Penulis

Arieff Salleh Rosman

Arieff Salleh bin Rosman adalah anak kelahiran Johor. Dilahirkan pada 4 November 1975 di Kota Tinggi, Johor. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Felda Adela dan Sekolah Kebangsaan Felda Semencu. Hasil usaha beliau mendapatkan 5A dalam Ujian Penilaian Darjah Lima beliau diterima masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Segamat, Johor.

Sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, beliau pernah mengikuti kursus di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan dan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Terengganu. Berbekalkan 6 agregat SPM, beliau menyambung pengajian di peringkat universiti pada tahun 1993. Setelah empat tahun berjuang, beliau berjaya menerima segulung ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Syariah dan Pengajian Islam daripada Universiti Mu’tah, Jordan pada tahun 1997. Tanpa merasa jemu menuntut ilmu, beliau menyambung pelajaran pada peringkat sarjana pada tahun 1999 dan berjaya menerima Sarjana Pengajian Islam (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2001. Tesis sarjana beliau adalah berkaitan harta intelek menurut fiqh Islam dan undang-undang Malaysia.

Berbekalkan azam yang berkobar-kobar untuk mencapai tahap tertinggi dalam bidang keilmuan, beliau sekarang ini sedang melanjutkan pelajaran dalam peringkat PhD Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sekarang ini beliau bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Sebelum bertugas sebagai pensyarah, beliau pernah bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah al-Hasanah, Bandar Tun Razak, Pahang. Di samping itu beliau juga banyak terlibat dalam memberikan ceramah-ceramah motivasi kepada para pelajar dan juga masyarakat umum.

Ketika usia remaja, beliau adalah seorang pelajar yang aktif. Beliau pernah menjadi Ketua Pengawas di Sekolah Kebangsaan Felda Adela dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Segamat. Ketika di alam universiti, beliau aktif menyertai persatuan-persatuan pelajar. Beliau pernah menyandang jawatan Exco Persatuan Pelajar Malaysia Jordan, Presiden Badan Kebajikan Pelajar Johor di Jordan dan Presiden penaja Persatuan Pelajar Malaysia di Universiti Mu’tah, Jordan. Anugerah yang pernah beliau terima ialah pelajar terbaik penilaian darjah lima Sekolah Kebangsaan Felda Adela, pelajar terbaik SPM 1992 peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Segamat, pelajar terbaik SPM 1992 peringkat Daerah Segamat, Johor, dan top 20 Fakulti Sastera, Universiti Mu’tah, Jordan. Anugerah yang beliau terima ketika menyandang jawatan pensyarah ialah Anugerah Tokoh Pensyarah Harapan 2002 Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.

Beliau berminat dalam bidang penulisan dan telah menerbitkan buku, kertas kerja seminar, kertas kerja kursus motivasi dan artikel majalah. Buku yang beliau telah terbitkan ialah Murtad menurut Perundangan Islam dan Harta intelektual menurut Fiqh Islam yang diterbitkan oleh Penerbit UTM. Buku panduan solat jamak qasar yang diterbitkan oleh Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial UTM. Buku Membentuk jati diri remaja dan Remaja sukses yang diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024