Artikel

Antologi Cerpen Sains Fiksyen: Imagikata

oleh Izzati Nadia ZI pada 29 Mar 2016

Sekiranya dilihat pada kulit buku Imagikata ini, apakah yang muncul di benak fikiran anda? Mungkin ia adalah gabungan antara perkataan imaginasi dan kata-kata? Boleh jadi juga. Sebagai seorang pembaca buku ini, saya simpulkan bahawa perkataan unik Imagikata ini adalah gabungan dua perkataan di atas.

Buku ini dihasilkan dengan kerjasama seramai 16 penulis yang berbakat besar dan berfikiran di luar kotak pemikiran manusia biasa.

Antaranya adalah Bahruddin Bekri, Ikmal Ahmad, Ted Mahsun, dan ramai lagi. Kesemua cerita pendek yang terkandung dalam buku ini mempunyai jalan penceritaan yang luar biasa. Kadang kala, tidak pernah terfikir dek akal. Sememangnya cerita-cerita pendek dalam buku ini menakjubkan.

Kebanyakan cerita ini bertemakan sains, masa hadapan, dan sci-fi. Kepada para peminat buku bergenre sains fiksyen, saya yakin buku ini mampu memuaskan kehendak anda.

Tambahan pula, cerita-cerita ini turut mengandungi beberapa pengajaran yang boleh diambil sebagai iktibar. Malah, ada juga pengajaran yang boleh diklasifikasikan sebagai pengajaran yang mendalam.

Antara tajuk-tajuk menarik yang terdapat dalam buku ini adalah Saka, Siapa Manusia, Siapa Binatang, Bajak Hutan, Hari-Hari Hari Ini, Alegori Cycad, dan lain-lain.

Penulis-penulis buku ini berpotensi besar bagi membuatkan para pembaca berfikir sejenak tentang apa yang berlaku di sekeliling kita. Tanpa kita sedari, apa yang berlaku kini mungkin memberi impak yang besar pada masa akan datang.

Selain itu, bukan sahaja kepelbagaian cerita pendek yang boleh menarik pembaca bagi membelek buku ini. Pada pandangan saya, penggunaan grafik bagi menghasilkan kulit buku ini juga perlu mendapat pujian. Terutamanya di bahagian belakang kulit buku.

Sememangnya x-traordinari seperti yang diperkatakan oleh Penerbit X sendiri. Pencapaian buku lokal kita sudah setanding dengan buku-buku yang di import dari luar negara.

Jadi, tunggu apa lagi? Dapatkan naskhah anda dengan segera di kedai-kedai buku yang berhampiran ataupun di kedai buku PTS. Anda juga boleh mendapatkannya secara online di Bookcafe.com.my.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024