Penulis

Mohd Zawawi Yusoh

Mohd Zawawi Yusoh adalah seorang pensyarah di Jabatan Bahasa Al-Quran di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya. Beliau juga memegang jawatan sebagai ketua fasilitator dan penceramah Human Touch Consultant (HTC). Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Rengas Bekah, Terengganu dan seterusnya menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Ugama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (KUSZA), dan menerima diploma dalam bidang Usuluddin. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar, Mesir pada tahun 1990 dan menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan keputusan yang cemerlang. Pada tahun 1994, beliau menerima Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Bahasa Arab di UIA, Kuala Lumpur. Kini, beliau sedang menyiapkan pengajian Ph.d di Kolej Universiti Sains Teknologi Malaysia (KUSTEM). Beliau aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di masjid-masjid, surau-surau, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta di seluruh negara. Beliau juga berpengalaman menyampaikan pembentangan kertas-kertas kerja dalam seminar-seminar di dalam dan luar Kuala Lumpur. Beliau pernah mengendalikan kursus-kursus motivasi, bina ihsan dan bimbingan untuk remaja, pekerja sektor-sektor awam dan swasta serta keluarga. Selain itu, beliau juga aktif menjadi tetamu panel rancangan agama di kaca televisyen dan corong-corong radio. Antara rancangan-rancangannya adalah: 1. Al-Kuliyyah, Al-Hidayah dan Laman Nurani di TV3. 2. Forum Perdana Ehwal Islam, Hiwar, Seni Islam dan lain-lain di TV1. 3. Raudhah dan An-Nur di Astro. 4. Rancangan Dinamik, Pagi Syahdu, Ke arah Kesejahteraan di Radio Satu Shah Alam. 5. Tetamu mingguan rancangan Pedoman di Radio Tiga Shah Alam. Beliau juga banyak menyandang jawatan di beberapa pertubuhan. Antaranya: 1. Penasihat fekah Syarikat Derma Ikhlas. 2. Penasihat agama JKIM Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). 3. Penasihat dan pembimbing umrah dan haji Syarikat Padmina Travels. 4. Penasihat Kursus Bina Insan PNB. Beliau pernah mengendalikan kursus-kursus di sektor-sektor swasta seperti untuk 600 staff TV3 bagi program Rising Up to the Challenge TV3, 1000 staff Sime Tyre International bagi program Diri Cemerlang Organisasi Gemilang dan lain-lain lagi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024