Artikel

Cabaran Gadis Berbadan Besar Menghadapi Gadis Popular : Raksasa Hijau Vs. Diva Popular

oleh Rasmawati Abdul Muin pada 14 May 2013

Tiada Orang Jahat yang Selamanya Menjadi Jahat

Antaranya karya Nya Sara iaitu Raksasa Hijau vs Diva Popular yang memaparkan kisah remaja bernama Lisa Surihanum yang berbadan besar dan sering dicemuh dan deiejek oleh Memey Suzila serta rakan-rakannya.

Intan Ladyanah, sahabat baik kepada Lisa Surihanum sering menjadi pelindung dan tidak sanggup melihat Lisa diperlekehkan oleh Memey Suzila dan rakan-rakan lain.

Intan Ladyanah sentiasa memikirkan cara bagi mengatasi kelemahan yang dimiliki oleh Lisa Surihanum supaya dia tidak lagi menjadi mangsa ejekan.

Keakraban Lisa Surihanum dan Intan Ladyanah membuatkan Memey Suzila bertindak merenggangkan hubungan persahabatan antara mereka berdua. Memey Suzila bertindak menabur fitnah dan memperdayakan Lisa Surihanum hingga dua sahabat itu berselisih faham.

Kehadiran Huzairi, pelajar lelaki yang iras-iras seperti Remy Ishak menjadikan dirinya digilai oleh Memey Suzila. Namun, Huzairi tidak pernah mengendahkannya. Sebaliknya Huzairi lebih selesa berkawan dengan Lisa Surihanum.

Hal itu membuatkan Memey Suzila semakin marah dan menggunakan cara lain bagi menghasut pemikiran Huzairi supaya membenci Lisa Surihanum.

Suatu hari, sekolah mereka menganjurkan aktiviti perkhemahan dalam hutan. Memey Suzila pada mulanya tidak ingin turut serta meskipun teman-teman rapatnya beria-ia mahu pergi.

Namun, tiba-tiba dia berubah keputusan untuk turut serta dalam aktiviti perkhemahan itu apabila mendapat tahu Huzairi turut serta. Baginya, itu adalah peluang terbaik untuknya bagi mendapat perhatian Huzairi, jejaka yang menjadi pujaannya.

Tanpa diduga, suatu insiden tidak diingini berlaku ketika aktiviti perkhemahan itu. Memey Suzila ditangkap oleh dua orang penjahat yang sebelum ini sering memerhatikannya.

Lisa Surihanum yang kebetulan melihat Memey Suzila ditangkap oleh penjahat berkenaan, bertindak mengekori dan memerhati secara senyap-senyap. Lisa Surihanum menanti masa yang sesuai bagi membantu Memey Suzila lepas daripada penjahat penjahat itu.

Pada mulanya, meskipun sudah ditolong melepaskan diri daripada penjahat-penjahat itu, Memey Suzila masih berlagak sombong. Sehinggalah dia hampir lemas dan diselamatkan sekali lagi oleh Lisa Surihanum.

Sejak itu, Memey Suzila mula insaf dan mengakui segala kesalahan yang dilakukan ke atas Lisa Surihanum sebelum ini.

Memey Suzila sebenarnya tidak membenci Lisa Surihanum, sebaliknya dia mempunyai sebab tersendiri mengapa dia melayan Lisa Surihanum sebegitu.

Suatu ketika dahulu, Memey Suzila pernah memilik badan seperti Lisa Surihanum dan menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekolahnya. Sejak itu, dia mula bertekad menurunkan berat badan dan mula bersikap negating kepada orang-orang berbadan besar.

Kini, Lisa Surihanum sedar, setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelebihan masing-masing dan mereka patut mensyukurinya.

Novel ini sesuai dibaca terutamanya di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Selain itu, novel ini bukan sahaja menarik dari segi persembahannya layout dan design yang berwarna, sebaliknya isi kandungan novel ini penuh dengan nilai-nilai positif yang sesuai dijadikan sebagai panduan dan tauladan khususnya golongan kanak-kanak yang kian meningkat remaja.

Begitu juga dengan para remaja, perlu menitikberatkan nilai-nilai positif dalam diri mereka bagi membentuk individu yang cemerlang.

Antara nilai positif yang dapat diambil hasil daripada pembacaan novel ini ialah tidak mudah berasa malu dengan kekurangan diri, sebaliknya berusaha memperbaiki diri supaya tidak terus dipandang rendah oleh orang lain.

Selain itu, sikap bertolak ansur, persefahaman dalam hubungan persahabatan, serta saling melengkapi kekurangan masing-masing turut menjadi penguat cerita dalam novel ini.

Penulis menggarap dengan baik jalan cerita dalam novel ini dan bijak bermain dengan konflik yang sesuai dengan golongan pembaca.

Anda boleh mendapatkan di kedai-kedai buku yang berhampiran, atau beli secara online dengan diskaun istimewa di PTS Bookcafe, www.bookcafe.com.my

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024