Artikel

Adakah Kita Telah Siap Untuk Menghadap Ilahi?: Jihazul Madihah (Persiapan yang Terpuji)

oleh Muhamad Syarafuddin bin Sulaiman pada 15 Sep 2015

Buka-buka sahaja buku ini, terus ternampak tajuk: Golongan yang Perlu Mengingati Mati.

Jadi tertanya-tanya juga, walaupun tajuk itu bukan dalam bentuk soalan. Agak-agaknya golongan jenis bagaimana yang perlu mengingati mati?

Tulis Ustaz Azhar, golongan yang pertama adalah: Orang yang beriman.

Terus insaf.

Betullah. Mati ini selalu terasa jauh, padahal makin mendekat. Apabila kita lahir sahaja, umur kita hanya akan memendek, dan tentulah apabila hayat berakhir, matilah yang muncul.

Kalau kita ini beriman, kita akan sentiasa beringat dengan mati.

Jihazul Madihah: Persiapan yang Terpuji dalam Menguruskan Jenazah ini bukanlah seperti mana buku-buku lain yang sinonim dengan nama Ustaz Azhar Idrus. Ustaz Azhar biasanya dikaitkan dengan lawak jenaka, tetapi buku ini mana mungkin buku yang cuba berlucu.

Tetapi tentulah ada istimewanya juga sehingga penerbit sanggup pasarkan.

Pertama, buku ini dikarang sendiri 100% oleh Ustaz Azhar. Beliau menulis naskah asalnya dengan tangan, dalam tulisan jawi. Penulisan dalam bentuk jawi itu dikekalkan dalam buku ini, dan ditambah pula dengan penulisan rumi yang dipecahkan mengikut bab-bab.

Kedua, buku ini ditulis mengikut kaedah yang sesuai dengan mazhab Syafie. Maka pembaca tidak perlu pening-pening dengan perbezaan yang wujud antara pelbagai mazhab.

Ketiga, buku ini cukup terperinci dalam menceritakan bagaimana menguruskan jenazah. Bermula daripada persoalan sakit, melawat orang sakit, dan seumpamanya, kepada persoalan yang nampak kecil seperti bagaimana melembutkan sendi jenazah.

Mungkin kita terasa ilmu ini semua tidaklah begitu penting. “Nanti kita upah sahaja orang untuk mandikan dan kafankan.” Begitu jugalah proses yang lain-lain. Tetaplah, seperti mana yang pernah diingatkan oleh seorang ustaz, “Adakah sama layanan seorang anak dalam menguruskan jenazah ibu bapanya, dengan layanan orang lain?”

Ilmu pengurusan jenazah ini, paling tidak, berguna apabila kita mahu menguruskan orang tersayang. Apakah penghormatan terakhir paling besar yang dapat kita berikan, selain daripada menguruskan sendiri buah hati kita dengan tangan sendiri? Memastikan bahawa setiap satu tertib dilaksanakan dengan cara terbaik, dan si mati dilayan dengan layanan paling terpuji.

Sekiranya sekarang ini pun, kita masih was-was lagi, jangan bimbang. Buku Jihazul Madihah ini berwarna-warni. Di dalamnya ada gambar-gambar. Insyallah boleh bantu kita dalam menghayati apa yang Ustaz Azhar mahu sampaikan.


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024