Artikel

Baucar Buku RM250 Diwujudkan Semula Dalam Bajet 2018

oleh Asri Yussof pada 27 Oct 2017

Pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak sebentar tadi di parlimen menjadikan sebuah berita gembira kepada semua pemain industri buku negara.

Bantuan Baucar Buku RM250 untuk setiap penuntut IPT dan tingkatan 6 diwujudkan semula seperti tahun-tahun sebelum ini. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada 1.2 juta pelajar.

Baucar Buku RM250 #Bajet2018

(Gambar hiasan)

Usaha tuntutan yang dilakukan oleh pihak Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan beberapa pihak lain sebelum ini agar perkara ini menjadi kenyataan wajar dipuji.

Apa pun, mekanisma pelaksaannya pada tahun 2018 perlu dibuat dengan lebih baik oleh pihak yang berwajib, supaya kes-kes seperti penjualan Baucar Buku untuk mendapatkan duit tunai tidak berlaku lagi seperti tahun-tahun sebelum ini. Kes seperti ini sebenarnya membantutkan usaha kerajaan dan swasta untuk menggerakkan kempen budaya membaca dikalangan rakyat Malaysia.

Bajet 2018

(Gambar hiasan)

Selain Baucar Buku RM250 ini, kerajaan juga mengumumkan, layanan GST berkadar sifar ke atas bahan bacaan diseragam dan diperluaskan meliputi semua jenis majalah, komik, jurnal dan terbitan berkala mulai 1 Januari 2018.

Bajet 2018 yang pada petang tadi di dewan perlimen membawa tema: “Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi Dan Ukhrawi, Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50”. Dato Sri Najib menamakan Bajet 2018 sebagai ibu segala bajet.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024