Bagaimana Nak Tanam Minat Membaca untuk Anak-Anak

oleh Asri Yussof pada 13 Jan 2019

Soalan yang selalu saya ditanya, “macam mana nak tanam minat membaca?”, nak tanam memang kena bergaul dengan bukulah jawapannya. Dalam kes saya, saya mula membaca dengan serius sejak tingkatan 2 di sekolah.

Saya mula membaca sebab di rumah banyak buku. Kakak sulung saya antara orang yang selalu membeli buku dan saya mula baca buku-buku koleksi beliau.

Jadi ibu bapa boleh mulakan dengan wujudkan rak buku atau ruang membaca yang baik kepada anak-anak di rumah. Berikan mereka duit untuk membeli buku.

Dengan cara ini, anak-anak akan lebih masa dengan bahan bacaan dan kurang masanya dengan telefon pintar atau ipad. Ya, mulakan dengan buku komik dan buku cerita yang mereka suka. Galakkan genre buku yang mereka suka terlebih dahulu.

Rak buku unik

Menanam minat membaca memang perlu dimulakan dengan membeli buku. Beli saja- jangan kita fikir bila mahu membacanya. Percayalah suatu hari nanti, buku tersebut akan kita buku dan baca juga.

Biar saja masa yang menentukan. Yang penting bahan bacaan ada di rumah untuk menanam minat anak-anak kita untuk terus membaca.

Bila masuk ke universiti, minat saya kepada bahan bacaan mula berubah sedikit demi sedikit. Dari buku yang ringan saya mula membaca kepada buku-buku yang lebih berat dan ilmiah. Sebab itu saya tak herdik mereka yang mula membaca dengan buku-buku yang biasa.

Sebab, “buku untuk semua”. Minat kepada genre buku boleh berubah. Yang penting ‘Kita suka membaca’

Lain orang lain citarasa dia, jangan sebab kita sudah banyak membaca kita jadi orang yang suka merendah-rendahan bahan bacaan orang lain dan mengutuk bahan bacaan mereka. Kita rasa buku kita sahaja yang paling ilmiah dan paling bagus.

Buku yang membuatkan saya terus membaca adalah novel-novel Pak Latip. Saya mula dengan Sultan Muhammad Al-Fateh yang edisi pertama yang kulit bukunya berwarna kuning.

Abdul Latip Talip

Minat membaca juga boleh lahir dari kawan-kawan. Seperti yang kita tahu, kawan adalah cerminan bagi diri kita. Jadi memilih kawan juga penting. Kita akan jadi lebih syok membaca bila kita ada kawan yang suka membaca. Kita boleh kupas buku yang kita baca dengan kawan-kawan yang sama suka membaca.

Yang penting adalah kerja keras ibu bapa yang mahu anaknya menjadi ulat buku. Tanamkan minat dari kecil lagi. Bak kata pepetah- melentur buluh biarlah dari rebungnya. Buku Untuk Semua!