Artikel

Fatwa Untuk ‘Haji Muda’

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 08 Sep 2016

Jarang kita dengar, dalam kalangan jemaah haji Malaysia yang berpeluang menunaikan ibadah rukun Islam yang kelima ini berusia bawah 25 tahun. Kalau disandarkan pada carian di internet semata-mata, ada kisah seorang wanita, Nadia Rahmat, yang sudah mengerjakan haji pada usia 21 tahun.

 Nadia Rahmat

Persoalan yang ingin dibangkitkan disini bukanlah untuk menjawab isu mengapa bilangan pemuda amat sedikit yang berpeluang mengerjakan haji, tetapi apakah hukum bagi mereka yang mengerjakan haji pada usia muda.

Sebelum mengulas lanjut berkenaan soalan ini, suka untuk diingatkan bahawa antara syarat sah haji adalah seseorang itu sudah baligh atau mencapai tahap matang.

Menurut pendapat Imam Syafie, seseorang itu dikira baligh apabila sudah keluar air mani (bagi lelaki), darah haid (bagi wanita), atau mencecah usia 15 tahun (bagi mereka yang tidak keluar air mani atau darah haid).

Boys Girls

Justeru itu, jawapan Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam Fatwa Kontemporari, adalah jelas berkenaan persoalan sah atau tidak haji bagi mereka yang berusia 14 tahun.

“Ibadat haji yang dikerjakan sewaktu umur 14 tahun (jikalau masih belum baligh) tidak dikira. Ini kerana ibadat haji adalah kewajipan yang perlu dikerja selepas seseorang itu mencapai umur baligh. Justeru, dia perlu mengerjakan haji sekali lagi selepas mencapai umur baligh.”

 Fatwa Kontemporari

Dapatkan buku ini, di sini, www.bookcafe.com.my

Bagaimanapun, saya berpendapat tidak salah untuk ibu bapa membawa anak-anak mereka yang berusia di bawah 15 tahun bagi mengerjakan ibadah haji bersama.

Ia sebagai memberi pengalaman kepada anak-anak mengenai ibadah haji disamping memberi motivasi kepada mereka untuk sentiasa berusaha memberi yang terbaik terutama dalam beribadah.

Baca juga, Mempertimbangkan Semula Kisah Ibrahim dan Ismail

Baca juga, Kalau Ini Haji Terakhir, Saya Redha

 Makkah

Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mengenai ibu bapa dan anak-anak.

“Tidaklah seorang bayi yang dilahirkan melainkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, atau Musyrik.” (Sahih Muslim)

Dengan segala sukacita, saya mengucapkan tahniah pada mereka yang berjaya mengerjakan haji di Baitullah terutama anak muda. Anda bertuah kerana terpilih untuk menjadi tetamu Allah sebelum menutup mata. Dengan izin Allah, kami akan menyusul selepas ini. Doakan!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024