Artikel

Faktor-Faktor Keruntuhan Akhlak Anak-Anak Menurut Dr. Abdullah Nasih Ulwan (Bhg 1)

oleh Asri Yussof pada 01 Jul 2018

Dalam membincangkan bab ini, Dr. Abdullah Nasih Ulwan menulis, sekiranya ibu bapa tidak mempunyai sifat tanggungjawab dan amanah, tidak mengetahui faktor-faktor keruntuhan akhlak serta cara-cara menanganinya maka sudah pasti anak-anak akan menjadi generasi mendatang yang hidup dalam kesesatan, penuh dengan jenayah dan salah laku.

Apa yang kita faham dari tulisan Dr. Abdullah Nasih Ulwan ini, segalanya-galanya terletak pada tangan ibu bapa yang mendidik anak-anak dari rumah. Jika keruntuhan moral berlaku, jangan disalahkan kepada guru-guru di sekolah. Ibu bapa perlu mengkoreksi diri sendiri dan berbincang dengan pasangan bagaimana cara mengatasinya.

Penulis buku Tarbiyatul Aulad Fil Islam, Dr. Nasih Ulwan menyenaraikan 10 faktor yang menyebabkan keruntuhan akhlak anak-anak berlaku.

  1. Kemiskinan melanda

  2. Pergaduhan antara ibu bapa

  3. Kes-kes penceraian dan kemiskinan

  4. Masa lapang yang menguasai kanak-kanak dan remaja

  5. Pergaulan bebas dan pengaru rakan jahat

  6. Layanan buruk ibu bapa terhadap anak-anak

  7. Menonton filem berunsur jenayah dan seks

  8. Pengganguran yang berleluasa dalam kalangan masyarakat

  9. Kelalaian ibu bapa mendidik anak

  10. Musibah anak yatim

Isu kemiskinan disenarai di tangga pertama. Penting untuk kita lihat isu kemiskinan sebagai isu utama. Kita ambil contoh isu kemiskinan bandar. Di Kuala Lumpur contohnya, boleh atau tidak kita bayangkan satu keluarga dengan anak tujuh orang hidup dalam satu rumah teres yang mempunyai tiga atau dua bilik sahaja. Rumah yang sempit dan persekitaran yang tidak baik untuk membesar.

Ini cenderung kepada pengaruh rakan sebaya. Anak-anak tidak akan lekat di rumah. Malah lebih berminat untuk keluar rumah dan berhibur diluar bersama rakan-rakan. Sebab itu kejadian merempit berleluasa di bandar.

Berbeza menjadi kelompok miskin kampung, mereka masih lagi boleh dikawal. Tetapi dalam kes-kes terpencil, ia tidak terkawal. Contoh kita ambil isu dadah. Masalah ini berleluasa di kampung. Kerana mereka kekurangan hiburan, jadi anak muda yang tidak mempunyai masa yang berkualiti dengan keluarga akan mencari sesuatu untuk mencuba. Kemudian rakan mereka mengajak untuk mencuba dadah. Parah.

Bab ini, Dr. Nasih Ulwan menulis, Anak yang tidak dapat memenuhi keperluan makanan dan pakaiannya, malah tidak ada orang di sekelilingnya yang mampu membantunya meneruskan kehidupan akan meninggalkan rumah demi mencari sesuap nasi.

Tambah beliau lagi, dalam masa yang sama, terdapat kumpulan penjenayah yang mengambil kesempatan terhadap anak-anak tidak bernasib baik ini, dengan memberikan apa yang mereka hajatkan. Disebabkan itu, mereka berubah menjadi penjenayah yang membahayakan keselamatan jiwa.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024