Dr. Abdullah Nasih Ulwan

Gelaran
Abdullah Nasih Ulwan

Dr. Abdullah Nasih Ulwan dilahirkan pada 1928 Masihi di Daerah Qadhi Askar yang terletak di bandar Halb, Syria. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh pada agama dan mementingkan akhlak Islam dalam pergaulan serta muamalat sesama manusia. Ayahnya, Syeikh Said Ulwan adalah seorang yang dikenali dalam masyarakat sebagai seorang ulama dan tabib yang disegani. Selain daripada menyampaikan risalah Islam di seluruh pelusuk bandar Halb, Syeikh Said turut menjadi tumpuan bagi mengubati pelbagai penyakit menggunakan ramuan akar kayu yang dibuat sendiri. Ketika merawat pesakit, lidahnya sentiasa membaca Al-Quran dan menyebut nama Allah s.w.t. Syeikh Said Ulwan sentiasa mendoakan semoga anak-anaknya lahir sebagai seorang ulama murabbi yang dapat memandu masyarakat. Allah s.w.t. memperkenankan doa beliau dengan kelahiran Dr. Abdullah Nasih Ulwan sebagai ulama pendidik rohani dan jasmani yang disegani pada abad ini.

Beliau menghasilkan hampir 50 buah kitab yang membincangkan pelbagai tajuk.

Antara kitab karangan beliau yang masyhur adalah:

  • Tarbiyatul Aulad fil Islam (Pendidikan Anak-Anak dalam Islam) -2 jilid

  • Hukum Zakat Menurut Empat Mazhab

  • Madrasah Duat

  • Takaful Ijtimaie dalam Islam

  • Insurans Menurut pandangan Islam

  • Pemuda Islam dalam Menghadapi Serangan Musuh

  • Menolak Keraguan yang Didatangkan Musuh

Beliau juga banyak menulis kitab perihal tarbiah Islamiah. Kitabnya yang berkaitan tarbiah Islamiah begitu menyentuh jiwa pembaca. Ini kerana tulisan yang terbit daripada hati, insya Allah akan jatuh ke hati. Antaranya adalah:

  • Kepada Pewaris Nabi

  • Thaqafah Daieah

  • Ruhaniah Daieah

    Kisah Hidayah (2 jilid)

  • Sifat Jiwa dan Diri Daie

Dr. Abdullah Nasih Ulwan meninggal dunia pada hari Sabtu jam 9.30 pagi, 5 Muharam 1408 Hijrah bersamaan 29hb Ogos 1987 Masihi di Hospital Universiti Malik Abdul Aziz Jeddah, Arab Saudi dalam usia 59 tahun. Jenazahnya di bawa ke Masjidil Haram untuk disembahyang dan dikebumikan di Makkah.