Penulis

Saat

Mohamad Saat Sukami

Mohamad Saat Sukami adalah seorang penulis bebas yang mula berkecimpung dalam bidang penulisan sejak tahun 2008. Beliau banyak membuat kajian dan penyelidikan secara bebas dalam pelbagai bidang termasuk bidang sains dan teknologi, pengurusan, kewangan, pelaburan, pertanian, aeroangkasa, dan robotik. Latar belakang akademik beliau adalah dalam bidang kimia dan dari segi profesion, beliau bertugas sebagai seorang ahli kimia. Namun begitu, latar belakang tersebut tidak menghalang minat beliau bagi membuat kajian dan penyelidikan yang di luar bidang hakiki beliau.Di bidang pelaburan, beliau mendapat pendedahan sejak tahun 1998.Beliau pernah menduduki peperiksaan bagi mendapatkan lesen Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk kelayakan sebagai Dealer Representative (Remisier) di Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) pada tahun 1999. Beliau juga turut memperoleh lesen daripada The Federation of Malaysian Unit Trust Managers (FMUTM) bagi kelayakan sebagai agen KL Mutul Fund (kini MMA-KL Mutual Fund) pada tahun 1999. Selain itu, beliau turut berpengalaman memasarkan produk-produk insurans di bawah naungan syarikat Malaysian Assurance Alliance (MAA) dengan menggunakan pendekatan dan kaedah Pengurusan Kewangan Peribadi (Personal Financial Planning).Pelaburan emas berjaya meraih perhatian beliau sejak tahun 2001. Kegawatan dan kejatuhan ekonomi, mata wang, dan pasaran pelaburan yang berlaku berulang-ulang serta tekanan kenaikan harga barang telah menjejaskan hidup orang ramai terutamanya yang membuat pelaburan kecil-kecilan. Keadaan ini menyebabkan timbulnya inisiatif dalam diri beliau bagi menulis sesuatu yang dapat membantu meningkatkan kembali keyakinan orang ramai dalam merancang masa hadapan kewangan mereka melalui pelaburan emas.Sebagai penulis bebas, beliau percaya ilmu sepatutnya tidak mempunyai sempadan, walaupun tidak menafikan pentingnya disiplin dan pengkhususan. Justeru beliau berpendapat, apabila ilmu itu disebarkan dan dibuktikan tiada sebarang percanggahan, kita tidak seharusnya menolak atau menafikan ilmu itu sekalipun orang yang menyampaikannya bukanlah seorang yang benar-benar pakar. Bagi penulis, beliau sekadar menghimpun dan menyusun semula ilmu, sedangkan ilmu itu sendiri adalah milik Allah yang perlu disebarkan kepada semua orang.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024