Artikel

10 Buku Terbaik 2018

oleh Helmi pada 10 Jan 2019

Memasuki ke tahun 2019, mesti anda semua nak tahu senarai buku-buku terbaik sepanjang 2018. Memori 2018 dengan bau buku-buku baru terus terpaut di ingatan kita masing-masing. Kami senaraikan Top 10 buku bestseller sepanjang tahun 2018

1. 77 Resipi Istimewa Pressure Cooker - Chef Hanieliza

Chef Hanieliza sudah menerbitkan 80 buah buku bersama PTS sejak jun 2009 sehingga sekarang. Buku 1 hari 1 resipi karya beliau sebelum ini juga pernah mendapat jualan buku paling tinggi. Bagi tahun 2018, beliau menang lagi dengan karya ini- 77 Resipi Istimewa Pressure Cooker. Buku ini mendapat carta jualan laris di kebanyakan kedai buku di seluruh Malaysia. Mungkin disebabkan fenomena memasak menggunakan periuk ‘pressure cooker’.

2. 77 Resipi Istimewa Air Fryer - Chef Hanieliza

Mungkin orang kita minat resipi yang sihat sekarang, kurang makanan berminyak tetapi nak makan makanan bergoreng, sebab itu buku ini tersenarai dalam buku bestseller pada tahun lalu. Buku ini menghimpunkan 77 resipi istimewa pelbagai aneka hidangan harian yang mudah dan cepat dimasak dengan Air Fryer pelbagai guna. Buku ini juga dihasilkan oleh Chef Hanieliza.

3. Nasihat Buat Diri: Habib Ali Zainal Abidin - Nur Mohamad Adli Rosli

Buku berbentuk motivasi ini ditulis oleh Nur Mohamad Adli Rosli. Kesemua kandungannya didapati dari kebanyakan kuliah yang disampaikan oleh Habib Ali Zainal Abidin. Buku ini mengumpulkan 40 nasihat, merupakan kesinambungan dari judul bestseller: Nasihat Buat Hati. Adli Rosli adalah pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Anak kelahiran dari Kuantan, Pahang ini dilahirkan pada 25 Mei 1990. Beliau bergiat aktif dalam penganjuran majlis-majlis Talaqqi juga dilantik sekarang ini sebagai Pengerusi Majlis Ta’lim An-nur, iaitu sebuah organsasi pengajian kitab-kitab agama di bawah bimbingan Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll As-Senariy.

4. Nasihat Buat Hati: Habib Ali Zainal Abidin - Nur Mohamad Adli Rosli

Siapa yang sedang marah, yang rasa tak tenang, hatinya gundah gulana, carilah masa untuk dapatkan dan beli buku ini. Buku ini betul-betul bercakap tentang pembersihan hati. Orang yang baik tak mengutuk orang lain adalah orang yang hatinya baik. Orang yang boleh bercakap dengan sopan dan beradab adalah orang-orang yang hatinya baik yang datang dari keluarga yang hatinya baik. Buku ini juga karya Adli Rosli. Mendapat sambutan yang menggalakkan dari semua pembaca di Malaysia.

5. Travelog Haji Edisi Terkini - Prof. Kamil Ibrahim
Buku ini adalah ‘remake’ dari karya asal Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman yang diterbitkan pada tahun 2008. Edisi ini adalah edisi ‘remake’ kali yang ketiga- menunjukkan karya ini betul-betul ‘evergreen’ dan ceritanya boleh membuatkan kita menangis dan teruja dengan tanah haram Makkah dan Madinah. Percayalah, anda baca tiga halaman pertama, anda akan teruskan sampai habis dan baca karya-karya lain Prof. Kamil dengan isterinya Roza Roslan.

Muhd Kamil Ibrahim adalah Profesor Perakaunan daripada Universiti Taibah, Madinah Al-Munawwarah, Arab Saudi. Beliau pernah menjawat sebagai Profesor Perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2003 hingga 2011. Anak kelahiran Besut, Terengganu pada 19 Mei 1964. Berkelulusan PhD daripada Universiti Wales, Sarjana daripada Universiti Dundee, Sarjana Muda dan Diploma daripada UiTM.

6. 55 Petua Orang Berjaya - Mohd Fadzilah Kamsah, Fadzli Yusof

Kali pertama buku ini terbit pada tahun 2005 dan edisi kedua pada 2006. Buku ini sudah terjual melebihi 30 000 naskah. Bukan sahaja mengandungi cerita-cerita menarik, bahkan tips-tips praktikal yang dapat diamalkan terus. Gandingan Prof. Fadzilah Kamsah dan Tuan Fadzli Yusof betul-betul berjaya membuatkan buku ini bangkit. Tahniah!

7. As-Syamail Al-Muhammadiyah - Imam Tirmizi, Muhammad Masnur Hamzah

As-Syamail Al-Muhammadiyah: Keagunganmu Ya Rasulullah menjadi salah satu bahan bacaan wajib untuk kita kenal dan memahami sifat keperibadian Rasulullah SAW semasa hayatnya melalui hadis-hadis yang dikumpulkan di dalam buku ini. Buku ini pernah disenarai dalam 20 buku pilihan pembaca pada tahun 2017.

8. Fahami Bacaan Dalam Solatmu - Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron, Ibrahim bin Hashim

Karya barisan panel penulis yang berautoriti dalam bidang agama ini adalah sebahagian daripada inisiatif bagi membantu orang Islam dalam memahami bacaan dalam solat mereka. Buku ini menyediakan panduan bergambar cara yang betul menunaikan solat, terjemahan lengkap dan secara per-kata bagi setiap ayat serta perkataan yang biasanya dibaca dalam solat. Di penghujung setiap bab, latihan kefahaman disediakan bagi menguji dan meningkatkan daya ingatan serta hafalam pembaca.

9. Ulama Hadis: Makhluk Asing Dari Bumi - Kamilin Jamilin, Ph.D

Banyak buku tentang hadis di pasaran membincangkan tentang hadis, tetapi dalam buku ini, Dr. Kamilin Jamilin membawa kita menyelami Lebih 70 kisah-kisah luarbiasa tetapi benar tentang ulama-ulama yang telah menjadi perawi dalam setiap hadis yang kita baca. Dr. Kamilin Jamilin, Ph.D adalah pensyarah di Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau juga adalah Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan yang termuda.

10. 365 Tip Didik Anak Gaya Nabi - Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki

Buku ini kita boleh kategorikan dalam ilmu ‘parenting’. Di zaman yang serba canggih, anak-anak di usia remaja lagi sudah memiliki telefon pintar di tangan, tentu saja menjadi tantangan yang cukup besar untuk para ibu bapa mendidikan anak-anak. Lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang sibuk mencari rezeki di luar dari pagi dan sampai di rumah pada malam. Buku ini memberi tip yang cukup mudah dan boleh kita praktikkan setiap hari.

Ustazah Isfadiah dikurniakan enam orang cahaya mata bersama pasangan beliau, Ustaz Muhidin Mokter. Beliau merupakan graduan dan mantan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sering menjadi tetamu jemputan di radio dan televisyen terutamanya dalam topik keibubapaan dan fiqh wanita.

Terima kasih atas sokongan para pembaca PTS!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024