Artikel

Apabila Manusia Lebih Mementingkan Kehidupan Indah Di Dunia: Tuan Direktur

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 14 Sep 2015

Hamka. Siapa yang tidak kenal dengan sasterawan ulung di Nusantara ini? Beliau telah menghasilkan pelbagai karya yang bermutu untuk menjadi rujukan si pembaca. Selain daripada menulis buku-buku rujukan agama, beliau juga telah menghasilkan beberapa buah novel yang bukannya novel picisan biasa, tetapi mempunyai pengajaran berat yang berguna untuk para pembaca. Terkini, PTS telah menerbitkan salah satu karya beliau yang terkenal di Indonesia iaitu Tuan Direktur.

Tuan Direktur ini mengisahkan mengenai perjalanan hidup Jazuli, seorang usahawan yang sangat berjaya. Beliau mempunyai pelbagai bisnes yang menyebabkan beliau menjadi seorang yang kaya-raya dan terkenal dalam kalangan pedagang. Di awal cerita, cerita mengenai Jazuli hanya biasa-biasa. Namun, beliau mempunyai satu sifat di mana beliau amat suka dipuji. Bak kata orang zaman sekarang, beliau suka dikipas. Lagi-lagi, apabila orang di sekelilingnya memang jenis yang gemar mengampu. Beliau mempunyai seorang pekerja yang sangat baik dan jujur iaitu Fauzi. Fauzi telah berusaha untuk membuatkan bisnes Jazuli menjadi semakin maju dan Jazuli amat senang dengan kehadiran Fauzi.

Namun semakin plotnya membina, beberapa watak yang busuk hati telah muncul. Jazuli pula dilihat sebagai seorang yang amat senang terpengaruh dengan perkara tahyul. Kadri yang konon-kononnya mempunyai ilmu spiritisme, memberi pelbagai nasihat tahyul dan merepek kepada Jazuli. Tujuannya hanya satu, untuk memastikan kedudukannya tinggi daripada orang lain. Jazuli pula terlalu percayakan setiap perkara yang Kadri katakan sehingga akhirnya beliau mengambil keputusan untuk memecat Fauzi, pekerjanya yang paling setia dan jujur. Kadri telah memfitnah Fauzi dengan mengatakan dia seorang yang kaki ponteng dan lalai dalam pekerjaan. Akibatnya, Fauzi dipecat dan dia telah bertemu dengan Pak Yasin.

Bersama Pak Yasin, Fauzi telah diminta untuk mengajar penduduk kampung yang buta huruf dan  miskin. Fauzi juga telah membuka syarikat pertukangannya yang sendiri. Di samping itu, Jazuli masih berkeras mahukan tanah-tanah milik Pak Yasin. Pelbagai tawaran telah beliau cuba tawarkan kepada Pak Yasin namun semuanya ditolak. Akhirnya, Jazuli sendiri telah pergi menemui Pak Yasin untuk memujuk. Namun, dalam tidak sedar, ada komplot yang mahu menjatuhkan Pak Yasin dan Jazuli turut menjadi mangsa. Mereka semua ditangkap.

Di penjara, Jazuli tidak puas hati dengan layanan diterima dan minta mahu dikeluarkan. Kes dibawa ke mahkamah. Jazuli cuba menyelamatkan dirinya sendiri dengan memutarbelitkan fakta. Di akhir perbicaraan, Jazuli seperti sudah insaf. Namun, syaitan masih tidak leka untuk menghasut. Sekali lagi, beliau termakan hasutan dan kata-kata halus kaki-kaki ampu yang berada di sekelilingnya. Apa yang berlaku akhirnya kepada Jazuli, Fauzi, Pak Yasin dan Kadri? Itu tugas anda untuk membaca hingga ke helaian terakhir. Selamat membaca!


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024