Artikel

Bersama Editor Penerbit-X, Zaki Zainol Berkongsi Novel Baru dalam Siri Cerita Hantu

oleh Asri Yussof pada 18 Dec 2017

Kenapa idea untuk siri cerita hantu dibawah penerbit-X boleh terhasil? kita tahu yang penerbit-X orang kenal dengan novel Fantasi, Saifai dan Thriller?

Kurangnya sambutan terhadap novel-novel sai fai dan fantasi membuatkan saya mencari alternatif lain untuk membantu jualan Penerbit X. Melihatkan trend sekarang di mana hampir semua golongan, dari kanak-kanak hinggalah suri rumah meminati cerita seram, maka saya mengadakan perbincangan bersama GM editorial dan unit pameran sekolah dan lelong PTS tentang kesesuaian Penerbit X menerbitkan buku-buku seram.

Cerita Hantu Penerbit-X

Klik di sini untuk melihat buku Siri Cerita Hantu yang diterbitkan oleh Penerbit-X

Saya banyak mendapat input data-data jualan dan corak pembelian daripada mereka. Data-data yang diperoleh ini bersifat ‘real time’ kerana unit-unit jualan ini berinteraksi secara langsung dengan pelanggan mereka.

Dari situ kami berbincang tentang strategi jualan, ‘pakejing’ yang sesuai digunakan dan judul-judul yang berpotensi untuk diketengahkan.

Bagaimana pun, ini tidak bermaksud Penerbit X melupakan sai fai, fantasi dan thriller. Genre ini akan tetap diteruskan. Cuma buat masa ini, dengan sambutan yang kurang memberangsangkan, ktia menceburi genre seram pula untuk ‘survive’.

Tiga novel dalam siri cerita hantu ini boleh dikatakan sebagai ‘novel mini’, harganya juga murah. Siapa sebenarnya sasaran untuk novel ini?

Tiga novel ini, di mana sebenarnya dua antologi dan satu novel mini/novelet, disasarkan kepada pelanggan jualan terus dari kategori remaja sekolah pada mulanya. Atas sebab itulah ia diletakkan dengan harga yang mampu milik, iaitu cuma RM10.

Walau bagaimanapun, disebabkan sekarang ini musim cuti sekolah, kita belum boleh mendapat maklum balas golongan sasaran ini.

siri cerita hantu penerbit-X

Tetapi hingga sekarang, nampaknya ketiga-tiga buku seram ini mendapat sambutan dalam kalangan peminat cerita seram dewasa. Para penulis banyak menerima tempahan daripada kenalan di facebook untuk membeli buku-buku ini.

Mungkin disebabkan harganya yang murah, orang ramai tidak ragu-ragu untuk keluarkan duit dan cuba membeli.

Bagaimana pemilihan penulis untuk novel siri cerita hantu ini dibuat? mereka hantar manuskrip atau tuan editor yang melamar mereka untuk menulis?

Saya membuat ‘open invitation’ di status facebook saya, meminta sesiapa yang berminat untuk hantarkan mesej secara personal kepada saya. Dari situ saya terangkan syarat-syarat, tema kisah seram dan bagaimana pilihan akan dibuat. Saya tidak membuat poster hebahan atau sebagainya kerana saya takut tidak terkawal nanti.

Apa tanggapan editor apabila munculnya idea untuk memulakan siri cerita hantu ini?

Sebagai editor, ini cabaran baru kerana saya tidak pernah mengendalikan cerita seram. Tetapi ia menarik kerana sejak dari zaman kanak-kanak lagi saya memang ada membaca kisah-kisah seram tulisan Tamar Jalis dan Tok Awang Ngah.

Cuma, untuk tahun 2017/2018, saya tidak boleh menerbitkan kisah seram seumpama kedua penulis yang saya sebutkan tadi. Sekarang zaman teknologi, di mana gajet menguasai hidup. Cara hidup rakyat Malaysia banyak berubah sama ada di bandar dan di kampung.

Jika kita membaca karya-karya Tamar Jalis dan Tok Awang Ngah pada masa sekarang, kita akan merasakan pemisahan budaya dan gaya hidup yang amat ketara. Pembaca muda tidak akan dapat kaitkan dirinya dengan kehidupan di dalam kisah-kisah itu.

tamar jalis

(gambar: Tamar Jalis bersama bukunya - Bercakap Dengan Jin) kredit- Inspirasi Magazine

Sebagaimana yang saya maklumkan kepada semua penulis saya, pembaca sekarang tidak mahu membaca kisah hantu kampung yang masih mengirim surat dan membeli setem. Jadi, kisah-kisah seram di bawah Penerbit X ini adalah kisah seram yang berlaku pada zaman sekarang, zaman teknologi dan gadget.

Ada urban legend yang diolah semula. Ada kisah kampung yang diutarakan, yang puakanya memang dari zaman sebelum merdeka, tetapi menghantui hingga zaman sekarang. Pendek kata, kisah seram yang diutarakan adalah kisah seram yang dekat dengan hati kita pada zaman sekarang.

Kita sudah banyak siri seram di pasaran. adakah siri cerita seram dari penerbit-X ini benar-benar seram dan boleh melawan naskah-naskah yang berada di pasaran sekarang?

Saya namakan Siri Cerita Hantu Penerbit X ini sebagai ‘seram popcorn’ kerana harganya yang murah, dan senang dibawa ke mana-mana. Ia umpama jajan yang boleh menemani kita semasa travel, menunggu bas atau isteri membeli-belah atau dibaca bila-bila sahaja di masa senggang.

Dengar seperti kisah seram ini ringan, bukan? Tetapi ia memang kisah seram yang serius dan mampu menghantui. Kerana kelebihannya adalah pada saiznya. Berketebalan 120++ muka surat, bermakna kisah seramnya betul-betul padat.

Zaki Zainol Editor Penerbit-X

(gambar: Zaki Zainol (Kanan) bersama penulis Kesatria, Ahmad Patria Abdullah)

Saya percaya, sekiranya strategi jualan dan pemasarannya berjalan dengan baik, Siri Cerita Hantu Penerbit X ini boleh membentuk satu komuniti baru peminat cerita seram. Ia boleh dikatakan dalam kategori mampu milik untuk semua golongan, jadi potensinya adalah lebih besar daripada novel-novel seram lain yang lebih tebal dan mahal. Pembaca tidak akan berfikir dua tiga kali untuk membeli.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024