Artikel

Belajar dari Muhajirin dan Ansar

oleh Asri Yussof pada 17 Sep 2018

Peristiwa Hijrah Nabi menjadi titik sejarah yang besar apabila peristiwa ini dipilih menjadi peristiwa pembukaan bulan-bulan Islam- Muharram. Hijrah Nabi dari kota Mekah ke kota Madinah bukan perancangan dalam masa satu malam. Tapi ia dirancang sejak perjanjian Aqabah yang pertama lagi.

Keluhuran peribadi Rasulullah saw telah memikat penduduk kota Madinah dan bersumpah untuk taat setia kepada baginda dan agama baru mereka, Islam. Kelahiran Rasulullah saw di hiruk pikuk kota Mekah tidak lain tidak bukan untuk mengajar melalui teladan, akhlak-akhlak yang mulia supaya sifat-sifat jahiliyah digantingkan dengan sebuah ketamadunan.

إِنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ صَالِحَ اْلأَخْلاَقِ.
“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik. (HR. Ahmad)

MUHAJIRIN (مهاجرين) diertikan sebagai pengikut Rasulullah S.A.W yang berhijrah dari Makkah ke Madinah. ANSAR (أنصار) pula merujuk kepada penduduk asal Madinah yang telah memeluk Islam dan membantu perjuangan Rasulullah S.A.W di Madinah. Golongan Ansar terdiri daripada kaum Aus (أَوْس) dan Khazraj (خَزْرَج).

Muhajirin dan Ansar dari suku kaum dan puak. Sifat assobiyah ditanah Arab berjaya dilenturkan oleh Rasulullah saw dengan penghijrahan ini. Mereka saling menerima, saling tolong menolong dan bersusah senang bersama membangunkan kota Madinah.

Hijrah Nabi ini adalah titik totak untuk bersatu padu membangunkan sebuah negara. Dari peringkat pertama ajaran Nabi di Mekah mengenai akhlak dan tauhid, kini kerja Nabi masuk ke fasa seterusnya, iaitu mengurus atur sebuah negara- Madinah.

Hikmat Hijrah Nabi yang paling besar adalah perpaduan. Nabi mengajarkan kepada kita bagaimana akhlak perpaduan yang baik. Langkah-langkah mewujudkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama:

  1. Mengamalkan sikap toleransi dalam kehidupan;

  2. Hormat menghormati antara satu dengan yang lain;

  3. Berkerjasama dan bantu membantu dalam perkara kebaikan.

Di dalam salah satu hadis Rasulullah saw., beliau bersabda :

Telah menceritakan kepada kami Abdillah, telah menceritakan kepada saya Abi telah menceritakan kepada saya Yazid berkata; telah mengabarkan kepada kami Muhammad bin Ishaq dari Dawud bin Al Hushain dari Ikrimah dari Ibnu ‘Abbas, ia berkata; Ditanyakan kepada Rasulullah saw. “Agama manakah yang paling dicintai oleh Allah?” maka beliau bersabda: “Al-Hanifiyyah As-Samhah (yang lurus lagi toleran).” (HR. Bukhari)

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024