Artikel

Baca @ Ramadan: Srikandi-Srikandi yang Benar

oleh Hairul Faizal Adli pada 24 Jul 2012

Buku ini menghimpunkan tiga kisah indah berkenaan seindah-indah perhiasan dunia, iaitu wanita yang solehah. Tiga kisah dalam satu buku ini adalah kombinasi kisah yang mampu menerbitkan air mata, melahirkan kesyukuran, dan menyuntik ketenangan dalam diri pembaca.

Sekiranya emas dan permata adalah dambaan seluruh wanita di dunia ini, begitu juga dengan buku ini. Ceritanya indah dan nilai pengajarannya sangat berharga seperti emas. Ibarat permata yang berkilau indah, buku ini juga menerbitkan kilauan inspirasi buat para wanita. Seandainya kita menatap cermin untuk melihat kecantikan wajah kurniaan Allah pada setiap hari, tataplah juga buku ini untuk menyerlahkan lagi keindahan peribadi kita. 

Aminah adalah ibu kepada junjungan agung kita, Muhammad bin Abdullah. Aminah dianugerahkan dengan setinggi-tinggi kemuliaan dan Allah memilihnya untuk mengandung dan melahirkan Rasullah. Fatimah pula adalah puteri kesayangan Rasulullah dan menjadi isteri kepada sahabat agung, Ali bin Abi Talib. Fatimah diasuh oleh semulia-mulia bapa dan sentiasa bersama Rasulullah pada saat suka ataupun duka. Kedua-dua wanita agung ini mempunyai hubungan darah yang paling akrab dengan Rasulullah.

Rabiatul Adawiyah pula hidup selepas zaman Rasulullah. Kehidupannya dipenuhi dengan kerinduan dan kecintaan kepada Allah. Hidupnya hanya untuk Allah dan cukuplah Allah bagi. Rabiatul Adawiyah tenang dalam keasyikan cintanya kepada Allah dan tidak pernah berumah tangga sepanjang hayatnya.

Aminah, Fatimah, dan Rabiatul Adawiyah adalah srikandi pada zaman mereka. Kecantikan peribadi mereka tiada bandingan dan ketokohan mereka tiada tandingan. Kisah mereka melahirkan inspirasi, memberi makna pengorbanan, dan mengajar erti cinta.  

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024