Penulis

Tengku Asmadi Tengku Mohamad

Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad dilahirkan pada tanggal 23 Jun 1964 di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu. Beliau mendapat didikan awal daripada Sek. Keb. Seberang Takir dan Sek. Men. Keb. Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu. Pada tahun 1988 beliau menerima ijazah dalam bidang kejuruteraan Sumber Mineral daripada Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Kecemerlangan akademiknya membolehkan beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di University of Queesland, Brisbane, Australia di bawah tajaan IDP Australia. Pada tahun 1994, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, Ph.D, dalam bidang kejuruteraan perlombongan. Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kampus Kejuruteraan, USM, tetapi akhirnya pada tahun 1995, meletakkan jawatannya kerana menceburkan diri dalam bidang motivasi secara sepenuh masa. Beliau adalah pengasas kursus Motivasi Alihan Pelajar yang dimulakan sejak tahun 1996 lagi dan melahirkan lebih 50,000 pelajar di seluruh negara. Kursus ini berjalan hampir setiap minggu dan dikendalikan oleh MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd. di mana beliau sendiri adalah Pengarah Urusannya. Beliau sering dijemput oleh pihak TV3 dalam program Motivasi Pagi, MHI, Wanita Hari Ini dan al-Hidayah. Pihak TV1 pula pernah menjemput beliau dalam segmen Inspirasi Pagi dan Selamat Pagi Malaysia. Beliau juga pernah muncul di Astro Ria dalam program Malam Ini Bersama Linda, Malam ini Z&R dan Bersama Anita. Suara beliau sering kedengaran di radio IKIM.FM, Perak FM, Nasional FM dan banyak lagi. Beliau juga sering menjadi penulis tamu dalam majalah Ibu Bapa, Cermin, RAPI, Majalah-I, Keluarga, Feminin, Variasi, Wawancara, Mingguan Perdana, Inspirator, Nur dan lain-lain. Pelbagai syarikat, organisasi, persatuan, jabatan-jabatan kerajaan, sekolah-sekolah, kolej dan universiti sering menjemput beliau bagi memberikan ceramah. Ceramah beliau banyak menyentuh aspek pelajar, remaja, kekeluargaan, keibubapaan, keusahawanan dan pembentukan sikap.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024