Artikel

Wanita Solehah Idaman Lelaki: Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah

oleh Noor Hidaya Arshad pada 30 Sep 2015

Menjadi isteri dambaan seorang suami memang menjadi idaman setiap wanita yang bergelar isteri. Hari-hari akan terasa begitu indah kerana dapat berkongsi kasih sayang dengan orang yang dikasihi. Allah s.w.t menyatakan dalam surah Ar-Rum, ayat 21: “Antara tanda-tanda kekuasaanNya, Dia ciptakan untuk kamu, isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan antara kamu perasaan kasih sayang. Demikian itu mengandungi keterangan bagi orang yang berfikir.” Tetapi adakah kebahagiaan itu datang begitu sahaja tanpa ada usaha daripada diri kita sendiri?

Naskhah ini merangkumkan hampir kesemua ciri-ciri wanita yang diidamkan para lelaki. Ia bagaikan sebuah manual wanita untuk menjadi insan yang terbaik untuk suami, anak-anak dan keluarga. Penulis juga mendedahkan beberapa personaliti lelaki. Ini sedikit sebanyak membantu wanita mengenalpasti karakter seseorang lelaki yang boleh digunakan semasa berkomunikasi dengan mereka baik secara lisan atau bukan lisan. Buku ini soal cinta. Cinta antara dua insan yang diciptakan untuk saling melengkapi.

Zamri Mohamad, penulis kelahiran Kuala Lumpur ini mula menulis buku pada tahun 2006. Beliau memegang falsafah, memudahkan ilmu untuk masyarakat. Beliau juga menjadi jurulatih penulis dan pengendali bengkel-bengkel penulisan. Penulisan beliau merangkumi isu-isu kekeluargaan, remaja, masyarakat, dan agama. Imran Yusuf pula mempunyai kemahiran dalam bidang penulisan, penterjemahan, dan kemahiran bisnes. Beliau juga seorang penganalisa bisnes yang sering menimba pengalaman ke seluruh pelusuk dunia. Ini menyumbang kepada pengetahuan beliau tentang tingkah laku manusia yang bujang dan yang sudah berkeluarga.

Di dalam buku ini, penulis menyarankan para isteri agar menjadi kekasih hati yang cepat, dekat dan tepat kepada suami agar disayangi sepanjang masa. Cepat dari segi tindak balas, dekat dalam situasi yang dihadapi suami, dan tepat dalam memilih tindakan. Ini semua dapat diperolehi jika wanita mempunyai gaya pendengaran yang efektif. Penulis juga memetik beberapa nasihat Umamah, isteri Auf bin Muhallim Ashaibani kepada anak perempuannya. Antaranya ialah menjaga dua waktu suami, iaitu waktu tidur dan waktu makan. Marah mudah timbul sekiranya lapar dan tidur yang terganggu. Ada juga petua daripada seorang warga Arab Saudi yang mempunyai empat isteri bernama Abu Mahdi, dalam memilih isteri iaitu mengambil wanita-wanita baik yang beriman, berpendidikan agama dan bersedia melahirkan anak. Beliau meletakkan kriteria bersedia melahirkan anak kerana beliau berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w agar meramaikan umat Islam. Menurut beliau, syarat kelayakan berpoligami adalah keikhlasan dan berlaku adil.

Penulis buku Love, Leo Buscaglia mengatakan, cinta adalah perbuatan. Sekiranya kita mahukan cinta, kita bekerja bagi mendapatkannya. Cinta tidak datang dengan hanya duduk menunggu. Menurut kajian, perkahwinan memberi kelebihan yang sama dalam pelbagai segi kepada lelaki dan perempuan. Lelaki mendapati kesihatan mereka bertambah baik berbanding sebelumnya. Manakala bagi orang perempuan, kelebihan dari sudut kewangan. Masing-masing mendapat kelebihan dari sudut yang berbeza. Penulis memberi pandangan terhadap kajian Dr. Harville berkaitan empat fasa perkahwinan bahawa cinta juga boleh dibuang daripada hati. Fasa pertama perkahwinan adalah saat bulan madu yang indah. Namun sekiranya selepas puas menjalin hubungan cinta kemudian berkahwin, maka perkahwinan akan masuk fasa kedua (fasa melihat realiti pada diri pasangan masing-masing). Ini kerana fasa pertama sudah habis digunakan sebelum berkahwin.

Pada bab-bab terakhir naskhah ini, penulis menukilkan sedikit kisah isteri-isteri Nabi s.a.w untuk dijadikan panduan dan teladan. Juga diselitkan beberapa kisah daripada tokoh-tokoh terkenal dan tidak ketinggalan kisah Nabi Allah, Ibrahim a.s bersama isteri baginda, Hajar. Penulis juga menghimpunkan doa-doa yang dapat diamalkan oleh pasangan yang berumah tangga. Beliau meletakkan bab doa di bahagian terakhir buku agar ia meninggalkan kesan lebih berkekalan di minda pembaca.

Melayari bahtera rumah tangga secara realitinya agak mencabar. Tetapi dengan berbekalkan ilmu yang benar dan mengikut garis yang ditetapkan oleh agama, ia dapat dikendalikan dengan mudah kerana adanya bantuan daripada Allah s.w.t. Buku ini membantu kita mengenalpasti selok belok kehidupan berumah tangga. Penulis dengan jayanya membimbing kita mengenal pasangan melalui karakter, latarbelakang psikologi, kehendak emosi, dan cara berkomunikasi. Penulis juga mengajar kita mengendalikan kediaman tempat ahli keluarga berhimpun kerana di sini punca segala asam garam dalam kehidupan berkeluarga.

Naskhah ini tidak terhad pembacaannya kepada pasangan yang berumah tangga. Ia umpama mencari ilmu untuk melayakkan diri ke syurga. Syarat ke syurga, kita perlu meninggal dunia dahulu. Semasa hayat dikandung badan kita harus mencari dan mengamalkan ilmu untuk kita ke syurga Allah. Begitu juga dengan kehidupan berkeluarga. Sebelum melangkah masuk, kita mempersiapkan diri dengan ilmunya agar kita dapat mengharungi segala hal yang mendatang.


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024