antara mereka berdua, itu adalah sangkaan yang salah. Rasa bahagia bukan datang daripada rasa tanggungjawab ataupun daripada perbuatan melaksanakan sesuatu tanggungjawab. Ramai orang yang menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab mereka sebagai suami ataupun isteri dengan baik, tetapi jiwa mereka tidak seronok dan tidak gembira dalam hubungan mereka sebagai suami isteri. Sebagai contoh, ramai isteri mengadu segala penat lelah mereka tidak dihargai oleh suami mereka kerana mereka tidak pernah menerima sebarang kata-kata pujian dan sanjungan daripada suami. Begitu pula terdapat ramai suami yang berasa segala pengorbanan mereka untuk menyukakan hati isteri tidak dihargai oleh isteri mereka. Mereka bekerja bertungkus-lumus untuk memberi kesenangan kepada isteri, tetapi tidak sepatah pun mereka menerima ucapan penghargaan. Yang mereka terima adalah pelbagai leteran, rungutan, kritikan dan teguran. Pantang mereka tersilap sedikit, mereka akan dituduh macam-macam oleh isteri. Pakar-pakar memberitahu iklim bahagia datang daripada emosi yang puas, tenang dan seronok bahagia bukan datang daripada rasa tanggungjawab. Iklim bahagia datang daripada emosi suami kepada isterinya, dan daripada emosi isteri terhadap suaminya. Ramai isteri yang berasa sangat bahagia walaupun suami mereka tidak mampu menjalankan semua tanggungjawabnya. Sebagai contoh, gaji suami tidak mampu membayar segala kos saraan keluarga. Dengan rasa gembira si isteri mengambil tugas membayar sebahagian kos itu, dan isteri-isteri itu bahagia dapat melakukan tugas itu. Ada kalanya terdapat isteri yang tidak berdaya membuat semua kerja rumah, tetapi suami mereka dengan gembira mengambil alih sebahagian daripada tugas-tugas isteri mereka. Memang benar, rasa tanggungjawab mendorong kita melakukan perkara-perkara yang baik bagi keluarga, tetapi sebenarnya, rasa bahagialah yang mendorong kita melakukan perkara-perkara yang sama tetapi dengan cara yang lebih baik lagi. Rasa bahagia datang daripada kemahiran berinteraksi antara suami isteri. Ramai orang tidak memiliki kemahiran bercinta-cintaan dan berkasih-kasihan. Lebih ramai orang yang menyangka kita tidak memerlukan kemahiran itu. Mereka menyangka, apabila kita mencintai seseorang, secara automatik kita akan menyukai orang itu dengan cara yang betul. Ini sangat tidak benar. Ia seperti pendapat yang mengatakan, apabila kita suka kepada permainan bola sepak, secara automatik kita akan pandai menyepak bola itu dengan cara yang betul. Selama ini kita menyangka, oleh kerana jatuh cinta berlaku secara natural, iaitu dengan tidak payah diajar dan tidak payah belajar, maka kita juga boleh bercinta secara natural. Justeru, idea supaya kita belajar teknik-teknik yang betul untuk bercinta dianggap mengada-ngada dan keterlaluan. Dalam bercinta, kita contohi sikap pelombong emas. Apabila mereka melombong emas, mereka mengangkat bertan-tan tanah dan lumpur kotor bagi mendapatkan emas yang sedikit. Namun, mereka berpegang kepada falsafah, yang mereka cari adalah emas, bukan tanah dan lumpur. Jadi, mereka tidak nampak lumpur yang bertantan itu, yang dipandang adalah emasnya. Untuk berbahagia, begitulah keadaannya apabila kita mencintai seseorang. Yang dicari adalah kebaikan orang itu, bukan kelemahan, kekurangan, kesilapan dan kesalahannya. Yang patut diiktiraf, dihargai, disebut dan dipuji adalah kebaikannya. Tetapi ramai orang meleteri, merungut, mengkritik, mengungkit, mencemuh, menegur dan mencela kekurangan pasangannya. Dalam semua perkahwinan, suami dan isteri sama-sama mempunyai pengharapan ke atas satu sama lain dan ke atas perkahwinan mereka. Harapan yang pertama adalah harapan untuk dapat menikmati kemesraan, keseronokan, kebahagiaan dan keintiman. Kedua adalah harapan dapat menikmati rasa kepuasan. Ketiga adalah harapan mereka akan saling percaya-mempercayai, saling hormat-menghormati, cinta-mencintai, jujur dan setia. Rasa bahagia tidak datang daripada harta, pangkat, rupa paras dan lain-lain seperti itu. Rasa bahagia datang apabila kita berasa kita mendapat banyak faedah dan ganjaran daripada perkahwinan kita itu dan daripada pasangan kita. Orang yang puas, dan oleh itu dia bahagia, mempunyai dorongan dan motivasi untuk meneruskan kasih sayang yang ada, dan untuk memupuk lagi kasih sayang itu supaya tambah memuaskan kedua-dua belah pihak. Jadi, rasa puas adalah pendorong paling kuat mengapa orang mahu mengekalkan hubungan mereka, ataupun mengakhirinya. Leteran, teguran, kritikan, ungkit dan cemuhan mencipta iklim konflik. Konflik menghapuskan harapan-harapan untuk masa depan bersama. Setiap kali berlaku konflik, jumlah harapan masa depan bersama semakin kurang. Rancangan masa depan bersama adalah sangat penting. Semua pasangan kekasih pernah berjanji. Jumlah janji mempunyai ikatan rapat dengan komitmen. Semakin banyak janji, semakin tinggi komitmen. Semakin kurang janji, semakin kurang komitmen. Yang menyebabkan janji dibatalkan adalah konflik. Setiap kali kita bergaduh dan bertengkar, setiap kali ada janji yang dibatalkan. Ini adalah kerana pergaduhan dan pertengkaran mengurangkan motivasi kita untuk terus berpegang pada janji dan menunaikannya. Jumlah konflik mencerminkan aras ketidakbahagiaan. Dalam keadaan bahagia, jumlah konflik tidak banyak. Semakin tipis kebahagiaan, jumlah konflik meningkat. Keadaan ini boleh berlaku walaupun pada saat yang sama kedua-dua belah pihak suami dan isteri masih menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Apakah bukti kita mencintai seseorang itu? Ia bukanlah dengan memberikan kepadanya harta kekayaan, tetapi dengan kesediaan kita mendorongnya membangunkan harta kekayaan yang tersembunyi dalam dirinya. Setiap orang bercita-cita menjadi orang yang baik dan berjaya. Sebagai orang yang mencintainya, kita berperanan mencipta suasana yang sesuai untuk membolehkan dia menjadi orang yang baik dan berjaya. Suasana itu dapat dicipta dengan cara selalu menunjukkan kepadanya apa-apa kebaikan yang dia pernah lakukan, dan apa-apa kejayaan yang dia pernah capai. Dalam erti kata yang lain, berikan pengiktirafan, penghargaan dan pujian kepada usahanya untuk menjadi orang yang baik dan berjaya. Yang mendorong orang berasa bahagia semasa dia melakukan kebaikan bukanlah perkara-perkara yang berlaku sebelum dia melakukan kebaikan itu. Perbuatan isteri berleter, menegur, mengkritik, menyindir, mengungkit, mengarah-arah, menegah, memaksa, mengugut dan mengancam tidak mendorong seseorang suami menjadi lebih kasih, lebih mesra, lebih bahagia, lebih puas, atau lebih setia terhadap isteri. Pendorong yang berkesan ialah apa yang berlaku kepada seseorang selepas dia melakukan sesuatu kebaikan. Sebagai contoh, apabila sebaik-baik dia selesai melakukan sesuatu kebaikan, dia menerima pujian, pengiktirafan, penghargaan dan ganjaran, maka dia akan terdorong untuk mengulang kebaikan lalu dan melakukan kebaikan-kebaikan baru. Sayangnya, orang yang hampir dengan kita, suka mencari kelemahan, kekurangan, kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan, meskipun kecil dan ia dilakukan dengan tidak sengaja. Mereka suka mengungkit-ungkit hal itu seolah-olah ia adalah dosa-dosa besar yang sengaja kita lakukan terhadapnya. Sebaliknya, segala kebaikan yang kita lakukan baginya, tidak disedarinya. Kedahagaan yang pedih adalah kedahagaan bagi mendapatkan sedikit pengiktirafan daripada orang yang terdekat. Pujian dan pengiktirafan menolong kita menikmati apa yang diingini. Pujian membuat kita yakin akan kemampuan diri sendiri dan menjadikan kita lebih berkesan dalam usaha yang kita jalankan. Iklim bahagia tidak ada kaitan langsung dengan kemewahan dalam rumah tangga. Hubungan suami isteri yang kaya raya belum tentu bahagia. Di dalam rumah yang kecil dan sempit sekalipun, ramai pasangan menikmati iklim yang bahagia dan mereka sangat seronok berdua. Sejak awal 90-an, pakar-pakar psikologi mula mengkaji faktor yang menyebabkan setengah-setengah pasangan mengecap hidup bahagia dalam perkahwinan mereka. Tujuan kajian mereka adalah menghasilkan panduan-panduan bagi pasangan lain bagaimana untuk hidup bahagia. Kebanyakan pasangan berjaya mengekalkan jodoh mereka hingga ke akhir hayat. Tetapi ini tidak bermakna bahawa jodoh yang kekal adalah jodoh yang bahagia. Banyak juga orang yang kekal hidup dalam ketidakbahagiaan bersama pasangan mereka. Pakar-pakar psikologi mengenal pasti beberapa perbuatan yang membawa kesan negatif kepada kebahagiaan dalam perkahwinan. Mencuba menukar peribadi Cuba menukar peribadi pasangan supaya sesuai dengan kehendak sendiri. Ramai suami mahu supaya isteri mereka berubah menjadi 'orang lain'. Lebih ramai lagi isteri yang cuba mengubah suami mereka. Ada yang sampai sanggup mengamalkan perbuatan syirik dengan menggunakan khidmat dukun dan bomoh. Sebarang usaha cuba mengubah orang lain adalah sangat mudah dikesan oleh orang yang cuba diubah. Tidak ada orang yang suka mengubah dirinya atas kehendak orang lain. Perbuatan seperti ini mudah sahaja mencetuskan pertengkaran dan konflik. Menekankan nilai sendiri Cuba melawan nilai, sikap dan kepercayaan pasangan supaya sesuai dengan nilai, sikap dan kepercayaan sendiri. Sebagai contoh, si suami suka buku, dan si isteri melawan nilai itu kerana dia benci buku dan suka kepada perabot dan barang-barang hiasan. Dia menganggap membeli sebuah buku yang berharga RM80 adalah tidak berguna. Wang itu lebih baik digunakan membeli tutup meja makan tetamu. Lalu si isteri melawan nilai suaminya. Perbuatan melawan dan menentang nilai, sikap dan kepercayaan pasangan adalah membahayakan kebahagiaan dalam perkahwinan. Berbohong dan berdusta Berbohong, berdusta, pura-pura dan menipu pasangan baik dengan kata-kata, mahupun dengan perbuatan. Sebagai contoh, seorang suami berdusta dengan memberi hadiah yang mahal kepada isterinya kerana hendak menutup rahsia dia sudah mula mendapat ketenangan jiwa dengan wanita lain. Atau seorang isteri berdusta dengan mengatakan kepalanya selalu pening apabila waktu malam, padahal sebenarnya dia suka melihat suaminya meminta-minta layanan daripadanya. Mahu mengambil sahaja Cuba mengambil lebih daripada apa yang disumbangkan ke dalam perkahwinan. Sebagai contoh, seorang suami yang mahu supaya isterinya membayar sewa rumah, bil-bil bulanan, belanja dapur dan belanja sekolah anak-anak manakala dia cuma membayar ansuran kereta dan minyak sahaja. Ataupun, seorang isteri yang tinggal di rumah tetapi masih meminta suaminya menggosok baju sendiri, tolong memandikan anak-anak, mengambil nasi dalam periuk dan lain-lain seperti itu. Ingkar dan derhaka Ini khususnya bagi isteri. Mereka menjawab, melawan dan meninggikan suara. Mereka suka mengancam dan mengugut suami. Tidak setia Tidak setia terutama kepada isteri. Ini khususnya kepada suami. Tidak syukur Tidak bersyukur dengan kehadiran pasangan mereka. Mereka mengkritik pasangannya dan kesal kerana tidak mempunyai pasangan yang lebih baik. Ketujuh-tujuh perkara di atas adalah ibarat undang-undang kebahagiaan dalam perkahwinan. Perbuatan melanggar undang-undang ini akan mencetuskan pertengkaran, pergaduhan dan konflik rumah tangga. Dalam keadaan di mana lebih daripada satu undang-undang itu dilanggar, ia boleh membawa kepada keretakan rumah tangga. Pada masa ini, gaya hidup moden memaksa ramai suami isteri pandai berlakon apabila di depan orang lain, supaya orang menyangka mereka berdua sangat bahagia dan sangat intim. Oleh itu, banyak pasangan suami isteri moden memanggil pasangan mereka dengan nama-nama kemanjaan seperti 'sayang' atau 'manja' atau 'darling' atau 'sweetheart' atau 'honey' apabila di khalayak. Ramai juga suami-suami moden yang memberi layanan istimewa kepada isteri mereka apabila di khalayak. Mereka menarik kerusi untuk isteri mereka duduk, mereka membuka dan menutup pintu kereta untuk isteri, mereka memegang bahu isteri apabila mula berjalan masuk majlis dan semasa meninggalkan majlis, mereka mengambilkan makanan untuk isteri mereka, dan lain-lain layanan seperti itu. Kepada ramai orang yang tidak tahu, itulah bukti akan cinta dan kemesraan suami kepada isteri. Itulah cara mempamerkan kasih sayang dan keintiman. Untuk mencipta keintiman lakukan perkara-perkara berikut: 1. Tunjukkan sikap positif Ada dua cara menunjukkan sikap positif terhadap pasangan. Pertama ialah dengan menggunakan gaya bahasa positif. Selalulah memuji pasangan. Kedua dengan melakukan perbuatan-perbuatan positif. 2. Nyatakan pengharapan Setiap orang mempunyai pengharapan. Pertama mereka ada pengharapan ke atas diri pasangan mereka. Kedua mereka mempunyai pengharapan ke atas hubungan mereka sebagai suami isteri. Beritahu dengan jelas apa yang kita harapkan daripada pasangan kita dan daripada perkahwinan kita. 3. Sukai kaum keluarganya Tunjukkan bahawa kita menyukai dan mengasihi orang-orang yang dihargai oleh pasangan kita. Kajian pakar-pakar psikologi mendapati pasangan yang intim dan bahagia saling suka-menyukai kaum keluarga dan sahabat handai masing-masing. 4. Lakukan aktiviti bersama Lakukan banyak aktiviti bersama-sama, termasuk membuat kerja-kerja fizikal dan sosial. Banyak isteri membenci kegiatan sosial suami mereka atas alasan ia menyebabkan suami mereka jarang di rumah. Jangan memusuhi kegemaran suami, sebaliknya ikutlah menggemarinya. 5. Nyatakan komitmen Ucapkan komitmen terhadap satu sama lain. Selalulah katakan kebahagiaan dan jodoh kita dengannya akan kekal hingga akhir hayat. 6. Menaruh kepercayaan Yakinlah di dalam hati pasangan kita amat mencintai dan setia kepada kita. Apabila bercakap, gunakan bahasa yang menggambarkan rasa cinta, kasih sayang, kepercayaan dan kesetiaan. Jangan sekali-kali diucapkan rasa cemburu, sangsi dan curiga terhadapnya. 7. Bercakap dari lubuk hati Bercakaplah secara tulus dari hati berkenaan apa yang sedang difikirkan dan dirasakan. Jadi masing-masing tahu apa yang ada di dalam fikiran dan lubuk hati pasangannya. Jangan berdusta dengan cara memendamkan perasaan yang sebenar. 8. Berbual tentang perasaan Bercakaplah berkenaan perkahwinan dan hidup kita berdua. Beritahu apa yang kita rasakan dan fikirkan tentang hubungan kita berdua. Kalau kita berasa puas hidup bersama, katakanlah begitu kepadanya. Bahasa ialah alat yang sangat berkesan untuk mencipta keintiman antara lelaki dan wanita. Dengan kata-kata, dua orang manusia yang sebenarnya asing, dapat berasa seolah-olah mereka satu. Anehnya, dalam saat-saat yang paling intim, bahasa tidak digunakan! Ramai orang mengadu mereka hanya mengalami saat-saat yang amat intim semasa dalam alam percintaan. Selepas beberapa lama mereka mendirikan rumah tangga, keintiman mula cair perlahan-lahan, sehingga ada kalanya, ia luput terus. Keintiman Apakah itu yang dikatakan ‘keintiman?’ Istilah ini kita pinjam daripada bahasa Indonesia. Dalam bahasa Inggeris perkataannya adalah intimacy. Sejak awal tahun 90-an, pakar-pakar psikologi mula menaruh minat yang besar untuk mengkaji cara-cara yang digunakan oleh pasangan suami isteri bagi menyenggara perhubungan mereka supaya mereka kekal intim dan memuaskan kedua-dua belah pihak. Kajian-kajian mereka mendapati hubungan suami isteri yang intim mempunyai ciri-ciri berikut: 1. Kedua-dua belah pihak sangat menaruh kepercayaan pasangan mereka mencintai dirinya dan setia. Oleh itu perasaan cemburu buta, sangsi dan curiga sangat minimum. Dengan demikian, apabila mereka bercakap, bahasa yang mereka gunakan adalah bahasa yang menggambarkan rasa cinta, kasih sayang, kepercayaan dan kesetiaan mereka. 2. Mereka banyak bercakap kepada pasangan mereka secara tulus dari hati berkenaan apa yang mereka sedang fikirkan dan rasakan. Oleh itu masing-masing tahu apa yang ada dalam fikiran dan lubuk hati pasangannya. Mereka tidak berdusta dengan cara memendamkan perasaan mereka yang sebenar. 3. Mereka suka bercakap apa yang mereka rasa berkenaan perkahwinan mereka dan hidup mereka berdua. Mereka suka menyatakan perasaan mereka berkenaan hubungan mereka. Umpamanya, mereka memberitahu mereka berasa puas hidup bersama, meskipun tidak mewah seperti orang lain. Komunikasi yang mengandungi ketiga-tiga ciri di atas disebut 'pendedahan diri' kerana ia membenarkan pasangannya mengetahui siapa dirinya yang sebenar. Kajian pakar-pakar psikologi mendapati ada kaitan yang kuat antara aktiviti pendedahan diri dengan kebahagiaan dalam perkahwinan. Pasangan-pasangan yang bahagia banyak mendedahkan diri mereka. Oleh itu mereka dapat berkongsi fikiran dan perasaan. Itulah sumber kepuasan dan kebahagiaan yang paling utama bagi pasangan suami isteri. Pasangan-pasangan yang tidak suka mendedahkan diri mereka mengalami banyak masalah. Mereka tidak tahu apa yang ada dalam kepala dan hati pasangannya. Kerana itu mereka tidak dapat memahami fikiran dan perasaan masing-masing. Mereka menaruh rasa cemburu, sangsi dan curiga. Mereka banyak berselisih pendapat, oleh itu mereka banyak bertengkar dan berkelahi, sama ada secara terbuka ataupun dalam diam-diam. Mereka mengalami banyak konflik dalam hubungan mereka. Orang yang tidak suka mendedahkan diri kepada pasangannya banyak diam apabila bersama, umpamanya semasa berada di rumah. Mereka bercakap hanya apabila terpaksa bercakap. Ayat yang mereka gunakan adalah ayat yang pendek-pendek. Apabila ditanya, mereka suka menjawab dengan menggunakan ayat satu perkataan sahaja seperti 'ya' atau 'tidak' atau 'belum' atau 'entah' dan lain-lain jawapan seperti itu.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



PERGADUHAN, pertengkaran dan konflik antara pasangan kekasih ataupun suami isteri meninggalkan kesan buruk kepada hati dan perasaan kedua-dua belah pihak. Lazimnya orang yang bertengkar terdorong mengucapkan kata-kata yang amat menyakitkan hati pasangannya. Disebabkan perasaan hati yang sakit, masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain kerana hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan perbuatan pihak yang satu lagi. Menurut pakar-pakar psikologi, lelaki dan perempuan mempunyai cara-cara sendiri apabila menghukum pasangan. Lelaki cenderung 'menarik diri' di mana mereka tidak mahu lagi bercakap-cakap dengan kekasih ataupun isteri, melainkan terpaksa. Perempuan pula cenderung merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak mahu senyum dan tidak mahu melayan kekasih ataupun suami. Namun, hukuman tidak mungkin menyelesaikan sebarang masalah. Hukuman juga tidak menolong proses berdamai. Malah hukuman akan hanya mempercepatkan proses kerosakan hubungan. Walau apa sekalipun bentuk hukuman, sama ada ia kecil ataupun besar, hukuman hanya menyukarkan proses perdamaian. Jadi, kalau benar masih ada niat mahu berdamai, jangan menghukum. Kalau selepas bertengkar pasangan saudara menunjukkan sikap mahu berdamai, dan saudara sendiri juga mahu berdamai, jangan berdusta. Jangan pura-pura tarik harga atau jual mahal. Jangan pura-pura tidak sudi. Jangan pura-pura sudah benci. Perbuatan seperti itu ada risikonya. Pasangan saudara mungkin menyangka saudara betul-betul tidak sudi dan tidak mahu berdamai. Akibatnya, dia terdorong bersedia melupakan usahanya ingin berdamai. Apabila saudara mahu berdamai, berhentikan tabiat suka mencari salah pasangan. Di sini, mencari salah termasuklah perbuatan mencari kelemahan dan kekurangan-kekurangannya, dan menuduh dia salah ataupun silap. Jangan berleter, menegur, mengkritik dan menasihati pasangan. Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian. Kajian-kajian mendapati, perempuan cenderung menuduh suami mereka bersalah apabila berlaku masalah dalam hubungan perkahwinan. Sewaktu bertengkar, orang menggunakan gaya bahasa negatif. Termasuk dalam gaya bahasa negatif ialah kata-kata yang mengkritik, menuduh dan mencela. Kalau mahu berdamai, berhentilah daripada menggunakan bahasa negatif. Jangan diucapkan kata-kata seperti: “Ini semua kerana sikap awak yang tidak betul tu.” ataupun “Kenapa abang tidak mahu dengar nasihat saya?” ataupun, “Ini salah awak juga.” ataupun “Kalau awak betul ingat kepada anak isteri, kita tidak akan selalu bergaduh.” Tukar bahasa negatif kepada bahasa positif. Jenis-jenis bahasa positif yang sangat baik kesannya kepada hubungan percintaan dan suami isteri ialah bahasa pengiktirafan, penghargaan, pujian dan sanjungan. Gunakan bahasa ini dengan murah dan lumayan. Sesudah berdamai, jangan bercakap melainkan mengenai hari ini dan hari esok. Jangan pandang ke belakang, melainkan untuk tidak mengulang lagi kesilapan kita sendiri pada masa lalu. Jangan sekali-kali mengungkit perkara-perkara yang menyebabkan konflik itu. Jangan sentuh apa yang sudah terjadi, sebaliknya bercakaplah mengenai apa yang hendak dibuat. Buangkan perkataan 'dahulu' dan 'semalam' daripada kata-kata kita. Kedua-dua perkataan itu sangat berbahaya. Tidak ada siapa pun yang boleh menyelesaikan 'dahulu' dan 'semalam'. Dalam sebuah kajian, antara perkara yang banyak disebut oleh lelaki terhadap bekas-bekas isteri mereka ialah bahawa isteri mereka tidak senyum lagi. Jadi, senyumlah, walaupun susah, kerana senyuman ialah cara yang mujarab untuk berdamai semula. Biasa terjadi, konflik yang berlaku itu berlarutan beberapa lama disebabkan masing-masing tidak mahu memulakan proses berdamai. Walaupun masing-masing mungkin mahu berdamai, tetapi masing-masing takut risiko jika dia yang memulakannya. Mana tahu kalau orang itu tidak mahu berdamai? Kalau benar saudara mahukan perdamaian, ambillah langkah pertama untuk berdamai. Jangan tunggu sampai orang itu yang mesti memulakannya. Tunjukkan bukti saudara mahu berdamai. Gunakan kata-kata ataupun perbuatan. Andai kata pasangan saudara itu menolak usaha saudara mahu berdamai disebabkan dia memang tidak mahu berdamai, sekurang-kurangnya saudara sudah berusaha berdamai, jadi saudara tidak berasa bersalah lagi atas alasan kurang usaha. Masalah ialah punca konflik yang utama. Selagi punca masalah itu tidak dikenal pasti dengan tepat dan diatasi, selagi itu konflik yang sama akan berulang-ulang kali tercetus lagi. Sebagai contoh, perbuatan isteri yang suka mengugut suami mungkin menjadi punca konflik. Selagi tabiat buruk itu tidak diatasi, selagi itu si isteri akan mengulang ugutan-ugutannya dan konflik demi konflik akan tercetus. Kenal pasti dengan tepat punca masalah itu. Tujuannya bukanlah untuk mengungkit-ungkit perkara yang sudah berlaku, tetapi bagi mengelakkannya daripada berulang lagi pada masa depan. Apabila mengenal pasti punca masalah, jangan gunakan perkataan-perkataan yang berfungsi sebagai 'label' kepada tingkah laku orang itu. Gunakan perkataan-perkataan yang menerangkan apa yang sebenarnya dia sudah lakukan sehingga tercetusnya konflik. Terangkan dengan menggunakan bahasa yang tepat apakah perubahan yang saudara mahukan. Oleh sebab konflik biasanya berpunca daripada tingkah laku yang tidak disetujui, maka cara berdamai ialah dengan mengubah tingkah laku itu. Ramai orang, apabila mereka mahu supaya pasangannya mengubah tingkah lakunya, mereka bercakap secara am dan kabur. Mereka menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna. Ini menyebabkan pasangannya tidak faham dengan jelas tingkah laku yang mana satu yang mesti diubahnya. Sebagai contoh, perkataan 'biadab' dalam ayat, “Awak biadab.” mempunyai makna yang kabur, disebabkan perkataan 'biadab' itu tidak memberitahu dengan tepat perbuatannya yang mana satu yang dimaksudkan sebagai biadab. Jadi, sukarlah bagi si isteri untuk mengenal pasti perbuatannya itu dan bagaimana dia hendak mengubah tingkah lakunya kepada yang 'tidak biadab'. Ayat "Jangan biadab kepada saya." adalah kabur, tukar kepada ayat lain yang lebih tepat maksudnya seperti "Jangan tengking saya." ataupun "Jangan ugut saya." Ayat "Jangan suka malas." adalah kabur tukar kepada ayat lain seperti "Jangan suka tidur siang." ataupun "Jangan suka berbual lama-lama dalam telefon dengan kawan-kawan awak." yang lebih tepat maksudnya. Kebolehan mencari gaduh dan berkonflik dengan pasangan sendiri tidak perlu dipelajari. Tetapi kebolehan mencipta hidup dalam perasaan seronok, gembira dan bahagia dengan pasangan mesti dipelajari.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



SEMUA pasangan, sama ada kekasih mahupun suami isteri, mengalami ketika-ketikanya apabila mereka berkonflik. Konflik pasangan adalah asam garam perhubungan dan ia tidak boleh dielakkan seratus peratus. Sepasangan kekasih ataupun suami isteri dikatakan berkonflik apabila mereka mempunyai sudut pandangan yang bertentangan berkenaan sesuatu isu. Tetapi mereka tidak semestinya bertengkar disebabkan wujudnya konflik antara mereka berdua. Sebagai contoh, seorang suami menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap isterinya yang tidak mahu menjalin hubungan rapat dengan ahli-ahli keluarga si suami. Daripada tingkah laku suaminya si isteri boleh tahu bahawa sikapnya itu tidak memuaskan hati suaminya tetapi dia tetap dengan pendiriannya itu. Namun, demi menjaga ketenteraman di dalam rumah, si suami tidak mahu membincangkan isu itu dan mengambil sikap diam sahaja. Konflik boleh menimbulkan pelbagai masalah dalam perhubungan, tetapi yang menjadikan konflik berbahaya bukanlah konflik itu sendiri. Dalam contoh di atas konflik suami isteri itu menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati kepada si suami. Ia juga menyebabkan ahli-ahli keluarga si suami berasa jauh hati dan kecewa dengannya disebabkan si suami jarang datang menziarahi mereka walaupun pada masa-masa yang dirasakan penting baginya datang dan mengambil berat berkenaan kebajikan mereka. Faktor yang menjadikan konflik berbahaya ialah gaya ataupun cara-cara yang digunakan oleh pasangan itu semasa mereka berkonflik. Kita tentu pernah mendengar cerita bagaimana ada suami isteri yang bercerai disebabkan perkara-perkara yang pada anggapan kita tidak sepatutnya boleh menyebabkan orang bercerai. Sebagai contoh, pada suatu masa di sebuah kampung sepasang suami isteri yang sudah lebih 60 tahun usianya bercerai selepas mereka bertengkar disebabkan si isteri lupa hendak menambat kambing mereka. Pada akal biasa, tidak masuk akal isu terlupa menambat kambing boleh menyebabkan pasangan tua bercerai, tetapi itulah yang berlaku. Dalam tragedi kambing itu, yang menyebabkan perceraian pasangan tua itu bukanlah kambing, tetapi cara-cara mereka bertengkar mengenai kambing itulah yang menyebabkan pertengkaran mereka itu menjadi begitu teruk sampai si suami terkeluar kata-kata yang menjatuhkan talak. Apabila pasangan kekasih ataupun suami isteri berkonflik, mereka mempunyai apa yang disebut ‘gaya berkonflik’, iaitu cara-cara yang digunakan untuk bercakap mengenai konflik mereka itu dan cara-cara mereka cuba menyelesaikannya. Secara amnya, pasangan yang berkonflik menggunakan dua jenis gaya berkonflik, iaitu ‘gaya integratif’ dan ‘gaya distributif’. Seseorang itu dikatakan berkonflik dengan gaya integratif apabila cara-cara yang digunakannya itu menghasilkan penyelesaian di mana kedua-dua belah sama-sama puas hati. Gaya berkonflik yang integratif mendorong pasangan itu saling mengerti dan menghargai satu sama lain. Kajian mendapati pasangan yang suka mementingkan matlamat bersama cenderung bertengkar dengan cara-cara yang integratif. Tingkah laku bertengkar yang distributif ialah perbuatan suka menyalahkan dan menuduh pihak yang satu lagi bertanggungjawab menjadi punca kepada masalah yang dihadapi. Perbuatan suka menuduh dan menyalahkan orang lain adalah sangat merosakkan kualiti perhubungan. Kajian pakar mendapati pasangan-pasangan kekasih ataupun suami isteri yang tidak bahagia suka bertengkar menggunakan gaya yang menuduh dan menyalahkan satu sama lain. Menurut pakar-pakar itu dua ke-mungkinan mengapa pasangan yang tidak bahagia suka bertengkar menggunakan gaya distributif. Pertama, disebabkan pasangan itu suka menyalahkan dan menuduh satu sama lain, akibatnya mereka tidak bahagia. Kedua, mungkin juga disebabkan pasangan itu tidak bahagia maka apabila mereka bertengkar mereka suka menggunakan gaya yang menuduh dan menyalahkan satu sama lain. Terdapat juga kajian lain yang mendapati gaya distributif lebih banyak digunakan oleh wanita dibandingkan dengan lelaki. Apabila tujuan pertengkaran adalah untuk memperbaiki lagi kualiti perhubungan, pasangan kekasih ataupun suami isteri yang bertengkar itu cenderung menggunakan cara-cara berkonflik yang integratif. Contoh konflik jenis ini ialah di mana seorang suami menyatakan rasa tidak puas hatinya disebabkan isterinya terlalu sibuk dengan urusan luar sehingga si suami berasa diabaikan. Lalu si suami memberitahu isterinya supaya mengurangkan kerja-kerja luar rumahnya. Tujuan si suami menegur isterinya ialah demi kepentingan bersama antara mereka berdua iaitu supaya urusan rumah tangga mereka bertambah baik. Akibat teguran itu mereka bertengkar. Pertengkaran jenis ini lazimnya berlaku dalam suasana integratif di mana kedua-dua belah pihak cuba mencari penyelesaian yang memuaskan hati kedua belah pihak. Sebaliknya, apabila matlamat konflik pasangan itu adalah untuk mempertahankan hak masing-masing, kedua-dua belah pihak cenderung menggunakan cara-cara berkonflik yang distributif di mana mereka saling tuduh menuduh dan salah menyalahkan satu sama lain. Mereka cenderung mengkritik peribadi masing-masing. Itulah sebabnya pertengkaran jenis ini sangat membahayakan perhubungan.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



MENURUT pakar, perempuan amat terkesan apabila kualiti komunikasi antara mereka dan suami mereka menurun disebabkan perempuan memupuk kasih sayang melalui aktiviti berkomunikasi. Apabila suami mereka tidak suka bercakap-cakap dan berbual-bual dengannya lagi, perempuan berasa diri mereka tidak dikasihi lagi oleh suami mereka. Persepsi seperti itu membuat perempuan mengalami perasaan kecewa, kosong dan sepi. Selagi lelaki masih seronok dengan kekasih ataupun isterinya, selagi itu lelaki suka berinteraksi dengan pasangannya. Dia suka duduk-duduk, berbincang, bergurau, bercakap-cakap dan berbual-bual dengan pasangannya. Lelaki yang seronok dengan pasangannya juga suka mengusik dan menyakat pasangannya. Malah dia mahu mengadu hal-hal yang amat peribadi kepada pasangannya itu. Menurut pakar-pakar psikologi, pasangan yang sangat berkasih-kasihan banyak bergosip-gosip antara mereka berdua. Mereka suka bergosip mengenai kawan-kawan mereka, rakan sekerja mereka dan mengenai orang-orang yang sama-sama mereka kenali. Pasangan itu suka saling memberitahu gosip-gosip yang mereka dengar daripada kawan-kawan mereka. Cuba saudara nilai semula adakah pasangan saudara suka bergosip-gosip dengan saudara. Adakah dia suka menceritakan perkara-perkara yang dialami ataupun dilihatnya pada hari itu? Adakah dia masih suka memberitahu saudara perkara-perkara yang baru diketahuinya mengenai kehidupan peribadi ketuanya di pejabat, mengenai isteri ketuanya, mengenai sahabat baiknya, mengenai orang-orang yang dibencinya? Jika ya, itu adalah tandanya pasangan saudara sangat seronok dengan saudara. Perasaan seronok adalah pendorong utama kegiatan berinteraksi antara pasangan kekasih ataupun suami isteri. Jadi apabila perasaan seronok itu sudah mula hakis, dorongan untuk bercakap-cakap, berbual-bual dan bergosip-gosip pun mula luntur. Tempatnya diambil alih oleh dorongan untuk tidak mahu lagi bercakap-cakap dan berbual-bual. Dalam keadaan yang lebih parah, ia diganti dengan interaksi yang negatif seperti saling sindir menyindir, tegur menegur, kritik-mengkritik ataupun tuduh menuduh. Cuba fikirkan semula, adakah pasangan saudara masih tidak sabar-sabar hendak bergosip dengan saudara sebaik-baik pulang dari kerja berkenaan perkara-perkara yang berlaku di tempat kerjanya pada hari itu? Jika ada perkara berlaku kepadanya di tempat kerja, adakah pasangan saudara tidak sabar-sabar menelefon saudara dan bercerita berkenaan apa yang terjadi, tidak sempat menunggu sampai dia balik kerja dahulu? Sekiranya pasangan saudara suka bercerita-cerita dengan saudara, itu adalah bukti saudara seorang yang pandai berkomunikasi, khususnya saudara sebagai seorang yang pandai mendengar. Manusia suka bercakap-cakap dengan orang yang disukainya dan orang itu juga pandai mendengar apa yang diperkatakannya. Saudara tidak mungkin suka bercakap-cakap dengan orang yang saudara tidak sukai, apatah lagi apabila dia juga tidak suka mendengar apa yang saudara katakan. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu hilang rasa seronok terhadap pasangannya. Ramai wanita menyangka kebanyakan lelaki hilang rasa seronok kepada pasangan apabila usianya sudah semakin tua dan oleh itu wajah dan tubuh badannya tidak cantik lagi. Sangkaan itu tidak disokong oleh hasil kajian berkenaan faktor-faktor yang mendorong kerosakan perhubungan. Memang fitrah lelaki menyukai wajah dan tubuh badan wanita yang menarik. Tetapi, apa yang menarik ataupun tidak menarik di mata seseorang lelaki adalah khusus bagi lelaki itu sahaja. Apa yang cantik ataupun buruk di mata seorang lelaki mungkin cantik dan manis di mata lelaki lain. Lagipun kajian psikologi mendapati apabila seseorang itu seronok dengan pasangannya, dia akan nampak pasangannya sebagai orang yang sangat menarik meskipun rupa paras dan bentuk badan pasangannya itu tidak seperti bintang filem.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



IKLIM riang gembira dan bahagia antara suami isteri datang daripada emosi suami terhadap isterinya dan daripada emosi isteri terhadap suaminya. Apabila seseorang suami merasai puas dan seronok terhadap isterinya, maka bahagialah si suami itu. Apabila seseorang isteri berasa puas dan seronok terhadap suaminya, maka bahagialah si isteri. Walaupun lazimnya orang ramai percaya kebahagiaan rumah tangga datang daripada aktiviti menjalankan tanggungjawab secara sempurna oleh kedua-dua belah pihak. Walau bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar psikologi mendapati sangkaan itu tidak benar. Mengikut sangkaan kebanyakan orang, apabila suami isteri sudah melaksanakan semua tanggungjawabnya, maka akan bahagialah perkahwinan mereka. Tetapi hasil kajian mendapati ramai suami dan isteri yang tidak bahagia terdiri daripada orang-orang yang sangat tanggungjawab. Jadi, sangkaan bahawa suami yang bertanggungjawab akan bahagia adalah sangkaan yang salah. Keadaan yang serupa juga boleh berlaku di kalangan isteri. Ramai isteri yang hidup tidak bahagia walaupun mereka menunaikan semua tanggungjawab mereka dengan sepenuhnya. Dalam perkahwinan di mana si suami ataupun si isteri, ataupun kedua-duanya sekali tidak dapat melaksanakan dengan sepenuhnya tugas dan tanggungjawab mereka, mereka masih boleh hidup dengan sangat berbahagia. Yang sebaliknya juga boleh berlaku. Kedua-dua suami dan isteri mungkin tidak bahagia meskipun masing-masing sudah menjalankan semua tanggungjawabnya dengan sebaik-baiknya. Emosi bahagia datang daripada perasaan si suami dan si isteri. Perasaan bahagia bukan datang daripada pelaksanaan tanggungjawab. Apabila seseorang itu berasa puas dan seronok, maka bahagialah dia, walaupun dia hanya mampu menjalankan sebahagian sahaja daripada tanggungjawabnya. Itulah sebabnya terdapat ramai isteri yang melaporkan mereka tetap bahagia walaupun suami mereka tidak berkeupayaan menjalankan semua tanggungjawabnya. Sebagai contoh, gaji suami mereka mungkin tidak mampu membayar segala kos saraan keluarga. Maka dengan rasa gembira si isteri mengambil tugas pergi bekerja dan membayar sebahagian kos itu dan si isteri itu berasa bahagia dapat melakukan tugas itu. Ada kalanya pula terdapat isteri-isteri yang tidak berdaya membuat semua kerja-kerja rumah, tetapi suami-suami mereka dengan gembira mengambil alih sebahagian daripada tugas-tugas isteri mereka. Ramai suami yang dengan senang hati menyendukkan nasi ke dalam pinggan isterinya, menolong menyapu rumah, mencuci pinggan, menggosok baju sendiri, membancuh susu anak dan menjemur kain baju yang dicuci oleh isterinya dan macam-macam lagi. Terdapat banyak punca rasa bahagia. Tetapi, menurut pakar-pakar psikologi perhubungan, punca bahagia yang paling utama ialah kemahiran suami isteri berinteraksi. Bukan semua orang memiliki kemahiran berkasih-kasihan. Lebih ramai lagi orang yang menyangka kita semua tidak perlu mempelajari kemahiran itu. Mereka menyangka, apabila kita mencintai seseorang, secara automatik kita akan mencintai orang itu dengan cara-cara yang betul. Pendapat ini salah. Ia sama salahnya dengan pendapat yang mengatakan, apabila kita sukakan permainan bola sepak, secara automatik, tanpa perlu belajar, kita sudah pandai menyepak bola itu dengan cara-cara yang betul. Untuk memberi kebahagiaan kepada lelaki, caranya ialah dengan memberikan kepadanya rasa puas dan rasa seronok. Ini menghendaki para isteri memahami perkara-perkara yang membuat lelaki berasa puas dan seronok serta perkara-perkara yang menyebabkan hilangnya rasa puas dan seronok itu. Pelaksanaan tanggungjawab sudah dikenal pasti bukan faktor yang menerbitkan iklim riang gembira, seronok dan bahagia. Tetapi tanggung-jawab mempunyai peranan lain yang sangat penting dalam kesejahteraan hidup bersuami isteri. Peranan tanggungjawab adalah sebagai 'faktor kebersihan' atau 'hygiene factors'. Sebagai kiasan jikalau rumah itu kotor, tidak bersih, banyak kuman, maka orang-orang yang duduk di dalam rumah itu akan sakit. Jika dalam sesuatu perkahwinan itu suami dan isteri tidak menjalankan tanggungjawab mereka, perkahwinan itu akan ‘sakit’. Orang yang sakit sukar hendak berasa puas, riang gembira, seronok dan bahagia. Jika rumah itu bersih, penghuninya akan sihat, tetapi itu tidak menjamin orang yang sihat akan bahagia! Pelaksanaan tanggungjawab memainkan peranan membasmi punca-punca konflik rumah tangga. Jika dalam perkahwinan itu tidak ada konflik, kehidupan akan aman. Namun itu tidak menjamin suami isteri akan menikmati rasa puas, riang gembira, seronok dan bahagia. Mereka cuma setakat tidak bergaduh. Seronok belum tahu! Ini disebabkan, emosi puas, riang gembira, seronok dan gembira datang daripada 'faktor-faktor kepuasan'. Jadi, apakah perkara-perkara yang menerbitkan rasa puas suami isteri? Kajian menunjukkan perkara-perkara yang mendatangkan rasa puas kepada perempuan tidak serupa dengan perkara-perkara yang mendatangkan rasa puas kepada lelaki. Lelaki mendapat kepuasannya daripada punca-punca lain, manakala perempuan mendapat kepuasannya daripada punca-punca yang berlainan. Jadi apa yang memuaskan dan menyeronokkan lelaki tidak semestinya memuaskan dan menyeronokkan wanita. Antara perkara-perkara yang mendatangkan rasa seronok kepada lelaki ialah apabila mereka dapat membuat aktiviti-aktiviti fizikal dan sosial bersama-sama dengan isteri mereka. Contoh aktiviti fizikal yang boleh dibuat bersama isteri ialah berkebun, mencuci kereta, memancing dan bermain. Contoh aktiviti sosial ialah kerja-kerja persatuan, menziarahi ibu bapa serta saudara mara, mendengar ceramah, bergotong-royong dan kerja-kerja amal. Antara aktiviti fizikal bersama isteri yang mendatangkan rasa puas yang sangat mendalam kepada batin lelaki ialah seks yang menyeronokkan. Antara perkara-perkara yang mendatangkan rasa kepuasan yang sangat mendalam kepada wanita ialah apabila dia dapat bercakap-cakap, berbual-bual, bersembang-sembang dan duduk-duduk kosong dengan suami. Wanita juga mendapat rasa kepuasan yang sangat menyeronokkan hatinya apabila suaminya menolong sedikit kerja-kerja rumah. Mereka juga berasa sangat puas dan seronok apabila diberi banyak sentuhan oleh suami, lebih-lebih lagi apabila sentuhan-sentuhan itu disertai dengan pertukaran kata-kata. Tetapi ramai lelaki, apabila mereka menyentuh isteri, mulut mereka bisu seolah-olah aktiviti bercakap dan menyentuh isteri adalah saling mengasingkan kedua-dua aktiviti itu. Faktor kedua yang sangat penting dalam mencipta rasa puas ialah pengharapan suami isteri ke atas satu sama lain. Setiap orang mempunyai pengharapan. Kajian mendapati suami isteri sama-sama mempunyai pengharapan yang amat tinggi bahawa pasangannya akan saling mempercayai, saling hormat-menghormati, cinta-mencintai, jujur dan setia. Antara perkara-perkara yang mereka kurang diharapkan ialah masa yang banyak untuk bersama, peluang menikmati privasi yang banyak, mendapat banyak seks dan banyak berkomunikasi. Nampaknya, kajian menunjukkan harapan kita berkenaan masa bersama, privasi, seks dan komunikasi adalah sederhana. Ertinya, jikalau kita tidak mendapat banyak dalam perkara-perkara itu pun kita masih boleh berasa puas. Kepuasan dalam perhubungan perkahwinan sangat dipengaruhi oleh sejauh mana mereka menikmati apa yang mereka harapkan. Semakin banyak mereka mendapat apa yang diharapkan, semakin tinggi kepuasan yang mereka nikmati. Semakin kurang mereka mendapat apa yang diharapkan, semakin mendalam rasa tidak puas hati yang mereka alami. Ini bererti, adalah mustahak supaya suami isteri menyatakan dengan terang apa yang mereka harapkan daripada perkahwinan itu dan juga apa yang diharapkan daripada pasangannya supaya pihak yang satu lagi dapat memberikan apa yang diharapkan. Ini juga bererti rahsia kepuasan perkahwinan ada pada kejayaan memberikan kepada pasangan apa yang diharapkan olehnya dan menerima daripadanya apa yang diharapkan, bukan daripada harta, pangkat, rupa paras dan lain-lain seperti itu. Walaupun nampaknya ini mudah, tetapi ramai pasangan berasa mereka tidak menerima apa yang mereka harapkan. Perasaan seperti itu sangat mengancam rasa kepuasan dalam perhubungan yang ada. Orang yang puas mempunyai dorongan dan motivasi bagi meneruskan perhubungan yang ada dan untuk memupuk lagi perhubungan itu supaya tambah memuas-kan kedua-dua belah pihak. Jadi, rasa puas adalah pendorong paling kuat mengapa orang mahu terus setia kepada pasangannya, ataupun mencari kepuasan daripada sumber lain. Rasa puas datang daripada beberapa punca. Sumber yang paling utama ialah apabila kita mendapat apa yang diharapkan daripada pasangan kita. Kedua, rasa puas juga datang apabila kita berasa seolah-olah kita mendapat banyak faedah dan ganjaran daripada perkahwinan kita itu dan daripada pasangan kita. Ertinya kita berasa seolah-olah kita menerima lebih banyak daripada apa yang kita sendiri berikan dan sumbangkan. Ertinya, kita berasa seolah-olah perkahwinan kita itu lebih menguntungkan kita daripada menguntungkan pasangan kita. Dalam keadaan itu kita akan berasa puas. Bagaimanakah rasa untung itu boleh timbul di hati kita? Ia timbul daripada perbandingan yang kita buat. Pertama, kita membandingkan apa yang kita sendiri sumbangkan dengan apa yang disumbangkan oleh pasangan kita. Kedua, kita bandingkan apa yang kita dapat dengan apa yang kita dapat. Kalau kita berasa seolah-olah sumbangan kita kecil tetapi kita dapat lebih banyak daripada pasangan kita, maka berasa kita untung. Jadi, kita berasa rasa puas hati. Kalau kita berasa sumbangan kita besar tetapi pasangan kita dapat lebih banyak, maka kita tak puas hati. Kita juga membandingkan apa yang kita dapat dengan apa yang orang-orang lain dapat. Umpamanya, sebagai suami, kita bandingkan layanan isteri kita dengan layanan yang diterima oleh lelaki-lelaki lain yang kita kenal. Katakanlah, isteri kita suri rumah tetapi baju kita pun kita sendiri kena gosok, manakala kita melihat lelaki-lelaki lain yang isteri mereka bekerja, baju mereka digosokkan oleh isteri masing-masing, maka kita akan berasa tidak puas hati. Kajian-kajian sudah mengesahkan jikalau sesuatu perkara itu mendatangkan rasa bahagia, perkara yang sebaliknya tidak pula mendatangkan rasa derita. Bagi menerangkan hal ini, jikalau berbual-bual dengan suami mendatangkan rasa bahagia kepada wanita, ini tidak pula bermakna jika dia tidak dapat banyak berbual-bual dengan suami maka si isteri akan menderita. Faktor-faktor yang mendatangkan rasa bahagia bukanlah faktor-faktor yang mendatangkan rasa derita sekiranya tak ada. Rasa puas, riang gembira, seronok dan bahagia datang daripada faktor-faktor lain. Rasa derita datang daripada faktor-faktor lain. Jadi, katakanlah, walaupun seseorang suami masih mahu mengajak isterinya bercakap-cakap dan duduk-duduk berdua dengan isterinya tetapi si isteri mungkin menderita. Sebagai contoh, jika si isteri tahu suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain, maka faktor itu akan menghapuskan rasa bahagianya. Tetapi, ini tidak bermakna jika si suami tidak mempunyai hubungan lain, maka si isteri akan bahagia. Daripada hasil kajian ini, kita perlu mencipta keadaan yang menerbitkan rasa puas, riang gembira, seronok dan bahagia di hati pasangan kita. Pada waktu yang sama, jangan lakukan perkara-perkara yang menerbitkan rasa bosan, benci, menyampah, sakit hati, rasa tertekan dan lain-lain emosi negatif di dalam benaknya.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



SESETENGAH pakar mengatakan lelaki lebih manja daripada perempuan, maka itulah sebabnya lelaki yang gagah ataupun yang garang sekalipun boleh menjadi lemah apabila berada dalam tangan perempuan yang pandai memanjakannya. Salah satu cara memanjakan lelaki yang amat mereka sukai ialah dengan mengurut semua anggota tubuhnya. Itulah sebabnya lelaki berasa amat bertuah apabila mendapat isteri yang suka mengurut tubuhnya. Tetapi ego lelaki lebih besar daripada ego perempuan. Memang lelaki suka badannya diurut perempuan, tetapi lelaki lebih suka kepada perempuan yang pandai mengurut egonya. Jari-jari adalah alat mengurut tubuh lelaki. Ada juga teknik mengurut tradisional yang menggunakan bahagian pangkal tapak tangan, siku dan kaki. Lain alat yang digunakan, lain sensasi yang dikecap. Dalam bidang urut-mengurut komersial, ada dua jenis perkhidmatan mengurut badan yang ditawarkan kepada lelaki. Perkhidmatan yang pertama ialah urutan bagi tujuan menyihatkan jasmani semata-mata. Selepas diurut mereka rasa badan mereka sihat. Perkhidmatan yang kedua ialah urutan badan juga tetapi tujuannya ialah untuk menyegarkan emosi dan ego lelaki. Selepas diurut mereka rasa bukan hanya tubuh badan mereka sihat tetapi ego mereka turut sihat. Kedua-dua perkhidmatan ini dilakukan oleh pakar-pakar yang berlainan dan mereka menggunakan alat-alat dan teknik-teknik yang sangat berlainan. Ego lelaki, seperti tubuh mereka, selalu letih dan penat disebabkan faktor-faktor seperti tekanan kerja dan masalah. Bagi setengah-setengah lelaki, apabila mereka balik kerja, ego dan jiwa mereka bertambah-tambah letih disebabkan layanan yang mereka terima daripada isteri di rumah. Bagaimanakah caranya ego lelaki yang penat dapat disegarkan semula? Alat bagi mengurut ego lelaki ialah kata-kata. Untuk mengurut ego lelaki, bercakaplah dengannya menggunakan gaya bahasa yang ‘mendukung’. Gaya bahasa inilah yang berfungsi merapatkan jarak psikologi antara pasangan. Antara kemahiran komunikasi yang sangat tinggi nilainya ialah kemahiran mengucapkan kata-kata yang ingin didengar oleh orang yang mendengarnya. Apabila lelaki bercakap kepada pasangannya, dia bukan mahu mendengar satu ataupun dua perkataan sebagai jawapannya. Dia mahu mendengar lebih daripada kata-kata itu. Dia mahu mendengar apa yang ada di sebalik kata-kata pasangannya itu. Jadi, sebelum bercakap bagi mengurut ego lelaki, fikirkan dahulu apa keperluan jiwanya. Kata-kata yang sangat ingin didengar oleh lelaki daripada bibir perempuan ialah kata-kata yang ‘mengesahkan’ apa yang diucapkannya. Jawapan yang tidak mengesahkan ialah jawapan yang mengatakan lelaki itu salah, silap, tidak betul, bodoh dan seumpamanya. Lelaki ingin mendengar perempuan memberitahunya dia betul, pandai dan baik. Ada beberapa jenis jawapan yang digemari oleh lelaki. Jenis pertama ialah jawapan yang dengan cara terus terang mengesahkan kata-katanya. Tidak ada dolak-dalik lagi. Kata-kata seperti, "Betul kata abang itu." ataupun "Saya setuju dengan pandangan abang." ataupun "Abang betul." ataupun "Kalau begitu kata abang, saya terima." ataupun "Saya dapat rasakan apa yang abang rasa." ataupun "Kalau saya dalam kedudukan abang, saya pun akan buat apa yang abang buat." adalah kata-kata yang menyukakan ego lelaki. Pengesahan jenis ini adalah yang paling penting dan yang paling digemari lelaki. Apabila isteri berkata begitu, dengan jelas dia memberitahu suaminya dia nampak sebagaimana suaminya nampak. Jenis kedua ialah jawapan yang menggambarkan perasaan positif si isteri. Jawapan jenis ini pun sangat digemari oleh suami, dan ia sangat penting diucapkan oleh isteri supaya suami tahu apa yang dipercakapkannya membuat isterinya suka. Perasaan positif termasuklah rasa suka, seronok, gembira, lega, lapang, syukur dan lain-lain perasaan apabila mendengar apa yang dikatakan oleh si suami. Lelaki suka mendengar kata-kata seperti, "Saya puas dengan abang." ataupun "Saya suka apa yang abang beri.", ataupun "Seronoknya, abang dah balik!", ataupun "Abang ni pandailah usik saya!" ataupun "Saya gembira abang sudah berjaya." ataupun "Tahniah, abang." ataupun "Abang memang hebat!" Kata-kata seperti itu sangat memenuhi keperluan jiwa lelaki. Ia membuat mereka berasa diri mereka istimewa dan berbeza daripada lelaki lain. Ia amat memenuhi keperluan ego suami. Jawapan jenis ketiga ialah jawapan yang menyatakan persetujuan. Kebanyakan isteri, apabila mereka bersetuju dengan pendapat suami, mereka diam-diam sahaja. Perbuatan begitu tidak menyeronokkan hati suami. Jadi, katakanlah dengan jelas kita bersetuju dengan suami. Apabila bersetuju katakan kepada lelaki, "Saya setuju dengan abang. Idea itu memang baik." ataupun "Saya sokong pendapat abang." ataupun "Betul kata abang itu." ataupun "Saya boleh terima pandangan abang." Menyokong lain, mendukung lain. Menyokong bermakna isteri bersetuju dengan pendapat suami. Mendukung bermakna isteri dapat merasakan apa yang suami rasakan. Ada kalanya lelaki bercakap-cakap bukan disebabkan dia mempunyai sebarang idea, pendapat ataupun cadangan yang hendak disampaikan kepada pasangannya. Sebaliknya dia cuma mencari ketenangan jiwa. Mungkin dia mencari orang yang bertimbang rasa ataupun mengerti apa yang sedang dialaminya. Mungkin dia cuma mencari hiburan dan sokongan sahaja. Jadi, ucapkanlah kata-kata yang lelaki itu mahu dengar. Perempuan yang pandai mengurut ego lelaki tahu ada beberapa bentuk ayat yang tidak boleh digunakan apabila melayan lelaki bercakap. Ayat-ayat itu disebut ayat-ayat penafian. Kita dikatakan menafikan sesuatu apabila kita mengatakan perkara itu salah. Contoh ayat penafian ialah seperti, "Cakap awak itu salah." ataupun "Abang ni merepek sahajalah!" ataupun "Bohonglah abang ni!" ataupun "Takkan macam itu pulak! Tidak masuk akal sahaja bunyinya." ataupun "Abang ni mengarutlah!" ataupun "Eh! Orang tua ni buang tabiat kah?" Kata-kata begini sangat menyakitkan hati lelaki. Apabila mendengar kata-kata perempuan seperti itu, maka ego lelaki pun kemik. Tabiat suka bercakap dengan gaya ini sangat merosakkan perhubungan. Inilah antara faktor-faktor mengapa ada lelaki tidak seronok hendak bercakap-cakap dan berbual-bual dengan perempuan. Lazimnya, apabila berlaku keretakan pada hubungan, pihak perempuanlah yang lebih banyak menanggung kesannya. Oleh itu adalah bijaksana jika perempuan belajar cara-cara menjaga ego lelaki dan memelihara keharmonian hubungan dan rumah tangga. Tidak dinafikan kemahiran berkomunikasi juga amat penting bagi lelaki, tetapi sekiranya salah satu pihak sanggup memulakan langkah pertama, itu pun sudah sangat besar faedahnya. Jangan tunggu sampai pasangan berubah dahulu baru hendak mengubah cara-cara sekarang. Jangan terperangkap dalam pemikiran ‘ayam dengan telur’. Isu mencipta kebahagiaan untuk suami demi keuntungan diri si isteri sendiri bukannya isu ayam dengan telur. Tukar cara-cara bercakap yang salah menggunakan cara-cara yang betul. Nanti, dengan sendirinya, apabila ego lelaki sudah sihat dan segar di dalam rumah sendiri, dia akan mengubah cara layanan yang dia gunakan sekarang dengan cara layanan yang lebih baik.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



DI KALANGAN perempuan lazimnya mereka cuba menarik minat lelaki dengan cara memperbaiki penampilan rupa paras dan bentuk badan dengan menggunakan mekap serta fesyen. Walaupun lelaki memang mudah tertarik dengan penampilan perempuan tetapi itu hanyalah pada waktu awal-awal perkenalan sahaja. Selepas perkenalan, lelaki mengutamakan personaliti perempuan itu. Jikalau personaliti perempuan itu tidak menarik lelaki, dia tidak akan jatuh cinta dan seterusnya tidak mahu menjalin hubungan yang berkekalan dengannya. Bagi menambat hati lelaki supaya mahu jatuh cinta dan seterusnya menjalin hubungan yang kekal, salah satu strategi berkesan ialah dengan menjadikan diri mereka sebagai perempuan yang berpersonaliti menarik. Salah satu sifat manusia ialah mereka hanya suka berkenalan, berbual-bual dan menjalin hubungan dengan orang-orang yang menarik hatinya, meskipun rupa paras orang itu tidak berapa tampan ataupun jelita. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila kita tidak suka berada dekat dengan orang-orang yang tidak menarik minat kita. Begitu juga, kita juga tidak suka bercakap-cakap dan berbual-bual dengan orang yang kita benci. Bagi menarik minat orang supaya mereka mahu berkomunikasi dengan kita, terlebih dahulu kita perlu membuat mereka tertarik kepada diri kita. Berkenaan daya tarikan, kita tidak akan tertarik kepada semua orang, dan kita juga tidak membenci semua orang. Begitu juga sikap orang kepada kita. Tidak semua orang akan tertarik kepada kita, dan tidak semua orang membenci kita. Pakar-pakar komunikasi banyak membuat kajian bagi mengetahui apakah faktor-faktor yang mendorong seseorang itu tertarik dengan orang lain. Dengan mengetahui faktor-faktor itu kita dapat meninggikan daya tarikan kita, supaya lelaki yang kita idamkan suka berkomunikasi dengan kita. Pengetahuan ini sangat besar faedahnya kerana ia mempengaruhi kejayaan seseorang sama ada dalam kerjaya, perniagaan, persahabatan, percintaan dan perkahwinan. Seseorang itu tidak sengaja-sengaja tertarik ataupun benci kepada orang lain tanpa sebab dan begitu juga sebaliknya. Mengikut pakar-pakar psikologi, ada dua faktor utama yang menyebabkan kita tertarik kepada orang lain. Faktor yang paling penting ialah apa yang disebut sebagai keelokan. Setiap orang mempunyai dua jenis keelokan, iaitu keelokan rupa paras dan keelokan peribadi. Kedua-dua jenis keelokan ini amat penting peranannya dalam semua jenis kejayaan, terutama kejayaan percintaan dan perkahwinan. Bagi perempuan adalah mustahak supaya mereka menjaga rupa paras supaya kekasih ataupun suami mereka terus tertarik kepada mereka. Namun untuk menjadi orang yang menarik, kita tidak perlu memiliki wajah bintang filem. Kita hanya memerlukan wajah yang biasa-biasa sahaja. Menurut pakar apabila kita tertarik kepada seseorang, nanti kita akan nampak sifat-sifat orang itu sebagai menarik juga. Inilah faktor yang menyebabkan gejala ‘cinta itu buta’. Apabila kita menyukai seseorang, kita nampak yang baik-baik sahaja pada orang itu. Kita macam tidak nampak sifat-sifatnya yang tidak baik. Walaupun rupa paras orang itu biasa-biasa sahaja, tetapi kita akan nampak dia lebih cantik ataupun lebih tampan daripada yang sebenarnya. Disebabkan kita menyukai orang itu, maka cara kita berkomunikasi dengannya pun menunjukkan kita suka kepadanya. Kita suka berjumpa dengannya. Kita suka bercakap-cakap dengannya. Kita juga menggunakan gaya percakapan yang positif apabila bercakap dengannya. Kita suka mendampinginya. Kita banyak memujinya. Seseorang suami yang masih tertarik kepada isterinya suka selalu didampingi oleh isterinya, dan apabila berbual-bual, dia banyak memuji isterinya. Yang sebaliknya juga berlaku. Apabila kita benci kepada orang itu, kita mula nampak semua sifat-sifatnya yang tidak kita sukai. Kita nampak yang buruk-buruk sahaja. Cara kita berkomunikasi dengannya pun mencerminkan keadaan di mana kita nampak yang buruk-buruk sahaja. Oleh sebab itu kita banyak menegur dan mengkritik sikap, fikiran, perbuatan dan peribadinya. Seseorang suami yang sudah tidak tertarik lagi kepada isterinya tidak suka didampingi oleh isterinya, dan apabila bercakap dia banyak mengkritik isterinya. Menurut pakar-pakar psikologi, apabila kita anggap seseorang itu menarik, kita juga menganggap dia memiliki banyak bakat dan kebolehan. Oleh itu kita banyak memuji bakat dan kebolehannya. Suami yang menganggap isterinya menarik selalu memuji bakat dan kebolehan isterinya. Dia mengatakan isterinya pandai itu dan pandai ini. Jika kita tidak suka seseorang itu, kita nampak dia seorang yang tidak mempunyai sebarang bakat dan kebolehan istimewa. Oleh itu kita tidak memujinya, malah kita terdorong mengkritik segala kelemahannya. Kajian juga mendapati kita menyukai orang yang pandai berkomunikasi. Disebabkan kita menyukainya, maka kita nampak yang baik-baik sahaja mengenai diri orang itu. Akibatnya kita banyak memujinya. Semakin banyak kita memuji bakat dan kebolehannya semakin kita tertarik kepadanya. Inilah proses yang lama-lama mendorong kita jatuh cinta kepadanya. Menurut pakar, kita lebih cepat jatuh cinta kepada orang yang kita sukai apabila dia banyak memberi kerjasama kepada kita dalam kerja-kerja sosial dan fizikal. Kita jatuh cinta kepada orang seperti itu disebabkan kita anggap dia amat menarik. Dengan anggapan itu kita suka berdampingan dengannya. Hasilnya kita lebih mengerti dan memahami jiwanya, lalu jatuh cinta kepadanya. Apabila kita berhasrat memikat hati orang yang menjadi idaman, dia mesti terlebih dahulu mempunyai anggapan bahawa kita seorang yang menarik di matanya. Pertama, belajarlah bercakap dan berbual-bual menggunakan teknik-teknik berkomunikasi yang betul. Apabila dia suka berkomunikasi dengan kita, persepsinya akan berubah dan dia akan anggap kita seorang orang yang menarik. Dengan persepsi yang begitu, dia suka berkomunikasi dan mendampingi kita. Kedua, banyakkan memberi kerjasama kepada orang itu dalam kerja-kerja sosial dan fizikal. Dalam lain perkataan, sebaik-baiknya kita melakukan banyak aktiviti bersama-sama orang itu. Dengan cara itu kita akan kelihatan lebih menarik lagi di matanya. Pada tahap ini barulah kita mempunyai peluang menambat hatinya supaya jatuh cinta kepada kita.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



KEBANYAKAN perempuan mahu supaya kekasih ataupun suami mereka selalu memperkatakan, mengucapkan, membincangkan, menyatakan dan mempamerkan emosi cinta mereka secara terbuka, jujur dan tepat kepadanya. Perempuan yakin, seandainya lelaki mahu mempamerkan cinta dan kasih sayang mereka dengan cara melakukan perkara-perkara seperti itu, maka perempuan percaya barulah mereka berasa bahagia dan puas dengan hubungan percintaan ataupun perkahwinan mereka. Ramai perempuan mengadu mereka berasa diri mereka seperti tidak dicintai dan tidak disanjung lagi oleh suami mereka. Ramai pula perempuan mengadu mereka menderita batin kerana kurang kasih sayang daripada suami. Sebenarnya kebanyakan perempuan bukan kurang diberi kasih sayang oleh lelaki. Sebenarnya mereka tidak menerima kasih sayang itu dalam bentuk sebagaimana yang mereka mahukan, disebabkan lelaki mempamerkan kasih sayang mereka dengan cara-cara mereka sendiri, tidak seperti cara-cara yang diidamkan oleh perempuan. Perempuan mahu supaya kasih sayang lelaki disampaikan kepada mereka menggunakan kata-kata dan tingkah laku cinta yang jelas dan tepat. Perempuan mahu supaya sebutan kata "cinta", "rindu", "sayang" dan lain-lain bahasa cinta diucapkan dan dibisikkan oleh lelaki ke telinga mereka. Di televisyen dan surat khabar sekarang, banyak pakar motivasi dan pakar kaunseling rumah tangga menyeru kaum suami supaya belajar mempamerkan kasih sayang mereka kepada perempuan dengan cara yang lebih jelas dan terang, bukan lagi dengan cara sipi-sipi dan tidak langsung, seperti biasanya dalam budaya Asia kita. Pakar-pakar motivasi itu menyeru supaya lelaki belajar mengucapkan dan membisikkan kata-kata cinta ke telinga kekasih ataupun isteri mereka. Mereka juga menyeru supaya lelaki mempamerkan cinta mereka melalui tingkah laku cinta seperti menyentuh, mengusap, mengurut dan memeluk isteri. Ada beberapa faktor yang menyebabkan permintaan supaya lelaki mempamerkan kasih sayang seperti yang dikehendaki oleh perempuan sukar dipenuhi oleh kebanyakan lelaki. Ini bukan setakat masalah lelaki Melayu dan Asia sahaja. Menurut ahli-ahli psikologi, masalah ini adalah masalah biasa di Eropah dan di Amerika. Jangan percaya kepada apa yang dihidangkan di kaca televisyen, itu bukan gambaran sebenar kehidupan majoriti orang Barat. Itu adalah gambaran yang dijual oleh para pembikin filem kepada para penonton. Mengapakah lelaki sukar hendak memenuhi saranan pakar-pakar motivasi dan kaunseling rumah tangga itu? Faktor pertama ialah perbezaan cara perempuan dan lelaki mengucapkan emosi cinta mereka. Perbezaan ini adalah fitrah psikologi semua manusia, bukan hanya di kalangan orang-orang Melayu. Adalah fitrah bagi perempuan mengucapkan emosi mereka melalui aktiviti lisan atau mulut. Perempuan mengucapkan emosi mereka dengan cara bercakap-cakap mengenainya. Apabila perempuan berasa suka, mereka akan bercakap; apabila mereka benci, mereka akan bercakap juga. Itulah fitrah komunikasi perempuan. Itulah sebabnya, perempuan lebih banyak bercakap-cakap dan berbual-bual berbanding dengan lelaki. Melalui aktiviti lisan perempuan berpeluang menyatakan pelbagai emosi mereka. Dengan bercakap perempuan akan mendapat kepuasan. Tetapi lelaki tidak suka mengucapkan emosi mereka dengan menggunakan kata-kata. Sebaliknya mereka mengucapkan cinta mereka melalui aktiviti fizikal. Lelaki mempamerkan rasa cinta dengan melakukan sesuatu untuk orang yang mereka cintai, walaupun mulut mereka membisu. Ini ada kena-mengena dengan asuhan yang diterima oleh lelaki dalam semua budaya. Lelaki diasuh supaya mendapatkan rasa kepuasan melalui aktiviti pencapaian, bukan melalui aktiviti lisan. Faktor kedua ialah peraturan budaya. Boleh dikatakan, dalam semua budaya, lelaki tidak dibenarkan mendedahkan perasaan mereka secara terbuka. Mereka diasuh dengan cara begini sejak mereka masih kanak-kanak kecil lagi. Sebagai contoh, tidak seperti kanak-kanak perempuan, kanak-kanak lelaki tidak digalakkan menangis. Lelaki diasuh supaya pandai mengawal emosi mereka daripada dapat dilihat dan diketahui oleh orang lain. Itu dianggap sebahagian daripada sifat-sifat kelelakian tulen. Jadi lelaki dibesarkan dengan asuhan supaya pandai menyembunyikan perasaan mereka. Hampir dalam semua budaya, lelaki yang tidak pandai menyembunyikan dan mengawal emosi diberi tanggapan-tanggapan negatif. Mereka dilabelkan sebagai lelaki yang tidak tulen. Mereka dikatakan pondan, lemah, tidak ada personaliti dan lain-lain lagi. Mereka juga dikatakan tidak matang daripada segi inteleknya. Lelaki yang gagal mengawal dan menyembunyikan perasaannya di tempat kerja boleh dihukum secara yang keras, yang boleh menjejaskan kemajuan kerjaya mereka. Mereka dicap sebagai emosional, seperti perempuan. Mereka dikatakan lemah. Daripada sudut sosial, mereka tidak akan dilantik menjadi ketua. Mereka juga akan menjadi bahan ejekan dan gurauan. Faktor yang ketiga ialah lelaki takut kepada risiko peribadi. Kebanyakan lelaki takut hendak mendedahkan emosi mereka kepada perempuan disebabkan perkara itu boleh mendatangkan risiko kepada diri mereka sendiri pada masa depan. Lelaki tahu setiap kali mereka mendedahkan emosi mereka, sebenarnya mereka mendedahkan sebahagian daripada kelemahan yang ada pada diri mereka. Apabila seseorang lelaki mendedahkan emosinya kepada perempuannya, dia mendedahkan kelemahannya kepada perempuan itu. Lazimnya lelaki tidak mahu melakukan itu. Kebanyakan lelaki tidak mahu mengambil risiko tersebut disebabkan lelaki tahu sudah biasa terjadi di mana perempuan-perempuan menggunakan apa yang mereka tahu berkenaan kelemahan pasangan mereka untuk melukai hati dan mengalahkan pasangan mereka kemudian hari. Bukanlah perkara yang asing apabila perempuan-perempuan begini mengancam suami mereka menggunakan ancaman-ancaman yang melibatkan risiko kepada emosi suami. Kata-kata begini amat menakutkan lelaki, "Kalau awak kahwin lagi, saya tidak beri anak-anak jumpa awak lagi." ataupun "Saya akan ceritakan kepada anak-anak apa yang berlaku. Biar mereka benci awak. Biar mereka tahu siapa sebenarnya ayah mereka." Begitu juga kata-kata begini amat menakutkan lelaki, "Kalau awak tidak mahu putuskan hubungan awak dengan dia, saya beritahu ketua pejabat awak. Biar awak malu. Rasakan!" ataupun "Saya akan dedahkan skandal awak kepada wartawan." ataupun "Saya akan pergi ke pejabat awak, biar semua orang tahu." Faktor keempat mengapa lelaki tidak mahu mempamerkan emosi mereka ialah mereka sudah diasuh sejak kecil supaya pandai menafikan emosi mereka sendiri. Dalam kebanyakan budaya, lelaki diajar dengan pelbagai cara menyelesaikan masalah peribadi. Secara tradisional, salah satu cara menyelesaikan masalah peribadi yang diajarkan kepada lelaki ialah dengan menafikan perasaan mereka sendiri. Sebagai contoh, katakanlah seorang suami berasa sakit hati kepada isterinya. Bagi menyelesaikan masalah emosi itu, dia menafikan dia sakit hati. Dia berkata kepada dirinya sendiri bahawa perasaan itu tidak ada, ataupun dia tidak patut berasa begitu, ataupun ia bukan suatu masalah, ataupun ia bukan masalah besar yang perlu diselesaikannya. Lelaki diasuh sejak kecil supaya pandai melupakan sahaja apa sahaja perasaan yang mereka rasakan. Mereka juga diasuh supaya jangan suka melayan perasaan mereka. Caranya ialah dengan berpura-pura mereka tidak mengalami perasaan itu. Satu lagi cara lelaki menyelesaikan masalah peribadi ialah dengan tidak mahu bercakap langsung mengenainya. Lelaki begitu pandai menafikan dan melupakan perasaan mereka sendiri sehingga mereka tidak tahu lagi bagaimana hendak menyatakan perasaan mereka apabila diminta oleh perempuan. Dalam keadaan begini, perempuan perlu memahami dan berempati kepada lelaki apabila kekasih mahupun suami mereka sukar hendak mengucapkan cinta dan kasih sayang mereka sebagaimana yang diingini oleh perempuan. Tidak pandai mengucapkan kata-kata cinta bukan bererti mereka tidak mencintai puan.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



RAMAI wanita tertanya-tanya, apakah lelaki merasakan emosi yang serupa dengan emosi yang dirasai oleh perempuan apabila mereka bercakap mengenai 'cinta'? Perkara ini menjadi misteri kepada perempuan disebabkan lelaki tidak suka menerangkan secara terperinci bagaimana perasaan dan emosi mereka apabila mereka itu sedang mengalami rasa cinta. Pakar psikologi mengatakan, bagi perempuan, cinta adalah sejenis emosi, tetapi ia adalah sebaliknya bagi lelaki. Kepada lelaki, cinta adalah suatu peristiwa, suatu kejadian, bukannya emosi. Setiap peristiwa mempunyai permulaan dan penghujung. Oleh itu, daripada sudut pandangan lelaki, cinta seperti juga apa-apa peristiwa lain, maka cinta juga tentulah mempunyai titik permulaannya dan mem-punyai titik penghujungnya. Daripada kaca mata lelaki, disebabkan cinta adalah suatu peristiwa, maka sekali dia jatuh cinta kepada seorang perempuan, maka cintanya itu akan terus kekal berada pada tempatnya, iaitu kepada perempuan itu. Tempat cinta lelaki tidak berubah-ubah sampai bila-bila, melainkan apabila berlaku perkara-perkara yang boleh melenyapkan cintanya kepada perempuan itu. Maka itulah sebabnya, bagi lelaki, apabila sekali dia sudah melafazkan komitmen cintanya kepada wanita, sama ada melalui ikatan janji, tali pertunangan, mahupun melalui pernikahan, maka baginya selepas itu perkataan 'cinta' tidak perlu disebut-sebut lagi. Bagi lelaki, sekali dia jatuh cinta, dia tahu cintanya akan terus berada pada tempatnya, iaitu kepada perempuan itu, dan tidak akan berubah-ubah lagi. Kepada lelaki, sesudah bernikah, tidak ada gunanya dia mengulang-ulang kata-kata 'cinta' kalau semata-mata untuk dibisik-bisikkan ke telinga isterinya, seperti yang dulu mungkin pernah diucapkan semasa belum berkahwin. Inilah yang tidak dimengerti oleh kebanyakan perempuan. Berbeza halnya dengan perempuan. Sekali perempuan jatuh cinta, dia mahu terus bercakap-cakap mengenai cintanya dari masa ke masa. Demikian pula, perempuan mahu terus mendengar kata-kata 'cinta' diulang-ulang dan dibisik-bisikkan ke telinganya oleh lelaki yang dicintainya. Kerana memang begitulah cara wanita memupuk cinta dan kasih sayang dengan lelaki. Tidak seperti lelaki, bagi wanita, walaupun dia sudah berkahwin dengan lelaki yang dicintainya itu, dia masih mahu supaya cinta terus dipupuk sepanjang masa, tidak kira siang ataupun malam, sama ada mereka sudah beranak ataupun belum. Cara wanita memupuk cinta ialah dengan meng-gunakan kegiatan bercakap-cakap dan berbual-bual mengenai 'cinta' itu sendiri. Bagi wanita, pusat cinta dan kemesraan perhubungan antara lelaki dan perempuan ialah pada aktiviti bercakap-cakap dan berbincang mengenai cinta. Tanpa aktiviti bercakap-cakap mengenai cinta dan kasih sayang, wanita berasa tiada kemesraan dalam perhubungan mereka berdua. Semakin kerap dia dan pasangannya bercakap-cakap mengenai cinta mereka berdua, semakin dia berasa perhubungan mereka amat mesra. Namun, bukan begitu halnya bagi lelaki, di mana apa yang berfungsi sebagai pusat cinta lelaki adalah aktiviti-aktiviti fizikal, bukannya aktiviti bercakap-cakap. Daripada sudut pandangan lelaki, pusat nikmat kemesraan hubungan dengan pasangannya pun serupa juga, iaitu aktiviti fizikal. Cara lelaki menjalin dan memupuk perhubungan cinta dengan perempuan adalah dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama perempuan itu, bukan dengan bercakap-cakap dan berbual-bual. Inilah yang tidak difahami oleh kebanyakan perempuan berkenaan cinta lelaki. Yang membolehkan lelaki mencapai keseronokan, kepuasan dan kebahagiaan bercinta ialah apabila dia dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dengan pasangannya. Bagi lelaki, persahabatan dan percintaan adalah sambungan kepada pelbagai aktiviti yang mereka lakukan bersama-sama. Dalam erti kata yang lain, bagi lelaki, apabila dia dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dengan pasangannya, maka barulah dia dapat bersahabat mahupun bercinta dengan orang itu. Barulah dia dapat mencapai kepuasan mahupun nikmat bersama dengan rakan aktivitinya. Perempuan perlu memahami cara lelaki mengecap nikmat kemesraan bercinta adalah melalui aktiviti bersama. Apabila lelaki dapat melakukan dengan pasangannya apa yang mereka sukai, maka barulah di situ lelaki beroleh nikmat kepuasan erti cinta. Lelaki tidak mendapat apa-apa nikmat dan kepuasan kalau hanya dengan hanya bercakap-cakap mengenai cinta dengan pasangannya disebabkan daripada kaca mata lelaki, bercakap-cakap bukan suatu aktiviti. Berdasarkan hakikat ini, apabila perempuan berhasrat membuatkan pasangannya mengecap kepuasan dan nikmat bercinta dengan dirinya, maka dia perlu turut serta melakukan pelbagai aktiviti fizikal yang dilakukan oleh pasangannya itu. Sebagai contoh, ikut bersama-sama membuat kerja-kerja yang sedang dibuat olehnya ataupun ikut sama meminati hobinya. Ramai lelaki yang meminati aktiviti seperti memancing, bola sepak, menonton gusti di televisyen, ataupun memikat burung tetapi tidak ramai di antara mereka yang mempunyai pasangan yang sama-sama meminati aktiviti tersebut. Keadaan ini mengurangkan rasa nikmat dan kepuasan lelaki itu dalam konteks perhubungan mereka berdua.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



GAYA komunikasi sangat dipengaruhi oleh emosi kita. Apabila kita suka kepada seseorang, komunikasi kita akan bersifat sangat positif. Kita banyak memuji-muji orang itu, dan kita seronok sepanjang masa kita dapat bercakap-cakap dan berbual-bual dengan orang itu. Pakar-pakar psikologi banyak membuat kajian berkenaan apa yang menyebabkan kita menjadi suka atau benci kepada orang lain. Hasil-hasil kajian yang mereka lakukan banyak manfaatnya bagi memperbaiki kemahiran kita mencipta iklim komunikasi yang baik dengan orang yang kita cintai. Antara faktor-faktor yang menyebabkan kita suka kepada seseorang ialah kalau kita menyangka orang itu suka dan tertarik kepada diri kita. Kesan daripada sangkaan seperti itu ialah kita akan menjadi suka dan tertarik kepada orang itu. Gejala ini terjadi walaupun itu hanyalah sangkaan kita sahaja. Barangkali, sebenarnya dia tidaklah berapa suka kepada diri kita, tetapi dia tidak juga benci kepada kita. Asal sahaja kita sangka orang itu suka kepada kita, kita boleh menjadi suka kepada orang itu. Ini pelik tetapi benar. Gejala ini diistilahkan sebagai ‘tarikan terpersepsi’. Maksudnya, hanya pada persepsi kita orang itu suka kepada diri kita. Realitinya mungkin tidak begitu. Implikasi hasil kajian itu ialah, apabila kita mahu supaya orang tertarik kepada diri kita, caranya ialah dengan membuat orang itu menyangka kita sangat tertarik kepadanya. Selagi dia menyangka kita tidak tertarik kepadanya, selagi itulah sukar bagi kita untuk membuat supaya dia tertarik kepada kita. Kajian juga menunjukkan kita akan bertambah-tambah lagi tertarik kepada orang itu kalau memang kita suka kepadanya, dan persepsi kita pun menyangka dia suka kepada kita. Dalam keadaan begini, pakar-pakar psikologi mengatakan kita akan mengalami semacam kesan ‘tersihir’ oleh persepsi kita sendiri, di mana kita akan nampak orang itu lebih tampan daripada yang sebenarnya, lebih baik daripada yang sebenarnya, lebih pintar daripada yang sebenarnya, dan macam-macam lagi yang semua baik-baik belaka. Apakah yang membuat kita tertarik kepada orang yang tertarik kepada kita? Pakar-pakar mengatakan, gejala ini terjadi kerana keadaan seperti itu sangat memenuhi keperluan jiwa dan kalbu kita. Salah satu keperluan itu disebut keperluan estim-diri. Estim-diri ialah istilah untuk keadaan di mana kita suka atau benci kepada diri kita sendiri. Kalau kita seronok dengan diri sendiri, maka dikatakan estim-diri kita tinggi. Kalau kita tidak seronok dengan diri sendiri, dikatakan estim-diri kita rendah. Keperluan estim-diri adalah keperluan jiwa yang sangat mendalam. Apabila ada orang tertarik kepada diri kita, estim-kita naik dan kita berasa seronok. Apabila orang itu jatuh cinta kepada kita, estim-diri kita naik lebih tinggi. Jiwa dan kalbu kita berasa amat bahagia. Orang-orang yang tertarik kepada kita adalah orang-orang yang memenuhi keperluan jiwa kita. Mereka menaikkan estim-diri kita. Mereka membuat kita berasa seronok. Apabila mereka juga mencintai diri kita, estim-diri kita naik lebih tinggi lagi dan jiwa dan kalbu kita berasa tambah seronok. Itulah sebabnya kita suka kepada orang-orang seperti itu. Orang yang benci kepada diri kita membuat estim-diri kita turun jadi rendah dan kita tidak seronok. Itulah sebabnya kita tidak suka orang-orang yang membenci kita. Satu lagi faktor lain ialah, orang-orang yang suka kepada kita membuat kita berasa diri kita sangat istimewa dan dihargai olehnya. Perasaan seperti itu sangat memenuhi keperluan jiwa kita. Akibatnya, kita suka kepada orang yang membuat kita berasa begitu. Selain daripada itu, sudah menjadi adat, kalau orang baik kepada kita, kita akan membalas budi itu dengan kebaikan juga. Oleh kerana dia menyukai diri kita, maka kita pun terdorong untuk membalasnya dengan menyukai dirinya juga. Pakar-pakar psikologi banyak memberi panduan bagaimana kita boleh membuat orang suka kepada kita: 1. Kita mesti suka menolong orang. Orang yang pernah menerima pertolongan kita akan suka kepada kita. 2. Jadilah orang yang jujur, ikhlas dan berhati baik dan gambarkan sifat-sifat mulia itu dalam komunikasi kita. Manusia memang suka kepada orang yang memiliki sifat-sifat tersebut. Tetapi ingat, jangan sekali-kali ‘bersandiwara’ sebab sekali orang tahu kita cuma berpura-pura, sampai mati orang benci kepada kita. 3. Ada orang sangat pandai dan petah bercakap sehingga melakukan kesilapan ‘banyak cakap’. Orang yang mendengar tidak suka perangai ini. Cuba belajar banyakkan mendengar daripada bercakap. Biar orang yang hendak kita pikat hatinya itu yang dapat banyak peluang bercakap. Biar dia puas bercakap. Kerana sifat manusia suka mendengar suaranya sendiri, dia suka kepada orang yang membenarkan dia mendengar suaranya sendiri. 4. Jadikan diri kita seorang yang menarik minat orang itu apabila kita bercakap kepadanya. Belajar teknik yang betul memberi pujian. Selalu ucapkan kata-kata penghargaan. Isi otak dengan ilmu kerana lelaki bosan mendengar perempuan bercakap perkara remeh-temeh. Lelaki selalu sahaja tidak perasan kalau perempuan tidak menukar baju lamanya dengan yang baru. Tetapi lelaki sangat perasan kalau perempuan bercakap mengulang-ulang perkara lama. 5. Apabila berbual gunakan gaya positif dan koperatif. Gaya positif tidak menggunakan perkataan-perkataan negatif. Gaya koperatif tidak tunjuk pandai dengan membuktikan orang lain salah, atau tidak betul. Tidak ada orang yang suka dirinya dibuktikan salah. Lelaki bukan takut kepada perempuan yang pandai, tetapi mereka takut kepada perempuan yang suka tunjuk pandai. Tunjuk pandai bukan bukti orang itu pandai. Ramai orang bodoh suka tunjuk pandai. 6. Apabila berbual-bual, jangan tunjukkan kita amat berminat dengan diri sendiri. Ramai orang suka bercakap "Saya..... saya.....saya...." daripada mula sampai habis. Ia sangat membosankan orang yang mendengar. Jadi cuba berjimat cermat apabila menggunakan perkataan ‘saya’. 7. Dalam perbualan, gambarkan kita banyak bersetuju dengan sikap orang itu, dengan sudut pandangannya, dan kita menghargai idea-ideanya. Lebih baik lagi, katakan kita menganut nilai-nilai yang serupa dengan nilai-nilainya. 8. Tunjukkan kita seorang yang positif. Jadi, jangan suka merungut-rungut. Jangan bercakap perkara-perkara yang kita tidak suka. Jangan sekali-kali mengata orang. Jangan suka mencari salah orang. Jangan suka mengkritik orang. Itu semua adalah bukti otak kita penuh dengan perkara-perkara negatif. Jangan buat itu semua di depan orang yang hatinya cuba kita pikat. Kajian membuktikan manusia tertarik kepada orang-orang yang positif. 9. Tunjukkan kita seorang yang banyak tenaga, aktif, bersemangat dan memiliki ghairah-hidup. Tenaga adalah unsur yang menarik dan sangat menggoda. Jangan tunjukkan tanda-tanda kita pemalas, penat, letih, lesu, lembap dan berat badan. Berjalan dengan tegak dan laju, seperti gaya lelaki dan perempuan Cina berjalan. Jangan heret selipar. Bercakap dengan menyebut perkataan-perkataan dengan sebutan yang terang dan ‘bulat’. 10. Apabila berbual-bual, ucapkan kata-kata yang boleh membuat orang itu seronok. Jangan asyik hendak menyeronokkan diri sendiri sahaja. Tunjukkan kita seronok dapat mendengar perbualannya. Caranya ialah dengan tekun mendengar dia bercakap. Apabila dia berlawak, kita sambut dengan gelak dan ketawa. Jangan menyampuk. Jangan sambung ayat-ayatnya. Jangan mencelah. Jangan memandang ke tempat lain. Kemahiran berkomunikasi adalah kemahiran yang sangat besar gunanya. Menurut kajian, orang-orang yang mahir berkomunikasi dipandang sebagai orang yang mempunyai daya tarikan. Ini tidaklah menghairankan kerana dengan menggunakan teknik-teknik komunikasi yang betul, setiap kali kita bercakap, kita membuat orang berasa seronok. Akibatnya mereka suka dan tertarik kepada kita. Mendengar Lebih penting daripada kepandaian mengucapkan kata-kata yang betul dan manis ialah kepandaian mendengar. Ramai kaunselor rumah tangga berpendapat masalah yang paling banyak dialami oleh suami-isteri hari ini ialah masalah tidak tahu teknik mendengar. Kajian menunjukkan orang-orang yang tidak pandai mendengar meng-alami perkahwinan yang kurang memuaskan. Mereka juga kurang berjaya dalam lapangan pekerjaan. Fungsi utama mendengar ialah untuk belajar, mempengaruhi orang, menjalin hubungan, untuk berseronok dan menolong orang lain. Mendengar untuk belajar Dalam konteks am, kita mendengar bagi memahami orang-orang lain, memahami diri sendiri, memahami alam dan belajar daripada orang-orang lain yang mengetahui perkara-perkara yang tidak kita ketahui atau yang tidak pernah kita alami lagi. Dalam konteks hubungan suami isteri, kita mendengar untuk belajar mengenai diri pasangan kita. Jika seorang isteri mendengar suaminya bercakap, dia berpeluang belajar mengenali ‘siapa’ suaminya. Mendengar untuk menjalin hubungan Dengan mendengar suami bercakap, isteri dapat menjalin, mengekalkan, dan mencipta hubungan kasih sayang yang lebih memuaskan. Hubungan baik dan mesra itu terjalin kerana si suami suka menerima si isteri. Kajian pakar-pakar komunikasi interpersonal menunjukkan manusia suka kepada orang yang pandai mendengar mereka bercakap. Apabila seseorang isteri itu pandai mendengar suaminya bercakap, dia memberi gambaran kepada suaminya dia berminat dan prihatin kepada suaminya. Perbuatan si isteri itu menyebabkan suaminya menghargai hubungan mereka berdua. Mendengar untuk mempengaruhi Apabila isteri pandai mendengar, lebih mudah baginya mempengaruhi sikap dan tingkah laku si suami. Ini kerana, kajian mendapati orang yang didengar akan menghormati orang yang mendengarnya bercakap. Didorong oleh rasa hormat, si suami tidak bersikap defensif, oleh itu dia mudah menerima pandangan si isteri yang mahu mendengar apa yang diperkatakannya. Sebagai contoh, kajian menunjuk-kan orang-orang bawahan lebih terbuka mendengar pendapat ketua yang pada pandangan mereka mahu mendengar dengan teliti apa yang diucapkan oleh orang bawahannya. Mendengar untuk berseronok Ada kalanya kita mendengar cerita, lawak jenaka, gurau senda dan perbualan kosong daripada rakan-rakan semata-mata kerana hendak berseronok-seronok dengan mereka. Kita hendak menikmati kehadiran mereka dan aktiviti perbualan itu. Ini kita lakukan dengan cara mendengar apa yang mereka ceritakan tanpa bersikap kritikal atau menilai apa yang kita dengar. Kemahiran mendengar untuk berseronok adalah unsur utama yang diperlukan dalam aktiviti gurau senda. Ramai wanita tidak mempunyai kemahiran mendengar jenis ini. Mereka tidak pandai membezakan kata-kata yang dimaksudkan untuk bersenda semata-mata dengan kata-kata yang serius. Mereka cenderung menganggap semua kata-kata suami adalah bermaksud serius. Akibatnya mereka bersikap kritikal terhadap cakap suami. Sebaik-baik si isteri bersikap kritikal, matilah nafsu suami untuk bersenda dengan isterinya. Mendengar untuk menolong Ada kalanya dengan mendengar kita dapat menolong orang lain kerana kita dapat merasakan apa yang mereka rasakan dan kita dapat berfikir dengan menggunakan sudut pandangan mereka. Bagi tujuan ini, kemahiran mendengar yang digunakan ialah kemahiran mendengar secara empati. Langkah Mendengar Aktiviti mendengar terdiri daripada lima langkah iaitu menerima, memahami, mengingat, menilai dan berespons. Menerima Dalam aktiviti ini kita menerima mesej yang diucapkan dan juga mesej dalam bentuk bahasa badan. Bagi menerima apa yang kita dengar dengan lebih baik lagi, lakukan perkara-perkara berikut: 1. Beri tumpuan kepada kata-kata orang itu dan juga kepada gerak-geri bahasa badannya. 2. Dengar apa yang dikatakannya dan dengar juga apa yang tidak dikatakannya. 3. Tumpukan perhatian kepada orang itu. Jangan sibuk memikirkan apa yang hendak kita katakan. 4. Jangan suka mencelah. 5. Jangan pedulikan gangguan-gangguan yang ada semasa kita sedang mendengar. Memahami Dalam langkah ini kita cuba memahami apa yang dimaksudkan oleh orang itu, termasuk apa yang difikirkannya. Supaya lebih faham, lakukan perkara-perkara berikut: 1. Kaitkan apa yang dikatakannya dengan apa yang kita sudah tahu. 2. Fahami apa kata orang itu daripada sudut pandangannya. 3. Tunggu sampai dia habis bercakap, baru buat penilaian. 4. Minta lebih banyak penerangan atau maklumat. 5. Ulang apa kata orang itu tetapi gunakan kata-kata kita sendiri. Mengingat Untuk berkomunikasi secara efektif, kita perlu mengingat apa yang kita dengar. Ada kalanya, kita boleh membuat catatan, tetapi dalam perbualan hari-hari, kita tidak membuat catatan. 1. Kenal pasti perkara-perkara penting yang diucapkan. 2. Ringkaskan apa yang diucapkannya. 3. Ulang nama dan perkara-perkara yang penting dalam kepala kita sendiri. Menilai Dalam proses mendengar, secara tidak disedari kita melakukan banyak penilaian. Sebagai contoh, apabila ada orang memberitahu kita dia akan melancong ke Jakarta, kita menilai apa niat orang itu memberitahu kita hal itu. Adakah dia hendak menunjukkan dia mampu berjalan? Adakah dia hendak menunjukkan dia banyak wang? Apabila menilai, lakukan perkara-perkara berikut: 1. Jangan menilai sebelum orang itu habis bercakap. 2. Kita mesti sentiasa andaikan orang itu berniat baik. 3. Apabila kita rasa kita tidak setuju dengan orang itu, kita minta penjelasan lebih lanjut. 4. Kenal pasti sama ada apa yang diucapkan oleh orang itu adalah fakta, pendapat peribadi, atau andaiannya sahaja. 5. Cuba kenal pasti kalau ada prasangka, kepentingan diri dan sikap berat sebelah yang boleh menyebabkan orang itu berkata begitu. Berespons Respons ialah maklumat yang kita berikan kepada orang itu semasa dan selepas kita mendengar dia bercakap. Respons yang kita buat semasa dia masih bercakap mestilah jenis yang bersikap mendukung, iaitu respons yang menunjukkan kita mendengar apa yang dikatakannya. Respons yang kita buat selepas dia habis bercakap biasanya lebih panjang. Kita boleh menyatakan empati seperti "Saya faham apa yang awak sedang rasakan." Kita boleh meminta penjelasan "Adakah cara kedua lebih baik daripada cara pertama?" Kita boleh mencabar "Bukti yang awak kemukakan tidak cukup kuat." Kita juga boleh bersetuju, "Cadangan ini sungguh praktikal. Saya setuju." Apabila membuat respons, lakukan perkara-perkara berikut: 1. Tunjukkan sikap dukungan kepada orang itu dengan berkata seperti "Hm.... hm...." dan gerak-geri seperti mengangguk-anggukkan kepala. 2. Bersikap jujur, sama ada kita setuju atau tidak setuju dengannya. 3. Gunakan ayat-ayat ‘saya’. Contohnya: "Saya setuju dengan tindakan abang." "Saya fikir kita perlukan cara lain yang lebih murah." Halangan Mendengar Banyak perkara yang kita buat menghalang kita daripada mendengar secara yang berkesan. Perbuatan-perbuatan itu ialah: 1. Kita cuma hendak mendengar apa-apa maklumat yang dapat kita jadikan peluru bagi menembak orang itu semula. Maklumat-maklumat lain, walaupun relevan, kita buang ke tepi. 2. Pura-pura mendengar, iaitu kita berlakon seolah-olah kita berminat mendengar apa yang dikatakan oleh orang itu, tapi sebenarnya otak kita di tempat lain. 3. Membuat penilaian, rumusan dan keputusan walaupun orang itu belum habis bercakap. 4. Sibuk memikirkan apa yang ada dalam kepala kita, bukan mendengar orang itu bercakap. Kita berasa fikiran kita lebih penting daripada apa yang orang itu fikirkan dan rasakan. 5. Sibuk bercakap, bukan sibuk mendengar. Pantang orang itu berhenti sekejap menarik nafas, kita terus mencelah. 6. Tidak minat mendengar kerana takut orang itu akan mengatakan apa-apa yang kita tidak suka dengar. Ramai orang lebih pandai bercakap dan berucap daripada pandai mendengar. Kajian-kajian yang pernah dibuat menunjukkan tidak ada perkaitan antara kemahiran bercakap dengan kemahiran mendengar. Maksudnya, semakin kita pandai bercakap tidak semestinya semakin kita pandai mendengar. Malah kajian juga mendapati ramai orang yang pandai bercakap tidak pandai mendengar. Jadi, kalau kita rasa kita seorang yang pandai bercakap, besar kemungkinannya kita seorang yang bodoh mendengar. Apabila suami sedang bercakap, jangan sibuk mencelah. Orang yang bersikap terbuka ialah orang yang sanggup mendengar sahaja orang lain bercakap. Apabila isteri suka diam dan mendengar sahaja cakap suami, dia berasa isterinya rapat kepadanya. Barulah dia berasa isterinya adalah juga sahabat karibnya. Dalam keadaan begitu, hubungan suami isteri tumbuh dan berkembang dan cinta suami bertambah dalam. Perbuatan mendengar adalah suatu pengiktirafan bagi suami. Jangan mendengar dengan rasa ragu dan sangsi kepada kata-katanya. Apabila mendengar, buktikan kepada suami bahawa isteri yakin kepada kebenaran kata-katanya dan peribadinya. Kalau isteri ragu, curiga, sangsi dan mengesyaki suami berbohong, nanti lama-lama jadi betul. Buktikan kepada suami bahawa isteri pandai mendengar dengan baik. Pertama sekali ialah, berikan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Dengan begitu isteri memberitahu suami dia adalah orang yang paling penting. Kedua, biarkan dia habis bercakap sebelum isteri pula bercakap. Jangan sambung ayatnya seolah-olah si isteri tahu apa yang hendak dikatakan oleh si suami. Jangan menyampuk dia dengan berkata apa yang melintas di kepala. Apabila suami mahu bercakap mengenai masalah-masalahnya, jangan beri pendapat atau nasihat. Biasanya suami bercakap bukan kerana dia perlukan nasihat atau fikiran isterinya. Dia cuma perlukan sepasang telinga yang pandai mendengar. Itu saja. Dia bercakap kerana dia mahu berkongsi dengan isteri. Dengarlah sahaja dengan tekun, kerana itulah bukti dirinya dikasihi oleh isteri. Dengar kata-kata suami dengan sikap terbuka. Dengan cara itu dia tahu dirinya dihormati oleh isteri. Sikap terbuka si isteri menerbitkan rasa saling percaya-mempercayai. Dalam keadaan begitu hati suami jadi yakin isterinya memberi dukungan emosi dan psikologi kepadanya. Itulah yang amat didahagai oleh ramai suami. Berterus Terang Bolehkah suami isteri berbincang berkenaan perasaan mereka tanpa menuduh sesiapa bersalah? Jawabnya, boleh. Apabila hal ini dapat dilakukan, walau bagaimana besar sekalipun masalah yang dihadapi oleh suami dan isteri, mereka akan dapat mencari jalan-jalan penyelesaiannya. Ini kerana cara percakapan yang tidak mengandungi tuduhan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak bercakap tanpa rasa takut dirinya dituduh bersalah. Salah satu gaya bahasa yang positif dan mampu mencipta keharmonian antara suami dan isteri, meskipun mereka sedang berkonflik pendapat ialah apa yang disebut gaya ‘bahasa saya’. Contoh gaya bahasa saya ialah: "Saya rasa seronok dengan awak." "Saya memang sukakan awak dari dulu lagi." "Saya rasa sakit hati." "Saya minta maaf." "Saya tidak tahu apa saya hendak buat kalau awak tidak ada." "Saya bertuah menjadi isteri awak." "Saya suka mendengar awak menyanyi." Ciri-ciri positif pada gaya bahasa saya ialah: 1. Ia mengandungi penghargaan yang jelas Bahasa saya adalah bahasa yang mengiktiraf dan menghargai orang itu sebagai punca kebaikan dan kemujuran. "Saya sedar, ini semua kerana budi awak." "Saya tidak akan mengecap nikmat ini kalau awak tidak memberikannya.” "Saya tidak akan mendapat wang ini kalau awak tidak tolong." 2. Ia mengandungi penghargaan tersirat Sebahagian bahasa saya mengandungi penghargaan yang tersirat, tetapi unsur penghargaan itu tetap ada. Contohnya: "Saya sedar awak seorang ketua di dalam rumah ini...." "Saya tahu awak pentingkan perasaan saya...." "Sepatutnya saya lebih pentingkan awak...." "Bila lagi saya hendak balas budi awak...." 3. Ia menunjukkan penghormatan Apabila bahasa ini digunakan oleh isteri kepada suami, ia menunjukkan si isteri berasa kedudukan suaminya lebih tinggi dan mulia. Oleh itu si isteri berasa dia tidak berhak mempersoalkan suaminya. "Saya minta supaya saya diberitahu dulu." "Saya tidak mahu dibuat begini." "Saya harap cadangan saya diterima." "Saya tidak sangka sama sekali, begini jadinya." 4. Ia lembut Bahasa saya boleh digunakan baik untuk komunikasi ke atas mahupun komunikasi ke bawah, iaitu di mana status orang yang bercakap mungkin lebih tinggi ataupun lebih rendah daripada status orang yang mendengar. "Saya tidak setuju awak buat begitu." "Saya ingin tahu adakah awak faham maksud saya?" "Saya rasa ada cara lain melakukannya." 5. Ia tidak membaca otak orang Gaya bahasa saya menunjukkan tabiat tidak suka membaca otak orang. Si penutur tidak menganggap dia tahu apa yang ada dalam fikiran dan hati fikiran orang lain. "Saya rasa, oleh kerana saya sudah tua, barangkali saya menyebabkan awak berasa bosan kepada saya." "Saya berasa kecil hati apabila saya tidak dibawa makan angin." "Saya berasa oleh kerana kelulusan saya tidak tinggi, hal itu mungkin menyebabkan, sebagai seorang isteri menteri, saya ada kekurangan. Betulkah perasaan saya ini?" 6. Ia tidak menuduh Gaya bahasa saya menunjukkan sikap penutur yang sanggup bertanggungjawab ke atas masalah yang sedang dihadapi. Dia percaya dia bertanggungjawab menjadi sebahagian daripada punca masalah tersebut. Dia tidak menuduh orang lain yang mesti bertanggungjawab ke atas masalah itu. 7. Ia tidak menjatuhkan estim-diri Ayat saya tidak menuduh dan tidak merendah-rendah orang lain. Oleh kerana ia tidak mempersalahkan orang lain, ia tidak menjatuhkan maruah dan estim-diri sesiapa. 8. Ia tidak menimbulkan krisis dan rasa benci Gaya bahasa saya membolehkan kita terus menyukai dan mencintai orang yang tidak suka menuduh kita bersalah. Oleh itu ia tidak mengancam estim-diri kita dengan pelbagai tuduhan dan penghinaan. Kerana itu walau dalam keadaan berkonflik sekalipun, penggunaan bahasa saya boleh menjaga hubungan baik yang ada. 9. Ia tidak menyebabkan orang menjadi defensif Apabila ada masalah, gunakan gaya bahasa saya. Ia menghindarkan kedua-dua belah pihak daripada saling tuduh-menuduh. Gaya bahasa saya tidak menyakitkan hati orang yang mendengarnya. Oleh itu ia mengelakkan pertengkaran daripada tercetus. Tanpa tuduhan, kedua-dua belah pihak tidak perlu menjadi defensif, dan mereka tidak perlu membela diri. Dengan menggunakan gaya bahasa saya, jari telunjuk kita tidak menuding kepada orang lain. Oleh kerana kita tidak menuduh sesiapa, orang lain pun tidak menuduh kita. Kerap kali suami isteri tidak sanggup bercakap dengan terus terang, terutama dalam perkara-perkara yang mereka anggap ‘sensitif’ seperti berkenaan perasaan dan seks. Sebaliknya, mereka bercakap dengan cara sipi-sipi, berlapik-lapik, berkias-kias, berbelit-belit dan menyindir-nyindir. Bercakap dengan menggunakan cara-cara begitu boleh mengelirukan orang yang mendengar. Ayat-ayat di bawah selalu kita dengar: "Faham-fahamlah sendiri!" "Takkanlah itu pun awak tidak faham?" "Kalau awak tidak beritahu, mana saya tahu?" "Saya sangka awak tentu faham!" "Kenapa tidak cakap macam itu dari tadi?" "Lain kali cakaplah betul-betul." Apabila suami isteri tidak sanggup berterus terang, akibatnya mereka terpaksa saling teka-meneka apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh satu sama lain. Biasanya tekaan itu salah. Sebagai manusia, kita memang tidak berapa pandai main teka-teka. Sebagai contoh, seorang suami mahu supaya isterinya menambahkan pengetahuannya. Dia bukan berkata kepada isterinya, "Saya mahu awak berhenti membaca majalah hiburan dan kolum gosip artis. Saya mahu awak mula membaca buku-buku yang bermutu." Sebaliknya, dia mengajak isterinya pergi menghadiri majlis ceramah dan forum. Si suami menyangka dengan berbuat begitu isterinya fahamlah apa yang dimaksudkannya. Si isteri pula menyangka suaminya tiba-tiba mula mahu mengajak dia ke majlis seminar dan forum kerana dia hendak mempamerkan isterinya, lalu si isteri pun pergi dengan memakai pakaian yang terlalu ‘elok’ dan tidak sesuai untuk ke majlis ilmu. Sepanjang berada di majlis itu si isteri berasa amat bosan, dan pada suatu ketika, dalam baju cantiknya itu dia tertidur. Dalam perjalanan pulang, si suami menegur perbuatan isterinya tertidur yang dianggap memalukan si suami. Akibatnya mereka bertengkar. Ingatlah, kalau kita tidak bercakap secara terus terang, siapakah yang akan faham apa yang kita maksudkan? Komunikasi yang berbelit-belit memaksa orang meneka-neka fikiran dan perasaan kita. Biasanya orang lain tidak pandai meneka apa yang ada dalam hati dan dalam otak kita. Kalau mereka salah teka, mereka pun tidak tahu bahawa mereka salah teka kerana kita tidak sanggup berterus terang kepadanya bahawa dia tidak memahami maksud kita yang sebenar. Lihat contoh di bawah: Isteri : "Sudah lama kita tidak makan sate." (Maksudnya, "Bawalah saya berjalan-jalan.") Suami : "Awak mahu makan sate di mana?" (Menyangka isterinya betul-betul teringin makan sate.) Isteri : Tidak tahulah. Awak mahu makan di mana? (Maksudnya, "Saya bukan mahu makan sate.") Suami : Mana-mana pun boleh. (Maksudnya, biar si isteri pilih.) Isteri : O.K. mana-mana pun boleh. (Maksudnya, "Asal dia bawa aku berjalan-jalan, tidak mengapa-lah.") Selepas begitu banyak bercakap, tidak ada apa-apa keputusan. Apa yang terjadi ialah masing-masing menunggu pihak yang satu lagi membuat keputusan. Sesiapa yang membuat keputusan itu nanti akan menerima padahnya kalau ada apa-apa yang tak kena. (Si suami terfikir : Tengah hari tadi aku sudah makan di Medan Selera, tapi kalau isteri aku hendak makan sate di situ, tidak mengapalah, aku bawa dia makan di situ) lalu dia berkata kepada isterinya, "Makan di Medan Selera boleh?" (Si isteri terfikir : Aku tidak berapa suka sate Medan Selera, tapi kalau suami aku suka sate di situ, tidak mengapalah, aku ikut sahaja) lalu berkata, "Bolehlah." Mereka pun pergi ke tempat yang masing-masing tidak mahu kerana masing-masing percaya mereka menyukakan hati pihak yang satu lagi. (Si suami terfikir : Isteri aku suka sate ayam) lalu berkata, "Sate ayam,boleh?" (Si isteri terfikir : Suami aku suka sate ayam) lalu berkata, "Sate ayam pun boleh juga." Kedai sate itu sibuk dan mereka terpaksa menunggu lama sebelum dilayan. Si suami : "Servis di sini lambat." Si isteri : "Awak yang hendak makan sate di sini. Saya bukan suka sangat tempat ni!" Si suami : "Eh! awak ni. Tadi awak yang hendak sangat makan sate di sini." Si isteri : "Siapa kata saya hendak makan sate!!!" Perselisihan itu menghilangkan selera makan mereka. Masing-masing sakit hati oleh tuduhan masing-masing. Supaya dapat menikmati cinta yang intim sebagai suami isteri, kita mesti sanggup menyatakan perasaan dengan tepat dan jelas. Ada berbagai-bagai cara menyatakan perasaan; ada cara yang berkesan, ada pula cara yang membingungkan. Apabila suami isteri bercakap dengan berbelit-belit, si suami terpaksa cuba meneka maksud yang tersirat pada kata-kata isterinya. Katakanlah si isteri mengatakan sesuatu dengan jelas, tetapi ada kemungkinan si suami tidak mendengar dengan telinga yang terbuka lebar, disebabkan dia fikir dia sudah tahu apa yang dimaksudkan oleh isterinya. Akibat komunikasi yang tidak jelas, kita sibuk meneka-neka maksud satu sama lain. Akibatnya kita berusaha membuat perkara-perkara yang kita sangka dia mahu. Kita tidak hirau apakah yang kita buat itu dia suka atau benci. Kalau dia minta kita mengubah cara-cara kita sekalipun, kita tidak juga mahu berubah. Kita yakin apa yang kita buat memang betul. Pada waktu yang sama, dia pun sama sahaja seperti kita kelakuannya. Kalau bercakap, dia berbelit-belit. Kita jadi waswas, teragak-agak, tidak yakin dan teraba-raba. Adakah dia faham apa yang kita mahu? Apakah dia seronok dengan apa yang kita katakan dan lakukan kepadanya? Berterus terang ada batasnya. Tidak semua perkara patut diucapkan kepada orang yang kita cintai. Perkara-perkara yang boleh melukai hatinya, atau membinasakan kepercayaannya, hendaklah disimpan sahaja. Jangan sekali-kali beritahu dia kita tidak suka emaknya, sama ada secara tidak langsung, apatah lagi secara berterus terang. Jangan ceritakan kepadanya siapa kekasih-kekasih lama kita. Tukar cara bercakap yang mengelirukan dengan cara-cara lain yang lebih jelas. Komunikasi yang baik mempunyai lima ciri seperti di bawah: 1. Sebut apa yang kita maksudkan 2. Sebut dengan tepat 3. Apa yang kita dengar hendaklah kita yakini betul 4. Percaya kita dan dia mempunyai maksud yang sama 5. Buka telinga besar-besar Jangan bercakap begini: Isteri : "Saya penatlah." (Maksudnya, dia minta dibawa berjalan-jalan.) Suami : "Yalah, abang pun penat juga." (Maksudnya, dia hendak berehat sahaja di rumah.) Kedua-dua pihak menggunakan perkataan yang serupa iaitu ‘penat’ tetapi maksud mereka jauh berbeza. Tidak hairanlah kalau berlaku perselisihan. Masing-masing tahu apa yang dia mahu, tetapi tidak menyatakannya dengan tepat. Masing-masing percaya orang lain tentu faham-faham sendiri. Kaedah bercakap begini berkali-kali menyebabkan salah faham, tapi terus kita gunakan. Ingatlah, kalau kita tidak dapat apa yang kita mahu, biasanya itu terjadi kerana kita tidak memberitahu dengan tepat apa yang kita mahu. "Abang hendak makan apa malam ni?" "Tidak kiralah. Apa-apa pun boleh." "Nasi sejuk tengah hari tadi, boleh?" (apa-apa pun boleh) "Darling hendak hadiah apa untuk hari jadi tahun ini?" tanya si suami. "Sesuatu yang di luar dugaan," jawab si isteri. "Batang pancing elektronik, boleh?" (di luar dugaan) Jangan ributkan hidup kita. Belajarlah bercakap dari hati. Kalau ya, katakan ya. Kalau tidak, katakan tidak. Ucapkan apa yang ada di hati dan jangan bermain dengan kata-kata. Gaya Mengesahkan Salah satu kemahiran komunikasi yang sangat tinggi harganya ialah kemahiran mengucapkan kata-kata yang ingin didengar oleh orang yang mendengarnya. Apabila lelaki bercakap kepada isterinya, dia bukan mahu mendengar satu atau dua perkataan sahaja jawapan daripada mulut isteri. Dia mahu mendengar lebih daripada kata-kata itu. Dia mahu mendengar apa yang ada di sebalik kata-kata itu. Apabila suami bercakap, dalam kata-katanya, secara yang sangat halus, dia memberitahu isteri apa pandangannya terhadap diri si isteri. Dalam kata-katanya juga dia memberitahu apa yang dia mahu si isteri ucapkan kepadanya. Melalui kata-kata, dengan secara halus dia memberitahu si isteri jawapan yang bagaimana yang dia ingin dengar dari mulut isterinya. Jadi sebelum isteri menyambut cakap suami, fikirkan dahulu apa keperluan jiwa suami yang tersirat di sebalik kata-katanya. Apabila lelaki bercakap kepada isterinya, jawapan yang paling dia mahu dengar daripada mulut isterinya ialah jawapan yang ‘mengesahkan’ apa yang diucapkannya. Jawapan yang mengesahkan ialah jawapan yang tidak mengatakan dia salah, silap, tidak betul, bodoh dan seumpamanya. Ada beberapa jenis jawapan yang mengesahkan: Mengesahkan secara terus terang Pengesahan jenis ini adalah paling penting dan paling digemari. Jawapan jenis ini dengan amat jelas memberitahu si suami isterinya nampak apa yang diperkatakannya itu sebagaimana dia sendiri nampak. Katakanlah kepada suami: "Saya setuju dengan pendapat abang." "Saya sokong alasan dan hujah abang." "Saya pun sependapat dengan abang." "Saya dapat terima hujah abang." "Kalau begitu cadangan abang, saya terima." "Saya dapat rasakan apa yang abang alami itu." "Kalau saya dalam kedudukan abang, saya pun akan buat begitu juga." Mengucapkan perasaan positif Jawapan jenis ini pun sangat digemari oleh suami dan ia sangat penting diucapkan oleh isteri kepada suami. Kata-kanlah kepadanya si isteri berasa suka, seronok, gembira, lega, lapang, syukur dan lain-lain perasaan positif apabila mendengar apa yang dikatakan oleh lelaki. "Saya tumpang seronok dengan berita abang sudah berjaya." "Baguslah! Sekarang baru kita rasa puas." "Tahniah atas kejayaan abang itu." "Idea abang sangat istimewa. Saya belum pernah mendengarnya daripada orang lain." "Leganya hati saya apabila abang kata begitu." "Saya juga turut bangga dengan pencapaian abang." Jawapan jenis ini sangat memenuhi keperluan jiwa lelaki. Ia membuat mereka berasa diri mereka sungguh istimewa dan berbeza daripada orang lain. Ia amat memenuhi keperluan ego mereka. Meminta penjelasan lanjut Perbuatan meminta penjelasan lanjut dan keterangan yang lebih terperinci adalah sangat digemari oleh suami apabila mereka bercakap kepada isteri. Kalau kurang faham, minta penjelasan lanjut. Kalau memang isteri hendak mengambil hati suami, walaupun faham, mintalah juga penjelasan lanjut. Suami suka kerana itu bukti isterinya berminat dengan apa yang diperkatakannya. "Cuba terangkan lagi apa maksud abang?" "Boleh jelaskan apa maksud abang tu?" "Kalau begitu, minta abang ceritakan lebih lanjut lagi." "Apa lagi faedah idea abang itu?" "Berapa kosnya?" Bersetuju dengannya Kebanyakan isteri, apabila mereka bersetuju dengan pendapat suami, mereka diam sahaja. Perbuatan begitu tidak menyeronokkan hati suami. Jadi, katakan dengan jelas dia bersetuju dengan suami. "Saya setuju dengan abang. Idea itu memang baik." "Saya sokong pendapat abang." "Betul kata abang tu." "Saya boleh terima pandangan abang." Tunjukkan sikap mendukung Menyokong lain, mendukung lain. Menyokong bermakna kita berkata kita bersetuju dengan pendapat dan hujah-hujahnya. Mendukung bermakna kita katakan kepadanya kita dapat merasakan apa yang dia rasakan. Ada kalanya lelaki mahu bercakap-cakap dengan isterinya bukan kerana dia ada idea atau ada pendapat atau cadangan yang hendak dikemukakan kepada isterinya. Sebaliknya dia cuma mencari ketenangan jiwa. Atau dia mungkin mencari seseorang yang dapat memberikan kepadanya timbang rasa ataupun pengertian bagi apa yang sedang dialaminya. Atau barangkali dia mencari semacam jaminan kejiwaan daripada isterinya. Mungkin juga dia cuma mencari hiburan dan sokongan sahaja. Walau apa pun keperluan jiwa yang sedang dicari oleh suami, isteri dapat memberikan itu semua dengan menggunakan kata-kata yang betul. "Saya dapat rasakan beratnya beban yang abang terpaksa tanggung." "Saya faham kenapa abang ambil langkah itu." "Memang patut abang buat begitu." "Siapa pun kalau terkena macam abang, tentu saya buat apa yang abang buat." "Sekarang saya baru faham kedudukan abang dalam perkara ini." Isteri yang mahir menggunakan gaya bahasa yang mengesahkan akan dijadikan oleh suaminya sebagai tempat di mana dia dapat menemui pengertian, sokongan dan hiburan. Penggunaan gaya bahasa ini menghindari masalah kerenggangan batin antara suami isteri. Ia mempunyai peranan yang tidak ternilai besarnya ke arah mencapai nikmat dan kemesraan dan keintiman. Dengan mengguna-kan bahasa mendukung, isteri-isteri boleh membuat suami berasa: 1. Jiwanya berasa sihat, segar dan nyaman, seolah-olah baru hidup semula. Dia berasa dirinya diberi kepercayaan penuh oleh isteri. 2. Batinnya rasa tenang dan tenteram. 3. Dia berasa yakin kepada diri sendiri. 4. Dia berasa dia seorang yang istimewa. 5. Dia berasa selamat dan serba selesa menjadi dirinya sendiri. 6. Dia berasa seronok dan suka dengan kehadiran isterinya. 7. Dia berasa isteri yang dicintai memahami diri, fikiran dan perasaannya. 8. Dia berasa dunia ini terbentang luas untuk mereka berdua. Percakapan yang menyeronokkan suami ialah percakapan yang membuat suami berasa seronok mendengarnya. Suami yang seronok akan melakukan perkara-perkara positif seperti memuji isteri, suka berada di rumah, mahu menolong isteri, tidak mudah marah-marah dan makin kasih kepada isteri.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



SALAH SATU cara kita berkomunikasi ialah dengan bercakap. Tetapi kemahiran bercakap lain, manakala kemahiran berkomunikasi lain. Ramai orang sangat pandai bercakap. Setengah orang amat petah bercakap. Ramai pula orang yang suka bercakap. Mereka suka mencari kesempatan supaya dapat bercakap. Namun, ramai orang yang pandai dan petah bercakap belum tentu pandai berkomunikasi. Akibatnya, lebih banyak mereka bercakap, lebih banyak mereka menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati. Mengikut pakar-pakar psikologi, banyak faktor yang menentukan kebahagiaan manusia, tetapi antara faktor-faktor itu, faktor yang paling penting ialah hubungan yang rapat dengan seorang manusia lain. Hubungan rapat seperti itu, boleh didapati melalui proses jatuh cinta dan perkahwinan. Cinta dan perkahwinan membuat dua orang yang pada asalnya asing antara satu sama lain, menjadi sangat rapat dan intim. Dalam keadaan begitu manusia dapat memenuhi pelbagai keperluan jasmani dan rohani mereka, serta menikmati kebahagiaan. Menghilangkan kesepian Pertama, kita memerlukan pasangan dalam hidup kita kerana hubungan yang rapat dan intim dengannya dapat menghilangkan rasa kesepian dan kesunyian yang kita alami jikalau kita tidak memiliki seseorang. Mendapatkan rangsangan Fungsi komunikasi yang kedua ialah rangsangan. Sebagai manusia kita memerlukan pasangan dalam hidup kita kerana kita memerlukan rangsangan. Manusia memerlukan rangsangan fizikal seperti sentuhan, belaian dan rangsangan seks daripada orang yang rapat dengan diri kita. Manusia juga memerlukan rangsangan emosi supaya kita mengalami perasaan seronok, suka, gembira, bahagia dan puas. Alat yang paling penting bagi merangsang emosi ialah bibir dan lidah, iaitu melalui kemahiran berkata-kata secara positif. Kemahiran berbual-bual, memuji, menghibur dan bergurau adalah sangat perlu bagi memberi rangsangan emosi kepada orang yang dicintai. Manusia juga memerlukan rangsangan daya intelek. Bagi menjadi orang yang mampu memberi rangsangan daya intelek, alatnya ialah apa yang ada dalam otak, iaitu ilmu pengetahuan. Estim-diri Fungsi komunikasi yang ketiga ialah estim-diri. Manusia memerlukan kehadiran orang lain yang rapat dalam hidup mereka, kerana mereka memerlukan kemuliaan dan penghargaan. Demi menjadi pasangan yang dicintai, kita memerlukan kemahiran membuat orang yang dicintai yakin dirinya diperlukan, kita hargai dan kita muliakan. Kemahiran yang digunakan ialah kemahiran mengucapkan kata-kata pengiktirafan, penghargaan, sanjungan dan pujian-pujian. Berkongsi suka dan duka Fungsi komunikasi yang keempat ialah perkongsian. Sebagai manusia biasa kita perlu menambahkan lagi rasa kenikmatan yang kita alami dalam hidup dan me-ngurangkan rasa kesengsaraan. Kita ingin berkongsi segala tuah dan nasib baik yang kita dapat. Begitu juga halnya dengan nasib malang dan kedukaan yang menimpa kita. Tujuan Berkomunikasi Manusia berkomunikasi kerana ada beberapa tujuan yang hendak dicapai. Saling faham-memahami Dalam perkahwinan, kita berkomunikasi dengan pasangan kita kerana kita mahu memahami dirinya dan begitu juga dia. Apabila tujuan ini tercapai, ia sangat memberi rasa kebahagiaan kepada kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Bagi menikmati kepuasan komunikasi peringkat ini, adalah sangat penting supaya daya intelek suami dan isteri sama tingginya. Menjalin kasih sayang Tujuan kedua manusia berkomunikasi ialah kerana mereka mahu menjalin hubungan dengan manusia lain. Dalam komunikasi rumah tangga, suami dan isteri berkomunikasi kerana mereka mahu menjalinkan hubungan cinta dan kasih sayang yang berterusan. Seorang suami akan berkomunikasi dengan isterinya kerana dia mahu dirinya dicintai dan dikasihi. Dia mahu dirinya dihargai dan dimuliakan. Dia juga mahu menghindari rasa sunyi dan sepi. Dia juga mahu mengecap nikmat hidup berseronok-seronok dengan isterinya. Demikian juga halnya bagi pihak isteri. Menolong Manusia juga berkomunikasi kerana hendak menolong orang, dengan cara menghibur orang itu, atau memberi bantuan, atau memberi nasihat. Komunikasi yang seperti ini banyak dilakukan antara suami dan isteri. Berseronok-seronok Tujuan komunikasi yang tidak kurang pentingnya ialah manusia suka berseronok-seronok dengan manusia lain. Mereka suka bermain-main. Mereka berkomunikasi kerana hendak bersuka ria, dan mereka berbual-bual, bercerita, bergurau senda dan berbincang-bincang dengan cara-cara yang menimbulkan rasa seronok semata-mata. Komunikasi jenis ini sangat penting kerana dengan cara itu manusia dapat melupakan perkara-perkara berat yang berlaku ke atas diri mereka. Iklim Komunikasi Dalam setiap perkahwinan, ada unsur yang disebut iklim komunikasi. Iklim komunikasi adalah seperti juga iklim biasa, ada iklim yang baik dan ada iklim yang buruk. Iklim yang baik disebut iklim positif, manakala iklim yang buruk disebut iklim negatif. Antara ciri-ciri iklim yang positif ialah: Suami berasa dirinya dihormati oleh isteri, begitu juga sebaliknya Komunikasi yang mencerminkan sikap menghormati ada dalam banyak bentuk. Sebagai contoh, panggilan “Abang” untuk suami mencerminkan rasa hormat. Panggilan abang menggambarkan sikap yang menganggap taraf suami lebih tinggi daripada isteri. Salah satu cara panggilan yang mencerminkan hormat suami kepada isteri ialah panggilan "Cik Mah" atau "Cik Eton." Bercakap dengan suara rendah juga mencerminkan rasa hormat, walau dalam keadaan marah sekalipun. Suami dan isteri saling percaya-mempercayai akan kejujuran dan kesetiaan masing-masing Sikap saling percaya-mempercayai tergambar dalam komunikasi, begitu juga sikap yang tidak saling percaya mempercayai. Bahasa orang yang cemburu tidak sama dengan bahasa orang yang tidak cemburu. Kata-kata "Amboi, wanginya awak ni, ada apa-apa ke?" atau "Abang pergi meeting, jangan pula hendak melencong tau!" atau "Sudah tua-tua pun awak mahu pakai jeans lagi? Hendak berlagak muda lagilah tu." Kata-kata seperti itu mencerminkan perasaan curiga terhadap kejujuran dan kesetiaan orang itu. Ayat-ayat yang mengandungi kecurigaan akan merosakkan iklim komunikasi kerana ayat-ayat itu adalah ayat-ayat tuduhan. Tidak ada orang yang suka menerima tuduhan, oleh itu ia sangat menyakitkan hati orang yang mendengarnya. Suami dan isteri saling menghargai dan saling cinta-mencintai Komunikasi yang mencerminkan penghargaan dan kasih-sayang mempunyai ciri-cirinya sendiri. Ia mengandungi banyak puji-pujian dan sanjungan. Cara yang paling mudah bagi menyatakan pujian dan sanjungan ialah dengan mengucapkan "Terima kasih." Komunikasi Menentukan Kebahagiaan Ramai orang salah sangka. Mereka menyangka, apabila kedua-dua belah pihak suami dan isteri sudah menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik, maka secara automatik, iklim komunikasi yang positif akan wujud. Ini tidak benar. Ramai orang yang menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai suami atau isteri dengan baik, tetapi jiwa mereka tidak seronok dan gembira dalam hubungan perkahwinan mereka. Sebagai contoh, ramai isteri mengadu segala penat lelah mereka tidak dihargai oleh suami mereka kerana mereka tidak pernah menerima sebarang kata-kata pujian dan sanjungan daripada suami. Akibatnya, isteri-isteri itu berasa tidak puas dan tidak seronok. Ramai suami yang berasa segala pengorbanan mereka bagi menyukakan hati isteri tidak dihargai oleh isteri mereka. Mereka bekerja bertungkus-lumus memberi kesenangan kepada isteri mereka, tetapi tidak sepatah pun mereka menerima ucapan penghargaan. Sebaliknya isteri mereka bercerita apa yang orang-orang lain miliki dan perolehi. Cerita-cerita itu menyakiti hati suami kerana mereka berasa diri mereka diperbandingkan dengan kemampuan suami-suami lain. Iklim komunikasi datang daripada emosi suami dan isteri semasa mereka membuat tugas-tugas mereka. Kalau isteri membuat semua tugas dan tanggungjawabnya dengan baik, tetapi dia berasa kecewa terhadap suaminya, keadaan ini akan mewujudkan komunikasi negatif. Cara-cara berkomunikasi yang negatif menyebabkan suami yang dulu sayang, kini menjadi benci kepada si isteri, begitu pula sebaliknya. Kajian menunjukkan iklim komunikasi yang positif tidak ada kaitan langsung dengan kemewahan dalam rumah tangga. Hubungan komunikasi suami isteri yang kaya raya belum tentu positif. Di dalam rumah yang kecil dan sempit sekalipun, ramai pasangan menikmati iklim komunikasi yang sihat, positif dan menyeronokkan. Iklim komunikasi yang positif terbit daripada teknik-teknik komunikasi yang positif juga, begitu pula sebaliknya. Teknik-teknik itu pula terbit daripada emosi positif yang ada dalam hati suami dan isteri terhadap satu sama lain. Emosi positif pula terbit apabila mereka berasa dihargai. Kualiti Komunikasi Ramai orang sangat pandai bercakap. Tetapi, pandai bercakap bukan bermakna pandai berbual-bual. Bercakap ialah kegiatan seorang. Seorang bercakap, pihak yang lain mendengar. Berbual-bual ialah kegiatan dua orang atau lebih. Kedua-dua pihak bergilir-gilir bercakap dan bergilir-gilir mendengar. Perbualan yang berjaya ialah perbualan yang berkualiti tinggi. Perbualan yang berkualiti tinggi adalah perbualan yang dijalankan berdasarkan semangat kerjasama. Kedua-dua belah pihak sama-sama ingin saling faham-memahami apa yang diucapkan oleh satu sama lain. Sesuatu perbualan itu dikatakan mempunyai ciri-ciri kerjasama apabila ia mempunyai sifat-sifat berikut: Kuantiti yang cukup-cukup Apabila bercakap, kita hanya perlu memberikan maklumat yang cukup-cukup sahaja bagi membolehkan orang itu faham apa yang kita maksudkan. Tidak lebih dan tidak kurang. Orang yang bercakap lebih daripada yang sepatutnya disebut ‘banyak mulut’. Sifat banyak mulut membuat orang lain ‘letih’ mendengar suaranya. Kalau kita memberikan terlalu sedikit maklumat, orang itu mungkin sukar memahami maksud kita. Orang yang ‘berat mulut’, atau amat pendiam kerap melakukan kesilapan ini. Oleh kerana mereka tidak pandai berbual-bual, sepatah yang ditanya, sepatah yang dijawab. Akibatnya, pihak yang satu lagi mendapati sangat sukar baginya memahami jiwa, perasaan dan fikiran si pendiam itu. Kalau kita memberikan terlalu banyak maklumat, mungkin maklumat itu tidak diperlukannya orang itu, oleh itu dia berasa bosan. Prinsip ini selalu dilanggar oleh orang yang suka bercakap, yang ‘banyak mulut’. Bagi menerangkan perkara yang mudah pun, mereka akan bercakap panjang lebar. Menjaga kepercayaan Bagi menjaga kepercayaan orang itu, caranya ialah dengan bercakap berkenaan perkara-perkara yang kita tahu adalah benar sahaja. Oleh itu jangan bercakap melainkan berkenaan apa-apa yang kita sudah pasti perkara itu adalah benar. Kepercayaan orang hilang apabila kita melakukan perkara-perkara berikut: Melebih-lebihkan cerita Kajian pakar-pakar komunikasi mendapati, salah satu ciri percakapan wanita dengan percakapan lelaki ialah banyaknya unsur membesar-besarkan cerita yang sebenar apabila wanita menggambarkan sesuatu. Perbuatan ini menyebabkan turunnya kredibiliti orang yang bercakap. Akibatnya, orang yang mendengar tidak berapa percaya kepada peribadi orang yang bercakap itu. Itulah sebabnya, kebanyakan lelaki tidak berapa mahu mengambil maklumat yang disampaikan oleh wanita dengan serius. Itulah juga sebabnya kebanyakan lelaki tidak berapa berminat mendengar percakapan wanita. Mereka kurang menaruh kepercayaan kepada wanita. Berbohong Membesar-besarkan cerita adalah sejenis perbuatan berbohong. Tetapi ada jenis berbohong yang sangat digemari, terutama oleh wanita, iaitu bergosip. Gosip adalah maklumat yang tidak dapat disahkan kebenarannya. Kebanyakan gosip mengandungi maklumat yang tidak betul. Apabila gosip itu terbukti tidak betul, akibatnya orang hilang kepercayaan terhadap orang yang menceritakan gosip itu. Mengumpat adalah jenis gosip yang lebih serius kesan negatifnya kerana umpatan mengandungi unsur bohong yang lebih banyak lagi. Perbuatan mengumpat menurunkan kredibiliti orang yang diumpat dengan lebih rendah sehingga orang mungkin tidak mahu menaruh kepercayaan lagi kepada peribadinya. Inilah salah satu faktor mengapa ramai lelaki tidak suka melayan isterinya bercerita kerana banyak cerita wanita berkisar kepada gosip dan umpat. Meremeh-temehkan perkara yang serius Ini ada kaitan dengan sudut pandangan yang berbeza antara orang yang mendengar dan orang yang bercakap. Sesuatu itu mungkin dianggap serius oleh orang yang mendengar, tetapi sebaliknya oleh orang yang bercakap. Jadi, jikalau pun kita memang sebenarnya menganggap apa yang dikatakan oleh orang itu suatu hal yang remeh, janganlah kita ucapkan begitu kepadanya. Janganlah berkata kepadanya, "Ah! Awak ni merepeklah." ataupun "Jangan dilayan perkara bodoh tu." Tidak menunjukkan minat Inilah pembunuh perbualan yang paling selalu dilakukan. Orang itu cuba bercakap dengan niat hendak memulakan perbualan, kita tidak menunjukkan minat untuk mendengar apa yang cuba dipercakapkannya. Perbuatan-perbuatan seperti di atas akan membuat orang lain tidak lagi menaruh kepercayaan kepada peribadi orang yang cuba bercakap dan berbual-bual. Tanpa kepercayaan, mereka jadi ragu yang mana cakap yang boleh dipegang, yang mana yang tidak boleh dipegang, yang mana yang betul, dan yang mana yang dusta. Jadi, minatnya untuk meneruskan perbualan akan hilang dan perbualan itu gagal.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



SEMUA orang menghadapi masalah. Kajian pakar-pakar psikologi mendapati cara-cara dan strategi yang digunakan oleh lelaki dan wanita apabila mereka menangani masalah adalah berbeza. Perbezaan strategi yang mereka gunakan itu muncul dalam komunikasi mereka. Perkara itu juga sering menimbulkan masalah komunikasi antara suami dan isteri. Ada pakar psikologi yang percaya sesetengah konflik boleh membawa kebaikan dan mereka gunakan istilah ‘konflik yang membina’ bagi menerangkan jenis-jenis konflik seperti itu. Tetapi ada pula pakar-pakar psikologi yang mengatakan tidak ada konflik yang kononnya ‘membina’ dan semua konflik pada dasarnya merosakkan. Memang dalam konflik ada kebaikan dan ada keburukan, tetapi jumlah keburukannya lebih banyak daripada jumlah kebaikannya. Selain daripada itu, keburukan-keburukan itu adalah lebih serius dibandingkan kebaikan yang mungkin ada. Lagipun, apa-apa kebaikan yang mungkin didapati dalam konflik, ia boleh didapati dengan cara-cara lain, bukan dengan cara berkonflik. Ada orang mengatakan konflik boleh membuat suami isteri saling faham-memahami. Tetapi, kita boleh menjadi saling faham-memahami tanpa perlu berkonflik. Terdapat banyak cara-cara lain yang boleh membuat kita saling faham-memahami antara suami isteri. Namun, sekiranya konflik tidak dapat dielakkan, ada beberapa panduan berkonflik yang apabila dipatuhi, ia dapat mencegah konflik itu daripada merebak menjadi pertengkaran dan pergaduhan serius. 1. Pertama, jangan bertengkar di depan orang lain. Apabila bertengkar dan bergaduh di depan anak-anak, orang gaji dan adik-beradik atau ipar-duai, tidak boleh tidak, perbuatan itu akan mencetuskan macam-macam masalah lain: a. Kerana ada orang lain, kita mungkin berbohong demi menjaga air muka kita sendiri. Perbuatan berbohong akan menyebabkan pasangan kita sangat sakit hati dengan pembohongan yang kita ucapkan itu. Kita mungkin berbohong dengan cara tidak mahu mengaku perkara yang sebenar kerana perkara itu memalukan kita sendiri. Sebagai contoh, kita mungkin memang pergi ke bomoh, tetapi kita tidak mengaku kerana malu. b. Kerana kita bergaduh di depan orang, kita mungkin terdorong untuk menang dengan apa cara sekalipun. Jadi kita sanggup bergaduh sampai kita menang, walaupun sebenarnya kita bersalah. Lebih buruk lagi daripada itu, kerana bergaduh di depan orang, soal menang jadi soal yang sangat penting, buka lagi soal mencari penyelesaian kepada masalah yang ada. c. Kerana hendak menang, kita sanggup menggunakan cara-cara yang sangat tidak adil dan sangat negatif. Sebagai contoh, kita sanggup menghentam sifat-sifat peribadinya. d. Kita juga jadi takut terhadap apa kata orang-orang lain yang menyaksikan ataupun mendengar pertengkaran kita itu, jadi kita akan lakukan perkara-perkara demi menjaga apa pendapat mereka, bukan demi menyelesaikan masalah yang ada. Demi menegakkan benang yang basah, kita sanggup menjatuhkan air muka pasangan kita, asalkan sahaja air muka kita sendiri tidak jatuh. 2. Kedua, jangan bertengkar dan bergaduh berkenaan perkara-perkara yang tidak mungkin boleh diselesaikan. Contoh-contoh perkara yang tidak akan boleh diselesaikan ialah: a. Perkara-perkara lama Banyak suami isteri bertengkar berkenaan perkara-perkara lama. Walau berapa lama sekalipun kita bertengkar mengenai perkara-perkara yang sudah terjadi, ia tidak akan mungkin dapat diselesaikan. Pertengkaran jenis ini adalah sia-sia sahaja. Ia hanya memburukkan lagi masalah yang ada. b. Kaum keluarga Ini adalah bahan pertengkaran yang paling berbahaya. Tidak ada orang yang boleh menang apabila bertengkar berkenaan soal kaum keluarga. c. Perkara-perkara yang tidak dapat kita kawal Banyak perkara memang mustahil kita kawal. Jadi jangan bertengkar dan bergaduh berkenaan perkara-perkara seperti itu. Sebagai contoh, kita tidak akan boleh mengawal apa orang lain kata. Tidak ada orang yang boleh mengawal mulut orang lain. Jadi jangan bergaduh kerana apa orang lain kata, atau apa orang lain akan kata. d. Soal prinsip Ini satu lagi perkara yang tidak ada gunanya dipertengkarkan. Tidak ada siapa yang mahu mengalah dalam soal-soal prinsip. Tidak ada orang yang percaya prinsip pegangan mereka salah. Jadi jangan cuba memberitahu pasangan kita prinsip hidupnya salah. 3. Kenal pasti apakah sebenarnya perkara yang menjadi punca pergaduhan kita. Kerap terjadi, lain perkara yang menjadi masalah, lain pula perkara yang digaduhkan. Sebagai contoh, perkara sebenar yang menyakitkan hati kita ialah perbuatan suami yang suka membuat keputusan yang melibatkan wangnya dengan sendiri-sendiri sahaja, tidak mahu bercakap dengan kita dahulu. Umpamanya, suatu hari kita dapat tahu dia membelikan kepada ibunya peti ais. Kita sakit hati lalu kita mengkritik dia dengan mengatakan ibunya tidak memerlukan peti ais. Akibatnya pertengkaran pun tercetus. Kalau suami kita cuba menyelesaikan soal peti ais ibunya itu sekalipun, ia sia-sia sahaja, kerana soal peti ais itu hanyalah ‘alasan’ sahaja. Isu sebenarnya ialah kita sakit hati terhadap cara dia membelanjakan wang gajinya. Peti ais ibunya itu hanyalah alasan yang kita gunakan untuk menyerang dia kerana rasa tidak puas hati kita terhadap sikapnya itu. 4. Jangan bergaduh melainkan pasangan kita bersedia mendengar kita bercakap. Sebagai contoh, jangan bergaduh waktu malam apabila suami hendak tidur. Jangan bergaduh semasa suami penat. Begitu juga jangan bergaduh apabila suami mempunyai banyak masalah lain. 5. Apabila bertengkar, pisahkan antara ‘masalah’ dengan ‘orang’. Kesilapan ini sangat kerap berlaku, di mana kita bukan cuba menyelesaikan masalahnya, sebaliknya kita cuba menyelesaikan orangnya. Orang tidak akan boleh diselesaikan. Tetapi selalu sahaja, apabila hendak menyelesaikan masalah, kita kritik, kutuk dan hentam orangnya. Kita percaya kalau orang itu dapat kita ‘selesaikan’ maka masalah itu pun akan selesai juga. Ini tidak benar. Kita boleh selesaikan masalah, tetapi kita tidak boleh selesaikan orang. Masalah ada penyelesaiannya, tetapi orang tidak ada penyelesaiannya. Jadi, fokuskan perhatian kepada masalah, bukan kepada orang. 6. Jangan bergaduh dengan membela dan mempertahankan kedudukan masing-masing. Semua orang ada kedudukan. Ada orang kedudukannya ialah sebagai suami, atau isteri, atau ketua, atau ibu, atau kekasih, atau tunang dan lain-lain. Apabila bertengkar jangan menegakkan kedudukan sendiri. Perbuatan itu tidak berguna dalam mencari penyelesaian masalah yang ditengkarkan. "Saya isteri awak. Tentulah saya ada hak untuk tahu, ke mana pergi duit gaji awak?" (x) "Saya suami. Awak jangan cabar saya." (x) "Apa gunanya saya jadi isteri awak, kalau awak tidak boleh beri saya kesenangan?" (x) "Bukankah saya suami? Sudahlah saya beri awak makan, takkanlah saya kena gosok baju saya sendiri tiap-tiap pagi?" (x) "Kita suami isteri. Apa salahnya kalau awak serahkan semua gaji awak biar saya yang jaga?" (x) Apabila kita menegakkan kedudukan kita, kita asyik membela diri kita sahaja. Akibatnya kita tidak mahu bertolak-ansur dan lebih kurang. Makin lama kita bertengkar, makin kuat kita menegakkan benang basah kita. Akibatnya soal ego mula masuk campur. Lama-lama kita jadi asyik hendak mempertahankan ego kita sahaja. Apabila ego masuk, hilang soal masalah, timbul pula soal air muka. Waktu itu pertengkaran boleh jadi lebih buruk lagi. 7. Apabila menyatakan emosi, jangan gunakan ayat-ayat tuduhan. Apabila bertengkar, soal emosi memang tidak boleh dielakkan. Kita boleh bawa masuk emosi ke dalam pertengkaran, tetapi jangan menuduh. Jangan gunakan gaya bahasa ‘awak’, sebaliknya gunakan gaya bahasa ‘saya’. "Awak memang sudah bosan dengan saya. Mentang-mentang saya sudah tua, awak mula hendak cari lain." (x) "Saya rasa seolah-olah saya ni sudah tidak berguna lagi kepada awak, maklumlah saya sekarang sudah tua." "Awak memang tidak mahu ajak saya makan angin. Macam mana saya tidak sakit hati?" (x) "Saya rasa kecil hati sudah lama awak tidak ajak saya makan angin." Gaya bahasa ‘awak’ tidak boleh digunakan bagi menyata-kan emosi. Ia sangat berbahaya kerana gaya itu menuduh pasangan kita ialah punca apa yang kita rasa. Apabila kita menuduh dia bertanggungjawab ke atas emosi kita, itu bererti kita tidak mahu bertanggungjawab ke atas emosi kita sendiri. Sebenarnya, apa yang kita rasai ialah akibat perasaan kita sendiri. Dengan menggunakan gaya bahasa ‘saya’ bermakna kita mengaku emosi itu adalah emosi kita. Dia tidak bersalah. Dia mungkin melakukan sesuatu, tetapi mengapa kita sakit hati ialah kerana kita yang mahu sakit hati. Dia mungkin tidak ada niat menyakitkan hati kita. Kita sendiri yang mahu sakit hati, lalu hati kita pun sakitlah. Gaya bahasa ‘awak’ walaupun sangat pendek, ia boleh mencetuskan pertengkaran yang sangat serius. Ayat "Awak tidak guna." adalah sangat pendek, tetapi sangat berbahaya. Sebaliknya gaya bahasa ‘saya’ boleh panjang lebar, tetapi tidak membahayakan. Ayat di bawah ialah contoh ayat ‘saya’ yang panjang, tetapi ia tidak mengandungi tuduhan yang sangat menyakitkan hati walaupun ayat ini penuh dengan emosi. "Saya sudah lama memendam rasa berkenaan cara-cara bagaimana kaum keluarga saya dilayan dalam rumah ini. Tapi saya diam sahaja. Saya tidak mahu bercakap, sebab saya tidak mahu gaduh-gaduh. Sudah dua puluh lima tahun kita kahwin, tapi keluarga saya tidak berapa kali datang. Saya kecil hati apabila saya tengok mereka tidak selesa duduk atas kerusi di rumah ni. Saya nampak macam mana mereka itu dilayan seolah-olah tetamu kita sahaja, bukan macam adik-beradik saya sendiri. Mereka cuma dapat minum dengan biskut atau keropok goreng saja. Ada masanya di dalam peti ais penuh dengan makanan, tapi tidak dihidangkan kepada mereka. Suatu masa yang keluar cuma biskut cream craker saja. Padahal, di dalam peti ais ada sekilo buah anggur yang masih di dalam plastik. Bayangkanlah apa perasan saya apabila makanan itu duit saya yang membelinya, tapi adik-beradik saya tidak merasa. Seingat-ingat saya, belum pernah saya dengar mereka itu ditahan jangan balik dulu selagi belum makan nasi. Saya nampak, dan saya boleh bezakan dengan layanan yang diterima oleh kaum keluarga awak apabila mereka datang. Tapi selama ni saya diam saja, sebab selama ini saya tahu saya tidak akan menang apabila bercakap dengan awak." Gaya Wanita Kajian-kajian menunjukkan, apabila wanita menghadapi masalah, mereka suka bercakap berkenaan masalah itu dengan tidak ada niat hendak mencari jalan bagaimana masalah itu patut diselesaikan. Inilah yang ramai lelaki tidak faham. Bagi lelaki, adalah tidak masuk akal perbuatan bercakap berkenaan masalah kalau tidak dengan niat mahu menyelesaikannya. Bagi wanita, salah satu cara menghadapi masalah ialah bercakap mengenai masalah itu, dengan tidak payah menyelesaikannya. Bagi mereka, bercakap-cakap itu sendiri adalah penyelesaian. Apabila wanita dapat bercakap sampai puas berkenaan masalah yang mereka hadapi, dada mereka akan berasa lapang dan mereka bolehlah meneruskan hidup macam biasa. Gaya Lelaki Lelaki tidak seperti wanita. Lelaki tidak tahu apabila perempuan bercakap berkenaan masalah, biasanya mereka bukan mahu supaya masalah itu diselesaikan. Mereka sekadar mahu bercakap-cakap mengenainya sahaja! Oleh kerana lelaki tidak tahu hal itu, maka kebanyakan lelaki bosan apabila isteri mereka mula mengadu berkenaan masalah mereka. Bagi lelaki, setiap masalah mesti dicarikan penyelesaian-nya. Jadi, apabila isteri mereka mengadu masalah yang mereka hadapi, lelaki cepat-cepat berfikir dan memberikan cadangan bagaimana masalah isterinya itu dapat diselesaikan. Bagi lelaki, itulah tindakan yang paling logik. Isterinya ada masalah, maka logiklah dia membantu memikirkan idea bagaimana masalah itu boleh diselesaikan. Dan bagi lelaki, itulah cara yang paling baik bagi menunjukkan kasih sayang terhadap isteri yang sedang mengalami masalah. Akibatnya, belum sempat isterinya bercakap banyak berkenaan masalahnya, lelaki sudah cepat-cepat mengusulkan bagaimana masalah itu patut diselesaikan. Inilah yang menyakitkan hati wanita apabila bercakap mengenai masalah dengan suami mereka. Lain yang diharap, lain yang didapati. Lelaki pula mendapat rasa puas apabila mereka dapat menyelesaikan masalah mereka. Bagi lelaki, kalau ada masalah, cara yang betul ialah menyelesaikan masalah itu, bukan bercakap-cakap kosong mengenainya. Itulah sebabnya apabila isteri mereka mengadu ada masalah, lelaki cepat-cepat memberi nasihat kepada isterinya, ataupun memberi idea bagaimana masalah itu patut diselesaikan. Padahal isterinya bukan mahu nasihat atau sebarang idea. Rungutan Wanita Antara rungutan yang paling banyak dikemukakan oleh wanita terhadap suami mereka ialah suami mereka tidak berminat mendengar masalah isteri, dengan cara-cara seperti berikut: 1. Si suami tidak mahu mendengar langsung dengan cara pura-pura tidak mendengar isterinya bercakap. 2.Si suami mendengar dengan sambil lewa sahaja, macam hendak tidak hendak. 3.Si suami cepat-cepat memberi cadangan apa yang patut dibuat oleh isterinya walaupun si isteri baru bercakap dua tiga ayat. Wanita memang suka bercakap-cakap mengenai masalah mereka. Masalah-masalah yang kecil-kecil pun mereka suka bercakap-cakap mengenainya. Mereka berasa puas dapat bercakap-cakap berkenaan masalah-masalah kecil. Oleh kerana wanita suka bercakap mengenai masalah-masalah kecil, suami mereka suka merendah-rendahkan tabiat mereka itu. Sikap tersebut tergambar dalam kata-kata yang mereka ucapkan. Di bawah ialah contoh nasihat yang biasa diberikan oleh suami kepada isterinya. Di sebalik nasihat itu ialah pandangan yang merendah-rendahkan isterinya. Contoh 1 Isteri : "Saya risaulah, kalau anjing orang sebelah dapat masuk halaman kita, macam mana?" Suami : "Itukan soal kecil, apa yang awak risaukan sangat. Sudahlah tu, lupakan saja." Contoh 2 Isteri : "Buah mangga kita ni asyik dicuri budak-budak sahaja. Masalah betullah." Suami : "Tidak usahlah awak pedulikan perkara remeh-temeh tu." Contoh 3 Isteri : "Warna langsir tingkap kita ni sudah tidak berseri lagi. Hendak tukar tidak ada duit." Suami : "Janganlah pening-peningkan kepala awak dengan benda tidak penting itu." Kata-kata seperti di atas sangat menyakitkan hati perempuan. Itu sebabnya ramai isteri geram kepada suami mereka. Bagi wanita, tidak ada ‘masalah besar’ ataupun ‘masalah kecil’. Semua masalah adalah masalah. Tetapi lelaki lain, mereka memang membezakan jenis-jenis masalah, dan cara-cara mereka menangani masalah itu ditentukan sama ada ia dianggap penting, serius, remeh atau tidak. Berikut ialah contoh bagaimana suami-suami memberi idea supaya masalah isterinya boleh diselesaikan: Contoh 1 Isteri : "Saya penatlah. Mana lagi kerja rumah, mana lagi kerja pejabat. Tidak tahan rasanya badan saya ni." Suami : "Kalau tidak tahan, berhentilah kerja." Contoh 2 Isteri : "Muka saya ni timbul jerawat balik." Suami : "Kurangkanlah makan minyak." Contoh 3 Isteri : "Bos saya tu teruk betullah. Sudah seminggu ni asyik marah-marah sahaja. Tidak tahan rasanya tengok muka dia." Suami : "Tidak usahlah tengok mukanya." Bayangkanlah, macam mana isteri-isteri tidak geram apabila begitulah cara suami mereka menyambut aduan masalah yang mereka buat? Bagi para isteri, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual adalah inti pati yang paling penting peranannya dalam bercinta dan berkasih-sayang. Inilah yang kebanyakan lelaki tidak mengerti. Jadi, bagi wanita, apabila suami mereka tidak mahu melayan mereka dengan cara mendengar, bercakap-cakap dan berbual-bual berkenaan masalah yang mereka adukan, itu bermakna mereka tidak dapat mengecap salah satu nikmat besar dalam perkahwinan. Bagi wanita, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual adalah lebih daripada setakat bercakap-cakap dan berbual-bual sahaja. Ia adalah cara mereka menjalin dan memupuk hubungan. Jikalau hubungan itu adalah hubungan cinta, ia adalah cara mereka menjalin dan memupuk cinta. Ia adalah cara yang mereka gunakan untuk mendalamkan lagi rasa komitmen dan keintiman. Kebanyakan suami tidak faham apabila isteri mereka mengadukan masalah, yang mereka mahu ialah supaya suami membuktikan cinta dan kasih sayangnya kepada mereka. Caranya ialah: Layanlah si isteri bercakap sampai puas berkenaan masalahnya! Bertengkar Kita selalu mendengar orang berkata, "Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri." Maksudnya, pertengkaran adalah suatu hal yang tidak dapat dielakkan dalam perkahwinan. Tetapi menurut pakar-pakar kaunseling rumah tangga, kebanyakan pertengkaran suami isteri memang boleh dielakkan. Caranya ialah dengan belajar teknik-teknik yang betul apabila berkomunikasi dalam pertengkaran. Kebanyakan orang tidak percaya bahawa bertengkar memerlukan teknik yang betul, supaya kita tidak bercakap ikut sedap mulut sahaja. Biasanya, perkara yang menjadi punca pertengkaran itu sendiri tidaklah menyakitkan hati sangat sehingga orang mahu bertengkar mengenainya. Sebagai contoh, lauk yang masin sedikit tidaklah boleh menyebabkan suami mahu bertengkar dengan isterinya. Tetapi, ia akhirnya boleh mencetuskan pertengkaran disebabkan oleh faktor bahasa yang digunakan apabila bercakap mengenai lauk masin itu, di mana bahasa itu adalah jenis gaya bahasa yang menyakitkan hati orang yang mendengarnya. Suami : "Mah, kenapa ikan ni masin sangat?" Isteri : "Tidaklah. Saya letak sikit saja garam." Suami : "Saya kata masin, masinlah. Takkan awak tidak percaya cakap saya?" Isteri : "Awak mahu makan, makan! Kalau tidak mahu makan, sudah!" Suami : "Awak ni, kenapa? Cakap sikit pun tidak boleh?" Isteri : "Awak tu, kenapa? Asyik komplen saja.... Kalau saya masak, masinlah, itulah, inilah. Semua tidak sedap. Kalau orang lain masak, semua sedap. Saya bukan tukang masak." (Suami bangun dan tidak jadi makan, lalu keluar.) Gaya bahasa yang paling mudah mencetuskan pertengkaran ialah gaya bahasa menyalahkan orang lain. "Awak tidak ingatkah?" "Awak lupakah?" "Ini salah awak." "Awak tidak tahu buat kerja." "Itulah, awak degil." "Kalau awak ikut cakap saya, tentu tidak jadi begini." "Siapa yang salah?" "Kenapa tidak cakap dari tadi?" "Mak awak pun sama macam awak." "Idea awak salah." Gaya bahasa yang menyalahkan orang lain sangat menyakitkan hati sesiapa pun yang mendengarnya. Ramai suami isteri tidak sedar bahasa ini amat kerap diucapkan. Tidak ada orang yang suka dituduh bersalah. Akibatnya, mereka jadi defensif. Salah satu gaya bahasa defensif ialah membalas tuduhan dengan tuduhan juga. Ada beberapa teknik untuk mencegah diri kita daripada terpakai gaya bahasa ini apabila bercakap. 1. Pertama, jangan gunakan perkataan ‘awak’. Kedua, jangan gunakan perkataan ‘kenapa?’ "Kenapa awak lupa?" "Kenapa tidak telefon saya?" "Kenapa awak macam bapa awak juga?" Ayat-ayat jenis ini mempunyai ciri negatif yang sangat berbahaya, iaitu ayat-ayat tersebut tidak membezakan antara ‘orang’ dan ‘masalah’ yang hendak diselesaikan. Kedua-duanya digabung-kan menjadi satu. Masalah dapat diselesaikan, tetapi ‘orang’ tidak dapat diselesaikan. Ayat-ayat ‘awak’ mengatakan orang itu adalah masalah. Kerana hal demikian, ia menganggap orang itu yang perlu diselesaikan. Ini mustahil. Ayat-ayat itu juga tidak membezakan ‘perbuatan’ daripada ‘orang’. Perbuatan dapat diubah, tetapi orang tidak dapat diubah. Menggunakan ayat ‘awak’ tidak dapat menyelesaikan apa-apa masalah. Perbuatan itu hanya memburukkan lagi masalah yang ada dengan mencetuskan masalah-masalah lain pula. Ayat yang menggunakan perkataan ‘kenapa’ adalah menyakiti hati orang yang ditanya. Walaupun ayat itu nampaknya seolah-olah setakat bertanya maklumat dan penjelasan, tetapi sebenarnya ayat ‘kenapa’ mempersoalkan kebijaksanaan orang itu. Orang yang mengucapkan ayat itu juga ada anggapan status dirinya lebih tinggi. Isteri yang bertanya "Kenapa abang balik lambat malam tadi?" adalah seorang isteri yang berasa dia ada hak mempersoalkan suaminya. Itulah sebabnya lelaki pantang mendengar ayat ‘kenapa’ daripada mulut isteri mereka. 2. Kedua, jangan babitkan perkara-perkara lain. Apabila bercakap berkenaan sesuatu isu, kita selalu membabitkan perkara-perkara lain yang tidak ada sangkut-pautnya dengan isu asal. Itulah sebabnya, hilang isu asal, timbul isu lain. Akibatnya, isu lain itu yang mencetuskan pertengkaran. Contoh 1 Isteri : "Bang, minta duit, saya hendak beli karpet baru." Suami : "Tidak payahlah beli karpet baru. Kita tidak cukup duit." Isteri : "Macam mana hendak cukup duit. Abang tu banyak sangat hantar duit balik kampung. Sampai kita sendiri tidak cukup duit. Hendak beli karpet pun susah. Mak bapa abang tu asyik minta duit shaaja. Dia orang ingat kita ni kilang duitkah? Abang pun satu juga, sudah kahwin buatlah cara sudah kahwin. Sepatutnya duit abang tu untuk anak isteri sendiri saja. Kalau masa abang masih bujang, tidak mengapalah. Pasal tu tidak pernah cukup duit." Suami : "Tutup mulut awak tu sikit. Membebel tidak habis-habis." Contoh 2 Isteri : "Kenapa abang balik lambat?" Suami : "Banyak kerja." Isteri : "Orang lain pun banyak kerja. Tapi mereka balik cepat. Apa salahnya abang bawa balik kerja abang tu, buat di rumah. Ini tidak, abang suka buat di pejabat. Jangan-jangan ada apa-apa tidak? Mana saya tahu, betulkah abang banyak kerja pejabat? Jangan-jangan kerja lain, tidak?" Suami : "Diamlah!" Contoh 3 Isteri : "Apa kenanya kereta awak tu? Rosak lagikah?" Suami : "Rosak sikit." Isteri : "Kereta tu asyik makan duit saja. Tidak habis-habis rosak. Awak kalau beli barang, selalu saja rosak. Dulu, motosikal yang awak beli pun selalu rosak. Jam tangan yang awak belikan untuk saya tu pun sudah rosak juga. Awak tidak pandai beli barang." Suami : "Duit saya, apa awak peduli? Saya bukan habiskan duit datuk awak. Saya punya duit, saya punya pasallah." Memuntahkan Isi Dada Semasa sedang bergaduh dan bertengkar, macam-macam perkara dan perbuatan yang boleh membahayakan ikatan perkahwinan boleh berlaku. Salah satu perbuatan itu ialah perbuatan mencurahkan segala perasaan yang selama ini terbuku dalam dada. Lelaki tidak takut menghadap laut yang bertaufan, tetapi lelaki sangat takut menghadap wanita yang sedang meluahkan perasaannya, atau istilah-nya ‘memuntahkan isi dada’. Apabila perempuan mula sahaja meluahkan perasaan mereka, lelaki jadi takut. Tingkah laku memuntahkan isi di dada adalah sangat popular dalam komunikasi rumah tangga dan ia biasanya dilakukan oleh para isteri. Lelaki tidak suka memuntahkan isi dada mereka walaupun dada mereka juga penuh dengan pelbagai perkara yang tidak memuaskan hati mereka. Perbuatan ini dianggap ‘kelakuan perempuan’ sebagaimana perbuatan menangis dan berleter juga dianggap kelakuan perempuan. Isteri-isteri suka melakukan perbuatan ini kerana menurut mereka dengan perbuatan itu barulah mereka berasa ‘puas’. Walaupun perbuatan meluahkan isi dada popular, tetapi ia tidak berguna sama sekali bagi menyelesaikan apa-apa masalah atau meleraikan apa-apa konflik. Malah ia kerap kali menjadi punca bagaimana isu yang kecil boleh mencetuskan pertengkaran yang besar. Perempuan pula mempunyai pelbagai cara meluahkan perasaan mereka. 1. Pertama, dan paling popular ialah dengan cara berleter. Ini pun sudah cukup menakutkan lelaki. Leteran ialah punca utama lelaki membenci isteri dalam diam-diam. 2. Kedua ialah dengan cara menggunakan bahasa badan. Mereka berjalan dengan menghentak-hentak kaki, menghempas-hempas barang, menutup pintu kuat-kuat dan seumpamanya. 3. Ketiga ialah dengan cara mengungkit-ungkit perkara lama. Perbuatan ini sangat menyakitkan hati lelaki, dan ia adalah racun yang menghakis cinta secara sangat perlahan-lahan. Leteran dan ungkitan selalu-nya dilakukan bersama-sama. Meskipun perbuatan ini sangat berbahaya, namun ia popular dilakukan. 4. Keempat ialah dengan cara merungut-rungut. Merungut ialah perbuatan mencari segala macam perkara yang tidak betul, yang salah dan yang tidak memuaskan hati. Mula-mula orang bosan mendengar rungutan, lama-lama menjadi benci. Rungutan menyebabkan emosi orang yang mendengarnya berasa letih. Orang yang kuat merungut ialah orang yang hatinya sukar dipuaskan. Ada-ada sahaja yang tidak betul. 5. Kelima ialah dengan cara menuduh dan menyalahkan suami sendiri atau sesiapa sahaja orang lain, seperti mertua, ipar duai, atau rakan-rakan suaminya atas segala perkara yang dia tidak puas hati. Apabila kita menuduh suami, kita sebenarnya menuduh dia ada niat melakukan apa yang dilakukannya. Niat itu pula sentiasa niat buruk dan jahat, bukan niat baik. Sebagai contoh, seorang suami tidak mahu membelikan isterinya cincin berlian RM 10 000 sempena ulang tahun perkahwinan mereka. Si isteri menuduh dengan mengatakan suaminya sengaja tidak mahu membelikan cincin itu sebab suaminya ada niat.... (macam-macam niat yang si isteri reka sendiri). Tuduhan sentiasa mengandungi unsur di mana si penuduh mengatakan orang yang dituduhnya itu ada niat yang negatif terhadap dirinya. Kalau si suami balik lambat, si isteri menuduh si suami ada niat menipunya. Kalau si suami tidak mengajak isterinya ke majlis, si isteri menuduh si suami hendak membawa wanita lain. Kalau si suami menukar minyak wanginya, si isteri menuduh ada perempuan lain yang menyuruhnya berbuat begitu. Kalau si isteri minta wang lebih dan suaminya memberitahu dia tidak ada wang sebanyak itu, si isteri menuduh suaminya berbohong kerana wang itu hendak digunakan untuk joli. Apabila kita menuduh orang itu ada niat negatif terhadap kita, bermakna kita seolah-olah boleh nampak apa yang ada dalam kepala orang itu, atau kita dapat membaca apa yang ada di dalam hatinya. Ini mustahil. Tidak ada orang yang tahu apa yang ada dalam kepala dan hati orang lain, sekalipun antara suami dan isteri. 6. Keenam ialah dengan cara tarik muka masam ataupun dengan cara merajuk. Cara ini pun sangat popular. Ia adalah salah satu cara menghukum orang yang kita tuduh sebagai punca yang menyebabkan apa yang kita alami. Kebanyakan lelaki tidak tahu apa yang paling sesuai mereka lakukan apabila isteri mereka sedang meluahkan perasaan. Akibatnya, mereka ‘lari’ kerana mereka tidak mahu memandang dan mendengar apa yang sedang terjadi. Ada beberapa cara yang popular digunakan oleh para suami untuk lari daripada menghadapi isteri yang cuba meluahkan perasaannya. Antara cara-cara itu ialah: 1. Suami pergi meninggalkan tempat di mana isterinya sedang meluahkan perasaan. Sebagai contoh, apabila isteri meluahkan perasaannya di dalam rumah, si suami keluar meninggalkan rumah. Umpamanya, mereka pura-pura pergi ke ladang, atau ke kedai membeli rokok dan lain-lain alasan. 2. Si suami tidur. Ini biasa dilakukan apabila si isteri meluahkan perasaan di dalam bilik tidur pada waktu malam. 3. Si suami cuba menenggelamkan suara isteri dengan cara meninggikan bunyi radio atau televisyen supaya dia tidak boleh mendengar apa yang dikatakan oleh si isteri. Ada kalanya dia pura-pura membetulkan enjin motosikal atau keretanya dan dia membunyikan enjin itu kuat-kuat, atau lain-lain perbuatan seperti itu. 4. Si suami sengaja tidak mahu memikirkan langsung apa yang diluahkan oleh isterinya. Ada kalanya, di dalam hatinya si suami menafikan dia sedang menghadapi sebarang masalah dengan isterinya. Oleh itu dia tidak mahu membuat sebarang respons terhadap apa yang dikatakan oleh si isteri. Jadi dia anggap isterinya hanya ‘marah-marah tidak tentu fasal’ sahaja, maka tidak perlulah dia berbincang apa-apa dengan isterinya. Lelaki sanggup melakukan banyak perkara asal sahaja mereka boleh mencegah isteri mereka daripada meluahkan perasaannya. Antara perkara-perkara yang popular mereka lakukan ialah diam, berdusta, mengalah, mengelak dan ‘merasuah’ atau memberi ‘gula-gula’. Pada jangka masa pendek, strategi yang digunakan oleh suami bagi mencegah isteri mereka daripada meluahkan perasaan memang dapat mencapai objektif itu. Sebagai contoh, apabila isteri meluahkan perasaan dan si suami diam sahaja, lama-lama si isteri kehabisan tenaga emosinya kerana tidak dilayan, lalu dia diam. Kalau dilayan, nanti si isteri akan tambah marah. Memang betullah, pada ketika itu si isteri akan berhenti meluahkan perasaannya. Tetapi ia menyebabkan hati si isteri tambah tidak puas hati kerana tidak dilayan oleh suaminya. Perasaan itu akan terbuku dan menanti saat lain untuk diluahkan lagi. Lelaki juga kerap berdusta kerana takut jikalau isterinya tahu apa yang sebenar, ia akan mencetuskan kemarahan si isteri. Jadi dia berdusta dengan berbagai-bagai cara. Pertama dia tidak memberitahu langsung perkara yang sebenar. Sebagai contoh dia pergi bersama-sama kawan ke rumah urut dan dia merahsiakan hal itu. Kedua, dia memberitahu sebahagian sahaja daripada maklumat yang sebenar. Sebagai contoh, dia memberitahu isterinya dia bersama-sama kawan-kawan, tetapi tidak pula memberitahu ke mana mereka pergi. Ketiga, dia memberitahu maklumat yang salah sama sekali. Sebagai contoh, dia memberitahu isterinya kononnya dia bekerja lebih masa. Strategi seperti ini memang boleh mencegah konflik, tetapi hanya untuk jangka masa pendek. Apabila dusta itu diketahui, konflik yang lebih besar akan meletus. Lelaki juga kerap mengalah sahaja kepada isteri supaya dengan berbuat begitu si isteri tidak akan meluahkan perasannya atau akan berhenti. Mereka akan ikut kehendak isteri kalau dengan cara itu si isteri tidak jadi, atau mahu berhenti meluahkan perasaannya. Strategi ini juga sangat berbahaya. Perbuatan mengalah kepada kehendak isteri boleh memburukkan lagi perangai isteri yang memang buruk. Setiap kali si isteri mahu supaya kehendaknya dituruti, dia akan mengancam suaminya dengan luahan perasaan. Lama-lama strategi itu menjadi tabiat kepada si isteri. Lelaki juga menggunakan strategi mengelak. Sebagai contoh, jika si isteri sedang mengamuk berkenaan suatu perkara, si suami akan melencongkan percakapan mereka kepada perkara lain. Strategi ini boleh mencegah isteri daripada meluahkan perasaannya, tetapi ia tidak juga menyelesaikan apa-apa masalah. Jadi, masalah itu akan timbul lagi, dan timbul lagi lain kali. Satu lagi strategi yang popular ialah lelaki akan ‘merasuah’ atau memberi ‘gula-gula’ kepada isterinya dengan melembutkan hati si isteri dengan cara-cara seperti membawa pulang buah tangan, memberi hadiah-hadiah mahal, memberi pujian-pujian palsu dan seumpamanya. Suatu kelemahan cara ini ialah, hadiah-hadiah itu perlu semakin ‘besar’ dan berlainan bentuknya dari waktu ke waktu bagi menimbulkan kesan yang serupa. Ini kerana isteri tidak suka menerima dua helai baju atau dua beg tangan yang serupa! Ada kalanya lelaki menggunakan teknik kelakar dan gurauan untuk mencairkan rasa marah isteri. Cara begini boleh semakin menyakitkan hati si isteri. Mereka mempersenda-sendakan kata-kata isteri. "Baguslah. Kalau awak mati, lagi cepat saya boleh kawin lain!" "Kalau saya tidak sayang awak, sudah lama saya cari yang baru." "Saya sayang awak, siapa pulak kata saya benci awak? Gemuk macam awak pun saya tidak cari lain, takkanlah awak kata saya tidak sayang awak?" Lelaki sebenarnya tidak takut kepada emosi isteri. Sebenarnya yang mereka takuti ialah teknik-teknik negatif yang digunakan oleh isteri apabila mereka meluahkan emosi, atau memuntahkan isi dada mereka. Tidak ada orang yang suka dileteri, diungkit-ungkit, diancam, dirajuki dan diberi muka masam. Walau apa sekalipun strategi yang dibuat oleh lelaki untuk mencegah isteri mereka daripada meluahkan perasaan, strategi itu mempunyai kesan negatif yang lebih banyak daripada kesan positifnya. Strategi-strategi itu tidak menyelesaikan masalah yang ada. Ia hanya menunda berlakunya konflik yang lebih besar kemudian hari. Menyumbat Mulut Ada banyak cara bagaimana wanita boleh menang apabila bertengkar dengan suami mereka. Antara cara-cara yang digunakan itu, banyak daripadanya membahayakan kepentingan wanita sendiri. Namun cara-cara yang berbahaya itu sangat popular digunakan. Cara-cara itu berbahaya kerana ia boleh menyebabkan suami menjadi sakit hati, marah, bosan dan benci kepada isteri. Jadi, walaupun cara-cara itu memang boleh membawa kemenangan kepada isteri, tetapi kemenangan itu adalah pada jangka masa pendek sahaja. Pada jangka panjang ia merugikan diri sendiri. 1. Cara pertama untuk menang apabila bergaduh dengan suami ialah dengan cara mengenakan tekanan ke atas suami. Dalam lain perkataan ialah memaksa suami mengalah. Tekanan jenis pertama ialah tekanan emosi. Teknik mengenakan tekanan emosi popular dilakukan apabila iklim komunikasi antara suami dan isteri sudah sangat negatif. Dengan mengenakan tekanan emosi, isteri-isteri boleh memaksa supaya suami mereka mengalah kepadanya. Antara tekniknya ialah dengan menuduh, mencaci dan memaki hamun si suami. "Awak memang tidak bertanggungjawab." ialah suatu tuduhan. "Awak tu sudah tua tapi masih miang, tidak sedar diri.” ialah suatu cacian. "Binatang! Lelaki tidak guna. Anjing!" ialah maki hamun. 2. Tekanan yang kedua ialah tekanan fizikal seperti memukul, membaling benda kepadanya, menampar dan lain-lain seperti itu. Tekanan ini banyak dilakukan oleh lelaki, tetapi ada juga isteri-isteri yang menggunakan tekanan jenis ini. Ada yang memukul suami dengan benda-benda seperti buluh dan kayu batang penyapu semasa suami sedang tidur. Ada yang membaling suami dengan benda-benda seperti buku tebal, beg kerja suami, kasut dan macam-macam lagi. 3. Teknik ketiga untuk menang ialah dengan menuduh. Banyak lelaki akan diam apabila dirinya dituduh. Walaupun hati mereka sangat sakit, tetapi mereka diam sahaja. Alasan utama mereka diam ialah bagi mengelakkan tercetusnya konflik yang buruk. "Mentang-mentang saya sudah tua, awak sengaja hendak cari yang muda." "Saya tahu saya bodoh, tidak setaraf dengan awak. Itu sebab awak malu hendak bawa saya ke majlis." "Awak memang sudah bosan dengan saya, sebab itulah awak cari alasan hendak kahwin lain." 4. Teknik keempat ialah dengan ‘menyumbat’ mulut lawan sehingga orang itu tidak sanggup bercakap lagi. Teknik ini popular di kalangan isteri. Orang yang disumbat mulutnya tidak boleh berkata apa-apa lagi bagi meneruskan pertengkaran atau pergaduhan. Antara jenis-jenis penyumbat mulut yang popular digunakan oleh para isteri ialah: a. Menangis. Teknik ini sangat popular. Ramai lelaki akan terdiam apabila isterinya mula menangis. b. Menjerit-jerit. Ramai isteri tahu dengan bercakap dengan suara tinggi dan menjerit-jerit, biasanya mereka dapat membuat suami mereka diam. Lelaki takut malu sekiranya anak-anak atau jiran tetangga mendengar mereka bergaduh. c. Pura-pura hilang akal seolah-olah dirasuk hantu. Perbuatan ini hanya dilakukan oleh wanita. Walaupun lelaki tahu ia hanya sandiwara tetapi lelaki akan diam apabila sandiwara ini mula dilakonkan. d. Pura-pura pitam atau tidak sedarkan diri. Per-buatan ini pun cuma dilakukan oleh wanita. Ia juga sejenis sandiwara juga. Siapa pun akan diam apabila orang itu sudah ‘tidak sedarkan diri’. e. Pura-pura sesak nafas dengan tiba-tiba. f. Pura-pura sakit kepala yang amat sangat, atau sakit-sakit yang lain. g. Mengamuk dengan memecahkan barang-barang dan seumpamanya. Apabila perempuan bercakap dengan marah-marah, mereka boleh berjaya membuat suami mereka diam sekejap. Tetapi perbuatan isteri yang suka marah-marah ada bahayanya. Suami mereka mungkin bukan diam sekejap, tetapi diam selama-lamanya, di mana suami mereka tidak mahu lagi berkomunikasi secara terbuka dan dari hati sanubari. Ramai lelaki tidak tahu cara-cara yang betul menghadapi isteri yang suka menggunakan cara marah-marah bagi mengalahkan suami mereka. Pakar-pakar psikologi memberi panduan berikut: 1. Cuba kawal perasaan marah yang kita alami sendiri akibat mendengar kata-kata isteri yang menyakitkan hati. Kalau kita tidak dapat membuat isteri kita mengawal marahnya, kita kawal marah kita sendiri. Apabila kita mendengar kata-katanya yang menyakitkan hati, jangan peduli dan jangan layan kata-katanya itu. Kalau dilayan, dia akan jadi lebih marah lagi, kerana tujuannya ialah dia mahu menang dengan cara memaksa kita mengalah. 2. Kalau hati kita sangat sakit dan isteri kita sangat marah, jauhkan diri kita daripadanya. Pergilah keluar rumah, barangkali selama setengah jam, atau beberapa jam. Kalau hati kita sangat sakit, tambahkan masa itu. Tetapi jangan keluar begitu saja. Perbuatan itu akan membuat dia lebih marah lagi. Sebelum keluar, katakan kepadanya kita pergi kerana hendak mengawal perasaan kita sendiri. 3. Kita boleh mengalah, tetapi mengalah sedikit sahaja. Kalau kita mengalah semua, ia boleh menimbulkan kesan negatif kepada dia dan kepada diri kita sendiri. Kalau dia dapat menang semua, nanti lain kali tabiat buruknya akan bertambah buruk. Dia bertambah yakin dengan cara marah-marah, dia dapat mengalahkan kita. Bagi diri kita sendiri, kalau kita mengalah semua, ego kita akan terluka. 4. Apabila dia berlakon pura-pura pitam, hilang akal, dirasuk hantu, atau sesak nafas, jangan dilayan. Emosi marah tidak boleh menyebabkan gangguan mental dan fizikal jenis itu! Apabila tidak dilayan, dia akan sembuh sendiri. Kalau dilayan, lain kali lakonannya akan diulang dengan lebih hebat lagi. Diam Dalam banyak perkahwinan yang sudah berusia lebih daripada lima tahun, salah satu masalah yang dihadapi oleh pihak isteri ialah suami yang suka diam. Suami yang diam tidak suka berbual-bual seperti masa dulu-dulu. Balik dari kerja, mereka duduk membaca surat khabar, dari halaman ke halaman, dan menonton televisyen daripada rancangan ke rancangan. Walau apa yang sedang berlaku di dalam rumah, mereka seperti tidak peduli dan tidak ambil pusing. Mereka tidak mahu dibawa berbincang bagi menyelesaikan apa-apa masalah yang sedang dihadapi oleh isteri. Mereka juga tidak mahu memberi pendapat mereka berkenaan apa-apa keputusan yang perlu dibuat. Kaum wanita mengalami seksa batin yang hanya mereka sahaja boleh mengerti apabila suami mereka suka diam. Ini kerana kaum wanita mendapat kepuasan batin yang mendalam daripada kegiatan bercakap-cakap dan berbual-bual, terutamanya dengan orang yang mereka kasihi. Bagi wanita, selagi mereka masih boleh bercakap-cakap dan berbual-bual dengan suami mereka, maka mereka yakin bahawa perkahwinan mereka masih kukuh dan kasih sayang mereka berdua masih kental. Itulah sebabnya, apabila suami mereka sudah kurang mahu berbual-bual dengan mereka, hati wanita berasa tidak aman lagi dan mereka percaya perkahwinan mereka sedang terancam. Mereka juga tidak dapat mentafsir apa erti perbuatan suami mereka yang suka diam. Apabila suami mereka suka diam, kebanyakan isteri tidak tahu apa yang boleh dibuat supaya suami mereka mahu bercakap-cakap dan berbual-bual semula dengan mereka seperti sewaktu masih bercinta, atau baru kahwin. Kebanyakan isteri yang menghadapi masalah suami diam melabelkan suami mereka sebagai ‘tidak bertanggungjawab’ kerana apabila mereka diam, mereka tidak mahu ambil tahu dan tidak mahu masuk campur dalam semua urusan rumah tangga yang dikendalikan oleh si isteri. Akibatnya, si isteri membuat keputusan sendiri dan menyelesaikan semua masalah sendiri tanpa bantuan suami mereka. Diam ialah sejenis komunikasi yang sarat dengan makna. Ada dua jenis diam. Pertama ialah diam yang sementara, iaitu diam dalam keadaan tertentu sahaja. Kedua ialah diam yang berlarutan. Suami yang diam buat sementara tidak berapa menyeksa batin wanita. Diam jenis sementara mempunyai beberapa makna. 1. Si suami tidak setuju dengan si isteri, tetapi dia tidak mahu bercakap kerana sia-sia bercakap. Isteri yang banyak cakap atau becok kerap menyebabkan suami mereka diam kerana si suami tidak mahu sakit telinga. Jadi suami-suami itu diam kerana tidak mahu mendorong isterinya banyak bercakap dan menyakitkan telinga mereka. Setengah-setengah isteri pula ada tabiat suka mempertikaikan apa-apa saja yang disebut oleh suami mereka. Kalau suami kata lurus, dia kata bengkok; kalau suami kata ringan, dia kata berat; kalau suami kata hari ini, dia kata besok. Tidak habis-habis bertelingkah. Isteri-isteri begitu suka bertelingkah dalam segala macam isu remeh-temeh. Mereka asyik bertelingkah sudut pandangan. Ia menyebabkan suami mereka mengalami apa yang disebut ‘letih emosi’. Akibatnya, demi mengelakkan sebarang pertelingkahan emosi, suami mereka diam. Tabiat isteri yang suka bertelingkah pendapat dengan suami menyebabkan suami mereka yakin, kalau dia bercakap, nanti cakap-cakapnya akan ditelingkah oleh isterinya, dan isterinya tidak akan mengalah. Jadi bagi mengelakkan pergaduhan si suami diam sahaja. Isteri : Bang! Suami : Hm... Isteri : Abang mahu makan apa malam ni? Suami : Apa-apalah. Bihun pun boleh. Isteri : Bihun? Ah, tidak kenyanglah makan bihun. Kita makan nasilah. Suami : (diam) Isteri : Kita makan nasi ya? Suami : (diam) Isteri : Tengok tu, orang tanya, dia buat pekak saja! Dalam dialog di atas, mula-mula si isteri bertanyakan pendapat suaminya, selepas mendengar pendapat itu, dia mempertikaikan pendapat suaminya. Akibatnya, suaminya diam, tidak mahu bercakap lagi. Ramai isteri tersalah membaca diam jenis ini sebab ada pepatah mengatakan ‘diam tanda setuju’, jadi apabila suaminya diam, dia sangka suaminya setuju, padahal tidak. 2. Diam kerana si suami takutkan risiko bercakap. Setengah-setengah isteri akan menghukum suami jikalau kehendak mereka tidak dituruti. Jadi, suami mereka akan diam kerana takutkan hukuman daripada isteri, seperti si isteri tarik muka masam, atau merajuk dan lain-lain hukuman yang wanita ada kuasa menjatuhkan ke atas suami mereka. 3. Suami diam kerana malas hendak melayan perkara yang dianggap remeh dan tidak penting. 4. Suami diam kerana walaupun perkara itu besar, tetapi bagi si suami, ada perkara lain yang lebih penting untuk dijaga. Biasanya perkara yang dianggap sangat penting ialah para suami ialah mengelakkan pertengkaran dalam rumah tangga. Diam yang sangat ditakuti wanita ialah diam yang berlarutan. Diam jenis ini berpanjangan selama berbulan-bulan dan bertahun-tahun. Keempat-empat faktor di atas, iaitu perkara yang pada mulanya adalah punca diam yang sementara, tetapi kalau ia selalu sangat berlaku, boleh menyebabkan berlakunya diam yang berpanjangan. Suami yang satu masa dulu banyak bercakap dan berbual-bual tidak menjadi pendiam dengan tiba-tiba. Proses itu mengambil masa yang lama. Masalah suami suka diam jenis sementara boleh dirawat dengan mudah. Isteri-isteri yang becok, suka banyak cakap, suka mempertikaikan pendapat suami mereka, kalau mereka tidak mahu mendapat suami yang diam berpanjangan, lebih baik belajar berhenti tabiat buruk suka mempertikai cakap suami. Apabila mereka tidak lagi dipertikai, suami-suami itu akan mahu bercakap semula. Dalam komunikasi, diam mempunyai banyak punca. Antara punca yang sangat serius mengapa suami diam berbulan-bulan, malah bertahun-tahun, ialah penjauhan diri. Seorang suami yang tidak lagi cinta kepada isterinya akan menunjukkan jenis-jenis tingkah laku penjauhan. Antara tingkah laku itu ialah mendiamkan diri. Perbuatan mendiamkan diri adalah salah satu cara seseorang itu menutup pintu hatinya daripada dimasuki oleh orang lain. Istilah yang biasa digunakan ialah ‘menutup diri’. Apabila seseorang suami menutup dirinya, dia tidak mahu bercakap-cakap mengenai dirinya sendiri. Dia tidak mahu memberitahu perasaannya, fikirannya, rancangannya, aktivitinya dan lain-lain maklumat yang penting diketahui oleh isterinya. Itulah sebabnya dia diam. Dia tidak mahu isterinya tahu apa yang sedang dibuatnya, apa yang sedang dirancangnya, apa yang sedang dialaminya. Tetapi mengapakah si suami tidak mahu memberitahu maklumat-maklumat itu kepada isterinya? Punca yang paling penting mengapa seseorang suami itu menutup dirinya daripada isterinya ialah kerana dia sudah tidak berapa mencintai isterinya lagi. Tanpa cinta yang kuat, si suami tidak ada dorongan lagi untuk mengongsi perasaan dan fikirannya dengan isterinya. Suami yang tidak berapa mencintai isterinya lagi berasa tidak ada faedahnya dia memberitahu si isteri keadaan yang sebenar yang sedang dialami. Untuk apa dia memberitahu isterinya dia tidak mencintainya lagi? Jika diberitahu juga akan hal itu, si suami tahu risikonya besar. Pertama, si isteri tidak akan mahu menerima berita itu dengan tenang. Isteri mana yang akan tenang mendengar kata-kata daripada mulut suaminya sendiri bahawa dirinya tidak dicintai lagi? Perangai diam tidak berlaku dengan tiba-tiba sahaja. Ia terjadi perlahan-lahan. Daripada banyak bercakap-cakap, lama-lama percakapan itu semakin hari semakin singkat. Ayat-ayat yang diucapkan juga semakin lama semakin pendek-pendek. Isteri-isteri yang menghadapi masalah suami diam mengadu mereka mencuba berbagai-bagai cara bagi mendapatkan penjelasan daripada mulut suami mereka sendiri mengapa mereka diam, tetapi gagal sahaja. Biasanya si suami akan menafikan mereka diam kerana ada apa-apa punca. Mereka akan berkata, "Tidak ada apa-apa." Jika ditanya juga, suami mereka akan memberi alasan-alasan yang tidak memuaskan hati si isteri, seperti "Penat," "Banyak kerja di pejabat," dan lain-lain alasan yang tidak meyakinkan hati isteri. Sebenarnya alasan-alasan itu adalah dusta yang dibuat oleh suami untuk diberikan kepada isteri yang beria-ia hendak tahu mengapa suami mereka diam. Si suami mengharapkan dengan memberikan alasan-alasan dusta itu isteri mereka akan berhenti daripada terus memaksa mereka bercakap. Suami-suami berdusta kerana hendak mengelakkan pergaduhan dan konflik. Mereka tidak mahu memberitahu apa yang sebenar kerana perkara itu pasti tidak boleh diterima oleh si isteri. Apabila si isteri merungut si suami selalu balik lewat, si suami tidak ada pilihan selain berdusta dengan memberi alasan seperti "Banyak kerja." Padahal dia sengaja membanyakkan kerja-kerjanya kerana dia tidak seronok berada di rumah. Semakin luntur cinta dan kasih sayang, semakin banyak dusta yang diucapkan. Ramai suami berdusta kerana mereka mahu si isteri terus hormat kepadanya. Dia tidak mahu isterinya tahu dia bukan lagi seorang suami yang jujur. Ada kalanya suami-suami berdusta disebabkan mereka tidak mahu perceraian berlaku kerana terdapat banyak kepentingan yang mesti dipelihara, seperti tidak mahu anak-anak menderita, hendak menjaga nama baik di mata masyarakat dan kerana hendak menjaga harta. Semakin hari mereka semakin banyak berdusta kerana menutup dusta yang lalu, mereka terpaksa berdusta lagi. Bagi mengelakkan daripada banyak berdusta, mereka cuba supaya diam sedapat-dapatnya. Apabila suami tidak mencintai isterinya lagi, dia akan diam pada semua waktu. Kalau bercakap pun, dia akan bercakap kerana tidak ada pilihan. Biasanya dia bercakap kerana terpaksa bertanya sesuatu perkara seperti "Mana kunci kereta saya?" atau "Posmen sudah sampai?" atau "Mana kopi?" Apabila diajak juga bercakap-cakap oleh si isteri, dia akan menjawab dengan memberi jawapan singkat sahaja seperti, "sudah" atau "entah" atau "ya." Mereka berkomunikasi hanya apabila terpaksa sahaja. Sebenarnya mereka tidak seronok lagi bercakap-cakap dengan si isteri. Mereka lebih suka menyendiri dalam dunianya yang terasing. Apabila bercakap pula, mereka tidak mahu memandang muka si isteri. Mereka memandang televisyen, surat khabar atau ke arah lain. Suami yang diam, mereka bukan tidak bercakap. Mereka banyak bercakap, tetapi mereka bercakap di dalam hatinya sahaja, oleh itu si isteri tidak tahu apa yang ada di dalam hatinya. Pakar-pakar komunikasi mengatakan dalam hati orang yang diam, orang itu menuduh pasangannya bertanggungjawab menyebabkan hubungan mereka menjadi dingin. Tetapi tuduhan itu tidak diucapkan. Setengah-setengah isteri akan sengaja memprovokasi suami mereka supaya mereka mahu bercakap. Mereka berleter, mengkritik dan menuduh suami mereka berkenaan macam-macam isu. Akibatnya, mereka menyebabkan suami mereka marah. Dalam keadaan marah, suami mereka akan membela diri daripada tuduhan-tuduhan si isteri. Mereka membela diri bagi mempertahankan ego mereka. Mereka tidak setuju dituduh sebagai punca yang bertanggungjawab menyebabkan masalah yang terjadi. Akibatnya mereka pula menuduh si isteri yang bertanggungjawab. Akhirnya, komunikasi yang tercetus adalah komunikasi saling tuduh-menuduh dan saling membela diri. Apakah yang dapat dilakukan oleh isteri bagi merawat masalah suami diam berpanjangan kerana cintanya sudah tidak ada lagi di dalam rumah itu? 1. Tanya kepada diri sendiri, apakah si isteri masih mencintai suaminya dan masih menghargai perkahwinannya. Jikalau jawapannya ialah "Ya" maka kuatkan usaha menambat semula hati suami. 2. Berhenti dengan serta-merta daripada melayan fikiran hendak bercerai. 3. Belajar teknik-teknik komunikasi yang betul dahulu sebelum cuba mengajak suami berbincang dan menyelesaikan apa-apa masalah yang ada antara mereka. Gunakan panduan komunikasi apabila ber-cakap. Jangan sekali-kali menyangka ‘perempuan lain’ ialah punca masalah yang sedang dihadapi. Kita tidak akan dapat memperkuatkan semula cinta suami kepada diri kita dengan cara menyerang perempuan lain. Perbuatan itu cuma mempercepatkan lagi proses perceraian kita sendiri. Bahaya diam Diam ialah kaedah yang kerap digunakan bagi menyembunyikan kesakitan dan penderitaan, sama ada oleh isteri mahupun oleh suami. Kaedah ini lebih banyak dilakukan oleh pihak yang kedudukannya lebih lemah. Dalam setengah-setengah perkahwinan, si isteri berasa kedudukannya sangat lemah, oleh itu dia akan banyak diam. Dalam keadaan di mana si suami yang berasa dirinya lemah, maka dialah yang banyak diam. Mereka memilih untuk diam kerana tidak mahu orang tahu mereka tidak kuat menepis kesan-kesan perbuatan pasangan mereka. Jadi mereka berasa lebih baik mereka menahan derita dalam diam daripada menampilkan kelemahan mereka sendiri. Terdapat alasan-alasan lain mengapa suami diam. Salah satu tujuan suami diam ialah dia mengharapkan apabila dia diam, isterinya akan datang menghampirinya. Suami juga diam kerana tidak mahu berkata sesuatu yang boleh memburukkan lagi keadaan. Mereka hendak mengelakkan pergaduhan. Oleh itu mereka lebih bersedia membeli ketenteraman dengan cara diam, tidak kiralah berapa harganya. Diam juga boleh digunakan sebagai hukuman. Suami diam bagi membalas hati yang sakit. Apabila suami diam, dia menampilkan sikap tidak peduli. Dengan cara mendiamkan diri, si suami menarik balik layanan mesra yang selama ini diberikan kepada si isteri. Tujuannya ialah membuat si isteri berasa dirinya diketepikan dan tidak lagi disayangi. Diam juga boleh digunakan oleh suami bagi melukakan ego si isteri. Isteri yang didiamkan oleh suaminya berasa seolah-olah dirinya tidak dihargai, dan tidak berguna lagi kepada suaminya. Suami yang mendiamkan diri kelihatan seolah-olah kedudukannya begitu kuat, manakala isteri yang didiamkan kelihatan seolah-olah kedudukannya begitu lemah dan serba tidak berdaya. Setengah-setengah suami suka diam dan mengalah dalam krisis rumah tangga. Dengan diam dia dapat mengelakkan konflik yang lebih besar. Tetapi, perbuatan suka diam dan mengalah sahaja kepada mempunyai empat bahaya: 1. Pertama, si suami mungkin menjadi orang yang gila kerja dan oleh kerana itu dia selalu lambat balik ke rumah. Apabila balik, dia membawa pulang kerja-kerjanya. 2. Dia mungkin menjadi gila hobi, seperti gila golf, gila joran, gila burung ataupun gila persatuan. 3. Dia mungkin menjalin hubungan dengan wanita lain. 4. Perbuatan suka diam dan mengalah sahaja boleh menyebabkan letupan besar yang sukar ditahan-tahan lagi.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



ADAKAH mungkin kita mengetahui peribadi seseorang itu dengan cepat, iaitu tanpa menunggu lama? Jawabnya, ya boleh. Sebagai contoh, seseorang yang sentiasa berjalan cepat, seolah-olah ada sesuatu yang sedang dikejarnya, ialah seorang yang gemar kepada persaingan. Mereka tidak sabar hendak mencapai kejayaan yang diidamkan, sama ada dalam kehidupan profesional mahupun dalam kehidupan peribadi. Mereka adalah orang-orang yang keras kemahuan. Mereka tahu apa yang mereka mahu dan orang lain tidak dapat menghalang kehendak mereka. Sesiapa yang cuba mengubah tujuan hidupnya akan ditolak ke tepi. Orang-orang yang berjalan lambat seolah-olah waktu bukan sesuatu yang berharga ialah orang-orang yang mahu kalau boleh, supaya orang lain mengikut rentaknya. Bagi mereka masa tidak penting dan mereka anggap masa orang lain pun tidak penting. Mereka tidak peduli kalau orang lain terpaksa menunggunya. Daripada suatu segi mereka kelihatan seperti orang yang sabar dan tidak tergesa-gesa, sebenarnya dengan cara itu mereka dapat menguasai orang lain. Seperti juga orang-orang yang sentiasa berjalan laju, orang-orang ini pun tidak mahu menyesuaikan dirinya kepada orang lain. Dia mementingkan dirinya sendiri. Orang-orang yang berjalan dengan bahu jatuh dan mata memandang jalan adalah orang-orang yang kecewa dengan diri mereka dan kehidupan. Mereka bersikap negatif kepada kehidupan. Orang-orang ini tidak memaksa orang-orang lain supaya mengikut cara-caranya. Mereka membiarkan sahaja orang lain berbuat apa yang mereka suka. Mereka bergantung kepada orang-orang yang lebih kuat dan menjadi beban kepada orang lain. Orang-orang yang berjalan tegak memandang ke hadapan adalah orang-orang yang jelas matlamat hidup mereka. Mereka akan berusaha dengan tabah demi mencapai cita-cita dan akan menumpukan semua perhatiannya ke situ. Apa-apa yang mengganggu cita-citanya akan ditolak ke tepi. Orang-orang yang memandu keretanya dengan sangat perlahan dan berhati-hati ialah orang-orang yang tidak pandai menguasai keadaan. Mereka takut mencuba perkara-perkara baru dan mereka lebih suka menurut serta membiarkan orang lain menguasai keadaan. Mereka kurang inisiatif dan takut kepada kegagalan, oleh itu mereka takut mengambil risiko. Mereka tidak suka membuat keputusan dan selalu berasa serba tidak pasti. Orang-orang yang nampaknya tenang di luar, tetapi sebaik-baik masuk ke dalam kereta tiba-tiba mereka menjadi pelumba kereta, mencelah sana, mencelah sini, laju dan sentiasa hendak memotong kenderaan-kenderaan di depannya, mudah hilang sabar kalau ada kereta perlahan, ialah orang-orang yang agresif. Mereka tidak suka kepada peraturan yang membatasi kebebasannya. Mereka tidak suka bertolak-ansur dengan orang lain. Orang-orang yang suka menekan hon kereta adalah orang-orang yang cepat hilang sabar. Apabila berada di luar kereta, mereka suka bercakap dengan suara tinggi bagi mendapatkan apa yang dia mahu. Orang-orang yang patuh kepada peraturan-peraturan jalan raya adalah orang-orang yang yakin kepada dirinya sendiri. Mereka juga tahu nilai diri mereka, oleh itu bagi mereka, jalan raya bukan tempat membuktikan siapa diri mereka. Sebaliknya, kereta dan jalan raya hanyalah tempat untuk pergi ke sesuatu destinasi, itu sahaja. Mereka juga percaya segala yang dilakukan perlu sederhana. Mereka tidak cepat marah dan mereka pandai menguasai keadaan. Orang-orang ini boleh dijadikan tempat bergantung. Orang-orang yang selalu datang lambat dan tidak cuba menelefon bagi memberitahu dia lambat, adalah orang-orang yang kurang perasaan tanggungjawabnya. Mereka tidak mengutamakan perasaan orang lain. Orang-orang yang apabila berbual, mereka yang lebih banyak bercakap adalah orang-orang yang berminat kepada dirinya sendiri. Orang-orang yang dengan mudah sahaja memberitahu kita dia suka kepada orang-orang seperti kita adalah orang-orang yang kata-katanya penuh kepalsuan. Orang-orang yang suka mengkritik kita adalah orang-orang yang suka menguasai orang-orang lain di sekelilingnya. Orang-orang yang suka bercerita dia mempunyai banyak masalah dan dia juga mempunyai pelbagai masalah dengan adik-beradik, kaum keluarga dan rakan-rakannya membayangkan dirinya menjadi punca kebanyakan daripada masalah yang dihadapinya. Orang-orang seperti ini mahukan orang-orang lain patuh kepada cara-caranya dan mereka tidak mahu mengalah kepada cara-cara orang lain. Salah satu cara membaca peribadi seseorang ialah dengan melihat binatang belaannya. Sebagai contoh, orang-orang yang romantik dan suka disentuh dan suka menyentuh, mereka membela binatang-binatang yang boleh dipeluk dan dielus-elus. Orang-orang yang suka menguasai orang-orang lain pula, mereka membela binatang-binatang yang mudah dilatih dan boleh dikurung.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



ADA KALANYA kita tidak suka disentuh dan tidak mahu menyentuh orang lain. Kajian menunjukkan orang-orang yang takut berkomunikasi secara lisan juga tidak suka berkomunikasi menggunakan sentuhan. Orang-orang yang tidak suka mendedahkan dirinya juga tidak suka disentuh dan mereka tidak menyentuh orang lain. Didapati juga perempuan lebih banyak memulakan sentuhan daripada lelaki, dan mereka juga lebih banyak menerima sentuhan. Sentuhan mempunyai lima fungsi: 1. Menyampaikan emosi Kita menyentuh seseorang itu bagi menyampaikan emosi positif, seperti sokongan, penghargaan, cinta, kasih sayang dan penerimaan. Kajian menunjukkan perbuatan ini hanya dilakukan oleh kalangan mereka yang mempunyai hubungan rapat. Didapati pasangan-pasangan banyak menggunakan sentuhan pada fasa pertengahan hubungan mereka. Mereka tidak banyak bersentuhan pada peringkat awal ataupun selepas hubungan mereka mapan. 2. Mengawal Kita juga menggunakan sentuhan bagi mengawal kelakuan orang lain, termasuk sikap dan perasaan mereka. Kita sentuh mereka apabila kita mahu mereka patuh kepada kita apabila kita berkata kepada orang itu, "Ke tepi sedikit" atau "Cepat!" atau "Duduk sini." 3. Menunjukkan status Kita juga menyentuh orang bagi memberitahu kepadanya kedudukan dan status kita yang lebih tinggi daripadanya. Orang bawah tidak boleh menyentuh orang atas. Lelaki banyak menyentuh perempuan dengan maksud ini. Tetapi apabila perempuan menyentuh lelaki, ia ditafsirkan oleh lelaki sebagai minat seksual, walaupun bukan. 4. Sentuhan sopan Ada satu lagi jenis sentuhan yang dipanggil sentuhan sopan-santun. Ia kita lakukan dalam keadaan seperti baru bertemu atau akan berpisah. Sebagai contoh kita bersalam atau berpelukan. 5. Sentuhan tugas Satu lagi jenis sentuhan ialah sentuhan tugas. Ia kita lakukan kerana kehendak tugas yang dijalankan. Sebagai contoh, kita sentuh dahi orang itu kerana hendak merasa suhu badannya. Sentuhan jenis ini sentiasa dianggap baik oleh yang menerimanya.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



KOMUNIKASI mata adalah jenis bahasa badan yang paling penting. Ia mempunyai pelbagai fungsi dan fungsi-fungsi itu penting-penting belaka. 1. Mengawal tindak balas Kita menggunakan sentuhan mata bagi mengawal tindak balas. Kita pandang mata orang itu untuk bertanya "Apa pendapat awak?" atau "Apa kata awak?" Apabila orang bercakap kepada kita, kita pandang matanya bagi memberitahu dia kita mendengar apa yang dikatakannya. Kajian menunjukkan apabila berbual-bual, pendengar lebih banyak memandang mata penutur daripada sebaliknya. 2. Menjaga minat dan perhatian Kita melakukan perbuatan ini bagi menjaga minat dan perhatian. Apabila kita bercakap kepada dua ataupun tiga orang serentak, kita akan pandang mata mereka secara bergilir-gilir supaya mereka kekal memberi tumpuan kepada apa yang kita perkatakan. 3. Memberi giliran bercakap Kita lakukan perbuatan ini bagi memberitahu orang itu, kini dia boleh bercakap. Biasanya kita lakukan ini apabila kita akan habis bercakap tidak lama lagi dan kita hendak memberitahu orang itu, sekarang sudah sampai giliran dia pula bercakap. 4. Gambaran hubungan Kita juga memandang mata orang itu bagi menggambarkan apa jenis perhubungan yang ada antara kita dengannya. Apabila kita menyukai orang itu, kita banyak memandang matanya. Menurut kajian, kalau kita memandang dia lebih daripada 60 peratus, itu tandanya kita lebih berminat kepada orangnya daripada apa yang dikatakannya. 5. Menggambarkan status Biasanya, kita lebih banyak memandangkan mata orang itu, kalau kita yang mendengar. Tetapi kalau kita hendak menguasai orang itu, perbuatan ini kita terbalikkan. Kita akan banyak memandang dia semasa kita bercakap dan kurang memandang dia, sewaktu mendengar. Dengan cara itu kita memberitahu dia status kita lebih tinggi. Satu cara lain yang kita yang kita gunakan bagi menyatakan status kita lebih tinggi ialah dengan menurunkan kening mata kita. 6. Menyatakan emosi Dengan menggunakan pandangan mata, kita boleh juga menyampaikan perasaan benci, tidak peduli dan berahi. 7. Merapatkan jarak psikologi Kita juga menggunakan pandangan mata bagi merapatkan jarak psikologi apabila antara kita dan orang itu ada jarak ruang. Sebagai contoh, dalam majlis kita duduk berasingan dengan orang yang kita cintai, dengan cara memandang matanya, secara psikologi kita berasa dekat padanya. Kajian menunjukkan perempuan lebih banyak membuat sentuhan mata dibandingkan dengan lelaki. Mereka lakukan ini sama ada mereka bercakap sesama perempuan ataupun semasa bercakap dengan lelaki. Di samping itu perempuan lebih banyak melakukan perbuatan-perbuatan intim dibandingkan dengan lelaki. Sebagai contoh, mereka lebih banyak melakukan pendedahan diri dan lebih banyak menggunakan bahasa kasih sayang. Bilakah masanya kita tidak mahu melakukan komunikasi mata? Pertama, apabila kita tidak mahu mencerobohi privasi orang lain, umpamanya apabila kita nampak orang lain bertengkar ataupun berasmara. Kedua, apabila kita hendak memberitahu orang itu kita tidak ada minat melihat sesuatu perkara. Yang anehnya, kalau kita tidak berminat hendak mendengar apa yang kita dengar, kita juga menutup mata kita atau memalingkan muka kita daripada sumber bunyi itu. Sebagai contoh, ini kita lakukan apabila mendengar muzik yang kita benci. Ada kalanya kita sengaja menutup mata kerana tidak mahu gangguan visual dan kita hendak lebih menghayati apa yang kita sedang alami. Sebagai contoh, kita menutup mata semasa mendengar muzik kegemaran kita. Kajian menunjukkan apabila kita meminati apa yang kita lihat, anak mata kita akan membesar. Kajian juga menunjukkan kita anggap orang yang anak matanya besar sebagai lebih menarik daripada yang tidak. Barangkali, ini kerana kita tertarik kepada tanda-tanda orang itu tertarik kepada kita. Pada amnya ada empat panduan berkenaan sentuhan mata: 1. Kalau ada orang di sebelah sana memandang tepat kepada kita, orang itu mengajak kita berinteraksi dengannya. Kalau kita membalas pandangannya, itu bermaksud kita terima ajakannya. 2. Pandangan yang tepat dan berterus-terang biasanya diterima dengan baik. 3. Kalau kita sedang berucap dan kita menyentuh hadiran dengan pandangan, mereka akan mendapat kesan kita seorang yang berhemah tinggi, ikhlas dan jujur. 4. Dalam perbualan normal, kita membuat sentuhan mata yang pendek-pendek dan sekali sekala. Kalau cara itu diganti dengan sentuhan mata yang lama, itu tandanya, kita lebih berminat kepada orang itu, bukan kepada apa yang dibuatnya. Mengikut teori program meurolinguistik, daripada gerak-geri mata seseorang, kita boleh tahu apa yang difikirkan-nya. Mengikut pakar-pakar teori ini: 1. Mata yang memandang ke kanan ke atas menunjukkan kita sedang cuba menggambarkan kejadian yang kita belum pernah lihat. 2. Mata yang memandang ke kiri dan ke kanan menunjukkan kita sedang cuba menggambarkan kejadian yang pernah kita lihat. 3. Mata yang di tengah-tengah tetapi menjeling ke kanan menunjukkan kita sedang cuba membayangkan bunyi tidak pernah kita dengar. 4. Mata yang di tengah-tengah tetapi menjeling ke kiri menunjukkan kita sedang cuba membayangkan bunyi yang pernah kita dengar. 5. Mata yang memandang ke kiri dan ke bawah menunjukkan orang itu sedang bercakap dengan dirinya sendiri. 6. Mata yang memandang ke kanan dan ke bawah menunjukkan orang itu sedang merasakan pelbagai sensasi seperti bau, perisa, sentuhan dan perasaan. 7. Mata yang berada di tengah tetapi tidak terfokus menunjukkan orang itu sedang cuba melihat gambar-gambar dalam otaknya. Salah satu teori mengatakan tiap-tiap orang mempunyai kegemaran sendiri berkenaan saluran maklumat yang mereka sukai. Ada orang yang bersifat visual iaitu mereka suka menerima dan menghantarkan maklumat secara yang boleh dipandang mata. Ada orang yang bersifat auditori iaitu mereka suka menggunakan saluran bunyi yang boleh didengar. Ada pula orang yang bersifat kinestetik iaitu mereka suka saluran deria yang menggunakan sentuhan, bau, perisa dan perasaan. Orang-orang yang visual akan menunjukkan mata yang memandang ke atas dan mata yang tidak terfokus. Orang-orang yang auditori akan menunjukkan mata yang bergerak ke kiri ke kanan, atau ke kiri dan ke bawah. Orang-orang yang kinestetik menunjukkan mata selalu ke kanan. Kajian juga menunjukkan personaliti seseorang ada kaitan dengan tabiat sentuhan mata. Orang-orang yang mesra, dan pemurah dan suka menolong orang didapati banyak membuat sentuhan mata. Sentuhan mata yang kerap pula menunjukkan minat dan kasih sayang. Pelbagai kajian melaporkan, ketika berbual, perempuan lebih banyak melakukan sentuhan mata daripada lelaki, lebih-lebih lagi apabila perempuan bercakap sesama perempuan. Tempoh sentuhan mata mereka juga lebih panjang daripada yang dilakukan oleh lelaki. Sewaktu bercakap, perempuan lebih banyak membuat sentuhan mata, begitu juga sewaktu mereka mendengar, sewaktu mereka diam, sama ada dalam perbualan rasmi mahupun perbualan tidak rasmi. Sentuhan mata ialah ciri perilaku golongan yang memerlukan persetujuan pihak lain, iaitu perilaku orang-orang berstatus rendah. Daripada suatu sudut, barangkali wanita lebih banyak melakukan sentuhan mata disebabkan oleh kenyataan perempuan lebih banyak melakukan kegiatan mendengar berbanding lelaki yang lebih banyak melakukan kegiatan bercakap. Adalah didapati, baik di kalangan lelaki mahupun perempuan, sentuhan mata lebih banyak dilakukan dalam kegiatan mendengar daripada bercakap. Meskipun wanita lebih banyak membuat sentuhan mata, mereka juga lebih banyak melarikan pandangan apabila bertembung mata. Dalam lain perkataan, walaupun perempuan lebih banyak memandang orang lain, mereka juga lebih banyak melarikan pandangan apabila ditenung. Lelaki pula didapati lebih banyak membuat tenungan, berbanding perempuan. Perbuatan merenung dan melarikan mata selaras dengan hierarki status. Kajian mendapati orang yang berstatus tinggi membuat lebih banyak tenungan kepada orang yang berstatus rendah. Orang yang berstatus tinggi boleh memilih sama ada mahu memandang atau tidak mahu memandang orang berstatus rendah sewaktu bercakap mahupun waktu mendengar. Kajian menunjukkan orang yang berstatus rendah lebih banyak memandang kepada orang yang berstatus tinggi, daripada sebaliknya. Adalah didapati orang lebih banyak memandang sewaktu mereka mendengar daripada sewaktu mereka bercakap. Orang yang berstatus rendah lebih banyak memandang apabila mendengar orang yang berstatus tinggi bercakap kepadanya dan mereka kurang memandang apabila mereka sendiri sedang bercakap kepada orang yang statusnya lebih tinggi. Namun, didapati orang yang berstatus tinggi tidak pula lebih banyak memandang, ataupun kurang, sama ada waktu mereka mendengar ataupun sedang bercakap kepada orang yang berstatus rendah. Tabiat lelaki yang tidak gemar memandang muka perempuan semasa perempuan itu sedang bercakap kepadanya, atau sewaktu lelaki sedang mendengar perempuan bercakap adalah menyakiti hati perempuan. Tabiat ini perlu diperbaiki. Bagi mengambil hati perempuan, lelaki perlu belajar memandang wajah perempuan sewaktu mendengar perempuan itu bercakap dan sewaktu lelaki sendiri sedang bercakap kepada perempuan. Orang yang berdusta juga tidak mahu menentang mata kita, dia akan berusaha melarikan matanya ke tempat-tempat lain. Kalau dia duduk di meja makan, dia mungkin bercakap dengan mata memandang cawan kopinya. Kalau di meja kerja, dia memandang fail-fail dan kertas yang ada di depannya. Kalau di taman bunga, dia memandang langit, pokok atau orang-orang lain yang ada di situ sambil dia bercakap-cakap. Mata orang yang sedang berdusta banyak berkelip-kelip. Dan kelipannya lebih laju daripada biasa.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



PENUTUR lelaki dan wanita bercakap menggunakan darjah kelangsingan suara yang jauh berbeza, iaitu melebihi pengaruh perbezaan anatomi. Perbezaan pada kelangsingan diperlihatkan sejak kanak-kanak lagi, iaitu sebelum suara remaja lelaki berubah berikutan perubahan akil baligh. Perbezaan yang sangat ketara itu adalah pengaruh peranan sosial yang menghendaki supaya wanita dan lelaki membezakan suara mereka. Masyarakat menghendaki supaya lelaki bercakap menggunakan kelangsingan rendah manakala wanita bercakap menggunakan kelangsingan tinggi. Lelaki juga bercakap dengan darjah kekuatan yang lebih tinggi daripada perempuan. Suara mereka dapat didengar pada jarak yang lebih jauh dan suara lelaki lebih bertenaga daripada suara wanita. Kesan tekanan itu begitu kuat sehingga penyimpangan daripada pola itu mengakibatkan kesan serius terhadap tanggapan orang terhadap personaliti penutur yang terlibat. Sebagai contoh, lelaki yang bercakap dengan kelangsingan tinggi seperti wanita akan diejek dan dicemuh di belakangnya dan pendapat mereka tidak didengar dengan serius dalam perbincangan. Suatu hal yang menarik ialah para pembaca berita wanita membaca berita menggunakan kelangsingan rendah, iaitu hampir sama rendahnya dengan kelangsingan suara lelaki. Oleh kerana kelangsingan rendah dikaitkan dengan lelaki dan lelaki memiliki autoriti yang lebih tinggi di dalam masyarakat, maka apabila wanita menggunakan suara dengan kelangsingan rendah, suara mereka akan dianggap memiliki autoriti yang lebih. Kajian menunjukkan wanita lebih banyak menggunakan kepelbagaian pola intonasi dan lebih banyak kontrasnya berbanding lelaki. Dalam erti kata, wanita bercakap dengan banyak beralun-alun, manakala lelaki bercakap dengan suara mendatar. Kepelbagaian intonasi dan kontras pada suara wanita itu dikaitkan dengan pola intonasi percakapan yang tidak pasti, percakapan gaya manja, gaya mengada-ada, gaya tertanya-tanya, serta perasaan serba tidak berdaya. Pola-pola itu menghakis autoriti pada suara seseorang wanita apabila dia bercakap. Kepelbagaian intonasi itu juga dikaitkan dengan pameran emosi. Kajian mendapati, semakin seseorang itu emosional, semakin banyak variasi intonasi pada suaranya. Itulah sebabnya percakapan wanita selalu dianggap percakapan yang emosional dan oleh yang demikian dianggap ia tidak objektif. Dalam masyarakat kita, perbuatan mempamerkan emosi dianggap ciri-ciri kelemahan peribadi orang yang bercakap. Kajian juga mendapati terdapat kaitan antara pameran emosi dan status sosial yang rendah. Ada semacam tanggapan pameran emosi adalah ciri gaya bercakap golongan berstatus rendah. Dalam erti kata lain, individu-individu yang statusnya tinggi tidak banyak mempamerkan emosi mereka apabila bercakap. Supaya wanita mendapat layanan serius apabila bercakap dengan lelaki, mereka perlu menurunkan kelangsingan suaranya dan mengurangkan perbuatan yang mendedahkan emosi mereka. Mereka juga perlu mengurangi kepelbagaian intonasi dan kontras pada suara mereka.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



MUKA kita banyak 'bercakap' terutama bercakap mengenai perasaan kita. Dengan menggunakan muka sahaja, tanpa bercakap walau sepatah pun, kita sudah boleh memberitahu apa perasaan yang kita rasa. Bagi menggambarkan sedalam mana perasaan yang kita rasai, muka kita dan gerak-geri badan kita akan sama-sama menyatakannya. Kajian oleh pakar-pakar psikologi mendapati muka kita boleh menyatakan perasaan bahagia, seronok, tersepit, takut, marah, sedih, benci, meluat, minat hairan dan tawakal. Budaya kita mempunyai peraturan yang memberitahu bila masanya kita boleh merasakan sesuatu dan bila masanya kita tidak boleh merasai perasaan yang serupa. Sebagai contoh, kita tidak dibenarkan menunjukkan rasa gembira apabila ada orang lain yang sedang berasa duka. Wajah kita boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu (1) dahi dan kening, (2) mata dan (3) pelupuknya serta dari batang hidung ke bahagian bawah muka. Bagi membaca perasaan, kita boleh lihat gerak-geri yang berlaku pada bahagian-bahagian yang berbeza itu. Kajian mendapat wanita lebih mahir membaca komunikasi muka daripada lelaki. Kita semua belajar mengawal komunikasi muka. Ada empat jenis perbuatan yang mungkin kita lakukan dengan menggunakan muka kita: 1. Melebih-lebihkan ekspresi Kita melebih-lebihkan komunikasi wajah kita apabila kita hendak menunjukkan perasaan kita dengan berlebih-lebihan. Sebagai contoh kita melakukan perbuatan ini apabila hendak menunjukkan kita seronok menerima hadiah yang tidak diduga. 2. Mengurangkan ekspresi Kita mengurangkan gerak-geri pada wajah kita kerana tidak mahu menunjukkan semua perasaan kita. Sebagai contoh, kalau ada orang lain yang tidak dapat hadiah, jadi bagi menjaga hatinya kita lakukan perbuatan ini. 3. Menghapuskan ekspresi Kita menghapuskan gerak-geri pada wajah supaya kelihatan seolah-olah kita tidak berasa apa-apa. Sebagai contoh, kita pura-pura tidak berasa sedih atau risau di depan orang lain kerana tidak mahu orang lain ikut sedih atau risau. 4. Menutup ekspresi Kita menutup gerak-geri pada wajah yang sepatutnya tidak kita tutup dengan menggunakan gerak-geri lain kerana kita tidak mahu orang tahu kita sedang merasakan perasaan itu. Jadi, sebagai contoh kita menutup rasa kecewa menggunakan gerak-geri gembira.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



RUANG memainkan peranan penting dalam komunikasi. Ada empat jenis jarak ruang dan keempat-empat jenis itu selaras dengan jenis-jenis perhubungan iaitu perhubungan intim, peribadi, sosial dan awam. 1. Jarak intim Jarak ini ialah di antara sentuhan sebenar hingga 18 inci. Dalam jarak ini kita boleh memandang, menyentuh, mendengar dan menghidu bau orang itu. Malah kita dapat merasa nafasnya. Jarak ini kita gunakan bagi melakukan seks, melindungi dan menenangkan orang itu. Jarak ini tidak membenar-kan orang yang tidak kita kenali masuk ke dalamnya. Kalau mereka masuk juga, seperti di dalam bas yang sesak, kita tidak mahu melihat orang itu. Sebaliknya mata kita akan terpaku memandang benda-benda lain yang jauh. Dalam jarak ini, bahasa badan lebih berfungsi daripada kata-kata. Kalau ada percakapan, biasanya isi percakapan itu adalah rahsia yang sangat dirahsiakan. Suara digunakan ialah bisikan. 2. Jarak peribadi Jarak ini adalah antara 18 inci dan 4 kaki di sekeliling kita. Jarak ini kita bawa ke mana-mana kita pergi. Orang lain hanya boleh menyentuh kita dari jauh sahaja iaitu dengan menghulurkan tangan mereka. Dalam jarak ini topik yang dipercakapkan ialah hal-hal peribadi. Orang-orang yang kita benarkan masuk ke dalam jarak ini ialah sahabat-sahabat dan adik beradik. Suara yang kita gunakan ialah suara rendah. 3. Jarak sosial Jarak ini adalah antara 4 kaki dan 12 kaki. Ini kita gunakan dalam majlis-majlis sosial. Ia adalah jarak yang rasmi dan kita gunakan bagi tujuan-tujuan rasmi. Dalam jarak ini topik-topik yang dibincangkan adalah topik-topik bukan peribadi. Ia boleh didengar oleh orang-orang lain. Suara yang kita gunakan adalah suara penuh. Jarak ini sesuai bagi perbincangan rasmi di dalam pejabat. 4. Jarak am Jarak ini adalah antara 12 kaki hingga 25 kaki. Ini adalah jarak yang digunakan oleh tokoh-tokoh awam. Jarak ini juga digunakan di dalam majlis-majlis ucapan rasmi. Suara yang digunakan adalah suara kuat. Jarak yang kita gunakan dipengaruhi oleh beberapa faktor: a. Jantina. Perempuan duduk dan berdiri lebih dekat sesama mereka dibandingkan lelaki dengan lelaki. Lelaki atau perempuan akan pergi berjumpa perempuan lebih dekat daripada apabila mereka berjumpa lelaki. b. Usia. Jarak bertambah luas apabila usia bertambah tua. Jarak antara orang-orang yang sebaya lebih dekat daripada dengan orang-orang yang lebih tua atau lebih muda. c. Personaliti. Orang-orang yang introvert dan orang-orang yang kurang tenang jiwanya menggunakan jarak yang lebih jauh daripada orang-orang yang extrovert. d. Kenal. Orang-orang yang kenal satu sama lain menggunakan jarak yang lebih dekat antara satu sama lain. e. Suka. Kita lebih suka berada dekat dengan orang yang kita sukai. f. Status. Makin besar jurang status seseorang, semakin jauh jarak yang digunakan. g. Rasmi. Semakin rasmi situasi itu semakin jauh jarak yang digunakan. h. Tujuan. Kita menggunakan jarak dekat apabila tujuan interaksi kita ialah untuk bekerjasama. Apabila tujuan interaksi itu ialah untuk bersaing kita akan menggunakan jarak yang lebih jauh. i. Ruang. Semakin besar ruang yang ada, semakin dekat jarak yang digunakan.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



YANG manakah yang lebih dapat kita percayai: Apa yang diucapkan oleh mulut orang itu ataupun apa yang diucapkan oleh badannya? Jawabnya, apa yang diucapkan oleh badan adalah lebih boleh dipercayai. Oleh yang demikian, kita hendaklah menyemak apa yang diucapkan oleh seseorang dengan membandingkan apa yang diucapkannya itu dengan bahasa badannya. Adakah bahasa badannya mengesahkan apa yang mulutnya katakannya ataupun sebaliknya. Dalam erti kata yang lain, jika mulutnya berkata, "Saya tidak bohong." Cuba pastikan adakah badannya juga menunjukkan dia berkata benar? Mula-mula memang sukar berlatih membaca bahasa badan seseorang secara objektif. Ia memerlukan latihan tiap-tiap hari. Caranya ialah dengan berlatih membaca unsur-unsur bahasa badan dalam bentuk gugusan. Kemudian berlatih pula membaca keselarian antara bahasa lisan dengan bahasa badan. Sebagai contoh, apabila kita duduk dan berbual-bual dengan seseorang, perhatikan kedudukan tubuh badannya. Perhatikan kedudukan tangannya, kakinya, gerak-geri kepalanya dan jarak antara dia dan kita. Perhatikan cara dia duduk sewaktu kita mula-mula bercakap dengannya dan perubahan yang berlaku selanjutnya. Perhatikan juga senyumannya. Sebagai contoh, perhatikan adakah dia melindungi mulut dengan tangannya sewaktu bercakap. Pakar-pakar bidang ini bersetuju perbuatan melindungi mulut dengan tangan menunjukkan orang itu tidak meyakini apa yang sedang dipercakapkannya. Dia mungkin berdusta, memutarbelitkan perkara, ragu, atau tidak percaya kepada apa yang dia sendiri katakan. Satu lagi contoh ialah unsur berpeluk tubuh. Jika kita melihat orang yang kita layan bercakap memeluk tubuhnya, dia cenderung tidak akan menerima apa-apa yang kita perkatakan. Ini kerana, berpeluk tubuh menandakan dia bersikap defensif terhadap apa yang kita perkatakan. Adalah sukar menyembunyikan apa yang ada dalam hati dan fikiran kita. Perbuatan berpeluk tubuh adalah perbuatan yang kerap dapat kita lihat. Unsur ini paling mudah dilihat dan difahami. Perbuatan begini juga mudah menjangkit kepada orang lain. Jikalau kita berpeluk tubuh, orang yang kita layan bercakap mudah terpengaruh dan ikut berpeluk tubuh seperti kita. Apabila orang yang sedang bercakap berpeluk tubuh, dia tidak akan mengubah pendapatnya. Sebaik-baik sahaja kita melihat dia memeluk tubuhnya, kita perlu memikirkan semula kesesuaian perkara yang kita perkatakan dan cara kita bercakap. Kita memeluk tubuh apabila orang yang kita layan bercakap melakukan perkara-perkara berikut pada masa yang tidak sesuai; memaksa kita, meminta sesuatu yang tidak kita setujui ataupun mengemukakan cadangan yang tidak dapat kita terima. 1. Defensif Apabila semasa kita sedang bercakap, rakan bual kita bersandar ke belakang seolah-olah cuba menjauhkan dirinya daripada kita, maka bahasa badannya memberi maklumat negatif kepada kita. Dia mungkin bosan, menyampah, ragu ataupun dia mungkin memandang rendah kepada diri kita dan isi percakapan kita. Bagi mengetahui apa emosi yang dirasai ialah dengan membaca ciri-ciri lain pada bahasa badannya. Sebagai contoh, cuba lihat adakah dia mengerengkan badannya, sebentar ke kiri dan sebentar ke kanan, kalau ya, itu mungkin menandakan dia berasa ragu dan terancam oleh cara-cara kita bercakap. Jikalau badannya banyak bergerak-gerak, percakapan kita mungkin membuat dia berasa resah. Kalau dia diam kaku, kita mungkin membuat dia berasa tegang. Jikalau matanya tidak mahu langsung menyentuh mata kita, dia mungkin sedang berusaha menyembunyikan apa-apa yang ada dalam fikiran dan dalam hatinya. Dia akan memandang orang-orang dan benda-benda yang ada di sekitarnya. Dia juga menggaru-garu telinganya. Makin kuat dia menggaru-garu ataupun menarik cuping telinganya, maka semakin kuat emosi negatifnya terhadap kita. Orang yang berasa tegang atau marah akan menunjukkan rupa yang tegang. Kulit muka pada bahagian pipi, rahang dan leher mereka menjadi tegang. Orang yang berminat mendengar perkara-perkara yang kita ucapkan akan mendengar kita dengan kepala yang teleng sedikit, dengan kaki dan tangan terbuka dan kedua-dua tapak kaki terletak elok di lantai. Pergerakan tangan ialah antara bahasa badan yang paling mudah dilihat dan dibaca. Ada beribu-ribu pola pergerakan tangan. Lihat sahaja di mana orang yang kita layan bercakap meletakkan tangannya. Jikalau dia meletakkan lengannya ke belakang, seperti kalau kita bercekak pinggang, dia mungkin hendak mengundurkan dirinya daripada kita, ataupun akan bertindak secara defensif. Jikalau dia bercakap secara jujur dan dari lubuk hatinya, dia akan menggunakan pergerakan tangan yang banyak. Pergerakan tangan yang relak dan terbuka adalah petunjuk positif. Tangan yang meraba-raba tubuh badan sendiri seperti dagu, telinga, hidung, lengan dan pakaian menunjukkan rasa tegang. Jari-jari yang tertutup pula adalah petunjuk negatif. Banyak orang berasa lega apabila dapat menyilangkan kaki. Mereka berasa lega kerana perbuatan menyilangkan kaki adalah selaras dengan apa yang sedang difikirkan dan dirasakan. Kaki yang bersilang menunjukkan ada sesuatu yang dia tidak dapat terima dalam percakapan yang didengarnya. Apabila seseorang tidak dapat menerima apa yang kita kemukakan, dia akan memeluk tubuhnya meskipun mulutnya tidak berkata apa-apa. Selagi dia masih memeluk tubuh selagi itu sukar baginya untuk mengalah, bersetuju atau bekerjasama dengan kita. Berpeluk tubuh menunjukkan dia berasa seperti berikut; berbeza pendapat, serba salah dan tidak puas hati. Berpeluk tubuh mempunyai fungsi yang serupa dengan bersilang kaki. Kedua-duanya adalah bahasa badan yang negatif. Jikalau seseorang melakukan kedua-duanya sekali, itu menunjukkan dia lebih defensif terhadap kita. Apabila konflik antara kita semakin besar, kita semakin kuat memeluk tubuh, dan silang kaki kita menjadi lebih rapat. Begitu juga jari-jari kita semakin tegang dan tertutup. Ini ditambah lagi kalau badan kita condong daripadanya. 2. Menolak Orang-orang yang tidak setuju, benci dan tidak yakin dengan cakap-cakap kita akan melakukan ciri-ciri bahasa badan berikut; membuka cermin mata, menggeleng-gelengkan kepala, menuding, bibir berkertap, mengecilkan mata, dagu ke depan, kaki bersilang, peluk tubuh, dahi berkerut, jari-jarinya memegang sesuatu dengan kuat, badan condong menjauhkan daripada kita dan meraba-raba kolar baju. Ciri-ciri ini hendaklah kita hindari apabila bercakap dengan sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Walaupun mulut kita tidak berkata benci, tetapi bahasa badan kita berkata benci dengan kuatnya. 3. Siap sedia Salah satu sikap hidup ialah siap sedia. Ada orang yang menyamakan antara sikap siap sedia dengan sikap agresif. Kedua-duanya adalah berbeza. Sikap siap sedia dimiliki oleh orang-orang yang mempunyai objektif dan cita-cita jelas. Sikap agresif pula dimiliki oleh orang-orang yang tidak takut pada konflik. Orang-orang yang bersikap siap sedia sibuk mengutip bermacam-macam pengetahuan dan maklumat. Tujuan mereka adalah untuk melaksanakan dan mencapai rancangan-rancangan mereka. Dia memiliki nafsu hidup yang tinggi dan didorong oleh hasrat kejayaan. Ciri-ciri bahasa badan sikap siap sedia ialah cekak pinggang. Memang benar, cekak pinggang juga digunakan oleh orang yang bersikap agresif. Bezanya ialah, orang yang bersikap siap sedia akan bercekak pinggang dalam keadaan tidak sabar untuk melaksanakan sesuatu tujuan tugas. Orang yang agresif bercekak pinggang dalam keadaan konflik. Orang yang bersiap sedia tidak hanya bercekak pinggang. Dia juga akan menarik seluarnya ke atas. Kakinya terbuka luas. Jikalau dia duduk, dia akan meletakkan tangan di pahanya dan badan condong ke depan, seolah-olah tidak sabar untuk bangun dan melakukan sesuatu. Orang yang selalu bercekak pinggang ialah orang yang terangsang oleh persaingan. Para usahawan adalah termasuk antara mereka yang suka bercekak pinggang. Begitu juga ahli-ahli sukan dan ahli-ahli politik. Orang yang tidak sabar untuk melakukan sesuatu akan duduk di hujung kerusi. Jikalau kita berbincang dengannya, apabila dia duduk di hujung kerusi dia sudah bersedia untuk mengalah, bekerjasama, bersefahaman, menamatkan perbualan, menolak atau menerima cadangan kita. Duduk di tepi kerusi juga membayangkan sikap bekerjasama dan bertolak ansur. Bahasa badan ini biasanya disertai oleh ciri-ciri bahasa badan positif lain seperti kaki dan tangan terbuka dan badan yang condong ke depan. 4. Ragu Dalam hatinya orang ini mungkin meragui kata-kata kita kerana dia syak kita berdusta. Atau, sebaliknya juga benar, dia yang berdusta pada kita. Apabila seseorang berasa serba tidak pasti, takut membuat keputusan dan hendak menunda sesuatu, dia akan menunjukkan ciri-ciri bahasa badan seperti berikut; memicit hidung sambil menutup mata, menarik seluar atau bajunya waktu duduk, mundar-mandir, menggeleng kepala, jari menyentuh bibir, mengelap cermin mata, menggigit bibir, menggaru kepala, anak mata lari ke kiri ke kanan, menarik leher, lidah menggosok-gosok pipi di dalam mulut, mata memandang ke bawah dan matanya terkebil-kebil. Dalam keadaan begini, dia memerlukan lebih banyak waktu untuk terus berfikir. Jangan tekan dia supaya membuat keputusan. 5. Minat Periksa bahasa badan kita. Adakah bahasa badan kita menunjukkan kita berminat kepada orang itu, atau sebaliknya. Perkara pertama yang dia perasan mengenai kita ialah senyuman kita. Orang dapat melihat dengan jelas antara senyuman yang jujur dan senyuman yang palsu. Senyuman yang jujur merekah berkali-kali dan tepat pada masanya. Senyuman yang palsu sama ada meleret panjang, atau cepat hilang. Kita gunakan senyuman palsu bagi menutup rasa marah, benci atau resah. Ciri utama senyuman palsu ialah bibir kita tidak terbuka dan gigi kita tersorok. Semak apakah mata kita mengatakan kita bersikap positif, konfiden, berminat, berani, bosan, menyampah, benci atau tidak senang. Apakah muka kita berkerut, ter-senyum, masam atau pahit. Muka ialah harta kita yang paling berharga dalam perhubungan. Muka kita biasanya tidak pandai berdusta. Orang boleh membaca apa yang ada dalam fikiran kita hanya dengan membaca muka kita. Suara kita juga tidak berdusta. Nada suara memberitahu apa yang hendak kita sembunyikan. Kita dapat menyusun kata-kata supaya berdusta, tetapi mata, air muka dan suara kita tidak mahu berdusta. 6. Menimbang Orang yang sedang membuat pertimbangan akan berbuat seperti berikut; tangannya menyentuh dagu, kepalanya teleng sedikit, telunjuknya menyentuh hujung alis, mengangguk-angguk, matanya terkebil sedikit, mengurut dagu, mengangkat alis, telunjuk menyentuh mulut, dia menyepetkan matanya, mengetap bibir atas, menghalakan telinganya kepada kita dan dia mungkin menggigit pen atau tangkai cermin matanya. Perbuatan itu adalah tandanya dia sedang membuat perhitungan sama ada bersetuju dengan cadangan kita atau menolaknya. Kalau kita hendak membuktikan kita berminat dengan apa-apa yang dicakapkannya, lakukan perbuatan-perbuatan di atas. 7. Bosan Seseorang yang bosan, jemu dan tidak berminat kepada apa yang kita cakapkan, dia akan menunjukkan perbuatan-perbuatan berikut; di mana tangannya sibuk memegang itu ini, dia enggan bertentang mata, dia sibuk memandang pintu, jam, dinding dan luar tingkap, tangannya bermain-main dengan sesuatu, mengetuk meja, kakinya bergoyang-goyang, mukanya bersandar di tangan dan matanya kosong. Ramai orang yang bosan kepada kita tetapi tidak mahu berterus-terang kerana menjaga budi bahasa. Kalau kita yang berasa jemu dan bosan, jangan lakukan perkara-perkara di atas. 8. Menyembunyikan sesuatu Apabila seseorang itu menyembunyikan sesuatu dan dia tidak jujur kepada kita, mereka akan melakukan perkara-perkara berikut; hidungnya gatal oleh itu dia akan menggaru hidungnya, dia menarik anak telinganya, atau dia menggaru-garu belakang telinga, menutup mulut dengan jari, enggan bertentang mata, badannya condong menjauhi kita, memandang kita dengan sudut matanya, kakinya bersilang, berpeluk tubuh, menyembunyikan tangan dalam saku, menyembunyikan tangan di belakang badannya, menyepetkan matanya dan jari kedua-dua belah tangannya bersilang. 9. Kuasa Seseorang yang berasa dirinya lebih dominan, statusnya lebih tinggi dan dia lebih berkuasa daripada kita akan bercakap sambil diiringi oleh ciri-ciri bahasa badan seperti berikut; dia tidak cepat menjawab, bercekak pinggang, ada kalanya kedua-dua belah jari tangannya bersilang di depan mukanya, apabila kita duduk dia mungkin berdiri, berkata "Mm........ mm........" sebagai jawapan. Apabila bercakap dengan orang yang menunjukkan sikap begini, jangan lakukan bahasa badan yang serupa. Dia akan menganggap kita cuba menyaingi kuasa dan kedudukannya. 10. Mengalah Seseorang yang berasa lemah, bimbang dan resah apabila bercakap dengan kita akan menunjukkan ciri-ciri bahasa badan seperti berikut; dia meramas-ramas tangan, jari-jarinya terlipat, sekali-sekala dia menyentuh mukanya, tunduk, matanya tidak mahu menyentuh mata kita, meraba-raba tengkuk, matanya tidak berkelip-kelip, tekaknya terasa macam tersekat dan jari-jarinya tidak boleh diam. Apabila bercakap dengan orang yang berasa begini, jangan lakukan bahasa badan yang serupa dan jangan lakukan apa-apa yang boleh membuat dia berasa lebih kecil, lemah dan resah. 11. Yakin Seseorang yang berasa konfiden, jujur dan memberi sokongan kepada kita menunjukkan ciri-ciri berikut; mendedahkan pergelangan tangannya, badan condong kepada kita, bertentangan mata, kaki terbuka, tidak berpeluk tubuh, membuka butang jaket atau kotnya, tangan menyentuh dadanya, pergerakan lengan dan tangan yang spontan, kakinya terletak di lantai, mata terkebil sedikit sahaja, badan condong ke depan ke belakang dan senyum. Ciri-ciri itu menunjukkan dia seronok dan berasa relak di samping kita. Dia juga seronok dengan bahan-bahan perbualan kita. Dia bersikap mesra dan terbuka. Bagi diri kita sendiri, walau dalam apa keadaan pun, gunakan ciri-ciri di atas apabila berbual-bual dengan orang itu.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Pendahuluan Membaca adalah sebahagian daripada proses perhubungan. Ia juga adalah satu aktiviti yang melibatkan pembelajaran sistem lambang bagi menentukan sesuatu bentuk pengalaman, idea, emosi serta perkara-perkara lain yang terdapat dalam persekitaran. Tanpa penguasaan kemahiran ini, individu itu dianggap ketinggalan dalam pelbagai perkara yang berada di sekelilingnya. Dalam hal ini guru serta ibu bapa kanak-kanak ini memainkan peranan yang amat besar bagi membantu mengatasi keadaan ini. Golongan bermasalah pembelajaran yang tidak dapat membaca masih ramai. Ini menggambarkan golongan ini masih tidak mampu menimba ilmu pengetahuan, terpaksa membaca bahan bacaan yang masih susah, masih belum menguasai kemahiran-kemahiran berbentuk mekanis dan kognitif seperti melihat, mengingat, mendengar, membezakan dan menyebut bunyi huruf, suku kata, perkataan, frasa ayat dan sebagainya sewaktu membaca dan tidak mampu memperluas pemikiran dan meningkatkan daya kreatif dalam pelbagai bidang. Keadaan ini tidak sewajarnya berlaku dalam proses pendidikan pada masa sekarang. Apakah Dyslexia? Kanak-kanak dyslexia adalah mereka yang tidak dapat membaca. Gagal membaca kerana mereka tidak dapat menterjemahkan dengan betul lambang-lambang bertulis sama ada dalam huruf itu sendiri, dalam suku kata ataupun dalam perkataan-perkataan. Dyslexia berasal daripada gabungan dua perkataan Yunani iaitu dys yang bermakna kesukaran ataupun kesusahan, dan lexis yang bermakna bahasa atau pertuturan. Jika digabungkan ia membawa erti kesusahan atau kesukaran dalam bahasa. Ciri-ciri Dyslexia Keliru dengan kedudukan arah huruf ataupun pembalikan huruf. Contoh, 'b' ditulis 'd', 'g' ditulis 'p' ataupun 'n' ditulis 'u'. Oleh kerana kekeliruan itu, maka perkataan-perkataan yang ditulis pun berlainan dengan apa yang sepatutnya. Contoh, 'bayi' ditulis 'dagi','nasi' ditulis 'uasi' ataupun 'lagu ditulis 'lapu' dan sebagainya. Kekeliruan susunan huruf. Ada kalanya huruf yang berada dalam satu-satu perkataan ditulis mengikut huruf yang salah, walaupun semua huruf pada perkataan itu wujud. Contoh, 'dan' ditulis 'nad', 'pun' ditulis 'upn' ataupun 'air' ditulis 'ria'. Menambah huruf misalnya, 'main' ditulis 'maein', 'jaga' ditulis 'jagar' ataupun 'lari ditulis 'lakri'. Menggantikan huruf misalnya 'saya' ditulis 'caya', 'sayur' ditulis 'cayur' ataupun 'api' ditulis 'cpi'. Meninggalkan huruf misalnya, 'makan' ditulis 'akan', 'sambal' ditulis 'samba' ataupun 'rambut' ditulis 'ambut'. Keliru dengan bunyi huruf-huruf vokal seperti a, e, i, o, u. Oleh yang demikian ada kalanya 'epal' ditulis 'apel', 'air' ditulis 'aer' ataupun 'cukur' ditulis 'cokor'.' Menulis ejaan yang tidak bererti misalnya, 'makan' ditulis 'midan', 'kaki' ditulis 'guril' ataupun 'buku' ditulis 'jukas' Membalikkan suku kata misalnya, 'masa' ditulis 'sama', 'madu' ditulis 'duma' ataupun 'bapa' ditulis 'paba'. Tidak dapat menulis dan menyebut perkataan-perkataan yang mempunyai 3, 4 dan 5 suku kata. Misalnya, 'kenapa', 'daripada' ataupun peperiksaan'. Sukar menyalin semula nombor-nombor. Misalnya, '6' ditulis '9' ataupun '10' ditulis '01'. Kemahiran Membaca Dalam pendidikan khas, aspek bacaan paling diutamakan. Kemahiran ini ditekankan pada peringkat awal lagi bersama kemahiran lain seperti menulis dan mengira. Kebolehan membaca bukan sahaja dianggap sebagai asas utama bagi mencapai kejayaan dalam kehidupan sehari-hari, malah sistem per-sekolahan itu sendiri menganggapnya sebagai asas bagi seseorang itu terus meningkat dalam alam persekolahannya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi memahami dan menguasai kemahiran membaca, disenaraikan di bawah enam peringkat sebagai panduan ibu bapa ataupun guru melatih kanak-kanak menguasai kemahiran itu iaitu: Berkenalan dengan huruf konsonan dan vokal. Membaca dan membunyikan dua suku kata dan ada baiknya dua suku kata itu diwarnakan. Mengeja dan membaca dua suku kata terbuka. Membaca gabungan huruf konsonan-vokal-konsonan (KVK). Membaca perkataan yang sukar gabungan konsonan dan vokal. Membaca karangan mudah. Peringkat 1 Berkenalan dengan huruf konsonan Bb Cc Dd Ff Gg Hh Jj Kk Ll Mm Nn Pp Qq Rr Ss Tt Vv Ww Xx Yy Zz Berkenalan dengan huruf vokal Aa Ii Uu Ee Ee Oo Huruf vokal A sap A yam A pi Huruf vokal I kan I bu I tik Huruf vokal U lar U bi U bat Huruf vokal E mak E nam E mas Huruf vokal E kor E pal E la Huruf vokal O ren O bor O rang Peringkat 2 Baca dan bunyikan ba bi bu be be bo bapa bina buku bola batu bubu besi biru beri bisu baki bara rabu sibu kubu tuba ca ci cu ce ce co cuka cucu cuci ciku ceri curi caca ceti cuti cari cuba cini kaca laci koci baca da di du de de do dada duku dadu daki didi dodo dali daku dera debu deru duta badi kedi kuda sida ga gi gu ge ge go gula guli gigi guni guna gesa gusi guru gari gali gema geli juga tugu ragu lega ha hi hu he he ho haji huma hari hati hadi hama huda hidu haba hala hobi hawa dahi paha tahi bahu ja ji ju je je jo jari jaga jala jaja jemu jauh jaki jela jika jati jana jeli keji keju gaji taji ka ki ku ke ke ko kaki kuku kuda kera keli kasi kali koko kopi kati kasa kena jika laki saku buku la li lu le le lo lada labu lori lawa lali laku lalu lili lusa lara lupa lama dulu kala kuli bela ma mi mu me me mo madu meja mata masa maha malu muda maya maju mahu moga mami hama kami puma demi na ni nu ne ne no nuri nasi naga nona nada nusa nama nabi nafi nira nahu nini hina kini bani sini pa pi pu pe pe po pasu paku pipi peti pari pada paha puji pula popi pagi padi lupa kopi sapa rupa ra ri ru re re ro roda roti raja rabu raya reda reda rupa ragi rami ratu rela beri kari kura duri sa si su se se so sudu saku susu sari sama sasa sapu seri sara sapi seha sira gusi masa pasu tisu ta ti tu te te to tali tugu titi tari tadi tepi tiru tika tali tisu tawa tiba kita pita kota buta wa wi wu we we wo wira wali waja wawa wari wafa wahi wadi waba wazi waki wina jiwa sewa jawi lawa Peringkat 3 Eja dan baca Baju Baha baru Baha beli buku Bibi Bibi baca buku bapa Cici cari ceri Cici curi ceri Cucu Cucu curi ciku Cici Dona ada duku Duku Dona enak Dona beri duku pada Dini Gaga suka main guli Guli Gaga guli baru Gaga beri satu guli kepada Guna Haji Hadi ada huma Huma Haji Hadi ada padi Hafi beli padi Haji Hadi Jali ada jala Jala Jali baru Jali beli jala dari Jafa Kadi kena kaca Kaki Kadi luka Emak sapu ubat pada kaki Kadi Liza suka lari Liza lari laju–laju Liza suka hati Mimi beli meja Meja mimi meja biru Mimi suka biru Nani ada buku nota Bapa beri buku nota Nani suka hati Papa beli lori Papa beri lori pada Piah Piah tak suka lori Papa Razi suka makan roti Emak suka buat roti Razi makan roti hari rabu Seri ada kain sari Seri tak suka sari Seri beri sari pada Soni Tina naik titi Tepi titi ada tugu Tugu itu tugu lama Wawa ada adik Adik Wawa nama Wani Adik Wawa Lawa Peringkat 4 Membaca gabungan huruf Konsonan-Vokal-Konsonan (KVK) bab kub fab bob gib web lob cop sebab kebab rejab debab karib ratib habib morib Ayob Ayob ada kawan Kawan Ayob bernama Talib Ayob suka Talib Talib baik hati kad mid jed kod bad lad med pod salad poskod masjid farid hudud zamrud hasad samad Yazid Yazid pergi masjid Yazid pergi dengan Majid Majid kawan baik Yazid Yazid suka pada Majid bah sih duh teh boh neh gah nah abah putih aduh nanah selekeh gagah zirafah marah Kebun Hamdan Hamdan ada kebun Kebun Hamdan besar Hamdan tanam pokok timun Timun Hamdan besar dan cantik bak dik duk tok kek cik kok guk ajak adik duduk bajak kokok gemuk muzik masak Momok Adik ada seekor arnab Arnab adik bernama Momok Momok suka makan lobak Adik beri Momok makan setiap hari kal til mal pul zal jul mel cil takal hasil kerdil tombol sampul kesal tebal katil Sambal Rizal makan nasi lemak Nasi lemak ada sambal Rizal makan banyak sambal Rizal sakit perut makan sambal yam pim zum sem cum wam rom tim ayam rejam harum siram salam takzim alim kawan Ayam Halim Halim ada ayam Ayam Halim tinggal dalam reban Ayam Halim banyak telur Halim jual telur ayam di pasar malam. ban bun tan lin pun kon wan ben reban jubin rabun watan pondok kantin lintah lagun Kintan Umur Kintan lapan tahun Dia murid yang rajin dan pandai Setiap tahun Kintan dapat nombor satu Kintan ingin menjadi pensyarah. lap tip sup mep pop zip rap kop malap kutip sirip hidup lokap mirip cekup sudip Pengakap Ah Hap murid tahun empat Dia seorang pengakap Pakaian seragamnya lengkap Dia bijak dan cekap bar fer zar jir mar lur nor ser bocor sabar damar jujur harta lumur sumber harga Cikgu Sabar Cikgu Sabar guru baru Dia seorang guru besar Dia mengajar di sekolah rendah Dia gemar membaca surat khabar bas cis jus dos mes gas hos kes kibas rebus kudis panas mancis cantas kertas beras Kapal kertas Abas main kapal Kapal itu daripada kertas Abas buat banyak kapal kertas Abas beri satu kepada Hanis tat kit bot cat set pot zat git berat lebat herot jerat kulit hambat lambat pukat Pak Arsat Pak Arsat ada dusun Dusun Pak Arsat di Kampung Limbat Dusun itu amat besar Pak Arsat tanam rambutan dan durian Peringkat 5 ang ing ung eng eng ong lang ring pong leng pung song ting rang parang piring jagung sombong kampung gulung Lim Ping Lim Ping memang sayangkan adik Adik Lim Ping bernama Ling Ling Ling Ling pun sayangkan Lim ping nga ngi ngu nge nge ngo bunga dungu wangi ngilu singa pelangi telinga belanga Tumingan Tumingan menanam bunga kenanga Bunga kenanga sungguh cantik dan wangi nya nyi nyu nye nye nyo punya penyu bunyi nyawa nyala nyanyi nyamuk nyaman Penyu Penyu bertelur di pantai Penyu bertelur semasa sunyi Ramai orang suka menyanyi lagu penyu au ai ua ui pisau salai dua lalui kalau julai tua rindui silau balai juara buih pulau tapai mentua kuih Aloi Aloi tinggal di Pekan Kulai Dia menjual ikan salai Ramai orang datang membelinya sy kh syarat khas syarah khabar syarikat khairat syerif khurafat Cikgu Syarifah Cikgu Syarifah seorang guru Dia mengajar di sekolah rendah Cikgu Syarifah mengajar kanak-kanak Khas Setiap hari dia mengajar dengan rajin tr fr dr pr st sp trampil frasa promosi proses prihatin protokol prosedur draf spora stesen stamina span Peringkat 6 Eja dan baca cerita Cerita 1 Keluarga Saya Saya ada ayah. Ayah saya bernama Devan. Dia bekerja sebagai seorang jurutera. Saya ada emak. Emak saya bernama Pushpa. Dia seorang suri rumah. Emak saya sangat sayangkan saya. Cerita 2 Gajah Gajah tinggal di hutan. Badan gajah besar. Kulit gajah keras. Gajah ialah haiwan yang bijak. Gajah dapat berjalan jauh mencari makanan. Gajah tidak pernah sesat jalan. Gajah ada gading yang keras dan panjang. Cerita 3 Banjir Minggu lepas hari hujan. Banyak pokok tumbang. Selepas hujan reda, banjir pun datang. Penduduk-penduduk kampung dipindahkan ke tempat yang selamat. Cerita 4 Kucing Saya Saya ada seekor kucing. Nama kucing saya Tompok. Tompok sangat comel. Saya selalu bermain dengan tompok. Tompok suka bermain bola benang. Tompok makan nasi dengan ikan goreng setiap hari. Saya sangat sayangkan tompok. Penutup Sesuai dengan dekad ini yang dianggap sebagai dekad meningkatkan kebijaksanaan, maka kemahiran membaca di kalangan kanak-kanak bermasalah pembelajaran perlu ditingkatkan mengikut kemampuan mereka. Dalam usaha ini diha-rapkan segala faktor penghalang yang mungkin menjadi masalah kepada ibu bapa ataupun guru dapat diketahui dan diatasi supaya jumlah kanak-kanak bermasalah pembelajaran yang tidak dapat membaca dikurangkan.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Pendahuluan Walaupun ibu bapa sedar mereka perlu melibatkan diri dalam persekolahan kanak-kanak bermasalah pembelajaran, namun masih ramai ibu bapa yang tidak memenuhi tanggungjawab itu. Comer (1993) mendapati hanya 1 hingga 5 peratus ibu bapa di Amerika Syarikat terlibat dalam aktiviti persekolahan kanak-kanak. Malah, mengikut Comer lagi, ada di kalangan ibu bapa yang tidak mahu ke sekolah untuk mewakili rakan-rakan mereka yang lain dalam apa saja bentuk aktiviti. Kajian lain melaporkan, daripada 46, 000 pelajar yang disoal selidik di Amerika Syarikat, hanya 26 peratus menyatakan mereka memperoleh sokongan yang kuat daripada ibu bapa mereka dalam aktiviti persekolahan. Ibu bapa sebenarnya mengetahui pentingnya penglibatan mereka dalam persekolahan anak, tetapi kebanyakan responden masih tidak pasti sama ada mereka terlibat ataupun sebaliknya dalam persekolahan kanak-kanak. Wanat (1997) dalam kajiannya menyatakan daripada 57 responden, hanya 18 peratus menyatakan mereka terlibat, 25 peratus tidak terlibat, 11 peratus menyatakan mereka hanya terlibat di rumah. Hampir setengah ataupun 46 peratus gagal menyatakan sama ada mereka terlibat ataupun tidak dalam persekolahan anak-anak mereka. Menurut Coots (1998), penglibatan ibu bapa dalam persekolahan kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah perlu kerana golongan ibu bapa adalah golongan yang memiliki banyak kelebihan berbanding guru khas dalam menjalankan fungsi ataupun tanggungjawab pada persekolahan. Guru khas bertugas secara formal dan dibatasi oleh faktor-faktor seperti masa, tempat dan peraturan. Manakala ibu bapa berhubung secara tidak formal dan mempunyai peluang lebih luas melibatkan diri dalam persekolahan. Konsep Penglibatan Konsep penglibatan ibu bapa seperti yang dipaparkan dalam beberapa penyelidikan dalam tahun 90-an menampakkan beberapa bentuk penglibatan. Angkubah-angkubah seperti persepsi, sikap, interaksi, faktor latar belakang dan ciri kanak-kanak itu sendiri banyak digunakan ketika menentukan penglibatan ibu bapa dalam persekolahan anak. Coots (1998) dalam kajiannya menyatakan status kanak-kanak, kepercayaan dan sosioekonomi, sikap dan persepsi ibu bapa kepada sekolah adalah faktor utama menentukan penglibatan mereka di sekolah. Menyorot pada kajian lepas, Grossman, Osterman dan Schmelkin (1999) masih tidak dapat menentukan penglibatan ibu bapa di sekolah. Walau bagaimanapun kajian mereka merumuskan sumber keluarga, kepercayaan dan status ekonomi, status anak, sikap dan persepsi ibu bapa terhadap sekolah adalah penyumbang utama bagi ibu bapa dalam melibatkan diri mereka di sekolah. Seterusnya mereka mendapati ibu bapa mempunyai sikap positif untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dilakukan di sekolah. Walau bagaimanapun guru-guru tidak menampakkan kesungguhan dalam menggalakkan ibu bapa melibatkan diri di sekolah. Penglibatan ibu bapa dapat dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu penglibatan di rumah, penglibatan di sekolah dan kedua-duanya. Di rumah ibu bapa dapat mengawasi kerja rumah anak yang diberi oleh guru. Di sekolah, ibu bapa membuat temu janji dengan guru khas bagi membincangkan pelajaran si anak, menghadiri mesyuarat, membuat keputusan, meneliti rancangan dan memeriksa rekod anaknya yang disimpan di sekolah. Ibu bapa juga berhak membantah mana-mana catatan yang dianggap tidak sepatutnya disertakan dalam rekod berkenaan. Seterusnya ibu bapa juga dipelawa ke sekolah memberi sumbangan mengajar anak mereka membaca misalnya dalam kelas seterusnya menyambung aktiviti itu di rumah. Sejauh manakah kemampuan ibu bapa memberi pengaruh yang positif pada anak ini perlu dikaji dengan lebih mendalam supaya ibu bapa mendapat gambaran yang lebih jelas peranan mereka. Faktor Penglibatan Antara faktor yang dikenal pasti adalah seperti berikut: Umur Umur mempengaruhi penglibatan ibu bapa baik di rumah ataupun di sekolah. Semakin tinggi umur seseorang ibu ataupun bapa, semakin banyak ibu ataupun bapa itu memikirkan pembelajaran anaknya dan semakin rapat hubungannya dengan kegiatan anak. Walau bagaimanapun ibu bapa yang tua sedar sumbangan, pengetahuan dan kemahiran mereka tidak lagi dihargai. Mereka juga didapati kurang aktif dalam hal persekolahan anaknya. Mereka lebih terlibat dalam hal keagamaan dan kebajikan diri sendiri dan komuniti. Bilangan anak Bilangan anak yang ramai menghalang ibu bapa memberi tumpuan yang sama rata kepada anak. Semakin ramai bilangan anak, semakin kurang penglibatan ibu bapa dalam aktiviti pembelajaran. Ini kerana mereka terpaksa memikirkan pembahagian masa yang lebih dalam hal mencari sumber rezeki untuk anak-anak yang ramai. Dalam hal ini, bapa didapati lebih komited kepada kerja berbanding persekolahan anak. Walau bagaimanapun bapa yang mempunyai anak yang tidak ramai didapati lebih bertanggungjawab dalam persekolahan anaknya. Pendapatan Menurut Teori Keperluan Maslow, keperluan fisiologi seperti makanan, pakaian dan tempat kediaman perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum individu itu dapat memenuhi keperluan-keperluan lain seperti melibatkan diri secara aktif di sekolah dan sebagainya. Penglibatan ibu bapa tidak bermakna sekiranya tidak mendapat sokongan terutama daripada segi kewa-ngan dan kebendaan. Banyak kajian lepas yang mendapati faktor ekonomi keluarga memberi kesan pada peranan ibu bapa dalam persekolahan anak (contoh Troph,1984: Furstberg dan Nord, 1985: Noraini, 1994). Ini jelas menunjukkan faktor ekonomi keluarga mempunyai pengaruh yang amat penting menentukan penglibatan ibu bapa di sekolah. Walaupun kadar kemiskinan di Malaysia secara keseluruhannya berkurangan daripada 42.4 peratus pada tahun 1976 kepada 17.5 peratus pada tahun 1990 (Rancangan Malaysia Ketujuh, 1996) namun kekayaan yang dinikmati oleh satu-satu keluarga masih tertumpu kepada beberapa golongan keluarga. Abdul Rahman (2000) menyatakan bagi golongan kelas menengah rendah ataupun kelas menengah bawahan yang berpendapatan bulanan sebanyak RM2000 ke bawah sebulan, sebahagian mereka tidak memiliki rumah dan tekanan ekonomi ke atas kehidupan mereka amat berat. Keluarga yang mempunyai rumah mempunyai kesan pada perkembangan kanak-kanak terutama meningkatnya masalah hubungan dengan rakan sebaya, akademik dan kehadiran di sekolah (Heflin dan Rudy, 1991). Bagi mereka yang mempunyai rumah tetapi sesak terutama apabila bilangan ahli dalam keluarga ramai dan pendapatan terhad, ibu bapa tidak ada masa hendak memikirkan bagaimana dan bila mereka akan melibatkan diri dalam persekolahan kanak-kanak. Kurangnya perhubungan ibu bapa dengan anak-anak boleh menyebabkan kurangnya galakan dan rangsangan ibu bapa ini ke atas anak-anak mereka. Di US, kebanyakan kanak-kanak yang menerima program pendidikan khas terdiri daripada keluarga yang mempunyai pendapatan $25,000 ke bawah setahun. Dianggarkan 25 peratus kanak-kanak di Amerika Syarikat hidup dalam kemiskinan. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila 25 peratus daripada kanak-kanak itu adalah di bawah umur 6 tahun (Children’s Defense Fund, 1996). Kebanyakan keluarga daripada golongan ini tidak berminat berbincang ataupun mengambil tahu pergolakan ataupun perkembangan dalam pendidikan khas di sekolah. Kemiskinan juga mempengaruhi sajian makanan yang dimakan (Sherman, 1994). Ibu bapa yang miskin mempunyai sajian makanan yang tidak seimbang dengan kadar protein yang tidak mencukupi. Protein amat penting bagi pertumbuhan mental seseorang, terutama dalam masa dua tahun pertama pertumbuhan. Kekurangan protein di peringkat ini menyebabkan pertumbuhan otak menjadi terbantut. Selain itu kanak-kanak yang datang daripada keluarga miskin turut menggambarkan kurangnya bahan-bahan bacaan dan rangsangan lain bagi meningkatkan kemahiran asas 3M selain peluang melawat ke tempat-tempat lain adalah kurang serta tidak mampu membeli komputer. Jenis pekerjaan Bapa sering dikaitkan dengan tugas mencari rezeki dalam sesebuah keluarga. Bapa yang terpaksa meninggalkan rumah disebabkan oleh tugas tidak mampu melibatkan diri sepenuhnya dengan program-program yang dijalankan oleh pihak sekolah. Menurut Lareau (1989), status pekerjaan ibu bapa didapati mempunyai kaitan dengan tahap penglibatan mereka di sekolah. Ini menunjukkan status pekerjaan ibu bapa turut mempengaruhi penglibatan mereka di sekolah. Ibu bapa yang terikat dengan masa kerja didapati lebih sukar menghadiri sebarang aktiviti persekolahan anak. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna mereka langsung tidak memperuntukkan masa untuk pendidikan anaknya. Ibu bapa yang bertanggungjawab selalu memikirkan masa terbaik untuk anaknya, mengikuti setiap perkembangan dan meneliti keperluan pembelajaran yang mesti dipenuhi. Penglibatan secara langsung di rumah seperti melihat kerja sekolah yang diberi oleh guru selain membantu menyelesaikan kerja sekolah itu dikira sebagai penglibatan akademik anak. Ibu bapa dikehendaki melibatkan diri dalam kewajipan pada pembelajaran seperti menyiapkan kerja sekolah, menyiapkan kelengkapan sekolah, kewajipan berkomunikasi dengan guru: kewajipan membantu guru dan pelajar belajar seperti lawatan, membantu mentadbir perpustakaan, menambah tabung kewangan, hubungan komuniti, kesedaran politik dan program pembangunan sekolah, dan kewajipan menyertai kumpulan pembuat keputusan pentadbiran dan undang-undang. Walaupun bagaimanapun, penglibatan ibu bapa di sekolah menunjukkan perkembangan yang dapat meningkatkan kerjasama ibu bapa dan guru. Di Malaysia sebarang kenyataan ataupun statistik mengenai penglibatan ibu bapa dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah tidak diperoleh. Pendidikan bapa Penglibatan bapa pada persekolahan anak turut dipengaruhi oleh tahap pendidikan ibu bapa. Pendidikan yang tinggi mendorong bapa menjawat jawatan yang tinggi setara dengan kelayakan yang ada. Mereka terpaksa bertungkus lumus dan mengejar segala peluang yang ada untuk mengejar status hidup. Peruntukan masa untuk pihak sekolah bagi membincangkan pelaksanaan RPI menjadi terbatas. Pengabaian tanggungjawab ke atas anak istimewa berlaku secara tidak disedari. Mereka menyerahkan segala-galanya yang berhubung dengan pelajaran anak-anak mereka kepada guru dan sekolah. Ibu bapa yang tidak berpendidikan tinggi hanya berpengetahuan menyekolahkan anak dan melepaskan diri daripada tanggungjawab penjagaan di rumah yang panjang. Mereka kurang memberi kerjasama pada guru-guru di sekolah sekiranya diperlukan oleh guru. Tahap pendidikan yang rendah sering dikaitkan dengan status pekerjaan yang rendah juga. Ibu bapa yang berpendidikan rendah biasanya mempunyai persepsi yang negatif pada sekolah. Ini berlaku disebabkan pengalaman mereka semasa zaman persekolahan dahulu. Umpamanya ibu bapa yang pernah didenda oleh guru pada zaman persekolahannya didapati kurang menunjukkan komitmen kepada sekolah. Ini semata-mata hanya dipengaruhi oleh pengalaman bapa itu semasa persekolahannya yang secara tidak langsung memberi kesan yang negatif pada persekolahan anaknya. Pengetahuan bapa Perasaan ibu bapa kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran berkait rapat dengan banyak manakah pengetahuan ibu bapa mengenai kanak-kanak bermasalah pembelajaran, program di sekolah, guru khas dan bentuk pengajaran yang digunakan. Ibu bapa memerlukan maklumat yang terperinci mengenai keistimewaan yang bakal anak peroleh, maklumat penggunaan RPI, maklumat penggunaan alatan khas, maklumat pengurusan tingkah laku, agensi yang dapat memberi latihan dan maklumat yang sesuai untuk anak-anak mereka. Pengetahuan bapa mengenai keperluan persekolahan anak akan menarik minat mereka supaya lebih terlibat dalam pendidikan ini. Anak Seperti yang dijelaskan masalah pembelajaran adalah gangguan minimum pada sistem saraf deria ataupun saraf otak yang meng-ganggu prestasi normal individu dalam pembelajaran, khususnya pada aspek penanggapan, pengkonsepsian, pembacaan, bahasa dan bermatematik. Bapa berperanan memberikan rangsangan dan menyediakan persekitaran yang sihat bagi pertumbuhan dan perkembangan anak-anak. Justeru itu, bapa dikehendaki juga terlibat dengan program-program yang dianjurkan oleh sekolah bagi meningkatkan perkembangan kanak-kanak itu. Ini kerana kanak-kanak bermasalah pembelajaran yang diabaikan akan membentuk sikap-sikap liar, nakal dan tidak mempunyai disiplin pada diri mereka. Keadaan ini menjejaskan pembelajaran, keluarga dan masa depannya. Banyak kajian yang mendapati faktor anak seperti umur dan tahap kecergasan minimum memberi kesan pada penglibatan bapa dalam persekolahan anak sehingga mengganggu fungsi keluarga. Selain itu jantina anak juga mempunyai kaitan dengan peranan bapa di mana bapa didapati lebih suka kepada anak lelaki berbanding anak perempuan. Faktor Psikologikal Interaksi Interaksi yang berkesan adalah interaksi yang merapatkan hubungan antara bapa dengan guru, sama ada bersifat verbal ataupun tidak. Walau bagaimanapun, interaksi yang berkesan kurang dipraktikkan oleh bapa kerana mereka sibuk dengan tugas harian di samping itu keadaan diri mereka sendiri yang bersikap tidak mengambil peduli ataupun menyedari cara interaksi berkenaan. Ini menyebabkan mereka sering melakukan kesilapan ketika berinteraksi dengan guru-guru khas. Antaranya kurang menjadi kawan kepada guru, menegur secara negatif dan enggan berbincang. Persekitaran rumah yang disediakan untuk anak seharusnya berkualiti bagi memastikan ia memberi kesan yang positif kepada pembelajaran anak-anak. Persekitaran rumah ini dipengaruhi juga oleh ciri-ciri yang terdapat pada bapa, kanak-kanak dan perhubungan antara kedua-duanya. Persepsi Pengalaman yang dilalui oleh ibu bapa kanak-kanak istimewa adalah kurangnya sokongan dan nasihat daripada kaum keluarga, sahabat dan masyarakat untuk berbincang mengenai kanak-kanak istimewa. Salah tafsir ibu bapa mengenai masalah itu mendorong bapa mempunyai persepsi yang sama kepada sekolah. Justeru, mereka tidak berhubung dengan guru khas dan tidak bersedia menyelesaikan kesulitan anak mereka. Sistem pendidikan yang juga sering mengadakan maklumat yang tidak jelas sekali gus menambah persepsi bapa yang salah terhadap sekolah. Selain itu ada di kalangan bapa yang memberi pandangan mereka kepada sekolah berdasarkan pengalaman mereka yang lepas. Pengalaman semasa mengalami proses pembelajaran yang negatif turut mendapat reaksi yang negatif di kalangan ibu bapa ini. Dalam hal ini para bapa perlu membuka minda masing-masing. Persepsi yang negatif mendorong kepada implikasi yang negatif juga pada penglibatan bapa itu dalam persekolahan anaknya. Sikap Sikap mempunyai kaitan yang signifikan dalam menjayakan aktiviti-aktiviti dan program di sekolah khas bermasalah pembelajaran khususnya RPI. Sikap yang ditunjukkan oleh bapa kepada pekerjaan, anak, guru dan pentadbir mendatangkan kesan kepada pembelajaran anak-anak. Bapa seharusnya menunjukkan sikap yang bersesuaian kerana ia dapat dikaitkan dengan faktor penggalak dan berkesan dalam mempengaruhi keinginan kanak-kanak belajar. Sikap bapa dapat memberi kesan yang kuat bagi meningkatkan potensi dan pembelajaran anak. Sikap yang realistik ke atas kanak-kanak terutamanya oleh bapanya membantu meningkatkan pencapaian akademik anak-anak mereka. Sungguh pun demikian, bapa perlu berhati-hati supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi ataupun terlalu rendah kepada anak-anak mereka. Di samping itu, kepercayaan bapa turut mempengaruhi tindakan mereka kepada kanak-kanak. Ini menyebabkan perubahan dalam kepercayaan kanak-kanak dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak dalam pembelajaran mereka di sekolah dan di rumah. Penglibatan dalam Rancangan Pendidikan Individu (RPI) Polisi Rancangan Pendidikan Individu (RPI) menggalakkan penglibatan ibu bapa. RPI adalah rancangan pengajaran bertulis yang disediakan khusus untuk setiap pelajar. Ia mengandungi garis panduan yang dibentuk khusus bagi mendidik kanak-kanak istimewa ini menguasai kemahiran asas pembelajaran. RPI mengandungi komponen seperti tahap pencapaian terkini, tahap kefungsian kanak-kanak daripada segi mental, fizikal, emosi, sosial, aspek-aspek lain yang berkaitan dengan pendidikannya, matlamat jangka panjang dan pendek, struktur perkhidmatan pendidikan dan sokongan, penilaian dan tindakan susulan. Berdasarkan komponen RPI itu, kejayaan RPI yang dijalankan di kelas khas bermasalah pembelajaran bukan hanya bergantung kepada kecekapan dan ketabahan guru khas semata-mata, malah merangkumi kerjasama dan penglibatan ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa mesti memberi sumbangan yang wajar dan memainkan peranan masing-masing menyokong usaha guru khas dan bukannya secara pasif. Ini bermakna bagi menentukan kejayaan RPI dan menentukan kejayaan pembelajaran kanak-kanak bermasalah pembelajaran, ianya perlu dikongsi bersama. Konsep perkongsian dapat diaplikasikan melalui proses perbincangan terutama dalam mencari formula meningkatkan pencapaian 3M. Sejauh mana kemampuan perkongsian itu dapat bertahan, ianya banyak bergantung kepada cara RPI dan ahli anggotanya mengendalikan RPI itu. Sekiranya pihak sekolah memandang perkongsian sebagai perkara yang global tanpa ada sekatan dan perlu diambil berat, ianya dapat berjalan dengan baik. Jika sebaliknya iaitu terlalu rigid dan tidak pernah mengambil kira pandangan ibu bapa, perkongsian tetap gagal (Dryfoos, 1994). Pendek kata, perkongsian mesti dijalankan secara tulus dengan melibatkan penyertaan kedua belah pihak iaitu ibu bapa dan guru. Bagi ibu bapa yang melibatkan diri dalam aktiviti persekolahan, kanak-kanak akan melihatnya sebagai pendorong dan pengukuh kepada kejayaan pembelajaran. Dorongan dan pengukuhan yang banyak dan kuat menghasilkan kanak-kanak yang berani mengambil risiko melalui percubaan dan kesilapan yang dilakukan, walaupun pada peringkat awalnya kanak-kanak bermasalah pembelajaran melalui kesukaran menguasai kemahiran yang diberi. Ibu bapa menjadi jurutunjuk dalam membantu anak-anak mencapai kejayaan. Sikap terbuka ini secara tidak langsung memberi semangat kepada anak-anak terus mencuba yang akhirnya menjadi orang yang kreatif dan berjaya. Apabila ibu bapa mengambil kira pendapat ataupun pandangan kanak-kanak dan membenarkan mereka menyatakan perasaan dan pemikirannya, kanak-kanak itu merasakan diri mereka penting dan dihargai seterusnya membentuk estim diri yang baik dalam diri dan berkeyakinan apabila melakukan apa saja aktiviti. Dapat dirumuskan penglibatan ibu bapa dalam persekolahan kanak-kanak adalah dengan menyediakan persekitaran yang memberangsangkan, memberi sokongan dan seliaan, menentukan jadual menonton televisyen, memastikan kerja rumah dapat disiapkan, melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran di rumah, menekankan keupayaan mendidik serta meningkatkan latihan keibubapaan. Pendek kata, penglibatan ibu bapa umpama suatu prinsip kepada ibu bapa, iaitu apabila kanak-kanak bersekolah ibu bapa tidak harus lepas tangan. Ibu bapa harus terlibat secara langsung dengan meminta kanak-kanak melakukan tugasan yang diberi secara aktif menerusi aktiviti yang berkait rapat dengan apa yang diajari oleh guru khas di sekolah. penglibatan seperti ini memberi kanak-kanak kefahaman yang lebih baik, di samping memberi bimbingan yang nyata kepada kanak-kanak itu bagaimana menguasai kemahiran asas membaca. Hubungan Ibu Bapa dan Sekolah dalam RPI Ibu bapa mempunyai peranan yang penting kepada pembangunan pendidikan anak. Ini bermakna hubungan ibu bapa dengan pihak sekolah selain membantu anak di rumah dalam hal persekolahan anak, mereka dapat membantu ke arah pendidikan yang lebih baik di kalangan anak-anak ini. Di sekolah khas, penglibatan ibu bapa amat diperlukan sebagai sokongan pada pencapaian akademik anak-anak mereka. Peranan yang dimainkan oleh para bapa terutamanya, memberi erti yang begitu besar pada pembentukan estim diri di kalangan pelajar seterusnya berupaya membantu daripada segi pencapaian akademik pelajar berkenaan. Dalam kaedah menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam program berbentuk sokongan ini, pihak sekolah khas membentuk program yang dikenali sebagai Rancangan Pendidikan Individu (RPI). Dalam program ini, para ibu bapa amnya digalakkan supaya melibatkan diri bagi memberi sokongan kepada pihak sekolah, seterusnya membantu anak mereka meningkatkan lagi prestasi akademik. Salah satu matlamat RPI adalah sokongan yang diperlukan di kalangan ibu bapa supaya melibatkan diri, di mana penglibatan ini memberi faedah kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri sekiranya ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para ibu bapa itu. Terdapat analisis daripada beberapa kajian menyatakan RPI itu sendiri dilaksanakan tidak seperti yang dirangka. Ianya tidak lengkap, tidak efektif dan banyak kesilapan. Misalnya, objektif yang ada dalam RPI tidak jelas dan tidak sesuai. Guru tidak merekodkan objektif yang sempurna dan secara umumnya pengawalan usaha adalah kurang. Ada antara RPI itu tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, termasuklah tidak mempunyai matlamat yang jelas, hanya sedikit objektif yang ditentukan tercapai dan beberapa kesilapan berhubung dengan pencapaian kanak-kanak itu sendiri dengan matlamat jangka panjang RPI itu. Turut dipertikaikan adalah tentang kebolehpercayaan, ketepatan dokumen dan kesinambungan proses RPI yang dijalankan. Sehingga keutuhan kajian diperoleh, RPI masih dilaksanakan oleh guru khas di sekolah-sekolah. Ini kerana RPI berjaya menghubungkan ibu bapa dan guru Walaupun tidak ada suatu kaedah pun yang dikatakan sesuai untuk kanak-kanak bermasalah pembelajaran meningkatkan pencapaian akademik mereka (Deno, 1990: Green & Shinn, 1994, Kavale, 1990) namun RPI membuktikan banyak manfaat sekiranya dilaksanakan dalam pendidikan khas dan memberi banyak perlindungan kepada kanak-kanak istimewa yang memerlukan pendidikan. Ini bermakna RPI adalah program terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Satu perkara yang jelas dalam program RPI ini adalah kebanyakan program RPI yang dirancang menunjukkan kesan yang baik dan berpanjangan apabila ianya mendapat sokongan daripada pihak ibu bapa. Seperti yang dimaklumi, ibu bapa adalah guru yang terdekat dalam kehidupan anak-anak. Mereka yang membentuk sikap-sikap asas, semangat berusaha dan pandangan pada diri kanak-kanak yang masih kecil. Kegagalan ibu bapa mendidik anak-anak sering dikaitkan dengan kegagalan dalam pencapaian akademik. Di sinilah letaknya tugas dan tanggung-jawab ibu bapa sebagai individu yang memainkan peranan penting memberikan pendidikan kepada anak-anak. Pendek kata, “….ibu bapa mestilah mempunyai motivasi tinggi dan menyediakan keperluan kanak-kanak bermasalah pembelajaran”. Tidak diragukan lagi, banyak faedah dapat diperoleh daripada RPI. Sekurang-kurangnya ibu bapa dan guru dapat berbincang mengenai perkara-perkara biasa serta mengawasi perkembangan kemajuan akademik anak mereka. Pakatan terperinci dan spesifik ini hanya dapat memberi faedah kepada kanak-kanak. Tetapi tidak seperti yang kita lihat, ia kelihatan lebih sukar dibuat untuk menjadi fleksibel dan pemusatan kepada kanak-kanak bagi mencapai tujuan pemahaman individu. Penutup Penglibatan bapa dalam persekolahan anak sememangnya menguntungkan banyak pihak sama ada sekolah, ibu bapa seterusnya pelajar itu sendiri. Hubungan yang baik antara ibu bapa dan pihak sekolah memberi kesan yang positif pada tingkah laku serta pencapaian akademik anak. Selain itu suatu kajian di Amerika oleh Metropolitan Life pada tahun 1987 turut mendapati hal yang sama di mana 77% daripada responden kajiannya yang terdiri daripada kalangan ibu, bapa dan guru menyatakan hubungan antara kedua-duanya adalah baik dan amat diperlukan. Selain itu 60% daripada mereka juga berpendapat hubungan yang wujud antara mereka dapat memberi sokongan antara satu sama lain.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Tidak semua kanak-kanak dapat menerima dan menguasai pembelajaran seperti yang diharap dan dirancang. Terdapat beberapa golongan kanak-kanak yang tidak bernasib baik sehingga menghalang proses-proses pembelajaran berlaku dengan baik dan cemerlang. Antara golongan itu adalah kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Siapakah Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran? Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah mereka yang mempunyai masalah neurologikal hingga menjejaskan pemahaman, penggunaan bahasa, pertuturan, penulisan, berfikir, membaca, menulis, mengeja dan bermatematik. Mereka tidak mempunyai kebolehan bagi mengikuti pelajaran secara formal seperti pelajar lain. Justeru, mereka tidak mempunyai kebolehan untuk maju secara normal di sekolah. Prestasi mereka menunjukkan mereka tidak ada kebolehan bergerak secara normal dalam kerja-kerja sekolah. Mereka tidak dapat membuatu kerja-kerja kelas yang sesuai dengan umur mereka. Jika dibandingkan dengan dengan murid lain dalam lingkungan umur yang sama, mereka menunjukkan kelemahan yang nyata dalam pelajaran. Mereka biasanya tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajar oleh guru yang menggunakan kaedah dan prosedur pengajaran yang biasa disebabkan jangka penumpuan yang pendek, kurang kebolehan memindahkan perkara-perkara yang dipelajari. Mereka juga memerlukan lebih dorongan dan benda-benda yang nyata ketika belajar. Kebanyakan mereka dikenal pasti mengalami masalah pembelajaran semenjak tahun pertama persekolahan. Terdapat dua petunjuk utama masalah pembelajaran. Pertama, walaupun pelajar berupaya belajar, kadar pembelajaran mereka sangat perlahan. Ini disebabkan tahap perkembangan menyerupai kanak-kanak yang lebih muda. Contohnya, tahun dua hanya permulaan belajar abjad, membilang dan menulis namanya sendiri. Kedua, kebanyakan perkembangan ditunda. Mereka gagal setanding dengan mereka yang membangun dalam intelektual dan bahasa, pencapaian akademik, kecekapan sosial dan kemahiran persediaan vokasional. Walaupun kadar pembelajarannya perlahan, mereka boleh memperoleh pelbagai aktiviti di dalam kelas. Walau bagaimanapun, sebahagian pembelajaran mereka sukar dipelajari. Contohnya kemahiran pemahaman pembacaan adalah lebih sukar berbanding pembacaan biasa. Maksudnya, pelajar kurang berjaya menyelesaikan masalah matematik berbanding pengiraan matematik. Jelaslah pelajar ini sukar memohon kemahiran pembelajaran apabila berhadapan dengan situasi baru. Punca Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran Pada peringkat awal sudah disebut kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran adalah mereka yang mengalami masalah neurologi terutama otak. Otak secara umumnya terdiri daripada dua bahagian iaitu: Bahagian atas yang disebut cortex Bahagian bawah yang disebut medulla dan sekitarnya. Otak atas yang terdapat pada manusia bersifat adalah dinamis dan potensinya dapat dikembangkan seluas-luasnya. Otak bawah yang terdapat dalam spesies tinggi dan juga spesies rendah seperti kucing, monyet dan sebagainya adalah bersifat statik. Otak bawah memiliki fungsi-fungsi dasar seperti berikut: Medula berfungsi mengendalikan pernafasan, pencernaan, detik jantung dan penelaan. Serebelum berfungsi mengkoordinasi pelbagai gerakan organ jasmani dan refleks. Talamus berfungsi sebagai penyambung maklumat yang diperoleh oleh deria melalui sub-sub bahagian otak bawah ke otak atas atau cortex. Hipotalamus berfungsi mengatur ekspresi yang berasal daripada dorongan-dorongan dasar seperti dorongan rasa lapar dan seksual. Selanjutnya, memori terdiri daripada dua jenis iaitu: Memori semantik iaitu memori khusus yang menyimpan pengertian maklumat. Memori episodik iaitu memori khusus yang menyimpan maklumat peristiwa. Dalam memori semantik, maklumat yang diterima ditransformasikan dan diberi kod makna, lalu disimpan. Maklumat yang disimpan tidak dalam bentuk asal, tetapi dalam bentuk kod yang bermakna. Pelajar yang memiliki maklumat hasil proses semantik seperti itu dapat mempertahan dan menggunakannya dalam waktu yang lebih lama dan dalam situasi yang lebih kompleks. Sesuai dengan namanya, memori semantik berfungsi menyimpan konsep-konsep yang signifikan dan bertalian antara satu dengan yang lain. Apabila Adam berkata, “Saya tahu bangau adalah burung dan memiliki sayap”. Dalam kenyataan deklaratif ini, bangau adalah superordinat bagi burung-burung lain seperti kenari, merak dan lain-lain. Sayap adalah ciri-ciri bagi burung-burung pada umumnya. Maklumat yang terungkap dalam burung dan sayap, selanjutnya dapat diperlakukan oleh memori Adam bagi menjelaskan erti konsep burung yang lain yang memiliki superordinat dan ciri-ciri serupa dengan bangau. Oleh yang demikian, butir-butir maklumat yang tersimpan dalam memori semantik bersifat dinamis dan dapat diolah serta diaplikasikan oleh akal Adam bagi memahami fenomena lain yang relevan dengan butir-butir maklumat itu. Memori episodik adalah memori yang menerima dan menyimpan peristiwa-peristiwa yang terjadi ataupun dialami pelajar pada waktu dan tempat tertentu yang berfungsi sebagai referensi autobiografi. Apa yang kamu makan pagi tadi, ke mana kamu pergi semalam, dan peristiwa yang kamu alami pada hari pertama di darjah satu dan sebagainya adalah contoh-contoh maklumat yang tersimpan dalam memori episodik. Walaupun penyebab lupa itu pelbagai, namun yang penting yang perlu diperhatikan adalah faktor pertama di atas yang merangkumi gangguan proaktif dan retroaktif kerana ia sudah dibuktikan melalui penyelidikan. Di samping itu, ciri-ciri mereka adalah seperti berikut: Lemah dalam penguasaan membaca, menulis dan mengira atau 3M. Keliru dengan nombor ‘13 dan 31’, menulis ‘p sebagai q’ dan tidak dapat mengingat turutan angka ataupun huruf. Penguasaan yang lemah dalam sesuatu kemahiran kognitif jika dibandingkan dengan rakan sebaya. Sukar mengikut arahan. Lemah dalam keseluruhan pelajaran. Mempunyai darjah kecerdasan antara 70 hingga 90. Selalu gagal dalam latihan dan ujian. Memerlukan jangka masa yang lama bagi menguasai sesuatu kemahiran. Lemah dalam perkara-perkara yang abstrak. Mengulangi sesuatu aktiviti beberapa kali tanpa berhenti. Keliru dengan hari seperti ‘hari ini’ disebut sebagai ‘esok’ dan sebaliknya. Menunjukkan kesukaran dengan koordinasi motor kasar ataupun halus. Lemah dalam menerima konsep yang baru. Tidak dapat menghubungkaitkan konsep yang baru dengan yang lama. Lambat mengingat semula. Tidak dapat menganalisis. Tidak dapat menyelesaikan masalah. Lemah dalam mengutarakan idea. Mudah terganggu. Rendah diri. Gangguan emosi. Pemalu. Penakut. Tidak ada motivasi. Tidak menunjukkan reaksi apabila tiba-tiba bunyi bising kedengaran seperti tepukan tangan ataupun pintu ditutup dengan kuat ataupun mengelipkan mata ataupun membuka matanya dengan luas bagi mencari arah bunyi itu. Tidak memerhati bunyi-bunyian seperti bunyi motosikal dan sebagainya. Tidak menunjukkan respons apabila namanya dipanggil. Tidak dapat membezakan bunyi-bunyi. Tidak dapat mengingati apa yang didengar. Selalu menyebut “Saya tak peduli” ataupun “Saya tak mahu.” Tidak dapat memahami perhubungan dan konsep berdasarkan maklumat yang didengar. Tidak dapat membezakan bunyi-bunyian yang penting daripada beberapa bunyi-bunyian latar belakang. Tidak dapat melihat perbezaan dan persamaan saiz, bentuk, warna dan kedudukan. Sukar mengingati semula apa yang dilihat. Punca Kecacatan Kecacatan pada kanak-kanak dikenal pasti berlaku disebabkan oleh perkara-perkara berikut: Baka Apabila dikaitkan dengan baka, ia bermula daripada hubungan seksual suami dan isteri. Umumnya suami menghasilkan sperma dalam 23 pasangan kromosom. Begitu juga dengan isteri menghasilkan telur dalam 23 pasangan kromosom. Ia berlaku dalam 2 jenis pewarisan. Pertama, ibu bapa mempunyai kecacatan dan diwarisi oleh anak. Kedua, ibu bapa tidak cacat tetapi anak cacat. Setiap pasangan kromosom yang wujud dalam pasangan itu menghasilkan empat percantuman apabila berlaku persenyawaan. Dalam keadaan inilah anak mungkin mewarisi sifat cacat. Ketidakseimbangan kromosom yang pertama iaitu ‘autosomal dominant’, di mana pewarisan baka ini diwarisi oleh anak. Contohnya jika salah seorang daripada ibu dan bapanya mempunyai baka cacat maka peluang mendapat anak bermasalah pembelajaran serta kecacatan yang lain adalah 50% pada setiap kali kandungan. Pewarisan kedua, ‘autosomal excessive’ iaitu kedua ibu bapa pembawa cacat. Jika salah seorang saja pembawa baka cacat, maka anak yang dilahirkan tidak cacat cuma masih sebagai pembawa baka cacat. Bagaimanapun, bagi pasangan yang normal tetapi kedua-duanya pembawa baka cacat kemungkinan anak cacat tetap ada kerana kedua-dua ibu bapanya adalah pembawa baka cacat. Peratus mendapat anak cacat adalah 25%, 50% menjadi pembawa manakala 25% lagi mungkin normal. Keadaan ini berlaku setiap kali kandungan. Contohnya daripada tiga kandungan mungkin dua anaknya dilahirkan normal kerana penerimaan baka normal. Oleh itu, sebahagian ibu bapa yang normal juga mempunyai anak cacat. Pengambilan ubat Biasanya wanita hamil mengambil ubat sama ada bagi meneruskan rawatan penyakit yang dialaminya sejak sebelum hamil ataupun meredakan sebarang gejala yang berlaku akibat kehamilan. Kesan ubat-ubatan ke atas janin tidak diketahui dengan jelas. Walau bagaimanapun, segala pendedahan kepada bahan asing dapat memberi kesan pada janin terutama pada peringkat 1 sehingga 3 bulan kandungan. Risiko kecacatan pada peringkat 4 sehingga 9 bulan adalah kurang berbanding pengambilan ubat sewaktu trimester pertama, namun ubat-ubatan masih dapat mengganggu perkembangan normal otak, jantung dan organ-organ lain. Masalah timbul apabila anak dilahirkan. Pada peringkat ini ubat yang terkandung di dalam badan bayi perlu disingkirkan daripada badan melalui proses metabolisme ubat yang berlaku di hati ataupun penyingkiran melalui buah pinggang. Organ-organ ini masih lagi belum matang dan anak itu mempunyai risiko yang tinggi akibat bahan kimia ubat yang digunakan. Wanita-wanita hamil juga memerlukan vitamin dan zat galian tambahan. Walau bagaimanapun, sebelum itu pemeriksaan teliti perlu dilakukan. Ini disebabkan terdapat vitamin jenis larut lemak seperti vitamin A, D, E dan K dapat berkumpul di dalam badan dan mengakibatkan kesan buruk ke atas bayi yang dikandung. Wanita hamil tidak disarankan mengambil multivitamin ataupun multi-galian tanpa mendapat nasihat doktor ataupun ahli farmasi. Lagipun, pemakanan yang seimbang berupaya memenuhi ke-perluan vitamin dan zat galian ibu. Penggunaan Aspirin ketika hamil harus dielakkan walaupun pada fasa ketiga kehamilan. Aspirin yang diambil pada dos tinggi dikaitkan dengan kelahiran bayi yang kurang berat badan dan juga mati ketika dalam kandungan. Penggunaan aspirin semasa trimester ketiga dikaitkan dengan pendarahan yang berlebihan semasa melahirkan anak. Lagipun, aspirin dapat mengganggu pernafasan dan fungsi jantung anak yang baru lahir. Kopi, teh, coklat dan beberapa minuman perasa kola mengan-dungi kafein. Kopi mempunyai kandungan kafein yang tinggi dibandingkan dengan minuman lain. Walau pun tidak terdapat sebarang bukti dan kaitan mengenai kesan minuman kopi dengan kecacatan janin manusia, namun ia memberi kesan pada janin haiwan. Mengurangkan meminum kopi kepada hanya empat cawan kopi sehari sahaja iaitu kurang daripada 600mg kafein adalah dibenarkan. Bahan-bahan semburan seperti insektisid ataupun dalam bentuk gas, khususnya mereka yang bekerja di tempat di mana terdapat banyak gas seperti di kilang dapat menyebabkan kecacatan bayi. Bahan-bahan pengawet makanan juga dikenal pasti dapat memberi kesan yang sama. Sesetengah daripada bahan-bahan pengawet makanan ini mempunyai kesan tidak baik pada pembentukan jasad bayi di peringkat awal. Oleh itu, wanita yang sedang hamil di peringkat awal digalakkan memakan makanan yang segar yang tidak mengandungi bahan pengawet. Sinar-X Sama ada kita sedar ataupun tidak, tubuh kita sering terdedah kepada radiasi daripada matahari, batu, pasir dan sebagainya. Amat menakutkan jika kita terdedah dengan dos radiasi yang tinggi dan dos ini membahayakan janin sebelum dilahirkan. Pendedahan kepada radiasi yang berlebihan sememangnya mem-bahayakan. Begitu juga dengan dos radiasi yang sedikit tetapi pendedahannya berlarutan, juga membahayakan. Sinar-X yang dianggap sebagai kaedah terpenting perubatan adalah bahaya kepada janin sebelum dilahirkan. Sekiranya seseorang ibu yang mengandung hendak melakukan Ujian Sinar-X terutama Sinar-X yang kuat bagi mengesan penyakit di dalam perut, penyakit buah pinggang dan sebagainya, mereka hendaklah berbincang terlebih dahulu dengan doktor pakar Sinar-X. Tarikh haid yang terakhir harus diberitahu kepada doktor. Ini kerana persenyawaan benih biasanya berlaku di pertengahan pusingan haid, iaitu pada hari yang ke-14 selepas hari pertama haid. Jika Sinar X dilakukan selepas hari ke-14 dan ditakdirkan kandungan berlaku, ada kemungkinan janin terdedah kepada pancaran Sinar X dan ia dapat mencacatkan bayi. Menghalakan Sinar–X jauh daripada bahagian pelvis juga adalah langkah-langkah yang wajar dilakukan. Bahagian pelvis tidak sepatutnya didedahkan kepada Sinar-X walau sedikit sekalipun. Kajian menunjukkan ibu yang terdedah kepada radiasi semasa hamil adalah dua kali ganda berkemungkinan mempunyai anak yang menghidap leukemia. Jangkitan kuman Kuman yang menjangkiti wanita dalam peringkat awal kandungan dapat menimbulkan kecacatan. Masa tiga bulan pertama adalah masa yang terpenting pembentukan jasad dan anggota bayi. Jika terdapat unsur-unsur luar yang dapat mengganggu proses pertumbuhan janin maka kecacatan mungkin timbul. Secara amnya, penyakit berjangkit adalah disebabkan oleh pelbagai organisma halus seperti bakteria, protozoa dan virus. Berbagai-bagai jenis organisma ini berada di sekeliling kita sama ada siang ataupun malam. Organisma ini membiak dan membawa bersama penyakit. Bakteria ialah organisma yang dapat hidup di mana-mana. Kuman inilah yang menyebabkan batuk kering, jangkitan streptococcus dan staphylococcus, demam skarlet atau demam merah, demam kepialu, sifilis, gonorea dan apendisitis. Protozoa juga sel organisma yang dapat menyebabkan penyakit pada tubuh manusia. Penyakit yang bahaya adalah seperti malaria dan toxoplasmosis. Virus pula berbeza daripada bakteria. Ia memerlukan tisu hidup untuk membiak. Virus menyebabkan penyakit dengan memasuki sel dan apabila terlekat pada sel, ia menyebabkan gangguan. Antara penyakit yang dikaitkan virus ini adalah campak, beguk dan rubela. Kuman sifilis amat membahayakan bayi. Kuman sifilis boleh aktif dalam darah tanpa menimbulkan tanda pada badan. Apabila seseorang wanita mengandung, maka kuman sifilis dalam darah dapat menjangkiti janin dan merosakkannya menyebabkan janin itu gugur ataupun mati dalam kandungan ataupun lahir cacat. Pemakanan Kekurangan makanan yang sangat teruk sehingga menyebabkan kebuluran dapat menjejaskan pertumbuhan bayi. Ibu hamil mungkin rasa sihat dan kelihatan sihat tetapi jika pemakanannya berkurangan sedangkan kandungan sedang membesar, janin tetap mengalami masalah kekurangan zat protein. Satu-satunya khidmat ibu yang hamil untuk anak di dalam kandungan adalah menyediakan pemakanan yang baik. Dadah dan arak Walaupun penagihan dadah di kalangan ibu jarang berlaku namun jika ini berlaku di kalangan wanita yang sedang hamil dan dadah yang digunakan berbahaya seperti morfin, kokain dan sebagainya, ada kemungkinan perkembangan janin boleh terganggu dan salah satu daripada masalah adalah kecacatan janin. Tabiat merokok juga dapat menyebabkan kecacatan bayi. Asap tembakau yang mengandungi nikotina menyerap ke dalam darah ibu melalui mukus membran di dalam mulut dan tekak dan juga paru-paru. Di samping itu terdapat juga nikotina daripada asap tembakau bertindak pada sel-sel saraf dan pusat pernafasan. Walaupun tidak ada laporan yang menunjukkan nikotina yang terkandung dalam rokok ataupun alkohol dalam arak dapat menyebabkan kecacatan, tetapi ia dapat mengganggu kehamilan serta menjejaskan perkem-bangan bayi dalam bentuk yang berlainan. Nikotina kemungkinan dapat menyebabkan kerencatan pertumbuhan ataupun gangguan pertumbuhan otak bayi. Cubaan menggugurkan anak Amalan menggugurkan kandungan sangat meluas berlaku. Ada kalanya ibu berkenaan menggunakan pelbagai cara antara dengan memakan tapai, nanas muda, jamu, akar-akar kayu, ubat singse dan seterusnya memakan pil hormon daripada doktor ataupun men-dapat suntikan daripada doktor. Ini kerana mereka percaya cara-cara itu dapat memaksa haid keluar ataupun menggugurkan kandungan. Ramai juga yang gagal memaksa haidnya keluar dan kehamilan berkembang terus tanpa disedari. Percubaan itu mungkin merosakkan pertumbuhan janin serta menyebabkan kecacatan pada anggota janin ataupun lainnya. Perbuatan seperti ini adalah dianggap sebagai penganiayaan pada janin. Tindakan menggugurkan bayi adalah salah baik di sisi undang-undang mahupun agama. Bagi mereka yang belum bersedia ataupun tidak mahu mengandung, lebih baik menggunakan cara dan kaedah merancang keluarga daripada menyeksa ataupun menganiaya janin. Umur ibu Ibu yang berusia 35 tahun ke atas berkemungkinan mempunyai kesihatan yang kurang baik dan mula menunjukkan tanda-tanda kesihatan yang dikhuatiri. Walau bagaimanapun, mereka boleh mengandung dan tidak perlu bimbang masalah yang berkaitan dengan kehamilan ataupun kemungkinan kecacatan bayi dengan syarat mereka berada di bawah jagaan doktor pakar. Kejadian bayi cacat, Sindrom Down misalnya hanya meningkat selepas ibu itu berumur 45 tahun di mana kadarnya lebih kurang satu ataupun dua dalam 100 kelahiran. Bagi ibu yang berumur 40 tahun ke atas, risiko melahirkan bayi Sindrom Down adalah satu dalam 200 kelahiran. Tegasnya, kadar bayi cacat, khususnya bayi Sindrom Down di kalangan ibu-ibu yang berumur 40 tahun ke atas tidak begitu menggemparkan. Walau bagaimanapun, sebaiknya ibu-ibu yang ingin melahirkan anak pada umur itu, perlu menjalani ujian biopsi korion dan seterusnya analisis kromosom ketika umur kandungan dua bulan, bagi mengesan kecacatan Sindrom Down. Umur yang paling sesuai untuk mengandung adalah pada usia 23 hingga 29 tahun. Mereka mempunyai peluang yang lebih besar memiliki anak sihat dan normal. Ibu yang berumur antara 17 hingga 23 tahun dikhuatiri akan mengalami anak lahir prematur ataupun mati dalam kandungan, ataupun pertumbuhannya tidak sempurna. Ini kerana sistem pembiakan mereka belum matang iaitu masih di peringkat nubility iaitu masa apabila telur mula dikeluarkan dari kilang dan bersedia disenyawakan. Pada masa ini sistem hormon endokrin bekerja keras melengkapkan semua fungsi organ. Di akhir peringkat ini, barulah kilang pituitari mengeluarkan hormon yang digelar prolaktin. Hormon ini menyebabkan ovari mengeluarkan hormon progesterone yang menyediakan rahim untuk kehamilan. Apabila ini berlaku, sistem pembiakan sudah matang. Kekurangan oksigen Bayi dalam kandungan mendapatkan oksigen melalui uri. Melalui uri ini, oksigen masuk ke tubuh bayi melalui pusatnya. Oksigen ini dibawa ke jantung dan dari sana ia dipamkan ke seluruh tubuh, ke tisu yang sedang bercambah dan terbina bagi membolehkan percambahan terus berlaku. Dengan oksigen yang mencukupi dalam aliran darah bayi yang dikandung, anak itu membesar mengikut ketetapan tertentu. Kesan kekurangan oksigen atau anoxia yang paling serius kepada anak adalah kerosakan otak. Sebarang kerosakan otak adalah serius, kerana ia berlaku dengan cepat dan kesannya berkekalan. Sel otak lebih mudah rosak berbanding sel-sel lain di dalam tubuh. Apabila sel ini rosak, ia tidak dapat tumbuh semula seperti sel kulit apabila luka. Tidak ada proses penyembuhan pada sel otak. Lagipun otak mengawal pergerakan manusia dan apabila sebahagian otak itu rosak maka bahagian yang dikawal turut rosak. Cerebral palsi berlaku apabila bahagian otak yang mengawal otot-otot dan koordinasinya rosak. Epilepsi berlaku kerana sistem saraf rosak. Kecacatan mental adalah tanda sesuatu sudah mengganggu perkembangan sempurna pada alatan berfikir. Sesetengah daripada penyakit otak adalah kerana kerosakan pada bahagian otak yang berkenaan. Bukan semua keadaan ini berlaku kerana kekurangan bekalan oksigen. Sekalipun langkah-langkah diambil bagi mengurangkan kes-kes kekurangan bekalan oksigen, kes-kes cerebral palsi, epilepsi dan kecacatan mental tetap berlaku kerana sebab-sebab lain. Kenan Kecacatan tidak boleh dikaitkan dengan kenan. Jika ada ibu bapa yang menganggap anaknya cacat kerana kenan atau sebagainya itu tidak benar. Seperti yang dijelaskan, kecacatan anak hanya disebabkan oleh semua perkara di atas terutama baka. Kemalangan Kemalangan melibatkan kepala dapat menjejaskan fungsi otak seseorang. Penyesuaian Perlu diingat apabila membincangkan mengenai bantuan yang ingin diberikan kepada kanak-kanak istimewa ini, ia merujuk kepada semua aktiviti yang dilakukan yang memerlukan mereka belajar. Aktiviti tersebut merangkumi perkara seharian seperti usaha seorang pelajar meningkatkan kemahiran pembacaannya serta kemahiran bermatematik. Ia merujuk juga kepada cara membuat kerja-kerja rumah yamg diberikan oleh guru dengan lebih efisien. Ia juga merujuk kepada bagaimana guru-guru meningkatkan kebolehannya sebagai guru. Ia juga merujuk kepada ibu bapa yang cuba meningkatkan usaha memberi sokongan, penjagaan kesihatan dan sebagainya yang berkaitan dengan anak mereka. Rancangan sekolah selalu dibuat berdasarkan kepada murid yang sederhana dan cerdik. Kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran seolah-olah dipaksa menghadapi kegagalan serta kekecewaan dan akan berdepan dengan kesukaran mengembangkan psikoemosi yang emosi. Dalam situasi sekolah seperti ini, kanak-kanak merasakan dia akan gagal dalam hidup, cita-citanya tidak diendahkan, terbantut atau dimusnahkan. Dia juga mungkin percaya dia diarah supaya percaya dia tidak akan berjaya. Bagi membantu seseorang itu belajar, sebagai guru mereka perlu tahu pelajar itu sendiri, sifat, keperluan serta latar belakangnya. Mereka perlu mempertimbangkan bagaimana membantu pelajar menangani situasi yang dihadapinya, merangsangnya supaya terus belajar, mempermudahkan proses pem-belajarannya dan menyediakan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak ini mengamalkan apa yang dipelajari. Ada antara kanak-kanak ini boleh berjaya di sekolah dan dalam hidup jika minat mereka dirangsang dan mereka diberikan peluang. Mereka boleh dipimpin supaya menguasai banyak perkara abstrak yang mudah. Perbendaharaan kata yang mudah harus digunakan, bahan bacaan mesti ditulis berkaitan kepentingan hidup, serta pengajaran am dan kadar pembelajaran mestilah dilambatkan. Dengan itu barulah mereka boleh menerima faedah yang banyak dan menjadi pelajar yang berjaya. Sebahagian daripada kegagalan mereka yang bermasalah pembelajaran dikaitkan oleh segolongan pendidik tidak berwibawa yang menempatkan kanak-kanak ini ke dalam situasi di mana mereka tidak boleh berjaya dan kemudiannya tidak membuat sesuatu bagi menolong penyesuaian mereka. Kanak-kanak ini memerlukan semua bantuan psikologi yang boleh diberikan kepada mereka. Penulis pernah melawat sebuah kelas bermasalah pembelajaran yang menggunakan sebuah bilik darjah yang biasanya diberi nama 4B. Walau pun peringkat akademik ahli-ahli dalam kumpulan ini bukan seperti kanak-kanak darjah empat, tetapi oleh kerana umur mereka dimasukkan ke darjah ini. Pada hari itu, nama darjah mereka diubah kepada 2B. Kanak-kanak ini membantah kerana mereka sangat bangga berada dalam darjah 4B. Mereka berasa marah kerana kehilangan martabat di kalangan rakan-rakan sekolah akibat pertukaran tersebut. Penetapan status darjah berdasarkan pencapaian adalah hak bagi kumpulan ini. Mereka patut diberi sesuatu yang positif dan merangsangkan oleh pihak sekolah. Mereka berhak mendapat status yang sepatutnya yang akan mengembangkan sikap ke arah pencapaian yang lebih membanggakan. Meletakkan tanda 4B, mereka seolah-olah sudah mencapai suatu corak hidup pelajar yang memuaskan.Walau pun kanak-kanak ini mempunyai kecerdasan antara 55 hingga 70, namun mereka boleh bergerak balas kepada teknik yang sudah diubah suai dalam latihan yang baik penyusunannya serta yang mempunyai kakitangan yang bijak. Kumpulan yang rendah hanya boleh bergerak balas kepada rangsangan bagi keperluan asasnya untuk hidup. Kebiasaannya, ibu bapa mempunyai pengaruh yang besar pada tingkah laku emosi anak-anak. Ada antara ibu bapa sentiasa memaksa anak-anak mereka dari sejak lahir hinggalah seterusnya. Sebenarnya masih terlalu ramai ibu bapa yang tidak boleh menerima hakikat bahawa dalam masa tahun-tahun awal seorang kanak-kanak, ia mungkin tidak berjaya dalam kerja sekolahnya ataupun menunjukkan kecerdasan otak dalam perhubungan di rumah atau di tempat-tempat lain. Ibu bapa kerap kali percaya kerencatan itu adalah disebabkan oleh perkembangan yang lambat dan akhirnya akan dapat diperbetulkan. Selepas kanak-kanak mencapai umur belasan tahun, ibu bapanya tidak lagi boleh menyalahkan proses perkembangan sebagai penyebab kerencatan. Selepas itu, dengan tidak mengira bagaimana hampanya perasaan ibu bapa, kanak-kanak ini menjadi korban sikap ini terhadapnya. Bimbingan Kefahaman mengenai kanak-kanak adalah asas kepada sebarang pertolongan atau bimbingan yang mungkin diberikan kepada mereka. Kanak-kanak ini sedang maju ke hadapan dan perlu mempunyai jalan yang disediakan untuknya. Dia mesti dapat memahami nilainya dan mengenal pasti rintangan-rintangan serta potensinya. Justeru, semua pihak hendaklah bertanggungjawab membantu kanak-kanak ini menuju ke sesuatu matlamat yang ingin dicapai. Bimbingan ialah sebarang bentuk bantuan atau pertolongan yang direka bentuk dengan betul bagi membantu kanak-kanak ini menyesuaikan diri dengan persekitannya. Sudah menjadi tugas ibu bapa dan guru menyelesaikan masalah pembelajaran mereka ini. Antara keadaan yang merungsingkan kanak-kanak ini adalah kegiatan masa lapang, sikap terhadap orang lain, sikap orang lain kepada mereka, peringkat rasa selamat serta darjah kejayaan di sekolah. Penutup Proses pembelajaran adalah suatu aktiviti yang kompleks kerana banyak perkara sebenarnya berlaku serentak pada masa yang sama. Sewaktu sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran dikendalikan, terlalu banyak perkara yang perlu diberi perhatian oleh kanak-kanak bagi memastikan mereka menguasai apa yang diajar guru. Proses tindan-tindih begini tidak dapat dilakukan secara maksimum oleh sistem neurologi seperti yang diharapkan. Walau bagaimanapun, pembelajaran boleh dimudahkan dengan wujudnya keadaan seperti berikut: Terdapat objektif yang jelas dan berpotensi dicapai. Pelajar mempunyai motivasi untuk belajar. Pelajar disediakan dengan tugasan pembelajaran yang sesuai yang memberi mereka peluang mengamalkan tingkah laku yang diperlukan. Apabila pembelajaran berlaku, pelajar mendapat peluang mengamalkan tugas yang lebih sukar yang mendorongnya supaya belajar lebih lanjut. Pelajar diberitahu mengenai kemajuannya dan dibantu supaya mencapai objektif yang dimahukan. Terdapat peluang belajar mengamalkan tingkah laku yang diperlukan di tempat di mana dia boleh menggunakannya. Apabila pelajar mengamalkan tingkah laku yang diperlukan di tempat di mana dia boleh menggunakannya, pelajar diberi maklum balas mengenai kemajuan pembelajarannya.

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Fenomena cinta pandang pertama berlaku antara dua orang individu yang memiliki kuasa tarikan ke atas satu sama lain dengan kekuatan yang serupa tingginya. Dengan lain perkataan, mereka saling menyukai antara satu sama lain. Segala-galanya bermula apabila mereka mula-mula berkenalan. Kita sentiasa mengukur tinggi rendah kuasa tarikan pasangan-pasangan yang kita kenal di sekeliling kita. Salah satu teori berkaitan dengan cinta ialah teori ambang cinta. Ini kerana setiap orang pernah mengalami keadaan yang dipanggil 'kesediaan' untuk bercinta, ataupun berada di ambang cinta. Keadaan ini berlaku apabila seseorang individu itu mengalami adanya pertembungan dua dorongan dalam diri ataupun jiwanya. Keadaan pertama, dia mengalami perasaan yang inginkan kehadiran cinta dalam hidupnya. Maknanya pada waktu ini, dia sedang bersendirian dan tidak memiliki sesiapa pun untuk dicintai. Keadaan seperti ini biasa dialami oleh si bujang dan mereka yang sudah bercerai dengan pasangan masing-masing. Rasa sepi menyebabkan mereka sentiasa mengharap agar ada insan lain yang sudi mendampingi dan meyintai mereka. Mereka yang kesepian ini terbahagi kepada tiga golongan iaitu mereka yang cintanya tidak berbalas, mereka yang sedang menghadapi krisis percintaan dan mereka yang sedang menghadapi masalah dalam rumah tangga. Dorongan yang kedua, untuk jatuh cinta seseorang itu mesti bertemu dengan orang yang pada penglihatannya mampu memenuhi keperluannya. Bermakna, bagi yang sedang mencari cinta, mereka perlu melihat faktor penarik yang ada pada orang yang ingin dimiliki cintanya.Dua jenis faktor penarik iaitu yang pertama, keperluan-keperluan am seperti wang, seks, pekerjaan, jawatan, taraf sosial dan lain-lain. Faktor kedua adalah keperluan-keperluan psikologi seperti emosi, intelek dan rohani. Kita memulakan proses tertarik, berkenalan, jatuh cinta dan seterusnya berkahwin kerana didorong oleh semua keperluan ini. Kita sentiasa mengharap pasangan kita akan memenuhi keperluan kita yang begitu mendalam. Bagi sesetengah pasangan, itu yang dicari, itu yang dinikmati. Selamat bercinta dan selamat menikmati keindahan cinta!

Komen pengunjung:

Berikan komen anda:



Prof. J.T. Wood dalam bukunya Relational Communication menyenaraikan sepuluh tujuan mengapa perempuan bercakap: 1. Menjalin dan membina hubungan Matlamat utama perempuan bercakap-cakap dan berbual-bual adalah kerana hendak menjalin, membina dan mengekalkan perhubungan dan persahabatan. Perempuan mendapat keseronokan dan kepuasan melalui kegiatan berkenalan dan berkawan-kawan. Kegiatan berbual-bual menjadi cara utama yang mereka gunakan bagi mencapai matlamat itu. Ini berbeza sekali daripada tujuan mengapa lelaki bercakap. Mereka bercakap kerana mereka ada idea ataupun perkara yang hendak disampaikan, bukan kerana mereka hendak mencari kepuasan berbual-bual. Lelaki mendapat kepuasan berkawan-kawan dan berkasih sayang dengan cara melakukan kegiatan bersama-sama dengan orang yang mereka sukai. Percakapan yang menyeronokkan lelaki adalah percakapan berkenaan aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan, dan idea-idea yang mereka miliki. Oleh sebab itu, tujuan lelaki adalah bercakap bagi mengemukakan pendapat-pendapat mereka dan bagi menyampaikan arahan-arahan mereka. Jikalau tidak ada apa-apa pendapat ataupun idea, ataupun arahan yang hendak mereka sampaikan, lelaki tidak bercakap. Perbezaan ini menyebabkan perempuan dan lelaki masuk persatuan atas alasan yang berbeza. Perempuan masuk persatuan kerana dengan memasuki persatuan, mereka dapat berbual-bual dan menjalin persahabatan. Lelaki masuk persatuan kerana mereka berminat dengan objektif dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh persatuan itu. 2. Berkongsi pengalaman dan mendedahkan diri Perempuan suka menceritakan siapa dirinya dan segala perkara yang mereka alami kepada individu lain. Itulah sebabnya perempuan suka bercakap-cakap dan berbual-bual kerana hanya dengan cara itu mereka dapat menceritakan hal-hal berkenaan diri mereka. Perbuatan ini diistilahkan sebagai pendedahan diri. Maka, tidak hairanlah topik-topik popular di kalangan kaum perempuan apabila mereka berbual-bual adalah berkenaan diri mereka sendiri, suami, anak-anak, kaum keluarga dan berkenaan sahabat-sahabat mereka sendiri. Perempuan dapat mengalami perasaan puas hati melalui kegiatan pendedahan diri. Ini kerana, mereka percaya, dengan melakukan perbuatan itu, mereka berasa diri mereka diterima, dihargai, difahami dan disukai oleh individu-individu yang mendengar cerita-cerita mereka itu. Kajian-kajian menunjukkan perempuan suka kepada doktor-doktor yang mahu mendengar mereka bercerita. Ini berbeza daripada sifat lelaki. Mereka tidak suka mendedahkan diri mereka. Kepada lelaki, perbuatan mendedahkan diri membahayakan diri mereka, kerana mereka bimbang maklumat-maklumat itu akan menikam diri mereka sendiri. Itulah sebabnya, lelaki tidak suka bercakap tentang hal-hal peribadi mereka kerana maklumat-maklumat itu dapat digunakan oleh individu lain bagi melukai mereka. 3. Mencipta persamaan dan keserupaan Perempuan suka bercakap-cakap berkenaan perkara-perkara di mana mereka sama dan serupa dengan rakan bual mereka. Sebagai contoh, mereka suka bercakap berkenaan perkara-perkara yang sama-sama mereka minati ataupun sama-sama mereka benci, supaya dengan itu mereka berasa serupa dan setaraf. Perasaan seperti itu memang penting bagi menjalin persahabatan dan perasaan suka sama suka. Ini berbeza daripada lelaki. Mereka bercakap dengan tujuan hendak membayangkan status dan kuasa yang ada pada mereka. Oleh itu lelaki akan bercakap berkenaan perkara-perkara yang melambangkan status dan kuasa yang mereka miliki. Tidaklah hairan apabila lelaki suka bercakap tentang aktiviti-aktiviti yang berstatus dan berkuasa yang mereka lakukan. Dengan cara bercakap berkenaan perkara-perkara seperti itu, dengan halus mereka dapat memberitahu di mana mereka lebih istimewa ataupun berbeza daripada rakan-rakan bual mereka. 4. Menyatakan timbang rasa dan pengertian Perempuan suka berkongsi pengalaman dan perasaan dengan rakan-rakan bual mereka. Mereka suka berkongsi pengalaman-pengalaman yang serupa. Dengan cara itu mereka dapat menyatakan perasaan empati, saling faham memahami, timbang rasa dan belas kasihan terhadap satu sama lain. Ini berbeza daripada lelaki. Apabila lelaki berkongsi pengalaman, tujuan mereka adalah bagi menarik perhatian orang, dan bagi menunjukkan bahawa pengalaman mereka lebih luar biasa dan lebih hebat, ataupun lebih teruk lagi daripada apa yang dialami oleh rakan bual mereka. 5. Memberi dukungan emosi Perempuan akan bercakap dengan tujuan hendak memberi sokongan, dorongan dan bantuan perasaan kepada rakan bual mereka. Mereka bercakap bagi memberitahu bahawa mereka faham dan dapat merasai apa yang individu itu rasai. Ini berbeza daripada lelaki. Mereka bercakap bagi membantu orang menyelesaikan masalah mereka dengan memberi idea, cadangan ataupun nasihat supaya masalah itu dapat diselesaikan. 6. Mengajak individu lain ikut serta Perempuan suka mengajak individu-individu lain ikut serta bercakap-cakap dan berbual-bual dengan mereka. Ini kerana mereka lakukan dengan bertanya apa pendapat individu-individu itu dan menggalakkan mereka supaya bercakap dengan lebih panjang lebar berkenaan topik perbualan. Oleh itu mereka sanggup menunggu giliran bercakap supaya individu-individu lain juga dapat peluang bercakap. Ini berbeza daripada lelaki. Mereka tidak suka individu lain "merebut mikrofon yang mereka pegang". Sebaliknya, mereka suka merebut mikrofon dari individu lain. Kajian menunjukkan lelaki kerap mencelah individu lain, terutama apabila yang bercakap itu perempuan. 7. Memupuk perbualan supaya diteruskan Perempuan bercakap supaya perbualan mereka diteruskan berpanjangan. Ini mereka lakukan dengan cara menanya soalan-soalan dan berlakon seolah-olah mereka seronok mendengar apa yang sedang diperbualkan. Tujuannya adalah supaya mereka dapat terus bercakap-cakap. Bagi lelaki, setiap individu mesti menjaga urusan sendiri apabila bercakap. Mereka tidak berasa bahawa mereka bertanggungjawab menolong individu lain supaya dapat peluang bercakap. 8. Menunjukkan perasaan prihatin Perempuan bercakap bagi memberitahu rakan bual mereka bahawa mereka mengambil berat dan berminat mendengar apa yang dipercakapkan. Ini berbeza daripada lelaki. Mereka bercakap bagi memberitahu apa pendapat mereka sendiri dan bahawa pendapat mereka adalah lebih baik daripada pendapat rakan-rakan bual mereka. 9. Membenarkan individu lain bercakap Perempuan bercakap secara berlapik-lapik, supaya individu-individu lain masih dapat mengemukakan pendapat-pendapat mereka, supaya perbualan itu bertambah rancak dan memuaskan semua pihak. Lelaki pula bercakap dengan gaya asertif kerana mereka mahu individu-individu lain memandang dirinya seorang individu yang tegas, yakin dan berkuasa. 10. Mendalamkan lagi hubungan Bagi perempuan, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual adalah penting bagi menjalin hubungan dan kemesraan. Dengan bercakap-cakap mereka dapat mendalamkan lagi hubungan yang ada. Caranya adalah dengan membawa masuk perkara-perkara sampingan ke dalam perbualan itu. Dengan demikian, aktiviti perbualan itu menjadi luas dan bermakna kerana berbagai-bagai perkara dapat dikaitkan dan dibualkan. Tetapi, bagi lelaki, perbualan mesti mempunyai matlamat, dan perbualan yang bermakna adalah perbualan yang mencapai matlamat itu. Perkara-perkara sampingan yang kecil-kecil dianggap tidak ada kaitan dan hanya menyelewengkan perbualan itu daripada perkara-perkara pokok yang mesti dibincangkan. Itulah sebabnya, lelaki tidak suka perbincangan yang bertele-tele, seolah-olah tidak tentu hujung pangkal, seperti yang disukai oleh perempuan. Bagi lelaki, lebih cepat perbincangan itu mencapai matlamatnya, itu lebih baik. "Itu kan perkara kecil. Apa yang awak risaukan?" (salah) "Bukan itu maksud saya. Awak tidak faham." (salah) "Janganlah awak peduli perkara remeh itu." (salah) "Yalah, saya salah. Saya minta maaf. Awak betul." (salah) "Buat sajalah. Apa yang awak cakap-cakap lagi." (salah) "Apa yang awak cuba cakap ini?" (salah) "Kan kita selalu bercakap-cakap?" (salah) "Yang awak marah-marah ini, kenapa?" (salah) "Awak kata saya selalu tidak ada di rumah. Baru semalam saya di rumah sepanjang hari dengan awak." (salah) "Oke, oke. Saya tolong awak sidai kain. Awak rehatlah." (salah) "Kalau awak tidak suka buat kerja itu, janganlah buat. Kenapa awak hendak buat juga?" (salah) "Kita tidak dapat hendak buat apa-apa. Biarkanlah sahaja." (salah) "Kalau itu yang awak hendak, biar saya buat kerja itu. Jadi awak tidak payah risau lagi." (salah) "Jangan peduli cakap orang. Awak suka benar dengar cakap kawan-kawan awak." (salah) "Kalau awak sudah tahu, kenapa tidak buat sahaja?" (salah) "Kalau tidak suka, cakap. Saya dapat keluar." (salah) "Cakap sajalah, apa yang awak hendak?" (salah) "Jangan berleter." (salah) "Apa lagi yang tidak cukup?" (salah) "Ikut suka awaklah." (salah) Ayat-ayat di atas sama ada menidakkan, menasihati, menerangkan ataupun memberi cadangan jalan keluar. Kata-kata seperti itu menyakiti hati perempuan. Apabila perempuan bercakap, mereka akan memberi nasihat dan tunjuk ajar supaya suami mereka menjadi orang yang lebih baik. Bagi si isteri, dia cuba menasihati suami. Itu sahaja. Bagi lelaki, isterinya cuba mengongkong dirinya. "Buat apa awak beli kamera lagi. Yang ada itu pun masih baik. Janganlah kuat membazir. Membazir itu kawan syaitan." (salah) "Lantai itu masih basah. Janganlah pijak, nanti kotor." (salah) "Rambut awak itu sudah panjang. Pergilah gunting." (salah) "Pelan-pelan. Ada kereta di depan itu." (salah) "Awak ini asyik hendak pergi main golf sahaja dengan kawan-kawan awak. Saya ini, macam mana?" (salah) "Awak itu sudah tua. Janganlah kerja teruk-teruk . Rehatlah. Nanti awak sakit." (salah) "Jangan letak kasut di situ. Nanti hilang." (salah) "Kenapa tidak suruh orang potong rumput itu sahaja?" (salah) "Awak tidak pernah ada masa untuk anak-anak. Mereka pun tanggungjawab awak juga." (salah) "Awak ini asyik lupa sahaja pesan saya. Lain kali tulislah dalam diari awak itu." (salah) "Jangan letak kereta di sini. Nanti kita kena saman." (salah) "Awak jangan makan rendang ini. Banyak kolesterol. Makan sayur ini sahaja. Nanti sakit jantung, susah." (salah) "Baju awak itu tidak kena dengan warna tali leher awak. Tukarlah yang lain." (salah) "Awak tidak cakap awak hendak sambal belacan. Manalah saya tahu. Lain kali cakaplah awal-awal. Dapat saya buat." (salah) "Stoking busuk awak itu, janganlah letak dalam kasut sahaja. Masukkan dalam bakul kain itu." (salah) "Siapa buka ubat gigi, tetapi tidak tutup balik, ini?" (salah) "Kereta awak itu sudah macam kereta kontraktor kotornya. Eloklah awak basuh biar nampak bersih." (salah) "Lengan baju awak kotor. Pakai baju baik-baiklah sedikit." (salah) "Awak ini berdengkur kuat sangatlah, sampai saya susah hendak tidur." (salah) Ayat-ayat di atas mengandungi kritikan ataupun nasihat supaya si suami dapat memperbaiki sikap dan tabiat-tabiatnya. Bagi lelaki, ayat-ayat di atas menuduh dirinya adalah masalah kepada si isteri. Itulah sebabnya, lelaki "pekak" kepada teguran-teguran dan nasihat-nasihat isteri mereka. Kata-kata di atas menyakitkan hati orang yang menerima kata-kata itu. Kajian menunjukkan perempuan lebih mudah menyatakan perasaan dibandingkan dengan lelaki. Dalam mencipta kebahagiaan, perbuatan menyatakan perasaan adalah penting, tetapi ia ada risikonya. Risiko itu bukan pada perasaan yang dinyatakan, tetapi pada cara-cara kita menyatakannya. Apabila menyatakan perasaan, ada beberapa prinsip yang mesti dijaga. 1. Jangan gunakan ayat-ayat yang membawa makna "awak." "Awak tidak peduli saya." (salah) "Awak pentingkan perasaan awak sahaja." (salah) "Awak kejam." (salah) "Awak tidak nampakkah saya penat ini?" (salah) "Awak sudah gilakah?" (salah) "Awak buat saya macam hamba." (salah) Ayat-ayat di atas menunjukkan kita tidak mahu bertanggungjawab kepada perasaannya sendiri. Kita katakan "awak" yang bertanggungjawab membuatnya berasa begini. Ayat-ayat seperti ini bersifat ofensif, ataupun menuduh dan menyakiti hati orang yang dituduh. Apabila seseorang itu menggunakan ayat-ayat ofensif, orang akan membalas ayatnya dengan ayat ofensif juga. Cara yang betul adalah dengan menggunakan ayat-ayat yang membawa makna "saya." "Saya berasa macam tidak dipedulikan." (betul) "Saya berasa perasaan saya tidak dipentingkan." (betul) "Saya berasa seolah-olah saya dilayan dengan kejam." (betul) "Saya penat." (betul) "Saya tidak faham awak." (betul) "Saya berasa macam hamba." (betul) Ayat-ayat "saya" tidak menuduh sesiapa. Perasaan itu adalah perasaannya. Kita bertanggungjawab atas apa yang dirasai. 2. Nyatakan betapa seriusnya perasaannya dengan jelas tanpa menuduh sesiapa dan tanpa mengadili. "Sakitnya hati saya macam hendak menangis rasanya." (betul) "Kalau saya ikut perasaan marah saya, saya tak mahu balik lagi ke rumah ini." (betul) "Kalau tidak kerana anak-anak biarlah saya keluar sahaja. Saya tidak tahan lagi. Tetapi saya ingat anak-anak." (betul) "Saya berasa saya ini macam kain buruk sahaja di rumah ini. Rasanya, saya langsung tidak berguna. Inilah perasaan saya sekarang." (betul) 3. Beritahu perasaan yang dirasai dengan jelas. "Saya marah." (betul) "Saya kecewa." (betul) "Saya sakit hati, saya sedih, saya malu." (betul) "Saya berasa seperti saya ditipu, dikhianati, ditikam dari belakang." (betul) "Saya takut." (betul) "Saya bimbang, sangsi, ragu." (betul) "Saya hilang kepercayaan." (betul) 4. Terangkan keadaan yang bagaimana yang menyebabkan kita berasa begitu. Tetapi jangan menuduh sesiapa. "Bila awak diam tidak mahu bercakap dengan saya, saya berasa jauh hati." (betul) "Saya tidak seronok bila awak potong cakap saya." (betul) 5. Jangan sekali-kali gunakan ayat-ayat "tanpa kecuali." Ayat-ayat jenis ini ofensif, "Awak tidak pernah ingat saya." (salah) "Awak memang tidak suka saya ikut." (salah) "Awak sentiasa lupa pada saya." (salah) "Awak selalu tidak dengar bila saya bercakap." (salah) "Sejak bila pula awak baik hati ini?" (salah) "Semua orang kata awak itu tidak peduli keluarga." (salah) "Dari dulu sampai sekarang awak macam itulah." (salah) "Bila pula awak ingat saya?" (salah) "Awak itu bangsa pelupa." (salah) Kalau puan bercakap dalam bahasa Inggeris, jangan gunakan perkataan "never" dan "always." 6. Beritahu dengan terus terang apa yang kita mahu pasangannya lakukan. "Tolong puji saya sekali-sekala." (betul) "Tolong rendahkan sedikit suara awak." (betul) "Tolong sidaikan kain." (betul) "Tolong urut saya." (betul) "Saya ingin keluar berdua sahaja dengan awak." (betul) "Marilah, duduk di sini dengan saya." (betul) "Peluk saya lama-lama sedikit." (betul) "Potongkan kuku saya." (betul) "Tolong layan saya bila makan." (betul)

Komen pengunjung:

  1. Azmi Mamat

    01 Mar 2010
    3:23 PM

    test

Berikan komen anda:



Komen Terkini

  1. Tidakku Duga Kau Pergi Jua

    cite menarik….

    oleh noor emylia pada 2011 08 28
  2. Penulis Perlu Diberi Lesen - Rais Yatim

    ok je

    oleh noor emylia pada 2011 08 28
  3. Komik-M Sesuai Jadi Duit Raya

    menarik tetapi harga yg tak sesuai kepada peniaga, hanya menguntungkan pts…dan syarikat besar spt borders,mph, popular… kalau peniaga marhaen, buku rm6.90 diminta diskau rm5 oleh pembeli, mudah bayar. peniaga marhaen…

    oleh spamjub pada 2011 08 22
  4. Pesta Buku Selangor: Booth PTS Sedia Kaunter Cabutan Bertuah

    nak tanya, ada tak buku buku untuk exam kakitngan kerajaan dijual?tq

    oleh norza pada 2011 06 24
  5. Novel Terbaru Bahruddin Bekri Jadikan Pembaca Sebagai Penulis

    Bagi yang membaca,saya harap novel karya Bahruddin Bekri kali ini memuaskan anda. Dan percayalah..tak rugi untuk mendapatkan novel yang penuh dengan pengajaran ini.

    oleh Insan Melankolik pada 2011 06 07

Kategori

Arkib Berita