“Asasnya, Hormat & Kasih Walaupun Berbeza Pandangan” - Mufti Wilayah Persekutuan

oleh Asri Yussof pada 10 Aug 2018

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan dalam tweet nya baru-baru ini berkongsi sekeping gambar beliau sedang menjamu selera dan bersembang dengan Dr. Farouk Musa, Pengarah Islamic Renaissance Front dan kemudian hadir bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

Dalam tweet itu, Dr. Zulkifli berkongsi pentingnya asas hormat menghormati dan berkasih sayang walaupun kita berbeza pendapat dengan orang lain.

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Pesanan ini walaupun nampak rinkas dan pendek tetapi mempunyai sebuah harapan dan gagasan yang besar dan berat. Sebab rata-rata daripada kita suka untuk berdebat dan meluah pandangan masing-masing, tetapi kita susah untuk berkasih sesama insan serta hormat.

Bahtera Penyelamat

Klik di sini untuk memiliki buku ini

Hormat di sini bukan sekadar kita mendengar dengan teliti, malah kita juga tidak mengeluarkan kata-kata yang berbau kebencian, dan amarah.  Apa kekacauan yang berlaku, pergaduhan, permusuhan, semuanya bermula dari sifat amarah dan benci.

Sifat ini lahir apabila kita tidak mempunyai sifat hormat kepada orang lain. Sebaik-baik penghormatan adalah kita dapat berkasih sesama insan walaupun ada perbezaan pendapat. Berbeza pendapat bukanlah sesuatu yang baru. Tetapi jika ia tidak diurus dengan baik, maka ia akan berlaku yang sebaliknya.

Prof. Buya HAMKA dalam bukunya Falsafah Hidup adalah membahaskan tentang ‘pendapat’ di dalam Islam. Katanya, Islam adalah agama yang tidak rigid dan berhukum mengikut situasi zaman. Sebab itu, dalam Islam, pintu ijtihad tidak pernah tertutup. Sehingga akhir zaman, ulama akan silih berganti dan akan berbeza diatas fatwa masing-masing.

Allah berfirman dalam Surah al-Ma’idah, ayat 8:

يَـٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا كُونُوا قَوَّٰمِينَ لِلَّـهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ٱعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ  وَٱتَّقُوا ٱللَّـهَ إِنَّ ٱللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”