Penulis

Zaid Akhtar

Zaid Akhtar atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Abdul Majid lahir di Endau, Mersing pada 16 April 1977. Anak kedua daripada tiga beradik. Mendapat pendidikan awal di SK Teluk Lipat, Endau dan menengah di SMK Agama Segamat sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Bahasa Arab di Kulliyyah Adab, Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan. Kini selain mengajar di sekolah lamanya selaku guru bahasa Arab, Zaid turut menyambung pengajiannya ke peringkat Sarjana di Universiti Malaya.

Mula menulis pada akhir 1993 dan cerpen sulungnya yang tersiar di majalah Dewan Siswa Januari 1994 berjudul Juara yang Tewas telah memenangi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat- DBP 1994. Selain itu, cerpen Mencari Kiblat terpilih untuk memenangi Pertandingan Cerpen Sekolah Menengah Malaysia 1994 (Minda Pelajar-DBP). Dua lagi cerpen beliau telah meraih anugerah dalam Hadiah Sastera Darul Ta’zim iaitu Nil Masih Mengalir (HSDT III – 2001) dan Pendedahan (HSDT V – 2005). Sementara dua novel beliau iaitu Sesegar Nailofar (2000) dan Rona Bosphorus (2002) telah memenangi tempat ketiga dan kedua Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Kedua-dua novel tersebut turut meraih anugerah dalam Hadiah Sastera Darul Ta’zim IV (2003) dan V (2005). Novel bersiri beliau berjudul Salju Sakinah juga tersiar setiap Isnin-Rabu sepanjang 2005 di Ruangan Agama Utusan Malaysia.Pada tahun lalu, beliau terpilih untuk mewakili Malaysia sebagai peserta ke Program Penataran Sastera MASTERA (genre novel) di Bogor, Indonesia. Weblog peribadi beliau boleh dilawati di www.myzaidakhtar.blogspot.com. Terbaru, novel keempat Zaid, Justeru Impian di Jaring telah memenangi tempat ketiga Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006. Selain itu, beliau turut dipilih sebagai penerima Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor 2007.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024