Artikel

5 Perkara Yang Dilakukan oleh Dr. Nik Salida Sehingga Beliau Memperolehi PhD

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 29 Dec 2016

*Nota Editor: Artikel ini diambil dari buku PhD Mama, yang ditulis oleh Dr. Nik Salida & Bahruddin Bekri

Bergelar seorang ibu tidak menjadi penghalang untuk saya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Lagi pula, ia adalah syarat universiti tempat saya berkhidmat sebagai pensyarah.

Tiga tahun bermandi keringat demi segulung ijazah, akhirnya membuahkan hasil. Kini, saya terpanggil untuk berkongsi secara ringkas beberapa pengalaman yang mungkin boleh dijadikan panduan sebelum anda melanjutkan pelajaran ke luar negara.

1. Pilih universiti berdasarkan kepakaran

Selaku pensyarah, saya perlu melanjutkan pelajaran bagi menaiktaraf ilmu pengetahuan demi kepentingan pelajar dan pendidikan universiti.

Saya memilih untuk melanjutkan pelajaran di England kerana universiti mereka mempunyai kepakaran terbaik dalam bidang pendidikan.

Saya mula mengisi permohonan ke beberapa universiti di sana dan universiti terawal yang menjawab permohonan saya adalah Keele University.

 keele univerity

Memang ia bukan universiti terkenal, tetapi kepakaran dalam dunia akademik amat masyhur.

Kita memilih universiti bukan kerana populariti, tetapi kerana kepakaran yang mereka miliki.

2. Hargai pengorbanan insan tersayang

Saya sangat berterima kasih atas pengorbanan ahli keluarga saya, terutama suami. Ketika itu, suami saya seorang peguam, anak sulung saya berusia lapan tahun, dan anak kedua empat tahun.

Demi memastikan keselamatan saya dalam mencapai cita-cita, suami sanggup bercuti tanpa gaji. Subhanallah, pengorbanan cukup besar bagi saya!

Bukan mudah untuk dia tinggalkan syarikat yang sudah dianggap sebagai ‘anak’.

Pengorbanan anak-anak mungkin tidak ketara, tetapi untuk suami tercinta, pengorbanan beliau sangat besar. Saya amat berterima kasih atas pengorbanan mereka.

3. Toleransi dalam institusi keluarga

Satu perkara yang sering saya fikirkan adalah tentang anak-anak. Sekiranya di Malaysia, dalam kesibukan kami, ada seorang pembantu rumah terbaik dalam hal menguruskan mereka.

Sekali lagi, suami saya secara sukarela menawarkan diri menjadi pembantu di rumah. Lagipun, dia memang datang ke sini untuk menjaga kami dan tiada rancangan untuk bekerja.

Lalu rutin harian kami bermula apabila suami menghantar anak-anak ke sekolah.

Sebagai seorang ibu, sesibuk mana pun dia, pasti anak-anak menjadi keutamaan. Alhamdulillah, Allah kurniakan seorang suami yang memahami keadaan ini.

4. Disiplin diri

Hanya semester pertama memerlukan saya untuk menghadiri kuliah. Semester seterusnya, saya memilih untuk belajar di rumah.

Kadangkala saya terfikir, bolehkah saya habiskan belajar dalam masa tiga tahun? Dengan keluarga, dengan anak lagi.

Melihat pengorbanan keluarga, saya harus merangka strategi supaya cita-cita saya tidak putus di tengah jalan. Mujur saya sudah dilatih untuk berdisiplin sejak kecil.

Saya buat peraturan, mesti belajar 10 jam sehari. Wajib! Jikalau tidak genap 10 jam, saya tidak akan tidur.

Walaupun begitu, saya masih mampu menyusun masa kualiti bersama suami, anak-anak, dan juga untuk diri sendiri. Hampir setahun, baru saya betul-betul dapat menyesuaikan diri.

5. Ingat kembali kepada permintaan kita

Sebelum saya melanjutkan pelajaran, saya sempat ke Mekah bagi menunaikan umrah. Di hadapan Kaabah, saya bermohon agar dapat menyiapkan PhD dalam masa yang diperuntukkan.

Saya sentiasa mengingatkan diri tentang permohonan ini apabila sesi pembelajaran bermula. Mengapa? Kerana apabila kita sudah berdoa dan meminta, Allah memang hendak beri, hanya tunggu masa.

Andai kita lalai, terlupa, dan tidak hargai, maka kita tidak dapat apa yang kita minta.

Ramai bertanya;

“Macam mana duduk di luar negara, Dr.?”

Soalan yang sekali imbas tampak mudah, tetapi jawapannya tidak pernah mudah.

Ingat, jalan cerita kita berbeza. Nasihat saya untuk semua, kenali matlamat kita, kekuatan diri, dan keadaan keluarga. Insyaallah, anda mampu menghadapi kerenah belajar di luar negara.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024