Jerry D. Gray

Gelaran
Jerry
Tempat Lahir
Wiesbaden, Jerman
Tahun Lahir
1960
Pengalaman

Jerry D. Gray lahir pada 24 September 1960 di Wiesbaden, Jerman. Ketika berusia 3 tahun, keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat. Jerry D. Gray adalah bekas anggota Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), kini sudah memeluk Islam dan aktif menjalankan aktiviti dakwah. Beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan di sebuah stesyen TV Indonesia selama dua tahun.

Penulis sudah menulis beberapa buku yang membongkarkan kejahatan Amerika seperti Dosa-dosa Media Amerika, Bayang Gurita: Mengungkap Pergerakan Freemason dan Organisasi Anti Islam Dunia, Deadly Mist: Usaha Amerika Merosak Kesihatan Manusia, Rasulullah Is My Doctor, The Real Truth, Demokrasi Barbar Ala Amerika, dan American Shadow Government: Pemerintah Bayangan Amerika.

Penulis mendapat hidayah Allah dan menemui keindahan Islam ketika sedang bertugas di Arab Saudi. Pada ketika itu, penulis melihat betapa khusyuk dan ikhlasnya umat Islam menjalani ibadah solat sehingga meninggalkan segala aktiviti termasuk urusan perniagaan.

Ketika mendengar azan berkumandang, semua umat Islam segera bingkas menunaikan solat meninggalkan semua aktiviti perniagaan. Barang-barang perniagaan turut ditinggalkan dan dibiarkan begitu sahaja namun tidak ada satu pun yang hilang. Semua melaksanakan solat dengan khusyuk. Penulis berasa takjub dan teruja melihat situasi itu lantas tertarik mendekati ajaran Islam yang pada fikirannya cukup sempurna dan memiliki keajaiban yang terselindung disebaliknya. Jerry mengakui, ketika kali pertama memegang kitab suci al-Quran, hatinya bergetar dan air matanya bercucuran sewaktu membaca kitab suci itu.

Beliau kini aktif bergerak ke seluruh Indonesia menyampaikan ceramah demi mengajak seluruh umat Islam sedar, pada hari ini umat Islam sudah tertipu dengan agenda Yahudi dan Amerika. Apabila ditanya berkenaan Islam, demokrasi, dan terorisme, beliau menjawab,“Islam itu agama rahmatan lil alamin dan orang Islam bukan teroris.”

Jerry memulakan pengajian peringkat rendah di Iowa sebelum beliau menyertai Tentera Udara AS (USAF) pada tahun 1978. Beliau menjalani latihan selama sembilan bulan di USAF dan kemudian tamat di Texas. Setelah menyelesaikan latihan asas dan lanjutan dari Sekolah Penyelenggaraan Pesawat Intensif, Jerry kemudian meneruskan latihan di Hickam Air Force Base yang berpangkalan di Hawaii. Di situ, Jerry menghabiskan 4 tahun baki pendidikannya di USAF bagi membaiki pesawat pengangkut C-130.

Ketika di Hawaii, Jerry memasuki Sekolah Penerbangan di Universiti Hawaii dan menyelesaikan 3 kelas pembelajaran. Pada tahun 1982, setelah menyelesaikan 4 tahun penerbangan bersama Tentera Udara AS, Jerry bekerja di Arab Saudi sebagai seorang mekanik pesawat dan pengajar untuk New Saudi Mechanics. Pesawat yang ditanganinya ketika di Arab Saudi adalah pesawat peribadi Raja Fahd. Jerry pernah suatu ketika menerima satu surat daripada Raja Fahd memuji ketrampilan dan professionalisme beliau sebagai seorang mekanik pesawat.

Ketika di Jeddah, Jerry juga memperoleh sijil sebagai seorang jurulatih selam antarabangsa. Pada tahun 1985, beliau memantapkan posisinya sebagai seorang jurulatih selam (Divemaster) SCUBA dengan tahap tinggi di Indonesia dan sebagai pelopor program-program sukan SCUBA. Jerry juga pernah menjadi jurukamera CNBC Asia dan menjadi orang Barat pertama yang pernah bekerja untuk sebuah stesyen televisyen Indonesia sebagai jurukamera berita.

Kini selain menjadi penulis kritis berkenaan politik dan media Amerika, Jerry aktif menjalankan aktiviti dakwah di seluruh Indonesia.