Artikel

Terkini @ Eksklusif Popular: Trilogi Syahadat Cinta

oleh Norhaslinda Abdul Razak pada 19 Feb 2013

Trilogi Syahadat Cinta adalah kompilasi tiga buah novel terulung karya Taufiqurrahman Al-Azizy iaitu Syahadat Cinta, Musafir Cinta, dan Makrifat Cinta. Novel ini bukan sekadar menampilkan kisah cinta, malah sarat dengan info agama yang dihuraikan berdasarkan situasi yang terjadi sepanjang perjalanan novel.

Kisah bermula apabila teraju utama iaitu Iqbal Maulana, seorang pemuda anak orang berada yang punya segalanya namun jauh daripada landasan agama, mencederakan ibunya sendiri ketika dia sedang mabuk. Rentetan kejadian itu, dia insaf dan memulakan perjalanan mencari Tuhannya.

Pelbagai kisah suka duka berlaku sepanjang perjalanan itu. Bermula di Pondok Tegal Jadin, semangat beliau berkobar-kobar mahu menuntut ilmu agama, namun sepanjang berada di sana, dia hanya disuruh menimba air.

Ditambah pula dengan kejadian pertengkaran dengan anak sang kiai, Iqbal akhirnya membawa diri mencari pengalaman hidup di tempat baru. Namun dia sudah berjanji dengan sang kiai yang dia akan kembali semula ke pondok itu selepas tiga tahun.

Pertemuannya dengan seorang pengemis perempuan bersama anaknya mengubah hidup Iqbal sama sekali. Wanita itu dan anak-anaknya mengajar Iqbal akan erti kehidupan sebenar. Meski hidup dirundung kemiskinan, ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menjauhkan diri daripada Tuhan.

Tuhan sentiasa ada bagi membantu kita.Namun dugaan menjengah lagi, fitnah yang ditabur ke atas Iqbal sekali lagi menguji hidup Iqbal. Fitnah itu kemudian membawa Iqbal menemui pengalaman baru. Iqbal tumpas dengan perasaannya sendiri. Iqbal berasa sia-sia mencintai Tuhan, membuatkan dia kembali tersasar.

Namun satu kejadian yang berlaku membuatkan Iqbal kembali tersedar. Keperibadian Iqbal juga akhirnya membawa Firman dan sahabat-sahabatnya ke jalan Tuhan.Usai menimba pengalaman, seperti yang dijanjikan dengan sang kiai, dia kembali ke Pondok Tegal Jadin selepas tiga tahun membawa diri bagi menentukan siapakah yang bakal menerima syahadat cintanya, sama ada Zaenab, Priscillia, mahupun Khura.

Novel ini sesuai untuk bacaan umum terutamanya buat para penggemar ilmu. Lengkap dengan nota kaki, sebarang hadis dan petikan daripada sumber rujukan diulas dengan terperinci bagi memberi lebih kefahaman kepada para pembaca.

Selain fitrah cinta berlainan jantina, antara tema cinta yang diketengahkan termasuklah cinta kepada Sang Pencipta, kepada ibu bapa, kepada guru, kepada sahabat, dan kepada sesama umat manusia.

Menariknya, isu-isu semasa yang berlaku dalam kehidupan harian kita turut dikaitkan dengan perjalanan cerita watak dan dikupas dengan begitu sempurna dari segi syariat.

Usai membaca novel ini, rasa insaf membersit di sudut hati. Betapa Tuhan sentiasa mendengar dan memberi apa yang kita minta, namun kita sebagai hamba selalu alpa dan lupa kepada-Nya.

Apa jua rintangan dan dugaan yang berlaku dalam hidup ini, yakinlah ada hikmah di sebaliknya, kerana Tuhan sentiasa ada untuk kita, dan cinta Tuhan tidak pernah sia-sia.

Khas buat para peminat novel Islami daripada penulis dari seberang ini, dapatkan novel ini di kedai-kedai buku Popular berdekatan anda.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024