Abdullah Hassan

Gelaran
Profesor Emeritus

 

Profesor Emeritus Abdullah Hassan dilahirkan di Teluk Anson (Intan) pada 20 Mac 1942. Beliau menerima pendidikan rendahnya di sekolah Melayu Gunung Semanggol dan Teluk Anson, pendidikan menengahnya di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh. Beliau menerima ijazah B.A dan M.A daripada Universiti Malaya pada tahun 1967 dan 1969, dan Doktor Falsafah daripada University of Edinburgh pada tahun 1972, semuanya dalam bidang linguistik. Beliau menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1972 dan diangkat menjadi Profesor penuh pada tahun 1980, dan Profeor Emeritus pada tahun 2006 oleh Universiti Sains Malaysia. Setelah bersara daripada USM pada tahun 1997, beliau menjadi Profesor Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hingga tahun 2001, dan menjadi Profesor Bahasa Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris hingga 2011, dan Karyawan Tamu di Universiti Malaya hingga 2014. Beliau juga pernah menjadi Profesor pelawat di University of California Berkeley, 1979, dan Penyandang Kursi Tun Razak di Ohio Universiti, 1987-1989. Kerjaya beliau di universiti berkait rapat dengan perancangan bahasa yang beliau jalankan di bawah tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka, sejak 1972, melibatkan pembinaan ejaan baru, sebutan baku, pedoman pembentukan istilah, perkamusan, penulisan dan penterjemahan buku ke dalam bahasa Melayu. Beliau menghasilkan 28 buah buku tentang bahasa, nahu, istilah dan menterjemah 11 buah buku. Beliau adalah Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia semenjak 1998 hingga kini.