PTS Profesional Sdn Bhd yang menerbitkan buku-buku bisnes dan pengurusan membawakan buku-buku bisnes terbaik dalam dunia Islam bagi masyarakat mengetahui selok belok perniagaan berlandaskan Islam.
Terbaru, PTS Profesional membawakan buku Rahsia Jutawan Islam Abdul Rahman Bin Auf. Buku yang dilengkapkan dengan 8 amalan takwa, panduan bisnes sepanjang zaman serta FAQ salah faham kepada Abdul Rahman Bin Auf.
Sebelum ini PTS juga membawakan buku Rahsia Bisnes Isteri Nabi Khadijah dan Jejak Bisnes Rasul bagi memberi pendedahan kepada umum mengenai cara berniaga dalam Islam.
Lebih menarik, PTS Profesional juga membawakan buku Minda Jutawan Gaya Trump. Terokai bagaimana Trump yang dahulunya pernah bangkrup mampu bangkit dan kembali menguasai dunia koporat. Buku terbaru yang masih panas di gudang PTS ini membawakan bagaimana mahu menjadi minda jutawan seperti Trump.
Sebelum ini, PTS Profesional juga turut menerbitkan buku Berfikir Gaya Trump dan Pengaruh Gaya Trump bagi mendedahkan gaya pemikiran tokoh-tokoh Malaysia dan antarabangsa yang berfikir sama seperti Donald Trump.
Dapatkan buku-buku menarik ini yang masih panas di pasaran dengan melayari www.bookcafe.com.my atau di rangkaian kedai buku yang memasarkan buku terbitan PTS.
Selain menghasilkan buku-buku berilmu dan memandaikan bangsa, PTS juga sering menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan membantu golongan yang kurang berkemampuan walau di mana juga mereka berada.
Terbaru, PTS Islamika Sdn Bhd bergabung tenaga dengan Serikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) bagi menganjurkan komuniti SIGMA bersama Anak Sabah 2011. Program ini diadakan bertujuan bagi menyokong permintaan penduduk Putatan, Sabah yang memerlukan bahan bacaan khususnya buku-buku Islam dan kerohanian.
Pengurus Penerbitan PTS Islamika Sdn. Bhd., Tuan Imran Azmi dalam kenyataan medianya menjelaskan PTS Islamika melalui pegawainya Cik Puan Nazirah Binti Abu Bakar juga membawa sejumlah buku untuk disumbangkan di perpustakaan sekolah dan desa di sana.
"Program ini bertujuan bagi menyokong permintaan penduduk Putatan, Sabah yang memerlukan bahan bacaan khususnya buku-buku Islam. Pada masa yang sama, beliau akan mempromosikan produk-produk terbitan PTS di sekolah-sekolah sekitar Putatan, Sabah. Pada akhir program, satu Forum Masyarakat Bersama PTS Islamika akan diadakan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung. Semoga program ini membawa keceriaan seterusnya membantu meningkatkan minat membaca di kalangan penduduk Putatan, Sabah," ujar Tuan Imran lanjut.
Sebagai maklumat, program ini berlangsung selama tiga hari bermula dari 21 hingga 24 Julai dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Y.A.B Datuk Musa bin Haji Aman. Semoga program yang diadakan ini dapat memberikan keceriaan seterusnya membantu meningkatkan minat membaca di kalangan penduduk Putatan, Sabah.
Bagi menyebarkan lagi ilmu, Biro Agama Kelab Sukan PTS menganjurkan program tazkirah kepada semua kakitangan di PTS.
Majlis tazkirah yang diadakan setiap hari Jumaat ini memberi peluang kepada semua kakitangan PTS mendapatkan dan mendalami ilmu bermanfaat dalam mencetuskan semangat mendalami ilmu agama khususnya bagi bekalan dan kebahagiaan di akhirat kelak.
Minggu ini menjadi minggu ketiga majlis tazkirah ini diadakan. Kakitangan PTS sendiri yang menyampaikan tazkirah.
Sesi Tazkirah yang diuruskan oleh Ustaz Zahiruddin Zabidi ini juga menjemput penceramah luar bagi menyampaikan tazkirah kepada kakitangan PTS yang hadir.
Kelab Sukan PTS ditubuhkan bagi memberi peluang kepada semua kakitangan PTS bergiat aktif dalam pelbagai bidang termasuklah bidang sukan dan kerohanian.
Selain mengadakan tazkirah di pejabat urusan dan jabatan editorial, Kelab Sukan PTS juga sering mengadakan pertandingan futsal, badminton, bowling dan sebagainya bagi mengeratkan hubungan anatara kakitangan di PTS.
Kerajaan negeri Selangor baru-baru ini melancarkan Dasar Pendidikan Tahfiz Al-Quran bagi melahirkan generasi penghafaz profesional menjelang tahun 2020.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyasarkan bagi melahirkan 500 golongan hafaz Al-Quran profesional menjelang 2020 ini.
Dasar pendidikan tahfiz Al-Quran itu juga akan disusun ileh Majlis Agama Islam Selangor bersama Jawatankuasa Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor.
Beliau yang dipetik media menjelaskan institusi Tahfiz yang ditubuhkan itu juga akan diuruskan secara profesional pada tahun 2015.
Tan Sri Khalid menjelaskan perkara itu ketika merasmikan majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri 2011 dan Pelancaran Dasar Pendidikan Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor.
Travelog Haji kini diterbitkan dengan edisi terbaru yang menampilkan penambahan isi yang memberi lebih banyak maklumat dan memberi keinsafan kepada pembaca.
Buku yang ditulis oleh Prof. Dr Muhd Kamil ini mengisahkan tentang pengalaman dan catatan beliau berkait dengan ibadat haji yang dilaluinya sebelum ini.
"Ia catatan daripada seorang manusia yang kurang ilmu namun diberi hidayah daripada Allah," jelas Prof. Dr Muhd Kamil.
Beliau yang juga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor berkata tidak terfikir langsung akan menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah.
"Saya tidak mahu pergi haji kerana saya rasa jahil. Membaca al-Quran dan doa-doa dalam bahasa arab pun tidak pandai, apalagi mengenal huruf jawi. Saya berasakan diri saya jahil, seorang yang fakir dan amat hina pada pandangan Allah. Tetapi dengan izin, Allah menggerakkan hati saya untuk menunaikan haji setelah isteri saya berdoa selama enam tahun," jelas Prof. Dr. Muhd Kamil.
Beliau berkata, masih ramai di kalangan masyarakat hari ini yang beranggapan sukar untuk menjadi insan yang lebih patuh kepada Pencipta mereka.
Autobiografi hijrah sepanjang 249 muka surat ini menceritakan detik-detik beliau menemui kasih sayang dan mengenali sifat Rahim Allah.
Menurut Editor Senior PTS Islamika Sdn Bhd, Tuan Imran Azmi, buku Travelog Haji edisi baru ini bukan sekadar buku haji biasa.
"Buku Travelog Haji ini merupakan buku penuh penghayatan tentang ibadah haji. Ia menceritakan pengembaraan haji penuh keinsafan," jelas Tuan Imran.
Lebih menarik apabila buku Travelog Haji edisi kemas kini ini menampilkan rakaman audio ceramah Prof. Dr Muhd Kamil.
Selain itu, Travelog Haji edisi baru ini disertakan dengan penambahan gambar berwarna serta aktiviti penulis selepas pulang dari tanah suci.
Artikel dipetik daripada Cerita-cerita Motivasi untuk Ibadah Haji dan Umrah oleh Khair Abd. Salam dan Zulkifli Khair
Cerita Di Sebalik Bermalam Di Muzdalifah, Melontar Jamrah dan Korban
Rindu Nabi Ibrahim kepada Hajar dan Ismail sungguh memuncak. Lazimnya dia meminta seseorang datang menjenguk mereka berdua lalu menyampaikan perkhabaran dan keadaan masing-masing. Selepas beberapa tahun berlalu, Nabi Ibrahim mengambil keputusan bertemu isteri kedua dan anaknya dengan pengetahuan Sarah.
Mekah kini sudah tidak seperti dahulu lagi. Mekah adalah sebuah penempatan berbanding padang pasir tandus sewaktu sebelumnya. Malah ia sering dikunjungi dan disinggahi orang terutama di kalangan pedagang. Semuanya disebabkan kemudahan air daripada telaga zamzam dan keadan tanah sekitarnya yang subur.
Sewaktu Nabi Ibrahim tiba di Mekah, Hajar dan Ismail tiada di situ. Selepas bertanya beberapa orang, Nabi Ibrahim pun menuju ke Arafah kerana dikatakan Hajar dan Ismail mengembala kambing di sana. Akhirnya, bertemulah tiga beranak di situ selepas bertahun-tahun berpisah, melepaskan rindu rendam masing-masing. Mereka malah sama-sama mengucapkan takbir dan tahmid sebagai tanda syukur kepada Allah.
Pada sebelah petang, mereka bergerak kembali ke Mekah. Sebaik sahaja tiba di kawasan Muzdalifah (di dalam Quran, ia dikenali sebagi Masyaril Haram), mereka terlena keletihan. Dalam tidur, Nabi Ibrahim bermimpi, Allah memberi arahan supaya menyembelih anaknya yang dikasihi iaitu Ismail sebagai korban.
APabila terjaga, Nabi Ibrahim menceritakan mimpinya kepada Ismail. Ismail dengan rasa tenang dan penuh taat kepada Allah pun membalas, "Wahai bapaku, laksanakan apa yang diperintahkan Allah itu, aku tabah, insya-Allah."
Nabi Ibrahim akur. Semuanya ini dugaan dan cubaan daripada Allah. Sudahlah Ismail ditinggalkan di tanah tandus sejak bayi, kini diduga Allah pula supaya disembelih sebagai korban manakala Ismail satu-satunya cahaya mata selepas berpuluh-puluh tahun menunggu dan mengimpikan seorang anak.
Siapa sangka, baru beberapa jam dengan anak yang dirindui selepas bertahun-tahun tidak berjumpa, kini hendak disembelih pula dengan tangan sendiri. Walau bagaimanapun, dengan keimanan yang mutlak kepada Allah, Nabi Ibrahim segera melaksanakan perintah itu.
Dalam perjalanan, mereka bertemu seorang lelaki yang bertanya khabar dan tujuan. Maka dijelaskan tujuan berdasarkan wahyu Allah. Lelaki berkenaan tidak bersetuju dengan tujuan mereka itu. Diberinya pelbagai alasan, menyembelih anak sendiri hanyalah satu kezaliman.
Mereka sedar, lelaki berkenaan hanyalah iblis jelmaan manusia yang gemar menghalang manusia daripada melaksanakan perintah Allah. Tanpa berlengah, mereka melontar batu ke arah manusia iblis itu berulang kali sehingga mati. Dipercayai, tempat itu kini dikenali sebagai Jamratul Ula di Mina.
Cerita tidak berhenti di situ, kezaliman Iblis memesongkan manusia daripada keimanan dan kebenaran tetap tingi. Seorang lelaki lain muncul dengan penampilan serupa dan melarang daripada melaksanakan perintah Allah. Nabi Ibrahim dan Ismail tiada pilihan melainkan melontar batu ke arahnya sehingga mati.
Lelaki lain yang serupa muncul lagi dan dia juga menerima cuba membuat hasutan yang serupa, tetapi akhirnya menerima padah yang sama iaitu mati di lontar batu. Sekiranya sebelum ini tempat kejadian dikenali sebagai Jamratul Ula, tempat-tempat dua lelaki Iblis penghasut seteusnya mati kini dikenali sebagai Jamratul Wusta dan Jamratul 'Aqabah.
Kemudian,mereka pun menuju ke arah sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Malaikat di Mina. Nabi Ibrahim bersiap-siap dengan pedang tajam, manakala Ismail merebahkan tubuh ke bumi sambil menziarahi lehernya di atas sebuah batu sebagai tanda bersedia disembelih.
Keadaan Ismail itu tentulah menyentuh perasaan dan nurani kedua ibu bapanya, Nabi Ibrahim dan Hajar. Ismail antara lain mencadangkan supaya pedang diasah sehingga tajam manakala wajahnya ditutup dengan baju supaya tidak kelihatan oleh ibu bapanya terutamanya si bapa yang melaksanakan upacara penyembelihan nanti.
Sebaik sahaja Nabi Ibrahim mahu menyembelih Ismail, tiba-tiba kedengaran suatu suara dari puncak bukit memanggil namanya, "Wahai Ibrahim, sesungguhnya engkau sudah bersiap sedia melaksanakan perintah Allah sebagaimana dalam mimpi engkau. Kami membalas segala ketaatan engkau itu."
Dikatakan malaikat membawa turun seekor kibas yang sungguh gemuk lagi sihat. Berkatalah malaikat, "Wahai Ibrahim, sembelih kibas ini sebagai ganti anakmu Ismail, makanlah dagingnya, jadikan hari ini sebagai hari raya (korban), dan sedekahkan sebahagian daripada dagingnya kepada orang fakir miskin."
Maka, Ismail kembali berdiri. Kali ini kibas yang menjadi korban sembelihan. Allah menjelaskan yang bermaksud, "Kami tebus dia dengan satu sembelihan yang agung."
Hadi dakwa demokrasi Malaysia mirip komunis
MARANG 11 Mei – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mendakwa Malaysia sebuah negara demokrasi mirip komunis kerana tidak melaksanakan kebebasan yang sebenar.
Beliau mendakwa, pihak pemerintah dengan cara halus menggunakan sistem pilihan raya untuk mengekalkan kuasa termasuk memecahkan sempadan kawasan pilihan raya apabila kedudukan mereka didapati tergugat.
“Ya, walaupun ada parti komponen tetapi itu pun sudah hendak hancur.
“Demokrasi komunis ini adalah ke arah satu parti, Malaysia termasuk dalam kategori (itu),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku terbarunya Islam dan Demokrasi di Masjid Rusila dekat sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong.
Sambil mengiktiraf Iran dan Sudan sebagai antara negara yang mengamalkan demokrasi sebenar, Abdul Hadi berkata, Malaysia perlu keluar daripada mengekalkan demokrasi yang dianggap tidak bertepatan dengan kehendak Islam.
“Iran dan Sudan adalah contoh negara yang sedang ke arah melaksanakan demokrasi sebenar namun ia tidak diiktiraf oleh kuasa Barat,” katanya.
Ditanya mengapakah beliau membuat dakwaan sedemikian, beliau berkata, Malaysia memang mempunyai corak pemerintahan demokrasi mirip komunis iaitu se- dang menuju ke arah sistem pemerintahan satu parti.
“Jadi kita juga perlu lebih terbuka,” ka- tanya.
Mengenai buku tulisannya yang ke-20 itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Rhu Rendang berkata, ia tidak diterbitkan kerana kepentingan pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
“‘Buku ini tidak ada kaitan dengan pilihan raya tetapi ia adalah tulisan akademik yang tidak bergantung kepada bayang-bayang pilihan raya.
“Walaupun bayang-bayang (pilihan raya) dah ada, tapi tak lebih macam ramalan kaji cuaca, tak semestinya hujan dan kalau hujan pun, kita buka sajalah payung,” katanya.
Beliau juga berkata, Indonesia juga jauh lebih baik dalam soal pelaksanaan demokrasi Islam kerana mereka dilihat lebih terbuka dan memberikan peluang kepada rakyatnya termasuk melalui media untuk bersuara.
Mengapa Kita Disunatkan Melakukan Solat Tarawih?
Sesuai dengan pengumuman pemerintah, esok adalah awal Ramadhan, dan malam ini malam pertama kami salat tarawih. Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, jamaah tarawih malam pertama melimpah ruah hingga ke halaman masjid. Ibu, bapa, kakak, nenek dan anak-anak semua bersemangat bertarawih menyambut Ramadhan. Selepas tarawih kami makan malam bersama. Seperti yang dijanji, selesai santapan malam kita kembali ke ruang utama rumah dan menyambung diskusi.
Si sulung sudah terlebih dahulu menunggu di ruang utama, seolah-olah tidak sabar melontarkan pertanyaan-pertanyaan lagi. “Alhamdulillah, tadi kita sudah bertarawih. Anakanda melihat aktiviti yang menonjol dari datangnya bulan Ramadhan adalah berduyun-duyun masyarakat muslim melakukan salat tarawih mulai malam satu Ramadhan. Ada perasaan tenteram ketika kita salat tarawih bersama, tetapi mengapa salat tarawih hanya disunatkan pada bulan Ramadhan? Apakah ada kaitan antara salat tarawih dengan puasa pada bulan Ramadhan?
“Anakku, badan kita ini adalah mesin alam. Proses kerjanya seperti proses dari mesin yang dibuat oleh manusia seperti mesin fabrik atau kenderaan bermotor. Kereta dan motosikal yang kita miliki tidak boleh dipakai terus menerus tanpa baikpulih. Setiap bulan kita menggunakan motosikal sejauh 3000 km atau menggunakan kereta sejauh 5000 km, kenderaan ini perlu kita ‘tune up’. Minyak pelincir, pelumas, busi, platinum, brek, roda dan elektrik, semua diperiksa, distel atau diganti agar kenderaan menjadi elok untuk digunakan. Fabrik pembuat kereta menyampaikan panduan tentang jadual perawatan setiap komponen kereta itu. Kita sebagai pemilik dan pengguna wajib mengikut jadual itu. Bila tidak, kereta kita hanya berumur 3-5 tahun. Sedangkan bila dirawat (tune up) secara rutin, kita boleh menggunakan kereta itu hingga 15-20 tahun kemudian. Kereta kita menjadi kereta
tua yang antik kerana masih baik di lebuh raya. Tetapi , tentu kita berharap dua puluh tahun akan datang, fabrik kereta tetap menyediakan suku cadangannya.
Begitu juga manusia. Kita perlu merawat tubuh dan mental kita agar boleh beraktiviti secara normal dan produktif. Salah satu perawatan tubuh dan mental adalah dalam bentuk berpuasa sebulan penuh di bulan Ramadhan. Ketika itu kita sempat untuk memeriksa, membersihkan racun atau mengganti sel-sel tubuh yang tua dan mati. Ketika puasa Ramadhan juga ada kesempatan untuk meningkatkan kecerdasan dan sikap mental kita. Oleh itu kita tidak boleh mensia-siakan, bahkan kita perlu membuat program agar kesempatan perawatan fisik tubuh dan kecerdasan mental dapat dilaksanakan dengan jayanya. Bersedekah, mengaji, bertarawih dan melakukan perkara sunat lain adalah perkara-perkara yang turut mendukung kejayaan ‘tune up’ tubuh dan mental kita melalui program puasa Ramadhan ini.
Kecerdasan mental dilihat dari paradigma-paradigma atau tanggapan yang dimilikinya. Kecerdasan mental juga dilihat dari cara seseorang bereaksi atau memberikan tanggapan. Persepsi dan reaksi pertama muncul kerana perrkara itu telah terbentuk dalam memori dan pola fikir kita. Misalnya, ketika kita melihat lenggok penyanyi dangdut, paradigma yang ada di dalam kepala kita menentukan apakah seni yang harus dikembangkan, atau tarian erotis yang harus dilarang. Paradigma itu juga menunjukkan reaksi awal kita apakah ketika melihat acara lenggok di TV, kita menghindar atau asyik menonton. Semua itu bergantung pada paradigma tentang seni dan nilai agama yang berkembang dalam fikiran kita.
Manusia berfikir dengan otak. Di dalam otak kita ada sekitar 14 juta sel otak. Setiap sel otak mempunyai kemampuan untuk menerima informasi dari ribuan sel otak lain. Setiap sel otak mampu mengirim informasi yang ia miliki kepada ribuan sel otak lainnya. Sel-sel otak yang bersebelahan dapat menerima informasi yang sama yang berasal dari sel otak lainnya. Tetapi kedua sel yang bertetangga ini, informasi yang sama itu belum tentu diteruskan ke bahagian sel yang sama.
Seperti kejadian di atas. Beberapa sel otak menerima informasi ada acara goyang lenggok. Salah satu sel otak mengirim informasi tentang goyang lenggok ini kepada sel otak lain yang khusus membahas tentang lagu dangdut, sel otak khusus seni tari, khusus keindahan gerakan, khusus hiburan masyarakat, khusus kemerdekaan berekspresi dan sel-sel otak lain yang mendukung dikembangkan pentas goyang lenggok. Sementara sel otak lain yang menerima informasi yang sama, akan mengirimkannya ke sel-sel otak yang berbeza. Sel otak kedua ini akan mengirim ke sel-sel otak khusus cabul, aurat, zina, haram, dosa dan sel-sel otak lain yang cenderung menghindar atau tegas melarang adanya goyang lenggok.
Kerana kedua sel bertetangga ini mempunyai pendapat dan persepsi yang berbeza, perkara ini menyebabkan secara parallel/bersamaan otak berfikir ke dua arah. Di satu sisi ingin menonton goyang lenggok, di sisi lain ingin menghindari. Bila tidak segera membuat keputusan, otak akan berada dalam keadaan bimbang. Kebimbangan itu menghabiskan tenaga, bahkan bila dibiarkan akan merosak jaringan dan sel otak.
Agar dalam hidup ini kita terhindar dari kebimbangan berkelanjutan, sel-sel otak secara proaktif, atas kesedarannya sendiri, saling bertukar fikiran dan melakukan penyelarasan persepsi. Ada dua cara penyelarasan persepsi yang dilakukan oleh sel-sel otak kita, iaitu penyelarasan antara satu sel dengan satu sel di sebelahnya, dan yang kedua adalah penyelarasan serentak oleh seluruh sel otak.
Penyelarasan jenis pertama dilakukan oleh dua sel otak berdekatan yang berbeza persepsi. Bila diidentifikasi ada perbezaan persepsi antara dua sel yang berdekatan, kedua sel otak itu saling mendekat dan menempel. Selanjutnya kedua sel otak, masing-masing membentuk connexon yang selanjutnya menyepakati tempat pertemuan antara connexon dari kedua belah pihak. Di tempat pertemuan itu, kedua connexon membentuk jambatan informasi, di mana connexon sel otak yang pertama memberi informasi kepada connexon sel otak yang kedua. Begitu juga sebaliknya. Setelah saling berbagai informasi, keduanya sepakat untuk menyamakan persepsi. Penyamaan persepsi ini didasarkan informasi dukungan terbanyak dari sel-sel otak lainnya. Bila sel otak pertama selama ini berkomunikasi dengan sel-sel otak lainnya, lebih banyak dan lebih sering dibandingkan sel otak kedua, maka kedua sel sepakat bahawa persepsi yang digunakan adalah persepsinya sel otak pertama. Dengan pertukaran informasi dan kesepakatan ini, selanjutnya connexon sel otak kedua kembali ke inti sel dan melaporkan dan membentuk persepsi baru. Dengan demikian, bila kedua sel ini menerima informasi yang sama, keduanya telah mempunyai persepsi yang sama.
Penyelarasan tipe kedua terjadi pada seluruh sel otak. Bagaikan sapu jagad, seluruh sel otak didoktrinasi oleh satu persepsi yang sama. Semua sel otak diarahkan untuk menolak goyang lenggok. Kalau ada sel otak yang tertarik kerana lagunya bagus, dengan doktrinasi ini sel otak itu menolak kerana masih banyak lagu bagus lainnya. Kalau ada sel otak yang tertarik kerana gerakannya sihat, maka dengan doktrinasi ini sel otak itu akan menolak kerana masih banyak olah raga sihat lainnya. Dan seterusnya sehingga tak ada satu sel otak pun yang mempunyai kesimpulan berbeza. Jadi, bila ada tontonan goyang lenggok lagi, otak sudah tidak keliru lagi., tinggal pindah saluran televisyen atau matikan TVnya.
Proses komunikasi penyamaan persepsi antara satu sel otak dengan satu sel otak lainnya disebut dengan istilah gap junction. Sedangkan proses komunikasi massal kepada seluruh sel otak disebut dengan proses binding. Keduanya dikesan melalui getaran gelombang EEG, iaitu getaran 200 hz untuk proses gap junction dan 40 hz ketika terjadi proses binding pada otak. Kedua proses ini terjadi di sela-sela saat otak berada pada gelombang teta (1-4 hz), iaitu pada keadaan kita mengantuk atau tertidur. Jadi ketika kita mengantuk atau tidur, otak mencari-cari kesempatan untuk saling berkomunikasi menyamakan persepsi. Semasa tidur otak juga merapikan catatan-catatan fikiran kita untuk dijadikan memori.
Salat, selain merupakan aktiviti kita untuk ingat dan berkomunikasi dengan Allah S.W.T, juga bermanfaat dalam membangun paradigma dan kecerdasan berfikir kita serta ketenangan dalam mengambil keputusan.
Ketika terjadi pembentukan dan penyamaan persepsi antara sel otak, apa yang ada dalam benak kita ketika itu, menjadi sangat penting. Kalau kita sedang berfikiran buruk dan di bawa tidur, otak kita membentuk persepsi buruk dan disimpan dalam memori kita. Oleh itu, menjelang tidur sebaiknya otak kita dipenuhi dengan fikiran-fikiran positif. Fikiran positif yang paling penting bagi manusia adalah Keesaan Allah S.W.T., pemahaman sistem semesta, tekad untuk berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran dan rasa bersyukur.
Dengan demikian, jelaslah bagi kita waktu menjelang tidur atau ketika terjaga di tengah malam merupakan waktu yang sangat penting bagi keseluruhan cara berfikir kita. Biasanya reaksi kita terhadap sesuatu perkara, merupakan cerminan dari memori dan persepsi yang dibangun pada malam hari. Oleh itu, dianjurkan kita untuk berzikir dan berdoa menjelang tidur dan juga berupaya menyempatkan diri berzikir dan berdoa ketika terbangun di tengah malam.
Solat tarawih adalah solat malam setelah isya, dan tarawih dilakukan cukup lama dengan jumlah 8 atau 20. Bila dilakukan dengan khusyuk, lamanya solat ini memberi kesempatan pada otak untuk berada cukup lama pada gelombang alpa dan teta. Kedua gelombang ini menggambarkan keadaan tubuh dan fikiran kita berada dalam tenang dan jernih. Dengan bacaan-bacaan yang positif, otak sedang persiapkan membangun persepsi yang positif. Bila kita khusyuk, pada saat solat isya, tarawih dan witir, otak berkesempatan melakukan gap junction dan atau binding. Bila belum sempat, proses itu akan dilakukan tidak lama kemudian, ketika kita mengantuk dan tidur. Bila jarak rumah ke masjid cukup jauh, ada baiknya kita melewatkan salat witir di rumah agar tidak lama setelah salat witir kita mengantuk dan tertidur dan kita berjaya membangun persepsi atau paradigma positif dalam otak kita.
Membangun persepsi positif dalam otak, sangat membantu kita dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Kita jadi lebih maklum dan sabar menghadapi tingkah laku orang lain mahupun cubaan. Kita terhindar dari niat untuk mencelakakan orang lain, merosakkan alam atau menjerumuskan diri sendiri. Kita selalu optimistik di balik cubaan dan godaan itu ada penyelesaian yang baik. Solat, selain merupakan aktiviti kita untuk ingat dan berkomunikasi dengan Allah S.W.T., juga bermanfaat dalam membangun paradigma dan kecerdasan berfikir kita serta ketenangan dalam pengambilan keputusan. Solat mencerdaskan otak kita, sehingga kita mampu berfikir jernih dan selalu menghindari keinginan-keinginan untuk berbuat keji dan mungkar.
“Bacakanlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab (Al-Quran)dan dirikanlah salat, sesungguhnya salat mencegah dari yang keji dan mungkar, dan sesungguh Allah S.W.T mengingat (kamu) lebih besar (banyak). Dan Allah S.W.T. mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan,” (QS Al-Ankabut [29]:45).
Pada setiap rakaat solat kita membaca surah Al-Fatihah. Al-Fatihah adalah pembukaan Al-Quraan, sekaligus merupakan ringkasan dari kandungan ilmu yang terkandung dalam Al-Quran. Itulah sebabnya Al-Fatihah disebut juga sebagai tujuh ayat yang diulang-ulang. Setiap ayat Al-Quran menerangkan atau menjelaskan ayat-ayat Al-Fatihah. Jadi seluruh ilmu Al-Quran terangkum dalam Al-Fatihah. Bila ilmu mencerminkan kecerdasan, seluruh kecerdasan manusia dicerminkan dalam surah Al-Fatihah. Sesuai dengan jumlah ayat Al-Fatihah, Al-Quran menunjukkan ada tujuh kecerdasan utama pada diri manusia, iaitu:
1.Kecerdasan Rohani (Spiritual Quotient, SQ)
2.Kecerdasan Intelek (Intelligence Quotient, IQ)
3.Kecerdasan Emosi (Emotional Quotiant, EQ)
4.Kecerdasan Visi (Vision Quotient, VQ)
5.Kecerdasan Organisasi (Organizational Quotient, OQ)
6.Kecerdasan Kepimpinan (Leadership Quotient, LQ)
7.Kecerdasan Sosial (Society/Relationship Quotient, RQ)
Jadi otak kita pada malam-malam bulan Ramadhan lagi cerdas, lebih baik bila kita membaca Al-Quran. Atau setidaknya memperbanyak membaca ringkasan Al-Quran, iaitu Al-Fatihah. Dua puluh rakaat salat tarawih sudah cukup untuk mengasah ketujuh kecerdasan otak kita tersebut.
Solat tarawih yang panjang juga merupakan senaman dan stretching menjelang tidur. ‘Senaman’ ini mengaktifkan fibroplasts untuk membuat collagen. Collagen ini sangat diidamkan terutama oleh kaum wanita, kerana ia berperanan menjaga kelunturan kulit kita, sehingga kulit dilihat tegang dan halus.
Menurut ilmu tentang cahaya, permukaan yang rata akan memantulkan seluruh cahaya yang datang dari sudut pantul yang sama. Sedangkan permukaan tidak rata akan memantulkan cahaya secara tidak merata. Kereta kita yang baru dicuci apalagi bila diberi ’kilat’, dilihat lebih bercahaya, lebih bersinar dan boleh dipakai untuk ngaca. Sedangkan kereta yang berdebu dan kotor dilihat pudar tidak bercahaya. Begitupun kulit kita, kulit yang mengandung collagen lebih halus dan memantulkan sinar secara terarah sehingga dilihat bersih dan bercahaya.
Rasulullah S.A.W. bersabda, “Sesungguhnya aku tahu yang kalian lakukan semalam. Tidak satu pun yang menghalangiku untuk keluar kepada anda sekalian, melainkan hanya kerana aku takut kalau solat tarawih itu menjadi wajib bagimu,” (HR Muslim).
Menurut ilmu cahaya, benda berwarna putih akan memantulkan seluruh spektrum cahaya yang datang kepadanya, sedangkan benda berwarna hitam akan menyerap seluruh spektrum cahaya. Begitupun kulit kita. Warna kulit yang lebih terang lebih dilihat bercahaya dibandingkan warna kulit yang lebih gelap. Warna kulit mnusia ditentukan oleh kadar warna gelap pada melanin. Gelap atau terangnya melanin ditentukan berdasarkan analisis kadar ultra violet yang mengenai kulit kita. Matahari mempunyai kadar ultra violet yang tinggi, sehingga orang yang kulitnya sering terkena sinar matahari cenderung lebih gelap.
Aktiviti malam mengaktifkan sensor di kulit untuk menganalisis kadar ultra violet yang mengenai kulit selama seharian. Tentu saja kadar ultra violet pada malam hari sangat rendah. Analisis ini disimpan dalam memori, sehingga pada saatnya pembentukan melanin baru, kadar warna gelapnya tidak banyak dan warna kulit kita dilihat lebih putih. Sehingga bagi mereka yang berpuasa pada siang hari aktif pada malam hari, cenderung membentuk melanin yang lebih terang.
Anakku, akhirnya kita memahami manfaat salat sunat tarawih baik dari segi membangun persepsi, meningkatkan kecerdasan, mahupun dalam membuat kulit kita menjadi lebih putih, lebih cerah, dan muda kembali. Dibandingkan bulan lain, dengan berpuasa pada bulan Ramadhan, peremajaan sel-sel tubuh kita lebih terjamin kualitinya. Jadi, jangan tinggalkan solat tarawih, termasuk malam-malam akhir Ramadhan. Pada umumnya kita mulai malas solat tarawih pada malam-malam itu, padahal kita tahu bahawa peremajaan kulit kita terjadi setiap empat minggu, dan lailatul-qadar berpeluang terjadi pada malam-malam terakhir Ramadhan.
Dari Aisyah r.a., katanya: Pada suatu malam pada bulan Ramadhan,Rasulullah S.A.W. salat di masjid, lalu diikuti oleh beberapa orang sahabat.Kemudian (malam kedua)beliau diikuti oleh lebih banyak orang, iaitu satu kabilah. Kemudian pada malam ketiga atau ke empat mereka berkumpul lebih banyak lagi. Tetapi Nabi S.A.W. tidak keluar mendapatkan mereka. Setelah subuh, beliau bersabda, “Sesungguhnya aku tahu apa yang yang kalian lakukan semalam. Tiada satu pun yang menghalangiku untuk keluar kepada anda sekalian, melainkan hanya kerana aku takut kalau salat tarawih itu menjadi wajib bagimu,” (HR Muslim, 734)
Walaupun kita sudah tahu manfaatnya tetapi salat malam yang wajib adalah salat Isya, sedangkan tarawih itu bersifat sunnah
Anak kami merenung sejenak, “Oo, pandai iklan lotion pemutih kulit selalu mengandung sun block yang memantulkan sinar ultra violet. Pandai juga iklan tersebut menjamin terjadinya perubahan kulit yang lebih putih dalam 4-6 minggu.”
Antaranya baginda telah menunjukkan bahawa politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Semasa baginda berada di mekah, baginda adalah ketua umat Islam. Oleh kerana baginda adalah individu yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam, maka secara tidak langsung baginda juga bertindak sebagai ketua agama. Namun pada masa itu, orang Islam disifatkan sebagai golongan minoriti sahaja. Pentadbiran kota Mekah dipegang oleh golongan Musyrikin Quraisy. Ini bermakna, kaum Muslimin tidak mempunyai kuasa politik. Malah, baginda sebagai ketua kaum Muslimin juga tidak mempunyai kuasa politik. Sebaliknya, mereka semua tertakluk pada kuasa dan pentadbiran Musyrikin Quraisy. Kerana itu, mereka begitu mudah dianiaya secara fizikal oleh golongan itu.
Apabila umat Islam berhijrah ke Madinah pun, Nabi Muhammad s.a.w. masih bertindak sebagai ketua agama. Tanggapan bahawa baginda adalah ketua agama dapat difahami dengan mudah kerana bagindalah yang bertanggungjawab menyebarkan agama itu. Baginda jugalah yang bertanggungjawab mengajar umat Islam tentang kandungan ajaran tersebut. Oleh itu, tidak syak lagi bahawa baginda adalah orang yang paling sesuai dan wajar untuk disebut sebagai ketua agama.
Walaupun sudah mempunyai kuasa agama namun, apa yang berlaku dalam kehidupan baginda di Madinah jelas menunjukkan bahawa baginda juga sebenarnya memegang kuasa politik. Ini terbukti daripada salah satu fasal dalam Sahifah Madinah yang mengakui baginda sebagai kuasa tertinggi di Madinah. Fasal tersebut menyatakan bahawa apabila berlaku perselisihan di kalangan kaum yang tinggal di Madinah, mereka hendaklah merujuk kepada baginda. Kuasa politik di Madinah begitu mudah diperoleh kerana baginda tiba di Madinah tepat pada masa penduduk Madinah khususnya puak Arab berada dalam keadaan memerlukan ketua yang dapat menyatukan sesama mereka.
Jelas di sini bahawa Nabi Muhammad s.a.w. memegang kuasa daripada segi agama dan juga politik. Baginda tidak pernah memisahkan antara kedua-dua aspek ini. Kuasa agama adalah penting kerana baginda adalah pembawa risalah Islam. Oleh itu, kuasa agama perlu dipegang oleh baginda supaya ajaran Islam dapat disebarkan tanpa sekatan. Kuasa politik juga penting kepada baginda sekurang-kurangnya bagi memastikan kuasa agama yang dipegang dapat dimantapkan. Ini kerana orang yang memegang kuasa politik selalunya diiktiraf sebagai pemerintah negara dan mereka juga berhak menentukan hala tuju negara termasuk hala tuju agama. Apabila kuasa politik dipegang oleh orang lain yang tidak memegang kuasa agama, tentu sekali hala tuju agama itu sukar ditentukan. Dalam kes ini, baginda memiliki kedua-dua kuasa iaitu agama dan politik semasa baginda berada di Madinah. Ini secara tidak langsung memudahkan baginda menguruskan negara Madinah daripada segi politik dan menyebarluaskan Islam daripada segi agama.
Selain itu, kepakaran baginda sebagai ahli politik juga terserlah apabila baginda menunjukkan contoh teladan bahawa politik dan agama perlu dipegang oleh orang Islam. Dalam hal ini baginda adalah orang yang bertanggungjawab ke atas kedua-dua perkara itu. Baginda adalah ketua agama. Ini terbukti apabila baginda menjadi tempat rujukan orang Islam dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam. Cuma, dalam sesetengah keadaan, baginda menjadikan sahabat-sahabat tertentu sebagai tempat rujukan masyarakat dalam hal-hal berkaitan agama. Ini berlaku apabila penganut Islam semakin bertambah dan mereka datang dari pelbagai tempat. Dalam hal ini, baginda merasakan perlunya melantik individu tertentu bagi menerangkan dengan lebih mendalam berkenaan dengan agama kepada saudara baru itu. Ini bagi memastikan saudara baru itu tidak hanya Islam pada nama sahaja. Sebaliknya, mereka perlu diajarkan intipati ajaran Islam itu sendiri.
Antara sahabat yang pernah dilantik bagi mengajar agama kepada saudara-saudara baru adalah Mus’ab bin ‘Umayr. Manakala sahabat yang pernah menjadi rujukan bagi mempelajari agama Islam pula ialah Abdullah bin Mas’ud, Ubay bin Ka’b dan Mu’adh bin Jabal. Apa yang jelas di sini, segala perkara yang berkaitan dengan bidang agama perlu dirujuk kepada orang Islam. Orang Islam itu pula tidak semestinya baginda sendiri tetapi boleh meliputi para sahabat yang baginda percayai.
Daripada segi politik juga, baginda bertindak sebagai ketua. Ini bermaksud, baginda mengetuai pentadbiran kerajaan Islam Madinah. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam Sahifah Madinah yang menyebut bahawa sebarang perselisihan perlu dirujuk kepada baginda. Kenyataan ini menjelaskan bahawa baginda adalah tempat rujukan dalam pentadbiran negara. Sahifah Madinah juga menyebutkan sesiapa yang menganggotai Sahifah ini tidak boleh menarik diri melainkan dengan persetujuan baginda. Kenyataan ini juga membawa maksud bahawa baginda adalah tempat rujukan dalam politik khususnya yang melibatkan aspek pentadbiran negara.
Kesimpulannya, Nabi Muhammad s.a.w. menjalani kehidupan di Madinah dengan bertindak sebagai ketua agama dan juga ketua dari segi politik. Ini membuktikan bahawa politik dan agama adalah dua perkara yang perlu seiring dan tidak dapat dipisahkan. Selain itu, kedua-dua perkara ini perlu dipegang oleh orang-orang yang beragama Islam. Perkara ini disebut dengan jelas dalam Sahifah Madinah. Perkara kedua ini wajar diberi perhatian serius terutamanya apabila majoriti penduduk di dalam negara itu beragama Islam.
BH: MENGAPAKAH Dr Danial memilih menulis buku yang sama sekali berbeza daripada bidang pengkhususan iaitu perubatan moden?
DD: Sebenarnya ada sebuah buku saya menjurus kepada topik perubatan moden iaitu ‘Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden’ dan kini memasuki edisi ke-2. Saya akui sebahagian buku saya yang lain tidak memfokuskan aspek perubatan moden. Bagi saya Islam adalah agama yang lengkap lagi komprehensif dan tidak hanya memperkatakan perubatan semata-mata. Justeru saya perlu memperkenalkan Islam yang lengkap kepada masyarakat. Tambahan pada masa ini masyarakat secara amnya sedang ditimpa pelbagai penyakit berkaitan kerohanian, cara fikir, sikap dan cara hidup. Formula Islam yang lengkap perlu diketengahkan untuk merawat penyakit ini.
BH: Apakah perkara yang menggerakkan Dr Danial dalam bidang penulisan?
DD: Saya terangsang dengan firman Allah swt dalam surah Ali Imran, ayat 110 bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”. Ayat ini menuntut umat Islam agar menjadi satu umat yang proaktif dan bukannya pasif. Mereka disuruh bergerak dan berperanan terutamanya dalam konteks mengajak manusia kepada makruf dan mencegah kemungkaran tanpa melupakan iman diri sendiri. Penulisan antara medan yang baik untuk menyebarkan konsep ini. Apabila kita menulis kita sedang memelihara ilmu dan sejarah. Tanpa penulisan, ilmu dan sejarah akan hilang. Pada hari ini kita mengenali pemikiran Ibn Khaldun, Ibn Sina, Imam Al-Ghazali, An-Nawawi dan ramai lagi kerana penulisan mereka dan khazanah ini perlu dikembangkan.
Rujuk artikel penuh di Berita Harian.
BH: MENGAPAKAH Dr Danial memilih menulis buku yang sama sekali berbeza daripada bidang pengkhususan iaitu perubatan moden?
DD: Sebenarnya ada sebuah buku saya menjurus kepada topik perubatan moden iaitu ‘Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden’ dan kini memasuki edisi ke-2. Saya akui sebahagian buku saya yang lain tidak memfokuskan aspek perubatan moden. Bagi saya Islam adalah agama yang lengkap lagi komprehensif dan tidak hanya memperkatakan perubatan semata-mata. Justeru saya perlu memperkenalkan Islam yang lengkap kepada masyarakat. Tambahan pada masa ini masyarakat secara amnya sedang ditimpa pelbagai penyakit berkaitan kerohanian, cara fikir, sikap dan cara hidup. Formula Islam yang lengkap perlu diketengahkan untuk merawat penyakit ini.
BH: Apakah perkara yang menggerakkan Dr Danial dalam bidang penulisan?
DD: Saya terangsang dengan firman Allah swt dalam surah Ali Imran, ayat 110 bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”. Ayat ini menuntut umat Islam agar menjadi satu umat yang proaktif dan bukannya pasif. Mereka disuruh bergerak dan berperanan terutamanya dalam konteks mengajak manusia kepada makruf dan mencegah kemungkaran tanpa melupakan iman diri sendiri. Penulisan antara medan yang baik untuk menyebarkan konsep ini. Apabila kita menulis kita sedang memelihara ilmu dan sejarah. Tanpa penulisan, ilmu dan sejarah akan hilang. Pada hari ini kita mengenali pemikiran Ibn Khaldun, Ibn Sina, Imam Al-Ghazali, An-Nawawi dan ramai lagi kerana penulisan mereka dan khazanah ini perlu dikembangkan.
BH: Bagaimanakah Dr Danial ‘mencuri’ masa untuk menulis di sebalik jadual kerja sebagai doktor perubatan, pakar runding dan pengelola slot Rangsang Minda dan Islam Moden di Radio Malaysia Pulau Pinang?
DD: Allah mempermudahkan ini bagi saya. Sebenarnya saya kerdil berbanding pencapaian tokoh Islam pada abad ke-9 seperti Al-Kindi. Beliau berjaya menghasilkan 250 buku bidang astronomi, matematik, fizik, geometri, perubatan, psikologi dan mantik. Bagaimanapun saya mengakui pengurusan masa penting dalam kehidupan. Antara taktik pengurusan masa yang saya gunakan ialah meletakkan matlamat serta merancang. Saya mewajibkan diri untuk berdisiplin demi mengejar matlamat itu. Saya juga belajar untuk berkata 'tidak boleh' pada ajakan serta jemputan yang tidak penting.
BH: Apakah hasrat Dr Danial apabila mengepilkan petikan kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yangsedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untukmenaikinya’ dalam buku terbabit?
DD: Kata-kata Yusuf Islam ini bagi saya begitu bermakna kerana ia dilafazkan oleh seorang yang dilahirkan dan dibesarkan di Barat. Beliau sedar cara hidup Barat adalah seperti kapal yang sedang tenggelam atau fatamorgana yang memperdayakan. Justeru beliau memilih Islam sebagai cara hidup. Hanya orang yang ada ketajaman mata hati yang mampu membuat pendirian seperti itu. Cara hidup Islam mementingkan takwa dan ilmu. Cara hidup Barat mementingkan material serta nafsu.
BH: Mengapakah Dr Danial memilih untuk membongkar rahsia kejayaan dan kecemerlangan individu sejak beribu tahun dulu dengan menggunakan al-Quran sebagai landasan perbincangan dalam ‘7 Formula Individu Cemerlang’?
DD: Al-Quran ialah kitab Allah yang Maha Agung dan boleh dikiaskan seperti satu peta yang lengkap. Untuk memahami kehebatannya, kitab ini perlu dihidupkan secara praktikal. Apabila manusia menghidupkannya, mereka akan menjadi golongan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Golongan yang berjaya menghidupkannya ialah sahabat dan umat Islam pada peringkat awal terdahulu. Kesan daripada penghidupan itu mereka berjaya membina satu tamadun gilang gemilang. Tamadun ini berjaya mengeluarkan Barat dari Zaman Kegelapan. Umat Islam pada hari ini sedang berada di tahap yang paling hina. Justeru di dalam buku '7 Formula Individu Cemerlang' saya menjadikan umat Islam terdahulu sebagai contoh kerana mereka berjaya menjadi pemangkin kepada perubahan yang mengagumkan dan kejayaan itu berlaku dirangsang oleh Al-Quran.
BH: Mengapakah Dr Danial mengatakan ‘7 Formula Individu Cemerlang’ ditulis untuk mereka yang tidak mahu menjadi seperti dinosour yang pupus semasa dunia berubah?
DD: Memang benar di muka depan buku ini saya mengatakan perkara yang disebutkan ini. Dinosaur adalah satu makhluk yang besar dan pernah bermaharaja di dunia. Apabila perubahan berlaku di dunia disebabkan komet berlanggar dengan bumi, dinosaur tidak mampu menangani perubahan itu. Akhirnya mereka mati dan pupus. Jumlah umat Islam pada hari ini melebihi 1 bilion. Perubahan pula sedang berlaku dengan pesat. Malangnya ramai umat Islam yang leka dan tidak peka mengenai perkara ini. Mereka yang berminat dengan Islam pula asyik berbicara dan bertengkar mengenai perkara ranting dan remeh. Fanatik sempit wujud di mana-mana: fanatik mazhab, fanatik kelompok dan fanatik ideologi. Akhirnya kerja penting seperti dakwah kepada bukan Islam, penyelidikan dalam bidang baru seperti Al-Quran dan sains dan pembinaan kemahiran baru untuk penyebaran dakwah diabaikan. Saya khuatir jika keadaan ini berterusan, umat Islam akan menjadi tidak relevan. Justeru umat Islam perlu berubah dan berani membuka minda serta keluar dari kepompong lama mereka untuk menjadi gilang gemilang pada hari ini.
BH: Apakah karya terbaru yang sedang ditangani?
DD: Saya sedang membaca dan menganalisis maksud seluruh Al-Quran untuk melahirkan buku baru, ‘Tip Kecemerlangan Dari al-Quran’. Semoga Allah membantu saya.
BH: Bagaimanakah cara untuk menyedarkan umat Islam bahawa mereka gagal melihat Islam sebagai berlian yang ditinggalkan?
DD: Islam boleh diumpamakan seperti batu berlian dan ramai yang membuang berlian ini dan memilih kaca. Mengapa Islam yang hebat dipinggirkan? Ia mungkin berpunca daripada cara mengajar dan sumber ajaran. Cara mengajar yang menekankan fikah ranting, hafalan tanpa kefahaman, pendekatan tidak saintifik dan penekanan kepada perkara remeh boleh menyebabkan sebahagian manusia menjauhi Islam. Di sudut sumber, ramai daripada kalangan orang Islam tidak memahami al-Quran.
BH: Bagaimanakah umat Islam dapat digerakkan agar menjadi manusia yang suka membaca dan menghargai karya berilmu?
DD: Umat Islam, terutamanya di Malaysia, rata-ratanya boleh membaca dan sering kali membaca. Yang menjadi isunya ialah bahan yang dibaca. Tabiat suka membaca bahan berkualiti perlu ditanam sejak kecil. Setiap rumah perlu ada kutubkhanah kecil. Ibu bapa boleh memberi galakan dengan memberi hadiah jika buku berkualiti dibaca oleh anak-anak di samping mereka menjadi contoh dalam aspek ini. Sudut perbincangan buku di sekolah boleh diwujudkan. Penulis perlu kreatif dengan penulisan mereka untuk menarik minat pembaca. Media massa elektronik seperti TV, perlu kerapkan pengiklanan buku yang baik. Ilmuwan perlu ditonjolkan daripada artis agar ilmu dapat dimartabatkan.
Nabi Muhammad mendirikan negara Islam yang pertama di bandar Madinah. Negara Islam itu dikenali sebagai Negara Madinah. Beliau menggubal perlembagaan negara Islam itu yang kemudian dikenali sebagai Perlembagaan Madinah. Perlembagaan Madinah adalah perlembagaan bertulis yang pertama dalam sejarah dunia.Prinsip-prinsip utama dalam Perlembagaan Madinah adalah:
1. Definisi siapa yang dikatakan warga Negara Madinah. Dalam perlembagaan Madinah disebut dengan terang bahawa agama Islam adalah asas bagi negara Madinah dan orang Islam adalah masyarakat yang satu tanpa mengira keturunan, bangsa ataupun kabilah. Perlembagaan ini mengakui orang-orang Yahudi yang tinggal di Madinah sebagai rakyat yang mesti dilindungi selagi mereka patuh kepada pemerintahan Islam.
2. Nabi Muhammad sebagai ketua negara dan tempat rujukan apabila berlaku perselisihan pendapat sama ada dalam memahami perlembagaan itu ataupun berkenaan undang-undang Islam. Nabi Muhammad diiktiraf oleh semua warga negara Madinah, baik mereka yang Islam, Kristian mahupun Yahudi, sebagai ketua negara mereka.
3. Mengisytiharkan prinsip-prinsip keadilan dan kesamarataan. Dalam perlembagaan ini juga ada ayat-ayat Quran dan kata-kata Nabi Muhammad yang menjadi asas keadilan dan kesamarataan dalam melaksanakan pemerintahan. Perlembagaan ini membenarkan kebebasan beragama seperti orang-orang Yahudi dapat mengamalkan agama mereka. Juga disebut kebebasan individu seperti hak keselamatan diri, keluarga dan masyarakat dan hak memiliki harta.
4. Menyatukan golongan imigran dari kota Mekah yang datang menetap di Madinah dengan penduduk asal bandar Madinah serta menjadikan masjid sebagai tempat penyebaran ilmu, tempat pertemuan orang-orang Islam, tempat rakyat mengadakan majlis perundingan dan tempat perbicaraan dijalankan.
5. Membuka kawasan pusat perdagangan untuk orang-orang Islam di Madinah yang menjalankan sistem ekonomi secara Islam.
6. Mengadakan angkatan tentera bagi mempertahankan negara dan menyebarkan agama Islam kepada raja-raja negara-negara jiran yang bukan.
Negara Islam yang didirikan oleh Nabi Muhammad adalah negara yang menjadikan dewan perundingan rakyat dan akhlak sebagai dua ciri utama sistem politik Islam.
Syed Amir Ali mengatakan dalam Perlembagaan Madinah dirumuskan hak-hak dan kewajipan antara orang-orang Islam sendiri, serta hak -hak dan kewajipan orang Islam dengan penduduk Yahudi. Orang-orang Yahudi menerima perlembagaan itu dengan puas hati.
Dokumen Perlembagaan Madinah itu disimpan dengan baik dalam lembaran-lembaran Ibnu Hisyam. Ia menjadi bukti Nabi Muhammad adalah seorang genius. Nabi Muhammad adalah seorang negarawan yang membangunkan sebuah negara baru berdasarkan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan universal.
Selepas Uqbah bin Nafiq berjaya membuka Eropah bagi kemasukan Islam ke benua itu, beliau pernah berkata, “Wahai Tuhan Muhammad, andainya lautan ini tidak menjadi penghalang bagiku, nescaya aku jelajahi setiap pelosok dunia ini demi menyebarkan ayat-ayat Tuhan, saksikanlah wahai Tuhanku.”
Rabi’ bin Amir pernah mengungkapkan serangkai kata-kata yang masyhur: “Sesungguhnya Tuhan mengutus kami supaya membebaskan sesiapa yang Tuhan kehendaki, supaya manusia tidak menyembah manusia, dan supaya mereka menyembah Tuhan Yang Maha Esa, supaya kami membebaskan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dan membebaskan mereka daripada pelbagai tekanan agama kepada keadilan Islam.”
Dalam undang-undang sivil istilah ‘ketuanan’ bermakna sumber yang mengeluarkan undang-undang yang wajib dipatuhi rakyat. Ia juga bermakna orang yang memiliki kuasa tertinggi dalam negara.
Ahli-ahli sains politik kontemporari mengatakan ‘ketuanan’ adalah salah satu rukun bagi mendirikan negara. Daripadanya terbit semua perintah, undang-undang, sistem cukai, sistem pentadbiran dan hak kebebasan sehingga mencukupi perjalanan negara.
Ketuanan juga membawa erti kuasa tertinggi ke atas warga dan rakyat-rakyatnya yang tidak dibatasi oleh undang-undang. Ada pelbagai makna ketuanan:
1. Ketuanan bermakna tidak tunduk kepada kuasa negara lain, iaitu negaranya bebas daripada belenggu penjajah, malah ia berkuasa sepenuhnya dalam negaranya.
2. Ketuanan bermakna berkuasa mengeluarkan perintah, sama ada dalam bentuk suruhan ataupun tegahan.
3. Ketuanan bermakna kuasa memberi ampun yang dimilikinya bagi mengampunkan kesalahan rakyat dalam negara itu.
Para pengkaji politik berselisih pendapat dalam menetapkan siapakah yang layak memegang kuasa membuat undang-undang, adakah Tuhan ataupun pemerintah ataupun rakyat.
Teori ketuanan dan kuasa berkembang di Perancis pada kurun ke-16 bagi mempertahankan kuasa raja dan membezakan kuasa raja daripada kuasa pembesar-pembesar istana dan daripada kuasa paderi-paderi Kristian zaman itu.
Dalam sains politik Islam, teori ketuanan adalah antara isu-isu yang tidak dijelaskan oleh pakar-pakar sains politik Islam klasik disebabkan teori ini baru timbul pada kurun ke-16 oleh para pengkaji politik Perancis. Mereka berada dalam iklim politik yang khusus pada masa itu dan mereka mempunyai agenda sendiri di sebalik teori yang mereka cipta itu. Apabila berlaku Revolusi Perancis mereka memasukkan teori ini dalam pemerintahan negara dengan menukarkan kuasa raja kepada kuasa rakyat.
Teori ketuanan adalah berdasarkan teori falsafah Barat yang timbul akibat suasana politik dan sosial di Eropah pada Zaman Pertengahan (Middle Ages). Selepas Revolusi Perancis, rakyat Perancis merampas kedaulatan daripada raja yang berjaya ditumbangkan. Kerana itu, negara Perancis menempatkan teori ketuanan dalam falsafah politik mereka. Dalam undang-undang negara itu, daulat kuasa dalam negara adalah pada rakyat.
Teori kedaulatan kuasa rakyat ini beransur-ansur menjalar ke seluruh dunia dan ia dijadikan dasar kuasa dalam negara. Dengan meletakkan kuasa dalam negara kepada tangan rakyat, dengan nama kedaulatan rakyat teori ini menghasilkan kekacauan-kekacauan dalam kehidupan politik, moral dan kebudayaan negara. Malah teori ini tidak membawa keuntungan hakiki kepada manusia.
Daripada kegagalan teori kedaulatan rakyat, lahir pula teori kedaulatan negara. Teori ini mengatakan negara mempunyai kuasa semula jadi untuk memerintah rakyat. Mengikut teori ini negaralah yang berdaulat. Walaupun begitu, para pengkaji mengatakan teori ini juga tidak relevan disebabkan kuasa itu bukanlah dilaksanakan oleh negara yang abstrak sifatnya itu, sebaliknya kuasa dilaksanakan oleh sekumpulan manusia yang memegang kuasa dalam negara itu. Begitu juga halnya dengan teori kedaulatan undang-undang yang kembali kepada teori kedaulatan rakyat kerana rakyatlah yang mencipta undang-undang itu dan undang-undang itu berjalan atas kehendak rakyat sendiri.
Teori kuasa dalam Islam hanya mengiktiraf kedaulatan Tuhan sebagai kedaulatan tertinggi dalam negara. Namun mesti diingat konsep ‘kedaulatan Tuhan’ dalam sistem politik Islam tidak sama dengan konsep ‘teokrasi’ yang dikenal di dunia Barat.
Menurut Islam, kedaulatan Tuhan tercermin dalam Quran dan perbuatan serta kata-kata Nabi Muhammad. Kedaulatan Tuhan dalam urusan negara secara formal disebut dalam Quran dan dalam kata-kata Nabi Muhammad. Ketua negara Islam wajib mengurus dan mengatur bumi ini berdasarkan undang-undang yang dicipta oleh Tuhan dan sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad.
Ketua negara Islam yang berfungsi sebagai wakil Tuhan mempunyai kuasa menerapkan kedaulatan Tuhan sebagaimana yang diterangkan dalam Quran dan dalam kata-kata Nabi Muhammad. Walaupun begitu, manusia juga berkuasa membuat undang-undang yang tidak bercanggah dengan undang-undang ciptaan Tuhan, iaitu undang-undang urusan dunia yang tidak disebut dalam Quran dan dalam kata-kata Nabi Muhammad.
Teori kuasa Islam tidak serupa dengan ‘teori kedaulatan undang-undang Tuhan’ yang diperkenalkan oleh Maududi mahupun oleh Syed Qutub. Mereka berdua mengatakan kuasa menentukan undang-undang adalah milik Tuhan oleh itu, tidak seorang pun dibolehkan mencipta undang-undang lain ataupun berkongsi kuasa dengan Tuhan dalam menentukan undang-undang.
Menurut perspektif Barat, ‘kedaulatan’ adalah kuasa yang tertinggi dan mutlak yang wujud pada negara. Mereka mendefinisikan kedaulatan sebagai kuasa tertinggi dan kuasa itu mengatasi undang-undang. Ini menunjukkan kuasa kedaulatan itu lebih tinggi daripada kuasa yang ada pada undang-undang.
Islam tidak membenarkan teori-teori yang memberi kuasa kepada Ketua Negara bagi mengeluarkan undang-undang secara diktator dan bertentangan dengan undang-undang Islam.
Ayat 21 dan 22 dalam bab al-Ghasyiah mengatakan, “Beri peringatan kepada mereka, kerana kamu hanyalah orang yang ditugaskan memberi peringatan, kamu bukanlah orang yang berkuasa ke atas mereka.”
Ayat 107 dalam bab al-Ana’am 107 mengatakan, “Dan Kami tidak jadikan kamu penjaga mereka.”
Ayat 45 dalam bab Qaaf mengatakan, “Kamu sekali-kali bukan pemaksa ke atas mereka.”
Dalam sains politik Islam teori ketuanan ini tidak pernah dikenal dan tidak pernah dibincangkan oleh pakar-pakar, walau bagaimanapun mereka membincangkan teori kuasa (sultah) atau pemimpin (sultan) atau al-Mulk (kuasa kerajaan). Dalam Quran ada istilah ‘sultan’ yang bermakna memperbaiki ataupun kuasa yang ada pada orang yang berhak memiliki kuasa.
Ayat 33 dalam bab al-Isra ayat 33 mengatakan, “Dan janganlah kamu membunuh dengan cara yang diharamkan Tuhan, melainkan sebagai pembalasan yang dibenarkan. Dan bagi sesiapa yang dibunuh secara zalim, Kami berikan kuasa kepada warisnya, tetapi janganlah waris itu melampaui batas apabila membalas bunuh.”
Qurtubi berpendapat, pemimpin ataupun ahli waris, berkuasa membunuh balas ataupun mengampunkan si pembunuh ataupun mengambil bayaran pampasan.
Pakar-pakar agama mengatakan tidak ada perbezaan antara kuasa dalam urusan agama dengan kuasa dalam urusan politik dan pentadbiran negara. Kedua-duanya adalah satu di bawah kuasa pemerintahan yang objektifnya adalah menjaga agama dan mentadbir urusan dunia dengan prinsip undang-undang Islam.
Lukman Thaib dalam bukunya Politik Menurut Perspektif Islam mengatakan konsep kedaulatan menurut Barat adalah milik manusia dan pandangan Barat itu berbeza dengan konsep kedaulatan dalam Islam. Dalam Islam, kedaulatan hanyalah milik Tuhan dan semua undang-undang dan sistem pemerintahan dalam negara datang daripada Quran serta perbuatan dan kata-kata Nabi Muhammad. Ketua negara yang mengiktiraf bahawa kedaulatan hanyalah milik Tuhan tidak melakukan kezaliman pada rakyat. Untuk menegakkan kedaulatan dalam negara Islam, penggubalan undang-undang tidak boleh dilakukan melainkan dalam lingkungan batas-batas yang ditetapkan oleh Tuhan.
Sistem politik Islam terikat kepada prinsip undang-undang Islam yang mutlak dan faktor-faktor yang boleh berubah-ubah. Dalam masyarakat yang berkembang pesat, banyak isu-isu yang perlu ditangani dengan segera.
Sistem politik Islam dapat menyelesaikan isu-isu kontemporari dengan menggunakan konsensus pakar-pakar bagi mengatasi kekeliruan apabila menentukan dasar-dasar pentadbiran. Sistem politik Islam dapat berfungsi apabila pemerintahan itu berdasarkan sistem Islam. Ciri-ciri sistem politik Islam adalah seperti berikut:
1. Undang-undang negara dicipta Tuhan
Tuhan menetapkan cara hidup yang paling baik untuk manusia dan alam. Orang-orang Arab Mekah yang menyembah berhala mengakui kewujudan dan kuasa Tuhan tetapi mereka tidak mahu mematuhi undang-undang Tuhan. Orang Islam menerima prinsip bahawa tugas membuat undang-undang adalah hak Tuhan.
Ayat 3 dalam bab al-A’raf mengatakan, “Patuhilah undang-undang yang Tuhan cipta untukmu, dan jangan kamu memilih mana-mana pemimpin selain daripada Tuhan....”
Orang Islam yakin undang-undang yang dicipta oleh Tuhan adalah undang-undang yang terbaik dan demi menjaga kepentingan manusia dan alam.
Sesiapa yang menolak undang-undang Tuhan, apatah lagi kalau dia menghina serta menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Tuhan, dan dia mengharamkan perkara-perkara yang dihalalkan oleh Tuhan, dia dikutuk oleh Tuhan, oleh para malaikat dan juga oleh manusia.
2. Keadilan dan kesamaan
Ketua negara wajib melaksanakan hukuman dengan adil tanpa mengira keturunan, bahasa dan pangkat. Dalam Islam, manusia adalah sama di sisi undang-undang. Tiada siapa yang dapat mengatasi undang-undang. Pakar-pakar menetapkan syarat menjadi ketua negara mestilah bersifat adil.
Razi menulis, “Pakar-pakar sependapat, sesiapa yang menjadi ketua negara wajib membuat keputusan dengan adil.”
Kata Nabi Muhammad, “Suatu hari dalam masa pemerintahan yang adil lebih baik daripada beribadat selama 60 tahun.” Ayat 42 dalam bab Ibrahim, mengatakan, “Jangan kamu sangka Tuhan lupa pada apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim.”
Ketua negara hendaklah adil dalam melaksanakan undang-undang, menagihkan kekayaan negara serta kuasa dan pangkat walaupun kepada orang-orang bukan Islam. Suatu contoh ialah kisah khalifah Ali yang kehilangan baju besi sewaktu Perang Safain dan didapati baju besi itu ada pada seorang Yahudi, lalu Ali membuat laporan kepada hakim Suraih bin Hani. Dalam perbicaraan itu Ali tidak dapat mengemukakan saksi, lalu mengikut prosedur mahkamah, orang Yahudi itu menang, walaupun Ali adalah ketua negara. Akhirnya orang Yahudi itu mengaku bersalah dan memeluk agama Islam, selepas beliau melihat sendiri keadilan undang-undang Islam dan keadilan sistem pemerintahan Islam.
3. Taat
Ketaatan rakyat kepada ketua negara adalah ciri penting dalam sistem politik Islam. Umar bin Khatab pernah berkata, “Tidak ada Islam tanpa jemaah, tidak ada jemaah tanpa ketua, dan tidak ada ketua tanpa pengikut yang taat.”
Quran mengatakan sikap taat kepada ketua adalah wajib, seseorang itu dilarang menolak suruhan ketuanya selagi tidak melanggar undang-undang Islam. Ayat 59 dalam bab al-Nisa’ mengatakan, “Wahai orang yang beriman, taati Tuhan dan taati Utusan Tuhan dan para pemerintah di kalangan kamu.”
Dalam Islam, rakyat wajib patuh kepada ketua negara dalam perkara-perkara yang ditetapkan oleh Tuhan. Antara syarat-syarat rakyat wajib patuh kepada ketua negara adalah:
1. Ketua negara itu melaksanakan undang-undang Islam.
2. Ketua negara itu menjalankan pentadbiran negara secara adil.
3. Ketua negara tidak menyuruh rakyat melakukan perkara-perkara yang tidak dibenarkan oleh Islam.
Kata Nabi Muhammad, “Sesiapa yang taat kepada saya, dia taat kepada Tuhan. Sesiapa yang tidak taat kepada saya,dia tidak taat kepada Tuhan, dan sesiapa yang taat kepada ketuanya, dia taat kepada saya. Dan sesiapa yang tidak taat kepada ketuanya, dia tidak taat kepada saya.”
Penganut agama Zarathustra mempercayai manusia yang mula-mula diciptakan adalah Yima. Kemudian, Ahura Mazda menciptakan pasangan untuknya. Ahura Mazda mengurniakan kebebasan kepada mereka serta keturunannya dan dipertanggungjawabkan atas setiap tingkah laku dan perbuatan mereka.
Antara amalan-amalan dan tanggungjawab serta kepercayaan yang perlu diikuti oleh penganut agama Zarathustra adalah:
-Satu-satunya jalan keselamatan adalah dengan mengikuti jalan Ahura Mazda.
-Perbuatan yang baik dan dermawan membantu perkembangan kerajaan Ahura Mazda dan akan dibalas dengan kebaikan oleh Ahura Mazda.
-Manusia perlu bersikap baik pada mereka yang berbuat baik dan bersikap keras pada mereka yang jahat.
-Manusia perlu bersikap keras dan tegas kepada musuh.
-Hidup beragama tanpa meninggalkan kewajipan duniawi.
-Kewajipan paling utama adalah menyucikan diri.
-Zarathustra mengajar rakyat supaya rajin bekerja sehingga beliau melarang mereka berpuasa. Mengikut Zarathustra, puasa dianggap melemahkan badan dan semangat bekerja.191
-Manusia perlu melakukan amalan yang baik dan menjauhkan amalan jahat. Ini kerana, setiap perbuatan manusia akan dihitung oleh Ahura Mazda pada hari Akhirat.
-Antara pekerjaan yang dipandang baik dan mulia adalah pertanian dan penternakan. Ini kerana, pertanian menunjukkan sikap bekerja keras dan rajin bagi menghasilkan produk yang baik. Manakala sikap pemalas pula dianggap sebagai sikap yang buruk.
Sembahyang
Penganut agama Zarathusta menunaikan sembahyang lima kali sehari dengan kehadiran api sebagai lambang kebenaran. Sebelum sembahyang, mereka akan mengambil air sembahyang terlebih dahulu. Ini kerana bagi mereka, kebersihan adalah sebahagian daripada iman manakala kekotoran pula sebahagian daripada kejahatan.
Mary Boyce di dalam bukunya menyatakan, terdapat empat jenis sembahyang penting dalam agama Zarathustra iaitu:
1. Ahuna Vairya atau Pahl. Ahunvar
2. Airyema Ishyo
3. Ashem Vohu
4. Yenhe Hatam
Perayaan
Terdapat pelbagai jenis perayaan dalam agama Zarathustra. Berikut adalah beberapa perayaan yang dirayakan oleh penganut agama ini.
Narueza
Ia adalah hari perayaan yang disambut sempena musim bunga. Oleh itu, ia juga dikenali dengan perayaan musim bunga. Penganut agama Zarathusta menyambut perayaan ini dengan menyalakan lilin, unggun api dan pelita di dalam rumah. Upacara ini dilakukan bagi menyambut cahaya Mithra. Mengikut kepercayaan penganut agama Zarathustra, Mithra membebaskan kejahatan dan mengusir serta mengalahkan Angro Mainyu.
Upacara Mithras 25 Aspandurmah
Perayaan ini disambut dengan cara menyalakan pelbagai jenis lilin yang berwarna-warni. Mereka juga menyediakan pelbagai jenis hidangan. Di samping itu, mereka menyalakan unggun api dan mengunjungi tempat-tempat suci. Di sana, mereka akan menyanyi bersama-sama bagi memuja Mithra.
Hari Rabu, akhir bulan Safar
Hari ini dirayakan bagi memperingati detik sejarah di mana Mithra membebaskan gangguan Angro Mainyu berserta enam pembantunya. Hari ini disambut dengan menyalakan kayu bakar. Kemudian, seluruh keluarga penganut agama ini akan melompati api itu sebanyak tujuh kali lompatan. Hari Rabu pada akhir bulan Safar ini dianggap sebagai hari kebahagiaan dan keselamatan.
Mahrajana atau Mahrajan
Mahrajana adalah upacara penyucian rumah. Hari perayaan ini jatuh pada hari keenam pada awal musim dingin. Mereka akan menyambut hari ini dengan menyirami rumah-rumah kediaman masing-masing. Upacara ini dilakukan bagi memohon keber-katan daripada Ahura Mazda dan Mithra.
Ulang tahun
Agama Zarathustra mempunyai perayaan ulang tahun. Perayaan ini dinamakan Ulang Tahun Kisra. Ia disambut dengan memuja Spenta Armaiti. Dalam pemujaan ini, mereka menyalakan pelbagai lilin yang berwarna-warni.
Penyembahan Api Suci
Pada asalnya, penganut agama Zarathustra tidak pernah menyembah api. Api hanya sebagai simbol dalam penyembahan dan peribadatan kepada Ahura Mazda. Namun kini, agama ini mula berubah. Api tidak lagi digunakan sebagai simbol, sebaliknya penganut agama ini sudah mula menyembah api itu. Oleh itu, agama Zarathustra dianggap sebagai agama yang menyembah api.
Rumah ibadat orang Parsi dikenali oleh orang luar dengan nama Rumah Ibadat Api. Orang Parsi sendiri menyebutnya Pintu-pintu Mithra.
Namun, lain pula dengan agama Zarathustra, mereka tidak mempunyai rumah ibadat seperti agama Hindu dan agama-agama lain. Terdapat beberapa jenis api yang dianggap suci oleh para penganut agama ini.
Atash Behram atau api kemenangan
Api ini dijaga supaya sentiasa menyala. Ia disembah dengan menyempurnakan pelbagai amalan tertentu. Ia adalah sebuah kuil api yang penting dan digelar sebagai ‘Raja’. Ia mempunyai sebuah kubah yang melambangkan sebuah mahkota. Api ini dijaga dengan rapi sehingga mereka tidak membenarkan cahaya matahari menyentuhnya.
Api ini menerangi dan memberi cahaya dengan sendiri. Hanya pendeta sahaja yang dibenarkan memasuki tempat suci ini. Walau bagaimanapun, pendeta yang ingin memasuki tempat api suci ini perlu mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan.
Atash Adorn atau api segala api
Api ini lebih mudah dipasang dan dijaga. Ia dibenarkan malap beberapa ketika. Api jenis ini boleh dijumpai di dalam kuil-kuil kecil yang dibina oleh sesebuah masyarakat Zarathustra.
Atash Dogah
Api ini terletak di tempat yang sudah ditetapkan. Ia boleh dihadiri oleh orang-orang biasa. Penganut agama Zarathustra akan bersembahyang di kuil api ataupun di mana-mana tempat yang mempunyai api yang bersih. Tetapi, mengikut kepercayaan mereka, bersembahyang di tempat yang mempunyai api suci adalah lebih baik. Mereka juga menderma kayu-kayu dan wang ringgit kepada kuil-kuil dengan memberikannya kepada para pendeta yang ditugaskan menjaga kuil-kuil itu.
Kematian
Penganut agama Zarathustra percaya, selepas meninggal dunia, nyawanya tidak pergi jauh daripada jasad. Selepas tiga hari, barulah nyawanya pergi meninggalkan jasadnya. Sekiranya roh itu adalah roh orang suci, akan datang angin yang wangi dan membawa roh itu kepada seorang gadis yang cantik. Sekiranya roh itu adalah roh orang yang jahat, roh itu akan di bawa oleh angin yang busuk kepada seorang gadis yang sangat buruk. Sebenarnya, perempuan yang cantik dan buruk itu adalah gambaran amalan-amalannya semasa hidup di dunia.
Oleh kerana kepercayaan ini, penganut agama ini mengadakan upacara-upacara keagamaan pada hari ketiga selepas kematian seseorang. Bagi mereka, ia adalah ucapan selamat tinggal kepada roh mayat itu yang akan pergi mening-galkan mereka.
Menurut Zarathustra, terdapat empat jenis unsur alam yang dianggap suci iaitu api, udara, air dan tanah. Api dianggap suci kerana ia melambangkan kesucian Tuhan. Sementara udara pula tidak boleh dicemari dengan kekotoran. Air yang mengalir juga dijaga rapi. Mereka dilarang membuang najis ataupun bahan kotoran ke dalamnya. Begitu juga dengan tanah, mereka dilarang menguburkan mayat ataupun sebarang bangkai ke dalamnya.
Oleh sebab itu, mereka tidak membakar mayat, tidak menghanyutkannya ke dalam air, tidak ditanam di dalam tanah dan tidak membiarkannya di kawasan terbuka kerana takut mayat itu mengotori udara dan tempat itu. Oleh itu, mereka membina sebuah menara besar yang tidak beratap bagi meletak-kan mayat itu. Tujuannya supaya mayat itu dimakan oleh burung-burung Rajawali yang berkeliaran di kawasan itu.
Mayat dimandikan dan diberi harum-haruman. Pendeta membacakan mentera-mentera tertentu. Mereka juga membakar kemenyan dan menyalakan lilin. Kemudian, mayat diusung dengan upacara berpayung dan diiringi sanak saudara. Mayat itu diletakkan di Dakhma.
Dakhma adalah sebuah menara yang dinamakan dengan menara kesunyian. Mayat dibiarkan dimakan oleh burung-burung yang berkeliaran di kawasan itu. Selain itu, terdapat juga aliran lain yang meletakkan mayat di atas sebuah meja batu dan dimasukkan ke dalam gua.
Namun, apabila berlaku kematian di tempat yang tiada menara ini, mereka menguburkan juga mayat itu. Tetapi, mereka melapisi ataupun membalut mayat itu dengan lilin yang tebal terlebih dahulu. Ini kerana, mereka tidak mahu mayat itu menyentuh tanah yang dianggap suci.
Boleh dikatakan kebanyakan agama, apabila ditinggalkan oleh nabi ataupun pengasasnya, akan berlaku perpecahan aliran atau mazhab. Begitu juga dengan agama Yahudi selepas ditinggalkan oleh Nabi Musa. Berikut adalah antara mazhab-mazhab dalam agama Yahudi.
Pharisees
Aliran atau mazhab Pharisees adalah mazhab yang mengambil nama daripada perkataan Ibrani iaitu perishim yang bermakna 'memisahkan diri'. Mazhab ini boleh diibaratkan seperti golongan Muktazilah dalam agama Islam. Ini kerana, mereka memisahkan diri daripada golongan-golongan Yahudi lain. Mazhab ini mempunyai ramai pengikut berbanding mazhab-mazhab Yahudi lain. Ini kerana, mazhab ini bukan sahaja dianuti oleh golongan rahib, bahkan ia juga dianuti oleh kebanyakan orang awam.
Golongan Pharisees ini terdiri daripada ahli-ahli falsafah yang memdebatkan masalah berkenaan kekalnya roh, hidup sesudah mati, kekalnya syurga dan neraka, masalah takdir, malaikat, dosa dan sebagainya. Mazhab ini terdiri daripada angkatan progresif yang bersedia menerima pelbagai fikiran serta kepercayaan-kepercayaan untuk diterapkan dan disesuaikan dengan dalam agama Yahudi. Selain itu, mazhab ini juga mempunyai cita-cita hendak memodenkan agama Yahudi supaya ia sesuai dengan perubahan serta kemajuan peradaban manusia. Oleh itu, mereka menganggap golongan mereka adalah golongan yang terpilih dan menjadi model yang terbaik di kalangan kaum Yahudi. Golongan ini juga adalah golongan yang setia pada agama dan hukum-hukum keagamaan. Kebanyakan mereka adalah rakyat biasa dan bukan daripada golongan ahli politik. Ini kerana, golongan ini hanya melibatkan diri dalam masalah keagamaan.
Saducees
Mazhab Saducees mengambil nama daripada seorang pendeta besar yang bernama Zadok. Golongan ini berasal daripada kalangan bangsawan dan pemerintah. Oleh itu, mereka sudah biasa hidup serba mewah sehingga kebanyakan mereka berasa bangga dan tidak mahu bercampur dengan rakyat biasa.
Golongan ini boleh disamakan dengan aliran Ortodoks. Mereka tidak mengizinkan berlakunya perubahan dalam ajaran agama dan kitab Taurat. Mereka tidak menerima segala fahaman dan tafsiran yang tidak ada di dalam Taurat. Mereka hanya mengikuti ajaran keagamaan dan juga dalam mentafsir kitab Taurat.
Sebagai bukti, Rabbi atau imam besar mereka pernah berkata, “Turutilah Musa, turutilah Nebiim dan jangan kalian menuruti jalan-jalan penyembah berhala walaupun keluar daripada mulut nenek moyangmu”.
Essenes
Mazhab Essenes mengamalkan sistem Komunis. Mereka adalah golongan yang menolak proses penerapan kebudayaan Greek. Mereka percaya, roh akan kekal dan ia akan dibangkitkan kembali. Mereka juga mengamalkan setiap ajaran di dalam kitab Taurat dan Talmud. Oleh itu, mereka dianggap sebagi golongan sufi dalam kaum Yahudi.
Zealot
Pemimpin mazhab Zealot yang terkenal adalah Barrabas. Mazhab ini adalah pecahan daripada mazhab Pharisees yang membentuk satu mazhab baru. Ini kerana, golongan ini tidak puas hati dengan sikap golongan mazhab Pharisees yang pasif dan terikat dengan cara tradisi terutamanya dalam hal kebebasan nasional. Dalam sistem kepercayaan, mazhab ini mengikut sistem kepercayaan mazhab Pharisees. Mazhab ini menganggap mereka adalah ketua kaum Yahudi. Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan yang berani dan pahlawan. Oleh itu, mereka tidak dapat hidup di bawah pemerintahan empayar Rom dengan selesa kerana tidak mahu dikongkong oleh mana-mana pihak. Justeru, mereka mengadakan banyak gerakkan pemberontakan melawan empayar Rom. Bagi golongan ini, mereka hanya mengabdikan diri kepada Yahuwa.
Empat mazhab ini tumbuh dan berkembang sehingga zaman Nabi Isa (Jesus Christ) menjalankan misinya semasa menjelang pertengahan abad pertama Masihi.
Mazhab Saducees menuduh mazhab Pharisees menyebarkan ajaran-ajaran yang tidak tertulis di dalam Taurat Musa. Hal itu benar kerana melalui pentafsiran-pentafsiran hukum Musa, pihak Pharisees menetapkan hukum-hukum baru yang bertambah lama bertambah ketat.
Mazhab Pharisees mempercayai hari kebangkitan, neraka dan syurga, hidup kekal pada hari kemudian dan kedatangan kerajaan al-Masih menjelang hari kebinasaan alam semesta. Mazhab Saducees berpendirian, hal itu tidak perlu dibincangkan kerana tiada satu pun daripada hal itu dapat 'diketahui' oleh sesiapa pun. Pendirian itu, sekiranya ditinjau daripada jurusan falsafah disebut Agnosticisme.
Mazhab Saducees mempercayai ajaran falsafah Greek mengenai 'kemahuan bebas' manusia. Manakala mazhab Pharisees mempercayai takdir Tuhan menguasai hidup manusia. Itulah perbezaan penting antara mazhab Saducees dengan mazhab Pharisees, terutamanya semasa menjelang tahun Masihi.
Bab 2
Terminologi Ilmu Perbandingan Agama
Sebelum kita memulakan perbahasan dengan lebih lanjut berkenaan agama-agama yang dikategorikan sebagai agama Monoteisme, terlebih dahulu kita mulakan perbahasan dengan membincangkan beberapa terminologi atau istilah-istilah yang sering digunakan oleh para pengkaji ilmu Perbandingan Agama. Antara istilah-istilah itu adalah sebagai berikut.
Monoteisme
Monoteisme berasal daripada dua gabungan perkataan Greek mono dan theos. Mono bererti satu dan theos bermakna Tuhan. Manakala, agama Monotheisme merujuk kepada agama yang mempercayai Tuhan hanya satu. Agama-agama yang dikategorikan sebagai agama Monoteisme adalah agama Islam, Kristian dan Yahudi.
Agama Islam hanya mempertuhankan Allah. Quran menyatakan dalam bab al-Ikhlas, ayat 1 hingga 4 yang bermaksud, “Katakanlah (Wahai Muhammad), Dialah Allah yang satu. Allah yang dituju (untuk memohon hajat). Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan (berbapa). Dan tiada sesuatu pun yang menyerupainya.”
Manakala agama Kristian pula dikatakan mengamalkan konsep Monoteisme. Agama Kristian mempercayai doktrin Tritunggal. Tritunggal bermaksud satu Tuhan dalam tiga; Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus. Tetapi, ketiga-tiga Tuhan ini tidak dianggap sebagai wujudnya tiga Tuhan yang berlainan. Sebaliknya, agama Kristian mempercayai mereka adalah satu. Dengan kata lain, tiga dalam satu. Mereka mempercayai ketiga-tiga Tuhan ini adalah satu Tuhan iaitu yang disebut sebagai Tritunggal atau Triniti.
Agama Yahudi juga mengamalkan konsep Monoteisme. Ini kerana, mereka melakukan penyembahan dan peribadatan hanya kepada Yahweh yang menjadi Tuhan mereka yang satu. Di samping itu, mereka tidak mengakui adanya Tuhan lain yang berkuasa selain daripada Yahweh.
Politeisme
Politeisme juga berasal daripada dua gabungan perkataan Greek iaitu polus dan theos yang bermaksud banyak Tuhan. Manakala agama Politeisme pula merujuk kepada agama yang mempercayai kewujudan banyak Tuhan. Dengan perkataan lain, agama Politeisme ini menyembah banyak Tuhan.
Sebagai contoh, agama Hindu mempercayai wujudnya banyak Tuhan. Misalnya, Tuhan Brahma, Vishnu dan Shiva. Selain daripada tuhan-tuhan ini, agama Hindu juga mempercayai kewujudan beribu-ribu dewa yang dianggap mempunyai kuasa seperti:
Surya (Dewa Matahari)
Agni (Dewa Api Suci)
Indra (Dewa Perang)
Waruna (Dewa Alam Angkasa)
Wertra (Dewa Jahat)
Candra (Dewa Bulan)
Wayu (Dewa Angin) dan banyak lagi.
Panteisme
Panteisme juga berasal dari perkataan Greek iaitu panta. Panteisme merujuk kepada agama-agama yang mempercayai setiap benda adalah suci dan mempunyai unsur-unsur ketuhanan. Dengan perkataan lain, agama ini mempercayai Tuhan wujud di dalam setiap benda ataupun setiap benda adalah Tuhan.
Contoh agama yang mengamalkan sistem kepercayaan ini adalah agama Hindu. Ini kerana agama Hindu mempercayai adanya kuasa ketuhanan dan dewa-dewa dalam setiap benda. Oleh kerana itu, ada sesetengah penganut agama Hindu yang menyembah pelbagai jenis benda yang dipercayai didiami oleh dewa-dewa. Mereka menyembah matahari, bulan, pokok-pokok besar, sungai dan lain-lain lagi.
Henoteisme
Henotheisme merujuk kepada agama yang mempercayai kewujudan banyak Tuhan. Mereka menyembah kesemua tuhan-tuhan itu tetapi mereka meletakkan hierarki ketuhanan dalam penyembahan mereka. Dengan kata lain, mereka mempercayai ada Tuhan yang paling berkuasa antara Tuhan yang mereka sembah. Di sini dapat disimpulkan, tahap kuasa tuhan-tuhan mereka adalah berbeza. Ada Tuhan yang mempunyai kuasa mutlak, ada Tuhan yang berkuasa sederhana malah, ada juga Tuhan yang lemah berbanding Tuhan-tuhan lain.
Monoletri
Monoletri pula merujuk kepada sistem menyembah satu Tuhan tetapi dalam masa yang sama mereka juga mengiktiraf dan mengakui kewujudan Tuhan lain bagi kaum lain.
Dualisme
Dualisme pula merujuk kepada agama yang mempercayai dua Tuhan atau dua kuasa iaitu kuasa baik dan kuasa jahat. Agama Dualisme ini mempercayai alam angkasa ini ditadbir ataupun diperintah oleh dua Tuhan yang mempunyai sifat yang berlainan iaitu Tuhan baik dan Tuhan jahat.
Contoh agama Dualisme adalah sebagaimana yang terdapat dalam fahaman sesetengah pengikut agama Zarathustra. Ini kerana, agama Zarathustra mengenal adanya dua kuasa yang mempunyai sifat-sifat yang berlawanan antara satu sama lain iaitu kuasa kebaikan dan kuasa kejahatan. Agama Zarathustra mempercayai Ahura Mazda adalah kuasa kebaikan yang selalu mengurniakan kebaikan seperti kebahagiaan dan rezeki. Manakala Ahriman pula adalah kuasa kejahatan yang selalu menyebabkan berlakunya bala bencana dan musibah. Oleh itu, mereka menyembah Ahura Mazda bagi mendapatkan pelbagai kebaikan dan menyembah Ahriman supaya mereka mendapat perlindungan daripada segala bencana dan malapetaka.
Bukti Satu: Perkataan Mahamuddim di dalam Bible
Di dalam The English Version of the Authorised Version of the Bible pada bab Song of Solomon ayat 16 disebutkan:
"His mouth is most sweet:
yea, he is altogether lovely (Mahamuddim)
This is my beloved and this is my friend,
O daughters of Jerusalem".
Terjemahannya mengikut Bible AlKitab (1996) terbitan The Bible Society of Malaysia adalah:
“Amat manis tutur katanya,
segala yang ada padanya menawan hatiku.
Demikianlah kekasihku dan sahabatku,
Hai puteri-puteri Yerusalem”.
Perkataan he is altogether lovely yang tercatat di dalam Bible sebenarnya adalah terjemahan daripada perkataan Mahamuddim dalam bahasa Ibrani atau Hebrew, iaitu bahasa Yahudi. Perkataan Im dalam bahasa Yahudi melambangkan kemuliaan dan penghormatan. Contohnya im pada perkataan Elohim. Eloh bermaksud 'Tuhan' dan im bermaksud yang Maha Mulia. Justeru, Elohim bermaksud ‘Tuhan Yang Maha Mulia’. Apabila kaedah yang sama digunakan pada perkataan Mahamuddim, ia membawa maksud ‘Mahamadd yang mulia’ atau ‘Mahamadd yang terpuji’. Maksud ini selari dengan nama Muhammad kerana perkataan Muhammad bermaksud ‘dia yang terpuji’.
Bukti Dua: Istilah Himdah, Shalom dan Periclytos
Di dalam Kitab Old Testament di dalam versi The Authorised Version of the Bible bab Haggai ayat 7 hingga 10 disebutkan:
“And I will shake all nations,
and the Himdah of all the nations will come;
and I will fill this house with glory, says the Lord of hosts.
Mine is the silver, mine is the gold, says the Lord of hosts,
the glory of my last house shall be greater
than that of the first one, says the Lord of hosts;
and in this place I will give Shalom, says
the Lord of hosts”.
Terjemahan mengikut Bible Indonesia AlKitab (1993) adalah:
“Sebab beginilah firman TUHAN semesta alam:
Sedikit waktu lagi maka Aku akan menggoncangkan
langit dan bumi, laut dan darat; Aku akan menggoncangkan
segala bangsa, sehingga barang yang indah-indah kepunyaan
segala bangsa datang mengalir...
dan di tempat ini Aku akan memberi
damai sejahtera, demikianlah
firman TUHAN semesta alam”.
Perkataan Himdah dan Shalom daripada kitab Perjanjian Lama ini adalah perkataan-perkataan dalam bahasa Yahudi. Bible versi Inggeris menterjemahkan perkataan Himdah dan Shalom sebagai desire dan peace, manakala Bible Indonesia AlKitab menterjemahkannya sebagai ‘barang yang indah-indah kepunyaan segala bangsa’ dan ‘damai sejahtera’.
Berkaitan dengan Himdah, ayatnya yang asal adalah ve yavu himdath kol haggoyim dalam bahasa Inggeris bermaksud and will come the Himdah of all nations yang bermaksud ‘dan akan datang Himdah bagi segala bangsa’. Himdah dalam bahasa Arab berasal daripada huruf-huruf hamada dan ini selari dengan huruf-huruf asal bagi nama Ahmad dan Muhammad.
Shalom pula selari dengan perkataan Arab salama yang melahirkan perkataan Islam. Islam bermaksud damai dan sejahtera. Bible Indonesia AlKitab menggunakan kedua-dua perkataan ini bagi menterjemahkan perkataan Shalom. Justeru, ayat ini sebenarnya menceritakan mengenai seorang Himdah yang diutus kepada segala bangsa dan kepadanya akan dikurniakan Islam yang bakal mendatangkan kedamaian dan kesejahteraan bagi manusia. Kisah ini selari dengan Ahmad atau Muhammad yang diutus oleh Allah dengan risalah Islam kepada seluruh alam.
Di dalam kitab Perjanjian Baru, perkataan yang selari dengan Himdah adalah Paracletos. Perkataan Paracletos perlu difahami mengikut bahasanya yang asal. Dalam bahasa Yunani kuno, perkataan yang hampir dengan Paracletos adalah Periclytos. Periclytos dalam bahasa Inggeris bermaksud illustrious, glorious and praised atau ‘dia yang terpuji’. Ia selari dengan Hamada dan Ahmad yang juga bermaksud ‘dia yang terpuji’. Ia juga selari dengan Nabi Muhammad.
Bukti Tiga: Datang dari Paran Bersama 10,000 Pengikut
Di dalam Bible versi The Revised Version of the Bible terbitan British and Foreign Bible Society di dalam bahagian Book of Deuteronomy ayat 2 disebutkan:
“The Lord came from Sinai,
and rose up from Seir unto them;
he shined forth from mount Paran, and
he came with ten thousands of saints;
from his right hand went
a fiery law for them”.
Terjemahan mengikut Bible Indonesia AlKitab adalah:
“Berkatalah ia, TUHAN datang dari Sinai
dan terbit kepada mereka dari Seir;
Ia tampak bersinar dari pergunungan Paran
Dan datang dari tengah-tengah puluhan ribu
orang yang kudus; di sebelah kanan-Nya
tampak kepada mereka api yang menyala”.
Berkaitan dengan ini, di dalam buku Muhammad in the Bible karangan Reverend David Benjamin Keldani disebutkan, “Dalam konteks ini, dia yang terpilih dikiaskan dengan matahari. Dia akan datang dari Sinai, terbit dari Seir dan kemudian bercahaya dengan sempurnanya dari Paran. Dia kemudiannya muncul bersama-sama dengan sepuluh ribu orang-orang suci dengan membawa undang-undang tegas seperti api di tangan kanannya. Golongan bani Israil, termasuk Nabi Isa, tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tempat yang bernama Paran. Tetapi Siti Hajar dengan anaknya Ismail, merantau di bumi Beersheba kemudian menetap di bumi Paran… Apabila Muhammad dapat dihubungkaitkan dengan keturunan Ismail melalui Kedar dan dilantik sebagai Rasul di Paran dan kemudiannya memasuki Mekah dengan 10,000 pengikut setianya dan melaksanakan undang-undang bagi seluruh umat, tidakkah ia menampakkan dengan jelas kenyataan Bible ini terlaksana secara tepat ke atas diri Muhammad”.
Paran adalah tempat menetap Nabi Ismail as seperti yang disebutkan di dalam Bible bab Genesis ayat 20. Di tempat yang bernama Paran inilah Siti Hajar dan Ismail ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim as bagi melaksanakan satu urusan yang ditetapkan oleh Allah. Ketika itu, Siti Hajar memohon pertolongan Allah dan doanya dikabulkan dengan dikurniakan sebuah telaga air kepada mereka. Kisah ini disebutkan di dalam Bible versi Revised Standard Edition pada bab Genesis ayat 17 hingga 2,
“And God heard the voice of the lad; and the angel of God called to Hagar from heaven, and said to her, “What troubles you, Hagar? Fear not; for God has heard the voice of the lad where he is. Arise, lift up the lad, and hold him fast with your hand; for I will make him a great nation”. Then God opened her eyes, and she saw a well of water; and she went, and filled the skin with water, and gave the lad a drink. And God was with the lad, and he grew up; he lived in the wilderness, and became an expert with the bow. He lived in the wilderness of Paran; and his mother took a wife for him from the land of Egypt”.
Terjemahan mengikut Bible Malaysia AlKitab (1996) adalah:
“Kemudian Tuhan membuka mata Hagar sehingga dia nampak sebuah perigi. Oleh itu dia pergi mengisi kirbat itu dengan air, kemudian dia memberi minum anaknya…”.
Di dalam buku Muhammad in the Bible disebutkan, Paran sebenarnya adalah bumi Mekah dan di situ memang terdapat sebuah perigi yang dikenali sebagai telaga zamzam kurniaan Allah kepada Hajar dan anaknya Ismail. Telaga ini masih wujud hingga hari ini. Nabi Muhammad berasal daripada bumi yang sama. Selepas tiga belas tahun menyebarkan Islam di Mekah, beliau terpaksa berhijrah ke Madinah. Lapan tahun selepas berhijrah, pada hari pembukaan Mekah, beliau kembali memasuki dan menguasai Kota Mekah bersama-sama dengan 10,000 orang sahabat-sahabatnya.
Nabi Muhammad menegakkan undang-undang Islam dengan mendirikan sebuah negara Islam di Madinah. Sebaliknya, Nabi Isa as bukan berasal dari bumi Paran dan beliau juga tidak pernah datang dengan undang-undang baru. Beliau sekadar meneruskan undang-undang yang dilaksanakan oleh Nabi Musa as seperti yang disebutkan di dalam Bible bab Matthew ayat 17 yang bermaksud, “Aku tidak datang bagi menghancurkan undang-undang lama ataupun ajaran nabi-nabi tetapi aku datang bagi meneruskan pelaksanaannya”.
Terdapat tokoh-tokoh ilmu Bible yang cuba mentafsirkan ten thousands of saints sebagai ‘sepuluh ribu malaikat’ sedangkan itulah yang dimaksudkan oleh ayat ini dan perkataan yang lebih sesuai digunakan adalah ten thousands of angels. Perkataan saints adalah perkataan yang sentiasa digunakan untuk manusia. Justeru, Bible Indonesia AlKitab mentafsirkannya sebagai ‘puluhan ribu orang yang kudus’. Perkataan ten thousands atau sepuluh ribu selari dengan jumlah sahabat-sahabat Nabi Muhammad yang menguasai Mekah di penghujung perjuangan beliau.
Seperkara lagi yang hangat dibincangkan adalah maksud sebenar ten thousands. Adakah ia bermaksud ‘satu jumlah yang besar iaitu puluhan ribu’ seperti yang disebutkan di dalam Bible Indonesia AlKitab ataupun ‘sepuluh ribu’ secara spesifik? Apabila diterima maksudnya sebagai ‘satu jumlah yang besar iaitu puluhan ribu’, ia tetap tiada kaitan dengan Nabi Isa as kerana pengikut setia Nabi Isa as yang dikenali sebagai apostles di dalam Bible hanya berjumlah 12 orang sahaja. Sebaliknya, pengikut-pengikut setia Nabi Muhammad iaitu sahabat-sahabat beliau berjumlah puluhan ribu. Apabila kita merujuk kepada tulisan Bible yang asal dalam bahasa Yahudi atau Hebrew, perkataan asal yang digunakan adalah rbabah. Tokoh-tokoh dari Institute of Creation Research yang dianggotai oleh tokoh-tokoh Kristian daripada pelbagai bidang berpendapat, “Perkataan rbabah dalam bahasa Yahudi boleh diertikan sebagai 10,000 secara spesifik ataupun satu jumlah yang besar”. Justeru, mentafsirkan perkataan ten thousands sebagai ‘sepuluh ribu’ secara spesifik adalah selari dengan kehendak Bible dalam bahasa Hebrew seperti yang disebutkan oleh tokoh-tokoh dari Institute of Creation Research.
Ayat Bible yang bermaksud, 'Seorang nabi yang bersinar dengan sempurna dari Paran', yakni Mekah, amat bertepatan dengan Nabi Muhammad yang berasal dari Mekah dan merupakan penghulu bagi nabi-nabi dan rasul dengan membawa satu risalah yang lengkap dan sempurna. Undang-undang yang dibawa berjaya ditegakkan melalui negara Islam di Madinah dan dengannya jahiliah serta kesesatan dapat dimusnahkan. 'Sepuluh ribu orang-orang suci' selari dengan 10 000 sahabat-sahabat beliau yang berjaya menakluki Mekah pada hari Jumaat, 10 Ramadan tahun kelapan Hijrah. Selepas kota Mekah jatuh ke tangan umat Islam, golongan kafir Quraisy berhimpun menantikan hukuman daripada beliau di atas segala perbuatan keji yang mereka lakukan selama ini.
Kisah sejarah ini dipaparkan dengan jelas di dalam Bible New Revised Standard Version bab Jude ayat 14 hingga 16 yang bermaksud,
“See, the Lord is coming with ten thousands of his holy ones, to execute judgement upon all, and to convict everyone of all the deeds of ungodliness that they have committed in such an ungodly way, and of all the harsh things that ungodly sinners have spoken against him”.
Terjemahan mengikut Bible Indonesia AlKitab (1993) adalah:
“Juga mengenai mereka Henokh, keturunan ketujuh daripada Adam, bernubuat, katanya, ‘Sesungguhnya Tuhan datang dengan beribu-ribu orang kudus-Nya, hendak menghakimi semua orang dan menjatuhkan hukuman ke atas orang-orang fasiq kerana semua perbuatan fasiq yang mereka lakukan dan kerana semua kata-kata nista yang diucapkan orang-orang berdosa yang fasiq itu pada Tuhan...”.
Sekali lagi perkataan ten thousands of his holy ones atau ‘sepuluh ribu orang-orang kudus’ digunakan dalam ayat ini. Sesiapa yang mengkaji sejarah Nabi Muhammad akan menyedari kisah yang dipaparkan ini selari dengan kisah beliau dan 10 000 sahabat-sahabat ketika mereka menguasai kota Mekah demi menegakkan kebenaran dan meruntuhkan kebatilan serta kefasikan. Selepas penaklukan itu, golongan kafir Quraisy merasa gelisah menantikan hukuman yang bakal dikenakan oleh Nabi Muhammad ke atas mereka. Justeru, kisah yang dipaparkan Bible ini tidak ada perkaitan sama sekali dengan sejarah hidup Nabi Isa as.
BAB 8 RAMALAN YANG TERBUKTI BENAR
Antara bukti-bukti yang menunjukkan kebenaran Nabi Muhammad adalah ramalan-ramalan yang terdapat di dalam Quran dan sunah yang disampaikan oleh beliau yang kemudiannya menjadi kenyataan.
Tentera Rom Selepas Kalah akan Menang
Allah menyatakan dalam surah al-Rom ayat 1 hingga 4 yang bermaksud, “Alif Lam Mim. Telah dikalahkan bangsa Rom. Di bumi yang terdekat dan mereka, sesudah kekalahan itu, akan menang dalam masa beberapa tahun lagi. Bagi Allahlah segala urusan yang terjadi sebelum dan selepas itu. Dan pada ketika itu akan bergembiralah orang-orang yang beriman”.
Ayat-ayat ini diturunkan mengenai peperangan yang berlaku antara Empayar Parsi dan Empayar Rom pada zaman Nabi Muhammad. Ketika itu, umat Islam mengharapkan kemenangan menyebelahi tentera Rom kerana golongan Rom beragama Kristian. Justeru, mereka adalah Ahli Kitab manakala orang-orang Parsi beragama Majusi yang menyembah api. Sebaliknya, bagi orang-orang kafir Quraisy, mereka mengharapkan kemenangan akan menyebelahi tentera Parsi.
Pada peringkat awal peperangan itu, tentera-tentera Parsi berjaya mengalahkan tentera Rom dan keadaan ini mendukacitakan umat Islam. Namun Allah menyatakan, dalam jangka masa yang singkat, iaitu bidh’a sinin, Rom akan kembali menang. Bidh’a sinin bermaksud 'beberapa tahun' dan dalam bahasa Arab ada yang menggunakannya bagi maksud 7 tahun. Namun ramai pentafsir berpendapat, jangka masanya adalah antara 3 hingga 9 tahun.
Dapat disimpulkan di sini, Allah memberi jaminan yang tentera Rom akan mengalahkan tentera Parsi dalam jangka masa 3 hingga 9 tahun. Dua perkara penting difokuskan dalam ayat-ayat ini adalah:
Rom pasti akan berjaya mengalahkan Parsi.
Kemenangan itu akan berlaku dalam jangka masa 3 hingga 9 tahun, bermula dari masa kekalahan Rom di ‘bumi yang terdekat’. Mengikut Tafsir al-Azhar oleh Hamka, ‘bumi yang terdekat’ bermaksud ‘bumi Syam dan Palestin’.
Sejarah menunjukkan, ketika ayat ini diturunkan, Parsi diperintah oleh maharaja bergelar Kisra atau Khosrau II (590–628 Masihi). Bermula daripada tahun 602, Khosrau II memulakan serangan besar-besaran ke atas Empayar Rom dan pada tahun 613 Masihi, kota Damsyik dapat ditawan daripada tangan Rom, diikuti dengan kota Jerusalem atau Baitul Maqdis pada tahun 614. Inilah bumi yang terdekat dengan kota Mekah. Pada tahun 616 Masihi, Parsi mencapai kemenangan yang besar dengan menguasai sebahagian besar kawasan Asia dan Mesir.
Pada masa itu, empayar Rom diperintah oleh maharaja yang bernama Heraclius. Sejarah membuktikan, bermula tahun 622 Masihi, Heraclius berjaya mengusir tentera Parsi keluar daripada bumi jajahan mereka secara berperingkat-peringkat. Ini bermakna, janji Allah iaitu kemenangan Rom berlaku dalam jangka masa 3 hingga 9 tahun selepas kejatuhan Jerusalem atau Baitul Maqdis ke tangan Parsi. Kemenangan ini menggembirakan umat Islam kerana terbukti janji-janji Allah menjadi kenyataan.
Kemenangan di Badar
Allah menyatakan dalam surah al-Anfal ayat 7 yang bermaksud, “Dan ingatlah tatkala Allah menjanjikan kepadamu, salah satu daripada dua golongan yang kamu hadapi adalah bagimu, sedangkan kamu menginginkan yang tidak bersenjata itu untuk kamu dan Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan ayat-ayat daripada-Nya dan menghancurkan orang-orang kafir”.
Dua golongan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kafilah perniagaan Abu Sufyan dan tentera Quraisy dari Mekah. Ketika itu, kafilah perniagaan Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan baru sahaja kembali dari Syam. Justeru, Nabi Muhammad dan para sahabat keluar bagi menahan mereka. Dalam perjalanan itu mereka mendapat tahu tentera Quraisy sudah keluar bagi memerangi umat Islam demi menyelamatkan harta perniagaan mereka. Pada masa itu, ada daripada kalangan sahabat-sahabat beliau yang merasa kurang senang kerana tidak menjangka mereka akan berperang. Berdepan dengan kafilah perniagaan adalah lebih mudah berbanding tentera Quraisy, namun Allah menetapkan yang sebaliknya dan Allah juga menjanjikan kemenangan akan menyebelahi umat Islam.
Akhirnya, berlakulah Perang Badar antara umat Islam dengan tentera kafir Quraisy pada tahun kedua Hijrah. Tentera Islam berjumlah 313 orang dan daripada jumlah itu, yang berkuda hanyalah 2 orang sahaja dan yang berkenderaan unta berjumlah 70 orang. Yang lainnya tidak mempunyai sebarang kenderaan. Mereka terpaksa berdepan dengan tentera Quraisy yang berjumlah lebih daripada seribu orang dengan peralatan yang lengkap.
Akhirnya, tentera Islam berjaya mengalahkan tentera Quraisy. Tentera Islam yang terbunuh berjumlah 14 orang sahaja sedangkan pihak Quraisy yang terbunuh berjumlah 70 orang dan yang berjaya ditawan juga 70 orang. Dengan kemenangan ini, janji-janji Allah menjadi kenyataan walaupun tentera Islam ketika itu berada dalam keadaan serba kekurangan.
Penemuan Jasad Firaun
Allah menyatakan dalam surah Yunus ayat 90 hingga 92 yang bermaksud, “Dan Kami memungkinkan bani Israil menyeberangi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun serta bala tenteranya kerana hendak menganiaya dan menindas mereka; sehingga apabila Firaun hampir tenggelam, dia pun berkata, 'Aku naik saksi, tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh bani Israil dan aku termasuk dalam golongan yang menyerah diri pada Allah'. Apakah sekarang baru kamu hendak percaya sedangkan kamu derhaka sejak dahulu? Pada hari ini, Kami selamatkan badanmu supaya ia menjadi pelajaran kepada orang-orang yang datang selepasmu. Sesungguhnya ramai manusia lalai daripada tanda-tanda kekuasaan Kami”.
Seperkara yang Allah janjikan dalam ayat ini adalah jasad Firaun yang tenggelam akan diselamatkan supaya menjadi pengajaran kepada manusia sejagat.
Firaun atau pharoah adalah gelaran bagi raja-raja yang memerintah Mesir kuno pada satu ketika dahulu termasuklah pada zaman Nabi Musa. Sejarah menunjukkan, Firaun tenggelam dan mati lemas di Laut Qulzum. Kajian pakar-pakar kaji purba atau arkeologi berjaya mengenal pasti Firaun yang tenggelam itu. Dia bernama Merneptah, anak kepada Firaun Ramses II yang terkenal.
Penemuan mayat Firaun Merneptah berlaku pada tahun 1898 di Mesir oleh seorang pakar arkeologi bernama Loret. Mayatnya ditemui di dalam bentuk mumia. Seorang pakar lain, Elliot Smith membuka tutupannya pada bulan Julai 1907 bagi melakukan pemeriksaan ke atas mumia Merneptah. Seterusnya, pada tahun 1975, kajian yang lebih terperinci dilakukan oleh Dr. Maurice Bucaille bersama beberapa orang ahli sains yang lain. Mereka menggunakan, antaranya, teknik pemeriksaan dalaman atau endoskopi dan X-ray terutamanya pada bahagian dada dan perut mumia itu. Kesemua pemeriksaan ini dilakukan di Kaherah.
Keputusan kajian ini dibentangkan kepada tokoh-tokoh cendekiawan di Perancis termasuklah kumpulan Akademi Perubatan Kebangsaan Perancis pada awal tahun 1976. Hasil-hasil kajian menunjukkan, Firaun Merneptah inilah yang mengejar Nabi Musa dan bani Israil sebelum dia sendiri mati lemas di lautan.
Keputusan kajian ini menyebabkan pihak berwajib Mesir bersetuju menghantar mumia Merneptah ke Perancis supaya dirawat iaitu pada bulan September, 1976. Pemimpin-pemimpin hari ini yang menganggap dirinya hebat dan agung perlu mengambil iktibar daripada pengalaman Firaun Merneptah. Namun, yang penting adalah ramalan yang terdapat dalam ayat Quran ini menjadi kenyataan dan terbukti kebenarannya pada hari ini.
BAB 10 PANDANGAN TOKOH-TOKOH BUKAN ISLAM MENGENAI MUHAMMAD
Pada masa ini, Islam adalah agama paling giat berkembang di Eropah, Amerika malah di seluruh dunia. Di Amerika, lebih daripada 20,000 orang memeluk Islam setiap tahun. Di Eropah, Islam adalah agama kedua terbesar selepas Kristian. Islam adalah agama yang berupaya menarik minat dan seterusnya meyakinkan mereka yang mengkajinya secara rasional. Berikut diturunkan perkataan serta komen beberapa tokoh bukan Islam berkenaan Nabi Muhammad dan risalah yang dibawa oleh beliau.
Michael H. Hart
Michael H. Hart adalah ahli sejarah, pakar matematik dan pakar astronomi. Beliau menulis buku bertajuk The 100 yang diterbit-kan pada tahun 1978. Buku ini diterbitkan semula dengan tajuk The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History terbitan Carol Publishing Group pada tahun 1992. Di dalamnya dimuatkan kajian beliau berkenaan 100 orang tokoh sejarah yang paling banyak memberi kesan dan mempengaruhi jalan hidup manusia. Akhirnya beliau merumuskan, tokoh sejarah yang paling berpengaruh adalah Nabi Muhammad.
Daripada 100 orang tokoh yang dikajinya, 20 nama yang teratas adalah:
Nabi Muhammad
Isaac Newton
Jesus Christ (Nabi Isa)
Buddha
Confucious
St. Paul
Ts’ai Lun
Johann Gutenberg
Christopher Columbus
Albert Einstein
Karl Marx
Louis Pasteur
Galileo Galilei
Aristotle
Lenin
Moses (Nabi Musa)
Charles Darwin
Shih Huang Ti
Augustus Caesar
Mao Tse-tung.
Apakah yang menyebabkan beliau memilih Nabi Muhammad sebagai tokoh yang paling berpengaruh dalam sejarah? Beliau berkata, “Pemilihan Muhammad sebagai tokoh yang paling berpengaruh di dunia mungkin mengejutkan sesetengah pembaca dan dipersoalkan oleh sesetengah yang lain. Saya memilihnya sebab hanya beliau seorang sahaja dalam sejarah yang begitu berjaya dalam dua bidang iaitu keagamaan dan keduniaan. Daripada asal-usul yang agak biasa, beliau mengasaskan dan mengembangkan salah satu agama terhebat di dunia dan menjadi seorang pemimpin politik yang unggul. Pada hari ini, 13 abad selepas kewafatan beliau, pengaruhnya masih hebat dan terus berkembang”.
Dalam teks asalnya beliau berkata, “My choice of Muhammad to lead the list of the world’s most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels. Of humble origins, Muhammad founded and promulgated one of the world’s great religions and became an immensely effective political leader. Today, thirteen centuries after his death, his influence is still powerful and pervasive”.
Profesor Jules Masserman
Majalah Time edisi 15 Julai 1974, meminta masyarakat memberi pandangan mereka berkenaan satu persoalan iaitu ‘What makes a great leader? Throughout history, who qualifies?’ Ia bermaksud, ‘Apakah kriteria yang menjadikan seseorang pemimpin agung dan sepanjang sejarah, siapakah yang layak digelar sebagai pemimpin agung?’
Jules Masserman, tokoh ilmu dalam bidang psikoanalisis dari Amerika dan juga Profesor di Universiti Chicago berkata, “Seseorang pemimpin perlu melaksanakan tiga fungsi iaitu memelihara kesejahteraan pengikut-pengikutnya, mewujudkan satu sistem sosial yang selamat lagi terjamin dan menyemai nilai kepercayaan untuk diikuti oleh pengikut-pengikutnya”.
Di dalam teks asalnya beliau berkata, “Leaders must fulfill 3 functions: the leader must provide for the well-being of the followers, the leader or would be leader must provide a social organization in which people feel relatively secure, this leader must provide his people with one set of beliefs”.
Selepas mengutarakan kriteria-kriteria ini, Profesor Jules Masserman akhirnya menulis, “Tokoh-tokoh seperti Pasteur dan Salk dapat dikategorikan sebagai pemimpin yang memiliki kriteria pertama. Alexander, Caesar dan Hitler pula dianggap sebagai pemimpin yang melaksanakan fungsi kedua dan mungkin juga ketiga. Pemimpin terunggul dalam sejarah adalah Muhammad kerana beliau melaksanakan ketiga-tiga fungsi ini, diikuti oleh Nabi Musa”.
Di dalam teks asalnya beliau berkata, “People like Pasteur and Salk are leaders in the first sense. People like Gandhi and Confucius, on one hand, and Alexander, Caesar and Hitler on the other, are leaders in the second and perhaps the third sense. Jesus and Buddha belong in the third category alone. Perhaps the greatest leader of all times was Mohammed, who combined all three functions. To a lesser degree, Moses did the same”.
Stanley Lane Poole
Stanley Lane Poole dilahirkan pada 18 Disember 1854 di London. Beliau adalah tokoh sejarah terkenal di Barat terutamanya berkenaan sejarah masyarakat Timur. Beliau banyak menulis buku berkenaan sejarah dan agama termasuk yang berkaitan agama Islam. Di antara buku-buku beliau adalah Egypt (1881), Studies in a Mosque (1883), Social Life in Egypt (1884), The Art of the Saracens in Egypt (1886), The Moors in Spain, with A. Gilman (1886), Turkey (1888), Cairo (1892).
Di dalam bukunya The Speeches and Table Talk of Prophet Muhammad, beliau menulis mengenai Nabi Muhammad. Beliau berkata, “Terhimpun pada dirinya sifat lemah lembut dan gagah berani sehingga seseorang yang cuba menilainya akhirnya akan mengagumi dan mengasihinya. Beliau adalah orang yang sanggup berdepan dengan kemarahan kaumnya. Beliau juga tidak mudah melepaskan tangannya ketika bersalaman. Beliau mengasihi kanak-kanak dan sentiasa melemparkan senyuman di samping menuturkan kata-kata indah yang mulia kepada mereka. Persahabatannya yang tulus, sikap pemurah, keberanian dan kecekalan yang ada padanya, semua ini mencairkan kritikan dan sebaliknya melahirkan kekaguman”.
Di dalam teks asalnya beliau berkata, “There is something so tender and womanly, and withal so heroic, about the man, that one is in peril of finding the judgment unconsciously blinded by the feeling of reverence and well-nigh love that such a nature inspire. He who, standing alone, braved for years the hatred of his people, is the same man who was never the first to withdraw his hand from another’s clasp; the beloved of children, who never passed a group of little ones without a smile from his wonderful eyes and kind words for them, sounding all the kinder in that sweet-toned voice. The frank friendship, the noble generosity, the dauntless courage and hope of the man, all tend to melt criticism into admiration”.
George Bernard Shaw
George Bernard Shaw dilahirkan di Dublin pada tahun 1856. Beliau terkenal sebagai ahli falsafah, seniman, ahli kritik, tokoh intelek, pemikir, tokoh drama, penulis, tokoh sastera dan aktivis masyarakat. Kemampuan dan ketokohannya dalam pelbagai bidang menjadikannya disanjung oleh masyarakat Barat hingga hari ini.
Justeru dalam bahasa Inggeris, tokoh-tokoh bahasa mewujudkan kata sifat ‘Shavian’ daripada namanya 'Shaw' bagi menyifatkan orang yang mempunyai ketokohan dalam pelbagai bidang seperti George Bernard Shaw. Kebanyakan bahan penulisan dan drama yang diterbitkan beliau berbentuk kritikan ke atas sistem yang ada yang mendatangkan masalah kepada masyarakat. Atas sumbangannya dalam bidang sastera, beliau dikurniakan hadiah Nobel Sastera pada tahun 1925.
Sebagai seorang pemikir dan pengkritik, beliau banyak mengkaji dan menulis mengenai Nabi Muhammad. Antara komenkomennya adalah seperti yang terdapat di dalam buku Letter to Najmi Sahib of Cyprus. Beliau berkata, “Orang-orang Kristian dan pendakwahnya, secara terancang, memberikan gambaran hodoh mengenai Islam dan rasulnya. Saya mengkaji bersungguh-sungguh mengenai Islam dan rasulnya dan saya mengkaji beliau sebagai seorang pengkaji sejarah dan pengkritik. Saya dapati beliau memang seorang yang agung dan penyelamat bagi manusia yang sedang menderita sakit tenat”.
Di dalam teks asalnya beliau berkata, “The Christians and their missionaries have presented a horrible picture of Islam. Not only that: they also carried out an organized and planned propaganda against the personality of Prophet Mohammad and the religion he preached. I have very carefully studied Islam and the life of its Prophet. I have done so both as a student of history and as a critic. And I have come to the conclusion that Mohammad was indeed a great man and a deliverer and a benefactor of mankind which was till then writhing under a most agonizing pain”.
Di dalam bukunya yang bertajuk The Genuine Islam, George Bernard Shaw berkata, “Saya sentiasa menyanjung agama yang dibawa Muhammad kerana kehebatan dan potensi yang ada padanya. Ia adalah satu-satunya agama yang pada pandangan saya mempunyai kemampuan untuk disesuaikan dengan perubahan-perubahan yang sering berlaku dalam kehidupan. Justeru menjadikannya menonjol pada setiap zaman. Saya mengkaji manusia hebat itu, yakni Nabi Muhammad dan pada pandangan saya beliau bukannya anti Nabi Isa, sebaliknya beliau layak digelar sebagai Penyelamat Umat Manusia”.
Di dalam teks asal beliau berkata, “I have always held the religion of Muhammad in high estimation because of its wonderful vitality. It is the only religion which appears to me to possess that assimilating capacity to the changing phase of existence which can make itself appeal to every age. I have studied him - the wonderful man and in my opinion for from being an anti-Christ, he must be called the Savior of Humanity”.
Beliau juga berkata, “I believe that if a man like him were to assume the dictatorship of the modern world he would succeed in solving its problems in a way that would bring it the much needed peace and happiness: I have prophesied about the faith of Muhammad that it would be acceptable to the Europe of tomorrow as it is beginning to be acceptable to the Europe of today”, yang bermaksud, “Saya yakin sekiranya manusia sepertinya diberi peluang memerintah dunia moden ini, beliau pasti dapat menyelesaikan masalah-masalah yang ada sehingga mendatangkan kedamaian dan kebahagiaan pada kehidupan. Saya pernah mengatakan agama ajaran Muhammad ini, suatu hari nanti, dapat diterima di Eropah”.
Zaman perundangan ini bermula dalam tahun 610 Masihi dan berakhir selepas kewafatan beliau dalam tahun 623 Masihi atau 10 Hijrah. Pada zaman ini terdapat 2 peringkat perundangan iaitu peringkat perundangan di Mekah dan peringkat perundangan di Madinah.
Peringkat pertama di Mekah merujuk kepada sebelum penghijrahan Nabi Muhammad ke Madinah. Ianya memakan masa lebih kurang 13 tahun. Kandungan perundangan pada peringkat ini lebih tertumpu pada hal-hal keimanan, akidah, kepercayaan dan akhlak. Peringkat kedua di Madinah adalah selepas penghijrahan iaitu lebih kurang 10 tahun yang mana proses perundangan adalah merangkumi keseluruhan konsep akidah, akhlak dan juga amali (termasuk ibadah, undang-undang dan sebagainya).
Sumber Perundangan pada Zaman ini
1. Sumber undang-undang utama dan unggul adalah wahyu Allah dalam bentuk al-Quran dan sunnah.
a. Al-Quran ialah wahyu Allah dalam bentuk makna dan perkataan
b. Sunnah ialah wahyu Allah dalam bentuk makna dan perkataan yang di dapati daripada Nabi Muhammad SAW. Ini termasuklah perbuatan, kata-kata dan takrir Nabi Muhammad. (Rujuk kepada topik Sunnah sebagai Sumber Perundangan Islam)
2. Ijtihad yang dilakukan oleh Nabi Muhammad juga dianggap sebagai sunnah.
Kaedah Perundangan
Wahyu daripada Allah SWT
Kaedah perundangan pada zaman Nabi Muhammad adalah berdasarkan kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad . Apabila suatu masalah timbul dan diajukan kepada beliau, Nabi Muhammad akan menunggu wahyu. Antara contoh ayat yang diturunkan sebagai menjawab persoalan yang dikemukakan adalah seperti berikut:-
1. Kes berperang dalam bulan yang diharamkan peperangan.
Surah al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud, "Mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad, mengenai hukum berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah, peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadanya dan juga perbuatan menyekat orang-orang Islam ke Masjidil Haram…"
2. Kes Hilaal ibn Umayyah.
Hilaal ibn Umayyah datang kepada Nabi Muhammad dan menuduh isterinya berzina dengan seorang sahabat yang lain. Nabi Muhammad berkata yang bermaksud, "Sama ada engkau membawa 4 orang saksi ataupun engkau akan dikenakan 80 kali sebatan di belakangmu". Hilaal menjawab, "Wahai Rasulullah! Sekiranya salah seorang daripada kamu melihat seorang lelaki di atas isterinya, adakah kamu hendak mencari para saksi lagi?" Tetapi Nabi Muhammad mengulangi soalannya. Kemudian turunlah malaikat Jibril menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW dalam surah Al-Nur ayat 6-9. (Sila rujuk kepada Tafsir al-Rahman)
Ijtihad
Apabila tidak ada wahyu diturunkan ke atas persoalan yang diajukan kepadanya, beliau akan berijtihad berdasarkan keterangan dan bukti-bukti yang zahir.
1. Kes berwuduk dengan air masin
Dalam satu peristiwa, Nabi Muhammad SAW ditanya: "Wahai Rasulullah! Kami belayar di lautan dan sekiranya kami mengambil wuduk dengan air tawar, kehausanlah kami. Bolehkah kami mengambil wuduk dengan air masin?" Beliau menjawab, "Ia adalah air suci dan kejadian Allah, oleh itu ia halal".
2. Kes berhutang puasa
Ibn Abbas meriwayatkan, seorang perempuan berjumpa Nabi Muhammad dan mengadu yang ibunya meninggal dunia tetapi masih menanggung kewajipan berpuasa ganti selama sebulan. Perempuan itu bertanya kalau dia boleh berpuasa bagi pihak ibunya. Nabi Muhammad membandingkan puasa itu dengan hutang dan bertanya sama ada perempuan itu boleh menjelaskan hutang itu ataupun tidak. Apabila perempuan itu menjawab secara positif, Nabi Muhammad SAW lantas berkata, "hutang kepada Allah adalah lebih utama dijelaskan."
3. Kes anak hitam.
Abu Hurairah meriwayatkan, seorang lelaki daripada bani Fazarah datang berjumpa Nabi Muhammad dan mengadu isterinya melahirkan anak yang berwarna hitam kulitnya, sedangkan dia dan isterinya berkulit putih. Nabi Muhammad membandingkan kejadian ini dengan unta yang dimiliki oleh lelaki itu dan bertanya sama ada warna kehitaman ada di kalangan untanya. Apabila lelaki itu mengaku adanya kehitaman pada untanya, Nabi Muhammad bertanya lagi berhubung asal usul warna itu. Lelaki itu menjawab kemungkinan ada kaitannya dengan keturunannya. Lalu Nabi Muhammad pun menyampuk kemungkinan yang sama berlaku pada anaknya.
4. Kes mencium isteri pada bulan Ramadhan
Umar al-Khattab menceritakan kepada Nabi Muhammad beliau mencium isterinya pada siang hari pada bulan Ramadhan dan bertanya adakah perbuatannya membatalkan puasa. Beliau bertanya balik, "Adakah merosakkan puasa kalau berkumur?" Umar menjawab, "Tidak mengapa." Nabi Muhammad berkata kepadanya, "Demikian juga mencium isteri pada bulan Ramadhan".
Perundingan dengan Para Sahabat
Ada kalanya, Nabi Muhammad SAW akan meminta pendapat sahabatnya mengenai suatu masalah atau peristiwa.
1. Kes tempat bertahan semasa peperangan Badar.
Nabi Muhammad Saw menganjurkan kepada tenteranya supaya bertahan pada satu tempat dalam peperangan Badar. Tetapi ada antara sahabat yang berpendapat tempat itu tidak sesuai kerana tidak mempunyai sebarang kepentingan daripada segi peperangan. Seorang sahabat al-Hubab bin al-Munzir bertanya sama ada tempat itu diputuskan oleh wahyu dan tidak boleh diubah ataupun hanya satu taktik dan tipu helah perang. Nabi Muhammad menjelaskan pilihan tempat itu hanyalah tipu helah peperangan. Al-Hubab mencadangkan supaya dipilih tempat lain yang lebih strategik daripada segi peperangan kerana pemilihan tempat bertahan juga adalah salah satu sebab memperoleh kemenangan.
2. Kes pendebungaan pada pokok tamar
Nabi Muhammad melihat penduduk sebuah kampung menjalankan proses pendebungaan pada pokok tamar mereka. Nabi Muhammad bertanya berkenaan perbuatan itu. Jawapan yang diberikan adalah mereka sudah melakukannya sejak turun temurun. Nabi Muhammad mengatakan kemungkinan lebih baik kalau tidak dilakukan. Petani-petani itu pun patuh kepada pendapat Nabi Muhammad dengan anggapan itu adalah wahyu daripada Allah. Malangnya, hasil tamar pada musim itu tidak memuaskan. Lalu Nabi Muhammad berkata, "Kamu lebih mengetahui urusan keduniaan kamu".
Perbincangan di atas menunjukkan terdapat tiga kaedah perundangan pada zaman Nabi Muhammad. Para pembaca harus jelas kaedah perundangan adalah berbeza dengan sumber perundangan. Ini adalah penting kerana sumber perundangan pada zaman Nabi Muhammad hanya tertumpu kepada al-Quran dan sunnah dan bukan ijtihad. Ini adalah kerana matlamat perundangan pada zaman ini adalah meletakkan asas dan prinsip supaya terbentuk suatu sistem perundangan yang dikehendaki Allah serta menjamin kebahagiaan manusia sehingga ke hari Kiamat. Oleh itu, para sahabat tidak diberi hak campur tangan dalam aspek perundangan kerana ia disempurnakan melalui wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad.
Ciri-Ciri Perundangan
Peristiwa hijrah Nabi Muhammad dan para sahabat beliau adalah pengorbanan besar yang dilakukan bagi menyahut seruan Allah dalam usaha mendirikan sebuah masyarakat dan negara Islam yang unggul. Akhirnya, Nabi Muhammad berjaya membentuk sebuah negara Islam di Madinah al-Munawwarah yang diasaskan kepada keimanan kepada Allah demi bagi kesejahteraan umat Islam dan mendapatkan keredaan Allah di Akhirat.
Selepas tertegaknya negara Islam di Madinah, keimanan dan kedudukan umat Islam semakin kuat dan mantap, ayat Quran yang terakhir turun yang mengiktiraf kesempurnaan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad berdasarkan kepada firman Allah, surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud, "Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan nikmatku kepada kamu, dan Aku reda Islam menjadi agama untuk kamu". Ciri-ciri perundangannya adalah:
1. Ciri unggul hanyalah perundangan Islam diturunkan melalui wahyu yang suci.
2. Segala permasalahan dalam masyarakat hanya dirujuk kepada Muhammad seorang. Oleh itu, tiada perbezaan pendapat atau resolusi undang-undang kerana hanya beliau sebagai tempat rujukan.
3. Perundangan dilengkapkan dalam bentuk prinsip asas Islam.
4. Fikah pada masa ini masih belum secara formalnya diisytiharkan sebagai sains dalam Islam. Ini kerana masih belum ada dalam buku-buku fikah masa itu. Kebanyakan peraturan-peraturan Islam ketika itu diwujudkan kerana peristiwa yang berlaku.
5. Tiada pengumpulan al-Quran. Nabi Muhammad tidak menggalakkan sahabat-sahabat merekodkan sunnah kerana dibimbangkan berlakunya kekeliruan antara sunnah dan al-Quran.
6. Perundangan tidak dilaksanakan serentak, ia berkuat kuasa secara beransur-ansur.
Undang-undang ciptaan manusia adalah suatu peraturan yang diperbuat sebagai panduan oleh suatu badan tertinggi yang mempunyai kuasa ke atas golongan tertentu. Ini meletakkan kuasa membuat undang-undang ke atas manusia atau suatu badan perundangan (Parlimen). Berdasarkan pengertian ini, badan perundangan berkuasa bagi membuat, meminda atau memansuhkan mana-mana peruntukan yang dirasakan perlu.
Bagi negara berparlimen seperti England, kuasa tertinggi membuat undang-undang adalah Parlimen. Tetapi bagi negara yang berperlembagaan seperti Malaysia, segala undang-undang mestilah tidak bercanggah dengan peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan. Namun begitu, dalam apa jua keadaan, kehendak manusia dalam membuat apa jua bentuk undang-undang tidaklah terbatas kerana perlembagaan juga boleh dipinda. Ini pasti berbeza dengan al-Quran yang dijamin keberkekalannya oleh Allah.
Pencipta
Undang-undang Islam adalah undang-undang Allah atau diistilahkan juga sebagai tasyrik rabbani. Oleh kerana ianya datang daripada Allah yang bersifat sempurna, ia adalah undang-undang yang terbaik dan sempurna bagi mengatur kehidupan manusia. Allah yang mencipta manusia adalah Maha mengetahui dengan jenis undang-undang yang patut dilaksanakan di kalangan manusia. Tambahan pula, manusia memang dijadikan oleh Allah bagi menjalankan segala perintah dan suruhannya dan menjauhkan diri daripada perkara larangannya. (sila rujuk surah al-Zarriyat ayat 56) Berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia yang terhasil daripada pemikiran manusia sendiri yang banyak kelemahan dan kekurangan.
Kepatuhan
Undang-undang atau peraturan diadakan supaya manusia mematuhinya. Manusia atau rakyat dikehendaki bertindak dan beramal mengikut undang-undang. Apabila tindakan manusia menurut kehendak undang-undang, hak individu dan orang lain terjaga. Manusia ada kalanya bertindak menyalahi undang-undang apabila merasakan mereka akan terselamat daripada tindakan atau merasakan pihak tertentu akan melakukan sesuatu bagi mengatasi kesalahan yang dilakukan. Contohnya, seorang pemandu akan memandu melebihi had laju di kawasan yang kurang pengawasan polis trafik. Ini kerana mereka merasakan mereka akan terselamat daripada tindakan itu walaupun menyalahi undang-undang.
Berbeza dengan undang-undang Islam. Manusia dikehendaki mematuhinya di mana sahaja mereka berada. Mereka juga dikehendaki mematuhinya sama ada di hadapan penguat kuasa undang-undang ataupun sebaliknya, dalam terang ataupun gelap kerana kita dikehendaki menyembah Allah SWT seolah-olah kita melihatnya dan apabila kita tidak melihatnya, sesungguhnya Allah SWT melihat kita. (sila rujuk hadis kedua dari Kitab Hadis 40)
Hukuman
Menurut undang-undang ciptaan manusia, konsep hukuman hanya setakat di dunia sahaja. Manusia dikenakan hukuman sama ada penjara, sebat atau denda. Tujuan dikenakan hukuman adalah supaya si pesalah tidak mengulangi dan sedar perbuatannya. Berbeza dengan konsep hukuman di atas, hukuman dalam Islam mencakupi kedua-dua dunia dan akhirat. Sesiapa sahaja yang melanggar hukum Allah pasti dihukum tidak kira di mana kesalahan itu dilakukan. Hukuman tetap akan dilaksanakan sama ada di dunia ataupun di akhirat.
Syariah mengandungi 'konsep dosa dan pahala' yang akan diadili pada Hari Akhirat kelak. Konsep ini tidak terdapat dalam undang-undang ciptaan manusia. Syariah Allah berkuat kuasa sehingga Hari Akhirat kerana ia sesuai dengan fitrah dan keperluan manusia sepanjang zaman.
Bidang Kuasa
Bidang kuasa undang-undang Islam tidak ada batasnya. Ini kerana yang mencipta atau yang memperundangkan sesuatu peraturan atau hukum itu adalah Allah. Dialah pembuat undang-undang tertinggi. Oleh kerana dunia ini diciptakan oleh Allah, undang-undang yang ditetapkannya tiada batasan masa dan tempat malah berkuat kuasa sehingga Hari Akhirat. Ini adalah suatu keunikan perundangan Islam iaitu bidang kuasa tidak terbatas. undang-undang diperakui sah dan berkuat kuasa di mana-mana jua; baik timur ataupun barat walaupun penduduk tempatan tidak mengakui kedaulatannya.
Ini bererti setiap orang yang mengakui dirinya 'Muslim' tertakluk kepada undang-undang Islam walau di mana berada. Ini adalah kerana dalam Islam, kuasa tertinggi undang-undang terletak di tangan Allah dan bukan pada Parlimen atau perlembagaan sesebuah negara.
Berkekalan
Undang-undang ciptaan manusia tertakluk kepada perubahan. Ini kerana menjadi suatu konsep dalam perundangan sesuatu bahagian perundangan hanya boleh dipinda atau diganti oleh institusi yang membuatnya. Ini bererti apabila parlimen yang membuatnya, maka parlimen yang memindanya. Apabila kuasa membuat undang-undang dipindahkan kepada suatu badan, maka badan itu hanya berkuasa dalam bidang yang ditetapkan. Apabila badan itu terkeluar daripada bidang kuasa yang diperuntukkan maka ia dianggap 'ultra vires'.
Konsep pemansuhan undang-undang ini bukanlah suatu konsep asing bagi perundangan Islam. Dalam perundangan Islam ia dikenali sebagai nasakh wal mansuh. Terdapat beberapa ayat yang dihapuskan dan dipinda mengikut kesesuaian keadaan manusia. Namun begitu, proses nasakh dan mansuh hanya berlaku pada zaman Muhammad sahaja. Selepas kewafatan beliau syariah tidak boleh dipinda lagi. Ini jelas dalam firman Allah Surah al-Nahl ayat 101 yang bermaksud, "Dan apabila Kami tukarkan suatu ayat di tempat ayat yang lain sebagai penggantinya padahal Allah lebih mengetahui apa yang diturunkan, mereka berkata, 'Sesungguhnya kamu Muhammad pembohong'. Malah kebanyakan mereka tidak mengetahui".
Jahiliah adalah isme-isme, falsafah dan cara hidup yang tidak berasaskan al-Quran dan Sunnah. Pada hari ini, ia menonjol dalam pelbagai bentuk dan rupa seperti komunisme, sosialisme, demokrasi dan sebagainya. Said Hawa di dalam al-Asas fit Tafsir berkata: "Zaman jahiliah bukanlah suatu zaman yang mempunyai tarikh yang khusus di dalam sejarah. Ia sebenarnya adalah suatu keadaan yang berlaku apabila hukum hakam dan syariat yang berhubung dengan kehidupan ditentukan mengikut kehendak hawa nafsu manusia terpisah daripada minhaj dan syariat yang ditetapkan Allah. Jika sesuatu zaman dan tempat mempunyai ciri-ciri ini, ia telah menepati ciri-ciri jahiliah".
Berpandukan definisi ini, jahiliah tidak hanya wujud pada zaman sebelum kebangkitan nabi, sebaliknya ia boleh wujud pada setiap zaman termasuk pada zaman pasca-moden ini. Allah mengutuk orang-orang yang reda dengan cara hidup jahiliah.
Berhubung dengan ini, menurut nabi: "Allah paling murka pada mereka yang beragama Islam tetapi mengikut landasan jahiliah dan juga pada mereka yang ingin menumpahkan darah seseorang tanpa hak." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tabrani. Ia juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari dengan sedikit tambahan.
Umat Islam perlu mengenali jahiliah yang wujud pada zaman mereka supaya dapat menjauhi dan mencegah kewujudannya. Khalifah Omar al-Khattab pernah berkata, "Akan terungkai ikatan Islam satu demi satu daripada seseorang jika dia hidup tanpa mengenali jahiliah."
Tiga jahiliah yang agak menonjol pada hari ini adalah Darwinisme yang berkaitan dengan asal usul manusia, konsep Machiavellianisme yang berkaitan dengan nilai kebaikan dan keburukan dalam kehidupan dan sekularisme yang berkaitan dengan pemisahan agama daripada kehidupan.
Darwinisme
Teori Evolusi diasaskan oleh pakar biologi dari England yang bernama Charles Robert Darwin (1809-1882M). Beliau mengutarakan pendapatnya di dalam bukunya yang bertajuk The Origin of Species by Means of Natural Selection pada tahun 1859. Darwin menegaskan, semua makhluk yang hidup, sama ada manusia ataupun haiwan, berasal dari keturunan yang sama (common ancestor).
Keturunan awal ini kemudiannya berubah daripada satu tahap ke tahap yang lain bagi menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang sentiasa berubah. Hasil daripada perubahan-perubahan itu yang memakan masa jutaan tahun, akhirnya lahirlah makhluk kompleks yang bernama manusia.
Jika teori ini benar, kita pasti bertemu dengan makhluk-makhluk pertengahan yang separuh binatang dan separuh manusia, separuh binatang laut dan separuh binatang darat, separuh burung dan separuh haiwan biasa kerana teori evolusi menuntut wujudnya makhluk seumpama itu sebagai bukti kebenarannya.
Namun, hingga ke hari ini makhluk seumpama itu tidak ditemui sehingga pada suatu masa Darwin sendiri meragui teorinya. Di dalam bukunya The Origin of Species beliau berkata, "Jika makhluk-makhluk berubah dari satu spesies ke spesies lain, mengapa tidak ditemui spesies yang pertengahan itu (transitional forms)? Mengapa kehidupan wujud dalam keadaan teratur dan tidak kelam-kabut? Mengapa makhluk penghubung antara satu spesies dengan spesies lain tidak wujud? Perkara inilah yang memeningkan kepalaku selama ini!"
Bagi membuktikan kewujudan spesies pertengahan ini, penipuan dilakukan oleh ahli-ahli sains tertentu. Sebagai contoh, 50 tahun dahulu pakar-pakar dalam bidang evolusi (evolutionist) menggemparkan dunia dengan penemuan sejenis ikan jenis Coelacanth yang dikatakan hidup 410 juta tahun dahulu dan tidak wujud lagi pada hari ini. Bagi mereka, ikan ini adalah bukti kewujudan spesies pertengahan berbentuk separuh ikan dan separuh haiwan darat kerana ia mempunyai paru-paru, otak, sistem penghadaman dan sistem yang membolehkannya berjalan di darat.
Namun, pada 22 Disember, 1938, jenis ikan yang sama ditemui di Laut India diikuti dengan 200 penemuan lain dalam jangka masa beberapa tahun sahaja. Pada hari ini, ahli-ahli sains mengesahkan bahawa ikan Coelacanth ini adalah ikan asli yang tidak ada perkaitan sama sekali dengan spesies pertengahan yang disebutkan oleh pakar-pakar evolusi. Majalah Bilim ve Teknik mendedahkan, apa yang didakwakan oleh mereka berhubung ikan Coelacanth yang mempunyai otak, paru-paru dan sebagainya adalah pembohongan semata-mata.
Begitu juga dengan penemuan tulang rahang dan tempurung otak Piltdown Man yang dikatakan daripada spesies pertengahan antara binatang dan manusia. Tulang ini ditemui di Piltdown, England pada tahun 1912 oleh seorang ahli sains yang bernama Charles Dawson. Selepas beberapa ujian dilakukan, akhirnya pada tahun 1953 didedahkan bahawa tulang rahang itu diambil daripada seekor orang hutan yang baru meninggal dunia dan tempurung otaknya adalah tempurung otak manusia yang sebenar!
Secara dasarnya, teori Darwin menafikan kewujudan Tuhan. Kuasa penentu dalam proses evolusi ini adalah natural selection atau 'kuasa semula jadi'. Justeru, pengasas teori komunisme, Karl Max mengagumi Charles Darwin sehinggakan di dalam bukunya Das Kapital beliau menganggap dirinya sebagai pengikut setia Charles Darwin.
Islam menentang teori Darwin sebagaimana Islam menentang semua teori yang mengingkari kewujudan kuasa Tuhan. Tambahan daripada itu, nabi bersabda, "Manusia berasal dari Adam dan Adam berasal dari tanah". Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Abu Daud.
Machiavellianisme
Machiavellianisme mengikut Academic Press Dictionary of Science and Technology bermaksud 'perangai yang cenderung melakukan tipu daya dan putar belit demi mencapai cita-cita dan kehendak peribadi'. Ia diasaskan oleh pemikir dari Florence, Itali yang bernama Niccolo Machiavelli (1469-1527M). Beliau hidup pada zaman kebangkitan Barat yang dikenali sebagai Renaissance.
Antara buku-buku beliau yang terkenal adalah The Prince dan Discourses. Dalam tulisan-tulisan Machiavelli, beliau secara dasarnya membezakan antara 'kehidupan peribadi' dan 'kehidupan politik' pemerintah. Dalam berpolitik, moral dan agama tidak perlu dijadikan landasan bagi mencapai kejayaan. Justeru, individu dapat menggunakan apa jua cara sekalipun bagi mengekalkan kuasanya. Konsep ini kemudiannya dikenali sebagai Machiavellianisme dan pada hari ini menjadi pegangan yang dianuti oleh ramai orang dalam masyarakat. Konsep nilai yang terkandung dalam Machiavellianisme ini adalah 'niat membersihkan cara' atau the end justifies the means.
Sistem nilai ini memberi keutamaan pada kehendak diri serta hawa nafsu. Ia sama sekali tidak mementingkan landasan agama. Mengikut sistem ini, berpolitik secara licik dan zalim demi mengekalkan kuasa adalah halal dan begitu juga dalam aspek-aspek lain. Machiavellianisme amat bercanggah dengan Islam kerana Islam mementingkan kesucian niat dan cara dalam setiap amalan. Berhubung dengan ini, dalam surah al-Baqarah ayat 112, Allah berfirman, "Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah di samping melakukan kebaikan, baginya ganjaran dari sisi Tuhannya. Tidak ada ketakutan ke atasnya dan dia tidak akan berdukacita."
Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, "(Ayat ini) menjelaskan, Allah hanya menerima amal yang mempunyai dua kriteria, iaitu pertamanya ikhlas dan keduanya muhsin. Muhsin bermaksud melakukan sesuatu sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Jika sesuatu amal dilakukan dengan tulus ikhlas tetapi caranya tidak mengikut (syariat) ia tidak diterima (oleh Allah)."
Justeru dalam Islam, di samping niat, cara juga perlu dijaga supaya ia menepati kehendak syariat sama ada yang berkaitan dengan batas-batas hak dan batil, halal dan haram, sah dan batal ataupun sunnah dan bidaah.
Sekularisme
Salah satu isme yang menguasai umat Islam pada hari ini adalah sekularisme. Kalimat sekularisme berasal dari kalimat Latin saeculum dan kalimat Inggeris secularism. Mengikut The American Heritage Dictionary of the English Language: Fourth Edition, kalimat secularism bermaksud "religious skepticism or indifference. The view that religious considerations should be excluded from civil affairs or public education."
Kenyataan ini bermaksud, "konsep sekularisme memisahkan agama daripada kehidupan dan pendidikan". Sebagai contoh, dalam konteks Amerika Syarikat, presiden keduanya, John Adams, pernah berkata: "The government of the United States of America is not in any sense founded on the Christian religion." Ia bermaksud, "kerajaan Amerika Syarikat ditegakkan tanpa berlandaskan agama Kristian sedikit pun". Hal ini disebutkan di dalam Treaties And The Other International Acts oleh John Adams.
Kesan yang menonjol daripada konsep sekularisme ini adalah siasah dan sistem pemerintahan negara dipisahkan daripada agama. Konsep ini jelas bercanggah dengan Islam kerana dalam surah al-Baqarah ayat 208, Allah berfirman, "Wahai mereka yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikut langkah-langkah syaitan. Syaitan merupakan musuh yang nyata bagimu".
Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata: "Allah mengarahkan hambanya yang mukmin yang membenarkan Rasulnya supaya berpegang dengan segala ikatan Islam dan syariatnya serta melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya di samping meninggalkan segala larangannya sedaya upaya mereka....."
Apabila umat Islam mengutamakan ajaran dan cara hidup yang lain daripada Islam dalam bidang-bidang tertentu, mereka boleh diumpamakan seperti seorang yang membuang nikmat untuk digantikan dengan bala. Dalam surah al-Baqarah ayat 211 Allah berfirman, "Sesiapa yang menggantikan nikmat Allah (dengan yang selainnya) selepas ia dikurniakan dengannya, sesungguhnya Allah amat keras seksaannya".
Berhubung dengan ayat ini, as-Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir berkata, "Antara perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai menggantikan nikmat Allah adalah, menggantikan sistem, undang-undang dan perlembagaan Islam dengan yang lain daripada Islam, menggantikan akhlak Islam dengan etika dan moral jahiliah dan menggantikan kefahaman Islam dengan kefahaman jahiliah. Sebenarnya umat Islam pada hari ini telah melakukan kesemua ini justeru adakah kita berasa pelik apabila akhirnya bala Allah menimpa kita?"
Khurafat dan tahayul adalah kepercayaan dan amalan yang tidak bersandarkan al-Quran dan Sunnah serta tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Ia adalah sebahagian daripada jahiliah yang sesat. Kepercayaan ini dipegang oleh segelintir umat Islam kadangkala kesan daripada pengaruh budaya yang dibawa oleh penganut agama lain di samping kejahilan di pihak diri sendiri.
Sial majal
Antara bentuk khurafat dan tahayul yang wujud dalam masyarakat hari ini adalah kepercayaan pada konsep sial majal. Islam menolak kepercayaan ini berdasarkan sabda nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Tidak ada sial majal (dalam Islam).” Sial sering kali dikaitkan dengan bulan dan hari-hari tertentu. Pada zaman jahiliah, bulan Safar dianggap sebagai bulan sial yang mendatangkan bencana dan malapetaka Justeru nabi bersabda, “Tidak ada sial pada bulan Safar.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
Kadang kala, sial dikaitkan dengan bunyi binatang seperti bunyi burung hantu ataupun suara-suara tertentu. Mengikut hadis riwayat Imam Abu Daud, nabi menolak kepercayaan ini melalui sabda baginda yang bermaksud, “(Mempercayai) kesialan pada suara-suara (tertentu)….. adalah daripada perbuatan syaitan.”
Roh orang mati menjadi binatang?
Ada segolongan masyarakat mempercayai roh orang mati secara ngeri bertukar menjadi binatang buas, hantu puntianak dan seumpamanya. Kepercayaan seperti ini masih wujud sehingga hari ini. Pada zaman jahiliah, roh orang mati dibunuh dipercayai bertukar menjadi burung yang menjerit di tanah perkuburan si mati sehingga keluarganya menuntut bela di atas kematiannya itu. Kepercayaan ini dikenali sebagai hamah. Sehubungan dengan ini, nabi bersabda, mengikut riwayat Bukhari, “Tidak ada hamah (dalam Islam).”
Pada zaman jahiliah, sebelum bermusafir individu melepaskan beberapa ekor burung. Apabila burung-burung itu terbang ke sebelah kiri, ia dianggap sebagai pertanda buruk justeru musafir itu dibatalkan.178 Amalan seperti ini ditolak oleh agama Islam.
Khurafat, tahayul dan syirik
Khurafat dan tahayul dapat membawa individu kepada syirik berdasarkan sabda nabi yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Abu Daud yang bermaksud, “Mempercayai sial majal membawa kepada syirik dan Allah menggantikan kesemua itu dengan tawakal.”
Pada hari ini, kepercayaan yang sesat ini masih terus dipegang dalam rupa bentuk yang pelbagai seperti roh wali dapat mengabulkan cita-cita, bintang dapat menentukan nasib, keserasian jodoh adalah mengikut nilai rasi, bomoh dapat mengetahui alam ghaib, bulan Safar adalah bulan bala, suara burung hantu pada siang hari membawa pertanda ada orang akan mati, cara uri ditanam mempengaruhi kehidupan anak yang baru dilahirkan, kucing hitam yang melintas membawa pertanda buruk, nombor 13 membawa sial dan sebagainya. Kepercayaan pada khurafat dan tahayul sebenarnya melambangkan kemunduran akal dan kelemahan jiwa individu. Umat Islam sewajarnya kembali menghayati ajaran Islam yang suci demi memartabatkan imej agama Islam yang sebenar.
Semua kebaikan bermula dengan ilmu. Wahyu yang diturunkan ke atas nabi Muhammad bermula dengan suruhan membaca bagi menguasai ilmu kerana dengan ilmu insan mengatasi makhluk-makhluk lain. Allah berfirman dalam surah al-Alaq ayat 1 hingga 5, "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia mencipta manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Maha Pemurah. Dia mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya".
Semasa mentafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim berkata, "Di antara tanda Allah memuliakan insan ialah dikurniakan ilmu kepada mereka dan ilmu itu telah meletakkan nabi Adam di tahap yang lebih tinggi daripada para malaikat. Ilmu kadangkala dikaitkan dengan akal, kadangkala dengan lisan dan kadangkala dengan penulisan... Sesiapa yang mengamalkan ilmu yang diketahuinya, Allah akan kurniakan kepadanya ilmu yang tidak diketahuinya".
Nabi Adam sebelum menjadi khalifah di muka bumi, diajar dengan pelbagai ilmu. Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 31, "Dan Allah mengajar kepada Adam nama (benda-benda) keseluruhannya kemudian mengemukakannya kepada para malaikat.."
Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata: "Allah mengajar Adam tentang setiap perkara sama ada yang berkaitan dengan zat suatu benda, sifatnya atau perbuatannya. Inilah pendapat yang sahih dan ia selari dengan pandangan Abdullah ibn Abbas." Kisah yang berkaitan dengan nabi Adam ini membawa makna kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian hidup manusia di muka bumi amat bergantung pada penguasaan ilmu.
Justeru, tonggak kecemerlangan dan kejayaan adalah ilmu. Suatu masa dahulu, Thalut dipilih untuk memimpin Bani Israel. Pemilihan ini tidak dipersetujui oleh Bani Israel kerana Thalut, bagi mereka, tidak layak memikul tugas itu disebabkan beliau bukan hartawan.
Perkara yang mereka tidak sedari adalah Thalut memiliki kekayaan ilmu dan kekayaan ilmu ini melayakkan beliau menjadi pemimpin. Berhubung dengan ini, Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 247, "Sesungguhnya Allah memilihnya (Thalut) menjadi rajamu dan menganugerahinya dengan ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa".
Demikian juga dengan nabi Yusuf. Semasa baginda menawarkan diri menjaga khazanah bumi Mesir, baginda menyatakan, salah satu kelebihan yang ada pada baginda adalah ilmu pengetahuan. Allah berfirman dalam surah Yusuf ayat 55, "Berkata (Nabi Yusuf), Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir) kerana aku adalah seorang yang pandai menjaga (beramanah) lagi berpengetahuan".
Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata: "Ilmu yang luas (yang dimiliki nabi Yusuf ini) bermaksud, menguasai ilmu serta mempunyai pemahaman yang mendalam berhubung tugas yang bakal dipikul baginda". Apabila ilmu dan kefahaman serta amanah menghiasi diri individu, ia membawa individu itu kepada keberkatan dan kejayaan dalam bidang yang diceburinya.
Lebih daripada itu, makhluk halus yang jahat seperti jin Ifrit tidak dapat menandingi kehebatan insan yang berilmu. Pada zaman nabi Sulaiman, baginda mengarahkan tentera-tenteranya mendatangkan singgahsana permaisuri Balqis dari negara Saba. Jin Ifrit berjanji mendatangkannya sebelum nabi Sulaiman bangun dari tempat duduknya. Kemampuan jin Ifrit ini dapat ditandingi seorang lelaki yang tinggi ilmunya yang mampu mendatangkan singgahsana itu dalam sekelip mata.
Allah menceritakan tentang insiden ini dalam surah an-Naml ayat 38 hingga 40, "Berkata nabi Sulaiman, 'Wahai pembesar-pembesarku, siapakah antara kamu yang sanggup membawa singgahsana (Balqis) kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri?' Berkata Ifrit daripada golongan jin, 'Aku akan membawanya sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu. Sesungguhnya aku seorang yang kuat untuk membawanya lagi boleh dipercayai'. Berkata seorang yang dikurniakan ilmu dari Kitab, 'Aku akan mendatangkannya kepadamu sebelum matamu berkedip'….."
Berhubung dengan ayat ini, ulama tafsir secara umumnya bersepakat, orang yang dikurniakan ilmu daripada Kitab ini adalah manusia yang mendalami kitab-kitab terdahulu seperti Zabur dan Taurat. Abdullah ibn Abbas, Qatadah dan lain-lainnya berpendapat beliau adalah Asaf bin Barkhaya, setiausaha nabi Sulaiman. Hal ini disebutkan di dalam al-Asas fit Tafsir oleh as-Syeikh Said Hawa.1 Ar-Razi dalam tafsirnya berpendapat beliau adalah nabi Sulaiman sendiri.2 Perkara penting yang dapat dimanfaatkan daripada ayat ini adalah orang-orang yang berilmu mempunyai kelebihan mengatasi makhluk-makhluk lain termasuk jin Ifrit.
Malah iblis dan syaitan juga tidak dapat merasuk dan menyesatkan golongan yang berilmu. Berhubung dengan ini, Imam Thabrani meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, "Tidak ada ibadah kepada Allah yang lebih utama dari kefahaman agama. Sesungguhnya seorang yang mendalam ilmu agamanya (fakih) lebih susah untuk diperdayakan syaitan berbanding seribu orang ahli ibadah..."
Imam al-Ghazali di dalam Minhajul Abidin menceritakan kisah berhubung dengan dua orang individu pada zaman dahulu. Seorang mempunyai ilmu yang tinggi tetapi tidak beribadah dan rakannya pula rajin beribadah tetapi tidak berilmu. Syaitan mendatangi lelaki yang jahil tetapi kuat beribadah dengan memakai pakaian yang hebat dan gaya yang mengagumkan dan berkata: 'Wahai hambaku, aku telah ampuni semua dosa-dosamu. Sekarang kamu tidak perlu beribadah lagi'.
Lelaki jahil itu begitu bersyukur dan bergembira dan terus berkata: 'Itulah yang aku harapkan darimu wahai tuhanku'. Lelaki jahil ini menjadi sesat kerana tidak mengenali sifat-sifat Tuhannya dan tidak menguasai ilmu tauhid. Syaitan yang sama kemudiannya cuba menyesatkan lelaki yang fasiq tetapi berilmu tinggi. Syaitan berkata: 'Wahai hambaku, aku ampuni semua dosa-dosamu'. Lelaki yang berkenaan terus mencabut pedangnya dan memekik: 'Celaka kamu. Kamu menyangka aku tidak mengenali Tuhan?' Lelaki ini walaupun fasiq namun akidahnya tidak tergelincir dengan tipu daya iblis kerana ketinggian ilmunya. Imam al-Ghazali memaparkan kisah ini untuk menunjukkan ilmu adalah penting dan penyelamat manusia.
Penguasaan ilmu dapat menyerlahkan potensi individu. Berhubung dengan ini, Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, "Manusia laksana lombong emas dan perak. Mereka yang terbaik pada zaman jahiliah, mereka juga terbaik dalam Islam jika mereka memiliki kefahaman agama." Hadis ini menunjukkan, manusia secara umumnya berpotensi untuk mencapai kejayaan. Bagi menyerlahkan potensi yang sedia ada, manusia perlu diproses dan digilap seperti emas dan perak. Apabila ia digilap berdasarkan kefahaman agama yang betul, potensi itu akan meledak ke tahap optimum dan hasilnya adalah kecemerlangan dan kejayaan dalam bidang yang diceburi.
Justeru, perjuangan yang dilakukan tanpa ilmu mendatangkan banyak kerosakan pada manusia. Khalifah Omar Abdul Aziz pernah berkata, "Sesiapa yang melakukan sesuatu tanpa ilmu, dia akan mendatangkan lebih banyak kerosakan daripada kebaikan."
Islam membahagikan ilmu kepada dua bahagian. Pertama, fardu ain, dan kedua, fardu kifayah. Di dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mendefinisikan ilmu fardu ain sebagai ilmu yang wajib diketahui dan dilaksanakan oleh semua hamba Allah yang berakal serta baligh. Ilmu fardu ain yang dituntut adalah yang berkaitan dengan akidah, tasawuf dan fikah. Ilmu-ilmu ini wajib dipelajari oleh setiap individu Muslim dan Muslimah.
Ilmu fardu kifayah adalah bidang-bidang yang wajib dikuasai oleh sebahagian umat Islam. Bidang-bidang ini amat diperlukan dalam kehidupan namun tidak semua individu Muslim dan Muslimah diwajibkan menceburi bidang-bidang ini. Jika sebahagian umat Islam sahaja yang menceburinya ia sudah memadai.
Berhubung dengan ini, dalam surah at-Taubah ayat 122, Allah berfirman, "Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepada mereka supaya mereka itu dapat menjaga diri."
Ayat ini menjelaskan tentang kepentingan sebahagian daripada umat Islam mendalami ilmu-ilmu agama supaya mereka dapat mengingatkan rakan-rakan mereka yang lain tentangnya. Inilah yang dimaksudkan sebagai bidang fardu kifayah. Imam al-Ghazali membahagikan ilmu-ilmu fardu kifayah kepada dua iaitu ilmu syariat seperti ilmu tafsir al-Quran dan ilmu bukan syariat seperti ilmu perubatan.
Walaupun penguasaan ilmu adalah penting, namun ilmu itu hanya bermanfaat apabila ia difahami dengan betul, bersesuaian dengan kaedah keutamaan yang disepakati, bertepatan dengan tuntutan suasana serta mampu melahirkan amalan yang salih lagi bermanfaat. Antara kalimat yang ditekankan al-Quran dalam konteks ilmu adalah fiqh. Contohnya, dalam surah al-An’am ayat 65, Allah berfirman, "Perhatikanlah bagaimana Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti agar mereka memahaminya."
Kalimat penting dalam ayat ini adalah yafqahuun yang bermaksud "mereka memahaminya." Ia berasal dari kalimat fiqh. Imam Ibn Kathir, semasa mentafsirkan kalimat yafqahuun di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, "(Ia bermaksud) memahami serta merenungi tanda-tanda, hujah serta bukti berhubung kebesaran Allah." Justeru, ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang direnungi secara mendalam supaya rahsianya dapat disingkap dan maksudnya dapat difahami dengan tepat, selaras dengan kehendak al-Quran dan Sunnah.
Dakwah Kontemporari, Ilmu Juga Kontemporari
Ilmu teras fardu ain wajib dikuasai setiap individu dan ilmu ini perlu diperkukuhkan dengan ilmu semasa atau kontemporari yang selari dengan ajaran Islam. Penguasaan ilmu memerlukan pengorbanan serta keazaman yang tinggi dan untuk itu, kerja-kerja yang tidak berfaedah perlu ditinggalkan. Allah berfirman dalam surah al-Mukminuun ayat 3 yang bermaksud, (Antara sifat-sifat mukmin yang berjaya ialah) mereka menjauhi (perbuatan dan perkataan) yang lagha".
Kalimat lagha mempunyai maksud tertentu dan Imam Ibn Kathir mentafsirkannya sebagai, "Segala perbuatan batil termasuk yang mempunyai unsur-unsur syirik dan segala perbuatan maksiat serta perkara yang tidak berfaedah sama ada berbentuk perkataan ataupun perbuatan."
Membuang masa pada perkara yang tidak berfaedah menjadi salah satu punca kejatuhan umat Islam sebelum ini seperti yang disebutkan oleh as-Syeikh Hasan an-Nadwi di dalam bukunya yang bertajuk Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam, "Tetapi sayang sekali, kaum Muslimin tidak mensyukuri nikmat Allah. Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuangkan waktu dan tenaga berfikir dan berfalsafah berhubung dengan perkara yang tidak bermanfaat. Jika mereka memberi fokus pada ilmu yang menguntungkan Islam dan kaum Muslimin, kedudukan mereka tidak menjadi separah itu. Umat Islam bukan sahaja asyik membahaskan sifat-sifat Allah, mereka juga asyik berbicara tentang roh, falsafah wihdatul wujud dan sebagainya. Semua ini memakan masa dan tenaga yang banyak.... Hasil penemuan kaum Muslimin sama ada daripada sudut kuantiti ataupun kualitinya tidak mendatangkan apa-apa makna apabila dibandingkan dengan penemuan barat pada abad ketujuh belas dan kelapan belas Masihi".
Apabila umat menyibukkan diri dalam perkara yang tidak berfaedah, kewajipan terabai dan keutamaan terbabas. Hasilnya, kejahilan dan kemunduran. Justeru, sudah sampai masanya bagi umat Islam memberi fokus pada ilmu-ilmu penting demi masa depan yang gilang-gemilang. Semua orang mengakui dunia hari ini sudah berubah dengan pesatnya apabila dibandingkan dengan keadaan sebelum ini.
Perubahan ini menuntut umat Islam memahami zaman ini dengan baik supaya permasalahan yang berkaitan dengan agama dapat diselesaikan dengan tepat berasaskan prinsip-prinsip Islam yang sejahtera. Sebagai contoh, ada sebahagian daripada ayat al-Quran yang memfokuskan tentang kejadian langit dan bumi serta rahsia alam secara amnya.
Apabila penemuan-penemuan sains yang sahih dapat dikaitkan dengan ayat-ayat ini, sudah pasti ia dapat menjadi modal dakwah yang menarik pada hari ini terutamanya pada orang-orang bukan Islam. Bagi tujuan ini, kajian yang mendalam perlu dilakukan bagi memastikan kesahihan penemuan-penemuan sains yang ada pada hari ini. Sebelum kajian-kajian ini dimanfaatkan, kitab-kitab tafsir yang muktabar perlu dirujuk bagi memastikan tafsiran yang dilakukan tidak terbabas daripada metodologi tafsir yang disepakati.
Demikian juga dengan sunnah-sunnah nabi. Ilmu-ilmu semasa perlu dikuasai dan dimanfaatkan bagi menampakkan keunggulan cara hidup Islam yang dibawa nabi Muhammad. Contohnya tidur tengah hari yang dilakukan nabi, puasa yang diwajibkan ke atas umat Islam, solat dengan gerak badan yang ditetapkan, tanah yang digunakan sebagai bahan pencuci, pengharaman daging babi, pengharaman arak, mandi wajib dan sebagainya mempunyai rahsia yang hebat daripada sudut sains.
Bagi meledakkan rahsia-rahsia ini, umat Islam perlu mengkaji di samping berani menerokai bidang-bidang baru. Di samping itu, penguasaan ilmu-ilmu ini dapat membantu umat Islam memberikan hukum yang tepat berhubung dengan isu-isu seperti pemindahan organ manusia kepada manusia, pemindahan organ binatang kepada manusia, bayi tabung uji, klon, derma organ dan seumpamanya.
Dalam konteks ekonomi, isu-isu yang berkaitan dengan perniagaan di bursa saham, pembelian barangan melalui internet, penggunaan wang kertas, sistem riba pada zaman moden, konsep bank Islam berbanding bank konvensional, transaksi perniagaan dengan menggunakan kad kredit, insurans dan lain-lainnya memerlukan ilmu, kajian dan analisis yang mendalam sebelum hukum dan fatwa dapat dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan dan difahami dengan baik oleh masyarakat.
Kajian-kajian semasa yang ada pada hari ini adalah bekalan penting yang perlu dimiliki oleh umat Islam terutamanya bagi individu yang bergelar pendakwah. Berhubung dengan ini, tokoh ulama Islam masa kini, Dr. Yusuf Qardawi, di dalam buku beliau yang bertajuk al-Ijtihad fi as-Syariat al-Islamiyah berkata, "Pada zaman ini, antara faktor yang memberi kesan dalam menentukan pendapat yang lebih kuat berbanding dengan yang lainnya adalah ilmu pengetahuan yang dimiliki pada hari ini yang belum ada pada zaman ahli fikah terdahulu... Pengetahuan baru ini dapat membetulkan pendapat-pendapat lama yang cukup banyak di dalam pelbagai bidang ilmu seperti geografi, falak, kimia, biologi, kedoktoran, bedah, anatomi dan sebagainya. Pengetahuan yang tumbuh dan berkembang setiap hari bahkan setiap saat ini mampu membekalkan seseorang ahli fikah dengan kekuatan untuk menentukan sama ada pendapat yang diwarisinya sebelum ini adalah lemah ataupun kuat. Sebagai contoh, ada mazhab yang mengatakan, khamar ataupun arak berasal dari perahan anggur semata-mata. Ilmu moden menetapkan, bahan aktif yang memabukkan ialah alkohol dan ia boleh diperoleh daripada buah kurma, epal, gandum, bawang dan sebagainya. Penemuan ilmu moden ini lebih sesuai dengan pengertian hadis sahih yang mengatakan, 'Setiap yang memabukkan ialah khamar dan setiap yang memabukkan adalah haram'."
Memahami zaman, suasana, persekitaran serta keperluan semasa adalah penting kerana dalam banyak hal, Islam hidup dan bergerak berpandukannya. Malah apabila Islam ditegakkan tanpa mengambil kira faktor-faktor ini, fitnah melanda dan Islam dihina. Sebagai contoh, pada suatu masa, nabi pernah bercita-cita mengubahsuai Kaabah. Namun, oleh kerana masyarakat di sekeliling baginda pada masa itu masih belum bersedia menerima perubahan itu, niat baginda yang murni itu tidak dilaksanakan.
Berhubung dengan ini, Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, "Seandainya bukan kerana kaummu yang baru saja keluar dari zaman jahiliah, aku akan ubah Kaabah itu dan akan aku lekatkan (pintu Kaabah) di bumi dan akan aku jadikan baginya dua pintu, satu untuk dimasuki manusia dan yang satu lagi untuk manusia keluar daripadanya". Hadis ini menunjukkan nabi mengambil kira suasana dan keadaan sebelum bertindak melakukan suatu perkara. Umat Islam perlu mencontohi kebijaksanaan nabi ini supaya dakwah yang digerakkan pada hari ini mendapat penerimaan yang positif dalam masyarakat.
Tambahan daripada itu, kajian-kajian kontemporari termasuk yang berkaitan dengan aspek perbandingan agama amat diperlukan bagi menangkis serangan-serangan musuh yang cuba mengelirukan umat Islam tentang ajaran Islam. Musuh-musuh ini bekerja dengan gigih sekali bagi menimbulkan kekeliruan berhubung al-Quran, Sunnah, status wanita Islam, keganasan dan Islam serta seumpamanya. Justeru, penguasaan ilmu adalah penting supaya umat Islam mampu menyampaikan dakwah secara efektif, di samping tidak tertipu dengan taktik musuh yang mendominasi pada hari ini.
KERAGUAN 4
Kisah-kisah di dalam Al-Quran tidak sama dengan kisah legenda yang ada pada hari ini. Al-Quran adalah wahyu daripada Allah justeru semua kisah yang dipaparkan adalah kebenaran yang tidak dapat dipertikaikan. Penemuan-penemuan semasa dalam bidang arkeologi mengesahkan hakikat ini.
Salah satu contoh adalah kaum Thamud. Mereka memiliki kemahiran membina bangunan-bangunan di gunung-ganang dan nabi Salih diutus kepada mereka. Dalam surah as-Syuara ayat 149, Allah berfirman: "Dan kamu pahat sebahagian dari gunung-ganang untuk dijadikan rumah-rumah dengan rajin.."
Baru-baru ini, kesan peninggalan sejarah yang berkaitan dengan kaum Thamud berbentuk bangunan-bangunan yang dipahat di gunung ganang ditemui di Lembah Rom di Jordan. Di dalam Britannica Micropaedia dijelaskan: "Kajian-kajian terbaru dalam bidang arkeologi menemui tulisan serta gambar-gambar yang dihasilkan oleh kaum Thamud. Ia bukan sahaja terdapat di Jabal Athlab malah di seluruh kawasan Arab Tengah."
Bukti-bukti juga ditemui berkenaan dengan banjir nabi Nuh berdasarkan penemuan Leonard Woolley dan rakan-rakannya dari Muzium Britain dan Universiti Pennsylvania. Mereka melakukan kerja-kerja penyelidikan dari tahun 1922-1934 sehingga akhirnya menemui bukti-bukti jelas yang menunjukkan banjir nabi Nuh sebenarnya berlaku di Lembah Mesopotamia di Iraq.
Kesan kehancuran kaum Lut di Sodom juga ditemui di kawasan Laut Mati. Berhubung dengan ini, dalam surah Hud ayat 82, Allah berfirman: "Maka apabila datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang di atas ke bawah (yakni Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar secara bertubi-tubi." Azab yang menyebabkan negeri kaum Lut diterbalikkan amat selari dengan kejadian gempa bumi dan azab berbentuk hujan batu tanah yang terbakar pula amat selari dengan kejadian letupan gunung berapi.
Semasa mengkaji kesan kehancuran kaum Lut di kawasan Laut Mati, pakar arkeologi dari Jerman, Werner Keller, mengesahkan kejadian kedua-dua malapetaka ini. Beliau berkata: "Kehancuran kaum Lut berlaku disebabkan oleh satu gempa bumi yang kuat diikuti dengan letupan besar, kebakaran dan pengeluaran gas."
Kesan peninggalan tembok Zulkarnain juga ditemui pada hari ini. Hamka menyebutkan dalam Tafsir Al-Azhar "Imam Ibn Kathir meriwayatkan, khalifah Al-Wathiq dari Bani Abbas pernah menghantar satu ekspedisi bertujuan untuk mencari tembok ini. Selepas dua tahun mereka pun kembali melaporkan tembok itu telah mereka temui. Ia merupakan tembok yang besar lagi tinggi yang dibuat dari besi dan tembaga dan mempunyai kunci-kunci serta pintu yang besar.... Syed Qutub di dalam Zilal Al-Quran mengatakan tembok itu terdapat di kota Tarmiz di Asia Tengah dan ia dikenali sebagai "Pintu Besi'.
Pada abad kelima belas Masihi, seorang pengkaji dari Jerman dan seorang lagi dari Sepanyol telah menyelidiki 'Pintu Besi' ini dan mereka mendapati tembok ini terletak di antara Samarkand dan India. Pengkaji-pengkaji ini merumuskan, besar kemungkinan tembok besar ini ialah tembok binaan Zulkarnain.
Penemuan-penemuan ini dan yang lain-lainnya jelas menunjukkan kisah al-Quran adalah benar. Kebenaran ini mengesahkan bahawa al-Quran adalah wahyu Allah yang diturunkan kepada nabi Muhammad.
Ciri-ciri Undang-Undang Islam
Syumuliyyah (Universal)
Sistem perundangan Islam merangkumi seluruh bidang keperluan manusia. Ia merangkumi hubungan antara manusia dengan manusia dan hubungan antara manusia dengan Tuhan dalam kehidupan di dunia ini. Begitu juga, tuntutan melaksanakan syariah yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas sekalian manusia adalah menyeluruh; kepada Muslim dan bukan Muslim, di setiap ceruk tempat dan sepanjang zaman.
Hubungan antara individu jelas dalam konteks kekeluargaan seperti tanggungjawab suami isteri, ibu bapa ke atas anak-anaknya dan sebagainya. Begitu juga dalam konteks transaksi seharian seperti dalam jual beli, penyewaan dan sebagainya. Syariah juga mengatur hubungan antarabangsa antara negara-negara Islam dan bukan Islam sama ada ketika aman ataupun peperangan.
Tidak Membebankan
Matlamat utama penurunan syariah adalah bagi memberi kemudahan kepada manusia dalam menyelesaikan segala permasalahan dalam kehidupan di samping menegakkan keadilan di muka bumi. Ini jelas disebut dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, “Allah tidak membebankan seseorang kecuali sekadar kemampuannya.” Demikian juga Muhammad berkata yang bermaksud, “Agama itu mudah, tidak mampu seseorang untuk menyusahkan masalah agama melainkan ia akan menghadapi kebuntuan.”
Ciri ini dilaksanakan dalam semua aspek perundangan Islam termasuk dalam jenayah, perhubungan dan sebagainya yang dibincangkan pada modul akan datang.
Kemanusiaan
Ciri Syariah seterusnya adalah ia bersifat kemanusiaan. Syariah mewajibkan tolong-menolong, zakat, wakaf dan sedekah. Zakat diwajibkan kepada orang kaya yang banyak hartanya. Antara hikmatnya adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya jenayah kerana individu yang berada dalam keadaan kesusahan mungkin mencuri. Melalui hasil kutipan zakat, jenayah curi itu dapat dielakkan.
Ini jelas ditegaskan dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud, “Bertolong-tolonglah atas kebajikan dan takwa dan jangan kamu tolong-menolong atas perbuatan dosa dan permusuhan.” Selain daripada itu, undang-undang Islam bukan dicipta bagi faedah segolongan tertentu tetapi ia dianugerahkan oleh Allah bagi faedah semua manusia termasuk alam sekelilingnya. Semua manusia adalah sama di sisi undang-undang Allah seperti berikut:
1. Semua Muslim adalah bersaudara. Mempunyai taraf, hak dan kewajipan yang sama.
2. Mereka yang melakukan kesalahan dan melanggar perintah Allah dihukum dengan hukuman yang sama tanpa mengira status masyarakat individu itu.
Waqiyyah (Kontekstual)
Syariah Islam bersifat kontekstual dalam erti kata ia tidak mengabaikan konteks yang ada pada setiap perkara yang dihalalkan ataupun diharamkan. Contohnya, syariah Islam memberikan keringanan kepada manusia bagi memakan makanan yang haram ke atasnya ketika darurah iaitu terdesak. Ini jelas dalam Surah al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah; maka sesiapa terpaksa memakannya kerana darurat sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas pada kadar benda yang dimakan itu maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.”
Begitu juga, Syariah Islam mengetahui kelemahan manusia dalam menghadapi perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Oleh itu, syariah menutup semua pintu yang membuka peluang ke arah itu. Dengan itu, diharamkan minum arak sedikit ataupun banyak kerana dengan sedikit akan mendorong ke arah banyak minum arak.
Syariah Islam berusaha menjamin kesejahteraan dan keharmonian manusia dalam kehidupan daripada perlakuan jenayah. Walaupun jenayah dapat dibanteras dengan pendidikan dan moral yang baik, hukuman adalah alternatif yang terbaik untuk penjenayah itu. Islam menggariskan pelbagai hukuman seperti hudud, qisas dan takzir bagi memberi kesedaran kepada penjenayah dan masyarakat awam yang lain supaya tidak melakukan perkara yang serupa.
Ini jelas dalam Surah Al-Nur ayat 2 yang bermaksud, “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan ke atas keduanya dalam menjalankan hukum Allah, apabila benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu sekumpulan daripada orang-orang yang beriman.”
Beransur dan Bertahap dalam Pelaksanaannya
Syariah Islam diturunkan kepada manusia dengan mengambil kira fitrah manusia yang lemah. Oleh itu, syariah diturunkan secara beransur-ansur supaya memberi kemudahan kepada manusia memahaminya dan melaksanakannya. Ini jelas dalam hukum pengharaman arak. Sebagaimana yang diketahui, orang-orang Arab di Semenanjung Tanah Arab mempunyai adat dan cara hidupnya tersendiri. Antara adat dan kebiasaan itu adalah meminum arak dan berjudi. Bagi menghapuskan penyakit masyarakat ini, Islam mengambil pendekatan secara lembut dengan melayani mereka yang ketagihan arak secara rasional dan mengetuk pemikiran mereka supaya berfikir secara baik dan tenang.
Pada peringkat permulaan, bagi mengatasi masalah ini Allah SWT menurunkan ayat supaya mereka berfikir secara serius. Surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud, “Mereka bertanya engkau berhubung arak dan judi, katakan kepada mereka kedua-duanya dosa besar tetapi banyak juga manfaatnya kepada manusia, sedangkan dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”
Ayat ini langsung tidak menyebut pengharaman arak, sebaliknya Allah cuba menarik perhatian bahayanya kepada manusia lebih besar daripada manfaat yang dirasakan terdapat dalam kedua-duanya.
Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat yang mengehadkan masa kegiatan meminum arak terutamanya ketika beribadah kepada Allah SWT. Sebagaimana dalam Surah Al-Nisa ayat 43 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.”
Selepas al-Quran memberi peringatan ke atas bahaya arak, kemudian diikuti dengan larangan meminum arak pada masa tertentu, akhirnya al-Quran menjelaskan berhubung hukum pengharaman arak secara keseluruhannya kerana bahayanya yang besar ke atas perhubungan manusia dan keamanan masyarakat. Surah al-Maidah ayat 90 dan 91 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang anak panah, adalah semuanya keji daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara keji itu ataupun kamu masih berdegil?”
Dengan turunnya ayat ini, jelaslah kedudukan hukum berhubung arak, judi, menilik nasib dan menyembah berhala yang semuanya haram disebabkan bahaya yang mengancam perhubungan manusia dan keamanan masyarakat.
Isu 'tujuh huruf' sering dijadikan modal oleh golongan tertentu terutamanya daripada kalangan tokoh-tokoh Kristian untuk menolak kesucian al-Quran. Mereka menuduh orang-orang Islam menokok tambah dan mengubah isi al-Quran sehingga melahirkan tujuh bentuk al-Quran yang kononnya berbeza-beza. Bagi mereka, keadaan ini serupa dengan agama Kristian yang mempunyai Bible yang berbeza-beza mengikut mazhab dan gereja masing-masing.
Contohnya, golongan Protestan berpegang dengan kitab Bible yang mempunyai 66 buku atau bab, 39 buku terkandung di dalam kitab Perjanjian Lama dan 27 buku lagi di dalam kitab Perjanjian Baru. Golongan Katolik berpegang dengan Bible yang sama ditambah dengan 7 buku tambahan yang dikenali sebagai Apocrypha. Golongan Kristian Ortodoks pula berpegang dengan Bible yang mempunyai 76 buku kesemuanya, 39 buku terdapat di dalam kitab Perjanjian Lama dan 27 buku di dalam kitab Perjanjian Baru di samping 10 buku tambahan.
Al-Quran sememangnya diturunkan dalam tujuh huruf kerana berpandukan riwayat Imam Tarmuzi, nabi bersabda: "Ya Jibrail, sesungguhnya aku diutus kepada umat yang umi. Ada dari kalangan mereka yang tua, kanak-kanak, hamba sahaya dan mereka yang tidak tahu membaca sama sekali. Jibrail berkata kepadaku, Wahai Muhammad, sesungguhnya Al-Quran diturunkan di dalam tujuh huruf." Hadis ini bertaraf hasan sahih.
Di dalam kitab Al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi disebutkan, kebanyakan ulama antaranya Sufyan bin 'Uyainah, Abdullah bin Wahab, At-Tabari dan At-Tahawi, berpendapat: "Tujuh huruf bermaksud tujuh pengertian yang hampir sama, walaupun lafaz-lafaznya atau cara bacaannya berbeza."
Ia bermaksud, pada zaman nabi, baginda mengizinkan al-Quran dibaca dengan tujuh cara, mengambil kira kepelbagaian masyarakat ketika itu dan keizinan ini diberikan sendiri oleh nabi, bukan ulama atau orang-orang perseorangan.
Hal ini adalah berbeza dengan Bible kerana versi-versinya dibuat oleh manusia mengikut kehendak manusia dan bukannya datang daripada nabi Isa. Versi-versi Bible pula terus bertambah hingga hari ini mengikut kehendak tokoh-tokoh Kristian sedangkan keaslian al-Quran kekal tanpa sebarang perubahan. Justeru, beberapa kesimpulan dapat dibuat berhubung dengan isu ini.
1.Tujuh huruf bermaksud tujuh cara bacaan yang menggunakan kalimat berbeza di tempat-tempat yang ditetapkan di dalam al-Quran dengan mengambil kira kepelbagaian masyarakat Islam pada zaman nabi.
2.Penggunaan kalimat yang berbeza ini adalah berdasarkan wahyu, bukan mengikut kehendak manusia. Dalam erti kata lain, al-Quran tetap satu, cuma pada beberapa tempat yang ditetapkan, sebutan perkataannya berbeza atas kehendak Allah bagi memudahkan semua golongan membaca dan memahaminya.
Keadaan ini berbeza dengan Bible kerana isi Bible pada umumnya ditulis dan diolah oleh manusia mengikut kehendak manusia. Hal ini disebutkan di dalam kamus The Interpreter's Dictionary of the Bible: "Banyak kisah yang diriwayatkan di dalam kitab Perjanjian Lama adalah mengikut stail dan olahan para periwayatnya."
Kitab Perjanjian Baru juga menghadapi masalah yang sama. Sebagai contoh, Gospel yang merupakan kisah hidup nabi Isa, mempunyai pelbagai versi mengikut olahan penulisnya. Di dalam buku Peak's Commentary on the Bible disebutkan, "Memang diketahui umum, Gospel adalah berasaskan cerita orang-orang Kristian terdahulu, dan ini melahirkan versi yang berbeza-beza berhubung perkataan dan perlakuan nabi Isa. Semua ini dilakukan dengan sengaja ataupun tidak sengaja oleh penulis-penulisnya..."
3.Walaupun al-Quran boleh dibaca dengan menggunakan sebutan dan perkataan yang berbeza-beza sebagaimana yang diajarkan nabi, namun maksud perkataan-perkataan itu hampir sama antara satu dengan yang lain. Justeru, prinsip-prinsip ajaran Islam tetap tidak berubah sedikit pun.
Apa yang jelas adalah, tujuh huruf al-Quran tidak ada perkaitan sama sekali dengan versi ciptaan manusia kerana tidak pernah berlaku sebarang tokok-tambah di dalam Al-Quran oleh manusia. Ini berbeza dengan Bible. Seorang tokoh Kristian yang bernama Profesor Daniel B. Wallace, pakar berhubung dengan kitab Perjanjian Baru dari Dallas Theological Seminary, pernah berkata: "Ke manakah hilangnya sesetengah ayat? Terjemahan moden membuang banyak ayat-ayat bernilai dari Bible. Mereka menamatkan bab 16 daripada Gospel Mark pada ayat kelapan, kemudian mereka membuang kisah malaikat yang mengocakkan air di kolam Bethesda dalam bab John ayat
4. Yang paling ketara ialah, mereka membuang kisah seorang wanita yang berzina yang pada asalnya terdapat di dalam bab John ayat 8. Di samping itu terjemahan moden juga membuat perubahan-perubahan yang besar pada teks: "Berhubung dengan al-Quran, Adrian Brockett di dalam The Value of Hafs and Warsh Transmission for the Textual History of the Quran berkata: "Penulisan naskhah al-Quran selepas kewafatan Muhammad adalah statik. Yang wujud sejak dahulu hanyalah satu teks, dan semenjak itu, tidak berlaku sebarang tokok-tambah walaupun kecil di dalam al-Quran."
Politik pada masa kini sering dilihat dalam konteks yang sempit apabila ia sekadar difahami sebagai politik kepartian. Walhal, ia sewajarnya dilihat dengan lebih meluas kerana melibatkan pentadbiran seluruh kehidupan manusia. Ia bukan sahaja berkait dengan pentadbiran sesebuah negara, tetapi melibatkan pentadbiran kekeluargaan dan masyarakat.
Agama pula adalah perkara yang sepatutnya memayungi semua perkara lain. Dalam kes ini, politik sepatutnya berada di bawah agama. Oleh itu, kedua-dua perkara ini sangat berkait rapat dan tidak dapat dipisahkan. Keakraban hubungan antara kedua-duanya dibukti-kan oleh Muhammad menerusi sejarah hidup beliau sendiri.
Sorotan ke atas sejarah hidup Muhammad membuktikan bahawa beliau sebagai pemimpin politik dan agama melihat kedua-dua aspek ini seperti berikut.
Politik dan agama tidak dapat dipisahkan
Politik dan agama menurut perspektif Muhammad jelas dilihat sebagai dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Semasa beliau berada di Mekah, beliau adalah ketua kaum Muslimin. Pada masa itu, kaum Muslimin disifatkan sebagai golongan minoriti. Pentadbiran kota Mekah dipegang oleh golongan Musyrikin Quraisy. Ini bermakna, kaum Muslimin tidak mempunyai kuasa politik. Malah, beliau sebagai ketua kaum Muslimin juga tidak mempunyai kuasa politik. Sebaliknya, mereka semua tertakluk pada kuasa dan pentadbiran Musyrikin Quraisy. Kerana itu, mereka begitu mudah dianiaya secara fizikal oleh golongan itu.
Perkara yang tidak dapat dinafikan adalah wujudnya penganut Islam di kalangan golongan berpengaruh atau pembesar Quraisy. Mereka memeluk Islam selepas di-dakwahkan oleh Abu Bakar (Ibn Hisham 1997 1: 287-288). Namun, kedudukan mereka sebagai pembesar Quraisy tamat selepas mereka memilih menganuti agama Islam. Ini bermakna kedudukan mereka yang dahulunya pernah menguasai politik Mekah tidak dapat diteruskan lagi selepas mereka memeluk agama Islam.
Ini dapat dibuktikan apabila mereka juga tidak terkecuali daripada menerima penyeksaan fizikal daripada orang-orang Quraisy. Jika kedudukan mereka sebagai pembesar kekal walaupun selepas menganut Islam, sudah pasti mereka tidak akan diseksa oleh orang-orang Quraisy kerana Quraisy menghormati mereka berdasarkan kedudukan dan pangkat. Ini yang berlaku pada Uthman bin Maz’un misalnya yang merupakan salah seorang pembesar Quraisy yang menganut Islam.
Beliau terlibat dalam hijrah ke Habsyah. Sumber sejarah (Ibn Sa’d 1960 1: 203-204) mencatatkan bahawa hijrah ini berlaku selepas Muhammad melihat penyeksaan ke atas umat Islam semakin menjadi-jadi, sedangkan beliau sendiri berada dalam keadaan tidak mampu untuk melindungi umatnya. Selepas berada di Habsyah lebih kurang tiga bulan, Uthman mengambil keputusan untuk balik semula ke Mekah.
Semasa ingin memasuki kota Mekah, beliau meminta perlindungan kekeluargaan daripada seorang Quraisy bernama Walid bin Mughirah. Perlindungan yang diperoleh ini berjaya mengelakkan Uthman daripada di-seksa oleh orang Quraisy. Ini menjelaskan bahawa ke-dudukan Uthman sebagai pembesar sebelum beliau me-milih Islam hilang selepas menerima agama itu. Keadaan ini menjelaskan, pada peringkat awal penyebaran Islam di Mekah, Muhammad hanya memiliki kuasa agama sahaja. Manakala kuasa politik masih tetap berada pada tangan Quraisy.
Apabila umat Islam berhijrah ke Madinah, kuasa agama masih kekal pada tangan Muhammad. Tanggapan bahawa beliau adalah ketua agama dapat difahami dengan mudah kerana beliau yang bertanggungjawab menyebarkan agama suci itu. Beliau juga yang bertanggungjawab mengajar umat Islam berkenaan dengan kandungan ajaran itu. Oleh itu, beliau sesuai dan wajar dilihat sebagai ketua agama.
Walaupun sudah mempunyai kuasa agama, beliau berpandangan jauh dan memikirkan bahawa umat Islam perlu memiliki kuasa politik terutamanya di Mekah. Ini bermakna, mereka perlu menjatuhkan kuasa politik Quraisy. Kuasa politik di Mekah yang selama ini dikuasai oleh Quraisy dilihat sebagai perkara yang perlu diambil dan diletakkan pada tangan orang Islam. Ini kerana Quraisy sering dilihat sebagai kuasa penentu untuk menerima Islam oleh sesetengah puak Arab.
Bagi puak Arab, apabila Quraisy mengatakan Islam itu adalah agama yang baik, maka mereka juga mengatakan sedemikian. Apabila Quraisy mengatakan agama Islam itu tidak baik, maka puak Arab yang lain juga mengatakan agama Islam itu tidak baik. Ini jelas membuktikan bahawa orang-orang Quraisy mempunyai kuasa yang cukup besar bagi menentukan penerimaan mana-mana puak Arab terhadap Islam.
Kuasa penentu yang dimiliki oleh Quraisy wajar dihapuskan. Puak Arab sepatutnya memikirkan sendiri sama ada Islam agama yang baik ataupun tidak dengan melihat lebih mendalam agama itu sendiri. Keputusan menerima Islam ataupun menolaknya perlu dibuat dengan bebas dan bukannya berpandukan pada cakap-cakap Quraisy yang belum tentu betul ataupun salahnya.
Namun, hakikat yang cukup disedari oleh Muhammad adalah usaha menjatuhkan kuasa politik Quraisy tidak semudah yang disangka. Tambahan pula, kuasa itu sudah lama berada pada tangan Quraisy. Walau bagaimanapun, beliau sebagai manusia yang berpandangan jauh sudah memikirkan daripada segi sumber yang mengukuhkan kedudukan politik Quraisy.
Dalam hal ini, beliau mendapati kuasa politik Quraisy sebenarnya dibantu dan dikukuhkan oleh kuasa ekonomi. Kuasa ekonomi yang dimaksudkan di sini adalah hasil perdagangan yang melimpah ruah yang diperoleh oleh orang-orang Quraisy, digunakan bagi mem-bangun dan memantapkan kuasa politik mereka. Oleh itu, apabila kuasa politik Quraisy ingin dijatuhkan, maka beliau perlu memastikan kuasa ekonomi Quraisy dijatuhkan terlebih dahulu.
Umat Islam menyedari, kekuatan ekonomi Quraisy bergantung pada perdagangan dan keselamatan. Apabila keselamatan terjamin dan perdagangan tidak terancam, maka ekonomi Quraisy menjadi kukuh. Tetapi, apabila perdagangan mereka terancam dan keselamatan tidak terjamin, maka ekonomi Quraisy menjadi tidak kukuh. Apabila ekonomi lumpuh, Quraisy tidak dapat mem-bangunkan kuasa politik mereka di Mekah kerana selama ini mereka menggunakan sumber ekonomi bagi me-laksanakannya.
Atas dasar ini, Muhammad mengambil inisiatif menjatuhkan kuasa ekonomi Quraisy dengan menyekat, meng-ganggu dan mengancam keselamatan kafilah perdagangan Quraisy yang sering berulang alik dari Mekah ke Syam dan sebaliknya. Kafilah ini melalui kawasan Madinah ataupun kawasan yang berada di bawah pengaruh Madinah (Anwar 1999: 197-198).
Sumber sejarah (Muhammad Abu Shuhbah 1992 2: 67-68) mencatatkan bahawa terdapat beberapa siri gerakan yang dihantar oleh beliau bagi melakukan kegiatan mengganggu dan mengancam keselamatan kafilah perdagangan Quraisy. Antaranya adalah siri gerakan yang dipimpin oleh Hamzah bin Abdul Mutalib yang dihantar pada bulan Ramadan tahun pertama hijrah. Pasukan ini ditugaskan menyekat kafilah perdagangan Quraisy yang dalam perjalanan pulang dari Syria menuju ke Mekah. Sumber sejarah mencatatkan kafilah itu dipimpin oleh Abu Jahal. Pasukan lain yang dihantar oleh dipimpin oleh Ubaydah bin Harith. Pasukan ini ditugaskan menyekat kafilah perdagangan Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan.
Selain itu, siri gerakan yang beliau atur juga turut me-libatkan penghantaran pasukan-pasukan yang diketuai oleh Saad bin Abi Waqqas, Abdullah bin Jahsh dan beliau sen-diri. Saad bin Abi Waqqas ditugaskan memimpin pasukan menyekat kafilah perdagangan Quraisy yang dijangka me-lalui tempat bernama Kharrar. Abdullah bin Jahsh pula ditugaskan memimpin pasukan mengintip kafilah Quraisy di Nakhlah. Manakala beliau pula memimpin pasukan menyekat beberapa kafilah perdagangan Quraisy. Antaranya adalah kafilah yang diketuai oleh Umayyah bin Khalaf dan Abu Sufyan bin Harb.
Siri gerakan yang beliau atur ini dapat dikatakan mampu mengancam keselamatan kafilah perdagangan Quraisy. Ini terbukti apabila Quraisy mula merasakan ancaman pihak Islam apabila pasukan Islam pimpinan Abdullah bin Jahsh bertembung dengan kafilah perdagangan Quraisy di Nakhlah. Pertembungan ini menyebabkan seorang Quraisy terbunuh dan dua orang lagi berjaya ditawan oleh pasukan Islam (Muhammad Abu Shuhbah 1992 2: 119-120). Sedikit sebanyak Quraisy merasakan Islam sebagai kuasa baru yang dapat mengancam mereka.
Ini sekurang-kurangnya menyebabkan mereka berfikir beberapa kali sebelum ke-luar menjalankan urusan perniagaan di Syria pada masa akan datang. Secara tidak langsung, tindakan berhati-hati pihak Quraisy ini mengurangkan dan seterusnya melemah-kan kuasa ekonomi mereka. Ia pula menyebabkan Quraisy tidak lagi mempunyai kuasa ekonomi yang kukuh untuk menguruskan institusi pentadbiran di Mekah. Dengan itu, kuasa politik mereka juga jatuh.
Apabila ditinjau daripada sudut lain, siri gerakan yang diaturkan oleh Muhammad ini sebenarnya langsung tidak berniat untuk berperang. Ini kerana siri-siri gerakan itu dilakukan kira-kira enam bulan selepas hijrah. Sedangkan perang belum disyariatkan lagi pada masa itu. Ia hanya disyariatkan pada awal tahun kedua hijrah. Tambahan pula, bilangan umat Islam yang menyertai setiap pasukan itu juga tidak dapat menyaingi kekuatan orang-orang Quraisy.
Pasukan yang dipimpin oleh Hamzah bin Abdul Mutalib misalnya hanya disertai oleh 30 orang sahaja sedangkan kafilah perdagangan yang bakal mereka sekat disertai oleh 300 orang. Pasukan yang dipimpin oleh Ubaydah bin Harith pula disertai oleh 60 orang manakala kafilah perdagangan Quraisy pula disertai oleh 200 orang (Muhammad Abu Shuhbah 1992 2: 67). Selain itu, riwayat yang membawa cerita juga tidak menyebut Muhammad mengarahkan umat Islam supaya berperang. Sebaliknya, beliau hanya meminta pasukan Islam menemui dan mengganggu kafilah perdagangan Quraisy sahaja.
Dilihat daripada sudut tujuan, siri gerakan yang diatur beliau ini sebenarnya mengundang kontroversi. Ada yang beranggapan bahawa ia bertujuan menghukum Musyrikin Quraisy dan mendapatkan hasil daripada perdagangan Quraisy yang dianggap setara dengan apa yang pernah dilakukan oleh Quraisy ke atas umat Islam suatu masa dahulu di Mekah (Muhammad Abu Shuhbah 1992 2: 67).
Pada masa itu, Quraisy mengambil harta-harta umat Islam dan menzalimi mereka. Namun, apabila dilihat tujuan beliau mengatur siri gerakan itu, jelas kepada kita bahawa tujuannya adalah melemahkan kekuatan orang-orang Quraisy, bukan menghukum.
Orientalis juga turut berkongsi pandangan yang sama apabila mereka menyifatkan siri gerakan itu sebenarnya bertujuan merampas barang dagangan kafilah Quraisy. Tindakan merampas ini disifatkan oleh orientalis sebagai tabiat orang Arab Badwi. Manakala penduduk Madinah yang terlibat dalam pasukan Islam menyertai siri gerakan itu dikatakan mengikut tabiat Muhammad.
Walau bagaimanapun, pandangan ini tertolak atas alasan penduduk Madinah sebenarnya sama sahaja dengan penduduk Mekah. Mereka bukan orang Badwi yang hidup dengan cara merampas. Tabiat hidup mereka adalah sama dengan tabiat hidup orang yang menyara kehidupan dengan hasil pertanian. Bagi golongan Muhajirin pula, kita perlu sedar bahawa adalah menjadi hak mereka mendapatkan kembali harta yang sudah diambil oleh orang-orang Quraisy. Namun, kita juga perlu sedar bahawa golongan Muhajirin tidak pernah tergopoh gapah melakukannya sebelum ber-lakunya peperangan Badar (Muhammad Abu Shuhbah 1992 2: 69-70).
Siri gerakan yang diatur Muhammad ini tidak mem-bolehkan beliau mendapat sepenuhnya kuasa politik dari tangan Quraisy. Tetapi sekurang-kurangnya ia mampu me-nyedarkan orang-orang Quraisy bahawa kuasa politik mereka bakal digugat oleh umat Islam yang dahulunya mereka tindas dan aniaya. Tanggapan ini ada kebenarannya apabila umat Islam di bawah pimpinan beliau berjaya membuka Mekah pada tahun kelapan hijrah ekoran dari-pada kesilapan yang dilakukan oleh pihak Quraisy sendiri. Pihak Quraisy ternyata silap membuat percaturan apabila mereka secara tidak langsung mencabuli isi Perjanjian Hudaibiah yang menetapkan supaya gencatan senjata ber-jalan selama 10 tahun.
Namun, dalam tempoh hanya lebih kurang dua tahun sahaja selepas termeterainya Perjanjian Hudaibiah, orang-orang Quraisy melibatkan diri dalam peperangan apabila ber-tindak membantu sekutu mereka Bani Bakr menyerang puak Khuzaah yang merupakan sekutu Islam. Puak Khuzaah yang tidak berpuas hati dengan pencabulan itu mengadu kepada beliau. Ekorannya, beliau mengisytihar-kan batalnya Perjanjian Hudaibiah dan akhirnya me-mimpin angkatan Islam yang besar jumlahnya menuju ke Mekah untuk membukanya. Selepas berlakunya peristiwa pembukaan kota Mekah, beliau secara jelas berjaya me-miliki kuasa politik Mekah yang selama ini dipegang oleh orang-orang Quraisy.
Walaupun Muhammad berminat menjatuhkan kuasa politik Quraisy, ini tidak bermaksud beliau tidak pernah mendapat kuasa politik di Madinah. Mengikut apa yang terkandung dalam Sahifah Madinah, beliau diakui sebagai kuasa tertinggi di Madinah. Beliau dirujuk apabila ber-lakunya perselisihan antara kaum yang tinggal di Madinah. Kuasa politik di Madinah begitu mudah diperoleh kerana beliau tiba di Madinah tepat pada masa penduduk Madinah khususnya puak Arab berada dalam keadaan memerlukan ketua yang dapat menyatukan sesama mereka.
Pada peringkat awal, puak Arab yang terdiri daripada Aws dan Khazraj berhasrat melantik Abdullah bin Ubay bin Salul sebagai ketua mereka. Ini kerana mereka melihat beliau sebagai orang yang bersikap berkecuali dalam peperangan Buath yang meletus antara Aws dengan Khazraj lima tahun sebelum hijrah Muhammad ke Madinah. Sikap berkecuali ini dilihat sebagai jaminan bahawa beliau tidak memihak pada mana-mana puak sesudah dipilih sebagai pemimpin. Namun, hasrat itu tidak menjadi kenyataan kerana puak Arab berasa khuatir jika Abdullah memihak pada mana-mana puak. Tambahan pula, beliau berasal daripada puak Khazraj. Jadi, kemungkinan untuk beliau memihak pada puak Khazraj apabila menjadi ketua tetap ada. Dalam keadaan sedemikian, kedatangan Muhammad ke Madinah begitu senang diterima oleh puak Arab. Malah, mereka sanggup menerima beliau sebagai pemimpin mereka.
Kesimpulannya, Muhammad memegang kuasa daripada segi agama dan politik. Beliau tidak pernah memisahkan antara kedua-dua aspek ini. Kuasa agama adalah penting kerana beliau adalah pembawa risalah Islam. Oleh itu, kuasa agama perlu dipegang oleh beliau supaya ajaran itu dapat disebarluaskan tanpa sekatan. Kuasa politik juga penting kepada beliau sekurang-kurangnya bagi memasti-kan kuasa agama yang dipegang dapat dimantapkan. Ini kerana orang yang memegang kuasa politik selalunya diiktiraf sebagai pemerintah negara dan mereka berhak menentukan hala tuju negara termasuk hala tuju agama.
Apabila kuasa politik dipegang oleh orang lain yang tidak memegang kuasa agama, tentu sekali hala tuju agama itu sukar ditentukan. Dalam kes ini, beliau memiliki kedua-dua kuasa iaitu agama dan politik semasa berada di Madinah. Ini secara tidak langsung memudahkan beliau meng-uruskan negara Madinah daripada segi politik dan menyebar luaskan Islam daripada segi agama.
Politik dan agama perlu dipegang oleh orang Islam
Dalam mentadbir kerajaan Islam Madinah, Muhammad memastikan politik dan agama dipegang oleh orang Islam sendiri. Dalam hal ini, beliau adalah orang yang ber-tanggungjawab ke atas kedua-dua perkara itu. Beliau adalah ketua agama. Ini terbukti apabila beliau menjadi tempat rujukan orang Islam dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam.
Cuma, dalam sesetengah keadaan, beliau menjadikan sahabat-sahabat tertentu se-bagai tempat rujukan masyarakat dalam hal-hal berkaitan agama. Ini berlaku apabila penganut Islam semakin bertambah dan mereka datang dari pelbagai tempat. Dalam hal ini, beliau merasakan perlunya melantik individu ter-tentu bagi menerangkan dengan lebih mendalam berkenaan dengan agama kepada saudara baru itu. Ini bagi memasti-kan saudara baru itu tidak hanya Islam pada nama sahaja selepas mereka mengucapkan dua kalimah syahadah. Sebaliknya, mereka perlu diajarkan inti pati ajaran Islam itu sendiri.
Antara sahabat yang pernah dilantik bagi mengajar agama kepada saudara-saudara baru adalah Mus’ab bin Umair. Sebelum berlakunya hijrah ke Madinah, beliau diminta oleh Muhammad supaya memberi penerangan tentang Islam kepada saudara baru di Madinah. Selain itu, sahabat lain yang pernah menjadi tempat rujukan bagi mempelajari agama Islam adalah Abdullah bin Mas’ud, Ubay bin Kaab dan Muadh bin Jabal. Malah, mereka adalah antara sahabat yang beliau galakkan mempelajari Islam khususnya al-Quran (Siddiqui 1993: 359).
Apa yang jelas di sini, segala perkara yang berkaitan dengan bidang agama perlu dirujuk pada orang Islam. Orang Islam itu pula tidak semestinya beliau sendiri tetapi boleh meliputi para sahabat yang beliau percayai.
Daripada aspek politik juga, beliau bertindak sebagai ketua. Ini bermakna, beliau mengetuai pentadbiran kerajaan Islam Madinah. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas dalam Sahifah Madinah yang menyebut bahawa sebarang per-selisihan perlu dirujuk pada beliau. Kenyataan ini me-nunjukkan beliau adalah tempat rujukan dalam unsur-unsur pentadbiran negara. Sahifah Madinah juga menyebutkan sesiapa yang menganggotai Sahifah ini tidak boleh menarik diri melainkan dengan persetujuan beliau. (Ibn Hisham 1997 2). Kenyataan ini juga membawa maksud bahawa beliau adalah tempat rujukan dalam politik khususnya yang melibatkan aspek pentadbiran negara.
Kesimpulannya, tindakan Muhammad yang sudah memiliki kuasa agama di Madinah tetapi masih berminat mengambil kuasa politik yang selama ini dipegang oleh orang-orang Quraisy di Mekah jelas membuktikan bahawa politik dan agama adalah dua perkara yang perlu seiring dan tidak dapat dipisahkan. Selain itu, kedua-dua perkara ini perlu dipegang tampuknya oleh orang yang beragama Islam. Perkara ini disebut dengan jelas dalam Sahifah Madinah. Perkara kedua ini wajar diberi perhatian serius terutamanya apabila majoriti penduduk di dalam negara itu beragama Islam.
Ramai di kalangan kita mengenali dinosaur. Ia adalah binatang yang besar tubuhnya lagi ditakuti. Ratusan ribu tahun dahulu, binatang ini menguasai dunia. Namun, tiba-tiba berlaku kejadian yang menyebabkan ia pupus untuk selama-lamanya. Pakar-pakar sains tidak dapat memastikan apa sebenarnya yang berlaku. Tetapi mereka pasti dinosaur pupus kerana tidak dapat menangani perubahan.
Begitu juga yang berlaku pada burung undan di Monterey. Monterey adalah sebuah bandar di California. Puluhan tahun yang lalu, pantainya dipenuhi dengan burung-burung undan. Burung-burung ini hidup dengan memakan perut dan usus ikan yang dibuang oleh para nelayan selepas ikan-ikan itu di-bersihkan. Pada suatu masa, para nelayan menyedari mereka boleh mendapat keuntungan lebih jika menjual perut dan usus ikan kepada pihak-pihak tertentu yang memerlukannya. Sejak dari tarikh itu, mereka tidak lagi membuang perut dan usus ikan kepada burung-burung.
Apa yang berlaku perlu dijadikan iktibar bagi diri kita. Burung-burung undan itu menjadi kurus kering dan mati satu-persatu disebabkan mereka tidak berusaha mencari dan menangkap ikan. Selama ini mereka hanya menanti para nelayan mencampakkan makanan. Mereka hancur kerana apabila sua-sana berubah, sikap mereka tidak berubah.
Umat Islam mempunyai mentaliti yang berbeza dengan dinosaur. Sebagai contoh, semasa kota Baitul Maqdis jatuh ke tangan orang Islam, pihak penguasa kota yang mewakili pimpinan tertinggi Rom ingin menyerahkan kunci kota kepada khalifah Islam yang pada masa itu dijawat oleh Omar al-Khattab. Khalifah Omar bersetuju untuk datang ke Baitul Maqdis dan semasa tiba di situ beliau terkejut melihat pakaian tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh panglima Abu Ubaidah bin Jarrah. Mereka mengenakan pakaian yang mahal dan cantik bagi menyambut kedatangan beliau.
Sebagai tanda tidak setuju beliau dengan tindakan mereka, khalifah Omar mengambil segenggam pasir dan melempar-kannya kepada mereka. Panglima Abu Ubaidah bin Jarrah memahami kemarahan khalifah Omar lantas beliau pun membisikkan kepada Omar bahawa perbuatan mereka disebabkan masyarakat sekeliling tidak menghormati golongan yang selekeh. Justeru, bagi menjaga imej dan maruah Islam, mereka terpaksa berpakaian indah. Namun, prinsip-prinsip dan landasan agama masih tetap utuh di hati.
Sahabat-sahabat nabi adalah golongan yang berjaya kerana mereka berani menghadapi serta menangani perubahan. Banyak contoh lain yang dapat disebutkan dalam konteks ini. Pada zaman nabi, solat tarawih tidak dilakukan secara berjemaah tetapi pada zaman khlifah Omar al-Khattab, ia dilakukan secara berjemaah. Pada zaman nabi, Quran tidak dibukukan. Tetapi, oleh kerana keperluan, ia dibukukan pada zaman khalifah Uthman bin Affan. Begitu juga dengan syariat Islam. Ia sesuai dan relevan pada setiap zaman keranan mempunyai kaedah bagi menangani perubahan.
Berhubung dengan penetapan hukum hakam Islam yang berkaitan dengan isu-isu ranting, kaedah fikah Islam ada menyatakan, perubahan fatwa dan perbezaan pendapat ber-kenaan dengannya boleh berlaku disebabkan oleh perubahan zaman, tempat, suasana, niat dan adat. Inilah kekuatan yang ada pada Islam yang memampukannya untuk terus berkembang dan relevan sepanjang zaman. Dengannya Islam tidak pupus seperti pupusnya dinosaur.
Jangan lupa. Saudara juga akan hancur dan pupus seperti dinosaur apabila saudara tidak sanggup berubah. Memang benar, orang yang tidak mahu berubah akan diubah.
Tidak berapa jauh dari Sungai Indus, suatu masa dahulu, hidup seorang lelaki yang bernama Ali Hafiz bersama keluarganya. Beliau memiliki ladang dan dusun yang luas dan beliau boleh dianggap sebagai orang yang kaya raya. Setiap malam beliau bersyukur kepada Allah dengan nikmat yang dikurniakan dan setiap malam beliau dapat tidur dengan nyenyak.
Pada suatu hari, seorang lelaki yang banyak mengkaji kisah-kisah silam datang menziarahi Ali Hafiz. Beliau menceritakan bagaimana berlian terjadi dan berkata, “Apabila kamu berjaya memiliki berlian walaupun sebesar ibu jari, kamu mampu membeli sebuah negara, dan apabila kamu dapat memiliki sebuah lombong berlian kamu dapat menguasai dunia.”
Sejak hari itu, Ali Hafiz tidak dapat tidur dengan nyenyak lagi dan sejak hari itu beliau lupa bersyukur kepada Allah. Siang dan malam beliau termenung memikirkan bagaimana mahu memiliki berlian. Akhirnya, beliau memutuskan menjual kesemua harta yang dimilikinya untuk merantau mencari lombong berlian. Maka, Ali Hafiz pun mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya dan terus memulakan perjalanan.
Beliau merantau ke bumi Palestin, menjelajahi Eropah dan akhirnya tiba di Teluk Barcelona dalam keadaan miskin. Namun, berlian yang dicari tidak juga ditemui. Beliau berasa amat kecewa dan putus asa dan akhirnya mencampakkan dirinya ke dalam laut. Dengan itu tamatlah riwayat hidupnya.
Berbalik kepada ladang dan dusun yang sudah dijual, pada suatu hari pemilik yang baru bersiar-siar di dusunnya dan kemudian berhenti berehat di tepi sebatang sungai. Beliau berasa pelik kerana pasir di sungai itu kelihatan bersinar-sinar dan bergemerlapan. Beliau pun mencedok pasir sungai dan kemudian menunjukkannya kepada lelaki yang banyak mengkaji kisah-kisah silam. Lelaki itu terkejut besar kerana pasir itu mengandungi berlian bernilai tinggi dan berlian itu yang dicari-cari selama ini oleh Ali Hafiz.
Ali Hafiz membuangkan wang, masa dan tenaga untuk keluar mencari berlian sedangkan berlian yang berharga berada di ladangnya malah di depan matanya. Hasil daripada penemuan itu, dusun yang pada asalnya dimiliki oleh Ali Hafiz bertukar menjadi sebuah lombong berlian yang besar yang dikenali pada hari ini sebagai lombong Golcanda.
Umat Islam pada hari ini boleh diibaratkan seperti Ali Hafiz. Mereka tidak menyedari agama Islam adalah lombong berlian yang tidak ada tolok bandingan dibandingkan dengan ajaran serta agama lain. Mereka keluar mencari kemuliaan dengan mengikut budaya asing. Mereka mengagumi isme-isme sesat yang bercanggah dengan Islam dan berbangga apabila dapat mengikut cara hidup golongan bukan Islam. Akhirnya, mereka lemas dan hancur. Apabila keadaan sudah terlambat, baru mereka sedar bahawa kemuliaan, kebanggaan, keunggulan dan kebahagiaan yang dicari selama ini berada di hadapan mata mereka iaitu Islam.
Dalam surah al-Baqarah ayat 211 Allah berkata, “Barang siapa menukar nikmat Allah setelah datang nikmat itu kepadanya, maka sesungguhnya Allah sangat keras seksaannya.” Di dalam kitab al-Asas fit Tafsir Said Hawa berkata, nikmat yang paling besar yang dikurniakan Allah kepada kita adalah ayat-ayat dan syariatnya. Ia adalah berlian yang kita perlukan. Apabila umat Islam mengetepikan nikmat-nikmat ini, mereka menjadi golong-an yang terpinggir lagi terhina.
Sebenarnya, golongan yang berjaya adalah golongan yang tidak melupakan peringatan Allah. Allah menyatakan dalam surah Taha ayat 124 yang bermaksud, “Sesiapa yang berpaling daripada peringatanku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunnya pada hari kiamat dalam keadaan buta.”
Berhubung dengan ayat ini, sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Setiap orang yang menerima nikmat daripada Allah, banyak ataupun sedikit, hendaklah diterimanya dengan rasa takwa. Jika tidak dia tidak akan mengecap kebahagiaan dalam hidupnya dan akhirnya dia akan dilanda kesempitan.” Peringatan Allah seperti ini adalah berlian yang mampu menyinari seluruh hidup apabila kita mahu menjadikannya sebagai iktibar.
Sayang sekali, berlian kurniaan Allah sedang dipinggirkan oleh umat Islam hari ini. Yang paling membimbangkan, ia turut dipinggirkan oleh generasi muda yang bakal memimpin negara. Sebagai contoh, lihat kepada keputusan PMR bagi tahun 1995. Keputusannya menampakkan peningkatan secara keseluruhan. Namun, pencapaian dalam mata pelajaran fardu ain agak menyedihkan. 6,779 pelajar gagal dalam mata pelajaran ini. 616 daripada mereka gagal dalam aspek yang berkaitan dengan ucapan dua kalimah syahadah, 1,553 gagal dalam aspek yang berkaitan dengan rukun Islam dan 1,901 pula gagal dalam aspek yang berkaitan dengan rukun iman.
Quran, wahyu Allah yang tidak ada tolok bandingannya, juga tidak dihargai oleh sebahagian umat Islam hari ini. Pada bulan November 1995, menteri di Jabatan Perdana Menteri membuat kenyataan bahawa dianggarkan 200,000 penduduk Islam di Malaysia yang berumur antara 35 hingga 45 tahun, tidak tahu sama sekali membaca Quran.
Kita khuatir apabila semua perkara ini berterusan, nasib kita berubah daripada kegemilangan kepada kehinaan. Inilah perkara yang diperingatkan Allah kepada kita melalui firmannya dalam surah al-Anfal ayat 53 hingga 54 yang bermaksud, “Hal ini kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dianugerahkannya kepada sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Keadaan mereka samalah) seperti Firaun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelum mereka. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan maka Kami membinasakan mereka.”
Berhubung dengan ini Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “Allah menceritakan tentang keadilannya ketika menimpakan sesuatu hukuman ke atas manusia. Dia tidak akan menarik balik nikmat yang dikurniakan kepada seseorang melainkan seseorang itu terjebak dengan dosa seperti yang telah berlaku ke atas Firaun, pengikut-pengikutnya serta golongan yang seumpama mereka.” Semoga kesilapan Ali Hafiz tidak diulangi pada hari ini.
Temuramah Dr Danial Zainal Abidin Di Radio Malaysia Pulau Pinang pada 9 Julai 2004.
Assalamualaikum Wbt. tuan-tuan dan puan-puan, para peminat RMPP yang dimuliakan. Seperti yang disebut tadi, tajuk yang akan kita bicarakan pada petang ini ialah Menjauhi Kemewahan Hidup Yang Melampau dan tajuk ini ada perkaitannya dengan pendidikkan anak-anak yang telah kita bicarakan 2 minggu yang lepas. Asas kepada perbincangan tajuk ini satu riwayat yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan disebutkan disitu Khalifah Omar Al-Khattab ra pernah diera pemerintahannya menulis sepucuk surat kepada umat islam dibumi Parsi dizamannya. Antara isi surat itu ialah " Hendaklah kamu menjauhi kemewahan yang melampau dan hendaklah juga kamu menjauhi memakai pakaian melampau yang menyerupai golongan yang menyengutukan Allah ".
Bila kita mengamati perintah Khalifah ini, perintah pemimpin nombor 1 empayar islam ketika itu, kita dapati begitu banyak rahsia yang boleh kita ambil dari perintah ini. Pertamanya Omar Al-Khattab tidak mahu umat islam apatah lagi anak-anak orang islam hanyut dalam kemewahan kerana kemewahan jika melekakan kita ia merupakan kemewahan yang tidak menguntungkan akhirat. Sebagai contoh kita terlampau mewah dengan pakaian yang cantik-cantik. Akhirnya berlaku pembaziran, menyebabkan orang-orang miskin mencemburui, membenci orang kaya dan melekakan kita tentang kecantikkan yang sebenarnya iaitu kecantikkan hati. Justeru Omar berpesan dengan pesanan ini.
Kita lihat kerelevanannya pada hari ini, sebagai contoh bila anak-anak kita masih bersekolah sepatutnya tumpuan diberikan untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan yang baik. Tumpuan sepatutnya diberikan untuk menimba ilmu, untuk menghadiri kursus-kursus ataupun seminar-seminar yang berfaedah. Tetapi bayangkan andaikata yang kita berikan kepada anak-anak kita bukan buku-buku yang berbagai, bukan sangat diberikan wang untuk anak kita menghadiri kursus-kursus dan seminar-seminar yang baik apatah lagi yang berunsurkan islam, tetapi kita berikan wang untuk membeli rokok, membeli vcd hiburan semata mata, membeli motosikal mewah, kenderaan mewah. Semua ini menyebabkan anak-anak kita menjadi leka. Bila ada kenderaan mewah, motosikal yang mahal harganya, sudah pasti hendak digunakan untuk pergi kesana kemari. Akhirnya masa terbuang. Bila ini berlaku, pendidikkan yang sepatutnya menjadi tumpuan dan fokus tidak terhasil. Natijahnya bangsa dan umat menjadi lemah dan jahil.
Lantas perintah Khalifah ini begitu relevan. Bukan saja diear dahulu tetapi juga pada hari ini. Lantas kita menyebutkan semula tulisan ataupun peringatan omar ini agar kita jangan terpedaya sangat denga kemewahan dunia. Kita perlu fokus pada keutamaan terutamanya dalam konteks anak-anak. Apa yang utama bagi mereka. Yang utama ialah agama, ilmu serta pendidikkan, akhlak dan pekerti. Maka kemewahan yang Allah berikan kepada kita alhamdulillah kita terima tetapi yang penting, salurkan untuk mencapai apa yang kita sebutkan tadi. Itulah yang akan kita fokuskan.
DJ - Jadi maksud Dr. kesenangan ini tidak penting dalam islam, begitu?
DD- Kesenangan ini penting tetapi kesenangan penting ini perlu ada syaratnya. Syarat pertama ialah kesenangan serta kemewahan perlulah datang dari sumber yang halal. Soalan Tuan Hj Yaakob begitu relevan sebab nanti ada orang mengatakan kita tak perlukan kesenangan, tidak perlu menghimpun wang dengan banyak, tidak perlukan kemewahan. Bukan itu maksudnya kerana bila kita perhatikan islam, ada riwayat-riwayat yang sohih yang menampakkan memang umat islam dituntut mencari harta benda, dituntut mencari kekayaan. Saya teringat satu riwayat yang berkaitan dengan Lokman Al-Hakim. Ketika anak lelaki bertanya kepada Lokman tentang bagaimana kita hendak berjaya dunia sampai akhirat. Apakah caranya yang boleh kita lakukan untuk kita tidak terpedaya dari iblis dan syaitan. Maka berkata Lokman " Pertama wahai anakku ialah kemantapan agama. Keduanya ialah harta yang halal ". Lantas dari jawapan Lokman menampakkan kepada kita harta itu tidak boleh dipisahkan tetapi agama diatas agar ia menyuluhi dan kemudia selepas harta yang halal kita milikki, kita kaya, senang kita salurkan kearah pendidikkan anak-anak yang akan mencapai hasanah didunia dan juga diakhirat.
DJ - Dr bolehkan pada hari ini kita menafaatkan teknologi untuk anak-anak kita.
DD - Ya teknologi boleh kita kata sebahagian daripada kemewahan pada hari ini. Tetapi ada kalanya teknologi ini penting. Malah kita kaitkan dengan firman Allah yang bermaksud " Hendaklah kamu bersiap sedia dengan pelbagai kekuatan yang boleh kamu gunakan untuk menghadapi musuh-musuhmu ". Ayat ini begitu umum dan ia menunjukkan kepada kita bahawa kekuatan yang diperlukan dalam ayat ini ialah kekuatan yang termasuk sebahagiannya ialah teknologi. Teknologi dizaman Nabi dengan zaman kita sekarang berbeza. Sebab itu Allah tidak sebut secara specific apa bentuk teknologinya. tetapi Allah menggunakan kalimat umum iaitu Quwwah yang ditafsirkan oleh ulama tafsir sebagai kekuatan teknologi yang pelbagai mengikut zaman masing-masing.
Lantas teknologi adalah penting. Tetapi teknologi mestilah digunakan untuk mendidik anak-anak, kalau kita menjurus kepada anak-anak sekarang. Sebagai contoh kita menggunakan internet. Ia satu teknologi tetapi digunakan internet, dilayarinya internet untuk mendapatkan ilmu-ilmu dalam perbagai bidang yang tidak mungkin kita perolehi mungkin dalam buku-buku sekolah. Tambahan ilmu ada diinternet. Itu kita gunakan teknologi. Ataupun kadangkala anak-anak kecil kita ada ketika-ketika tertentu kita kesibukkan, kita boleh menafaatkan vcd, sebagai contoh vcd tentang Al-Quran, tentang bacaan Al-Quran, lagu-lagu nasyid, agama. Maka ketika itu kita tidak disamping mereka tetapi mereka masih lagi mendapat pendidikkan melalui teknologi
Maka tidak boleh kita pisahkan daripada pendidikkan. Tetapi ketika kita bercakap demikian kita perlu berikan peringatan. Ada kalanya teknologi menghancurkan pendidikkan. Ada kalanya internet menghancurkan akhlak. Ada kalanya tv, vcd, dvd dan seumpamanya. Maka berkata Dr yusof Qardawi dalam fatwa Muasirat ketika orang bertanya tentang teknologi lebih khusus tentang televisyen sebagai contohnya. Beliau berkata ia adalah seperti pisau. Satu jawapan yang cantik, kiasan yang cantik. Pisau ini digunakan untuk memotong ikan, daging maka bermanafaat. tetapi sebaliknya jika digunakan untuk membunuh orang ia merugikan maka kita yang tentukan. Baiklah kita tentukan supaya ia selaras dengan agama insyaallah.
Soalan pendengar : Saya nak minta pendapat Dr. mengenai tajuk hari ini. Saya mempunyai seorang kakak sepupu. Dahulu perniagaannya tidak berapa maju tetapi sekarang sudah maju. Tapi semasa tidak berapa maju saya rasa kehidupannya lebih bahagia sebab dia mempunyai masa untuk keluarga, kenduri kendara, adik beradik, nak sedekah kepada fakir miskin semuanya diambil berat. Sejak dia maju semuanya tidak ada masa. Nak jumpa keluarga tidak boleh. Kalau orang nak ziarah kena buat appoinment dahulu. Nak sedekah pada fakir miskin pun tak ada.
Saya merasai kehidupannya seperti ini membuat saya merasa sedih. saya cuba nasihat berpandukan kata ayah saya iaitu harta yang banyak itu milik Allah, kita diamanah menjaga sahaja. Bantulah saudara kita dengan rela. Saya dah nasihat tapi sehingga sekarang dia tidak berubah
DD- Kadangkala harta juga seperti pisau. menyalah gunakannya ia akan menikam kita, memudaratkan kita.Tetapi jika harta benda, kekayaan serta kemewahan, kita gunakan untuk kebaikkan, masyaallah. Ia bekalan untuk dunia serta akhirat. justeru kita dapati sebahagian daripada sahabat-sahabat nabi merupakan orang-orang kaya. Jika hari ini kita nak gelarkan mereka, kita gelarkan sebagai jutawan ketika itu sebagai contoh Abd Rahman bin Auf peniaga terkenal dipasar Madinah. Contoh yang kedua saad bin Abi Waqas ra dan ramai lagi. Mereka adalah orang-orang kaya. Sebab itu bila kita mengkaji sejarah Nabi, kita dapati perjuangan Nabi dibantu oleh beberapa golongan insan. Antara golongannya ialah golongan hartawan, sebagai contoh ketika berlaku perang Tabuk, perjalanannya agak jauh. Maka orang-orang ini datang sebagai contoh sahabat Osman bin Affan mengatakan aku berikan unta-untaku sebagai kenderaan untuk pergi keTabuk. Ini sumbangan orang kaya. Maka sumbangan itu diterima Nabi dengan kegembiraan.
Lantas kekayaan perlu untuk kebaikkan agama. Bila puan tadi menyebutkan tentang kekayaan yang akhirnya melekakan, ini satu bentuk kekayaan yang negatif. Buka semua orang begitu. Justeru puan telah berikan nasihat alhamdulillah. Jangan berputus asa sebab kita ini hanya menyampaikan. Kita tidak diamanahkan Allah untuk memberi hidayah. Yang memberi hidayah cuma Allah semata mata. Disamping memberikan nasihat jangan lupa untuk mencantikkan hubungan sebab kadangkala jika kita hanya menegur orang kurang suka. Ada caranya, sebab itu cara menegur ini jangan terpisah daripada pergaulan yang baik agar orang itu tidak menjauhkan diri dari kita dan jangan lupa untuk berdoa.
Pada pengamatan kerdil saya ini, semua kita, Allah berikan masa 24 jam sehari semalam. Masa itu sama. Yang membezakan seorang dengan seorang yang lain ialah bagaimana ia mengurus masa itu. jika kita tidak memberikan masa untuk membaca Al-Quran, kita tidak ada masa untuk itu. kita berikan masa untuk bangun tengah malam untuk melihat Portugal lawan Greece Euro 2004. Peringkat final saya difahamkan Portugal lawan Greece, tapi saya tidak pernah bangun malam untuk itu. tetapi mereka sanggup bangun. Saya tidak kata haram, tapi yang hendak saya katakan jika kita berikan masa adalah masa untuk itu. Tapi bagi seseorang yang tidak memberikan masa untuk melihat bola maka tidaklah ada masa untuk itu.
Lantas kita yang menentukan bagaimana nak agihkan masa. Lantas orang yang sibuk ialah orang yang sebenarnya yang memberikan masa untuk sesuatu. Tapi orang yang wise, orang yang bijaksana ialah orang yang dalam kesibukkan dia tahu mengagihkan masa untuk segala yang diperlukan keatas dirinya. Jadilah orang yang bijaksana, bukan orang yang sibuk.
Adam
Konsep maksum dapat dilihat dengan lebih jelas dalam peristiwa Adam. Ia menjadi sasaran pertama perselisihan pendapat di kalangan ulama Islam. Kemaksuman Adam dipertikaikan kerana perkataan yang digunakan kepada perbuatan beliau menurut kebiasaannya mengandungi makna dosa. Justeru, ketika membahaskan perkara itu, secara keseluruhannya terdapat dua pendapat ulama. Satu pihak mendakwa Adam melakukan dosa manakala satu pihak yang lain menafikannya dengan mentakwilkan perkataan yang mengandungi pengertian dosa.
Quran menceritakan dengan maksudnya, “Hai Adam, diamilah kamu dan isterimu di syurga ini dan makanlah makanan-makanan yang banyak lagi baik di mana sahaja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon itu, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.”1 Tuhan berkata lagi, “Derhakalah Adam kepada Tuhan dan sesatlah dia.”2
Dalam Quran terdapat ayat-ayat yang menunjukkan be-berapa peristiwa mengenai Adam. Pertama, beliau dinasihatkan oleh Tuhan supaya tidak menghampiri sepohon pokok semasa berada di syurga. Kedua, bagaimana syaitan berjaya menipu Adam dan Hawa menerusi janji palsu.3 Ketiga, bagaimana Hawa yang berasa yakin dengan kebenaran syaitan yang memujuk Adam, serta bagaimana Adam secara tersalah memakan buah daripada pokok itu dan lantas diturunkan ke bumi.
Pertama, Quran menjelaskan Adam diciptakan sebagai khalifah Tuhan4 di bumi. Sebelum diutus ke bumi, beliau ditempatkan di syurga. Di sini seharusnya diterima, bahawa syurga bukan tempat kediaman yang kekal bagi Adam sebelum bumi diciptakan kerana beliau memang ditetapkan supaya diturunkan ke bumi pada suatu masa nanti.
Kedua, menurut syariah Islam, setiap perintah bukan bererti wajib. Ada perintah seperti mengerjakan sembahyang lima kali sehari dan perintah sembahyang di tengah malam. Umat Islam mengetahui perintah yang pertama adalah wajib, manakala perintah yang kedua sunat. Begitu juga, ada larangan bermaksud haram dan ada pula bermaksud makruh. Umat Islam diharamkan meminum arak dan juga dilarang makan menggunakan tangan kiri. Perkara yang pertama adalah haram, manakala yang kedua adalah makruh. Lantaran itu, larangan mendekati pokok itu bukan bermaksud haram mendekatinya.5
Ketiga, tempat menguji manusia menurut syariah adalah di dunia dan bukannya di syurga. Selepas ujian, barulah ditentukan, bagi mereka yang berjaya akan memasuki syurga dan yang gagal akan ke neraka. Yang pastinya, di syurga memang tidak ada sebarang bentuk ujian. Ujian hanya dilakukan di dunia semata-mata. Justeru, tempat menguji manusia adalah di dunia, bukannya di syurga. Oleh itu, sebarang perintah yang dikeluarkan di syurga adalah menurut kebiasaan tempat itu, iaitu ia adalah suatu nasihat dan bukannya perintah wajib.6 Dengan kata lain, sekiranya seseorang itu menentang nasihat orang yang baik, dia hanya akan meletakkan dirinya dalam kesusahan dan kesengsaraan, tetapi dia sudah pasti tidak boleh dikatakan melakukan suatu perbuatan jenayah. Dalam hal ini, dia hanya kehilangan sesuatu sahaja.
Perkataan zalim berasal daripada perkataan zulm yang mempunyai beberapa pengertian. Antaranya, ia bererti meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya7, menghampiri kemurkaan, penindasan dan mempercepatkan sesuatu sebelum tiba masanya.8 Perkataan zulm daripada segi bahasa mengandungi empat pengertian apabila dihubungkan kepada para nabi dan rasul iaitu orang yang dibuktikan maksum. Perkataan-perkataan yang tidak membawa maksud dosa dan salah adalah lebih wajar.
Sekiranya diambil pengertian menghampiri kemurkaan Tuhan, ini jelas menunjukkan Tuhan memberitahu Adam, seandainya beliau menghampiri pokok itu, dia hanya akan meletakkan dirinya dalam kesusahan. Maksud menghampiri kemurkaan di sini bukanlah dosa, kesalahan atau jenayah. Dalam konteks ini, perkataan itu juga boleh digunakan dengan maksud mempercepatkan sesuatu sebelum tiba masanya. Dalam hal ini, ia bermaksud walaupun Adam sudah ditetapkan oleh Tuhan akhirnya akan turun ke bumi, tetapi seandainya dia mendekati pokok itu, dia akan dihantarkan lebih cepat. Adalah wajar diakui tiada suatu pengertian baru diberikan kepada perkataan itu. Pada masa yang sama, Adam tidak pula diumumkan sebagai seorang nabi yang berdosa dan bersalah. Dosa bukanlah maksud sebenar perkataan zalim. Ia hanyalah kerana Adam yang dianggap berdosa itu tersalah meletakkan pemikirannya dan menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepadanya sehingga dia secara simbolik digelar zalim.9
Titik tolak yang membezakan peristiwa Adam dengan manusia lain terletak pada kedudukan beliau di sisi Tuhan. Ini kerana bagi manusia biasa, gambaran sedemikian tidak mendatangkan sebarang kesan dan mereka masih dianggap baik. Sebaliknya, kesan peristiwa itu kepada seorang nabi adalah berlainan dan ia dipandang sebagai suatu kesalahan yang besar. Ini tepat seperti kata-kata al-Junayd, “Baik bagi manusia biasa yang baik, namun buruk bagi manusia yang dekat dengan Tuhan.”10 Lantaran itu, kemaksuman nabi dapat dibuktikan sebelum mahupun selepas mereka menjadi nabi dengan cara mengambil pengertian daripada sudut bahasa yang tidak bercanggah dengan dalil-dalil daripada Quran mengenai konsep maksum para nabi. Walau bagaimanapun, al-Asy‘ari dan Ibn Furak berpendapat dosa Adam berlaku sebelum beliau diutus sebagai nabi. Al-Asy‘ari menjelaskan Adam melakukan dosa besar kerana mengingkari tegahan Tuhan yang melarangnya daripada berbuat demikian.11
Secara keseluruhannya, ayat-ayat Quran yang berkaitan konsep maksum dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu ayat muhkamah dan ayat mutasyabihah. Justeru itu, ayat-ayat yang membuktikan kemaksuman para nabi wajar dimasukkan ke dalam kumpulan ayat muhkamah manakala ayat-ayat selainnya ke dalam kumpulan ayat mutasyabihah.12 Sehubungan dengan itu, sekiranya ayat-ayat Quran yang dikemukakan memperlihatkan para nabi tidak maksum, ciri-ciri itu perlu dicari maksud yang lebih sesuai supaya ia bertepatan dan bersesuaian dengan martabat mereka sebagai nabi dan rasul.13 Tambahan lagi, ciri-ciri yang berlawanan pada sesuatu masa tertentu tidak mungkin wujud pada nabi dan rasul.
Oleh kerana itu, kedudukan Adam perlu diletakkan pada tempat yang wajar dan terpelihara daripada sebarang dosa dan salah. Secara umumnya, Adam melakukan tindakan yang menyalahi perintah Tuhan atas alasan meninggalkan perkara yang lebih utama sedangkan beliau pada hakikatnya seorang nabi yang maksum daripada perbuatan itu.
*****
Nuh
Peristiwa Nuh dapat dilihat menerusi kata-kata Tuhan yang bermaksud, “Nuh berseru kepada Tuhannya sambil berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku termasuk keluargaku dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Engkau adalah hakim yang seadil-adilnya. Tuhan berkata: Hai Nuh, sesungguhnya dia tidak termasuk keluargamu yang dijanjikan akan diselamatkan, sesungguhnya perbuatannya perbuatan yang tidak baik. Oleh sebab itu, janganlah kamu memohon kepadaku sesuatu yang kamu tidak katahui. Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu tidak termasuk di kalangan orang-orang yang tidak berpengetahuan. Nuh berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tidak mengetahui hakikatnya. Sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku dan tidak menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk orang-orang yang rugi.”14
Menerusi ayat ini, ada tiga perkara penting yang menunjukkan kemaksuman Nuh:
Permohonan Nuh.
Larangan Tuhan ke atas beliau.
Permohonan ampun kepada Tuhan.
Permohonan dan seruan Nuh mengandungi maksud penghormatan15 kerana Tuhan berjanji menyelamatkan anaknya. Seandainya janji itu benar, tentulah anaknya akan diselamatkan. Ia bukan bererti Tuhan menegah beliau mempersoalkan perkara yang tidak diketahuinya, kerana pertanyaan itu diajukan berdasarkan sesuatu kebaikan dan bukan bersifat tetap.16
Berhubung kedudukan anak beliau, penetapannya bergantung kepada faktor-faktor keagamaan. Anaknya tidak termasuk di kalangan kaum kerabatnya kerana dia melakukan amalan-amalan yang tidak baik. Pertalian keluarga dalam agama menjadi faktor penghalang pertalian keturunan. Oleh itu, seseorang yang tidak berada dalam aliran kepercayaan agama yang sama walaupun mempunyai pertalian hubungan keturunan yang rapat, pada hakikatnya adalah jauh.17 Begitu juga dengan pertalian kewalian antara seseorang mukmin dengan kafir bergantung pada amalan dan agama.
Faktor utama yang dapat menyelamatkan anak itu daripada ditenggelamkan oleh banjir besar terletak pada amalan yang baik dan bukannya kerana dia menjadi kaum kerabat Nuh. Justeru itu, sekiranya dia melakukan perbuatan yang bercanggah dengan perintah Tuhan sudah tentu janji Tuhan itu tidak termasuk anak beliau. Al-Baydawi berpendapat Nuh mengajukan permintaan itu dalam keadaan tidak mengetahui sama ada permintaannya mengandungi balasan baik ataupun sebaliknya. Disebabkan alasan itu, Tuhan mencelanya.18
Al-Khazin pula menjelaskan ayat itu tidak mengandungi sebarang pengertian dosa atau ingkar. Ini kerana ia dilakukan dengan alasan tersalah takwil. Permohonannya tidak di-perkenankan oleh Tuhan untuk dikemukakan.19 Sebaliknya al-Naysaburi mengatakan sikap tidak sabar adalah faktor-faktor yang mendorong beliau meninggalkan perkara yang lebih utama dan lanjutan daripada itu, Tuhan mencelanya.20
Al-Razi berpendapat, peristiwa Nuh wajib dianggap sebagai perbuatan meninggalkan perkara yang lebih utama. Alasan itu menyebabkan Tuhan mencela dan memerintahkan mereka, khususnya beliau supaya memohon ampunan. Di samping itu, al-Razi turut mengemukakan bukti-bukti lain bagi menyokong hujah-hujahnya dengan dalil, “Apabila datang pertolongan Tuhan dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Tuhan dengan berduyun-duyun, maka bertasbihlah dengan memuji-muji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepadanya.”21 Kedatangan pertolongan dan ke-menangan Tuhan serta gerombolan manusia menganuti agama Tuhan bukanlah dengan dosa-dosa yang mewajibkan mereka memohon ampunan. Bukti selanjutnya adalah, “...dan mintalah keampunan kepada Tuhan kamu dengan dosa kamu dan dosa mukminin dan mukminat.”22
Semua ayat itu tidak membuktikan mereka berdosa. Keadaan ini menunjukkan permohonan ampun berlaku disebabkan perbuatan meninggalkan perkara yang lebih utama.23 Justeru, sekiranya perbuatan yang dilakukan berdasarkan alasan itu, mereka seharusnya tidak dicela kerana ia tidak menunjukkan mereka berdosa. Keampunan yang dipinta oleh Nuh dipandang daripada sudut kedudukan mereka sebagai golongan yang sangat hampir kepada Tuhan, sudah tentu perbuatan itu menunjukkan ciri-ciri kekurangan mereka. Lantaran itu, Tuhan mencela mereka dan pada masa yang sama, mereka pula turut mengakui kesalahan itu walaupun pada hakikatnya tidak demikian.
*****
Ibrahim
Kemaksuman Ibrahim dapat diperhatikan daripada maksud ayat Quran berikut, “Ya Tuhanku, perlihatkan kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati. Tuhan berkata: Apakah kamu belum percaya? Ibrahim menjawab: Saya percaya akan tetapi supaya bertambah tetap hati saya.”24
Kemaksuman Ibrahim dapat dilihat daripada dua sudut: Pertama, penggunaan bentuk pertanyaan seperti bagaimana serta maksud yang terkandung dalam pertanyaan itu. Kedua, jawapan yang dikemukakan oleh Ibrahim semasa ditanya, sama ada mengandungi keraguan mengenai kekuasaan Tuhan ataupun sebaliknya.
Dalam persoalan pertama, kebanyakan ulama mengatakan penggunaan bentuk pertanyaan seperti bagaimana adalah dalam bentuk memohon penjelasan iaitu Ibrahim ingin memahami bagaimana Tuhan menghidupkan sesuatu yang sudah mati dan bukannya dengan maksud mengingkari kekuasaannya. Pertanyaan yang dikemukakan berbentuk perlambangan kerana ayat susulannya membuktikan kesempurnaan perintah Tuhan dan pembebasan pemikiran Ibrahim daripada sebarang unsur keraguan.25
Meskipun begitu, kemaksuman Ibrahim tergugat disebabkan beberapa hadis yang menunjukkan beliau berdusta sebanyak tiga kali. Dua daripadanya mengenai sifat Tuhan.26 Atiyyah menolak hadis-hadis itu. Beliau menjelaskan para nabi tidak harus berada dalam keadaan ragu-ragu kerana ia boleh menyebabkan kufur, sedangkan semua nabi beriman dengan hari kebangkitan. Tuhan juga menerangkan para nabi dan bahkan wali tidak dapat dipengaruhi atau dikuasai oleh syaitan27, menerusi beberapa kata-katanya yang bermaksud, “Sesungguhnya hamba-hambaku tidak ada jalan bagimu terhadap mereka kecuali orang-orang yang mengikuti kamu iaitu orang-orang yang sesat.”28 Katanya lagi, “Sesungguhnya hamba-hambaku, kamu tidak dapat berkuasa atas mereka. Cukuplah Tuhanmu sebagai penjaga.”29
Qadi Iyad membahaskan persoalan ini dan menolak penguasaan syaitan ke atas nabi dan rasul.30 Muhammad berkata, “Kami lebih utama berada dalam keadaan ragu-ragu ber-banding Ibrahim,”31 menjadi hujah dan jawapan kepada keraguan yang berlaku kepada Ibrahim. Al-Alusi mengatakan hadis ini menjadi hujah yang kuat membuktikan kemaksuman nabi. Ia menunjukkan Ibrahim dinafikan daripada sifat itu sama sekali.32 Inti sari hadis ini juga menjelaskan sekiranya Muhammad tidak pernah ragu-ragu, sudah tentu Ibrahim juga demikian. Dalam konteks ayat itu tadi, persoalan meng-hidupkan sesuatu yang sudah mati, memang diketahui oleh beliau. Ini berpandukan hujah beliau sendiri sebagai jawapan kepada Namrud dalam ayat Quran yang bermaksud, “Tuhanku adalah yang menghidupkan dan mematikan.”33
Keteguhan iman Ibrahim tidak diragukan sama sekali. Di samping itu, secara keseluruhannya kebanyakan ulama bersepakat mengatakan para nabi dan rasul terpelihara daripada dosa besar dan kecil yang boleh mencacati mereka.34 Lantaran itu, hadis-hadis yang menampakkan para nabi tidak maksum tertolak dengan sendirinya. Ibrahim tidak wajar sama sekali dituduh berasa ragu-ragu mengenai zat Tuhan kerana secara langsung, ia mencela kedudukan mereka yang maksum di sisi Tuhan.
*****
Musa
Tuhan menerangkan kisah Musa dalam kata-katanya yang bermaksud, “Musa masuk ke kota Memphis ketika penduduknya sedang beristirahat, maka didapati di dalam kota itu, dua orang lelaki sedang berkelahi, seorang daripada golongannya iaitu bani Israel manakala seorang lagi daripada musuhnya iaitu kaum Firaun. Maka orang daripada golongannya meminta pertolongan daripadanya supaya mengalahkan musuhnya, lalu Musa menumbuknya dan matilah musuh itu. Musa berkata: “Ini adalah perbuatan syaitan. Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menganiayai diriku, maka kerana itu ampunilah aku. Maka Tuhan mengampunimu, sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”35
Dalam peristiwa yang disebutkan, kelihatan Musa terlibat dalam pembunuhan seorang Qibti dalam usaha beliau membantu salah seorang pengikutnya. Secara umumnya, Musa melakukan suatu dosa yang besar, tetapi kedudukan itu perlu diperhatikan menerusi perkataan penting yang digunakan iaitu wakaza. Ibn Faris mengemukakan beberapa maksud wakaza. Antaranya, cacian, memukul dengan seluruh tangannya atau menolaknya.36
Menurut al-Alusi, perkataan wakaza atau al-wakz menunjukkan perbuatan itu dilakukan dalam keadaan tersalah dan bukan dengan niat.37 Oleh kerana itu, ia tidak termasuk dalam pengertian dosa.38 Ini menepati jawapan Musa kepada Firaun semasa kedua-duanya bersoal jawab, “Aku melakukannya sedangkan aku pada waktu itu termasuk daripada kalangan orang-orang yang khilaf.”39 Musa tidak melakukan perbuatan itu dengan sengaja, sebaliknya bertujuan menghalang musuh melakukan kezaliman ke atas pengikutnya daripada kalangan bani Israel. Lantaran itu, Musa memukulnya dan di luar dugaan ia menyebabkan kematian. Al-Tabarsi berpendapat, pembunuhan itu bertujuan membebaskan orang mukmin daripada tangan orang zalim dan melampaui batas. Dengan cara ini, ia dapat menegah perbuatan makruh itu.40
Al-Bazdawi mengatakan pembunuhan orang Qibti berlaku atas alasan tersalah, tetapi perbuatan menumbuk bagi mempertahankan diri daripada kezaliman sehingga menyebabkan kejadian itu berlaku diharuskan. Walau bagaimanapun, keharusan di sini bukanlah dengan keizinan Tuhan, kerana Musa sendiri yang mengharuskannya bagi dirinya.41
Al-Razi mengatakan perbuatan Musa berlaku sebelum menjadi nabi dalam keadaan tersalah. Justeru itu, meminta ampun atas perbuatan tersalah adalah baik dan disunatkan.42 Al-Murtada menjelaskan Musa berbuat demikian atas alasan terputus hubungan dengan Tuhan dan ingin kembali semula kepadanya. Oleh kerana itu, Musa mengakui kekurangan-kekurangan yang dilakukannya sedangkan pada masa yang sama beliau sepatutnya melakukan perbuatan lain yang ditetapkan. Kekurangan yang berlaku juga disebabkan kegagalan menegah dirinya daripada perkara-perkara yang tidak diharuskan.43
Bagaimanapun al-Zamakhsyari berpendapat, Musa terlibat dalam perbuatan itu sebelum dibenarkan bertindak demikian. Sebaliknya, Ibn Jurayh pula mengatakan sekiranya perbuatan yang mereka lakukan tidak diperintahkan oleh Tuhan, para nabi tentu tidak akan melakukannya.44 Ini bererti perbuatan Musa ini adalah berdasarkan perintah Tuhan. Pendapat para ulama yang dikemukakan menunjukkan Musa melakukannya dalam keadaan tersalah. Justeru itu, beliau memohon ampun kepada Tuhan. Tambahan pula, sekiranya diteliti dalam syariah para nabi yang terdahulu dan syariah Muhammad, perkara-perkara seumpamanya tidak mengandungi pengertian dosa.45
Kemaksuman para nabi daripada dosa besar dan dosa kecil tidak dinafikan sama sekali, sebelum mahupun sesudahnya. Di samping itu, perkataan al-wakz pada hakikatnya hanyalah mengandungi dosa kecil sahaja. Sebagai seorang yang sangat hampir kepada Tuhan, yang mempunyai darjat yang tinggi dan terpuji, mereka dapat menyedari kekurangan yang terdapat pada diri mereka kerana menyalahi perbuatan yang lebih utama.46 Pendapat yang mengatakan perbuatan al-wakz dilakukan oleh Musa atas alasan menyalahi perbuatan yang lebih utama adalah lebih kuat kerana ia dapat dibuktikan dalam peristiwa al-Ma’mun yang menanyakan Ali al-Rida mengenai kata-kata Musa, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menganiayai diriku sendiri.” Beliau menjelaskan Musa sebenarnya meletakkan dirinya di tempat yang tidak sesuai dengan memasuki kota itu.47
Dengan memberikan pengertian menyalahi perbuatan yang lebih utama ini, Musa terbukti bersifat maksum daripada perbuatan dosa sama ada daripada segi perkataan mahupun perbuatan. Tambahan lagi, perbuatan itu tidak mengandungi pengertian dosa yang membolehkannya dicela. Tuhan menghendaki mereka menjadi contoh kepada umat manusia. Sebagai manusia terpilih, sebarang perbuatan yang menyalahi perintah Tuhan dianggap sebagai kecelaan dan kekurangan. Walaupun pada hakikatnya ia tidak mengandungi sebarang dosa. Bagi seorang nabi, perintah Tuhan tidak layak diabaikan biarpun ia berupa nasihat atau suruhan. Manakala bagi umat manusia, mereka perlu mencontohi nabi dengan cuba mengelakkan perbuatan yang dilarang oleh Tuhan dengan bersungguh-sungguh.
*****
Muhammad
Menerusi Quran, terdapat banyak ayat yang membuktikan kemaksuman Muhammad daripada dosa dan salah.48 Antaranya adalah seperti berikut. Yang pertama, “Sesungguhnya Tuhan bermaksud hendak menghilangkan dosa daripada kamu dan membersihkan kamu dengan sebersih-bersihnya.”49 Ayat ini membuktikan kebersihan dan kesucian Muhammad daripada sebarang bentuk dosa dan salah dengan jelas. Penyucian ke atas mereka bukan dilakukan oleh manusia, tetapi oleh Tuhan. Seandainya keluarga Muhammad dibersihkan dengan sesuci-sucinya, tentulah Muhammad yang termasuk dalam pengertian yang sama juga dibersihkan daripada perbuatan yang tercela. Kalau berlaku sebaliknya, tentulah kedudukannya lebih rendah daripada mereka dan ia mustahil boleh berlaku. Ibn Kathir menyebutkan beberapa buah hadis mengenai keluarga Myhammad yang mengandungi permohonan Muhammad kepada Tuhan supaya mereka dibersihkan daripada dosa dan kekotoran.50 Ini menunjukkan Muhammad juga bersih dan maksum.
Kedua, “Apa yang diberikan kepadamu, maka terimalah ia dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah ia.”51 Ayat ini menunjukkan perintah dan larangan Muhammad sentiasa diperkenankan oleh Tuhan. Bersesuaian dengan maksud kata-kata Tuhan berikut, “Taatilah Tuhan dan rasulnya, dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya Tuhan tidak menyukai orang-orang yang kafir.”52 Kedua-dua ayat yang dikemukakan saling melengkapi antara satu dengan yang lain, kerana tugas Muhammad adalah menyampaikan perintah dan larangan Tuhan. Manakala tugas pengikut pula mentaati setiap perintah dan larangan Tuhan yang disampaikan menerusi Muhammad. Oleh itu, seseorang akan mendapat keyakinan dan kepercayaan sepenuhnya dengan mentaati dan menuruti perintah seorang yang maksum, dibandingkan dengan seorang bukan maksum.
Ketiga, “Katakanlah: Jika kamu benar-benar mencintai Tuhan, ikutilah aku, nescaya Tuhan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Quran menjelaskan kecintaan kepada Tuhan bergantung kepada kecintaan dan ketaatan manusia kepada Muhammad. Kedua-dua cinta terangkum secara serentak dalam ayat ini. Kalaulah seseorang itu mencintai Tuhan, sewajarnya dia mentaati dan menuruti Muhammad kerana dengan melakukan perbuatan sedemikian, Tuhan akan mencintai mereka. Tentulah perkara-perkara seumpama ini tidak berlaku, sekiranya para nabi tidak maksum daripada keburukan dan kecelaan.
Keempat, kemaksuman Muhammad tidak terbatas kepada perbuatan semata-mata, malah kata-katanya juga termasuk dalam himpunan perintah Tuhan. Tuhan menjelaskan, “Tiada apa yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”53 Dalam usaha Muhammad menyampaikan perintah Tuhan, segala-galanya berpandukan wahyu, tanpa sebarang penambahan mahupun pengurangan. Tepat seperti apa yang dikatakan oleh Muhammad, “Tulislah, demi Tuhan yang diriku di tangannya, tiada sesuatu yang ada pada diriku melainkan kebenaran.”54
Kelima, “Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf itu seorang rasul, yang membacakan ayat-ayatnya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka kitab dan hikmah.”55 Muhammad adalah seorang nabi dan rasul yang suci, bersih dan maksum. Justeru itu, beliau diutus oleh Tuhan supaya mensucikan orang lain daripada perbuatan dosa dan salah. Begitu juga dalam persoalan mengajarkan orang lain mengenai kitab dan hikmah. Seandainya beliau sendiri tidak boleh menentukan kebenaran dan kebatilan, serta tidak mampu menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang batil selepas beliau mengetahuinya, sudah tentu beliau tidak dibenarkan berbuat demikian kepada manusia lain.
Ini bererti Muhammad memahami setiap perintah dan larangan Tuhan. Lantaran itu, beliau berusaha membersihkan dan memelihara umatnya serta mengajarkan mereka mengenai hikmah. Ini menunjukkan Muhammad adalah seorang yang maksum. Para nabi tentu tidak layak memikul tugas itu, sekiranya mereka mengetahui perkara-perkara yang tidak dikehendaki oleh Tuhan, tetapi masih juga melakukannya.
Keenam, “Penyaksian mengenai akhlak Muhammad yang tinggi dan sempurna menerusi maksud kata-kata Tuhan, “Sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang tinggi.”56 Pujian menurut kebiasaannya diberikan kepada orang yang benar-benar berhak mendapatkannya. Demikian juga pujian Tuhan ke atas makhluknya. Quran membuktikan hakikat kemaksuman Muhammad sehinggakan beliau dipuji oleh Tuhan. Justeru itu, Muhammad bukanlah seorang yang ber-dosa dan tidak pula memiliki akhlak yang hina kerana Tuhan akan menafikan beliau daripada pujian itu.
Walau bagaimanapun, terdapat pula beberapa ayat al-Quran mengenai Muhammad yang disalah fahami oleh umat Islam. Ini kerana apabila dilihat daripada sudut zahir ayat, kelihatan Muhammad melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak sesuai dengan kedudukannya di sisi Tuhan secara khusus, serta di sisi manusia secara umumnya. Pertama, “Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yang yatim, lalu Dia melindungimu. Dia mendapatimu sebagai seorang yang kebingungan lalu Dia memberikan petunjuk. Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia sempurnakan kekurangan itu.”57
Menerusi ayat keenam daripada surah ad-Duha, Muhammad dinyatakan sebagai seorang yang yatim piatu. Bapanya meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan. Ibunya pula meninggalkannya semasa usianya enam tahun. Kemudian datuknya menyusul tidak lama kemudian apabila beliau berusia lapan tahun. Akhirnya beliau dijaga di bawah asuhan dan kasih sayang bapa saudaranya, Abu Talib.58 Dalam semua keadaan yang disebutkan, Muhammad menerima asuhan dan kasih sayang lebih daripada yang patut diberikan oleh seorang ayah. Justeru itu, ayat tadi memperingatkan beliau mengenai rahmat Tuhan yang melimpah ke atasnya di dalam rumah bapa saudara dan datuknya, Abu Talib dan Abd al-Muttalib.
Ayat kelapan pula menjelaskan Muhammad seorang yang miskin, tetapi selepas berkahwin dengan Khadijah, ketulusan cinta Khadijah bukan hanya melebihi sepatutnya, bahkan menjadikan beliau bebas daripada sebarang keperluan duniawi pada hari-hari seterusnya. Ini menggambarkan peringatan Tuhan kepada beliau mengenai rahmatnya menerusi diri Khadijah.59
Antara kedua-dua sifat kemurahan Tuhan itu, Tuhan mengingatkan Muhammad mengenai kedudukannya yang tidak mengetahui dan Tuhan memberikan petunjuk kepadanya. Perkataan yang diberikan maksud tidak mengetahui, berdasarkan maksud dalil Quran, “Kamu tidak mengetahui apakah itu al-kitab dan tidak juga mengetahui mengenai iman.”60 Satu lagi maksud yang hampir dengan maksud dall adalah terlupa berpandukan maksud ayat Quran, “...supaya jika seorang lupa maka seorang lagi mengingatkannya.”61
Ibn Abbas menjelaskan perbuatan tidak mengetahui iaitu dalalah dalam ayat itu tidak mengandungi pengertian maksiat.62 Seandainya perkataan dall bermakna sesat, ia tidak bererti Muhammad sesat daripada kebenaran. Ayat ini boleh diinterpretasikan dengan maksud hilang daripada kalangan umatmu. Menurut al-Rida, pengertian itu boleh ditujukan kepada Muhammad kerana penduduk kota Mekah pada waktu itu tidak mengetahui kedudukan beliau yang sebenarnya. Oleh kerana itu, Tuhan memberikan petunjuk dan mengemukakan dalil atau bukti berkenaan diri Muhammad kepada mereka.63 Pengertian itu bukan sahaja selari dengan logik akal, malah menepati maksud ayat Quran, “Muhammad tidak sesat dan tidak pula keliru.”64
Kedua, peristiwa al-Gharaniq al-Ula adalah salah satu peristiwa yang menimbulkan polemik dalam pemikiran Islam kerana dikatakan Muhammad mengucapkan ayat-ayat syaitan dan memuji-muji Tuhan golongan kafir. Persoalan al-Gharanic al-Ula atau berhala yang mulia boleh dihubungkan dengan Salman Rushdie yang pernah menghasilkan sebuah novel yang menimbulkan kontroversi kepada dunia Islam suatu ketika dahulu dan sehingga kini yang bertajuk The Satanic Verses. Sekiranya kenyataan ini benar-benar berlaku tentulah ia boleh mencacatkan kedudukan dan keutamaan nabi-nabi secara umum dan Muhammad secara khususnya. Ia juga boleh menjejaskan pemeliharaan Tuhan ke atas mereka daripada sebarang dosa dan kesalahan pada pandangan Islam dan Quran.
Dalam hal ini, para ulama tafsir memberikan perhatian yang besar dalam perbincangan mereka mengenainya dalam kitab-kitab tafsir mereka masing-masing. Quran menjelaskan dalam ayat berikut yang bermaksud, “Kami tidak meng-utuskan sebelum kamu seorang rasul dan tidak pula seorang nabi, melainkan apabila dia mempunyai sesuatu keinginan, syaitan pun memasukkan godaan-godaan terhadap keinginan itu. Tuhan menghilangkan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu dan Tuhan menguatkan ayat-ayatnya.”65
Daripada perspektif bahasa, perkataan tamanna bermaksud mentakdirkan sesuatu perkara dan membayangkan gambarannya.66 Walau bagaimanapun, perkataan al-tamanna menunjuk-kan ia menyentuh perkara-perkara yang tidak wujud.67 Kebanyakan ulama menjelaskan perkataan al-tamanna ber-maksud bacaan68 manakala al-Murtada menambahkan dengan pengertian keinginan hati. Sekiranya perkataan itu diertikan sebagai bacaan, ia bermaksud orang yang diutus sebelum kamu daripada kalangan rasul apabila dia membacakan apa yang disampaikan kepada umatnya, mereka meminda dan memalsukannya dan kemudian mendakwa itu adalah bacaan nabi yang mengandungi pujian terhadap tuhan-tuhan mereka, sedangkan pada hakikatnya perkara itu tidak pernah terjadi.69
Jikalau perkataan al-tamanna dirujuk dengan pengertian keinginan hati, ia bermaksud apabila rasul mempunyai keinginan dalam hatinya mengenai sesuatu perkara yang dicita-citakannya, syaitan lalu membisikkan hal-hal yang batil dan menyerunya ke arah itu. Lantaran itu, Tuhan menghapuskannya.70
Terdapat beberapa pendapat berhubung peristiwa yang dikenali sebagai al-Gharaniq al-’Ula. Qadi ‘Iyad mengatakan peristiwa yang menyebutkan Muhammad membaca surah an-Najm di Mekah, kemudian orang-orang Islam, musyrik, jin dan manusia sujud bersama-samanya ditolak daripada sudut Quran. Tambahan lagi maksum nabi-nabi dan Muhammad secara khusus daripada perbuatan kufur dengan sengaja mahupun tersalah sudah terbukti menerusi ijmak dan dalil yang lain.71 Puak al-Karramiyyah dan al-Hasyawiyyah mengatakan Muhammad melakukan kesalahan semasa menyampaikan perintah Tuhan kerana mereka berhujah berdasarkan dalil itu. Kemudian, ada pula para ulama selain mereka berpendapat Muhammad harus melakukan kesalahan dalam perkara-perkara yang tidak didapati hujah yang kuat semasa mereka menyampaikan perintah Tuhan.72
Peristiwa al-Gharaniq al-’Ula yang dicatatkan oleh para ulama ini berkait rapat dengan hadis-hadis yang menunjukkan Muhammad dikatakan menambahkan perkataan tilka al-gharaniq al-ula wa inna syafa’ata-hunna la-turtaja.73 Hadis-hadis tersebut telah pun dibahaskan dan kebanyakan ulama mempertikaikan kesahihannya kerana ia bercanggah dengan dalil-dalil Quran dan akal. Di kalangan ulama al-Mu‘tazilah, mereka berselisih pendapat mengenai hadis-hadis itu. Sebahagiannya menolak hadis itu dan mencela para perawinya. Manakala sebahagian yang lain pula mengatakan ia bukan bacaan yang diturunkan tetapi percakapan Muhammad kepada diri beliau atas alasan mengingkari perbuatan kaum Quraisy.74 Qadi ‘Iyad75, Ibn Atiyyah76, al-Zamakhsyari77, al-Razi78, al-Khazin79, Ibn Kathir80, Haykal81 dan lain-lain menolak hadis-hadis itu dan menganggapnya tidak berasas sama sekali. Para ulama yang menolak hadis-hadis yang membenarkan celaan ke atas Muhammad mengatakan tidak mungkin dapat dibenarkan hadis-hadis ahad ke atas Muhammad. Ini dinyatakan dalam beberapa ayat al-Quran82:
1."Demikianlah supaya Kami perkuatkan hatimu dengannya.”83
2.“Kami akan membacakan Al-Quran kepada Muhammad maka kamu tidak akan lupa.”84
3.“Seandainya Muhammad mengada-adakan sebahagian perkataan atas nama Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya.”85
Muhammad Husayn Haykal menjelaskan hadis-hadis mengenai peristiwa itu diciptakan oleh golongan Zindik.86 Beliau juga mengemukakan beberapa hujah bagi menolak hadis-hadis itu. Pertama, hadis yang dilaporkan mencapai bilangan yang meragukan menunjukkan ia adalah hadis-hadis palsu atau yang dicipta oleh golongan zindik yang bertujuan menimbulkan keraguan mengenai kebenaran perutusan daripada Muhammad. Qadi ‘Iyad menunjukkan Muhammad seorang yang maksum daripada sebarang kecelaan termasuklah keinginan memuji selain Tuhan kerana ia dianggap kufur.87
Kedua, konteks surah an-Najm yang tidak pula menyebutkan persoalan al-Gharaniq. Penambahan beberapa perkataan selepas ayat afara ‘ai-tumu’l-lata wa’l-uzza wa manata’l-thalithata’l-ukhra, menunjukkan ia penuh dengan kekeliruan dan percanggahan. Ini jelas membuktikan hadis itu palsu dan sengaja diada-adakan.88
Ketiga, hujah daripada perspektif bahasa. Muhammad Abduh mengatakan dalam syair Arab, orang-orang Arab tidak menggelarkan tuhan-tuhan mereka dengan perkataan al-Gharaniq. Begitu juga dalam pertuturan biasa mereka. Perkataan gharnuq dan gharniq ialah nama sejenis burung air yang berwarna hitam atau putih, dan pemuda yang putih dan cantik. Ia tidak berkait langsung dengan maksud tuhan.89
Keempat, kebenaran Muhammad berdasarkan kehidupan beliau semasa kecil sehingga dewasa. Beliau dikenali di kalangan kaumnya sebagai seorang yang tidak pernah berdusta sehingga digelar al-Amin sebelum usianya 25 tahun. Kebenaran beliau tidak diragukan oleh sesiapa pun. Ini menunjukkan peristiwa al-Gharanic al-Ula mustahil berlaku ke atasnya. Di samping hujah-hujah ini, Qadi ‘Iyad juga turut mengkritik hadis-hadis mengenai al-Gharaniq yang secara keseluruhannya menunjukkan ia lemah dan mustahil berlaku ke atas diri Muhammad.90 Kesimpulannya ia menunjukkan konsep kemaksuman para nabi secara umum dan Muhammad secara khusus daripada perspektif Quran memang terbukti dengan jelas. Quran juga memperlihatkan Muhammad sebagai nabi dan rasul terpilih adalah seorang yang terpelihara daripada sebarang bentuk kesalahan, dosa dan maksiat, sesuai dengan kedudukannya sebagai utusan Tuhan yang terbaik kepada umat manusia.
Peristiwa Muhammad dituduh bermasam muka dan berpaling ketika didatangi seorang buta juga ada diceritakan dalam Quran yang bermaksud, “Dia bermasam muka dan memalingkan mukanya kerana sudah datang seorang buta kepadanya.”9i Menurut persepakatan ulama, ayat tadi diturunkan kepada Ibn Ummi Makhtum yang menemui Muhammad ketika beliau sedang bersama-sama beberapa orang pembesar bani Umaiyyah. Dia meminta Muhammad mengajarkannya ilmu Tuhan tanpa mengetahui beliau sedang melayani tetamu, lalu dikatakan Muhammad bermasam muka dan berpaling daripadanya.92 Al-Murtada mengatakan ayat itu pada zahirnya tidak menunjukkan ia ditujukan kepada Muhammad, sebaliknya adalah suatu penyucian kerana bukan beliau sendiri yang menjadi sasaran tetapi sebaliknya orang lain. Ini disebabkan sifat bermasam muka bukanlah salah satu sifat Muhammad.
Al-Razi berpendapat keraguan Muhammad dalam membuat penentuan menyebabkan terjadi peristiwa itu atas dasar meninggalkan perkara yang lebih utama.93 Qadi ‘Iyad menafikan perbuatan dosa kepada Muhammad dengan alasan, ia hanyalah pemberitahuan Tuhan mengenai orang yang datang kepadanya adalah orang yang tidak bersih dan cara yang paling baik dilakukan adalah dengan menerima kedatangannya.94 Berdasarkan kepada apa yang dilaporkan oleh Ja‘far al-Sadiq, ayat itu diturunkan ke atas seorang pembesar bani Umaiyyah yang berada di sisi Muhammad. Apabila dia melihat Ibn Ummi Makhtum, perasaan tidak tenteram timbul menerusi sikap bermasam muka dan berpaling. Laporan lain menyebutkan beliau sentiasa bersikap lembut kepada Ibn Ummi Makhtum sehingga melarang beliau berbuat demikian terhadapnya.95
Quran menggunakan pelbagai bentuk ayat bagi mendidik umat manusia dengan cara yang paling baik dan berkesan. Antaranya Tuhan memberitahu nabi tetapi sebenarnya ia ditujukan kepada orang lain supaya mereka mendengarnya, seperti dalam maksud ayat, “Jika Muhammad berada dalam keraguan mengenai apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyakanlah orang-orang yang membaca kitab sebelum kamu.”96 Perkataan ragu-ragu zahirnya ditujukan kepada Muhammad tetapi pada hakikatnya ia ditujukan kepada umatnya. Ini bermaksud ‘kalau kamu ragu-ragu, bertanyalah.’ Dalilnya terbukti pada akhir surah itu disebutkan dengan maksud, “Katakanlah: Hai manusia, jika kamu masih dalam keraguan mengenai agamamu, maka ketahuilah aku tidak menyembah selain Tuhan.”97
Demikian juga dengan maksud ayat ini, “Wahai nabi, apabila kamu menjatuhkan talak atau tallaq-tum ke atas isteri kamu.” Perkataan tallaq-tum disebutkan dalam bentuk jamak, sedangkan ia ditujukan kepada Muhammad seorang sahaja. Pendapat itu dipegang oleh Ibn Abbas dan kebanyakan ulama lain.98 Qadi ‘Iyad juga mengemukakan beberapa buah hadis yang menunjukkan secara keseluruhannya, para nabi tidak pernah ragu-ragu, kerana ayat-ayat Quran yang disebutkan ditujukan kepada orang-orang Arab.99 Ini menunjukkan Tuhan menyalahkan Muhammad secara langsung bagi menekankan kepentingan sesuatu perkara, sedangkan sebenarnya ia tidak melibatkan diri beliau sama sekali.
Seterusnya dalam maksud ayat, “ Tidak patut bagi seorang nabi mempunyai tawanan sebelum dia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi, kamu menghendaki harta benda dunia, sedangkan Tuhan menghendaki Akhirat.”100 Menurut kebanyakan ulama tafsir, ayat ini diturunkan semasa perang Badar dan mengandungi celaan terhadap para sahabat yang mengisyaratkan pengambilan fidyah atau ghanimah.101 Begitu juga maksud ayat ini, “Kalau Kami tidak memperkuatkan hatimu, nescaya kamu sedikit demi sedikit cenderung kepada mereka.”102
Dalam persoalan ini, al-Razi berpendapat:
Perkataan kada bererti hampir-hampir. Ia bermaksud Muhammad hampir-hampir terlibat dalam perkara itu, walaupun sebenarnya ia tidak berlaku.
Perkataan kada membuktikan kewujudan maksum yang menghalang kebinasaan. Tuhan bertujuan menjelaskan pemeliharaannya ke atas Muhammad. Oleh itu, diri Muhammad dibentengi daripadanya.103
Ancaman terhadap keingkaran bukanlah bermaksud perbuatan itu sudah dilakukan.104 Sebagaimana dikemukakan dalam maksud Quran, “Seandainya Muhammad mengada-adakan sebahagian perkataan atas nama Kami, nescaya Kami benar-benar pegangnya tangan kanannya, kemudian Kami potong urat jantungnya.”105
Perkara itu sebenarnya tidak pernah terjadi kepada Muhammad. Ibn Abbas mengatakan beliau maksum daripada dosa, tetapi ayat ini sebenarnya ditujukan kepada umatnya supaya mereka tidak cenderung kepada golongan musyrikin apabila menetapkan syariah Tuhan.106 Terdapat juga maksud ayat Quran yang menganjurkan Muhammad memohon ampun. Antaranya, “...dan mohon ampun untuk dosamu,”107 juga “...supaya Tuhan memberi keampunan kepadamu ter-hadap dosamu yang terdahulu dan yang akan datang.”108 Ayat itu tidak mengandungi dosa kerana Tuhan menggesa Muhammad supaya berdoa dan beristighfar bagi mempertingkatkan kedudukannya, di samping menjadi suatu ketetapan kepada generasi berikutnya.109 Dosa-dosa yang disandarkan kepada Muhammad berdasarkan hubungan beliau dengan umatnya kerana beliau adalah sebahagian daripada mereka.110 Justeru itu, walaupun Muhammad tidak berdosa tetapi tanggungjawab itu diletakkan ke atasnya semata-mata bagi membolehkan Tuhan mengampuni mereka bagi pihak beliau.
Muhammad sendiri tidak pernah mengingkari perintah dan larangan Tuhan kerana ketakwaan beliau kepada penciptanya. Beliau mengakui hakikat itu menerusi kata-katanya yang dapat diperhatikan dalam maksud ayat ini, “Sesungguhnya aku takutkan azab hari Kiamat, jika aku menderhaka kepada Tuhanku.”111 Surah al-Fath iaitu surah ke-48 hanya menyusul selepas surah al-An‘am iaitu surah ke-6 diturunkan oleh Tuhan.112 Lantaran itu, ia membuktikan pada zahirnya ayat berkenaan ditujukan kepada Muhammad sedangkan hakikat-nya ia ditujukan kepada umatnya. Oleh kerana itu, kemaksuman Muhammad tidak dapat dinafikan sama sekali.
Kesucian keturunan Muhammad
Persoalan kesucian keturunan adalah suatu topik yang turut mendapat perhatian umat Islam seluruhnya. Dalam konteks ini, nabi dan rasul wajib terpelihara daripada kecelaan keturunan daripada pihak lelaki, kecelaan keturunan pihak perempuan, malahan kelemahan dan kekurangan dalam kejadian dan penciptaannya kerana kenyataan-kenyataan itu memberi implikasi ketidaksempurnaan. Ini kerana seandainya mereka berada dalam keadaan demikian, sudah tentu mereka tidak akan diyakini dan dipercayai. Kenyataan ini dianggap berlawanan dengan akal yang rasional dan bertentangan dengan keterangan al-Quran.
Seterusnya, oleh kerana setiap manusia bergantung kepada para nabi dan rasul dan dikehendaki menerima mereka sepenuhnya, tentu mereka wajib mempunyai sifat-sifat yang terpuji seperti akal yang sempurna, tidak pernah lupa, mempunyai pendapat yang kuat, bersifat berani dan tahan sabar, pemurah, berpandangan luas, baik, bersemangat tinggi, lemah lembut, kasih sayang, tawaduk dan rendah diri.113 Nabi dan rasul juga perlu menghindari daripada sesuatu yang boleh menyebabkan kecelaan kepada Tuhan, sama ada sesuatu yang berhubung aspek luaran seperti bapa yang tidak bermaruah dan ibu yang tiada kehormatan diri.114 Selain itu, sesuatu yang berhubung aspek dalaman mereka sendiri sama ada dalam perilaku seperti makan di jalanan yang dianggap tidak wajar bagi nabi dan rasul, hubungan dengan orang yang mempunyai akhlak yang buruk dan seumpamanya.
Seterusnya sesuatu yang berhubung akhlak seperti jahil, dengki, kasar, keras, penakut, cinta dunia, inginkan keduniaan dan memberikan layanan kepada golongan yang mementing-kan kebendaan atau materialis serta melepaskan mereka daripada perintah-perintah Tuhan dan kesalahan-kesalahan lain dan juga dalam sifat semula jadi seperti berpenyakit sopak, gila, pekak, bisu dan seumpamanya. Ini kerana semua sifat itu adalah tidak sempurna yang menyebabkan manusia hilang keyakinan dan kepercayaan kepada mereka.115 Dalam persoalan kesucian keturunan nabi dan rasul khususnya Muhammad, Tuhan mengemukakan keterangannya yang bermaksud, “Dia melihat perubahan gerak badanmu di kalangan orang-orang yang sujud.”116
Perubahan gerak badan Muhammad dihuraikan dengan maksud beliau yang berasal daripada keturunan Adam, berpindah daripada sulbi seorang nabi kepada sulbi seorang nabi yang lain sehingga akhirnya beliau menjadi nabi.117 Ketika Tuhan menjadikan Adam, Tuhan menurunkan Muhammad ke dalam sulbinya, kemudian diletakkan ke dalam sulbi Nuh di dalam kapal, dicampakkan ke dalam api di dalam sulbi Ibrahim dan seterusnya beliau sentiasa berpindah di dalam sulbi-sulbi yang mulia ke dalam rahim-rahim yang suci sehinggalah beliau dilahirkan tanpa sedikit pun terlibat dengan ciri-ciri kelahiran jahiliah.118 Ianya menerusi pernikahan yang baik119 antara kedua-dua ibu bapanya tanpa terdapat sebarang unsur keburukan kepada mereka berdua.120
Dalam kebanyakan keterangan mengenainya menunjukkan Muhammad mempunyai keturunan yang suci dan terpelihara daripada amalan-amalan jahiliah.121 Beliau sentiasa berada di dalam sulbi yang bersih dan kemudian berpindah ke kandungan rahim yang suci sehinggalah ibunya melahirkannya. Berhubung dengan nenek moyang Muhammad sebelah ibu adalah seramai 500 orang, tetapi tiada seorang pun terlibat dengan amalan jahiliah.122 Keturunan sebelah bapa juga demikian, mereka tetap Muslim dan tidak pernah melakukan perbuatan syirik.123 Mereka juga terdiri daripada ketua, pemimpin, serta daripada keturunan yang mulia, suci serta menepati syarat-syarat kenabian.124
Sehubungan dengan itu, Ali bin Abi Talib menjelaskan kedudukan keturunan Muhammad dalam khutbahnya, “Tuhan menempatkan para nabi pada kedudukan yang terbaik dan menetapkan mereka pada kediaman yang terbaik juga. Tuhan menggerakkan mereka secara silih berganti daripada nenek moyang mereka yang mulia kepada kandungan rahim-rahim yang bersih dan suci. Apabila generasi terdahulu meninggal dunia, pengganti mereka akan bangkit menegakkan agama Tuhan. Keadaan itu akan berterusan sehingga zaman Muhammad. Tuhan mengutuskan Muhammad daripada susur galur keturunan yang terhormat dan tapak semaian yang termulia, pokok yang terus menerus membuahkan para nabi yang juga menjadi sumber pemilihan para pemegang amanah-nya. Keturunan Muhammad adalah sebaik-baik keturunan, begitu juga kaum kerabat beliau adalah sebaik-baik kaum kerabat. Manakala keturunannya pula adalah keturunan yang terbaik, tumbuh dan berkembang dengan penuh kemuliaan dan penghormatan.”125
Secara keseluruhan, kata-kata dan penjelasan Ali bin Abi Talib sebagai sepupu, sahabat serta tokoh yang paling dekat dengan Muhammad memperlihatkannya sebagai manusia pilihan Tuhan yang terbaik daripada semua aspek, sama ada puak126, kabilah, rumah127 dan lain-lain.
Para nabi dan rasul adalah orang perantaraan antara Tuhan dengan manusia. Bagi mencapai matlamat itu, mereka sewajarnya memiliki sifat-sifat yang dapat menjelaskan kedudukan mereka sebagai model ikutan terbaik daripada Tuhan. Secara ringkas, ciri-ciri itu adalah kecerdasan akal, amanah dalam penyampaian, kemuliaan fitrah dan akhlak, terpelihara daripada sebarang kecacatan dan kekurangan mental dan fizikal, serta aspek-aspek lain sesuai sebagai makhluk Tuhan yang terbaik.
Ciri pertama, nabi dan rasul terdiri daripada manusia. Ini berdasarkan kata-kata Tuhan yang bermaksud, “Katakanlah: Sesungguhnya aku ini hanyalah manusia seperti kamu....”1 Ibn Abbas mengatakan Tuhan menggesa nabi supaya mengakui dirinya berasal daripada keturunan Adam sama seperti manusia lain, kecuali dalam aspek-aspek wahyu yang melibatkan keagamaan dan kenabian. Justeru, Tuhan memilih beberapa orang bagi menerima dan menyampaikan wahyu kepada manusia seperti dijelaskan dalam ayat ini, “Rasul-rasul mereka berkata kepada kaumnya: Kami hanyalah manusia seperti kamu, tetapi Tuhan memberikan kurnia kepada sesiapa yang dia kehendaki antara hamba-hambanya. Tidak patut bagi kami mendatangkan suatu bukti kepada kamu melainkan dengan izin Tuhan.…”2
Kenyataan itu bertepatan dengan keterangan Tuhan, “…Aku memilihmu untuk diriku.”3 Ayat ini menunjukkan mereka diberi persediaan bagi menjalankan tugas kenabian dan kerasulan. Tuhan menetapkan setiap nabi dan rasul seperti yang dilakukannya kepada Muhammad. Sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat ini, “Bukankah dia mendapati kamu sebagai seorang yang kekurangan lalu dia melindungimu, dia mendapati kamu sebagai seorang yang kebingungan lalu dia memberi petunjuknya, dan dia mendapati kamu sebagai seorang yang kekurangan lalu dia melengkapkanmu.”4
Halangan terbesar membentengi dan menghalangi manusia daripada beriman kepada Tuhan, disebabkan sifat kemanusiaan seseorang utusan Tuhan itu. Tuhan berkata, “…Tidak ada sesuatu yang menghalang manusia beriman tatkala datang petunjuk kepadanya, kecuali perkataan mereka: Adakah Tuhan mengutuskan seorang manusia menjadi rasul?”5
Golongan yang menentang para nabi hanya menggunakan alasan ini bagi mengingkari mereka. Mereka berkata seperti yang diterangkan dalam Quran, “…Sesungguhnya jika kamu semua mentaati manusia yang seperti kamu, nescaya apabila demikian, kamu benar-benar menjadi orang-orang yang rugi.”6 Alasan ini juga mereka kemukakan kepada Muhammad. Mereka mengatakan lagi, “Bagaimana kita mengikut sahaja seorang manusia biasa antara kita? Sesungguhnya kalau kita begitu, kita benar-benar berada dalam keadaan sesat dan gila?”7
Mereka menuntut supaya diutus seorang malaikat sebagai nabi sebagaimana disebutkan dalam surah Furqan ayat 21. Atau sekurang-kurangnya seorang malaikat bersama-sama dengan nabi itu seperti dinyatakan dalam surah Furqan ayat 7. Namun begitu, malaikat sukar dilihat oleh manusia. Justeru, Tuhan tidak mengutuskan mereka. Tambahan pula, golongan penentang itu sendiri tidak memahami hakikat sebenar seseorang malaikat. Mereka hanya dapat melihat malaikat pada waktu hampir dengan azab kematian. Kata Tuhan, “Pada hari mereka melihat malaikat, pada hari itu tidak ada lagi berita gembira bagi orang-orang yang berdosa.”8
Tuhan menunjukkan rahmat ke atas manusia dengan mengutuskan nabi daripada kalangan manusia supaya mereka dapat memahami, berhubung dan berbincang mengenai perkara yang datangnya daripada Tuhan. Di samping itu, Tuhan mengemukakan jawapan pada persoalan itu, “Tidak ada sesuatu yang dapat menghalangi manusia supaya beriman tatkala datangnya petunjuk kecuali perkataan mereka: Adakah Tuhan mengutuskan seorang manusia menjadi rasul? Katakanlah: Seandainya ada malaikat-malaikat yang berjalan-jalan sebagai penghuni di bumi ini, nescaya kami turunkan dari langit kepada mereka seorang malaikat sebagai rasul.”9
Oleh kerana penduduk bumi terdiri daripada manusia, Tuhan melantik seorang manusia juga sebagai rasul. Tuhan berkata maksudnya, “Sesungguhnya Tuhan memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Tuhan mengutuskan antara mereka seorang rasul daripada golongan mereka sendiri.”10
Seorang rasul yang bukan daripada golongan manusia dan bertutur dengan bahasa asing tidak diutus kepada manusia kerana segala pengetahuan yang disampaikan tidak dapat difahami.11 Sekiranya manusia dapat melihat malaikat dengan mudah, Tuhan pasti mengutuskan mereka, tetapi disebabkan perkara ini di luar kemampuan manusia, Tuhan mengutuskan seorang manusia sebagai utusannya. Tambahan lagi, hanya malaikat dan orang-orang yang memiliki keistimewaan sahaja dapat berbuat demikian.12
Sekiranya Tuhan menghendaki malaikat turun dari langit sebagai saksi kebenaran nabi, malaikat dijadikan daripada seorang lelaki daripada keturunan Adam. Ini boleh menyebabkan manusia hilang keyakinan kerana mereka tidak dapat lagi membezakan antara malaikat dan manusia. Mereka akan menolak hakikat itu, keadaan ini akan menambahkan keraguan yang sedia ada dalam diri mereka, sehingga akhirnya mendorong mereka mengetepikan segala kebenaran dan kenabian para utusan Tuhan.13 Quran menjelaskannya dalam ayat, “…dan kalau kami jadikan rasul itu daripada seorang malaikat, pasti kami jadikan mereka seorang lelaki dan pasti kami meragu-ragukan mereka di atas apa yang mereka ragu-ragukan ke atas diri mereka sendiri.”14
Ciri kedua, nabi dan rasul terdiri daripada lelaki. Quran menjelaskannya dalam ayat, “Kami tidak mengutuskan rasul-rasul sebelum Muhammad melainkan beberapa orang lelaki yang kami berikan wahyu kepada mereka.”15 Ini membuktikan semua nabi dan rasul terdiri daripada lelaki, tidak ada seorang pun wanita. Ayat ini juga secara langsung menafikan kaum wanita diberikan peranan kenabian dan kerasulan. Tetapi terdapat beberapa ayat Quran yang menunjukkan wahyu juga dikurniakan kepada wanita. Antara mereka ialah ibu Musa seperti dicatatkan dalam surah al-Qasas ayat 7 dan Maryam seperti yang terdapat dalam surah Maryam ayat 24.
Para ulama tafsir berpendapat, perkataan wahyu dalam Quran yang dihubungkan kepada beberapa orang wanita dinamakan ilham. Ia bukanlah bererti wahyu kenabian. Walau bagaimanapun, al-Asy‘ari, al-Qurtubi16 dan Ibn Hazm al-Andalusi17, berpendapat Tuhan juga mengurniakan kenabian kepada wanita. Mereka bersependapat ketika membahaskan kenabian Maryam. Manakala sebahagian ulama lain pula menetapkan kenabian kepada Hawa, Sarah, ibu Musa, Hajar dan Asiah.18 Namun begitu, mereka tidak menentang ayat-ayat Quran yang menunjukkan semua rasul adalah lelaki. Ini berbeza dengan kenabian kerana mereka berpendapat, Quran tidak menyentuh persoalan ini secara terperinci. Mereka mengatakan wanita boleh menjadi nabi kerana kenabian juga diberikan kepada orang-orang tertentu supaya diamalkan tanpa perlu menyampaikannya kepada orang lain.
Hujah mereka berdasarkan dua dalil Quran iaitu yang pertama, “…Lalu kami mengutus roh kami kepadanya, maka ia menjelma di hadapannya dalam bentuk manusia yang sebenarnya.”19 Kedua, “Wahai Maryam, sesungguhnya Tuhan memilih kamu, mensucikan kamu dan melebihkan kamu daripada semua wanita di dunia yang sezaman denganmu.”20 Al-Asy’ari berpendapat kedudukan seseorang nabi adalah daripada sudut pertemuan dengan malaikat dan cara pe-nerimaan wahyu. Justeru, mereka yang terlibat dalam peristiwa itu dianggap nabi.21
Ulama juga mengemukakan bukti mengapa Tuhan memilih Maryam yang mengatasi seluruh alam, iaitu “Tuhan melebihkan Maryam daripada semua wanita di dunia,”dan juga daripada hadis Muhammad yang bermaksud, “Ramai di kalangan kaum lelaki mencapai tahap kesempurnaan, tetapi tidak demikian kepada kaum wanita kecuali Asiah isteri Firaun dan Maryam anak Imran.”22 Ini membuktikan pemilihan Tuhan adalah kerana kesempurnaan mereka. Ia dapat dijadikan hujah bagi membolehkan wanita-wanita ini dianggap sebagai nabi. Umumnya, kebanyakan ulama menolak kenabian ataupun kerasulan wanita. Al-Nawawi mengambil keterangan daripada al-Juwayni yang mengatakan, berdasarkan ijmak Maryam bukanlah seorang nabi.23 Al-Hasan al-Basri mengatakan, tidak ada seorang wanita ataupun jin yang diutuskan sebagai nabi. Demikian juga pendapat kebanyakan ulama fikah.24
Ciri ketiga adalah keperluan memenuhi fitrah jasmani. Keperluan kepada makanan dan minuman adalah salah satu asas hidup. Sebagai manusia, mereka juga tidak dapat mengelakkan diri daripadanya. Tuhan berkata, “Kami tidak menjadikan tubuh-tubuh yang tidak memakan makanan dan tidak pula mereka itu orang-orang yang kekal.”25 Nabi dan rasul juga tidak dapat menghindarkan diri daripada kehidupan berkeluarga dan beranak-pinak. Malahan terdapat beberapa orang nabi mempunyai isteri dan anak yang lebih ramai daripada Muhammad. Ibn Abbas menjelaskan Muhammad tidak dapat mengingkari kehidupan beristeri dan mempunyai anak.26 Ini sesuai dengan kata-kata Tuhan, “….dan sesungguhnya kami mengutuskan beberapa orang rasul sebelum kamu dan kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan.”27
Proses kehidupan sebagai manusia juga dialami oleh para nabi. Ini terbukti daripada penjelasan Ibrahim dalam Quran, “…. Dan Tuhanku, dia yang memberi makan dan minum kepadaku, apabila aku sakit, dialah yang menyembuhkan aku, yang mematikan aku kemudian menghidupkan aku kembali.”28 Setiap nabi dan rasul bekerja bagi menyara kehidupan seharian mereka. Contohnya, Musa menggembala kambing Syuaib. Ibn Hajar mengatakan hikmah para nabi bekerja menggembala kambing adalah supaya mereka sentiasa tunduk, membiasakan hati mereka supaya bersendiri dan mempertajamkan siasah antara umat mereka.29 Begitu juga, Daud bekerja sebagai tukang besi. Tuhan berkata, “…. Dan kami mengajarkan Daud membuat baju besi untuk digunakan bagi memelihara diri kamu dalam peperangan.”30
Ciri keempat, nabi dan rasul tidak mempunyai sifat-sifat ketuhanan. Para nabi dan rasul sentiasa berusaha membersihkan diri daripada sifat-sifat itu. Isa dikatakan mempunyai sifat-sifat Tuhan. Ini dijelaskan dalam ayat, “Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang berkata: Sesungguhnya Tuhan ialah al-Masih, putera Maryam, padahal al-Masih sendiri berkata, “Hai bani Israel, sembahlah Tuhanku dan Tuhanmu.”31 Sebahagian lain pula mengatakan, Tuhan adalah salah seorang daripada tiga iaitu Tuhan, Isa dan Maryam. Tuhan berkata dalam ayat, “Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan, Tuhan adalah salah seorang daripada tiga.”32
Walau bagaimanapun, Isa dibersihkan daripada tuduhan itu. Tuhan berkata, “Ingatlah ketika Tuhan berkata: Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia, “Jadikanlah aku dan ibuku dua orang tuhan selain Allah.” Isa menjawab, “Maha suci engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku mengatakannya. Jika aku pernah mengatakannya, maka tentulah engkau mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak tahu apa yang ada pada diri engkau.”33
Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai ciri-ciri perbezaan, persamaan, dan keistimewaan. Begitu juga para nabi mempunyai ciri-ciri yang ditentukan oleh Tuhan. Kata Tuhan, “Tuhan maha mengetahui di mana dia menempatkan tugas kerasulan.”34 Tuhan memberikan amaran dan peringatan kepada orang-orang mukmin supaya mereka tidak menyakiti Muhammad sebagaimana yang dilakukan oleh bani Israel kepada nabi-nabi mereka. Al-Bukhari menceritakan hadis mengenai keadaan bani Israel yang menyakiti Musa semata-mata kerana curiga kepadanya. Mereka mendakwa Musa menghidap beberapa jenis penyakit yang berat, ekoran daripada kehidupannya yang terasing.35
Justeru, Tuhan menurunkan ayat bertujuan membersihkan Musa daripada tuduhan itu, serta sebagai peringatan supaya perbuatan yang sama tidak dilakukan kepada Muhammad. Tuhan berkata, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa, maka Tuhan bersihkan daripada tuduhan yang mereka katakan, dan dia adalah seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Tuhan.”36 Ibn Hajar dalam ulasan mengenai hadis itu mengatakan, daripada segi fitrah kejadian dan akhlak, para nabi berada pada tahap yang sempurna. Apabila ada orang yang cuba merendah-rendahkan kedudukan mereka, sesungguhnya dia menyakiti para nabi. Perkara itu boleh membawa kepada keingkaran dan kekufuran.37
*****
Sifat-Sifat Wajib Nabi dan Rasul
Pada hakikatnya, para nabi dan rasul adalah manusia yang mencapai tahap ketinggian dan kemuliaan. Mereka layak menerima pujian daripada Tuhan berdasarkan sifat-sifat mereka yang terbaik daripada kalangan hamba-hamba Tuhan. Antara sifat-sifat wajib bagi mereka adalah benar. Tuhan berkata mengenai Ibrahim dan Idris dalam ayat, “Ceritakanlah Muhammad kisah Ibrahim dalam kitab ini. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan lagi seorang nabi.”38 Dalam ayat yang lain, “…dan ceritakanlah wahai Muhammad kepada mereka kisah Idris yang disebut dalam Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan lagi seorang nabi.”39 Begitu juga Tuhan menceritakan kepada Muhammad mengenai Ismail dalam ayat yang bermaksud, “Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang rasul dan nabi.”40 Kedudukan mereka sebagai seorang yang benar tidak dapat dipertikaikan lagi kerana Quran menjelaskannya sebanyak tiga belas kali.41
Sifat kedua ialah amanah atau seperti kisah anak Syuaib mengenai Musa dalam surah al-Qasas, “Wahai bapaku, ambillah dia supaya bekerja dengan kita, kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil bekerja dengan kita adalah orang yang kuat dan boleh dipercayai.”42 Begitu juga dengan sifat amanah Yusuf sehingga beliau dilantik sebagai penasihat. Quran menceritakan, “Raja berkata: Sesungguhnya mulai hari ini kamu menjadi seorang yang berkedudukan tinggi dan dipercayai di sisi kami.”43 Hud ada menjelaskan kepada kaum ‘Ad, “Aku menyampaikan amanah-amanah Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasihat yang kamu boleh percayai.”44 Di samping itu, enam kali rangkai kata rasul yang dipercayai ditemui dalam Quran, dalam surah al-Syu'ara' ayat 107, 125, 143, 162, 178, dan surah al-Dukhan ayat 18. Ini menunjukkan sifat amanah tidak dapat dipisahkan sama sekali daripada diri para nabi dan rasul Tuhan.
Sifat ketiga iaitu menyampaikan adalah berdasarkan perintah Tuhan kepada Muhammad. Tuhan berkata dalam ayat, “Wahai Muhammad, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu, dan jika kamu tidak kerjakan apa yang diperintahkan, bererti kamu tidak menyampaikan amanahnya. Tuhan memelihara kamu daripada gangguan manusia.”45 Apabila ditinjau daripada sudut Quran, tugas menyampaikan lebih ditekankan kepada rasul berbanding nabi. Perkataan menyampaikan yang dituruti dengan perkataan risalat boleh didapati sebanyak tiga kali, manakala bentuk al-balagh al-mubin pula disebut sebanyak tujuh kali. Semua ayat itu berhubung rapat dengan tugas-tugas rasul.
Sifat keempat, bijaksana ketika menghadapi hujah-hujah pihak lawan dan ketika menyeru manusia kepada agama Tuhan, Ibrahim membuktikan kelebihan ini kepada Namrud. Quran menceritakan perdebatan yang berlaku antara kedua-duanya, “Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang berdebat dengan Ibrahim mengenai Tuhannya kerana Tuhan memberikan orang itu pemerintahan. Ketika Ibrahim mengatakan: Tuhanku adalah yang menghidupkan dan mematikan. Namrud berkata: Aku dapat menghidupkan dan mematikan. Ibrahim berkata: Sesungguhnya Tuhan menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat, lalu terdiamlah orang kafir itu.”46 Kemudian dijelaskan lagi, “Itulah hujah kami berikan kepada Ibrahim bagi menghadapi kaumnya.”47
Begitu juga apa yang berlaku kepada Musa ketika ditentang oleh Firaun. Tuhan menceritakan dalam Quran dengan maksudnya, “Firaun bertanya: Siapa Tuhan semesta alam ini? Musa menjawab: Tuhan pencipta langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara kedua-duanya, jika kamu semua mahu mempercayainya. Firaun berkata kepada orang-orang di sekelilingnya: Apakah kamu tidak mendengarkan? Musa lalu berkata: Tuhan kamu dan Tuhan nenek moyang kamu yang dahulu. Firaun berkata: Sesungguhnya rasulmu yang diutuskan kepada kamu semua benar-benar orang gila. Musa berkata: Tuhan yang menguasai timur dan barat dan apa yang ada di antara keduanya, itulah Tuhanmu jika kamu menggunakan akal. Firaun berkata: Sesungguhnya jika kamu menyembah Tuhan selain aku, pasti aku menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan.” 48
Justeru, para nabi dan rasul wajib bersifat bijaksana kerana kelemahan berfikir boleh menyebabkan mereka tidak berupaya menegakkan hujah dan bantahan kepada pihak lawan.49 Di samping beberapa sifat itu, para nabi dan rasul dipelihara daripada segala perbuatan yang dapat merendahkan kedudukan mereka di sisi Tuhan secara khusus dan di sisi masyarakatnya. Mereka dibersihkan zahir mahupun batin daripada segala dosa dan maksiat, secara sengaja atau tidak sengaja, juga daripada dosa kecil dan besar.50 Hakikat keistimewaan para utusan Tuhan tidak dapat dinafikan. Mereka sebagai manusia yang terpilih menerusi ketentuan Tuhan, sudah pasti tidak dapat diatasi ataupun disamakan dengan semua manusia yang lain.
Senyuman membantu meredakan tekanan dihati kita dan orang lain.
Menurut imam Tarmizi, Abdullah ibn harith meriwayatkan, "Tidak ada manusia yang lebih banyak tersenyum melainkan Rasulullah s.a.w"
Daripada Syarhus Sunnah, sahabat Abdullah ibn Omar r.a. pernah disoal, "Adakah sahabat-sahabat Nabi r.a. tertawa?" Beliau menjawab, "Ya, walaupun iman dihati mereka lebih besar daripada gunung".
Bilal bin Saad pula meriwayatkan "Aku pernah melihat sahabat-sahabat Nabi r.a. berlari-lari di kawasan memanah sambil tertawa sesama mereka. Apabila tiba waktu malam, mereka menjadi seperti rahib".
Pada ketika tertentu, nabi Muhammad s.a.w berjenaka dengan sahabat-sahabat baginda tanpa melampaui batas. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi, Rasulullah pernah berkata "Aku berjenaka dengan kamu tetapi aku tidak mengatakan melainkan yang benar"
Para sarjana barat, Dr Lee Berk dan Dr Stanley Tam dari Univeriti Loma Linda di Carlifonia dan pengkaji-pengkaji dari Universiti Stamford, Sekolah Perubatan Harvard, Universiti Ohio State dan Universiti Duke mendapati jenaka dan tertawa mampu meredakan kemarahan dan kerisauan. Ia juga mampu mengurangkan kesunggulan atau depression, justeru bagi mereka yang sedang mengambil rawatan kesunggulan atau depression, dos rawatan boleh dikurangkan.
Jenaka dan tertawa meningkatkan kadar sel-sel T di dalam badan. Sel-sel T berfungsi meningkatkan daya ketahanan sekali gus mengawal pembiakan kuman di dalam badan.
Ditulis oleh : Harun Yahya
Diterjemahkan oleh : Ashadi Zain
Katakanlah : Puji-pujian bagi Allah, nanti Dia akan memperlihatkan kepadamu ayat-ayatNya (tanda-tanda kekuasaanNya), lalu kamu mengetahuinya. Tuhanmu tidak lalai tentang apa-apa yang kamu kerjakan. (Surah an-Naml: 93)
Cara masyarakat masa kini menilai Qur’an adalah berbeza dengan tujuan sebenar ianya diwahyukan. Secara umumnya, hanya segelintir daripada penganut Islam yang mengetahui kandungan Qur’an.
Sebahagian umat Islam sekadar menjadikan Qur’an sebagai hiasan dinding yang diletakkan di dalam kerangka berhias. Jika dibaca pun, Qur’an hanya dibaca oleh orang-orang tua dan itupun tidak selalu. Mereka sekadar percaya bahawa dengan membaca Qur’an, mereka akan terlindung daripada kesusahan dan bala. Bagi mereka, Qur’an adalah umpama tangkal untuk melindungi mereka daripada malapetaka.
Walaubagaimanapun, tujuan Qur’an diwahyukan adalah lebih daripada itu. Contohnya, dalam ayat 52, Surah Ibrahim, Allah berfirman : “(Qur’an) ini suatu yang disampaikan kepada manusia, supaya mereka mendapat peringatan dengan dia dan supaya mereka mengetahui, bahawa Allah Tuhan yang Esa dan supaya mendapat peringatan orang-orang yang berakal”. Dalam banyak ayat-ayat lain, Allah terus menekankan bahawa tujuan utama Qur’an diwahyukan adalah untuk mengajak manusia berfikir.
Dalam Qur’an, Allah mengajak manusia untuk menolak amalan mempercayai segala nilai dan kepercayaan yang wujud dalam masyarakat mereka secara taklid buta. Allah juga mengajak manusia untuk berfikir dengan cara membebaskan minda mereka daripada segala prejudis, taboo dan kongkongan.
Manusia harus berfikir tentang asal usul kewujudannya, tujuan dan matlamat kehidupan, mengapa dia akan mati dan apa yang menanti selepas kematiannya. Dia harus berusaha menjawab persoalan tentang asal usul kewujudan alam semesta dan dirinya sendiri serta bagaimanakah kedua-duanya akan terus wujud. Semua ini harus dilakukan dalam keadaan dirinya yang bebas daripada segala kongkongan dan prejudis.
Orang yang berfikir dan pada masa yang sama membebaskan hati nuraninya daripada tanggungjawab sosial, ideologi dan psikologi akhirnya akan sedar bahawa seluruh alam semesta, termasuk dirinya, dicipta oleh suatu yang lebih berkuasa daripadanya.
Seterusnya, jika dia memerhatikan tubuh badannya atau sebarang benda hidup, dia akan dapat melihat bahawa segalanya mencerminkan keharmonian, kebijaksanaan dan perancangan penciptaNya yang sememangnya mengagumkan.
Dalam hal ini juga, Qur’an memberikan panduan kepada manusia. Dalam Qur’an, Allah memberikan panduan kepada kita tentang perkara-perkara yang perlu kita siasat dan renungkan. Dengan menggunakan cara bertakafur yang terdapat dalam Qur’an, mereka yang beriman kepada Allah akan dapat memahami dengan lebih mendalam tentang kesempurnaan, kebijaksanaan yang kekal, ilmu dan kuasa Allah yang terserlah dalam segala ciptaanNya.
Apabila mereka yang beriman mula berfikir dengan menggunakan cara yang ditunjukkan dalam Qur’an, dia akan menyedari bahawa seluruh alam semesta ini merupakan tanda kekuasaan Allah dan ia merupakan suatu seni, yakni ‘alam ini merupakan hasil seni, bukan tukang seni itu sendiri’. Setiap hasil seni pastinya menonjolkan kemahiran luar biasa tukang seninya dan menyampaikan pesanannya.
Dalam Qur’an, manusia diarahkan untuk berfikir tentang objek dan kejadian yang banyak berlaku di persekitaran mereka yang secara jelas menjadi bukti tentang kewujudan dan keunikan Allah dan sifat-sifatNya. Dalam Qur’an, semua hidupan tersebut yang menjadi saksi, diberi nama ‘tanda’, bermaksud ‘bukti yang telah teruji, ilmu yang hakiki dan pengungkapan kebenaran. Maka, tanda-tanda kewujudan Allah ada pada setiap hidupan yang memperlihatkan hakikat dan sifat-sifatNya. Mereka yang mampu memerhatikan dan mengingat akan sedar bahawa sebenarnya, seluruh alam semesta ini merupakan tanda kewujudan Allah.
Kebolehan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah sememangnya merupakan tanggungjawab setiap insan. Jadi, insan yang demikian akan mula mengenal penciptaNya ( yang juga mencipta keseluruhan jagat raya ini ), mendekatiNya, menginsafi erti kewujudan dan kehidupannya; dan akhir sekali mengecapi kemakmuran.
Gerak nafas, pembangunan politik dan sosial, keharmonian kosmik di alam semesta, termasuklah atom yang merupakan antara unsur jisim terkecil; semuanya merupakan tanda kebesaran Allah dan berada di bawah kawalan dan kuasaNya serta menurut undang-undangNya. Usaha adalah diperlukan untuk mengenal dan mengetahui tanda-tanda kebesaranNya. Pada masa yang sama, semua orang akan mengenal dan mengetahui tanda-tanda kebesaran Allah menurut gerak hati dan kebijaksanaannya sendiri.
Walau bagaimanapun, sedikit garispanduan mungkin boleh membantu. Sebagai langkah pertama, seseorang itu boleh menyiasat keterangan-keterangan tertentu dalam Qur’an agar dirinya beroleh kerangka minda yang menanggapi alam semesta ini sebagai natijah penciptaan Allah.
Tanda-tanda kebesaran Allah ditekankan dalam Surah an-Nahl:
Dia yang menurunkan air dari langit, di antaranya untuk minuman kamu dan di antaranya untuk tumbuh-tumbuhan; di sana kamu mengembalakan ternakmu. Dia tumbuhkan untukmu dengan air itu tanam-tanaman zaitun, pohon korma, anggur dan bermacam-macam buah-buahan. Sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda bagi kaum yang memikirkannya. Dia tundukkan untukmu malam dan siang, matahari dan bulan. Semua bintang-bintang tunduk di bawah perintahNya. Sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda-tanda bagi kaum yang berakal, Dan apa-apa yang dijadikanNya untukmu di atas bumi, yang bermacam-macam warnanya. Sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda bagi kaum yang mengambil peringatan. Dia yang menguasai laut, supaya kamu makan daging (ikan) yang lembut dan supaya kamu keluarkan dari dalamnya perhiasan yang kamu pakai dan engkau lihat kapal berlayar di laut dan supaya kamu mencari kurnia Allah (rezeki), mudah-mudahan kamu berterima kasih kepadaNya. Dia mengadakan gunung-gunung di atas bumi,
supaya jangan ia bergerak-gerak bersama kamu dan (menjadikan) sungai-sungai dan jalan-jalan, mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk, Dan lagi beberapa tanda; dan dengan bintang, mereka mendapat petunjuk. Adakah (Allah), yang menjadikan (segala makhluk) serupa dengan (berhala) yang tiada menjadikan ? Apa tiadakah kamu mendapat peringatan ? ( Surah an-Nahl : 10-17 )
Dalam Qur’an, Allah mengajak mereka yang berilmu untuk memikirkan tentang isu-isu yang tidak difikirkan oleh orang lain ataupun mereka melabelkan isu-isu berkenaan sebagai ‘evolusi’, ‘kebetulan’ atau ‘keajaiban alam’.
Sesungguhnya tentang kejadian langit dan bumi dan pertikaian malam dan siang menjadi tanda (atas kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Yaitu) orang-orang yang mengingat Allah ketika berdiri, duduk dan waktu berbaring; dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi, (sambil berkata) : Ya Tuhan kami, bukanlah Engkau jadikan ini dengan percuma (sia-sia), Mahasuci Engkau, maka peliharalah kami dari siksaan neraka. (Surah Ali-'Imran: 190-191)
Berdasarkan ayat-ayat di atas, jelaslah bahawa mereka yang berilmu dapat melihat tanda-tanda kebesaranNya dan dengan mengingat dan berfikir, mereka cuba untuk memahami seni, keabadian ilmu dan kuasaNya. Sedarlah bahawa ilmu Allah tidak bertepi; segala ciptaanNya tiada cacat cela.
Sesungguhnya, bagi orang yang berilmu, segala yang berada di sekelilingnya merupakan ciptaan dan tanda kebesaranNya.
Takwa mempunyai ciri-cirinya. Antara ciri-ciri itu ialah seperti yang difirmankan Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 3-5 yang bermaksud, "Mereka beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat serta menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka beriman kepada kitab (Al-Quran) yang diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya kehidupan di akhirat. Merekalah orang yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beruntung."
Apabila di amati ayat-ayat ini, kita akan mendapati bahawa ciri takwa yang terpenting ialah "beriman kepada perkara yang ghaib." Sahabat Abdullah bin Masud berkata, "Tidak beriman seseorang dengan sesuatu yang lebih afdal dari beriman kepada perkara yang ghaib."Imam Abul Aliyah mentafsirkannya sebagai "beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab Allah, Rasul-rasulNya, hari akhirat, syurga, neraka, kebangkitan selepas mati, serta pertemuan dengan Allah." Imam Zaid bin Aslam mentafsirkannya sebagai "beriman kepada qadar." Hal ini disebutkan dalam Tafsir Al-Quran Al-Azim oleh Ibn Kathir.
Kepercayaan kepada alam ghaib bertunjangkan keimanan kepada Allah menjadikan umat Islam satu umat yang luar biasa kegagahan serta kehebatannya. Kepercayaan inilah yang membuat umat Islam mampu mengharungi penderitaan ketika dikenakan pemboikotan ekonomi selama tiga tahun di Mekah. Ia juga menjadikan mereka sanggup meninggalkan harta benda di Mekah untuk merentasi padang pasir berhijrah menuju ke Madinah. Ia menjadikan mereka berani menghadapi musuh walaupun jumlah musuh lebih ramai dari mereka. Sebagai contoh, di Badar tentera Islam berjumlah hanya 313 orang berbanding tentera Quraisy 1,000 orang. Di perang Khandak tentera Islam berjumlah 3,000 orang dan tentera Ahzab 10,000 orang. Di Yarmuk tentera Islam berjumlah 39,000 orang dan tentera Rom 240,000 orang. Di Qadisiyah pula jumlah tentera Islam ialah 41,000 orang dan tentera Parsi 200,000 orang. Berbekalkan keyakinan kepada Allah tentera-tentera Islam berjaya mengalahkan musuh-musuh mereka dalam kesemua peperangan ini. Kepercayaan ini juga berjaya melahirkan insan seperti Amir bin Abdul Qais yang begitu beramanah untuk mengembalikan sebuah kotak kepunyaan seorang yang bukan Islam selepas kejatuhan kota Madain ke tangan orang Islam. Ia menjadikan khalifah Omar ibn Khattab sering menyoal mereka yang datang menemuinya dari wilayah-wilayah Islam yang jauh mengenai keadaan golongan yang bukan Islam, kerana tidak mahu umat Islam menzalimi mereka. Ia menyebabkan seorang wanita, di zaman khalifah Omar, tidak mahu mencampurkan susu binatang yang dijualnya dengan air walaupun dengan cara demikian dia akan mendapat keuntungan yang lebih. Dia sekadar berkata, "Jika khalifah Omar tidak nampak perbuatanku, Allah melihat segala perbuatanku."
Kesemua ini menunjukkan tentang betapa besarnya pengaruh kepercayaan kepada Allah dan alam ghaib ke atas umat Islam. Ia melahirkan amal salih, ia juga melahirkan sikap yang betul. Kepercayaan ini mampu menghilangkan perasaan kecewa dan putus asa. Mengapa? Kerana di tengah-tengah ketidakadilan dan kekejaman dunia, umat Islam meyakini bahawa keadilan dan pertolongan Ilahi tetap ada. Lantas kes-kes pembunuhan diri jarang berlaku di kalangan umat Islam.
Kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, peratus kes membunuh diri meningkat dari tahun 1950-1995. Peratus kes bagi golongan lelaki meningkat sebanyak 49% dan bagi wanita 33%. Jika trend ini berterusan, pada tahun 2020 Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan 1.53 juta orang akan mati kerana membunuh diri dan kes-kes percubaan membunuh diri akan meningkat 10-20 kali ganda dari jumlah itu. Ini bermakna satu kes membunuh diri akan berlaku bagi setiap 20 saat dan 1 percubaan membunuh diri akan berlaku bagi setiap 1-2 saat. Peratus kes membunuh diri yang tertinggi berlaku di Eropah terutamanya Eropah Timur yang melibatkan negara-negara seperti Estonia, Latvia dan Lithuania. Seperkara yang mengejutkan ialah, peratus kes membunuh diri didapati amat rendah di negara-negara orang Islam. Sebagai contoh, di Kuwait kes yang terlibat menghampiri sifar (0.1 per 100,000 orang penduduk). Bagi negara-negara yang majoriti penduduknya beragama Hindu dan Kristian, kadarnya ialah 10 bagi setiap 100,000 orang penduduk (Hindu: 9.6; Kristian: 11.2). Bagi negara-negara yang penduduknya beragama Budda pula, seperti Jepun, kadarnya ialah 17.9 bagi setiap 100,000 orang dan bagi negara-negara ateis seperti China, kadarnya ialah 25.6 bagi 100,000 penduduk. Fakta-fakta ini dilaporkan oleh World Health Organisation, Figures and Facts About Suicide, Geneva, WHO, 1999.
Arak pernah diharamkan di zaman nabi dan pernah diharamkan di Amerika. Di zaman nabi, ramai dari kalangan sahabat nabi terkenal sebagai kaki arak di zaman jahiliah dan hal ini berterusan ketika mereka memeluk Islam. Walau bagaimanapun ketika ayat 90 dari surah Al-Maidah diturunkan, yang bermaksud, "Wahai mereka yang beriman sesungguhnya meminum arak, berjudi, berkorban untuk berhala serta mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan," para sahabat mematuhinya tanpa sebarang persoalan dan keluh kesah. Dalam Tafsir Al-Azhar, Hamka menukilkan beberapa riwayat dari Anas bin Malik berhubung perkara ini. Anas berkata, "Arak telah diharamkan sedangkan tidak ada bagi bangsa Arab ketika itu suatu yang lebih menyeronokkan selain daripada arak... Walau bagaimanapun (selepas ayat yang mengharamkan arak diturunkan) sebahagian kami membawa tong-tong arak ke jalan raya dan menuang arak yang terdapat di dalamnya di situ. Sebahagian yang lain memecahkan tong-tong arak, dan sebahagian yang lain pula mencucinya dengan tanah dan air".
Mengikut riwayat yang lain, Anas bin Malik berkata, "Waktu ayat tentang pengharaman arak diturunkan, aku sedang mengedarkan arak di rumah Abu Talhah. Tiba-tiba kami terdengar suara seorang lelaki di halaman rumah lalu kami pun keluar untuk melihatnya. Lelaki itu berkata, 'Wahai kawan-kawan, mulai hari ini arak diharamkan'. Maka berkatalah Abu Talhah, 'Keluar cepat dan tumpahkan arak'. Aku pun menumpahkan kesemua arak yang terdapat ketika itu.... Terdapat seorang kawanku yang telah meletakkan cawan arak di bibirnya untuk diminum. Apabila beliau terdengar ayat berhubung pengharaman arak dibacakan, beliau terus melepaskan cawan arak dari tangannya. Itulah kali terakhir beliau menyentuh arak". Demikianlah contoh kekuatan yang ada pada sahabat-sahabat nabi kesan dari sinaran takwa.
Bandingkan kisah ini dengan apa yang berlaku di Amerika. Pada tanggal 10 Oktober, 1919, Akta Volstead diluluskan dan dengan itu kesemua aktiviti yang berkaitan dengan minuman dan penjualan arak diharamkan di Amerika. Walau bagaimanapun selepas akta itu dikuatkuasakan, minuman dan penjualan arak menjadi semakin berleluasa. Rasuah yang melibatkan pegawai-pegawai penguat kuasa menjadi suatu perkara biasa. Belanjawan tahunan yang diperuntukkan untuk penguatkuasaan meningkat dari $4.4 juta kepada $13.4 juta dolar Amerika pada tahun 1920-an. Jumlah ini tidak termasuk belanjawan di peringkat negeri serta kerajaan tempatan. Tambahan dari itu, jumlah kematian yang berpunca dari minuman arak juga meningkat di seluruh negara. Pada tahun 1920 ia melibatkan 1,064 kes tetapi pada tahun 1925 ia meningkat kepada 4,154 kes. Kes-kes mabuk juga meningkat dan penangkapan yang dibuat berkaitan dengannya meningkat sebanyak 41 peratus dan yang berkaitan dengan pemandu-pemandu mabuk meningkat sebanyak 81 peratus. Statistik ini dilaporkan dalam Cato Policy Analysis Number 157 bertarikh Julai 17, 1991 oleh Institut Cato.
Akhirnya pada tanggal 20 Februari 1933, Kongres Amerika memutuskan untuk mengkaji semula Akta Volstead dan pada 22 Mac tahun yang sama, akta ini dipinda untuk mengizinkan penjualan arak semula. Dengan itu gagallah negara Amerika untuk mengharamkan arak dan gagallah rakyat Amerika untuk menjauhi bahaya arak. Apakah kesan kesemua ini kepada Amerika pada hari ini? Antara kesannya ialah, mengikut Monitoring the Future Study oleh Universiti Michigan pada tahun 1992, 88% pelajar di sekolah menengah di Amerika pernah terlibat dengan arak. Tambahan dari itu, paling kurang 3 juta orang remaja yang berumur antara 14-17 tahun merupakan peminum arak bermasalah (problem drinkers) di Amerika. Hal ini dilaporkan oleh Adolescents and the Media: Adolescent Medicine, October 1993. Minuman alkohol telah menyebabkan 100,000 kematian setiap tahun di Amerika seperti yang dilaporkan dalam Scientific American di bawah tajuk Deaths Due to Alcohol pada bulan Disember 1996. Kemalangan maut di bawah pengaruh alkohol menjadi punca utama kematian di kalangan remaja di Amerika pada hari ini. Fakta ini dimuatkan dalam brosur American Academy of Pediatrics pada tahun 1998. Lebih dari itu, kajian mendapati remaja yang minum arak menanggung risiko terlibat dengan penyalahgunaan dadah 7.5 kali ganda lebih tinggi berbanding remaja yang lain, dan risiko terlibat dengan kokain pula meningkat 50 kali ganda. Kenyataan ini dimuatkan dalam American Academy of Pediatrics di bawah tajuk Underage Drinking pada tahun 1998.
Lantas Akta Volstead yang dikuatkuasakan selama lebih kurang 14 tahun dari 10 Oktober 1919, hingga ke 22 Mac 1933 gagal membanteras arak di Amerika. Sebaliknya Islam dengan undang-undangnya berjaya membanteras arak di Madinah dalam jangka masa tidak sampai 10 tahun. Apakah punca kegagalan di Amerika dan kejayaan di Madinah? Kegagalan di Amerika berpunca dari penggubalan undang-undang tanpa roh sedangkan nabi menggubal undang-undang bermula dari roh. Maksudnya, penekanan nabi ialah pada penyemaian takwa di hati disusuli dengan penggubalan undang-undang dalam negeri. Justeru, dengan formula yang betul berasaskan takwa umat Islam berjaya mencipta sejarah yang gilang gemilang.
Berbekalkan takwa, umat Islam telah menjadi satu golongan yang luar biasa yang tidak ada tolok bandingannya. Pencapaian mereka di sudut individu dan masyarakat amat mengagumkan.
Akal adalah alat yang penting untuk mencapai kecemerlangan kerana melaluinya ilmu dapat dimanfaatkan. Bagi Imam Al-Ghazali, "Akal ialah kekuatan pemikiran semula jadi yang dikurniakan Allah kepada manusia agar dengannya manusia dapat mengenali hakikat sesuatu perkara... Akal ialah tempat lahir dan tertegaknya ilmu. Ilmu tumbuh dari akal sebagaimana terbitnnya buah-buahan dari pohon dan terpancarnya cahaya dari matahari. Akal amat mulia sehinggakan haiwan yang bertubuh besar lagi perkasa berasa bimbang dan takut ketika berdepan dengan manusia kerana menyedari manusia mempunyai helah dan upaya untuk melakukan sesuatu hasil dari kekuatan akal." Hal ini disebutkan dalam Ihya Ulumuddin.
Sahabat Omar Al-Khattab pernah bertanya kepada sahabat Tamim Ad-Dari, "Menurut pandanganmu, apakah benda yang paling mulia?" Tamim Ad-Dari menjawab, "Akal." Berkata Omar Al-Khattab, "Kamu benar. Aku pernah bertanya kepada Nabi soalan yang sama seperti yang aku ajukan kepadamu dan baginda menjawab, 'Aku pernah bertanya Jibrail berhubung perkara yang paling mulia dan Jibrail berkata akal'." Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnul Mahbar. Dalam riwayat yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Naim, nabi telah berpesan kepada Ali bin Abu Talib, "Apabila manusia mendekati Allah dengan pelbagai kebajikan maka kamu dekatilah Allah dengan akalmu."
Otak adalah satu organ istimewa yang dikurniakan Allah kepada manusia. Mengikut Making The Most Of Your Brain terbitan Reader's Digest, ketika seseorang bayi berumur 7 minggu di dalam rahim ibu, struktur utama otak sudah dapat dilihat dengan jelas. Ketika bayi berumur 3 bulan, saraf tunjang (spinal cord) pula mula berkembang. Di dalam rahim ibu, pertumbuhan sel-sel otak berlaku dengan pesatnya. Lebih kurang 2.5 juta sel otak yang baru (neurones) tumbuh pada setiap minit. Ketika dilahirkan jumlah sel-sel otak ini mencecah 100 bilion, dan setiap sel ini pula mempunyai 1000 tempat di mana ia dapat berhubung dengan sel-sel otak yang lain. Ketika baru dilahirkan sel-sel ini tidak banyak berhubungan antara satu sama lain. Namun apabila bayi mula berinteraksi dengan alam, terutama di zaman kanak-kanak, sel-sel ini akan berhubungan dengan pesatnya. Semakin meningkat usaha dan pengalaman seseorang semakin rancaklah hubungan yang berlaku antara sel-sel ini. Semua ini akan menentukan kematangan, kepintaran, sikap serta kebijaksanaan seseorang sekali gus mempengaruhi kehidupannya. Apabila kesemua ini berlaku, manusia ketika itu tidak hanya mempunyai otak tetapi, yang lebih penting ialah, mereka juga mempunyai akal. Ketika seseorang bayi berumur lebih kurang enam tahun, jumlah sel-sel yang berinteraksi antara satu sama lain menghampiri jumlah yang terdapat pada orang-orang dewasa. Justeru, dalam Islam, apabila kanak-kanak mencapai umur tujuh tahun mereka dilatih untuk melaksanakan kewajipan-kewajipan agama kerana mereka telah sampai ke tahap umur mumaiyiz, iaitu, tahu membezakan antara buruk dan baik. Mengikut Imam Abu Daud dan Al-Hakim, nabi bersabda, "Suruhlah anak-anakmu bersolat apabila mereka berumur tujuh tahun."
Apabila seseorang mencecah umur antara 20-75 tahun, lebih kurang 50,000 sel otak mati setiap hari. Justeru dia perlu aktifkan otaknya supaya ia tidak menjadi beku....
Permulaan alam semesta didalam Al Quran.
Dalam surah Al Anbiya ayat 21:30, Allah berfirman:
“Apakah orang-orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya adalah bercantum sebagai satu, kemudian Kami pisahkan keduanya…”
Di dalam Al Jamik li Ahkamil Quran Jilid 5 halaman 4323, Imam Qartubi telah meriwayatkan perkataan-perkataan Ibn Abbas, Al-Hasan, 'Atha, Ad-Dahhak dan Qatadah:
“Ia bermaksud bahawa kedua langit dan bumi pada asalnya adalah satu yang melekat lagi bercantum, kemudian Allah pisahkan di antara keduanya dan dijadikan di antara keduanya udara.”
Di dalam Al-Asas fit Tafsir Jilid 7 halaman 3454, Said Hawa telah mendatangkan riwayat dari Ibn Kathir tentang pandangan Said bin Jubair berhubung dengan ayat ini:
“Bahkan.. sebelum ini langit dan bumi melekat dan bercantum di antara satu dengan yang lainnya. Ketika Allah meninggikan langit maka menonjollah bumi. Demikianlah maksud Allah memisahkan di antara keduanya.”
Syeikh Tantawi Jauhari dalam kitabnya yang terkenal ‘Al-Jawahir’ yang ditulisnya pada sekitar tahun 1920-1930, telah menyebutkan:
“Apa yang telah dijelaskan oleh Al-Quran dahulu ialah bahawa langit alam yang ada di dalamnya, adalah semua bercantum lalu Allah pisahkan semuanya. Di sini kita tegaskan bahawa ini adalah mukjizat, kerana ilmu ini belum diketahui kecuali pada zaman sekarang..”
Berpandukan ayat ini, tafsiran yang muktabar menerima hakikat bahawa alam ini pada suatu ketika dahulu adalah bercantum sebelum dipisahkan mengikut yang dikehendaki oleh Allah.
Teori 'Big Bang'
Satu teori yang telah diterima umum tentang asal kejadian alam ialah teori Big Bang. Ia mengatakan bahawa alam ini pada asalnya adalah bercantum, kemudiannya berlakulah satu letupan yang kuat (cosmic explosion) 10 ke 20 billion tahun dahulu, yang dinamakan sebagai Big Bang. Bermula dari situ berlakulah pengembangan dan penyejukan (expanding and cooling) yang melahirkan bintang-bintang, galaksi dan yang seumpamanya (Sumber Rujukan: 'Big Bang (Web): Creation of Cosmology').
Teori ini pada asalnya di asaskan dari formula ‘General Theory of Relativity’ yang diutarakan oleh Albert Einstein pada tahun 1915. Kemudian pada tahun 1922 seorang pakar fizik Rusia, Alexander Friedmann, telah mengembangkan lagi formula ini dan mengukuhkan lagi teori Big Bang ini.
Pada tahun 1929, tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, telah menemui bukti-bukti kukuh yang menyokong teori Big Bang. Dengan menggunakan alat yang canggih, beliau telah mendapati bahawa alam ini sedang berkembang sekaligus mengukuhkan pendapat bahawa alam ini bercantum padu pada asalnya dan letupan besar telah berlaku yang menyebabkan pengembangan itu (Sumber Rujukan: 'Encarta Encyclopedia (1999)'.
Penyelidikan berhubung dengan tahap radiasi dan tentang gas helium yang tersebar secara seimbang di angkasa, adalah selari dengan teori Big Bang. Kajian tentang tahap radiasi di angkasa raya telah dilakukan oleh pakar astrofizik dari Amerika, Arno Penzias and Robert Wilson, pada tahun 1965.
Kajian tambahan yang dilakukan di antara tahun 1989 hingga 1993, dengan menggunakan alat pengesan khas NASA yang dikenali sebagai ‘COBE spacecraft,’ juga telah mengesahkan tentang perkara ini. (Sumber Rujukan: 'Encarta Encyclopedia (1999).
Pada hari ini dengan alat dan prasarana yang lebih canggih, seperti makmal CERN yang terletak berhampiran dengan Geneva, banyak kajian-kajian baru yang dapat dilakukan. Kajian-kajian terkini dari makmal ini telah mengukuhkan lagi teori Big Bang (Sumber Rujukan: 'Particle Physics & Astronomy Research Council (PPARC)'.
Pada tahun 1928, Thomas Gold dan Hermann Bondi telah mengutarakan satu teori yang berlawanan dengan Big Bang, iaitu, Teori ‘Steady State’ yang mengatakan bahawa alam ini tidak ada permulaan, malah berkeadaan sama sejak dahulu hinggalah sekarang. Pada tahun 1964, dengan penemuan gelombang-gelombang tertentu di udara yang mengesahkan tentang kewujudan Big Bang, teori ini terus ditolak (Sumber Rujukan: 'Web Syllybus (Physics): Univ. of Tennessee').
Semua ini mengesahkan bahawa langit dan bumi pada suatu ketika dahulu adalah bercantum padu, kemudiannya dipisahkan. Kesemuanya telah disebutkan oleh Al-Quran.
Tidur Mengikut Sunnah Dan Penemuan Sains.
Oleh Dr. Danial Zainal Abidin (M.D.)
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi telah bersabda:
“Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri.”
Hadis ini menampakkan tentang kaitan di antara mengantuk dan penurunan kualiti amal serta produktiviti seseorang.
Kesan Mengantuk Ke Atas Ekonomi Dan Juga Produktiviti.
Banyak kes-kes kemalangan dilapurkan berpunca dari mengantuk dan kurang tidur. Justeru itu kerana kepentingannya, Kerajaan Amerika telah menubuhkan sebuah yayasan yang bernama Yayasan Tidur Negara (National Sleep Foundation) untuk mengkaji tentang kesan tidur terhadap produktiviti kerana masalah ketiduran (insomnia and sleeping problems) telah memberikan banyak kesan negatif kepada manusia dan ekonominya.
Pada tahun 1995, Jabatan Pengangkutan Amerika telah melaporkan bahawa 100,000 kemalangan di jalan raya dan industri di Amerika adalah berkaitan dengan masalah tidur yang melibatkan kehilangan 1500 nyawa setahun. (Dr. Stanley Coren; ‘Sleep Deprivation, Psychosis and Mental Efficiency,’ Psychiatric Times, March 1998)
Suruhanjaya khas untuk mengkaji tentang masalah ketiduran di Amerika telah melapurkan bahawa masalah ini telah menjejaskan produktiviti dan menyebabkan kerugian $100 - $150 billion setahun. (Dr. Stanley Coren; Ibid)
Saintis-saintis dari Universiti Chicago telah mendapati bahawa kekurangan tidur akan menyebabkan gangguan kepada proses pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan kabohidrat di dalam badan, dan mengujudkan keadaan yang seakan penyakit kencing manis. (Rujukan: Tinker Ready (2000); ‘Naps: The Art of Snoozing’)
Seseorang yang tidur 3-4 jam kurang daripada kadar tidurnya yang biasa, akan mudah mengalami tekanan perasaan (stress) dan akan mudah dijangkiti kuman, disebabkan oleh sistem pertahanannya yang menjadi lemah. Penemuan ini telah dilapurkan di dalam majalah perubatan ‘Lancet’ pada pada bulan Oktober, 1999. (Rujukan: Lancet: 'Impact of Sleep on Metabolic & Endocrine Function)
Tidur Dan Kerihatan Yang Berpatutan Adalah Ibadah.
Islam adalah satu agama yang seimbang. Ia mementingkan tidur dan kerihatan agar ibadah dan aktiviti akan dapat dilakukan dengan baik.
Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda’ yang, di antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata:
“Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya.” Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, Baginda berkata: “Benarlah Salman.” (Bukhari)
Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan.
Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki Masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang. Nabipun terus mengeluarkan arahan:
“Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur.” (Bukhari-Muslim)
Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang. Tidur secara yang mansabah adalah merupakan salah satu cara untuk mengembalikan kecergasan diri.
Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa.
Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab ‘Misykatul Masabih’ disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi:
“Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya.”
Imam Al Ghazali di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ telah berkata:
“Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor.”
Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari
- Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji.
- Tidurnya hanya sekejap.
- Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.
Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.
Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa “92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti.” (Napping News: 'Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker Productivity,’ from eFuse)
Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai ‘a midafternoon quiescent phase’ atau ‘ a secondary sleep gate.’
Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku ‘The Art of Napping at Work.’ Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka ‘Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.’
Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam.(Gail Benchener: ‘Parents and Sleep Deprivation,’ Family.com)
Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.
Cara Tidur Nabi Dan Kajian Semasa.
Berapa jamkah yang diperlukan untuk tidur setiap malam? Nabi tidak menyebutkan kadar masanya secara khusus. Baginda sekadar menyebutkan:
“Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas.” (Bukhari-Muslim)
dan di dalam riwayat yang lain, Baginda bersabda:
“Hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuk.” (Bukhari-Muslim)
Ini menunjukkan bahawa kadar masanya berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain. Yang penting ialah tidur yang menghilangkan rasa mengantuk dan menghasilkan kecergasan.
Pakar-pakar tidur telah bersetuju bahawa keperluan tidur tidak sama bagi setiap orang. Tidur yang optima ialah kadar yang tidak mendatangkan rasa mengantuk ketika sedang memberikan tumpuan kepada sesuatu. Bagi sesetengah orang, kadar optimanya ialah 5-6 jam setiap malam. Namun biasanya bagi yang dewasa ialah 7-8 jam. (Michelle Moore: ‘Catching Those ZZZZ’s')
Beberapa hadis Nabi telah meriwayatkan tentang cara tidur yang baik dan keji yang perlu diambilkira oleh seseorang:
“Nabi telah melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap, lantas Bagindapun bersabda: Inilah cara berbaring yang dibenci Allah.” (Tarmuzi)
“Apabila kamu mendatangi tempat tidurmu hendaklah kamu mengambil wuduk seperti wuduk untuk bersembahyang. Kemudian baringlah di sebelah kanan.” (Bukhari-Muslim)
Berkata ‘Abbad ibn Tamim: “Aku melihat Rasulullah di dalam masjid tidur menelentang sambil menyilangkan kaki Baginda.” (Bukhari-Muslim)
Ibn Qaiyim telah merumuskan bahawa Nabi tidak tidur dalam kekenyangan. Baginda berbaring berlapikkan bantal, mengiring ke sebelah kanan dalam keadaan berzikir kepada Allah, sehingga tidur.(At-Thib An-Nabawi oleh Ibn Qaiyim hal. 297)
Dapat disimpulkan bahawa Nabi suka tidur mengiring ke sebelah kanan dan kadangkala secara menelentang. Baginda tidur berlapikkan bantal yang sesuai dan membenci tidur secara meniarap. Dalam semua keadaan, zikir tidak pernah Baginda lupakan.
Sekali lagi sains terpaksa akur tentang kebaikan cara tidur yang diamalkan Nabi ini. Saintis-saintis telah mendapati bahawa cara berbaring ketika tidur (sleeping postures) boleh memberi kesan kepada kesihatan. Untuk merihatkan badan di samping menjaga kesihatan tulang leher (cervical spine), pakar-pakar perubatan mencadangkan dua kedudukan ketika tidur:
- Mengiring ke lembung dengan meluruskan tulang belakang atau
- Menelentang di belakang dengan muka dan badan mengadap ke atas dengan menjaga bengkokan tulang leher. (Intermountain Spine Institute (1999); ‘Spine Self Care')
Kedua-dua cara ini akan mencegah tulang leher daripada terseliuh (subluxation or mis-alignment of the neck). Di samping itu, dengan berlapikkan bantal yang sesuai ketika tidur, sakit leher, sakit belakang, tekanan saraf (pinched nerves) dan kerosakan kepada tulang belakang (wear of vertebrae and spinal column) akan dapat dicegah.
Meniarap merupakan cara tidur yang boleh menimbulkan tekanan ke atas belakang dan leher seseorang. Tidur begini boleh menyebabkan serangan sakit urat saraf dan otot. (Spine Self Care; Ibid)
Kesimpulannya.
Ajaran Nabi tentang tidur, samada yang berkaitan dengan kepentingannya, tidur tengaharinya, cara berbaring dan lain-lainnya, adalah begitu saintifik sekali. Kajian kontemporari telah membuktikan tentang semua ini. Ini menunjukan bahawa ajaran Nabi adalah suatu ajaran yang seimbang yang boleh membawa manusia kepada keunggulan. Wassalam.