Osman Affan

Osman Affan adalah anak kelahiran Kuala Lumpur. Beliau dilahirkan pada 16 Februari 1976 di Hospital Besar Kuala Lumpur. Ayah beliau ketika itu berkhidmat sebagai tentera bersama Tentera Diraja Malaysia. Jadi, sejak kecil beliau dibesarkan di beberapa tempat berlainan seperti di Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak. Apabila ayah beliau bersara dari tentera semasa beliau berumur lapan tahun, keluarga beliau berpindah ke Terengganu dan menetap di sana. Tahun 1988 adalah tahun pertama peperiksaan UPSR diperkenalkan. Osman Affan merupakan salah seorang daripada pelajar yang menduduki peperiksaan itu. Berkat usaha dan restu ibu bapa, beliau berjaya mendapat lima A dan meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring. Tiga tahun kemudian, beliau sekali lagi mendapat kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan SRP dan ditawarkan bagi melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang. Di situ bakat beliau semakin menyerlah dalam bidang akademik dan juga kurikulum. Beliau mendapat kejayaan enam agregat dalam peperiksaan SPM pada tahun 1993 lalu ditawarkan bagi melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam bidang Perakaunan dan Kewangan. Selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda, beliau bekerja dalam bidang pemasaran selama lapan bulan dan kemudian diterima bekerja di sebuah syarikat perakaunan terbesar di dunia iaitu Pricewaterhouse Chartered Accountant. Beliau menimba pengalaman selama 3 tahun di syarikat itu. Satu perkara yang mengejutkan beliau sewaktu bekerja ialah, beliau mula rasakan yang minat beliau adalah bukan dalam bidang perakaunan. Sejak kecil lagi beliau sudah meminati bidang psikologi. Namun, beliau tidak pasti sama ada bidang psikologi mempunyai peluang kerjaya yang baik. Setelah difikirkan dengan teliti, Osman Affan membuat keputusan bagi meninggalkan bidang perakaunan dan meneruskan minat beliau dalam bidang psikologi. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling. Kini, beliau mempunyai perniagaan sendiri dalam bidang pendidikan. Selain mengendalikan Learning Center ini, beliau banyak membuat program-program kemahiran belajar dan motivasi di peringkat sekolah, kolej dan universiti. Beliau juga terlibat dengan Student Learning Enhancement Unit (SLEU) di Universiti Islam Antarabangsa yang berperanan bagi membina modul kemahiran belajar dan jati diri bagi pelajar di peringkat sarjana muda. Semasa usia remaja, Osman Affan adalah seorang pelajar yang aktif. Di sekolah rendah, selain menjadi ketua pengawas, beliau banyak mewakili sekolah dalam aktiviti seperti perkhemahan pengakap, bola sepak, menghafaz Al-Quran dan drama bahasa Inggeris. Di sekolah menengah pula, beliau aktif dan mewakili sekolah ke pertandingan hoki, catur, bola keranjang, silat olahraga dan lontar peluru. Di tingkatan dua, beliau pernah terpilih mewakili Terengganu ke pertandingan catur yang diadakan di Sabah. Di Kolej Islam Sultan Alam Shah, beliau dianugerahkan dengan Anugerah Emas. Anugerah ini diberikan sempena kecemerlangan beliau di dalam peperiksaan SPM dan peperiksaan Sijil Khas Kolej. Kecemerlangan beliau dalam aktiviti sukan iaitu sukan lontar peluru, bola keranjang dan silat olahraga dan kecemerlangan kepimpinan kerana memegang jawatan sebagai Ketua Pelajar dan Presiden Persatuan Silat Seni gayung Malaysia. Keaktifan beliau tidak terhenti di setakat itu sahaja. Di Pusat Pendidikan Persediaan (PPP) ITM Shah Alam, beliau terpilih sebagai presiden bagi persatuan pelajar yang ke United Kingdom dan mewakili PPP ITM dalam sukan catur, bola keranjang dan juga dalam pertandingan drama antara matrikulasi. Minat beliau dalam penulisan berputik apabila beliau cuba menyampaikan mesej kemahiran belajar kepada para pelajar beliau. Beliau sedar agak sukar bagi membuat pelajar sedar kepentingan mempunyai kemahiran belajar. Usaha ini dapat menjadi berkesan apabila pelajar diberikan cerita-cerita menarik yang berkaitan dengan kemahiran belajar dan motivasi. Di situlah mulanya Osman Affan menulis cerita-cerita pendek bagi pelajar beliau. Kini, beliau kumpulkan hasil penulisan beliau ke dalam sebuah buku bagi lebih mudah difahami. Latar belakang Osman Affan yang lebih lanjut dapat didapati di www.osmanaffan.com.