Artikel

Peperangan Budaya: Miss KPOP Lawan Che Mek Molek

oleh Asri Yussof pada 10 Mar 2016

Miss KPOP Lawan Che Mek Molek, pertama kali membaca judulnya, kita sudah tahu penulis cuba membawa ‘peperangan’ antara budaya dua negara, Korea lawan Malaysia.

KPOP adalah kebudayaan hiburan yang baru (kita sebutkan ia bukan asal tradisi Korea). Manakala Che Mek Molek, nama untuk sejenis kuih asal dari negeri Kelantan, Malaysia.

Apa yang penulis cuba angkat bukanlah sejarah kuih itu ataupun apa. Tetapi, ia diertikan atas kebudayaan tradisional dan watak Ema Mona diwatakkan asal dari negeri Kelantan.

Tarian dan muzik adalah sesuatu perkara yang begitu sinonim dengan kebudayaan. Mana-mana negara, mana-mana bangsa akan punya kebudayaan tradisional mereka yang tersendiri.

Dalam siri kali ini, pertembungan di antara dua cabang kebudayaan masih dikekalkan temanya sebegitu.

Saya tiada masalah dengan tema seperti ini kerana fokus utamanya adalah kebudayaan. Itu yang harus kita perhatikan.

Klimaks cerita, Minggu Kebudayaan yang diadakan di sekolah menarik minat kedua-dua pihak bagi menyertainya. Mereka ingin menonjolkan budaya masing-masing yang mereka minat.

Syilala dan kawan-kawannya menubuhkan kumpulan yang diberi nama Miss KPOP dengan mempertaruhkan tarian KPOP.

Manakala Ema Mona dengan kawan-kawannya pula  menamakan kumpulan mereka sebagai Che Mek Molek sebagai simbolik bagi mempertaruhkan tarian tradisional.

Hakikatnya, budaya hiburan adalah sesuatu yang tidak boleh kekal. Ia berada pada sudut yang sentiasa berubah dan mengikut kehendak permintaan pasaran (trending).

Dalam masa yang sama, kebudayaan tradisional tidak semestinya dibuang terus dan tidak berguna.

Percubaan Mengangkat isu seperti ini untuk karya sastera kanak-kanak, boleh dipuji. Untuk mengetahui pengakhiran cerita, beli dan baca sekarang!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024