Artikel

Dari Blog Penulis: Apa kata mereka?

oleh Roziyah pada 21 Nov 2011

Dipetik daripada blog penulis PTS, Prof Muhd Kamil Ibrahim di muhdkamil.org

Ketika saya menyebut di dalam entri sebelumnya yang saya hanya menunggu “apa kata mereka” sebelum manuskrip di hantar ke penerbit, beberapa khalayak pembaca KRTS mengirim e-mel menawarkan diri.

Kesemuanya saya terima. Terima kasih. Mereka yang memohon akan bekerja 24 jam membantu saya. Misalnya saudara Jamsari dari UKM - pembaca pertama – yang telah menghantar komen.

Ia komen yang sangat menarik. Bukan tentang isi buku tetapi analogi 1.51 jam yang dikemukanya. Terima kasih Pak cik Jam (nama manja beliau di KRTS, sudah lama beliau tidak berkomunikasi di sini. Saya tahu beliau juga sedang menghadapi ujian!)

Apa kata Pakcik Jam
Alhamdulillah kerana saya diizinNya untuk membaca dan mengulas manuskrip Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian. Ia satu penghormatan yang sangat-sangat saya hargai.

Prof MKI menggarap liku-liku kehidupan beliau sehingga menyentuh perasaan. Anekdot kisahnya tersurat seputar kehidupan beliau namun pengajarannya bersifat sejagat. 30 bab yang disusun melalui travelog kehidupan yang kita sama-sama tekuni ini sebenarnya menerobos jauh ke dalam jiwa dan hati sendiri.

Hakikatnya, setiap daripada kita menghadapi ujian yang seumpamanya. Enaknya, Prof MKI berjaya menjalin kisah-kisah ujian ini beserta panduan dan pedoman santai yang bersumberkan al-Quran dan Hadith terpilih. Saya yakin – insyaallah – ia boleh memberi kesan kepada mereka yang berlapang dada.

Intipati ayat 47 surah al-Hajj sangat menarik. Allah SWT menegaskan bahawa sehari di di akhirat seumpama 1000 tahun di dunia. Sebagai contoh, purata hayat umat Nabi Muhammad SAW di sekitar 63 tahun bersamaan 1.51 jam tempoh masa di akhirat.

Kira-kiranya, ia waktu ujian peperiksaan standard di Malaysia. Melihat dengan mata hati, tempoh kehidupan di dunia seolah-olah kita sedang menduduki satu ujian sahaja. Ujian tersebut – saya fikir – hanyalah untuk mengetahui sama ada kita ke syurga atau ke neraka.

Ia perjalanan yang singkat…

Baca lanjut di muhdkamil.org

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024