Harga: RM 15.00 / RM 17.00
ISBN-13: 978-967-5783-49-4
Tarikh Terbit: 19 Oct 2010
Jumlah Muka Surat : 240
Kategori: Novel Chiclit
Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd
Beli Online @ BookcafeDiskaun 15%
Tiada
Aina Syuhada dan Aini Syahida, kembar tidak seiras, baru tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dalam banyak segi, mereka punya karakter yang bertentangan. Mereka anak sulung dan mempunyai tiga orang adik, Adam Malik, Azim Ali dan Aida Syifa. Ibu bapa mereka, Encik Aris (seorang kontraktor) dan Puan Siti Hajar (pegawai kerajaan).
Keluarga Aina Aini memiliki tiga lot rumah sewa yang dibina berdekatan kediaman mereka. Rumah di sebelah kiri didiami empat orang pelajar lelaki (Sepet, Tak, Shahir dan Bazli). Rumah di sebelah kanan didiami oleh empat orang pelajar perempuan (Tiz, Nora, Balqish dan Salwa). Sementara rumah di belakang didiami oleh sepasang suami isteri (Hafsham dan Lara). Keluarga ini mempunyai hubungan yang akrab dengan anak-anak muda yang menyewa di rumah mereka. Dalam banyak keadaan mereka memang mencontohi akhlak yang baik yang ditunjukkan oleh jiran-jiran muda ini.Aina jatuh minat pada seorang pemuda yang baru pindah ke rumah sewa di sebelah kiri. Namanya Abang Tak. Aina meminati Tak kerana Tak seiras Taqi, seorang penyanyi produk Akademi Bintang yang pernah popular tiga musim yang lalu. Aini selalu mempersendakan kembarnya itu.
Aina menyedari taktik Aini dan mereka mula bersaing untuk mencuri perhatian anak muda itu.
Suatu majlis jamuan diadakan di masjid di kariah mereka dan keluarga mereka terbabit secara langsung. Aina menguruskan perpustakaan yang baru dibuka di masjid selain memperkenalkan bisnes sewa beli novel. Petang itu usai program di masjid, kembar ini berjalan pulang melalui laluan pintas. Dalam perjalanan pulang, mereka bertengkar kerana Tak. Tetapi pertengkaran mereka terhenti apabila terdengar bunyi aneh; bunyi seperti tangisan. Aina berkeras untuk menyiasat. Dia mengikut arah bunyi itu yang membawa mereka ke sebuah pondok. Dan di pondok itu, mereka temui seorang bayi.
Kediaman mereka kecoh dengan penemuan bayi di pondok buruk itu. Kecoh mereka berganda keesokan harinya ketika Aina cuba mendapatkan bantuan daripada gadis-gadis jiran sebelah. Tiz yang jadi rujukannya tiada di rumah, sebaliknya, ada seorang rakan gadis bernama Tasha, yang menumpang tidur di sana.
Tasha pengsan di rumah itu, lalu dibawa ke hospital. Mereka juga membuat laporaan polis mengenai penemuan bayi berkenaan. Doktor mendapati Tasha sakit kerana komplikasi selepas melahirkan anak. Penemuan bayi dan kes Tasha agak berturutan, lalu hospital membuat andaian bahawa Tasha mungkin ibu kepada bayi berkenaan. Encik Aris, Puan Siti Hajar, Tok Ketua dan Pak Imam terpaksa menyiasat dengan menyoal jiran-jiran perempuan mereka; Nora dan Tiz.
SALINA IBRAHIM dilahirkan pada 21 Februari 1972, di Parit Buntar, Perak Darul Ridzuan. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Sungai Setar, Parit Buntar, Perak, kemudian ke sekolah berasrama penuh; Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, Perak (dari tingkatan 1 sehingga 5) dan keSekolah Izzuddin Shah, Ipoh, Perak (tingkatan enam rendah dan enam atas).
Salina beroleh Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan pengkhususan Undang-undang dari Akademi Islam, Universiti Malaya pada tahun 1996. Selain itu beliau juga memiliki Sijil Penulisan Skrip, Akademi Filem Malaysia, Finas (2001) dan Sijil Terjemahan Am, Institut Terjemahan Negara Malaysia (2003)
Salina beralih bidang daripada undang-undang syariah ke bidang penulisan dengan menjadi editor buku dan kemudian bertukar ke dunia kewartawan. Beliau menimba pengalaman bertugas sebagai wartawan di beberapa penerbitan yang besar dan terkenal seperti Kumpulan Utusan Melayu Berhad dan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.
Salina Ibrahim menulis sejak usia belasan tahun, bermula dengan genre puisi dan cerpen, sebelum diperluaskan kepada genre novel. Novel nukilannya termasuklah Mahligai (2001), Anjung Warisan (2002), Kombinasi Bunga Cinta (2003), Untukmu Hana... (2004), Atas Nama Kasih (2005), Syurga Di Hati (2006), Setenang Cahaya Hati (2010) dan Tiada Khatimah Cinta (2011). Karyanya bersama-sama PTS adalah Bukan Yang Pertama (2009), Aina & Aini: Diva Kampung (2011), Aina & Aini: Model Terhangat (2011) dan Tulis Cinta Dalam Hati (2011). Selain itu beliau juga memiliki kumpulan cerpen Memaknakan Cinta (2010) dan 17 buah antologi bersama, kebanyakannya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Salina Ibrahim pernah memenangi anugerah sastera seperti Hadiah Tunas Sastera Utusan-Public Bank 1990, Pertandingan Cerpen Formula Malaysia 2000, Pertandingan Menulis Skrip Finas 2001, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005, 2006 dan 2007 dan Sastera Perdana Malaysia 2004/2005. Beliau pernah mewakili Malaysia dalam bengkel novel Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Bogor Indonesia pada tahun 2006.
Mulai tahun 2010, Salina Ibrahim menjadi penulis sepenuh masa dan aktif memberikan bimbingan penulisan terutamanya dalam genre cerpen dan novel di seluruh negara.
http://www.salinaibrahim.com/http://facebook.com/salinaibrahim.pengarang.
Buku lain oleh penulis ini
Temubual bersama penulis
Kongsi info buku ini di laman sosial:
Tweet