Artikel

Ustaz Kamilin Jamilin Persoal Portal Berita FMT- Beri Gambaran Negatif kepada Qaradhawi

oleh Asri Yussof pada 26 Aug 2018

Ustaz Kamilin Jamilin, penulis buku Ulama Hadis: Makhluk Asing Dari Bumi hari ini mempersoalkan tindakan portal berita Free Malaysia Today (FMT) terhadap berita bertajuk “Qaradawi: Bantu Orang lapar, sakit lebih baik dari pergi haji, umrah.”

Tulis beliau di facebook, berita dengan tajuk seperti ini adalah berita yang dilaporkan dengan tajuk yang menyimpang dari maksud asal ulama besar itu. Daripada berita itu, ramai yang mengecam Dr. Yusuf al-Qaradhawi kerana dianggap telah merendah-rendahkan amalan haji atau umrah yang sangat besar kelebihannya.

“Ini adalah sebahagian contoh berita yang tidak dilaporkan dengan tajuk yang betul oleh pihak Free Malaysia Today (FMT). Saya tidak tahu adakah ianya berlaku kerana tidak amanah, atau kejahilan, atau niat yang tidak baik untuk menimbulkan provokasi terhadap rukun Islam ke-5 ini atau persepsi negatif terhadap tokoh ilmuwan dunia tersebut.”

“Mereka yang jenis malas membaca dan hanya baca tajuk sahaja, atau mereka yang tidak menyukai tokoh ini kelihatan ramai yang mengecam Dr. Yusuf al-Qaradhawi (DYQ) kerana dianggap telah merendah-rendahkan amalan haji atau umrah yang sangat besar kelebihannya.”

Mengupas mengenai perkara yang dibangkitkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi itu, ianya ditujukan kepada mereka yang sudah pergi haji untuk pertama kalinya dan masih lagi pergi menunaikan ibadah haji atau umrah untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya.

“DYQ hanya mengecam mereka yang sudah pernah menunaikan kewajipan hajinya dan mempunyai banyak wang, namun hanya digunakan untuk kepentingan diri sendiri iaitu haji atau umrah berkali-kali dan meninggalkan penggunaan wangnya untuk kepentingan pihak lain yang lebih memerlukan seperti orang miskin dan sakit yang tidak mencukupi keperluan mereka.”

Dr. Kamilin Jamilin, Ph.D adalah pensyarah di Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau juga adalah Ali Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan yang termuda. Buku  Ulama Hadis: Makhluk Asing Dari Bumi menghimpunkan ebih 70 kisah-kisah luarbiasa tetapi benar tentang ulama. Bukan sahaja menjadi motivasi, bahkan uniknya mampu menjadi teguran buat kita semua.

Kamilin Jamilin

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024