Artikel

FILEM: Instant Family Bawa Tema Keluarga Angkat

oleh Asri Yussof pada 05 Jan 2019

Tema keluarga angkat, anak-anak terbuang/ terbiar, keluarga terjerat dengan masalah dadah dan macam-macam lagi isu yang hampir sama adalah antara persoalan-persoalan besar yang perlu dijawab dengan baik, terutama dari segi pegurusan dan bagaimana cara nak kendalikan masalah ini.

Instant Family bermula dengan suami dan isteri- Pete dan Ellie (lakonan Mark Wahlberg dan Rose Byrne) mengambil Lizzie sebagai anak angkatnya (lakonan Isabela Moner) dan dua lagi adiknya. Mereka bertiga berpindah dari satu rumah ke satu rumah angkat kerana perangai mereka yang susah untuk dikawal. Ibunya terlibat dengan masalah dadah dan dipenjara untuk sesi pemulihan. Mereka memerlukan sokongan keluarga angkat untuk meneruskan hidup.

Instant Family

Cabaran terbesar bermula apabila Pete dan Ellie cuba untuk menjadi ibu bapa yang ‘sempurna’ dan untuk memahami anak-anak angkat mereka ini. Mereka membuat keputusan yang mengejut untuk mengambil anak angkat ketika jamuan makan bersama ahli keluarga - selepas dikecam oleh adik beradik Ellie dan ibunya sendiri.

Stigma anak angkat tidak baik, banyak masalah, suka buat perangai dan mereka rata-rata datang dari keluarga (ibu bapa) yang mempunyai masalah jelas ditunjukkan di dalam filem ini. Inilah stigma yang masih melingkari kita- sehingga kita lebih suka kecam berbanding menyelesaikan masalah.

Mengikut statistik dari Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia, jumlah anak angkat melalui perintah mahkamah/ pejabat daerah pada tahun 2017 seramai 2,681. Iaitu anak angkat lelaki seramai 1,366 manakala perempuan 1,315.

Instant Family diarah oleh Sean Anders dalam bentuk komedi (walaupun ada ketika babak-babak yang boleh mengalirkan air mata). Sean Anders sangat dekat dengan filem-filem yang bertemakan kekeluargaan komedi. Daddy’s Home 1 & 2 juga adalah arahan beliau dan Mark Wahlberg tetap sebagai pelakon utama.

Lizzie tidak percayakan kepada ibu bapa angkat. Baginya Pete dan Ellie adalah pasangan yang mengambil anak angkat sekadar untuk menunjukkan mereka adalah orang berkulit putih yang baik dan mahu menjadi hero.

Instant Family

Menjadi ibu bapa angkat kepada anak-anak yang sudah remaja merupakan cabaran yang besar. Cabarannya berbeza dengan mereka yang mengambil anak-anak angkat sedari bayi lagi.

Penutup filem ini sangat menyentuh hati. Lizzie mahu pulang ke pangkuan ibu kandungannya semula. Tetapi apabila keluar dari pusat pemulihan, ibunya masih tidak pulih daripada ketagihan dadah. Sehinggalah beliau membaca kenyataan untuk mahkamah yang ditulis oleh Ellie, yang menjawab persoalan Lizzie, “kenapa Pete dan Ellie mahu mengambil mereka menjadi anak angkat.”

Dalam kredit, filem ini memuatkan foto-foto keluarga angkat. Ia begitu menyentuh hati kita semua. Ibu bapa berkulit putih dengan anak angkat berkulit hitam, dan begitulah sebaliknya. Keluarga angkat bukanlah sesuatu yang buruk untuk dipandang, tetapi ia akan menjadi rumah baru untuk anak-anak ini mendapat harapan bagi meneruskan hidup mereka- iaitu cinta yang baru.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024