Artikel

Apa Itu Cinta: Padanya Ada Kasih, Cinta Itu Memberi Bukan Memiliki

oleh Izzati Nadia ZI pada 07 Mar 2016

Sebagai manusia biasa, perasaan ingin bercinta, mencintai dan dicintai adalah perkara biasa kerana itu sememangnya sudah menjadi lumrah buat semua umat manusia.

Namun, kita acapkali alpa tentang dari mana perasaan cinta itu hadir dan apakah objektif kita bercinta.

Apakah kita sedar tentang jenis-jenis cinta yang kita rasai dan adakah kita sebenarnya tahu definisi cinta yang sebenar?

Kali ini, Dr. Robiah K. Hamzah menulis sebuah lagi karya motivasi dan inspirasi yang mampu membuatkan para pembaca tersentuh hati dan menitiskan air mata apabila meneliti setiap helaian muka surat buku ini.

Penulis menerangkan jenis-jenis cinta dan ertinya daripada segi komitmen, spiritual dan jiwa semawi.

Selain itu, keunikan buku ini adalah ianya bukan sahaja di tulis berdasarkan ayat Al-Quran, tetapi penulis  juga memasukkan sebanyak 21 cerita pendek mengenai kehidupan yang pasti akan membuatkan pembaca berfikir sejenak dan berasa insaf.

Perkara paling menarik mengenai buku ini adalah apabila di dalam setiap tajuk cerita, pembaca akan disajikan dengan intisari cerita yang terpilih untuk dijadikan nasihat buat para pembaca.  

Konsep penulis kali ini ialah beliau tidak memberikan nasihat secara terus kepada pembaca, namun begitu, cerita-cerita yang terkandung di dalam buku ini terselit setiap moral yang perlu dinilai oleh para pembaca sendiri.

Misalannya, penulis memasukkan kisah para sahabat Rasulullah s.a.w, kisah pendidik muda dan ibu bapa yang bergelut dengan cabaran dalam membesarkan anak-anak serta kisah anak-anak yang berkorban demi menjaga kedua-dua orang tuanya atas dasar cinta. Oleh itu, cinta itu sangat subjektif maksudnya dan hanya mereka yang membaca buku ini yang tahu erti sebenar cinta.

Keseluruhannya, buku motivasi ini amat menarik untuk di baca oleh semua peringkat umur kerana jalan penceritaan yang ditulis oleh pakar motivasi ini langsung tidak membosankan, malah anda mungkin tidak mampu untuk berenggang daripada membacanya disebabkan oleh  tarikan setiap cerita yang terkandung di dalam buku ini.

Tambahan pula, gaya bahasa yang digunakan juga ringkas dan mudah untuk difahami.


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024