Artikel

Froggypapa Kembali dengan Karya Kreatif yang Baru: Budak Komik

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 11 Sep 2015

Ini bukan kisah Froggy dalam siri komik yang satu itu. Ini juga bukanlah kisah mengenai bagaimana seekor katak menjalani kehidupan sehariannya, yang sudah pasti bosan tahap rasa mahu tidur.

Ini adalah sebuah komik yang ditulis oleh penkomik yang tidak asing lagi di Komik-M, Froggypapa. Mengapa namanya Froggypapa? Mohon bertanya sendiri pada empunya badan. Kali ini, Froggypapa melahirkan sebuah lagi komik yang pasti dinanti-nantikan oleh ramai penggemar komik, iaitu Budak Komik.

Sebagai bonus, Froggypapa memberikan beberapa tips berguna untuk mereka yang berminat untuk menulis dan melukis komik. Beliau menceritakan serba lengkap teknik menghasilkan komik daripada mula sehinggalah selesai komik tersebut.

Menurut beliau, teknologi sekarang sudah memudahkan ramai penkomik kerana dapat menghasilkan komik dengan lebih pantas apabila menggunakan peranti tab dan komputer. Bayangkan bagaimana penkomik dulu-dulu, yang terpaksa melukis menggunaka kertas dan dakwat. Andai tersilap, dikonyok dan dicampak jauh ke tong sampah.

Di dalam komik ini juga, Forggypapa menghadiahkan tujuh buah cerita untuk santapan pembaca. Yang pertamanya adalah Budak Komik di mana Hafiz teringat semula bagaimana hidupnya berubah apabila dia mula mengenal komik. Persepsi orang, komik ini hanya bacaan picisan yang tiada guna. Tetapi di dalam siri ini, Froggypapa ingin menyatakan sebaliknya.

Kemudian, pembaca akan dihidangkan pula dengan komik autobiografi, Aku Bola. Ceritanya berkisar tentang kehidupan sebiji bola yang sentiasa menjadi teman Habib. Siapa sangka, seringkas-ringkas jalan cerita, pengakhirannya boleh menyentuh perasaan.

Froggypapa juga mencabar diri beliau dengan menghasilkan komik bisu di siri cerita yang seterusnya yang bertajuk Bendera Aku Dan Kau.

Walaupun ia cerita bisu dan dialognya berbeza mengikut pemikiran pembaca, tetapi pengajarannya tetap sama. Cerita Danial Di Alam PS3 yang seterusnya mempunyai paling banyak pengajaran untuk pembaca, terutamanya golongan pelajar masa kini yang terlalu gemar bermain permainan komputer dan televisyen sehingga mengabaikan pelajaran.

Sesetengah pelajar zaman sekarang sudah tidak pandai bersosial dengan rakan-rakan sebayanya yang lain kerana terlalu khusyuk bermain. Jangan lupa. Kalau anda susah kelak, siapa lagi yang akan membantu anda? Permainan komputer?

Cerita mengenai Pian dalam Pemburu Status terasa amat dekat dengan kita. Dunia tanpa sempadan di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter membuatkan kita semakin tamak.

Bukan tamakkan harta, tetapi tamakkan jumlah bilangan like dan retweet. Atau dengan kata lainnya, terlalu dambakan perhatian. Pian terlalu mengejar populariti status Facebook sehingga mengabaikan nilai-nilai murni lain sehingga akhirnya dia sedar, status atau kata-kata yang ikhlas itulah yang akhirnya akan sampai kepada siapa yang membacanya.

Namun, pembaca yang telah bekerja, terutamanya di yang ruang kerjanya adalah di pejabat mungkin akan gemarkan siri yang terakhir, FB @ Ofis.

Kisahnya mengenai Encik Rajoo yang mula berjinak-jinak dengan FB dan akhirnya mengambil keputusan untuk mengehadkan penggunaan FB di pejabat. Sangkanya, produktiviti akan meningkat. Namun lain pula yang jadi. Mungkin para bos boleh ambil iktibar daripada kisah ini untuk membenarkan staf pejabat melayari FB di ofis. He he he….

Froggypapa juga menyelitkan beberapa trivia dan kisah hidup beliau di dalam komik ini. Jangan risau, itu bukannya kisah hidupnya yang bosan. Kebanyakannya boleh buat anda tersengih seorang diri. Jadi, segeralah dapatkan komik ini. Ia bukan komik picisan dan ia bukan sebarang komik. Anda akan puas hati!


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024