Artikel

Filem Sokolo Rimba Buka Mata Kita Tentang Hak Asasi Manusia

oleh Asri Yussof pada 02 Nov 2018

5 tahun adalah penantian yang tidak sia-sia. Dari 2013 hingga ke 2018, akhirnya saya dapat menonton Sokola Rimba, karya Riri Riza dan produksi Mira Lesmana. Dua pengkarya filem Indonesia yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Mereka berdua juga yang menghuru harakan dunia perfileman dengan mengadaptasi karya Andrea Hirata- Laskar Pelangi sehingga menang banyak anugerah baik di dalam atau di luar Indonesia.

Sokola Rimba mengisahkan pengalaman Butet Manurung yang bekerja sebagai sukarela pendidikan di sebuah NGO selepas tamat universiti. Beliau ditugaskan untuk mendekati orang-orang rimba (atau orang-orang adat) di hutan dalam daerah Jambi antara Palembang, Padang dan Riau- iaitu kawasan Taman Negara Bukit Tigapuluh.

Dari situ beliau dikenali sebagai seorang cikgu, yang mengajar membaca, mengeja dan mengira. Mata kita terbuka dengan orang-orang rimba yang terancam. Mereka berpindah dari tempat ke tempat kerana desakan orang-orang yang berkepentingan keatas tanah-tanah untuk mendapatkan balak dan membesarkan ladang sawit.

Masalah ini tidak berlaku di Jambi sahaja, malah berlaku juga di negara kita, Malaysia. Tanah-tanah adat di Gua Musang Kelantan, Pahang semakin kecil kerana status halal diberikan kepada pembalak-pembalak tegar dan juga perluasan ladang kelapa sawit oleh pihak berkuasa.

Filem ini begitu dekat kepada mereka yang terbuka matanya untuk melihat bahawa dunia ini tidak boleh hidup tanpa hutan rimba. Apabila hutan rimba terjejas, ekosistem akan menjadi tidak stabil, dan ini akan memberikan kesan bahaya yang maha besar tidak kira dari segi saintifik atau hak asasi manusia. Butet mengajar kepada dunia bahawa orang-orang rimba juga mempunyai hak keatas diri dan kelompok mereka.

Watak Nyungsang Bungo begitu melekat. Anak rimba yang berjalan kaki berpuluh-puluh batu sambil membawa kertas perjanjian tanah antara ketua adat mereka dengan peneroka kemana-mana sahaja menemui Butet untuk belajar membaca supaya dia dapat membaca isi perjanjian dan mempertahankan hak kelompok mereka. Yang mengejutkan tanah mereka dirampas dengan hanya dibayar oleh rokok, gula dan beras sahaja.

Butet Manurung lakonan Prisia Nasution sangat baik sekali. Beliau menguasai bahasa orang-orang rimba dengan bagus sekali, seperti tiada pelat atau tersalah sebut. Watak-watak seperti Nengkabau dan Beindah memperlihatkan kepada kita bahawa potensi seorang manusia boleh digilap jika mereka diberi peluang (saya petik dari tema TFTN).

Tugas seorang guru bukan semata-mata mengenalkan huruf-huruf, menunjukkan nombor-nombor dan mengira. Tetapi lebih dari itu seorang guru adalah mereka yang boleh menanam mimpi-mimpi dalam setiap anak-anak untuk berjaya dan memperkenalkan mereka dengan hak-hak yang wajib mereka tahu supaya anak-anak ini tidak dibodohkan oleh kaum penindas.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024