Artikel

Bagaimana kita Memandang Orang Gila? : Aku Nabi Isa!

oleh Siti Zulfatihah Zahari pada 02 May 2016

Dr. Rozanizam Zakaria pernah mendapat pendidikan dalam bidang perubatan di University of Adelaide, Australia dan bekerja di beberapa unit psikiatri di sana selama dua tahun.

Beliau kini  kembali ke tanah air, berkhidmat sebagai pegawai perubatan psikiatri di HUSM.

Sebuah buku tentang pengalaman dan perkongsian yang diceritakan oleh penulisnya sendiri ketika berkhidmat di Acute Crisis Intervention Services (ACIS), Australia.

Beliau bertugas sebagai doktor psikiatri atau masyarakat memanggilnya sebagai doktor sakit jiwa.

Terdapat 10 kes yang dikongsikan dalam buku ini sepanjang menangani penyakit yang dihadapi oleh para pesakitnya dengan latar bangsa dan konflik yang berbeza-beza.

Apa yang menarik, buku ini padat dengan info-info yang berguna tentang rawatan, cara berkomunikasi, dan tanda-tanda jikalau seseorang itu menghidapi penyakit Skizofrenia dan Demensia.

Setiap kronologi kes diceritakan dengan penuh terperinci hingga membawa kepada solusi yang baik.

Tidak kurang juga, ada di antara pesakit ini mengambil jalan pintas untuk membunuh diri.

Ini adalah satu pekerjaan yang mencabar dalam bidang kedoktoran psikiatri.

Gila.

Itu adalah perkataan yang kadang-kadang menjadi jalan pintas bagi seseorang menilai manusia lain.

Apabila percakapan, tindakan, ataupun emosi yang terzahir tidak kena dengan realiti kita, maka dengan mudahnya kita melabel mereka itu sebagai gila atau gelaran yang seumpamanya.

Statistik menunjukkan, anggaran kes 1 dalam 100 orang menghidapi penyakit ini. Untuk lelaki, berumur sekitar 18 hingga 25 tahun.

Manakala, umur 25 hingga awal 30 adalah jangka masa yang selalunya simptom pertama wujud, akibat tekanan dalam kehidupan.

Jangan berkata, “Aku tidak gila, aku tidak perlu membacanya.” Orang gila sendiri tidak akan mengaku bahawa dia itu gila.

Pendedahan yang dikongsi melalui buku ini dapat membantu kita bertindak dengan lebih bijak jikalau berhadapan dengan golongan seperti mereka ataupun kita sendiri perlu bertindak menghindari simptom-simptom kemurungan yang boleh membawa kepada tekanan dan masalah mental.

Pengisiannya tidak terlalu berat, tetapi agak santai seperti sebuah cerpen pendek beserta info-info. Setiap tulisan daripada Dr. Rozanizam membawa pembaca ke daerah yang lebih positif,

sekali gus memahami konflik jiwa yang dialami oleh orang lain. Ini memberikan kita gambaran tersendiri terhadap roh dan jiwa manusia yang mungkin tiada dalam mana-mana kamus perubatan.

Kita juga mengenal pasti faktor pelindung mereka (protective factors) penyelesaian bagi membantutkan proses ‘bunuh diri’ itu selain daripada ubat penenang yang diberikan, iaitu melalui kaedah komunikasi secara psikologi.

Buku ini turut disertakan dengan petikan ayat-ayat Al-Quran dan hadith sebagai pedoman. Sebuah bahan bacaan yang mudah dihadam, jelas, dan padat.

Orang yang tidak waras bukannya cacat, tetapi ia ‘dicacatkan’ oleh mentaliti masyarakatnya sendiri. Masyarakat, berhentilah menghukum dan melabel mereka!

Golongan seperti ini harus diraikan dan diberi perhatian yang lebih serius dalam membangunkan diri sendiri.

Mengapa golongan ini perlu dihina seolah-olah mereka tidak berhak mendapat kehidupan yang lebih baik?

Masyarakat yang terkurung dalam minda tertutup akan lebih celik jikalau membaca buku ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024