Artikel

Awas! Tidak Semua Perkhemahan Itu Menyeronokkan

oleh Izzati Nadia Zi pada 23 May 2016

Perkhemahan adalah satu aktiviti yang menarik, terutamanya apabila perkhemahan tersebut disertai oleh rakan-rakan kita.

Malah, sewaktu di zaman persekolahan juga, saya pasti ramai yang terlibat dalam menyertai aktiviti seperti ini sama ada ekspedisi yang dianjurkan oleh pihak sekolah ataupun sekadar untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Namun begitu, dalam kita bergembira semasa berlangsungnya aktiviti perkhemahan, pasti ada di antara kita yang pernah disapa oleh makhluk-makhluk halus yang mendiami kawasan hutan belantara. Lebih teruk lagi, apabila berjumpa dengan makhluk-makhluk halus itu secara terus.

Bagaimanakah reaksi anda apabila bertemu dengan mereka dan insiden-insiden yang tidak diingini seperti ini?

Kali ini, penulis siri seram Blank Book membawakan karya terbaru beliau iaitu 5 Kisah Seram di Perkhemahan. Bertemakan suasana semasa perkhemahan, Olvidado Shakur berjaya bermain dengan emosi para pembaca apabila beliau menulis cerita-cerita seram yang terjadi dan kemungkinan akan terjadi sewaktu perkhemahan.

Bahkan, perkhemahan yang dimaksudkan oleh penulis ini bukan sekadar perkhemahan biasa.

Ada juga perkhemahan khas yang bertujuan untuk aktiviti ‘pembersihan’ yang mungkin akan membuat para pembaca berasa seram sejuk ketika membayangkan situasi tersebut .

Jika dibandingkan dengan koleksi seram yang lain, saya akui bahawa penulis ini semakin berani bermain dengan imaginasi beliau berkenaan dengan alam mistik dan makhluk halus.

Tambahan pula, jika ada pembaca yang mengumpul siri ini, saya pasti anda juga dapat merasakan buku ini semakin lama semakin meningkat tahap keseramannya.

Tajuk-tajuk yang terdapat dalam buku ini adalah Jom Borak, Perkhemahan Khas, Mantera, Kunci Hitam dan Kau Dah Mati. Namun begitu, saya mempunyai pilihan cerita saya yang tersendiri. Antaranya saya meminati kisah Jom Borak, dan Perkhemahan Khas.

Jom Borak bukan sahaja memasukkan elemen seram dalam kisah ini, tetapi penulis turut menyelitkan nilai murni yang patut diambil sebagai pengajaran oleh para remaja zaman kini. Kisahnya apabila seorang gadis yang sering alpa dengan penggunaan aplikasi sosial media seperti WeChat sehingga akhirnya dia mengalami gangguan mistik daripada seorang gadis yang tidak dikenali.

Kisah Perkhemahan Khas pula adalah berkaitan dengan sebuah perkhemahan yang diadakan khas bertujuan untuk melakukan ‘pembersihan’ pelajar sekolah yang nakal. Apa yang menariknya, ‘pembersihan’ tersebut dilakukan secara pelik dan menakutkan. Saya pasti anda tidak pernah terfikir tentang cara ‘pembersihan’ itu dilakukan.

Selain itu, kisah terakhir yang terkandung dalam buku ini juga menarik. Ini kerana penulis berjaya membuatkan pembaca menjadi suspen dan tiada siapa menyangka yang pengakhirannya sangat lucu.

Oleh itu, buku ini harus dimiliki barulah anda boleh merasai sendiri tahap seram kisah-kisah buku ini dengan lebih lanjut.

Hati-hati ya membaca, takut ada yang tumpang membaca sekali.


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024