Artikel

Buku Prof. Dr. Muhaya Jadi Terapi Buat Remaja

oleh Roziyah pada 21 Nov 2011

Prof Dr Muhaya adalah nama yang tidak asing lagi dalam dunia perubatan di negara ini. Doktor pakar dalam bidang oftalmologi ini adalah wanita Melayu pertama yang menjadi Pengerusi Persatuan Doktor Mata Malaysia. Tidak hanya merawat mata,beliau juga sering memberikan terapi jiwa kepada pesakit yang datang kepadanya.

Pengalaman dan terapi rohani yang sering disampaikan kepada oran ramai menjadikan beliau semakin dikenali dan sering dijemput dalam program motivasi serta ceramah berkaitan menjadi mukmin yang cemerlang dunia dan akhirat.

Prof Muhaya juga kini semakin mendapat perhatian umum menerusi program bual bicara Mata ke Hati yang disiarkan di Astro. Rancangan ini malah mencapai rating yang tinggi sejak disiarkan di Astro pada awal tahun lalu. Selain itu, beliau juga menjadi tetamu dalam rancangan bual bicara di radio IKIMfm.

Melalui program bual bicara ini beliau berkongsi mengenai peranan mata dan hati dalam pembentukan sahsiah diri bagi menjadi mukmin yang cemerlang. Melalui program khas beliau ini, penonton di Astro dan di IKIMfm berpeluang mengemukakan permasalahan berkaitan isu-su yang dihadapi dalam kehidupan seharian bagi menjadi mukmin yang cemerlang dunia dan akhirat. Lantaran itu, beliau sering menjadi rujukan masyarakat tidak kira tua dan muda.

PTS Millenia Sdn Bhd yang menerbitkan buku umum dan motivasi berjaya menyunting Prof Muhaya bagi menerbitkan buku motivasi bersama PTS. Buku yang menjawab persoalan semasa remaja ini dapat menjadi rujukan remaja terutamanya pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang sering dilanda dengan pelbagai masalah semasa.

Buku yang dijangkat terbit pada awal tahun hadapan ini dapat menjadi panduan kepada remaja di luar sana dalam menghadapi dunia yang penuh dengan cabaran semasa.

Nantikan buku beliau bersama PTS yang akan diterbitkan tidak lama lagi bagi menjawab segala persoalan semasa yang dihadapi oleh pelajar.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024