Artikel

Propaganda dan Konspirasi yang Menyelubungi Kita: Trust No One

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 28 Apr 2015

Tiada apa yang menarik pada tanggal 8 Mac sebelum ini. Namun, pada 2014, tarikh tersebut menjadi tumpuan pelusuk dunia dan mimpi ngeri bagi lebih 200 keluarga. Sebuah kapal terbang komersial MH370 milik Malaysian Airlines System (MAS) telah tiba-tiba ghaib sewaktu dalam perjalanan menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur. Pencarian demi pencarian mula dijalankan. Banyak aset negara dikerahkan untuk membantu usaha pencarian. Malah, sehingga ke hari ini usaha masih lagi diteruskan walaupun sudah lebih setahun peristiwa itu berlaku. Ramai yang menyangka pesawat tersebut terhempas, meletup atau yang lebih tidak masuk akal, ghaib ke alam bunian. Namun, apa yang anda akan lakukan jika sebenarnya kehilangan pesawat MH370 itu merupakan salah satu agenda dan konspirasi sesetengah negara besar?

Tuan Jerry D. Gray telah mengupas dengan penuh teliti berdasarkan bukti-bukti yang beliau ada mengenai teori konspirasi ini. Siapa yang pernah sangka kapal terbang itu mungkin disengajakan hilang daripada radar. Namun, mengapa MH370? Apa tujuannya? Anda harus terus bertanya.

Selain itu, penulis ini juga mempersoalkan beberapa siri gempa bumi yang melanda dunia. Jika sebenarnya gempa bumi yang berlaku di Jepun dan Acheh tempoh hari sebenarnya adalah bukan bencana alam, tetapi sebaliknya adalah buatan manusia, apakah yang anda akan lakukan? Siapa yang terlibat? Kenapa data-data gempa bumi itu diubah? Teruskan menyoal.

Vaksin yang sepatutnya menjadi pelindung penyakit dan susu lembu yang dikhabarkan baik untuk kesihatan, apakah yang anda akan lakukan jika sebenarnya itu semua hanyalah propaganda negara-negara tertentu? Apa yang akan terjadi pada kita jika sebenarnya vaksin dan susu lembu itu sebenarnya tidak baik untuk diri dan hanya memudaratkan?

Tuan Jerry D. Gray acapkali mengingatkan kita agar jangan sewenang-wenangnya percaya dengan perkhabaran media. Sebagai manusia, kita harus sentiasa mempersoalkan setiap apa yang terjadi. Sentiasa tanamkan perasaan was-was dalam diri kerana dalam dunia akhir zaman ini, macam-macam boleh terjadi. Lagi-lagi, mereka yang kita sangkakan sahabat tetapi sebenarnya adalah musuh dalam selimut.


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024