Artikel

Bahasa Mata

oleh Helmi pada 19 Jul 2004

KOMUNIKASI mata adalah jenis bahasa badan yang paling penting. Ia mempunyai pelbagai fungsi dan fungsi-fungsi itu penting-penting belaka.

1. Mengawal tindak balas
Kita menggunakan sentuhan mata bagi mengawal tindak balas. Kita pandang mata orang itu untuk bertanya “Apa pendapat awak?” atau “Apa kata awak?” Apabila orang bercakap kepada kita, kita pandang matanya bagi memberitahu dia kita mendengar apa yang dikatakannya. Kajian menunjukkan apabila berbual-bual, pendengar lebih banyak memandang mata penutur daripada sebaliknya.

2. Menjaga minat dan perhatian
Kita melakukan perbuatan ini bagi menjaga minat dan perhatian. Apabila kita bercakap kepada dua ataupun tiga orang serentak, kita akan pandang mata mereka secara bergilir-gilir supaya mereka kekal memberi tumpuan kepada apa yang kita perkatakan.

3. Memberi giliran bercakap
Kita lakukan perbuatan ini bagi memberitahu orang itu, kini dia boleh bercakap. Biasanya kita lakukan ini apabila kita akan habis bercakap tidak lama lagi dan kita hendak memberitahu orang itu, sekarang sudah sampai giliran dia pula bercakap.

4. Gambaran hubungan
Kita juga memandang mata orang itu bagi menggambarkan apa jenis perhubungan yang ada antara kita dengannya. Apabila kita menyukai orang itu, kita banyak memandang matanya. Menurut kajian, kalau kita memandang dia lebih daripada 60 peratus, itu tandanya kita lebih berminat kepada orangnya daripada apa yang dikatakannya.

5. Menggambarkan status
Biasanya, kita lebih banyak memandangkan mata orang itu, kalau kita yang mendengar. Tetapi kalau kita hendak menguasai orang itu, perbuatan ini kita terbalikkan. Kita akan banyak memandang dia semasa kita bercakap dan kurang memandang dia, sewaktu mendengar. Dengan cara itu kita memberitahu dia status kita lebih tinggi. Satu cara lain yang kita yang kita gunakan bagi menyatakan status kita lebih tinggi ialah dengan menurunkan kening mata kita.

6. Menyatakan emosi
Dengan menggunakan pandangan mata, kita boleh juga menyampaikan perasaan benci, tidak peduli dan berahi.

7. Merapatkan jarak psikologi
Kita juga menggunakan pandangan mata bagi merapatkan jarak psikologi apabila antara kita dan orang itu ada jarak ruang. Sebagai contoh, dalam majlis kita duduk berasingan dengan orang yang kita cintai, dengan cara memandang matanya, secara psikologi kita berasa dekat padanya.

Kajian menunjukkan perempuan lebih banyak membuat sentuhan mata dibandingkan dengan lelaki. Mereka lakukan ini sama ada mereka bercakap sesama perempuan ataupun semasa bercakap dengan lelaki. Di samping itu perempuan lebih banyak melakukan perbuatan-perbuatan intim dibandingkan dengan lelaki. Sebagai contoh, mereka lebih banyak melakukan pendedahan diri dan lebih banyak menggunakan bahasa kasih sayang.

Bilakah masanya kita tidak mahu melakukan komunikasi mata? Pertama, apabila kita tidak mahu mencerobohi privasi orang lain, umpamanya apabila kita nampak orang lain bertengkar ataupun berasmara. Kedua, apabila kita hendak memberitahu orang itu kita tidak ada minat melihat sesuatu perkara. Yang anehnya, kalau kita tidak berminat hendak mendengar apa yang kita dengar, kita juga menutup mata kita atau memalingkan muka kita daripada sumber bunyi itu. Sebagai contoh, ini kita lakukan apabila mendengar muzik yang kita benci. Ada kalanya kita sengaja menutup mata kerana tidak mahu gangguan visual dan kita hendak lebih menghayati apa yang kita sedang alami. Sebagai contoh, kita menutup mata semasa mendengar muzik kegemaran kita.

Kajian menunjukkan apabila kita meminati apa yang kita lihat, anak mata kita akan membesar. Kajian juga menunjukkan kita anggap orang yang anak matanya besar sebagai lebih menarik daripada yang tidak. Barangkali, ini kerana kita tertarik kepada tanda-tanda orang itu tertarik kepada kita. Pada amnya ada empat panduan berkenaan sentuhan mata:

1. Kalau ada orang di sebelah sana memandang tepat kepada kita, orang itu mengajak kita berinteraksi dengannya. Kalau kita membalas pandangannya, itu bermaksud kita terima ajakannya.

2. Pandangan yang tepat dan berterus-terang biasanya diterima dengan baik.

3. Kalau kita sedang berucap dan kita menyentuh hadiran dengan pandangan, mereka akan mendapat kesan kita seorang yang berhemah tinggi, ikhlas dan jujur.

4. Dalam perbualan normal, kita membuat sentuhan mata yang pendek-pendek dan sekali sekala. Kalau cara itu diganti dengan sentuhan mata yang lama, itu tandanya, kita lebih berminat kepada orang itu, bukan kepada apa yang dibuatnya.

Mengikut teori program meurolinguistik, daripada gerak-geri mata seseorang, kita boleh tahu apa yang difikirkan-nya. Mengikut pakar-pakar teori ini:

1. Mata yang memandang ke kanan ke atas menunjukkan kita sedang cuba menggambarkan kejadian yang kita belum pernah lihat.

2. Mata yang memandang ke kiri dan ke kanan menunjukkan kita sedang cuba menggambarkan kejadian yang pernah kita lihat.

3. Mata yang di tengah-tengah tetapi menjeling ke kanan menunjukkan kita sedang cuba membayangkan bunyi tidak pernah kita dengar.

4. Mata yang di tengah-tengah tetapi menjeling ke kiri menunjukkan kita sedang cuba membayangkan bunyi yang pernah kita dengar.

5. Mata yang memandang ke kiri dan ke bawah menunjukkan orang itu sedang bercakap dengan dirinya sendiri.

6. Mata yang memandang ke kanan dan ke bawah menunjukkan orang itu sedang merasakan pelbagai sensasi seperti bau, perisa, sentuhan dan perasaan.

7. Mata yang berada di tengah tetapi tidak terfokus menunjukkan orang itu sedang cuba melihat gambar-gambar dalam otaknya.

Salah satu teori mengatakan tiap-tiap orang mempunyai kegemaran sendiri berkenaan saluran maklumat yang mereka sukai. Ada orang yang bersifat visual iaitu mereka suka menerima dan menghantarkan maklumat secara yang boleh dipandang mata. Ada orang yang bersifat auditori iaitu mereka suka menggunakan saluran bunyi yang boleh didengar. Ada pula orang yang bersifat kinestetik iaitu mereka suka saluran deria yang menggunakan sentuhan, bau, perisa dan perasaan.

Orang-orang yang visual akan menunjukkan mata yang memandang ke atas dan mata yang tidak terfokus. Orang-orang yang auditori akan menunjukkan mata yang bergerak ke kiri ke kanan, atau ke kiri dan ke bawah. Orang-orang yang kinestetik menunjukkan mata selalu ke kanan. Kajian juga menunjukkan personaliti seseorang ada kaitan dengan tabiat sentuhan mata. Orang-orang yang mesra, dan pemurah dan suka menolong orang didapati banyak membuat sentuhan mata. Sentuhan mata yang kerap pula menunjukkan minat dan kasih sayang.

Pelbagai kajian melaporkan, ketika berbual, perempuan lebih banyak melakukan sentuhan mata daripada lelaki, lebih-lebih lagi apabila perempuan bercakap sesama perempuan. Tempoh sentuhan mata mereka juga lebih panjang daripada yang dilakukan oleh lelaki. Sewaktu bercakap, perempuan lebih banyak membuat sentuhan mata, begitu juga sewaktu mereka mendengar, sewaktu mereka diam, sama ada dalam perbualan rasmi mahupun perbualan tidak rasmi.

Sentuhan mata ialah ciri perilaku golongan yang memerlukan persetujuan pihak lain, iaitu perilaku orang-orang berstatus rendah. Daripada suatu sudut, barangkali wanita lebih banyak melakukan sentuhan mata disebabkan oleh kenyataan perempuan lebih banyak melakukan kegiatan mendengar berbanding lelaki yang lebih banyak melakukan kegiatan bercakap. Adalah didapati, baik di kalangan lelaki mahupun perempuan, sentuhan mata lebih banyak dilakukan dalam kegiatan mendengar daripada bercakap.

Meskipun wanita lebih banyak membuat sentuhan mata, mereka juga lebih banyak melarikan pandangan apabila bertembung mata. Dalam lain perkataan, walaupun perempuan lebih banyak memandang orang lain, mereka juga lebih banyak melarikan pandangan apabila ditenung. Lelaki pula didapati lebih banyak membuat tenungan, berbanding perempuan.

Perbuatan merenung dan melarikan mata selaras dengan hierarki status. Kajian mendapati orang yang berstatus tinggi membuat lebih banyak tenungan kepada orang yang berstatus rendah. Orang yang berstatus tinggi boleh memilih sama ada mahu memandang atau tidak mahu memandang orang berstatus rendah sewaktu bercakap mahupun waktu mendengar. Kajian menunjukkan orang yang berstatus rendah lebih banyak memandang kepada orang yang berstatus tinggi, daripada sebaliknya.

Adalah didapati orang lebih banyak memandang sewaktu mereka mendengar daripada sewaktu mereka bercakap. Orang yang berstatus rendah lebih banyak memandang apabila mendengar orang yang berstatus tinggi bercakap kepadanya dan mereka kurang memandang apabila mereka sendiri sedang bercakap kepada orang yang statusnya lebih tinggi. Namun, didapati orang yang berstatus tinggi tidak pula lebih banyak memandang, ataupun kurang, sama ada waktu mereka mendengar ataupun sedang bercakap kepada orang yang berstatus rendah.

Tabiat lelaki yang tidak gemar memandang muka perempuan semasa perempuan itu sedang bercakap kepadanya, atau sewaktu lelaki sedang mendengar perempuan bercakap adalah menyakiti hati perempuan. Tabiat ini perlu diperbaiki. Bagi mengambil hati perempuan, lelaki perlu belajar memandang wajah perempuan sewaktu mendengar perempuan itu bercakap dan sewaktu lelaki sendiri sedang bercakap kepada perempuan.

Orang yang berdusta juga tidak mahu menentang mata kita, dia akan berusaha melarikan matanya ke tempat-tempat lain. Kalau dia duduk di meja makan, dia mungkin bercakap dengan mata memandang cawan kopinya. Kalau di meja kerja, dia memandang fail-fail dan kertas yang ada di depannya. Kalau di taman bunga, dia memandang langit, pokok atau orang-orang lain yang ada di situ sambil dia bercakap-cakap. Mata orang yang sedang berdusta banyak berkelip-kelip. Dan kelipannya lebih laju daripada biasa.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024