Apa yang kita boleh pelajari daripada kemenangan Pakatan Harapan

oleh Bahruddin Bekri pada 28 May 2018

Umum mengetahui pilihanraya umum Malaysia yang ke-14, kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah tumbang. Selepas 60 tahun memerintah, dan pada ketika mereka menjangkakan mereka mampu memerintah untuk selama hayat, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH).

Apa yang kita boleh pelajari daripada kemenangan pihak Pakatan Harapan. Sudah ada banyak artikel yang mengulas tentang perkara ini. Kali ini, mungkin kita boleh ulas daripada sikap pengundi itu sendiri.

Johor adalah antar kubu BN khususnya pihak UMNO, yang terkuat. Sehinggakan wujud pepatah, 'letak monyet jadi calon Umno pun, boleh menang'. Boleh dikatakan, menyokong BN adalah sesuatu yang bersifat tradisi, diturunkan daripada datuk, sampailah ke cucu. Lahir-lahir sahaja terus sokong BN.

 

Tetapi, pada PRU kali ini, kubu itu jatuh. Beberapa orang menteri juga kecundang di sana. Sekiranya mengatakan ada banyak pengundi muda yang menyokong PH, ia masih belum mencukupi. Bagi menumbangkan BN, pihak PH perlukan penyokong tradisi berubah arah.

 

Persoalannya, mengapa pengundi tradisi BN tadi berubah arah. Bagaimana mereka boleh dengan yakin mengatakan TIDAK pada BN? Sebenarnya mereka tidak yakin, dan berada dalam keadaan yang sangat berat hati. Tetapi mengapa masih TIDAK?

 

Menurut Robert Moskowitz dalam bukunya, How to Organize Your Work and Your Life, ada dua soalan penting yang perlu dijawab sebelum berkata 'Ya' pada sesuatu yang berat pada perasaan kita.

Namun, dalam konteks PRU 14, hanya soalan pertama yang relevan, iaitu;

 

Apa maksud dan hakikat komitmen ini?

 

Soalan ini berada dalam fikiran mereka tanpa sedar. Sekiranya mereka berkata Ya pada BN dan memangkahnya di kertas undi, apa maksud hakikat dan komitmen tersebut?

 

Dahulu mudah untuk menjawab soalan itu – BN adalah kerajaan yang berpengalaman dan berjasa kepada rakyat. Mereka akan tenang dan dapat hidup dengan bahagia.

Kini, soalan itu sangat sukar dijawab atas sebab skandal 1MDB, peningkatan kos hidup, juga faktor Tun Mahathir yang dahulu banyak jasa juga kepada mereka. Sekiranya mereka memilih BN, adakah itu hakikat yang mereka perlu tanggung? Adakah itu komitmen yang perlu mereka berikan?

Apabila mereka tidak mampu menjawab soalan itu, mereka terus berkata TIDAK pada BN. Apa parti yang mereka pangkah selepas itu, ia jadi cerita lain pula.

 

Bagaimana dengan soalan kedua? Panduan Robert Moskowitz sebenarnya lebih kepada petua menjadi orang berjaya, dan antara langkahnya adalah berani berkata TIDAK.  Ia boleh dibaca pada bab 21, dalam buku 55 Petua Orang Berjaya, tulisan Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah dan Fadzli Yusof. Soalan keduanya, boleh dibaca di situ.

 

Buku ini adalah tentang motivasi dalam menghadapii hidup seharian. ia diitulis dengan bahasa yang mudah dan diberi contoh-contoh yang membumi. Ia tidak mengajar-ajar pembaca, tetapi ia cuba memberi langkah dan cara bagi menjadi manusia yang berjaya dalam hidup.