Artikel

Aktiviti yang Diminati Oleh Setiap Orang: OMG! Gila Shopping

oleh Siti Zulaikha Zaherman pada 14 Oct 2015

Shopping. Satu terapi diri, hobi dan siapa sahaja di dunia ini tidak gemar pada tabiat shopping ini. Tidak kira lelaki atau wanita, semua di antara kita pasti suka membeli-belah. Pelbagai jenis barang yang akan dibelanjakan bagi memberi kepuasan nafsu dan kehendak diri. Semakin kukuh ekonomi seseorang, semakin banyak kehendak yang ingin dipenuhi.

Kali ini, Ain Maisarah muncul dengan siri OMG! dengan topic OMG! Gila Shopping yang pastinya menghiburkan anda para pembaca dan penggemar novel keluaran Blink Book. Mengisahkan tentang seorang remaja yang bernama Nina Jurina, seorang yang sangat terobsesi dengan membeli-belah. Dengar atau terlihat sahaja perkataan “Diskaun” pasti dengan sepantas kilat dan kalah dengan kelajuan Formula 1, Nina pasti akan mendapatkan segera barang-barang di kedai atau butik itu.

Suatu hari, ibu dan bapa Nina mendapat tahu perkara yang dilakukan oleh anak mereka. Mereka menyangka dengan memberikan kad kredit kepada Nina ia akan memudahkan Nina untuk membeli barang keperluannya, malah anggapannya itu salah. Malahan Nina berbelanja dengan suka hatinya sehingga bil yang datang pada setiap bulan mengalahkan gaji orang yang bekerja.

Akibat kelakuan Nina yang membuatkan bapanya menjadi naik darah itu, banyak kemudahan telah ditarik semula oleh bapa Nina. Walaupun Nina merayu kepada bapanya supaya tidak menarik segala kemudahan itu, bapa Nina tetap tidak mengendahkannya kerana bapa Nina merasakan perbuatan Nina itu sudah melampaui batas. Nina juga telah dihukum oleh bapanya dan disuruh tinggal bersama ibu saudaranya yang kedekut supaya boleh mengurangkan tabiatnya yang sudah parah itu.

Adakah dengan hukuman yang dikenakan pada Nina akan membuat Nina berubah atau Nina masih dengan perangai lamanya? Jika para pembaca ingin mengetahui apakah yang bakal berlaku selanjutnya, dapatkanlah novel OMG! Gila Shopping ini sekarang juga dimana-mana kedai buku yang berdekatan anda. Kisah menarik bakal berlaku di penghujung cerita. 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024