Dipetik dari blog Prof Muhd Kamil.
Semalam saya menulis entri yang sengaja ditinggalkan.
"Selain belajar bahasa Arab, saya suka berbincang beberapa isu yang menarik perhatian. Memandangkan beliau seorang lulusan pengajian hadis maka saya gemar bertanya tentang kepakaran beliau.
Misalnya, saya pernah bertanya tentang hadis ini,
Rasulullah bersabda: "Puasa yang paling Allah cintai ialah puasa Nabi Daud, iaitu dia berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Solat yang paling Allah sukai ialah solat Nabi Daud, iaitu dia tidur hingga pertengahan malam lalu bangun mendirikan shalat pada sepertiga malam dan tidur lagi di akhir seperenam malamnya." [Shahih al-Bukhari, no: 3167].
Soalan saya agak kritikal, kenapa agaknya Allah mencintai puasa nabi Daud? Ia mesti ada penjelasan yang boleh difikirkan."
Ia perbincangan bersama Walid dan Hearsi, dua pemuda Somalia. Namun jauh di sudut hati saya ingin berdakwah kepada mereka berdua dengan cara yang cukup halus.
Hakikatnya, banyak soalan yang tidak mempunyai atau memerlukan jawapan. Lalu mungkin ada yang berkata ia perkara remeh-temeh. Ulamak tidak melihat ia isu besar yang perlu diperjelaskan.
Saya selalu terfikir, ilmu Allah ada pada setiap orang. Ia boleh berlaku kerana mereka ke sekolah atau universiti, menadah kitab, mendengar ceramah dan kuliah atau melalui pengalaman yang telah dilalui.
Malah ibu, ayah dan keluarga memberi ilmu yang tidak ternilai. Jika ia melalui pengalaman, maka ia menjadi milik mereka yang telah melalui pengalaman tersebut. Jika tidak dibukukan atau diceritakan, ilmu tersebut akan turut berkubur bersama mereka.
Benarlah firman Allah melalui surah al-Baqarah ayat 255 yang bermaksud,
".......yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya) ........"
Walid merenung saya. Tentu sekali beliau tidak menyangka saya bertanya soalan "bodoh" yang mungkin tidak ditanya oleh bijak pandai yang lain.
Adakah ia soal kuantiti? Tidak mungkin kerana Rasululullah SAW melarang mereka yang ingin berpuasa sepanjang masa. Akhirnya, saya bertanya beliau, "mahukah tuan memikirkan jawapan yang ingin saya sampaikan?".
Walid dan Hearsi melihat dan mendengar hujah saya dengan tekun. Lalu saya mulakan dengan nada yang sangat berhati-hati,
"Ini kali kedua saya menyampaikan pendapat ini. Pertama kepada isteri saya dan kedua kepada tuan-tuan berdua. Saya fikir ada ilmu yang diperolehi melalui praktikal.
Allah cintakan puasa Nabi Daud yang selang sehari berpuasa. Tuan-tuan kena cuba dahulu berpuasa sebagaimana Nabi Daud berpuasa, InsyaAllah Dia akan bagi ilmu tersebut. Lakukan secara konsisten.
Ramai di antara kita belajar dan mengetahui tentang amalan ini. Saya bukan pakar hadis tetapi saya tahu amalan ini sejak empat tahun yang lepas. Namun jika orang bertanya soalan yang sama - pada ketika itu – sudah pasti saya tidak mampu menjawab.
Kini sudah sebulan lebih saya berpuasa selang sehari (nota: ampunkan saya ya Allah jika ia lahir dari rasa riyak takbur dan angkuh. Aku tidak mahu begitu ya Allah, aku mohon izin bercerita untuk menyampaikan sedikit ilmu yang Kau pinjamkan kepada daku).
Pernah dengar orang menulis, susah dan senang, sakit dan sihat, suka dan duka, cantik dan hodoh, kaya dan miskin serta pelbagai sifat yang berlawanan mempunyai nikmat yang sama?
Pada satu tahap, ia sesuatu yang sukar diterima. Apatah lagi untuk merasai perasaan tersebut. Mana mungkin lapar dan kenyang mempunyai nikmat yang sama.
Realitinya, bila manusia berduka, sakit, hodoh dan miskin maka ia lebih mudah untuk merayu dan merintih kepadaNya. Jika sifatnya berlawanan manusia akan lebih rileks, santai dan sedikit jauh daripada Allah SWT".
Tentu sekali saya tidak menghadapi masalah untuk memahamkan mereka dengan hujah-hujah yang saya ingin kemukakan. Pertama saya berhadapan dengan ilmuan agama dan kedua dengan seorang jurutera yang mempunyai syarikat perniagaan sendiri.
Tinggal lagi mereka tidak pernah mencuba dengan apa yang dicintai Allah itu. Ia kelihatan sangat sukar.
Lalu saya sambung, "bila saya berpuasa selang-sehari, tiada lagi nilai kenyang dan lapar. Hari berpuasa dan tidak berpuasa mempunyai nilai yang sama dari sudut kenyang dan lapar. Tuan-tuan akan dianugerahkan perasaan dan nikmat tersebut.
Maksud saya, nilai kenyang dan lapar hilang sehingga wujud nilai baru yang terlalu abstrak.
Dan perasaan ini akan membawa kita melihat tentang kebesaran Allah. Perasaan cintakan Allah pada setiap waktu. Bagaimana? Entah. Berpuasalah dahulu... bukankah Allah paling mencintai puasa ini? Bukankah Allah mencintai orang yang cintakan Dia?
Bukankah selangkah kita hampir denganNya, beribu langkah Dia hampir dengan kita?"
"MasyaAllah... MasyaAllah... MasyaAllah..."
Saya memberi pendapat. Mereka lebih berilmu, bijak dan pandai daripada saya. Alhamdulillah, akhirnya saya bersyukur kerana Hearsi sudah memulakan puasa Nabi Daud selang sehari selepas perbincangan ini.
Ia tidak memerlukan modal yang besar.
NotaMKI: Begitulah.... jika kita masih tertanya-tanya bagaimana mahu solat malam... lakukan... lakukan dan rasailah nikmat tidak tidur yang sama manisnya dengan nikmat tidur. Ia hanya berlaku (mengikut aturannya) selepas melepasi tahap-tahap tertentu. Pastinya ia memerlukan langkah pertama sebelum ada langkah kedua.
Baca lanjut di http://muhdkamil.org/blog/2012/01/04/puasa-nabi-daud/.
Dipetik dari blog Prof. Muhd Kamil Ibrahim di http://muhdkamil.org/blog/2011/12/14/pasport/
Menerima pujian dengan perasaan sombong dan angkuh sangat-sangat merosakan hati. Amal-ibadat hanya menjadi sia-sia jika ia dilakukan kerana mengharapkan pujian.
Pujian merupakan satu ujian kerana ia juga sebahagian daripada kisah kehidupan.
Tanyalah bekas staf saya di Malaysia – agak saya - mereka mengenali saya sebagai seorang ketua yang mudah menyebut kata-kata yang baik-baik, Misalnya, "Ros, awak kelihatan berseri-seri hari ini" atau "Siti, awak sangat sesuai dengan pakaian ini".
Dalam konteks dunia penulisan saya mungkin menyebut, "saya tidak tahu yang awak boleh menulis sebaik ini".
Pujian-pujian yang dinyatakan keluar secara semulajadi kerana ia sifat yang tertanam sejak remaja.
Jika rakan sejawat berjaya menerbitkan buku, saya akan ambil buku tersebut sambil membaca blurb, melihat-lihat isi kandungan dan secara mudah akan menyatakan, "tahniah, menulis bukan mudah dan buku ini kelihatan menarik".
Ia memberi kesan besar kepada penulis berbanding dengan buat "endah tidak endah" dengan kejayaan rakan tersebut.
Namun pujian ini berbeza-beza cara ia disampaikan. Misalnya untuk Sofea, "Alhamdulillah, pandai Sofea, ayah sendiri tidak tahu bagaimana mahu melakukannya," apabila melihat beliau menghantar ucapan melalui FB.
Jika seorang profesor saya nyatakan, "saya menyenangi tulisan-tulisan prof, ia mudah untuk difahami". Memuji staf sokongan berbeza caranya berbanding dengan kumpulan profesional.
Allahu Akbar, ia satu seni.
Kemudian bila saya mendalami ilmu pujian, banyak hadis-hadis yang bersifat bertentangan, pujian yang merosakkan hati dan pujian yang diharuskan. Para ulamak berpendapat, pujian yang melampau-lampau dan terkandung unsur-unsur pembohongan tidak dibenarkan.
Salah satu perkara yang jelas Allah sendiri memberi pujian kepada Nabi dan para Rasul serta mereka yang beriman. Namun cara pujian itu disampaikan tidaklah sama sebagaimana pujian yang saya sebut sebelum ini.
Baginda SAW juga sering memuji para sahabat. Misal, saya membaca kisah taubat Ka'ab bin Malik melalui Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2376.
......Gembiralah kamu dengan kebaikan yang kamu terima hari ini, yang belum pernah kamu terima sejak kamu lahir." Tanya ku, "Apakah kebaikan itu datang dari Anda atau dari Allah Ta'ala?" Jawab ...beliau, "Bahkan dari Allah Ta'ala!" Biasanya apabila Rasulullah saw. gembira, wajah beliau bersinar-sinar bagaikan bulan. Kami tahu benar akan hal itu.......
Ada dua penilaian. Pujian melalui kata-kata dan melalui bahasa badan. Inilah pujian peringkat tinggi. Ia boleh dihuraikan tetapi di sini biarlah ia ringkas dan santai!
Dan ia boleh diaplikasi kepada anak-anak tanpa kata-kata tetapi memadailah dengan menyebut, "Alhamdulillah, Allah bagi Sofea pandai, mari sini ayah hendak sayang pipi dan hendak dukung Sofea...."
Jikalah saya boleh memutarkan jam, maka inilah kata-kata saya kepada staf yang bagus bekerja, "Subhanallah, MasyaAllah, Alhamdulillah, Allah bagi awak kemudahan untuk menulis. Flow tulisan awak sangat mengasyikkan. Saya doakan awak lebih banyak lagi dapat menghasilkan penulisan yang bermutu".
Pujian baginda juga sering dinyatakan dengan cara berdoa. Itulah salah satu sifat memuji yang perlu kita praktiskan. Misalnya, "Alhamdulillah Allah bagi kekuatan kepada awak untuk bangun malam. Saya doakan awak istiqamah".
Ia mengubah perspektif pujian dengan cara yang tidak merosakkan hati penerima dan juga penyampai. Akhirnya, tidaklah kita mengambil keputusan, "tidak boleh memuji, ia merosakkan hati!". Ia dinilai tanpa pandangan sisi. Menghukum tanpa memudahkan.
Ketika saya menulis, Roza menghantar jemput-jemput ikan bilis dan saya nyatakan kepada beliau, "Ya Allah pantasnya awak... saya doakan supaya Allah memberi kesihatan yang baik agar awak boleh terus memasak untuk saya dan keluarga".
Akhirnya, menyampaikan kata-kata juga perlu berdoa dan mohon keampunan. Apabila bangun pada 1/3 hujung malam yang tersisa bermunajatlah kepadanya, "Ya Allah jadikanlah tutur kataku sebagai satu amal ibadat ya Allah dan ampunkanlah salah silap ku dalam berkata-berkata".
Saya mohon keampunan Allah.
Dipetik dari blog Prof. Muhd Kamil
Apalah seronoknya berada di Madinah buat seorang isteri?
Ainon Mardhiah, seorang isteri pelajar Madinah. Beliau hafizah lulusan Mesir. Mempunyai seorang anak.
Di sini, amat jarang wanita berjalan berseorangan. Apatah lagi untuk berlegar-legar di mall tanpa kehadiran suami atau mahram. Tiada langsung wanita yang memandu. Ia satu larangan.
Hampir keseluruhan wanita Madinah berpakaian hitam. Berstokin. Bila keluar rumah, mereka menutup mulut dan hidung.
Ia kelihatan membosankan.
Realitinya? Wajah beliau sangat bercahaya.Tutur kata beliau menggambarkan begitu. Agaknya, hidup di Madinah penuh kerberkatan. Suasananya begitu. Rasa saya.
Misalnya, saya selalu menyebut di Malaysia, "apakah tanda pakaian seorang wanita sudah sempurna? Mudah sahaja, apabila masuk masjid atau di mana-mana sahaja kita boleh terus solat"
30 hari di sini – hidup di Tanah Haram – mata saya tidak melihat aurat wanita. Namun beberapa hari yang lepas, kami berseminar di sebuah hotel di tanah halal. Masuk sahaja ke lobi, mata terus tertangkap kepada wanita-wanita yang kelihatan sangat asing. Aduh....
Begitulah, wanita berbaju hitam di Malaysia kelihatan sangat asing, di sini wanita yang tidak berbaju hitam kelihatan janggal. Sekurang-kurangnya di mata saya.
Hitam, putih, kelabu, hijau atau lain-lain warna adalah nikmat kurnian Allah yang terpancar pada pakaian. Soalnya, apakah pakaian itu sudah sempurna?
Bila tetamu berkunjung ke rumah, Roza sering bertanya tetamu wanita, "Di sini kita bersungguh-sungguh menjaga aurat, jaga rambut, jaga kaki dan jaga segala-galanya. Masih mahukah kita memakai kebaya bila pulang nanti? Masih sanggupkah kita memakai kain terbelah betis? Kenapa di lapangan terbang sudah membuka stokin?"
Saya mengerti kenapa Ainun damai di sini.
Hari ini tiba giliran Pak Teh dan Mak Teh berkunjung ke rumah kecil di Jabal Ohud. Inilah mak saudara Roza di sebelah abah. Mak Teh mempunyai peranan atau watak signifikan melalui Travelog Cinta Abadi.
Jadi, terpancar wajah seronok Roza menyambut mak saudara yang satu ini.
Mudah-mudahan – kami doakan – mereka mendapat haji yang mabrur!
Hukum Qisas
An-Nisaa ayat 92 beraksud:
Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah dia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diat” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya)
Kawasan rumah kami tempat perlaksanaan hukum Qisas. Semalam, seorang pesalah dipancung. Saya dimaklumkan tetapi – alahai – tidak dapat hadir untuk menyaksikan sendiri bagaimana ia dilaksanakan.
Dipetik dari blog Prof. Muhd Kamil Ibrahim, penulis buku Travelog Haji.
Seorang profesor lama memberi nasihat, "saya tahu prof mempunyai bilik yang besar di Malaysia. Di sini – lihatlah – kesemua pensyarah sama. Kita berkongsi dengan enam rakan sejawat yang lain. Bersabarlah".
"Tidak mengapa, saya suka begini...."
Jawapan yang tidak dipercayai beliau. Saya langsung tidak memikirkan soal-soal tersebut. Saya bersyukur diterima ke Madinah. Pendapatan saya lebih baik untuk seisi keluarga, keperluan memberi kuliah 7.5 jam dan kadar wajib berada di ofis selama 17.5 jam seminggu sudah jauh lebih baik daripada bilik yang besar.
Malah, saya hanya perlu bekerja 4 hari seminggu.
Saya lebih memikirkan, "bagaimana aku mahu solat 5 waktu di Haram?". Selebihnya, saya mahu kehadiran saya dirasai oleh universiti. Peluang untuk saya menggerakkan penyelidikan terbuka luas. Tiada seorang staf pun yang terlibat secara langsung dengan kegiatan akademik ini.
Dan mereka bergantung kepada saya untuk memulakanya.
Bahasa Arab
"Prof Ibrahim, are you OK?," Dr Adnan – Dekan – bertanya tepat ke muka saya.
"Not OK, l am lost!"
Semua ahli mesyuarat ketawa. Kenapa tidak? 100 peratus mesyuarat dikendalikan dalam bahasa Arab. Sebenarnya saya OK-OK sahaja. Ia mesyuarat yang ceria.
Pertama, duduk sahaja di meja mesyuarat, kami dihidangkan dengan jus buah. Hidangan yang diminum serta merta belum pun tiba pengerusi majlis. Ia tidak berlaku di Malaysia.
Kedua, kami dihidang pula dengan manisan berkualiti. Coklat dan sejenis manisan Arab yang lain. Juga, selesai serta-merta. Di hadapan kami terdapat biskut Arab yang sedia ada dan selesai dimakan bersekali dengan makanan yang lain.
Kemudian, muncul Dekan dengan wajah yang sangat ceria. Semuanya dipeluk beliau.
Mesyuarat berlangsung hampir 1 1/2 jam. Tiada minit tercatat. Saya langsung tidak dapat memahami tutur kata mereka tanpa bantuan staf yang menterjemahkan isu-isu penting.
Bila tiba saya bercakap, saya mulakan dengan kata-kata, "Kaifa Halukun?, " disambut gelak ketawa hadirin. Rupa-rupanya, sayalah salah satu daripada tiga orang staf yang bukan datangnya dari dunia Arab.
"Itu sahaja yang saya tahu.... opps.... ada dua lagi... Ila liqa' and Maasalamah".
Biarlah begitu.... biar saya terkapai-kapai mencari makna yang tersirat di sebalik kata-kata tersebut. Saya perlu belajar dan ia harus pantas. Malah, e-mel rasmi juga dihantar menggunakan bahasa Arab.
Baca lanjut di muhdkamil.org/blog/2011/09/