Artikel

5 Sebab Utama Kenapa Ramai Orang Tertarik Menyertai ISIS

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 17 Oct 2016

Saban hari, ada sahaja cerita tentang keganasan yang dilakukan oleh kumpulan pelampau Islam. Terkini, kumpulan yang dikenali sebagai Daesh atau IS ini sudah mula menular dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Gerakan radikal ini amat ditakuti dunia, lantaran tindakan ganas yang dilakukan tanpa mengenal siapa. Asal sahaja ada yang tidak sependapat dengan mereka, maka hukuman mati adalah tindakan penghabisan.

Bagaimanapun, mereka tetap mendapat tempat di hati segelintir masyarakat dunia untuk menganggotai kumpulan ini. Terutama dikalangan anak-anak muda. Apakah perkara yang mendorong mereka bertindak sedemikian?

Jihad

1. Slogan Jihad dan Syahid dengan Ganjaran Syurga

Doktrin ini yang disuntik secara halus dengan jaminan syurga bagi mereka yang syahid ketika berperang di jalan Allah, cepat menjalar ke dalam pemikiran masyarakat Islam yang kurang pengetahuan tentang penerapan Islam yang sebenar berdasarkan keadaan semasa.

Oleh itu, tidak hairanlah jika bilangan pengikut mereka semakin bertambah dari semasa ke semasa.

2. Masalah Ekonomi Antarabangsa

Kumpulan ISIS turut menjadikan kegagalan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyelesaikan masalah berkaitan ekonomi dan sosial dalam kalangan negara anggota sebagai pemicu pergerakan mereka.

Usaha PBB yang dilihat tidak serius, membolehkan mereka memberi alasan untuk mentadbir sendiri negara-negara yang diduduki sebagai usaha mengembalikan keadilan dan ketelusan dalam menyelesaikan permasalahan antarabangsa.

UN

Bukankah Islam itu bersifat adil dan telus? Sekali lagi ‘suntikan halus’ berkenaan peningkatan ekonomi dan kawalan permasalahan sosial di bawah pemerintahan mereka menjadi ‘ubat kuat’ untuk segelintir masyarakat menyertai kumpulan ini.

MENARIK: 10 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang ISIS Secara Ringkas

MENARIK: Kemunculan ISIS Akibat dari Al-Quran Disalah Tafsir

ISIS

3. Menghidupkan Kembali Negara Islam

Pergerakan ini tampil lebih berani apabila tindakan yang diambil dalam sistem politik antarabangsa tidak selari dengan pegangan nilai-nilai dalam perlembagaan mereka sendiri. ]

Ia seakan lampu hijau untuk mereka merangka pergerakan sebagai usaha memprotes perkara ini yang akhirnya melibatkan masyarakat dunia.

Buku ISIS

4. Akhir Zaman adalah Zaman Fitnah

Memandangkan keberadaan kita di zaman berleluasanya fitnah, kumpulan ini merasakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mengembalikan kegemilangan Islam seperti mana pemerintahan awal di Madinah.

Melihat keadaan ini, umat Islam akan sedar bahawa kembali kepada Islam yang sebenar adalah jalan penyelesaian yang sebenar bagi menangani isu ini. Sayang sekali, mereka yang belum kenal Islam yang sebenar akan berusaha melaksanakan Islam dengan cara sendiri. Keadaan inilah yang ditunggu-tunggu kumpulan pelampau untuk menyebarkan dakyah mereka.

5. Pendidikan Islam Tidak Bermula dari Rumah

Inilah faktor utama yang sentiasa menyelubungi kita. Pendidikan yang bermula di rumah yang sepatutnya dilaksanakan oleh ibu bapa sendiri, kini diambil alih oleh media luar.

Televisyen yang memaparkan visual keganasan tanpa sedar, disamping kecanggihan gajet dan internet menjadi pengenalan awal kepada pemikiran radikal terhadap anak-anak.

Home Schooling

Kerana itu, amat penting untuk kita mempelajari sejarah selain meneliti makna tersurat dan tersirat berkenaan ayat-ayat Al-Quran dan hadis disamping penerangan tentang Islam dari semasa ke semasa.

Al-Quran ada bercerita tentang Jihad (baca: peperangan), tetapi konteksnya sudah tidak sama lagi dengan kehidupan dunia politkk hari ini yang berteraskan nilai demokrasi.

“Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Al-Maidah: 16)

Sumber: Buku ISIS, tulisan Dr. Maszlee Malik, Dr. MAZA, Jufitri Joha, Dr. Abdul Basir dan beberapa penulis lain lagi.

MENARIK: Dapatkan Buku ISIS, di Bookcafe dengan Tawaran Diskaun

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024