Artikel

Cemerlang dengan Bersyukur

oleh Roziyah pada 17 Jan 2012

Fisiologi Kesyukuran

Mereka yang bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan mempunyai kesihatan yang lebih baik. Mengikut Mid Columbia Medical Centre, Health (Online), kajian-kajian terkini menunjukkan mereka yang tahu menghargai dan berterima kasih lebih bertenaga dan kurang ditimpa penyakit-penyakit fizikal. Hal ini kerana hormon-hormon stres dalam darah mereka rendah.

Profesor Michael McCullough dan Bob Emmons, pakar-pakar dalam bidang psikologi, pernah melakukan beberapa kajian ke atas pesakit barah payu dara dan urat saraf. Mereka mendapati, pesakit-pesakit yang memiliki pemikiran positif dan mudah menghargai nikmat yang dikecapi, emosi mereka lebih stabil sekali gus membantu mereka menghadapi masalah-masalah peribadi dalam hidup. Penemuan ini disebutkan di dalam 10 Essentials of Highly Healthy People oleh Walt Larimore, M.D. Hal yang sama juga disebutkan oleh MJ Ryan, pengarang buku The Giving Heart, 365 Health and Happiness Boosters.

 Nabi dan Kesyukuran

Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Imam Ibn Majah dan Ibn Hibban, Aisyah menceritakan, “Pada satu malam nabi masuk tidur bersamaku sehingga kulit kami bersentuhan. Kemudian baginda berkata, “Wahai puteri Abu Bakar, bolehkah kau (izinkan) aku beribadah kepada Tuhanku”

 Nabi bangun untuk berwuduk dan kemudian beribadah dengan melaksanakan solat. Ketika itu baginda menangis tanpa henti sehingga datanglah Bilal untuk bersolat subuh. Aku (Aisyah) pun berkata kepada nabi, “Ya Rasulullah, mengapa engkau menangis sedangkah Allah mengampunkan dosa-dosamu kesemuanya.” Nabi menjawab, “tidakkah selayaknya aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?”

Inilah contoh kesyukuran seorang rasul dan seorang pembesar negara yang agung. Beliau memanifestasikan kesyukuran itu dalam bentuk ibadah yang khusyuk tanpa sebarang kepura-puraan.

Mereka yang bersyukur mengenali Tuhannya. Mereka adalah golongan yang hebat kerana mereka cepat berterima kasih dan redha dengan pemberian Tuhan. Justeru, Tuhan mengasihi mereka dan mencurahkan bantuanNya kepada mereka. Manusia yang dibantu Tuhan pasti akan berjaya. Justeru sebutlah selalu kalimat Alhamdulillah. Namun, janganlah kita lupa bahawa kesyukuran yang sebenarnya perlu dimanifestasikan dalam bentuk amal ibadah. Imam Qasim Abu Abdul Rahman berkata, “Sesiapa yang dikurniakan hati yang bersyukur dan tubuh badan yang sabar, dia telah dikurniakan dengan hasanah di dunia dan akhirat dan akan dijauhkan dari azab neraka.”

Artikel dipetik daripada buku Tip-Tip Cemerlang Daripada Quran oleh Dr. Danial Zainal Abidin

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024